Search This Blog

Saturday, October 29, 2011

Keajaiban selepas gempa Turki 

ERCIS - Di sebalik bencana alam yang melanda, rakyat Turki mendengar berita gembira, semalam, apabila pasu-kan penyelamat menarik keluar remaja lelaki berumur 13 tahun yang masih hidup dari bawah runtuhan pangsapuri, lima hari selepas gempa kuat melanda negara itu.

Remaja lelaki bernama Ferhat Tokay itu dilihat memakai pendakap leher dan dibawa ke hospital sejurus diselamatkan di bandar Ercis, iaitu kawasan paling teruk terjejas selepas gempa bumi berkekuatan 7.2 pada skala Richter menggegarkan Turki, Ahad lalu.

“Mula-mula kami ternampak tangannya, dan kemudian dia bercakap dengan kami dan memberitahu dia lapar serta dahaga. Saya tidak dapat menggambarkan perasaan saya pada waktu itu. Ia seperti sedang menyelamatkan anak saya sendiri,” menurut pegawai perubatan, Baris Dogan.

Sehingga kini, gempa bumi itu telah membunuh 570 orang dan mencederakan lebih 1,000 penduduk di timur negara itu.
Tercabut sendi paha kiri 

KUALA KRAI - Sambutan Deepavali tahun ini tidak seceria seperti sebelum ini bagi seorang penduduk Kampung Pasir Kelang, di sini, selepas sebelah kakinya cedera akibat terjatuh kira-kira dua minggu lalu.

P. Paramasvaran, 30, berkata, kejadian ketika dia sedang bekerja di kebun getah milik ayahnya itu menyebabkan sendi paha kirinya tercabut dan kini terpaksa bertongkat untuk bergerak.

“Saya sedang pungut getah sekerap di kebun ayah sebelum kaki tersepak akar pokok dan terjatuh. Mula-mula, ingatkan tak teruk sangat tetapi bila bangun, saya tak dapat berjalan kerana terlampau sakit,” katanya.

Dia ditemui selepas menerima kunjungan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Krai, Tuan Aziz Tuan Mat dan Naib Ketua Pemuda Umno bahagian, Mohd Fadhli Yahya di rumahnya, dekat sini, kelmarin.

Kunjungan sempena majlis meraikan Deepavali bersama penduduk India Kampung Pasir Kelang anjuran Pemuda Umno bahagian yang diadakan di rumah seorang penduduk, M. Balakrishnan.

Hadir sama Ketua MIC Pasir Kelang, A. Kenkesan dan Ketua Pemuda Umno Dun Mengkebang, Zamri Ibrahim.

Paramasvaran berkata, biarpun tidak tahu bila dapat berjalan seperti biasa, keadaan kakinya kini semakin pulih selepas mendapatkan rawatan tradisional untuk ‘memasukkan’ semula sendi yang tercabut.

“Cuma tahun ini saya terpaksa sambut Deepavali di rumah dengan bertongkat dan terlepas peluang nak pergi beraya di rumah kawan-kawan,” katanya.

Sementara itu, Tuan Aziz ketika berucap meraikan kira-kira 10 keluarga India pada majlis itu meminta mereka agar terus mengekalkan keharmonian hidup yang dinikmati rakyat berbilang kaum di negara ini sejak sekian lama.

Katanya, masyarakat India juga patut bersyukur kerana dapat hidup aman serta mempunyai peluang sama rata dengan kaum lain, termasuk dalam bidang ekonomi dan pendidikan yang disediakan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Hasil kebijaksanaan kepimpinan negara di bawah BN, kerajaan memberikan komitmen kepada semua rakyat tanpa mengira kaum sehingga kita dapat nikmati keharmonian dan keamanan yang ada sekarang.

“Saya berharap semangat harmoni dalam perayaan Deepavali dapat diteruskan dan semoga masyarakat India dapat menyambut perayaan ini dengan penuh kemeriahaan,” katanya.
Hasrat bercuti tidak kesampaian 

FELDA SUNGAI KOYAN - Hasrat sebuah keluarga India untuk bercuti ke Cameron Highlands sempena cuti sambutan perayaan Deepavali berakhir tragedi apabila dua daripada 28 ahli keluarga itu maut dalam satu kemalangan, di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, kejadian yang meragut nyawa M Sivagnanam, 29, dan SV Genesin, 51, itu berlaku di Kilometer 55 Jalan Sungai Koyan-Raub, kira-kira jam 9.20 malam kelmarin.

Menurutnya, kedua-dua mangsa bersama tujuh anggota keluarga yang lain menaiki sebuah kereta jenis Toyota Alphard dipandu anak Genesin, SV Murugan.

“Kereta berkenaan bersama dua kereta lain dalam perjalanan dari Kota Tinggi, Johor menuju ke Cameron Highlands untuk bercuti sempena perayaan Deepavali.

“Sampai di tempat kejadian, kereta dipandu Murugan hilang kawalan sebelum terhumban ke kawasan ladang tanaman semula kelapa sawit lalu terbalik,” katanya, di sini, semalam.

Abdul Razak berkata, kedua-dua mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Sungai Koyan akibat kecederaan parah di kepala dan luka dalaman.

“Empat mangsa yang menaiki kereta itu turut mengalami kecederaan parah, manakala tiga lagi hanya cedera ringan. Semua mangsa menerima rawatan di Hospital Kuala Lipis.:

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan saksi kejadian diminta menghubungi Inspektor Johnny James Bujang di talian 09-3122222 untuk membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, anak saudara Genesin, M Letchumi, 34, berkata, sebelum kejadian, mereka sempat berkunjung ke rumah saudara di Raub.

“Setelah selesai makan malam di rumah saudara kami itu, bapa saudara meminta anaknya (Murugan) memandu kenderaan kerana dia penat dan mengantuk.

“Kereta saya naiki bersama sebuah lagi kereta berada di hadapan, manakala kereta dinaiki mendiang berada paling belakang,” katanya.

Letchumi berkata, ketika dalam perjalanan menuju ke Sungai Koyan, mereka mendapati kereta Alphard yang dinaiki sembilan ahli keluarganya itu tidak kelihatan.

“Saya cuba mendail nombor telefon seorang daripada ahli keluarga dalam kereta itu dan terkejut apabila dimaklumkan mengenai kemalangan tersebut” katanya.

“Kami kemudian berpatah semula ke tempat kejadian dan cuba menyelamatkan mangsa yang parah dengan menghantar mereka ke Klinik Kesihatan Sungai Koyan. Namun, bapa saudara dan seorang lagi saudara kami disahkan meninggal dunia,” katanya.
Melecur akibat percikan api 

BERCHAM – Seorang mekanik melecur di beberapa bahagian badan selepas cuba memadamkan percikan api daripada kereta yang sedang dibaiki dalam kejadian kebakaran di sebuah bengkel membaiki kenderaan di Pusat Bandar Bercham Timur, pagi semalam.

Mangsa, Koon Kok Seng, 31, berkata, ketika dalam kejadian jam 10 pagi itu, dia sedang sibuk membaiki kereta pelanggan di bahagian tengah bengkel berkenaan.

Menurutnya, secara tiba-tiba muncul percikan api daripada kereta itu dan dia segera mengambil alat pemadam kebakaran untuk memadamnya.

“Namun nasib tidak menyebelahi saya, kerana percikan api itu menyambar beberapa bahagian tubuh saya sehingga melecur,” katanya ketika ditemui di Klinik 1 Malaysia di sini.

Kejadian kebakaran di bengkel itu adalah yang pertama kali berlaku sejak dibuka kira-kira setahun yang lalu.

Dalam perkembangan sama, Kok Seng berkata, motosikal miliknya yang disimpan di dalam kedai berkenaan turut musnah.

“Saya bersyukur kerana berjaya menyelamatkan diri tetapi kereta pelanggan hangus kerana api marak dengan cepat,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kanan Bomba II, Mohamad Nasir Mohamad Arshad berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 10.48 pagi.

Katanya, tiga jentera dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Ipoh termasuk 16 anggota bergegas ke tempat kejadian bagi memadam kebakaran.

“Kami tiba di tempat kejadian pada jam 10.58 pagi dan api dapat dikawal enam minit kemudian,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran, semalam.

Menurutnya, hampir 50 peratus daripada bengkel berkenaan musnah termasuk sebuah kereta dan motosikal manakala seorang pekerja turut melecur tiga peratus di beberapa bahagian badan.

Mohamad Nasir berkata, setakat ini punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Bagaimanapun, siasatan awal mendapati kebakaran itu berpunca daripada percikan api daripada kereta yang dibaiki di bahagian tengah bengkel berkenaan.
Kumpul bukti bebaskan keldai dadah 

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengaduan Awam MCA bekerjasama dengan Kementerian Luar Negeri mengumpul maklumat dan bukti bagi membebaskan seorang wanita negara ini yang ditahan di China, dipercayai dijadikan keldai dadah oleh sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

C Letchumi, 32, seorang pembantu pegawai sebuah syarikat, dikatakan ke Guangzhou, China, 10 September lalu atas urusan kerja bagaimanapun tidak pulang selepas seminggu seperti yang ditetapkan.

Ketua Jabatan Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, pihaknya sudah berunding dengan Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohilan Pillay berhubung perkara itu, Selasa lalu.

“Keluarga mangsa turut serta ketika pertemuan itu di sini. Kita kasihan melihat keluarga mangsa terutama empat anaknya yang merindui ibu mereka.

“Kita juga akan aturkan pertemuan mangsa dengan keluarganya,” katanya pada sidang media di Wisma MCA, di sini, semalam.

Chong berkata, setakat ini, sebanyak 1,940 tangkapan melibatkan rakyat tempatan direkodkan, dengan 800 daripadanya membabitkan kes keldai dadah.

Justeru, beliau menasihati orang ramai terutama golongan wanita supaya tidak terpedaya dengan helah sindiket keldai dadah.

Berhubung kes penahanan Letchumi, kehilangan wanita itu terbongkar selepas dia gagal pulang ke negara ini mengikut tempoh ditentukan, sehingga suaminya, S Chrisnansamy, 36, mencarinya di tempat kerja.

Setelah diteliti, tempat kerja Letchumi tidak wujud dan kehilangan wanita itu dilaporkan di Balai Polis Selayang dan Wisma Putra.

Letchumi bekerja di syarikat berkenaan selama tiga bulan sebelum ditugaskan ke luar negara.

Letchumi ditahan pada hari sama dia berlepas ke negara itu bersama seorang pekerja warga Afrika dan tiga warga tempatan.
Gadis hilang selepas keluarkan wang 

BEDONG – Sekeluarga di sini buntu memikirkan nasib anak gadis berusia 24 tahun yang dipercayai hilang sejak 18 hari lalu ketika bekerja di sebuah syarikat di Kawasan Perindustrian Bukit Makmur masih belum ditemui sehingga kini.

Bapa mangsa, Rohani Abdullah, 56, berkata, anaknya yang baru memulakan pekerjaan di syarikat itu tiga bulan lalu disahkan hilang 11 Oktober 2011 apabila dimaklumkan majikan petang hari kejadian apabila menyedari tidak pulang ke pejabat setelah mengeluarkan sejumlah wang di sebuah bank.

Menurut Rohani, anaknya, Nor Fazilah bekerja sebagai kerani diberi kepercayaan menggunakan kenderaan syarikat pada hari kejadian bagi mengeluarkan wang berjumlah RM3,000 di sebuah bank di Sungai Petani untuk melunaskan bil elektrik sementara baki wang perlu dibawa pulang.

“Bagaimanapun, sehingga lewat petang, Fazilah masih belum pulang ke pejabat menyebabkan majikannya terus datang ke rumah kami untuk memaklumkan kejadian,” katanya.

Menurutnya, dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV), Fazilah dikatakan keluar dari bank pada jam 3.35 petang setelah mengeluarkan RM3,000 dan selesai membayar bil elektrik pada jam 4.06 petang.

“Fazilah dikatakan menghubungi seorang abangnya pada jam 3.55 petang hari kejadian berhubung masalah kenderaan peribadi yang sedang dibaiki di Ipoh akibat terlibat dalam kemalangan September lalu,” katanya.

Rohani bagaimanapun membuat laporan polis mengenai kehilangan Fazilah selain melakukan gerakan mencari dengan mengedarkan gambar mangsa di merata tempat termasuk seluruh Sungai Petani dan Bedong malah pencariannya juga sudah sampai ke Pulau Pinang dan Bukit Kayu Hitam.

“Sebaik sahaja dimaklumkan kehilangannya, seluruh keluarga termasuk rakan-rakan turut serta mencarinya di merata tempat, namun hanya menjumpai kereta syarikat jenis Perodua Kelisa yang digunakan mangsa diletakkan di sebuah pasar raya berdekatan bank pada jam 3 pagi keesokan hari.

“Kami juga pernah dipanggil ke Hospital Sungai Buluh pada 21 Oktober lalu bagi membuat pengecaman mayat terhadap kematian seorang wanita namun bukan dia,” katanya.

Menurut Rohani, anak ketiga daripada empat beradik itu merupakan anak tunggal perempuan mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan ibunya, Rahmah Nayan, 50.

Menurut Rahmah, tiada sebarang masalah atau keganjilan disedari dari perubahan sikap mangsa sebelum kejadian malah dia sentiasa ceria seperti selalu dan hubungan dengan adik-beradik lain juga berjalan lancar seperti biasa.

“Memang hubungan kami berdua sangat rapat seperti kawan dan kehilangannya amat terasa bagi kami sekeluarga, kami juga merayu mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat mengenainya segera menghubungi kami atau pihak polis,” katanya.

Menurutnya, andaian pihak tertentu yang mengatakan kehilangan itu dirancang Fazilah adalah tidak berasas memandangkan dia tidak membawa wang simpanannya selain barang berharga miliknya juga tidak terusik.

“Keluarga merayu supaya sesiapa yang mengambilnya menghantarnya pulang dengan segera ke Kampung Kongsi Enam, Sungai Lalang, 08100, Bedong atau menghubungi talian 012-5541142,” katanya.

Lelaki lintas landasan maut dilanggar komuter



KAJANG – Polis menemui mayat seorang lelaki di landasan keretapi di Jalan Reko, dekat sini dipercayai dilanggar komuter dari perjalanan menuju ke Seremban tengah malam semalam.

Mangsa, Abdul Halim Gopel Abdullah, 51, ditemui mati oleh anggota polis selepas menerima laporan daripada pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang memaklumkan mengenai kejadian berkenaan kira-kira jam 11.48 malam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abd Rashid Abd Wahab berkata, mangsa dipercayai melintas landasan berkenaan untuk menyeberangi ke Reko Sentral sebelum dilanggar komuter yang dalam perjalanan menuju ke Seremban.

“Akibat perlanggaran berkenaan, mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian badan.

“Mayat mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori di hantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat,” katanya ketika ditemui selepas majlis pemakaian pingat dan penganugerahan sijil kepada pegawai dan anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, semalam.

Menurutnya, dalam kejadian berasingan, tindakan tiga anggota peronda MPV polis yang memeriksa sebuah lori di kawasan belakang stesen minyak Esso Sungai Chua, dekat sini kira-kira jam 3 pagi Ahad lalu berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang disamun ketika dalam perjalanan menghantar muatan papan ‘playwood’ yang bernilai kira-kira RM200,000 dari Melaka ke Kajang.

“Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas lori berkenaan tiga lelaki yang berada dalam lori berkenaan bertindak melarikan diri setelah menyedari kehadiran polis bagaimanapun seorang dari mereka berjaya diberkas polis.

“Hasil pemeriksaan polis menemui seorang lelaki berusia 30-an yang merupakan pemandu asal lori berkenaan dalam keadaan lemah serta tangan, kaki dan mulut terikat dan mengalami kecederaan dipercayai dipukul tiga lelaki berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, hasil maklumat awal polis percaya tiga lelaki berkenaan bertindak menyamun mangsa di Melaka dan membawanya menuju ke Kajang untuk dijual kepada pembeli.

“Kes ini diserahkan kepada polis Melaka untuk siasatan lanjut dan kita juga berusaha mengesan dua lagi rakan suspek yang berusia lingkungan 30-an bagi membantu siasatan”, katanya.

Mengulas mengenai program berkenaan, seramai 75 pegawai dan anggota menerima sijil penghargaan dan pemakaian pingat yang terdiri daripada pangkat Inspektor, Sub Inspektor dan Koperal.

“Seramai 75 pegawai dan anggota polis menerima pemakaian pingat dan penganugerahan sijil yang terdiri daripada lima Inspektor, empat Subinspektor dan 66 koperal.

“Kita harap melalui penganugerahan ini komitmen untuk melaksanakan tugas akan terus meningkat,” katanya.

Reman suspek culik disambung



SHAH ALAM - Reman terhadap enam suspek lelaki termasuk seorang remaja berusia 14 tahun yang ditahan kerana disyaki menculik seorang pengurus syarikat insurans pada 18 Oktober lalu, akan disambung selepas reman terdahulu tamat hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, permohonan untuk menyambung tempoh tahanan reman dibuat bagi tujuan siasatan lanjut.

“Masih terdapat beberapa maklumat serta bukti yang kita perlukan, sebelum kertas siasatan dilengkapkan untuk dirujuk kepada pihak atasan.

“Selain culik, kita juga sedang siasat pembabitan semua suspek itu yang dikesan terlibat dalam beberapa kes samun di Selangor,” katanya selepas Majlis Pemakaian Pangkat Koperal ‘Time Base’ di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Selangor, di sini, semalam.

Sementara itu, pada 18 Oktober lalu, seorang lelaki berusia 50-an yang juga pengurus insurans diculik berhampiran sebuah sekolah di Taman Medan, Batu Caves, Selayang.

Mangsa dipercayai dilarikan tiga lelaki bersenjatakan parang yang kemudian menghubungi isteri mangsa untuk meminta wang tebusan RM350,000.

Bagaimanapun, polis berjaya menahan enam suspek lelaki di sekitar kawasan Taman Kepong dan Taman Metro Kepong kira-kira jam 11 hingga 12 tengah malam hari sama. Turut dirampas tujuh unit telefon bimbit dan dua kereta Wira dan Honda Accord.

Dalam perkembangan lain Tun Hisan berkata, seramai 1,113 anggota polis berpangkat Lans Koperal daripada kontinjen Selangor dinaikkan pangkat Koperal secara ‘time based’.

“Kenaikan pangkat diberikan kepada anggota polis berkhidmat lebih lima tahun serta menunjukkan prestasi serta perkhidmatan cemerlang.

“Saya berharap perkara ini (kenaikan pangkat) dapat beri semangat kepada anggota dan pegawai lain untuk lebih komited dalam menjalankan tugas. Jika mereka tunjukkan disiplin tinggi serta berkhidmat dengan cemerlang, sudah pasti peluang untuk menyandang jawatan tinggi dalam PDRM dapat dicapai,” katanya.

Isteri parah dibelasah suami



KUANTAN- Seorang ibu kepada empat anak menempuh detik mencemaskan apabila menjadi mangsa panas baran suami sendiri yang naik angin gara-gara kelewatan wanita itu menyiapkan hidangan makan tengah hari.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang di sebuah rumah di Taman Netas, Mentakab dekat Temerloh itu, mangsa yang berusia 39 tahun tidak sedarkan diri akibat kecederaan di kepala selepas dipukul oleh suaminya menggunakan kayu almari.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (Siasatan dan Perundangan), Superintendan Mohd Haris Daud berkata, dalam kejadian itu, lelaki terbabit turut memijak kepala isterinya beberapa kali dan paling menyedihkan pergaduhan itu disaksikan empat anak mereka berusia 5 hingga 13 tahun.

Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan parah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk mendapatkan rawatan.

“Mangsa terpaksa menerima tiga jahitan di kepala akibat kecederaan yang dialami ekoran perbuatan ganas suaminya dalam kejadian itu,” katanya semalam.

Mohd Haris berkata, suami mangsa berusia 55 tahun yang tidak mempunyai pekerjaan itu kemudiannya ditahan selepas mangsa membuat laporan polis.

“Lelaki itu kini ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan,” katanya.

Pencuri getah mengaku salah



MARAN - Mahkamah Majistret Maran di sini memutuskan agar dua remaja Orang Asli berusia 17 tahun ke Sekolah Tunas Bakti Jerantut selepas mengaku bersalah atas tuduhan mencuri getah beku di sebuah ladang getah di Kampung Merangis, Maran pada 23 Oktober lalu.

Keputusan dibuat Majistret, Noor Zaihan Mohamad Ali dan kedua-dua remaja itu akan dihantar ke sekolah berkenaan sementara menunggu laporan akhlak.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu lebih kurang jam 12.30 tengah hari hingga 1.30 petang dengan nilai anggaran kerugian sebanyak RM250.

Kesalahan didakwa di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan serta jika disabit kesalahan, hukum penjara tidak lebih 7 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya, Inspektor Abdul Jalil Abdul Aziz.

Kes tersebut akan disebut semula pada 15 November depan.

Terdahulu, pengadu berusia 35 tahun yang mengambil upah menoreh di ladang getah terbabit, kelibat kedua-dua suspek disedari penduduk kampung sebelum seorang rakan menghubunginya bagi memaklumkan perkara itu.

Katanya, dia segera ke tempat kejadian dan mendapati kedua-dua suspek telah selesai mengutip getah beku serta siap sedia untuk keluar dari kawasan ladang getah itu.

“Menyedari kehadiran saya, mereka cuba melarikan diri bersama seguni getah beku dengan menunggang sebuah motosikal jenis Honda EX5 namun gagal berbuat demikian apabila dipintas terlebih dahulu.

“Beberapa penduduk yang secara kebetulan berada di kawasan berdekatan turut membantu menangkap kedua-dua suspek sebelum menghubungi pihak polis.

“Mereka sanggup datang ke sini dengan jarak hampir 30 kilometer untuk mencuri getah beku dengan harga jualan RM5 sekilogram,” katanya.

Bakal pengantin ditahan



BERA – Sepasang bakal pengantin antara empat orang ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Felda Sebertak kerana disyaki menjalankan aktiviti pemprosesan dadah.

Mereka adalah dua lelaki Melayu berusia 23 dan 29 tahun, seorang lelaki Bidayuh (26) dan seorang wanita (21) yang juga merupakan tunang kepada seorang daripada suspek.

:Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Zahid Mohd Noor berkata, ketika serbuan kira-kira jam 3.30 pagi kelmarin, berlaku pergelutan antara tiga suspek dengan pasukan polis menyebabkan seorang daripada mereka mengalami kecederaan di bahagian muka.

Menurutnya, serbuan itu diketuai Inspektor Mohd Syahrul Nizam Jamil bersama sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan anggota pelbagai cawangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

“Kita menjumpai tiga keratan tiub straw dipercayai dadah jenis heroin seberat 0.5 gram di atas lantai di tingkat atas rumah itu.

“Sejumlah 30 gram dadah jenis sama yang dibungkus dalam plastik lutsinar dan tiub straw turut dijumpai di dalam poket jaket berwarna merah yang tergantung di ampaian pakaian dalam bilik di tingkat bawah rumah,” katanya.

Mohd Zahid berkata, selain dadah, pihaknya turut merampas RM561 iaitu hasil jualan dadah itu, alat penimbang dan membungkus dadah dalam bentuk tiub straw.

Katanya, rampasan itu dianggarkan bernilai RM6,000 iaitu keuntungan bersih untuk jualan dadah tersebut dalam tempoh seminggu.

Menurutnya, ujian saringan awal dijalankan ke atas keempat-empat suspek mendapati mereka positif.

“Berdasarkan siasatan awal, bekalan dadah itu diperoleh daripada seorang rakan mereka yang tinggal di Pulau Pinang untuk dibekalkan kepada penagih dadah di sekitar Felda Sebertak dan sekitarnya.

“Rumah itu juga dipercayai digunakan sebagai lokasi memproses dan membungkus semula sejak tiga bulan lalu tanpa pengetahuan ibu kepada seorang daripada suspek terbabit,” katanya.

Beliau berkata, dua daripada suspek merupakan bekas tentera yang mempunyai rekod lampau iaitu terbabit dalam kegiatan penagihan dadah sejak 10 tahun lalu, pengedaran dadah sejak dua tahun lalu, selain pernah ditahan kerana memiliki dadah.

“Semua suspek direman di bawah Seksyen 117 KPJ sehingga 2 November ini dan siasatan selanjutnya di bawah Seksyen 39 B, 12 (2) dan 15 (1) (A) ADB 1952,” katanya.

Didakwa rogol adik ipar



KUANTAN- Seorang pemuda berdepan hukuman penjara sehingga 60 tahun dan 20 sebatan selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan semalam atas dua tuduhan merogol adik iparnya yang masih di bawah umur dalam dua kejadian berasingan pada pertengahan April 2009 dan 10 Oktober lalu.

Tertuduh berusia 25 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap kedua-dua pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Amalina Zainal Mokhtar di hadapan Hakim Fathiyah Idris, semalam.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dibenarkan diikat jamin RM8,000 manakala 17 November depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan untuk tertuduh melantik peguam.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu buat pertama kali pada pertengahan April 2009 kira-kira jam 3 pagi di sebuah rumah di Taman Seri Inderapura dekat sini.

Ketika itu, mangsanya baru berusia 14 tahun 7 bulan dan dikategorikan sebagai gadis bawah umur.

Manakala bagi tuduhan kedua, dia didakwa mengulangi perbuatan itu pada gadis yang sama ketika itu sudah berusia 16 tahun 11 bulan di sebuah rumah dipercayai kediaman mereka di Taman Seri Inderapura.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira jam 9.30 pagi 10 Oktober lalu sebelum dia ditahan polis hari berikutnya.

Perbuatan yang dilakukan lelaki itu, bukan sahaja menyalahi undang-undang dan hukum agama malah menyimpang dari adat dan kebiasaan dimana tertuduh dan mangsa tidak dibolehkan untuk berkahwin.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan jika disabitkan kesalahan bagi setiap tuduhan dihadapinya.

Bakal pengantin maut



KEMAMAN – Rancangan seorang juruteknik untuk melangsungkan perkahwinan dengan tunang tercinta beberapa bulan lagi tidak kesampaian apabila dia maut selepas motosikal yang ditunggangi hilang kawalan sebelum merempuh pengadang jalan dalam kejadian di Jalan Mak Lagam – Pengkalan Binjai, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, Abdul Alim Muda @ Abu Bakar, 23, yang merancang untuk berkahwin pada Mac tahun depan dengan gadis pilihan hatinya, Nur Hafizah Hamid, 20, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan selepas dikejarkan ke Hospital Kemaman.

Lebih menyentuh hati, mangsa yang terbabas seorang diri dan terbaring di atas jalan dalam keadaan cedera pada badan, ditemui sendiri oleh bakal bapa mentuanya yang kebetulan melalui jalan itu, sebelum dia dibawa ke hospital.

Bapa mangsa, Muda @ Abu Bakar Salleh, 63, berkata, musibah yang menimpa anaknya itu yang merupakan anak kelapan daripada sembilan beradik, diketahuinya selepas mendapat panggilan telefon daripada abang Abdul Alim yang berada di hospital petang kelmarin.

Katanya, kehilangan anaknya itu tidak disangka apatah lagi anaknya yang bekerja Pelabuhan Kuantan, Gebeng, Pahang dalam keadaan sihat sebelum itu, dan hanya menunggu waktu untuk melangsungkan perkahwinan selepas mengikat tali pertunangan pada Ogos lalu.

“Namun, sejak belakangan ini anak saya (Abdul Alim) menjadi sedikit pendiam, malah beberapa hari sebelum ini saya ada berpesan kepadanya agar jangan keluar malam dan dia hanya mengangguk.

“Arwah seorang anak yang baik, kami sekeluarga sayangkannya namun kami reda kerana ALLAH lebih sayangkannya,” katanya yang juga seorang nelayan ketika ditemui di rumahnya di Jalan Kurau, Kampung Geliga, dekat sini, petang kelmarin sebelum jenazah dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.

Turut menziarahi keluarga mangsa, Yang Dipertua Pas Bahagian Kemaman, Ismail Harun dan Pengarah Pas Majlis Tindakan Dun Chukai, Hanafiah Mat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdullah Sani Salat yang mengesahkan kejadian itu berkata, motosikal Yahama 125Z yang ditunggangi Abdul Alim dipercayai hilang kawalan sewaktu melalui selekoh sebelum terlanggar pengadang jalan dan seterusnya mangsa dijumpai oleh bakal bapa mentua dan orang awam yang melalui laluan itu.

“Mangsa dalam perjalanan dari Mak Lagam sebelum terbabas di selekoh untuk naik ke jalan jambatan kereta api berdekatan jambatan baru Pengkalan Binjai,” katanya.

Jenazah dituntut keluarga mangsa kira-kira jam 11.30 pagi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Geliga.

Penjual pasar malam maut



KOTA BHARU- Seorang ibu tidak menyangka perubahan sikap ketara anaknya yang begitu berselera makan berbanding hari-hari biasa adalah petunjuk dia akan kehilangan anak lelakinya itu buat selama-lamanya.

Mangsa, Mohd Zaidi Zulkilfi, 20, yang juga penjual pakaian di Pasar Malam Wakaf Che Yeh disahkan meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II pada jam 9 malam semalam selepas dia terbabit dalam kemalangan jam 5.30 pagi kelmarin di Jalan Tunjong, dekat sini.

Ibu mangsa, Surianun Che Mat, 52, berkata, dua hari sebelum kejadian anak lelakinya itu sangat berselera makan dan mampu menghabiskan nasi bersama dua mangkuk mi sup yang dibelinya.

“Sebelum ini saya tidak pernah melihat gelagat yang agak berlainan daripada kebiasaannya ini, tetapi tidak terdetik di hati saya untuk bertanyakannya.

“Saya melihat tingkah lakunya agak pelik tetapi tidak pernah menjangkakan sesuatu yang buruk akan menimpanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Wakaf Che Yeh, semalam.

Surianun berkata, dia mengetahui kemalangan yang melibatkan anak kelima daripada enam beradik itu selepas rakan anaknya datang memberitahunya di rumah ketika dia tidur.

“Kami bergegas ke hospital dan mendapati ketika itu dia sudah tidak sedarkan diri yang kemudiannya beberapa jam kemudian dia menghembuskan nafas terakhirnya di sisi saya,” katanya.

Surianun berkata, sebelum kejadian Mohd Zaidi ke HRPZ II untuk menemani kawannya yang kemalangan jalan raya dan pulang ke rumah semula pada jam 2 pagi untuk menukar pakaian kerana hujan.

“Selepas itu, dia keluar semula untuk ke hospital dan saya dimaklumkan oleh rakan-rakannya dia kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli nasi yang tidak jauh dari tempat kejadian,” katanya.

Katanya, dia reda dengan pemergian anaknya itu dan jenazah Mohd Zaidi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pendek, pada jam 11.30 pagi semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Idris Abd Rafar, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan terbabit.

Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dari Jalan Wakaf Che Yeh ke Mulong bersendirian dikatakan gagal mengawalnya sebelum merempuh kereta yang berada di tepi jalan berkenaan.

Jurujual ditemui mati



KOTA BHARU- Gerak hati seorang peniaga ingin berjumpa dengan kawannya membawa kepada penemuan mayat rakan seperniagaannya itu di sebuah rumah tumpangan di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi semalam, mayat seorang jurujual, Ooi Say Bah@Ooi Chin Soy, 57 ditemui mati oleh rakannya Lim Yew Teck, 37, dalam keadaan terlentang di dalam sebuah bilik rumah tumpangan di Jalan Sri Cemerlang.

Yew Teck berkata, sejak petang kelmarin dia menghubungi rakannya tetapi gagal dan mengambil keputusan untuk berjumpanya di rumah tumpangan tersebut sebelum mangsa pulang ke Pulau Pinang pagi semalam.

“Hari ini (semalam) selepas selesai urusan di bank saya melalui laluan tempat penginapannya dan mendapati keretanya masih ada di hadapan rumah tumpangan, lalu saya menghubunginya beberapa tetapi masih gagal,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Yew Teck berkata, selepas mengesyaki sesuatu, dia ke bilik mangsa dan mengetuk pintu serta memanggil rakannya beberapa kali tetapi tidak disahut.

“Saya cuba membuka pintu bilik tetapi didapati ia dikunci dari dalam dan saya terkejut selepas mengintai di tingkap saya melihat mangsa telentang sambil memegang dadanya.

Katanya, dia mengesyaki Say Bah pengsan lalu bergegas memaklumkan kepada pekerja rumah tumpangan berkenaan supaya memaklumkan kepada polis.

Menurutnya, kali terakhir dia bercakap dengan mangsa Selasa lalu yang ketika itu kelihatan terlalu letih dan Yew Teck turut menasihatkannya supaya berehat dahulu di rumah tumpangan sebelum ke Pulau Pinang kerana bimbangkan keselamatannya.

Katanya, Sai Bah merupakan pekerja yang rajin dan sering berulang alik ke Kuantan, Kuala Lumpur, Terengganu dan Kota Bharu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abd.Rafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ)II untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya.

”Siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan polis mengklafikasikan mangsa mati mengejut,” katanya.

Kes gadis dibunuh, disimen



BANTING - Seorang penganggur yang dipercayai melarikan diri setelah terlibat dalam pembunuhan tragis seorang gadis dengan mayatnya disumbat dan disimen dalam lubang, akhirnya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Telok Datok, di sini, semalam, selepas tujuh tahun berlalu.

Kher Then Hock, 37, didakwa membunuh See Sheau Fang, 18, di sebuah rumah, Jalan Wira 24, Taman Perwira, Sijangkang, Telok Panglima Garang, antara 9.30 pagi dan 5.30 petang, 28 Februari 2004.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Pendaftar, Rozaidi Yaacob.

Selain dituduh membunuh, lelaki tersebut turut didakwa atas tuduhan melarikan diri daripada tahanan polis ketika dia ditahan dalam lokap Balai Polis Tanjung Sepat, Kuala Langat di sini, antara 6.30 dan 7.30 pagi, 13 Mac 2004 .

Kali ini dia didakwa mengikut Seksyen 224 kanun sama dan jika disabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum dua tahun.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Ridhuan Abdullah dan kes akan disebut 8 November depan.

Berdasarkan laporan sebelum ini, selepas dibunuh mayat gadis malang itu disumbat dalam lubang sedalam 1.52 meter yang digali dengan jengkaut, kemudian disimen di hadapan rumah tersebut.

Sebelum itu, mangsa dilaporkan hilang pada 26 Februari 2004 dan kali terakhir dilihat ke-luar makan bersama beberapa rakannya menaiki sebuah kereta.

Then Lock dikatakan melarikan diri menerusi siling tandas balai polis itu, selepas lima hari ditahan berhubung siasatan terhadap pembunuhan itu.

Selepas tujuh tahun menjadi pelarian dipercayai menggunakan identiti dan kad pengenalan lain, dia ditangkap pada 5 Oktober lalu di Masai, Johor selepas dipercayai terlibat dalam kes curi sebuah kereta mewah.

Peminat berang penganjur batal konsert Metallica di India



2011/10/29

NEW DELHI: Ribuan peminat memecahkan kerusi dan mengoyak poster akibat berang selepas penganjur membatalkan konsert Metallica di pinggir bandar India.

Agensi berita Indian, Trust Press berkata, polis menahan empat individu daripada syarikat penganjur konsert itu atas tuduhan menipu orang ramai yang menunggu berjam-jam untuk menyaksikan persembahan daripada kumpulan rock Amerika yang dijadual berlangsung semalam.
Sementara itu, penganjur berkata konsert dibatalkan kerana masalah teknikal.

Metallica berjanji akan membayar ganti rugi sepenuhnya kepada mereka yang sudah membeli tiket. - AP 

Kerani hilang selepas ke bank 17 hari lalu



2011/10/29

SUNGAI PETANI: Sebuah keluarga kini dalam kebimbangan apabila anaknya, seorang kerani sebuah syarikat di Sungai Lalang hilang sejak 17 hari lalu selepas ke sebuah bank untuk mengeluarkan wang atas arahan majikan.

Nor Fazilah Rohani, 24, anak ketiga daripada empat beradik, dipercayai hilang pada 11 Oktober selepas diberi kepercayaan oleh majikannya untuk mengeluarkan wang berjumlah RM3,000 bagi membayar bil elektrik.
Bapanya, Rohani Abdullah, 56, berkata beliau mengetahui kehilangan itu pada petang hari kejadian selepas dimaklumkan majikan Nor Fazilah kerana anaknya tidak pulang semula ke pejabat.

"Fazilah baru tiga bulan bekerja di syarikat itu dan pada hari kejadian, dia diberi kepercayaan menggunakan kenderaan syarikat bagi mengeluarkan wang berkenaan untuk melunaskan bil elektrik, sementara baki wang perlu dibawa pulang.

"Bagaimanapun, sehingga lewat petang, Fazilah masih tidak pulang ke pejabat menyebabkan majikannya terus datang ke rumah kami untuk memberitahu tentang kejadian tersebut," katanya kepada pemberita di rumahnya di sini.

Anggota keluarga serta rakan mereka turut mencarinya di merata tempat, namun hanya menjumpai kereta syarikat yang digunakan Nor Fazilah di sebuah pasar raya berdekatan bank pada 3 pagi keesokannya.

Rohani berkata, laporan polis mengenai kehilangan Nor Fazilah dibuat selain melakukan gerakan mencari dengan inisiatif sendiri.
"Kami turut mengedarkan gambar Fazilah di merata-rata tempat di seluruh Sungai Petani dan Bedong, sehingga pencariannya juga sudah sampai ke Pulau Pinang serta Bukit Kayu Hitam," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) anaknya itu dikatakan keluar dari bank berkenaan pada 3.35 petang selepas mengeluarkan wang dan membayar bil elektik pada 4.06 petang.

"Pada hari kejadian, Fazilah juga dikatakan menghubungi seorang abangnya pada 3.55 petang bagi memaklumkan tentang masalah kenderaan peribadi yang sedang dibaiki di Ipoh akibat terbabit dalam kemalangan September lalu," katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Rahmah Nayan, 50, berkata hubungannya dengan Nor Fazilah sangat rapat memandangkan dia adalah anak tunggal perempuan dalam keluarga.

Beliau berkata, sebelum kejadian Nor Fazilah tidak pernah menunjukkan kelakuan pelik malah sentiasa ceria seperti biasa, dan hubungan dengan adik-beradik lain juga berjalan lancar.

"Andaian pihak tertentu yang kata kehilangan tersebut dirancang Fazilah sendiri adalah sesuatu yang tidak berasas, kerana dia tidak membawa wang simpanannya selain barang berharga miliknya juga tidak diusik," katanya.

Dia merayu kepada sesiapa yang mempunyai maklumat tentang anaknya itu, atau mengambilnya, supaya menghantar Nor Fazilah pulang dengan segera ke Kampung Kongsi Enam, Sungai Lalang, 08100, Bedong atau menghubungi talian 012-5541142 atau polis. - BERNAMA 

21 maut dalam pergaduhan di Mexico



2011/10/29

MORELIA, Mexico: Pihak berkuasa Mexico berkata, sekurang-kurang 21 terbunuh dalam kejadian tembak menembak antara askar dan lelaki bersenjata serta pergaduhan antara kumpulan pengedar dadah.

Sekurang-kurangnya 15 terkorban dalam tiga pertempuran senjata api di negeri barat Michoacan, kata jurucakap pendakwa raya negeri, Jonathan Arredondo semalam (waktu tempatan).
Katanya, 10 lelaki bersenjata terbunuh dalam pertempuran dengan polis peronda di perbandaran Patzcuaro, kawasan Michoacan yang popular dengan pelancong.

Lima lagi maut manakala seorang pegawai polis cedera dalam dua pergaduhan kecil di Michoacan. - AP

21 buruh landasan kereta api China maut nahas



2011/10/29

BEIJING: Sekurang-kurangnya 21 pekerja binaan terkorban manakala tujuh lagi cedera parah apabila kenderaan mengangkut mereka ke tapak pembinaan landasan kereta api di Lintao, wilayah Gansu, terbalik awal pagi tadi, lapor media tempatan.

Menurut agensi berita Xinhua, jumlah sebenar pekerja yang menaiki kenderaan itu masih belum dipastikan. - AFP

Kargo dadah RM20j dirampas

Oleh Ziauddin Sharuddin 2011/10/29 NILAI: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) menumpaskan kegiatan penyeludupan dadah bernilai RM20 juta yang menggunakan taktik penghantaran melalui kargo udara dalam dua kes berasingan dua minggu lalu. Dalam kes pertama 14 Oktober lalu, hampir sejuta pil Eramin 5 bernilai RM19.97 juta dirampas dari sebuah pejabat ejen penghantaran di kargo udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Timbalan Pengarah Cawangan Narkotik KDRM, Liah Omar, berkata kiriman yang tiba dari Taiwan pada 5 Oktober itu untuk sebuah syarikat di Selangor tidak dituntut hingga 10 hari menyebabkan KDRM merampas semua 10 kotak terbabit untuk pemeriksaan lanjut. Hasil imbasan menunjukkan imej meragukan dan pemeriksaan lanjut mendapati kotak terbabit mengandungi bungkusan berisi 998,750 biji Eramin 5 sebelum siasatan mendapati syarikat penerima tidak wujud manakala alamat digunakan milik syarikat lain, katanya, di sini semalam. Liah berkata, pihaknya juga menahan seorang lelaki tempatan dan merampas dadah ketamin seberat 14.7 kilogram bernilai RM164,700 dalam satu kes berasingan di pejabat ejen penghantaran cepat di Shah Alam, Selangor, Selasa lalu. Katanya, KDRM memantau selama seminggu sebelum menahan lelaki berusia 44 tahun terbabit ketika memunggah 15 kotak ke dalam kenderaannya dan pemeriksaan mendapati setiap kotak mengandungi sebuah mesin wap yang di dalamnya tersorok bungkusan plastik lut sinar berisi ketamin. Beliau berkata, dokumen pengimportan mendapati barangan terbabit yang diikrarkan kepada KDRM sebagai mesin ais kering pada 19 Oktober lalu, tiba dari Shenzen, China untuk penerima beralamat di Taman Shamelin Perkasa, Kuala Lumpur. Katanya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung mandatori.

Polis nafi peras ugut RM40,000



Oleh Umi Nadirah Abdul Rahman

2011/10/29

JOHOR BAHRU: Seorang pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintendan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini semalam, atas tuduhan memeras ugut peniaga membabitkan wang tunai RM40,000 pada pertengahan Julai lalu.

Ravindran Kutty Krisnan, 39, dari Pasukan Gerakan Am (PGA) di Muar membuat pengakuan berkenaan di depan Hakim Madihah Hairullah sejurus kertas pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Heikal Ismail.
Dia didakwa memeras dengan ugutan akan mencederakan Toh Chin Soon, 41, jika mangsa enggan membayar RM40,000 kepada seorang lelaki, Tay Cheng Seng dalam kejadian di Restoran Chen Chen Siang, Jalan Bakri, Simpang Jeram, Muar, kira-kira jam 8.30 malam pada 14 Julai lalu.

Ugutan terbabit menyebabkan mangsa ketakutan hingga terpaksa menyerahkan wang tunai seperti yang diminta kepada tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda dan sebatan atau kedua-duanya sekali.

Hakim membenarkan tertuduh yang diwakili peguam RK Menon diikat jamin RM15,000 oleh seorang penjamin selain pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 1 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

TLDM patah cubaan rompak kapal tangki di Tanjung Gelang

 2011/10/29

KUANTAN: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mematahkan cubaan 10 warga asing merompak sebuah kapal tangki membawa muatan petrol dan gas bernilai kira-kira 11 juta di 68 batu nautika timur Tanjung Gelang dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian 7.23 malam itu, empat kapal milik TLDM berjaya memintas perompak berkenaan berhampiran Pulau Jemaja tetapi mereka berjaya melarikan diri dengan sebuah bot laju.

Anak maut diseret kereta

 Oleh Zulfa Mohamad

2011/10/29

Motosikal dinaiki empat beranak kena rempuh berhampiran sekolah

KEPALA BATAS: Hancur hati seorang bapa melihat anak kesayangan maut depan mata selepas diseret sebuah kereta yang sebelum itu merempuh motosikal mereka dalam kejadian di Pasir Gebu, Penaga, dekat sini jam 12.10 tengah hari semalam.

Sebelum kejadian, Mohd Zamri Hashim dan anaknya, Nor Afina Khalida, 3, sedang duduk di atas motosikal di sebelah kiri jalan sementara menunggu dua lagi anaknya, Nor Alia Farhana, 7, dan Nor Ellys Najwa, 9, keluar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gebu.
Mohd Zamri berkata, sebaik sesi persekolahan tamat, Nor Alia Farhana muncul dan duduk di belakangnya diikuti Nor Ellys Najwa, tetapi kemudian sebuah kereta tiba-tiba muncul dari belakang lalu merempuh bahagian kanan pemegang motosikal menyebabkan mangsa duduk di depan tercampak, diikuti kedua-dua kakaknya.

Sebaik terjatuh, Nor Afina Khalida dikatakan diseret kereta Nissan Sunny dipandu lelaki berusia lingkungan 40-an itu menyebabkannya cedera teruk di kepala dan maut di tempat kejadian, manakala dua kakaknya cedera di muka.

Sementara itu, Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Seberang Prai Utara, Asisten Superintendan Suhaimi Md Noor, berkata pemandu kereta itu ditahan untuk soal siasat mengikut Seksyen 41 1(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dengan cuai hingga menyebabkan kematian.

Nor Afina Khalida sering ikut saya ambil mereka di sekolah. Sebelum kejadian ini, selalunya arwah tidak minta nasi, tapi pagi tadi (semalam) dia beria-ia hendak makan nasi, kata nelayan itu yang hanya cedera ringan.

Dua dipenjara kes tipu Bursa Malaysia

 2011/10/29

KUALA LUMPUR: Dua bekas pengarah syarikat pengendali perkhidmatan kargo udara, Transmile Group Bhd, masing-masing dihukum penjara setahun dan denda RM300,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas didapati bersalah mengemukakan pernyataan mengelirukan kepada Bursa Malaysia Securities Bhd, lima tahun lalu.

Hakim Datuk Jagjit Singh, menjatuhkan hukuman itu terhadap Chin Keem Feung, 47, dan Shukri Sheikh Abdul Wahab, 48, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan. Beliau turut memerintahkan mereka menjalani tambahan hukuman penjara selama enam bulan jika gagal membayar denda itu.
Jagjit membenarkan mereka menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Tinggi. Hukuman denda sebanyak RM150,000 pula perlu dibayar semalam sementara bakinya dijelaskan pada atau sebelum 30 November 2011.

Pada 14 November 2007, Chin dan Shukri masing-masing mengaku tidak bersalah dengan sengaja mengemukakan pernyataan mengelirukan dalam Laporan Suku Tahunan Syarikat Tidak Diaudit Yang Disatukan bagi Tahun Kewangan Berakhir 31 Disember 2006.

Mereka melakukan kesalahan itu di Bursa Malaysia Securities Bhd, Exchange Square, Bukit Kewangan di sini, 15 Februari 2007.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 122B (b)(bb) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 (Akta 280) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 122B akta sama, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda RM3 juta atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Shanti Geoffrey manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Firuz Jaffril dan Tan Hock Chuan.

Polis cari mama rekrut keldai dadah

 Oleh Nor Azizah Mokhtar

2011/10/29

KUALA LUMPUR: Bukit Aman percaya gelaran mama adalah panggilan biasa digunakan sebahagian besar wanita tempatan yang dilatih sindiket dadah warga Afrika untuk merekrut keldai dadah di negara ini.

Ia berikutan beberapa suspek yang ditahan sebelum ini juga menggunakan nama samaran sama, sekali gus menunjukkan ia bukan digunakan hanya seorang individu, malah dipercayai rata-rata wanita yang dilantik sebagai orang tengah sindiket dadah untuk menjerat rakyat tempatan sebagai penyeludup bahan terlarang itu ke luar negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim, berkata polis masih menyiasat identiti sebenar beberapa individu menggunakan nama samaran mama yang giat merekrut rakyat tempatan sebagai keldai dadah.

Dulu kita pernah tangkap beberapa individu, juga dipanggil mama dan kita percaya ada ramai mama di luar sana bekerja dengan sindiket dadah ini dan giat mencari sasaran baru sebagai mangsa. Kita akan siasat latar belakang dan mengenal pasti identiti sebenar semua wanita itu.

Mereka termasuk seorang wanita yang juga dikenali sebagai Mama atau Lisa, katanya ketika mengulas penahanan Hasrin Idris, 20, di Penjara Hortolandia, Sao Paolo, Brazil kerana membawa dadah dipercayai diperdaya wanita terbabit.

Laporan muka depan Berita Harian, kelmarin mendedahkan nasib Hasrin yang berita kehilangannya pernah disiarkan pada 12 dan 23 September lalu, akibat terpedaya dengan tawaran Mama atau Lisa untuk menyeludup dadah ke Amerika Selatan dan Eropah tanpa diketahui isi kandungan beg dibawanya.

Noor Rashid berkata demikian selepas menghadiri majlis serah tugas Pengarah I Bahagian Risikan dan Operasi JSJN Bukit Aman, Datuk Othman Harun, di sini semalam. Jawatan Othman yang bersara wajib kini dipangku Ketua Penolong Pengarah Risikan jabatan itu, Datuk Haris Wong Abdullah.

Tebing Chao Phraya kian melimpah

MANGSA banjir menaiki bot selepas diarah berpindah kerana air semakin melimpah di sekitar kawasan Sungai Chao Phraya, semalam.
MANGSA banjir menaiki bot selepas diarah berpindah kerana air semakin melimpah di sekitar kawasan Sungai Chao Phraya, semalam.
Istana Besar Thailand dinaiki air, benteng penahan banjir boleh runtuh bila-bila masa

BANGKOK: Sungai utama merentasi ibu negara Thailand mencatatkan rekod tertinggi semalam, menyebabkan kawasan bangunan bersebelahan sungai dan kompleks diraja dilanda banjir di tengah fenomena air pasang besar yang dibimbangi akan meruntuhkan benteng banjir dan menyebabkan ibu negara dilanda banjir.

Air separas buku lali dari Sungai Chao Phraya melimpahi satu kawasan masuk ke Istana Besar yang dihalang dengan beg pasir. Pihak tentera dilaporkan mengepam air keluar manakala pelancong masih lagi memasuki kawasan yang dilindungi tembok putih itu.
Sungai berkenaan turut melimpahi jalan raya di luar pintu istana selama beberapa hari tetapi air dilaporkan semakin surut menjadikan jalan berkenaan kembali kering.
Bagaimanapun, air pasang lebih besar daripada biasa di Teluk Thailand dijangka memuncak hari ini, menghalang banjir daripada ke utara, dan dibimbangi akan memenuhi kawasan bandar. Kerajaan juga bimbang penghalang utama dan tembok akan runtuh.

Air pasang pagi semalam berlalu tanpa runtuhan besar tetapi air dikatakan mencecah kawasan sungai berhampiran daerah perniagaan utama di Silom dan Sathorn.

Tembok banjir berkenaan menghalang kawasan bandar raya 2.5 meter dan air pasang pada Sabtu dijangka mencecah hingga 2.6 meter.

Sebanyak tujuh daripada 50 daerah di Bangkok semuanya di utara, dilanda banjir dan penduduk terpaksa menggunakan rakit buluh untuk bergerak dan trak tentera serta mengharungi air setinggi paras pinggang. Lapan lagi daerah dilaporkan sudah mengalami banjir yang berkurangan.
Banjir kilat dilaporkan di tenggara bandar raya itu semalam apabila sebuah terusan melimpah di jalan Sukhumvit.

Banjir berkenaan, paling buruk di Thailand sejak separuh abad membunuh hampir 400 penduduk dan menyebabkan lebih 110,000 lain hilang tempat tinggal.

Penganalisis ekonomi berkata banjir turut mengurangkan ramalan Keluaran Dalam Negara Thailand pada 2011 sehingga 2 peratus. Kerugian dianggarkan RM18.38 bilion boleh meningkat dua kali ganda jika Bangkok ditenggelami banjir.

Kebanyakan Bangkok masih lagi kering dan hampir kebanyakan sembilan juta penduduknya sedang berjaga-jaga melindungi kediaman mereka.

Kebimbangan berlaku di kawasan tengah Bangkok di mana penduduk Thailand dan ekspatriat cuba mendapatkan perlindungan di luar Bangkok manakala kerajaan asing menggesa rakyat mereka mengelak ke Bangkok.

Jabatan Negara Amerika Syarikat berjaga-jaga terhadap penduduknya yang mahu ke Thailand terutama di kawasan terjejas dengan banjir termasuk Bangkok disebabkan masalah pengangkutan dan kekurangan bekalan makanan. – AP 

‘Saya tak hisap ganja’

 Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
am@hmetro.com.my
         
KUALA LUMPUR: “Saya tidak pernah menghisap ganja dan saya menafikan kenyataan yang ditulis di facebook kononnya saya perlukan ganja. Semua itu hanyalah fitnah selepas facebook milik saya digodam,” kata peserta Raja Lawak musim kelima, Zarina Mohamad Nor, 35.

Zarina berkata, akaun facebook miliknya digodam individu tidak dikenali awal bulan yang lalu sejurus individu terbabit memfitnah kononnya dia memerlukan ganja, menyebabkan maruahnya tercemar.


Katanya, perkara itu hanya disedari 14 Oktober lalu kira-kira jam 8 malam sejurus rakannya yang juga peserta Raja Lawak, Shuhada (Ally), 24, memaklumkan facebook miliknya digodam.

“Ketika mendapat tahu kejadian itu, saya di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana membintangi teater Semarak Bangsawan. Saya terkejut difitnah sebegitu dan meminta Shuhada memadam kenyataan itu di facebook, namun gagal kerana individu berkenaan bertindak menukar kata laluan.


“Selang beberapa jam selepas itu individu terbabit menghantar mesej ke akaun facebook milik Shuhada untuk meminta maaf dan memberikan semula kata laluan facebook yang diubahnya,” katanya.


Menurut Zarina, selepas mendapat kata laluan itu dia melayari facebook pada keesokan hari kerana mahu menukar kata laluan yang baru, namun gagal apabila individu berkenaan menukar lagi kata laluan yang baru.


“Selain difitnah ‘saya perlukan ganja’, individu itu turut menulis ‘saya cantik, jangan jeles’ di facebook saya. Saya malu dengan kenyataan itu kerana ia menjatuhkan reputasi saya sebagai selebriti. Saya berharap orang ramai tidak mempercayai kenyataan yang tertera di facebook itu,” katanya. Zarina yang aktif dengan persembahan teater antaranya Bangsawan Puteri Selindungan Bulan dan baru saja tamat penggambaran sitkom ‘Mai Cek Mai’ membuat laporan di Balai Polis Kampung Baru Subang, kelmarin mengenai fitnah terbabit.


“Saya kini membuka akaun facebook baru dan berharap sekiranya peminat terlihat kenyataan berbaur fitnah di akaun facebook lama, tolong jangan percaya kerana ia bukan diri saya yang sebenar,” katanya.

10 penyamun hentak mangsa guna topi keledar

 GOMBAK: Seorang lelaki cedera di kepala dan badan selepas dihentak dengan topi keledar oleh sekumpulan lelaki sebelum disamun menyebabkan kerugian dianggarkan RM5,000, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, mangsa yang berusia 21 tahun bersama rakannya berjalan pulang ke rumah di Taman Tun Teja, di sini, selepas makan di restoran berhampiran.


Bagaimanapun, tiba-tiba muncul 10 lelaki menunggang motosikal menghampiri mangsa.

Menurut sumber, terkejut dengan kehadiran suspek, mangsa dan rakannya cuba melarikan diri namun gagal kerana kumpulan itu mengepung mereka.


“Seorang daripada suspek memaki-hamun mangsa sebelum suspek lain menghentak topi keledar ke kepala mangsa beberapa kali,” katanya.


Sumber berkata, selepas beberapa minit dibelasah, suspek merampas telefon bimbit, gelang tangan perak dan rantai emas dipakai mangsa. “Suspek yang mendapatkan barangan berharga mangsa melarikan diri meninggalkan mangsa bersama rakannya yang cedera,” katanya.


Sumber itu berkata, mangsa dan rakannya yang cedera pergi ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan.


Bimbang kejadian sama berulang, dia membuat laporan di Pondok Polis Hospital Selayang.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan.

Selesai 29 kes samun

 KUALA LUMPUR: Penahanan seorang lelaki ketika memecah sebuah kenderaan di Desa Sri Hartamas, di sini, Selasa lalu menyelesaikan lebih 29 kes samun dalam kereta di sekitar ibu kota.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata suspek berusia 36 tahun itu ditahan sepasukan polis yang membuat rondaan di kawasan berkenaan selepas mendapati lelaki terbabit berada dalam keadaan mencurigakan.


“Suspek cuba melarikan diri namun diberkas. Siasatan awal mendapati, suspek mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau membabitkan kes curi dan penyalahgunaan dadah.

“Suspek direman bermula 26 Oktober lalu sehingga hari ini (semalam),” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, semalam.


Menurutnya, suspek dipercayai mula menjalankan kegiatan pecah kenderaan itu sejak awal tahun ini dan terbabit dalam lebih 29 kes.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri,” katanya.

Pakej masalah rumit



         
KUALA LUMPUR: Tindakan menggantung diri yang dilakukan seorang remaja perempuan 14 tahun di sebuah tanah rancangan Felda di Kulaijaya, Johor, Rabu lalu, tidak hanya mencerminkan masalah putus cinta, tetapi menunjukkan pakej masalah rumit yang dihadapi.

Ini kerana tindakan nekad itu tidak berbaloi sekiranya dibandingkan dengan nilai hubungan ‘cinta monyet’ yang selalu dikaitkan dengan pelajar.


Pakar Motivasi dan Psikologi, Datuk Dr Mohd Fadzillah Kamsah, berkata masyarakat umum tidak seharusnya menilai tindakan pelajar terbabit sebagai kesan tekanan akibat putus cinta.

“Bila terjadinya kes bunuh diri, masyarakat mudah membuat kesimpulan ia berlaku akibat tekanan perasaan dihadapi mangsa.


“Tapi, kita tidak perasan tindakan nekad sebegini mencerminkan pakej bebanan masalah paling berat yang mungkin membabitkan keluarga, sekolah dan masyarakat sekeliling,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Menurut Dr Mohd Fadzillah, kejadian menggantung diri itu dipercayai berlaku akibat tiada kemahiran mengatasi pada diri mangsa.


“Pelajar ini dipercayai gagal berdepan masalah selain tidak mempunyai tempat rujukan untuk bantuan.


“Bayangkan konflik yang berlaku dalam diri seorang remaja...mungkin masalah yang ditanggung sukar dibincangkan dengan keluarga, rakan tiada yang memahami, sementara guru pula sukar didekati...kalau mengadu di Internet sekalipun, ia mungkin dipandang sepi,” katanya.

Taktik licik pengedar dibongkar

 KUALA LUMPUR: Kegiatan pengedaran dadah kini semakin licik menggunakan pelbagai kaedah termasuk menyembunyikan dalam buku catatan harian dan bungkusan makanan ringan, namun taktik berkenaan berjaya dihidu pihak berkuasa.

Dalam beberapa serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur sepanjang minggu ini, polis menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah termasuk membabitkan warga asing dengan jumlah rampasan dianggarkan bernilai lebih RM 600,000 serta enam suspek ditahan.


Ketua JSJN Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang berkata, serbuan terbaru kira-kira jam 9.30 pagi kelmarin, di sebuah kondominium di Brickfields, apabila pihaknya menahan dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga China berusia 29 hingga 38 tahun serta menemui 1,449 pil Ecstacy yang disembunyikan dalam bungkusan kacang.

“Pemeriksaan lanjut di kediaman itu menemui dadah dipercayai syabu dianggarkan seberat 2.2 gram dan lima pil Eramin 5. Kami juga merampas alat penimbang digital, lima telefon bimbit dan wang tunai RM6,855.


“Semua dadah dirampas itu dianggarkan bernilai RM58,500 dan ujian air kencing mendapati dua suspek lelaki terbabit positif dadah, manakala mengikut rekod wanita warga asing itu sering keluar masuk negara ini sejak 2003,” katanya di sini, semalam.


Menurutnya, serbuan kedua pada Selasa lalu di sebuah hotel mewah di Brickfields menahan seorang lelaki warga Iran dan menemui dadah dipercayai syabu seberat 2.49 kilogram bernilai RM500,000 yang disembunyikan dalam kulit buku catatan hariannya.

Terperosok bawah bas

 MELAKA: “Saya terkejut apabila mendengar dentuman kuat dan selepas memandang ke depan, saya nampak sebuah motosikal terperosok di bawah bas dan rodanya masih berpusing.

“Saya lihat dua pemuda terbaring dengan kecederaan parah termasuk di kepala,” kata saksi kemalangan maut membabitkan bas dan motosikal di Jalan Syed Abdul Aziz menghala pusat bandar, dekat sini, petang kelmarin. Mohd Faiz Abdul Kadir, 23, berkata dalam keadaan hujan lebat, dia dan beberapa orang awam termasuk pemandu bas berkenaan cuba membantu mangsa, namun gagal kerana keadaannya yang parah. “Ketika tiba di tempat kejadian, seorang daripada mereka parah dan seorang lagi terlentang tidak sedarkan diri kerana parah di kepala,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian. Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu, mangsa, Muhammad Shafie Hakim Roslan, 18, dari Kampung Padang Temu, maut di tempat kejadian apabila motosikal ditungganginya melanggar belakang sebuah bas yang berhenti di tepi jalan berkenaan. Kemalangan itu menyebabkan rakannya dikenali sebagai Pijan yang membonceng di belakang parah dan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.


Sementara itu, bapa mangsa, Roslan Jabal, 52, berkata, ketika kejadian anak kesembilan daripada 14 beradik itu dalam perjalanan pulang dari kerja di Kampung Gelam, Tangga Batu.

“Dia periang dan sudah empat bulan bekerja sebagai buruh, malah tiada perubahan yang ditunjukkan. Kali terakhir saya berjumpa arwah pada pagi sebelum kejadian,” katanya.

Penganggur perkosa teman wanita hingga lahir anak




         
SHAH ALAM: Seorang penganggur didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan merogol teman wanitanya yang kini sudah melahirkan anak hasil perhubungan mereka, di sini, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, Hakim Slamat Yahya menangguhkan prosiding jatuh hukum kepada 30 November ini sementara menantikan laporan akhlak lelaki itu. Terdahulu, Slamat pada penghakimannya berkata, mahkamah berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.


Beliau berkata, keterangan saksi pendakwaan menunjukkan tertuduh dan mangsa melakukan hubungan seks antara dua atau tiga kali secara rela dan tidak cuba melarikan diri ketika kejadian.

Selain itu katanya, fakta juga menunjukkan tertuduh mengetahui usia mangsa ketika itu di bawah 16 tahun.


Pada masa sama katanya, ujian DNA terhadap anak mangsa juga menunjukkan tertuduh adalah bapa kandung kepada bayi berkenaan.

Mercun Deepavali RM200,000 dirampas




         
KUALA LUMPUR: Polis merampas pelbagai jenis mercun dianggarkan berjumlah kira-kira RM200,000 sepanjang Ops Cahaya Deepavali di sekitar Brickfields, di sini, sejak dua minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, dalam tempoh operasi, sebanyak 12 serbuan membabitkan tujuh tangkapan dilakukan di kawasan Little India, di sini.


“Pihak polis sentiasa menjalankan pemantauan secara berterusan bagi membanteras kegiatan menjual bahan api berbahaya berkenaan terutama pada musim perayaan.

“Rata-rata mereka yang diberkas berusia 20-an hingga 30 tahun. Kes disiasat mengikut Seksyen 7 dan 8, Akta Bahan Kakisan dan Letupan,” katanya kepada wartawan ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini semalam.

Dadah RM20j dalam 10 kotak



Oleh Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my
         
NILAI: Cawangan Narkotik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membongkar taktik licik sindiket penyeludupan dadah melalui kargo udara yang menggunakan nama syarikat dan alamat palsu untuk menyembunyikan bahan haram bernilai hampir RM20 juta itu di dalam 10 kotak ‘misteri’ dari Taiwan, dua minggu lalu.

Difahamkan, sejurus dadah disyaki jenis Eramin 5 itu dikesan dari pejabat sebuah ejen penghantaran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dekat sini, JKDM melakukan pemantauan berterusan bagi memastikan identiti penerima yang menggunakan alamat sebuah syarikat di Selangor.


Namun, selepas 10 hari, semua kotak itu masih tidak dituntut dan hasil pemeriksaan mendapati syarikat berkenaan tidak wujud selain menggunakan alamat palsu, manakala pembekalnya turut gagal dihubungi. Mendedahkan perkara itu, Timbalan Pengarah Kastam Cawangan Narkotik JKDM, Liah Omar berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya menahan 10 kotak dan imbasan awal dijalankan menunjukkan imej mencurigakan, 14 Oktober lalu.

“Hasil pemeriksaan mendapati semua kotak itu mengandungi 998,750 pil disyaki Eramin 5 dianggarkan bernilai RM19.97 juta.


“Dokumen kargo menunjukkan kotak itu tiba dari Taiwan pada 5 Oktober lalu untuk penerima sebuah syarikat namun tidak dinyatakan isi kandungannya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Cawangan Narkotik JKDM di Kampung Jijan di sini, semalam.


Menurut beliau, pihaknya bertindak merampas semua dadah berkenaan selepas penerimanya masih tidak membuat tuntutan.


“Kami (JKDM) sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai kes itu yang diklasifikasikan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati,” katanya tidak menolak kemungkinan dadah itu untuk pasaran tempatan.


Sementara itu, dalam kes berasingan, kata Liah, pihaknya turut menahan seorang ahli perniagaan yang memunggah 15 kotak berisi dadah disyaki jenis Ketamin di pejabat sebuah ejen penghantaran cepat di Shah Alam, Selangor, kira-kira jam 1 tengah hari, Selasa lalu. “Pemeriksaan ke atas semua kotak dicatatkan sebagai ‘Fog Machine’ (mesin penyembur asap) itu menemui 15 bungkusan plastik lutsinar seberat 14.7 kilogram dianggarkan bernilai RM164,700 yang disembunyikan dalam setiap mesin terbabit,” katanya.


“Dokumen pengimport menunjukkan barangan yang tiba dari Shenzhen, China, itu diikrar sebagai ‘Dry Ice Machine’ pada 19 Oktober lalu dan kami membuat intipan selama seminggu untuk memberkas lelaki warga tempatan berusia 44 tahun berkenaan,” katanya.


Menurutnya, suspek direman selama seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Beliau berkata, pihaknya berjaya menumpaskan dua kes penyeludupan dadah bernilai lebih RM20 juta dalam tempoh dua minggu dan amat mengharapkan kerjasama orang awam menyalurkan maklumat.


Mereka boleh menghubungi talian bebas tol JKDM di 1-800-88-8855 atau talian terus Ibu Pejabat Cawangan Narkotik di 06-7917792/ 7587. Ganjaran akan diberi kepada maklumat membawa kepada rampasan dan tangkapan.

Solat cukup niat



Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.my
         
KUALA TERENGGANU: Sembahyang cukup sekadar dengan niat tanpa perbuatan, tidak boleh berkahwin, tak perlu menunaikan haji walaupun mampu selain dilarang solat Jumaat dan berjemaah. Itulah antara amalan kumpulan ajaran sesat digelar Ajaran Uncle kononnya sebagai jalan pintas untuk menjadi wali Allah.

Perkara itu didedahkan seorang pemuda yang hanya mahu dikenali sebagai Abi, 20-an, yang pernah menyertai kumpulan ajaran sesat berkenaan pada 2007 sebelum meninggalkannya apabila menyedari ia menyimpang daripada ajaran Islam.


Menurutnya, keinginan belajar agama secara mendalam selain sering tertekan berikutan mengalami masalah kewangan membuatkan hatinya terdetik mendekatkan diri kepada Allah sebelum terjebak dengan ajaran sesat berkenaan.

Abi berkata, Ajaran Uncle diasaskan seorang lelaki dipanggil ‘uncle’ yang menetap di Kuantan, Pahang dan mempunyai seorang wakil di negeri ini yang berperanan mengembangkan ajaran berkenaan serta menyasarkan golongan belia kurang pengetahuan agama untuk menyertai kumpulan mereka.


“Penyertaan saya dalam kumpulan itu berpunca daripada pengaruh rakan yang mendakwa mengenali dan menuntut ilmu agama dengan seorang didakwanya wali Allah. Bagaimanapun, saya lebih banyak belajar dengan wakil kumpulan itu yang dipanggil tok guru. “Kali pertama menjejak kaki ke rumah tok guru, saya diminta membaca surah al-Fatihah serta mengucap sambil diperbetulkan tok guru terbabit.


“Selepas itu saya diminta berzikir dengan menyebut kalimah Allah bermula jam 10 malam sehingga azan Subuh.


“Zikir itu mesti diteruskan sehingga Subuh dan hanya berhenti selama setengah jam untuk minum atau membuang air kecil sebelum menyambungnya semula sehingga azan Subuh berkumandang.


“Selepas itu kami diminta mengerjakan solat Subuh berasingan sebelum bersurai. Amalan itu diwajibkan kepada semua ahli pada setiap malam kononnya sebagai cara untuk mendekatkan diri dengan Allah seterusnya untuk diangkat menjadi wali,” katanya.


Abi berkata, selain mengamalkan zikir itu, pengikut ajaran terbabit didedahkan dengan aktiviti memburu serta menangkap jin dan syaitan. “Saya tidak dapat terangkan kaedah digunakan tok guru untuk menangkap jin dan syaitan kerana tidak sempat mempelajarinya, tapi pernah mengikuti ahli kumpulan merawat pesakit yang diserang histeria.


“Selepas enam bulan mengikuti kumpulan itu, saya mula was-was mengenai ajaran tok guru yang banyak bertentangan dengan Islam selain kegilaan tok guru bermain nombor ekor.


“Ahli kumpulan juga tidak dibenarkan berkahwin kerana tok guru mendakwa perkahwinan merosakkan hubungan dengan Allah, tetapi yang peliknya dia sendiri berkahwin dan berkeluarga.


“Saya juga ragu-ragu apabila tok guru mengajar bahawa tidak perlu menunaikan solat Jumaat serta sembahyang berjemaah kerana solat tidak akan diterima kerana ada antara ahli jemaah banyak melakukan dosa.


“Kata tok guru lagi lebih afdal jika sembahyang menggunakan niat saja,” katanya.


Abi berkata, dia juga dilarang bercakap di tempat kerja atau di rumah kerana perlu menjaga tutur kata supaya tidak mengucapkan perkataan kotor menyebabkan rakan sekerja hairan melihat perubahannya, malah ibu bapanya juga tertanya-tanya kenapa dia menjadi pendiam padahal sebelum itu dia anak yang paling ceria.


“Demi memberi sepenuh perhatian kepada amalan zikir dan aktiviti kumpulan itu, saya nekad berhenti kerja dan meluangkan sepenuh masa terhadap kegiatan kumpulan dan berusaha menarik rakan lain menyertai ajaran berkenaan.


“Pada mulanya memang seronok mengikuti semua ajaran tok guru lebih-lebih lagi sembahyang pakai niat saja. Bayangkan ketika tidur pun boleh bersembahyang kerana hanya memerlukan niat.


“Tetapi keseronokan itu tidak lama apabila hidup saya menjadi tidak terurus ditambah pula berdepan masalah kewangan serius kerana tidak bekerja.


“Saya sudah puas mengamalkan semua ajaran tok guru, namun hati tetap tidak tenang,” katanya.


Menurutnya, selepas enam bulan bersama kumpulan terbabit, dia meninggalkan mereka dan bertaubat berikutan menyedari ajaran itu bertentangan dengan Islam. “Selepas bertaubat dan kembali ke jalan Allah, saya mula bekerja dan menjalani kehidupan ceria seperti biasa. Saya juga sudah lama tidak mendengar khabar rakan yang menyertai kumpulan itu serta pergerakan mereka.


“Saya tidak pasti sama ada mereka masih bergiat aktif atau sebaliknya, namun saya berharap pendedahan ini dapat dijadikan panduan oleh generasi muda atau sesiapa saja supaya tidak terjebak dengan ajaran sesat berkenaan.


“Kepada golongan muda yang baru berjinak-jinak untuk belajar ilmu agama, carilah guru bertauliah yang disahkan Jabatan Agama Islam. Jangan mudah terpengaruh dengan kehebatan seorang guru berdasarkan pandangan luaran semata-mata,” katanya.

Tabung surau lesap


Oleh Adam Salleh
adam@hmetro.com.my
         
RAWANG: Wang yang dikumpul dalam peti besi Surau As Siddiqin, Blok 7, Bandar Tasik Puteri, di sini bagi membeli lembu untuk dijadikan korban sempena Aidiladha, 6 November ini didapati hilang dipercayai dicuri pihak tidak bertanggungjawab.

Kejadian berkenaan disedari pengurusan surau berkenaan pagi semalam.


Pengerusi surau berkenaan, Harun Abdul Rahman, 61, berkata, dianggarkan sejumlah RM10,000 disimpan dalam peti besi berkenaan.

Menurutnya, sejak surau itu dibuka pada 2002, peti besi berkenaan tidak pernah dialihkan, bahkan peti besi itu umpama bank sementara bagi Ahli Jawatankuasa (AJK) surau itu.


“Menilai berat peti besi itu, saya yakin pencuri yang menceroboh surau kami ini tidak bersendirian. “AJK surau ini sendiri ketika mula meletak peti besi itu memerlukan tenaga tiga hingga lima orang.


“Saya berasa sedih kerana di dalam peti besi itu kami simpan wang untuk membeli lima ekor lembu bagi dikorbankan pada Aidiladha minggu depan,” katanya.


Menurut Harun, dia mula menyedari peti besi surau itu hilang ketika mahu bersolat Subuh pada jam 4.45 pagi. Beliau mula berasa tidak sedap hati apabila mendapati sebelah pintu pagar surau dan pintu kaca surau terbuka.


“Sebaik melangkah ke dalam surau, terus saya pandang ke arah tiang di mana lokasi peti besi itu. Terkejut saya mendapati peti besi itu lesap. Saya syak pencuri melakukan kerja itu antara jam 2 hingga 4 pagi,” katanya.


AJK surau, Borhan Kassim, 41, berkata sebaik mendapati peti besi itu hilang, AJK surau berkenaan membuat laporan polis.


“Peti besi itu berat, apatah lagi ada syiling. Saya percaya pencuri membawa lori kecil bagi melarikan peti besi itu,” katanya.


Sementara itu, imam surau berkenaan, Ustaz Mohamad Faizal Anuar, 38, kesal kejadian itu berlaku di tempat ibadat. Lebih membuatkan dia kecewa kerana kejadian itu berlaku ketika pihak pengurusan merancang memasang kamera litar tertutup (CCTV) di surau berkenaan sebagai langkah keselamatan.


“Hasrat memasang CCTV saya suarakan pada AJK surau, dan kami merancang memasangnya selepas Aidiladha. Sudah ditakdirkan kejadian ini berlaku, apa yang boleh kami lakukan hanya mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat supaya pencuri tabung surau ini insaf,” katanya.

Suspek kes bunuh gantung diri di lokasi sama



         
IPOH: Seorang lelaki warga emas yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan satu kejadian pembunuhan kejam baru-baru ini, membuat keputusan nekad menamatkan riwayatnya dengan menggantung dirinya di lokasi sama tragedi berdarah berlaku pagi semalam.

Lelaki dikenali sebagai Liong Ah Chah, 61, yang juga suspek utama kejadian, ditemui mati tergantung di rumah sama lokasi dia dipercayai membunuh seorang lelaki.


Mayat suspek ditemui kira-kira jam 10.40 pagi oleh sepasukan anggota polis yang dikejarkan ke tempat kejadian selepas mendapat maklumat awam mengenai kehadiran lelaki itu di rumah berkenaan.

Hasil pemeriksaan, polis menemui mayat seorang lelaki tergantung di bahagian dapur dan disahkan sudah mati.


Siasatan kemudian mengesahkan identiti mangsa sebagai suspek kes pembunuhan sebelum ini yang berlaku di hadapan rumah sama.


Difahamkan, rumah berkenaan mempunyai sejarah hitam kerana sudah tiga tragedi meragut nyawa berlaku di kediaman ini termasuk kes semalam.


Dalam kejadian semalam, suspek dipercayai hanya berjaya membunuh diri pada cubaan kali kedua selepas gagal kali pertama kerana kain digunakan putus.


Suspek diburu polis bagi membantu siasatan kes pembunuhan mangsa yang maut dikelar di leher dalam kejadian 13 Oktober lalu.


Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa, Chen Woon Min, 47, ditemui rebah dan berlumuran darah di hadapan rumah sewanya di Jalan Menglembu Timur 2, di sini, selepas diserang suspek.


Penemuan mayat suspek sekali gus menamatkan usaha polis menjejaki suspek selepas gagal melakukannya biarpun mencuba pelbagai cara termasuk ‘bermalam’ dalam rumah berkenaan selama hampir seminggu.


Taktik itu dilakukan selepas usaha polis mengesan suspek menerusi risikan dan hebahan akhbar menemui jalan buntu sebelum pihak polis mengambil pendekatan menunggu sehingga suspek pulang ke rumah.


Bagaimanapun, usaha itu masih menemui jalan buntu berikutan suspek yang bersenjatakan pisau berkenaan gagal dikesan sehinggalah kejadian semalam.

Cedera angkara peragut


Oleh Mohamad Yatim Latip
am@hmetro.com.my
         
MELAKA: “Saya terjatuh di atas jalan sejurus beg sandang direntap peragut terbabit,” kata Siti Rohani Md Lelah, 24, mangsa ragut di Kampung Kandang, kelmarin.

Siti Rohani berkata, dia bernasib baik kerana ketika kejadian, tiada kenderaan lain di laluan itu, sekali gus menyelamatkannya daripada dilanggar.


Menceritakan detik cemas itu, Siti Rohani berkata, dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, dia yang menunggang motosikal seorang diri dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Balik Bukit selepas selesai kerja syif malam di sebuah pasar raya di bandar ini.

“Ketika menghampiri jambatan Sungai Duyong, saya perasan seorang lelaki berada di atas motosikal di tepi jalan berhampiran lampu isyarat, namun tidak mengesyaki apa-apa.


“Sebaik menuruni jambatan berkenaan, tiba-tiba saja saya berasa seperti ada orang merentap tali beg sandang di leher membuatkan saya terkejut lalu berpaling.


“Pada masa sama, saya terus lepaskan motosikal kerana bimbang dihempap menyebabkan saya terjatuh ke atas jalan raya sehingga mengakibatkan tapak tangan kiri, lengan kanan, siku dan lutut kiri melecet teruk,” katanya, semalam.


Katanya, beg sandang yang direntap peragut itu tidak jauh dari situ menyebabkan dia yang dalam kesakitan menggagahkan diri bangun untuk mengambilnya.


“Bagaimanapun peragut yang menunggang motosikal Kriss itu berpatah balik dan mencapai semula beg saya sebelum melarikan diri. Kerana takut dan sakit akibat kecederaan, saya terus duduk di tepi jalan sambil menangis.


“Pada masa sama, saya nampak seorang lelaki dipercayai anggota polis baru selesai bertugas yang menunggang motosikal di laluan berkenaan cuba mengejar peragut terbabit, namun gagal menahannya.


“Sejurus itu, seorang lagi lelaki yang kebetulan lalu di situ turut berhenti memberikan pertolongan sebelum anggota polis itu serta serakannya membawa saya ke Hospital Melaka,” katanya.

Tafsiran kehilangan 20 wanita Menggatal



Oleh Hamid Karim
         
SEKURANG-kurangnya 20 wanita Menggatal, Sabah hilang dan gagal dikesan sejak dua tiga tahun kebelakangan ini! Nor -huda Ahmad, 21, Nurlina Kadir, 19, Ho Mui Moi, 18, Noorazienah Abdul Raja, 25, Masrina Baharum, 21, Masyauri Nahul, Adelin Liaw, 17, Ainah Abdulhan, Dayang Quraiza, Caroline Ayen antara nama yang dilaporkan hilang.

Semua laporan mengenai kehilangan mereka dibuat di Menggatal dan mereka merupakan sebahagian daripada senarai yang kini ada di laman web Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kehilangan wanita Menggatal ini satu lagi realiti wajar membuka mata kita bahawa fenomena orang hilang, terutama wanita boleh berlaku di mana saja. Ia tidak semestinya penyakit masyarakat di kota besar sebaliknya ia boleh berlaku di bandar kecil atau pekan yang kurang dikenali sebelum ini.


Sebahagian mereka dilaporkan hilang pada tahun ini seperti Ainah Antim hilang pada 27 Mei 2011, Masyauri Nahul (24 Mei 2011), Murni Kadir (9 Mei 2011), Ho Mui Moi (31 Mac 2011), Norhuda Ahmad (18 Mei 2011), Masrina Baharum (10 Mei 2011), Necilia Ondu (3 Mei 2011) dan Noorazienah Abdul Raja (18 Januari 2011). Sementara senarai wanita Menggatal yang dilaporkan hilang pada 2010 pula ialah, Jessyannie Augustine, Suzainee Sigol, Adeline Liaw, Ainah Abdulhan, Wini Merseling, Norin, Noorkartiny dan Nurlina. Ada juga yang dilaporkan hilang sejak 2008 dan 2009. Berdasarkan laman web PDRM juga, jumlah laporan polis yang dibuat di Menggatal membabitkan wanita hilang lebih tinggi, berbanding jumlah wanita dari bandar lebih besar lain, misalnya Cheras, Segamat, Sungai Petani atau Masjid Tanah.

Menarik untuk diketahui mengenai Menggatal ialah ia cuma sebuah pekan kecil tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini ia menjadi tempat bermastautin banyaknya warga asing dari Filipina dan Indonesia. Pekan paling dekat ialah Inanam dan Menggatal terletak di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Kota Kinabalu (MBKK). Latar kehidupan masyarakatnya pula dikatakan lebih menjurus kepada kehidupan masyarakat luar bandar.


Ironi kehilangan 'besar' wanita dari Menggatal seperti terkandung dalam laman web PDRM menarik dijadikan perbincangan kerana secara statistik ia unik dan kontras kalau dibandingkan jumlah penduduknya dengan penduduk bandar lain di negara ini. Sekali gus ia harus menjadi satu isyarat agar sebarang kajian pihak berkuasa membabitkan fenomena wanita hilang kini tidak lagi harus tertumpu kepada kes di kota besar atau di pinggir bandar semata-mata. Gejala wanita hilang berdasarkan kes yang berlaku di Menggatal misalnya, boleh berlaku di mana saja di negara ini. Sebenarnya banyak boleh digarap menerusi fakta kehilangan wanita terbabit. Adakah kehilangan itu melibatkan pemerdagangan orang atau kehilangan mereka sebenarnya berpunca daripada faktor serupa yang dirumuskan pelbagai pihak sebelum ini - ikut kekasih, mencari kerja, ketidakstabilan keluarga atau mencari kebebasan. Hakikatnya, Menggatal hanya sebuah bandar kecil yang tentu tidak terdedah sedemikian terbuka kepada budaya moden seperti yang menimpa bandar lain di negara ini. Soalnya kenapa banyak kehilangan wanita dilaporkan di pekan itu seperti terpapar di laman web PDRM? Kita tidak bermaksud untuk membuat rumusan bahawa wanita dari Menggatal menjadi penyumbang terbesar dalam indeks orang hilang seperti dipaparkan menerusi web itu. Ini kerana realitinya banyak kes orang hilang turut dilaporkan berlaku saban masa di merata tempat di negara kita. Hal ini bagaimanapun terpaksa dibangkitkan kerana berdasarkan rekod yang ada di laman web itu kehilangan wanita Menggatal ternyata tinggi dan ia tiba-tiba menjadi bahan berita luar biasa serta menarik untuk diberi perhatian berdasarkan kedudukan pekan itu sendiri yang dikatakan belum sepenuhnya tercemar oleh anasir luar.


Tiada siapa tahu di mana sebenarnya wanita yang dilaporkan hilang itu kini berada. Banyak di antara mereka dipercayai daripada kaum Bumiputera. Misalnya, Murni Kadir yang berasal dari Taman Seri Bayu, salah satu taman perumahan di pekan itu. Kehilangannya direkodkan menerusi laporan polis bernombor 3794/2011 dan tarikh laporan kehilangannya dibuat ialah pada 9 Mei lalu. Begitu juga Norhuda Ahmad, dilaporkan hilang pada 18 Mei lalu.


Masrin Baharum yang dilaporkan hilang pada 10 Mei lalu juga dari Menggatal. Begitu juga Masyauri Nahul, dilaporkan hilang pada 24 Mei 2011 dan Ho Hui Moi yang hilang pada 31 Mac 2011. Jumlah itu bertambah apabila nama seperti Norin Zainal, Nurlina Kadir, NoorKartiny, Wini Marseiling, Ainah Antim, Nooraziemah Abdul Raja, Julita Sandigo dan Noorlizah Buang turut diambil kira berdasar nama dan gambar mereka turut berada di dalam senarai orang hilang yang dilaporkan di Menggatal.


Umum mengetahui banyak faktor dikenal pasti menjadi penyebab kehilangan wanita atau gadis di negara ini. Misalnya mengikut kekasih, pengaruh kawan, tidak mahu belajar dan mahu mencari kerja. Faktor persekitaran terutama akibat keruntuhan sistem kekeluargaan dan sikap ibu bapa yang terlalu terbuka memberi kebebasan kepada anak-anak turut memburukkan lagi keadaan.


Namun, realiti mesti diakui ialah kebanyakan kes kehilangan wanita atau remaja perempuan membabitkan Melayu. Secara menyeluruh dalam tempoh lima tahun lalu kes orang hilang dilaporkan sebanyak 25,243 dan daripada jumlah itu hampir 4,000 kes kehilangan dipercayai mengikut kekasih. Memilukan lagi, daripada jumlah yang mengikut kekasih atau terbuai oleh permainan cinta itu 99 peratus daripadanya membabitkan wanita.


Dalam kes Menggatal ini, tentu menjadi sesuatu yang luar biasa bagi kita apabila di sebuah pekan kecil yang persekitarannya masih tebal dengan kehidupan mirip kampung, boleh mencetuskan satu 'fenomena' apabila banyak laporan wanita hilang berlaku di pekan itu. Ini tentulah mengejutkan kerana perspektif banyak pihak terhadap fenomena wanita hilang sebelum ini sering terhala kepada kes yang berlaku di kawasan penempatan padat. Kini sudah tiba masanya, semua pihak wajar bimbang apabila meneliti kes kehilangan wanita termasuk kes wanita dari Menggatal ini. Di manakah mereka kini? Apakah faktor menyebabkan kehilangan itu berlaku? Apakah faktor cinta buta menjadi sebahagian daripada angkara? Atau apakah ada di antara kes kehilangan ini berlaku kerana didalangi pihak tertentu yang turut terbabit dalam pemerdagangan orang, misalnya. Kebimbangan terhadap kemungkinan itu memang ada rasionalnya apatah lagi statistik sebelum ini mendedahkan 71 orang daripada 3,246 yang dilaporkan hilang akhirnya ditemui mati, dipercayai dibunuh.


Persoalan penting kini ialah ke manakah perginya wanita atau gadis pingitan Menggatal seperti Nurlina Kadir, Ho Hui Moi, Nooraziemah, Adelin Liaw, Dayang Quraiza, Caroline Ayen, Necilia Ondu, Norimah Noor Mohd, Ainah Abdul Han, Jessyannie Agustine, Suzainee Sigol dan nama-nama yang disebutkan sebelum ini? Di manakah mereka berada dan apakah punca kehilangan mereka? Berdasarkan umur, ada di antara mereka berusia belasan tahun, misalnya Adelin Liaw yang lahir pada 1 Jum 1994, Ho Hui Moi (23 Oktober 1993), Noorlizah Buang (16 Disember 1993) dan Nurlina Kadir (lahir pada tahun 1992). Tidak mustahil pada usia begitu mereka akan terdedah kepada pelbagai ancaman manusia bobrok, berdasarkan usia yang belum matang untuk berdepan tipu helah pihak yang sengaja mengambil kesempatan.


Sejak akhir-akhir ini kes kehilangan wanita menjadi semakin rumit. Kehilangan tidak lagi boleh dikaitkan dengan faktor persekitaran tempat tinggal mereka seperti sebelum ini. Ada kes membabitkan jiwa dan perasaan. Ada kes kerana 'menggatal' dan terpedaya dengan janji manis golongan tidak bertanggungjawab. Kes kehilangan wanita Menggatal yang agak tinggi sewajarnya membuat kita berfikir untuk mencari jalan agar ada terapi bagi mengatasi masalah kes kehilangan orang terutama wanita yang terus berlaku di negara ini.


Penulis bekas Ketua Biro Harian Metro Johor

Anak kesayangan mati depan mata


Oleh Zulfa Mohamad
am@hmetro.com.my
         
KEPALA BATAS: Hati seorang bapa hancur apabila melihat anak kesayangannya maut di depan mata selepas tercampak dirempuh sebuah kereta di Pasir Gebu, Penaga, dekat sini, semalam.

Mangsa, Nor Afina Khalida Mohd Zamri, 3, maut akibat parah di kepala selepas tercampak daripada raga motosikal bapanya ketika menunggu dua kakaknya keluar dari Sekolah Kebangsaan Pasir Gebu kira-kira jam 12.10 tengah hari.
Bapa mangsa, Mohd Zamri Hashim, 37, seorang nelayan berkata, dia duduk atas motosikal di kiri jalan, manakala anak bongsunya itu duduk di dalam raga motosikal itu sambil menunggu dua lagi anaknya, Nor Alia Farhana, 7, dan Nor Ellys Najwa, 9.

Menurutnya, sebaik sesi persekolahan tamat, anaknya Nor Alia muncul dan duduk di belakangnya diikuti Nor Ellys.



“Sebaik Nor Alia duduk, sebuah kereta muncul dari arah belakang lalu merempuh bahagian kanan pemegang motosikal.

Songlap duit menang kes


KESAL...Noreah bersama suaminya, Osman menunjukkan dokumen berkaitan kes saman mereka.
KESAL...Noreah bersama suaminya, Osman menunjukkan dokumen berkaitan kes saman mereka.

KUALA LUMPUR: “Saya sedih melihat keadaannya yang sering mengamuk dan menyalahkan diri sendiri sejak enam tahun lalu. Lebih merisaukan, dia juga mencederakan anggota badan terutama lengan kirinya yang cacat akibat kemalangan itu.
“Kami sekeluarga berikhtiar dengan mendapatkan khidmat pengamal perubatan tradisional kerana dia berang dan berubah sikap apabila mendengar perbualan mengenai peguam yang menipunya,” kata warga emas, Noreah Mat Resat, 58, mengenai perubahan sikap suaminya selepas ditipu peguam pada 2005.

Suaminya, Osman Din, 56, mengalami masalah itu sejak mengetahui peguam dilantik keluarganya untuk menyaman bekas majikan yang menyebabkan kecacatan kekal, menipu dan tidak membayar wang hasil kemenangan kes yang berlaku 20 tahun lalu.

Selain menjadi panas baran, dia juga sering menghantukkan kepalanya ke dinding rumah sehingga cedera dipercayai berpunca daripada tekanan perasaan tidak terkawal menyebabkan ahli keluarga bimbang berlaku sesuatu kejadian tidak diingini. Menceritakan kejadian itu, Noreah berkata, segala-galanya berlaku selepas suaminya yang juga penyelia di sebuah kilang papan di Karak, dekat Gombak, mengalami kemalangan akibat mata gergaji mesin pemotong kayu terputus dan menghiris lengan kirinya.

Disebabkan itu, dia dimasukkan ke Hospital Bentong dan kemudian dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) serta disahkan mengalami kecacatan kekal di lengan mengakibatkannya hilang punca pendapatan selepas tidak mampu bekerja.

“Namun, selepas dikunjungi peguam di HKL dan memfailkan saman di Mahkamah Sesyen Temerloh, Pahang, suami yakin dia akan memenangi kes itu dan ingin menggunakan wang saman untuk membiayai pengajian anak yang masih kecil.

“Empat belas tahun menunggu, akhirnya ahli keluarga yang tidak sabar membuat semakan di mahkamah dan mendapati suami memenangi kes berkenaan dan layak menerima pampasan RM89,900 yang diserahkan kepada peguam sejak 2002,” katanya selepas membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Islam (PPIM) di sini, semalam.

Terkilan dengan tindakan peguam yang cuba menyembunyikan perkara itu, mereka menemuinya di ibu negara dan terkejut sebaik dimaklumkan mereka perlu membayar kos guaman dan bayaran tertunggak lain berjumlah RM40,000.
Mendapati mereka menjadi mangsa keadaan, perkara itu dirujuk kepada Biro Bantuan Guaman Raub dan dipanjangkan ke Lembaga Tatatertib Peguam-Peguam untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Operasi PPIM, Imran Yusof, berkata pihaknya akan meneliti aduan berkenaan sebelum mengambil tindakan susulan termasuk berbincang dengan majlis peguam untuk mendapatkan gambaran kejadian itu.

“Siasatan awal mendapati, aduan ini berasas kerana pengadu ditipu peguam yang mungkin mengambil kesempatan ke atas keluarga berkenaan. Justeru, kami menggesa Biro Bantuan Guaman tampil memberi penjelasan mengenainya,” katanya.

Warga emas mengaku jual buah pinggang

NEW YORK: Seorang lelaki Israel mengaku salah di New Jersey, semalam, atas tuduhan menjadi orang tengah dalam pemindahan haram buah pinggang. Levy Izhak Rosenbaum, 60, menghadapi tiga pertuduhan mendapatkan dan memindah organ manusia, serta tuduhan keempat berkonspirasi dalam sindiket perdagangan haram. Dia membuat pengakuan itu di Mahkamah Persekutuan di Trenton. Pendakwa berkata, di antara 2006 dan 2009, Rosenbaum menguruskan tiga pemindahan buah pinggang di antara penderma dan penduduk New Jersey. Dia menerima bayaran di antara RM367,000 dan 459,300 atas kegiatannya itu. Rosenbaum juga mengaku dia bukan baru terbabit dalam kegiatan perdagangan buah pinggang ketika ditangkap. Rosenbaum kini ditahan sementara menunggu hakim menetapkan hukuman pada Februari ini. - AFP Kongsi artikel ini menerusi media sosial