Search This Blog

Thursday, November 10, 2011

Amuk nenek tutup suis komputer

 KUALA LUMPUR: Seorang cucu yang bengang selepas neneknya menutup suis ketika dia asyik bermain permainan komputer bukan saja bersikap kurang ajar apabila bertengkar dengan neneknya, malah remaja lelaki berusia 15 tahun itu juga cuba menetak bapa saudaranya dengan parang.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam kelmarin di rumah remaja itu di Batu 4, Jalan Gombak, Setapak di sini, neneknya yang berusia 70-an sebenarnya mahu menutup alat pendingin hawa, namun tidak menyangka suis itu bersambung dengan komputer milik cucunya yang ketika itu leka bermain permainan komputer.

Kesilapan nenek itu menimbulkan kemarahan cucunya kerana permainannya tergendala lalu mengamuk dan menghamburkan kata-kata kesat terhadap neneknya itu.

“Nenek berkenaan yang tersentak dengan tindakan cucunya itu memarahi sikap biadab remaja terbabit yang tidak menghormati orang tua, namun teguran itu langsung tidak diendahkannya,” katanya.


Sumber polis berkata, tidak cukup dengan itu, sikap panas baran cucunya semakin menjadi-jadi apabila merentap wayar penghawa dingin dalam bilik itu hingga terputus.

Rintihan isteri nahas kereta


IPOH: “Saya mahu menatap wajah abang buat kali terakhir,” begitu kata pengurus bank, Mukrimah Hamzah, 37, sambil berlinangan air mata sejurus mengetahui suaminya, Aidi Kharsana Ahmat, 38, terbunuh dalam kemalangan ngeri di Kilometer 315.9 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Tapah, kelmarin.
Permintaan wanita itu menyebabkan suasana di Wad 4B, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bertukar hiba kerana hajat itu tidak dapat ditunaikan ahli keluarganya berikutan keadaan dirinya yang cedera parah.

Dalam kejadian jam 10.20 malam, kereta Perodua Alza dipandu Aidi bersama Mukrimah dan lima anak mereka melanggar belakang sebuah lori menyebabkan ia melintang di laluan paling kanan lebuh raya sebelum kenderaan mereka dirempuh pula sebuah kereta yang gagal mengelak.

Rempuhan itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di beberapa anggota badan dan kepala manakala Mukrimah serta seorang anak, Mohd Mukhriz Shah, 3, cedera parah. Bagaimanapun empat lagi anak mangsa hanya cedera ringan dan sudah dibenarkan keluar hospital.

Mukrimah patah kaki kiri selain kulit kepalanya terkoyak serta luka di beberapa bahagian badan manakala Mohd Mukhriz patah kaki kanan dan menerima rawatan di HRPB.

“Saya tidak tahu bagaimana kejadian itu berlaku dan sebaik tersedar antara jam 3 hingga 4 pagi tadi (semalam), saya mendapati sudah berada di wad hospital.

“Saya diberitahu suami dirawat di Hospital Tapah manakala lima anak dirawat di sini. Namun, saya hanya tahu suami sudah meninggal dunia tengah hari semalam,” katanya.

Mukrimah yang ditemui wartawan Harian Metro di HRPB jam 2.15 petang semalam berkata, keluarganya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Sungai Petani, Kedah selepas menyambut Aidiladha di rumah saudara-mara suaminya di Melaka dan Johor.

Katanya, mereka bertolak dari Pontian, Johor jam 11 pagi melalui jalan lama dan singgah di Nilai, Negeri Sembilan untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan.

“Kami sepatutnya pulang ke Kedah kelmarin (Isnin lalu), tetapi abang demam dan batuk. Selepas berbincang, kami memutuskan pulang pagi semalam (kelmarin) bagi membolehkan abang berehat secukupnya,” katanya.

Suspek belasah bekas tunang dicekup selepas dua minggu

 KUALA TERENGGANU: Dua lelaki dan seorang wanita yang membelasah bekas tunang adik perempuan salah seorang daripada mereka berjaya diberkas dalam tiga tangkapan berasingan di sekitar Kerteh, awal pagi semalam.
Ketiga-tiga mereka yang berusia antara 21 hingga 32 tahun, ditahan di rumah masing-masing antara jam 1.30 hingga 3.30 pagi, selepas hampir dua minggu usaha mengesan dilakukan pihak berkuasa.

Penahanan dua lelaki dan wanita itu berikutan laporan seorang lelaki berusia 20 tahun yang cedera dibelasah menggunakan buku lima dan pengunci stereng kereta selama hampir setengah jam, dipercayai berpunca perselisihan faham antara mereka sebelum mangsa ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Baru Labohan, Kerteh pada pada 26 Oktober lalu.

Menurut sumber, dua lelaki dan wanita itu bertemu mangsa ketika dia keluar dari sebuah kedai serbaneka di Pusat Niaga Paka, Dungun kira-kira jam 11 pagi, untuk ke kereta Perodua Kancil miliknya yang diletak di tepi jalan.

Seorang daripada lelaki berkenaan yang juga abang kepada bekas tunangnya menepuk belakang badan mangsa dan memaksanya masuk ke dalam kereta berkenaan.

“Bimbang kejadian tidak diingini berlaku, mangsa yang mengenali semua mereka mengikut arahan dan duduk di bahagian belakang dengan diapit abang kepada bekas tunangnya dan seorang lagi lelaki yang juga ahli keluarga bekas tunangnya.

“Wanita berkenaan memandu kereta mangsa menghala ke Kemaman sebelum memberhentikan kereta itu di tepi jalan di Kampung Baru Labohan, Kerteh, 20 minit kemudian.

“Mereka memaksa mangsa keluar dari kereta sebelum sebuah lagi kereta dinaiki seorang lelaki tiba. Mangsa kemudian dipukul menggunakan buku lima dan pengunci stereng kereta di bahagian badan dan kepala selama hampir 30 minit,” katanya.

Menurutnya, mereka turut merosakkan kereta mangsa serta mengambil beg duitnya mengandungi wang tunai RM100 dan telefon bimbit.

“Suspek turut membawa pulang kereta mangsa sebagai cagaran dan menyuruh bapanya datang ke rumah seorang daripada mereka jika mahu mengambil kereta itu semula bersama sejumlah wang,” katanya

Tikam tujuh kali

 ALOR GAJAH: Seorang pemuda bermotosikal menggemparkan penduduk di sini apabila bertindak ganas merompak dan menikam dua mangsa termasuk peniaga wanita warga emas di lokasi berlainan dalam tempoh hanya setengah jam, petang semalam.
Difahamkan, suspek yang dianggarkan berusia antara 25 dan 30 tahun menikam sehingga mati ketika merompak peniaga kedai runcit, Tey Ah Keh, 64, di Kampung Parit Melana, dekat sini, dalam kejadian pertama 1.45 tengah hari.

Suspek kemudian dipercayai merompak dan menikam seorang lagi mangsa, iaitu peniaga telefon bimbit, Alvin Cham Boon Chuen, 32, di sebuah premis di Taman Angsa Mas, Gangsa, yang terletak kurang 10 kilometer dari tempat kejadian pertama jam 2.15 petang.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, mayat Tey dijumpai orang ramai dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah di pintu masuk kedainya.

Katanya, ketika kejadian mangsa yang berseorangan dipercayai didatangi suspek dan berlaku pergelutan sebelum mangsa meninggal dunia.

“Siasatan awal mendapati mangsa ditikam tujuh kali apabila tiga tikaman pada bahagian rusuk kanan, masing-masing satu tikaman di perut dan dada. Dua tikaman lagi di pangkal paha, dipercayai mangsa ada bergelut untuk cuba melawan suspek yang menggunakan senjata tajam.

“Kami juga percaya suspek melarikan hasil jualan mangsa, namun jumlahnya masih dalam siasatan dan tiada senjata yang dijumpai,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang melihat kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah di talian 06-5562222 untuk membantu siasatan.

Sementara itu, dalam kejadian kedua, Alvin cedera parah selepas ditikam dua kali di bahagian perut dipercayai oleh suspek sama dan kini menerima rawatan di Hospital Pantai.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri (Risikan/Operasi), Superintendan R Gunarajan berkata, polis kini giat memburu suspek selepas meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai berkenaan.

“Siasatan mendapati ketika kejadian mangsa didatangi suspek yang ketika itu berpura-pura membeli kad tambah nilai dan kemudian terus menikam mangsa.

“Kita percaya terdapat pergelutan selepas tikaman apabila mangsa mempertahankan diri menggunakan rotan sebelum suspek melarikan diri menaiki motosikal yang diletakkan berhampiran,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian mendapatkan bantuan orang ramai sebelum dikejarkan ke hospital.

Katanya, jumlah kerugian dan rakaman CCTV masih disiasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

“Saksi melihat suspek berbaju T merah, berseluar jean biru dan kasut putih melarikan diri menggunakan motosikal jenis Honda EX5. Kami kini giat memburu suspek hasil rakaman CCTV yang diperoleh,” katanya.

Lihat darah terpercik di lantai

 ALOR GAJAH: “Ketika kejadian, saya dan cucu, Yap Jing, 2, sedang tidur di bahagian belakang kedai dan tidak mengetahui mengenai kejadian ini.
"Namun, saya terkejut apabila bangun dan ke bahagian depan mendapati barangan berselerakan dan darah bertaburan di lantai serta pintu kedai sudah berkunci,” kata Lee Yon Pa, 70, ibu kepada mangsa rompak dan tikam di Taman Angsa Mas, Gangsa, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.15 petang itu, Alvin Cham Boon Chuen, 32, dari Machap Umboo, parah apabila ditikam seorang pemuda lingkungan 25 dan 30 tahun yang berpura-pura menjadi pelanggan di kedai telefon bimbit milik mangsa.

Lee berkata, dia yang panik melihat tompokan darah di lantai kedai itu menghubungi anak sulungnya untuk mendapatkan bantuan bagi membuka pintu kedai.

Katanya, dia hanya mengetahui mengenai nasib yang menimpa anaknya selepas dimaklumkan orang ramai.


“Anak saya berniaga sejak lima tahun lalu dan ini kejadian pertama menimpanya. Kebiasaannya jika hendak keluar dia akan memaklumkan kepada saya.

“Tetapi tadi (semalam), saya hairan apabila ke bahagian depan kedai, dia tiada dan hanya kesan darah terpercik di lantai. "Saya dan cucu bernasib baik kerana penjenayah tidak tahu kami berada di bahagian belakang kedai, jika tidak pasti kami turut menjadi mangsa," katanya ketika ditemui di tempat kejadian

Rahsia kawan baik mati


MERSING: Hasrat murni seorang remaja menghantar rakan baiknya pulang ke rumah bertukar tragedi apabila dia meninggal dunia selepas motosikal ditunggang terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 3, Jalan Endau–Mersing, di sini, malam semalam.
Dalam kejadian jam 11.45 malam itu, Mohd Zakwan Abd Razak, 19, juruteknik sebuah syarikat swasta di bandar ini meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala rakan baiknya, Izzat Fahmi Ibrahim, juga 19 tahun, patah kaki kiri.

Kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Exora yang datang dari arah Endau.

Zakwan dikatakan dirempuh dan diseret treler yang datang dari arah Mersing, kurang 50 meter dari simpang rumah Izzat di Kampung Makam.

Saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Anuar, 38, berkata ketika itu dia menonton televisyen di gerainya berhampiran sebelum dikejutkan dengan dentuman kuat.

“Ia diikuti bunyi seretan lalu saya bergegas untuk melihat apa yang berlaku. Sebaik tiba, mangsa tidak bernyawa manakala pembonceng motosikal pula tercampak di tepi jalan.

“Orang ramai membantu menghantar mangsa hospital,” katanya.

Ibu Izzat, Norliza Ali, 45, yang ditemui di Hospital Mersing memaklumkan bahawa anaknya ada bertanyakan Zakwan, namun dia tidak menceritakan hal sebenar bimbang remaja berkenaan terkejut.

“Izzat masih tidak tahu nasib Zakwan. Izzat hanya memaklumkan rakan baiknya itu beria-ia menjemputnya dari tempat kerja.

Campak teman wanita dalam longkang


KAJANG: Seorang wanita dicampak ke dalam longkang, sebelum diheret dan kepalanya dihentak pada kereta selepas bertengkar dengan teman lelakinya dalam kejadian di tepi Lebuh raya Utara-Selatan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Serdang, Ahad lalu.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa bersama teman lelakinya dalam perjalanan dari Seremban ke Sungai Besi sebelum berlaku pertengkaran dipercayai cemburu.

Sumber berkata, apabila pertengkaran semakin memuncak, teman lelakinya memberhentikan kereta di bahu jalan sebelum mengarahkan mangsa turun.

Katanya, tidak mahu pertengkaran berlarutan mangsa kemudian turun. Tetapi sebaik turun, teman lelakinya itu tiba-tiba meluru ke arahnya.

“Sebaik mendekati mangsa, teman lelakinya kemudian mengangkat mangsa dan mencampaknya ke dalam longkang tidak jauh dari tempat kejadian walaupun mangsa merayu agar tidak diperlakukan demikian.

“Tidak cukup dengan tindakan itu, lelaki itu kemudian mengheret mangsa ke kereta sebelum menghantuk kepala mangsa pada kenderaan itu,” katanya.

Menurut sumber, mangsa yang menahan kesakitan akibat hentakan itu rasa kesal terhadap teman lelakinya yang kemudian mempelawa untuk menghantarnya pulang ke rumahnya. Mangsa yang enggan menerima pelawaan itu kemudian membuat laporan polis.

Bekas kontraktor didakwa perdaya ahli perniagaan

 SHAH ALAM: Seorang bekas kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menipu ahli perniagaan dengan mendakwa boleh mendapatkan dua kawasan konsesi pembalakan seluas 180 ekar (kira-kira 73 hektar) di Terengganu bernilai RM426,740, lapan tahun lalu.
Choong Soon Sing, 46, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.

Dia didakwa memperdaya Leong Sow Lai, 50, dengan memberitahu bahawa dia boleh mendapatkan kawasan konsesi pembalakan di Gapi, Bukit Paun, Terengganu seluas 30 ekar (kira-kira 12 hektar).

Lelaki itu juga mendakwa boleh mendapatkan satu lagi kawasan konsesi pembalakan di Hulu Berang, Terengganu seluas 150 ekar (kira-kira 60 hektar).

Perbuatannya mendorong Leong menyerahkan RM426,740, yang tidak akan berlaku jika dia tidak diperdayakan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Aslam membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan supaya menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Beliau juga menetapkan sebutan semula kes pada 7 Disember ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Asma Nadiah Abd Rahman mencadangkan tertuduh dibenarkan jaminan RM50,000.

Bagaimanapun, Choong yang tidak diwakili peguam memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan menanggung empat anak dan menyara ibu bapanya.

Selain itu, dia yang kini bekerja menjaga ladang hanya mampu menyediakan antara RM4,000 dan RM5,000 saja.

4 cubaan bawa dadah

 SEPANG: Empat cubaan membawa masuk dadah ke negara ini berjaya ditumpaskan pihak kastam selepas pemeriksaan rapi terhadap tiga rakyat asing dan seorang lelaki tempatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, dalam tempoh 24 jam baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) KLIA, Datuk M Govinden berkata, percubaan pertama membabitkan remaja tempatan berusia 19 tahun yang tiba dari Hong Kong dengan sebuah bagasi berisi 15 bungkusan putih ditutupi kertas karbon pada jam 1.15 tengah hari, Sabtu lalu.

“Bagasi itu menunjukkan imej mencurigakan ketika melalui mesin pengimbas dan apabila pemeriksaan dilakukan, terdapat serbuk putih kristal di dalamnya. “Ujian awal menggunakan kit menunjukkan ia dadah jenis ketamine dengan berat 5.4 kilogram (kg) bernilai RM102,600,” katanya pada sidang media, di sini, semalam. Govinden berkata, percubaan kedua dan ketiga membabitkan dua lelaki dari Eropah berusia 53 dan 42 tahun yang tiba melalui penerbangan dari Dubai ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan pada jam 10.20 dan 10.30 malam pada hari sama selepas diperhatikan pegawai kastam.

“Bagasi dibawa suspek pertama menunjukkan imej meragukan ketika melalui mesin pengimbas. Curiga dengan lelaki terbabit, pegawai kastam melakukan pemeriksaan rapi terhadap bagasinya. “Kami menemui syabu atau methamphetamine seberat 4.25 kg dianggarkan bernilai RM1.06 juta. Ia disembunyikan di ruang yang direka khas pada bahagian bawah bagasi,” katanya. Menurutnya, suspek kedua yang ditahan 10 minit kemudian pada awalnya cuba keluar sehelai sepinggang, malah selepas ditanya lelaki terbabit memberitahu memasuki negara ini tanpa membawa bagasi. “Pegawai kastam memeriksa tiket penerbangannya dan mendapati memang ada bagasi. Imbasan pada bagasi tidak menunjukkan imej mencurigakan, tetapi selepas diperiksa. ada syabu pada ruang khas bawah bagasi seberat 4.25 kg dianggarkan bernilai RM1.06 juta.

“Siasatan mendapati mereka berdua sebenarnya rakan dan dijangka berada di negara ini kira-kira 10 hari, malah sudah menempah hotel lima bintang di Ampang, Selangor,” katanya. Beliau berkata, dalam masa tidak sampai dua jam selepas kes ketiga, seorang lelaki warga Nigeria berusia 33 tahun dari Bangkok didapati membawa masuk syabu seberat 0.35 kg dianggarkan bernilai RM87,500.

“Empat suspek itu kini direman tujuh hari mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan membawa hukuman mati mandatori,” katanya.