
CHUKAI – Keadaan bayi malang yang disumbat di dalam tangki pam tandas beransur sihat semalam selepas ditemui dalam keadaan menyedihkan di sebuah hostel sewa di Bandar Chukai dekat sini, awal pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdullah Sani Salat (gambar) berkata, bayi lelaki seberat tiga kilogram itu bersama ibunya masih dirawat di Hospital Kemaman.
“Bagaimanapun, soal siasat ke atas ibu bayi berkenaan masih kita tangguhkan sehingga dia benar-benar sihat bagi me-ngelakkan dia berasa tertekan,” katanya.
Semalam Sinar Harian menyiarkan seorang gadis nekad menyumbat bayi lelaki yang baru dilahirkannya ke dalam tangki pam tandas bagi mengelakkan kelahiran itu diketahui rakan-rakannya dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi.
Bagaimanapun, tangisan bayi yang sayup-sayup didengari rakan sehostel selain kesan tompokan darah dari tandas ke bilik tidur menyebabkan perbuatan suspek yang menyembunyikan bayinya dalam tangki tersebut terbongkar.
Susulan itu, bayi malang itu dijumpai kira-kira jam 3.30 pagi dalam keadaan cedera di muka, kesejukan dan biru di seluruh badan sebelum dibawa ke hospital.
'via Blog this'