KUALA LUMPUR: Akibat terlalu mudah mempercayai rakan yang baru dikenali untuk menemaninya bercuti di luar negara, seorang wanita dipenjara empat tahun di Trinidad & Tobago atas kesalahan memiliki dadah.
Wan Lidyawati Abdul Majid, 25, ditahan di negara berkenaan pada 2007 selepas pihak berkuasa di Lapangan Terbang Tobago menemui 2.2 kilogram (kg) kokain dalam bagasi dibawanya. Berkongsi pengalaman selepas dibebaskan tahun ini, Wan Lidyawati berkata, dia terjebak sebagai keldai dadah empat tahun lalu apabila ditawarkan pergi bercuti oleh seorang rakan wanita yang dikenalinya empat bulan sebelum itu. Katanya, wanita itu yang digelar ‘Kak Siti’, 30-an, dikatakan mempunyai perwatakan keibuan dan sangat mengambil berat akan Wan Lidyawati yang menuntut di sebuah kolej di ibu negara. “Dia ajak saya temankan dia ke Trinidad & Tobago. Disebabkan saya rasa sudah cukup dewasa dan percayakan dia, saya pergi tanpa memaklumkan ibu di Perak. Tidak terfikir langsung saya akan ditipu,” katanya dalam rancangan bual bicara ‘Apa Kata Wanita Zamzarina’ yang disiarkan secara langsung di RTM1, petang semalam.
Turut hadir, Timbalan Menteri Luar, A Kohilan Pillay dan ibu Wan Lidyawati, Sharifah Marina Syed Hamzah.
Sempat menghabiskan masa beberapa hari bercuti dan membeli-belah di negara itu, tindakan Wan Lidyawati membawa padah apabila ditahan pihak berkuasa ketika mahu pulang ke Malaysia.
Bagaimanapun, katanya, Kak Siti menghubunginya sebelum dia ditahan dan memaklumkan bahawa Wan Lidyawati perlu memastikan bagasi yang dibawanya selamat sampai ke Kuala Lumpur.
“Bila saya tanya mengapa, Kak Siti menyuruh saya tidak panik dan memberitahu beg yang saya bawa mengandungi dadah. Apabila ditahan, saya beritahu pegawai polis dan imigresen supaya mengambil beg dan melepaskan saya. Tetapi mereka kata tak boleh," katanya.
Wan Lidyawati berkata, pada masa itu beliau langsung tidak terkejut kerana sudah dimaklumkan isi kandungan bagasi yang dibawanya tetapi hanya terfikirkan ibunya di Malaysia.
“Saya menyesal amat sangat tapi sudah tak berguna. Inilah balasan kerana tidak dengar cakap emak. Saya kumpul kekuatan dan hubungi 'Mama' (ibu) beritahu saya ditahan kerana dadah. Saya dengar suara Mama sekejap saja dan lepas itu hilang," katanya.
Dengan bantuan Kedutaan Malaysia di Caracas, Venezuela, perbicaraan di mahkamah ditangguhkan untuk mendapatkan khidmat peguam dan akhirnya Wan Lidyawati hanya dipenjara empat tahun.
Katanya, pengalaman di penjara adalah pengajaran terbesar baginya.
untuk lebih bijak dan matang menimbang baik buruk seseorang dan tidak mudah mempercayai bahawa semua kawan itu baik.
“Tak ramai orang Islam dan saya susah untuk solat. Makanan juga sangat teruk, bayangkan dalam roti diberi kepada kami ada ulat seperti ulat sampah,” katanya yang pulang ke Malaysia pada Ogos lalu. - BernamamyMetro | Jadi ‘keldai’ kerana percaya rakan baru:
'via Blog this'