JOHOR BAHRU 25 Nov. - Kurang 24 jam melarikan dua buah treler berisi muatan biji plastik bernilai RM167,400, polis berjaya menahan lapan suspek terlibat termasuk dua wanita di Kulaijaya di sini, pada 11 November lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff, kesemua suspek yang berusia 27 hingga 56 tahun itu ditahan di kawasan perindustrian Senai di sini, hasil maklumat seorang mangsa samun.
Menurutnya, mangsa yang merupakan warga Indonesia itu disamun dan diikat tiga lelaki di sebuah bengkel di Jalan Gunung Pulai, Kulaijaya, sebelum suspek melarikan dua treler berisi biji plastik.
"Polis yang menerima laporan menubuhkan satu pasukan khas bagi menjejaki kumpulan berkenaan dan dalam tempoh 24 jam berjaya ditumpaskan.
"Hasilnya, polis menemui satu kepala lori, dua treler dan 77 guni berisi biji plastik yang digunakan dalam pembuatan barangan plastik, serta wang tunai RM6,800," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati kesemua suspek yang direman sehingga 30 November ini tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Katanya, polis memburu tiga lagi ahli kumpulan tersebut yang masih bebas bagi siasatan kes mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.
Katanya lagi, mereka yang dicari ialah A. Devendran atau Jagen, 27, beralamat di 55, Jalan Nilam 10, Taman Datuk Yahya Saban, Ulu Tiram; Teo Lee Bak yang juga dikenali sebagai Uncle atau Allen, 51, beralamat di 81, Jalan Riang 4, Taman Gembira, di sini dan Pang Young Woei yang juga dikenali sebagai John atau Awei, 33, beralamat di 10-M Kampung Paya Pulai, Segamat.
Dalam perkembangan lain, katanya, polis menahan empat lelaki rakyat Myanmar yang disyaki terlibat dalam satu kes pembunuhan membabitkan lelaki senegaranya di Taman Senai Baru, Senai di sini 22 November lalu.
"Semua mereka ditahan kerana dipercayai terbabit dalam pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki Myanmar dan Nepal. Mangsa cedera parah dan meninggal dunia di hospital.
"Keempat-empat lelaki yang berusia 21 hingga 30 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian pukul 11.45 malam itu direman sehingga 30 November ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," ujarnya.
'via Blog this'