Search This Blog

Friday, October 21, 2011

Anak terkulai di pangkuan

AL-FATIHAH...ahli keluarga membawa jenazah Muhammad Ismail yang meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam perigi.
AL-FATIHAH...ahli keluarga membawa jenazah Muhammad Ismail yang meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam perigi.
MUAR: “Saya akhirnya berjaya menggapai tangan Adik dan terus menggoncang badannya tetapi semuanya sudah terlambat kerana nafasnya ketika itu sudah terlalu lemah. Adik kemudian terkulai di pangkuan saya,” kata Junaidah Zaningin, 40, di sini, kelmarin.
Anak bongsunya yang berumur empat tahun, Muhammad Ismail Hamdan atau lebih mesra dipanggil ‘Adik’, meninggal dunia apabila terjatuh ke dalam perigi berhampiran rumah mereka di Kampung Tulang Gajah, Lenga pada jam 10 pagi kelmarin.

Ketika ditarik keluar, Muhammad masih lagi bernyawa tetapi disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Lenga.
Mengimbau kejadian, Junaidah berkata, mereka berdua sedang mandi di perigi berkenaan apabila Muhammad tiba-tiba tergelincir dan terjatuh ke dalamnya.

“Sepanjang mandi, Adik memegang kain basahan yang saya pakai untuk mengelakkan dia daripada terjatuh tetapi entah bagaimana, tangannya tiba-tiba terlepas.

“Seketika kemudian, Adik sudah terjatuh ke dalam perigi sedalam kira-kira satu meter itu. Saya cuba untuk menggapai tangannya tetapi gagal,” katanya.
Menurut Junaidah, dia akhirnya berjaya menggapai tangan Muhammad dan mendapatkan bantuan jiran untuk menghubungi suaminya, Hamdan Abdul Hamid berusia 40-an, bagi memaklumkan kejadian itu.

Katanya, Hamdan yang bekerja di Bukit Kepong bergegas ke klinik itu untuk melihat keadaan Muhammad.
“Bagaimanapun Adik disahkan meninggal dunia ketika tiba di klinik berkenaan. Walaupun sedih, kami reda dengan kejadian ini,” katanya.

Menurut Junaidah, sehari sebelum kejadian, anak bongsu lima beradik itu turut berperangai pelik.

“Adik cukup gembira malah kerap mengusik adik beradiknya. Kami tidak sangka ia petanda Adik bakal kembali kepada-Nya buat selamanya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian.

“Kami sudah mengambil keterangan daripada individu berkaitan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanyamy
Metro | Anak terkulai di pangkuan:
'via Blog this'

Sekali tepuk RM50,000 lesap

BATU PAHAT: Hanya sekadar menepuk bahu, seorang lelaki berwatak alim mampu membuatkan mangsanya secara tanpa disedari menyerahkan geran tanah, wang tunai serta barangan kemas kepada pengamal ilmu pukau terbabit.

Seorang daripada mangsa amalan sihir itu yang hanya mahu dikenali sebagai Salim dari Seri Medan di sini, berkata dia kerugian RM50,000 dan hanya menyedari dipukau selepas pemeriksaan mendapati wang dalam akauan banknya berkurangan.


Bagaimanapun, lelaki berusia 60 tahun itu bersyukur tidak sempat menyerahkan geran tanah miliknya kerana penipu terbabit menghilangkan diri terlebih dulu. Salim berkata, segala-gala bermula pada awal September lalu selepas dia bersua muka dengan lelaki dikenali sebagai Roslan, 40-an, yang selalu memakai jubah serta kopiah.



“Saya menerima panggilan telefon daripadanya dan bila saya tanya bagaimana dia dapat nombor telefon saya, Roslan memaklumkan kami mempunyai naluri rasa yang sama.


“Tanpa membuang masa, Roslan menawarkan peluang perniagaan yang boleh menjana pendapatan lumayan namun saya menolaknya dengan baik dan mengatakan tidak berminat dengan urus niaga seperti itu,” katanya di sini, semalam

myMetro | Sekali tepuk RM50,000 lesap:

'via Blog this'

Ugut bunuh bini

GOMBAK: Hanya kerana enggan meminjam wang daripada keluarga, seorang suami bukan saja sanggup memukul isterinya, malah mengugut menyimbah asid dan membunuh wanita terbabit di rumah mereka di Country Homes, Rawang di sini.

Sebelum ini, lelaki terbabit yang berusia 20-an juga dikatakan sering mendera isterinya yang berusia 24 tahun dengan menyimbah air panas selain membiarkan wanita itu tidur di atas lantai tanpa berselimut.

Dalam kejadian terbaru Selasa lalu kira-kira jam 8 malam, suami terbabit naik berang apabila mangsa tidak mahu menuruti arahannya supaya berjumpa dengan keluarganya untuk meminjam wang.

Menurut sumber, mangsa memberitahu berasa malu kerana sering menyusahkan keluarganya apabila mereka kesempitan wang dan tidak mahu lagi berbuat demikian.


“Marah dengan keengganan mangsa membantunya menyebabkan suaminya mendesak berkali-kali malah mengugut akan mencederakannya jika masih berdegil.

myMetro | Ugut bunuh bini:

'via Blog this'

Pencari rumah rupanya peragut

KULIM: Niat baik seorang warga emas wanita membantu seorang lelaki mencari alamat sebuah rumah membawa padah apabila dia diragut lelaki terbabit di Taman Bidara, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, K Saroja, 64, kerugian kira-kira RM6,000 selepas rantai emas yang dipakainya sejak beberapa tahun lalu diragut lelaki terbabit yang menunggang motosikal.


Menceritakan kejadian itu, Saroja berkata ketika itu dia sedang berada di depan rumahnya memetik bunga melur sebelum didatangi seorang lelaki berusia dalam 20-an hingga 30-an yang menunggang motosikal Yamaha LC.

“Saya tidak menghiraukannya kerana menganggap dia mahu ke rumah sebelah, tetapi dia datang kepada saya dan mengeluarkan sepucuk surat sambil bertanyakan alamat seseorang,” katanya, semalam.


Saroja berkata, kerana tidak tahu membaca dia memanggil saudaranya yang berada dalam rumah untuk membantu, namun ketika dia sedang melihat surat itu suspek tiba-tiba memegang rantai lehernya dan cuba merampasnya.


“Saya cuba melawan, tetapi dia meragut rantai saya dan menolak saya hingga terjatuh. Sebaik meragut rantai saya, dia memecut motosikal dan saya tidak sempat mengecam nombor pendaftaran motosikal itu,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Kulim.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

myMetro | Pencari rumah rupanya peragut:

'via Blog this'

Anak selamat ibu diragut

JITRA: Tindakan pantas seorang anak berjaya menggagalkan cubaan lelaki yang meragut dompet ibunya apabila dia nekad melanggar motosikal peragut terbabit sehingga terjatuh dengan kereta dipandunya dalam kejadian di Taman Damai Jaya di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 petang itu, Mohd Atif Azizi, 20, turut bergelut dengan lelaki berusia 29 tahun itu yang cuba menikamnya dengan sebilah pisau Rambo sebaik terjatuh dari motosikal.


Mohd Atif, pelajar tahun akhir Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, berkata ketika sedang menunggu ibunya, Norhayati Ariffin, 50, di dalam kereta dia terdengar jeritan ibunya dan ternampak seorang lelaki cuba melarikan diri.

“Sebaik melihat kejadian itu, saya nekad memecut kereta dan melanggar motosikal dinaiki suspek sebelum dia terjatuh apabila motosikalnya terhalang oleh sebuah kenderaan lain,” katanya yang ditemui di rumahnya di Taman Damai Jaya di sini, semalam.


Mohd Atif berkata, dia turun dari kereta dan cuba bergelut dengan lelaki berkenaan menyebabkan dia cuba melawannya serta mengeluarkan pisau dari poket seluar untuk menikamnya, tetapi gagal apabila Mohd Atif menepis tangan suspek menyebabkan pisau itu terjatuh.


“Pada masa sama, orang ramai datang membantu menangkap lelaki itu sebelum menyerahkannya kepada polis yang berada di lokasi kejadian,” katanya.

Norhayati yang juga seorang guru berkata, ketika kejadian dia baru selesai membayar barangan yang dibelinya untuk majlis perkahwinan anak lelaki sulungnya, Sabtu ini, apabila seorang lelaki berjaket dan bertopi keledar memasuki kedai “Lelaki itu menarik dompet saya dan dalam keadaan tergamam, saya cuba berlawan untuk mendapatkan semula dompet berkenaan tetapi lelaki itu menolak saya beberapa kali menyebabkan saya jatuh menyebabkan mengalami lebam di dada, rusuk kiri dan lengan kiri,” katanya.


Difahamkan, sebelum kejadian lelaki berkenaan dikatakan cuba menyamun pekerja di sebuah farmasi di Pantai Halban, dekat sini, dengan mengacu pisau ke dada Norazira Ismail, 36, yang ketika itu bersama rakannya, Rohayu Man, 27, sedang membungkus barangan dalam farmasi itu.

Bagaimanapun, Rohayu berjaya keluar dari premis untuk meminta bantuan menyebabkan suspek melarikan diri dengan menunggang motosikal menghala ke Taman Damai Jaya sebelum menyamun Norhayati kira-kira setengah jam kemudian.


Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Nek Zaidi Zakaria mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan suspek kini direman bermula kelmarin untuk siasatan.

myMetro | Anak selamat ibu diragut:

'via Blog this'

Drebar mengantuk rempuh bas, dua kereta

GEORGETOWN: “Saya terdengar dentuman kuat disusuli jeritan rakan-rakan yang berada dalam bas ketika itu. Kami bergeas turun kerana bimbang ia terbakar,” kata pekerja kilang, Murni Hayati Zainal Abidin, 27, menceritakan kemalangan membabitkan dua bas kilang dan dua kereta berhampiran lampu isyarat Kawasan Perindustrian Fasa IV, Bayan Lepas, di sini, semalam.

Dalam kemalangan jam 6 pagi itu, rakannya, Noraini Razali, 40-an, patah kaki dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP), manakala tiga lagi rakan cedera ringan.


Menurutnya, bas terbabit yang boleh memuatkan 40 penumpang hampir penuh ketika kemalangan berlaku dan dia bersyukur tiada kejadian buruk yang menimpa mereka.

“Mujur kami semua selamat dan hanya Noraini agak parah, manakala saya dan rakan lain diberi rawatan sebagai pesakit luar,” katanya yang ditemui di Wad Kecemasan HPP.


Ketika kemalangan, bas kilang dinaiki Murni Hayati berhenti di lampu isyarat namun tiba-tiba datang sebuah lagi bas kilang merempuh bahagian kanan belakang bas terbabit sebelum ia terbabas dan melanggar lampu isyarat.


Difahamkan, dua bas terbabit membawa pekerja kilang elektronik yang sama dan satu daripadanya yang hilang kawalan membawa pekerja warga asing. Pemandu bas berkenaan dikatakan mengantuk sebelum dia hilang kawalan dan merempuh bas satu lagi.

Rempuhan kuat itu menyebabkan seorang pekerja kilang tercampak keluar dari bas dan menyebabkan dua kerusi tercabut serta tercampak ke tengah jalan.


Dua kereta yang berhenti di persimpangan lampu isyarat itu turut mengalami kerosakan, tetapi pemandu dan penumpangnya tidak mengalami kecederaan serius.

Pegawai Turus Trafik Pulau Pinang, Deputi Superintendan Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan kemalangan berkenaan dan siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti puncanya. “Kita akan mengambil keterangan daripada pemandu dan beberapa saksi bagi melengkapkan siasatan,” katanya.

myMetro | Drebar mengantuk rempuh bas, dua kereta:

'via Blog this'

Nak buang sial, tapi kena perkosa

KUALA LUMPUR: Terpengaruh dengan dakwaan dirinya disihir dan perlu dirawat, seorang wanita berusia 42 tahun dirogol seorang lelaki di sebuah hotel di Kepong, di sini, ketika mahu melakukan rawatan bagi membuang sial, Selasa lalu.

Difahamkan, mangsa yang dipengaruhi lelaki berusia 38 tahun yang mendakwa mempunyai kebolehan membuang sial, bersetuju mengekorinya ke premis berkenaan sebelum dirogol kononnya kaedah berkenaan mampu merawat mangsa.


Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa yang menyedari ditipu, membuat laporan di Balai Polis Kepong, di sini.

Menurut sumber, mangsa mengenali suspek kerana dia menyewa bilik di rumah mangsa sejak April lalu.


“Suspek menyewa di bilik berkenaan dengan isterinya dan sejak tinggal di rumah mangsa, lelaki terbabit sering mendakwa mangsa terkena sihir individu yang berdendam dengannya.


“Pada mulanya mangsa tidak percaya namun akibat sering mendengar dakwaan itu, mangsa menjadi takut,” katanya.

Sumber berkata, akibat takut mangsa bersetuju mengikut suspek ke sebuah hotel bagi menjalani rawatan.


“Sebaik tiba di hotel, suspek merogol mangsa dan mendakwa kaedah itu mampu membuang sial dan sihir yang ada pada tubuhnya,” katanya.

Mangsa yang menyedari ditipu kemudian membuat laporan polis berhampiran kediamannya untuk siasatan dan tindakan lanjut.


Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Khairi Arasa ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan dan memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan.

myMetro | Nak buang sial, tapi kena perkosa:

'via Blog this'

Bayi duyung


MARIA menunjukkan gambar anak perempuannya yang berkaki seperti ikan duyung.
MARIA menunjukkan gambar anak perempuannya yang berkaki seperti ikan duyung.



MAUMERE (Indonesia): Seorang wanita, Maria Elizabeth dari Kampung Garam, Daerah Kota Uneng di Wilayah Sikka, kelmarin, melahirkan seorang anak perempuan yang mempunyai kaki seperti ikan duyung.
Bayi yang diberi nama Maria Oktaviani itu meninggal dunia pada jam 5 petang hari yang sama.
Menurut Maria, ketika usia kandungannya masuk tiga bulan, dia bermimpi seekor ikan duyung datang kepadanya.

Dalam mimpi itu, ikan duyung itu berjanji kandungan Maria akan membawa rezeki yang melimpah untuk keluarganya dengan beberapa syarat.


Yang pertama, Maria mesti menamakan anaknya itu Puteri Duyung.


Kedua, setelah dilahirkan, bayi itu mesti disimpan di dalam bekas. Manakala syarat ketiga, Maria tidak boleh menceritakan perjanjian mereka kepada sesiapa pun.

Kata Maria, sekiranya syarat itu dilanggar, seorang daripada anggota keluarganya akan menjadi korban.

Menurut Maria, dalam mimpi itu, dia telah menolak permintaan untuk menamakan anaknya Puteri Duyung.

“Dalam mimpi itu, kami bertengkar di tepi pantai. Dia meminta saya menamakan anak saya Puteri Duyung tetapi saya menolak. Saya kata dia ikan dan kami manusia,” cerita Maria.

Menurut Maria, dia telah menceritakan mimpinya itu kepada suaminya kerana ketakutan.

Mereka juga telah sepakat untuk menamakan anak mereka ‘Maria Oktaviani’ sekiranya bayi perempuan dan ‘Mario Oktaviano’ sekiranya bayi lelaki.

Cerita Maria lagi, ikan duyung itu cuba untuk menyakinkan dia supaya tidak takut dan berkata bahawa anak dalam kandungannya itu akan membawa rezeki untuk mereka sekeluarga. - Agensi

  myMetro | Bayi duyung:

'via Blog this'

Lelaki cedera ringan tanah runtuh di Genting Highlands




2011/10/21

GENTING HIGHLANDS: Seorang lelaki cedera ringan selepas kenderaannya terkena runtuhan tanah di Kilometer 13.9 menghala ke Genting Highlands, pada jam 11.30 malam semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 40an yang dalam perjalanan ke pusat peranginan Genting Highlands dihantar ke klinik berdekatan bagi mendapatkan rawatan.
Tanah runtuh berlaku akibat hujan lebat sejak petang semalam membabitkan laluan menuju ke arah Genting Highlands dan ia tidak menjejaskan pergerakan trafik di sekitar kawasan terbabit.
Tinjauan Berita Harian di lokasi mendapati pihak polis sudah membuat lencongan bagi memastikan kenderaan menghala ke tanah tinggi itu dapat meneruskan perjalanan.

Bagaimanapun, wakil media tidak dibenarkan menghampiri kawasan tanah runtuh di mana kerja pembersihan sedang dijalankan.
Berita Harian Online | Lelaki cedera ringan tanah runtuh di Genting Highlands:

'via Blog this'

Aziz Bari digantung tugas


KUALA LUMPUR – Pakar perlembagaan, Profesor Dr. Abdul Aziz Bari (gambar kecil) digantung tugas sebagai pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkuat kuasa kelmarin.

Beliau digantung tugas berikutan sepucuk surat yang diterimanya daripada Sekretariat Lembaga Disiplin, Tatatertib dan Kakitangan, Unit Perundangan UIAM tengah hari kelmarin.

Ketika dihubungi Kosmo! semalam, Abdul Aziz berkata, beliau menerima surat tersebut secara serahan tangan.

“Ya, memang saya ada terima surat itu kelmarin tetapi tak perlulah untuk saya luahkan sama ada mahu katakan suka atau marah,” katanya.

Beberapa portal berita melaporkan berikutan surat tersebut, Abdul Aziz masih mendapat gaji sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.

Bagaimanapun beliau dilapor tidak dibenarkan memasuki pejabatnya di kampus UIAM di Gombak.

Beliau juga diberi masa sehingga 25 Oktober ini untuk menjawabnya.

Ditanya mengenai reaksi para pelajarnya terhadap situasi terkini dirinya, beliau amat terharu dan tersentuh hati dengan pelbagai respons yang diterimanya.

Sementara itu, Pengarah Perhubungan Awam UIAM, Abdul Rahim Ahmad berkata, surat tunjuk sebab tersebut bertujuan untuk memberi peluang kepadanya menjelaskan mengenai isu-isu yang dikaitkan dengannya.

Beliau berkata, sekretariat itu sedang mengumpul maklumat lengkap mengenai isu yang dikaitkan dengan Abdul Aziz.

“Sekretariat itu akan menilai secara terperinci sama ada kenyataan beliau yang merupakan seorang ahli akademik dan pensyarah bercanggah dengan mana-mana peraturan universiti,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Jadi wanita selepas mencuri



SHEIK AZAHAR (kanan) menunjukkan Pajero yang ditemui semula selepas dicuri dua lelaki pada sidang akhbar di Jeli, Kelantan semalam.


JELI – Sepasukan polis yang menyerbu sebuah rumah untuk menahan seorang suspek curi kenderaan terkejut apabila mendapati lelaki itu tergamak memakai baju kelawar semata-mata hendak menyamar sebagai perempuan.

Kejadian pukul 7.30 pagi itu berlaku apabila suspek bertindak menyarung pakaian tersebut selepas terperangkap ketika sedang bersembunyi di celah katil di dalam bilik di rumah keluarganya di Kampung Air Merbuk, Tanah Merah.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Supritendan Sheik Azahar Sheik Omar berkata, suspek ditahan selepas pihaknya menjalankan siasatan sebaik menerima laporan mengenai kehilangan sebuah Pajero milik seorang petani berusia 64 tahun di Kampung Pasir Dusun di sini pada pukul 1.15 pagi.

Katanya, polis yang menjalankan siasatan kemudian telah terserempak dengan kenderaan itu lalu mengekorinya hingga di kaki bukit Kampung Air Kayan Jedok, Tanah Merah.

“Suspek yang terperangkap kemudian telah meninggalkan kenderaan itu dengan enjinnya masih hidup lalu melarikan diri.

“Polis kemudian telah menjalankan operasi mencari sebelum mengepung rumah suspek berusia 28 tahun lalu menahannya ketika sedang bersembunyi dengan memakai baju keluarga milik ahli keluarga perempuannya,” katanya.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Samun rokok di kawasan masjid



ANGGOTA polis memeriksa salah sebuah van rokok yang disamun lapan lelaki di kawasan masjid di Kampung Pulau Panjang, Besut kelmarin.


BESUT – Sekumpulan lapan penjenayah menyamun dua pemandu van sebuah syarikat rokok dengan melarikan beratus karton rokok, wang dan jam tangan bernilai hampir RM82,000 kelmarin.

Kejadian pukul 1.50 petang di Kampung Pulau Panjang, dekat sini itu berlaku ketika Azmi Mat Ali, 43, dan Othman Mamat, 44, masing-masing memandu sebuah van, sedang berhenti di kawasan masjid tersebut untuk melepaskan lelah dan menunaikan solat Zuhur.

Suspek menghentak kepala salah seorang mangsa ke stereng sebelum mengikat tangan dan menutup matanya untuk melarikan kesemua barang berharga itu.

Difahamkan, ketika itu, Othman membawa 233 karton rokok bernilai RM23,715 manakala Azmi pula membawa 250 karton bernilai RM27,810. Selain rokok, wang RM17,000 milik syarikat dan jam tangan jenama Rado milik Othman bernilai RM5,000 juga dilarikan.

Mengimbau semula kejadian itu, Othman memberitahu, sebaik tiba, dia didatangi seorang lelaki yang terus menghentak kepalanya ke stereng.

Ceritanya, suspek kemudian telah memegang kepalanya dan mengarahkannya menyerahkan kesemua wang yang dibawa.

“Tidak lama kemudian, tujuh lagi rakannya yang menaiki dua buah kereta tiba lalu mengikat tangan dan menutup mata saya. Azmi yang berada tidak jauh juga menerima nasib serupa,” katanya di sini semalam.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Padah tumbuk muka isteri



ZAINON (kiri) semasa hadir pada perbicaraan suaminya yang didakwa kerana mencederakannya di Mahkamah Majistret Melaka semalam.


MELAKA – Gara-gara mencederakan isteri sendiri dengan menumbuk mukanya ketika bertengkar, seorang peniaga didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistret Muzila Mohamed Arsad menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Md. Norazman Mohd. Said, 44, selepas tertuduh mengaku salah bagi pertuduhan kedua yang disabitkan ke atasnya.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan pertama di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu mengugut isterinya yang boleh menyebabkan kematian atau cedera parah terhadap mangsa.

Bagi pertuduhan kedua itu, Md. Norazman didakwa mencederakan Zainon Basir, 43, di rumah No. 15, Jalan M27 Taman Merdeka, Batu Berendam pada pukul 12.30 malam, 1 Ogos lalu.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman terhadapnya diringankan.

“Jika boleh saya hanya mahukan hukuman denda dan tidak dikenakan hukuman penjara,” katanya.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Rokok seludup RM2.2 juta berjaya dirampas



MOHD. MOKHTAR (tengah) memeriksa rokok seludup bernilai RM2.2 juta pada sidang akhbar di Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU – Polis Johor berjaya merampas rokok seludup pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM2.2 juta dalam satu serbuan di kawasan perkuburan Cina Saleng, Kulaijaya pada Selasa lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, hasil maklumat, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulaijaya pergi menyiasat beberapa kenderaan berupa tujuh buah kereta dan sebuah lori yang berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan perkuburan tersebut pada pukul 4.20 pagi.

Katanya, sebaik menyedari kehadiran polis, beberapa suspek bertindak melarikan diri dan meninggalkan kenderaan tersebut.

“Hasil pemeriksaan ke atas tujuh kenderaan berkenaan, polis menjumpai 20,750 karton rokok pelbagai jenama yang disyaki diseludup masuk ke negara ini yang dianggarkan bernilai RM2.2 juta,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga 10 kali daripada nilai rampasan.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'