Search This Blog

Tuesday, November 8, 2011

Nekad selamatkan diri, bayi


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : November 6, 2011
selamatkan bayi

PINANG TUNGGAL - Tindakan seorang ibu muda yang dalam pantang bersalin menyelamatkan diri dan bayinya berusia lapan hari selepas melihat bumbung rumah bergoyang sebelum diterbangkan angin berjaya menyelamatkan mereka.

Sebaik berjaya keluar dari rumah milik bapanya di Kampung Permatang Saga itu, kayu bumbung mula patah dan menghempap bahagian bilik dapur dalam kejadian ribut di sini, petang semalam.

Norsyafira Saidin, 22, berasakan ada kekuatan dalam diri untuk dia menyelamatkan anak sulung, Nur Izzati.

Menurutnya, semasa kejadian ribut itu dia ditemani kakak dan abang iparnya, Mohd Nasir Che Ani yang ketika itu tidur diruang tamu bersama dua anak mereka.

Manakala suaminya, Azhar Abdul Hamid, ibu dan ayahnya belum pulang dari tempat kerja masing-masing.

Jelas Nursyafira lagi, selepas bersalin Sabtu lalu dia kurang sihat, kerana masih mengalami kesakitan dan lebih banyak tidur dari bergerak, malah urusan membersihkan bayinya itu dilakukan kakaknya, Norsafida Saidin, 28 .

“Sekitar jam 4 petang ketika sedang menyusunya, Nur Izzati tiba-tiba menangis selama 20 minit membuatkan saya terkejut dan dalam masa sama sebaik memandang ke atas, saya melihat bumbung rumah bergoyang ditiup angin,” katanya.

Menurutnya, bimbang keselamatan diri, dia bangun dan mengendong bayinya itu keluar rumah dan ternyata tindakannya itu bertepatan, kerana beberapa saat kemudian bumbung rumah diterbangkan angin sebelum kayu kerangkanya patah dan menghempap bahagian dapur.

“Dalam keadaan hujan lebat saya memberanikan diri keluar menyelamatkan diri dan anak,” katanya yang kemudian dibawa mendapatkan perlindungan di rumah jiran selepas rumahnya dimasuki hujan.

Nekad selamatkan diri, bayi - Utara - Sinar Harian:

'via Blog this'

Buaya tembaga dewasa jadi tumpuan


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : November 6, 2011
buaya

MASJID TANAH - Kewujudan seekor buaya ­tembaga dewasa yang bersidai di tebing Sungai Lubok China, dekat sini, menimbulkan rasa teruja penduduk dan sesiapa sahaja yang melalui jambatan Lubok China, pagi semalam.

Buaya tembaga yang panjangnya hampir tiga meter dan sebesar perahu kecil itu pada mulanya muncul dan menyusur dari Sungai Y melalui Sungai Timun sebelum mendarat dan bersidai di tebing Sungai Lubok China, di sini.

Penduduk, Norazli Ahmad, 40, berkata, reptilia itu kelihatan apabila air sungai surut berikutan ­terdapat banyak jenis buaya tembaga di sepanjang sungai berkenaan, namun belum pernah ­mengancam nyawa manusia.

Menurutnya, kebiasaannya buaya tembaga ­dewasa dilihat muncul di permukaan air sungai yang surut atau di tebing dengan jumlah banyak antara tiga hingga empat ekor tetapi semalam, hanya seekor sahaja kelihatan.

“Terdapat dua jenis buaya dalam sungai ini iaitu tembaga dan katak. Lazimnya pada musim panas, buaya ini akan naik ke tebing sungai untuk berjemur.

“Bukan sahaja orang ramai, saya sendiri turut teruja melihat kelibat buaya di sini,” katanya.

Norazli berkata, sepanjang dia membesar di sini, belum pernah dia terdengar buaya mengganggu dan mengancam keselamatan penduduk ataupun orang ramai yang terserempak kelibat buaya di sungai.

“Walau bagaimanapun, penduduk di sini ­sentiasa berhati-hati.

“Buaya yang muncul ini saiznya agak kecil ­berbanding sebelum ini saiznya sebesar bot pancung dan panjangnya kira-kira 13 meter,” katanya.

Buaya tembaga dewasa jadi tumpuan - Melaka & NS - Sinar Harian:

'via Blog this'

Enam pusat cuci kereta haram warga asing disita


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : November 7, 2011
operasi


SUNGAI BULOH – Enam pusat cuci kereta haram diusahakan warga asing disita penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam satu operasi di sini.

Meskipun pernah dikenakan tindakan kompaun dan amaran beberapa kali sebelum ini, pusat cuci kereta terbabit masih berdegil dan meneruskan operasinya seperti biasa menyebabkan tindakan lebih tegas akan diambil selepas ini.

Pegawai Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, tindakan sitaan itu adalah yang terakhir dan jika pusat berkenaan masih berdegil, MBSA akan merobohkan binaan yang menempatkan enam pusat mencuci kereta terbabit yang terletak di Bandar Baru Sungai Buloh dan Subang 2 (U5) dekat sini.

Menurutnya, barangan yang disita termasuklah mesin hampagas, penyembur air dan peralatan lain dari premis terbabit.

“Kita menerima banyak aduan dari premis berhampiran dan penduduk setempat mengenai pusat cuci kereta yang turut mengotorkan kawasan setempat berikutan sistem saliran dan lokasinya yang tidak sesuai,” katanya

Beliau berkata, tindakan diambil di bawah Undang-undang Kecil Perindustrian Tred Perindustrian dan Perniagaan MBSA (2007), Peruntukkan Tiga iaitu menjalankan perniagaan tanpa lesen.

“MBSA juga mempunyai kuasa untuk membolehkan tindakan sitaan diambil di bawah Peruntukkan 38 (1) Undang-undang kecil sama,” katanya.

Enam pusat cuci kereta haram warga asing disita - Selangor & KL - Sinar Harian:

'via Blog this'

Tragedi petang raya


Oleh : ROSNANI SAAD
Tarikh : November 7, 2011
Jenazah-Mohd-Shahrol-Nizam-dihantar-ke-Unit-Forensik-HSB-untuk-bedah-siasat

ALOR SETAR - Kemeriahan menyambut Hari Raya Aidiladha sebuah keluarga di Kubur Panjang, Pendang, berakhir dengan suasana pilu apabila anak bongsu mereka ditemui lemas di Sungai Rambai, Kampung Lubuk Batu, yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah mereka.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 1.30 petang semalam, mengorbankan Mohd Shahrol Nizam Idris, 11, yang ketika itu sedang mandi bersama dua lagi sahabat karibnya.

Anak bongsu daripada enam beradik ini merupakan murid tahun lima di Sekolah Kebangsaan Kubur Panjang dan bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun hadapan.

Sinar Harian difahamkan, mangsa yang tersangkut pada tandup dibawa ke tebing sungai oleh rakan-rakannya sebelum dihantar oleh penduduk kampung ke Klinik Kesihatan Kubur Panjang, dan disahkan meninggal dunia.

Mayat Mohd Shahrol Nizam kemudian dihantar ke Balai Polis Kubur Panjang sebelum dibawa oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Pendang dan polis ke Unit Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Pendang, Deputi Superintendan Abdul Aziz Ahmad ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).


Mangsa lemas pakai baju raya

Sementara itu, bapa mangsa, Idris Mat Hashim, 49, berkata, kali terakhir melihat anaknya ialah ketika bersalam dan memeluknya selepas selesai solat sunat Aidiladha.

“Selepas memeluk saya, dia yang ketika itu memakai baju Melayu berwarna kuning air tidak terus pulang ke rumah sebaliknya menunggang motosikal saya dan bersiar-siar dengan kawan-kawannya di sekitar kampung.

“Kira-kira jam 1.30 petang, seorang rakannya datang ke rumah memaklumkan bahawa arwah lemas ketika mandi di sungai, dia tahu berenang malah hampir setiap hari mandi di sungai itu bersama kawan-kawannya,” katanya yang tidak menyangka kejadian itu akan berlaku.

Idris berkata, anak bongsunya itu sangat manja dengannya namun tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian itu.

“Kehilangannya sangat dirasai apatah lagi saya sendiri yang mengangkat mayatnya dari tebing sungai,” katanya.

Jenazah Mohd Shahrol Nizam akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ga, Kubur Panjang.

Tragedi petang raya - Utara - Sinar Harian:

'via Blog this'

Van terbakar, lima terselamat


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : November 7, 2011
van-terbakar

PEDAS – “Ketika saya mahu mengundurkan kenderaan selepas berhenti membeli surat khabar di pekan Pedas, saya terbau seperti benda terbakar dan bergegas menyuruh isteri serta tiga anak saya keluar dari van,” kata Mohd Effendi Adnan, 31.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, lima sekeluarga berkenaan dalam perjalanan pulang dari Ampangan, Seremban ke kampung halaman di Rembau bagi menyambut Hari Raya Aidiladha.

Effendi berkata, mujur dia pantas memberikan arahan kepada keluarganya untuk keluar dari van berkenaan susulan tidak beberapa lama selepas itu, vannya terbakar.

“Saya sangat cemas dan terkejut dengan insiden berkenaan sebelum bergegas menghubungi bomba bagi memadamkan kebakaran berkenaan.

“Bagaimanapun, saya berasa sangat bersyukur kerana keluarga saya selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Manakala, saksi kejadian yang juga pemilik kedai surat khabar, Lim Eng San, 65, berkata, dia mula berasa cemas apabila mendengar kekecohan dari luar kedai pada masa kejadian.

Menurutnya, sebaik sahaja keluar dari kedai, dia sangat terperanjat apabila mendapati asap tebal menyelubungi van terbabit dan berasa sangat bimbang sekiranya ia meletup.

“Saya tidak berani untuk berbuat apa-apa kerana bimbang akan membahayakan diri dan hanya berharap agar pihak bomba dapat menyelamatkan keadaan serta mengelakkan insiden menjadi lebih buruk lagi,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berkenaan, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau yang diketuai oleh Mohd Yusoff Samad ke tempat kejadian bersama lima anggota.

Katanya, kebakaran itu berjaya dipadamkan dalam tempoh tiga minit dan peratusan van berkenaan terbakar dianggarkan sebanyak 70 peratus. Punca kebakaran masih disiasat.

Van terbakar, lima terselamat - Melaka & NS - Sinar Harian:

'via Blog this'

Tiga lori curi ditemui semula


Oleh : IZWAN ROZLIN
Tarikh : November 7, 2011
lori-curi

PETALING JAYA – Tiga lori yang dicuri di sekitar Kajang ditemui semula berikutan penahanan tiga suspek lelaki berusia awal 20-an di PJS 6/5F pada 30 Oktober lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supe­rintendan Meor Hamdan Meor Mohamad berkata, kejayaan itu adalah hasil intipan yang dilakukan oleh Unit Curi Kenderaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) tersebut selepas menerima maklumat awam.

Menurutnya, dalam operasi yang diketuai Asisten Superintendan Nasrol Sain Hamzah itu, ketiga-ketiga suspek berjaya ditahan manakala seorang rakan jenayahnya berjaya melarikan diri.

“Tangkapan yang dibuat pada jam 1 pagi itu bermula apabila keempat suspek yang menaiki sebuah Proton Persona cuba mengambil lori yang ditinggalkan di hadapan sebuah pasar mini dan kita hanya berjaya berkas dua suspek.

“Hasil soal siasat seorang lagi berjaya ditahan beberapa jam selepas itu di kawasan yang sama,” katanya.

Jelasnya, siasatan awal mendapati suspek yang melarikan diri mempunyai rekod terlibat dalam pergaduhan sebelum ini.

“Pada Selasa lalu lori tiga tan ditemui diletakkan di tepi jalan berhampiran sebuah bengkel di Kampung Melayu Subang dan hasil soal siasat, lori yang dicuri itu sedang dalam proses untuk dijual kepada pihak lain,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379 (a) kanun keseksaan.

Tiga lori curi ditemui semula - Selangor & KL - Sinar Harian:

'via Blog this'

Mengaku salah beri rasuah


Oleh : ROSILAWATI ROSEDI
Tarikh : November 5, 2011
rasuah

KUANTAN - Seorang peniaga menerima hukuman denda RM55,000 selepas mengaku bersalah memberikan rasuah sebanyak RM10,000 terhadap pegawai penjawat awam di hadapan Hakim Fathiyah Idris di Mahkamah Seksyen di sini, semalam.

Tertuduh, Ng Kim Heng, 47, yang beralamat Taman Putri Wangsa, Ulu Tiram, Johor didakwa melakukan kesalahan itu ruang lobi Coffee House,Swiss Garden Resort di Balok, di sini pada kira-kira jam 11.20 pagi.

Tertuduh didapati telah secara rasuah iaitu wang tunai sebanyak RM10,000 terhadap Komander Maritim Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur, Syd Mohd Fuzi Syd Hasan pada 17 Ogos tahun lalu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh memberikan suapan itu sebagai dorongan terhadap Syd Mohd Fuzi supaya melepaskan sebuah bot tunda Cathay 7 dan tongkang kerana memiliki borang kastam No3 dan No 10 palsu semasa diperiksa dan ditahan APMM pada 14 Ogos 2010.

Berikutan, Syed Fuzi bersama seorang pegawai SPRM pergi ke ruang lobi hotel itu untuk menemui tertuduh sebagaimana dijanjikan dan dalam pertemuan itu, tertuduh menghulurkan sampul putih mengandungi sejumlah wang 200 keping RM50 kesemuanya bernilai RM10,000 terhadap Syd Mohd Fuzi.

Ia juga sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan penguatkuasaan undang-undang ke atas bot tunda dan tongkang yang membawa muatan pasir sungai dari muara Kuala Sungai Pahang ke Singapura pada masa akan datang.

Tertuduh didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Ketika diberikan peluang merayu, peguam bela tertuduh, Goh Kim Lian meminta supaya tertuduh diberikan hukuman ringan memandangkan ia kesalahan kali pertama yang dilakukan selain perlu menanggung empat anak iaitu dua daripadanya sedang menuntut dan isterinya tidak bekerja selain perlu membantu keluarganya.

Kim Lian juga memberitahu mahkamah tertuduh sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi selain aktif dalam kegiatan masyarakat di tempat kelahirannya, di Tangkak dengan membantu sebuah sekolah rendah dan persatuan di sana.

Manakala Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Shafinas Shabudin meminta mahkamah supaya menjatuhkan hukuman setimpal memandangkan ia membabitkan kepentingan awam.

Selepas mendengar penerangan kedua-dua belah pihak, Fathiyah menetapkan hukuman denda RM55,000 dan penjara satu hari atau 12 bulan penjara jika tertuduh gagal membayar denda itu.

Bagaimanapun, tertuduh yang ditangkap pada 28 Disember tahun lalu di SPRM Johor kelihatan tenang ketika mendengar keputusan itu dan menjelaskan denda tersebut.

Mengaku salah beri rasuah - Pahang - Sinar Harian:

'via Blog this'

Penumpang lori putus pergelangan tangan


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : November 5, 2011
lori terbalik

KUALA BERANG - Salah seorang penumpang lori yang dalam perjalanan dari Ajil ke Pasir Raja, Dungun putus pergelangan tangan kanan apabila lori yang dinaiki terbabas dan melanggar penghadang jalan lalu terbalik selepas dilanggar sebuah Proton Waja dari arah belakang.

Kejadian yang berlaku di Kilometer 388.6 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Kuala Lumpur-Kuala Terengganu (Ajil-Bukit Besi) lebih kurang jam 9.35 pagi kelmarin itu dipandu Mazri Ismail, 41, bersama dua orang sepupunya, Amran Yahya dan mangsa Mohd Yaakob Yahya, 22.

Menurut Mazri, ketika dalam perjalanan melakukan kerja pembinaan jalan di Pasir Raja, Dungun, secara tiba-tiba lori dipandu di lorong sebelah kanan dilanggar dari arah belakang menyebabkannya hilang kawalan.

“Dalam keadaan panik itu, lori terbabas ke sebelah kiri jalan kemudian saya membalas semula ke kanan jalan dan melanggar penghadang jalan sebelah kanan sebelum terbalik menyebabkan mangsa (Yaakob) tercampak.

“Saya lihat Yaakob merangkak dari bawah penghadang jalan lalu saya membantunya sebelum dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan,” katanya menceritakan kejadian menimpa mereka bertiga.

Katanya, dalam kejadian itu, dia dan Amran tidak mengalami sebarang kecederaan manakala Yaakob yang putus pergelangan tangan kanan turut mengalami kecederaan pada bahagian leher, kepala, mata kanan dan retak tulang kaki kanan.

“Bahagian tangan Yaakob yang terputus tidak dapat disambung kembali kerana telah hancur, walau bagaimanapun kami bersyukur masih selamat dalam kemalangan ini,” katanya ketika dihubungi berada di HUSM Kubang Kerian, semalam.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Dalam pada itu, beliau menasihati pengguna jalan raya terutama di LPT Ajil-Bukit Besi mematuhi had kelajuan yang telah ditetapkan berikutan pada masa ini cuaca tidak menentu dan musim hujan serta banyak air bertakung di atas permukaan jalan.

“Jalan berkenaan juga masih terdapat banyak haiwan yang melintas, bagaimanapun pihak trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Hulu Terengganu akan sentiasa membuat rondaan serta pemantauan.

Penumpang lori putus pergelangan tangan - Terengganu - Sinar Harian:

'via Blog this'

Bekas pengerusi Komanwel ditahan, rasuah

Bekas pengerusi Komanwel ditahan, rasuah - Global - Sinar Harian: "Bekas pengerusi Komanwel ditahan, rasuah
Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : November 7, 2011
Bekas pengerusi Sukan Komanwel Delhi XIX 2010 ditangkap semalam, berikutan dakwaan rasuah meluas mengelilingi acara tersebut.

Suresh Kalmadi, yang juga seorang ahli parlimen daripada parti Kongres India, dipecat selepas dia dituduh memanipulasi tender untuk membina stadium dan infrastruktur sukan lain serta menaikkan harga asal peralatan yang dibeli termasuk alat senaman dan tisu tandas.

Pembinaan rumah atlet kurang bermutu dan kotor menyebabkan sukan berprestij itu hampir diaibkan sehingga kerajaan persekutuan terpaksa campur tangan pada minit terakhir.

Penangkapan Kalmadi itu dikatakan akan mendatangkan malu kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri India, Manmohan Singh, yang bertungkus-lumus mempertahankan negara selama berbulanbulan terhadap skandal rasuah yang merosakkan sentimen perniagaan dalam ekonomi ketiga terbesar Asia."

'via Blog this'

Tertipu sindiket wang palsu


Oleh : ROSLINDA HASHIM
Tarikh : November 5, 2011
Tertipu sindiket wang palsu

ALOR SETAR, Kedah – Seorang peniaga warga emas tidak menyangka dirinya menjadi mangsa sindiket wang palsu, menyebabkan dia kerugian RM90 selepas membayar duit baki kepada seorang wanita berumur 20-an.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Mak Mah, 53, berkata, dia didatangi seorang wanita sambil mendukung anak kecil yang menangis, singgah ke gerainya di Jalan Shahab Perdana untuk membeli makanan.

“Wanita itu menghulurkan wang RM100 dan RM7 untuk membayar harga makanan sebanyak RM17. Saya tidak menyedari wang itu palsu sebab wang RM100 diletakkan di bawah, menutupi sebahagian besar wang RM7 berkenaan,” katanya.

Menurutnya, disebabkan anak kecil wanita itu menangis tanpa henti, dia menyerahkan wang baki tanpa memeriksa wang RM100 yang diberikan.

“Sebaik sahaja membayar duit baki, ketika hendak menyimpannya dalam laci, saya lihat kedudukan wang berubah. Tetapi sudah terlambat, wanita itu sudah lesap,” katanya.

Mak Mah berkata, wanita itu menaiki sebuah kereta Viva berwarna putih yang diparkir agak jauh dari gerainya, dan kelibat tiga lelaki lain dilihat berada dalam kereta itu.

“Wanita itu bercakap dalam dialek Kedah dan Mak Mah sempat bertanya dia hendak ke mana. Katanya mahu ke Kuala Kedah. Mak Mah tak mengesyaki apa-apa sebab perwatakannya nampak baik sahaja,” katanya.

Menurutnya, sejurus menyedari dirinya ditipu, Mak Mah segera memeriksa wang itu di sebuah stesen minyak berdekatan, dan terbukti ia palsu.

“Mak Mah harap peniaga kecil lebih berhati-hati kerana dipercayai ini perbuatan sindiket. Sejak berniaga lebih empat tahun, inilah kali pertama kejadian seperti ini menimpa Mak Mah,” katanya.

“Kemungkinan sindiket ini kembali aktif di Kedah, beberapa rakan memaklumkan, sebelum ini kes seperti ini memang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan menasihatkan orang ramai yang menerima wang palsu supaya membuat laporan polis supaya siasatan boleh dijalankan dengan lancar.

Adzaman berkata, sepanjang tahun ini, hanya satu kes wang palsu dilaporkan pada pertengahan Mei, manakala pada 2010 sebanyak lima kes.

Tertipu sindiket wang palsu - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Lelaki Nepal maut minum racun rumpai


Oleh : BERNAMA
Tarikh : November 6, 2011

BESUT - Seorang lelaki rakyat Nepal yang bekerja sebagai buruh binaan di Pulau Perhentian Kecil di sini, mati setelah dipercayai meminum racun rumpai petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, DSP Noor Zainy Mohd Nor berkata mangsa, Rajendra Rokka, 25, yang bekerja di pulau itu sejak setahun yang lalu meninggal dunia ketika sedang diberikan rawatan di Hospital Besut.

Katanya seorang rakan mangsa yang baru bangun tidur, telah menemui mangsa kesakitan dengan buih keluar daripada mulutnya di satu kawasan semak di belakang bilik rumah pekerja di situ kira-kira pukul 10.30 pagi.

Mangsa kemudiannya telah dibawa oleh rakan-rakannya mendapatkan rawatan ke Pusat Perubatan Pulau Perhentian tetapi beliau dirujukkan ke Hospital Besut.

Bagaimanapun, jelas Noor Zainy, mangsa meninggal dunia kira-kira pukul 2.40 petang ketika sedang diberikan rawatan di hospital itu.

Katanya siasatan awal mendapati kematian mangsa tiada unsur jenayah dan dipercayai akibat meminum racun rumpai setelah sebotol racun berkenaan ditemui di tepi mangsa.

Mangsa yang mempunyai dokumen bekerja yang sah itu dipercayai menghadapi masalah peribadi dengan rakan wanita di negaranya.

Lelaki Nepal maut minum racun rumpai - Terengganu - Sinar Harian:

'via Blog this'

Cucu nyaris maut dibaling pisau


Oleh : HASNIZA HUSSAIN
Tarikh : November 7, 2011

Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun nyaris maut, selepas pisau dibaling neneknya sendiri, tersasar mengenai kepalanya dalam kejadian di sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Baru Ampang, di sini, petang kelmarin.

Wanita warga emas itu yang ketakutan terus keluar dari rumah dan berlari ke bangunan berdekatan di Mutiara Court di Jalan Seri Merdeka 1, di sini, sebelum nekad terjun dari tingkat tiga bangunan terbabit dan ditemui mati kira-kira jam 1 petang, kelmarin.

Difahamkan, sebelum kejadian, berlaku pertengkaran kecil antara wanita warga emas itu dengan menantunya berusia 40 tahun iaitu ibu kepada kanak-kanak terbabit.

Wanita warga emas itu, Lim Sim Meo, 80, dikatakan naik berang dan terus meluru ke dapur mengambil pisau pemotong daging dan membaling ke arah menantunya, namun tersasar dan mengenai kepala cucunya yang sedang tidur.

Kanak-kanak itu mengalami pendarahan teruk akibat kejadian, namun dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan lanjut di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, suspek yang sudah 10 tahun tinggal bersama menantu dan anak lelakinya di kediaman teres itu, disahkan mati di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian badan.

Beliau berkata, pihaknya sudah menerima laporan yang dibuat oleh menantu suspek kelmarin, mendakwa ibu mertuanya menetak anak perempuan berusia tiga tahun tanpa sebab ketika hendak keluar makan serta menghantar anak sulungnya berusia 10 tahun ke pusat tuisyen kira-kira jam 11.15 pagi.

“Siasatan terperinci sedang dijalankan dan kita setakat ini masih belum dapat menentukan motif sebenar kejadian.

“Kita akan ambil keterangan menantu serta anak lelaki suspek dalam tempoh terdekat untuk siasatan lanjut. Mayat suspek dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk dibedah siasat,” katanya ketika ditemui semalam.

Cucu nyaris maut dibaling pisau - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Bas yang dinaiki terjunam ke dalam parit


Oleh : SH JOHOR/ SHAHIZATUL FARHA S ROSLI
Tarikh : November 7, 2011
bas terbalik

SKUDAI – 25 penumpang termasuk empat pelancong warga Kemboja berdepan detik cemas, apabila bas ekspres dalam perjalanan dari Taiping menuju ke Singapura yang dinaiki terjunam ke dalam parit, di Kilometer 19, laluan Ayer Hitam-Johor Bahru, di sini, awal hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 4.40 pagi itu, turut menyebabkan tiga penumpang cedera parah termasuk seorang lelaki warga Kemboja, manakala 22 penumpang lain mengalami cedera ringan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Superintenden Mohd Akhir Ishak berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu bas berusia 45 tahun, gagal mengawal kenderaan menyebabkannya hilang kawalan sebelum terjunam.

“Tiga penumpang mengalami patah tulang akibat kejadian itu dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), manakala penumpang lain turut dikejarkan ke hospital sama bagi mendapat rawatan sebagai pesakit luar.

“Pelancong warga Kemboja yang turut menaiki bas berkenaan berusia di antara 21 hingga 29 tahun dan sedang dalam perjalanan ke Singapura.

“Bagaimanapun, tiada penumpang kanak-kanak yang didapati terbabit dalam kemalangan ini,” katanya.

Selain itu, Mohd Akhir ketika dihubungi berkata, pihak polis sedang menjalankan siasatan ke atas pemandu bas dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan.

“Pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan dan didapati tidak mempunyai sebarang rekod lampau, namun telah lama berkhidmat sebagai pemandu bas ekspres di syarikatnya bekerja,” katanya.

Bas yang dinaiki terjunam ke dalam parit - Johor - Sinar Harian:

'via Blog this'

Bas langgar pembahagi jalan sebelum terjunam

SKUDAI – “Saya nampak pemandu bas langgar pembahagi jalan dan tiba-tiba saya telah berada di dalam air,” kata salah seorang penumpang bas yang terbabit dalam kemalangan di di Kilometer 19 laluan Ayer Hitam-Johor Bahru, Kanagesvaran, 31.

Kanavesgaran yang duduk di tempat duduk paling belakang berkata, dia menyedari pemandu bas berkenaan melanggar pembahagi jalan sebelum bas terjunam ke dalam parit, sebaik sahaja keluar dari susur plaza tol Skudai.

“Saya tidak sedar bagaimana boleh tercampak keluar namun hanya menyedari telah berada di dalam air dan terdapat beberapa penumpang lain turut tercampak keluar tidak jauh dari bas.

“Saya terpaksa naik sendiri ke tebing bahu jalan untuk menyelamatkan diri walaupun mengalami kecederaan dibahagian kepala dan kaki,” katanya.

Kanavesgaran yang bertugas sebagai pekerja kilang di Singapura berkata, dia kemudiannya bertindak memecahkan cermin bas untuk membantu mengeluarkan ibu dan isterinya yang masih berada di dalam bas.

“Emak dan isteri duduk di tempat paling hadapan iaitu di belakang pemandu dan ketika saya naik ke bahu jalan mereka masih terperangkap di dalam bas.

“Jadi saya terpaksa menendang cermin bas untuk mengeluarkan mereka dan beberapa penumpang lain,” katanya.

Dalam pada itu katanya, pemandu bas ketika kejadian merupakan pemandu kedua yang mengambil-alih tugas dari pemandu pertama setelah berhenti di empat hentian selepas bas ekspres berkenaan bertolak dari Taiping kira-kira jam 9.45 malam.

“Sejak dari awal perjalanan bermula dari Taiping bas dipandu dalam keadaan laju sehinggalah ketika kejadian berlaku,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penumpang, Parvathy 26 berkata, dia terpaksa meminta bantuan penumpang lain untuk mengangkat batu yang menghempap kepalanya setelah separuh badannya terkeluar dari bas akibat kejadian itu.

“Muka saya termasuk ke dalam lumpur dan kepala terperosok ke dalam celahan batu menyebabkan saya mengalami luka di kepala akibat terkena batu dan terhantuk pada bahagian cermin bas.

“Ketika kejadian, saya baru sahaja memasukkan telefon bimbit ke dalam beg tangan selepas menghubungi adik untuk memaklumkan saya telah berada di Skudai dan memintanya mengambil saya di hentian Tun Aminah.

“Tetapi pemandu bas yang sepatutnya mengambil laluan hadapan (terus) telah termasuk ke laluan pusingan U dan menyebabkannya melanggar pembahagi jalan,” katanya.
Bas langgar pembahagi jalan sebelum terjunam - Johor - Sinar Harian:

'via Blog this'

Remaja curi basikal Fixie ditahan

Remaja curi basikal Fixie ditahan - Johor - Sinar Harian: "MUAR – Lima pelajar sekolah ditahan polis selepas dipercayai, terlibat dalam kes kecurian basikal jenis Fexie di sekitar bandar ini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, dengan hasil kejasama orang awam, polis menahan lima remaja berusia 12 hingga 15 tahun di Jalan Temenggong Ahmad.

Menurutnya, polis turut menemui tiga basikal yang dicuri di belakang sebuah warung berhampiran pusat membeli belah di Jalan Khalidi kira-kira pukul 1.30 petang pada awal bulan ini.

“Dalam kes lain, seorang murid berusia 12 tahun dan seorang remaja berusia 15 tahun yang tidak bersekolah turut ditahan pada 22 Oktober lalu.

“Mereka didapati mencuri dua basikal Fixie di sebuah rumah di Sungai Abong yang bernilai kira-kira RM1,000,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, remaja terbabit didapati memanjat pagar rumah mangsa pada lewat malam untuk mengelakkan orang ramai menyedari kegiatan mereka," katanya.

Mohamad Nasir berkata, kes curi basikal dikatakan semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini dan setiap basikal berkenaan dianggarkan bernilai antara RM350 hingga lebih RM500."

'via Blog this'

Wanita Vietnam ditahan disyaki buang bayi - Jenayah - Sinar Harian

buang bayi
Wanita Vietnam ditahan disyaki buang bayi - Jenayah - Sinar Harian: "Wanita Vietnam ditahan disyaki buang bayi
Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : November 7, 2011

Seorang wanita Vietnam ditahan polis, ekoran penemuan seorang bayi lelaki di dalam tong sampah di Flat Taman Desa Jati, Nilai dekat sini, kelmarin.

Wanita berkenaan berumur 24 tahun dipercayai merupakan ibu kepada bayi seberat 2.5 kilogram itu, yang ketika ditemui masih bertali pusat dan dibalut dengan pakaian seragam pekerja kilang.

Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azli Kamaruddin, bayi

tersebut ditemui kira-kira jam 7.30 malam, oleh orang awam yang melalui jalan di situ, yang kemudiannya melaporkan kepada polis.

Bayi itu kini ditempatkan di Hospital Tuanku Jaafar. - Bernama"

'via Blog this'