Search This Blog

Friday, November 25, 2011

Lapan Ditahan Kes Larikan Treler


JOHOR BAHARU: Polis menahan lapan orang yang dipercayai terbabit dalam kes melarikan dua treler berisi muatan biji plastik bernilai lebih RM167,000 di Jalan Gunung Pulai, Kulaijaya, dua minggu lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata semua suspek termasuk dua wanita yang berumur antara 27 dan 56 tahun itu ditahan di kawasan perindustrian Senai dalam tempoh 24 jam selepas kejadian.

"Polis menjejaki mereka sebaik menerima laporan pada 12.30 malam, 11 November lepas dari seorang lelaki rakyat Indonesia yang menyatakan disamun tiga lelaki di sebuah bengkel.

"Lelaki itu mendakwa telah diikat dan suspek melarikan dua treler berisi muatan biji plastik bernilai RM167,348," katanya kepada pemberita, di sini Jumaat.

Katanya polis juga menemui barangan yang disamun termasuk satu kepala lori, dua treler dan 77 guni berisi biji plastik yang digunakan dalam pembuatan barangan plastik, serta wang tunai RM6,800.

Kesemua mereka yang tidak mempunyai rekod jenayah kini direman sehingga 30 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, katanya menambah polis juga sedang mengesan tiga lagi individu bagi membantu siasatan.

Mereka ialah A.Devendran atau 'Jagen', 27, beralamat di 55, Jalan Nilam 10, Taman Datuk Yahya Saban, Ulu Tiram; Teo Lee Bak yang juga dikenali sebagai 'Uncle' atau 'Allen', 51, beralamat di 81, Jalan Riang 4, Taman Gembira, di sini, dan Pang Young Woei atau 'John' atau 'Awei', 33, beralamat di 10-M Kampung Paya Pulai, Segamat.

Sementara itu, Mohd Mokhtar berkata polis menahan empat lelaki Myanmar yang dipercayai terlibat dalam satu kes pembunuhan, susulan pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki warga Myanmar dan Nepal, di Taman Senai Baru, Senai, di sini, dua hari lepas.

Katanya pergaduhan itu berlaku kira-kira pukul 11.45 malam dan menyebabkan seorang lelaki warga Myanmar mendapat kecederaan parah di kepala sebelum meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah, di sini.

Katanya keempat-empat lelaki berumur 21 dan 30 tahun itu direman sehingga 30 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

mStar Online : Lapan Ditahan Kes Larikan Treler:

'via Blog this'

417 Kes Demam Denggi Dilaporkan


PUTRAJAYA: Sebanyak 417 kes demam denggi tanpa kes kematian dilaporkan pada minggu ke-46 dari 13 hingga 19 November lepas, iaitu meningkat sebanyak 50 kes berbanding 367 kes dengan satu kematian yang dicatat pada minggu sebelum itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman berkata jumlah kes untuk minggu ke-46 itu menunjukkan jumlah tertinggi yang dilaporkan sejak 19 minggu lepas, katanya dalam satu kenyataan di sini Jumaat.

Beliau berkata pada minggu ke-46 itu, 11 negeri menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelum itu dengan Pulau Pinang menjadi negeri yang menunjukkan peningkatan kes selama empat minggu berturut-turut manakala kes di Selangor meningkat tiga minggu berturut-turut.

Menurutnya kes denggi di Kedah meningkat daripada lapan kepada 20 kes, Selangor daripada 150 kepada 160 kes, Johor daripada 16 kepada 24 kes, Terengganu daripada sembilan kepada 16 kes, Perak daripada 35 kepada 42 kes dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya daripada 48 kepada 55 kes.

Di Melaka ia meningkat daripada tujuh kepada 13 kes, Pulau Pinang daripada 16 kepada 20 kes, Perlis daripada satu kepada empat kes, Negeri Sembilan daripada 11 kepada 14 kes dan Wilayah Persekutuan Labuan yang tiada kes demam denggi pada minggu terdahulu mencatat dua kes pada minggu ke-46.

Dr Hasan berkata sebanyak 65 lokaliti wabak denggi dipantau di seluruh negara dengan lima lokaliti 'hot spot' ditemui iaitu di Projek Perumahan Rakyat(PPR) Desa Tun Razak di Cheras, Flat Taman Gembira di Klang Lama, Seksyen 2 Wangsa Maju (Menara Alpha Kondo) di Setapak, Taman Sri Petaling di Klang Lama serta di Seksyen 35 (Teres B Alam Impian) di Klang.

Beliau berkata sebanyak 62 kes dilaporkan berlaku di lima lokaliti panas itu. Sehubungan itu beliau menggesa masyarakat supaya memberi kerjasama dengan meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit seminggu untuk memeriksa dan menghapuskan tempat pembiakan Aedes di sekitar rumah masing-masing.

Katanya pemimpin masyarakat setempat juga diminta memainkan peranan lebih aktif bagi menggerakkan aktiviti gotong-royong di kawasan masing-masing, terutama di kawasan yang mengalami kes denggi.

"Sempena musim cuti persekolahan ini, orang ramai perlu memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk Aedes di dalam dan luar rumah mereka jika meninggalkan rumah melebihi seminggu," katanya. - BERNAMA

mStar Online : 417 Kes Demam Denggi Dilaporkan:

'via Blog this'

Tiga Lelaki Ditahan Selepas Samun Kafe Internet


KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga lelaki yang lima jam sebelum itu disyaki merompak sebuah kafe internet di Brickfields 17 November lepas.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berkata ketiga-tiga lelaki berusia antara 21 dan 22 tahun ditahan pada pukul 6.30 pagi di kawasan letak kereta sebuah stesen minyak di Bukit Jalil.

"Hasil pemeriksaan dalam sebuah kereta, polis menemui sepucuk pistol mainan berwarna hitam bersama dua bilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian samun itu," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Beliau berkata polis turut menemui 13 telefon bimbit, seutas rantai emas, beberapa dompet, serangkai kunci kereta, Global Positioning System (GPS) dan wang tunai berjumlah RM1,054 yang dipercayai hasil samun di beberapa lokasi.

Mohan berkata ketiga-tiga suspek dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 17 kes samun dan ragut di kawasan Cheras dan Brickfields.

Dalam satu kejadian lain, seorang lelaki berusia 28 tahun cedera ditikam di dada dan kaki dipercayai akibat cemburu ketika berada di sebuah restoran di Taman Midah di sini, Khamis.

Mohan berkata dalam kejadian pada pukul 8.45 pagi itu, mangsa diserang seorang lelaki dan hasil maklumat awam, polis menahan suspek berusia 33 tahun di sebuah restoran lain berhampiran lokasi kejadian dan merampas pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

"Hasil siasatan mendapati motif kejadian berpunca dari cemburu apabila teman wanita suspek didapati pernah keluar bersama mangsa," katanya. - BERNAMA

mStar Online : Tiga Lelaki Ditahan Selepas Samun Kafe Internet:

'via Blog this'

Warga Emas Maut Dilanggar Bas


TAWAU: Seorang lelaki warga emas maut apabila dilanggar oleh sebuah bas yang sedang mengundur di Kilometer 12.8 di sini Jumaat.

L Ching Kai, 81, cedera di kepala dan mati di tempat kejadian.

Katua Polis Daerah Tawau, ACP Ibrahim Chin berkata ketika kejadian pada pukul 8.30 pagi itu, Lo yang baru membeli surat khabar dikatakan berada di belakang bas itu untuk ke seberang jalan bagi mengambil keretanya.

"Pemandu bas tidak menyedari warga emas itu berada di belakang basnya apabila dia mengundurkan bas," katanya.

Ibrahim berkata pemandu bas berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut. - BERNAMA

mStar Online : Warga Emas Maut Dilanggar Bas:

'via Blog this'

Bekas Pegawai Polis Dipenjara, Penjara


KUALA LUMPUR: Seorang bekas pegawai polis berpangkat ASP dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan didenda RM105,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan rasuah melibatkan RM21,000 tiga tahun lepas.

Hakim Rozilah Salleh membuat keputusan itu terhadap Abdul Jalil Johari selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

"Selepas meneliti keterangan saksi-saksi pembelaan termasuk tertuduh, mahkamah mendapati pembelaan tertuduh tidak berasas dan tidak boleh dipercayai dan tertuduh didapati bersalah selepas saksi yang dikemukakan gagal mempengaruhi dan meyakinkan mahkamah," katanya.

Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM30,000, atau lima bulan penjara terhadap Abdul Jalil jika dia gagal membayar denda, manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM75,000, atau lapan bulan penjara jika dia gagal membayar denda.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman bagi kedua-dua pertuduhan berjalan secara serentak mulai hari ini.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi, dan jaminan terhadap tertuduh dinaikkan daripada RM10,000 kepada RM20,000.Mengikut pertuduhan, Abdul Jalil, 56, yang sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh, dituduh bersetuju menerima RM6,000 daripada Ketua Pegawai Eksekutif SPK Technology, Rio Kamal Yuhya Sharifuddin, sebagai dorongan untuk menarik balik tiga pertuduhan yang dihadapi anak perempuan Rio Kamal Yuhya, Rio Elani, yang didakwa mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Gallery Lounge, Hotel Dynasty, Jalan Ipoh di sini pada 11.30 malam, 1 April 2008.Bagi pertuduhan kedua, Abdul Jalil didakwa cuba memperoleh wang suapan RM15,000 daripada Rio Kamal Yuhya melalui perbualan telefon bagi tujuan yang sama pada 9.30 malam, 21 Mac 2008.

Kedua-dua pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 11(a) dan Seksyen 10(a)(bb)Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi.

Seramai 23 saksi dikemukakan pegawai pendakwa daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ali Akhbar Mohd Noor, manakala peguam Gurbachan Singh memanggil dua saksi pembelaan. - BERNAMA

mStar Online : Bekas Pegawai Polis Dipenjara, Penjara:

'via Blog this'

Cahaya Baru ‘banjir termenung’

BATU PAHAT: Penduduk Cahaya Baru dekat Ayer Hitam di sini, berdepan situasi 'banjir termenung' apabila bencana alam yang menenggelamkan kawasan sekitar rumah mereka sejak sebulan lalu, masih belum surut hingga kini.

Banjir sedalam kira-kira 0.5 meter yang mengenang rumah penduduk menyebabkan mereka terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing dan menghuni pusat pemindahan demi keselamatan keluarga.
Bagai jatuh ditimpa tangga, apabila banjir yang bermula sejak petang 23 Oktober lalu itu tidak menunjukkan tanda akan reda, rumah yang ditinggalkan mangsa banjir pula menjadi sasaran pencerobohan monyet liar yang merosakkan bumbung dan barangan dalam rumah.
Banjir yang tidak surut itu menyebabkan keluarga Ghozali Mat Rejab, 46, bersama isteri, Roseyati Ismun, 41, bersama lima anak berusia dua bulan hingga 10 tahun itu, terpaksa menjadikan balai raya kampung itu sebagai tempat berlindung.

Ghozali yang bekerja sendiri, berkata tambah menyedihkan ketika mereka sekeluarga terpaksa meninggalkan rumah dan berpindah ke balai raya itu dalam keadaan isterinya masih berpantang kerana baru melahirkan anak bongsu yang kini berusia hampir dua bulan.

“Hari ini genap sebulan keluarga saya menumpang di balai raya kampung sejak banjir termenung melanda rumah ekoran aliran air Sungai Sembrong yang tersumbat dan tohor.

“Saya sekeluarga sudah tidak berdaya memikirkan nasib kami sekeluarga apatah lagi pendapatan hanya RM600 sebulan hasil kerja kampung, mana mungkin saya menampung perbelanjaan membaiki rumah kami yang rosak teruk. Banjir ini menjejaskan pendapatan saya yang bergantung kepada kerja membersih kebun dan mengambil upah memotong buah sawit milik penduduk.
“Lebih menyedihkan, banjir besar yang dijangka melanda kawasan ini tidak lama lagi menyebabkan kami mungkin terpaksa melupakan terus hasrat untuk pulang ke rumah sendiri dalam waktu terdekat," katanya ketika ditemui pulang ke rumahnya untuk meninjau keadaan rumahnya yang digenangi banjir termenung.

Ghozali berkata, arahan supaya beliau sekeluarga berpindah ke pusat penempatan sementara adalah perkara biasa setiap kali tiba musim hujan tetapi sebelum ini pemindahan mereka biasanya tidak lebih dua minggu kerana banjir cepat surut.

Keluarganya bersama tiga lagi keluarga membabitkan 22 penduduk itu ditempatkan di balai raya kampung berkenaan selepas hujan lebat yang turun sejak Jumaat lalu menenggelamkan empat rumah penduduk di Kampung Cahaya Baru dan Kampung Sawah Sagil, Ayer Hitam, dekat sini.

Ghozali merayu agar kerajaan negeri dan pihak berkuasa membantu meringankan masalah keluarga penduduk terjejas khususnya bagi membaiki keadaan rumah masing-masing yang rosak akibat bencana alam itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semarang, Datuk Samsol Bari Jamali, berkata banjir melanda empat rumah penduduk Kampung Cahaya Baru dan Kampung Sawah Sagil dekat Ayer Hitam itu, berlaku secara tiba-tiba dan di luar jangkaan dikeluarkan Jabatan Metereologi, yang menjangkakan banjir di Johor bermula akhir Januari hingga Februari depan.

“Banjir secara tiba-tiba itu menyebabkan kerja pembersihan dan mendalamkan sungai dijalankan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah di Sungai Sembrong, depan Kampung Sawah, Sagil dan Kampung Cahaya Baru terpaksa dihentikan, ” katanya.
Berita Harian Online | Cahaya Baru ‘banjir termenung’:

'via Blog this'

Bekas Adun dapat ganti rugi RM400,000


Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : November 24, 2011

SHAH ALAM – Dua bekas wartawan Malay Mail dan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), diperintah membayar ganti rugi RM400,000 kepada Mohd Sharif Jajang selepas didakwa menyiarkan artikel fitnah terhadap bekas Adun Dengkil itu.

Hakim, Datuk Zaleha Yusof mem­buat keputusan itu, setelah saksi-saksi mewakili defendan, iaitu Hasnita Shaari, Ahirudin Attan dan NSTP, gagal hadir memberi keterangan.

Zaleha berkata, kandungan artikel disiarkan dalam akhbar tersebut mengan­dungi unsur fitnah bertujuan mencemar maruah Mohd Sharif selaku pemimpin.

Pada 2007, Mohd Sharif, menerusi Tetuan Hazizah & Co, melalui peguam Hazizah Kassim, memfailkan saman fitnah terhadap Hasnita, Ahirudin dan NSTP kerana mengeluarkan satu artikel bertajuk “Alleged RM237 Million Land Scam In Dengkil, Adun cheated us of Our Land” pada 17 Julai 2003.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Mohd Sharif menyatakan perbuatan tersebut jelas memberi kenyataan secara palsu dan berniat jahat kerana memperedarkan atau mencetak perkataan fitnah terhadapnya.

Mohd Sharif berkata, beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi dalam projek usaha sama memajukan 129 bidang tanah milik peserta Felcra di Bukit Changgang II dan III.

Beliau mendakwa, keseluruhan kan­dungan artikel tersebut jelas menunjukkan yang beliau seorang jahat dan sanggup menggunakan kedudukan untuk mempengaruhi peserta Felcra di Bukit Changgang II dan III supaya menyertai projek tersebut.

Dakwaannya, peguam yang dilantik adalah sebagai pemegang simpanan Sebati Budi Sdn Bhd yang mana mereka akan menyimpan semua hak milik peserta Felcra yang terlibat dalam projek tersebut bukan untuk tujuan lain.

Sementara itu, Mohd Sharif, 67, ketika ditemui berkata, beliau gembira dan secara tidak langsung dapat membersih­kan nama baiknya.

Bekas Adun dapat ganti rugi RM400,000 - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Masalah keluarga punca gadis hilang


Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : November 24, 2011

SHAH ALAM – Bukan diculik, tetapi masalah keluarga dipercayai punca kehilangan seorang gadis, Shirra Alissa Choo George, 19, yang gagal dihubungi sejak keluar rumah di Taman Bukit Indah, Ampang, 14 November lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, polis percaya gadis tersebut tidak diculik kerana keluarganya setakat ini tidak menerima sebarang panggilan ugutan mahupun permintaan wang tebusan.

“Siasatan kes tersebut masih dijalankan dan sehingga kini polis sudah merakam percakapan lapan individu. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan,” katanya ketika di temui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Selangor, semalam.

Dalam pada itu katanya, beliau menafikan laporan sebuah akhbar yang mengatakan Shirra Alissa dilarikan tiga lelaki menaiki sebuah kereta. Penuntut kolej di ibu negara itu dikatakan menghubungi ibunya sebelum dia dikesan hilang. Keluarga gadis itu cuba menghubunginya tetapi gagal dan kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

Kehilangan Shirra Alissa turut mendapat liputan me­luas antaranya di Facebook dan beberapa blog.

Masalah keluarga punca gadis hilang - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Tukang urut dakwa tidak dibayar gaji


Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : November 24, 2011

KUALA LUMPUR - Tiga tukang urut refleksologi warga China di sebuah pusat urut di Lembah Klang mendakwa, tidak dibayar gaji oleh majikan mereka setelah berkhidmat di premis tersebut sejak empat bulan lalu.

Mereka juga mendakwa ditipu oleh majikan tersebut yang sebelum ini menjanjikan gaji RM3,000 sebulan setiap seorang.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, seorang tukang urut lelaki dan dua wanita itu bekerja di rumah urut tersebut melalui tawaran sebuah ejen pekerjaan di China.

“Bagaimanapun, setelah empat bulan bekerja, mereka masih tidak diberikan permit pekerjaan,” katanya pada sidang media di Biro Aduan MCA, di sini, semalam.

Beliau berkata, mangsa mendakwa telah menandatangani kontrak yang dinyatakan akan mendapat gaji RM3,000 setiap bulan.

“Majikan itu gagal menunaikan janji, malah sanggup memotong gaji pekerja berkenaan apabila didapati melakukan kesalahan,” katanya.

Chong berkata, mangsa memaklumkan bahawa majikan tidak akan membayar gaji jika mereka meletakkan jawa­­tan, malah terpaksa membayar pampasan kira-kira RM8,000.

Beliau berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada Kedutaan China di Malaysia dan semua mangsa akan dihantar pulang ke China dalam tempoh terdekat.

Tukang urut dakwa tidak dibayar gaji - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Lelaki maut, kereta bertembung MPV


Oleh : BERNAMA
Tarikh : November 25, 2011

KUANTAN - Seorang lelaki maut selepas kereta yang dinaiki bersama rakannya bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Km 34, Jalan Temerloh Bandar Jengka, dekat Maran semalam.

Mohd Sham Md Saad, 38, dari Jengka 15, yang duduk di sebelah pemandu maut ketika dalam perjalanan ke Hospital Jengka akibat cedera parah di kepala dan badan.

Pegawai Penguatkuasa Tadbir dan Trafik Pahang ASP Zainalabidin Othman berkata dalam kejadian pukul 4.20 petang itu, mangsa dari arah Temerloh menuju ke Bandar Jengka.

"Tiba di tempat kejadian, kereta yang dinaiki mangsa tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan sebelum melanggar besi penghadang jalan.

"Kereta terbabit kemudiannya memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah MPV yang datang dari arah Bandar Jengka," katanya, di sini hari ini.

Zainalabidin berkata pertembungan itu mengakibatkan Mohd Sham tercampak keluar daripada kenderaan yang dinaikinya. Rakan mangsa dan pemandu MPV terbabit hanya cedera ringan, katanya menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) AKta Pengangkutan Jalan 1987.

Lelaki maut, kereta bertembung MPV - Pahang - Sinar Harian:

'via Blog this'

Sepuluh lelaki termasuk tujuh warga asing didakwa edar dadah

Oleh : BERNAMA
Tarikh : November 24, 2011
ALOR SETAR - Sepuluh lelaki termasuk tujuh warganegara asing dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) pada 11 November lepas.

Tertuduh ialah Jean Jupe, 43, dari Perancis, Robertus Cornelis Josephus, 50, (Netherlands), Anthony David Jeeves, 52, (Amsterdam), Robert William Blackwell, 46, (London), Jun Zhang, 37, (China), Giam Cheng Hong, 60, dan See Chee Kiong, 38, (Singapura), Lim Kiam Siong, 39, Ung Chii Ming, 29, dan Lim Khai Sian, 24, dari Alor Setar.

Mereka dituduh mengedar MDMA seberat 3,450 gram dalam satu tong plastik bertutup kira-kira pukul 5 pagi di sebuah premis di No. 55 Jalan Timur Dua Off Jalan Kg Batin Kawasan Perindustrian Mergong Barrage di sini.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(c) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 1986) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan dan semua tertuduh hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Cina dan Bahasa Inggeris. Hanya Ung dan Lim diwakili peguam masing-masing iaitu K.Dev dan Chong Seng Ming, manakala yang lain masih belum melantik peguam. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suzanne a/k Tiyon Bimen. Majistret Nurshahida Abdul Ghani menetapkan 19 Januari tahun hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes dan laporan kimia.
Sepuluh lelaki termasuk tujuh warga asing didakwa edar dadah - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Wartawan wanita di India ditahan berhubung ke bunuh


25/11/2011 4:15pm

NEW DELHI 25 Nov. - Polis Mumbai pada Jumaat menahan seorang wartawan wanita, didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan penjenayah India, berhubung pembunuhan seorang wartawan kanan meja jenayah.

Wartawan yang berpangkalan di Mumbai itu disyaki telah memberikan maklumat penting kepada ketua kumpulan penjenayah itu, dipercayai dalang kes pembunuhan wartawan Jyotirmoy Dey pada 11 Jun.

Dey, 56, wartawan penyiasatan dengan akhbar MidDay, ditembak pada siang hari oleh empat pembunuh yang menunggang motosikal semasa beliau sedang dalam perjalanan pulang ke rumah ibunya di Powai, pinggir bandar Mumbai.

Media tempatan melaporkan wartawan wanita itu telah memberikan nombor pendaftaran motosikal Dey dan alamat rumahnya kepada gangster paling dikehendaki di India, Chhota Rajan.

Pembunuh upahan Rajan disyaki melaksanakan tugas membunuh Dey, yang diketahui telah mendedahkan kegiatan jenayah kumpulan penjenayah India itu sebelum ini.

Tiada butiran lanjut didedahkan mengenai suspek, yang bertugas dengan sebuah akhbar perdana berbahasa Inggeris dan setakat ini polis Mumbai menahan 11 suspek berhubung kes bunuh itu. - Bernama

Utusan Malaysia Online - Terkini:

'via Blog this'

Pengerusi JKKK maut selepas disengat tebuan


MARANG 24 Nov. – Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Hutan Banau, Ghani Mamat maut setelah dipercayai disengat tebuan ketika menolak sebatang pokok kelapa sawit yang tumbang di hadapan rumahnya menggunakan traktor di Kampung Pecah Batu di sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 1 petang itu, Ghani, 58, disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, pukul 5 petang.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Serai dekat sini pukul 11.30 pagi ini.

Menurut isteri mangsa, Siti Yaccob, 53, dia mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan oleh jirannya.

“Arwah menggunakan traktor untuk menolak pokok tumbang, 400 meter dari rumah, namun dikatakan terkena sarang tebuan tanah di situ.

“Setelah diperiksa, ada lima hingga enam kesan gigitan tebuan pada kepala, dada, tangan dan kaki. Tidak lama kemudian arwah rebah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pecah Batu dekat sini, petang ini.

Berikutan itu, jelasnya, dia bersama beberapa anaknya membawa arwah ke Klinik Kesihatan Bukit Payong sebelum dirujuk ke HSNZ untuk rawatan.

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan pemeriksaan doktor bertugas, suaminya meninggal dunia kerana sakit jantung dan sengatan tebuan bukan penyebab utama kematiannya.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

Pelajar hilang ditemui lemas


PASIR MAS 24 Nov. - Seorang pelajar Madrasah Tahfiz Al-Rahmaniah Ad Diniah, Lubuk Tapah yang hilang ketika mandi manda bersama dua rakannya di tali air Lemal di sini petang semalam, ditemui mati lemas, malam tadi.

Mayat Raihan Haslan, 15, yang berasal dari Banting, Selangor, ditemui pukul 11 malam oleh penduduk kampung iaitu selepas operasi mencari dan menyelamat dihentikan kerana cuaca gelap.

Menurut rakan mangsa, Mohamad Rifqi Yusof, 13, dia bersama Raihan dan seorang lagi, Mohd. Ali Amar Zolkornain Mahamud Safri, 14, ke tali air itu untuk mandi pukul 5.30 petang.

Katanya, mereka bertiga menyusuri rel kereta api sejauh kira-kira satu kilometer dari asrama.

"Kelmarin, Raihan dan beberapa rakan lain ada datang mandi di tali air itu tetapi dia datang lagi kerana tidak puas.

"Kali ini, dia (Raihan) bersungguh-sungguh ajak kami berdua walaupun dia kata tidak tahu berenang dan menghidap asma.

"Sejurus sampai, kami terkejut apabila Raihan terus terjun ke dalam air dan terkapai-kapai dan menjerit minta tolong. Mohd. Ali Amar terjun dulu untuk selamatkan Raihan tetapi dia juga hampir lemas," katanya ketika ditemui di Hospital Pasir Mas, di sini hari ini.

Menurutnya, dia kemudian nekad terjun tetapi hanya sempat menarik Mohd. Ali Amar yang turut dibantu tiga penduduk kampung yang kebetulan berada di situ.

"Muka Mohd. Ali Amar biru kerana tertelan air tetapi Raihan pula sudah tidak kelihatan," katanya sambil memberitahu Mohd. Ali Amar masih menerima rawatan lanjut di Hospital Pasir Mas dan keadaannya dilaporkan stabil.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

Guru dibunuh diikat dalam kereta


JOHOR BAHRU 24 Nov. - Seorang guru muzik ditemui mati dalam keadaan ngeri dengan kedua-dua tangan dan lehernya diikat menggunakan kabel di dalam sebuah kereta di Taman Perling, di sini hari ini.

Mangsa, Chiu Khong Min, 31, dijumpai di sebelah tempat duduk pemandu kereta Perodua MyVi berwarna hijau oleh orang awam di Simpang Jalan Undan 12, pukul 7.45 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Supritendan Mohd. Akhir Ishak berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dan suspek dipercayai bergelut sebelum wanita itu dibunuh.

"Terdapat kecederaan di kening kiri mangsa, manakala beberapa kesan calar dan luka pula ditemui di kedua-dua belah tangannya dipercayai kerana bergelut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa dilihat keluar mengajar di Jalan Simbang di kawasan perumahan sama, pukul 2.30 petang semalam dan sejak itu tidak pulang ke rumah.

Mohd. Akhir berkata, polis menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kematian mangsa dan mayatnya telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya sambil meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Supritendan Tan Yang Siong menerusi 012-7076928.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

Suami isteri, cucu maut nahas



Keadaan kereta yang terlibat dalam kemalangan yang mengakibatkan Samsudin Hitam serta isteri dan cucunya maut di Pulau Tiga, Kampung Gajah, Teluk Intan, semalam.


TELUK INTAN 24 Nov. - Setiap kali musim cuti persekolahan, pasangan suami isteri, Samsudin Hitam, 60, dan Daimah Lun, 54, tidak pernah melepaskan peluang membawa cucu dan anak saudaranya yang pulang bercuti untuk bersiar-siar sekitar daerah ini.

Bagaimanapun, hasrat pasangan itu berbuat demikian pada cuti persekolahan kali ini berakhir dengan tragedi apabila kedua-duanya maut dalam kemalangan di Kilometer 16 Jalan Bota-Kampung Gajah di sini, yang turut mengorbankan cucu mereka, Nurul Ayuni Helmi, 6, hari ini.

Anak pasangan itu, Nurul Aimi Samsudin, 14, anak saudara mereka, Nurul Izati Rudy, 3, serta seorang lagi cucu, Mohamad Danial Helmi, 4, yang turut menaiki kenderaan itu dilaporkan hanya cedera ringan.

Dalam kemalangan pukul 4.15 petang itu, Samsudin yang juga orang kelainan upaya (OKU) dan Daimah mati di tempat kejadian, manakala Nurul Ayuni meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Changkat Melintang, dekat sini.

Anggota Bomba dan Penyelamat mengambil masa 40 minit mengeluarkan ketiga-tiga mangsa daripada kenderaan yang terperosok di bawah treler dengan kaki palsu Samsudin tersepit di ruang tempat duduk pemandu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supritendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, kejadian berlaku ketika Samsudin dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Pulau Tiga, dekat sini manakala treler berkenaan menghala ke Bota.

"Kereta Proton Saga yang dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bersebelahan sebelum bertembung dengan sebuah treler yang datang dari arah bertentangan.

"Pelanggaran kuat menyebabkan kereta mangsa terperosok di tayar kanan hadapan treler terbabit," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Mohamad Fakri memberitahu, ketiga-tiga mangsa yang maut cedera parah di kepala, manakala pemandu treler berusia 43 tahun hanya cedera ringan.

Kes itu katanya, disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, anak Samsudin, Mohamad Tarmizi, 26, yang ditemui di hospital itu memberitahu, bapa dan ibunya memang sering membawa cucu serta anak saudaranya bersiar-siar terutamanya pada musim persekolahan.

"Hari ini ayah dan mak dalam perjalanan pulang selepas mengambil Nurul Aimi di Sekolah Menengah Agama Sungai Lampam dan membawa bersama cucu dan anak saudara yang lain sebelum terbabit kemalangan," katanya.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

Anggota polis bersalah terima rasuah dipenjara, denda RM20,000


JOHOR BAHRU 24 Nov. - Seorang anggota polis berpangkat lans koperal dihukum penjara dua tahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah didapati bersalah atas dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM1,180 enam tahun lalu.
Pazir Ismail, 52, didapati bersalah menerima suapan wang tunai RM500 daripada Mat Sebon Tomong, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas lori bernombor pendaftaran TG 3639, BAH 8169 dan ABA 7786 yang tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan perlindungan insurans yang sah.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pondok Polis Aping Timur, Kota Tinggi kira-kira pukul 11.30 pagi, 5 September 2005.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menerima rasuah RM680 daripada Mat Sebon atas alasan serupa terhadap ketiga-tiga lori berkenaan di tempat yang sama kira-kira pukul 3.15 petang, 2 Disember 2005.
Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.
Hakim Madihah Hairullah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan kedua-dua hukuman diperintahkan berjalan serentak.
Menurutnya, sekiranya gagal membayar denda, hukuman pemenjaraan tertuduh boleh dilanjutkan setahun lagi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ridzuan Abd. Malik manakala tertuduh diwakili peguam bela, Khairul Aswad.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

Peguam palsu tipu RM36,900



SUSPEK (kanan) yang menyamar sebagai peguam sehingga berjaya memperdaya dua mangsa dibawa ke Balai Polis Pusat Miri, Sarawak, semalam.


MIRI 24 Nov. – Tembelang seorang lelaki yang menyamar sebagai peguam dan memperdaya dua warga asing mengakibatkan kerugian RM36,900, dua bulan lalu, akhirnya terbongkar apabila suspek ditahan polis, malam semalam.

Kedua-dua mangsa ditipu selepas terdesak mendapatkan ‘perkhidmatan’ suspek untuk menyelesaikan masalah berkaitan permit Imigresen.

Selepas mendapatkan bayaran perkhidmatan itu, peguam palsu berkenaan menghilangkan diri.

Sumber polis berkata, mangsa pertama ialah seorang wanita warga China berusia 40-an yang mahu mendapatkan permit membawa anaknya ke negara ini.

Katanya, mangsa yang terdesak membuat pembayaran RM14,900 selepas terpedaya dengan suspek yang berjanji menyelesaikan perkara itu secepat mungkin.

Kes kedua pula katanya, membabitkan seorang lelaki berusia 30-an yang mahu membebaskan teman wanitanya yang ditahan Jabatan Imigresen minggu lalu selain mendapatkan permit untuk terus menetap di negara ini.

“Mangsa kedua diminta membayar RM22,000 bagi mendapat permit dan melepaskan wanita terbabit daripada tahanan Jabatan Imigresen.

“Seperti kes pertama, suspek memperdaya mangsa membayar wang seperti yang diminta sebelum melarikan diri sehingga menyebabkan mangsa membuat laporan polis,” katanya.

Sumber berkata, bertindak atas maklumat, suspek ditahan di sebuah rumah di Taman Hilltop di sini pukul 8 malam semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Ismail Idris ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini mengesahkan menerima laporan kes berkenaan dan suspek akan ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

Edar dadah 3.45 kilogram



DUA daripada 10 lelaki yang dituduh mengedar dadah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Setar, semalam. – UTUSAN/AHMAD SYAHIR KASSIM


ALOR SETAR 24 Nov. – Pembongkaran sindiket dadah antarabangsa ekoran penemuan makmal dadah di Kawasan Perindustrian Mergong, dua minggu lalu oleh pihak polis berjaya mengheret 10 lelaki termasuk tujuh warga asing ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Kesemua mereka didakwa atas tuduhan mengedar dadah Methylenedioximethamphetamine (MDMA) dengan anggaran berat 3.45 kilogram yang menyebabkan mereka boleh dihukum mati di tali gantung jika sabit kesalahan.

Warga asing tersebut ialah Jean Jupe dari Perancis, Robertus Cornelis Josephus (Belanda), Anthony David Jeeves (Belanda), Jun Zhang (China), See Chee Kiong, Giam Cheng Hong (Singapura) dan Robert William Balckweel (Britain).

Tiga warga tempatan pula terdiri daripada Lim Kiam Siong, 39, Ung Chii Ming, 29, dan Lim Khai Sian, 24.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa telah melakukan perbuatan sebagai persediaan untuk mengedar dadah tersebut dengan anggaran berat 3,450 gram yang terkandung di dalam satu tong plastik bertutup hitam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 5 pagi, 11 November lalu di sebuah premis di alamat No. 55 Jalan Timur Dua Off Jalan Kampung Batin Kawasan Perindustrian Mergong Barage di sini.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(c) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori.

Kesemua tertuduh termasuk warga asing memahami pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa namun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suzanne A/K Tiyon Bimer manakala dua daripada tertuduh-tertuduh terbabit iaitu Kiam Siong dan Chii Ming, masing-masing diwakili oleh peguam Chong Seng Ming dan Dev Kumaraendran.

Majistret Nurshahida Abdul Rahim menetapkan 19 Januari tahun depan sebagai sebutan kes bagi memperoleh ujian kimia dan untuk memberi peluang kepada tertuduh-tertuduh lain melantik peguam.

Akhbar Utusan Malaysia pada 14 November lalu menyiarkan tentang kejayaan pihak polis membongkar sindiket dadah antarabangsa yang didakwa didalangi warga asing di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Mergong dan merampas dadah bernilai RM20 juta.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

Dua kali suntik pelali tapi gagal perkosa

KUCHING: Seorang wanita nekad mempertahankan kesuciannya daripada diragut walaupun dalam keadaan separuh sedar selepas disuntik ubat pelali sebanyak dua kali oleh seorang lelaki yang cuba merogolnya di sebuah panggung wayang mini di Jalan Rubber di sini, Selasa lalu.

Difahamkan, mangsa berusia 25 tahun yang bertugas di sebuah stesen penyiaran di bandar raya ini bersendirian ke tempat kejadian, sebelum tangannya ditarik seorang lelaki dikenali sebaik memasuki pawagam mini itu, kira-kira jam 7.20 malam.


Menurut sumber, suspek menarik mangsa sebelum menyuntiknya dengan ubat pelali menyebabkan wanita berkenaan cuba melawan, namun tidak berdaya.

Katanya, melihat mangsa cuba melawan, suspek bertindak lebih agresif apabila menggunakan kakinya untuk ‘mengikat’ tangan wanita berkenaan sebelum menyuntik kali kedua.


“Suntikan itu menyebabkan mangsa menggigil dan separuh sedar, namun dia menguatkan tenaga untuk melawan suspek yang masih berusaha untuk merogolnya.


“Suspek turut didakwa cuba memeluknya, namun mangsa sekali lagi melawan. Pada masa sama, mangsa beberapa kali ditolak ke atas sofa, namun cubaan suspek melakukan perbuatan keji itu gagal,” katanya.

Suspek keluar dari bilik berkenaan sebelum menghantar mangsa ke pejabatnya.


Sumber berkata, susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Satok di sini, pada petang keesokan hari.

Susulan laporan itu, polis terus memburu dan menahan suspek berusia 28 tahun yang bekerja sebagai kerani pejabat, kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam.


Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan pihaknya menerima laporan dan siasatan masih dijalankan.


Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama kerana cubaan merogol dan suspek direman empat hari bermula semalam.

myMetro | Dua kali suntik pelali tapi gagal perkosa:

'via Blog this'

1,438 dipindah

KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir negeri ini meningkat kepada 1,438 orang membabitkan 361 keluarga di tujuh jajahan akibat hujan lebat berterusan bermula sejak kelmarin.

Tujuh jajahan yang terjejas adalah Bachok, Kuala Krai, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah dan Kota Bharu.


Sehingga jam 6 petang semalam, semua mangsa terbabit dipindahkan ke 28 pusat pemindahan sementara iaitu 12 di Pasir Mas, Kota Bharu dan Tanah Merah (empat), Kuala Krai dan Machang (tiga), Bachok dan Pasir Puteh (satu).

Menurut jurucakap bilik gerakan banjir negeri, daripada jumlah mangsa banjir itu, 644 adalah kanak-kanak.


Katanya, daerah Pasir Mas mencatatkan bilangan mangsa tertinggi iaitu 700 orang, diikuti Kota Bharu (361), Tanah Merah (135), Machang (99), Bachok (62), Kuala Krai (60) dan Pasir Puteh (21).


“Jumlah mangsa banjir meningkat mendadak berbanding semalam (kelmarin) iaitu hanya 290 membabitkan empat jajahan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, lima jalan ditutup untuk semua kenderaan membabitkan daerah Pasir Mas, Machang dan Tanah Merah.


Jalan yang ditutup ialah Jalan Machang-Pangkal Meleret-Wakaf Bata, Machang, Jalan Pohon Tanjung-Meranti, Pohon Tanjung-Rantau Panjang (jalan lama), Jalan Rantau Panjang-Panglima Bayu, Pasir Mas serta Jalan Tanah Merah-Kusial-Kampung Ipoh di Tanah Merah.

Jurucakap Unit Hidrologi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan pula memaklumkan bahawa bacaan paras air di Jambatan Guillemard, Sungai Kelantan dan Sungai Golok di Rantau Panjang melebihi paras bahaya dengan bacaan 16.05 meter (bahaya 16 meter) dan 10.28 meter (9 meter).


Katanya, bacaan Sungai Golok di Jenob pula melebihi paras berjaga-jaga iaitu dengan bacaan 22.37 meter (berjaga-jaga 21.50 meter).


“Bacaan paras Sungai Lebir di Tualang dan Tangga Krai serta Sungai Kelantan di Tambatan Diraja masing-masing melebihi paras amaran dengan 33.76 meter (amaran 31 meter), 24.31 meter (22.50 meter) dan 4.27 meter (4 meter),” katanya.

myMetro | 1,438 dipindah:

'via Blog this'

Tahanan darurat dibebas

KUALA LUMPUR: Seramai 36 tahanan di bawah Ordinan Darurat akan dibebaskan dalam tempoh masa terdekat ini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, pembebasan itu selaras dengan kesungguhan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melaksanakan Program Transformasi Politik (PTP) fasa kedua melalui pembatalan tiga Proklamasi Darurat.


“Polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membebaskan tidak kurang daripada 36 orang tahanan di bawah Ordinan Darurat.

“Ini adalah proses yang berjalan secara berterusan... pada dasarnya ia mengambil masa selama enam bulan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini, semalam.


Pada persidangan Dewan Rakyat semalam, Najib membentangkan usul bagi memansuhkan tiga Proklamasi Darurat yang masih berkuat kuasa hingga kini.


Hishammuddin berkata, tugas KDN bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah untuk memastikan kepentingan nasional dan keselamatan rakyat serta hak asasi menjadi pertimbangan bersama.

“Saya percaya tugas kementerian dan PDRM menerusi PTP akan memberi jaminan bahawa polis dapat memastikan keamanan dan keselamatan rakyat tidak terjejas,” katanya.


Katanya, melalui konteks transformasi itu, semua perhimpunan aman perlu mengambil kira pandangan pihak berkuasa supaya tidak menjejaskan keharmonian serta keselamatan rakyat dan negara.

“Sebab itu dalam kita hendak meniti perubahan sama ada dalam konteks akta keselamatan atau perhimpunan aman, ia perlu mengambil kira pandangan pihak berkuasa supaya negara kita selamat dan tidak huru-hara.


“Saya percaya rakyat dapat menilai keseriusan Perdana Menteri membuat transformasi ini,” katanya. - Bernama

myMetro | Tahanan darurat dibebas:

'via Blog this'

Pecut kereta terjun sungai

KUCHING: Seorang lelaki yang bakal melangsungkan perkahwinan dengan wanita pilihan bulan depan lemas selepas keretanya terhumban ke dalam Sungai Sarawak dalam kejadian berhampiran pangkalan feri bawah Jambatan Satok, malam kelmarin.

Dalam kejadian itu, Zulramond Roslan, 34, dikatakan memandu kereta Perodua Viva berwarna hitam selepas selesai minum bersama dua adiknya.

Menurut adiknya, Dino, 23, selesai minum, arwah dikatakan menelefon seseorang dalam kereta dinaiki namun tidak diketahui dengan siapa dia berbual.

“Lebih kurang jam 8 malam, dia meminta diri untuk pergi. Berapa minit kemudian, saya mendapat tahu, arwah memecut kereta ke sungai berkenaan.


“Saya tidak tahu punca sebenar kerana arwah pernah memberitahu dia merancang mendirikan rumah tangga bersama seorang wanita dari Samarahan bulan depan,” katanya di Wad Kecemasan Hospital Umum Sarawak (HUS) semalam.

myMetro | Pecut kereta terjun sungai:

'via Blog this'

Pelajar nafi tipu majikan RM5,646

SHAH ALAM: Seorang pelajar kolej dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam terhadap tuduhan pecah amanah dengan menipu majikannya untuk mendapat wang komisen RM5,646, bulan lalu.

Farah Waheeda Mohd Mishod, 18, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Norkamilah Aziz.


Mengikut pertuduhan, Farah Waheeda didakwa dengan curangnya menipu Woo Xiao Chuan, 32, hingga wanita itu menyerahkan RM5,646 sebagai tuntutan komisen hasil jualan cermin mata di Seri Optical House, Pasaraya Giant, Jalan Persiaran Sultan, Seksyen 13, di sini antara April 2010 hingga 29 April 2011.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Wong Chai Sia manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Disember ini untuk sebutan semula kes.

myMetro | Pelajar nafi tipu majikan RM5,646:

'via Blog this'