KUALA LUMPUR: Sekumpulan remaja bertindak ganas dengan mengheret seorang peniaga sejauh 50 meter sebelum membelasahnya dengan getah paip di hadapan rumah mangsa dalam usaha melarikan beg silang milik mangsa dalam kejadian di Taman Sri Bahtera, di sini, kelmarin.
Difahamkan, kumpulan remaja itu terdiri daripada tujuh orang lelaki berusia 14 hingga 16 tahun dan bergerak dengan menaiki motosikal.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Simon, 38, berkata ketika kejadian dia yang baru tiba di rumah hendak menutup pintu pagar sebelum didatangi kumpulan remaja itu.
“Dengan tiba-tiba mereka menolak pintu pagar rumah dengan kasar sebelum seorang daripada mereka menarik beg silang hingga mengakibatkan saya terjatuh,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Menurutnya, berang dengan tindakan mangsa yang cuba melawan, kumpulan terbabit mengheret mangsa hingga ke tepi jalan sejauh 50 meter sebelum membelasahnya dengan getah paip di kepala dan badan.
“Lebih kejam apabila mulut saya turut disumbat dengan kain yang disapu gam bagi mengelakkannya menjerit meminta tolong.
“Akibat bau gam yang kuat, saya pening dan kumpulan remaja itu melarikan beg silang yang mengandungi barangan peribadi dan wang tunai bernilai RM1,600,” katanya.
Akibat kejadian itu, mangsa cedera di kepala, kedua-dua belah tangan, paha dan bengkak di belakang badan.
Mangsa membuat laporan di Balai Polis Pudu, di sini, selepas menerima rawatan di klinik swasta berhampiran rumahnya.
'via Blog this'