Search This Blog

Tuesday, November 1, 2011

Didakwa rogol adik ipar


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : October 29, 2011
dituduh-rogol

KUANTAN- Seorang pemuda berdepan hukuman penjara sehingga 60 tahun dan 20 sebatan selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan semalam atas dua tuduhan merogol adik iparnya yang masih di bawah umur dalam dua kejadian berasingan pada pertengahan April 2009 dan 10 Oktober lalu.

Tertuduh berusia 25 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap kedua-dua pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Amalina Zainal Mokhtar di hadapan Hakim Fathiyah Idris, semalam.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dibenarkan diikat jamin RM8,000 manakala 17 November depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan untuk tertuduh melantik peguam.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu buat pertama kali pada pertengahan April 2009 kira-kira jam 3 pagi di sebuah rumah di Taman Seri Inderapura dekat sini.

Ketika itu, mangsanya baru berusia 14 tahun 7 bulan dan dikategorikan sebagai gadis bawah umur.

Manakala bagi tuduhan kedua, dia didakwa mengulangi perbuatan itu pada gadis yang sama ketika itu sudah berusia 16 tahun 11 bulan di sebuah rumah dipercayai kediaman mereka di Taman Seri Inderapura.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira jam 9.30 pagi 10 Oktober lalu sebelum dia ditahan polis hari berikutnya.

Perbuatan yang dilakukan lelaki itu, bukan sahaja menyalahi undang-undang dan hukum agama malah menyimpang dari adat dan kebiasaan dimana tertuduh dan mangsa tidak dibolehkan untuk berkahwin.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan jika disabitkan kesalahan bagi setiap tuduhan dihadapinya.

Didakwa rogol adik ipar - Pahang - Sinar Harian:

'via Blog this'

Maut kereta rempuh tebing


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : October 28, 2011
maut-pahang

KUANTAN - Sambutan Perayaan Deepavali tahun ini menjadi yang terakhir buat seorang lelaki selepas dia terbunuh dalam nahas jalan raya di Kilometer 12, Jalan Pintasan Kuantan di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.05 malam itu, mangsa, W Surendran, 21 dari Taman Bintang, Cheroh, Raub maut di tempat kejadian selepas kereta yang dipandu rakannya, Ramachandran, 21 terbabas sebelum melanggar tebing dan tiang lampu.

Pegawai Turus Trafik Negeri, Deputi Superintendan Mohd Rizal Abdullah berkata, dua sahabat itu menaiki sebuah kereta jenis Hyundai Sonata dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Kemaman.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi nahas, kereta terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar tebing dan tiang lampu.

“Akibat kejadian, kereta yang dinaiki mereka remuk manakala mangsa yang berada di tempat duduk penumpang hadapan mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Mohd Rizal berkata, ketika kejadian keadaan cuaca hujan lebat dan permukaan jalan basah serta licin.

Sementara itu dalam nahas berasingan, seorang peniaga warga emas maut selepas motosikal yang ditungganginya hilang kawalan sebelum merempuh tembok jambatan di Kilometer 3, Jalan Pekan- Kuantan, atas Jambatan Sultan Abu Bakar, Pekan, awal pagi kelmarin.

Dalam nahas kira-kira jam 6.45 pagi itu, mangsa Mohd Fauzi Abdul Rahman, 65 dari Taman Sepekan Jaya, Pekan mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mohd Rizal berkata, mangsa dipercayai menunggang bersendirian dalam perjalanan dari rumahnya untuk memulakan perniagaannya di Pasar Besar Pekan.

“Ketika sampai di lokasi kejadian, motosikalnya hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tembok,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua nahas yang meragut nyawa penumpang kereta dan penunggang itu kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Maut kereta rempuh tebing - Pahang - Sinar Harian:

'via Blog this'

Dua beranak maut dirempuh bas


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : October 24, 2011
adik-beradik-kemalangan

MENTAKAB – Dua beranak terbunuh apabila kereta dinaiki empat sekeluarga dirempuh sebuah bas ekspres di Kilometer 145 Jalan Kuala Lumpur – Kuantan dekat kilang Mardec Batu 5 di sini petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu pemandu kereta, Mohd Khairi Abdullah Jis, 31, yang berasal dari Felda Panching Utara, Kuantan serta anak perempuannya Nurul Najwa Hannani, 6, yang duduk di tempat duduk belakang meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Mohd Nor Mansor berkata, kejadian berlaku semasa bas yang dari arah Mentakab ke Kuala Lumpur itu hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta yang dipandu Mohd Khairi menyebabkan mangsa dan anaknya tersepit.

“Semasa kejadian bas terbabit dinaiki 15 penumpang, namun kesemua penumpang selamat. Turut bersama dalam kereta malang itu isteri Mohd Khairi, Suryati Sudin dan anak lelakinya Muhammad Airell Zikry 4,’ katanya.

Mohd Nor berkata, isteri dan anak lelaki mangsa hanya cedera ringan dan dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di sini.

Beliau berkata, kejadian berlaku di satu selekoh dan permukaan jalan ketika kejadian kering dan cuaca baik.

Menurutnya, mangsa meninggal dunia akibat mengalami kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihak polis menasihati semua pemandu supaya berhati-hati di jalan raya terutama ketika keadaan cuaca tidak menentu kebelakangan ini,” katanya.

Dua beranak maut dirempuh bas - Pahang - Sinar Harian:

'via Blog this'

Enam chalet hangus


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : October 22, 2011
Pulau Tioman

PULAU TIOMAN - Dua pelancong lelaki warga Denmark, nyaris maut selepas enam buah chalet kayu di Kampung Panuba berdekatan Kampung Tekek, Pulau Tioman, di sini, musnah dijilat api, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, kedua-dua mangsa dipercayai sedang nyenyak tidur sebelum mereka dikejutkan oleh salah seorang kakitangan chalet terbabit secara tiba-tiba melihat kepulan asap daripada bahagian atap bumbung salah sebuah chalet berkenaan.
Pemilik Chalet Panuba Inn Resort, Jaafar Sidik Awang Ali berkata, menyedari kejadian itu, seorang kakitangannya bergegas mengejutkan kedua-dua lelaki terbabit untuk keluar segera menyelamatkan diri.
“Sebaik saja menyedari kepulan api, seorang kakitangan saya terus bertindak dengan menjerit dan mengetuk pintu sebuah bilik chalet yang berpenghuni, lalu menarik kedua-dua pelancong itu keluar daripada chalet berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.
Jaafar berkata, kedua-dua mangsa tinggal sehelai sepinggang termasuk pasport mereka hangus.
Sementara itu, katanya, empat pasangan pelancong warga Jerman yang menginap di chalet itu berjaya, menyelamatkan diri dan bara-ngan mereka kerana menyedari kejadian itu lebih awal.
Selain chalet berusia 15 tahun miliknya turut memusnahkan sebuah pusat selam skuba termasuk semua peralatan menyelam.
Menurutnya, api dipercayai marak selama tiga jam sehingga menyebabkan kerugian hampir setengah juta.
Jaafar membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Tekek, jam 8 pagi semalam.
Enam chalet hangus - Pahang - Sinar Harian:

'via Blog this'

Tujuh maut di tiga daerah


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : October 18, 2011
kemalangan-bomba

KUANTAN – Seramai tujuh mangsa termasuk seorang wanita maut dalam empat kemalangan berasingan yang membabitkan dalam tempoh 24 jam, kelmarin.

Kemalangan maut itu berlaku di tiga daerah iaitu Maran, Bera dan Pekan, membabitkan empat penunggang motosikal serta tiga mangsa berkereta.

Ketua Jabatan Ketentera-man Awam dan Trafik Pahang, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, dalam kejadian di Jengka, Maran, tiga remaja maut selepas terbabit dalam nahas motosikal di Jalan Bandar Jengka-Universiti Teknologi Mara (UiTM), Jengka.

“Dalam kejadian kira-kira jam 12.10 malam itu, mangsa Zulhilmi Haris, 15, Mohamad Lokman Hakim Mohd Rosly, 16, dan Mohd Syahfahme Mustapha, 21, dipercayai menunggang motosikal dari arah sama sebelum bergesel sesama sendiri,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), semalam.

Tambahnya, Zulhilmi dan Mohamad Lokman Hakim meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Mohd Syahfahme meninggal dunia di Hospital Jengka.

Sementara itu, di KM 165.9 Lebuhraya Pantai Timur, seorang penumpang belakang sebuah kereta maut selepas kereta yang dinaikinya terbabas dan melanggar tebing jalan kira-kira jam 7.45 malam kelmarin.

Mohamed Fauzi berkata, mangsa wanita berkenaan, Choo Lee Yee, 28, bersama dua kenalan lelakinya yang berusia 26 tahun dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Kuantan.

Katanya kejadian berlaku ketika hujan lebat menyebabkan kereta dinaiki mangsa berpusing dan terbabas sebelum melanggar tebing ITU.



Kereta rempuh kelapa sawit



Dalam kejadian di Bera, dua maut manakala seorang lagi parah selepas kereta yang dinaiki tiga lelaki terbabas ke kanan jalan sebelum terhumban ke dalam longkang.

Menurut Mohamed Fauzi, dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, kelmarin, pemandu kereta, Low Chee Hong, 22, dan penumpang belakang Sam Jian Hui, 19, meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi penumpang hadapan, Yee Ming Kian, 20, cedera parah.

“Kejadian berlaku di KM 43, Jalan Temerloh-Kuantan ketika semua mangsa dalam perjalanan dari Triang ke Kemayan.

“Tiba di tempat kejadian, kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pokok kelapa sawit,” katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa tersepit di dalam kereta yang melekat di batang pokok kelapa sawit dan bengkok kesan rempuh kuat.

Pasukan Bomba dan Penyelamat Balai Triang mengambil masa lebih sejam mengeluarkan mangsa terbunuh dan yang terselamat.

Sementara itu, seorang saudara Ming Kian, berkata, mangsa sempat menghubungi keluarga sejurus kejadian berlaku dan memberitahu dia terbabit kemalangan serta tersepit dalam kenderaan yang remuk.

“Ketika dia (Ming Kian) bercakap melalui telefon bimbit, suaranya cukup lemah dan dia memberitahu terlibat dalam satu kemalangan bersama dua lagi rakan karib.

“Dia minta ahli keluarganya memberi kata-kata semangat kepada dia untuk berhadapan dengan situasi kritikal itu,” katanya.

Menurutnya, selepas itu ahli keluarga mangsa terus menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian itu sebelum mereka bergegas ke tempat kejadian.

Dia juga berkata, ketiga-tiga mangsa merupakan rakan akrab dan sering keluar minum bersama pada setiap hujung minggu.

Di daerah Pekan pula, tindakan seorang warga emas menunggang motosikal melawan arus selepas keluar dari satu simpang membawa padah kenderaan yang tungganginya bergesel dengan sebuah lori di KM 41, Jalan Pekan-Nenasi, kelmarin.

Ketika kejadian kira-kira jam 5.30 petang, Ramali Abd Rahaman, 57, dipercayai menunggang menentang arus selepas keluar dari satu simpang.

“Pada masa sama sebuah lori yang datang dari arah Nenasi menuju ke Pekan mengakibatkan mangsa gagal mengawal motosikal dan bergesel lalu terbabas,” katanya.

Mangsa mati di tempat kejadian selepas parah di bahagian kepala dan badan. eri Sembilan bukan sesuatu yang mustahil,” katanya.

Tujuh maut di tiga daerah - Pahang - Sinar Harian:

'via Blog this'

Bakal pengantin maut


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : October 29, 2011
motor-excident

KEMAMAN – Rancangan seorang juruteknik untuk melangsungkan perkahwinan dengan tunang tercinta beberapa bulan lagi tidak kesampaian apabila dia maut selepas motosikal yang ditunggangi hilang kawalan sebelum merempuh pengadang jalan dalam kejadian di Jalan Mak Lagam – Pengkalan Binjai, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, Abdul Alim Muda @ Abu Bakar, 23, yang merancang untuk berkahwin pada Mac tahun depan dengan gadis pilihan hatinya, Nur Hafizah Hamid, 20, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan selepas dikejarkan ke Hospital Kemaman.

Lebih menyentuh hati, mangsa yang terbabas seorang diri dan terbaring di atas jalan dalam keadaan cedera pada badan, ditemui sendiri oleh bakal bapa mentuanya yang kebetulan melalui jalan itu, sebelum dia dibawa ke hospital.

Bapa mangsa, Muda @ Abu Bakar Salleh, 63, berkata, musibah yang menimpa anaknya itu yang merupakan anak kelapan daripada sembilan beradik, diketahuinya selepas mendapat panggilan telefon daripada abang Abdul Alim yang berada di hospital petang kelmarin.

Katanya, kehila­ngan­ anaknya itu tidak disangka apatah lagi anaknya yang bekerja Pelabuhan Kuantan, Gebeng, Pahang dalam keadaan sihat sebelum itu, dan hanya menunggu waktu untuk melangsungkan perkahwinan selepas mengikat tali pertunangan pada Ogos lalu.

“Namun, sejak belakangan ini anak saya (Abdul Alim) menjadi sedikit pendiam, malah beberapa hari sebelum ini saya ada berpesan kepadanya agar jangan keluar malam dan dia hanya mengangguk.

“Arwah seorang anak yang baik, kami sekeluarga sayangkannya namun kami reda kerana ALLAH lebih sayangkannya,” katanya yang juga seorang nelayan ketika ditemui di rumahnya di Jalan Kurau, Kampung Geliga, dekat sini, petang kelmarin sebelum jenazah dibawa ke tanah perkubu­ran­ untuk dikebumikan.

Turut menziarahi keluarga mangsa, Yang Dipertua Pas Bahagian Kemaman, Ismail Harun dan Pengarah Pas Majlis Tindakan Dun Chukai, Hanafiah Mat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdullah Sani Salat yang mengesahkan kejadian itu berkata, motosikal Yahama 125Z yang ditunggangi Abdul Alim dipercayai hilang kawalan sewaktu melalui selekoh sebelum terlanggar pengadang jalan dan seterusnya mangsa dijumpai oleh bakal bapa mentua dan orang awam yang melalui laluan itu.

“Mangsa dalam perjalanan dari Mak Lagam sebelum terbabas di selekoh untuk naik ke jalan jambatan kereta api berdekatan jambatan baru Pengkalan Binjai,” katanya.
Jenazah dituntut keluarga mangsa kira-kira jam 11.30 pagi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Geliga.

Bakal pengantin maut - Terengganu - Sinar Harian:

'via Blog this'

Lemas di kolam tadahan air


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : October 30, 2011
Lemas di kolam

BATU TUJUH – “Ketika melihat keadaannya tenggelam timbul, saya terjun lalu memeluk badannya untuk dibawa ke permukaan, namun dalam keadaan dia meronta-ronta itu, saya terpaksa melepaskannya kerana kaki saya menga­lami kekejangan otot.”

Demikian kata Abu Dzar Hamdan, 22, yang berkongsi pengalaman mencemaskan ketika cuba menyelamatkan rakannya, Muhammad Safwan Che Roslan, 17, yang lemas ketika mandi di kolam tada-han air dekat sini, petang kelmarin.

Abu Dzar berkata, selepas mengalami kekejangan otot, dia naik ke permukaan tetapi dia mendapati rakannya itu sudah tenggelam.

MANGSA, Muhamamd Safwan gagal diselamatkan selepas dikhuatiri lemas di kolam terbabit.

Mayatnya ditemui di dasar takungan air berkenaan kira-kira jam 6.50 petang oleh pasukan penyelamat selepas lebih satu jam gerakan mencari dilancarkan.

Abu Dzar yang masih trauma dengan tragedi yang menimpa sahabatnya itu berkata, sebelum tragedi, dia bersama mangsa yang berasal dari Teluk Lipat pergi ke lokasi terbabit untuk mandi-manda.

ABU DZAR berkata, pada awalnya mereka menggunakan pelampung ketika mandi di situ, bagaimanapun seolah-olah ajal menjemput rakannya itu apabila dia dan mangsa dikatakan melepaskan pelampungnya dan berpecah sebelum berenang ke tebing.

“Sebaik sahaja sampai di tebing, saya mendengar suara Muhammad Safwan meminta tolong, saya ingatkan dia hanya bergurau.

“Namun, apabila melihat keadaannya tenggelam timbul, saya syak dia lemas lalu terjun semula untuk menyelamatkannya, bagaimanapun saya tidak mampu memautnya ke permukaan biarpun sudah berjaya memegang badannya kerana kaki saya kejang,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan cemas itu, dia nyaris lemas lalu cuba naik ke permukaan untuk menyelamatkan diri.

“Ketika itu saya tidak nampak mangsa lalu saya berlari ke darat untuk meminta bantuan kaki pancing yang berada tidak jauh dari situ,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Dungun, Noor Azizi Che Noh berkata, sebaik sahaja menerima maklumat berkaitan kejadian terbabit, sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi lalu mayat mangsa yang lemas berjaya ditemui semula kira-kira jam 6.50 petang.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk pemeriksaan lanjut dan hasil bedah siasat oleh pegawai perubatan mendapati kematian mangsa akibat lemas.

Lemas di kolam tadahan air - Terengganu - Sinar Harian:

'via Blog this'

Jurujual ditemui mati


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : October 28, 2011
mayat-mangsa-diangkat

KOTA BHARU- Gerak hati seorang peniaga ingin berjumpa dengan kawannya membawa kepada penemuan mayat rakan seperniagaannya itu di sebuah rumah tumpangan di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi semalam, mayat seorang jurujual, Ooi Say Bah@Ooi Chin Soy, 57 ditemui mati oleh rakannya Lim Yew Teck, 37, dalam keadaan terlentang di dalam sebuah bilik rumah tumpangan di Jalan Sri Cemerlang.

Yew Teck berkata, sejak petang kelmarin dia menghubungi rakannya tetapi gagal dan mengambil keputusan untuk berjumpanya di rumah tumpangan tersebut sebelum mangsa pulang ke Pulau Pinang pagi semalam.

“Hari ini (semalam) selepas selesai urusan di bank saya melalui laluan tempat penginapannya dan mendapati keretanya masih ada di hadapan rumah tumpangan, lalu saya menghubunginya beberapa tetapi masih gagal,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Yew Teck berkata, selepas mengesyaki sesuatu, dia ke bilik mangsa dan mengetuk pintu serta memanggil rakannya beberapa kali tetapi tidak disahut.

“Saya cuba membuka pintu bilik tetapi didapati ia dikunci dari dalam dan saya terkejut selepas mengintai di tingkap saya melihat mangsa telentang sambil memegang dadanya.

Katanya, dia mengesyaki Say Bah pengsan lalu bergegas memaklumkan kepada pekerja rumah tumpangan berkenaan supaya memaklumkan kepada polis.

Menurutnya, kali terakhir dia bercakap dengan mangsa Selasa lalu yang ketika itu kelihatan terlalu letih dan Yew Teck turut menasihatkannya supaya berehat dahulu di rumah tumpangan sebelum ke Pulau Pinang kerana bimbangkan keselamatannya.

Katanya, Sai Bah merupakan pekerja yang rajin dan sering berulang alik ke Kuantan, Kuala Lumpur, Terengganu dan Kota Bharu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abd.Rafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ)II untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya.

”Siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan polis mengklafikasikan mangsa mati mengejut,” katanya.

Jurujual ditemui mati - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'

Mangsa tembak meninggal


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : October 30, 2011
gmbar kel

Mangsa tembakan di tepi Jalan Simpang Empat Salam, 11 Oktober lalu meninggal dunia di Wad Intan, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) , Kota Bharu kira-kira jam 6.55 pagi semalam.

Mangsa, Mohd Anuar Mohd Nor, 31, dirawat di hospital berkenaan selama 18 hari lalu setelah mengalami kecederaan parah akibat ditembak pada pinggang kanan dan menembusi dadanya dalam kejadian jam 9.30 malam.

Arwah, anak kelima daripada sembilan beradik menghembuskan nafas terakhir di sisi adik beradik serta isteri, Miss Mati Mat Rashid, 29.

Abang mangsa, Mohd Azhar Mat Nor, 35, berkata, dia mahu kes tembakan adiknya disiasat dan penjenayah terbabit dihadapkan ke muka pengadilan.
Menurutnya, dia tidak tahu kesalahan dilakukan adiknya sehingga ada pihak sanggup bertindak sedemikian.

“Saya mahu pihak berkuasa menyiasat perkara ini sehingga orang yang bertanggung jawab menyebabkan kematian adik saya berjaya ditangkap.

“Saya tidak mahu perkara serupa (ditembak) berlaku kepada orang lain dan mahu mereka yang bersalah menerima hukuman setimpal dengan kesalahan dilakukan,” katanya kepada Sinar Harian, petang semalam.

Mohd Azhar berkata, sepanjang dirawat di HRPZII Kota Bharu, adiknya tidak mampu bercakap dan hanya memandang setiap ahli keluarga yang datang melawatnya.
Menurutnya, sepanjang dirawat di hospital juga ahli keluarga sentiasa berada di sisi mangsa.

Sementara itu, isterinya, Miss Mati berkata, dia tidak sempat bercakap dengan suaminya sejak menerima rawatan di hospital berikutan suaminya tidak dapat bercakap.
Menurutnya, suaminya tidak sempat berpesan apa-apa kepada dia serta anak-anak.

“Dia tidak sempat berpesan apa-apa sejak menerima rawatan di hospital sehinggalah menghembuskan nafasnya pagi tadi (pagi semalam),” katanya.

Dalam kejadian 11 Oktober lalu, mangsa dikatakan keluar dari rumahnya di Taman Wahyu, dekat sini bersama dengan anak sulungnya, Mohd Ifni Hamka, 6, sebelum pulang dengan menunggang motosikal selepas ditembak seorang lelaki dipercayai rakan mangsa. Mangsa meninggalkan isteri serta dua anak lelaki berusia enam tahun serta 11 bulan.

Mangsa tembak meninggal - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'

Ibu hamil berpantang maut


Oleh : NORFARHIZA MOHD ATAR
Tarikh : November 1, 2011
Kemalangan

LIPIS - Seorang wanita yang mengandung berpantang maut sebelum ajal apabila kereta yang dipandunya terbabas sebelum melanggar besi pengadang jalan dalam satu kemalangan dekat Jeram Bungor, petang kelmarin.

Lebih mencemaskan lagi apabila kepala wanita berkenaan nyaris ditembusi besi pengadang jalan terbabit.

Dalam kejadian itu, mangsa yang baru sahaja menghabiskan cuti hujung minggu di Temerloh sedang dalam perjalanan pulang ke Kuala Lipis.

Ketika sampai di tempat kejadian, dia gagal mengawal kenderaan dan merempuh pembahagi jalan menyebabkan keretanya remuk teruk di bahagian depan.

Bagaimanapun, wanita terbabit selamat kerana hanya mengalami pendarahan di hidung dan menerima rawatan lanjut di Hospital Lipis.

Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian dia bersama ibunya sedang memandu di belakang kereta mangsa sebelum melihat kenderaan yang dipandu mangsa terbabas ke bahu jalan dan menghentam pembahagi jalan.

“Saya terkejut kerana kejadian berkenaan berlaku di depan mata saya. Saya bersama pemandu lain yang melalui jalan berkenaan bertindak menghentikan kereta dan membantu mangsa.

“Orang ramai juga bertindak menanggalkan bateri kereta mangsa bagi mengelakkan berlakunya letupan berikutan asap tebal keluar dari kenderaan,” katanya.

Sehingga tengah hari semalam mangsa belum membuat sebarang laporan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis.

Ibu hamil berpantang maut - Pahang - Sinar Harian:

'via Blog this'

Terpaksa ke sekolah tanpa uniform


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : November 1, 2011
Kebakaran

ALOR TEMBESU – Demi pelajaran, seorang murid tahun enam terpaksa menduduki peperiksaan akhir tahun tanpa memakai uniform sekolah setelah semua pakaiannya hangus dijilat api dalam satu tragedi kebakaran dekat sini, malam kelmarin.

Kejadian yang menggemparkan penduduk sekitar jam 9.30 malam melibatkan tiga buah rumah papan itu menyebabkan semua dokumen penting, peralatan rumah termasuk pakaian ahli keluarga Farah Syazreen Rosli, 12, serta dua lagi pemilik rumah yang terlibat dalam kebakaran itu gagal diselamatkan.

Farah Syazreen yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Omar ketika ditemui berkata, akibat kejadian terbabit, dia terpaksa ke sekolah dengan hanya memakai pakaian harian yang dipakainya sebelum tragedi berkenaan.

Katanya, biarpun rasa janggal dan kekok dengan pandangan sinis murid lain yang lengkap beruniform sekolah, namun dia tetap tabah demi memastikan peperiksaan akhir yang sedang berlangsung itu berjaya didudukinya.

“Kalau nak dikira malu tu, memang rasa malu, tapi nak buat macam mana, sudah takdir.

“Nak beli pakaian baru pun ayah belum ada duit sebab semua duit ayah hangus dalam rumah kami yang terbakar itu,” katanya.

Ibunya, Norzilawati Kamaruddin, 27 berkata, buat sementara waktu, dia terpaksa menumpang di rumah ibunya yang terletak tidak jauh dari rumah sewanya itu.

Norzilawati berkata, walaupun semua pakaian dan peralatan rumahnya gagal diselamatkan, namun dia tetap bersyukur kerana semua ahli keluarganya tidak mengalami sebarang kecedaraan.

“Secara kebetulan, ketika kejadian kami lima beranak ke pasar raya berdekatan untuk membeli barangan keperluan.

“Saya mendapat tahu berita kebakaran itu setelah dihubungi seorang jiran, sebaik sampai di pekarangan rumah, saya dapati api sudah menjulang tinggi,” katanya.

Menurut Norzilawati, buat masa ini dia belum memikirkan untuk membeli pakaian baru kerana masih trauma dengan kejadian tersebut selain mengalami masalah kewangan.

“Semua pakaian saya termasuk anak-anak hangus, saya terpaksa pinjam pakaian ibu.

Kedukaan hati adik Farah Syazreen, mangsa kebakaran yang terpaksa memakai pakaian harian untuk ke sekolah setelah semua pakaiannya hangus sedikit terubat kerana kesudian seorang isteri wakil rakyat membantu untuk meringankan beban dihadapi.

Siti Zaliha Mohd, yang merupakan isteri kepada Adun Sura ketika mengunjungi ahli keluarga mangsa yang terlibat dengan kebakaran melibatkan tiga buah rumah itu menyatakan persetujuannya untuk membeli pakaian sekolah baru kepada adik Farah Syazreen bagi membolehkan murid tahun enam SK Sultan Omar itu ke sekolah dengan selesa untuk menduduki peperiksaan akhir tahunnya.

“Insya-Allah, ahli Muslimat Pas Kawasan Sura akan membantu meringankan beban dihadapi adik Farah Syazreen,” katanya.

Terpaksa ke sekolah tanpa uniform - Terengganu - Sinar Harian:

'via Blog this'

Geng lesapkan Estima dicekup


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : October 28, 2011
estima-yang-dirampas

ALOR SETAR - Kegiatan mencuri kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima sebagai sasaran ditumpaskan dengan tertangkapnya tiga suspek di dua lokasi berlainan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Adzaman Mohd Jan berkata, seorang suspek ditahan ketika sedang memandu kenderaan berkenaan di Kilometer 8.7 Lebuhraya Utara Selatan, Changlun, Kubang Pasu sekitar jam 4.30 pagi pada 14 Oktober lalu.

Menurutnya, penangkapan suspek itu turut mempunyai kaitan dengan kehilangan 11 Estima yang dilaporkan hilang di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur serta dipercayai sudah dibawa masuk ke Thailand.

“Hasil soal siasat, kita berjaya menemui satu lagi Estima diletakkan di kawasan tempat letak kereta pasar raya Aneka Gurun dan kedua-duanya dilaporkan hilang di Damansara dan Wangsa Maju.

“Polis masih memburu seorang lagi suspek yang terlibat dengan kegiatan ini,” katanya pada sidang media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, di sini, semalam.

Menurutnya, dua lelaki lain ditahan sekitar jam 1.35 pagi pada 24 Oktober lalu di rumah dan polis merampas dua Estima iaitu di bengkel dan rumah berkenaan yang dilaporkan hilang di Klang, Selangor.

“Kedua-dua suspek mempunyai 10 rekod kesalahan lampau serta terlibat dengan kes Akta Dadah Berbahaya (ADB).

“Suspek turut dikesan menggunakan nombor pendaftaran palsu untuk mengabui mata penguat kuasa,” kata Mohd Adzaman.

Beliau berkata, kes berkenaan diserahkan kepada pihak di Bukit Aman untuk siasatan lanjut.

Geng lesapkan Estima dicekup - Utara - Sinar Harian:

'via Blog this'

Angkara litar pintas


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : October 25, 2011
rumah-terbakar

BALING - Sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila hampir keseluruhan rumah mereka rentung dalam kejadian kebakaran tengah hari kelmarin di Kampung Charok Sikin.

Kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu dipercayai berpunca daripada litar pintas kerana sebelum kebakaran, bunyi letupan kedengaran di bahagian meter rumah berkenaan.

Pemilik rumah, Mohd Asroh Ahmad, 38, berkata, ketika kejadian, dia berada di rumah jiran yang hanya beberapa meter dari rumahnya.

“Semasa saya berbual dengan rakan, saya terdengar bunyi letupan di bahagian bumbung rumah. Kemudian, api marak dengan pantas sehingga saya tak sempat selamatkan apa-apa.

“Saya hanya dapat berlari masuk ke ruang tamu untuk mendapatkan barangan berharga, namun gagal kerana bahang api terlalu panas selain risau bumbung rumah runtuh,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Asroh yang bekerja kampung berkata, dia turut berlari keluar meminta pertolongan jiran, namun, kebakaran tersebut terlalu cepat sehingga hampir memusnahkan keseluruhan rumahnya.

“Mujurlah semua keluarga saya termasuk isteri, Azlina Aziz, 37; dan anak Mohd Faiz Fahmi, 19; Mohd Nurul Nor Fahatun, 17; Mohd Faiz Farhan, 13; dan Ani Nur Fatihah, 11, berada di luar rumah ketika kejadian,” katanya.

Mohd Asroh berkata, anggaran kerugian RM80,000 melibatkan wang tunai dan perabot rumah.

“Segala dokumen penting tidak dapat diselamatkan. Semua buku rujukan anak saya yang bakal menduduki SPM tahun ini juga hangus,” katanya.

Sementara itu, Yayasan Pembangunan Rakyat Baling meluluskan peruntukan membina sebuah rumah ganti.

Penyelaras Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, RM33,000 diluluskan bagi membantu mereka. Hadir sama, Penyelaras Dun Kupang, Ishak Mat dan Pegawai Jasa Dun Bayu, Othman Md Noor.

Angkara litar pintas - Utara - Sinar Harian:

'via Blog this'

Remaja maut di panah petir


Oleh : Bernama
Tarikh : October 19, 2011
PENDANG - Seorang remaja lelaki maut dipanah petir ketika berteduh di bawah pokok kelapa, kira-kira 500 meter dari rumahnya ketika hujan di Kampung Alor Kumbang, Bukit Jenun di sini, petang semalam.Kejadian pada pukl 6.15 petang itu menyebabkan Mohd Helmi Omar, 17, mati di tempat kejadian.

Mohd Helmi dikatakan keluar rumah kira-kira pukul 4 petang untuk membantu bapa saudaranya di sawah dan pulang satu jam setengah kemudian sebelum keluar semula pada pukul 6 petang semasa hujan untuk melihat bapa saudaranya di sawah.
"Tidak lama kemudian abang saya pulang memberitahu Mohd Helmi terkena petir di bawah pokok kelapa," kata bapa remaja itu, Omar Daud, 45, kepada Bernama ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Yan.
Beliau berkata terdapat kesan melecur di bahagian perut anaknya dan baju yang dipakainya juga mempunyai kesan terbakar.

Omar berkata jenazah anaknya akan dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Masjid An-Nur Bukit Jenun di sini.
Remaja maut di panah petir - Utara - Sinar Harian:

'via Blog this'