KLANG: Seorang juruwang kedai tekstil di Jalan Tengku Diauddin, di sini, mengalami detik mengerikan apabila lehernya diacu parang oleh tujuh lelaki yang menyamun RM130,000 wang jualan yang mahu disimpan mangsa ke bank.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, Isnin lalu itu, mangsa, Mohammad Najmuddin Abd Aziz, 25, disamun 100 meter dari bank berhampiran sebelum dia memasukkan wang jualan berkenaan ke dalam bank itu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, mangsa yang berjalan ke bank tiba-tiba didatangi lapan lelaki yang menaiki lima motosikal.
“Ada antara suspek itu mengugut mangsa menggunakan parang dengan meletakkan senjata tajam itu di leher mangsa.
“Kami percaya mangsa bergelut dengan penjenayah terbabit menyebabkan mangsa luka di tangan kanan dipercayai terkena parang.
“Mangsa dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini bagi rawatan lanjut dan dibenarkan keluar hospital hari ini (semalam),” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, berdasarkan siasatan awal, kelapan-lapan suspek berusia lingkungan 30-an itu warga negara tempatan dan mereka membawa dua parang ketika kejadian.
“Polis giat melancarkan gerakan memburu semua suspek.
“Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan kerana melakukan rompakan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika disabitkan kesalahan.
“Orang ramai yang melihat kejadian dan mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
'via Blog this'