Search This Blog

Monday, November 7, 2011

Budak lelaki nyaris maut diserang kangaru liar

SYDNEY: Seorang budak berusia dua tahun nyaris maut diserang kangaru ketika dia sedang bermain kereta sorong, semalam.

Zakkiah Galea terperangkap di bawah kangaru berkenaan yang mencakarnya sehingga mengalamai kecederaan parah.


Jeritan Galea mengejutkan ibu bapanya yang segera menghalau kangaru itu.

Aksi ganas kangaru itu menyebabkan Galea mengalami kecederaan serius di muka dan badannya.


Ibu mangsa, Nicole Galea, berkata kejadian berlaku di kediaman mereka di Port Macquarie, utara New South Wales.


“Ketika kami keluar, kangaru itu memijak Galea dan tangannya mencakar anak saya,” katanya.

Kini hamil lapan bulan, Nicole berkata, dia menjerit sekuat hati untuk menghalau kangaru itu tetapi gagal, sebaliknya Galea terus diserang berkali-kali.


Selepas bapa mangsa, Andrew Galea, bersama-sama Nicole menghalau kangaru itu, barulah haiwan liar berkenaan melarikan diri ke dalam belukar berhampiran.

Kata Nicole, baju Galea berlumuran darah akibat kecederaan diserang kangaru itu. - DM

myMetro | Budak lelaki nyaris maut diserang kangaru liar:

'via Blog this'

Rendang raya berselerak atas jalan

KUALA LUMPUR: Seorang pemuda tidak sempat menjamah lemang dan rendang yang dibekalkan ibu saudaranya apabila terbunuh dalam kemalangan di Jalan Kemensah, Taman Zoo View, Ampang, dekat sini, semalam.

Mangsa, Mohd Salehuddin Mat Lazim, 25, yang juga penuntut tahun akhir Universiti Utara Malaysia (UUM) ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Setapak selepas berkunjung ke rumah ibu saudaranya sempena sambutan Aidiladha.


Dalam kejadian berhampiran Zoo Negara kira-kira jam 2.30 petang itu, motosikal yang ditunggang Mohd Salehuddin dipercayai merempuh sebuah van yang sedang membelok ke kiri memasuki persimpangan jalan.

Difahamkan, mangsa terbunuh di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala selepas tercampak ke arah cermin sisi van berkenaan akibat rempuhan kuat itu.


Suasana di lokasi kejadian pilu apabila beberapa ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan sebak sebaik tiba di situ selepas dimaklumkan mengenai kemalangan itu.


Ibu saudara mangsa, Azizah Abdul Rahman, 48, berkata, dia membekalkan lemang dan rendang untuk makan malam anak saudaranya yang sedang menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat swasta di sini.

“Saya tak sangka sambutan Aidiladha kali ini menjadi kenangan pahit buat kami sekeluarga terutama kepada ibu bapanya di Terengganu.


“Ketika berbual dengan arwah pagi tadi (semalam), saya hairan dengan kelakuan arwah yang tidak banyak bercakap dan hanya menjawab tidak tahu apabila ditanya mengenai persiapan perkahwinan abangnya yang akan diadakan pada 25 November ini,” katanya.

Menurut Azizah, agak aneh apabila arwah juga tidak menghubungi keluarganya di kampung pada pagi raya dan hanya memberi jawapan tidak tahu ketika ditanya mengenai khabar mereka.


“Semua soalan yang ditanya dijawab tidak tahu, malah arwah lebih banyak berdiam diri dan tidak ceria seperti selalu jika berkunjung ke rumah saya,” katanya.


Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

myMetro | Rendang raya berselerak atas jalan:

'via Blog this'

Mati dibayangi rasa bersalah

KENANGAN...Lim bersama  Yin Yin.
KENANGAN...Lim bersama Yin Yin.

AMPANG: Seorang nenek nekad membunuh diri dengan terjun dari tingkat tiga sebuah apartmen selepas rasa bersalah apabila pisau yang dibaling ke arah anak lelaki dan menantunya tersasar, sebaliknya tepat ke dahi cucu perempuannya berusia tiga tahun.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi kelmarin itu, Lim Sin Meow, 80, sebelum itu bertengkar dengan anak lelakinya yang berusia 40-an di rumah mereka di Jalan Wawasan 3, di sini.

Namun, campur tangan menantunya yang berusia 40 tahun membuatkan Lim hilang pertimbangan sehingga mengambil sebilah pisau pemotong daging dari dapur lalu membalingnya ke arah anak serta menantunya.

Tanpa disedari Lim, cucunya, Chong Yin Yin, 3, turut berada di situ dan pisau dibalingnya tepat kena bahagian dahi kanak-kanak itu menyebabkan kecederaan parah.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, kecewa dengan apa terjadi, Lim pergi ke sebuah apartmen terletak 650 meter dari rumahnya dan nekad membunuh diri dengan terjun dari tingkat tiga.

myMetro | Mati dibayangi rasa bersalah:

'via Blog this'

Dugaan lepas solat

DERAS...orang ramai melihat tempat kejadian mangsalemas dipercayai tersepit di pintu air.
DERAS...orang ramai melihat tempat kejadian mangsalemas dipercayai tersepit di pintu air.
PENDANG: “Selepas solat sunat Aidiladha tiba-tiba arwah memeluk saya sebelum meninggalkan surau dengan menunggang motosikal bersama dua rakannya.
“Saya sangka dia pergi berhari raya, tak sangka pula dia pergi mandi sungai,” kata Idris Mat Hashim, 49, bapa kepada Mohd Shahrol Nizam, 11, yang mati lemas di Sungai Rambai Kampung Lubuk Batu, Kubur Panjang, di sini, semalam.

Mayat murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Kubur Panjang itu ditemui tersangkut pada pintu air sungai itu kira-kira jam 1 tengah hari.
Sebelum kejadian, Mohd Shahrol Nizam bersama dua rakan sebayanya pergi ke Sungai Rambai, kira-kira satu kilometer dari rumahnya untuk mandi selepas selesai solat sunat Aidiladha di surau Kampung Lubuk Batu.

Idris berkata, mangsa juga anak bongsu memang manja dengannya tapi dia agak terkejut apabila tiba-tiba anaknya itu memeluknya ketika masih berada di surau.

“Namun, saya tidak terfikir langsung sebarang petanda buruk kerana dia tidak memberitahu mahu pergi ke mana. Ketika itu kami baru selesai solat, jadi saya sangka dia pergi berhari raya di rumah rakan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, semalam.
Menurut Idris, beberapa jam kemudian ketika berehat di rumah, dia dikejutkan dengan kedatangan dua rakan Mohd Shahrol yang bersamanya sebelum itu, memberitahu anaknya lemas di Sungai Rambai yang sedalam lebih dua meter itu.

“Saya bergegas ke sungai berkenaan dan mendapati Mohd Shahrol sudah diangkat ke atas tebing oleh rakannya,” katanya.
Idris berkata, Mohd Shahrol memang kerap mandi sungai di sekitar kampung itu bersama rakannya dan dia juga tidak bimbang kerana anaknya pandai berenang.

Katanya, dia membawa Mohd Shahrol ke Klinik Kesihatan Kubur Panjang sebelum anaknya itu disahkan sudah meninggal dunia. Jenazah Mohd Shahrol dibawa dengan kenderaan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia ke HSB, Alor Setar untuk dibedah siasat.

“Buat masa ini saya tidak tahu sama ada Mohd Shahrol mati akibat lemas atau kerana tersangkut pada besi pintu air kerana terdapat kesan lebam pada muka dan sebahagian badannya dipercayai terkena besi pintu air itu.

“Kejadian ini amat menyedihkan dan tidak disangka-sangka, namun saya reda ketentuan Ilahi menguji saya pada Aidiladha ini,” katanya.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lubuk Batu. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Abdul Aziz Ahmad mengesahkan kejadian.
myMetro | Dugaan lepas solat:

'via Blog this'

Hilang nyawa dimamah lif

MAUT...mangsa dibawa ke HQE sebelum disahkan meninggal dunia, malam tadi.
MAUT...mangsa dibawa ke HQE sebelum disahkan meninggal dunia, malam tadi.

KOTA KINABALU: Seorang pelayan wanita sebuah restoran makanan Cina, di sini, mati apabila lehernya hampir putus akibat tersepit di pintu lif menyimpan makanan di restoran tempat dia bekerja semalam.

Kejadian berlaku pada jam 1 tengah hari sebelum mangsa, Lau See Yen, 20, disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada kira-kira jam 9.15 malam tadi.

Sebelum kejadian, Lau berada di tingkat dua restoran berkenaan dan meletakkan juadah ke dalam lif khas yang digunakan untuk membawa makanan ke tingkat bawah.

Tanpa disedari, pintu lif itu tertutup secara tiba-tiba menyebabkan kepala mangsa tersepit dan lehernya hampir putus.


Dalam suasana kelam-kabut, mangsa cuba dibantu rakan sekerja dan seorang doktor yang menikmati makan tengah hari di restoran berkenaan memberikan bantuan pernafasan.

myMetro | Hilang nyawa dimamah lif:

'via Blog this'

Diugut bunuh

SELAYANG: Kehidupan seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Mohd Rasul Zakaria, 46, terancam selepas diugut bunuh oleh jirannya yang menyangka dia melaporkan kepada polis bahawa jirannya itu seorang penagih dadah.

Jirannya yang berusia 50-an dipercayai mengekori dan mengejarnya dengan motosikal sambil mengugut bunuh tetapi mangsa bernasib baik kerana dapat melarikan diri.


“Dia menuduh saya membuat laporan kepada polis mengatakan dia seorang penagih dadah tetapi saya menafikannya kerana saya tidak pernah membuat laporan seperti itu,” katanya.

Berikutan ugutan itu, Mohd Rasul membuat laporan polis di Balai Polis Selayang dan dia kini takut untuk keluar rumah.


“Saya jadi trauma dengan perkara ini dan sentiasa tidak tenteram kalau berada luar dari rumah kerana dia sentiasa mengekori saya, takut satu hari nanti dia akan bertindak di luar batasan.


Mohd Rasul berkata, jirannya itu pernah dipenjara kerana mengambil dadah dan sudah dua kali diberi amaran oleh polis supaya tidak mengganggunya atau melakukan peras ugut.

myMetro | Diugut bunuh:

'via Blog this'

Sengsara tujuh jam

KUALA LUMPUR: Gara-gara cemburu, seorang lelaki menderita tujuh jam apabila dikurung dua lelaki sebelum dia dicampak di kawasan pembuangan sampah Sungai Kembong, Bangi, kelmarin.
Mangsa berusia 21 tahun sebelum itu diculik dua lelaki yang mendakwa mereka bapa saudara dan teman lelaki rakan wanita yang mangsa baru kenali sebulan lalu.

Sumber polis berkata, selepas mangsa menghantar rakan wanita berusia 20-an pulang ke kediamannya di Bangsar kira-kira jam 3.30 pagi, dia didatangi dua lelaki yang memperkenalkan diri sebagai bapa saudara dan teman lelaki rakan wanitanya itu.
“Mereka berdua menuduh mangsa melakukan perkara tidak elok kepada teman wanitanya dan belum sempat mangsa memberikan penjelasan, dia dipukul dengan topi keledar di kepala.

“Mangsa menafikan dia melakukan apa yang dikatakan dua lelaki berkenaan kerana dia dan teman wanitanya baru pertama kali keluar sejak berkenalan sebulan lalu.

“Namun suspek enggan mempercayai kata-kata mangsa, sebaliknya dia dipaksa masuk ke dalam kereta dan sepanjang perjalanan mangsa dipukul,” katanya.
Menurutnya, mangsa dibawa ke sebuah rumah di Bangi sebelum dikurung dan diminta membayar wang tunai RM4,000 sebagai ganti rugi kerana melakukan perkara tidak elok kepada teman wanitanya.

“Mangsa kemudian menghubungi majikannya untuk membayar wang RM4,000 yang diminta sebelum majikannya melaporkan kejadian kepada polis.
“Keesokan harinya kira-kira jam 10.30 pagi, mangsa dibawa sekali lagi masuk ke dalam kereta dan dijanji dibebaskan sebaik saja mereka menerima wang tebusan.

“Bagaimanapun, sejurus menyedari aduan polis sudah dibuat, dua suspek terbabit membebaskan mangsa dengan cara mencampaknya di tempat pembuangan sampah,” katanya.

Sumber itu berkata, mangsa yang cedera di badan, muka dan kepala membuat laporan polis dengan bantuan orang awam yang menemuinya dalam keadaan tidak bermaya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan suspek kini diburu bagi membantu siasatan.
myMetro | Sengsara tujuh jam:

'via Blog this'

Langgar penyamun

myMetro | Langgar penyamun: "KUALA LUMPUR: Ibarat buku bertemu ruas. Itu yang berlaku apabila dua penjenayah bermotosikal cedera dilanggar mangsa yang disamun RM30 dan telefon bimbit.

Dalam kejadian di Jalan Ipoh, di sini, kira-kira jam 4 pagi kelmarin, dua penjenayah berusia 31 tahun dan 35 itu ditahan polis peronda yang secara kebetulan di tempat kejadian. Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, sebelum kejadian mangsa yang berusia 64 tahun memandu seorang diri di Jalan Parlimen sebelum dihampiri suspek dalam keadaan marah kerana mendakwa melanggar motosikal mereka.


Suspek yang menaiki motosikal jenis Yamaha 125Z, meminta ganti rugi kerosakan motosikal, namun mangsa enggan sebelum seorang daripada suspek merampas dompet yang mengandungi wang tunai RM30 dan telefon bimbit.

Berang tindakan itu, mangsa mengekori suspek sebelum menggesel motosikal mereka hingga terjatuh,” katanya."

'via Blog this'

Tergerak balik adik meninggal

KOTA BHARU: “Sepatutnya saya bekerja hari ini, tetapi tidak tahu mengapa hati tergerak untuk pulang ke kampung pada saat akhir seolah-olah ada perkara buruk akan berlaku,” kata Penolong Pegawai Teknologi Maklumat, Kementerian Luar Negeri, Noraini Abdul Hamid, 28, semalam.
Noraini yang baru tiba di rumah keluarganya di Pondok Beris Kubor Besar, Bachok selepas melalui perjalanan lebih 500 kilometer terkejut kerana kurang tiga jam tiba di rumahnya, dia dimaklumkan mengenai kematian adiknya, Abdul Hanif Abdul Hamid, 18.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, perjalanan pulang dua sahabat ke rumah mereka berakhir tragedi apabila seorang terbunuh selepas Proton Iswara Aeroback mereka naiki hilang kawalan sebelum merempuh kedai di Kampung Chicha, Kubang Kerian.
Kejadian itu menyebabkan mangsa yang duduk di bahagian penumpang depan meninggal dunia di tempat kejadian akibat patah leher manakala rakannya yang juga pemandu kereta, Mohd Ridzwan Raja Azmi, 22, dari Kampung Gunong, Bachok, hanya cedera ringan.

Sebelum kejadian, dua sahabat terbabit dikatakan keluar rumah kira-kira jam 10 malam untuk bertemu rakan selain bersiar-siar di pasar malam Wakaf Che Yeh, dekat sini, untuk membeli sarung telefon bimbit.

Kereta berkenaan dari arah Pasir Tumboh dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh sebuah kedai di kawasan itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Berikutan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu bergegas ke lokasi kejadian untuk mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan alat pemotong khas sebelum kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Noraini, anak keempat daripada lapan beradik berkata, dia tiada perancangan pulang ke kampung sempena Aidiladha selain diletakkan dalam keadaan bersiap sedia untuk bertugas.
“Kira-kira jam 11 pagi Sabtu lalu, saya tergerak pulang ke kampung sedangkan tidak ada perancangan sebelum ini, apatah lagi perasaan saya tidak begitu seronok untuk menyambut Aidiladha.

“Bayangkan tidak sampai tiga jam berehat di rumah selepas berjalan jauh menaiki kereta hampir 15 jam termasuk mengharungi kesesakan dari Putrajaya, akhirnya berita sedih diterima,” katanya.

Menurutnya, kali terakhir mereka berhubungan melalui telefon minggu lalu dan arwah ada meluahkan hasrat untuk ke Kuala Lumpur mencari kerja mekanik.

Sementara itu, bapa mangsa, Abdul Hamid Abdul Salam, 58, berkata kali terakhir dia bertemu anaknya selepas arwah meminta wang untuk keluar bersama rakannya menaiki sebuah kereta jam 10 malam.
myMetro | Tergerak balik adik meninggal:

'via Blog this'

Tiga beranak maut nahas balik sambut Aidiladha

KUANTAN: “Sepatutnya hari ini (semalam) saya bersama ahli keluarga termasuk arwah berganding bahu menyembelih lembu untuk ibadat korban di rumah.

“Namun, niat itu terpaksa dibatalkan selepas kemalangan membabitkan arwah dan dua cucu kesayangan saya,” kata Abdullah Muda, 66, bapa kepada Maliki, 47, yang terbunuh selepas Toyota Innova dipandunya terbabas dan melanggar penghadang jalan di Kilometer 244.9, Lebuhraya Pantai Timur (LPT), dekat Jabor, kelmarin.


Dalam kejadian jam 3.35 petang itu, mangsa yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat swasta di Shah Alam, Selangor bersama dua anaknya, Nur Izzati, 21, Muhammad Hafiz, 6, terbunuh di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Isteri mangsa, Norihan Abu Bakar, 43, pula patah tulang rusuk manakala anak ketiga, Muhamaad Sufian, 15, patah kaki kiri dan masih menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini. Bagaimanapun, seorang lagi anak mangsa, Mohd Afzan, 18, tidak cedera.


Semua mangsa dalam perjalanan pulang ke kampung di Bukit Payung, Terengganu dari Shah Alam untuk menyambut Aidiladha.


Abdullah berkata, dia terkilan dan tidak dapat menahan kesedihan kerana hasratnya melihat arwah menyembelih lembu bersama keluarga tidak kesampaian.

myMetro | Tiga beranak maut nahas balik sambut Aidiladha:

'via Blog this'

Pemandu rugi RM5,000 diperdaya 3 lelaki lagak polis

KUALA LUMPUR: Terpedaya dengan ‘kad kuasa polis’ yang ditunjukkan tiga lelaki bermotosikal, seorang lelaki mengalami kerugian hampir RM5,000 selepas disamun di Jalan Usahawan, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa berusia 35 tahun dan bekerja sebagai pemandu dikatakan memandu kenderaannya di Jalan Usahawan sebelum didatangi dua motosikal dinaiki tiga lelaki.


Menurut sumber, tiga suspek itu mengarahkan mangsa memberhentikan kenderaannya. Seorang daripada suspek menghampiri mangsa dan mendakwa dirinya anggota polis sambil menunjukkan kad kuasa.

“Dua lagi suspek membuka pintu belakang kenderaan mangsa kononnya untuk membuat pemeriksaan sebelum merampas beg silang miliknya dan mengarahkan mangsa mengikut mereka ke Balai Polis Wangsa Maju untuk siasatan lanjut,” katanya.


Menurutnya, mangsa yang ketika itu mempercayai helah suspek hanya menurut kehendak mereka dan mengekori mereka untuk ke balai polis dimaksudkan.


“Bagaimanapun, apabila tiba di Persimpangan Sri Rampai, ketiga-tiga suspek bertindak memecutkan motosikal mereka sebelum menghilangkan diri,” katanya.

Suspek turut melarikan dokumen penting milik mangsa yang diletakkan dalam beg berkenaan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan (Kk) kerana merompak secara berkumpulan.

myMetro | Pemandu rugi RM5,000 diperdaya 3 lelaki lagak polis:

'via Blog this'

Bangun pagi bayi sudah meninggal

MUAR: “Biasanya anak bongsu kami akan bangun menyusu setiap pagi, namun pagi tadi, saya hairan kerana dia tidak sedar atau merengek.

“Selepas mendekatinya, baru saya perasan badannya sudah sejuk dan tidak bernyawa,” kata Mohd Faizul Mohd Salleh, 36, bapa kepada bayi lima bulan yang meninggal dalam tidur, Muhammad Palhah di Parit Lapis Darat, Parit Jawa dekat sini, semalam.


Menurutnya, sehari sebelum kejadian, anak bongsu daripada tujuh beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan, sebaliknya sihat seperti biasa.

Katanya, mereka sekeluarga pulang ke kampung untuk beraya di rumah mentuanya dan mereka sekeluarga tidur beramai-ramai di ruang tamu.


“Ketika isteri, Hashimah Syah, 36, menidurkan arwah pada malam kejadian, dia tidak menunjukkan sebarang tanda sakit atau tidak selesa.


“Sehingga pagi, dia tidur nyenyak dan kami tidak perasan apa-apa hingga saya bangun untuk solat Subuh kira-kira jam 6 pagi tadi dan terkejut apabila mendapati badan arwah sejuk.

“Saya segera mengejutkan ahli keluarga sebelum bergegas ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk pemeriksaan lanjut sebelum doktor mengesahkan arwah sudah meninggal dunia.


“Walaupun masih terkejut, kami sekeluarga reda dengan kejadian ini,” katanya yang masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian anaknya itu.

Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Muar mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan berkata, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian bayi berkenaan.

myMetro | Bangun pagi bayi sudah meninggal:

'via Blog this'

Lemang raya atas jalan

KUALA LUMPUR: Seorang pemuda tidak sempat menjamah lemang dan rendang yang dibekalkan ibu saudaranya apabila terbunuh dalam kemalangan di Jalan Kemensah, Taman Zoo View, Ampang, dekat sini, semalam.
Mangsa, Mohd Salehuddin Mat Lazim, 25, yang juga penuntut tahun akhir Universiti Utara Malaysia (UUM) ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Setapak selepas berkunjung ke rumah ibu saudaranya sempena sambutan Aidiladha.

Dalam kejadian berhampiran Zoo Negara kira-kira jam 2.30 petang itu, motosikal yang ditunggang Mohd Salehuddin dipercayai merempuh sebuah van yang sedang membelok ke kiri memasuki persimpangan jalan.
Difahamkan, mangsa terbunuh di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala selepas tercampak ke arah cermin sisi van berkenaan akibat rempuhan kuat itu.

Suasana di lokasi kejadian pilu apabila beberapa ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan sebak sebaik tiba di situ selepas dimaklumkan mengenai kemalangan itu.

Ibu saudara mangsa, Azizah Abdul Rahman, 48, berkata, dia membekalkan lemang dan rendang untuk makan malam anak saudaranya yang sedang menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat swasta di sini.
“Saya tak sangka sambutan Aidiladha kali ini menjadi kenangan pahit buat kami sekeluarga terutama kepada ibu bapanya di Terengganu.

“Ketika berbual dengan arwah pagi tadi (semalam), saya hairan dengan kelakuan arwah yang tidak banyak bercakap dan hanya menjawab tidak tahu apabila ditanya mengenai persiapan perkahwinan abangnya yang akan diadakan pada 25 November ini,” katanya.
Menurut Azizah, agak aneh apabila arwah juga tidak menghubungi keluarganya di kampung pada pagi raya dan hanya memberi jawapan tidak tahu ketika ditanya mengenai khabar mereka.

“Semua soalan yang ditanya dijawab tidak tahu, malah arwah lebih banyak berdiam diri dan tidak ceria seperti selalu jika berkunjung ke rumah saya,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
myMetro | Lemang raya atas jalan:

'via Blog this'

Dua jari kaki putus dekat lampu isyarat

KUALA LUMPUR: Malang tidak berbau bagi seorang penunggang motosikal apabila putus dua jari kaki kanan selepas melanggar sebuah kereta di Jalan Yaacob Latiff, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, lelaki berusia 20-an dan menunggang motosikal Yamaha 125Z itu dalam perjalanan dari ibu kota menghala Bandar Tun Razak.


Saksi yang enggan dikenali berkata, dia melihat lelaki terbabit berkenaan menunggang motosikal pada kelajuan tinggi bersama rakannya ketika memasuki Jalan Yaacob Latiff sebelum hilang kawalan ketika mengambil selekoh menghala Hospital Rehabilitasi Cheras.

“Akibatnya penunggang motosikal itu merempuh sebuah Perodua Kancil yang keluar dari simpang jalan sebelum terpelanting dan jatuh berdekatan lampu isyarat dalam keadaan kakinya tersangkut pada motosikal.


“Selepas membuka kasutnya saya lihat dia terkejut apabila mendapati dua jari kaki kanannya putus,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.


Menurutnya, mangsa dikejarkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dengan bantuan orang ramai.

myMetro | Dua jari kaki putus dekat lampu isyarat:

'via Blog this'

Kena bedah selepas muflis, penjara

Berita Harian Online | Kena bedah selepas muflis, penjara:


Oleh Mohd Azri Affendy Abdul Samat
bhnews@bharian.com.my
2011/11/07

Suradi dapatkan rawatan buang darah beku

KLANG: Suradi Daruis, 43, yang diisytiharkan muflis dan dipenjarakan 25 hari kerana gagal membayar ansuran kereta RM100 menjalani pembedahan di kerongkong bagi mengeluarkan darah beku di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, semalam.
Isterinya, Rosnah Mohd Sailan, 43, berkata suaminya itu dalam keadaan stabil dan diberikan jus betik dan susu menggunakan saluran tiub beberapa jam selepas pembedahannya.
"Saya langsung tidak memikirkan persiapan Aidiladha. Saya cuma berharap suami dapat dipindahkan ke wad biasa. Semalam suami saya separuh sedar dan keadaannya tidak banyak berubah.

“Tiga anak saya juga sentiasa mengambil giliran menunggu di wad setiap hari dengan harapan ada perkembangan positif," katanya yang setia menunggu Suradi di sisi katil hospital, semalam.

Suradi yang diisytiharkan muflis dan dipenjarakan 25 hari kerana gagal membayar ansuran kereta RM100 itu koma selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan jalan raya di Batu 8, Bukit Kemuning, di sini, pada jam 8.45 malam, 1 November lalu.

Dia yang baru dibebaskan dari Penjara Kajang pada 21 Oktober lalu, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah di Batu 6, Jalan Kebun dari tempat kerja di Seksyen 26 apabila terbabit kemalangan.
Mangsa yang bekerja sebagai penyelia stor di sebuah kilang cedera parah di tulang rusuk dan perut perlu mendapatkan rawatan mengeluarkan darah beku.

Selain itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sedang meneliti kaedah sesuai untuk membantu keluarga Suradi termasuk melalui saluran perundangan bagi membela nasibnya.

Walaupun kejadian yang menimpanya sekeluarga ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, Rosnah berkata, beliau akan tetap tabah meneruskan kehidupan dan tidak akan jemu berdoa meminta pertolongan Allah SWT.

'via Blog this'

Terjun bangunan panik pisau dibaling kena cucu

Berita Harian Online | Terjun bangunan panik pisau dibaling kena cucu:




2011/11/07

AMPANG: Hanya disebabkan pertelingkahan kecil, seorang wanita warga emas membaling pisau ke arah menantunya, namun mengenai kepala cucunya sebelum wanita terbabit bertindak terjun daripada tingkat tiga bangunan Mutiara Court di sini, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu menyebabkan mangsa, Lim Sim Meo, 80, mati akibat kecederaan parah di kepala dan badan, manakala cucu perempuannya cedera teruk di kepala dan dirawat di Hospital Ampang.
Kejadian dikatakan berlaku di rumah teres dua tingkat di Jalan Wawasan di sini, apabila wanita itu bergaduh dengan menantunya berusia 40 tahun dan meluru ke dapur mengambil pisau, sebelum membaling ke arah menantunya.
Bagaimanapun, balingan itu tersasar mengenai kepala cucunya berusia tiga tahun yang sedang tidur ketika itu.

Wanita itu yang panik dan ketakutan melihat keadaan cucunya bergegas keluar daripada rumah dan memasuki sebuah bangunan tidak jauh daripada kediamannya sebelum terjun daripada tingkat tiga.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, berkata wanita warga emas itu mati di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Katanya, siasatan sedang dilakukan dan polis sudah menerima laporan daripada menantu mangsa.
“Bagaimanapun, motif sebenar masih dalam siasatan dan polis akan mengambil keterangan daripada anak dan menantu mangsa,” katanya.

'via Blog this'

Petani Parit Lima hingga 10 resah sawah ditenggelami air




2011/11/07

SUNGAI BESAR: Petani di kawasan Parit Lima hingga 10, di sini, resah memikirkan keadaan sawah yang ditenggelami air berikutan musim tengkujuh sekarang.

Keadaan itu memaksa mereka menjenguk sawah setiap hari untuk memastikan pam yang dipasang berfungsi dengan baik bagi memastikan air tidak memasuki petak sawah.
Seorang petani, Roslan Hassan, 42, berkata sawah padi adalah satu-satunya sumber rezeki untuk menampung kehidupannya sekeluarga dan masalah itu membimbangkannya.
“Dengan keadaan sawah yang ditenggelami air, kos mengupah orang mengeringkan sawah agak tinggi. Itu belum dikira dengan kos menyulam benih atau tabur kali kedua apabila tiada langsung padi yang tumbuh,” katanya ketika ditemui Sentral.

Mengikut jadual, ketika ini sepatutnya dimulakan proses membaja dan meracun, tetapi malangnya ia tidak dapat dilakukan berikutan pokok padi tidak tumbuh. Berikutan itu, petani terbabit meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membantu menyelesaikan masalah untuk mengeringkan sawah kerana paras air di parit pembuang lebih tinggi dari paras air sawah.

Keadaan itu menyebabkan air dari parit pembuang akan masuk semula ke sawah apabila pam berhenti beroperasi secara tiba-tiba sama ada disebabkan kehabisan minyak atau tersumbat lumpur.

Pam akan hanya tidak diperlukan jika paras air di parit pembuang lebih rendah dari paras sawah padi dan petani tidak lagi perlu membazirkan wang untuk membeli petrol atau diesel untuk menjalankan pam.
Seorang lagi petani, Abd Wahid Udin, 46, berkata JPS perlu menyediakan pam di setiap parit bermasalah terutama pada musim tengkujuh bagi memudahkan petani membuang air dari sawah ke parit pembuang.

“Pam air dari parit pembuang ke parit penakung ketika ini ada masing-masing satu di Parit Tujuh 1/2, Parit Lima 1/2 dan dua di Parit Empat.

“Kalau boleh JPS letakkan pam di setiap parit untuk air dari parit pembuang senang keluar ke parit penakung,” katanya.

Dua lot sawah padi di Parit 6 1/2 ditenggelami air manakala satu lot di Parit Tujuh milik Abd Wahid terselamat apabila proses menabur dilakukan lebih awal.

Sementara itu, Arbain Hassan, 50, berkata selain menambah pam di kawasan bermasalah, pam sedia ada perlu dijalankan 24 jam untuk membantu menyelesaikan masalah sawah yang ditenggelami air.
Berita Harian Online | Petani Parit Lima hingga 10 resah sawah ditenggelami air:

'via Blog this'

Lebuh Chulia 'sarang pondan'


Oleh Zuhainy Zulkiffli
bhnews@bharian.com.my
2011/11/07

 SEORANG pondan dipercayai memberi tawaran harga bagi  khidmat seks di Lebuh Chulia.
SEORANG pondan dipercayai memberi tawaran harga bagi khidmat seks di Lebuh Chulia.
Kegiatan berterusan walaupun penguatkuasaan dilakukan sepanjang masa

GEORGETOWN: Kawasan sekitar Lebuh Chulia di sini, terus menjadi tumpuan kegiatan maksiat dan imej sebagai 'lubuk pondan' mencari rezeki masih kekal walaupun tindakan penguatkuasaan dilakukan sepanjang masa.
Dengan berpakaian wanita, kebanyakan pondan yang berkeliaran mencari pelanggan di kawasan itu dan lorong lain yang berdekatan termasuk Jalan Pintal Tali, Lebuh Campbell dan Jalan Penang, tidak segan silu menawarkan perkhidmatan mereka.
Peniaga di sini boleh mengenali wajah pondan kerana sudah lama cari makan di sini, malah ada juga muka baru setiap bulan. Bukan di sini saja, mereka juga merayau di Jalan Pintal Tali, Lebuh Chambel dan Jalan Penang. - Ali Abdul Rahman, Peniaga runcit
Tinjauan di sekitar kawasan itu mendapati pondan, sama ada berkumpulan atau berseorangan berpelisiran bermula jam 9 malam sehingga awal pagi di bawah cahaya lampu yang samar-samar mencari pelanggan.

Ada pondan yang berpakaian terdedah seperti model, malah ada yang hanya memakai kemeja-T serta berseluar panjang, yang sekali sekala muncul dari kawasan gelap.

Sekurang-kurangnya 10 pondan menunggu pelanggan di sepanjang Lebuh Chulia, malah mereka berani menahan kereta apabila pemandu memperlahankan kenderaan apabila aksi pondan itu mencuri tumpuan orang awam.

Kelihatan juga pelanggan yang menunggang motosikal menghampiri pondan, dipercayai berminat dengan tawaran pondan berkenaan. Mereka juga mensasarkan pelancong asing serta pekerja asing di bandar ini.
Seorang pondan bernama Ema, 20, mendakwa sudah enam bulan mencari rezeki di kawasan itu dan menawarkan khidmat serendah RM20.

“Kamu boleh bawa saya pergi,” katanya yang beredar selepas curiga dengan penulis.

Sementara itu, seorang peniaga runcit, Ali Abdul Rahman, 39, berkata senario itu bukan sesuatu yang baru di kawasan berkenaan, malah pelbagai tindakan diambil bagi membasmi gejala yang tidak sihat itu.

Ali yang berniaga di kawasan itu sejak 20 tahun lalu, berkata pondan yang menawarkan perkhidmatan seks itu, kini semakin ramai dengan bergerak secara berkumpulan atau berseorangan.

“Peniaga di sini boleh mengenali wajah pondan kerana sudah lama cari makan di sini, malah ada juga muka baru setiap bulan. Bukan di sini saja, mereka juga merayau di Jalan Pintal Tali, Lebuh Chambel dan Jalan Penang.

“Ada beberapa lagi lorong ‘panas’ di pusat bandar ini yang menjadi tempat pondan menjalankan aktiviti tidak bermoral mereka,” katanya.

Ali berkata, walaupun penguatkuasaan dijalankan, pondan berkenaan masih meneruskan kegiatan mereka.

“Kegiatan itu boleh dibanteras jika masyarakat setempat bekerjasama, sekali gus dapat membersihkan nama kawasan ini. Jika tiada sokongan daripada pelanggan, mereka tidak akan dapat cari makan,” katanya.
Berita Harian Online | Lebuh Chulia 'sarang pondan':

'via Blog this'

Maut rempuh kedai batu nisan


KOTA BHARU - Seorang remaja maut apabila kereta yang dinaiki bersama rakannya terbabas dan merempuh sebuah kedai membuat dan menjual batu nisan di Kampung Chicha di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 4.30 pagi itu, Abdul Hanif Ab. Hamid (gambar), 18, maut di tempat kejadian manakala Mohd. Riduan Ar Azmi, 22, yang memandu kereta Proton Iswara Aeroback hanya cedera ringan.

Menurut Timbalan Ketua Polis daerah, Supritendan Idris Abd. Rafar, kereta tersebut yang datang dari Pasir Tumboh ke Kubang Kerian terbabas ke kiri jalan lalu melanggar tiang elektrik sebelum merempuh kedai.

"Kereta tersebut dipercayai dipandu laju dan ketika kejadian, tiada sesiapa di dalam kedai berkenaan," katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, mayat Abdul Hanif dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk dibedah siasat.

Sementara itu, ibu arwah, Fauziah Pak Muda, 57, memberitahu, anaknya keluar dari rumah di Beris Kubu Besar, Bachok pada pukul 10 malam.

"Anak saya cuma beritahu dia hendak keluar dan tidak pula menunjukkan apa-apa yang pelik sebelum kejadian," katanya.

Menurut Fauziah, anak ketujuh lapan beradik itu bekerja sebagai mekanik di bengkel suaminya.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Bala samun lelaki warga emas



KOPERAL Azman Jaafar menunjukkan motosikal yang dinaiki dua lelaki yang ditahan di Balai Polis Sentul di Jalan Ipoh semalam.


KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga emas yang bertindak berani mengejar dua pemuda yang meragutnya di Jalan Parlimen di sini membuahkan hasil apabila kedua-dua suspek itu dapat diberkas semalam.

Kejadian pada pukul 4.30 pagi itu dikatakan berlaku ketika mangsa yang memandu kereta Honda Accord tiba-tiba dihampiri sebuah motosikal dinaiki dua lelaki terbabit di Jalan Parlimen di sini.

"Dua lelaki itu meminta mangsa yang berusia 64 tahun memberhentikan keretanya kononnya warga emas itu telah melanggar motosikal ditunggangi mereka.

"Mangsa memberhentikan kereta dan mangsa mendapati motosikal tersebut ada kesan rosak di bahagian tengah tetapi dua pemuda itu tidak cedera," kata Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan.

Belum sempat mangsa berkata-kata, kedua-dua lelaki itu merampas telefon bimbit dan wang tunai RM30 milik mangsa sebelum melarikan diri.

Zakaria berkata, mangsa yang tidak berpuas hati mengejar suspek yang menghala ke Jalan Ipoh di sini.

"Ketika sampai di depan Hotel Dynasty, mangsa melanggar motosikal suspek menyebabkan kedua-dua pemuda itu terjatuh," kata beliau.

Kedua-dua suspek yang berang dengan mangsa kemudian bangun dan memecahkan cermin depan dan belakang kereta mangsa menggunakan topi keledar.

Menurut beliau, polis yang dimaklumkan mengenai kejadian itu kemudian dapat memberkas kedua-dua suspek tersebut yang berusia 32 dan 42 tahun.

Kedua-dua suspek yang berasal dari Ampang dan Batu Caves, Selangor itu tidak memiliki rekod jenayah.

Kata Zakaria, pemeriksaan awal polis mendapati motosikal yang digunakan suspek adalah kenderaan curi.

Kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.

Terdahulu Zakaria bersama warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul mengadakan ibadah korban di IPD itu.

Dalam majlis itu, sebanyak enam ekor lembu disembelih dan diagihkan kepada kira-kira 150 anggota dan pegawai IPD Sentul.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Tangisan bayi disangka bunyi kucing


Oleh : NOR 'ASYIKIN MAT HAYIN
Tarikh : November 6, 2011
tompokan darah

LEDANG – Seorang penoreh getah, Mohd Shuib Md Dasin, 53, tidak menyangka bunyi suara seakan anak kucing yang didengarinya ketika sedang menoreh, akhirnya membawa kepada penemuan seorang bayi perempuan dalam parit kecil tidak berair sebuah kebun kelapa sawit di Kampung Melayu Raya Sagil, Tangkak, di sini, semalam.

Ketika menceritakan detik tersebut, Mohd Shuib berkata, dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, pada mulanya dia menyangka hanyalah kucing sesat yang berada dalam kebunnya itu.

Menurutnya, ketika menoreh pokok getah yang berhampiran dengan parit tersebut, dia mula berasa hairan kerana suara itu semakin kuat dan jelas.

“Tanpa rasa ragu saya segera ke arah parit itu dan terkejut mendapati seorang bayi perempuan dalam keadaan berbogel serta bertali pusat sedang menangis.

“Saya tidak menyangka, suara seakan kucing ini ada tangisan seorang bayi yang kesejukan dan kelaparan,”katanya.

Dalam keadaan terkejut dia segera memanggil isterinya Radziah Marwi, 46, yang ketika itu sama membantunya menoreh di kebun berkenaan.

Lantas, Mohd Shuib memanggil rakan-rakan untuk membantunya dengan mengambil kain batik di rumah penduduk berhampiran untuk menyelamatkan bayi malang itu.

“Kemudian, kami membawa bayi malang ini ke rumah penduduk berhampiran yang terletak kira-kira 100 meter daripada lokasi penemuan bayi itu.

“Kami balut bayi yang kesejukkan ini dengan kain batik serta berikan sedikit susu sehingga bayi ini tertidur sementara menunggu di bawa ke hospital,”katanya.

Selain itu, kami turut menjumpai dua kesan tompokan darah di dalam kebun tersebut pada jarak kurang 50 meter tempat bayi itu dijumpai.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Ledang, Deputi Superintendan Mohd Salleh Abd Razak ketika ditemui berkata, anggota polis di Balai Polis Sagil menerima panggilan telefon daripada Ketua Kampung tersebut, Supaat Wagimin yang memaklumkan mengenai penemuan bayi berkenaan.

Menurutnya, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati bayi berkenaan dalam keadaan sihat tetapi kelihatan sedikit keletihan.

“Kami percaya bayi ini dilahirkan dalam tempoh kurang 24 jam sebelum dijumpai penoreh getah berkenaan.

“Bayi ini dalam keadaan sihat dan sempurna yang kemudiannya dihantar ke Hospital Tangkak serta ditempatkan dalam wad kank-kanak untuk pemeriksaan lanjut,”katanya.
Pada masa yang sama, pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan individu yang bertanggungjawab membuang bayi itu.

“Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) turut akan dilakukan bagi mengenal pasti identiti ibu bapanya bayi berkenaan.

“Pihak polis turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang di 06-9781222 bagi membantu siasatan,”katanya.

Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tangisan bayi disangka bunyi kucing - Johor - Sinar Harian:

'via Blog this'

‘Polis’ rompak pekerja asing


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : November 6, 2011
ditumbuk

KUALA KANGSAR - Terpedaya dengan suara penjenayah yang menyamar sebagai anggota polis, lima warga Bangladesh menjadi mangsa rompakan di rumah pekerja kawasan pertanian, Kampung Bendang Panjang, di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.00 malam itu, kesemua mangsa sedang tidur dan kemudiannya terjaga setelah terdengar pintu rumah mereka diketuk.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Superintendan Guan Beng Kang berkata, selepas pintu rumah diketuk, mereka terdengar suara lelaki memberi arahan supaya membuka pintu dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

Menurutnya, mangsa disuruh membuka pintu dengan alasan untuk membuat pemeriksaan pasport dan kad pendatang asing.

“Kerana menyangka penjenayah ini adalah polis, mereka tidak melawan atau teragak-agak untuk membuka pintu.

“Selepas membuka pintu, didapati lima lelaki dipercayai berbangsa Melayu berada di hadapan rumah dan dua daripadanya bersenjatakan parang panjang,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Beng Kang berkata, penjenayah terus menyerbu masuk dan mengarahkan mangsa memberikan barangan berharga dan mereka tidak berani melawan kerana bimbang dicederakan.

Beliau berkata, akibat daripada kejadian itu, mereka mengalami kerugian sebanyak RM700 dan empat telefon bimbit turut dilarikan.

“Selain wang tunai, segala dokumen warga Bangladesh berkenaan turut dilarikan termasuk pasport tetapi mereka ditinggalkan dalam keadaan selamat dan hanya salah seorang mangsa cedera ringan di bahagian mata.

“Selepas kejadian itu, mangsa terus menghubungi majikan mereka dan membuat laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Kuala Kangsar,” katanya.

Katanya, bagaimanapun, kesemua lima lelaki itu masih belum dikenal pasti dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

‘Polis’ rompak pekerja asing - Perak - Sinar Harian:

'via Blog this'

Polis tahan lelaki ugut guru di Pulau Pinang


Oleh : BERNAMA
Tarikh : November 5, 2011

GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang menahan seorang lelaki di Selangor pada Khamis lepas bagi membantu siasatan berhubung kes mengugut dan mencederakan seorang guru wanita di negeri ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata lelaki berusia 32 itu ditahan di Jalan Batu Tiga Lama, Klang pada pukul 4.40 petang oleh sepasukan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL).

"Lelaki berkenaan dibawa balik ke IPDTL bagi membantu siasatan berhubung laporan polis yang dibuat oleh seorang guru wanita yang mendakwa diugut dan dikasari bekas teman lelakinya itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata lelaki yang tidak bekerja itu kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

Akhbar baru-baru ini melaporkan seorang guru berusia 29 tahun mendakwa dikasari bekas teman lelakinya secara fizikal dan mental.

Wanita itu dalam laporannya mendakwa telah dipukul, dicekik dan diugut dibakar rambutnya oleh lelaki terbabit selepas dia memutuskan hubungan dengan lelaki berkenaan yang turut menipu duitnya sebanyak RM15,000.

Polis tahan lelaki ugut guru di Pulau Pinang - Utara - Sinar Harian:

'via Blog this'