Search This Blog

Thursday, November 24, 2011

25 petani rugi RM1 juta


Oleh : ROSALWANI CHE SOH
Tarikh : November 24, 2011
kelantan

- Seramai 25 petani Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Puteri Saadong, Kampung Padang Terap di sini, terpaksa menanggung kerugian hampir RM1 juta akibat tanaman padi yang diusahakan di tanah seluas 242 hektar musnah ditenggelami banjir sejak dua hari lalu.

Wakil petani, Mustapha Mamat, 54, berkata, tanaman yang diusahakan secara berkumpulan melalui skim Mini Estet Padi (MEP) di bawah PPK itu diusahakan sejak 2002 dan merupakan punca rezeki utama penduduk di kawasan berkenaan.

“Apabila tibanya musim menuai, setiap seorang petani di sini memperoleh hampir RM3,000 daripada hasil tanaman padi yang diusahakan secara berkumpulan.

“Namun bencana banjir yang berlaku pada setiap tahun menyebabkan kami terpaksa menanggung kerugian disebabkan keseluruhan tanaman di sini ditenggelami air,” katanya kepada Sinar Harian.

Mustapha berkata, para petani mengharapkan agar Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) dapat menjalankan siasatan dan datang menjenguk bagi menyelesaikan masalah terbabit.

“Perkara ini pernah diajukan kepada pihak atasan namun bantuan tidak disalurkan secara menyeluruh dan ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan petani.
“Bukan ingin meminta simpati, namun nasib kami yang hanya mengharapkan punca pendapatan daripada hasil tanaman ini harus dibela dan diberi perhatian kerana kami tiada tempat mengadu,” katanya.

Sementara itu, menurut Mohd Nor Taib, 63, dia terpaksa menanggung kerugian berpuluh ribu ringgit akibat banjir di kawasan terbabit.

“Saya harap pihak Kada dapat selesaikan masalah ini dengan segera dan mencari jalan penyelesaian dengan tindakan proaktif. Jika masalah ini dibiarkan, ia akan menimbulkan pelbagai spekulasi dan mengundang rasa marah dalam kalangan petani.

“Kami hanya ingin menegakkan hak kami sebagai petani di sini lagipun mesin menuai padi juga tidak mencukupi dan ia menyebabkan kerja-kerja penuaian tergendala,” katanya.

25 petani rugi RM1 juta - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'

Padah majikan menggaji Pati


Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : November 24, 2011
Padah majikan menggaji Pati

TELUK INTAN - Padah menggaji seorang pendatang asing tanpa izin (Pati), seorang tauke ayam menjadi majikan pertama di daerah ini ditahan reman di bawah Operasi 6P (pendaftaran, pemutihan, pengampunan, pemantauan, penguatkuasaan dan pengusiran) yang dijalankan Jabatan Imigresen Cawangan Teluk Intan, Pasar Besar Teluk Intan, di sini, kelmarin.

Ketua Imigresen Cawangan Teluk Intan, Khairul Anuar Sulaiman berkata, tauke ayam berusia 48 tahun itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56 (1)(d) Akta Imigresen 1959/63 iaitu memberikan perlindungan kepada pendatang asing tanpa izin (Pati).

Menurutnya, wanita warga tempatan itu menggaji seorang lelaki warga Bangladesh berusia 30 tahun yang telah melanggar syarat pas lawatan sementara.

“Warga asing itu memiliki pas lawatan sementara didaftarkan bekerja di sektor pertanian dengan bayaran levi RM410 setahun telah bertindak bekerja di sektor perkhidmatan iaitu berniaga ayam yang levinya sepatutnya dibayar RM1,850 setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pejabat Imigresen Cawangan Teluk Intan, di sini semalam.

Khairul Anuar berkata, perbuatan warga asing itu menyalahi undang-undang yang diperuntukkan mengikut Peraturan 39 (b) Peraturan Imigresen 1963.

“Sepatutnya, warga Bangladesh itu bekerja di bawah perkhidmatan pertanian sepertimana dipohon, namun apa yang menjadi kesalahan Pati ini apabila dia bekerja di bawah sektor perkhidmatan iaitu menjual ayam di Pasar Besar Teluk Intan.

“Majikan yang juga penduduk tempatan ditahan reman sehari kerana memberikan perlindungan kepada Pati ini yang juga pekerja di premis pemiliknya,” katanya.

Beliau berkata, lelaki itu telah melanggar syarat di bawah peraturan Imigresen, dia boleh di penjara tidak melebihi enam bulan atau didenda RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Katanya, dalam masa sama, majikan yang memberikan perlindungan itu melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 Seksyen 55 (e) dan boleh dikenakan denda RM10,000, tidak melebihi RM50,000 bagi tiap seorang yang diambil bekerja atau enam bulan penjara tidak melebihi lima tahun, turut boleh dikenakan enam sebatan.

“Operasi itu adalah kesinambungan Program 6P di bawah kelolaan kerajaan yang mahu Pati di negara ini ditahan sebelum dihantar pulang ke negara asal.

“Oleh itu, saya turut mengarahkan pegawai dan anggota melakukan pemeriksaan dan Operasi 6P di daerah Hilir Perak serta daerah berhampiran dengan operasi kami,” katanya.

Padah majikan menggaji Pati - Perak - Sinar Harian:

'via Blog this'

Budak 6 tahun penyelamat


Oleh : NOOR’AINON MOHAMED YUSOF
Tarikh : November 24, 2011
Budak 6 tahun penyelamat

BERCHAM – Jeritan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun berjaya menyelamatkan sebuah keluarga dalam satu kebakaran di Taman Pakatan Jaya, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, keseluruhan tingkat atas rumah berkenaan hangus dan mangsa, Mohd Nizam Halmi, 35, yang bekerja sebagai peniaga pasar malam menanggung kerugian lebih RM10,000.

Bagaimanapun, Mohd Nizam dan isterinya, Rohazlina Hamid, 30, serta enam anaknya berusia enam bulan hingga 11 tahun terselamat daripada terperangkap selepas rumah teres dua tingkat yang disewanya dua tahun lalu itu terbakar.

Mohd Nizam berkata, dia dan isteri bersama anak bongsunya nyenak tidur di bilik utama kerana kepenatan berniaga semalaman manakala, anaknya yang lain tidur di ruang tamu rumah.

“Saya terkejut apabila terdengar jeritan anak (Nurul farhana) yang menyebut perkataan api berulang kali dan saya berusaha membuka pintu kerana menyangka anak kami tidur di dalamnya. Isteri saya pula bergegas menyelamatkan anak yang tidur di ruang tamu.

“Kami sempat kira bilangan anak bagi memastikan kesemua terselamat dan berjaya dibawa keluar menerusi pintu dapur. Saya cuba meredah masuk untuk menyelamatkan barangan lain tetapi gagal kerana api terlalu marak,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia sempat menyelamatkan satu beg mengandungi wang tunai RM3,000 hasil jualan di pasar malam dan beberapa dokumen penting.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Ipoh, Sarji Zainuddin berkata, tiga jentera dengan kekuatan 15 anggota dikejarka ke kawasan kejadian selepas menerima panggilan pada jam 10.12 pagi.

Katanya, pihaknya berjaya mengawal kebakaran 30 minit kemudian dan menghalang dari merebak ke kawasan jiran bersebelahan.

“Kami tidak menolak kemungkinan berlakunya litar pintas berdasarkan percakapan mangsa yang sebelum ini mendengar seolah-olah percikan api dari sebuah bilik di bahagian atas kediaman dua tingkat itu.

“Namun, kami masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih ditafsirkan,” katanya.

Budak 6 tahun penyelamat - Perak - Sinar Harian:

'via Blog this'

Pecah dua rumah satu malam


Oleh : ALAUDIN MA
Tarikh : November 24, 2011
Pecah dua rumah satu malam

Kejadian pecah rumah membabitkan beberapa taman perumahan dan kampung sekitar bandar ini, semakin membimbangkan apabila sasaran pencuri kini dua rumah dalam satu malam sejak beberapa bulan lalu.

Berdasarkan laporan dalam tempoh empat bulan kebelakangan ini, lebih 25 kes pecah rumah berlaku membabitkan Taman Kesedar Jaya, Taman Mesrawangi, Kampung Tiong dan Kampung Lembaga hingga penduduk kerugian ribuan ringgit.

Penduduk yang semakin takut dengan kejadian berkenaan, terpaksa membatalkan hasrat untuk bercuti pulang ke kampung pada musim cuti persekolahan.

Pencuri mensasarkan rumah yang tiada penghuni, seperti yang terbaru, berlaku Ahad lalu di Taman Kesedar Jaya.

Mohd Shukri Hassan, 40, berkata, kejadian awal pagi Ahad itu adalah yang kedua selepas kejadian pertama awal Ramadan lalu.

Katanya, kejadian kali kedua itu dipercayai berlaku jam 3 pagi ketika dia bersama isterinya Azimah Ab Halim, 36, bercuti di rumah saudara di Kuantan.

“Kami yang sampai jam 8 malam, mendapati keadaan dalam tiga bilik tidur berselerak dan jeriji besi pintu dapur terbuka.

“Selain itu, pelbagai barang berharga yang hilang termasuk tabung wang syiling milik anak,” katanya.

Mohd Shukri berkata, selepas pencuri itu memecah masuk rumahnya, rumah Timbalan Pengurus Besar Kesedar, Ramli Mat Zain yang terletak berdekatan pula cuba dipecah masuk.

“Tetapi gagal kerana Ramli ternampak ketika pencuri itu menggunting pagar, namun pencuri sempat melarikan diri,” katanya.

Katanya, dia enggan membuat laporan polis dalam kejadian kedua itu kerana laporan kejadian pertama tidak berkesan.

Pecah dua rumah satu malam - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'

Warga emas nyaris maut jatuh sungai


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : November 24, 2011
Warga emas nyaris maut jatuh sungai

Seorang warga emas yang sempat berpaut pada sebuah sampan, terselamat selepas terjatuh ke dalam sungai apabila jambatan kampungnya runtuh dekat sini pagi semalam.

Nik Mahmud Nik Hasaan, 68, berkata, ketika kejadian, dia baru sahaja selesai sarapan kira-kira jam 8.30 pagi di gerai berhampiran dan berjalan di atas jambatan untuk melihat arus sungai yang lebih deras dari kebiasaan.

Ketika berada di atas jambatan, dia terdengar tiga letupan kuat berterusan sebelum merasakan kakinya bergegar dan melihat jambatan tersebut runtuh sekelip mata.

“Saya tidak sempat melarikan diri ketika berada di atas jambatan dan turut terjatuh ke dalam sungai bersama runtuhan itu.

“Alhamdulillah, ketika itu ada sebuah sampan di bawah jambatan, dan saya berpaut padanya sebelum diberikan pertolongan oleh penduduk yang ada berdekatan,” katanya ketika ditemui pemberita dekat sini semalam.

Nik Mahmud berkata, dia kehilangan wang sebanyak RM70 yang dibawanya untuk membeli keperluan harian, namun bersyukur kerana usianya masih panjang selepas berjaya melawan arus deras.

Manakala, Mohd Salleh Awang, 56, terpaksa memecut laju kereta yang dipandunya apabila mendapati lantai jambatan di belakang kenderaannya mula merekah sebelum runtuh ke dalam sungai.

“Ketika itu, saya dalam perjalanan ke tempat kerja. Sejurus saya melepasi jambatan itu, bunyi yang kuat kedengaran dan apabila saya lihat, jambatan sudah runtuh.

“Mujurlah saya terselamat dan tidak terheret sama dalam runtuhan tersebut,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohamed Abdul Rahman, 58, berkata, jambatan sepanjang 200 meter tersebut dibina pada 1997.

Ia menjadi kegunaan utama penduduk empat kampung iaitu Kampung Kuau, Kampung Keluat, Kampung Paya Teratai dan Pengkalan Cina yang berulang-alik ke pusat bandar.

Mohamed berkata, jambatan yang runtuh itu turut menyebabkan sebilangan besar pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terputus hubungan untuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bachok, SMK Badak dan SMK Nipah hari ini.

“Pelajar terbabit terpaksa dihantar oleh ibu bapa masing-masing ke pusat peperiksaan menggunakan laluan alternatif dalam jarak yang jauh.

“Mereka seharusnya diberi tempat tinggal di asrama bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi sepanjang musim banjir ini.

“Saya harap jambatan ini dapat diperbaiki segera,” katanya.

Warga emas nyaris maut jatuh sungai - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'

Ditemui selepas sejam setengah


Oleh : ZAIMATULJUWITA
Tarikh : November 24, 2011
Ditemui selepas sejam setengah

BACHOK - Mayat dua beradik mangsa lemas di Kampung Tualang Salak dekat sini, dijumpai sejam setengah selepas pasukan Bomba Dan Penyelamat menjalankan operasi mereka.

Ketua Operasi, Nordin Zakaria berkata, mayat Mohd Fathi Asyraf Ruslan, 14, dijumpai pada jam 4.32 petang, manakala mayat Mohd Arif Hukmi, 10, dijumpai lima minit kemudian.

Menurutnya, kedua-dua mangsa dijumpai kira-kira 90 meter dari lokasi mereka dilaporkan hilang.

“Pasukan kami mendapat laporan daripada penduduk pada jam 2.35 petang, dan tiba di lokasi pada jam 2.55 petang, seterusnya memulakan operasi lima minit kemudian.

“Unit skuba tiba pada jam 3.35 petang bersama tujuh anggota mereka dan 10 anggota Bomba Sukarela.

“Kami sendiri membawa lima anggota dari Balai Bomba Bachok,” katanya yang juga Pegawai Penjaga Balai Bomba Daerah Bachok.

Katanya, air parit lokasi lemas dianggarkan sedalam dua meter.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat.

Mohd Fathi dan Mohd Arif masing- masing anak sulung dan anak ketiga kepada pasangan Ruslan Ab. Ghani, 46, dan Suriani Dollah, 37.

Ditemui selepas sejam setengah - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'

Setiu paling teruk Lebih 1,000 dipindahkan di 19 pusat pemindahan


Oleh : WAN AMALIA WAN MOHD DAUD
Tarikh : November 24, 2011
banjir

Setakat jam 7 petang semalam, seramai 1, 226 mangsa banjir melibatkan 272 buah keluarga ditempatkan di 19 pusat pemindahan pada hari ketiga banjir melanda daerah ini setelah hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.

Difahamkan keadaan banjir di daerah ini adalah yang paling teruk berlaku berbanding dua daerah lain iaitu Besut dan Hulu Terengganu dan pusat pemindahan yang paling banyak dibuka adalah di Dun Permaisuri.

Dalam perkembangan sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said turut meluangkan masa melawat mangsa banjir semalam di lima pusat pemindahan iaitu di Dewan Sivik Kampung Langkap, Surau Gazebo Bandar Permaisuri, Balai Raya Kampung Tasek, Surau Kampung Permaisuri dan Surau Kampung Nyatoh.

Menurut Ahmad, setakat ini proses pemindahan mangsa banjir berjalan lancar dan semua penduduk yang rumahnya berisiko dinaiki air perlu sentiasa peka dan mendengar arahan pihak berkuasa.

“Kita tidak mahu mana-mana penduduk yang tinggal di kawasan yang dinaiki air terkandas untuk keluar pada waktu malam sehingga menyukarkan proses pemindahan dilakukan.
“Sekiranya mereka risau keselamatan rumah masing-masing, setiap penduduk boleh mengambil keputusan untuk memastikan ada ahli keluarga yang boleh memantau rumah mereka dari masa ke masa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai membuat lawatan ke beberapa pusat pemindahan di sini, semalam.

Ahmad turut menasihatkan ibu bapa yang mempunyai anak kecil supaya memantau perkembangan anak agar tidak berlaku kejadian yang boleh meragut nyawa.

Selain itu katanya, semangat kerjasama perlu ada dalam kalangan mangsa banjir sepanjang berada di pusat pemindahan terutama ketika menyediakan makanan.

“Bekalan makanan yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat ini masih mencukupi dan saya amat berpuas hati apabila semua barangan keperluan seperti susu tepung, beras, sardin dan sebagainya mengikut kriteria yang diperlukan oleh pihak kita,” katanya.

Sementara itu, Ahmad turut menyatakan sebanyak tiga buah rumah di Kampung Hulu Seladang mengalami kerosakan akibat kejadian angin kencang di musim banjir dan insya-Allah bantuan segera akan disalurkan berdasarkan siasatan yang dibuat.

“Mengenai jambatan Kampung Banggol ke Che Mohid yang dihanyutkan oleh air akibat banjir kali ini ia sebenarnya tidak mengikut spesifikasi kerana ketinggian yang dibina ini tidak melepasi

aras air di sungai itu.

“Walaubagaimanapun, saya akan meminta Pejabat Daerah Setiu memantau semula keadaan jambatan itu bagi diambil tindakan segera berdasarkan laporan yang kita terima,” katanya.
RAJD Kelantan bantu opreasi banjir di Setiu

Sementara itu, seramai 20 anggota tentera daripada 7 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), Kem Desa Pahlawan, Bukit Cina, Kelantan turut terlibat dalam operasi banjir di Setiu sebagai langkah persediaan awal menghadapi sebarang kemungkinan.

Pemangku Pegawai Daerah Setiu, Rosdi Awang berkata, kerjasama daripada anggota tentera dengan agensi kerajaan yang terlibat dijangka dapat melancarkan operasi menyelamat terutama membantu mangsa banjr.

“Semua anggota tentera ini akan berada di Setiu sehingga keadaan banjir betul-betul pulih dan kini mereka akan ditempatkan sementara di asrama Pejabat Kemas, Puterajaya,” katanya.
Ketika diminta mengulas mengenai keadaan banjir yang telah masuk hari ketiga di daerah ini keadaannya masih terkawal walaupun keadaan air sungai semakin naik dan ramai mangsa yang diarahkan untuk berpindah.

“Jika dilihatkan keadaan cuaca yang tidak menentu disertakan dengan angin kencang mungkin pertambahan mangsa banjir akan bertambah cuma apa yang diharapkan ia tidaklah menjadi teruk sehingga menjejaskan aktiviti seharian penduduk.

“Sekarang ini bilik gerakan banjir yang terletak di Rumah Rehat Setiu sentiasa beroperasi 24 jam bagi menghadapi sebarang kemungkinan dan kita mengharapkan orang ramai dapat melaporkan segera maklumat terkini yang berlaku di kawasan mereka bagi memudahkan pemantauan dilakukan,” katanya.

Setiu paling teruk Lebih 1,000 dipindahkan di 19 pusat pemindahan - Terengganu - Sinar Harian:

'via Blog this'

Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup rokok putih dan rokok keretek


Oleh : BERNAMA
Tarikh : November 24, 2011

JOHOR BAHRU - Cubaan dua bot pancung menyeludup masuk rokok putih dan rokok kretek pelbagai jenama anggaran cukai RM236,475.20 berjaya ditumpaskan Maritim Malaysia Wilayah Selatan di perairan Pontian semalam.

Dalam kejadian lebih kurang pukul 9.15 dan 9.40 malam itu, bot laju Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan Operasi Satria Selatan mengesan dua buah bot pancung dalam keadaan bergelap dan mencurigakan bergerak laju dari negara jiran menuju ke dalam perairan kita.

Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim Johor Bahru, Kepten Maritim Mohd Sabri Hj Mohamed berkata, bot pasukan kita mengesan bot pancung gentian kaca pertama kira-kira 5.5 batu nautika Barat Pulau Kukup.

“Bot kita mengambil masa selama 5 minit untuk mengejar sebelum berjaya menahan bot mereka, namun tekong serta seorang awak-awak berjaya melarikan diri dengan terjun ke laut dan menghilangkan diri di hutan bakau berhampiran.

Menurut Kepten Sabri, ketika anggota kita sedang menguruskan bot pancung tersebut untuk dibawa balik, pasukan kita sekali lagi mengesan satu lagi bot pancung dalam keadaan mencurigakan kira-kira 4.8 batu nautika Barat Laut Pulau Kukup.

“Ketika dihampiri dan diarahkan berhenti, bot tersebut terus memecut laju ke pantai berhampiran tanpa menghiraukan arahan kita sebelum bot tersebut berjaya ditahan selepas dikejar selama 10 minit, tekong dan awak-awak berjaya melarikan diri ke hutan bakau berhampiran Pontian Kecil.

“Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua bot itu, pihaknya menemui 2,940 rokok putih dan rokok kretek pelbagai jenama dengan anggaran nilai cukai RM304,475.20 termasuk dua bot pancung dan dua enjin sangkut Yamaha 200 kuasa kuda.

“Rokok kretek yang ditemui di dalam kedua-dua bot tersebut terdiri dari jenama Dji Sam Soe, Gudang Garam Surya, Gudang Garam Internasional, Wismilak dan Semporna A sementara rokok putih terdiri dari jenama Marlboro Merah dan Putih,” katanya pada sidang media di sini.

Menurutnya, kes ini akan disiasat di bawah seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang tanpa kelulusan kastam dan penyeludup boleh disabitkan kesalahan didenda 10 kali ganda dan tidak lebih dua kali ganda amaun duti kastam atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup rokok putih dan rokok keretek - Johor - Sinar Harian:

'via Blog this'

Tempat pemujaan dimusnahkan


Oleh : SH SELANGOR&KUALA LUMPUR/IZWAN ROZLIN
Tarikh : November 24, 2011
Tempat pemujaan dimusnahkan

SHAH ALAM - Kenderaan yang memenuhi tepi jalan Persiaran Kerjaya Seksyen U1 setiap malam Selasa, Khamis dan Sabtu, dekat sini, terbongkar apabila kegiatan tarik nombor ekor yang beroperasi di sebuah pondok usang yang didirikan di bawah dua buah batang pokok sawit dianggap keramat.

Lokasi tersebut yang sebelum ini telah dimusnahkan anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dua tahun lalu masih terus dikunjungi sebagai tempat popular untuk mendapatkan nombor ekor. Dalam operasi selama dua jam semalam tiga bahagian tempat pemujaan keseluruhannya berjaya dimusnahkan.

Operasi dimulakan dengan membaca doa dan semburan air Ahmad Abdul Rahman dari Surau Batu 13 sebagai usaha menghindarkan gangguan makhlus halus yang dikatakan menghuni kawasan tapak pemujaan tersebut. Kerja-kerja dimulakan dengan memecahkan enam patung utama yang diletakkan sederet beserta gambar, garfu besar dan beberapa objek lain yang digunakan sebagai pemujaan. Seterusnya bumbung pondok diruntuhkan diikuti bahagian yang digunakan untuk upacara menyembelih haiwan sebelum dua batang pokok sawit yang dianggap keramat ditebang.

Pegawai Penguatkuasa MBSA, Khairul Hanif Abu Taib berkata, operasi dilakukan berikutan struktur tersebut didirikan secara haram di atas tanah kerajaan.

“Tindakan diambil dibawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, membuat binaan tanpa kebenaran. Selepas kejadian ini, kawasan ini akan terus dipantau,” katanya tindakan diambil susulan daripada aduan dan masalah kesesakan jalan terutama waktu malam apabila banyak lori dan kenderaan berat diletakkan dibahu sepanjang jalan itu. Kawasan ini popular dan ada yang datang dari luar Lembah Kelang semata –mata untuk membuat pemujaan untuk bagi mendapatkan nombor ekor,” katanya.

Tempat pemujaan dimusnahkan - Selangor & KL - Sinar Harian:

'via Blog this'

RM49 juta dirampas daripada raja dadah


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : November 24, 2011
RM49 juta dirampas daripada raja dadah

MEXICO CITY - Tentera Mexico merampas wang tunai hampir AS$15.4 juta (RM49 juta) daripada sindiket dadah paling berkuasa negara itu yang diketuai Joaquin “Shorty” Guzman, menurut pihak berkuasa, kelmarin.

Wang itu ditemui di dalam sebuah kenderaan pada 18 November lalu di bandar Tijuana dan dipercayai mempunyai kaitan dengan operasi dadah Guzman.

Rampasan itu adalah kedua terbesar di Mexico selepas tentera merampas AS$26 juta (RM83 juta) pada 2008, juga dipercayai daripada kumpulan dadah sama.

Lebih 45,000 orang terbunuh dalam keganasan berkaitan dadah di negara itu sejak lima tahun lalu apabila kerajaan Mexico memulakan perang besar-besaran terhadap sindiket dadah.

RM49 juta dirampas daripada raja dadah - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

Ugut henti bantuan jika Palestin bersatu


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : November 24, 2011
Ugut henti bantuan jika Palestin bersatu

Sumber berita Israel, Isnin lalu, melaporkan Amerika Syarikat (AS) menghantar mesej rahsia kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) di Ramallah yang menegaskan sebarang rancangan untuk mencapai perpaduan dengan kerajaan Hamas di Genting Gaza akan menyebabkan pembekuan serta-merta bantuan kewangan dari Washington kepada PA.

Menurut akhbar Israel Today, Presiden AS, Barack Obama mahu Hamas mengiktiraf semua tanah rampasan Israel dan berhenti memerangi rejim Zionis melalui surat yang dihantar wakilnya kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas jika kedua kerajaan Palestin itu mahu bergabung.

Sekutu Obama, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu juga menegaskan akan berhenti memindahkan wang kutipan cukai kepada PA jika kerajaan Palestin itu bergabung dengan Hamas.

Namun, wakil perunding Palestin, Saeb Erekat berkata, AS telah pun menghentikan bantuan kewangan kepada PA sejak Palestin diterima menjadi anggota Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa, menunjukkan sikap biadap sekutu Zionis itu yang tidak menghormati keputusan masyarakat antarabangsa untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara merdeka.

Ugut henti bantuan jika Palestin bersatu - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

Bashar pengecut


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : November 24, 2011
Bashar pengecut

ANKARA - Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, kelmarin, menggelar Presiden Syria, Bashar Al-Assad sebagai pengecut kerana tindakan pemimpin itu menggunakan kekerasaan ke atas rakyat Syria.

“Bashar kerap berkata beliau akan berjuang sehingga mati. Tetapi berperang sehingga mati dengan rakyat sendiri bukan karakter seorang pejuang. Ianya adalah sikap seorang pengecut.

“Anda (Bashar) perlu mengambil iktibar daripada pemimpin Libya (Muammar Gaddafi) yang memerangi rakyatnya sendiri dan hanya lebih sebulan lalu, dia juga menuturkan kata-kata yang sama seperti anda,” kata Erdogan dalam kritikan pertamanya terhadap Bashar.

Erdogan turut menuntut Bashar meletak jawatan, meningkatkan lagi tekanan negara rantau Timur Tengah ke atas Damsyik selepas kerajaan Syria dilaporkan menggunakan kekerasan melampau bagi menghentikan protes menentang Bashar yang bermula, Mac lalu.

Namun Erdogan menegaskan gesaan beliau itu tidak bermakna Ankara menyokong sebarang campur tangan ketenteraan di Syria yang dianggapnya perlu menyelesaikan konflik dalaman mereka sendiri.

Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyebut 3,500 terbunuh setakat ini sepanjang protes di Syria yang tercetus semasa revolusi Arab di Timur Tengah.

Bashar pengecut - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

Susilo nafi perkahwinan anak berunsur politik


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : November 24, 2011
Susilo nafi perkahwinan anak berunsur politik

JAKARTA - Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, kelmarin menafikan majlis perkahwinan anak lelaki bongsunya, Edhie Baskoro adalah untuk membentuk ‘gabungan cinta’ antara Parti Demokratik pimpinannya dengan Parti Amanat Nasional (Pan).

Hari pertama majlis perkahwinan selama tiga hari antara Edhie dengan Siti Ruby Aliya, anak perempuan kepada pemimpin parti Pan, Hatta Rajasa bermula, kelmarin.

Spekulasi ‘gabungan cinta’ itu mula tersebar luas selepas perkahwinan kedua-dua anak pemimpin tersebut didakwa bertujuan menyokong Hatta sebagai calon presiden pada 2014 kerana Parti Demokratik tidak mempunyai calon yang dilihat berkebolehan untuk menggantikan Susilo selepas penggal pemerintahannya tamat.

Bagaimanapun, Susilo menafikan dakwaan itu dan menegaskan Edhie memilih calon isterinya dengan sendiri tanpa melibatkan apa-apa kepentingan politik kedua-dua belah pihak.

Dalam satu kenyataan, timbalan pemimpin Parti Demokratik, Max Sopacua turut menafikan spekulasi tersebut dan menekankan perkahwinan Edhie dan Aliya tidak ada kena mengena dengan gabungan politik di negara itu.

Susilo nafi perkahwinan anak berunsur politik - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

25 petani rugi RM1 juta


Oleh : ROSALWANI CHE SOH
Tarikh : November 24, 2011
kelantan

- Seramai 25 petani Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Puteri Saadong, Kampung Padang Terap di sini, terpaksa menanggung kerugian hampir RM1 juta akibat tanaman padi yang diusahakan di tanah seluas 242 hektar musnah ditenggelami banjir sejak dua hari lalu.

Wakil petani, Mustapha Mamat, 54, berkata, tanaman yang diusahakan secara berkumpulan melalui skim Mini Estet Padi (MEP) di bawah PPK itu diusahakan sejak 2002 dan merupakan punca rezeki utama penduduk di kawasan berkenaan.

“Apabila tibanya musim menuai, setiap seorang petani di sini memperoleh hampir RM3,000 daripada hasil tanaman padi yang diusahakan secara berkumpulan.

“Namun bencana banjir yang berlaku pada setiap tahun menyebabkan kami terpaksa menanggung kerugian disebabkan keseluruhan tanaman di sini ditenggelami air,” katanya kepada Sinar Harian.

Mustapha berkata, para petani mengharapkan agar Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) dapat menjalankan siasatan dan datang menjenguk bagi menyelesaikan masalah terbabit.

“Perkara ini pernah diajukan kepada pihak atasan namun bantuan tidak disalurkan secara menyeluruh dan ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan petani.
“Bukan ingin meminta simpati, namun nasib kami yang hanya mengharapkan punca pendapatan daripada hasil tanaman ini harus dibela dan diberi perhatian kerana kami tiada tempat mengadu,” katanya.

Sementara itu, menurut Mohd Nor Taib, 63, dia terpaksa menanggung kerugian berpuluh ribu ringgit akibat banjir di kawasan terbabit.

“Saya harap pihak Kada dapat selesaikan masalah ini dengan segera dan mencari jalan penyelesaian dengan tindakan proaktif. Jika masalah ini dibiarkan, ia akan menimbulkan pelbagai spekulasi dan mengundang rasa marah dalam kalangan petani.

“Kami hanya ingin menegakkan hak kami sebagai petani di sini lagipun mesin menuai padi juga tidak mencukupi dan ia menyebabkan kerja-kerja penuaian tergendala,” katanya.

25 petani rugi RM1 juta - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'