Search This Blog

Friday, November 4, 2011

Peneroka ditahan, lima senjata api dirampas

2011/11/04

TANJUNG MALIM: Polis menahan seorang peneroka berusia 66 tahun dan merampas lima laras senjata api kayu buatan sendiri di sebuah rumah di FELDA Gunung Besout, dekat sini, 28 Oktober lalu, kata Pemangku Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintenden Md Tahir Kassim.
Berita Harian Online | Peneroka ditahan, lima senjata api dirampas:

'via Blog this'

Ibu tunggal muda ragut wanita warga emas ditahan




2011/11/04

JOHOR BAHRU: Seorang ibu tunggal berusia 18 tahun ditahan polis selepas meragut seorang wanita warga emas di tempat letak kereta pasar raya Tesco di Kulai Jaya semalam.

Kejadian berlaku pada jam 6 petang ketika mangsa, Enah Hassan, 59, sedang berjalan menuju ke keretanya selepas selesai membeli-belah.
Ketua Polis Daerah Kulai Jaya, Supt Zulkefly Yahya, berkata mangsa yang keseorangan ketika itu tiba-tiba dihampiri suspek yang kemudian bertindak merampas dompet yang dipegang mangsa.
"Selepas meragut dompet mangsa, suspek terus melarikan diri namun tindakan
mangsa menjerit meminta tolong berjaya menarik perhatian orang ramai.

"Suspek berjaya ditahan oleh orang awam dan anggota polis peronda yang kebetulan melalui kawasan itu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai Jaya hari ini.

Enah cedera di bahagian lutut kiri selepas ditolak suspek yang didapati
positif dadah jenis syabu.
Suspek yang berasal dari Kulai dan mempunyai seorang anak berusia setahun
itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Dia kini ditahan reman sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan di bawah
Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 14 tahun dan
sebatan jika sabit kesalahan.

Dalam kes berasingan, beliau berkata pihaknya menahan seorang lelaki bersama
seorang ibu tunggal beranak empat di sebuah hotel bajet di Senai kerana memiliki
55 gram heroin dan 2.4 gram syabu semalam.

Nilai pasaran dadah yang dijumpai di atas katil suspek berusia 39 dan 35
tahun itu adalah RM2,600.

Mereka turut didapati positif dadah dan kini ditahan reman sehingga Khamis
depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952
yang membawa hukuman gantung sampai mati mandatori.

Kedua-duanya mempunyai rekod lampau berkaitan dadah. - BERNAMA
Berita Harian Online | Ibu tunggal muda ragut wanita warga emas ditahan:

'via Blog this'

Bil tinggi sebab usik meter - TNB


04/11/2011 4:16pm

PULAU AMAN, Pulau Pinang – Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini menjelaskan caj tenaga yang didakwa keterlaluan selepas pelaksanaan meter baru digital berkemungkinan disebabkan caj kebelakang yang dikenakan kepada pengguna berikutan berlaku usikan pada meter lama.

Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Ir Azman Mohd berkata selepas meter baru digital dipasang, jika TNB mendapati berlakunya usikan meter, syarikat utiliti itu berhak mengenakan caj kebelakang.

"Mengikut Akta Bekalan Elektrik, TNB boleh mengecaj kebelakang iaitu kita boleh caj setakat mana kita boleh buktikan bahawa penggunaan atau usikan jangka ini telah berlaku sejak sekian lama.

"Sudah tentu proses yang kita caj kebelakang akan menimbulkan bil elektrik yang tinggi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Set Janakuasa di Pulau Aman, hari ini.

Beliau diminta mengulas gesaan Persatuan Pengurusan Bangunan Malaysia (BMAM) supaya TNB mengkaji isu-isu yang ditimbulkan oleh pengguna berhubung dakwaan caj tenaga yang keterlaluan berikutan penggunaan meter baru digital itu.

Azman berkata TNB tidak akan sewenang-wenangnya mengenakan caj kebelakang tanpa bukti kukuh telah berlaku usikan meter.

"Dalam kes usikan meter, jika mempunyai bukti kukuh baru TNB teruskan untuk ambil balik kerugian yang dialami. Ia dilakukan dengan pertimbangan dan perbincangan dengan pengguna terlibat,” katanya.

Selain itu, beliau turut menjelaskan dalam keadaan tertentu, bacaan meter baru digital itu mungkin lebih tinggi berbanding meter lama berikutan bacaan meter lama yang tidak begitu tepat. - Bernama

Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Kastam rampas dadah RM4.6 juta


04/11/2011 5:37pm

SEPANG – Kastam Diraja Malaysia berjaya merampas syabu seberat 18.21 kilogram bernilai RM4.6 juta dalam kes berasingan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam tempoh tiga hari lepas.

Pengarah Kastam KLIA Datuk M.Govinden berkata rampasan terbaru ialah di LCCT semalam di mana syabu seberat 7.06 kilogram bernilai RM1.77 juta dirampas daripada seorang lelaki warga India.

Beliau berkata imbasan yang dilakukan terhadap beg lelaki berusia 31 itu di cawangan pemeriksaan penumpang pada kira-kira 1.45 pagi menunjukkan imej yang mencurigakan dan setelah dibuka terdapat tujuh keping alas kaki dan beberapa helai pakaian.

"Setelah alas kaki dan kemudiannya kertas karbon itu dipotong, akhirnya didapati di dalamnya terdapat serbok kristal putih dan setelah ujian dijalankan menunjukkan ianya dadah jenis syabu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata lelaki itu kini ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Govinden berkata dalam kes kedua, syabu seberat 10.6 kilogram bernilai RM2.65 juta ditemui dalam dua buah bagasi yang tidak diambil oleh penumpang di KLIA pada kira-kira 10.30 malam, 1 Nov lepas.

"Hasil semakan mendapati ianya kepunyaan dua warganegara Nigeria,” katanya.

Bagi kes ketiga juga di KLIA, Govinden berkata syabu seberat 0.550 kilogram bernilai RM137,500 ditemui dalam “batang pemegang besi” dalam dua bagasi milik seorang lelaki warga Nigeria berusia 25 tahun.

"Syabu turut ditemui di dalam ruangan sulit beg tersebut. Pihak kastam kini menahan reman beliau untuk disiasat,” katanya. - Bernama

Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Lelaki mati lemas terjun sungai


04/11/2011 7:04pm

ALOR SETAR – Seorang lelaki ditemui mati lemas selepas terjun ke dalam Sungai Padang Terap di sini, apabila tiga anggota polis singgah di rumahnya dalam kejadian di Kampung Longgok Pasir semalam.

Mayat Shazwan Yahya, 31, ditemui kira-kira 10.35 pagi tadi, kata ketua operasi mencari dan menyelamat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak Muhamad Mahayudin ketika dihubungi.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat dimulakan kira-kira 3 petang semalam namun dihentikan empat jam kemudian ekoran keadaan gelap.

"Operasi disambung semula 9.20 pagi tadi sebelum mayat mangsa ditemui kira-kira sejam kemudian,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan ketika dihubungi mengesahkan anggotanya ke kampung berkenaan setelah menerima panggilan daripada seorang wanita yang meminta bantuan berhubung kejadian amuk.

Beliau berkata mangsa bertindak melarikan diri ke belakang rumah dan terjun ke dalam sungai apabila anggota polis terbabit tiba di rumahnya.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan lemas,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa Asma Shaari, 61, berkata sebelum kejadian, anak bongsunya itu sedang mengopek kelapa di halaman rumah sebagai persediaan untuk memasak juadah sempena sambutan Aidiladha Ahad ini.

"Masa tu makcik ada di dalam rumah, Dekwan (panggilan untuk Shazwan) tengah kupas kelapa di luar. Makcik dengar bising-bising di luar macam ada orang tengah sembang.

"Bila makcik keluar Dekwan dah lari dan ada orang beritahu dia terjun sungai,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Sultanah Bahiyah di sini.

Asma berkata sungai itu terletak kira-kira 500 meter dari belakang rumahnya.

"Makcik dah tak fikir lagi untuk sambut raya. Hancur luluh perasaan makcik bila menatap jenazah Dekwan,” katanya yang tidak pasti punca Shazwan bertindak sedemikian. - Bernama

Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Ramai guna pelekat cermin gelap


Oleh : ROSALWANI CHE SOH
Tarikh : November 4, 2011
jpj

KOTA BHARU - Pengguna kenderaan di Kelantan di kesan sebagai pelanggan paling ramai menggunakan pelekat cermin gelap di kenderaan mereka.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Abdul Ghani Che Kasim berkata, beliau mengakui pengguna di negeri ini suka menggunakan pelekat cermin gelap.

“Kita akui banyak motokar di negeri menggunakan cermin terbabit namun tidak mempunyai data lengkap mengenai penggunanya. Jika kita dapat kesan cermin gelap yang digunakan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan iaitu 70 peratus telus cahaya di bahagian cermin depan dan 50 peratus pada kiri dan kanan kita akan keluarkan saman,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas taklimat Ops Khas JPJ di Akademi JPJ Jalan Kuala Krai semalam.

Dalam perkembangan lain, operasi itu yang dilakukan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia dilancarkan bagi mengenal pasti kesalahan yang dilakukan pengguna motosikal disebabkan peratusan kematian yang tertinggi melibatkan golongan terbabit di negeri ini iaitu 60 peratus.

“30 anggota JPJ dan 10 anggota polis bergabung bagi menjalankan operasi pada malam ini (semalam). Dalam operasi itu, 21 motosikal disita dengan pelbagai kesalahan, antaranya tidak memperbaharui cukai jalan serta tidak memperbaharui lesen memandu yang sah,” katanya.

Sehingga malam semalam, JPJ mengeluarkan 79 saman libatkan 53 motosikal, 25 kereta dan sebuah lori kecil. Manakala polis mengeluarkan 53 kompaun libatkan pelbagai kesalahan iaitu 11 tidak miliki lesen memandu, 37 tiada nombor pendaftaran, dua saman kerana lesen tamat tempoh, dua kesalahan tidak pakai tali pinggang keledar dan satu kesalahan brek tidak berfungsi.

Ramai guna pelekat cermin gelap - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'

Mayat polis bantuan ditemui pagi tadi


Oleh : SKUAD JHR
Tarikh : November 2, 2011

KOTA TINGGI - Seorang remaja berusia 22 tahun yang bekerja sebagai polis bantuan maut akibat tergelincir ketika memancing bersama rakannya di Sungai Sayong.

Kejadian berlaku pada jam 6.30 petang semalam manakala mayat mangsa ditemui jam 7.30 pagi tadi.

Mayat polis bantuan ditemui pagi tadi - Johor - Sinar Harian:

'via Blog this'

Kontraktor mati ditetak


Oleh : AZIZAN INCHE HARUN
Tarikh : November 4, 2011
kontraktor pendawaian mati ditetak

PASIR GUDANG – Seorang kontraktor pendawaian mati ditetak oleh sekumpulan penjenayah di ruang tamu rumahnya di hadapan isteri dan seorang anaknya dalam kejadian di Taman Rinting, di sini, kira-kira jam 8.25 malam, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Roslan Zainuddin berkata, anggotanya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan daripada anak mangsa.

Menurutnya, sebaik tiba, anggotanya mendapati seorang lelaki berumur lingkungan 50 tahun terbaring di ruang tamu rumah dengan kesan cedera parah di bahagian kepala.

“Mangsa mati di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian pipi dan bahu kiri dipercayai dibunuh dengan menggunakan senjata tajam.

“Motif dan suspek yang terlibat dalam kes pembunuhan ini masih disiasat, termasuk senjata yang digunakan untuk membunuh mangsa,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian, di sini, malam kelmarin.

Mohd Roslan berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail Pandan, Johor Bahru untuk bedah siasat.

Menurutnya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, saudara mangsa yang enggan dikenali berkata, dia terkejut menerima panggilan pagi kelmarin mengenai kematian mangsa, sedangkan mangsa dibunuh kira-kira jam 8 malam.

Menurutnya, dia sekeluar­ga masih belum sempat ke rumah mangsa sempena Deepavali dan bercadang akan ke rumah mangsa dalam masa terdekat.

“Kami saudara-mara menerima panggilan mengenai kematian mangsa kira-kira jam 8 pagi tadi (kelmarin) dan terkejut kerana sebenarnya mangsa dibunuh kira-kira jam 8 malam.

“Sedih dan terkilan kerana tidak sempat menyambut Deepavali bersama mangsa. Malah bercadang ingin ke rumahnya dalam masa terdekat kerana sudah agak lama tidak berjumpa,” katanya.

Kontraktor mati ditetak - Johor - Sinar Harian:

'via Blog this'

Lebih 100 rumah terlibat banjir kilat


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : November 4, 2011
banjir

KUALA KANGSAR – Tidak sampai setengah jam, lebih 100 rumah di beberapa kawasan sekitar Kuala Kangsar, di sini, dilanda banjir kilat malam kelmarin.
Antara kawasan yang terjejas teruk ialah Kampung Kolam Air, Taman Talang , Simpang Lawin dan beberapa lagi lokasi berhampiran.

Pelbagai faktor didakwa penduduk menjadi punca kepada masalah banjir di Kolam Air dan Taman Talang, antaranya sistem saliran serta perparitan tidak sistematik selain projek pembinaan yang sedang dibangunkan di kawasan sekitar.

Seorang penduduk, Ng Sai Peng, 58, berkata, masalah banjir kilat bukan perkara baru kepada mereka dan ia menjejaskan pendapatannya sebagai pemilik kilang rotan.
Menurutnya, setiap tahun dia kehilangan beribu-ribu ringgit akibat banjir yang menyebabkan barangan kilangnya rosak.

“Boleh dikatakan setiap tahun, dua kali banjir akan berlaku tetapi kali ini adalah paling teruk dan saya mengalami kerugian kira-kira RM6,000.

“Pernah suatu ketika, kerugian dialami lebih teruk dan masalah ini timbul kerana pihak berwajib tidak menjalankan kerja pembersihan longkang secara berkala menyebabkan ia tidak mampu menampung air,” katanya ketika sesi dialog bersama pemimpin, di Kolam Air, di sini, semalam.

Hadir sama, Adun Manong, Datuk Ramly Zahari; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) Abd Halim Abd Hamid; Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Azizul Rahim; Penyelarasan BN Padang Rengas, Kamaruzzaman dan Wakil Gamuda serta MCA.

Katanya, diharap pihak berwajib mengambil tindakan segera, dengan membersihkan kawasan longkang walaupun hanya sekali setahun.

Rumah tenggelam paras pinggang

Penduduk, R Poongothai, 48, pula mendakwa rumahnya ditenggelami air sehingga paras pinggang berikutan projek pembinaan yang dijalankan Gamuda.

“Satu jam lebih air belum surut sehingga hujan berhenti dan longkang di kawasan sekitar tidak dapat menampung air.

“Saya percaya banjir kilat ini berlaku kerana projek pembinaan yang sedang dijalankan dan kerana masalah ini, kami mengalami kerugian harta benda,” katanya.
Manakala, Pengerusi Parti Gerakan Cawangan Kolam Air, Goh An Leang berkata, ramai penduduk merungut dan mengadu kepadanya mengenai masalah itu selain mengharapkan penyelesaian.

“Barang penduduk banyak rosak dan mereka tidak sempat menyelamatkan barang-barang kerana air naik dengan cepat.

“Sebelum ini pernah berlaku banjir tetapi kali ini adalah yang terburuk,” katanya.


Aduan dibuat, tindakan tiada

Sementara itu, penduduk Simpang Lawin mulai berang apabila sudah beberapa aduan dibuat tetapi tiada sebarang tindakan drastik dilakukan oleh pihak pemaju yang menjadi punca kepada masalah banjir.

Penduduk, M Ravindran, 38, berkata, dia terpaksa berdepan kerugian yang banyak setiap kali banjir dan kali ini antara terburuk kerana segala barangan di dalam rumah rosak termasuk sebuah kereta turut ditenggelami air.

“Air naik dengan begitu cepat dan kami tidak sempat menyelamatkan barang-barang dan hanya mampu lihat sahaja ia musnah.

“Masalah ini timbul kerana projek perumahan yang dijalankan di kawasan berhampiran tidak dibina sistem saliran air secara sistematik dan laluan air menghala ke rumah penduduk di bawah.

“Bukan sahaja rumah tetapi hasil tanaman penduduk juga musnah setiap kali banjir dan kami amat tertekan dengan keadaan ini,” katanya.

Katanya, aduan sudah dibuat, mesyuarat sudah dilakukan tetapi sehingga kini tiada sebarang perubahan berlaku.

Penduduk, Goh Eng Joo, 40, turut berdepan masalah yang sama dan habis kesemua barangan elektrik dan perabot di rumahnya rosak.
“Kami terpaksa menanggung kerugian tetapi pihak berwajib tidak dapat bantu apa-apa untuk menyelesaikannya.

“Banjir berlaku pada waktu malam, kami terpaksa tidur di luar dan mencari hotel berdekatan serta memerlukan masa yang lama untuk membersihkan rumah,” katanya.


Lakukan lawatan, hulur bantuan

Bagaimanapun, bagi mengenal pasti punca yang didakwa penduduk dan melihat sendiri keadaan di lokasi kejadian, pemimpin masyarakat dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak lepas tangan serta melakukan lawatan kerja, di sini, semalam.

Ramly berkata, beliau bersimpati dengan nasib yang menimpa penduduk dan berusaha menghulurkan bantuan mengikut kemampuan.

“Setiap lokasi dan tempat yang dikatakan penduduk menjadi punca kepada masalah banjir akan kami lawati dan agensi berkaitan juga hadir untuk melihat sendiri masalah itu.

“Setiap rumah yang ditimpa banjir akan menerima bantuan sebanyak RM300 supaya mereka dapat membeli barangan keperluan dan mengurangkan beban,” katanya.

Lebih 100 rumah terlibat banjir kilat - Perak - Sinar Harian:

'via Blog this'

Warga emas diragut


Oleh : Nur Ainna Hamzah
Tarikh : November 3, 2011

Seorang warga emas berusia lingkungan 70-an berada dalam keadaan ketakutan dan trauma selepas diragut seorang lelaki di kediamannya di perkampungan tradisional di Gemencheh, Ahad lalu.

Sumber berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.00 petang itu, mangsa yang bersendirian di luar rumah tiba-tiba didatangi seorang lelaki bermotosikal bertanya alamat seseorang individu bagi mengumpan warga emas berkenaan untuk memulakan perbualan dengannya.

“Bagaimanapun, belum sempat mangsa menjawab, peragut berkenaan sudah terlebih dahulu meragut rantai emas mangsa yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2,000 dan melarikan diri bersama seorang lagi teman menaiki motosikal sama,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan akan menjalankan siasatan.

“Diharap masyarakat terutamanya warga emas dan wanita untuk tidak bersendirian di luar kediaman bagi mengurangkan risiko diragut. Malah, mereka juga digalakkan untuk mengunci pintu bagi menghalang individu tidak bertanggungjawab sesuka hati masuk ke kediaman.

“Sehubungan itu, sesiapa yang ingin menyalurkan maklumat mengenai kejadian berkenaan bolehlah menghubungi balai polis berdekatan atau di talian 06-4411222,” katanya.

Padah berlumba di jalan raya


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : November 4, 2011
kemalangan

ALOR GAJAH – Gara-gara memotong beberapa kenderaan untuk berlumba, seorang lelaki maut apabila kereta jenis Wira Aeroback yang dipandu bertembung sebuah lori tiga tan muatan sawit di Jalan Kampung Pematang Darat, berhampiran simpang tiga masuk ke Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Kuala Sungai Baru, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Mohd Zaini Mohd Zaid, 37, yang berasal dari Telok Kemang Port Dickson memandu dari arah Kuala Linggi menghala ke Kuala Sungai Baru hilang kawalan ketika cuba memotong kenderaan lain dan bertembung dengan lori terbabit yang dipandu seorang lelaki Cina.

Pemandu lori, Gan Siang Cheng, 41, dari arah Paya Lebar menuju ke kilang sawit Sri Lingga, Kuala Linggi, berkata, dia mencuba mengelak ke kiri jalan, namun kereta terbabit dipandu laju merempuh bahagian hadapan lorinya.

“Sebaik melalui selekoh, kereta yang sudah hilang kawalan itu tiba-tiba muncul sebelum terbabas dan berpusing di laluan saya,” katanya.

Menurut Gan yang memandu berseorangan, dia tidak sempat membunyikan hon atau memberi isyarat lampu tinggi kerana kereta terbabit sudah hilang kawalan dan dia hanya mampu mengelak sebelum terbabas ke bahu jalan.

Seorang saksi yang enggan dikenali mendakwa, terdapat kereta di hadapan lori sawit terbabit yang mahu memasuki simpang kanan sebelum kemalangan itu berlaku.

“Kejadian berlaku dalam sekelip mata apabila saya lihat lori yang dipandu bergegar kuat terus di bahu kiri jalan sebelum saya menyedari kereta mangsa sudah terbabas di jalan asalnya,” katanya.

Seorang lagi saksi, Azmi Harun, 47, yang memandu tidak jauh dari kereta mangsa mendakwa, kereta tersebut ada memotong keretanya dan dilihat seperti sedang berlumba dengan kereta lain.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, R Bajiyen, ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, mangsa yang tidak tersepit di tempat duduk pemandu dikeluarkan dengan mudah tanpa memerlukan pemotongan pada bahagian kereta.

Operasi tersebut diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Zainuddin Joned bersama sembilan anggota lain dengan kekuatan satu jentera dan sebuah pacuan empat roda berjaya mengeluarkan mangsa yang sudah meninggal dunia kurang dari tiga minit.

“Disebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, orang awam tidak berani menyentuh atau mengeluarkan mangsa sehingga anggota bomba tiba dan seterusnya dihantar ke Hospital Melaka menggunakan kenderaan polis,” katanya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Umar Ali Saifuddin Shaharudin, mengesahkan kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari itu.

Menurutnya, mayat mang­sa dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat sementara pemandu lori yang mengalami cedera ringan menerima rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Kuala Sungai Baru,” katanya.

Padah berlumba di jalan raya - Melaka & NS - Sinar Harian:

'via Blog this'

Lelaki toreh warga emas


Oleh : MOHD TAHA YAACOB
Tarikh : November 4, 2011
tertuduh

BESUT - Seorang nelayan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Besut di sini semalam atas tiga pertuduhan jenayah dan satu kesalahan dadah di Kampung Gong Nangka, Apal di sini pada 22 Oktober lalu.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Zairi Abdul Manaf, 27, didakwa menceroboh sebuah rumah milik warga emas di Kampung Gong Nangka pada jam 10 malam dengan niat melakukan kesalahan.

Dia juga juga dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan pada bahagian bahu dan dada sebelah kiri ke atas pemilik rumah itu, Abdul Ghani Jusoh, 69.

Bagi pertuduhan ketiga, dia dituduh memiliki sebilah parang panjang dan golok bengkok tanpa sebab munasabah di Kampung Bukit Kenak pada jam 8.10 pagi, 23 Oktober lalu.

Untuk pertuduhan pertama, dia dituduh di bawah Seksyen 451 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun dan denda, manakala pertuduhan kedua di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat atau dengan dua mana-mana hukuman itu.

Sementara untuk pertuduhan ketiga, dia dituduh di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun atau sebat.

Dia juga didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 2003) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1)(b) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan dua tahun pengawasan.

Majistret Raja Norshuziannashakila Raja Mamat membenarkan tertuduh diikat jamin RM22,500 bagi semua pertuduhan itu dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum itu Pegawai Pendakwa, Chif Inspektor Rozaime Ab Rahim menawarkan wang jaminan sebanyak RM20,000 bagi tiga pertuduhan jenayah dan RM5,000 bagi pertuduhan narkotik.

Lelaki itu memberitahu mahkamah, dia tidak akan melantik peguam dalam perbicaraan akan datang sebaliknya dia sendiri akan mewakili dirinya.

Mohd Nazri gagal membayar jaminan tersebut dan terpaksa meringkuk dalam penjara sementara menunggu tarikh sebutan semula kes.

Media pada 24 Oktober lalu menyiarkan berita mengenai kejadian seorang warga emas, Abdul Ghani yang terpaksa bergelut hampir 20 minit selepas dia terserempak dengan tertuduh yang berada di dalam rumahnya.

Pada mulanya Abdul Ghani menyedari ada yang tidak kena dalam rumahnya selepas dua kali terdengar bunyi tingkap kaca pecah.

Dia bertindak melawan suspek dengan tangan kosong menyebabkan dia cedera selepas suspek yang bersenjatakan parang dan golok milik Abdul Ghani menoreh dadanya.

Bagaimanapun, kebera­nian­ warga emas itu menyebabkan tertuduh melarikan diri dan bersembunyi di kawasan Kampung Bukit Kenak sebelum berjaya ditangkap keesokan paginya.

Lelaki toreh warga emas - Terengganu - Sinar Harian:

'via Blog this'

Penjawat awam lalok ugut bakar hospital


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : November 4, 2011
SAIFUL

SEREMBAN- Gara-gara tidak berpuas hati dengan rawatan diterima di wad kecemasan dua pegawai jabatan kerajaan, mengamuk dan mengugut, mahu membakar Hospital Tuanku Ja’afar, di sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, dua lelaki, masing-masing berusia 30 dan 28 tahun, dipercayai datang ke hospital kerana demam.

Bagaimanapun, mereka tidak berpuas hati dengan rawatan diterima, sehingga mencaci dan mengeluarkan perkataan kasar kepada pembantu perubatan hospital berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komi­sioner Saiful Azly Kamarud­din berkata, kedua-dua suspek mengugut untuk mem­bakar hospital terbabit kerana berang tidak mendapat rawatan diingini.

“Ketika mengamuk, suspek menumbuk cermin tingkap di pondok polis berdekat an wad kecemasan tersebut sehingga menyebabkan ia retak. Malah, ubat diberikan juga turut dibuang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, disebabkan bimbang dengan keadaan itu, pembantu perubatan terbabit, terus menghubungi anggota cegah jenayah dan menahan kedua-dua suspek.

Menurutnya, hasil ujian air kencing suspek mendapati, kedua-duanya positif dadah disyaki jenis ganja.

“Kita percaya, semasa kejadian kedua-duanya berada dalam tidak waras atau lalok sehingga tidak sedar apa yang mereka lakukan.

“Malah kita percaya, suspek datang ke hospital itu untuk mendapatkan metadone tetapi gagal berbuat demikian,” katanya.

Saiful Azly berkata, kedua-dua suspek direman tiga hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Penjawat awam lalok ugut bakar hospital - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Saifulruddin bebas tuduhan rasuah


Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : November 4, 2011

SHAH ALAM - Bekas Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) Yayasan Selangor, lepas dan dibebaskan, tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam, daripada tiga pertuduhan rasuah membabitkan RM45,000 di akhir kes pendakwaan.

Saifulruddin Sulaiman, 32, didakwa atas tiga tuduhan rasuah, berhubung sambutan ulang tahun ke-40 yayasan itu, dikatakan menelan belanja hampir RM1 juta, tahun lalu.

Keputusan dibuat Hakim M. Bakri Abd Majid setelah meneliti keterangan saksi dan membuat penilaian maksimum terhadap hujah Timbalan Pendakwa Raya, Rozila Salleh dan Peguam Bela, Sritharan G. Nadarajan dan Adan Yap.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa secara rasuah bersetuju menerima RM20,000 daripada pengurus syarikat Drift Z Enterprise, Husni Hirzi Abd Rahim, sebagai upah membantu syarikat itu, dipilih dan dilantik sebagai pengurus acara bagi Majlis Sambutan 40 Tahun Yayasan Selangor.

Dia juga didakwa secara rasuah bersetuju menerima suapan RM20,000 daripada Husni Hirzi sebagai upah kerana tidak menahan pembayaran terhadap syarikat Drift Z Enterprise bagi majlis sambutan 40 tahun yayasan itu di tempat sama, kira-kira jam 9 malam, 25 Oktober tahun lalu.

Saifulruddin turut berdepan satu lagi tuduhan, bersetuju menerima suapan RM5,000 daripada Husni Hirzi supaya melepaskan bayaran tambahan program RM93,982.40 kepada syarikat itu, pada 11 November tahun sama.

Pada Majlis Sambutan ulang tahun Yayasan Selangor ke-40 tahun lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah membatalkan keberangkatan ke majlis tersebut di Asrama Tun Dr Ismail, Kampung Pandan, Kuala Lumpur kerana terkejut dan dukacita dengan kos penganjurannya melebihi RM300,000.

Saifulruddin bebas tuduhan rasuah - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Taktik seludup dadah berubah


Oleh : HASNIZA HUSSAIN
Tarikh : November 3, 2011
Taktik seludup dadah ke berubah

KUALA LUMPUR - Nilai harga pasaran dadah di negara luar, mencecah jutaan ringgit, menjadi tarikan ahli sindiket tertentu di negara ini, untuk menyeludup keluar bahan ter larang itu.

Sindiket terbabit dikesan menjadikan Indonesia, Australia dan Singapura sebagai negara pilihan kerana membawa ke untungan berganda.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Mohd Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya menukar strategi dan memberi tumpuan lebih kepada kawalan di semua lapangan terbang negara bagi mengesan sindiket atau individu yang cuba menyeludup dadah keluar dari negara ini.

Beliau berkata, perbezaan harga pasaran dadah sangat ketara kerana harga bagi dua kilogram (kg) dadah jenis syabu diseludup ke Australia, boleh mencecah RM3 juta, berbanding harga pasaran di Malaysia hanya kira-kira RM200,000.

“Setakat ini, terdapat 40 rakyat Malaysia ditahan di Singapura dan ada juga di Indonesia kerana me­nyeludup dadah ke negara itu.

“Kita tubuhkan pasukan khas bagi membuat pemantauan ketat terhadap sindiket tebabit,” katanya selepas Majlis Pemakaian Lencana Pangkat anggota JSJN Bukit Aman, semalam.

Mohd Noor Rashid berkata, modus operandi juga sudah berubah kerana suspek membawa dadah dalam jumlah kecil seperti setengah atau satu kg berbanding lima atau 10 kg.

Taktik seludup dadah berubah - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

75 peratus kadet wanita alami gangguan seks





2011/11/04

Elizabeth Broderick
Elizabeth Broderick
Akademi Pasukan Pertahanan Australia tempat selamat 

SYDNEY: Hampir 75 peratus kadet wanita di akademi latihan tentera Australia pernah mengalami gangguan seksual, kata satu laporan kerajaan selepas menemui siri skandal membabitkan salah laku terhadap wanita.
Suruhanjaya Hak Asasi Australia dalam laporan yang dikeluarkan semalam menyatakan keadaan bertambah baik sejak beberapa tahun dan Akademi Pasukan Pertahanan Australia secara amnya adalah tempat selamat untuk kadet wanita, menurut laporan.
Bagaimanapun, kajian itu mendapati akademi latihan itu masih jauh sebagai tempat sesuai untuk wanita dengan 74 peratus kadet wanita melaporkan mereka pernah mengalami gangguan seksual atau gangguan berdasarkan jantina. 

“Jika Australia mempunyai pasukan tentera darat dan laut yang paling hebat, ia mestilah mempunyai pegawai berpendidikan dan sistem latihan yang hebat, sistem yang menilai sumbangan kedua-dua lelaki dan wanita,” kata Ketua Penyiasatan Suruhanjaya Diskriminasi Seks, Elizabeth Broderick. 

Menteri Pertahanan Stephen Smith mengarahkan penilaian pada April, selepas seorang kadet wanita secara rahsia merakamkan perlakuan seks dengan kadet lain. 

Video itu disiarkan di internet oleh kadet lelaki lain akademi itu. Wanita itu berkata beliau tidak mengetahui aksinya dirakam sehinggalah pegawai tentera menghubunginya. 
Dua bulan sebelum itu, satu laporan mendapati wujud insiden perlakuan seks terlampau di atas kapal tentera laut, di tengah-tengah dakwaan sekumpulan anak kapal HMAS Success mengadakan pertandingan siapa yang melakukan seks dengan lebih ramai krew wanita. 

Smith, yang curiga dengan kedua-dua skandal itu mengarahkan Broderick menilai terhadap budaya di akademi itu dan kesannya kepada kadet wanita. 

Fasa kedua penilaian itu dijangka selesai tahun depan, yang akan meninjau layanan yang diberikan ke atas wanita di seluruh pasukan tentera. 

Penilaian berasingan akan mengkaji penggunaan alkohol dan media sosial, laluan kepemimpinan wanita dan isu tentera lain. 

Pegawai menemuramah lebih satu perempat kadet di akademi itu yang dipilih secara rawak. Kadet itu terbabit dalam kumpulan fokus kecil, mengisi soal selidik dan dihimpunkan dalam kumpulan besar untuk berkongsi pengalaman. – AP