Search This Blog

Thursday, October 27, 2011

Kebumi bersama ‘bakakuk’




GALI...sepasukan polis forensik menggali kubur Wahimin di Kampung Lobau Lama, kelmarin.
GALI...sepasukan polis forensik menggali kubur Wahimin di Kampung Lobau Lama, kelmarin.

RANAU: Seorang lelaki yang secara tidak sengaja tertembak bapa mentuanya ketika memburu tupai di hutan Kampung Lobau Lama di sini, pada 24 September lalu, mengebumikan lelaki terbabit bersama senapang buatan sendiri dikenali sebagai ‘bakakuk’ yang digunakannya, dipercayai sebagai tanda penghormatan dan memohon kemaafan.
Difahamkan, lelaki berusia 36 tahun dipercayai bimbang dikenakan tindakan jika membuat laporan polis bertindak menyembunyikan kematian itu dengan menanam mayat bapa mentuanya berhampiran rumah selepas mendapat persetujuan ahli keluarga lain.

Bagaimanapun, perbuatannya terbongkar apabila seorang sepupu yang memandikan mayat mangsa melihat luka yang mencurigakan sebelum membuat laporan polis.

Polis yang menerima maklumat kemudian menahan mangsa yang akhirnya mengaku tertembak dan menanam mayat bapa mentuanya secara rahsia. Susulan pengakuan suspek, polis mendapatkan perintah mahkamah bagi menggali semula ‘kubur’ itu bagi melakukan bedah siasat terhadap mayat terbabit, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Abdul Rahman Kassim berkata, pihaknya terpaksa mendapatkan perintah mahkamah bagi menggali semula kubur Wahimin Usat, 50, yang mati ditembak menantunya sendiri di Kampung Lobau Lama.

“Selepas mendapat perintah mahkamah, sepasukan polis forensik menggali semula kubur mangsa bagi melakukan siasatan termasuk punca kematiannya.


“Polis menemui mayat mangsa yang ditanam bersama senapang ‘bakakuk’ dan difahamkan, senapang itu adalah senjata digunakan suspek ketika tertembak mangsa ketika memburu tupai,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, semalam.

Abdul Rahman berkata, mayat mangsa dan senjata berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau untuk siasatan lanjut.
“Siasatan awal mendapati, suspek secara tidak sengaja tertembak mangsa yang bersama-sama memburu di hutan Kampung Lobau Lama kira-kira jam 12 tengah hari, pada 24 September lalu.

“Suspek dipercayai melepaskan tembakan sebaik menyedari kehadiran seekor ‘tupai’ di sebatang pokok, namun terkejut apabila mendapati bapa mentuanya terbaring berlumuran darah dan tidak bernyawa lagi,” katanya.

Katanya, suspek membawa pulang mayat mangsa dan mengebumikan lelaki itu di sekitar rumah selepas mendapat persetujuan ahli keluarga lain tanpa melaporkan kejadian itu kepada polis.

“Suspek enggan membuat laporan kerana bimbang dikenakan hukuman kerana difahamkan dia menjadi harapan untuk menyara ahli keluarganya.

“Lelaki terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

‘Hanya arwah, suami tahu’



KUALA TERENGGANU: “Hanya arwah dan adik ipar tahu apa yang berlaku pada hari kejadian. Sebagai ahli keluarga, saya serahkan kepada polis menyiasat punca dan individu yang bertanggungjawab terhadap kejadian ini,” kata Zalina Yahaya, 33, kakak sulung kepada Suriani Yahaya, 28, yang meninggal dunia selepas disyaki dibakar suami sendiri, awal pagi kelmarin.
Suriani yang juga seorang jururawat meninggal dunia jam 4.30 pagi di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kelmarin, selepas 10 hari bertarung nyawa akibat melecur lebih 80 peratus.

Menurut Zalina, dia dan ahli keluarganya sebolehnya tidak mahu memperbesar-besarkan peristiwa itu demi menjaga hati dan perasaan kedua-dua keluarga apatah lagi hubungan mereka dengan keluarga adik ipar sangat baik.

“Apabila berita menimpa Suriani dilaporkan dalam akhbar, pelbagai reaksi diterima terutama yang menyalahkan adik ipar. Namun, kami memohon orang ramai tidak membuat andaian melulu kerana ia masih dalam siasatan polis.

“Jika difikirkan, tidak mungkin adik ipar sanggup berbuat sedemikian apatah lagi sepanjang mengenalinya, dia seorang yang baik. Malah, sepanjang pengetahuan saya, hubungan mereka suami isteri tidak mempunyai masalah.

“Tragedi ini benar-benar memberi kesan kepada kami sekeluarga. Kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku terhadap mangsa dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pak Ya, Paya Resak, Marang, di sini, semalam.


Suriani, anak ketiga daripada enam beradik dikebumikan di Tanah Perkuburan Paya Resak kira-kira jam 9 malam kelmarin. Dia meninggalkan dua cahaya mata lelaki masing-masing berusia dua dan tiga tahun.

Harian Metro pada 17 Oktober lalu melaporkan seorang jururawat di HKL kritikal apabila lebih 80 peratus tubuhnya melecur dipercayai dibakar suami sendiri ketika mangsa mandi di rumahnya di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Serah tubuh pada ‘polis’

SERDANG: Terpedaya dengan janji manis seorang lelaki menyamar polis, seorang wanita bukan saja sanggup tinggal sebumbung, malahdiperkosa lelaki berkenaan dalam kejadian di Taman Equine, di sini.
Mangsa berusia 22 tahun mengenali lelaki berusia 35 tahun itu yang sebenarnya warga Indonesia, pertengahan September lalu sebelum dipujuk tinggal bersama di sebuah rumah.

Menurut sumber polis, tanpa berfikir panjang dan percayakan lelaki itu, mangsa bersetuju tinggal bersama selepas sebulan berkenalan.

Katanya, ketika tinggal bersama, wanita itu dipaksa melakukan hubungan seks tanpa kerelaannya.

“Terpedaya dengan pekerjaan lelaki itu serta janji manis ditabur, mangsa menyerahkan tubuhnya serta menganggap lelaki itu sebagai teman lelaki.

“Penipuan lelaki itu terbongkar kelmarin selepas seorang wanita yang menjadi mangsa lelaki itu menceritakan segala-galanya,” katanya, semalam.

‘Syukur dia ada kubur’

BALING: “Alhamdulillah, akhirnya dia ada kubur bagi membolehkan kami sekeluarga menziarahinya,” kata Aminah Che Hassan, 48, ibu kepada mangsa lemas, Zulkifli Zakaria, 20, yang mayatnya ditemui petang kelmarin, lima hari selepas dia hilang apabila tergelincir ke dalam lubuk sungai ketika memancing di Lata Mengkuang, dekat sini, Jumaat lalu.
Mayat Zulkifli ditemui terapung kelmarin kira-kira jam 7 malam oleh beberapa penduduk yang membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Aminah ketika ditemui berkata, walaupun hanya kembali sebagai mayat, dia bersyukur kerana anak sulungnya itu akhirnya ditemui.

“Selepas dia hilang di sungai itu, saya sudah reda dengan apa yang berlaku. Saya lega dan bersyukur kerana lima hari selepas pelbagai usaha mencarinya termasuk menggunakan khidmat pengamal perubatan tradisional, mayat Zulkifli akhirnya ditemui juga.


“Semua ini adalah kehendak Allah dan saya perlu tabah dengan segala ujian-Nya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bok Bak, Mukim Kupang, di sini.

Misteri 3 kedai


TUMPAS...mesin pencetakan DVD cetak rompak yang ditemui dalam serbuan, kelmarin.
TUMPAS...mesin pencetakan DVD cetak rompak yang ditemui dalam serbuan, kelmarin.

KAJANG: Tindakan licik satu sindiket pencetakan dan pengedaran cakera video digital (DVD) cetak rompak berselindung di sebalik tiga premis tanpa nama yang kelihatan seperti tidak berpenghuni terbongkar apabila pihak berkuasa menemui mesin pencetakan DVD dianggarkan bernilai RM4 juta dalam serbuan di Kawasan Perindustrian Haneco, Semenyih, dekat sini, kelmarin.
Serbuan pada jam 6 petang itu membabitkan pasukan khas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDN KK) Putrajaya menemui mesin pencetak keluaran 2005 serta pelbagai DVD cetak rompak filem tempatan dan luar negara.

Ketua Pengarah Bahagian Penguat kuasa KPDNKK, Mohd Roslan Mahayudin, berkata serbuan di premis pertama mendapati ia dijadikan pejabat, namun dalam keadaan tidak terurus sebelum pemeriksaan lanjut menemui beberapa dokumen dipercayai berkaitan kegiatan haram terbabit.

“Curiga dengan penemuan beberapa dokumen itu memaksa kami memecah premis bersebelahan sebelum menemui mesin pencetak berkenaan. “Pemeriksaan teliti dilakukan di premis kedua menemui laluan rahsia ke premis ketiga yang menempatkan pelbagai DVD haram dan bahan asas membuat DVD,” katanya yang ditemui di lokasi serbuan.

Menurutnya, selain ribuan DVD filem dan permainan cetak rompak, pihaknya turut menemui 40 beg yang setiap satu seberat 25 kilogram mengandungi polikarbonat dipercayai bahan mentah utama bagi proses pembuatan DVD.

‘Anak pesan usah risau soal wang selepas meninggal’

KOTA BHARU: “Anak saya pernah berpesan supaya tidak risau mengenai wang untuk membiayai pembelajaran adiknya kelak walaupun dia meninggal dunia terlebih dahulu,” kata Sabariah Ali, 56, ibu kepada Konstabel Sharil Ramly, 25, yang maut dalam nahas jalan raya, awal tahun ini.
Pesanan itu dimaklumkan kepada Sabariah, beberapa hari sebelum Sharil terbabit kemalangan pada 20 Januari lalu menyebabkan wanita itu kebingungan kerana tidak memahami apa yang dimaksudkan oleh anak ketiga daripada lima beradik itu.

Bagaimanapun, rahsia itu terungkai apabila Sabariah menerima panggilan daripada Bank Rakyat Cawangan Wakaf Che Yeh di sini, memintanya hadir ke cawangan berkenaan untuk menerima wang pampasan insurans berjumlah RM41,000.

“Saya terkejut dengan berita itu dan berjanji mengotakan pesanan Sharil yang ingin melihat dua adiknya berjaya dalam pelajaran.

“Malah, saya juga berhasrat ingin menyedekahkan sedikit wang berkenaan kepada anak yatim dan juga masjid di Felda Kampung Jelai Dua, Gemas, Negeri Sembilan,” katanya yang datang dari Gemas, Negeri Sembilan ke Kota Bharu bersama anaknya, Mimi Wahidah, 19, untuk menerima cek berkenaan, baru-baru ini.

Majlis penyampaian cek disempurnakan Pengurus Bank Rakyat, Cawangan Wakaf Che Yeh, Mohd Zuhaimi Hussain.


Sabariah berkata, sebelum itu, Sharil pernah memberitahunya bahawa dia ada membuat pinjaman peribadi berjumlah RM30,000 dengan Bank Rakyat kerana ingin melabur dalam ternakan ikan keli, selain ingin membeli motosikal untuk Mimi bagi memudahkan adiknya pergi belajar.

Bagaimanapun, katanya, Sharil yang bertugas di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Bharu tidak pernah menyatakan dia mencarum RM50 setahun dalam insuran Takaful Amani.

Mekanik ditemui mati tergantung

TANAH MERAH : Seorang mekanik yang mengadu runsing perniagaan bengkel keretanya merosot, ditemui mati tergantung pada tiang bumbung belakang dapur rumahnya di Kampung Pasir Panji, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa, Leong Cheng Siew, 51, ditemui dalam keadaan tergantung pada seutas tali oleh isterinya, Lee Leng Huay, 45.

Lee berkata, dia hanya menyedari suaminya tiada di dalam rumah selepas bangun tidur.

“Semalam (kelmarin) saya dan dua anak tidur pada jam 12 tengah malam. Apabila bangun tidur, saya lihat suami tiada di dalam rumah.

“Saya begitu terkejut apabila melihat suami tergantung selepas mencarinya di belakang dapur rumah,” katanya.

Menurut Lee, suaminya ada mengadu runsing dengan perniagaan bengkel keretanya merosot selepas tidak lagi mendapat untung.


“Saya dapat melihat sendiri perubahannya apabila suami kurus dan tidak banyak bercakap. Saya tidak sangka kejadian seperti ini berlaku kepada keluarga saya,” katanya ketika ditemui bersama dua anak berusia 10 dan tujuh tahun, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud, ketika dihubungi berkata, kejadian itu tiada sebarang unsur jenayah dan dipercayai mangsa menghadapi tekanan selepas perniagaannya merosot.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Tanah Merah untuk siasatan lanjut dan kes terbabit diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Budak terjunam dalam longkang

KUALA LUMPUR: Gara-gara besi penutup dicuri, seorang murid tahun enam nyaris maut terjunam dalam longkang sedalam empat meter berhampiran pusat beli-belah terkemuka di ibu negara, kelmarin.
Berikutan kejadian itu, mangsa, Lim Zhi Ying, 12, patah lutut kiri, luka belakang badan dan tangan kiri akibat terjatuh ke dalam longkang berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa bernasib baik dan tidak mengalami kecederaan parah berikutan hujan dan air melimpah longkang sedalam kira-kira dua meter.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, mangsa pelajar sebuah sekolah rendah di Johor Bahru, Johor bersama 117 pelajar lain mengikuti lawatan sambil belajar selama empat hari ke beberapa negeri.

“Sebelum kejadian, bas yang saya naiki bersama rakan lain berhenti di tempat meletak bas sebuah pusat beli-belah dan turun bersama rakan lain untuk beratur dan masuk ke dalam pusat beli-belah berkenaan untuk lawatan.

“Malangnya, sebaik turun dari bas dan melangkah ke tempat berkumpul, saya tidak menyedari longkang berkenaan tidak berpenutup lalu terjatuh,” katanya.


Menurutnya, kejadian disedari guru pengiring dan beberapa rakan sebaik mendengar jeritan dan dentuman kuat.

“Saya hanya mampu menangis dan menahan kesakitan sebelum dibantu guru yang mendapatkan tangga untuk saya berpaut sebelum dibawa naik,” katanya.
Mangsa kemudian dibawa ke sebuah hospital swasta berhampiran untuk rawatan dan keadaannya dilaporkan tidak serius sebelum dibenarkan pulang.

Wanita lalok rayu dilepas

MELAKA: Seorang ibu beranak dua ‘mati kutu’ apabila ditahan dan keretanya disita dalam satu sekatan jalan raya oleh pihak berkuasa di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) arah selatan, di sini, malam semalam.
Wanita berusia 32 tahun itu bukan saja tidak mempunyai lesen memandu, malah cukai jalan Proton Gen.2 dipandunya tamat tempoh sejak Disember lalu selain tidak mempunyai insurans.

Kesalahan itu mengakibatkan keretanya terus disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk pemeriksaan lanjut.

Lebih mengejutkan, wanita yang difahamkan baru saja menghantar dua anaknya ke rumah pengasuh di Taman Merdeka, dekat sini, sebelum ke tempat kerja di Melaka Raya turut didapati positif dadah dipercayai syabu dalam ujian saringan pertama yang dijalankan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Wanita berkenaan adalah antara sembilan yang ditahan berusia antara 20-an hingga 30-an kerana didapati positif dadah dalam operasi bersepadu dijalankan JPJ, AADK, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad).

Malah, difahamkan dua wanita berusia 20 dan 21 tahun yang turut ditahan kerana didapati positif dadah cuba meraih simpati anggota AADK dengan memberi alasan mereka mengambil pil diet dan bukannya dadah.


Sementara itu, Pengarah JPJ negeri, Mohd Fadhil Hassan berkata, sebanyak 117 saman dikeluarkan dalam operasi yang dijalankan selama empat jam bermula jam 8.30 malam hingga 12 tengah malam di tiga lokasi iaitu di Lebuh AMJ arah selatan, Lebuh AMJ arah utara dan persimpangan Batu Berendam.

“Dalam operasi malam ini, sebanyak 905 kenderaan termasuk motosikal dan lori diperiksa. Daripada jumlah itu 158 kenderaan diambil tindakan di mana 117 disaman dikeluarkan, manakala sebanyak 181 kesalahan dikesan.
“Malah, kita juga menahan sembilan individu termasuk tiga wanita yang didapati positif dadah. Manakala, sebuah kereta milik wanita berusia 32 disita bersama lapan motosikal atas pelbagai kesalahan,” katanya yang ditemui selepas tamat operasi itu.

Menurutnya, antara kesalahan yang dikesan dilakukan pengguna jalan raya adalah tiada lesen memandu (73), cukai jalan tamat tempoh (23), tidak pamer pelekat P/L (6), cermin gelap/lampu HID (50), nombor pendaftaran (4), tiada perlindungan insurans (23), dan lain-lain kesalahan (2).

Katanya, dalam operasi yang dianggotai 141 anggota itu juga, PDRM mengeluarkan 17 saman atas pelbagai kesalahan, 37 pengguna jalan raya diperiksa air kencing dan sembilan ditahan, satu saman dikeluarkan SPAD kepada kereta sewa kerana gagal mengemukakan permit dan 11 topi keledar diedar JKJR.

Buaya gigit tangan, paha

MIRI: “Saya tak sangka diserang buaya kerana ketika itu saya hanya berendam di kawasan cetek tidak jauh dari tebing sungai dan terkejut apabila tiba-tiba tangan saya disambar.
“Ketika itu, saya hanya mampu menjerit sambil cuba melepaskan tangan kiri yang digigit, sebelum buaya itu beralih menggigit paha kiri saya pula. Namun, tindakan pantas saya menumbuk tepat pada sebelah mata buaya berkenaan menyebabkan ia melepaskan gigitan sebelum saya lari menyelamatkan diri ke tebing sungai,” kata Lumeit Entabang, 63.

Berikutan kejadian Isnin lalu itu, Lumeit cedera di paha kiri.

Ketika kejadian, wanita dari Rumah Empading di sini, sedang mandi di Sungai Bakas, Sibuti dekat sini. Lumeit berkata, sudah menjadi kebiasaannya mandi di sungai itu setiap hari sejak lebih 60 tahun lalu meskipun bekalan air paip sudah disediakan di perkampungan itu.

Menurutnya, sebelum kampung itu mempunyai bekalan air paip bersih, sungai berkenaan menjadi nadi utama penduduk kampung untuk mandi dan mencuci pakaian tanpa sebarang kejadian serangan buaya dilaporkan.

Katanya, kejadian itu menyebabkan dia serik untuk mandi di sungai kerana bimbang buaya itu menyimpan dendam dan menyerangnya semula.


Terkejut dengan kejadian menimpa Lumeit, penduduk kampung mengadakan acara Miring Ngampun atau memohon perdamaian daripada buaya berkenaan, semalam.

Majlis diadakan di tempat mangsa diserang bagi memastikan kejadian sama tidak berulang sekali gus memadamkan perasaan dendam yang mungkin disimpan buaya itu terhadap penduduk kampung.
Penduduk kampung, Jackson Gawing, 63, berkata menurut kepercayaan masyarakat Iban, Miring Ngampun majlis bagi menyelesaikan permasalahan yang mungkin timbul antara keluarga mangsa dan buaya terbabit.

Menurutnya, buaya dianggap mempunyai pertalian rapat dengan masyarakat Iban, namun disebabkan kesilapan lampau segelintir masyarakat terdahulu seperti membuang bangkai anak buaya yang tersangkut di jaring ikan secara sesuka hati, dianggap mengundang kemarahan buaya.

“Keadaan ini mungkin boleh menyebabkan buaya menyimpan dendam terhadap ahli keluarga terbabit dan acara Miring Ngampun sebagai tanda memohon kemaafan dan berdamai dengan buaya terbabit.

““Biasanya melalui acara ini, nasi pulut, buah pisang, kuih, ketupat dan beberapa makanan tradisi masyarakat Iban dibungkus di dalam bakul kecil sebelum diletakkan di setiap pangkalan di sungai kampung terbabit,” katanya.

Difahamkan, kejadian serangan buaya tidak pernah berlaku di kampung terbabit sejak kampung berkenaan dibuka lebih 50 tahun lalu.

Majlis itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bekenu, Rosey Yunus yang turut meluangkan masa melawat mangsa.

Suspek tikam polis ditahan

HULU SELANGOR: Seorang lelaki berusia 27 tahun disyaki terbabit menikam seorang anggota polis sebelum mangsa ditolak ke dalam gaung di Jalan Besar Hutan Percha, Alor Gajah, Melaka, ditahan di Medan Selera Liga Mas, Batang Kali, di sini, ketika leka menyanyi dan berkaraoke, awal pagi semalam.
Berikutan penangkapan suspek, polis menemui semula motosikal mangsa yang dilarikan dalam kejadian itu.

Ketua Polis daerah, Superintendan Norel Azmi Yahya Afendy berkata, tindakan pantas orang awam menyalurkan maklumat berjaya memberkas suspek yang leka menjamu selera dan berkaraoke di medan selera berkenaan.

“Operasi diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor, Asisten Superintendan Mohd Yatim Osman, kira-kira jam 1 pagi itu memeriksa nombor pendaftaran motosikal.

“Hasil pemeriksaan mendapati motosikal dilaporkan hilang itu berkaitan kes samun dan mendatangkan kecederaan di Hutan Percha, Alor Gajah,” katanya.

Bertindak atas maklumat itu, pihaknya memasuki medan selera berkenaan sebelum menghampiri suspek yang cuba melarikan diri hingga berlaku pergelutan.


“Suspek akhirnya diberkas dan dibawa ke Hospital Kuala Kubu Baru untuk menerima rawatan pesakit luar akibat kecederaan ketika pergelutan,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan kes gaduh dan mencuri motosikal.
Menurutnya, polis turut menemui satu peralatan dipercayai digunakan suspek menikam mangsa di rumahnya di Kampung Sungai Masin, Batang Kali, di sini.

Kelmarin, Harian Metro melaporkan niat baik seorang anggota polis membantu penunggang motosikal yang disangkakan kehabisan petrol membawa padah apabila mangsa ditikam sebelum ditolak ke dalam gaung.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi, motosikal Honda EX5 milik mangsa turut dilarikan penjenayah terbabit. Menurut mangsa, kejadian berlaku apabila dia ke tempat kejadian selepas menerima aduan penduduk kampung mengenai tindak-tanduk mencurigakan seorang lelaki yang tidur di bawah pokok getah sambil memakai topi keledar.

Tragedi main air

MELAKA: Suasana meriah di Pantai Puteri bertukar hiba apabila seorang wanita tidak dapat menahan kesedihan dan pengsan sebaik melihat mayat anaknya yang lemas diangkat ke tepi pantai oleh anggota bomba, tengah hari semalam.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, mangsa, Ajmal Afzan, 6, lemas ketika bermain air di pantai berkenaan bersama abangnya yang berusia tujuh tahun dan beberapa kanak-kanak lain.

Mangsa mengikuti ibunya, Zuhana Ayub, 32, berkelah di pantai itu bersama enam keluarga rakan sekerja ibunya sempena cuti Deepavali dan baru tiba di pantai itu kira-kira jam 10 pagi.

Malah ketika kejadian, ibu mangsa tiada kerana mengambil barang di rumah rakannya di Tangga Batu untuk membuat barbeku dan hanya menyedari kehilangan anaknya apabila tiba di lokasi kejadian.

Difahamkan, rakan ibu mangsa yang berada di lokasi menyangkakan kanak-kanak itu berada di tepi pantai lalu mencarinya di sekitar pantai, namun dimaklumkan abang mangsa bahawa adiknya hilang di dalam air.

Menurut rakan ibu mangsa yang juga saksi kejadian, Putri Nazhatul Shima Abd Habib, 34, ketika itu kanak-kanak terbabit bersama kira-kira 11 kanak-kanak lain berusia antara enam hingga 14 tahun mandi di pantai berkenaan.


“Kami hanya mengetahui kehilangan mangsa sejurus selepas ibunya kembali semula ke pantai apabila dia bertanyakan di mana anaknya.

“Ketika itu, barulah kami menyedarinya, lalu terus mencari anak rakan saya itu di kawasan darat sehingga kira-kira lebih satu jam, namun gagal menemuinya,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

2 rentung dalam kereta


MARAK...Honda City dan Iswara Aeroback  marak terbakar.
MARAK...Honda City dan Iswara Aeroback marak terbakar.

MAUT...Mugunthan dan Jothi rentung.
MAUT...Mugunthan dan Jothi rentung.

REMBAU: “Pasangan suami isteri itu meronta dalam kereta yang sedang terbakar, namun kami gagal menyelamatkan mereka kerana kaki kedua-dua mangsa tersepit,” kata saksi kejadian kemalangan ngeri menyebabkan pasangan suami isteri rentung di Kilometer 16, Jalan Seremban-Tampin berhampiran Ladang Perhentian Tinggi, Pedas dekat sini, semalam.
K Anbarasu, 24, berkata, ketika kejadian, dia bersama rakannya berada di kuil berhampiran dan terkejut mendengar dentuman kuat.

“Saya dan rakan meluru keluar ke arah dua kereta yang terbakar serta cuba menyelamatkan mangsa yang terperangkap di dalamnya. “Kami cuba membantu pasangan suami isteri berkenaan yang ketika itu meronta-ronta meminta tolong, namun gagal kerana kaki mereka tersepit selain api mula marak,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Dalam kejadian jam 8.50 pagi semalam, K Jothi, 35 dan suaminya, P Mugunthan, 42, rentung apabila Honda City dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan dua kenderaan lain.

Dua anak mereka M Vasigaran, 14, dan M Sreekanthan, 10, sempat diselamatkan orang ramai yang memecahkan cermin kereta.

Seorang lelaki berusia 20-an iaitu pemandu Proton Iswara yang turut terbakar dapat diselamatkan orang ramai, manakala pemandu Toyota Camry yang turut terbabit dalam kemalangan itu tidak cedera.


Anbarasu berkata, dia terkejut apabila Honda City dinaiki mangsa dan Proton Iswara hangus terbakar, sekali gus gagal menyelamatkan kedua-dua mangsa.

“Namun, sebelum saya tiba, orang ramai berjaya menyelamatkan dua anak lelaki mangsa dengan memecahkan cermin kereta itu.

“Saya sedih dan kecewa apabila gagal menyelamatkan pasangan itu berikutan api begitu marak menyebabkan mereka terkorban ketika penganut Hindu sedang menyambut Deepavali,” katanya. Sementara itu, adik kepada Jothi, K Vishnu, 28, berkata, dia tidak menyangka kejadian itu berlaku sekelip mata berikutan sempat menemui kakak dan abang iparnya pada pagi kejadian (semalam).

“Tidak sangka kakak dan abang pergi ketika masyarakat Hindu menyambut Deepavali, malah turut meninggalkan dua anak lelakinya.

“Kami sempat meraikan Deepavali pada awal pagi di Taman Seremban Jaya sebelum mereka empat beranak menuju ke Palong, Jempol sebelum pulang ke Skudai, Johor,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Tuanku Jaafar Seremban di sini, semalam.

Vishnu berkata, lebih menyayat hati apabila anak saudaranya, Vasigaran menyaksikan sendiri detik kematian ibu bapanya yang hangus rentung sebelum dia dikejarkan ke HTJS untuk menerima rawatan.

“Namun, saya bersyukur kerana dua anak saudara selamat dan tidak menyangka sambutan perayaan ini bertukar menjadi hari kematian mereka,” katanya.

Menurutnya, abang iparnya bekerja di Singapura dan berasal dari Kuala Selangor, manakala kakaknya suri rumah tangga.

Harian Metro difahamkan, Sreekanthan yang mengalami kecederaan dalaman menerima rawatan di HTJS, manakala Vasigaran hanya cedera ringan.

Tunjuk samseng

GEORGETOWN: Hanya disebabkan sebuah kereta, seorang lelaki terpaksa berhadapan tindakan saman kompaun sehingga RM200 dan anaknya pula ditahan polis gara-gara menyerang anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) di Jalan Burmah, Isnin lalu.
Keadaan berlaku apabila kereta Perodua Myvi lelaki berusia dalam lingkungan lewat 40-an itu ditunda MPPP gagal menjelaskan bayaran selepas tempoh masa empat jam diberikan MPPP kerana menghalang lalu lintas.
Selepas gagal menjelaskan kompaun mengunci tayar berjumlah RM50, anaknya pula dipercayai berlagak samseng apabila bersama dua lagi rakannya membelasah anggota penguat kuasa MPPP dengan menggunakan topi keledar.

Dalam kejadian jam 5.40 petang itu, mangsa Shamsul Mohd Nor, 32, memberitahu berlaku sedikit pertelingkahan kecil dan perasaan tidak berpuas hati antara lelaki berkenaan dengannya selepas tindakannya mengunci tayar kereta itu.


Menurutnya, lelaki berkenaan kemudian menyatakan persetujuan membayar kompaun berkenaan sekiranya dikeluarkan resit pembayaran terlebih dulu.

2 guru, pelajar mangsa terbaru diselamat

ERCIS (Turki): Dua guru sekolah dan seorang penuntut universiti diselamatkan daripada bangunan runtuh di timur Turki, semalam, tiga hari selepas gempa bumi.
Pasukan penyelamat berkata, peluang untuk mencari mangsa yang masih hidup semakin tipis.
Stesen televisyen NTV berkata, guru berusia 25 tahun, Seniye Erdem, ditarik keluar serentak dengan pasukan lain menyelamatkan seorang lagi guru. Wanita itu kehausan dan bertanyakan suaminya, yang mati dalam kejadian gempa bumi itu.

Gozde Bahar, 27, seorang guru Bahasa Inggeris ditarik keluar dari runtuhan bangunan. Dia mengalami kecederaan.


Menurut agensi berita Anatolia, jantungnya berhenti berdegup tetapi doktor berjaya menyelamatkannya.

Sebelum itu, penyelamat menarik pelajar universiti Eyup Erdem, 18, selepas berjaya menemuinya menggunakan sebuah kamera kecil yang diletakkan dihujung kayu.

Jengkaut dan jentera berat mula membersihkan timbunan batu dari bangunan runtuh di Ercis selepas pasukan penyelamat yakin tiada lagi mangsa yang selamat.
Gegaran sekuat 7.2 skala Richter Ahad lalu, menyebabkan kira-kira 461 orang mati dan 1,350 lagi cedera.

Kata seorang daripada penyelamat, Riza Birkan, “Buat masa ini, kami tidak menjumpai tanda-tanda mangsa yang masih hidup. Kami menumpukan perhatian mencari mangsa yang sudah mati.” - AP

Bangkok tenggelam sebulan

BANGKOK: Warga Bangkok yang keliru dan dilanda kebimbangan diberi amaran, banjir yang kemungkinan besar melanda ibu negara Thailand itu boleh berlanjutan berminggu-minggu.
Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra, berkata benteng penahan banjir yang dibina di pinggir Bangkok mungkin tidak mampu menampung limpahan air dari utara.

“Bagaimanapun, saya yakin 50 peratus bahawa bahagian tengah Bangkok tidak akan tenggelam sepenuhnya,” katanya kepada media, semalam.

Berdepan bencana banjir terburuk dalam tempoh beberapa dekad, Yingluck berkata, ketika ini pihak berkuasa menjangkakan banjir di Bangkok akan berlanjutan di antara dua minggu hingga sebulan.

Yingluck juga membetulkan kenyataan kelmarin apabila dia mendakwa, kawasan tengah Bangkok “kemungkinan besar” akan ditenggelami banjir.

Krisis bencana Thailand turut diburukkan lagi dengan pelbagai kenyataan saling bercanggah dikeluarkan pegawai kerajaan Pusat dan tempatan.


Keadaan itu meningkatkan lagi kekeliruan 12 juta penduduk Bangkok.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga terpaksa berjaga-jaga terhadap ancaman buaya yang mungkin terlepas apabila pusat penternakan haiwan ganas di pinggir Bangkok turut dinaiki air.
Semalam, tiga buaya peliharaan sepanjang di antara 1.7 dan 1.8 meter berjaya ditangkap pihak berkuasa di wilayah Nonthaburi, utara Bangkok.

Setakat ini tidak diketahui berapa ekor buaya terlepas dari sangkar pusat pemeliharaan sekitar Bangkok.

Air pasang pada hujung minggu ini dijangka memburukkan lagi keadaan Sungai Chao Phraya.

Yingluck berkata, dalam keadaan paling buruk, kawasan rendah Bangkok mungkin dinaiki air sehingga lebih satu meter.

Sementara itu, lebih 600 banduan, termasuk yang menunggu pelaksanaan hukuman mati, dipindahkan dari Penjara Bang Kwang untuk mengelak kejadian tidak diingini. - AFP

Wanita bunuh 2 anak, suami, ibu tiri demi wang insurans

CHARLESTON (Carolina Selatan): Cubaan seorang ibu mendapatkan wang insurans dengan membunuh empat ahli keluarganya gagal, sebaliknya dia dihadapkan ke mahkamah, kata polis, semalam.
Sebelum itu, Susan Hendricks, 48, memberitahu polis, seorang daripada anak lelakinya membunuh tiga ahli keluarga mereka.

Kata Susan, anak lelakinya itu kemudian membunuh diri dalam kejadian pada 14 Oktober lalu.

Bagaimanapun, apabila polis pergi ke rumah Susan, siasatan dan bukti forensik mendapati Susan sebenarnya membohongi pihak berkuasa.

Akibatnya, berdasarkan bukti dan kenyataan ahli keluarga Susan, wanita terbabit ditahan di sebuah motel pada Isnin lalu dan didakwa membunuh dua anak lelaki, suami dan ibu tirinya.

Dia turut didakwa memiliki pistol yang digunakan ketika pembunuhan itu berlaku.


Pistol berkenaan ditemui pada Susan ketika dia ditahan.

Keluarga Susan berkata, wanita terbabit membunuh untuk mendapatkan wang insurans nyawa mangsa. - Reuters

10 rumah di Alor Setar rosak dilanda ribut





2011/10/27



ALOR SETAR: Sepuluh buah rumah dan sebuah bengkel kereta di Batu 3, Jalan Langgar dekat sini, rosak teruk akibat dipukul ribut kuat petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, bumbung dan dinding kesemua rumah itu terkopak.
Seorang mangsa, Shukri Ibrahim, berkata ribut yang disertai hujan lebat melanda dengan pantas dan menerbangkan bumbung rumahnya dan rumah beberapa jirannya. 

"Saya dan ahli keluarga bimbang rumah kami dihempap pokok dan kami keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri," katanya. 

Shukri berkata, beliau bersyukur kerana keluarganya selamat walaupun beliau cedera ringan di kaki semasa menyelamatkan diri manakala kerugian yang dialaminya belum dapat dinilai. 

Tujuh kereta yang berada dalam bengkel yang dipukul ribut itu turut rosak dihempap dinding dan bumbung bengkel yang tercabut. 
Anggota Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, berkata beliau akan menemui Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak untuk memohon bantuan kepada mangsa. - BERNAMA 

‘Apa salah cucu saya’


ANGKAT...anggota polis mengangkat jenazah Atikah untuk dipindahkan dari HKT ke HSI untuk bedah siasat.
ANGKAT...anggota polis mengangkat jenazah Atikah untuk dipindahkan dari HKT ke HSI untuk bedah siasat.

KOTA TINGGI: “Apa salah cucu saya hingga dia dibunuh begitu kejam, dia hanya berumur 15 tahun,” kata Muhammad Kasim, 62, di sini, semalam.
Cucu warga emas berkenaan, Nurul Atikah Samsiah ditemui mati dibunuh dengan keadaan muka serta badannya lebam teruk dipercayai dibelasah sebelum mayatnya dihumban di dapur sebuah kediaman yang terletak selang tiga rumah dari rumah ibu bapanya.
Mayat Atikah ditemui pada jam 6.30 pagi semalam, selepas hilang sejak jam 2 petang kelmarin, dari rumah keluarganya di Rumah Kakitangan Ladang Kambau, dekat sini.

Menurut Muhammad, dia hampir pengsan selepas menerima panggilan telefon daripada anaknya, Rahimah mengatakan cucunya itu ditemui mati.


“Kali terakhir saya bertemu Atikah ialah Isnin lalu apabila dia datang ke rumah saya di Kampung Sungai Perepat yang terletak 10 kilometer dari rumahnya untuk bertanya khabar selain makan tengah hari.

Lima pelancong asing sesat di hutan ditemui





2011/10/27

LABIS: Pasukan mencari dan penyelamat berjaya menemui semua lima pelancong asing di tepi anak sungai di kawasan Hutan Lipur Sungai Bantang, kira-kira jam 10.50 pagi tadi. 

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Abdul Majid Mohd Ali, berkata polis sedang menggiatkan usaha membawa keluar semua mangsa.

Pelajar berpeleseran awal pagi



Oleh Mohd Yusoff Ahmad

2011/10/27

 SEGELINTIR pelajar  jadikan Taman Cahaya Masai sebagai tempat kegiatan maksiat pada awal pagi.
SEGELINTIR pelajar jadikan Taman Cahaya Masai sebagai tempat kegiatan maksiat pada awal pagi.
Penduduk Taman Cahaya Masai kesal kegiatan sumbang kawasan rumah

JOHOR BAHRU: Penduduk Taman Cahaya Masai di sini, kesal dengan gelagat pelajar institusi pengajian tinggi kerana suka berpeleseran hingga awal pagi, termasuk membawa teman berlainan jantina ke rumah masing-masing.

Sikap kumpulan pelajar terbabit yang tidak bertanggungjawab dalam menjaga tata susila hidup di situ, menyebabkan taman perumahan itu turut mendapat jolokan sebagai Taman Cahaya Maksiat.
Suri rumah, Azizah Hamzah, 42, berkata tindakan pelajar melakukan maksiat dan mengamalkan gaya hidup sosial melampau atau sesuatu yang tidak baik.
“Kebanyakan mereka menyewa sekitar taman perumahan ini kerana pusat pengajian mereka berdepan masalah kekurangan asrama. Namun, apabila duduk di rumah sewa di sini, masing-masing tidak menjaga adab dan tatasusila.

“Berdasarkan etika pakaian setiap kali hendak keluar belajar di kampus, masing-masing kelihatan berpakaian kemas termasuk bertudung bagi yang perempuan.

“Malangnya, apabila sampai di kawasan rumah masing-masing, yang perempuan hanya bersinglet dan berseluar pendek di luar rumah. Setiap hari, pasti ada lelaki yang datang bertandang di rumah terbabit," katanya.

Azizah berkata, ada di kalangan pemilik rumah sewa yang prihatin, melakukan pemeriksaan mengejut terhadap kediaman terbabit dan terserempak dengan pelajar perempuan yang membawa teman lelaki masuk rumah. 
Penduduk, Melati Rosli, 42, menyifatkan kumpulan pelajar terbabit sebagai sudah melampau batasan apabila tidak menghormati sensitiviti masyarakat setempat dan perumahan itu yang turut didiami golongan berkeluarga.

"Mereka menjadikan taman ini seperti kawasan pelacuran apabila bawa teman lelaki masuk rumah serta berpeleseran sesuka hati kerana masing-masing jauh daripada ibu bapa dan masa sama tidak dikawal oleh pengurusan pusat pengajian,” katanya.

Melati mendakwa, ada di kalang-an pelajar terbabit yang bertindak balas dengan membaling mercun atau telur busuk kepada rumah penduduk yang menegur perbuatan maksiat mereka.

Ahli Jawatankuasa Surau An-Nuur berdekatan, Muhd Zaidi Ghazali, 40, menyifatkan gejala negatif yang ditunjukkan golongan pelajar terbabit adalah barah yang boleh merosakkan diri sendiri.

“Perlakuan maksiat di kalangan pelajar ini boleh mengundang bala pada seluruh penduduk taman kerana ia merosakkan nama baik institusi pengajian mereka serta pelajar yang tidak bersalah selain memalukan perumahan ini,” katanya.

Tinjauan Berita Harian mendapati kawasan sekitar rumah yang disewa kumpulan pelajar berkenaan mulai sibuk dengan kereta yang keluar masuk menjemput pelajar perempuan mulai jam 8 malam.

Malah, sehingga jam 2 pagi, masih ada pelajar perempuan dan lelaki sedang berbual mesra di luar rumah sewa dan lorong gelap berdekatan tanpa menghiraukan jiran dan penduduk yang kurang senang dengan perbuatan terbabit. 

Sungai Kreh dicemari najis babi



Oleh Amin Ridzuan Ishak

2011/10/27

TASEK GELUGOR: Pencemaran Sungai Kreh di sini yang berpunca daripada najis babi dari ladang ternakan di Kampung Selamat mungkin satu isu lapuk kerana ia sudah dibangkitkan penduduk yang terbabit sejak lebih sedekad lalu. 

Namun, hingga kini masalah berkenaan tidak berubah dan kesannya bukan saja dirasai penduduk di Kampung Air Melintas Kecil di sini, malah beberapa perkampungan lain seperti Permatang Berangan, Lahar Tembun, Pokok Machang dan Permatang Manggis.
Saban hari penduduk terpaksa menghidu bau busuk yang meloyakan, selain kira-kira 500 petani yang mengusahakan 500 hektar sawah padi menanggung kerugian kerana tanaman padi kurang memuaskan akibat air yang tercemar dengan najis babi.
Apabila kerajaan negeri memperkenalkan kempen Pulau Pinang Hijau Bersih tahun lalu dalam usahanya mengubah persekitaran di negeri ini, ramai penduduk menarik nafas lega kerana merasakan masalah yang dihadapi sejak sekian lama itu bakal berakhir. 

Bagaimanapun, sejak kempen itu dilancarkan sehingga kini, penduduk masih tidak dapat melihat pelaksanaan sebarang program di kampung mereka, walaupun satu daripada inisiatif program terbabit adalah membersihkan sungai. 

Penduduk Kampung Air Melintas Kecil, Rahim Daud, berkata penduduk masih menunggu pelaksanaan program itu bagi membolehkan Sungai Kreh yang tercemar dengan najis babi dapat diberi nafas baru, sekali gus memberi kehidupan lebih baik. 

“Sehingga kini, tiada satu program untuk mengatasi masalah pencemaran itu diadakan di sini. Kami amat berharap supaya sesuatu dapat dilakukan bagi mengatasi pencemaran Sungai Kreh yang bukan saja menjejaskan kehidupan seharian penduduk, tetapi beratus-ratus pesawah yang menanggung kerugian,” katanya. 
Rahim yang mengusahakan sawah padi, berkata hasil tanaman padi semakin berkurangan kerana terpaksa menggunakan air dari sungai yang tercemar dengan najis babi. 

“Air itu mempunyai kandungan baja yang tinggi...walaupun padi kami nampak subur tetapi isinya kurang. Pokok padi kami juga cepat rebah kerana cepat membesar,” katanya. 

Difahamkan, kadar kandungan baja di Sungai Kreh tidak sesuai untuk tanaman padi dan Jabatan Pertanian sedang melakukan kajian di sebuah kawasan khas bagi membuktikan bahawa tanaman padi di situ terjejas kerana pencemaran sungai. 

Sebelum ini, ada cadangan pusat penternakan babi di Kampung Selamat dipindahkan ke Batu Kawan, Seberang Prai Selatan (SPS) tetapi setakat ini tiada perkembangan lanjut. 

Seorang pesawah di Kampung Air Melintas Kecil, Ibrahim Ismail, berkata hasil tanaman padinya berkurangan secara mendadak kerana menggunakan sumber air dari sungai itu. 

“Jika dilihat pada setangkai padi, hanya 70 peratus mempunyai isi manakala selebihnya kosong. Memang kalau dilihat ia subur, tetapi tidak baik kerana sebenarnya memudahkan tanaman padi untuk rebah dan seterusnya mati. 

“Saya harap masalah ini diatasi segera kerana membabitkan mata pencarian kami. Kalau tidak ada perubahan, makin teruklah hasil tanaman kami terjejas,” katanya. 

10 warga Malaysia dihukum penjara di New Zealand



WELLINGTON 26 Okt. - Seramai 10 orang rakyat Malaysia yang cuba menyeludup dadah ke New Zealand di dalam kasut yang dipakai mereka dijatuhkan hukuman penjara sehingga 10 tahun oleh Mahkamah Tinggi Auckland, hari ini.
Mereka ditahan ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland April lalu, setelah pegawai kastam mendapati mereka berjalan dalam keadaan mencurigakan.
Mereka dijatuhkan hukuman penjara selama sembilan tahun 11 bulan hingga 10 tahun enam bulan.
Setiap seorang daripada mereka didapati menyorok dadah jenis methamphetamine seberat 800 gram hingga sekilogram di dalam kasut.
Kumpulan penyeludup dari Malaysia itu merupakan kumpulan utusan dadah paling ramai memasuki New Zealand yang ditangkap dalam masa yang sama.
Peguam bela berkata, lapan orang lelaki dan dua wanita itu direkrut sendiri oleh peminjam wang haram kerana terlibat dengan dadah, hutang perniagaan, perubatan atau perjudian dan masalah kewangan lain.
Hakim mengarahkan kebanyakan daripada defendan menghabiskan hukuman penjara selama empat tahun dan enam bulan sebelum melayakkan diri untuk parol. - dpa

Bekas kerani dicari bantu siasatan kehilangan RM1 juta



PULAU PINANG 26 Okt. - Polis memburu seorang kerani wanita yang dipercayai bertanggungjawab melarikan wang RM1 juta milik syarikat tempatnya bekerja dengan memindahkan wang tersebut ke dalam akaun pihak ketiga setelah memalsukan tandatangan majikannya.
Suspek berusia 38 tahun disyaki melakukan jenayah itu antara 2006 dan 2009.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Asisten Komisioner Roslee Chik, berdasarkan siasatan polis, suspek telah mengeluarkan 49 cek syarikat kepada tiga akaun yang dimilikinya selain suami dan rakannya.
"Ia terbongkar kerana suspek tiba-tiba meletakkan jawatan. Majikannya membuat laporan polis pada Oktober 2009," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Roslee berkata, hasil siasatan mendapati suspek telah bekerja selama 16 tahun di syarikat itu dan sehingga kini dipercayai masih berada di negara ini.
"Suspek diamanahkan untuk menguruskan semua urusan yang berkaitan kewangan oleh majikannya, tetapi dia pula mengkhianati syarikat itu," katanya.
Tambahnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan sama, Roslee berkata, polis mahu menghubungi Ooi Chew Gue (gambar), 38, yang beralamat di 33-09-12 Lorong Semarak Api 3, Desa Sri Swarna Bandar Baru, 11500 Air Itam bagi membantu dalam siasatan berkenaan.
Tambahnya, sesiapa yang mempunyai maklumat tentang Chew Gue diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Azrim Abu Bakar pada nombor telefon 04-5824222.

Wanita positif dadah ditahan



MELAKA 26 Okt. - Seorang ibu kepada dua anak antara tujuh ditahan kerana positif dadah dalam Operasi Bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri bersama tujuh agensi lain di Lebuh AMJ berhampiran Hotel Straits Meridian dan Simpang Empat Batu Berendam di sini, malam tadi.
Hasil pemeriksaan mendapati wanita berusia 30-an itu dan bekerja di sebuah pusat hiburan turut tidak memiliki lesen memandu yang sah, manakala kereta Proton Gen 2 dipandunya tidak memiliki cukai jalan dan perlindungan insurans.
Pengarah JPJ negeri, Mohd. Fadhil Hassan berkata, kesemua mereka adalah antara 37 pemandu yang diperiksa oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam operasi yang bermula pukul 9 malam hingga pukul 12 tengah malam.
Menurutnya, dalam operasi tersebut 905 buah kenderaan termasuk motosikal dan lori telah diperiksa.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 158 kenderaan diambil tindakan dengan 117 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya. Secara keseluruhan 181 kesalahan telah dikesan dalam operasi tersebut," katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.
Turut hadir Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Norazle Sulaiman dan Pengarah AADK, Maizura Zakaria.
Selain AADK, operasi itu turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Seramai 141 anggota terlibat dalam operasi itu.
Mohd. Fadhil berkata, JPJ turut menyita lapan motosikal, sebuah kereta dan lori atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Menurutnya, antara kesalahan dilakukan adalah tiada lesen memandu sebanyak 73 kes, menggunakan lampu HID (50), cukai jalan tamat tempoh (23), tidak memiliki perlindungan insurans (23), melanggar syarat vokasional (enam), nombor pendaftaran (empat) dan lain-lain kesalahan (dua).
Beliau menambah, operasi itu bertujuan mengurangkan kadar kemalangan dan kematian selain memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang.

Dua pemuda rempuh sekatan diberkas



KEPALA BATAS 26 Okt. - Polis terpaksa mengejar sebuah kereta dinaiki dua pemuda sejauh kira-kira 12 kilometer selepas kenderaan itu merempuh sekatan jalan raya berhampiran Plaza Tol Sungai Dua dekat sini hari ini, sebelum berjaya menahannya.
Pegawai Turus Unit Peronda Polis Negeri, Cif Inspektor Rohizad Halim berkata, pihaknya mengesan kereta Proton Wira itu dalam keadaan mencurigakan lalu mengarahkan pemandunya berhenti untuk pemeriksaan.
Namun, ujarnya, pemandu kereta terbabit terus memecut kenderaan itu menghala ke utara dan merempuh palang tol.
"Unit Peronda Elit Evolution X Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang terpaksa mengejarnya dan menahan kereta terbabit pukul 8.15 pagi.
"Hasil pemeriksaan mendapati kedua-duanya yang berusia 20-an mengaku datang dari Pendang, Kedah untuk berhibur di Pulau Pinang sempena Deepavali selain mendapatkan bekalan dadah daripada pembekal di negeri ini.
"Pemeriksaan ke atas kereta terbabit menemui satu peket serbuk kristal dipercayai syabu yang disorokkan di dalam kereta. Ia dipercayai untuk dijual di sekitar Pendang," katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Rohizad, seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes curi dan juga dadah.
Katanya, kedua-duanya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Mayat bayi ditemui bawah katil





KUALA LUMPUR 26 Okt. - Seorang bapa tidak menyangka pendarahan dialami anak gadisnya yang berusia 14 tahun di rumah mereka di Kampung Sungai Rasau, Sepang dekat sini semalam, sebenarnya kerana melahirkan anak.
Difahamkan, kejadian itu turut membongkar tindakan gadis terbabit yang telah menggugurkan sendiri kandungannya sebanyak empat kali sejak berusia 13 tahun.
Bagaimanapun dalam kejadian sebelum ini, dia tidak mengalami sebarang masalah termasuk pendarahan.
Rahsia gadis itu terbongkar selepas lelaki tersebut membawa anaknya ke Hospital Putrajaya, untuk pemeriksaan, semalam.
Hasil pemeriksaan doktor mendapati pelajar sekolah menengah itu melalui proses bersalin tidak lengkap berikutan terdapat uri dan tali pusat yang telah dipotong di dalam rahimnya.
Jurucakap polis berkata, berikutan itu, bapa saudara gadis berkenaan membuat laporan polis bagi mengesan bayi yang baru dilahirkan tersebut.
"Bertindak atas maklumat, polis membuat pemeriksaan di rumah gadis berkenaan pukul 6 petang dan telah menemui bungkusan yang mencurigakan di bawah katil.
"Pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan itu berisi mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat. Bayi itu dipercayai dilahirkan belum cukup bulan dan dalam tempoh kurang 24 jam sebelum ditemui," katanya di sini hari ini.
Tambah jurucakap itu, sepanjang tempoh kehamilan, gadis itu tinggal di rumah terbabit bersama ibu dan bapanya yang bekerja sebagai peniaga.
Katanya, berikutan pendarahan yang serius, gadis terbabit ditahan di wad, manakala keadaannya dilaporkan stabil.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah ketika dihubungi hari ini mengesahkan penemuan bayi itu.
Menurutnya, siasatan terperinci mengenai kes tersebut masih dijalankan.

Penduduk parah dibelasah warga Nepal




MOHD. Zamri Alias (kiri) menunjukkan tangannya yang patah kepada Mohamed Arim akibat dibelasah warga Nepal di Pangsapuri Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang, semalam. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI


JOHOR BAHRU 26 Okt. – Niat baik seorang penduduk Tanjung Puteri Apartmen Resort, dekat sini, menegur sekumpulan warga Nepal yang membuat bising dan mabuk di kawasan kediaman membawa padah apabila dia dipukul sehingga cedera, malam tadi.
Dalam kejadian pukul 8.30 malam itu, mangsa, Mohd. Zamri Alias, 40, dibelasah kira-kira lima warga Nepal sehingga patah tangan kanan, patah gigi, calar dan bengkak di bahagian telinga serta diberi cuti sakit oleh pihak hospital selama 14 hari.
Mohd. Zamri berkata, dia menegur kumpulan pekerja asing tersebut yang membuat bising selain mabuk di kawasan terbuka kerana boleh mengganggu ketenteraman penduduk lain.
“Bila saya cakap sahaja macam itu, salah seorang daripada mereka menolak saya sehingga jatuh dan terus memukul saya bertubi-tubi. Waktu itu saya tidak ingat apa kerana hanya mampu melindungi muka daripada dipukul.
“Ketika dipukul itu juga, salah seorang daripada mereka mengugut akan membunuh saya. Saya menjerit meminta tolong dan syukurlah ada beberapa penduduk setempat segera memberi bantuan dan meleraikan pergaduhan,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, hari ini.
Mohd. Zamri yang bekerja sebagai penyelenggara landskap Tanjung Puteri Golf Resort itu berkata, kejadian tersebut pertama kali berlaku di kawasan kediamannya yang mempunyai 16 blok bangunan.
Menurutnya, warga asing yang menetap di kawasan itu sering membuat kacau seperti bising dan mabuk terutama ketika cuti umum dan hari minggu.
“Lepas minum, mereka membiarkan sahaja botol dan tin minuman di merata-rata tempat dan ia mengundang rasa kurang selesa kepada penduduk terutama mereka yang mempunyai anak-anak berusia empat hingga 12 tahun.
“Kanak-kanak yang baru nak mengenal dunia itu bukan tahu ia baik atau buruk. Ada pernah terjadi kaki seorang kanak-kanak terkena serpihan kaca botol minuman keras yang dibuang merata-rata,” katanya.
Pengerusi Perbadanan Pengurusan Tanjung Puteri Apartmen Resort, Mohamad Arim meminta majikan kepada pekerja asing tersebut mengambil inisiatif memberi penjelasan tentang adat dan budaya masyarakat di negara ini.
“Kita harap ia kejadian pertama dan terakhir yang berlaku di sini. Pihak majikan wajar mengambil tahu perihal mereka di sini dan mengambil tindakan terhadap mereka sekiranya bersalah.
“Ini kerana keselamatan penduduk sering kali terancam dengan perbuatan kumpulan pekerja asing yang tidak bertanggungjawab itu,” katanya.

Gadis hilang ditemui mati dibunuh





KOTA TINGGI 26 Okt. - Seorang gadis yang dilaporkan hilang petang semalam ditemui mati di ruang dapur sebuah rumah, selang tiga pintu dari rumah keluarganya di kuarters Ladang Kambau, Tanjung Sedili, dekat sini hari ini.
Mangsa, Nurul Atikah Samsiah, 15, yang berpakaian kemeja dan seluar sukan dijumpai pada pukul 6.30 pagi dengan kesan lebam di seluruh muka dan anggota badan.
Selain itu, terdapat kesan seret di permukaan lantai dapur dan sekitar tempat kejadian dipercayai kesan ketika mangsa dibawa masuk ke dalam rumah tersebut oleh pembunuhnya.
Datuk mangsa Muhammad Kasim, 62, berkata, mangsa yang tinggal di rumah kakitangan Ladang Kambau bersama ibu bapanya dikatakan hilang sejak pukul 2 petang semalam.
"Ahli keluarga dan jiran mencari mangsa sejak petang dan menemui mayat mangsa pagi tadi di rumah itu.
''Anak saya Rahimah (ibu mangsa) menelefon saya yang tinggal di Kampung Sungai Perepat, kira-kira 10 kilometer dari tempat kejadian bahawa mayat Nurul dijumpai," ketika ditemui di Hospital Kota Tinggi.
Difahamkan rumah tempat mayat mangsa ditemui itu didiami oleh seorang pekerja bujang yang jarang pulang ke rumah kecuali waktu tertentu untuk memasak.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Abdul Samad Salleh dan sepasukan polis bergegas ke tempat kejadian sebaik di maklumkan penemuan tersebut diikuti sepasukan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Unit Anjing Pengesan (K9) untuk membantu siasatan.
Menurut Abdul Samad, pihaknya percaya kes itu dapat diselesaikan dengan tertangkapnya seorang suspek yang merupakan seorang pekerja ladang warga tempatan berusia 41 tahun yang kini ditahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Saif al-Islam masih gagal ditemui




Beberapa sukarelawan mengeluarkan mayat seorang tentera yang ditemui terapung dalam kolam bekalan air di Sirte, Libya, kelmarin. - REUTERS


BANI WALID 26 Okt. - Seorang pemimpin tentera ketika pemerintahan Muammar Gaddafi, al-Senussi Sharif al-Senussi mendakwa, anak sulung Gaddafi, Saif al-Islam (gambar) dikatakan sering menghubungi bapanya itu dan melahirkan kebimbangan terhadap serangan bom mortar ketika cuba melarikan diri dari Bani Walid, minggu lalu.
''Dia (Saif) sangat takut dan banyak kali menghubungi Gaddafi menggunakan sistem telefon satelit Thuraya.
''Saif juga memberi amaran kepada kami supaya jangan beritahu sesiapa di mana dia berada dan jangan benarkan sesiapa pun berjaya menjejakinya.
''Dia sangat takut dengan serangan mortar,'' katanya kepada Reuters di pusat tahanan sementara di dalam bangunan lapangan terbang Bani Walid, semalam.
Al-Senussi Sharif yang berpangkat leftenan dan merupakan sebahagian daripada pasukan keselamatan Saif ditahan di pusat tahanan sementara itu selepas ditangkap tentera Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) bersama beberapa tentera pro-Gaddafi, minggu lalu.
Penahanan beliau disahkan oleh komander tentera anti-Gaddafi di utara Bani Walid, Omar al Mukhtar yang bertanggungjawab mengawal lapangan terbang serta pusat tahanan berkenaan.
Saif yang mendapat pendidikan di London merupakan satu-satunya anak Gaddafi yang sehingga kini masih gagal dikesan.
Sementara itu, Al-Senussi Sharif mengaku berada di medan perang semasa pertempuran antara tentera pro-Gaddafi dan tentera NTC di Bani Walid.
''Saya berada di barisan hadapan tetapi ditangkap pada hari Bani Walid jatuh ke tangan tentera pemberontak pada 17 Oktober lalu.
''Kami juga diberitahu oleh beberapa komander tentera pro-Gaddafi yang pasukan tentera tambahan dalam perjalanan ke Bani Walid. Tetapi itu tidak berlaku,'' katanya.
Semalam, sumber NTC berkata, Saif dikatakan berada berhampiran sempadan antara Niger dan Algeria serta merancang untuk melarikan diri dari Libya menggunakan pasport palsu. - REUTERS

10 warga Malaysia dihukum penjara di New Zealand



WELLINGTON 26 Okt. - Seramai 10 orang rakyat Malaysia yang cuba menyeludup dadah ke New Zealand di dalam kasut yang dipakai mereka dijatuhkan hukuman penjara sehingga 10 tahun oleh Mahkamah Tinggi Auckland, hari ini.
Mereka ditahan ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland April lalu, setelah pegawai kastam mendapati mereka berjalan dalam keadaan mencurigakan.
Mereka dijatuhkan hukuman penjara selama sembilan tahun 11 bulan hingga 10 tahun enam bulan.
Setiap seorang daripada mereka didapati menyorok dadah jenis methamphetamine seberat 800 gram hingga sekilogram di dalam kasut.
Kumpulan penyeludup dari Malaysia itu merupakan kumpulan utusan dadah paling ramai memasuki New Zealand yang ditangkap dalam masa yang sama.
Peguam bela berkata, lapan orang lelaki dan dua wanita itu direkrut sendiri oleh peminjam wang haram kerana terlibat dengan dadah, hutang perniagaan, perubatan atau perjudian dan masalah kewangan lain.
Hakim mengarahkan kebanyakan daripada defendan menghabiskan hukuman penjara selama empat tahun dan enam bulan sebelum melayakkan diri untuk parol. - dpa
-utusan

Pelbagai helah elak ditangkap pihak berkuasa




Anggota RELA mengarahkan golongan gelandangan yang tinggal di tepi pasar besar mengemaskan pakaian untuk didokumentasikan bagi tindakan selanjutnya di Kota Kinabalu, baru-baru ini.


KOTA KINABALU 26 Okt. - Akibat terkejut dengan operasi Ops Thunder 1, dua lelaki nekad melarikan diri dengan hanya memakai seluar dalam.
Kedua-dua mereka tinggal secara haram di sebuah rumah terbiar berhampiran Dewan Masyarakat Kota Kinabalu.
Pemeriksaan pihak berkuasa berjaya menemui kira-kira 12 orang termasuk kanak-kanak yang turut tinggal di rumah berkenaan.
Seterusnya, di kawasan Bandaran Berjaya di sini, seorang lelaki cuba mengaku seorang 'mata-mata gelap' bahagian narkotik selepas disoal oleh seorang anggota polis.
Lelaki berkenaan yang mengaku berasal dari Semenanjung juga membuat pelbagai alasan untuk melepaskan diri, bagaimanapun dia yang tidur di kaki lima akhirnya dibawa ke pejabat Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk disoal siasat.
Itu antara situasi yang dihadapi oleh penguat kuasa semasa menjalankan Ops Thunder bagi menangani masalah kutu rayau dan orang gelandangan di bandar raya ini.
Bagi Pembantu Penguat Kuasa Kanan DBKK, Mohd. Bahazan Othman, situasi itu merupakan perkara lumrah yang dialami oleh pihak berkuasa dalam menjalankan tugas dan operasi.
"Adakalanya kita perlu bertegas dan ada kalanya berlembut bagi memastikan kejayaan sesuatu operasi. Saya bersyukur operasi yang dijalankan ini mencapai kejayaan dan tiada perkara yang tidak diingini berlaku," ujarnya.
Beliau memberitahu seramai 32 golongan sasar yang terdiri daripada rakyat tempatan telah direkod termasuk 11 perempuan dalam operasi berkenaan.
Selain itu katanya, pihak berkuasa turut menahan tujuh warganegara asing manakala polis menahan seorang lelaki untuk siasatan lanjut.
-utusan

Ibu bapa persoal bayaran RM10



SEORANG penduduk menunjukkan bukti yuran yang dikenakan ke atas murid-murid sekolah agama Taman Kota Masai sebanyak RM10 sebulan di Pasir Gudang semalam.


JOHOR BAHRU - Sekumpulan ibu bapa di Kota Masai, Pasir Gudang di sini menuntut penjelasan daripada pihak pengurusan sebuah sekolah agama di kawasan terbabit yang didakwa mengenakan bayaran tambahan tidak munasabah untuk setiap pelajar.

Menurut mereka, sekolah terbabit mengenakan bayaran RM10 setiap bulan untuk setiap pelajar sejak sepuluh tahun lalu.

Seorang bapa, Zainorin Sajat, 39, berkata, mereka inginkan penjelasan terperinci ke mana wang tersebut disalurkan memandangkan bayaran tersebut agak membebankan kerana perlu dibayar setiap bulan.

Katanya, setiap kali mengajukan soalan kepada pihak pengurusan sekolah, mereka diberi alasan yang tidak jelas dan jika ada ibu bapa yang tidak menjelaskan bayaran terbabit, kad laporan prestasi anak-anak mereka akan disekat oleh pihak sekolah.

"Pada mulanya, mereka kata wang tersebut digunakan untuk membayar sewa rumah kedai yang dijadikan kelas serta pelbagai kos lain tetapi selepas bangunan sekolah siap awal tahun ini, kami masih dikenakan bayaran sama.

"Jika benar wang tersebut digunakan untuk membayar sewa, tunjukkan kami semua butiran pembayaran," katanya kepada pemberita di Pasir Gudang semalam.

Sementara itu, seorang lagi bapa, Azarudin Johar, 41, mendakwa, meskipun RM10 dilihat agak kecil, namun dia agak terbeban kerana tiga anaknya belajar di sekolah terbabit.

"Bayangkan, jika RM30 setiap bulan terpaksa saya bayar untuk tiga anak yang bersekolah di sana, berapa pula yang terpaksa saya bayar setiap tahun.

"Ini tidak kira dengan bayaran yuran tahunan yang wajib dibayar setiap kali pendaftaran. Tahun hadapan, saya akan lebih terbeban kerana seorang lagi anak saya akan mula bersekolah di situ," katanya.

Dalam pada itu, Penyelia Pusat Aduan Rakyat Zon Permas dan Johor, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya akan membuat surat yang ditandatangani ibu bapa untuk meminta agar wang tambahan tersebut dimansuhkan.

"Surat tersebut akan saya bawa ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang," katanya.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'