KAMPUNG PAUH GANJA – “Arwah minta dihalalkan makan minumnya, minta maaf banyak kalau ada buat salah,” kata Nor Azizah Ibrahim, 43, ibu kepada Siti Syahidah Abu Bakar, 9, yang ditemui lemas bersama rakan karibnya, Norlaila Ghazali, 9, di bendang Kampung Pauh Ganja.
Nor Azizah berkata, pada pagi Isnin lalu, perubahan pelik itu disedari kakaknya, Siti Aisyah, 13, apabila arwah meluahkan kata–kata itu sebelum ke Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Pohon Tanjong.
“Saya pada hari kejadian, tiada di rumah kerana keluar bekerja di kilang MH Mohammad di Kampung Paloh,” katanya ketika ditemui di rumahnya, kelmarin.
Bagaimanapun, menurutnya, kira–kira jam 5 petang, dia dikejutkan dengan laungan anak keempatnya dari lima beradik, Siti Nordayini, 10, yang basah kuyup mengatakan arwah lemas bersama Norlaila.
Nor Azizah berkata, dia bersama ibu Norlaila, Wan Rohayah Wan Abdullah, 38, terus ke bendang tersebut dan akhirnya kedua–dua mayat dijumpai selepas bapa Norlaila, Ghazali Nawi, 44, menyelam ke dasar lubuk tersebut.
Kedua–dua jenazah itu selamat dikebumikan di Kubur Kampung Pauh Ganja kira–kira jam 12 tengah hari , kelmarin.
Semalam Sinar Harian melaporkan kegembiraan lima sahabat ke lubuk ikan di bendang Kampung Pauh Ganja, Pasir Pekan untuk menangkap ikan berakhir dengan tragedi.
Lebih menyayat hati apabila mayat dua rakan karib itu, Siti Syahidah dan Norlaila, murid dari SK Padang Pohon Tanjong ditemui berpelukan, lemas selepas tergelincir ke dalam lubuk ikan itu.
Ketika kejadian itu, Siti Nordayini, juga nyaris lemas apabila cuba menyelamatkan kedua mangsa yang tenggelam timbul di dalam lubuk ikan yang dilimpahi air sedalam hampir lima meter akibat hujan lebat sejak kebelakangan ini.
Siti Nordayini juga tergelincir ke dalam lubuk tersebut ketika cuba menyelamatkan adik bongsunya itu, tetapi sempat diselamatkan oleh seorang lagi rakannya, Nur Husna Tasni Anuar, 9, apabila pantas menghulurkan raga yang dibawa untuk menangkap ikan.
Hanya Siti Nordayini sempat naik ke kawasan air cetek di bendang tersebut, manakala adiknya terus terkapai–kapai di tempat air dalam sambil meminta tolong dan akhirnya tenggelam.