Search This Blog

Tuesday, October 25, 2011

Warga Jepun dihukum gantung, bersalah edar dadah


25/10/2011 3:22pm


Warga Jepun, Mariko Takeuchi, 36 (kiri) yang akan dikenakan hukuman gantung kerana didapati menyeludup dadah ke Malaysia di Mahkamah Tinggi Shah Alam. - Utusan/MOHD. AZIM ABD. RAHMAN


SHAH ALAM 25 Okt. - Seorang bekas jururawat warganegara Jepun dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah di atas tuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine atau syabu seberat 3,493 gram dua tahun lalu.

Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad memutuskan hukuman itu ke atas Mariko Takeuchi, 37, selepas berpuas hati bahawa tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah semasa memberi keterangan membela diri.

Mariko didakwa mengedar 3,493 gram methamphetamine di Kaunter Pemeriksaan Kastam D, Unit Khas Penumpang T, Balai Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini pada pukul 9.55 malam, 30 Oktober 2009. - Utusan

Utusan Malaysia Online - Terkini:

'via Blog this'

Suspek cuba samun datuk ditahan dalam masa 4 jam


25/10/2011 3:09pm

PETALING JAYA 25 Okt. — Tiga lelaki yang melarikan diri selepas cuba menyamun ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ di hadapan sebuah kolej di Subang Jaya dekat sini petang semalam, ditahan polis malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Supt. Tan Ah Chua berkata, suspek yang berusia antara 35 dan 52 tahun itu ditahan di sekitar kawasan kolej tersebut kira-kira 9 malam.

Tiga lelaki itu merupakan perancang yang berkomplot dengan dua lelaki lain, yang ditahan selepas ditembak pengawal peribadi ahli pernigaan barangan lusuh berkenaan.

"Hasil siasatan mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah dan kami masih menunggu tempoh reman ke atas mereka,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dengan sengaja mendatangkan cedera ketika melakukan samun. — Bernama

Utusan Malaysia Online - Terkini:

'via Blog this'

Dadah bernilai RM550,000 dirampas



NOOR Rashid Ibrahim (dua, kanan) menunjukkan sebahagian dadah jenis heroin yang dirampas pada sidang akhbar di Ipoh, Perak semalam. – UTUSAN/MOHD. NAJIB MOHD. NOR


IPOH 24 Okt. – Polis melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah yang bergiat aktif di negeri ini setelah menahan lapan lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM550,000 dalam empat serbuan termasuk di dua buah makmal memproses bahan itu di sini, Sabtu lalu.

Dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Perak itu, polis merampas lapan kilogram heroin, 1.219 kilogram syabu, 30 liter cecair syabu, 108 gram ketamin dan 21 gram pil psikotropik.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, polis turut merampas pelbagai barangan bernilai RM371,000 termasuk tiga buah kereta, sebuah lori, tiga motosikal, wang tunai RM32,131, barang kemas dan sembilan telefon bimbit pelbagai jenama.

Menurut beliau, kejayaan itu bermula hasil serbuan pertama di sebuah rumah di Jelapang Tambahan, di sini pada 22 Oktober lalu pukul 5 petang.

“Polis menahan seorang lelaki di dalam rumah itu dan hasil pemeriksaan menjumpai empat peket plastik berisi ketulan kristal berwarna putih disyaki syabu seberat 207 gram.

“Kita juga merampas bahan-bahan kimia yang digunakan untuk memproses dadah seperti iodin, asid hidroklorik, aceton, red fosforus, dimethyl sulphoxido dan caustic soda serta peralatan memproses dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati, dadah berkenaan diseludup masuk ke negara ini sebelum diproses di sekitar daerah Kinta, Batu Gajah dan Kampar sejak enam bulan lalu.

Noor Rashid berkata, susulan serbuan pertama, polis menahan empat lelaki masing-masing seorang di Taman Silibin Mewah dan tiga lagi di kawasan kebun pisang berhampiran Taman Suria, Tanjung Rambutan di sini.

Hasil pemeriksaan, polis menemui dua tong aluminium mengandungi cecair aceton, 24 tong plastik cecair aceton, empat periuk berisi syabu cecair, empat setengah plastik bertulis caustic soda dan peralatan dapur memproses dadah.

Tambahnya, polis kemudian membuat serbuan di Kondominium Taman Meru Impiana, di sini dan berjaya menahan tiga lagi suspek dengan salah seorang daripadanya patah tangan kiri selain cedera di pinggang dan kaki setelah cuba melarikan diri dengan terjun dari bangunan itu.

“Hasil pemeriksaan polis menemui serbuk disyaki heroin seberat lapan kilogram, syabu (1.012 kilogram), ketamin (108 gram) dan pil psikotropik seberat 21 gram,” ujarnya.

Menurutnya, semakan rekod mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod kesalahan lalu di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Kata beliau, kesemua suspek ditahan reman tujuh hari sehingga 29 Oktober ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 kerana mengedar dadah yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

Wanita Thailand ditahan seludup masuk ganja



SAIDI Ismail (dua, kiri) menunjukkan ketulan mampat daun kering disyaki ganja yang dirampas dari seorang wanita Thailand yang cuba menyeludupnya dengan menaiki bas ekspres di Alor Setar, Kedah, semalam.


ALOR SETAR 24 Okt. - Seorang wanita warga Thailand dipercayai keldai dadah yang cuba menyeludup masuk ganja dengan menaiki sebuah bas ekspres dicekup oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berhampiran Plaza Tol Jitra dekat sini pada Khamis lalu.

Suspek berusia 28 tahun yang merupakan suri rumah itu ditahan pada pukul 9.10 malam oleh sepasukan pegawai JKDM yang diketuai oleh Donian Othman, hasil maklumat awam.

Ganja tersebut ditemui disorok dalam sebuah beg pakaian dalam ruang bagasi bas yang dalam perjalanan dari Changlun menuju ke Johor Bharu.

Timbalan Pengarah JKDM negeri, Saidi Ismail memberitahu, hasil pemeriksaan pihaknya menemui 20 ketul mampat daun kering ganja seberat 18.6 kilogram yang dianggarkan bernilai RM44,700.

Katanya, dadah itu dipercayai untuk pasaran di ibu negara kerana destinasi wanita terbabit adalah Kuala Lumpur.

"Pihak kami menahan bas ekspres itu dan meminta kesemua 12 penumpangnya turun. Setelah suspek membuka begnya yang berkunci, kami menemui ketulan mampat ganja dan tiga helai baju," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata, wanita yang mempunyai dua anak itu dipercayai menaiki teksi dari Changlun ke Bukit Kayu Hitam setelah membuat pemeriksaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) sebelum menaiki bas untuk ke ibu negara.

Menurut Saidi, suspek dipercayai sering keluar masuk membawa dadah itu melalui negara ini, disebabkan kebiasaan itu, suspek tidak cuba melarikan diri ketika diperiksa.

Tambahnya, suspek kini direman selama tujuh hari untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

5 kontena beras wangi dirampas



HAMZAH Sundang (tengah) menyatakan sesuatu kepada pegawainya semasa melihat beras wangi yang dirampas di Pelabuhan Sabah dekat Sepangar, Kota Kinabalu, semalam. – UTUSAN/GHAZALI BASRI


SEPANGAR 24 Okt. – Cubaan menyeludup masuk lima kontena berisi beras wangi dari Vietnam berjaya digagalkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah pada Selasa lalu.

Timbalan Pengarah JKDM negeri, Hamzah Sundang berkata, beras bernilai kira-kira RM300,000 itu dibawa masuk menerusi Singapura sebelum dirampas di Pelabuhan Sabah dekat sini.

Beliau berkata, serbuan dibuat berdasarkan maklumat daripada orang ramai.

“Beras seberat 130 tan metrik yang melibatkan 5,200 karung beras wangi itu dipercayai untuk pasaran di negeri ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, rampasan itu dibuat kerana segala urusan mengimport beras memerlukan lesen import yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan hanya Padiberas Nasional Berhad (Bernas) diberi kelulusan mengimport beras.

“Selain tidak memiliki daftar cukai terhadap beras yang dirampas itu, tiada pihak yang mengaku barang tersebut milik mereka dan hanya terdapat surat penghantaran oleh ejen perkapalan,” katanya.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, ia merupakan rampasan beras pertama di Sabah pada tahun ini dan nilai rampasan agak besar kerana harga beras wangi adalah mahal.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

Zainal Abidin pertikai yuran sekolah anak



Zainal Abidin ketika hadir pada perbicaraan tuntutan nafkah di Mahkamah Tinggi Syariah, Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 24 Okt. - Penyanyi Zainal Abidin hari ini mempertikaikan keterangan bertulis berhubung dokumen pengesahan yuran persekolahan anaknya yang dikemukakan oleh bekas isterinya dalam perbicaraan kes tuntutan nafkah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Peguam syarie, Abdul Halim Bahari yang mewakili Zainal Abidin menyatakan, anak guamnya itu mempersoalkan tuntutan Natasya Gabriel Abdullah berkenaan persekolahan anak mereka, Mikhail yang menuntut di sebuah sekolah swasta di Wangsa Maju dekat sini.

Justeru, menurut Abdul Halim, pihaknya memerlukan pengesahan mengenai dokumen tersebut.

Terdahulu, Natasya dalam keterangannya mengesahkan segala butiran yang terkandung dalam keterangan bertulisnya adalah benar dan afidavit itu akan menjadi keterangannya di mahkamah.

Natasya, 52, yang merupakan bekas model menuntut RM167,102.04 ke atas bekas vokalis kumpulan Headwind pada tahun lalu.

Jumlah tersebut merangkumi yuran persekolahan, kelas agama dan bayaran perubatan sejak tahun 2002 sehingga kini.

Wanita itu bernikah dengan penyanyi lagu Hijau itu pada 24 Mac 1987 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Mikhail, 18, dan seorang anak perempuan, Timur, 16, sebelum mereka bercerai pada 12 Disember 2000.

Mikhail merupakan pesakit autisme dan menghidapi penyakit mata.

Zainal Abidin turut berhadapan satu tuntutan lain iaitu permohonan mengubah perintah nafkah bulanan, wang perbelanjaan hari raya dan pembelajaran dua anaknya itu yang difailkan Natasya pada tahun lalu.

Dalam tuntutan tersebut, Natasya memohon agar nafkah bulanan RM200 sebulan bagi setiap anak dinaikkan kepada RM1,200 seorang setiap bulan.

Turut dimohon adalah nafkah hari raya diubah daripada RM150 kepada RM300 setiap seorang.

Bagi nafkah membabitkan pembelajaran, Natasya menuntut agar perbelanjaan pendidikan Mikhail dinaikkan sehingga RM3,500 sebulan manakala Timur RM2,000 bulan.

Kedua-dua remaja itu bersekolah di sebuah sekolah swasta di sini.

Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie, Mohd. Amran Mat Zain bersambung esok.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

Bekas pengarah bebas 205 tuduhan babitkan lebih RM30j


KUALA LUMPUR 24 Okt. - Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang bekas pengarah syarikat minyak dan gas daripada 205 pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM30 juta.

Hakim Asmadi Hussin memutuskan untuk tidak memanggil Lee Ee Teong, 49, membela diri atas kesemua pertuduhan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Menurut hakim tersebut, terdapat keterangan saksi-saksi yang menunjukkan bahawa wang yang digunakan oleh Ee Teong adalah untuk membuat pembayaran luar rekod bagi pihak syarikat BJ Oilwell Services (M) Sdn. Bhd. (BJ Oilwell).

Pada prosiding hari ini, lelaki tersebut diwakili peguam bela, Datuk V. Sithambaran manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Hamidi Mohd. Noh dan Hazril Harun.

Ee Teong yang merupakan pengarah BJ Oilwell ketika kejadian didakwa pada September 2008 atas tiga tuduhan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM13,677,820.

Sekitar Julai tahun yang sama, lelaki tersebut telah didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur atas 202 pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 membabitkan lebih RM20.5 juta.

Kesemua dakwaan itu dibicarakan serentak dan seramai 16 orang saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan dalam kes tersebut.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

Bekas Pengarah Muzium ATM dipenjara, denda


PUTRAJAYA 24 Okt. - Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan bekas Pengarah Muzium Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Kolonel Zainal Mohd. Ali, 57, menjalani hukuman penjara dua tahun dan denda berjumlah RM350,000 atau penjara 33 bulan atas 14 kesalahan rasuah, 11 tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif memutuskan demikian secara sebulat suara selepas menolak rayuan akhir bekas pegawai kanan tentera itu dan rayuan balas pendakwa raya.

Beliau yang bersidang bersama Hakim Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus dan Hakim Datuk Clement Allan Skinner dalam keputusan ringkasnya menyatakan, mahkamah tiada sebab untuk mengganggu keputusan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 14 April tahun lalu.

Panel itu turut menolak rayuan bapa kepada lima orang anak itu agar dibebaskan dengan bon jaminan berkelakuan baik mengikut Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah. Dia yang berkaki palsu dan bertongkat kelihatan ditenteramkan oleh isteri dan anak lelakinya sejurus keputusan diumumkan.

Zainal yang berkhidmat selama 30 tahun dalam ATM pernah menyertai pelbagai operasi menentang komunis dan kini kudung kaki kanannya selepas terkena jerangkap samar ketika berkhidmat di Kem Gubir, Kedah di sempadan Malaysia-Thailand pada tahun 1979.

Pada asalnya, dia dihukum penjara empat tahun serentak atas kesemua 14 tuduhan tanpa dikenakan denda. Bagaimanapun, rayuannya ditolak oleh Mahkamah Tinggi yang kemudian mengurangkan hukuman penjara kepada dua tahun dan dikenakan denda RM350,000.

Zainal disabitkan atas lapan tuduhan salah guna kuasa dengan menggunakan kedudukannya sebagai pengarah Muzium iaitu meminta suapan daripada kontraktor, Mohamed Annuar Abdul berhubung pesanan kerajaan berjumlah RM154,600.

Kesalahan itu dilakukan di antara November dan Disember 2000 di Pejabat Muzium ATM, Jalan Padang Tembak di ibu negara.

Dia turut disabitkan atas satu tuduhan rasuah membuat tuntutan palsu berhubung pesanan kerajaan bernilai RM19,500 di Pejabat Bahagian Perkhidmatan Anggota, Kementerian Pertahanan.

Zainal juga disabitkan atas lima tuduhan memperoleh suapan berjumlah RM33,000 melalui cek daripada Mohamed Annuar di Maybank cawangan-cawangan berasingan.

Sebelum itu, peguam Mejar (B) Ku Abdul Rahman Ku Ismail yang mewakili Zainal berhujah agar mahkamah mempertimbangkan rayuan anak guamnya supaya tidak didenda kerana wang suapan itu bukan untuk kegunaan sendiri.

Peguam bela turut memohon mahkamah mengambil kira rekod perkhidmatan selama 30 tahun serta pernah menyumbang jasa mempertahankan negara sehingga kudung kaki kanannya.

Hujah beliau, ekoran keputusan mahkamah, Zainal tiada punca pendapatan selepas diberhentikan kerja selain hilang nikmat persaraan seperti wang pencen dan faedah lain yang sepatutnya diperoleh sepanjang perkhidmatan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Asnawi Abu Hanipah berhujah agar rayuan berkaitan denda ditolak kerana hukuman yang diputuskan itu selaras dengan undang-undang.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

Bumbung empat stadium utama bocor


KUALA LUMPUR 24 Okt. - Empat stadium utama yang kerap menjadi tempat penganjuran acara besar di ibu negara mengalami masalah bumbung bocor tetapi masih digunakan sehingga kini

Stadium tersebut ialah Stadium Nasional Bukit Jalil; Stadium Putra Bukit Jalil; Pusat Akuatik Nasional dan Stadium Juara Kompleks Sukan Bukit Kiara.

Jabatan Audit Negara menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2010 melaporkan, Stadium Nasional Bukit Jalil sebenarnya sudah tamat tempoh jaminan pada 2008 tetapi masih digunakan meskipun sebahagian besar bumbung koyak, skru kabel longgar dan berkarat.

Semakan jabatan itu di Stadium Putra Bukit Jalil juga mendapati stadium tersebut bocor akibat besi berkarat pada bahagian atas bumbung.

Menurut jabatan itu, Perbadanan Stadium Merdeka (PSM) telah memohon peruntukan pembangunan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) untuk menukar bumbung stadium tersebut sebanyak empat kali sejak 2006 hingga 2010, tetapi tidak diluluskan.

Tambah laporan itu, permohonan oleh PSM untuk menukar bumbung stadium tersebut hanya diluluskan pada Januari 2011 yang membabitkan peruntukan sebanyak RM6 juta.

''Pihak audit berpendapat berlaku kelewatan melaksanakan kerja penukaran bumbung Stadium Nasional Bukit Jalil yang telah tamat tempoh jaminan kerana peruntukan yang dimohon sejak 2006 tidak diluluskan.

''Ini boleh menjejaskan keselesaan pengguna sekiranya bumbung runtuh terutama bagi penganjuran acara dan kejohanan peringkat antarabangsa," jelas laporan itu.

Turut mengalami masalah sama menurut laporan itu adalah Pusat Akuatik Nasional apabila bumbungnya telah tamat tempoh jaminan pada 2008 tetapi masih digunakan walaupun sebahagian besarnya koyak.

Menurut laporan itu, PSM pada Februari 2010 membuat permohonan peruntukan khas kepada kementerian berjumlah RM26 juta untuk menukar bumbung namun masih belum diluluskan sehingga kini.

''Lawatan audit ke Stadium Juara Kompleks Sukan Bukit Kiara juga mendapati stadium itu berdepan masalah bumbung bocor sejak 2007 akibat besi berkarat," psih digunakan sehingga kini," jelas laporan itu.

Utusan Malaysia Online - Laporan Khas:

'via Blog this'

Thailand berusaha pam air keluar dari Bangkok



ANGGOTA tentera memasukkan pasir ke dalam kampit untuk dijadikan benteng di perkarangan Parlimen sebagai persediaan banjir di Bangkok, semalam. - REUTERS


BANGKOK 24 Okt. - Lebih banyak daerah di Bangkok diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga hari ini untuk menghadapi air banjir yang mengalir dari utara ibu negara Thailand ini, dan pihak berkuasa mengejar masa untuk mengepam air ke laut dan melindungi pusat perniagaan.

Beratus-ratus penduduk dipindahkan semalam apabila paras air di kawasan kediaman Lak Si dan Don Muang di utara mencecah dua meter, menguji ketahanan benteng dan melimpahi tebing terusan dan sungai.

Banjir di utara Bangkok dianggap tidak dapat dielakkan kerana kebanyakan pintu air dibuka sejak Jumaat lalu, menyalurkan kira-kira lapan juta meter padu air setiap hari di sekeliling timur, barat dan tengah ibu negara menerusi Sungai Chao Phraya, di mana paras air mencecah paras tertinggi dalam tempoh tujuh tahun.

Kerajaan Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra dan pihak berkuasa Bangkok bertelagah berhubung pengurusan krisis itu dan masing-masing dituduh mengeluarkan isyarat bercanggah atau memandang ringan ancaman banjir.

Namun Gabenor Bangkok, Sukhumbhand Paribatra secara terus-terang menggesa penduduk di enam lagi daerah di utara supaya melindungi harta benda mereka dan bersiap sedia untuk berpindah.

"Selepas mengkaji semua penunjuk, kami mendapati situasi semakin serius dan dijangka bertambah buruk.

"Saya sudah memberitahu anda, jika situasi menjadi krisis, sayalah orang pertama yang akan memberitahu anda, dan sekarang saya memberitahu anda," kata Sukhumbhand.

Katanya, ibu negara perlu diselamatkan kerana Bangkok adalah pusat ekonomi dan pentadbiran negara ini.

Sebanyak 28 daripada 77 wilayah di Thailand ditenggelami air, meliputi kawasan 16 kali keluasan Hong Kong.

Banjir terburuk dalam tempoh lima dekad itu meragut sekurang-kurangnya 356 nyawa dan menjejaskan kehidupan hampir 2.5 juta penduduk, termasuk lebih 113,000 yang berlindung di pusat penempatan sementara dan 720,000 yang mendapatkan rawatan perubatan. - Reuters

RT010140929.jpg

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Selatan Thai terus bermandi darah



PASUKAN bomba Thai berusaha memadam kebakaran pasar raya yang terbakar setelah diletupkan oleh militan di Narathiwat, kelmarin. - AFP


NARATHIWAT 24 Okt. - Penyerang yang disyaki puak pemisah Islam membunuh sekurang-kurangnya tujuh orang dan mencederakan 10 lagi dalam insiden tembakan dan letupan bom di selatan Thailand.

Dua askar renjer terbunuh malam tadi apabila sekumpulan lelaki bersenjata yang berpakaian seperti wanita dan menaiki tiga trak pikap melepaskan tembakan ke arah satu sekatan jalan raya.

Sejurus kemudian sebutir bom meletup di sebuah pasar raya berdekatan, disusuli dengan letupan bom kedua di sebuah pasar raya lain yang terletak kira-kira 300 meter jauhnya, mencetuskan kebakaran yang merebak ke rumah-rumah kedai dan mengambil masa tiga jam untuk dipadamkan.

Polis berkata, mayat seorang lelaki pemilik pasar raya pertama dan seorang guru wanita ditemui rentung di dalam premis itu manakala seorang budak lelaki dan ibu bapanya ditemui maut di pasar raya kedua.

Sepuluh orang lain cedera akibat kebakaran dalam serangan-serangan tersebut yang berlaku selang setengah jam.

Wilayah-wilayah di selatan Thailand bergolak sejak lebih lapan tahun lalu, menyebabkan lebih 4,800 orang terbunuh, termasuk penduduk Islam dan penganut agama Buddha.

Pada akhir bulan lepas, empat askar terbunuh dan seorang kanak-kanak cedera parah apabila lebih 12 penyerang yang disyaki puak pemisah menyerang sebuah sekolah di Narathiwat.

Guru yang bertugas di sekolah kerajaan kerap menjadi sasaran kerana mereka dilihat sebagai simbol kekuasaan kerajaan dan simbol sistem pendidikan yang didakwa sebagai usaha Bangkok untuk memaksa penduduk Islam menerima budaya Buddha. - AFP

AFP010209477.jpg

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Angka maut gempa meningkat



Orang ramai melihat pasukan penyelamat menggunakan jentolak bagi mencari mangsa dalam runtuhan bangunan akibat gempa bumi di Van, timur Turki, semalam. - AFP


ERCIS, Turki 24 Okt. - Lebih 270 orang maut dan beratus orang lagi masih hilang serta dikhuatiri terbunuh dalam gempa bumi di timur negara ini semalam.

Pekerja perkhidmatan kecemasan dan mereka yang terselamat berusaha memindahkan runtuhan menggunakan penyodok dan tangan selepas bangunan-bangunan dan jalan raya runtuh dalam gempa sekuat 7.2 pada skala Richter itu, sejak kejadian berkenaan berlaku.

Di bandar Ercis, penyelamat cuba mengeluarkan seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun yang terperangkap di bawah runtuhan konkrit.

''Sabar, sabar,'' kata mereka kepada budak yang menangis itu.

Tangan seorang dewasa yang memakai cincin perkahwinan dapat dilihat beberapa sentimeter dari depan muka kanak-kanak itu.

Menteri Dalam Negeri, Idris Naim Sahin berkata, seramai 120 orang maut di bandar ini dan 100 orang lagi terbunuh di bandar Van, kira-kira 100 kilometer selatan Ercis.

Jumlah kematian tersebut dijangka terus meningkat.

Idris kini menyelia usaha mencari dan menyelamat di Ercis berkata, 1,090 orang cedera manakala beratus-ratus lagi masih hilang.

Usaha menyelamat terganggu apabila bekalan elektrik terputus ekoran kabel elektrik ke bandar dan kampung di kawasan padang rumput Anatolia berdekatan sempadan Iran rosak dalam kejadian itu.

Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan berkata, jumlah orang yang terperangkap dalam runtuhan bangunan di bandar-bandar yang dilanda gempa bumi itu masih belum diketahui.

Beliau melahirkan kebimbangan keadaan lebih buruk akan berlaku ke atas penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar.

''Bangunan di sana diperbuat daripada bata jemur, ia lebih mudah runtuh ekoran gempa bumi. Kemungkinan semua bangunan di sana runtuh dan musnah,'' ujarnya di Van semalam. - Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Warga emas rugi RM12,000 disamun 5 penjual ubat


MARAN 24 Okt. - Sepasang suami isteri warga emas kerugian RM12,000 apabila rantai emas dan wang tunai mereka disamun lima penyamun termasuk tiga wanita yang menyamar sebagai penjual ubat di rumahnya di Felda Kemboja Jengka 4 di sini kelmarin.

Menurut Sulaiman Taib, 75, kejadian berlaku pukul 4.30 petang ketika dia dan isterinya, Supiah Aziz, 76, berehat di ruang tamu rumahnya sebelum didatangi lima suspek berkenaan yang menaiki kereta Mercedes-Benz.

Katanya, mereka menyatakan kedatangan ke tanah rancangan itu adalah untuk berniaga ubat bagi kegunaan warga emas yang uzur seperti jenama Seagold Liquid, Nano X Lim dan Misai Kucing.

Tambahnya, dia berbual dengan dua suspek lelaki di ruang tamu manakala tiga perempuan lain mengajak Supiah naik ke tingkat atas kononnya memperkenalkan pelbagai jenis produk perubatan.

"Isteri saya uzur dan tidak mampu bergerak dengan cergas akibat strok dan ketiga-tiga perempuan terbabit ke tingkat atas berhampiran tempat tidur kami.

"Tiba-tiba suspek perempuan itu merampas rantai leher dipakai isteri saya dan mencuri wang tunai lebih RM2,500," katanya kepada Utusan Malaysia di rumahnya dekat sini hari ini.

Sulaiman berkata, dia juga dipaksa membayar tunai RM240 untuk barangan lima kotak ubat Seagold, tiga kotak Nanoxlim, sekotak Misai Kucing dan dua kotak set gelas.

Katanya, dia juga diberi tiga keping resit yang setiap satu bernilai RM1,400 ditandatangani nama seorang lelaki dari Taman Gadung Perdana, Melaka.

"Saya merayu supaya pulangkan kembali duit dan rantai tersebut, tetapi tidak diendahkan mereka lalu pergi begitu sahaja menaiki kenderaan tersebut," katanya.

Katanya, berikutan kejadian itu dia membuat laporan di Balai Polis Felda Jengka 4 semalam.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Felda Jengka 4, Wan Mustaffa Roni Wan Hayat berkata, kumpulan tersebut dipercayai mensasarkan warga emas sebagai mangsa.

"Sebelum itu, suspek akan memastikan tiada ahli keluarga lain," katanya dan meminta masyarakat peneroka berwaspada dengan mana-mana jurujual.

Utusan Malaysia Online - Pahang:

'via Blog this'

DVD cetak rompak bernilai RM80,000 dirampas



Othman Nawang (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukan menunjukan sebahagian DVD cetak rompak yang dirampas dalam serbuan ke atas sebuah premis di pusat beli-belah di Subang Jaya kelmarin. - UTUSAN/Mohd. Shaharani Saibi


SHAH ALAM 24 Okt. - Kira-kira 10,000 keping cakera padat digital (DVD) cetak rompak filem tempatan dan luar negara bernilai RM80,000 dirampas dalam serbuan di sebuah premis di tingkat dua sebuah pusat beli-belah di Subang Jaya, dekat sini semalam.

Serbuan dilakukan lima pegawai penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Cawangan Shah Alam dengan diketuai pegawai penguat kuasa, Muhammad Khairuddin Ali, pukul 4 petang.

Ketua Penguat Kuasa PPDNKK Selangor, Othman Nawang berkata, serbuan dilakukan di premis yang dipercayai dijadikan stor penyimpanan DVD haram selepas pihaknya membuat pemantauan beberapa minggu.

Beliau memberitahu, semasa serbuan pihaknya terserempak dengan seorang lelaki berusia 20-an yang dipercayai ahli sindiket ketika dalam perjalanan ke premis itu, namun suspek berjaya melarikan diri.

"Lelaki itu lari sebaik sahaja nampak pegawai penguat kuasa bertugas dan dia dikejar sehingga 200 meter tetapi meloloskan diri di celah orang ramai.

"Kita kemudian memecah masuk premis dan merampas semua DVD haram yang disimpan di dalamnya," kata beliau kepada pemberita di pejabat PPDNKK Selangor di sini petang ini.

Othman berkata, pihaknya kini mencari pemilik atau penyewa premis berkenaan yang dipercayai telah dijadikan stor DVD haram sejak dua tahun lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4 (1) (d) Akta Hakcipta 1987.

Dalam pada itu, katanya, sejak awal tahun lalu, sebanyak 162 kes di bawah Akta Hak Cipta 1987 telah disiasat yang membabitkan nilai rampasan RM2 juta di negeri ini dan 19 tangkapan telah dibuat.

Tambahnya, bagi kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 1972 pula, sebanyak 286 kes telah disiasat bagi tempoh yang sama di negeri ini.

Utusan Malaysia Online - Kota:

'via Blog this'

Bank ditipu RM37 juta


KUALA LUMPUR 24 Okt. - Sebuah bank tempatan mengalami kerugian teruk sepanjang 26 tahun tempoh perniagaannya selepas ditipu sebanyak RM37 juta melalui satu komplot pinjaman sebuah syarikat, dua tahun lalu.

Menurut sumber polis, setelah pinjaman diluluskan sepenuhnya secara sekali gus pada 2009, syarikat itu tiba-tiba lesap tanpa membuat sebarang pembayaran balik.

Kata sumber itu, pihak bank yang menjalankan siasatan dalaman gagal mengesan syarikat berkenaan dan akhirnya membuat laporan polis setelah diminta berbuat demikian.

"Siasatan awal polis mendapati, pinjaman dilakukan oleh pihak yang telah berkomplot dan melakukan penipuan secara licik sehingga bank tidak mempunyai masalah untuk meluluskan pinjaman kerana selain dokumen yang meyakinkan, pinjaman turut mendapat jaminan sebuah bank lain," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sumber itu bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada terdapat penglibatan 'orang dalam' dalam kes penipuan ini kerana siasatan pihak polis masih di peringkat awal.

Beliau juga enggan mendedahkan identiti syarikat yang membuat pinjaman itu kerana tidak mahu mengganggu siasatan selain tidak menjejaskan proses pertuduhan di mahkamah kelak.

Ini kes kedua melibatkan institusi kewangan menjadi mangsa penipuan pinjaman berjumlah tinggi.

Utusan Malaysia pada 17 Februari lalu mendedahkan, sebuah bank di ibu negara kerugian RM19 juta setelah menyerahkan wang pinjaman kepada dua syarikat yang mendakwa mendapat projek penyelenggaraan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Menurut sumber itu lagi, berikutan penipuan terbesar itu, polis sedang menyiasat secara terperinci termasuk meneliti semua dokumen berkaitan bagi mengesan pihak yang bertanggungjawab.

"Berikutan penipuan itu juga, bank berkenaan telah mencatatkan kerugian teruk dan terpaksa melakukan perubahan ke atas pengurusannya," kata sumber itu.

Bank berkenaan kemudiannya telah mencatat keuntungan semula.

Utusan Malaysia Online - Berita Utama:

'via Blog this'

2 pemandu langgar Yue Yue ditangkap

BEIJING: Dua pemandu dipercayai melanggar budak berusia dua tahun, Yue Yue, ditahan pihak berkuasa China, lapor Beijing News, semalam.

Menurut laporan, polis bandar Foshan melengkapkan siasatan dan mengarahkan dua suspek terbabit ditahan secara rasmi dan hampir pasti bakal didakwa di mahkamah.

Yue Yue dirempuh dan digilis dua kali di sebatang jalan di pasar Foshan dan terlantar di situ beberapa lama sebelum seorang wanita pemungut sampah mengangkatnya ke tepi. Mengalami kecederaan parah, Yue Yue tidak diendahkan sekurang-kurangnya 18 orang yang lalu di sampingnya.

Dia meninggal dunia selepas mendapat rawatan di hospital minggu lalu.


Insiden itu mencetuskan kemarahan orang ramai apabila ia dirakam kamera litar tertutup di kawasan pasar berkenaan dan dimuat naik ke Internet. - DM

myMetro | 2 pemandu langgar Yue Yue ditangkap:

'via Blog this'

2 pemandu langgar Yue Yue ditangkap


BEIJING: Dua pemandu dipercayai melanggar budak berusia dua tahun, Yue Yue, ditahan pihak berkuasa China, lapor Beijing News, semalam.
Menurut laporan, polis bandar Foshan melengkapkan siasatan dan mengarahkan dua suspek terbabit ditahan secara rasmi dan hampir pasti bakal didakwa di mahkamah.

Yue Yue dirempuh dan digilis dua kali di sebatang jalan di pasar Foshan dan terlantar di situ beberapa lama sebelum seorang wanita pemungut sampah mengangkatnya ke tepi. Mengalami kecederaan parah, Yue Yue tidak diendahkan sekurang-kurangnya 18 orang yang lalu di sampingnya.

Dia meninggal dunia selepas mendapat rawatan di hospital minggu lalu.


Insiden itu mencetuskan kemarahan orang ramai apabila ia dirakam kamera litar tertutup di kawasan pasar berkenaan dan dimuat naik ke Internet. - DM

myMetro | 2 pemandu langgar Yue Yue ditangkap:

'via Blog this'

Banjir di Bangkok semakin teruk

BANGKOK: Penduduk di ibu negara Thailand, mula membuat persediaan menghadapi banjir yang lebih teruk setelah amaran berpindah dikeluarkan kepada penduduk di zon bahaya.

Pihak Berkuasa Metropolitan Bangkok (BMA) berkata semalam, air mula mengalir ke kawasan rendah di Bangkok dan menghampiri enam daerah termasuk di utara bandar itu.

Kenyataan itu dikeluarkan tidak lama selepas kerajaan Thailand memberitahu akan menubuhkan pusat pengagihan di Bangkok untuk membantu menambah barang keperluan di pasar raya sebagai persediaan menghadapi banjir.
Hujan lebat yang melandawa wilayah lain selama tiga bulan mengakibatkan 350 orang mati, rumah musnah dan menjejaskan kehidupan sembilan juta penduduk.

Enam daerah di Bangkok yang berada dalam keadaan membimbangkan termasuk Chatujak, tempat terletaknya pasar hujung minggu yang terbesar dan menjadi tarikan pelancong sementara di Don Mueng, lapangan terbang ke dua terbesar negara itu kini dijadikan pusat perlindungan. - AFP

myMetro | Banjir di Bangkok semakin teruk:

'via Blog this'

Imigresen gempur pendatang degil

KUALA LUMPUR: Selepas dua bulan pendatang asing tanpa izin bebas berkeliaran sekitar ibu negara berikutan proses pendaftaran melalui Program Penyelesaian Menyeluruh Menangani Pekerja Asing Tanpa Izin (Program 6P), Jabatan Imigresen Kuala Lumpur bertindak menggempur mereka di Jalan Silang, di sini, kelmarin.

Dalam serbuan mengejut bermula jam 2.30 petang itu, lebih 30 pegawai dan penguat kuasa jabatan itu yang dipecahkan kepada lima pasukan melakukan pemeriksaan sekitar kawasan itu menyebabkan ribuan warga asing bertempiaran melarikan diri.


Seramai 350 pendatang ditahan dan dibawa ke pejabat jabatan itu dalam operasi kali pertama selepas fasa pertama Program 6P tamat pada 31 Ogos lalu.

Pengarahnya, Mohd Zahari Hassan berkata, serbuan mengejut itu dilakukan bagi mengesan pendatang yang masih berdegil tidak mendaftarkan diri secara biometrik melalui Program 6P.


“Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah memberi peluang kepada mereka mendaftarkan diri sejak 11 Julai hingga 31 Ogos lalu sebelum membenarkan mereka didaftarkan memasuki mana-mana bidang pekerjaan mempunyai kekosongan atau dihantar pulang ke negara asal.


“Justeru, satu kesalahan besar mengikut Seksyen 51, Akta Imigresen jika mereka diperiksa dalam operasi itu didapati masih berstatus pendatang tanpa izin apabila gagal mendaftarkan diri dalam program itu,” katanya. ditemui selepas tamat operasi berkenaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan seramai 161 warga asing pelbagai negara kebanyakannya Nepal dan Bangladesh dikesan tiada dokumen perjalanan sah dan semua mereka disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c), Akta Imigresen 1959.

myMetro | Imigresen gempur pendatang degil:

'via Blog this'

3 kali cuba baru lolos diri

JITRA: Selepas dua kali usahanya gagal, seorang pelatih sebuah pusat rawatan pemulihan akhlak di Kota Mengkuang, dekat sini, akhirnya meloloskan diri ketika penghuni lain sedang tidur, minggu lalu.

Pelatih terbabit, Mohd Ridhwan Khan Jumakahn, 30, berasal dari Jempol, Negeri Sembilan dipercayai melarikan diri dari Pusat Rawatan Cahaya Petunjuk itu kira-kira jam 5 pagi pada 14 Oktober lalu, dan gagal dikesan sehingga kini.


Pengetua pusat itu, Mohd Muzni Mohd Noor berkata, kehilangan pelatih terbabit yang menjalani pemulihan sejak Mei lalu hanya disedari penjaganya ketika mahu menunaikan solat Subuh.

Menurutnya, Mohd Ridhwan dipercayai melarikan diri dengan melompat melalui pagar dan berjalan kaki menyusuri rumah penduduk kampung bagi mengelak daripada dikesan.


“Saya ada menerima panggilan daripada orang ramai yang mengenali pelatih terbabit dan mendakwa dia ditemui di Bukit Tembaga, Kuala Nerang dan apabila kami bergegas ke sana, dia dipercayai sudah melarikan diri ke tempat lain.


“Kami bimbang dia dipergunakan oleh pihak tertentu untuk mengaut keuntungan kerana perwatakan dirinya yang menarik selain bimbang dia bercampur dengan anasir yang tidak sihat kerana masih dalam proses pemulihan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mohd Muzni berkata, pihaknya sudah cuba menghubungi keluarga Mohd Ridhwan tetapi mereka memaklumkan tiada sebarang khabar diterima.


Katanya, Mohd Ridhwan dipercayai memakai seluar sukan dan kemeja T berwarna biru gelap ketika melarikan diri, malah dia tidak membawa kad pengenalan diri serta lesen memandu yang kini dalam simpanan beliau.

“Kami sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk memaklumkan mengenai kehilangan Mohd Ridhwan pada Sabtu lalu dan sesiapa yang mempunyai maklumat boleh menghubungi talian 013-4230243 atau 04-9173014 ataupun 019-5503093,” katanya.

myMetro | 3 kali cuba baru lolos diri:

'via Blog this'

Pelajar dikepung 3 penyamun

GOMBAK: Seorang pelajar institusi pengajian tinggi berdepan detik cemas apabila dikepung tiga lelaki bermotosikal sebelum mereka merampas wang tunai RM12 dan telefon bimbit dalam kejadian di Batu Caves, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, mangsa yang berseorangan berjalan kaki pulang ke rumah sewanya dikatakan terkejut apabila tiba-tiba ditahan tiga lelaki tidak dikenali.


Menurut sumber, bimbang berlaku kejadian tidak diingini, mangsa yang berusia 25 tahun cuba melarikan diri tetapi gagal apabila dikepung sebelum seorang daripada suspek terus menghentak kepalanya dengan topi keledar.

“Tindakan suspek menyebabkan mangsa ketakutan dan merayu tidak dicederakan.


“Berikutan itu, kumpulan berkenaan meminta mangsa menyerahkan kad pengenalan, namun mangsa enggan menyebabkannya dipukul sebelum suspek merampas beg galas disandangnya,” katanya.


Sumber itu berkata, kejadian berlaku terlalu pantas, malah suspek turut merampas telefon bimbit mangsa.

“Mujur kejadian itu disedari seorang lelaki yang bertindak menjerit ke arah suspek menyebabkan mereka terkejut lalu terus melarikan diri.


“Lelaki berkenaan cuba mengejar suspek tetapi gagal apabila penjenayah itu terus memecut laju motosikal meninggalkan kawasan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian membuat aduan di Balai Polis Batu Caves.


Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan.

myMetro | Pelajar dikepung 3 penyamun:

'via Blog this'

Hukuman kekal

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan semalam mengekalkan hukuman penjara dua tahun terhadap bekas pengarah Muzium Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atas 14 kesalahan rasuah.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif yang mempengerusikan panel tiga hakim juga mengekalkan jumlah denda RM350,000 ke atas Leftenan Kolonel Zainal Mohd Ali selepas menolak rayuannya ke atas sabitan dan hukuman.


Hakim Md Raus bersidang bersama hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Hishamuddin Mohd Yunus dan Datuk Clement Allan Skinner.

Zainal, 57, yang datang ke mahkamah dengan bertongkat kerana kehilangan kaki ekoran serangan komunis pada 1979 ketika menyertai operasi di Bukit Gubir, Kedah, sebak selepas hakim membuat keputusan.


Pada 5 Februari 2008, Zainal, didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen terhadap lapan tuduhan menggunakan kedudukannya dengan meminta seorang kontraktor, Anuar@Mohamed Annuar Abdul, memberikan kerja atau kontrak yang ditawarkan Kementerian Pertahanan Malaysia kepada syarikat isterinya, Suhani Enterprise berjumlah RM154,600. — Bernama

myMetro | Hukuman kekal:

'via Blog this'

10,000 premis makanan kotor

AMPANG: Lebih 10,000 premis makanan di bawah seliaan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berada dalam keadaan kotor dan kurang memuaskan akibat sikap tidak bertanggungjawab pengusaha yang enggan mematuhi peraturan untuk sentiasa menjaga kebersihan premis mereka.

Yang Dipertuanya, Datuk Mohammad Yacob, ketika ditemui berkata masalah itu berlaku disebabkan kurangnya sikap mengamalkan kebersihan dan memikirkan keuntungan semata-mata.


“Sejak operasi premis makanan dilakukan lebih kerap, berlaku peningkatan dengan hampir 10 peratus kedai makan kotor dan tidak menepati syarat.

“Usaha MPAJ bagi menjadikan kawasan di bawah seliaan kami sentiasa terpelihara yang membabitkan premis makanan diteruskan atas peningkatan ini,” katanya di sini, semalam.


Menurut Mohammad, walaupun sudah diberikan beberapa kategori seperti A, B, C, dan D terhadap gerai makan dan restoran masih ada peniaga yang enggan mengamalkan kebersihan.

myMetro | 10,000 premis makanan kotor:

'via Blog this'

‘Mujur tak kena mata’


TEMPAT KEJADIAN...Nasharuddin (kiri)  menunjukkan kawasan kebun getah tempat dia diserang.
TEMPAT KEJADIAN...Nasharuddin (kiri) menunjukkan kawasan kebun getah tempat dia diserang.

CEDERA...kesan tikaman dekat mata kanan mangsa.
CEDERA...kesan tikaman dekat mata kanan mangsa.

ALOR GAJAH: Niat baik seorang anggota polis mahu membantu seorang penunggang motosikal yang disangka kehabisan petrol membawa padah apabila dia ditikam sebelum ditolak ke dalam gaung di jalan besar Hutan Percha di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 8 pagi, motosikal Honda EX5 milik mangsa, Koperal Nasharuddin Mansur, 50-an, turut dilarikan penjenayah berusia 20-an itu.

Menurut mangsa, kejadian berlaku apabila dia ke tempat kejadian selepas menerima aduan daripada penduduk kampung mengenai tindak-tanduk mencurigakan seorang lelaki yang tidur di bawah pokok getah sambil memakai topi keledar dan sebuah motosikal ditinggalkan di tepi jalan.
“Ketika sampai di situ, saya melihat lelaki itu sedang berjalan kaki dengan bertopi keledar sambil menjinjing botol berisi petrol dari arah sebuah pam minyak sebelum bertanya masalah dihadapinya.

“Bagaimanapun, belum sempat saya menongkat motosikal untuk mendekatinya, dia menikam bahagian tepi berhampiran mata kanan saya dengan gunting,” katanya di sini, semalam.

Bagaimanapun, dia bernasib baik berikutan tikaman itu tidak terkena mata.
Katanya, suspek juga menolaknya sehingga jatuh ke dalam gaung di tepi jalan berkenaan.

“Lelaki itu menolak rusuk kanan saya hingga terhumban ke dalam gaung sebelum melarikan motosikal saya dan memecut laju ke arah Solok Menggong.
“Pada waktu itu tiada pengguna jalan raya melalui jalan berkenaan dan saya terpaksa menghubungi Balai Polis Hutan Percha tempat saya bertugas bagi mendapatkan bantuan,” katanya. Menurutnya, difahamkan petrol yang dibawa suspek baru dicuri dari rumah seorang pekebun getah sebelum dia berpura-pura berjalan kaki dari arah sebuah pam minyak tidak jauh dari tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin mengesahkan kejadian dan berkata, gerakan memburu suspek yang membawa lari motosikal bernombor pendaftaran KBR 7269 milik mangsa sedang giat dilancarkan.

Menurut Umar, mangsa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Hutan Percha dan menerima dua jahitan akibat tikaman itu.

“Orang ramai yang terserempak atau mengesan suspek dengan ketinggian 158 sentimeter, berbadan gempal dan berkulit cerah diminta menghubungi balai polis berdekatan untuk membantu siasatan,” katanya. myMetro | ‘Mujur tak kena mata’:

'via Blog this'

RTM mohon maaf

SENSITIF...gambaran sekumpulan haiwan sedang membantu menyiapkan bahtera Nabi Nuh yang disiarkan pagi semalam.
SENSITIF...gambaran sekumpulan haiwan sedang membantu menyiapkan bahtera Nabi Nuh yang disiarkan pagi semalam.

KUALA LUMPUR: Penyiaran sebuah rancangan kartun terbitan Walt Disney di TV2 yang menggambarkan Nabi Nuh a.s bersama keluarga dan sekumpulan haiwan menyiapkan bahtera bagi menghadapi banjir besar berlaku secara tidak sengaja.

Sehubungan itu, pihak RTM khususnya TV2 memohon maaf atas kejadian itu dan akan lebih berhati-hati pada masa akan datang bagi memastikan ia tidak berulang lagi.

RTM dalam satu kenyataan turut berharap penonton akan terus memberi maklum balas untuk menambah baik kandungan siaran TV2.

Menerusi rancangan kartun slot Mickey Mouse and Friends yang disiarkan kira-kira jam 8.30 pagi semalam, Nabi Nuh digambarkan sebagai seorang lelaki gempal, berjanggut panjang dan botak sedang memegang pelan membuat bahtera.


Bahtera itu disiapkan tiga anak lelaki, menantu dan isterinya bersama sekumpulan haiwan yang turut bertindak menggunakan kemahiran masing-masing bagi memudahkan penyiapan kapal besar itu sebelum banjir tiba.

myMetro | RTM mohon maaf:

'via Blog this'

12 jam diseksa rakan cemburu

AMPANG: Seorang lelaki bukan sahaja dikurung lebih 12 jam di sebuah rumah di Taman Cheras Indah di sini, tetapi turut dipaksa minum arak, mengambil pil khayal sebelum dibogelkan.

Lebih keji, aksi ‘panas’ mangsa yang berbogel sambil mengerang kesakitan dan dalam keadaan khayal itu dirakamkan seorang daripada tiga lelaki menggunakan telefon bimbit.

Dua lagi menjadi penonton dan pengarah kepada setiap aksi mangsa sebelum masing-masing ketawa terhibur dengan aksi berkenaan.

Difahamkan, lelaki berusia 27 tahun itu dipercayai menjadi mangsa buli melampau tiga rakannya kerana disyaki cemburu dengan kesenangan hidup mangsa.


Mangsa dikurung sejak jam 8 malam, 18 Oktober lalu, tetapi berjaya meloloskan diri kira-kira jam 5 petang keesokannya sebelum membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah di sini, semalam.


Menceritakan kekejaman tiga lelaki terbabit, bapa mangsa yang mahu dikenali sebagai Razak, 52, berkata dia mengetahui kejadian itu selepas dihubungi seorang peniaga memaklumkan anaknya yang tidak bermaya dan cedera bersembunyi di sebuah kedai makan berhampiran kawasan berkenaan kerana dikejar tiga lelaki.

myMetro | 12 jam diseksa rakan cemburu:

'via Blog this'

Parah ditetak

KUALA LUMPUR: Akibat didakwa menjadi ‘mata-mata’ polis, seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun cedera parah selepas ditetak dan dibelasah lima lelaki berusia antara 20 hingga 30-an di rumah sewanya di Kampung Ceti, Jalan Klang Lama, di sini, Sabtu lalu.

Difahamkan, selain ditetak di belakang badan, tangan dan kaki kiri mangsa patah, manakala jari manisnya hancur akibat dibelasah suspek terbabit yang bersenjatakan parang dan kayu.


Mangsa yang dikenali sebagai Nordin berkata, ketika kejadian, dia sedang berehat di bilik sewanya bersendirian selepas pulang dari tempat kerja, kira-kira jam 8.30 malam.

“Saya sedang berbaring di atas tilam apabila tiba-tiba terdengar orang mengetuk pintu bilik dengan kuat sambil mengarahkan saya keluar.


Ketika mahu membuka pintu, saya terkejut melihat lima lelaki yang dikenali marah-marah sebelum menuduh saya membocorkan kegiatan mereka kepada polis.


“Mereka mendakwa saya menjadi ‘mata-mata’ polis menyebabkan mereka hampir tertangkap walhal saya langsung tidak tahu-menahu perkara berkenaan,” katanya.

Menurutnya, dia cuba menjelaskan perkara sebenar, namun kumpulan itu tetap tidak berpuas hati sebelum tercetus pergaduhan.


Katanya, lima lelaki berkenaan menyerangnya dengan parang dan kayu hingga cedera parah di belakang badan, tangan, kaki dan jari.

“Saya merayu meminta dikasihani tetapi tidak diendahkan, sebaliknya mereka terus memukul saya hingga longlai.


“Saya cuba menjerit meminta pertolongan jiran dan selepas mendapati saya sudah tidak bermaya, baru mereka beredar dan meninggalkan saya dalam keadaan kesakitan,” katanya.


Menurutnya, mujur seorang rakan menyedari kejadian itu dan cuba membantunya sebelum menghubungi abangnya supaya segera datang.


“Sebaik dimaklumkan, abang saya kemudian bergegas ke tempat kejadian sebelum menghubungi ambulans dan saya dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut.” katanya.


Katanya, kira-kira jam 11.30 malam, abangnya membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Petaling.

myMetro | Parah ditetak:

'via Blog this'

Beza pelacur, pelancong

SAYA nak tanya, antara pelancong dan pelacur apa bezanya?” soal Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.

Tujuannya bagi mendapat penjelasan mengenai kemasukan pelancong China ke Malaysia yang dilapor menunjukkan peningkatan, namun pada masa sama menyumbang kepada masalah sosial negara.


Dalam soalan tambahannya, beliau bertanya sama ada Kementerian Pelancongan membuat kajian terperinci mengenai pelancong China ke sini.

“Ada pelancong yang bila tamat visa melancong dan belajar mereka, tidak kembali ke negara asal sebaliknya menjadi pelacur,” katanya.

myMetro | Beza pelacur, pelancong:

'via Blog this'

Pengawal peribadi tumpas cubaan samun

SUBANG JAYA: Dua penyamun cedera di perut selepas ditembak pengawal peribadi seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’, manakala empat rakan mereka dapat melarikan diri dalam kejadian cubaan samun di USJ 1, semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, ahli perniagaan berkenaan berusia 48 tahun terbabit diumpan dua suspek untuk menaiki lori sambil ditemani adik lelakinya serta seorang pengawal peribadi.


Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Tan Ah Chua ketika dihubungi berkata, dua suspek terbabit hanya menyamar penjual barangan lusuh untuk menyamun ahli perniagaan berkenaan.

“Seorang daripada suspek meminta ahli perniagaan itu menunjukkan wang dan sebaik dia mengeluarkan wang RM200,000, tiba-tiba sebuah Proton Iswara Aeroback meluru ke arahnya.


“Tiga lelaki keluar dari kenderaan itu lalu menyerang ahli perniagaan berkenaan dan pengawal peribadinya menggunakan parang dan kapak.


“Bagaimanapun, pengawal peribadi ahli perniagaan itu yang bersenjatakan pistol sempat melepaskan tembakan ke arah semua suspek hingga mencederakan dua daripada mereka, manakala empat lagi dapat melarikan diri menaiki dua kenderaan berasingan,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek berusia 32 tahun yang cedera di perut akibat terkena tembakan itu dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut.


Pengawal peribadi itu turut cedera di lengan kiri dan paha kanan akibat ditetak dalam kejadian itu.

“Kira-kira sejam selepas kejadian, polis berjaya menahan tiga lagi suspek di kawasan berhampiran,” katanya.

myMetro | Pengawal peribadi tumpas cubaan samun:

'via Blog this'

Pengurup wang cedera ditembak

KAJANG: Berang beg yang diragut kosong, seorang daripada sekumpulan empat lelaki melepaskan satu das tembakan terhadap seorang pengurus syarikat pengurup wang dalam kejadian di Batu 11, Cheras, 17 Oktober lalu.

Suspek melepaskan tembakan tepat terkena lengan kanan mangsa berusia 40-an menyebabkannya cedera parah.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa baru selesai memasukkan wang kira-kira RM80,000 ke dalam akaun syarikatnya di sebuah bank berhampiran tempat kejadian.

Menurut sumber, sewaktu kejadian, mangsa yang baru keluar dari bank berjalan seorang diri membawa beg sandang sebelum didatangi empat lelaki menaiki dua motosikal dari belakang.


“Seorang suspek terus meragut beg mangsa dan tindakan itu menyebabkan mangsa tergamam lalu cuba mengejar suspek untuk mendapatkan semula beg berkenaan.


“Suspek kemudian menyelongkar beg itu, tetapi berang apabila mendapati beg itu tidak mengandungi wang seperti disangkakan,” katanya.

myMetro | Pengurup wang cedera ditembak:

'via Blog this'

Gagal jejaki lelaki lemas

BALING: Operasi mencari dan menyelamat seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam lubuk di kawasan peranginan Lata Mengkuang, dekat sini, menemui jalan buntu apabila mangsa, Zulkifli Zakaria, 20, masih gagal ditemui, semalam.

Operasi yang memasuki hari kelima itu turut disertai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), selain anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM). Pada masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bayu, Azmi Che Hussin, melancarkan majlis bacaan Yasin membabitkan lebih 200 penduduk di padang Sekolah Kebangsaan Iboi, di sini, malam kelmarin untuk memudahkan usaha mencari mangsa.


Azmi berkata, pihaknya bersama penduduk kampung turut bersepakat untuk menggunakan kayu balak bagi menyekat arus air terjun yang terlalu deras bagi memudahkan operasi mencari mangsa yang berasal dari Kampung Bok Bak, Kupang.

Menurutnya, tekanan air di dalam lubuk berkenaan terlalu deras dan membahayakan. Oleh itu, dengan penggunaan kayu balak diharap mampu mengurangkan tekanan.


“Bagaimanapun, saya kecewa kerana ada pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) mengatakan mangsa sudah ditemui, semalam (kelmarin) dan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk rawatan.


“Saya turut menerima SMS berkenaan dan ia adalah sesuatu yang mengecewakan kerana akan mengganggu emosi keluarga mangsa disebabkan maklumatnya ternyata palsu,” katanya ketika ditemui, di sini.

Justeru, katanya, pihaknya menyeru kepada orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu kerana ia akan menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan ahli keluarga mangsa.


Harian Metro semalam melaporkan mangsa dikatakan tergelincir ke dalam lubuk sedalam 10 meter di kawasan berkenaan ketika cuba mengalih kedudukan sewaktu memancing bersama beberapa rakannya pada Jumaat lalu.

myMetro | Gagal jejaki lelaki lemas:

'via Blog this'

Hamil 3 bulan angkara abang

PADANG BESAR: Seorang lelaki bertindak rakus apabila sanggup merogol adik perempuannya sendiri beberapa kali sejak Julai lalu menyebabkannya mengandung.

Malah, remaja perempuan berusia 15 tahun itu turut diugut supaya menutup mulut berhubung kegiatan sumbang mahram yang berpunca akibat nafsu buas abangnya berusia 21 tahun.

Namun, tindakan kejam abangnya itu terbongkar apabila ibu saudara gadis berkenaan menyedari perubahan ke atas anak saudaranya yang kelihatan seperti orang mengandung pada Sabtu lalu.

Difahamkan, mangsa yang tinggal bersama bapa dan suspek yang bekerja sendiri di rumah mereka di Batu 18, Kaki Bukit, di sini, mendakwa dirogol berulang kali sehingga mengandung tiga bulan.


Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Dros berkata, mangsa dipercayai dirogol buat kali pertama oleh abang kandungnya sejak Julai lalu dan perbuatan itu dilakukan berulang kali selepas itu.

myMetro | Hamil 3 bulan angkara abang:

'via Blog this'

8 sekeluarga didakwa miliki heroin, morfin

AMPANG: Lapan sekeluarga, termasuk seorang warga emas yang juga bapa berusia 67 tahun dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas pertuduhan memiliki dadah jenis heroin dan morfin, Jun lalu.

Bagaimanapun, semua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sarimah Hashim.


Mereka adalah C Adeken, 67; isterinya, R Periyaka, 51; bersama lima anak mereka, Jayalatchemi, 33; Jayakumar, 30; Jayarajah, 28; Jayamalini, 26, dan Jayamurugan, 24, serta sepupu, N Thayalan, 26. Mengikut pertuduhan, semua tertuduh didakwa memiliki 130 peket lutsinar mengandungi dadah heroin dan morfin dengan berat bersih 8.77 gram.

Mereka melakukan perbuatan itu di rumah bernombor 52, Kampung Fajar, Taman Melawati, Ulu Klang di sini, pada jam 4.30 pagi pada 30 Jun lalu.


Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau untuk tempoh tidak kurang lima tahun dan tidak kurang 10 sebatan.

myMetro | 8 sekeluarga didakwa miliki heroin, morfin:

'via Blog this'

Dua warga India dicekup jual mercun

KUALA LUMPUR: Dua lelaki warga India ditahan polis selepas didapati menjual pelbagai mercun secara haram selain gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah di tapak perniagaan Little India, Brickfields, di sini, Jumaat lalu.

Difahamkan, selepas mendapat maklumat orang awam, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields membuat pemantauan terhadap kegiatan itu kira-kira jam 9 malam.


Ketika kejadian, dua suspek sedang leka menarik perhatian pengunjung di sebuah gerai di kaki lima untuk membeli mercun.

Sumber berkata, selepas memerhatikan suspek selama 20 minit dan memastikan mereka adalah penjaga gerai berkenaan, polis menghampiri kedua-dua suspek terbabit.


“Pasukan itu memperkenalkan diri sebagai polis dan menunjukkan kad kuasa kepada suspek sebelum mengarahkan mereka mengemukakan kad pengenalan diri.


“Kedua suspek gagal berbuat demikian dan berdasarkan pemeriksaan awal, suspek dikatakan berusia 29 dan 33 tahun berasal dari Tamil Nadu, India,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan juga, polis menemui 14 bakul merah mengandungi pelbagai mercun dan bunga api termasuk jenis Happy Boom, Shoots Flamming Balls dan Cakes Fireworks.


Selain itu, barangan lain seperti meja lipat, mesin kira serta wang tunai bernilai RM157 turut ditemui dan dirampas.

Dua suspek berkenaan kemudian dibawa ke IPD Brickfields bersama barangan letupan berkenaan untuk dijadikan barang kes.


Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Aida Abdul Hamid mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan.

myMetro | Dua warga India dicekup jual mercun:

'via Blog this'

Identiti diklon 2 Pakistan

KUALA LUMPUR: Sudah jatuh ditimpa tangga. Begitulah nasib seorang pemandu teksi kerana bukan saja kehilangan kad pengenalan dan lesen memandu, malah dokumen itu dipercayai digunakan dua lelaki warga Pakistan yang dikesan memalsukannya sebagai ‘kebenaran’ untuk membeli teksi.

Ekoran kejadian itu, dia kini berdepan risiko kemungkinan akan didakwa di mahkamah kerana gagal membayar saman yang diterima dua lelaki berkenaan yang menggunakan kad pengenalannya sehingga menerima waran tangkap akibat kesalahan lalu lintas.

Mangsa, Mohd Sukli Tapah, 47, berkata, semuanya berlaku selepas dia keciciran dompet pada Ogos tahun lalu di LCCT Sepang, dekat sini dan hanya menyedari ia ‘dimiliki’ individu lain ketika menghadapi masalah untuk mendapatkan Kad Pemandu di Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad), 11 Oktober lalu.

Katanya, dia dimaklumkan petugas Spad terdapat tiga saman dikeluarkan atas namanya sekali gus menyebabkannya disenarai hitam daripada membuat atau memperbaharui dokumen berkaitan dan lebih aneh, kesalahan itu dilakukan menggunakan teksi berlainan.


“Saya terkejut sebaik diberitahu mempunyai saman atas nama saya. Selepas diperiksa, saman itu dikeluarkan kepada tiga teksi milik syarikat berbeza dengan jumlah keseluruhan hampir RM2,000.

myMetro | Identiti diklon 2 Pakistan:

'via Blog this'

Lelaki tersepit dalam kereta meraung minta tolong

GEORGETOWN: Seorang lelaki hanya mampu meraung kesakitan sambil meminta tolong apabila dia tersepit dalam keretanya selepas terbabas di Jalan Masjid Negeri, di sini, awal pagi kelmarin.

Kejadian dipercayai berlaku jam 3.30 pagi membabitkan Toyota Vios dalam perjalanan dari arah Jalan Lumba Kuda ke Jalan Masjid Negeri, di sini, Mangsa yang berusia 20 hingga 30-an itu memandu seorang diri dikatakan gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas dan merempuh sebatang pokok.


Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Penguasa Bomba Kanan 2, Mohd Nor Sirat, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.42 pagi dan tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian bersama lapan anggota dan sebuah jentera.

Menurutnya, apabila tiba di lokasi kejadian, didapati mangsa tersepit apabila bahagian enjin keretanya terperosok ke dalam hingga menyebabkan kakinya tidak dapat dikeluarkan.


Katanya, pihaknya difahamkan orang ramai cuba membantu mengeluarkan mangsa tetapi gagal selainkeadaan mangsa dipercayai agak parah dan diberitahu sukar bernafas sebelum mereka menghubungi bomba.


“Kami terpaksa menggunakan peralatan pemotong hidrolik memotong beberapa bahagian kereta bagi mengelak mangsa cedera lebih parah.

“Hampir sejam masa terpaksa diambil mengeluarkan mangsa dan pemeriksaan mendapati mangsa cedera terutama bahagian peha kanan dipercayai patah serta cedera di muka akibat serpihan cermin pecah. Mangsa terpaksa diberikan alat bantuan pernafasan,” katanya.


Mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut dan keadaannya agak kritikal.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Kong Meng mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai dapat membantu siasatan.


Menurutnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Bahagian Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) di talian 04-2181822 atau mana-mana balai polis berhampiran.

myMetro | Lelaki tersepit dalam kereta meraung minta tolong:

'via Blog this'

Sorok dadah dalam buai

KENINGAU: Kelicikan seorang lelaki menyembunyikan pelbagai jenis dadah termasuk syabu, ketamin dan pil khayal di dalam buaian bayinya terbongkar apabila polis menemui bahan terlarang itu dalam serbuan di sebuah rumah kongsi di Kampung Nambayan, Tambunan di sini, kelmarin.

Sebelum serbuan, sepasukan anggota Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau melakukan intipan di rumah kongsi dua tingkat itu yang dipercayai menjadi markas pengedaran dadah. Sebaik mendapat lampu hijau, polis yang menyerbu tingkat bawah rumah terbabit mendapati ruang itu kosong, sebelum memasuki beberapa bilik di tingkat atas dan menemui seorang lelaki berusia 30 tahun di dalam sebuah bilik, kira-kira jam 10.30 malam.


Pemeriksaan polis di bilik itu kemudian menemui satu bungkusan mencurigakan yang disembunyikan di dalam buaian bayi. Difahamkan, ketika serbuan, isteri dan anak lelaki terbabit tiada di rumah.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Zahari Mohamed berkata, sebaik bungkusan itu dibuka, polis menemui enam peket plastik lutsinar dipercayai syabu seberat 5.2 gram, satu penyedut minuman mengandungi ketamin seberat 2.05 gram, 10 pil Eramin 5 dan dua biji pil Ecstacy.


Menurutnya, polis kemudian memeriksa bilik bersebelahan yang dihuni seorang lagi lelaki sebelum menemui satu bungkusan plastik lutsinar dipercayai syabu seberat 0.1 gram yang disembunyikan di bilik itu.


“Siasatan polis mendapati suspek pertama bekerja sendiri, rakannya berusia 33 tahun buruh binaan dan mereka ditahan reman untuk siasatan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Mengulas lanjut, Zahari berkata, sepanjang Oktober saja, sebanyak 29 kes membabitkan dadah dibongkar termasuk satu kes mengikut Seksyen 39A (1), Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, manakala masing-masing enam dan 22 kes mengikut Seksyen 12(2), ADB 1952 dan Seksyen 15 (1) (a), ADB 1952.


Beliau berkata, kewujudan kes itu menunjukkan gejala penyalahgunaan dadah di kalangan masyarakat semakin serius terutama membabitkan golongan berusia 20 hingga 45 tahun.

“Polis mengesyaki bekalan dadah itu dibawa ke daerah ini oleh pengedar tempatan sebelum diedarkan kepada pelanggan di pusat hiburan di sekitar bandar ini,” katanya.

myMetro | Sorok dadah dalam buai:

'via Blog this'

Dibelasah, paksa minum arak akibat salah faham

GOMBAK: Gara-gara salah faham mengenai alat ganti motosikal, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun bukan saja dibelasah sekumpulan lelaki, malah dipaksa meminum minuman keras sebelum berjaya diselamatkan pengawal keselamatan di sebuah rumah di Jalan Ipoh, dekat sini, kelmarin.

Sebelum kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa dikatakan menerima panggilan daripada rakan yang meminta bertemunya di sebuah stesen minyak di Taman Selayang.


Menurut sumber, rakan mangsa memberitahu mahu membayar hutang RM200 dan meminta mangsa berjumpanya di stesen minyak berkenaan.

“Tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa bersama seorang lagi rakan menaiki motosikal lalu pergi ke tempat dijanjikan.


“Bagaimanapun, mangsa terkejut apabila tiba-tiba, sekumpulan 10 lelaki tidak dikenali bersama rakan yang berhutang dengannya terus meluru ke arahnya sebelum mereka memaksanya masuk ke dalam sebuah kereta,” katanya.


Katanya, terkejut dengan insiden itu, mangsa cuba melawan tetapi gagal apabila dipukul manakala rakan yang menemaninya turut dihentak dengan topi keledar.

“Seorang daripada suspek melarikan motosikal mangsa manakala yang lain terus memecut laju kereta berkenaan menuju ke sebuah rumah di Jalan Ipoh,” katanya.


“Sebaik tiba di rumah berkenaan, kumpulan itu terus memukul mangsa beberapa kali sambil bertanyakan tempat mangsa membeli alat ganti berkenaan,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian memaklumkan tidak tahu dan merayu dilepaskan kerana alat ganti itu sudah diserahkan kepada polis selepas ditangkap kerana membeli barangan curi.


“Berang dengan jawapan itu, kumpulan lelaki terus membelasah mangsa sebelum seorang pengawal keselamatan yang kebetulan melalui kawasan itu terlihat kejadian berkenaan dan panik selepas tembelang mereka pecah, kumpulan suspek terbabit cuba membawa mangsa dan rakannya keluar dari kawasan berkenaan tetapi gagal apabila sempat dihalang pengawal terbabit,” katanya.


Sumber itu berkata, kesemua suspek termasuk lelaki yang berhutang dengannya turut melarikan diri selepas bimbang ditangkap.


“Kejadian dipercayai berpunca selepas seorang anggota kumpulan itu cuba menyalahkan mangsa konon mencuri alat ganti berkenaan sedangkan mangsa yang membeli daripada lelaki terbabit.


“Akibat salah faham itu, mangsa menerima padah apabila dibelasah hampir sejam dan mengalami lebam di seluruh badan,” katanya.


Mangsa dan rakannya kemudian membuat aduan di Balai Polis Selayang mengenai kejadian berkenaan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

myMetro | Dibelasah, paksa minum arak akibat salah faham:

'via Blog this'

Polis sahkan bukan rompakan bersenjata

SIBU: Tragedi berdarah di Sungai Empawah Khamis lalu yang menyaksikan tiga sekeluarga mati dibunuh, dipercayai oleh tiga warga Indonesia, berpunca daripada satu pergaduhan yang bertukar menjadi ganas antara seorang majikan dengan pekerjanya, dan bukan rompakan bersenjata seperti dikatakan berlaku sebelum ini.

Ketua Polis Sibu, ACP Shafie Ismail berkata, seorang daripada mangsa, Tiong Tang Ming, 69, mengupah tiga lelaki berusia 20-an untuk menoreh di ladang getahnya.


Beliau berkata demikian pada sesi dialog bersama pemimpin Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Sibu diketuai pengerusinya, Datuk Sri Wong Soon Koh yang ingin mengetahui lebih lanjut kes itu.

Dalam insiden jam 7.30 malam itu, ketiga-tiga penyerang, dipercayai pendatang asing tanpa izin yang berhasrat pulang ke negara asal, menyerang Tang selepas dia enggan membayar gaji mereka.


Mangsa terbunuh bersama anak lelakinya, Tiong King, 35, dan menantu Teu Lee Mee, 32, yang ingin membantunya.


Bagaimanapun, isteri Tang, Peh Kim Eng yang berusia 50-an, terselamat apabila dia pura-pura mati selepas ditikam dan kini dirawat di hospital.

Shafie berkata, selepas membunuh mangsa, ketiga-tiga lelaki itu menggeledah rumah dan melarikan wang tunai serta barang kemas.


Dua daripada mereka diberkas polis selepas dikesan menggunakan telefon bimbit mangsa manakala seorang lagi masih bebas.

Sementara itu, Shafie berkata polis sukar menjejak pendatang asing tanpa izin yang bekerja di ladang getah yang terletak jauh di kawasan hutan kerana mereka memasang perangkap berasid di sepanjang jalan menuju ke pondok tempat mereka tinggal.


Beliau berkata, maklumat orang ramai diperlukan bagi menangani masalah ini secara efektif. - Bernama

myMetro | Polis sahkan bukan rompakan bersenjata:

'via Blog this'

Pura-pura solat elak ditahan

GEORGETOWN: Seorang wanita sanggup berpura-pura ingin bersolat selepas menyedari kehadiran anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) di rumahnya di Jalan Argyll, di sini, pagi Jumaat lalu.

Wanita itu bertindak demikian bagi mengelak ditahan berikutan operasi waran tangkap dijalankan JHEAIPP terhadapnya yang gagal menghadirkan diri ke mahkamah seperti ditetapkan sejak setahun lalu.


Bagaimanapun, helahnya itu tidak menjadi apabila wanita berusia 40-an itu ditahan jam 5.30 pagi oleh sepasukan lima pegawai penguat kuasa JHEAIPP yang diketuai Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan.

Khairul Azman berkata, pemeriksaan dilakukan di sebuah premis perniagaan tiga tingkat selepas mendapat maklumat wanita terbabit menyewa bilik.


Menurutnya, pemeriksaan mendapati pintu dan jeriji premis berkenaan berkunci dari dalam. Katanya, intipan kemudiannya ternampak kelibat seorang wanita dalam premis terbabit, tetapi tidak memberi maklum balas apabila dipanggil.


“Hampir lima minit kemudian barulah pintu premis dibuka. Pemeriksaan dilakukan di seluruh rumah berkenaan termasuk beberapa bilik lain di tingkat tiga dan dua.

“Kami akhirnya menemui seorang wanita dikehendaki yang berada di dalam sebuah bilik bersama seorang lagi rakannya di tingkat dua premis itu.


“Ketika itu mereka sedang memakai telekung dan mendakwa mahu menunaikan solat Subuh. Kami kemudian membenarkannya menunaikan solat sebelum menahan wanita itu yang diburu sejak tahun lalu selepas gagal menghadirkan diri ke mahkamah,” katanya.

Khairul Azman berkata, berdasarkan siasatan awal suspek ditahan atas kesalahan berkhalwat di tempat yang sama tahun lalu dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 27 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 dan sekiranya sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.


Menurutnya, pihaknya ingin menasihati pesalah syariah agar dapat tampil ke JHEAIPP untuk membuat semakan atau menghubungi talian 04-2637200 untuk maklumat lanjut bagi mengelak dikenakan perintah waran tangkap jika gagal hadir di mahkamah.

myMetro | Pura-pura solat elak ditahan:

'via Blog this'

Seludup arak guna kenderaan plat Singapura

IPOH: Seorang penyeludup minuman keras dikesan menggunakan taktik memasang plat nombor kenderaan palsu milik negara jiran pada kenderaannya bagi memperdaya pihak berkuasa.

Suspek berusia 40 tahun yang dibantu isterinya dikesan menggunakan plat kenderaan Singapura pada kereta pelbagai guna (MPV) Lexus RX300 dimiliki.


Tindakan licik suspek terbongkar selepas sepasukan anggota Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Perak, mengesan sarang persembunyiannya.

Dalam kejadian jam 6 petang kelmarin, seramai 10 anggota UPP diketuai Komander UPP Negeri, Asisten Superintendan Shamsuddin Pardi, menyerbu sebuah rumah teres di Jalan Batik 2, Taman Sinfar, Ipoh, di sini.


Shamsuddin berkata, hasil risikan mendapati rumah itu diubah suai suspek menjadi stor menyimpan pelbagai jenama minuman keras.


“Ketika serbuan, suspek dan isterinya tidak menunjukkan sebarang reaksi terkejut. Mereka mengaku garaj di sebelah rumah terbabit milik mereka.

“Hasil pemeriksaan menemui ratusan botol minuman keras seludup yang disembunyikan di dalam garaj itu,” katanya.


Menurutnya, suspek yang diminta menunjukkan dokumen bayaran lesen minuman keras memberi alasan hanya 96 karton atau 3,200 tin minuman keras bernilai RM24,000 itu diseludup.

“Dia mengaku semua minuman keras seludup itu dijual di restoran miliknya di bandar raya Ipoh selain dibekalkan untuk tempahan majlis keraian,” katanya semalam.


Shamsuddin berkata, lelaki itu juga mengaku kenderaan mewah MPV Lexus RX300 dengan nilai semasa RM200,000 itu digunakan khusus untuk tujuan menyeludup minuman keras berkenaan.


“Suspek dipercayai menggunakan nombor plet palsu tertera SA 25 yang berasal dari Singapura sejak setahun lalu. “Suspek dari Taman Ipoh Boulevard Timur itu kini ditahan dan diserah kepada Jabatan Kastam Bahagian Penguatkuasaan Ipoh untuk siasatan lanjut akan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya.

myMetro | Seludup arak guna kenderaan plat Singapura:

'via Blog this'

2 beranak maut, bas ekspres rempuh kereta


Oleh Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@bharian.com.my
2011/10/25

Mangsa tersepit di tempat duduk, cedera parah di kepala

KUANTAN: Dua beranak maut selepas kereta Proton Iswara dinaiki dirempuh bas ekspres di Kilometer 145, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, di Batu 5, dekat Temerloh, petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 3.40 petang, mangsa yang juga pemandu kenderaan, Mohd Khairi Abdullah Jis, 31, dari bandar ini bersama anak perempuannya, Nurul Najwa Hannani, 6, disahkan meninggal di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.
Isteri Mohd Khairi, Suryati Sudin, 31, dan seorang lagi anak lelaki mereka, Muhammad Airel Zikry, 4, cedera dan dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Md Nor Mansor, berkata keluarga terbabit dipercayai dalam perjalanan pulang ke Kuantan sempena cuti umum Hari Ulang Tahun Keputeraan Sultan Pahang.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati bas ekspres terbabit yang membawa 15 penumpang dalam perjalanan dari Mentakab menghala ke Kuala Lumpur hilang kawalan dan terbabas memasuki laluan bertentangan di lokasi itu.

“Bas ekspres terbabit kemudian bertembung dengan kereta itu menyebabkan Mohd Khairi yang juga pekerja sebuah kilang di Bentong dan anak perempuannya yang duduk di belakang tersepit di tempat duduk mereka,” katanya, semalam.
Md Nor berkata, sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Temerloh kemudian ke lokasi kejadian sebelum mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa.

Beliau berkata, pemandu bas terbabit berusia 48 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala penumpang dipindahkan ke bas lain sebelum meneruskan perjalanan.

“Kita sudah mengambil keterangan pemandu bas terbabit selain turut melakukan ujian air kencing terhadapnya.

“Bas ekspres terbabit juga sudah dihantar ke Pusat Servis Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan lanjut dan siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Berita Harian Online | 2 beranak maut, bas ekspres rempuh kereta:

'via Blog this'