Search This Blog

Monday, November 28, 2011

Cubaan rempuh polis gagal


Oleh : ROSDALILAH ZAHARI
Tarikh : November 28, 2011
motor

IPOH - Cubaan seorang mat rempit untuk melarikan diri daripada sekatan polis membawa padah apabila motosikal yang ditungganginya melanggar hadapan sebuah unit peronda polis (MPV) di dalam Ops Samseng Jalanan yang diadakan di Jalan Sungai Siput berhampiran Klebang awal pagi semalam.

Akibat tindakan ‘kamikaze’ itu, mat rempit terbabit mengalami kecederaan ringan di kaki dan tangan.

Tidak kurang juga ada dalam kalangan mereka yang berlari dan meninggalkan motosikal dalam keadaan berkaki ayam untuk menyelamatkan diri daripada ditahan pihak berkuasa.

Namun usaha mereka melarikan diri gagal selepas 150 penunggang dan pembonceng berusia dalam lingkungan 14 hingga 22 tahun dicekup bersama-sama motosikal masing-masing.

Kesemua mereka di bawa ke Unit Penguat kuasa Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk tindakan seterusnya.

Ketua Operasi, Asisten Superintendan Khuzir Abd Majit berkata dalam operasi yang bermula jam 11 malam itu seramai tujuh individu dikesan positif dadah dan ditahan untuk siasatan lanjut.

“Sepanjang operasi itu, pihak kami mengeluarkan 67 saman dan sita trafik atas pelbagai kesalahan.

“Antara kesalahan dilakukan termasuklah tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tiada cermin sisi dan mengubah suai motosikal sehingga tidak mengikut spesifikasi ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Seorang penunggang turut dikenakan tindakan di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu dalam keadaan tidak cermat dan bertimbang rasa,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Khuzir berkata operasi kali ini membabitkan 120 anggota dari bahagian trafik, risikan/operasi (D4) dan narkotik daripada Bukit Aman, Kedah dan Ipoh.

Selain itu, beliau berkata dua pegawai termasuk 16 anggota JPJ dari Perak dan Putrajaya bersama-sama membantu dalam menjayakan operasi tersebut.

“JPJ turut mengeluarkan 27 saman serta menyita 10 buah motosikal selain mengarah periksa ke atas 19 motosikal yang ditahan.

“Pada masa sama, seramai 18 penunggang ditahan kerana menggunakan kenderaan ketika masih dalam Perintah Berkurung,” ujarnya.

Katanya, operasi bersepadu ini akan diadakan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan mat rempit daripada terus berleluasa bagi mengelakkan golongan pelajar sekolah daripada terjebak.

Cubaan rempuh polis gagal - Perak - Sinar Harian
:

Hilang tempat berteduh


Oleh : MASTURAH SURADI
Tarikh : November 28, 2011
terbakar

KOTA TINGGI – Empat rumah sederet di sini hangus terbakar manakala sebuah lagi mengalami kerosakan di bahagian belakang akibat disambar api dalam kejadian kebakaran di Kampung Tembioh di sini, pada jam 10 malam semalam.

Dalam kejadian itu, seramai 35 mangsa daripada lima keluarga terpaksa menumpang di rumah saudara mara terdekat dan bermalam di balai raya akibat rumah yang didiami rentung.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Kota Tinggi, Mohd Ismail Abdul Latif berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.29 malam dan terus bergegas ke tempat kejadian bersama sembilan anggota berserta dua jentera.

“Dalam kejadian tersebut, empat rumah hangus terbakar dan kami berjaya mengawal api daripada memusnahkan sebuah lagi rumah daripada terbakar teruk.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan meringankan beban mangsa termasuklah daripada Majlis Agama Islam Johor (Maij) Daerah Kota Tinggi, Jabatan kebajikan masyarakat (JKM) dan wakil rakyat.

Turut melawat mangsa, Ahli Parlimen Kota Tinggi, Tan Sri Syed Hamid Albar dan Adun Johor Lama, Asiah Md Ariff.

Asiah ketika ditemui berkata, kesemua mangsa yang terlibat diberikan bantuan segera termasuklah penempatan sementara di kuarters sebagai tempat berteduh.

“Kita akan membantu mangsa terlibat ini dari masa ke semasa. Setakat ini mangsa diberikan bantuan penempatan sementara serta menerima keperluan asas dan juga sumbangan wang tunai daripada pelbagai pihak. Malah wanita Umno cawangan turut bersama-sama bergotong-royong memasak untuk mangsa terlibat,” katanya.

Hilang tempat berteduh - Johor - Sinar Harian:

'via Blog this'

Ibu tanam bayi tidak cukup bulan


Oleh : NOR AINNA HAMZAH
Tarikh : November 28, 2011
mayat bayi

TAMPIN – Seorang ibu muda dipercayai dalam proses penceraian, ditahan kerana disyaki membuang dan menanam bayi dipercayai lahir tidak cukup bulan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, suspek berusia 25 tahun itu, ditahan sebaik menerima laporan daripada Hospital Melaka kira-kira jam 1 pagi ketika suspek sedang menerima rawatan.

Beliau berkata, susulan penahanan serta hasil soal siasat, suspek terbabit kemudian membawa anggota polis ke lokasi mayat bayi yang ditanam di dalam semak, berdekatan sebuah lorong di Jalan Batu Belang, di sini.

“Polis mengambil hampir setengah jam, menggali lokasi dikatakan suspek, bagi mengeluarkan mayat bayi lelaki yang telah reput.

“Mayat bayi dilahirkan 22 November lalu itu, dibawa ke Hospital Tampin, sebelum dipindahkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban untuk bedah siasat,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Kooi Cheang berkata, suspek berasal dari Taman Indah, ditahan reman tiga hari mulai kelmarin bagi mem bolehkan suspek disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan susulan menyembunyikan kelahiran.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu, diminta tampil membantu polis menjalankan siasatan dengan menghubungi balai berdekat an atau Pegawai Penyiasat Cif Inspektor Azmi Abdul Salam di talian 06-4411221 atau 06-4411222.

Ibu tanam bayi tidak cukup bulan - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Mangsa rogol bersiri masih trauma


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : November 28, 2011
mangsa2

KOTA BHARU - Seorang jurujual nyaris dirogol oleh perogol bersiri di bilik sewanya kelmarin, masih trauma dengan kejadian terbabit.

Mangsa berusia 23 tahun dikenali sebagai Tina berkata, kejadian itu berlaku selepas dia keluar bilik mandi, kira-kira 30 meter dari bilik tidurnya.

Menurutnya, dia ter kejut kerana mendapati lelaki tidak dikenali itu menyambarnya, sambil meletakkan pisau pada lehernya.

“Saya cuba menjerit meminta tolong dan kemudiannya lelaki terbabit menarik saya masuk ke bilik dalam keadaan tangan diikat dengan wayar seterika.

“Selepas itu, saya bergelut hampir 10 minit dalam bilik dan dia mengugut menikam saya sekiranya saya terus meronta,” katanya.

Tina berkata, dia puas merayu kepada lelaki ter­babit supaya melepaskan­nya dengan menawarkan wang sebagai ganti.

“Dia tetap bertindak ganas sehinggakan pipi saya tercedera akibat terkena senjata tajam ketika mahu melepaskan diri,” katanya.

Dia berkata, selepas beberapa minit, ada individu lain masuk ke biliknya dan lelaki tersebut melarikan diri sebelum berjaya diberkas.

Mangsa rogol bersiri masih trauma - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Warga emas mangsa langgar lari


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : November 28, 2011
mangsa kemalangan

SUNGAI BULOH - Seorang warga emas menjadi mangsa langgar lari di Restoran Jejantas Sg Buloh, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, mangsa Siti Eshah Kali, 55, bersama anaknya, Normaizatul Akmal Salam, 18, dan Badrul Amin, 15, dalam perjalanan pulang ke Klang, setelah menghadiri kenduri di Taiping, Perak.

Pegawai Turus Trafik Selangor, Deputi Supritendan Azmi Mansur berkata, bas ekspres dinaiki mangsa berhenti di Restoran Jejantas Sg Buloh, berhampiran stesen minyak dan keluarga itu turun untuk ke tandas.

Menurutnya, ketika berada di dalam tandas, kedua beradik itu terdengar jeritan di luar, lalu ke tempat kejadian dan mendapati ibu mereka terbaring dengan kecederaan parah di kepala.

Beliu berkata, siasatan polis pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV), gagal mengecam nombor kenderaan terbabit kerana had pe­ngawasan CCTV adalah terhad.

“Bagaimanapun, kami berjaya mengenal pasti syarikat lori dipercayai lori ais yang ia terus meninggalkan tempat kejadian sebaik kemalangan berlaku, mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat,” katanya.

Warga emas mangsa langgar lari - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Buat maksiat dalam kereta


Oleh : NIK AMIRULMU’MIN NIK MIN
Tarikh : November 28, 2011
maksiat

KUANTAN - Memalukan. Itulah perkataan yang sesuai menggambarkan perbuatan tidak senonoh dua individu dipercayai sepasang kekasih apabila tanpa segan silu melakukan maksiat dalam kereta yang diletakkan di tempat letak kereta belakang lorong kedai, Jalan Datuk Lim Hoe Lek di sini, petang semalam.

Perbuatan terkutuk pasangan berusia dalam lingkungan 20-an itu sempat dirakam orang awam kebetu-lan berada di kawasan itu.

Lebih memalukan, pasangan wanita yang melakukan adegan itu nampak sopan dengan bertudung dan berbaju kurung.

Orang awam dikenali sebagai Fook berkata, adegan memalukan dalam kereta jenis Proton Saga itu berlaku kira-kira 20 minit.

Menurutnya, dia kebetu-lan di pejabat berhampiran kawasan itu ternampak kelibat mencurigakan pasangan terbabit sebelum keluar meninjau kerana bimbang berlaku kejadian jenayah di situ.

“Selepas mengamati barulah saya tahu peristiwa sebenar di mana pasangan kekasih itu sedang asyik bermadu asmara di tempat terbuka tanpa segan silu,” katanya.

Fook berkata, tidak lama kemudian dia ternampak kereta itu beredar namun masih berlegar di kawasan terbabit sebelum meninggalkan kawasan itu.

Sementara itu, seorang pekerja swasta di kawasan berkenaan yang mahu dikenali sebagai Rahman berkata, lorong belakang yang agak tersorok dan jarang dilalui kenderaan memberi kesempatan kepada pasangan gelojoh nafsu seperti itu melakukan aksi terlarang.

Dia berkata, beberapa rakannya pernah menceritakan terserempak dengan pasangan kekasih yang sedang memadu asmara dalam kereta seperti mana aksi yang dirakamkan itu.

“Kalau boleh, pihak berkuasa agama turut memberi tumpuan dan membuat rondaan di kawasan lorong belakang bagi membendung gejala negatif ini.

“Mungkin pasangan kekasih seperti itu berani melakukan maksiat kerana mereka tahu kawasan itu ‘selamat’ dan tersorok,” katanya.

Buat maksiat dalam kereta - Pahang - Sinar Harian:

'via Blog this'

JKM siasat kejadian

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu mengesahkan pihaknya menerima laporan dakwaan seorang pelajar sekolah pemulihan akhlak di Marang, dekat sini, yang menjadi mangsa penderaan seksual dan buli oleh pelajar sekolah berkenaan, Khamis lalu.

Pengarahnya, Zuhaimi Omar, berkata susulan itu, pihaknya menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian yang didakwa dilakukan lima pelajar berusia 14 hingga 17 tahun terbabit.


“Kami sudah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menjalankan siasatan berhubung kejadian itu yang membabitkan mangsa seorang pelajar wanita berusia 14 tahun dari Klang, Selangor,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, pihak pengurusan sekolah berkenaan juga membawa remaja wanita terbabit ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), untuk pemeriksaan lanjut.


“Laporan siasatan awal sudah dihantar ke ibu pejabat JKM di Kuala Lumpur dan kami kini menunggu laporan penuh dari HSNZ untuk tindakan lanjut,” katanya.

myMetro | JKM siasat kejadian:

'via Blog this'

‘Mayat jatuh sebelah saya’

KUALA LUMPUR: Sekumpulan anak anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, bermain bola sepak di tempat letak kereta berhampiran surau IPD berkenaan tergamam apabila sekujur tubuh jatuh secara tiba-tiba dari pusat beli belah Campbell yang terletak bersebelahan tempat mereka bermain.

Dalam kejadian jam 7 malam tadi, kanak-kanak terbabit bermain bola dalam hujan renyai dan ketika seronok bermain mereka dikejutkan dengan jeritan kuat sebelum seorang lelaki jatuh tertiarap di tempat mereka bermain.


Seorang daripada kanak-kanak terbabit, Syed Mohd Shazwan Syed Mohd Nazri, 14, berkata, lelaki berusia lingkungan 40-an itu jatuh betul-betul di sebelahnya.

“Kami dengar jeritan daripada tingkat atas kawasan tempat letak kereta Campbell dan sejurus selepas itu satu dentuman kuat kedengaran di sebelah saya dan saya dapati satu tubuh manusia yang agak besar tertiarap di tempat kami bermain.


“Mulanya saya ingin menolong atau melihat keadaan lelaki berkenaan, tetapi rakan lain sudah melarikan diri ketakutan dan saya turut lari untuk memaklumkan kejadian itu kepada anggota di pos pengawal,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian.


Menurutnya, dia tidak nampak kesan darah di kawasan lelaki berkenaan jatuh, namun tubuh mangsa langsung tidak bergerak sebaik tertiarap di atas tar kawasan letak kereta surau yang juga berhampiran tempat mengambil wuduk.

Sementara itu, jurucakap polis yang ditemui di lokasi kejadian berkata, lelaki itu dipercayai jatuh dari kawasan tempat letak kereta Campbell, namun belum dikenal pasti dari tingkat berapa.

myMetro | ‘Mayat jatuh sebelah saya’:

'via Blog this'

MyKad palsu RM300

KUALA LUMPUR: Cuma RM300 untuk MyKad palsu. Itu tawaran diberikan sindiket pemalsuan dokumen yang didalangi sekumpulan lelaki warga Indonesia, di sini.

Difahamkan, sindiket itu menyediakan MyKad palsu untuk rakan senegara mereka yang berada di negara ini dan dokumen itu mampu dihasilkan dalam tempoh seminggu. Pendedahan mengenai kewujudan sindiket itu terbongkar dengan penahanan seorang lelaki berusia 20-an yang berasal dari Riau, Indonesia selepas dia dicekup ketika sekatan jalan raya Unit Kuatkuasa Khas Trafik Kuala Lumpur (U3K), semalam.


Ketua Unit Kuatkuasa Khas Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Azmi Wahid berkata, ketika operasi dijalankan di kawasan Jalan Raja berdekatan Dataran Merdeka, lelaki berkenaan cuba lari dari sekatan jalan raya namun berjaya ditahan.

“Dia pada mulanya mengaku sebagai warga tempatan, namun tiada lesen memandu. Bagaimanapun, siasatan lanjut ke atas MyKad miliknya mendapati ia palsu dan suspek juga mengakuinya,” katanya di sini, semalam.


Menurutnya, berdasarkan keterangan suspek, MyKad itu dihasilkan sindiket didalangi lelaki warga Indonesia yang bekerja sebagai buruh am dan bayaran RM300 dikenakan untuk proses pemalsuan dokumen itu.


Katanya, lelaki berkenaan memiliki kad pengenalan palsu itu sejak setahun lalu dan pasportnya pula sudah hilang. “Selepas menjalankan pemeriksaan, dia diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan lanjut.

“Polis turut menahan dua lelaki berusia 20-an yang menunggang motosikal curi serta memiliki senjata tajam, selain positif dadah,” katanya.

myMetro | MyKad palsu RM300:

'via Blog this'

Maut terjatuh motosikal

ROMPIN: Impian seorang penuntut sebuah kolej di Singapura bersama 21 rakan mahu melihat keindahan bandar Kuantan sempena cuti Maal Hijrah berakhir tragedi selepas dia maut akibat terjatuh motosikal ditunggang sebelum dilanggar kereta di Kilometer 152.4, Jalan Kuantan-Johor Bahru berhampiran Kampung Jawa, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, Muhammad Idris Md Yassin, 21, berasal dari Singapura maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.


Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, siasatan awal mendapati sebaik tiba di tempat kejadian mangsa yang menunggang seorang diri bersama beberapa rakan cuba memotong sebuah kenderaan menghala ke Kuantan dari Johor Bahru.

myMetro | Maut terjatuh motosikal:

'via Blog this'

Sekeluarga rugi RM28,000 rumah disamun tujuh lelaki

GOMBAK: Satu keluarga kerugian RM28,000 apabila kediaman mereka yang terletak dalam sebuah ladang kelapa sawit, di Kuang dipecah masuk tujuh lelaki bersenjatakan parang.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.20 tengah malam Jumaat lalu, pengurus ladang berkenaan berusia 40-an , isteri, tiga anak perempuannya dan seorang anak saudara perempuan tergamam sebaik melihat suspek memecah masuk kediaman mereka.


Malah sebelum itu, tiga pengawal keselamatan dan seorang polis bantuan yang mengawal ladang terbabit turut tidak mampu berbuat-apa apabila suspek menyerang mereka dan mengacukan parang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan berkata, kejadian itu berlaku terlalu pantas menyebabkan mangsa tidak sempat berbuat apa-apa malah senapang milik pengawal ladang terbabit turut dirampas suspek.


Menurutnya, suspek masuk ke dalam rumah mangsa dan terus menyelongkar untuk mencari barangan berharga.


“Selepas hampir sejam menggeledah kediaman berkenaan, mereka melarikan barangan kemas dan wang tunai dianggarkan mencecah RM28,000.

“Bagaimanapun, suspek tidak mencederakan mangsa dan mereka beredar selepas mendapat barangan berharga terbabit kira-kira jam 1.30 pagi,” katanya.


Rosly berkata, mangsa yang terselamat terus menghubungi Balai Polis Kuang bagi meminta bantuan dan melaporkan kejadian itu.

“Hasil pemeriksaan pasukan forensik menjumpai enam cap jari iaitu lima di pintu dan satu pada tabung wang. Turut dijumpai sebelah selipar di luar pagar rumah dipercayai dapat membantu siasatan,” katanya.


Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

myMetro | Sekeluarga rugi RM28,000 rumah disamun tujuh lelaki:

'via Blog this'

Serbu bar jual arak, 62 remaja ditahan



Seorang pekerja meninjau bahagian dalam bar De Most di Jakarta Selatan yang dikunci, selepas ia diserbu sekumpulan remaja pada Sabtu lalu. - AFP
JAKARTA 30 Julai - Polis Indonesia menahan 62 individu, kebanyakannya remaja bawah umur selepas kumpulan itu menyerbu sebuah bar di sini, kerana menyediakan minuman keras sepanjang bulan Ramadan.
Ketua Polis Jakarta Selatan, Hermawan berkata, kumpulan yang disertai oleh 150 orang remaja itu menyerang bar De Most, malam Sabtu lalu.
Katanya, semua mereka yang membawa pedang dan kayu golf, bertindak memecahkan beberapa botol minuman keras serta merosakkan barangan di dalam bar tersebut.
"Mereka juga memecahkan beberapa tingkap dan pintu serta menghempaskan botol-botol arak sambil memberi amaran supaya menutup bar tersebut bagi menghormati bulan Ramadan,'' katanya.
Seramai 23 daripada remaja berkenaan berdepan dakwaan merosakkan harta benda, manakala empat lagi didakwa kerana membawa senjata tajam.
Kata Herman lagi, kumpulan itu menggelarkan diri mereka sebagai Majlis Pembela Nabi.
"Kami memang sering menyerang tempat-tempat yang tidak menghormati bulan Ramadan,'' kata ketua kumpulan itu, Habib Bahar, 33, yang dipetik laporan laman web Kompas.com. - AFP

Pelancung China disamun



WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Julai 2012
KUANTAN – Seorang pelancong wanita dari China mengalami kerugian sebanyak RM4,500 selepas disamun seorang di sebuah hotel di Genting Highlands Jumaat lalu.

 Pegawai Turus Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, wanita berusia 37 tahun itu mendakwa, lelaki terbabit mengetuk pintu bilik hotelnya kira-kira jam 4.30 pagi hari kejadian.
“Sebaik sahaja pintu dibuka, lelaki terbabit menerkam wanita itu dan selepas bergelut, wanita itu diikat dengan menggunakan wayar pengecas telefon,” katanya kepada pemberita semalam.

Beliau berkata, lelaki yang baru dikenalinya itu kemudiannya merampas tiga telefon bimbit milik wanita itu ddan wang tunai yang kesemuanya bernilai RM4,500.

Bagaimanapun, katanya, polis berjaya memberkas suspek yang juga bekerja sebagai tukang masak Sabtu lalu kira-kira jam 12.30 malam  dan hasil siasatan  mendapati ada rekod jenayah lampau.
“Suspek akan didakwa di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan ketika ditangkap, lelaki itu turut memiliki dadah,” katanya.

Remaja lemas lepas bersih tebing



WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Julai 2012
Priasamy (dua, kanan) menceritakan sesuatu kepada pegawai bomba di tempat kejadian.
Priasamy (dua, kanan) menceritakan sesuatu kepada pegawai bomba di tempat kejadian.
SUNGAI SELISEK - Mayat remaja yang mati lemas selepas mandi berseorangan di Sungai Bernam berjaya ditemui jam 9.30 malam, semalam.

Operasi menyelamat kali kedua yang dilakukan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) berjaya menemui mayat mangsa selepas percubaan kali pertama gagal.

Mangsa, C Partiban, 16, dikatakan mandi kira-kira jam 4.30 petang semalam selepas membersihkan kawasan tebing sungai itu bersama beberapa rakan dan penduduk kampung bagi persiapan sambutan Taipusam 2 Ogos ini.

Bapa mangsa, S Chandran, 50, berkata, ketika kejadian dia berada di tempat kerja di kilang besi Behrang 2020, Perak dekat sini sebelum menerima panggilan rakannya berhubung kejadian itu.
“Saya bergegas pulang dan ketika itu anggota bomba sedang mencari anak saya yang dikatakan tenggelam di lubuk sungai,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Saksi kejadian, K Priasamy, 53, berkata, dia cuba menyelamatkan mangsa namun gagal kerana turut disedut air.

Menurutnya, dia cuba menarik rambut mangsa tetapi sedutan air di lubuk itu sehingga menenggelamkannya memaksa dia melepaskan rambut mangsa lalu menyelamatkan diri.

“Saya turut tenggelam disedut air jadi saya terpaksa selamatkan diri naik ke tebing.

“Sebelum itu, dua rakan Partibhan sudah cuba menyelamatkannya tapi mereka tidak pandai berenang, jadi mereka mengalah,” katanya.

Katanya, sebelum kejadian dia menasihati mangsa supaya tidak mandi di sungai berkenaan namun pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Katolik, Tanjung Malim itu tidak mengendahkan tegurannya.

Jelasnya, melihat mangsa mandi dia membaling batu ke sungai sambil menjerit jangan mandi dan ketika itu mangsa dilihat tenggelam.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Slim River untuk bedah siasat.

Peluk, cium buat isteri sebelum maut nahas

RANTAU PANJANG: “Pa (panggilan suami) sayang sangat-sangat pada Sayang (panggilan mesra isteri),” itulah kata terakhir Mohd Aris Junuh, 41, kepada isterinya, sebelum maut dalam kemalangan di Kampung Serai Lima, Lebuhraya Rantau Panjang-Pasir Mas, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, perjalanan Mohd Aris dari rumah isteri keduanya di Kampung Aur Duri, Salor, Pasir Mas ke tempat kerjanya di sebuah pasar raya di pekan Rantau Panjang dekat sini, berakhir tragedi pilu apabila Proton Persona dinaikinya terbabas dan terbalik sebelum terlekat pada sebatang pokok.


Isteri mangsa, Noraini Othman, 42, rebah sejurus melihat mayat suaminya diusung anggota bomba dari lokasi kejadian.

Noraini yang masih dalam keadaan terkejut, berkata dia menyediakan hidangan bihun goreng dan teh O untuk sarapan suaminya sebelum dia ke tempat kerja.


“Suami tidak menunjukkan sebarang perubahan dan dia makan seperti biasa sebelum keluar rumah kira-kira jam 8.30 pagi. “Sebelum pergi kerja, dia (arwah suami) sempat mengungkap perkataan sayang sambil memeluk dan mencium saya. Detik itu tidak saya lupakan sampai bila-bila,” katanya ketika ditemui kelmarin.


Saksi kejadian, Ghani Mamat, 50, berkata mangsa didakwa memandu laju menyebabkan kereta dipandunya terbabas dan terbalik sebelum terlekat pada sebatang pokok.

“Ketika itu saya berada di belakang kereta mangsa dengan jarak kira-kira 300 meter sebelum melihat kenderaan berkenaan dalam keadaan ‘jumping’ akibat permukaan jalan tidak rata.


“Cara dia memandu ketika itu seakan-akan sedang tidur,” katanya.

Katanya, sebaik melihat kejadian itu, dia bertindak turun ke tempat kejadian bagi melihat keadaan mangsa sebelum menghubungi bomba mendapatkan untuk bantuan segera.


“Ketika itu, saya cuba menyelamatkan mangsa dan mendapati dia masih hidup, walaupun sudah tidak sedarkan diri,” katanya.


Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan, Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Azuhan Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.57 pagi dan usaha menyelamat membabitkan tujuh anggota.


“Kami mengambil masa kira-kira 40 minit untuk mengeluarkan mangsa berikutan keadaannya tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya.


Turut membantu dalam operasi menyelamat itu, empat anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Rantau Panjang yang diketuai Lans Koperal Zuzilawati Abdullah.

myMetro | Peluk, cium buat isteri sebelum maut nahas:

'via Blog this'

Pembunuhan peniaga bermotif dendam

KULAIJAYA: Penemuan mayat seorang peniaga makanan dan minuman warga Pakistan di Ladang Kelan, kira-kira lima kilometer dari jalan besar Kulai di sini, dengan kesan tetakan di kepala, muka dan tangan pagi semalam, tiada kaitan dengan rompakan tetapi dipercayai disebabkan dendam.

Ia berdasarkan penemuan dompet mangsa serta wang disyaki hasil jualan hariannya serta pelbagai barangan jualan seperti makanan dan minuman di lokasi namun polis enggan mengesahkan punca kejadian berikutan kes masih disiasat. Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, pihaknya menerima maklumat orang ramai berhubung penemuan mayat seorang lelaki di lokasi pada kira-kira jam 9.54 pagi semalam.


Menurutnya, sejurus menerima laporan sepasukan polis termasuk anggota unit forensik dikejarkan ke lokasi sebelum menemui mayat lelaki dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di tengah ladang berkenaan.

myMetro | Pembunuhan peniaga bermotif dendam:

'via Blog this'

‘Tak sangka rakan jadi mangsa bunuh’

KULAIJAYA: “Kami tidak menyangka Muzamil yang kelihatan gembira selepas pulang bercuti hampir sebulan di Pakistan, baru-baru ini, kini tiada lagi dan lebih menyedihkan dia ditimpa malang ketika umat Islam menyambut Awal Muharram,” kata Bakhtnazir Muntazir, 26, rakan mangsa bunuh di Ladang Kepala Sawit Kelan di sini, kira-kira jam 9.40 pagi, semalam.

Sebelum ini, mangsa dikatakan hilang sejak petang kelmarin sebelum mayatnya ditemui orang ramai dengan beberapa kesan tetakan di kepala, muka dan tangan.


Bakhtnazir berkata, dia dan beberapa rakan mengenali Muzamil Shah, 30-an, sejak lebih tiga tahun lalu dan selepas mendapati dia tidak pulang ke rumah sewanya di Taman Layang-layang dekat sini, mereka cuba menghubungi telefon bimbitnya sejak petang kelmarin namun tidak berjawab.

“Kami bukannya rakan serumah, sebaliknya rumah sewa kami di taman sama dan bertemu setiap hari. Jika ada kelapangan dia bertandang ke rumah kami untuk menghabiskan masa.


“Sejak kehilangannya itu, kami berusaha menghubunginya, namun telefon bimbit tidak dijawab menyebabkan saya dan beberapa rakan berusaha mengesannya di beberapa kawasan berhampiran,” katanya.


Menurutnya, mereka terkejut apabila seorang rakan menelefon memberitahu menemui mayat Muzamil dengan tubuhnya berlumuran darah di sebuah ladang kelapa sawit sejauh kira-kira 40 kilometer dari rumah sewanya.

Katanya, lokasi itu adalah tempat kebiasaan Muzamil menjual makanan dan minuman ringan, namun terkejut dia terbunuh di lokasi berkenaan.


“Kali terakhir saya bertemu Muzamil ketika kami solat Jumaat namun dia tidak menunjukkan sebarang perubahan cuma beria-ia berkongsi kegembiraan selepas menemui isteri dan dua anaknya di Pakistan, baru-baru ini.

“Malah dia juga seperti biasa berbual mesra dan menyatakan tidak mengalami sebarang masalah berkaitan perniagaan dijalankan,” katanya.


Bakhtanazir berkata, sebagai rakan karib, dia terkilan dan kecewa dengan kejadian menimpa mangsa kerana Muzamil mulia dan gemar membantu rakan.


“Biasanya Muzamil akan pulang ke rumahnya sekitar jam 6 petang, namun pada hari kejadian rakan serumahnya menghubungi saya dan kami cuba mencarinya di beberapa lokasi termasuk ladang kelapa sawit terbabit kerana lelaki itu selalu menjual minuman di sana,” katanya.

myMetro | ‘Tak sangka rakan jadi mangsa bunuh’:

'via Blog this'

Ibu lemas, anak hilang

SEMPORNA: “Selepas bertolak beberapa minit, enjin feri tiba-tiba mati dan beberapa saat kemudian feri mula dimasuki air,” kata Rusmi Abdul Absani, 45, abang kepada Hajarah Kadin, 40, yang lemas selepas feri membawa muatan barang dan kenderaan dinaiki mereka karam di Sungai Lihak-Lihak, Semporna, di sini, petang kelmarin.

Akibat kejadian kira-kira jam 5.41 petang itu, Hajarah disahkan meninggal dunia selepas mayatnya ditemui enam kilometer dari tempat kejadian kira-kira jam 11.20 pagi semalam oleh penduduk kampung manakala anaknya, Mohammad Nawi Nunhti, 14, masih belum ditemui sehingga jam 6 petang semalam. Ketika kejadian, feri kayu itu membawa sebuah kereta dinaiki empat penumpang dan lori dengan tiga penumpang termasuk kedua-dua mangsa, selain empat pekerja yang mengendalikannya.


Menceritakan kejadian, Rusmi berkata, ketika itu mereka dalam perjalanan pulang ke kampung di Pulau Lihak-lihak dengan menaiki feri yang menjadi perhubungan utama penduduk setempat ke kampung itu.

“Ketika kejadian, keadaan di atas feri kelam-kabut apabila ia mula dinaiki air selepas enjin mati cara tiba-tiba. Ketika itu saya gelisah dan meminta adik serta anaknya supaya keluar daripada lori yang kami naiki untuk menyelamatkan diri.


“Apabila feri mula karam, lori kami terbalik dan beberapa penumpang serta pengendali feri mula terjun menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Rusmi berkata, dia bernasib baik kerana tersangkut pada dahan kayu di tebing sungai dan perlahan-lahan naik ke tebing sungai.

“Ketika itu saya mencari Hajarah dan anaknya kerana saya ingat dia sudah sampai ke tepi tebing, namun gagal menemuinya.


“Saya kemudian menghubungi suaminya yang menghadiri kursus di Keningau untuk memaklumkan berkenaan kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semporna, Mohd Razali Awang Ahmad, berkata mayat Hajarah ditemui kira-kira jam 11.20 pagi oleh penduduk kampung yang membantu gerakan mencari.


“Kami dimaklumkan mengenai kejadian jam 5.41 petang semalam (kelmarin) dan 10 anggota bomba terbabit dalam operasi mencari dengan kita berjaya menemui mayat mangsa kira-kira enam kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.


“Mayat mangsa dalam keadaan sempurna dengan jenazah kemudian dihantar ke Hospital Semporna, sementara anak lelaki mangsa, Mohd Nawi belum ditemui dan operasi sedang giat dijalankan,” katanya ketika dihubungi, di sini.

myMetro | Ibu lemas, anak hilang:

'via Blog this'

Kereta, RM10,000 lesap selepas ‘dilanggar’ 4 lelaki

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki kehilangan kereta Honda Accord miliknya dan wang tunai RM10,000 apabila menjadi mangsa empat lelaki yang menggunakan taktik ‘langgar dan rompak’ berhampiran lebuh raya Smart menghala ke pusat bandar, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, kumpulan penjenayah terbabit ‘berlakon’ seolah-olah terlanggar bahagian belakang kereta milik, menyebabkan mangsa memberhentikan kereta sebelum dia dirompak dan keretanya dilarikan.


Sebelum kejadian, penjenayah terbabit dipercayai mengekori mangsa berusia 28 tahun yang ketika itu memandu berseorangan dari Kuchai Lama menuju ke pusat bandar.

“Sebaik saja mangsa memberhentikan keretanya selepas dilanggar, seorang lelaki datang ke arahnya dan mengetuk cermin kereta sambil meminta maaf kerana terlanggar kereta mangsa.


“Mangsa kemudian berbincang dengan suspek bagi menyelesaikan masalah itu sebelum tiga lelaki yang berada di dalam kereta suspek keluar dan menolak mangsa sehingga terjatuh,” katanya.


Menurutnya, dua daripada penjenayah terbabit kemudian masuk ke dalam kereta mangsa dan terus memecut laju dan meninggalkan mangsa terpinga-pinga.

Mangsa kemudian datang ke Balai Polis Sungai Besi untuk membuat laporan berhubung kejadian itu sebelum kes dirujuk semula ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickflelds.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickflelds, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

myMetro | Kereta, RM10,000 lesap selepas ‘dilanggar’ 4 lelaki:

'via Blog this'

Rebah ditembak di pekan Danok

ALOR SETAR: Seorang lelaki rakyat Malaysia nyaris maut selepas ditembak ketika meletakkan keretanya berhampiran dengan sebuah pusat karaoke di pekan pekan Danok, Thailand.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd Aini Atan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi Jumaat lalu itu dan mangsa dikenali sebagai Iskandar Abd Hamid, 52, berasal dari Perlis.


Menurutnya, mangsa dihantar ke hospital kerajaan di Haytai oleh rakannya yang turut berada di tempat kejadian dan keadaannya dilaporkan stabil.

“Mangsa ditembak di bahagian bahu oleh suspek yang tidak dikenali. Mangsa tidak tahu sama ada suspek menaiki kenderaan atau tidak kerana kejadian itu berlaku terlalu pantas.


“Ketika kejadian itu, mangsa bersama dua rakannya hendak meletakkan keretanya berhampiran dengan pusat karaoke di pekan ini. Apabila mangsa dan rakannya keluar dari kereta, dia terus ditembak secara tiba-tiba menyebabkan mangsa rebah,” katanya, semalam.


Beliau berkata, laporan polis sudah dibuat mengenai kejadian itu di Balai Polis Danok dan kes berkenaan sedang disiasat.

“Keadaan mangsa kini stabil dan sudah menjalani pembedahan di hospital berkenaan sejurus selepas dimasukkan ke hospital.


“Mangsa boleh bercakap tetapi masih lemah. Doktor menasihatkan mangsa supaya mendapatkan rawatan di hospital berkenaan dua atau tiga hari lagi sehingga keadaannya sembuh.

“Pejabat konsulat juga sudah memaklumkan kejadian itu kepada keluarga mangsa di Perlis,” katanya.


Mohd Aini berkata, kawan-kawan mangsa yang berada di situ juga tidak mengetahui suspek yang menembak mangsa kerana kejadian terlalu pantas.


“Kes ini sudah diserahkan Polis Danok dan mereka sedang menyiasat punca kejadian,” katanya.


Pada 30 Oktober lalu, seorang lelaki rakyat Malaysia cedera parah akibat ditikam di dada dan belakang badannya oleh seorang lelaki dipercayai penduduk tempatan di Danok, Thailand, dipercayai angkara cemburu.


Difahamkan, perkenalan mangsa dengan seorang gadis berusia 20-an menimbulkan rasa cemburu kepada suspek yang mendakwa dirinya sebagai teman lelaki wanita berkenaan.


Akibatnya, mangsa dikenali sebagai Mohd Kamal Pram Abdul Ghulam Hazrat, 30, ditikam dua kali selepas berlaku pertengkaran antara mereka dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam.


Mangsa masih ditempatkan di Hospital Nagarind, Hatyai (HNH) kerana keadaannya masih belum pulih.

myMetro | Rebah ditembak di pekan Danok:

'via Blog this'

‘Sedar-sedar parang dah ada di leher’

REMBAU: “Kami sekeluarga yang tidur nyenyak di bilik tidak mendengar bunyi bising seolah-olah dipukau sedangkan tombol pintu bilik anak lelaki saya dipecahkan menggunakan tong gas.

“Sejurus tersedar, saya terkejut melihat parang berada di leher dan berasakan nyawa bagaikan berada di hujung tanduk,” kata Raja Mahadzir Raja Khalid, 55.


Rumahnya di Kampung Titian Akar, di sini, dipecah masuk sekumpulan lelaki awal pagi semalam. Sebelum ini, rumah seorang ibu tunggal di Kampung Sawah Raja berhampiran dipecah masuk dipercayai penjenayah sama, baru-baru ini.

Menceritakan detik cemas jam 4 pagi itu, Raja Mahadzir berkata, empat lelaki dipercayai warga asing melarikan wang tunai lebih RM2,000 termasuk barang kemas, jam tangan berjenama, kamera dan telefon bimbit.


Menurutnya, dia dan isteri terperanjat apabila mendapati dua lelaki berada di sisi katil dan meminta mereka mendiamkan diri serta menunjukkan tempat simpanan wang dan barang kemas.


“Selepas lelaki itu menyelongkar laci almari solek, mereka mengikat kaki dan tangan kami menggunakan tuala isteri yang dipotong menggunakan parang.

“Ketika itu, anak kami turut diikat dua lagi rakan mereka yang menyelongkar bilik berasingan,” katanya.


Raja Mahadzir berkata, keempat-empat lelaki itu berada di dalam rumahnya kira-kira 30 minit sebelum melarikan diri melalui pintu belakang. “Saya kemudian segera membuka ikatan dan menghubungi polis. Selepas kejadian, saya menjumpai longgokan najis di bawah ampaian belakang rumah dipercayai najis penjenayah berkenaan,” katanya yang mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM10,000.

Katanya, berdasarkan dialek penjenayah itu, dia tidak menolak kemungkinan mereka warga asing.


“Saya berharap penjenayah terbabit diberkas secepat mungkin supaya kejadian seumpama itu tidak berulang,” katanya yang masih trauma. Beliau membuat laporan di Balai Polis Kota untuk tindakan selanjutnya.

myMetro | ‘Sedar-sedar parang dah ada di leher’:

'via Blog this'

Pencuri parah motor terbabas

PERMAISURI: Panik akibat dikejar pemilik motosikal yang cuba dicuri, seorang lelaki parah di muka dan badan manakala rakannya sempat meloloskan diri selepas motosikal ditunggang mereka terbabas dalam kejadian di Kampung Fikri, di sini, kelmarin.

Dua lelaki itu dikatakan sedang meleraikan komponen sebuah motosikal yang diletakkan di luar sebuah rumah di kampung berkenaan sebelum perbuatan mereka disedari pemilik kenderaan itu yang juga tuan rumah terbabit, Halim Yunus, 34, selepas terdengar bunyi bising di luar kediamannya jam 8 malam.


Menyedari perbuatan mereka disedari, kedua-dua suspek melarikan diri menggunakan sebuah motosikal lain manakala Halim mengejar mereka dengan keretanya.

Bagaimanapun, kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian, suspek gagal mengawal motosikal lalu terbabas dan terjunam ke dalam parit menyebabkan seorang daripadanya parah di muka dan badan manakala rakannya melarikan diri.


Halim memaklumkan kejadian itu kepada penduduk kampung yang secara kebetulan berada di situ, tetapi usaha mereka mengesan suspek yang melarikan diri gagal.


Menurutnya, kejadian berlaku ketika dia dan keluarga berehat di rumah sebelum terdengar bunyi seperti benda jatuh di luar kediamannya.

“Apabila membuka pintu, saya ternampak dua lelaki sedang meleraikan komponen motosikal milik saya.


“Mereka yang terkejut melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal dan saya bersama anak lelaki mengejar menggunakan kereta sebelum motosikal ditunggang kedua-dua lelaki itu terbabas dan terjunam ke dalam parit satu kilometer dari rumah saya.

Difahamkan suspek yang cedera berusia 20-an dan berasal dari Kampung Apal, Besut.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Rohaizat Ab Ani yang dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan mengenai kejadian itu.

myMetro | Pencuri parah motor terbabas:

'via Blog this'

Restoran meletup

MUSNAH...restoran yang terbakar, semalam.
MUSNAH...restoran yang terbakar, semalam.

KUALA LUMPUR: Sebuah restoran di pusat beli-belah Maju Junction di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, musnah dalam letupan dan kebakaran yang dipercayai berpunca daripada kebocoran saluran gas di dapurnya lewat malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.20 malam itu, letupan gas dan kebakaran restoran berkenaan di tingkat bawah pusat beli-belah berkenaan turut mengakibatkan beberapa premis berhampiran rosak, namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.


Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 11.25 malam dan setibanya di tempat kejadian api sudah marak dari bahagian dalam restoran.

“Ketika kejadian semua pekerja selesai bertugas kira-kira 20 minit sebelum letupan berlaku. Siasatan awal mendapati ia berpunca dari kebocoran gas yang kemudian menjadi mampat akibat terkepung di dalam restoran berkenaan sebelum meletup dan menyebabkan kebakaran.


“Api marak dengan cepat, namun berjaya dikawal daripada merebak ke premis lain dan dipadamkan sepenuhnya jam 11.45 malam,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Menurutnya, akibat kejadian itu premis berkenaan rosak teruk pada bahagian dinding dan siling serta cermin hadapan pecah hingga bertaburan di atas jalan raya.


“Bomba masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sama ada kebocoran berkenaan berpunca dari kecuaian pekerja atau masalah teknikal sistem saluran gas di premis berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Maju Junction Mall, Albert Khoo, dalam satu kenyataan, di sini, semalam, mengesahkan kejadian letupan dan kebakaran itu.


“Restoran terbabit rosak keseluruhannya dan setakat ini siasatan masih dijalankan pihak bomba dan polis bagi mengenal pasti punca letupan berkenaan.

“Tiada kecederaan dilaporkan dan berikutan itu, Maju Junction ditutup hari ini (semalam) dan beroperasi seperti biasa esok (hari ini),” katanya.


Menurutnya, kejadian letupan itu pertama kali berlaku di pusat beli-belah berkenaan sejak dibuka pada 2002 dan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan lagi selepas siasatan daripada pihak berkuasa selesai.

myMetro | Restoran meletup:

'via Blog this'