Search This Blog

Friday, November 18, 2011

Lori tanah rempuh dua kereta

myMetro | Lori tanah rempuh dua kereta: "GOMBAK: Dua cedera parah, enam terselamat manakala seorang lagi dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dalam kemalangan membabitkan sebuah lori berisi tanah yang terbabas sebelum merempuh dua kenderaan lain di Jalan Sungai Pusu, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, pemandu lori terbabit nyaris maut apabila lori yang dipandu dari Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menuju Jalan Sungai Pusu hampir terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira empat meter.


Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan, berkata kemalangan berhampiran persimpangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berlaku apabila lori terbabit dipercayai mengalami masalah brek sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat yang ketika itu merah.

“Akibatnya, pemandu gagal mengawal kenderaannya dan merempuh sebuah van yang dinaiki enam kakitangan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang berada di hadapannya.


“Rempuhan itu menyebabkan van berkenaan melambung beberapa meter dan berpusing sebelum terbalik,” katanya ketika dihubungi."

'via Blog this'

Suspek guna 2 nama

myMetro | Suspek guna 2 nama: "KUALA LUMPUR: Polis masih lagi mengesan lelaki yang dipercayai menyamar sebagai penguji bakat di sebuah syarikat peragawati terkenal yang mengumpan mangsa melalui laman sosial dengan tawaran pendapatan lumayan.

Sumber berkata, lelaki berusia 30-an itu dipercayai licik dalam menjalankan ‘permainan’ itu dengan bertindak menukar maklumat peribadi yang digunakan di laman sosial sebaik mengetahui rahsia penipuannya terbongkar.


“Suspek dipercayai menggunakan dua nama yang berbeza bagi mengelirukan semua mangsa termasuk sering menukar lokasi uji bakat jika mangsa bersetuju untuk menghadiri uji bakat.

“Bagaimanapun, suspek masih menggunakan nama dan alamat syarikat yang sama ketika menjalankan penyamaran itu untuk terus meyakinkan mangsa seterusnya,” katanya.


Menurut sumber, suspek bertindak demikian sebaik mengetahui ada mangsa yang membuat laporan polis atau sudah mengadu kepada syarikat berkenaan mengenai nasib mereka."

'via Blog this'

Tukang masak tikam nelayan atas bot

myMetro | Tukang masak tikam nelayan atas bot: PASIR PUTEH: Seorang nelayan warga Vietnam terbunuh selepas ditikam rakan senegaranya dengan senjata tajam dalam pergaduhan di atas sebuah bot laut dalam yang sedang berlabuh di Jeti Perikanan 98 Tok Bali, dekat sini, kelmarin.

Kejadian jam 5.30 petang itu mengakibatkan mangsa, Nguyen Trong Nhan, 20, meninggal dunia di tempat kejadian akibat dipercayai ditikam dengan pisau oleh tukang masak berusia 49 tahun yang bekerja dalam bot sama.


Walaupun motif kejadian belum diketahui, difahamkan, mangsa baru berkhidmat sebagai nelayan di negara ini.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, anggotanya dihantar ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan orang awam memaklumkan pergaduhan itu, jam 6.16 petang kelmarin.


“Pergaduhan dilaporkan berlaku sejak jam 5.30 petang sama hingga menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas ditikam dengan senjata tajam oleh rakan senegaranya.



“Siasatan awal mendapati suspek menikam mangsa dengan pisau berikutan terdapat kesan tikaman pada bahagian badan mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, pihaknya menyiasat motif sebenar pergaduhan itu.


“Berikutan itu, polis menyoal siasat 10 awak-awak dan seorang tekong bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

“Suspek ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.


'via Blog this'

Mayat bayi dalam longkang

myMetro | Mayat bayi dalam longkang: "GEORGETOWN: Kejam dan tidak berperikemanusiaan. Hanya itu ungkapan sesuai buat insan yang tergamak membuang bayi lelaki yang tidak berdosa sebelum mayatnya ditemui dalam longkang di Kampung Padang Bayan Lepas, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mayat bayi masih bertali pusat ditemui seorang lelaki yang juga penduduk kampung. Mayat bayi terbabit ditemui tersangkut di celah rimbunan pokok dalam longkang dengan kaki kirinya sudah reput.


Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Mohd Hatta Mohd Zain berkata siasatan awal mendapati bayi berkenaan dipercayai baru beberapa hari dilahirkan."

'via Blog this'

Bukan wang rampasan

myMetro | Bukan wang rampasan: SHAH ALAM: Seramai 26 pegawai dan anggota bawahan di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, di sini ditahan bagi membantu siasatan berhubung kehilangan bahan bukti di pejabat pegawai penyiasat bagi kes samun membabitkan tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 15 September lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, pihaknya memandang serius kes itu memandangkan ia ada kaitan dengan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan akan menyiasat daripada semua aspek sama ada ia mempunyai unsur jenayah atau disebabkan kecuaian.


“Soal siasat itu dilakukan sejurus laporan mengenai kehilangan wang dan dompet itu dilaporkan pegawai penyiasat dan polis kini sedang mengumpul bukti serta maklumat daripada pelbagai sudut,” katanya dalam sidang media ketika Majlis Sambutan Deepavali di IPK Selangor, di sini semalam.

Bagaimanapun, Tun Hisan menafikan wang tunai yang hilang itu sebahagian daripada wang rampasan yang diperolehi daripada suspek sebaliknya ia adalah milik dua daripada tiga suspek yang ditahan kerana terbabit dalam samun pengurup wang di KLIA, sebelum ini.


“Kami juga ingin menjelaskan wang RM11,700 dan dompet yang hilang itu bukan sebahagian bahan bukti atau wang USD300,00 (RM900,000) yang dirampas daripada suspek dalam kes KLIA sebelum ini. Wang dan dompet itu adalah milik dua daripada tiga suspek yang ditahan.



“Polis akan meneliti lagi kes ini memandangkan terdapat kesan pecah pada bahagian laci serta pintu bilik tempat simpan barang bukti berkenaan.

“Selain itu, kami akan meneliti menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat pada tingkat bawah bangunan terbabit bagi melihat perjalanan keluar masuk yang berlaku sewaktu kejadian,” katanya.


Mengulas mengenai kejadian itu, kejadian jam 2 petang, 8 November lalu, pegawai penyiasat terbabit percaya biliknya dimasuki seseorang dan mendapati wang serta dompet milik suspek hilang manakala barangan lain di pejabat sama tidak dilarikan.

Ketika itu, beliau dikatakan mahu menyimpan barang di bilik pejabatnya itu.


“Usaha mencari barang kes dilakukan segera pegawai terbabit, tetapi selepas lebih seminggu barangan itu masih gagal ditemui sebelum beliau tampil membuat laporan polis empat hari lalu.


“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 201 KK, iaitu perbuatan pecah masuk pejabat dan cubaan menghilangkan barang bukti,” katanya.


Kehilangan wang tunai dan dompet itu juga katanya, tidak akan menjejaskan proses siasatan berhubung kes beberapa lelaki termasuk pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terbabit menyamun pengurup wang di KLIA kerana ia jelas milik suspek.


Tun Hisan berkata, mengikut amalan sepatutnya bahan bukti dalam sesuatu kes termasuk wang dan dompet itu tidak disimpan di dalam pejabat dan berikutan itu polis tidak teragak-agak mengambil tindakan jika berlaku unsur jenayah atau kecuaian dalam kes berkenaan.


Harian Metro semalam melaporkan seorang pegawai polis yang juga pegawai penyiasat bagi kes samun pengurup wang membabitkan tiga pegawai SPRM di KLIA 15 September lalu membuat laporan polis kelmarin selepas menyedari barang kes tersebut hilang sejak seminggu lalu di pejabatnya.


'via Blog this'

Ditipu ‘rakan kongsi’

myMetro | Ditipu ‘rakan kongsi’: KUALA LUMPUR: Seorang penyelia binaan menjadi mangsa penipuan ke-12 seorang lelaki yang menggunakan laman sembang untuk mencari rakan kongsi bagi memulakan satu perniagaan membabitkan kerugian dianggarkan RM200,000.

Menurut sumber, mangsa berusia 35 tahun, berkenalan dengan lelaki dikenali sebagai Ismail melalui laman sembang pada 12 Disember tahun lalu yang kononnya pemilik syarikat dari Johor Bahru.


“Dua hari kemudian, suspek datang ke Kuala Lumpur menemui mangsa di Hentian Bas Bukit Jalil bagi membincangkan peluang perniagaan.

“Jam 11 pagi keesokannya, suspek meminta mangsa membawanya membeli-belah sebagai permulaan proses perbincangan.


“Segala perbelanjaan suspek termasuk baju berjenama, barangan kemas berupa cincin dan jongkong emas serta perhiasan diri lain ditanggung mangsa menggunakan kad kreditnya” katanya.


Menurutnya, suspek berjanji membayar hutang kad kredit itu selepas memperoleh elaun hiburan daripada syarikatnya.

“Namun pelbagai alasan diberikan apabila mangsa meminta wangnya termasuk cek belum ditandatangani pemilik bersama syarikat suspek berstatus VIP.


“Lebih setahun menunggu, mangsa merasakan ditipu apabila semakan terhadap syarikat suspek mendedahkan dia pemilik tunggal dan berhak menandatangani sebarang cek,” katanya.

Mangsa yang bimbang diambil tindakan oleh pihak bank berikutan hutang kad kreditnya yang melambung membuat laporan di Balai Polis Jalan Tun H. S. Lee.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid mengesahkan laporan itu dan mengklasifikasikan kes sebagai jenayah sivil.


'via Blog this'

Perhilitan rampas kura-kura baning

Utusan Malaysia Online - Jenayah:



RAHIM Ahmad (tengah) bersama pegawainya memerhatikan sebahagian daripada kura-kura jenis baning yang dirampas oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Sungai Petani, Kedah, semalam.


SUNGAI PETANI 17 Nov. – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) merampas pelbagai jenis haiwan liar yang dilindungi bernilai kira-kira RM35,000 selepas menyerbu sebuah kandang lembu di Jalan Lama Riverside, Bedong di sini semalam.

Dalam serbuan itu, antara haiwan yang dirampas adalah 287 ekor biawak air; 189 ekor ular senduk; 30 ekor kura-kura baning; 272 ekor kura-kura katup dan 124 ekor kura-kura besar.

Pengarah Perhilitan negeri, Rahim Ahmad berkata, kesemua haiwan tersebut dilindungi di bawah Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Sementara kura-kura baning pula dilindungi sepenuhnya di bawah Seksyen 68(1) (a) akta yang sama.

“Biawak air dan ular senduk diletakkan dalam kurungan khas dan guni biru yang disorok dalam sebuah kontena manakala kura-kura pula diletakkan dalam raga plastik di pekarangan kandang lembu tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Perhilitan Daerah Kuala Muda/Yan di sini hari ini.

Rahim memberitahu, serbuan tersebut hasil maklumat awam dan intipan dibuat selama beberapa hari sebelum dilakukan pukul 2 petang semalam.

“Premis ini dikelilingi pagar zink dan tidak dapat dilihat dari luar. Kita percaya ia dijadikan depot sementara haiwan liar yang dilindungi sebelum dieksport ke negara jiran,” katanya.

Tambahnya, tiada sebarang tangkapan dilakukan dalam serbuan tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti suspek terlibat.

Rahim juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan tangkapan hidupan liar agar menghubungi Perhilitan negeri di talian 04-7312200 bagi membantu siasatan.


'via Blog this'

Ketua asrama nyaris maut kebakaran surau

Utusan Malaysia Online - Jenayah:


BATU PAHAT 17 Nov. – Seorang anak yatim yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nyaris maut apabila surau asrama lelaki di Wisma Anak-anak Yatim Islam Batu Pahat di sini terbakar petang semalam.

Kejadian berlaku pukul 5 petang ketika Mohd. Shakir Sulaiman, 17, sedang tidur seorang diri dalam sebuah bilik di tingkat tiga bangunan asrama itu tanpa menyedari berlaku kebakaran di surau yang terletak di tingkat satu.

Bagaimanapun, kebakaran itu disedari seorang warden asrama, Apream Ismail, 45, yang segera bertindak mengejutkan Mohd. Shakir.

Jika tidak, remaja itu yang juga ketua pelajar asrama anak yatim di situ mungkin mati lemas akibat terhidu asap tebal.

Menurut Mohd. Shakir, akibat terlalu penat mengulangkaji pelajaran sehingga pukul 2 pagi untuk menghadapi kertas peperiksaan subjek Sejarah semalam, dia tidur nyenyak sehingga tidak menyedari berlaku kebakaran di surau.

“Saya hanya sedar apabila warden menjerit mengejutkan saya dan memberitahu berlaku kebakaran. Warden sampai terjatuh dalam usaha mengejutkan saya. Memang saya terhutang budi padanya sampai bila-bila,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.


'via Blog this'

Ada usaha hidupkan kembali gerakan militan di Sabah

Utusan Malaysia Online - Jenayah:


KUALA LUMPUR 17 Nov. – Polis mengesahkan wujudnya usaha untuk menghidupkan kembali gerakan militan di Sabah dengan penahanan 13 anggota kumpulan itu sejak Isnin lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata, kegiatan anggota militan terbabit jika tidak dibendung boleh mengancam dan menggugat keselamatan negara.

“Berdasarkan kepada risikan dan siasatan yang telah dijalankan oleh pihak polis, didapati ada usaha-usaha untuk menghidupkan kembali gerakan militan di Sabah.

“Hasil daripada siasatan dan pemantauan rapi itu, pada 14 hingga 16 November lepas, polis melancarkan operasi dan menangkap tujuh rakyat Malaysia dan enam warga asing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ismail berkata, kesemua mereka kini ditahan di Sabah di bawah Seksyen 73 (1) Akta Keselamatan Dalam Negeri (AKDN) 1960.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan identiti dan nama kumpulan militan itu.

Hari ini, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan polis menahan anggota militan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan Abu Omar yang juga dikenali sebagai kumpulan Kaltim dan berpangkalan di Kalimantan.

Menurut akhbar itu, kumpulan militan berkenaan menggunakan Tawau sebagai lokasi transit untuk pengumpulan senjata yang diperoleh dari selatan Filipina.

— BERNAMA


'via Blog this'

Maut dipukul alat pemarut kelapa

Utusan Malaysia Online - Jenayah:


SANDAKAN 17 Nov. – Seorang lelaki yang sedang tidur maut selepas dipukul dengan alat pemarut kelapa di rumahnya di Kampung Bahagian, Batu Sapi di sini awal pagi semalam.

Kejadian berlaku pukul 3 pagi ketika mangsa, Isahak Iming, 59, sedang tidur di rumahnya sebelum dia dipukul dengan alat itu oleh seorang lelaki yang merupakan saudara kepada isteri mangsa.

Mangsa yang cedera parah di kepala segera dibawa ke Hospital Duchess Of Kent untuk menerima rawatan namun disahkan meninggal dunia pukul 6 pagi ini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Rowell Marong berkata, berikutan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 40 tahun yang mempunyai pertalian keluarga dengan isteri mangsa bagi membantu siasatan kes itu.


'via Blog this'

Amuk: Dua lelaki cedera, enam buah kenderaan rosak

Utusan Malaysia Online - Jenayah:


DUNGUN 17 Nov. — Dua lelaki cedera manakala cermin enam buah kenderaan rosak dalam satu kejadian amuk melibatkan seorang lelaki bersenjatakan sebatang cangkul pendek berhampiran Kampung Balai Besar di sini pagi ini.

Dalam kejadian hampir pukul 11 pagi, cermin tingkap Surau Ustaz Daud Balai Besar turut pecah akibat dihentak dengan menggunakan cangkul oleh lelaki yang berusia 30-an itu.

Sebelum itu, lelaki terbabit difahamkan mengamuk dan merosakkan harta benda di rumahnya di Kampung Paya selain memecahkan cermin depan lori miliknya sebelum menaiki motosikal dan membawa sebatang cangkul pendek ke jalan Balai Besar.

Sampai di sana, lelaki terbabit yang hanya berseluar pendek tanpa memakai baju bertindak memecah cermin belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah kereta Honda Civic yang ketika itu, pemiliknya sedang minum di sebuah warung berhampiran.

Suspek yang dipercayai mengalami tekanan akibat masalah kewangan dan rumah tangga kemudian memecahkan pula cermin depan dua lori milik Majlis Perbandaran Dungun yang ketika itu sedang menjalankan kerja membersih semak di tepi jalan terbabit.

Difahamkan selepas itu, lelaki yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu jengkaut itu menghayunkan cangkul yang dipegangnya ke arah seorang penunggang motosikal menyebabkan mangsa terjatuh ketika cuba mengelak.

Mangsa Mohd. Fairul Hizar Ruszelan, 23, yang bekerja sebagai tukang kebun di Sekolah Kebangsaan Sura berkata, dia sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya apabila secara tiba-tiba suspek muncul dan melibaskan cangkul ke arah mukanya.

“Saya sempat mengelak dengan menunduk kepala namun motosikal saya hilang kawalan menyebabkan saya terjatuh sebelum sebuah lagi motosikal melanggar dari arah belakang kerana tidak sempat mengelak,” katanya.

Dalam keadaan ketakutan dan panik itu, dia sempat melihat lelaki itu menerpa ke arahnya dan seorang lagi penunggang motosikal yang terjatuh.

Mohd. Fairul berkata, dalam keadaan kesakitan akibat kecederaan di sebelah kiri tangan dan kaki setelah terjatuh, dia segera mengangkat pemuda yang melanggar motosikalnya itu dan melarikan diri kerana bimbang dicederakan lelaki itu.

Suspek kemudiannya pergi ke Surau Ustaz Daud dan mandi di dalam kolah di surau berkenaan sebelum bertindak memecahkan tingkap surau terbabit dan cermin sebuah kereta Perodua Viva yang diletakkan di situ.

Drama amuk itu reda seketika apabila Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Paya, Zulkifli Yaman, 49, bertindak memujuk suspek yang disifatkan sebagai antara orang yang baik dan tidak pernah menimbulkan masalah sebelum ini.

Suasana itu menarik perhatian orang ramai yang melalui jalan itu menyebabkkan keadan agak sesak dengan kehadiran ramai orang ingin melihat lebih dekat kejadian itu sebelum polis tiba.

Setelah hampir setengah jam, suspek meminta agar isteri, anak dan ibunya dipanggil untuk diambil gambar oleh wartawan supaya masalah hidupnya dapat disiarkan.

Dia juga meminta agar dibelikan air sirap dan mengkehendaki isterinya sendiri menghantar air itu.

Namun setelah terlihat kelibat isterinya, suspek tiba-tiba bertindak agresif dan memecahkan bungkusan air sirap berkenaan sebelum mencekak leher Zulkifli serta cuba menghayun cangkul ke arahnya.

Melihat keadaan itu, sepasukan anggota polis berpakaian preman dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun yang telah bersedia di tempat kejadian menerpa ke arah suspek dan menahannya dengan bantuan orang ramai. — BERNAMA


'via Blog this'

Wang hilang bukan duit samun - Polis

Utusan Malaysia Online - Jenayah:


SHAH ALAM 17 Nov. - Wang tunai berjumlah RM11,700 yang dilapor hilang daripada simpanan seorang pegawai penyiasat kes samun melibatkan tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bukan hasil samun suspek kes itu seperti yang dilaporkan dalam beberapa akhbar hari ini.

Sebaliknya, Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, wang tunai itu adalah milik dua daripada tiga suspek yang ditahan dalam kes samun melibatkan kerugian bernilai US$300,000 (RM950,000) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), September lalu.

Beliau berkata, kehilangan wang itu yang disimpan dalam dompet disedari kira-kira pukul 2 petang pada 8 November lalu.

Menurutnya, pengawai penyiasat terbabit mendapati terdapat kesan umpil pada pintu bilik dan laci meja pejabatnya di bangunan lama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini.

"Berikutan kejadian itu, kita menyiasat kes ini secara terperinci dan 26 orang pegawai telah dipanggil untuk disoal siasat," katanya.

Tun Hisan berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Sambutan Deepavali peringkat IPK Selangor yang dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar di sini hari ini. Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Presiden MIC, Datuk G. Palanivel.

Akhbar hari ini melaporkan sebahagian daripada AS$300,000 (RM950,000) wang tunai dirampas daripada tiga pegawai SPRM yang menyamun pengurup wang asing di KLIA pada 15 September lalu dilaporkan hilang dalam simpanan polis.

Laporan akhbar itu turut menyebut, selain wang tunai RM11,700, dompet milik semua suspek turut hilang dari pejabat pegawai penyiasat kes itu di IPK Selangor.

Mengulas lanjut, Tun Hisan berkata, pihaknya memandang serius kes tersebut kerana ia melibatkan nama baik pasukan dan tidak teragak-agak mengenakan tindakan tegas terhadap sesiapa saja yang terlibat dalam kejadian itu.

Beliau berkata, pihaknya akan melakukan siasatan terperinci sama ada ia melibatkan kecuaian pegawai yang bertugas atau sebaliknya.


'via Blog this'

Ada kesan umpil pada pintu bilik, laci meja pejabat lama IPK Selangor

Berita Harian Online | Wang hilang milik suspek:

SHAH ALAM: Wang tunai dilapor hilang daripada simpanan seorang pegawai penyiasat kes samun membabitkan tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bukan wang hasil samun suspek kes itu seperti dilaporkan media semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata sebaliknya, wang dilapor hilang RM11,700 itu milik dua daripada tiga suspek dalam kes samun membabitkan AS$300,000 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) September lalu.

“Kehilangan wang itu yang disimpan dalam dompet, disedari kira-kira jam 2 petang pada 8 November oleh pegawai penyiasat terbabit selepas mendapati terdapat kesan umpil pada pintu bilik dan laci meja pejabatnya di bangunan lama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Majlis Sambutan Deepavali Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor yang turut dihadiri Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar di sini, semalam.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Presiden MIC Datuk G Palanivel.
Tun Hisan mengesahkan kamera litar tertutup (CCTV) tidak ditempatkan di pejabat itu, kecuali di bahagian bawah bangunan sama.

Menyifatkan insiden itu sebagai serius, Tun Hisan berkata, polis kini menyoal siasat 26 pegawai dan anggota bawahan di IPK Selangor, bagi membantu siasatan berhubung kehilangan wang tunai RM11,700 dan dompet terbabit.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 dan Seksyen 201 Kanun Keseksaan berkait perbuatan pecah masuk pejabat dan cubaan menghilangkan barang bukti.

Di KUALA LUMPUR, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar, berkata kehilangan wang itu bukan sesuatu dirancang polis bagi melindungi pegawai itu sebaliknya ia insiden jenayah.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan dan polis sedang mengesan pihak yang bertanggungjawab di atas kehilangan wang berkenaan.

“Polis tidak akan berkompromi dan melindungi mana-mana pihak yang terbabit sama ada mengambil, melarikan atau menghilangkan bahan bukti berkenaan,” katanya selepas Majlis Kursus Nadwah Ilmiah antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Sabak Bernam, semalam.

Semalam akhbar melaporkan sebahagian daripada AS$300,000 (RM950,000) wang tunai yang dirampas daripada tiga pegawai SPRM yang menyamun tiga pengurup wang asing di KLIA pada 15 September lalu dilaporkan hilang dalam simpanan polis.


'via Blog this'

Tingkap Rumah Putih pecah kena tembak

Oscar Ortega-Hernandez
Oscar Ortega-Hernandez
Polis tahan suspek serang pejabat Barack Obama

WASHINGTON: Polis menahan seorang lelaki berusia 21 tahun kelmarin disyaki terbabit dalam kejadian tembakan di Rumah Putih minggu lalu, selepas ejen persekutuan menemui dua peluru mengenai rumah agam itu, termasuk satu yang terkena tingkap.
Oscar Ortega-Hernandez ditahan polis Pennsylvania di sebuah hotel berdekatan Indiana, Pennsylvania, kata Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat, empat jam perjalanan dari bandar ini.
Tiada sesiapa dilaporkan cedera dalam kejadian tembakan waktu malam Jumaat dan Presiden Barack Obama dan isterinya Michelle berada di luar bandar ketika itu.

Peluru yang memecahkan tingkap tersangkut kerana tingkap itu kalis peluru, kata jurucakap Perkhidmatan Rahsia, Edwin Donovan. Sebutir lagi peluru mengenai bahagian luar bangunan.

Peluru terbabit ditemui di bahagian selatan Rumah Putih, di mana bilik utama dan bilik tidur Lincoln kediaman persendirian presiden terletak, selain bilik tidur lain dan ruang yang boleh digunakan keluarga pertama itu.

Pegawai perkhidmatan rahsia mendengar tembakan dilepaskan di jalanan antara 700 dan 800 meter selatan kediaman presiden.
Dua kereta dilihat keluar dari situ dengan laju. Satu daripada kenderaan terbabit kemudian ditemui ditinggalkan di kawasan berhampiran dengan raifal semi automatik di dalamnya. Ketika insiden itu, Obama berada di California sebelum menuju ke Hawaii.

Ortega-Hernandez mempunyai rekod jenayah termasuk kesalahan mengedar dadah, kesalahan berhubung arak, melawan daripada ditahan anggota keselamatan dan menyerang anggota polis, kata juru-cakap polis, Sarjan David Schlosser.

Kejadian yang berlaku pada hari Jumaat itu berlaku di Constitution Avenue, sebuah kawasan awam sibuk berdekatan sebuah kompleks beli belah, National Mall.

Anggota Perkhidmatan Rahsia mengawal sekitar tempat berkenaan yang juga dironda ramai polis.

Kawalan keselamatan diperketatkan di Rumah Putih selepas serangan yang memusnahkan bangunan kerajaan di Oklahoma City pada 1995. – Reuters
Berita Harian Online | Tingkap Rumah Putih pecah kena tembak:

'via Blog this'

Tebusan dua minit

Kosmo! Online - Negara:



AMIRUDDIN (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian barang yang dirampas daripada tiga lelaki pada sidang akhbar di Ampang Jaya semalam.


AMPANG JAYA – Cubaan tiga penjenayah warga Indonesia yang menjadikan dua daripada lima beranak sebagai tebusan untuk melarikan diri daripada kepungan polis gagal apabila kesemuanya diberkas manakala mangsa pula dapat diselamatkan.

Kejadian mencemaskan dalam tempoh kurang dua minit itu berlaku pukul 4.30 pagi di sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan berusia lingkungan 50-an di Kampung Indah Permai di sini kelmarin.

Difahamkan, suspek berusia di antara 27 dan 36 tahun yang bersenjatakan parang dan pisau memasuki banglo tersebut dengan memotong pintu jeriji besi belakang rumah sebelum memecahkan pintu dengan tong gas seberat 14 kilogram.

Selain ahli perniagaan tersebut, turut berada dalam rumah ketika kejadian itu ialah isteri dan tiga anaknya.


'via Blog this'