JOHOR BAHRU - Ibu bapa kepada seorang murid tahun lima dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) sekitar kawasan Skudai, di sini, membuat laporan polis selepas tidak berpuas hati dengan tindakan seorang guru menampar anak lelaki mereka.
Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Taman Ungku Tun Aminah, di sini, 16 November lalu, selepas diberitahu anak tunggal mereka itu ditampar sebanyak lapan kaki di pipi sehingga cermin mata dipakai tertanggal, jatuh dan pecah.
Suri rumah, A Rukumani, 49, berkata, sebagai ibu bapa, tindakan guru kelas menampar anak lelaki mereka, S Sri Viknesh, 11, di pipi kiri dan kanan tidak boleh diterima.
“Pada 16 November lalu sekitar jam 1 petang, saya menjemput Viknesh dari sekolah. Ketika bertemu dia, saya bertanya di mana cermin mata yang dipakai.
“Dia (Viknesh) memberitahu cermin matanya pecah gara-gara ditampar guru kelas dan mahu sembunyikan daripada pengetahuan saya.
“Saya kemudiannya diberitahu oleh Viknesh bahawa guru terbabit menampar dia kerana tidak mengaku selepas dituduh menconteng kad laporan kemajuan miliknya pada bahagian tandatangan guru besar,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pejabat DAP Taman Nesa, Skudai, di sini, semalam.
Menurutnya, Viknesh didakwa mula dituduh oleh guru kelas terbabit pada 15 November lalu dan masalah itu turut dibawa ke pengetahuan guru besar.
“Dia dipukul di hadapan rakan sekelas selepas enggan mengaku berbuat sedemikian walaupun dipaksa oleh guru terbabit. Saya sendiri sudah cuba selesaikan masalah ini dengan pengurusan sekolah.
“Saya fikir hal ini sudah diselesaikan hasil pertemuan dengan guru besar dan guru terbabit pada 15 November.
“Bagaimanapun, tidak disangka apabila keesokan harinya, Viknesh terus ditekan supaya mengaku sehinggalah ditampar empat kali di pipi kiri dan empat kali di pipi kanan,” katanya.
Rukumani berkata, berang dan tidak berpuas hati dengan tindakan guru terbabit, dia segera membuat laporan polis supaya siasatan dibuat.
“Saya diberitahu oleh murid-murid lain bahawa kad laporan kemajuan kelas Viknesh diisi oleh dua murid yang dilantik oleh guru terbabit.
“Jadi, dalam soal ini, saya bukan mahu menuduh atau mengheret dua murid berkenaan. Cuma lebih baik sekiranya pihak pengurusan sekolah turut bertanya kepada dua murid ini.
“Ini tidak, bila saya mahu membawa dua murid yang diberikan bertanggungjawab mengisi markah kad laporan kemajuan oleh guru terbabit, guru besar menolak cadangan diberikan,” katanya.
Justeru, katanya, pihak berkuasa perlu bertindak dengan menjalankan siasatan ke atas guru terbabit, manakala pengurusan sekolah harus berlaku adil ke atas Viknesh.
Sementara itu, Pengerusi DAP Cawangan Taman Nesa, S Kogilavani berkata, pihaknya akan menghantar surat aduan kepada Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran bagi mendapatkan pembelaan bagi keluarga Viknesh.