Search This Blog

Friday, November 11, 2011

Empat pelajar maut, lima parah, 20 cedera dalam kemalangan

myMetro | Empat pelajar maut, lima parah, 20 cedera dalam kemalangan: "IPOH: Empat pelajar maut, lima cedera parah manakala 20 lagi cedera apabila bas yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Km382, Lebuhraya Utara-Selatan dekat Slim River awal pagi ini.

Ketua Polis Trafik Negeri Supt Wan Abdullah Ishak berkata, kejadian berlaku pada kira-kira 4.45 pagi ketika bas membawa pelajar dan guru daripada sebuah sekolah menengah di Kulim, Kedah itu dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.
Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Slim River untuk rawatan dan mangsa yang meninggal dunia turut dihantar ke hospital yang sama untuk bedah siasat, katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini. - BERNAMA"

'via Blog this'

Ibu tua dihalau anak tunggal

TAIPING: Seorang wanita warga emas kini hidup menumpang ehsan rumah kebajikan penjagaan warga emas milik sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) berikutan dihalau keluar dari rumah oleh anak tunggal perempuannya, selepas puas mendera mental serta fizikal warga emas itu.

Nasib malang warga emas berusia 65 tahun itu mencapai kemuncaknya awal Oktober lalu selepas dihalau dari rumah dalam keadaan sehelai sepinggang oleh anaknya itu.


Tangisan air mata dan rayuan wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Mariam ini bukan saja tidak dipedulikan, malah dia diseret keluar dari pintu pagar tanpa belas kasihan.

Lebih menyedihkan, wanita itu mendakwa anaknya turut mencelanya bersikap pengotor kerana tidak tahu menguruskan diri dan lebih sesuai tinggal di jalanan.


“Hanya Tuhan tahu perasaan saya dilayan seperti sampah oleh anak kandung yang saya jaga seperti ‘menatang minyak yang penuh’ dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang sejak kecil hingga dewasa.


“Biarpun sudah uzur, saya masih mampu menguruskan diri sendiri untuk ke tandas. Saya hanya tidak larat untuk makan dan memakai pakaian sendiri kerana tidak boleh berdiri tegak serta duduk lama,” katanya berlinangan air mata.

Mariam yang ditemui wartawan Harian Metro di sebuah rumah kebajikan penjagaan warga emas milik sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) di sini, semalam, berkata dia terlalu sedih dengan apa yang berlaku apatah lagi ketika keadaan kian uzur.


“Banyak memori suka duka kami terutama detik menyambut kelahiran anak perempuan tunggal. Kami mencurahkan sepenuh kasih sayang serta memberikan pendidikan terbaik kepadanya sehingga berjaya ke peringkat menara gading,” katanya.

Mariam mendakwa, kasihkan anak dan tidak mahu hidup kesunyian sejak arwah suaminya yang juga bekas pesara kerajaan meninggal dunia lapan tahun lalu, dia mempelawa anaknya tinggal bersama sejak lima tahun lalu.


Katanya, anak perempuannya yang sudah berumahtangga dan mempunyai tiga orang anak, bersetuju berpindah bersama keluarganya tapi kehidupan bahagia diimpikan bertukar menjadi neraka dunia buat ibu malang ini.


“Pada tahun pertama kehidupan saya bersama anak, menantu dan cucu memang bahagia. Tetapi segalanya berubah memasuki tahun kedua apabila anak saya menjadi panas baran dan pantang saya melakukan kesilapan walau kecil, pasti akan dimaki hamun.


“Ketiga-tiga cucu dengan dua daripadanya masih bersekolah menengah manakala seorang lagi sudah menamatkan persekolahan, turut melayan saya seperti orang gaji dan apa menyedihkan, anak saya langsung tidak kisahkan sikap mereka,” katanya.

myMetro | Ibu tua dihalau anak tunggal:

'via Blog this'

Lepas tembakan lerai pergaduhan

TAWAU: Seorang anggota polis terpaksa melepaskan satu das tembakan amaran bagi meleraikan pergaduhan sekumpulan lelaki di Jalan Damai, Kampung Icebox di sini, kelmarin yang berpunca daripada rasa tidak puas hati selepas berlaku kemalangan kecil, Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 5.30 petang kelmarin, kumpulan terbabit bertempiaran apabila mendengar tembakan itu, tetapi mereka ditahan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau. Sebelum kejadian, seorang lelaki yang menunggu bas di perhentian bas di Jalan Damai berkenaan didatangi dua lelaki yang membawa sebuah tukul dan sebatang besi sebelum menyerang mangsa.


Anggota polis yang kebetulan berada di kawasan itu cuba meleraikan pergaduhan terbabit, tetapi tidak dipedulikan sebelum polis terpaksa melepaskan tembakan ke udara menyebabkan dua lelaki terbabit cuba melarikan diri, tetapi berjaya ditahan. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Ibrahim Chin berkata, kejadian berpunca daripada satu kemalangan Isnin lalu apabila mangsa yang menunggang motosikal secara tidak sengaja melanggar kenderaan seorang daripada suspek.

“Kejadian itu menyebabkan suspek berang dan berlaku pertengkaran sebelum dileraikan orang ramai. Semalam (kelmarin) suspek yang tidak puas hati menunggu mangsa di perhentian di Jalan Damai, sebelum menyerang mangsa dengan menggunakan tukul dan batang besi bersama seorang rakannya,” katanya. Menurutnya, pergaduhan itu cuba dileraikan beberapa anggota polis IPD Tawau yang melakukan operasi dadah di kampung berkenaan.


Katanya, anggota berkenaan berulang kali mengarahkan dua suspek terbabit menghentikan tindakan memukul seorang lelaki, tetapi tidak dipedulikan sebelum tembakan amaran terpaksa dibuat.


“Selepas beberapa kali mengeluarkan amaran lisan, suspek masih berdegil menyebabkan polis melepaskan satu das tembakan amaran ke udara,” katanya pada sidang media di sini, kelmarin.

Ibrahim berkata, kedua- dua suspek cuba melarikan diri, tetapi dapat ditahan manakala mangsa yang berlumuran darah dihantar ke Hospital Besar Tawau untuk rawatan lanjut. Menurutnya, dua suspek itu ditahan mengikut Seksyen 326, Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya.

myMetro | Lepas tembakan lerai pergaduhan:

'via Blog this'

Pembela selesai panggil saksi

PETALING JAYA: Perbicaraan kes khalwat membabitkan pelakon Razak Ahmad dengan seorang ahli perniagaan berstatus isteri orang, lima tahun lalu berakhir selepas pihak pembelaan menutup kesnya di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam.

Peguam Syarie Muhamad Azman Karim yang mewakili Razak atau nama penuhnya Abdul Razak Ahmad, 44, membuat keputusan itu selepas memberitahu pihaknya tiada lagi saksi untuk dipanggil memberikan keterangan bagi menyokong pembelaan pelakon itu yang diperintah membela diri 30 Jun lalu.


Pendakwaan yang dijalankan Pendakwa Syarie dari Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Shafezan Rusli tidak membantah keputusan itu dan memohon tarikh hujahan ditetapkan.

Hakim Syarie Mohd Nurulazhar Mohd Tohar kemudian menetapkan 19 Januari 2012 untuk pihak pembelaan memasukkan hujahan bertulis.


Pada 14 September 2006, pelakon drama bersiri ‘Geng Surau’ itu mengaku tidak bersalah berkhalwat dengan Selamah Sahudin, 45, di sebuah rumah di Apartmen Blok A, Taman Serdang Perdana, di sini, jam 2.15 pagi pada 1 April 2006. Bagaimanapun, Selamah yang hadir bersama suaminya pada prosiding itu mengaku salah dan didenda RM2,850 atau tujuh bulan penjara. Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 20 (1)(a) bagi lelaki dan (b) bagi perempuan, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995. Mengikut fakta kes, bertindak atas maklumat awam, sepasukan penguat kuasa Jais bersama beberapa anggota polis pergi ke rumah berkenaan untuk melakukan pemeriksaan. Apabila tiba di lokasi, penguat kuasa Jais mendapati pintu utama dan jeriji berkunci manakala keadaan di dalam rumah agak gelap. Selepas mengetuk pintu beberapa minit dan memberi salam, pintu kemudian dibuka seorang wanita iaitu tertuduh perempuan dengan berpakaian lengkap. Selepas memperkenalkan diri, penguat kuasa meminta izin melakukan pemeriksaan. Pemeriksaan di bilik pertama rumah itu mendapati, pelakon terbabit dipercayai tidur dengan hanya berseluar jeans dan tidak berbaju.

myMetro | Pembela selesai panggil saksi:

'via Blog this'

Maut bantu mangsa nahas

KUANTAN: Niat murni dua lelaki membantu satu keluarga yang terbabit kemalangan di Jalan Tanjung Lumpur di sini, petang semalam, bertukar tragedi apabila mereka dirempuh lori tanah mengakibatkan seorang terbunuh selepas terperosok di bawah Perodua Myvi milik keluarga dibantu itu.

Pemandu Perodua Myvi terbabit, Norhayati Abu bakar, 44, yang berasal dari Lorong Peramu Baru 3, Taman Peramu di sini, patah kaki kanan manakala anaknya, Nurliyana Najihah Mamat, 10, Muhammad Nasrol Azit, 5, dan Muhammad Nazhan Aziq, 2, tidak mengalami kecederaan.


Mangsa yang terbunuh ialah pemilik kedai berhampiran tempat kejadian, Mustafa Deraman, 50.

Dia yang patah tulang rusuk dan patah kaki kiri dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan disahkan meninggal dunia jam 10,30 malam tadi.


Seorang lagi mangsa, Mohd Roslan Wahab, 26, hanya cedera ringan biarpun turut terperosok di bawah kereta Perodua Myvi milik Norhayati.


Mohd Roslan berkata, dia hanya membayangkan kematian apabila melihat lori tanah itu meluncur laju ke arahnya dan hanya tersedar apabila mendengar suara orang ramai membantu mengeluarkannya dari bawah Perodua Myvi berkenaan.

“Rempuhan kuat lori itu menyebabkan saya terperosok di bawah Perodua Myvi. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana selamat dan saya juga gembira kerana sempat menyelamatkan keluarga dalam kereta itu.


“Memang saya hanya memikirkan soal mati ketika melihat lori berkenaan meluncur laju ke arah saya dan saya hanya tersedar selepas mendengar suara orang ramai cuba menarik saya keluar dari bawah kereta itu,” kata Mohd Roslan.

Menurutnya, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke Kampung Sungai Derhaka di sini.


“Saya antara saksi paling awal tiba di lokasi kemalangan itu yang membabitkan sebuah Perodua Myvi dengan sebuah lori, mengakibatkan kereta itu tersadai di atas pembahagi jalan.


“Ketika saya dan beberapa orang awam berusaha mengeluarkan lima sekeluarga dari dalam Perodua Myvi itu, sebuah lori lain dari arah Tanjung Lumpur muncul dan merempuh kami.


“Saya sempat menjerit dan berlari sekuat hati untuk mengelak daripada dilanggar tetapi tetap dirempuh dan hanya sedar apabila mendengar suara orang ramai berusaha menyelamatkan saya pula,” katanya.


Isteri Mustafa, Norihan Rani, 49, yang ditemui di HTAA berkata selain suaminya, anak mereka, Mohd Aiman, 17, turut bergegas untuk memberi bantuan kepada keluarga Norhayati.


“Suami saya dirempuh lori tanah itu di depan mata Mohd Aiman dan dia anak saya kini trauma dengan apa yang berlaku,” katanya.


Sementara itu, Pegawai Penguat kuasa Tadbir/Trafik Negeri, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, pemandu lori yang merempuh Perodua Myvi itu sudah membuat laporan berhubung kejadian, namun lori pertama yang terbabit dalam kemalangan itu masih dikesan.


“Siasatan awal mendapati lori pertama merempuh satu tiang lampu dan tiga pokok sebelum melanggar Perodua Myvi. Kejadian berlaku ketika kereta itu dalam perjalanan dari Kuantan ke Peramu.


“Ketika tiba di tempat kemalangan, sebuah treler mahu membelok menyebabkan pemandu kereta Perodua Myvi memperlahankan kenderaannya tetapi sebuah lori yang berada di belakang cuba memotong di sebelah kiri.


“Pemandu lori itu melihat ada kenderaan di tepi jalan menyebabkan pemandunya masuk semula ke lorong kanan sebelum menghimpit Perodua Myvi itu.


“Lori kedua pula tidak sempat memberhentikan kenderaannya apabila melihat orang ramai berada berhampiran kereta,” katanya.

myMetro | Maut bantu mangsa nahas:

'via Blog this'

Ninja rompak emas di teksi

MIRI: Empat perompak, tiga daripadanya bertopeng ala ninja mengambil masa hanya dua minit untuk melarikan tiga beg berisi barang kemas bernilai RM2 juta daripada tiga penumpang teksi dalam rompakan berhampiran lampu isyarat ke Lapangan Terbang Miri, semalam.

Sebelum kejadian, ketiga-tiga mangsa lelaki berusia antara 39 hingga 59 tahun dari Kuala Lumpur, meninggalkan hotel penginapan dan menaiki teksi ke lapangan terbang sambil membawa contoh barang kemas ditempah dan dijual kepada peniaga di sekitar bandar raya ini, jam 3 petang.


Sumber berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, dua kilometer dari lapangan terbang berkenaan, teksi dinaiki mangsa dipintas perompak bersenjatakan kayu dan pisau yang memecahkan cermin kenderaan itu.

Menurutnya, seorang daripada penjenayah terbabit nekad merampas kunci teksi itu, membuka but kereta dan mengambil beg berisi barang kemas sebelum melarikan diri menggunakan Proton Wira berwarna perak.


“Difahamkan, ketiga-tiga mangsa sering berulang- alik dari Kuala Lumpur ke bandar raya ini bagi menjalankan urusan menjual barang kemas kepada peniaga di sini,” katanya.


Pemandu teksi yang mahu dikenali Kong Tsung, 40-an, berkata, kejadian berlaku begitu pantas sehingga dia tidak sempat mengecam kenderaan digunakan perompak terbabit.

Menurutnya, dia tidak menyedari perompak terbabit mengekori teksinya ketika mengambil tiga penumpang berkenaan di sebuah hotel di bandar raya ini.


“Saya terkejut apabila teksi saya tiba-tiba dipintas berhampiran lampu isyarat oleh tiga lelaki bersenjata pisau. Seorang daripada mereka kemudian mengugut mencederakan saya jika tidak mahu menyerahkan kunci kenderaan.

“Saya melihat seorang daripada lelaki berada di dalam kenderaan, manakala tiga lagi rakan mereka yang memakai topeng ala ninja nekad memecahkan cermin teksi saya sebelum mengambil beg dipercayai milik tiga penumpang terbabit di dalam but,” katanya.


Kong Tsung berkata, kejadian itu yang pertama dialaminya sepanjang lebih 10 tahun menyara keluarga dengan memandu teksi di sekitar bandar raya itu. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Jamaluddin Ibrahim ketika dihubungi, mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu.

myMetro | Ninja rompak emas di teksi:

'via Blog this'

Denda RM25,000

myMetro | Denda RM25,000: "MELAKA: Ibu bapa atau penjaga kanak-kanak perempuan berkenaan boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Kanak-Kanak 2001, jika didapati menganiaya mangsa.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri (Operasi/Risikan), Superintendan R Gunarajan berkata, perkara itu jelas dalam peruntukan Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.


“Mana-mana pihak, penjaga mahupun ibu bapa yang didapati melakukan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya boleh didenda sehingga RM25,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan,” katanya."

'via Blog this'

Puting beliung singgah rumah

KANGAR: Seorang warga emas hanya mampu terkedu apabila bumbung rumahnya diterbangkan ketika dia berehat dalam kejadian puting beliung di Taman Datok Wan Ahmad, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, angin puting beliung berkenan turut menerbangkan sebahagian bumbung di dua buah rumah lain berhampiran.


Penduduk Azrul Hisyam Jahaya, 36, berkata, ketika kejadian dia baru tiba di rumah ibunya, Sum Sanapi, 76, selepas mencuci kereta di kedai berhampiran.

Katanya, sebaik tiba di depan rumah, dia ternampak kepulan awan rendah sebelum membentuk puting beliung.


“Ketika itu, cuaca panas dan cerah menyebabkan saya tidak menyangka puting beliung akan berlaku kerana kebiasaannya berlaku dalam ribut dan hujan lebat.


“Sebaik sahaja puting beliung terbentuk, ia terus mengenai bumbung di sebelah rumah ibu saya sebelum bergerak ke rumah kami dan menerbangkan beberapa keping bumbungnya “Ibu (Sum) hanya terkedu ketika melihat bumbung rumah diterbangkan,” katanya.

Katanya, beberapa bumbung berkenaan turut diterbangkan ke bahagian belakang serta depan rumah, malah ada yang terjatuh ke dalam rumah yang didiami ibunya.


Katanya, kejadian puting beliung itu berlaku tiga minit sebelum ia hilang, tetapi penghuni ketiga-tiga buah rumah amat bernasib baik kerana mereka sempat keluar untuk menyelamatkan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan memaklumkan tiada kecederaan dilaporkan berlaku.

myMetro | Puting beliung singgah rumah:

'via Blog this'

MPSJ pecah rumah urut

SUBANG JAYA: Bukan saja beroperasi tanpa lesen, pusat urut ini juga mengupah pekerja warga asing tanpa permit kerja yang sah.

Ini antara penemuan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) selepas memecah masuk sebuah pusat kecantikan di Sungai Besi Indah, di sini, baru-baru ini.


Operasi diketuai Penolong Pengarah Penguat Kuasa MPSJ, Mazrul Zahar Mohd bersama tujuh anggota penguat kuasa MPSJ itu menemui empat wanita warga Thailand yang bekerja sebagai tukang urut di situ.

Tindakan dilakukan hasil aduan awam yang dijalankan atas arahan Pengarah Penguatkuasa MPSJ, Ahmad Hasan, apabila pemilik premis ingkar selepas dikenakan notis kompaun pada setiap bulan sejak Januari lalu.


Menurut Ahmad, premis terbabit berada di bawah jagaan seorang lelaki tempatan dan dipercayai memulakan operasi setahun lalu.


“Hasil pemeriksaan mendapati semua wanita warga Thailand terbabit bekerja sebagai tukang urut, manakala lelaki itu penjaga premis,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya menemui dua tilam, dua bantal, losyen dan minyak urut ketika pemeriksaan di rumah urut itu.


Menurutnya, barangan terbabit yang dijadikan bukti disita mengikut Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan (UUKPK) MPSJ 2007.

Katanya, pemilik dikenakan tindakan di bawah UUKPK MPSJ 2007 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen dan boleh didenda maksimum RM1,000.


Menurut Ahmad, tindakan tangkapan turut dikenakan ke atas tukang urut dan penjaga premis mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 iaitu kesalahan menggajikan pekerja asing tanpa permit kerja yang sah.


Operasi yang dijalankan bersama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ibu Pejabat Polis Serdang itu kali kedua membabitkan premis sama.

myMetro | MPSJ pecah rumah urut:

'via Blog this'

Telefon petunjuk

SIASAT...anggota Unit Forensik Polis memeriksa mayat mangsa di tempat kejadian.
SIASAT...anggota Unit Forensik Polis memeriksa mayat mangsa di tempat kejadian.

SUNGAI BULOH: Penemuan satu telefon bimbit milik seorang lelaki yang dibunuh dengan keadaan leher hampir putus manakala perut terburai di jirat Cina Sungai Buloh, dekat sini, malam kelmarin dipercayai boleh menjadi petunjuk bagi mencari suspek perbuatan kejam itu.

Dalam kejadian jam 9.40 malam itu, mayat lelaki berusia 20-an dipercayai warga Indonesia ditemui orang ramai yang melalui kawasan itu.


Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim, berkata motif pembunuhan masih dalam siasatan namun tidak menolak ia bermotifkan dendam.

Menurutnya, tiada dokumen ditemui pada mangsa yang berkemeja-T hitam dan seluar jean pendek.


“Mangsa berkemungkinan pekerja di kawasan berhampiran dan kami percaya ia dibunuh di tempat lain antara jam 8 dan 9 malam sebelum mayatnya dibuang di kawasan berkenaan kerana tiada kesan pergelutan ditemui.


“Senjata pembunuhan juga belum ditemui dan kemungkinan mangsa dibunuh lebih daripada seorang,” katanya.

Abdul Rahim berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.


“Orang awam yang menyaksikan kejadian itu atau mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.

“Mereka yang kehilangan ahli keluarga turut diminta datang membuat pengecaman mayat itu,” katanya.


Difahamkan, kawasan pembunuhan itu sering menjadi pilihan pasangan kekasih untuk bermadu asmara.

myMetro | Telefon petunjuk:

'via Blog this'

Saudara sedih dapat tahu kisah Mariam

IPOH: “Saya terkejut dan seperti tidak percaya dengan nasib menimpa ‘Kak Yam’ (Mariam) yang dihalau keluar dari rumah oleh anak tunggalnya,” kata saudara kepada wanita warga emas malang itu.

Omar Saleh, 43, berkata, perbuatan anak perempuan Mariam tidak boleh dimaafkan walau apa alasan kerana tergamak menyisihkan ibu yang mengandungkan, melahir dan membesarkannya.


“Nasib Kak Yam kini ibarat sebatang kara kerana kebanyakan saudaranya sudah tiada atau tidak tahu tempat tinggal mereka. Sejak berhijrah ke Ipoh bersama arwah suami yang juga dua pupu saya sekitar 1980an, dia terputus hubungan dengan saudara maranya di Tanjung Malim.

“Saya terkejut ketika Kam Yam menghubungi saya kerana kali terakhir mendengar khabar daripadanya kira-kira dua tahun lalu. “Dia pada mulanya hanya bertanyakan khabar saya dan ahli keluarga sebelum nada suaranya tiba-tiba berubah sebak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Tasek, semalam.


Omar berkata, selepas ditenangkan dan beberapa kali beristigfar, baru Mariam menceritakan kejadian menimpanya, tetapi berkata tujuan dia menghubunginya bukan untuk menumpang tinggal atau meraih simpati.


Katanya, Mariam hanya mahu memaklumkan dia kini berada di sebuah rumah kebajikan di Taiping dan meminta memberitahu anak perempuannya perkara ini jika dihubungi anaknya.

“Saya cuba memujuk Kak Yam supaya tinggal bersama keluarga, tetapi dia enggan kerana mahu kembali ke rumahnya. Saya berharap anak perempuannya supaya bertaubat nasuha atas perbuatan zalimnya ini.


“Dia perlu ingat, syurga di bawah telapak kaki ibu. Saya cukup sedih dan masih berusaha menghubunginya bagi bertanyakan kenapa bertindak demikian,” katanya.

Omar berkata, dia lega dimaklumkan bahawa nasib saudara jauhnya itu sudah mendapat perhatian sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO).

myMetro | Saudara sedih dapat tahu kisah Mariam:

'via Blog this'

Impian berkecai

KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Singapura yang ingin mencantikkan hidungnya berdepan risiko kehilangan deria bau dan sukar bernafas akibat kegagalan rawatan kecantikan muka yang dijalaninya di pusat kecantikan sejak 26 Ogos lalu.

Mangsa, yang mahu dikenali sebagai Kuo, 49, mendapatkan rawatan kecantikan untuk hidungnya di sebuah pusat kecantikan yang beroperasi di Petaling Jaya mengalami jangkitan kuman selepas beberapa kali rawatan dijalankan melalui suntikan.


Menurutnya, ketika mendapatkan rawatan, pemilik pusat kecantikan itu menyarankan dia melakukan pembedahan kecil di bahagian hidung dikenali sebagai ‘rhinoplasty’ bagi mencantikkan struktur hidungnya.

“Saya kemudian disuntik untuk kali pertama di bahagian hidung pada 14 September dengan sejenis cecair dinamakan ‘hyaluronic acid’.


“Selepas disuntik untuk pertama kali, hidung saya berasa sakit dan membengkak sehingga mengganggu tidur saya selain tekanan darah meningkat akibat masalah pernafasan.


“Seterusnya saya disuntik lagi dengan dos yang lebih kuat pada 1 Oktober sebelum hidung saya mula mengeluarkan nanah dan kulit mula menggelupas,” katanya ketika ditemui dalam sidang media di Wisma MCA, semalam.

Tertekan dengan masalah yang dihadapinya itu, Kuo pulang ke Singapura dan berjumpa dengan doktor yang kemudian mengarahkannya menghentikan segera pengambilan glukosa seperti disarankan pusat kecantikan itu.


Katanya, dia kerugian hampir RM16,000 sebagai bayaran prosedur kecantikan yang dilaluinya dan lebih mengejutkan, pengusaha pusat kecantikan berkenaan tidak mahu bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku kepadanya.

Beliau berkata, dia bercadang menyaman pusat kecantikan berkenaan bagi mendapatkan ganti rugi.


Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, setakat ini, pihaknya menerima lebih daripada 14 kes serupa dan hanya membabitkan seorang lelaki manakala selebihnya wanita.


“Pihak kami akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan menyarankan mereka membuat pemeriksaan terhadap setiap pusat kecantikan yang beroperasi,” katanya.


myMetro | Impian berkecai:

'via Blog this'

Terjun motosikal elak ditahan

KUANTAN: Seorang warga emas berusia 64 tahun dan sepasang kekasih yang melakukan aksi berani mati dengan terjun dari motosikal antara 35 penagih yang ditahan dalam operasi pencegahan dadah di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Tanah Putih, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, taktik warga emas itu yang mendakwa datang ke jeti berkenaan untuk bertemu rakannya, gagal selepas polis mendapati dia berada dalam keadaan mencurigakan manakala pasangan kekasih berusia 26 dan 21 tahun pula dipercayai ‘lalok’, nekad terjun dari motosikal yang mereka naiki bagi mengelak ditahan.


Pasangan itu turut melarikan diri ke dalam perkarangan bangunan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Kuantan dalam usaha mengelak diberkas tetapi segala usaha yang mereka lakukan tetap gagal apabila diberkas polis selepas bergelut.

Wanita berusia 21 tahun itu mengaku mengambil dadah sejak berusia 19 tahun dan dia sering dilihat orang ramai di jeti LKIM Tanah Putih yang dijadikan lokasi penagih di bandar ini.


Dalam Ops Tapis diketuai Inspektor Izzudin Zulkifly dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kuantan yang dibantu anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang itu, 35 penagih termasuk seorang warga Myanmar berjaya ditahan.


Timbalan Ketua Polis daerah, Superintendan Zulkifli Taha, berkata polis terpaksa menahan warga emas berasal dari Tanah Putih dan pasangan kekasih berkenaan untuk siasatan lanjut dan motosikal milik pasangan itu turut dirampas untuk diperiksa.

Zulkifli berkata, semua yang ditahan termasuk warga emas itu disahkan positif morfin sebelum semua penagih berkenaan dibawa ke IPD untuk siasatan.

myMetro | Terjun motosikal elak ditahan:

'via Blog this'

Gadis lari bersama pengkid mohon maaf

myMetro | Gadis lari bersama pengkid mohon maaf: "JOHOR BAHRU: “Yoyot memaklumkan yang dia hanya makan makanan ringan dan minum air saja untuk dua hari sebaik tiba di Klang, Selangor bagi mencari kerja.

“Pada masa sama, rakan yang mahu mencarikan Yoyot kerja turut memintanya kembali ke pangkuan keluarga selepas beritanya melarikan diri bersama pengkid tersiar di Harian Metro,” kata Kamariah Abu Bakar, 56, semalam.


Yoyot atau nama sebenarnya, Juli Bibi Amirriah Amir Khan, 19, dipercayai melarikan diri bersama teman pengkid pada 1 November lalu dari kediaman keluarganya di Taman Megah Ria, Masai di sini.

Menurut Kamariah, Yoyot bersama pengkid terbabit yang dikenali sebagai Norliza atau Is, 23, pulang semula ke rumah sehari sebelum Aidiladha.


Katanya, Yoyot dan Is memohon maaf kepada seluruh ahli keluarganya dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan mereka.


“Yoyot turut memaklumkan dia menangis kerana tidak makan dan menyesal dengan perbuatannya. Dia mengatakan tidak dapat membeli makanan kerana kehabisan wang selepas membeli tiket bas untuk ke Klang,” katanya."

'via Blog this'

Sorok Pajero dengan ranting

MERSING: Seorang warga emas berusia 63 tahun berasal dari Gemas, Negeri Sembilan, sanggup menggadai nyawa demi memperoleh pendapatan sehingga RM300 sehari dengan mendulang emas secara haram di Hutan Simpan Jemaluang berhampiran Kilometer 9, Jalan Mersing-Jemaluang di sini, semalam.

Warga emas terbabit yang mendulang emas sebagai kerjaya tetap sanggup meninggalkan keluarga untuk tempoh masa panjang bagi memastikan hasrat memperoleh pendapatan lumayan tercapai.


Bagaimanapun, kegiatan warga emas terbabit bersama kumpulannya sejak bertahun lalu akhirnya ditumpaskan Pejabat Hutan Daerah Mersing selepas dia bersama lima yang lain ditahan dalam satu operasi khas.

Ketika mendedahkan perkara itu, Pegawai Hutan Daerah Mersing, Zubait Said, berkata keenam-enam lelaki terbabit ditahan pada jam 10 pagi semalam.


“Kami melakukan risikan dan intipan sejak beberapa hari lalu sebelum menyerbu lokasi berkenaan dengan bantuan penguat kuasa daripada Pejabat Tanah dan Galian Daerah Mersing.


“Pada mulanya, tujuh lelaki didapati sedang mendulang menggunakan kuali tetapi seorang melarikan diri,” katanya.

Menurut Zubait, lelaki terbabit berusia antara 26 hingga 63 tahun dengan dua daripadanya penduduk tempatan, manakala empat lagi dari Gemas.


Zubait berkata, kumpulan yang datang dari Gemas itu memasuki lokasi berkenaan dengan menaiki pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero.

“Mereka menyorokkan Pajero itu dengan ranting kayu bagi mengelak ia dikesan. Bagaimanapun, kami tidak menemui sebarang emas yang sudah diperoleh kumpulan terbabit.


“Mereka mungkin sudah membuangnya untuk mengelak daripada dijadikan bahan bukti,” katanya.


Menurut Zubait, lelaki berusia 26 tahun yang ditahan itu pernah ditahan pihaknya sebelum ini di lokasi mendulang emas lain.


Beliau berkata, hasil siasatan awal, pendulang akan menjual emas ditemui pada harga lebih rendah daripada harga pasaran.


“Pendulang emas haram mengenali orang tengah yang akan membelinya pada harga mungkin 10 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.


“Mereka akan bertemu di lokasi tertentu dan biasanya, akan terus beredar selepas melakukan transaksi bagi mengelak daripada ditahan pihak berkuasa jika kegiatan itu berjaya dikesan,” katanya.


Dalam operasi dijalankan 20 penguat kuasa daripada kedua-dua agensi berkenaan, sebuah Pajero, tiga motosikal, dulang serta enjin pam turut disita bagi membantu siasatan.


Pendulang emas haram terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 81 Akta Hutan Negara 1984, sabit kesalahan boleh didenda RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

myMetro | Sorok Pajero dengan ranting:

'via Blog this'

Sampel gigi manusia ditemui di lokasi bunuh



PATHMANABHAN (berkaca mata) bersama dua tertuduh lain diiring keluar dari Mahklamah Tinggi Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Seorang pegawai pergigian forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Norhayati Jaffar mengesahkan di Mahkamah Tinggi di sini semalam bahawa tujuh sampel yang diperoleh daripada Sungai Panchau, Banting, dekat sini pada September 2010 adalah gigi manusia.

Saksi pendakwaan ke-69 dalam perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu yang lain memutuskan perkara itu selepas membuat ujian morfologi, anatomi, saiz dan imej sinar-X yang diperoleh daripada sampel tersebut.

Menurut Norhayati, 38, dia membuat pengesahan berdasarkan akar gigi yang terdapat pada sampel tersebut. Ada juga sampel yang mempunyai tisu gigi.

"Jika dibandingkan dengan haiwan, persamaan yang paling dekat adalah dengan mawas, tetapi saiznya akan lebih besar," katanya semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff di Mahkamah Tinggi di sini.

Sampel itu diperiksa pada 17 September 2010 di bilik mayat HKL atas permintaan Pakar Perubatan Forensik, Dr. Nurliza Abdullah, 46, yang menemui spesimen dipercayai gigi semasa menjalankan pemeriksaan kepada semua 2,040 spesimen yang dikumpulkan dalam siasatan kes itu.

Nurliza yang merupakan saksi pendakwaan ke-63 kemudian membuat kesimpulan bahawa 2,030 spesimen adalah berkemungkinan besar tulang manusia.

Pada prosiding semalam, Norhayati semasa soal balas oleh peguam Manjeet Singh bagaimanapun bersetuju terdapat percanggahan dalam laporan yang disediakan olehnya dan Nurliza.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'