Search This Blog

Wednesday, October 26, 2011

Suami isteri rentung, dua anak cedera parah

SEREMBAN: Hasrat sebuah keluarga untuk meraikan Deepavali di rumah seorang daripada anggota keluarga mereka di Alor Gajah, Melaka tidak kesampaian apabila pasangan suami isteri itu maut manakala dua anak mereka cedera parah dalam kemalangan di Batu 10, Jalan Seremban-Tampin, pagi ini.
P Mugunthan, 42, dan isterinya, K Sothi, 36, rentung dalam kereta Honda Civic mereka yang terbakar selepas terbabit dalam nahas jalan raya dengan dua lagi kenderaan pada kira-kira 8.56 pagi ini, menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Zamrus Zainal. "Kedua-dua anak lelaki mereka yang berusia 13 dan 10 tahun berjaya diselamatkan oleh orang ramai," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Dua lagi lelaki yang memandu kereta Proton Iswara dan Toyota Camry yang terbabit dalam kemalangan itu juga terselamat, katanya.

Mayat pasangan suami isteri itu dihantar ke Hospital Seremban untuk bedah siasat dan kedua-dua anak lelaki mereka turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan, kata Zamrus.

Beliau berkata, tiga buah jentera bomba dari Senawang, Seremban 2 dan Rembau bersama-sama 14 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.
Sementara itu, rakan kepada mangsa yang enggan namanya disiarkan berkata ketika kejadian, keluarga itu dalam perjalanan ke Alor Gajah, Melaka untuk meraikan Deepavali di rumah seorang adik beradik mereka.

"Malam tadi keluarga ini bermalam di rumah ayah Sothi di Taman Seremban Jaya. Saya sedih kerana kawan saya sudah mati terbakar," katanya. - BERNAMA Berita Harian Online | Suami isteri rentung, dua anak cedera parah:

'via Blog this'

Jabatan Penjara nafi tidak lakukan bedah siasat terhadap mayat Mogana

KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara Malaysia hari ini menafikan dakwaan kononnya pihak jabatan tidak menjalankan bedah siasat terhadap mayat seorang tahanan reman R Mogana Sundram yang mati selepas menggantung dirinya dalam penjara tiga hari lalu, sebelum menyerahkan mayat tahanan itu kepada anggota keluarganya.

Sebaliknya, menurut jabatan itu, penyerahan mayat Mogana kepada keluarganya dilakukan dengan sempurna selepas bedah siasat selesai dijalankan pada 23 Oktober.
Menurut kenyataan Unit Sekretariat dan Perhubungan Awam Jabatan Penjara Malaysia, inkues koroner yang dijalankan mendapati tiada kecederaan lain pada anggota badan Mogana kecuali kesan jerutan pada leher.
Menurut kenyataan itu, pihak Jabatan Penjara Taiping sudah mengambil beberapa tindakan mengikut prosedur yang ditetapkan iaitu memaklumkan kepada keluarga berhubung kematian yang berlaku, membuat laporan polis, memastikan inkues koroner dijalankan, menjalankan siasatan dalaman dan menyerahkan mayat kepada anggota keluarga selepas semua proses termasuk bedah siasat dilaksanakan.

"Oleh itu kenyataan yang mendakwa bahawa bedah siasat tidak dijalankan ke atas mayat Mogana adalah tidak benar," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menjelaskan bahawa pihak Jabatan tidak terbabit sama sekali dengan mana-mana syarikat keranda yang menguruskan mayat tahanan reman itu.

Dua hari lalu, A Jagathambal,55, ibu kepada Mogana mendakwa bedah siasat tidak dilakukan atas mayat anaknya yang dilaporkan mati semasa berada dalam tahanan reman di Penjara Taiping dan mendesak pihak polis melakukan bebah siasat bagi memastikan punca kematian anaknya itu.
Jagathambal turut mempersoalkan tindakan polis dan Penjara Taiping yang mengarahkan sebuah syarikat keranda untuk menguruskan mayat anaknya serta mengatur upacara pembakaran tanpa persetujuan pihak keluarganya.

Beliau berkata, mayat anaknya itu kini ditempatkan di rumah keluarganya di Taman Meru, Ipoh dan tidak akan dibakar atau dikebumikan sehingga bedah siasat dilakukan.

Mogana adalah anak bongsu daripada tiga beradik dan bekerja di sebuah kedai besi buruk sebelum ini ditahan polis kerana kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, sebulan lalu. - BERNAMA
Berita Harian Online | Jabatan Penjara nafi tidak lakukan bedah siasat terhadap mayat Mogana:

'via Blog this'

Polis cari waris mangsa langgar di Sungai Petani

SUNGAI PETANI: Polis sedang mencari waris kepada seorang lelaki yang maut akibat dilanggar sebuah bas ketika cuba melintas jalan di KM113.5 Lebuhraya Utara-Selatan di sini kira-kira 8 malam tadi.

Jurucakap polis berkata, mangsa yang berkulit sawo matang dipercayai lelaki Melayu berusia lingkungan 50-an dan mempunyai ketinggian kira-kira 1.64 meter.
Katanya, mangsa dipercayai kurang siuman dan kemalangan berlaku ketika hujan lebat.
Beliau meminta sesiapa yang kehilangan ahli keluarga supaya menghubungi Inspektor Mohamad KA Razak di talian 019-4102356 atau cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di talian 04-4232222. - BERNAMA Berita Harian Online | Polis cari waris mangsa langgar di Sungai Petani:

'via Blog this'

10 hari betarung nyawa

KUALA LUMPUR: Seorang jururawat berusia 28 tahun yang bertarung nyawa selama 10 hari akibat melecur di hampir keseluruhan badannya menghembuskan nafas terakhir di wad Unit Kecemasan, Hospital Kuala Lumpur (HKL), pagi semalam.

Difahamkan, mangsa yang dikenali sebagai Suriani Yahaya meninggal pada kira-kira jam 4.30 pagi semalam akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Pihak hospital kemudian menghubungi waris kepada mangsa untuk datang menuntut mayat sebelum bedah siasat dilakukan pada jam 9 pagi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa ketika dihubungi berkata, polis masih menunggu laporan penuh bedah siasat daripada pihak hospital yang dijangka akan diterima selewat-lewatnya pagi ini.


“Suspek iaitu suami mangsa masih lagi ditahan reman sehingga kini dan dijadualkan tamat pada

hari esok (hari ini).

“Bagaimanapun, reman mungkin akan dilanjutkan selama seminggu bagi menyiapkan kertas siasatan sebelum dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.

Kahiri berkata, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan bergantung kepada hasil laporan sama ada perlu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun keseksaan kerana membunuh.

myMetro | 10 hari betarung nyawa:

'via Blog this'

Tiga maut dalam siri letupan di Yala




2011/10/26

YALA: Beberapa siri letupan menggegarkan seluruh bandar di selatan Thailand menyebabkan sekurang-kurangnya tiga maut dan berpuluh lagi cedera.

Menurut pihak berkuasa tempatan, sebanyak 15 letupan kedengaran di sekitar Yala, sekali gus menimbulkan keadaan tegang di bandar tersebut.
“Siri letupan itu dipercayai dilakukan oleh kumpulan pemberontak Islam, sekurang-kurangnya tiga maut termasuk dua pemberontak dan lebih 50 cedera,” kata Gabenor Krisada Boonrach. – AFP
Berita Harian Online | Tiga maut dalam siri letupan di Yala:

'via Blog this'

Bayi selamat dikeluarkan dari celah runtuhan




2011/10/26

ERCIS, Turki: Bayi perempuan berusia dua minggu berjaya dikeluarkan dari celah runtuhan sebuah bangunan apartmen, 72 jam selepas gempa bumi berukuran 7.2 magnitud melanda timur Turki.

Imej di televisyen negara itu semalam menunjukkan beberapa anggota penyelamat bertepuk tangan semasa bayi berkenaan dikeluarkan dari celah runtuhan.
Bayi bernama Azra Karaduman itu dibawa keluar oleh seorang anggota penyelamat dalam keadaan bogel dan kemudian dibalut dengan selimut dan diserahkan kepada anggota paramedik.
Ketika ditemui anggota penyelamat, bayi itu berada dalam dakapan ibunya.

Mereka turut melakukan usaha untuk mengeluarkan ibu bayi itu termasuk neneknya yang masih hidup.

"Saya amat teruja. Apa lagi yang perlu saya katakan. Biarkan Tuhan membantu mereka," kata nenek bayi itu, Sevim Yigit kepada Reuters.

Menurutnya, bayi itu dilahirkan dua minggu lalu.
Gempa bumi yang berlaku pada Ahad lalu itu meruntuhkan lebih 2,000 bangunan dan menyebabkan 366 orang terbunuh.

- Reuters
Berita Harian Online | Bayi selamat dikeluarkan dari celah runtuhan:

'via Blog this'

Lelaki tarik kemaluan bapa tiri, ibu diugut bunuh kerana enggan beri wang


PETALING JAYA 25 Okt. - Kemaluannya ditarik sebelum dia dan isterinya diugut bunuh oleh anak mereka kerana enggan memberikan lelaki itu wang.

Akibat daripada kejadian itu, mangsa yang merupakan bapa tiri kepada tertuduh mengadu sakit di bahagian kemaluannya.

Demikian kandungan fakta kes yang dibacakan di Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas P. Satish, 31, mengaku bersalah atas tuduhan mengugut untuk membunuh ibu dan bapa tirinya dengan sebilah pisau dan tali, minggu lalu.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap G. Thelahawathie, 51, dan M. Munusamy, 56, di rumah mereka di C-1-6 Pangsapuri Fairville, Jalan USJ 22/1, Subang Jaya di sini pada pukul 10.30 malam, 20 Oktober lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Ruvinna Mohd. Rawi mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dengan pengakuan bersalah tersebut, Majistret Ahmad Solihin Abd. Wahid menjatuhkan hukuman denda RM1,500 atau penjara tiga bulan terhadap lelaki itu.

Terdahulu, Satish yang tidak diwakili peguam bela mendakwa, dia berada dalam keadaan mabuk dan tidak sedar dengan apa yang dilakukannya terhadap kedua-dua mangsa.

''Saya merayu agar tidak dikenakan hukuman penjara kerana ingin menyambut perayaan Deepavali bersama keluarga,'' katanya dengan nada yang sebak.

Sementara itu di mahkamah sama, Satish turut mengaku bersalah atas tuduhan memasukkan dadah jenis methamphetamine ke dalam badannya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Subang Jaya, Bukit Puchong di sini pada pukul 12.50 tengah hari, 24 Ogos lalu.

Bagi kesalahan tersebut, bapa kepada dua orang anak itu yang didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, didenda RM700 atau penjara satu bulan serta dua tahun pengawasan polis.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

Natasya dakwa tanggung belanja sekolah anak



ZAINAL Abidin hadir bersama peguamnya pada perbicaraan tuntutan nafkah oleh bekas isterinya di Mahkamah Tinggi Syariah, Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 25 Okt. - Bekas isteri penyanyi, Zainal Abidin yang terkenal dengan lagu Hijau mendakwa dia telah menanggung semua perbelanjaan persekolahan dua anaknya bagi mengelakkan mereka diberhentikan daripada sekolah dan tidak dapat menduduki peperiksaan jika bayaran tidak dibuat mengikut masa.

Natasya Gabriel Abdullah berkata, dia telah menempatkan dua anaknya itu di sekolah yang bagus dan mendakwa kedua-dua permata hatinya itu telah membesar dengan baik.

Wanita berusia 52 tahun itu berkata demikian di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini ketika disoal oleh peguam syarie yang mewakilinya, Norhusniah Husin dalam perbicaraan kes tuntutan nafkah anak yang dikemukakannya terhadap bekas suaminya itu.

Natasya setakat hari ini telah mengesahkan 85 daripada 224 dokumen yang mengandungi bukti-bukti pembayaran yang ditandakan sebagai keterangannya dalam kes tersebut.

Ia merangkumi bayaran persekolahan di sekolah kebangsaan dan sekolah swasta (pelajar khas) bagi anak lelakinya, Mikhail, 18, yang menghidap autisme serta resit-resit pembayaran persekolahan anak perempuannya, Timur, 16.

Bayaran tersebut termasuk yuran sekolah yang dibayar secara tahunan dan bulanan, tambang pengangkutan ke sekolah, pakaian seragam sekolah, buku-buku serta kos-kos tambahan yang berkaitan.

Natasya yang merupakan bekas model menuntut nafkah anak berjumlah RM167,102.04 ke atas bekas vokalis kumpulan Headwind pada tahun lalu.

Jumlah tersebut merangkumi yuran persekolahan, kelas agama dan bayaran perubatan sejak tahun 2002 sehingga kini.

Natasya bernikah dengan Zainal, 52, atau nama penuhnya, Zainal Abidin Mohamed pada 24 Mac 1987 dan bercerai pada 12 Disember 2000.

Zainal Abidin yang diwakili oleh peguam syarie, Abdul Halim Bahari turut hadir memakai seluar jeans biru, kemeja putih dan bersongkok.

Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie, Mohd. Amran Mat Zain bersambung 15 November ini.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

Taktik pengedar dadah sembunyi dalam semak gagal



Suspek yang dipercayai di bawah pengaruh dadah diberkas anggota polis selepas bersembunyi seketika di dalam semak di Kampung Bintang, Temerloh, awal pagi kelmarin.


TEMERLOH 25 Okt. - Cubaan seorang lelaki yang dipercayai pengedar dadah bersembunyi di dalam semak ketika serbuan polis di rumahnya di Kampung Bintang di sini, awal pagi semalam, gagal apabila dia berjaya ditahan pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Md. Nor Mansor berkata, ketika ditahan pukul 1.30 pagi, suspek berusia 36 tahun itu, baru dibebaskan dari penjara atas kesalahan mengedar dadah bulan lalu.

Katanya, sebelum itu, operasi di rumah yang dijadikan markas menghisap dadah tersebut hanya menemui dua buah motosikal.

"Ini kerana sebahagian penagih telah melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis. Anggota kita lalu berpecah dan meronda di sekitar kawasan itu sehinggalah melihat kelibat yang bergerak-gerak di celah semak.

"Anggota kita terkejut apabila mendapati suspek yang terhuyung-hayang cuba melarikan diri tetapi gagal apabila tersungkur kerana khayal selepas mengambil dadah," katanya di sini, semalam.

Kata beliau, siasatan mendapati suspek yang disahkan positif HIV dan menetap bersama ibunya dikatakan aktif mengedar dadah secara kecil-kecilan untuk mencari wang saku bagi menampung perbelanjaan harian.

"Ketika ditangkap, polis menemui lima peket heroin seberat 5.2 gram bernilai RM500 dan dua biji pil Eramin 5 berharga RM60 serta peralatan menghisap di dalam beg galas miliknya.

"Pada masa sama, polis turut menemui beberapa tiub straw kosong digunakan untuk membungkus dadah serta hampir 30 pemetik api dan beberapa jarum suntikan," katanya.

Kata Md. Nor lagi, pengedar terbabit menyedari kehadiran polis selepas melihat cahaya lampu suluh sebelum nekad meniarap di celah semak untuk menyembunyikan diri.

Jelasnya, pengedar terbabit ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39A (2) dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Utusan Malaysia Online - Pahang:

'via Blog this'

Dua beranak rugi RM47,000


KUANTAN 25 Okt. – Dua beranak kerugian RM47,000 selepas disamun tiga lelaki bersenjatakan parang di rumah mereka di Kampung Sungai Putat, Padang Piol dekat Jerantut, awal pagi semalam.

Dalam kejadian pukul 2.30 pagi itu, mangsa, seorang suri rumah warga emas berusia 69 tahun sedang tidur di ruang tamu bersama anak perempuannya yang berusia 34 tahun.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Bahagian Siasatan dan Perundangan) negeri, Supritendan Mohd. Haris Daud (gambar) berkata, ketiga-tiga suspek dipercayai memasuki rumah mangsa melalui tingkap dapur.

“Mangsa dan anaknya sedang nyenyak tidur sebelum dikejutkan suspek yang menutup muka mereka sambil mengacukan parang.

“Suspek kemudian mengikat mangsa dengan wayar seterika sebelum menggeledah rumah dua beranak itu,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, hari ini.

Katanya, suspek berjaya melarikan wang tunai sebanyak RM1,000 bersama barang kemas bernilai kira-kira RM46,000.

Tambahnya, selepas kesemua suspek melarikan diri, mangsa berjaya membuka ikatan mereka sebelum meminta bantuan jiran.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Jerantut dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, katanya.

Mohd. Haris turut menasihatkan orang ramai supaya meningkatkan tahap keselamatan kediaman dan melaporkan kepada polis jika meninggalkan rumah mereka sepanjang musim perayaan ini.

Utusan Malaysia Online - Pahang:

'via Blog this'

Anjur seminar tipu orang


KUALA LUMPUR – Hanya bermodalkan bijak berkata-kata, seorang wanita mampu mengaut keuntungan ribuan ringgit pada satu-satu masa selepas memperdaya sejumlah mangsa menghadiri temu duga dan seminar.

Lebih mudah, wanita itu menggunakan kemudahan Internet serta kain rentang bagi mengiklankan kegiatan jenayahnya untuk mencari mangsa bagi menghadiri temu duga dan seminar yang tidak wujud.

Bagi meyakinkan mangsa, suspek licik berusia 30-an itu turut menempah bilik atau dewan seminar di mana-mana hotel.

Suspek akan membayar tempahan hotel itu menggunakan cek yang akaun miliknya sudah ditutup.

Suspek kebiasaannya akan menempah hotel untuk tempoh dua hingga tiga hari untuk program tersebut.

Setiap mangsa yang terpilih dalam temu duga perlu menghadiri seminar yang dikenakan caj lebih kurang RM200 kononnya sebagai yuran penginapan dan makan.

Setakat ini, kegiatan penipuan yang dilakukan suspek sejak Jun lalu dikesan berlaku di Utara Semenanjung seperti Kedah dan Perak, dengan lima laporan polis diterima setakat ini.

Kes terkini, suspek mengiklankan di Internet dan kain rentang di sekitar Sungai Petani, Kedah kononnya dia mahu membuka sebuah sekolah agama di Sungai Petani.

Bagi merealisasi impian itu, suspek memerlukan beberapa kakitangan untuk menguruskan sekolah tersebut termasuk tenaga pengajar seperti guru agama.

Mangsa-mangsa yang berminat dengan iklan itu perlu menghadiri temu duga sebelum diminta mengikuti satu seminar berkaitan pengurusan sekolah terbabit yang turut dilakukan di hotel yang sama.

Difahamkan, mangsa-mangsa wanita tersebut mendakwa mereka berasa ditipu selepas suspek gagal dihubungi manakala seminar seperti dijanjikan di hotel itu pula tidak berjalan seperti yang dijadualkan.

Selain itu, pihak hotel turut diperdaya apabila wanita tersebut menyerahkan cek daripada akaun bank yang sudah tidak berfungsi.

Timbalan Pengarah I Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Tajudin Mohd. Isa berkata, pihaknya menerima lima laporan polis berhubung modus operandi itu yang dilaporkan di Kedah sejak bulan Jun lalu.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Angkara syabu wanita Jepun ke tali gantung



MARIKO dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam selepas dijatuhi hukuman gantung.


SHAH ALAM - Seorang wanita warga Jepun yang pernah menjadi jururawat menangis teresak-esak selepas Mahkamah Tinggi di sini semalam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atasnya kerana kesalahan mengedar dadah jenis methamphetamine atau syabu dua tahun lepas.

Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati bahawa pembelaan tertuduh, Mariko Takeuchi, 37, dari Tokyo, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Wanita itu didakwa mengedar 3,493 gram methamphetamine di kaunter pemeriksaan kastam, Unit Khas Penumpang T, Balai Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9.55 malam, 30 Oktober 2009.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Dalam penghakimannya, Siti Mariah antara lain berkata, Mariko dalam keterangan pembelaannya mendakwa dia pergi ke Dubai untuk mengambil wang daripada Alex yang dakwanya sebagai teman lelaki kepada rakan baiknya.

Hakim itu berkata, tertuduh memberitahu selepas berada di Dubai kira-kira lima hari, dia telah berjumpa dengan pemandu Alex yang kemudian meminta bantuan dia membawa sebuah beg yang katanya berisi pakaian ke Malaysia.

Setibanya di KLIA, Mariko ditahan pihak Kastam yang menjalankan operasi selepas menemui dadah dalam beg yang dibawa tertuduh.

"Saya mendapati pembelaan gagal mengemukakan keterangan bagi menangkis anggapan pengedaran dadah dan pembelaan tertuduh adalah direka-reka, tidak munasabah dan tidak logik.

"Alasan tertuduh bahawa dia pergi ke Dubai untuk dapatkan wang tidak munasabah dan mencurigakan. Alex boleh hantar sendiri wang kepada teman wanitanya dan tidak perlu tertuduh datang ambil," kata Siti Mariah.

Hakim itu juga berkata, tertuduh gagal membawa rakan baiknya untuk membantu pembelaan dan kegagalan mengemukakan rakan baik tertuduh itu menunjukkan keterangan yang diberikan hanyalah rekaan.

Siti Mariah mendapati tertuduh bersalah dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati mengikut peruntukan Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sejurus mahkamah membuat keputusan dan jurubahasa Kedutaan Jepun menterjemahkannya kepada Mariko, wanita itu yang memakai kemeja-T hitam dengan jaket berwarna coklat berseluar denim biru, menangis teresak-esak sehingga terpaksa ditenteramkan oleh anggota polis mahkamah.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'