Search This Blog

Friday, October 28, 2011

Amil diburu polis

JOHOR BAHRU: Mengejutkan apabila seorang amil yang dilantik Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) untuk membuat kutipan zakat di sekitar bandar Kulai dekat sini, menghilangkan diri dengan membawa wang kutipan zakat berjumlah RM18,000 pada Ogos lalu.
Suspek, Redzuan Mohd Said, 28, yang beralamat terakhir di No. 5506, Jalan Matahari 34/8, Taman Indahpura, Kulai, dikehendaki polis bagi membantu siasatan berkaitan kes melarikan wang terbabit.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Johor, Superintendan Mohd Luthfi Ismail Abdullah berkata, pihaknya masih mengesan suspek selepas menerima laporan daripada MAINJ berkaitan perkara itu.

“Redzuan yang memiliki MyKad 830803-01-5859 dikehendaki bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara setahun hingga 10 tahun, denda dan sebatan.

“Suspek menghilangkan diri selepas mengutip wang zakat untuk tempoh sebulan di bandar berkenaan, keluarganya juga tidak tahu di mana lelaki itu berada,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Redzuan diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Kulaijaya, Asisten Superintendan Lydia Mastura Alias di talian 019-2216766 atau 07-6632222 sambungan 6436 atau balai polis berhampiran.

Dalam kes berasingan, pihaknya meminta kerjasama orang ramai mengesan seorang lelaki yang menjalankan kegiatan menawarkan jualan kereta baru pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran, namun gagal menyerahkannya kepada pelanggan.

“Suspek, Mohd Syafiq Ram Abdullah, bernombor MyKad 711204-07-5591 dengan alamat terakhir di C3-02-02 Kediaman Pegawai Tentera RKAT, Jalan Indah Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur.
“Suspek memperdaya tiga mangsa di Kulaijaya, taktiknya ialah menawarkan harga rendah sebelum menghilangkan diri bersama wang mangsa,” katanya.

Dihalau isteri kerana miskin

GOMBAK: Hanya kerana tidak mampu memberi kemewahan selepas enam tahun berkahwin, seorang isteri menghalau suaminya dari rumah mereka di Taman Seri Gombak, di sini dua hari sebelum sambutan Deepavali lalu.
Lebih menyedihkan, teksi yang menjadi sumber rezeki suaminya turut dirampas.

Sebaik dihalau, mangsa yang berusia 40 tahun terpaksa menumpang tidur di perhentian bas di kawasan berhampiran.

Bagaimanapun, lelaki itu pulang semula ke rumahnya untuk berbincang dengan isterinya secara baik namun dia dipukul adik iparnya yang berang sebaik mendapati mangsa pulang ke rumah itu, kelmarin.

Mangsa yang sedih dan buntu dengan insiden itu terpaksa memberitahu ibunya sendiri untuk meminta bantuan.

Sumber berkata, mangsa dipujuk pulang ke rumah ibunya di Selayang, namun dia sekali lagi diserang keluarga isterinya di depan rumah keluarganya itu dan diminta menceraikan isterinya kerana tidak mampu memberi kemewahan.

“Dalam kejadian yang berlaku jam 10 pagi itu, mangsa dikejutkan dengan kehadiran isteri, ibu mentua dan adik ipar yang menjerit dari luar rumah meminta mangsa menceraikan isterinya.

“Ibu mangsa dikatakan mententeramkan ketiga-tiga mereka namun dimaki-hamun selain diugut akan dicederakan dengan kayu dan cangkul yang dipegang adik ipar mangsa,” katanya.
Difahamkan, mangsa tidak mahu berbuat demikian kerana mereka mempunyai seorang anak lelaki yang masih kecil walaupun sering dihalau isterinya beberapa kali.

Menurutnya, beberapa jiran yang menyaksikan kejadian itu cuba membantu mententeramkan keadaan dan menasihati keluarga isterinya beredar.

“Isteri dan adik ipar mangsa dikatakan turut merampas telefon bimbit mangsa.

“Adik ipar mangsa dikatakan turut mengugut mahu mencederakan mangsa sekiranya masih berdegil tidak mahu menceraikan kakaknya,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Kastam rampas dadah ketamin, eramin 5 bernilai RM20.13 juta

NILAI: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) merampas dadah jenis ketamin dan eramin 5 bernilai kira-kira RM20.13 juta hasil pemeriksaan terhadap dua penghantaran melalui kargo udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam tempoh dua minggu.
Timbalan Pengarah Kastam Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Liah Omar berkata seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun ditahan dalam pemeriksaan pada pukul 1 petang Selasa lepas.
Lelaki terbabit ditahan semasa dia mengambil kotak yang diikrar sebagai 'dry ice machine' daripada pejabat agen penghantaran cepat di Shah Alam Selangor, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya menemui 15 bungkusan plastik lutsinar berisi dadah ketamin dengan berat kasar 14.7 kilogram bernilai kira-kira RM164,700 disorok dalam 15 kotak yang dicatat sebagai 'fog machine.'


Beliau berkata barangan yang diikrar sebagai 'dry ice machine' kepada Kastam pada 19 Okt itu tiba dari Shenzhen, China untuk penerima di alamat Taman Shamelin Perkasa, Kuala Lumpur.

Tangkapan itu dibuat hasil pemantauan kira-kira seminggu di lokasi itu, katanya.

Sementara itu, Liah berkata satu lagi rampasan dibuat pada 14 Okt lepas membabitkan 10 kotak mengandungi dadah jenis eramin 5 di sebuah pejabat egen penghantaran di kargo udara KLIA.

Beliau berkata konsaimen itu tidak dituntut oleh penerima yang dinamakan dan hasil pemeriksaan mendapati 10 kotak itu berisi bungkusan yang mengandungi 998,750 biji pil eramin 5 dengan anggaran nilai RM19.97 juta.

"Dokumen kargo menunjukan kotak itu tiba dari Taiwan pada 5 Okt untuk penerima di alamat sebuah syarikat di Selangor dan tidak dinyatakan kandungannya.

"Kami membuat pemantauan selama sepuluh hari untuk memastikan konsaimen itu diterima oleh penerima, tetapi tiada yang membuat tuntutan terhadap konsaimen itu," katanya.

Beliau berkata siasatan awal terhadap alamat syarikat penerima mendapati syarikat itu tidak wujud dan alamat yang digunakan adalah palsu, manakala nombor telefon penerima tidak dicatat dan pembekal gagal dihubungi. - BERNAMA

Pengusaha pusat karaoke mati ditembak

LUMUT: Seorang pengusaha sebuah pusat karaoke dan kedai dobi mati ditembak di depan rumahnya di Taman Hijau, Sitiawan dekat sini malam tadi.
Peniaga berusia 31 tahun yang dikenali sebagai Kelvin itu ditembak pada kira-kira pukul 10 malam.
Ketua Polis Daerah Manjung ACP Mohd Jamil Osman mengesahkan kejadian itu dan berkata polis sedang menjalankan siasatan dan setakat ini belum ada suspek ditangkap.

"Polis masih menyiasat dan sedang mencari pertunjuk kes itu dan tidak mahu siasatan terganggu," katanya yang enggan mengulas lanjut.


Sementara itu seorang jiran lelaki itu, berkata mangsa dibawa ke hospital oleh seorang lagi jiran yang ternampak beliau terbaring berlumuran darah di hadapan rumah.

Beliau berkata mangsa yang mengalami kesan luka di beberapa bahagian badan mati di Hospital Seri Manjung.

Beliau berkata Kelvin adalah anak bekas pegawai tinggi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berpangkalan di sini.

Seorang lagi jiran yang juga enggan dikenali berkata sebelum mangsa ditemui, beberapa bunyi letupan kedengaran.

"Saya sedang berehat di rumah, kedengaran lima das letupan di hadapan rumah...mulanya saya ingatkan bunyi mercun sempena Deepavali, tapi sangkaan saya meleset apabila mendapati mangsa terbaring di hadapan rumah dengan berlumuran darah," katanya. - BERNAMA 

Seksa batin disekat amah


PENGAKUAN...Zakry berkongsi masalah dihadapinya kepada wartawan Harian Metro.
PENGAKUAN...Zakry berkongsi masalah
 dihadapinya kepada wartawan Harian Metro.

KUALA LUMPUR: “Sudah hampir tujuh tahun saya tidak ‘bersama’ isteri. Setiap kali ingin melakukannya, nafsu saya seperti disekat dan saya jadi tak bermaya, namun keadaan jauh berbeza apabila saya melihat perempuan lain.”
Itulah keluhan seorang lelaki mahu dikenali sebagai Zakry, 33, yang percaya masalah dialaminya itu angkara pembantu rumah yang sengaja ingin merosakkan rumah tangganya. Eksekutif sebuah syarikat swasta itu percaya dia tidak membuat tuduhan melulu, sebaliknya memiliki beberapa petunjuk atau bukti yang dirasakan berasas.
“Pada mulanya, saya menyangka saya ada masalah seksual atau lemah tenaga batin. Hasil perbincangan dengan isteri, kami berjumpa doktor untuk mendapatkan kepastian. Namun, pemeriksaan doktor mengesahkan saya tidak mengalami masalah seksual,” katanya kepada Harian Metro.

Berikutan itu, Zakry bersama isteri berbincang dengan keluarga dan mereka dicadangkan berubat secara Islam kerana mungkin ada pihak menggunakan cara halus merosakkan rumah tangganya.


“Kami pergi berubat dengan seorang ustaz di Perak dan terkejut apabila ustaz itu memberitahu saya terkena sihir dipercayai dilakukan orang yang pernah duduk serumah dengan kami.

Kenangan pilu

DI SINI...Azman menunjukkan lokasi kejadian meragut nyawa anaknya. Gambar kecil, Nurshuhada maut.
DI SINI...Azman menunjukkan lokasi kejadian meragut
nyawa anaknya. Gambar kecil, Nurshuhada maut.


JERANTUT: “Tiada siapa menjangka pokok kelapa itu akan tumbang kerana ketika itu cuaca elok. Lebih memilukan, kejadian disaksikan ramai ahli keluarga,” kata Azman Zainuddin, 41, bapa Nurshuhada yang maut dihempap pokok kelapa di depan rumahnya di Kampung Bukit Lada, di sini, Selasa lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi Selasa lalu, kanak-kanak perempuan yang berusia empat tahun itu disahkan meninggal dunia akibat parah di kepala ketika mendapatkan rawatan di Hospital Jerantut (HJ) di sini.
“Sehari sebelum kejadian anak saya begitu ceria dan banyak bercakap sambil menunggang basikal dalam rumah. Walaupun masih kecil, dia berjanji akan belajar bersungguh-sungguh dan mahu menjaga saya bila tua nanti,” kata Azman mengimbas kenangan terakhir bersama anaknya.


Azman berkata, ketika kejadian Nurshuhada bermain di halaman kira-kira dua meter dari tangga depan rumah apabila sebatang pokok kelapa setinggi 15 meter tiba-tiba tumbang dan menghempapnya, dipercayai kerana akar pokok itu reput.




“Sebelum turun ke halaman, Nurshuhada duduk di tangga bersama lima lagi adik-beradiknya manakala isteri saya berurusan dengan pembekal makanan ikan untuk projek ternakan ikan sangkar yang saya usahakan.

Pesakit nyaris maut ambulans dirempuh kereta

GEORGETOWN: Seorang pesakit nyaris maut apabila ambulans yang membawanya ke hospital terbalik selepas terbabit dalam kemalangan dipercayai akibat dirempuh sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Jalan Sungai Pinang, Jelutong di sini, semalam.
Kejadian kira-kira jam 5.25 pagi itu membabitkan sebuah ambulans milik Hospital Pulau Pinang (HPP) yang membawa pesakit bersama dua waris dan dua pembantu perubatan berusia antara 20 hingga 47 tahun dengan sebuah Proton Satria dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, berdasarkan siasatan ambulans berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun dari arah Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu menghala ke Jalan Sungai Pinang manakala kereta berkenaan dari arah Jalan Gudwara ke Jalan Jelutong.

Beliau berkata, ketika melalui persimpangan lampu isyarat Jalan Sungai Pinang itu berlaku pertembungan antara satu sama lain menyebabkan beberapa penumpang serta pesakit yang berada dalam ambulans mengalami kecederaan.

Katanya, pemandu ambulans dan kereta bagaimanapun tidak cedera dan polis sudah mendapatkan keterangan daripada kedua-dua pemandu. itu untuk mengetahui punca kejadian.

“Polis juga mengambil sampel darah dan air kencing kedua-dua pemandu terbabit dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis. “Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu tidak cermat dan sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM4,000 atau tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Gan berkata, polis turut meminta kerjasama orang ramai mempunyai sebarang maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohd Zhafran Mohd Kashim dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) di talian 04-2181822.

Tiga mayat atas jalan


TUTUP...anggota polis menutup mayat seorang daripada tiga wanita Nepal yang maut di tempat kejadian.
TUTUP...anggota polis menutup mayat seorang daripada tiga wanita Nepal yang maut di tempat kejadian.

REMUK...van yang terbabit kemalangan, semalam.
REMUK...van yang terbabit kemalangan, semalam.

SHAH ALAM: Belum pun sempat melepaskan penat sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Nepal, sekumpulan 19 pekerja negara itu termasuk lima wanita menempuh detik cemas apabila dua van dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah kereta dan lori kontena di Kilometer 4.4, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), di sini, menyebabkan tiga dari mereka maut manakala lima lagi parah, semalam.
Dalam kemalangan pada jam 3 petang itu, dua van yang membawa pekerja asing itu dalam perjalanan ke kilang Top Glove, Meru.
Berikutan itu, tiga daripada lima wanita Nepal terbabit maut di tempat kejadian selepas tercampak keluar dari van berkenaan. Mayat mereka bergelimpangan di atas lebuh raya. Mangsa yang maut dikenali sebagai Kamala Devi Gurigai, Dil Kumari Shrestha dan Dil Maya Gurung berusia 25 hingga 30 tahun.

Sementara itu, pemandu van, Shahibul Fazilah Zahari, 40, serta seorang lagi wanita Nepal yang parah belum dikenal pasti.


Mereka kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Mengaku tumbuk hidung

SHAH ALAM: Seorang pekerja kilang dipenjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku salah mencederakan warga asing dengan menumbuk hidung mangsa, di lif sebuah pangsapuri, bulan lalu.
Majistret Nor Kamilah Aziz menjatuhkan hukuman itu terhadap Hermy Harman, 29, dan memerintahkan ia berjalan mulai tarikh tangkap tertuduh iaitu pada hari kejadian.

Mengikut pertuduhan, Hermy didakwa menumbuk hidung Khim Bahadur Rana Nagarkoti di lif blok 27 di sebuah pangsapuri di Taman Alam Megah kira-kira jam 10 pagi, 17 September lalu.

Lelaki berasal dari Sabah itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Hermy yang tidak diwakili peguam bela memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan mengambil kira latar belakangnya.

Katanya, dia masih menanggung ibu bapa dan adik-beradik yang masih bersekolah di kampung.

Pada masa sama katanya, dia memohon maaf dan tidak akan mengulangi perbuatan itu.

“Saya juga berasa kesal... pada masa kejadian saya hilang kawalan,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Husnita Mohd Radzi kemudian memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal.

Berdasarkan fakta kes, Nagarkoti sedang memunggah barang untuk berpindah dari rumah di unit 402 sebuah pangsapuri apabila diserang oleh tertuduh.

Hermy menumbuk hidung pengadu sehingga berdarah menyebabkan pekerja asing itu ketakutan dan melarikan diri.

Akibat perbuatan tertuduh, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian hidung dan mata sebelah kiri.

Nagarkoti kemudian melaporkan kejadian itu kepada polis dan ini membawa kepada penahanan tertuduh.

Hasil siasatan polis mendapati, tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.

Curi bagasi

SEPANG: Mereka berpakaian kemas dan memasuki negara ini sebagai pelancong dengan membawa beg kembara, tetapi pada masa sama menjalankan kegiatan mencuri bagasi penumpang lain sama ada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hotel, restoran atau pusat beli belah di sekitar Lembah Klang bagi menampung kehidupan.
Bagaimanapun, kegiatan mereka yang didalangi dua warga Peru dan seorang rakyat Sepanyol sejak setahun lalu tumpas selepas perbuatan jenayah mereka dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di KLIA.

Ketika itu, semua suspek terbabit yang berusia 52 hingga 56 tahun melarikan bagasi dan komputer tablet milik seorang Senator berusia 70-an yang mahu mendaftar masuk untuk menaiki pesawat ke Kota Kinabalu, Sabah. Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Imran Abdul Rahman berkata, kejadian Sabtu lalu itu disedari mangsa yang membuat laporan mengenai kehilangan bagasinya yang mengandungi pelbagai barang peribadi termasuk dokumen penting di balai polis berhampiran. Susulan laporan itu, polis memeriksa rakaman CCTV berhampiran kaunter daftar masuk dan ruang di Aras 5, KLIA sekali gus mengenal pasti suspek dan membongkar kegiatan mereka.

“Kami melancarkan Ops Bagasi dan menahan tiga suspek terbabit yang tinggal di sebuah kondominium di Ampang, Selasa lalu.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui 16 bagasi pelbagai jenis, satu komputer riba, lima jam tangan dan tiga cermin mata berjenama dipercayai dicuri daripada mangsa,” katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, di sini, semalam. Imran berkata, hasil siasatan juga mendapati suspek terbabit menggunakan modus operandi dengan mengunjungi lokasi tumpuan orang ramai seperti di kaunter daftar masuk dan premis perniagaan di KLIA. “Selepas mengenal pasti sasaran, dua suspek berlagak sebagai pelancong dan berpura-pura bertanya soalan bagi mengalih perhatian mangsa manakala seorang lagi bertindak mencuri bagasi ketika mangsa terleka,” katanya. Mereka ditahan reman sehingga 7 November ini mengikut Seksyen 308 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri. Katanya, sebanyak 12 kes kehilangan bagasi dilaporkan di KLIA sejak tahun lalu dan beliau meminta mangsa menuntutnya di IPD Sepang.

Penganggur tak mengaku perkosa kekasih

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap tuduhan merogol kekasihnya yang berumur 15 tahun, dua minggu lalu.
Mohd Saiful Ridzuan, 19, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.

Mengikut pertuduhan, Saiful didakwa merogol pelajar tingkatan tiga itu di stor Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kerja Awam dan Lalu Lintas, Sentul di sini pada jam 10 malam, 15 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farahah Mohd Suah tidak menawarkan sebarang jaminan dikenakan terhadap tertuduh.

Kaki, tangan diikat

KAJANG: Tangan dan kaki diikat manakala mulutnya disumbat dengan kain. Itulah nasib menimpa seorang lelaki apabila lori membawa muatan kayu bernilai kira-kira RM200,000 dipandunya disamun dua lelaki bersenjatakan parang di Alor Gajah, Melaka, Ahad lalu.
Bagaimanapun, lelaki berusia 30-an itu diselamatkan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan seorang daripada suspek ditahan bersama lori berkenaan di belakang sebuah stesen minyak di Sungai Chua, hari yang sama.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, ketika kejadian, lori dipandu mangsa dalam perjalanan ke Lembah Klang sebelum suspek bersenjatakan parang mengarahkan mangsa memberhentikan lorinya di bahu jalan.

Katanya, sebaik lori itu berhenti, dua suspek meluru ke arah mangsa dan mengarahkannya turun tetapi mangsa enggan menyebabkan dia dipukul.

Menurutnya, mangsa cedera di beberapa bahagian badan kemudian diikat dan disumbat di bahagian belakang lori.

Ab Rashid berkata, polis yang menjalankan rondaan rutin terserempak dengan lori berkenaan di kawasan sunyi di belakang sebuah stesen minyak bersama dua lelaki dalam keadaan mencurigakan dengan seorang daripada mereka sedang menelefon seseorang dipercayai pembeli kayu berkenaan.

Polis kemudian melakukan pemeriksaan tetapi suspek yang cemas melihat kehadiran polis sempat melarikan diri namun seorang daripada mereka berjaya ditahan.

“Sebaik ditahan, polis menemui mangsa dengan tangan, kaki dan mulutnya diikat di bahagian belakang lori berkenaan.
“Selain itu, mangsa turut mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dipercayai kesan daripada pergelutan dengan suspek sewaktu merampas lori yang dipandunya,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Penyampaian Kenaikan Pangkat Pelbagai Jawatan kepada 75 pegawai dan anggota di IPD Kajang, semalam. Beliau berkata, polis turut menemui parang yang digunakan suspek berusia 30-an untuk mencederakan mangsa selain menemui semula kayu di dalam lori itu.

“Suspek kini masih ditahan reman untuk membantu siasatan dan kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (KK) kerana samun berkumpulan dan menggunakan senjata,” katanya.

Maut jatuh flat

KAJANG: Seorang wanita berusia 27 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat tujuh, Pangsapuri Segar Perdana, Cheras, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa ditemui mati di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah di badan dan kepala.

Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, sebelum kejadian, dia melihat mangsa berlegar-legar di tingkat berkenaan pada jam 2 petang.

Katanya, dia sudah beberapa hari melihat mangsa berlegar-legar di tingkat tujuh itu dalam keadaan resah.

“Pada jam 4 petang, seorang penduduk yang mahu membuang sampah terkejut selepas melihat tubuh mangsa berlumuran darah di tepi tangga pangsapuri ini,” katanya ketika di temui di tempat kejadian.

Menurutnya, penduduk itu memaklumkan kejadian berkenaan kepada polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, mangsa maut di tempat kejadian.

Katanya, siasatan sedang dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Gantung diri putus cinta

KULAIJAYA: Seorang remaja lelaki terkejut apabila bekas kekasih yang dihubungi semula selepas kurang dua jam memutuskan hubungan cinta mereka menggantung diri di kediamannya di sebuah tanah rancangan Felda di sini, kelmarin.
Dalam kejadian itu, gadis berkenaan yang berumur 14 tahun ditemui dalam keadaan tergantung di bilik tidur kediaman keluarganya pada jam 12 tengah hari.

Sumber terdekat dengan keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, sebelum kejadian, pada jam 10.30 pagi, remaja lelaki berkenaan ada menghubungi mangsa dan memutuskan perhubungan cinta mereka.

“Kurang dua jam kemudian, remaja lelaki itu menghubungi mangsa buat kali kedua untuk berbincang berkaitan beberapa hal peribadi tetapi terkejut apabila panggilannya dijawab oleh ahli keluarga mangsa yang memaklumkan gadis berkenaan sudah meninggal dunia.

“Remaja lelaki itu kemudiannya menceritakan apa yang berlaku antaranya dengan gadis berkenaan sebelum kejadian kepada keluarga mangsa, dia nyata kesal dengan perkara terbabit,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT).

Menurut sumber, mangsa pelajar tingkatan dua di sekolah sama dengan bekas teman lelaki yang menuntut di tingkatan empat dan kejadian hanya disedari adik gadis berkenaan yang curiga selepas panggilannya tidak bersahut.

Sumber berkata, adik mangsa mengintai melalui lubang kunci dan terkejut mendapati kakaknya terkulai dengan kain batik terjerut pada leher. Difahamkan, mangsa mungkin tertekan dengan perpisahan yang berlaku, dia kemudiannya dipercayai mengikat sehelai tuala pada lubang angin di dinding bilik.

Selepas itu, mangsa mengambil kain batik lantas diikat pada tuala berkenaan, kemudiannya, kain batik terbabit dijerut pada lehernya sebelum dia dikatakan terjun dari paras tinggi. Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kulaijaya, Mansor Othman dan pengetua sekolah mangsa turut hadir menziarahi jenazah mangsa, hadir sama Pengerusi Majlis Belia Felda Negeri Johor, Nanndzri Nasib. Nanndzri berkata, Ia ujian berat daripada Tuhan dan kita sebagai hamba perlu reda dengannya, kita akan membantu keluarga mangsa mengikut kesesuaian,” katanya.
Sementara itu, sumber polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian tetapi enggan mengulas kerana kes masih dalam siasatan.

Mi segera terakhir

KOTA TINGGI: Mangsa pembunuhan kejam, Nurul Atikah Samsiah, 15, yang ditemui mati di sebuah rumah di Ladang Kambau di sini, kelmarin, sempat menjamah mi segera sebagai makan tengah hari sebelum keluar bertemu rakan karib.
Ibu Atikah, Rahimah Muhammad, 32, berkata, anaknya bekerja menabur baja di ladang kelapa sawit dan pulang pada tengah hari sebelum dilaporkan hilang.
Menurut Rahimah, anaknya menjamah mi segera sebelum keluar pada jam 2 petang untuk ke rumah rakan karib Istikamah Sarwah, 16.

“Kediaman Istikamah kira-kira 60 meter dari sini, bagaimanapun, kami mula bimbang apabila remaja berkenaan datang ke rumah dan bertanyakan Atikah.


“Kami mencari Atikah di sekitar kawasan ini, tetapi hampa dan telefon bimbitnya juga tertinggal di rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Penjara sehari, denda RM700 curi coli, jeans

KUALA LUMPUR: Gara-gara mencuri dua coli dan sehelai seluar jeans di sebuah pusat beli-belah terkemuka, seorang pembantu makmal dipenjara sehari dan didenda RM700 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Majistret Zaki Asyraf Zubir menjatuhkan hukuman itu terhadap Noraida Bahari, 36, selepas ibu kepada dua anak itu mengaku salah terhadap pertuduhan berkenaan.

Zaki Asyraf juga mengarahkan hukuman itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu kelmarin.

Tertuduh juga berdepan dengan penjara tujuh hari sekiranya tidak membayar denda itu. Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri seluar jeans jenama Seed dan coli jenama Audrey bernilai RM72.76, di Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, jam 4.10 petang pada 26 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias manakala tertuduh diwakili peguam dari Biro Bantuan Guaman, Muhammad Khairul Hafizi.

Terdahulu Muhammad Khairul memohon hukuman terhadap Noraida diringankan kerana tertuduh hanya berpendapatan RM1,800 sebulan dan perlu membantu suaminya yang bekerja kilang untuk menyara keluarga termasuk ibu bapanya.

Sandal bantu siasatan lelaki dibakar

JOHOR BAHRU: Sepasang sandal jenama Cuzzo berwarna coklat mungkin boleh membantu siasatan penemuan rangka seorang lelaki yang dipercayai dijerut dan dibakar sebelum ditemui orang awam di Ladang Sungai Pelentong di sini, Isnin lalu.
Dalam kejadian jam 9.45 pagi itu, dua pekerja ladang berkenaan dalam perjalanan memulakan tugas sebelum menemui objek menyerupai rangka manusia di dalam semak dan menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob, berkata pihaknya yang bergegas ke tempat kejadian mengesahkan ia rangka manusia.

“Hasil bedah siasat pakar forensik mengesahkan rangka manusia terbabit milik seorang lelaki berusia 25 hingga 45 tahun.

“Siasatan awal mendapati mangsa mungkin dibunuh dan bedah siasat mengesahkan punca kematian akibat jerutan atau dicekik pada leher,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS, semalam.

Menurut beliau, siasatan lanjut dijalankan untuk mengetahui bagaimana rangka terbabit berada di situ, sama ada mangsa dibunuh di tempat lain sebelum dibuang atau dibunuh di lokasi berkenaan.

Zainuddin berkata, berdasarkan keadaan rangka, pihaknya percaya ia sudah ada di situ sejak dua minggu lalu.

“Mangsa dianggarkan tinggi 158 sentimeter, memakai baju-T jenama Renoma dan sandal warna coklat ketika rangkanya ditemui.
“Usaha mengesan identiti mangsa sukar berikutan keadaan mayat terbakar selain tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada badannya,” katanya.

Bimbang anak hilang diculik

KUALA LUMPUR: Seorang ibu bimbang selepas anak perempuannya yang berusia 20 tahun tidak pulang ke rumah sejak tiga minggu lalu disyaki diculik individu tidak dikenali.
Mangsa, Leong Min San, 20, yang bekerja di restoran makanan segera di Kota Damansara, di sini dilaporkan hilang selepas ibunya, Lee Yee Choi, 55, mahu menjemputnya untuk pulang ke rumah pada hari berkenaan.

Menceritakan kejadian itu, Lee berkata, dia menghantar anak sulung daripada dua beradik itu kira-kira jam 7 pagi ke tempat kerja dan berjanji menjemputnya seperti biasa pada jam 4 petang.

Bagaimanapun, kira-kira jam 3 petang, Leong menghubunginya memaklumkan terpaksa pulang lewat kerana perlu bekerja lebih masa dan menyuruhnya datang pada jam 8 malam.

“Saya terkejut selepas mendapati anak saya tiada di tempat kerjanya dan dimaklumkan pengurus restoran anak perempuan saya sudah pun pulang jam 4 petang,” katanya di sini, semalam.

Lee berkata, pelbagai usaha sudah dilakukan untuk menjejaki anak gadisnya itu termasuk cuba menghubungi telefon bimbitnya, namun gagal.

“Selain itu, saya turut mencarinya sejak dua minggu lalu tetapi menemui jalan buntu dan kini bimbang akan keselamatannya,” katanya.

Kanya, dia mengesyaki mungkin anaknya diculik.
Bagi menjejaki anaknya itu, Lee membuat laporan polis di Balai Polis Kota Damansara.

Penganggur nafi miliki senjata api, peluru

PETALING JAYA: Seorang lelaki dihadapkan di dua mahkamah di sini semalam atas pertuduhan memiliki senjata api dan peluru di dalam sebuah kereta di kompleks beli-belah di Puchong, di sini, minggu lalu.
Tertuduh, Lee Yau Fah, 50, dari Kedah bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan selepas dibacakan jurubahasa mahkamah. Di Mahkamah Sesyen di sini, penganggur itu didakwa memiliki sepucuk pistol berjenama Ruger Prescort di dalam kereta di penghalang tempat meletak kereta Jusco IOI Puchong, jam 5.30 petang, 18 Oktober lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat tidak kurang enam kali, jika disabit kesalahan. Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Zhafran Rahim Hamzah tidak menawarkan jaminan.

Hakim Balqis Aini Mohd Ali tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 29 November depan sebagai sebutan semula kes itu.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret di sini pula, Lee didakwa memiliki enam butir peluru hidup pada masa, tarikh dan tempat sama.

Melompat peluk penyelamat

LABIS: Kesan tapak kaki dan ranting pokok dipatahkan menjadi petunjuk kepada penemuan lima warga asing yang tersesat kira-kira 24 jam di Hutan Lipur Sungai Bantang, Bekok di sini, sebelum seorang daripada mereka terbunuh akibat serangan jantung.
Renjer Jabatan Perhutanan, Husin Abdul Latif, 38, berkata dia serta dua rakan mengesan bekas tapak kaki dan ranting pokok yang dipatahkan selepas melepasi lokasi operasi yang dihentikan pada jam 12 tengah malam, kelmarin.

“Ketika itu, gerak hati saya kuat mengatakan kami akan menemui mangsa. Kami melaungkan nama mangsa sebelum menemui mereka jam 10.50 pagi (semalam), kira-kira tujuh kilometer dari pintu masuk utama hutan lipur pada kedudukan 365 meter dari aras laut,” katanya.

Mangsa yang mati akibat serangan jantung ialah Chris Birchill, 42, dari Australia manakala empat rakan ekspedisinya yang selamat dikenali sebagai Jonathan, 43, dan Alan Chadwich, 38, (Australia), Marc Linneger, 38, (Afrika Selatan), dan James Fraser, 40, (United Kingdom).

“Sebaik ditemui, seorang daripada mangsa yang selamat melompat dan memeluk kami sebelum mengucapkan terima kasih dalam bahasa Melayu,” kata Husin. Husin dan dua lagi rakannya pasukan pertama yang menemui kelima-lima mangsa selepas lebih dua jam operasi mencari dan menyelamat siri ketiga dijalankan bermula jam 9 pagi semalam.

Menurut Husin, dia dan dua rakan mengesan bekas tapak kaki dan ranting pokok yang dipatahkan selepas melepasi lokasi operasi yang dihentikan pada jam 12 tengah malam, kelmarin.

“Ketika itu, gerak hati saya kuat mengatakan kami akan menemui mangsa dan ia menjadikan kami semakin bertenaga untuk meneruskan pencarian,” katanya.

Menurut Husin yang sudah 16 tahun berkhidmat sebagai renjer Jabatan Perhutanan, mereka menyertai kumpulan pertama, namun bergerak sedikit ke depan berbanding anggota lain.
“Dua pelancong itu melompat kegembiraan sebaik ditemui dan kedua-duanya tidak putus mengucapkan terima kasih kerana berusaha mengesan mereka.

“Kami dibawa ke lokasi mereka berteduh dan mendapati mayat Chris diletakkan di dalam khemah dan ditutup dengan kanvas.

“Tiga anggota bantuan dipanggil bagi membantu membawa mereka ke sebuah anak sungai untuk menunggu pasukan lain tiba,” katanya.

Menurut Husin, mangsa memaklumkan mereka ada mendengar suara dan melihat suluhan lampu suluh pasukan penyelamat malam kelmarin, namun jeritan balas mereka tidak didengari.

Husin berkata, berdasarkan peralatan dibawa mangsa, beliau berpendapat mereka mungkin merancang berkhemah di hutan berkenaan lebih daripada dua hari.

“Namun, disebabkan Chris mengalami serangan jantung, mereka mungkin memutuskan untuk berhenti di lokasi berkenaan selepas gagal mencari jalan keluar,” katanya.

Seorang maut serangan jantung

LABIS: Seorang pelancong warga Australia maut dipercayai akibat serangan jantung ketika dia bersama empat rakan sesat hampir 20 jam di Hutan Lipur Sungai Bantang, Bekok, di sini, sebelum ditemui pasukan penyelamat, semalam.
Chris Birchill, 42, mati ketika merentas hutan itu bersama dua rakan senegara, Jonathan, 43, dan Alan Chadwich, 38.

Turut menyertai ekspedisi merentas hutan itu ialah pelancong warga Afrika Selatan, Marc Linneger, 38, dan James Fraser, 40, dari United Kingdom.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Abdul Majid Mohd Ali, berkata kelima-lima pelancong terbabit memasuki hutan lipur itu pada jam 8 pagi kelmarin, untuk aktiviti merentas hutan.

“Mereka kehilangan arah selepas tujuh jam merentas hutan dan menghubungi rakan di Singapura memaklumkan kejadian,” katanya.

Syabu diseludup dalam paket kopi

JAKARTA:Jabatan Polis Narkotik Daerah Metro Jaya menahan enam orang yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah jenis syabu antarabangsa.
Selain suspek, polis juga merampas 10.5 kilogram syabu bernilai Rp 19.7 juta (RM15,832) yang akan diedarkan ke bandar besar di Indonesia.
Kata Baharudin, “Kami berjaya memberkas enam suspek yang merupakan anggota jaringan pengedaran dadah antarabangsa Iran-Malaysia-Indonesia.”

Pengarah Polis Narkotik Metro Jaya, Pesuruhjaya Tinggi Nugroho Aji Wijayanto berkata, dadah itu dibawa masuk menggunakan kapal terbang dari Teheran, Iran ke Kuala Lumpur.


Dari Kuala Lumpur, dadah itu dibawa menggunakan teksi ke Johor dan terus ke Tanjung Pinang melalui feri. Dadah itu kemudian diseludup masuk ke Jakarta seperti menghantar barang, menggunakan kapal terbang.

“Petugas di lapangan terbang mendapati mereka sengaja memasukkan bungkusan syabu yang dipaket ke dalam kotak bijirin, susu dan bungkusan kopi,” kata Nugroho.

Polis telah menghidu pergerakan kumpulan ini selama dua bulan sehingga akhirnya berjaya menahan tiga suspek; Achyansyah, Tauhida, dan Nurakhyat pada 21 Oktober lalu. Mereka ditahan di Johar Baru, Jakarta Tengah.

Hasil tangkapan itu, polis kemudian berjaya menahan tiga lagi suspek yang bertanggungjawab membawa dadah itu ke Indonesia. Tiga suspek yang ditahan di Putri Duyung Cottage, Ancol, Jakarta Utara, ialah Jimmi, Yanto, dan Acuan.

Polis masih lagi mencari dua orang suspek TK dan OE yang dikatakan membawa dadah dari Iran ke Malaysia. Hasil daripada siasatan polis, dadah yang baru tiba itu mahu dijual di Palembang, Surabaya, Jakarta, dan Bandung.

Serang jiran buat bising

KUALA LUMPUR: Dua beranak ganas. Itu ungkapan layak diberikan kepada seorang ibu berusia 40-an dan anak lelakinya berusia lewat 20-an apabila nekad menyerang sebelum memukul tiga beranak yang juga jiran mereka dalam kejadian di Bandar Tun Razak, di sini, kelmarin.
Difahamkan, dua beranak terbabit menyerang tiga beranak itu disebabkan tidak berpuas hati kerana keluarga terbabit membuat bising, pada jam 5.30 petang.
Akibat serangan dua beranak itu, mangsa yang juga pesara kerajaan berusia 59 tahun patah tiga gigi hadapan manakala isteri berusia 58 tahun dan menantu perempuannya berusia awal 20-an cedera di badan dan kepala.

Menceritakan semula kejadian itu, sumber polis berkata, pada mulanya, suspek lelaki datang ke rumah mangsa dalam keadaan marah.


“Isteri mangsa dan menantu perempuannya cuba menenangkan lelaki itu sebelum mengajaknya berbincang,” katanya.

Judi Internet dalam pusat urut


RAMPAS...penguat kuasa MPAJ menyita komputer di pusat urut terbabit.
AMPANG: Dua sindiket perjudian Internet dikesan berselindung di sebalik perniagaan refleksologi untuk menjalankan kegiatan mereka di Pandan Indah dan Ampang Avenue, di sini, sejak sebulan lalu.
Kegiatan sindiket itu terbongkar hasil serbuan anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Isnin lalu.

Operasi diketuai Penolong Pegawai Penguat Kuasa, Jabatan Penguat kuasa MPAJ, Rosli Jaafar bersama 12 anggota itu menemui premis kedua-dua sindiket terbabit yang menyalahgunakan lesen perniagaan dengan membuka pusat siber haram. Pegawai Perhubungan Awam MPAJ, Norhayati Ahmad dalam kenyataan medianya berkata, dalam serbuan pertama di Pandan Indah, pihaknya menemui sebuah bilik berkeluasan 10X10 meter yang terletak berasingan dari pusat urut itu.

Katanya, ketika ditanya, penjaga premis terbabit mendakwa bilik itu stor menyimpan barang, tetapi sebaik membuat pemeriksaan, pihaknya menemui enam komputer serta terdapat dua pelanggan yang leka melayari Internet disyaki berjudi secara atas talian.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati aktiviti kafe siber di pusat urut itu beroperasi sejak sebulan lalu. Premis terbabit juga didapati tidak menjalankan perkhidmatan urut kaki seperti diiklankan berdasarkan bilik dalam premis itu.

“Ketika serbuan juga terdapat seorang pelanggan diurut seorang tukang urut dari Thailand. Berikutan itu, pihaknya mengambil tindakan ke atas pemilik premis terbabit kerana menjalankan perniagaan pusat siber dan melanggar syarat lesen bagi aktiviti rumah urut,” katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan kedua di sebuah premis di Ampang Avenue, pihaknya menyita lapan komputer dan menahan dua pelanggan yang disyaki terbabit aktiviti perjudian atas talian.

Selain itu, ketika operasi penyitaan, anggota penguat kuasa menemui beberapa kondom serta gel yang disorok di bawah tilam. Tindakan penyitaan sudah diambil ke atas semua aktiviti di premis terbabit dan MPAJ memohon kerjasama orang ramai supaya memaklumkan perkara yang diragui kepada pihaknya bagi tindakan segera.

Kejayaan polis banteras makmal dadah elak persepsi buruk



28/10/2011 3:22pm

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Kejayaan polis membanteras kewujudan makmal memproses dadah di negara ini dapat mengurangkan penyeludupannya ke luar di samping mengelakkan persepsi buruk negara lain terhadap Malaysia, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Mohd Noor Rashid Ibrahim.
"Kita tak mahu kita dipandang sebagai negara pengeluar (dadah). Sebab itu, selain mengawal penyeludupan dadah ini di pintu-pintu sempadan, kita juga banyak tumpukan dalam membanteras operasi makmal-makmal dadah yang wujud di negara ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata, kejayaan paling besar Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah penahanan tiga beradik warga Mexico di kilang memproses dadah di Johor tiga tahun lepas yang melibatkan rampasan dadah bernilai RM44 juta.
"Kita akan mengawasi semua sempadan, tapi dalam masa yang sama, kita dapat atasi punca dadah itu terhasil, maknanya kewujudan makmal-makmal memproses dadah itu sendiri. Beberapa makmal yang besar macam di Johor telah dapat kita ambil tindakan,” katanya. - Bernama

Banjir: Penduduk tinggalkan Bangkok



BANGKOK 27 Okt. - Beribu-ribu penduduk mula meninggalkan kota Bangkok hari ini menyebabkan stesen bas, kereta api dan lapangan terbang penuh sesak.
Tindakan itu diambil selepas kerajaan memberi amaran akan menggunakan cuti lima hari yang diumumkan untuk memindahkan penduduk yang terancam, sebelum banjir besar melanda Bangkok hujung minggu ini.
Amaran kerajaan itu bagaimanapun hanya dikuatkuasakan di tiga daripada 50 daerah di Bangkok, tetapi kerajaan mengakui seluruh bandar raya mungkin akan dilanda banjir dalam tempoh beberapa hari lagi.
Amaran pemindahan terbaru dikeluarkan di daerah Sai Mai awal hari ini selepas banjir mula menenggelamkan jalan raya, stesen minyak dan kediaman.
Kerajaan-kerajaan asing turut memberi amaran kepada rakyat mereka dengan pejabat Kementerian Luar Britain menyatakan banjir mungkin akan mengganggu sistem pengangkutan, menyebabkan kawasan pelancongan ditutup dan menjejaskan bekalan elektrik serta air.
Usaha melindungi Bangkok berdepan tamparan psikologi besar semalam, selepas benteng banjir di sekitar lapangan terbang kedua terbesar di bandar raya itu dinaiki air, memaksa terminal ditutup.
Stesen bas Mo Chit dilaporkan sesak sejak semalam ekoran orang ramai bertindak meninggalkan bandar raya ini sempena cuti lima hari.
Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi turut dipenuhi orang ramai.
Di Sai Mai, beratus-ratus penduduk berebut-rebut menaiki trak tentera untuk meninggalkan daerah itu ekoran bantuan yang tidak mencukupi. - Agensi

Bunuh model sambilan: Rakan terlepas hukuman mati



28/10/2011 3:56pm



PUTRAJAYA 28 Okt. - Seorang pemuda yang keciciran sekolah, terlepas hukuman gantung setelah Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuannya terhadap sabitan dan hukuman mati kerana membunuh seorang model sambilan yang cuba meliwatnya ketika sedang tidur, tujuh tahun lalu.
Ismawi Ishak, 26, sebaliknya diperintah menjalani hukuman penjara maksimum 20 tahun selepas mahkamah meminda tuduhan daripada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 304(a) kanun yang sama atas kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.
Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Abdul Malik Ishak yang bersidang bersama Datuk Azhar Ma'ah dan Datuk Wira Mohtarudin Baki.
Ismawi (perayu) kelihatan menangis tersedu-sedan ketika keputusan itu dibacakan oleh Hakim Abdul Malik. Sewaktu kejadian dia berusia 19 tahun manakala mangsa, Mohamad Azhary Mohamed yang mengalami 27 kesan luka akibat tetakan dan tikaman, merupakan rakannya.
Perayu dalam pembelaannya menyatakan, ketika menumpang tidur di rumah mangsa pada malam itu, lelaki tersebut telah menanggalkan seluar dan menyentuh tubuh serta cuba meliwatnya dan perbuatan itu telah menimbulkan kemarahannya.
Ismawi diwakili oleh peguam yang dilantik oleh mahkamah, K. Vikneswaran manakala Timbalan Pendakwa Raya, Siti Rafidah Zainuddin mewakili pihak pendakwaan. - Utusan

'Geng Panjang' curi kereta mewah tumpas



JOHOR BAHRU 27 Okt. - Polis menumpaskan sindiket curi kereta mewah di bandar raya ini setelah menahan empat lelaki dan seorang wanita dan merampas sembilan kenderaan bernilai kira-kira RM650,000 di sini baru-baru ini.
Dalam serbuan pukul 1.30 pagi kelmarin, empat lelaki berkenaan ditahan di sebuah hotel di sini, manakala wanita tersebut ditahan di pekan Yong Peng pada pukul 2.50 pagi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, kesemua suspek yang berusia antara 23 hingga 37 tahun merupakan rakyat tempatan.
"Kesemua kenderaan mewah itu ditemui di beberapa tempat letak kereta awam di sekitar bandar raya ini menggunakan nombor pendaftaran palsu bagi mengelak daripada dikesan.
"Antara kereta yang dirampas adalah Honda Stream, BMW 320i, Toyota Wish, Kia Carens dan Mitsubishi Colt," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Trafik Johor Bahru di sini hari ini.
Katanya, lima daripada sembilan kereta tersebut menggunakan nombor pendaftaran negara jiran manakala selebihnya pula memakai nombor tempatan.
Sindiket itu yang dikenali sebagai 'Geng Panjang' aktif sejak 2001 dan polis percaya terdapat beberapa lagi anggota kumpulan itu yang masih bebas.
Zainuddin berkata, sindiket tersebut mencuri kereta-kereta mewah yang diletakkan di tempat letak kereta awam dan menjualnya pada harga murah iaitu bawah RM7,000.
Dua daripada suspek memiliki rekod jenayah lampau dan kesemua mereka merupakan penagih dadah direman sehingga esok bagi membantu siasatan, katanya.

Sindiket cipta kartrij palsu tumpas





SEREMBAN 27 Okt. - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menumpaskan satu sindiket menghasilkan kartrij pencetak komputer tiruan berjenama setelah merampas peralatan bernilai RM2 juta dalam lima serbuan yang dilakukan di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Serbuan pada pukul 12.30 tengah hari Ahad lalu itu dijalankan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Penguat Kuasa KPDNKK di lima premis berhampiran Taman Sri Manja selepas menerima aduan daripada wakil syarikat pengadu.
Ketua Pengarah Penguat Kuasanya, Mohd. Roslan Mahayudin berkata, dalam serbuan tersebut, pihaknya merampas 5,000 unit kartrij tiruan pelbagai jenama seperti 'Hewlett-Packard' (HP), 'Epson', 'Canon' dan 'Samsung' yang dipercayai dihasilkan untuk pasaran sekitar Lembah Klang.
"Dalam serbuan tersebut, pihak kami turut merampas lapan buah mesin bagi menghasilkan serta mengisi serbuk toner, mesin pencetak logo dan pelekat serta mesin penghasilan kartrij.
"Pihak kami percaya lokasi serbuan menjadi tempat penghasilan serbuk toner, pencetakan kotak dan pelekat, stor simpanan, pejabat urusan termasuk stor penyimpanan kartrij yang siap dibungkus," katanya.
Mohd. Roslan berkata demikian kepada pemberita di Kompleks Penyimpanan KPDNKK di Taman Industri Arab-Malaysia, Nilai dekat sini hari ini.
Menurutnya, dalam serbuan itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 46 tahun yang disyaki pemilik perniagaan dan lima premis terbabit.
"Siasatan lanjut mendapati pemilik tersebut telah menjalankan operasinya hampir dua tahun," kata Mohd. Roslan yang turut memberitahu pihaknya telah menjalankan risikan selama dua minggu sebelum menggempur lima premis terbabit.
Kes ini, kata beliau, disiasat di bawah Seksyen 3 (1) (a) Akta Perihal Dagangan 1972.
Jika disabit kesalahan, pesalah akan didakwa di bawah Seksyen 18(1) yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun bagi orang perseorangan, manakala bagi badan korporat, pesalah boleh dihukum di bawah Seksyen 18 (2) dengan hukuman denda tidak melebihi RM250,000," katanya.

Dua maut kenderaan pelbagai guna terbalik



28/10/2011 6:01pm



KUALA LIPIS 28 Okt. – Hasrat sebuah keluarga besar bercuti di Cameron Highlands sempena sambutan Deepavali kelmarin berakhir dengan tragedi apabila dua daripada 28 orang ahli keluarga berkenaan maut dalam kemalangan, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 malam di Kilometer 55, Jalan Sungai Koyan-Raub itu, M. Sivagnanam, 29, dan S V Genesin, 51, maut setelah kenderaan jenis Toyota Alphard yang mereka naiki terbabas ke dalam ladang sawit berhampiran sebelum terbalik.
Ketua Polis Daerah Lipis, Supritendan Abdul Razak Hassan berkata, kedua-dua mangsa bersama tujuh anggota keluarga yang lain menaiki Toyota Alphard yang dipandu anak Genesin, S V Murugan menuju ke Cameron Highlands untuk bercuti. – Utusan

Polis tahan suspek curi bagasi




Imran Abdul Rahman (kiri) dan timbalannya, Deputi Supritendan Zaldino Zaludin menunjukkan bagasi mangsa kecurian di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, semalam.


SEPANG 27 Okt. - Polis berjaya membongkar kes kecurian bagasi yang berlaku sejak awal tahun ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setelah menahan tiga lelaki warga asing berusia lingkungan 50-an di Ampang, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Supritendan Imran Abdul Rahman berkata, tangkapan itu hasil siasatan polis terhadap aduan seorang penumpang di KLIA apabila sebuah beg yang dibawa bersamanya hilang disyaki dicuri.
Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Polis Daerah Sepang menyerbu sebuah kondominium di Ampang dan berjaya merampas 16 unit beg pelbagai jenis, sebuah komputer riba, lima utas jam tangan dan tiga cermin mata.
"Polis mendapat laporan pada Sabtu lepas seorang penumpang yang akan ke Kota Kinabalu kehilangan beg yang mengandungi sebuah Ipad, satu cermin mata, sebatang pen dan dokumen ketika diletakkan di atas troli semasa hendak mendaftar masuk.
"Kemudian pada Selasa lalu sekitar pukul 6 petang polis menyerbu kondominium yang dijadikan tempat penginapan mereka dan menahan dua lelaki warga Peru dan seorang warga Sepanyol.
"Melalui siasatan yang kita jalankan, suspek turut mencuri di beberapa kawasan tumpuan orang ramai seperti KLCC, hotel dan restoran dengan seorang suspek berlagak bertanyakan sesuatu manakala yang lain bertindak menarik perhatian orang ramai," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di sini hari ini.
Imran memberitahu, ketiga-tiga lelaki yang ditangkap kini ditahan reman hingga 7 November ini untuk siasatan lanjut.
"Polis percaya dengan tertangkapnya suspek-suspek ini kita berjaya membendung dan menyelesaikan 12 kes kecurian barang yang dilaporkan menggunakan modus operandi yang sama di KLIA.
"Justeru, kepada mangsa-mangsa yang kehilangan beg di KLIA dan pernah bersemuka dengan suspek diminta datang ke balai polis untuk pengecaman," katanya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Imran memberitahu, sepanjang tahun ini polis berjaya membuat tangkapan tujuh kes terhadap pemilikan senjata tiruan merupai senjata api di KLIA.
Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak membeli senjata tiruan tersebut kerana ia menjadi satu kesalahan di sisi undang-undang dan boleh didakwa di bawah peruntukan 36 akta senjata 1960.
"Hasil siasatan mendapati terdapat tiga modus operandi yang diguna pakai untuk menyeludup senjata ini iaitu dengan membeli di luar negara dan membawa masuk sebagai barang permainan, beli di luar negara dan kemudian pos dalam bentuk bungkusan serta pos senjata tersebut dalam bentuk bungkusan ke pelbagai destinasi dalam Malaysia.
"Kepada sesiapa yang memiliki senjata tiruan walaupun untuk tujuan perhiasan boleh dihukum penjara tidak melebihi satu tahun dan denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.

Protes harga tiket mahal: Laman web FAM digodam



28/10/2011 2:38am



KUALA LUMPUR 28 Okt. – Laman rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah digodam pihak tidak bertanggungjawab, awal pagi ini.
Laman web itu, www.fam.org.my difahamkan tidak lagi berfungsi seperti biasa, sebaliknya telah mempamerkan logo FAM yang diubah suai dengan meletakkan imej ‘khinzir’ dan turut dimasukkan rakaman dua rakaman video berbau provokasi.
Selain itu, laman web yang digodam dengan latar belakang warna merah itu turut menyelitkan satu artikel dari sebuah akhbar tempatan (bukan terbitan Utusan Malaysia) bertajuk ‘Harga tiket RM50 wajar’.
Kata-kata herdikan yang menggunakan bahasa kesat turut diselitkan pada laman yang digodam itu.
Provokasi terbaru ini difahamkan wujud akibat kenaikan harga tiket perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia antara Negeri Sembilan dan Terengganu, Sabtu ini. – Utusan

Ketamin, Eramin 5 bernilai RM20 juta dirampas



28/10/2011 3:30pm



SEREMBAN 28 Okt. – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan dua sindiket pengedaran dadah jenis ketamin dan pil Eramin 5 melalui kargo udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dianggarkan bernilai lebih RM20 juta dalam kes berasingan baru-baru ini.
Kedua-dua sindiket itu menggunakan kargo dari China dan Taiwan untuk membawa masuk dadah tersebut ke negara ini.
Dalam kes pertama pada Selasa lalu, Bahagian Penguatkuasaan JKDM menahan seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun pada pukul 1 petang yang ketika itu sedang mengambil 15 kotak barangan yang diikrar sebagai mesin asap (dry ice) dari pejabat ejen penghantaran cepat di Shah Alam, Selangor.
Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan) JKDM, Liah Omar berkata, hasil pemeriksaan lanjut, pihaknya menemui bungkusan plastik berisi ketamin yang disorokkan di setiap bahagian mesin di dalam kotak tersebut.
Dalam kes kedua pula, beliau berkata, pihaknya merampas sejumlah 10 kotak dipercayai mengandungi dadah jenis Eramin 5 pada 14 Oktober lalu dari sebuah ejen penghantaran di kargo udara KLIA. – Utusan

Dua maut kenderaan pelbagai guna terbalik



28/10/2011 6:01pm



KUALA LIPIS 28 Okt. – Hasrat sebuah keluarga besar bercuti di Cameron Highlands sempena sambutan Deepavali kelmarin berakhir dengan tragedi apabila dua daripada 28 orang ahli keluarga berkenaan maut dalam kemalangan, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 malam di Kilometer 55, Jalan Sungai Koyan-Raub itu, M. Sivagnanam, 29, dan S V Genesin, 51, maut setelah kenderaan jenis Toyota Alphard yang mereka naiki terbabas ke dalam ladang sawit berhampiran sebelum terbalik.
Ketua Polis Daerah Lipis, Supritendan Abdul Razak Hassan berkata, kedua-dua mangsa bersama tujuh anggota keluarga yang lain menaiki Toyota Alphard yang dipandu anak Genesin, S V Murugan menuju ke Cameron Highlands untuk bercuti. – Utusan

Dua kes jangkitan kencing tikus di Terengganu



28/10/2011 6:10pm

HULU TERENGGANU 28 Okt. - Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin mengesahkan dua kes jangkitan wabak air kencing tikus atau virus Leptospirosis dikesan di Terengganu awal bulan ini.
Katanya, hasil ujian sampel daripada 24 Orang Asli di kawasan penempatan Sungai Berua, Hulu Terengganu hanya dua dikesan mendapat jangkitan itu.
"Manakala seramai 13 lagi Orang Asli disahkan menghidap hepatitis A atau penyakit kuning manakala sembilan yang lain masih belum diketahui statusnya,” katanya. Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas merasmikan program NCDP 1Malaysia Cakna Kesihatan Dalam Komuniti Peringkat Negeri Terengganu di Kampung Pasir Nering, Kuala Berang dekat sini hari ini. - Bernama

Kontraktor didakwa kasari Ketua Biro Pelajaran Wanita MCA



28/10/2011 6:13pm

BANTING 28 Okt. - Seorang kontraktor hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini terhadap dua pertuduhan mengasari Ketua Biro Pelajaran Wanita MCA Pusat, Ng Siok Hwa di sebuah tokong di Sungai Jarom, dekat sini pada Isnin lepas.
Hong Lay Seng, 60, didakwa memukul Siok Hwa, 48, dengan tangannya di Tokong Hua Kwang, No. 39 Jalan Intan Taman Yayasan Sungai Jarom pada kira-kira 9 malam, 24 Oktober lepas.
Bagi pertuduhan kedua, Lay Seng didakwa menuang air ke atas Siok Hwa dan mengeluarkan kata-kata tidak sopan ke atas wanita itu di tempat, waktu dan tarikh yang sama.
Dia juga menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu menghalang sepasukan polis diketuai oleh Cif Inspketor Lasappie Lamide daripada menahannya di rumahnya di No. 83, Jalan Melati 6, Taman Melati, Sungai Jarom pada pukul 10.45 malam hari yang sama.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh semasa pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Pendaftar Mahkamah Majistret Sepang Rozaidi Yaacob.
Rozaidi menetapkan jaminan RM4,500 dengan seorang penjamin dan 8 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes itu.
Pendakwaan diakukan Cif Inspektor Ridhuan Abdullah. - Bernama

Mayat pemuda terjatuh ketika memancing ditemui



BALING 27 Okt. - Seorang pemuda yang hilang Jumaat lalu, selepas terjatuh ke dalam lubuk semasa memancing di kawasan Lata Mengkuang, Kupang, dekat sini ditemui mati di sini kelmarin.
Mayat Zulkifli Zakaria, 20, ditemui terapung di kawasan itu oleh salah seorang saudaranya, Che Ros Che Hassan, 40, pukul 7 petang selepas lima hari operasi mencari dan menyelamat dijalankan.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Mat Daud Mat Hasan ketika ditemui mengesahkan penemuan mayat berkenaan.
Dalam kejadian itu, mangsa yang dikenali kerana kecekapannya memanjat pokok tinggi dan mendaki gunung dikatakan tergelincir ke dalam lubuk sedalam 10 meter di kawasan berkenaan.
Gerakan mencari mangsa yang masih bujang dijalankan sejurus berita kehilangannya dilaporkan kepada polis dengan bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan penduduk kampung.
Seramai 12 anggota skuad pasukan penyelam Balai Bomba dan Penyelamat Baling dan Sungai Petani serta Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dikerahkan dalam operasi berkenaan.
Mayat Zulkifli dibawa ke Hospital Baling (HB) untuk bedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bok Bak Kupang, pukul 4.30 pagi semalam.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Bayu, Azmi Che Hussin; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Baling, Mohd. Khairul Azhar Abdullah dan Pengerusi Biro Agama Pergerakan Pemuda UMNO Baling, Wan Saroji Afendi Yahya.
Dalam pada itu, bapa mangsa, Zakaria Salleh, 48, berkata, walaupun sedih dengan kehilangan anak sulungnya, namun dia tetap reda atas apa yang berlaku.
Menurutnya, anaknya itu memang berani memanjat pokok dan boleh mengambil madu lebah di atas pokok tinggi.
"Kami reda atas ujian Allah terhadap keluarga kami," katanya.
Zakaria turut berterima kasih atas bantuan pelbagai pihak dalam operasi mencari dan menyelamat anaknya itu.

Rentas hutan bertukar tragedi






Empat pelancong diiringi keluar oleh anggota bomba selepas diselamatkan ekoran sesat di Hutan Lipur Sungai Bantang, Bekok, Labis, semalam.


LABIS 27 Okt. - Aktiviti merentas hutan oleh lima pelancong asing bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung setelah tersesat di Hutan Lipur Sungai Bantang, Bekok, Labis semalam.
Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Chris Birchill, 45, dari Australia manakala mereka yang diselamatkan ialah Jonathan, 54 dan Alan Chadwich, 33, yang merupakan rakan senegara mangsa.
Dua lagi ialah Marc Linneger, 35, dari Afrika Selatan dan James Fraser, 45, dari Britain.
Pelancong-pelancong terbabit yang mula masuk ke hutan itu kira-kira pukul 8 pagi semalam gagal keluar dan terpaksa menelefon rakan mereka di Singapura untuk meminta bantuan.
Operasi mencari dan menyelamat kesemua pelancong itu dilakukan mulai pukul 3 petang hingga 12.30 tengah malam semalam, namun mereka gagal ditemui.
Bagaimanapun, kesemua mereka ditemui kira-kira pukul 10.30 pagi di lokasi berhampiran tebing sungai yang terletak pada ketinggian 365 meter dan tujuh kilometer dari pintu masuk hutan lipur berkenaan.
Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Abdul Majid Mohd. Ali berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai masalah yang dihadapi oleh pelancong asing terbabit kira-kira pukul 3 petang semalam dan telah menggerakkan operasi mencari mereka.
"Kesemua pelancong warga asing itu masuk ke hutan lipur tersebut pada pukul 8 pagi semalam dan setelah berjalan selama tujuh jam mereka tersesat sehingga mengakibatkan seorang daripada mereka meninggal dunia," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Jelasnya, setelah berjaya dibawa keluar kira-kira pukul 2.30 petang, kesemua pelancong terbabit diterbangkan dengan helikopter ke Hospital Segamat bersama-sama mayat Birchill.
Beliau berkata, kumpulan pelancong berkenaan difahamkan selalu melakukan aktiviti merentas hutan di sekitar negara ini, Thailand dan Indonesia.
Operasi mencari dan menyelamat pelancong warga asing terbabit melibatkan seramai 114 anggota Pasukan Gerak Am (PGA) Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Perhutanan, Ikatan Relawan Rakyat (Rela) serta orang awam.
Sementara itu, menurut seorang Renjer Jabatan Perhutanan negeri, Husin Abdul Latif, 38, dia berjaya menemui kumpulan pelancong asing yang sesat itu selepas mengikuti satu jejak ranting-ranting pokok yang telah dipatahkan.
"Kami mula menemui dua daripada pelancong itu di satu kawasan tebing sungai dan mereka melompat kegembiraan dan melahirkan rasa terima kasih kepada pasukan mencari dan menyelamat," katanya.
Katanya, menerusi penemuan dua pelancong itu, pasukan mencari dan penyelamat telah dibawa ke tapak perkhemahan kumpulan pelancong tersebut dan turut menemui dua lagi pelancong serta mayat rakan mereka.
Jelas beliau, usaha untuk membawa keluar kumpulan pelancong itu mengambil masa hampir empat jam kerana hujan dan laluan hutan yang licin.

Murid pengsan ditimpa tiang bendera



HULU LANGAT 27 Okt. – Seorang murid perempuan Tahun Satu pengsan manakala rakannya cedera di tangan setelah ditimpa sebatang tiang bendera yang tiba-tiba tumbang ketika menyertai aktiviti sukan di sebuah sekolah rendah di sini, hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 pagi ketika kedua-dua mangsa sedang bermain berhampiran tiang bendera tersebut yang terletak di hadapan kawasan perhimpunan sekolah.
Seorang saksi kejadian memberitahu, salah seorang daripada murid itu dikatakan bermain pada skru tiang bendera sebelum skru tersebut tercabut dan mencederakan tangannya.
“Seorang lagi rakan mangsa yang berdiri tiba-tiba terkejut apabila tiang terbabit jatuh dan menghempap kepalanya lalu tidak sedarkan diri di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Ketika kejadian, saksi itu berkata, kebanyakan murid berada di padang sekolah kerana terlibat dalam aktiviti sukan sekolah.
Berikutan kejadian itu, kedua-dua mangsa segera dibawa ke Hospital Kajang untuk menerima rawatan oleh guru sekolahnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu.
Beliau berkata, seorang murid hanya mengalami cedera ringan di tangan, manakala rakannya yang dihempap tiang kini boleh bercakap dan dilaporkan stabil.
Jelasnya, guru sekolah tersebut telah memaklumkan perkara itu kepada ibu bapa murid berkenaan dan membuat laporan polis petang ini.

3 wanita Nepal maut, 5 parah




JALAN sesak setelah berlaku kemalangan melibatkan dua buah van, sebuah kereta MyVi dan sebuah treler mengakibatkan tiga mati di Kilometer 4.4 Lebuh Raya Baru Lembah Klang menghala ke Klang, semalam.


SHAH ALAM 27 Okt. - Hasrat tiga wanita warga Nepal untuk mencari rezeki di negara ini tidak kesampaian apabila mereka maut dalam satu kemalangan, tidak sampai dua jam selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang hari ini.
Kejadian di Kilometer 4.4 Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) menghala ke Klang itu berlaku pukul 3 petang ketika mereka bersama 16 pekerja warga Nepal dalam perjalanan ke sebuah kilang di Meru, Klang untuk melapor diri dengan menaiki dua buah van.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Deputi Supritendan Ruslan Abdullah berkata, selain dua buah van tersebut, kemalangan itu turut melibatkan sebuah kereta Perodua MyVi dan lori treler.
Nahas itu mengakibatkan lima yang lain termasuk seorang pemandu warga tempatan cedera parah.
"Ketiga-tiga wanita yang mati di tempat kejadian ialah Dil Kumari Shrestha, Kamaladevi Gurigai dan Dil Maya Gurung berusia antara 25 hingga 30 tahun.
"Kesemua mangsa yang maut dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. Lima mangsa yang parah turut dibawa ke hospital yang sama untuk menerima rawatan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Ruslan berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 3.10 petang dan tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian.
"Punca kemalangan masih disiasat dan pihak polis perlu mengambil masa menyiasat kemalangan tersebut dengan lebih terperinci," jelasnya.

Kanak-kanak mati lemas ketika berkelah di Pantai Puteri



MELAKA 27 Okt. – Seorang kanak-kanak berusia enam tahun ditemui mati lemas ketika berkelah di Pantai Puteri bersama ahli keluarganya sempena cuti umum perayaan Deepavali di sini, semalam.
Kejadian berlaku pukul 10 pagi ketika mangsa, Ajmal Afzan Mohd. Farid, 6, pergi ke pantai itu bersama ibunya, Zuhana Ayub, 32, dan enam ahli keluarga rakan sekerja ibunya.
Difahamkan, sebaik sahaja sampai di pantai, kanak-kanak malang itu terus berlari ke laut untuk mandi bersama abangnya yang berusia tujuh tahun.
Pada masa yang sama, ibu mangsa tiada di tempat kejadian kerana singgah di rumah rakannya di Tangga Batu untuk mengambil makanan.
Sejurus ibunya tiba di pantai itu, dia terkejut apabila dimaklumkan oleh abang mangsa, adiknya tiba-tiba hilang ketika mereka sedang mandi.
Usaha mencari mangsa kemudian dijalankan dengan bantuan penduduk setempat, namun gagal sebelum kejadian itu dimaklumkan kepada pihak berkuasa.
Menurut bapa mangsa, Mohd. Farid Usop, 32, dia hanya mengetahui tentang insiden itu selepas dimaklumkan oleh isterinya dan melaporkan kejadian tersebut kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat kira-kira pukul 11 pagi.
Katanya, setibanya di tempat kejadian pukul 12 tengah hari, mayat anaknya masih belum ditemui.
Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu, Abdul Rashid Bechek berkata, mayat kanak-kanak itu ditemui pukul 12.40 tengah hari, kira-kira sejam selepas pihaknya memulakan operasi mencari dan menyelamat.
“Sebuah jentera dan sembilan anggota dikerahkan ke tempat kejadian untuk menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa. Disebabkan mangsa dipercayai lemas dalam laut, kita menggunakan teknik pukat untuk mencari sehingga menemui mayat kanak-kanak itu kira-kira sejam kemudian,” katanya.

Budak maut dihempap pokok





JERANTUT 27 Okt. – Seorang kanak-kanak berusia empat tahun maut akibat dihempap pokok kelapa di hadapan ibu dan lima adik-beradiknya di Kampung Lada dekat sini, kelmarin.
Mangsa, Nurshuhada Azman, dikatakan berada di halaman rumah kira-kira dua me\ter berdekatan tangga rumahnya sebelum kejadian itu berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi.
Bapa mangsa, Azman Zainuddin, 41, berkata, ketika kejadian, dia berada di pekan Jerantut dan bergegas ke hospital sebaik sahaja dimaklumkan oleh jiran mengenai kejadian itu.
“Saya diberitahu anak saya pada mulanya duduk di tangga rumah bersama adik-beradiknya yang lain, tetapi sebaik sahaja berjalan ke halaman rumah, tiba-tiba sebatang pokok kelapa setinggi kira-kira 15 meter tumbang lalu menghempapnya.
“Ketika kejadian, isteri saya sedang berurusan dengan pembekal makanan ikan untuk ternakan ikan sangkar yang saya usahakan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Jenazah Nurshuhada selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lada dekat sini, kelmarin.
Menurutnya, kejadian itu berlaku begitu pantas dan tiada siapa menduga pokok kelapa itu akan tumbang kerana tiada angin kuat ketika itu.
Bagaimanapun, katanya, dia reda dengan ketentuan takdir Allah yang menimpa anak bongsunya itu.

Orang Melayu malu jalani ujian HIV



KUALA LUMPUR - Perasaan malu di kalangan orang Melayu untuk tampil menjalani ujian atau mendapatkan rawatan sewajarnya merupakan penyumbang kepada penularan HIV dan AIDS di kalangan mereka.
Menurut Presiden Majlis AIDS Malaysia (MAM), Tan Sri Mohd. Zaman Khan, persepsi negatif yang keterlaluan di samping stigma dan diskriminasi masyarakat yang terlalu menebal secara langsung juga menyumbang kepada penularan epidemik itu.
Katanya, menurut statistik, sehingga kini kira-kira 66,000 orang Melayu menghidap HIV diikuti Cina 13,000 dan India sebanyak 7,300.
"Statistik ini turut menunjukkan bahawa tujuh daripada 10 kes HIV di negara ini berlaku di kalangan orang Melayu yang beragama Islam.
"Situasi ini telah menimbulkan keresahan di kalangan banyak pihak kerana orang Melayu yang tebal mengamalkan gaya hidup berlandaskan ajaran Islam terjebak dengan epidemik atau penyakit moral ini," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Untuk rekod, sejak 1986 sehingga Disember 2010, epidemik HIV telah menular kepada 91,632 orang dan telah meragut nyawa 12,403 orang.

Ajal dihempap pokok



JERANTUT - Seorang ibu tergamam dan terkejut apabila menyaksikan anak bongsunya yang berusia empat tahun menemui ajal dalam keadaan tidak diduga selepas kanak-kanak tersebut dihempap sebatang pokok kelapa yang tiba-tiba tumbang di halaman rumahnya di Kampung Lada dekat sini kelmarin.
Kejadian menyayat hati yang berlaku pukul 10.30 pagi itu menyebabkan Nurshuhada Azman (gambar kecil) meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Jerantut.
Difahamkan, sebelum kejadian Nurshuhada sedang bermain di halaman rumah. Selain ibunya, turut berada dekat laman tersebut ialah lima adik-beradiknya.
Bapa mangsa, Azman Zainuddin, 41, berkata, dia bergegas ke hospital sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh jirannya. Ketika itu dia berada di Pekan Jerantut Feri kira-kira empat kilometer dari rumahnya.
Mengimbau semula kejadian itu, Azman memberitahu, dia dimaklumkan, sebelum dihempap mangsa duduk di tangga rumah bersama adik-beradik lain sebelum dia turun ke laman untuk bermain-main.
Katanya, ketika itulah, pokok kelapa setinggi 15 meter itu tiba-tiba tumbang lalu menghempap Nurshuhada.

Datuk palsu Singapura terjerat



JOHOR BAHRU - Tembelang seorang rakyat Singapura yang menyamar ahli perniagaan bergelar Datuk untuk menipu wang hampir RM1 juta milik seorang lelaki terbongkar apabila dia ditahan di rumahnya di Jalan Setia Tropika di sini 21 Oktober lalu.
Suspek bergelar Datuk Mohd. Shah berusia 58 tahun tersebut ditahan selepas polis menjalankan siasatan berhubung empat laporan yang dibuat seorang ahli perniagaan apabila dia gagal mendapatkan perkhidmatan seperti yang ditawarkan.
Antara perkhidmatan itu ialah mendakwa mampu membantu mangsa mendapatkan lesen senjata api, kontrak membuat longkang, mendapatkan nombor pendaftaran WWW 1 bersama kelulusan memakai cermin gelap dan pinjaman hingga RM5 juta.
Difahamkan, suspek telah bergiat sejak beberapa bulan lalu dan telah memperdaya beberapa lagi individu.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor, Supritendan Mohd. Luthfi Ismail Abdullah berkata, mangsa yang terpedaya dengan penipuan suspek kemudian telah menyerahkan RM946,560 secara berperingkat.
"Wang itu sebagai upah untuk suspek menguruskan keempat-empat perkhidmatan yang tidak wujud tersebut. Siasatan mendapati suspek yang menetap di sini bersama isterinya juga tidak pernah dianugerahkan gelaran Datuk.
"Suspek juga didapati telah beberapa kali bertemu dengan mangsa dan berpura-pura untuk membantu ahli perniagaan tersebut," katanya.

Amil lesapkan wang zakat diburu



PEJABAT Majlis Agama Islam Johor di Johor Bahru melantik Redzuan (gambar kecil) sebagai Amil Fitrah bagi kawasan Kulaijaya.


JOHOR BAHRU – Polis sedang memburu seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam penipuan wang kutipan zakat sebanyak RM18,000 pada tahun lepas.
Ketika kejadian, lelaki itu dikatakan merupakan seorang imam di sebuah masjid di Kulaijaya dekat sini.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor, Supritendan Mohd. Luthfi Ismail Abdullah berkata, lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Redzuan Mohd. Said dikatakan gagal menyerahkan wang kutipan zakat sebanyak RM18,000 kepada Majlis Agama Islam Johor.
Menurut beliau, lelaki berkenaan mempunyai kad pengenalan bernombor 830803-01-5859 dengan alamat terakhirnya ialah di No. 5506, Jalan Matahari 34/8, Taman Indahpura, Kulaijaya.
“Suspek telah dilantik oleh Majlis Agama Islam Johor sebagai Amil Fitrah bagi kawasan Kulaijaya dan difahamkan dia telah berjaya mengutip wang zakat sebanyak RM18,000 pada tahun lepas.
“Bagaimanapun, sehingga kini suspek gagal menyerahkan kembali wang zakat kutipan tersebut,” kata Mohd. Luthfi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini semalam.
Kosmo! difahamkan, laporan telah dibuat oleh Pegawai Jabatan Agama Islam Kulaijaya sebaik menyedari suspek gagal menyerahkan wang kutipan dan tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan semua kutipan zakat tersebut.