Tarikh : November 13, 2011

JASIN – “Saya terus memecut laju motosikal tetapi lebah itu tetap mengekori dan menyengat kami,” kata Mohd Azri Abdullah ketika menceritakan saat cemas dia dan bapa saudaranya diserang ratusan lebah di Kampung Baru, Tanah Pinggir Meriang, Nyalas, di sini petang kelmarin.
Mohd Azri, 31, berkata, dia kemudian menahan sebuah kereta di jalan besar yang terletak kira-kira 4.5 kilometer dari tempat kejadian, bagaimanapun, bapa saudaranya, Ameen Md Tahir, 32, gagal diselamatkan apabila meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Simpang Bekoh, di sini.
Menceritakan detik cemas itu, Mohd Azri berkata, kejadian berlaku kira-kira 3 petang ketika dia dalam perjalanan untuk menoreh getah.
Menurutnya, ketika itu bapa saudaranya itu bertolak kira-kira 10 minit lebih awal ke ladang berkenaan.
“Semasa menuju ke ladang kira-kira enam kilometer dari rumah ibu di Kampung Abbey, di sini, bapa saudara saya sudah bergerak lebih awal.
“Tetapi apabila sampai di ladang, tiba-tiba saya rasa muka dan badan sakit akibat disengat, lantas saya memecut laju motosikal untuk melarikan diri daripada terus disengat.
“Namun, kira-kira 200 meter, saya memberhentikan motosikal selepas melihat motosikal arwah terbalik dan melihat dia sedang menyiram badan dengan air di tepi sebuah tong untuk mengelak sengatan lebah,” katanya.
Akibat tidak tahan disengat, katanya, dia dan bapa saudaranya yang membonceng motosikal segera beredar, bagaimanapun lebah itu terus mengekori dan menyengat mereka sehingga kira-kira 300 meter lagi.
“Sebaik tiba di jalan besar, saya menahan sebuah kereta bagi mendapatkan bantuan, namun arwah tidak dapat diselamatkan ketika dalam perjalanan ke klinik berdekatan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya, semalam.
Menurut Mohd Azree, dia hanya mengalami bengkak di bahagian belakang badan, namun terdapat lebih 100 senga-tan di tubuh arwah bapa saudaranya itu.
Sementara itu, isteri arwah, Azizah Muhamad, 31, berkata, dia mengetahui kejadian berkenaan kira-kira 3.50 petang setelah menerima telefon daripada kakak iparnya.
“Pada mulanya, saya hanya diberitahu suami digigit lebah, namun saya menerima panggilan sekali lagi ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Jasin memberitahu suami meninggal dunia.
“Arwah menghidap asma sejak sebulan lalu dan dia sejak akhir-akhir ini menunjukkan perubahan ketara,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, sebelum ini arwah ada bertanya kepada anak sulung mereka, Amylia Nur Alisha, 5, sama ada anaknya itu sayang ayah atau ibunya.
“Tapi Amylia beritahu, dia sayang kami bertiga termasuk adiknya, Amsyar Rayyan yang berusia lapan bulan” katanya.
'via Blog this'