Search This Blog

Saturday, October 15, 2011

Cubaan terjun bangunan gagal



SH:
MUAR - Cubaan seorang pekerja warga Indonesia mahu terjun bangunan yang sedang dibina di Kawasan Perindustrian Bukit Mor di sini, gagal apabila sempat diselamatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, lelaki itu dikatakan sedang bekerja membina bangunan setinggi tiga tingkat dan secara tiba-tiba mendiamkan diri di tepi bangunan berkenaan.

Pada mulanya, rakan sekerjanya menyangka lelaki berusia 30 tahun itu tidak sihat, tetapi apabila dia mendiamkan diri dalam tempoh yang lama telah menimbulkan kehairanan kepada semua pekerja.

Bagaimanapun, keadaan bertukar sedikit cemas apabila lelaki itu secara tiba-tiba cuba melakukan aksi seolah-olah hendak terjun bangunan.

Lantas, salah seorang pekerja memanggil majikan mereka untuk memaklumkan perkara itu sebelum melaporkannya kepada polis juga bomba.

Difahamkan, lelaki itu telah bekerja di tapak pembinaan itu sejak beberapa bulan lalu dan dijangka siap pada tahun hadapan.

Pada masa sama, dipercayai pekerja itu mengalami tekanan perasaan, tetapi sebelum ini tidak pernah melakukan sebarang tindakan yang mencemaskan ramai orang.

Setelah lebih sejam usaha memujuk pekerja itu gagal, memaksa majikan meminta pertolongan daripada pihak polis dan bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat, Ismail Mahmod berkata, sebaik menerima maklumat pihaknya bergegas ke tempat kejadian bersama tujuh anggota dengan satu jentera.

Menurutnya, setiba di tempat kejadian, bomba dan dibantu empat polis cuba memujuk mangsa tetapi tidak berjaya.

“Akhirnya, mendorong kami mengambil tindakan pantas dengan menangkap dan memakaikannya baju pasung.

“Tindakan ini untuk mengawal mangsa daripada bertindak agresif yang boleh menyukarkan kerja menyelamat,” katanya kepada Sinar Harian.

Ismail berkata, seterusnya, mangsa berjaya dibawa turun daripada bangunan menggunakan jentera mengangkat konkrit.

“Sebaik diturunkan, mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
'via Blog this'

Ibu terpaksa heret anak



SH:
TAMAN MEGAH RIA – Bau hangit dan api yang menyala secara tiba-tiba di tingkat atas rumah mengejutkan seorang ibu yang ketika itu sedang menonton televisyen bersama dua anaknya di tingkat bawah rumah.

Api yang mula marak di tingkat atas disusuli dengan asap tebal dan jeritan dari jiran sebelah menyedarkan Duli Gayan, 26 yang tergamam dengan kejadian yang berlaku secara tiba-tiba itu.

Dia akhirnya bertindak pantas mendukung anak bongsunya berusia dua tahun dan mengheret anak keduanya berusia tujuh tahun berlari keluar daripada rumah untuk menyelamatkan diri.

“Saya mendukung anak bongsu yang berumur dua tahun dan mengheret anak kedua yang berumur tujuh tahun lari keluar rumah selepas melihat asap tebal mulai memenuhi ruang rumah.

“Pada mulanya saya panik sebaik melihat api sedang marak di bahagian tingkat atas rumah, tetapi lega kerana kami bertiga selamat,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, ia adalah kejadian pertama kali yang dialaminya sepanjang 11 tahun menyewa di rumah terbabit.

Tiga beranak itu antara 14 mangsa kebakaran yang melibatkan tiga buah rumah di Jalan Gelam 11, dekat sini, semalam.

Seorang lagi mangsa, Regina Jamang berkata, dalam keadaan kelam-kabut, dia menyelamatkan diri dan anak-anak dan bernasib baik kerana sempat mengejutkan anak sulungnya yang sedang tidur.

Menurutnya, bunyi bising di luar rumah dan jeritan minta tolong jiran mengejutkannya sekeluarga yang sedang menjamu selera di ruang dapur rumah.

“Ketika keluar menjenguk di luar rumah, saya terkejut sebaik melihat api sedang marak membakar rumah sebelah dengan kepulan asap tebal membuatkan saya teriak menyuruh anak-anak keluar rumah.

“Saya berterima kasih kepada anggota bomba kerana cepat tiba sehingga api tidak sempat merebak dan memusnahkan keseluruhan rumah kami,” katanya sambil menarik nafas lega.
'via Blog this'

Rahsia janda terbongkar



SIMPANG RENGGAM - Penguatkuasa Jabatan Agama Johor (JAJ) berjaya menangkap satu pasangan di Taman Bukit Renggam, Simpang Renggam yang disyaki bersekedudukan selama dua tahun sehingga mempunyai anak luar nikah, pada jam 2 pagi kelmarin.

Tangkapan tersebut dilakukan dalam satu operasi yang dijalankan JAJ di kawasan Simpang Renggam dan melalui hasil maklumat orang awam.

Pegawai Tadbir Agama Daerah Kluang, Mohd Khalil Md Noor berkata, lelaki yang ditahan berusia 37 tahun, bekerja sebagai pemotong rumput dan pasangannya merupakan janda yang sudah kematian suami dua tahun lalu.

“Wanita berkenaan mempunyai tiga anak dan hasil siasatan dipercayai dua anak wanita berkenaan yang berusia empat dan sembilan tahun adalah hasil daripada perkahwinannya bersama arwah suaminya, kedua-duanya adalah lelaki.

“Manakala seorang lagi anak perempuan yang berusia dua tahun itu merupakan anak luar nikah hasil daripada perbuatan persetubuhan luar nikah pasangan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Khalil berkata, pasangan berkenaan akan didakwa kerana berkhalwat di bawah seksyen 27 Enakmen kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 yang boleh di denda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Manakala, atas kesalahan persetubuhan luar nikah sehingga melahirkan anak, beliau berkata, mereka akan didakwa di bawah seksyen 23 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 yang boleh di denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara atau enam kali sebatan.

Dalam kes lain, dua lelaki berusia 44 dan 53 tahun ditahan JAJ di kedai judi nombor ekor di Simpang Renggam, semalam.

Kedua-dua lelaki tersebut ditangkap lebih kurang jam 12.40 tengah hari dan kedua-duanya bekerja sebagai kakitangan kerajaan di Simpang Renggam.

Mohd Khalil berkata, kedua-dua lelaki terbabit akan didakwa di bawah Seksyen 18 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana membeli atau berada di dalam kedai judi.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Pelancongan Pulau Banding terancam

SH:


GERIK – Ibarat telur di hujung tanduk, industri pelancongan di Pulau Banding, Tasik Temengor dan Taman Negeri Royal Belum semakin terancam akibat kekurangan bekalan petrol yang didakwa berpunca daripada penarikan balik permit menjual petrol kepada pengusaha pelancongan Tasik Temengor, di sini.

Kira-kira 50 ahli Persatuan Pengusaha Pelancongan Tasik Temengor (PPPTT) merasa kecewa dengan masalah ini kerana operasi bot mereka terpaksa dihadkan dan keadaan ini mendatangkan masalah kepada mereka.

Seorang pengusaha PPPTT, Samsul Anuar Sanusi, 35 berkata, operasi bot pelancongan tidak dapat dijalankan seperti biasa dan kebanyakan ahli PPPTT mendakwa, masalah itu semakin kritikal sejak sebulan lalu.

“Masalah itu menyebabkan kebanyakan pengusaha bot pelancongan tidak dapat memenuhi permintaan pelancong sama ada tempatan atau luar negara ke destinasi sepatutnya.

“Antara keadaan terburuk berlaku pada seminggu lalu, melibatkan sepasang pelancong dari negara Belanda yang sepatutnya melawat tiga destinasi sekitar Tasik Temengor, namun hanya sempat melawat satu destinasi sahaja,” katanya ketika ditemui, di sini.

Samsul berkata, keadaan ini disebabkan bot pelancongan itu terpaksa berpatah balik ke Jeti Pulau Banding kerana kehabisan minyak dan keadaan ini telah menyebabkan kerugian besar kepada pengusaha.

'via Blog this'

Dicekup ketika berasmara

SH:


CHANGKAT JONG - Gara-gara tidak dapat menahan nafsu, sepasang kekasih sedang berasmara di dalam sebuah rumah di Kampung Batu 9, di sini, dicekup penduduk, polis dan pegawai penguat kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Hilir Perak, pagi kelmarin.

Setiausaha Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Baru Batu 9, Ahmad Baharom, 59, berkata, penangkapan itu dilakukan setelah penduduk mengintip gerak geri pasangan itu selama dua minggu di rumah milik ibu bapa lelaki yang menjadi port melepaskan nafsu mereka.

Menurutnya, sebelum ini, ibu bapa lelaki berkenaan dikatakan telah menasihatkan anaknya supaya bernikah dengan gadis pilihannya tetapi lelaki tersebut sengaja melengah-lengahkan untuk berkahwin.

“Ketika serbuan dibuat ibu bapa lelaki itu tidak ada di rumah, memaksa kami memecahkan pintu depan rumah yang dikunci dari dalam kerana pasangan itu enggan beri kerjasama.

“Lelaki berusia 30-an adalah seorang kontraktor di kawasan Changkat Jong manakala teman wanitanya yang berusia 25 tahun berasal dari Terengganu, adalah seorang guru yang bertugas di sebuah sekolah menengah di Setapak Kuala Lumpur” katanya ketika ditemui pemberita.

Ahmad berkata, ketika serbuan dilakukan, lelaki berkenaan didapati hanya memakai tuala sahaja sementara teman wanitanya berselimut dan berada di atas tilam.

Katanya, pasangan kekasih itu juga gagal menunjukkan dokumen mengatakan mereka pasangan suami isteri yang sah ketika diminta oleh pegawai penguatkuasa Jaipk Hilir Perak.

Pegawai penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Hilir Perak enggan memberi maklumat dengan alasan semua kenyataan akhbar hanya boleh dibuat Pegawai Penguatkuasa di lbu pejabat Jabatan Agama lslam Perak di lpoh.

'via Blog this'

Pasangan kekasih dihukum



SH:
IPOH – Seorang wanita warga Vietnam yang mengandung lima bulan bersama kekasihnya dihukum penjara 10 tahun (bermula semalam) dan denda RM2,000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas kesalahan memperdagangkan dua wanita yang juga warga Vietnam bagi aktiviti pelacuran di sebuah pusat karaoke di Sitiawan pada tahun 2008.

Hakim Noor Hayati Mat menjatuhkan hukuman itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes berkenaan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh Kong Kok Kyt, 32 dan pasangannya, Lee Vo Tu, 25 dituduh melakukan pemerdagangan ke atas dua orang wanita warga Vietnam, Pham Ngoc Hoa, 31, dan Nguyen Thi My Tuyen, 34, di bawah Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007.

Kedua-dua tertuduh melakukan perbuatan itu antara 19 Julai hingga 23 September 2008 bertempat di No. 13A, Taman Sri Koh, Kampung Koh, Sitiawan.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak melebihi 20 tahun serta denda.

Mengikut laporan polis yang dibuat pada 25 September 2008, mangsa terbabit dibawa masuk ke Malaysia selepas dijanjikan pekerjaan sebagai tukang jahit namun diperdaya dan dipaksa melacur diri dengan alasan untuk membayar hutang tertuduh iaitu sebanyak RM3,500 setiap seorang.

Akibat tidak tahan dipaksa melakukan kerja pelacuran, kedua-dua mangsa bertindak untuk berhenti kerja selepas 10 hari menjalankan kegiatan itu.

Kedua-dua wanita terbabit kemudiannya ditahan dan dipenjarakan namun diselamatkan tertuduh apabila membayar wang jaminan mereka sebanyak RM3,000 setiap seorang.

Mereka kemudian sekali lagi dipaksa untuk kerja yang sama oleh tertuduh sehingga menyebabkan kedua-dua mangsa itu takut dan tertekan.

Akhirnya, kedua-dua wanita terbabit bertindak melarikan diri daripada tertuduh dan diselamatkan orang awam yang membawa mereka untuk membuat laporan polis berhubung kes ini.

Rakaman percakapan mangsa dilakukan di Mahkamah Majistret Manjung pada 12 Januari 2009 dan kemudiannya perbicaraannya dijalankan di Mahkamah Sesyen Ipoh pada 1 Julai tahun yang sama.

Sementara itu, peguam Ricky Hong Chong Hang dalam rayuannya memohon mahkamah supaya mengurangkan hukuman ke atas kedua-dua anak guamnya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Laila Mohamed Nazil meminta mahkamah supaya mengenakan hukuman setimpal ke atas kedua-dua tertuduh.

Noor Hayati kemudiannya membenarkan penangguhan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh sehingga proses rayuan selesai dan mengenakan syarat supaya wang denda dibayar dan wang jaminan kedua-dua tertuduh ditingkatkan kepada RM2,000 setiap seorang.

Sebelum ini, mahkamah mengenakan jaminan RM10,000 kepada Kok Kyt dengan seorang penjamin manakala Vo Tu sebanyak RM18,000 dengan dua orang penjamin.
'via Blog this'

Temui ajal dalam kolam pasir

SH:


KEDAWANG - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dijumpai lemas di kawasan lombong kuari pasir dan kolam tadahan, yang diusahakan di Kampung Bohor, lewat petang kelmarin.

Mangsa, Mohd Aiman Ali, murid tahun enam dari Sekolah Kebangsaan Kedawang dikatakan bermandi manda di kawasan itu bersama rakan-rakannya, serta dikatakan tergelincir dan secara tiba-tiba lemas.

Ayah mangsa, Ali Mat Akop, 49, dari Kampung Belak berkata, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 5.40 petang, dan sebaik mendapat maklumat mengenai kejadian menimpa anaknya, dia dan penduduk kampung bergegas ke lokasi, tetapi tidak sempat menyelamatkan anaknya yang sudah berada di dasar kolam.

“Saya amat terasa kehilangan arwah kerana dia seorang budak yang baik dan mendengar kata. Saya amat sedih dengan pemergiannya, tetapi reda atas ketentuan Allah,” katanya.

Menurutnya, ketika kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa dilakukan, penduduk menjumpai mayat mangsa berada di dasar lombong berkenaan.

“Saya tak sangka perkara ini akan berlaku pada arwah sebab dia tidak pernah keluar bermain sebegitu jauh sebelum ini. Jika keluar pun hanya bermain di sekitar kampung ini sahaja,” katanya.

'via Blog this'

Seludup minyak guna treler



SH:

BUKIT KAYU HITAM- Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Bukit Kayu Hitam berjaya menghidu taktik terbaru digunakan sindiket penyeludupan minyak subsidi yang kini giat menggunakan treler sebagai pengangkutan menyeludup keluar minyak itu dari negara ini.

Terbaru usaha sindiket menggunakan treler tanpa muatan menggunakan tangki tambahan untuk mengisi diesel dan petrol untuk diseludup ke negara jiran berjaya dipatahkan oleh UPP Bukit Kayu Hitam dalam satu tangkapan yang dibuat di Kilometer 1.3 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Thailand, jam 11 pagi, kelmarin.

Komander UPP Bukit Kayu Hitam, Mohd Zunaidi Abdullah berkata, atas maklumat orang awam pihaknya telah menahan sebuah treler bernombor pendaftaran Thailand yang berada dalam keadaan mencurigakan kerana terdapat kesan minyak yang bocor di bahagian belakang kenderaan terbabit.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati treler tanpa muatan yang menuju ke arah Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) itu mempunyai empat tangki tambahan yang diletakkan di bahagian bawah treler manakala dua tangki tambahan lagi diletakkan di bahagian kepala treler berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 2,000 liter diesel dimuatkan dalam empat tangki tambahan di bahagian bawah treler berkenaan manakala 3,000 liter di tangki bahagian belakang kepala treler selain tujuh tong berisi 210 liter petrol yang diletakkan di dalam treler.

“Semua diesel dan petrol yang dirampas bernilai RM9,378 selain treler bernilai RM80,000, manakala seorang lelaki warga Thai berusia 43 tahun yang juga pemandu treler turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata, ini merupakan taktik terbaru penyeludup menggunakan kenderaan itu menghantar barang dipercayai getah ke negara ini sebelum membawa keluar minyak ke negara jiran dalam perjalanan pulang.

“Kes ini akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Mohd Zunaidi berkata, sejak kebelakangan ini sindiket penyeludupan kerap menggunakan kenderaan perdagangan seperti treler untuk menyeludup keluar minyak subsidi.
'via Blog this'

Tercampak 10 meter dirempuh



SH:

BALING - Sepasang warga emas parah setelah motosikal yang ditunggangi mereka dilanggar sebuah kereta dari arah belakang berdekatan dengan rumah mereka di Kampung Rambong Batu Tujuh.

Pasangan itu, Hasan Puteh, 71, dan isterinya, Safiah Senik, 73, terlantar sakit sejak sebulan lalu berikutan mengalami kecederaan parah di bahagian kaki.

Hasan berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang dari pekan Baling ke rumahnya selepas selesai membeli barangan dapur.

“Ketika saya membelok untuk ke persimpangan rumah, sebuah kereta terus melanggar bahagian belakang motosikal sehingga saya dan isteri terpelanting kira-kita 10 meter dari tempat kejadian.

“Saya terpelanting di bahu jalan, manakala isteri terpelanting di atas jalan. Sehubungan itu, isteri saya mengalami kecederaan yang lebih parah apabila tangan dan kakinya patah. Kini, dia (isteri) terpaksa menanggung derita apabila kakinya terpaksa dimasukkan besi,” katanya.

Menurutnya, selepas kemalangan, dia dan isteri dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani dan ditahan selama 15 hari di wad,” katanya.

Katanya, walaupun kejadian berlaku sebulan lalu, dia masih belum lagi dapat berjalan dengan sempurna.

“Saya tak mampu berjalan, kalau nak ke mana-mana, saya terpaksa mengesot sehingga ke bilik air,” katanya.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 7.00 malam itu membuatkannya trauma untuk menunggang motosikal berikutan kemalangan tersebut. Hasan berkata, setiap bulan dia dan isteri terpaksa mendapat rawatan susulan di HSAH, menyebabkan mereka terpaksa menyewa kenderaan untuk berulang alik ke hospital berkenaan.

“Mujurlah baru-baru ini ambulans Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) membantu membawa kami ke hospital berkenaan untuk rawatan.

“Saya juga berharap permohonan untuk mendapatkan bantuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diluluskan bagi membolehkan kami menggunakan bantuan itu untuk kos rawatan perubatan,” katanya.

Beliau berkata, mereka tidak mampu lagi untuk bekerja dan bergantung kepada seorang anak mereka yang tinggal bersama Mohd Khairuddin, 30, untuk mencari pendapatan dengan menoreh getah.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Mohd Sofian Isa berkata, beliau sudah memanjangkan surat permohonan bagi membolehkan pasangan emas itu mendapat bantuan JKM.

“Memandangkan mereka susah dan memerlukan bantuan terutamanya kos perubatan saya memanjangkan surat permohonan dan berharap mendapat perhatian,” katanya.

Pengerusi Kebajikan Umno Bahagian Baling, Noor Azman Ramli yang melawat pasangan emas itu turut menyampaikan bantuan barangan makanan bagi meringankan bebanan keluarga itu. 'via Blog this'

Polis tahan lelaki samun, pukul wanita

SH:


GEORGETOWN - Seorang lelaki ditahan sejurus dia menyamun dan memukul seorang wanita di Jalan Brown di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa yang berusia 29 tahun berjalan seorang diri ke tempat letak keretanya pada jam 1.30 pagi.

“Ketika mangsa masuk ke dalam keretanya, tiba-tiba pintu keretanya dibuka oleh seorang lelaki yang kemudian menarik mangsa keluar sebelum merampas beg tangan serta telefon bimbit milik wanita berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an itu turut bertindak memukul dan mengheret wanita berkenaan kira-kira satu meter.

“Akibat kejadian itu, wanita tersebut mengalami kecederaan di siku dan lengan sebelah kanan serta lutut kanan dan kiri,” katanya.

Kong Meng berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu kemudiannya menangkap lelaki berkenaan sebelum menyerahkannya kepada polis.

Katanya, siasatan awal mendapati lelaki itu mempunyai 10 kes jenayah lampau berkaitan samun, curi dan dadah.

“Lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya. - Bernama

'via Blog this'

Penganggur dituduh rogol gadis bawah umur



SH:
AYER KEROH – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini semalam kerana merogol seorang remaja bawah umur pada Julai lalu.

Tertuduh, Ariffin Hamran, 18, dari Bemban membuat pengakuan dan mohon dibicarakan di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar selepas mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang gadis berusia 13 tahun enam bulan di sebuah rumah kosong tidak bernombor di Jalan Pondok Kempas Pajak, Jasin, kira-kira 8.30 pagi, pada Julai lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara antara lima hingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan jaminan sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh, selain momohon tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan kerana dia yang tidak mempunyai pekerjaan adalah dari keluarga yang susah.

Ahmad Sazali kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 bagi seorang penjamin dan turut menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 14 November depan.
'via Blog this'

Rahsia bapa tiri terbongkar



TAMPIN – Harapkan pagar, pagar makan padi. Itulah gambaran apabila seorang bapa berusia lingkungan 30-an sanggup bertindak kejam dengan merogol anak tirinya sendiri yang baru menginjak usia 10 tahun.

Sinar Harian difahamkan, kejadian kali terakhir dipercayai berlaku pada pagi 3 Oktober lalu di rumah mereka di Gemencheh, dekat sini. Ketika kejadian, kanak-kanak malang itu tidak pergi ke sekolah susulan dikatakan terjatuh dari motor.

Menurut sumber, derita kanak-kanak yang sudah dua kali dirogol bapa tirinya itu akhirnya terbongkar apabila salah seorang jiran yang curiga dengan tingkah laku mangsa cuba bertanyakan masalah mangsa.

“Mangsa yang kelihatan begitu takut akhirnya memberitahu jirannya mengenai nafsu binatang bapa tirinya itu dan jirannya terus membawa mangsa ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapatkan perlindungan serta membuat laporan polis.

“Pihak JKM membuat laporan polis di Balai Polis Tampin 5 Oktober lalu dan kini kanak-kanak malang berkenaan diletakkan di bawah pengawasan serta perlindungan JKM,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Wooi Kooi Cheang mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

Menurutnya, suspek kini ditahan dan telah dihadapkan ke mahkamah bagi pertuduhan di bawah Seksyen 376, Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 30 tahun serta sebatan.

“Sehubungan itu, kita gesa semua mangsa rogol supaya tampil membuat laporan polis secepat mungkin bagi mengelakkan mereka daripada terus menjadi mangsa individu tidak bertanggungjawab melampiaskan nafsu mereka.

Kapten Amerika diberkas



PETALING JAYA - Seorang lelaki yang menggelarkan dirinya Kapten Amerika diberkas Polis Petaling Jaya selepas terlibat dalam lapan kejadian pecah kereta di sekitar Sungai Way dan Sea Park sejak Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, berbekalkan maklumat awam, suspek berusia 44 tahun berjaya ditahan di rumahnya di Bandar Utama Ahad lalu.

Menurutnya, modus operandi suspek ialah membaling batu ke arah cermin kereta yang diikat dengan nota berbaur perkauman dengan menamakan dirinya sebagai Kapten Amerika.

“Siasatan mendapati suspek yang mempunyai masalah mental melakukan kegiatannya jenayahnya pada waktu malam dan awal pagi bagi mengelak dikesan orang ramai,” katanya ketika ditemui media selepas majlis pemakaian pangkat anggota lans koperal peringkat IPD Petaling Jaya semalam.

Beliau berkata, kali terakhir suspek memecah kenderaan ialah pada awal Oktober lalu di Sea Park.

“Saya mengucapkan terima kasih di atas kesabaran penduduk yang tidak cepat melatah bagi membolehkan kes ini diselesaikan polis dengan cara yang baik,” katanya.

Kes disiasat di bawah seksyen 507 kanun keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Pada majlis itu seramai 63 anggota lans koperal dinaikkan ke koperal, 12 anggota menerima sijil penghargaan manakala tujuh lagi untuk anugerah kumpulan inovatif dan kreatif.

'Kontraktor' TNB dicekup polis



KAJANG – Lagak seorang lelaki yang berperwatakan seolah-olah pekerja kontraktor pencawang elektrik dan kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) akhirnya terbongkar apabila ditahan polis bersama van yang dipenuhi barangan curi hasil kegiatannya di sekitar Bandar Mahkota Cheras.

Lelaki berkenaan yang berusia 44 tahun melakukan kegiatan berkenaan pada hari biasa dan bertindak selamba dengan meletakkan tanda makluman kerja sedang dilaksanakan bagi mengaburi mata penduduk setempat.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abd Rashid Abd Wahab berkata, dalam kejadian pada 7 Oktober lalu, polis menerima aduan dari TNB kira-kira jam 12 tengah hari memaklumkan kehilangan kabel TNB di kawasan pencawang Bandar Mahkota Cheras, dekat sini.

“Bertindak atas maklumat orang ramai, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menahan seorang lelaki dan merampas sebuah van pada jam 2.30 petang hari sama.

“Hasil siasatan awal mendapati lelaki berkenaan bekerja sebagai pemandu mengaku menjalankan kegiatan berkenaan di lokasi yang dikenal pasti terlebih dahulu sebelum melakukan kegiatannya,” katanya.

Menurutnya, bagi mengaburi mata penduduk setempat, suspek memakai pakaian dan meletak tanda maklumkan kerja sedang dijalankan bagi memudahkannya melakukan kegiatan berkenaan.

“Suspek biasanya akan mengenal pasti lokasi terlebih dahulu dan meletakkan tanda amaran kerja penyelenggaraan dilakukan dan berpakaian seperti kontraktor sebelum melakukan kerja berkenaan.

“Berdasarkan hasil pemeriksaan pada van yang digunakan suspek, kita menjumpai pelbagai peralatan yang digunakannya termasuklah mesin pemotong kabel dan serangkai kunci yang diubahsuai.

“Selain itu kita juga menjumpai tiga gulung kabel hitam yang dipercayai baru diperoleh serta barangan lain yang dianggarkan bernilai kira-kira RM3,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

Murid terima tujuh jahitan



HULU YAM - Seorang murid menerima tujuh jahitan di kepala setelah dilanggar sebuah motosikal, kurang beberapa meter dari pintu masuk sekolahnya, di sini.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.05 petang, Isnin lalu, murid tahun satu sebuah sekolah, di sini turut mengalami kecederaan di bahagian mulut dengan dua gigi hadapan patah dan gusi koyak.

Ibu mangsa, Norleza Abdul Rashid, 37, berkata, ketika kejadian anaknya sedang menuju ke van sekolah sebelum dilanggar sebuah motosikal yang melalui kawasan itu.

Menurutnya, ketika kejadian, motosikal berkenaan dikatakan cuba mengelak sebuah kereta yang diletakkan di bahu jalan.

“Motosikal itu cuba mengelak kereta, tetapi terlanggar anak saya menyebabkan kepalanya cedera dan menerima lima jahitan di sebelah kiri dan dua jahitan di kanan.

“Dua gigi hadapannya turut patah dan gusi koyak,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini semalam.

Norleza berkata, sehari selepas kejadian, sekolah mengumumkan tidak bertanggungjawab dengan insiden itu kerana berlaku di luar kawasan sekolah.

Katanya, kejadian itu sedikit sebanyak mengecewakannya dan berharap pihak sekolah lebih prihatin dengan keselamatan murid.

“Walaupun kejadian berlaku di luar kawasan, mereka masih berpakaian seragam dan kebetulan kemalangan hanya beberapa meter dari pintu sekolah,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, kewujudan gerai yang dibina secara haram berhampiran kawasan itu dikesan punca berlakunya kemalangan berikutan banyak kenderaan diletakkan di kiri dan kanan bahu jalan.

Seorang penduduk yang enggan dikenali dari Taman Desa Arowana, di sini menyifatkan kejadian malang menimpa murid sekolah berkenaan disebabkan kewujudan gerai haram di tepi jalan.

Menurutnya, kedudukan gerai berkenaan yang terlalu hampir dengan sekolah mengundang keadaan tidak selamat khususnya ketika murid pulang dari sekolah.

“Telah banyak aduan dikemukakan berhubung kewujudan gerai haram di tepi sekolah, namun tiada tindakan tegas diambil.

“Keadaan itu menyebabkan kesesakan di luar pintu sekolah, lebih-lebih lagi banyak kenderaan yang berhenti bukan saja untuk mengambil anak mereka, tetapi singgah makan di gerai itu,” katanya.

Pihak berwajib digesa supaya lebih tegas dan menguatkuasakan undang-undang sepenuhnya bagi mengelak lebih banyak gerai haram dibina di kawasan berkenaan.

Polis gempur pusat judi

SH:


KEPONG – Polis dari Ibu Pejabat Daerah Gombak merampas 41 set komputer dari pusat siber judi yang beroperasi di dua unit Apartmen Desa 1 dalam ‘ops dadu’ petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, berbekalkan maklumat yang diperoleh polis menggempur kedua-dua unit apartmen terbabit.

Menurutnya, pintu salah sebuah unit apartmen di tingkat 3, blok 5 terpaksa dipecahkan berikutan penghuninya tiada.

“Di unit itu kita merampas sejumlah 21 set komputer berserta 1 modem manakala di blok 4 kita memperoleh 20 lagi set komputer dan penjaganya berusia 30-an turut ditahan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Abdul Rahim berkata, pada hari tersebut pihaknya turut mengadakan operasi cegah jenayah di sekitar kawasan Desa Jaya dan Taman Ehsan.

Sinar Harian 12 Oktober lalu mendedahkan kegiatan pusat judi online yang beroperasi dari unit apartmen di kawasan perumahan itu yang menimbulkan kegusaran kepada penduduk berikutan ia menjadi tempat tumpuan warga asing dan pelajar sekolah berkumpul.

Pusat siber judi yang beroperasi sejak Februari lalu itu juga dikhuatiri akan mempengaruhi penduduk setempat terjebak ke kancah tidak sihat dan merugikan itu.

'via Blog this'

Polis gempur pusat judi

SH:


KEPONG – Polis dari Ibu Pejabat Daerah Gombak merampas 41 set komputer dari pusat siber judi yang beroperasi di dua unit Apartmen Desa 1 dalam ‘ops dadu’ petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, berbekalkan maklumat yang diperoleh polis menggempur kedua-dua unit apartmen terbabit.

Menurutnya, pintu salah sebuah unit apartmen di tingkat 3, blok 5 terpaksa dipecahkan berikutan penghuninya tiada.

“Di unit itu kita merampas sejumlah 21 set komputer berserta 1 modem manakala di blok 4 kita memperoleh 20 lagi set komputer dan penjaganya berusia 30-an turut ditahan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Abdul Rahim berkata, pada hari tersebut pihaknya turut mengadakan operasi cegah jenayah di sekitar kawasan Desa Jaya dan Taman Ehsan.

Sinar Harian 12 Oktober lalu mendedahkan kegiatan pusat judi online yang beroperasi dari unit apartmen di kawasan perumahan itu yang menimbulkan kegusaran kepada penduduk berikutan ia menjadi tempat tumpuan warga asing dan pelajar sekolah berkumpul.

Pusat siber judi yang beroperasi sejak Februari lalu itu juga dikhuatiri akan mempengaruhi penduduk setempat terjebak ke kancah tidak sihat dan merugikan itu.

'via Blog this'

Ibu rayu anak gadis pulang



SEGAMBUT – Seorang ibu merayu anak yang menghilangkan diri sejak tiga bulan lalu pulang ke pangkuan keluarganya di Jinjang Baru.

Ibu tersebut Song Ah Hing, 58, berkata anaknya, Tan Siew Kwan, 22, menghilangkan diri sejak 5 Julai lalu selepas memberi alasan mahu pulang ke rumahnya di Sungkai, Perak.

“Saya sendiri menghantarnya ke komuter di Kepong pada jam 4 petang dan hanya mengetahui tentang perkara itu selepas suaminya datang sendiri ke Jinjang jam 2 pagi hari sama selepas isterinya masih belum tiba di Perak,” katanya ketika ditemui di pejabat Umno Bahagian Segambut semalam.

Menurutnya, anaknya itu turut membawa pasport antarabangsa miliknya bersama sebuah beg pakaian.

“Saya sekeluarga cuba menghubungi telefon bimbitnya namun tidak berjawab sehinggalah sekarang ia gagal dihubungi terus,” katanya.

Ah Hing berkata, sebagai ibu dia berharap anaknya itu dapat pulang kerana anaknya berusia tiga tahun dan setahun amat memerlukan perhatiannya.

“Saya akui memang pernah memarahi Siew Kwan kerana sering meminta wang kepada saya, tetapi kini saya sudah maafkan jadi tolonglah pulang,” katanya.

Orang yang mengenali atau ternampak di Siew Kwan berada boleh menghubungi talian Ah Hing di talian 012-2456694 atau 03-62740576 atau boleh ke alamat 10-0-7 Taman Jinjang Baru, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Setiausaha Kerja Umno Segambut, Lamat Basar berkata, setakat ini pihaknya akan membantu mengedarkan fotofit wajah anaknya yang hilang.

“Kita akan besarkan gambar dan tampal edarkan di tempat awam bagi membantu mengesan anaknya yang hilang,” katanya.

Dua pengedar kena cekup

SH:


KUANTAN - Kecekapan anggota polis berjaya membantutkan hasrat dua lelaki yang turut bertindak agresif dan pergelutan untuk melarikan diri sebelum berjaya ditahan di hadapan sebuah resort di Cherating di sini, awal pagi semalam.

Lelaki berusia 33 dan 38 tahun itu ditahan dalam sebuah kereta jenis Naza Citra kira-kira jam 12.15 tengah malam hasil maklumat awam.

Ketua Jabatan Jenayah Narkotik Negeri, Superintendan Yap Toon Kuan berkata, polis berjaya menemui dua sampul surat yang disorokkan di konsol gear kereta terbabit yang mengandungi dadah jenis syabu dan Eramin 5.

Menurutnya, kedua-dua suspek berasal dari Kuala Lumpur baru sampai di lokasi terbabit dan ingin menjual dadah terbabit untuk pasaran di Kuantan.

“Kita menjumpai syabu dengan anggaran kasar seberat 1.54 gram dengan nilai kasar di pasaran, RM66,000 dan satu lagi dalam sampul lain mengandungi 50 pil Eramin 5 bernilai RM750.

“Setakat ini suspek berusia 38 tahun itu mempunyai lima rekod jenayah lampau termasuk kes bersenjata manakala rakannya tidak mempunyai rekod lampau,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri di sini, semalam.

Beliau berkata, kes itu disiasat menerusi Seksyen 39 B dan 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
'via Blog this'

JPJ sita 20 motosikal

SH:


BANDAR JERANTUT - Sebanyak 20 motosikal disita akibat kesalahan cukai jalan tamat melebihi setahun dalam Operasi Bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Jerantut, kelmarin.

Ketua Penolong Pegawai Penguatkuasa JPJ Jerantut, Zunaidi Mohamed Kasim berkata, seramai 10 anggota JPJ dan 20 kakitangan AADK terbabit dalam operasi bersepadu itu, selain 20 anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) yang mengawal lalu lintas.

Menurutnya, operasi bersepadu itu turut menumpukan kepada penunggang motosikal di Jalan Tahan Bandar Jerantut yang tamat pada jam 7 petang membabitkan pemeriksaan ke atas 180 motosikal dan 120 kereta.

“Selain itu, kita turut mengesan lapan individu positif dadah dengan 70 saman di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dikeluarkan terutama untuk kesalahan tiada lesen memandu dan cukai jalan.

“Sebanyak 10 saman untuk kesalahan nombor pendaftaran tidak mengikut ukuran ditetapkan, 15 notis kenderaan bercermin gelap dan 10 notis pengubahsuaian tanpa kebenaran dikeluarkan dalam operasi kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui dalam Operasi Bersepadu Bersama AADK dan JPJ, kelmarin. Turut hadir, Ketua Pegawai AADK Jerantut, Yaacob Mohd Daud.

Zunaidi berkata, operasi itu juga adalah kali ketiga untuk tahun ini yang juga merupakan operasi terakhir pada tahun ini selepas Ops Sikap Musim Perayaan lalu.

Menurutnya, dalam operasi kali ini, pemilik motosikal yang disita akibat cukai jalan tamat tempoh melebihi setahun dikehendaki hadir ke pejabat cawangan JPJ, di sini, untuk memperoleh surat pengesahan sebelum menghidupkan cukai jalan motosikal masing-masing.

“Operasi bersepadu ini bukan untuk menyusahkan pengguna, namun bertujuan memberi kesedaran dan mendidik pemandu supaya mematuhi peraturan JPJ terutama berkaitan lesen pemanduan, cukai jalan, cermin gelap, penggunaan tali pinggang keledar serta mengubahsuai nombor pendaftaran.

“JPJ memandang serius pemeriksaan ke atas kenderaan yang diubahsuai berbanding spesifikasi asal berikutan ia turut menjadi penyumbang kepada kemalangan maut,” katanya.

'via Blog this'

Bangunan kedai nyaris musnah

SH:


BANDAR BENTONG - Bangunan kedai berusia hampir 50 tahun yang dijadikan pejabat Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Bentong di Jalan Chui Yin, dekat sini, nyaris musnah dalam kejadian kebakaran awal pagi semalam.

Setiausaha Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Bentong, Liew Nan Chee berkata, kebakaran itu merupakan kejadian pertama berlaku sejak bangunan berkenaan dijadikan pusat operasi persatuan.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 2.45 pagi dan disedari orang awam yang berada di sekitar kawasan itu.

Katanya, bahagian hadapan bangunan tingkat atas terbakar manakala yang lain dapat diselamatkan.

“Setakat ini pihak kami masih belum mentafsirkan kerugian dan perbincangan akan dijalankan bersama ahli persatuan untuk membaik pulih kerosakan.

“Punca kejadian masih belum diketahui dan kami berharap pihak bomba dan penyelamat dapat memaklumkan punca sebenar kejadian,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan negeri, Datuk Hoh Khai Mun mahu sistem pendawaian elektrik yang sudah mencecah usia lebih 10 tahun ditukar.

Menurutnya, pemilik kediaman dan premis perniagaan disaran menjalankan pemeriksaan berkala terhadap sistem pendawaian elektrik bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

“Sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan risiko berlakunya kebakaran terutama melibatkan struktur bangunan atau rumah lama yang diperbuat daripada papan,” katanya selepas turun padang melawat tempat kejadian.

'via Blog this'

Dirempuh ketika hendak beli ikan



KUALA BERANG - Hasrat seorang warga emas membeli ikan untuk dimasak sebagai hidangan tengah hari tidak kesampaian apabila dia terbabit dalam kemalangan ketika sedang melintas di Kilometer 4 Jalan Kampung Gaung-Kampung Jenagur, di Kampung Pauh, di sini, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 9.50 pagi itu, mangsa, Esah Idris, 76, dari Kampung Pauh meninggal dunia di Hospital Hulu Terengganu (HHT) jam 12.30 tengah hari ketika menerima rawatan di wad kecemasan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asistan Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Esah dilanggar sebuah kereta dipandu Wan Mohamad Wan Ismail, 25, dari Kampung Chenkering.

“Mangsa melintas kerana hendak membeli ikan di seberang jalan dan ketika melintas, sebuah kereta dari arah Kuala Berang menghala Kampung Jenagur telah merempuh mangsa.

“Akibat kemalangan itu, mangsa dibawa ke HHT dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan teruk di bahagian kepala, manakala pemandu berkenaan tidak mengalami kecederaan,” katanya semalam.

Katanya, pemandu berkenaan turut menjalani ujian air kencing dan didapati negatif dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bakal pengantin dicekup khalwat

SH:


KUBANG PUTAT – Seorang gadis belasan tahun yang kemaruk cinta sanggup meninggalkan keluarga demi memastikan impian untuk hidup bersama dengan pasangan kekasih menjadi kenyataan.

Bagaimanapun, tindakan gadis terbabit yang menumpang tinggal di rumah teman lelakinya berikutan diusir ibu bapa setelah hasrat menikahi pasangannya mendapat tentangan, berakhir detik hitam apabila dia dicekup sepasukan anggota Penguat Kuasa Syariah ketika berada di sebuah rumah dekat sini, awal pagi semalam.

Ketika serbuan dilakukan jam 1 awal pagi semalam, gadis berasal dari Kuantan, Pahang itu didapati sedang tidur di dalam rumah berkenaan bersama dua lelaki yang bukan muhrimnya beserta seorang wanita berusia 80 tahun yang juga nenek kepada teman lelakinya.

Siasatan mendapati mereka tidak mempunyai hubungan muhrim, namun ketika ditahan gadis berkenaan memberi alasan bahawa dia menumpang di situ sementara menunggu untuk proses ijabkabul dengan teman lelakinya yang berusia 20 itu yang akan dilakukan dalam masa terdekat setelah kedua-duanya difahamkan sudah menjalani kursus nikah kahwin di Pejabat Agama Dungun.

Walau apa alasan diberikan, namun gadis tersebut yang kini bekerja di kilang memproses ikan di Pulau Serai bersama tiga lagi yang lain termasuk nenek kepada teman lelakinya dibawa ke Unit Penguat Kuasa Syariah untuk siasatan lanjut.

Pasangan terbabit bakal menghadapi pendakwaan mengikut Seksyen 31 (a) dan (b) atas tuduhan khalwat manakala nenek dan adik kepada teman lelakinya yang berusia 15 tahun menghadapi dakwaan mengikut Seksyen 55 kerana bersubahat.

'via Blog this'

23 penghuni nyaris rentung

SH:


KEMAMAN – Seramai 23 penghuni sebuah rumah nyaris rentung apabila rumah mereka hangus dalam kebakaran di Bandar Cheneh Baru, lewat petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, teriakan kuat seorang wanita yang mengarahkan semua ahli keluarganya keluar dari rumah selepas menyedari api sedang marak di rumah yang dihuni bersama 22 ahli keluarga lain berjaya menyedarkan empat keluarga daripada terperangkap dalam kebakaran berkenaan.

Nazma Hatulisma Dagang, 35, yang terkejut melihat api dari bahagian tengah rumah dipercayai segera berteriak mengarahkan semua penghuni rumah berlari keluar untuk menyelamatkan diri ketika api sedang marak.

Menurutnya, ketika dalam keadaan panik itu, dia segera menarik tangan anaknya yang ketika itu leka bermain di ruang tamu.

“Ketika melihat api semakin marak saya menjerit meminta tolong dan membawa keluar semua anak termasuk beberapa anak saudara keluar dari rumah.

“Pada masa sama, saya sempat memanggil ibu, Aminah Che Ming yang ketika itu berada di rumah jiran sambil cuba membawa keluar sebahagian barangan berharga ke luar rumah,” katanya.

Bagaimanapun. kebanyakan harta termasuk sebuah van dan dokumen penting termasuk pakaian serta kelengkapan persekolahan anak yang diduduki empat keluarga itu gagal diselamatkan.

Ketika kejadian, terdapat 23 penghuni dalam rumah berkenaan daripada empat keluarga termasuk sembilan kanak-kanak. Empat daripada mereka adalah murid sekolah rendah manakala tiga lagi pelajar sekolah menengah.

“Waktu kalut menyelamatkan diri, ahli keluarga dan barang berharga, saya sempat melaung supaya jiran menghubungi Balai Bomba Bandar Cheneh Baru yang terletak hanya beberapa ratus meter dari rumah.

“Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa luluhnya hati kami sekeluarga apabila melihat rumah yang diduduki dan menjadi tempat berteduh selama ini musnah dalam sekelip mata,” katanya yang juga anak sulung.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan I, Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Cheneh Baru, Azhar Noh berkata, akibat kebakaran itu kira-kira 90 peratus rumah berkenaan hangus.

“Pihak kami menerima panggilan daripada jiran mangsa kira-kira jam 6.04 petang dan tiba di lokasi kira-kira dua minit kemudian. Api berjaya dikawal daripada merebak ke beberapa buah rumah lain yang kedudukannya agak rapat dengan rumah mangsa itu.

“Seramai 11 anggota dan sebuah jentera bomba dikejarkan ke tempat kejadian untuk menjalankan kerja memadam api daripada merebak,” katanya.

Azhar berkata, ketika mereka tiba, kira-kira 90 peratus rumah mangsa sudah hangus. Namun, punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

'via Blog this'

Mentua tawar RM20 untuk seks

SH:


KAMPUNG RAJA - Seorang isteri muda tersentak apabila mendakwa bapa mentuanya menawarkan sejumlah wang sebagai usaha memujuk wanita itu melakukan hubungan seks ketika ketiadaan anak lelakinya di rumah.

Bapa saudara perempuan itu yang hanya mahu dikenal sebagai Man, 40-an memberitahu, dia dihubungi adiknya iaitu ibu wanita itu memberitahu besan anaknya memujuk untuk melakukan hubungan seks.

Menurutnya, sebelum itu mangsa yang berusia lingkungan 15 tahun ditawarkan wang sebanyak RM20 oleh bapa mentuanya agar melakukan perbuatan terkutuk itu.

“Kejadian terakhir dikatakan berlaku pada Aidilfitri lalu dan terbongkar selepas mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibunya,” katanya.

Man berkata, anak saudaranya berkahwin bawah umur selepas terlanjur dengan anak lelaki itu manakala suami wanita bawah umur itu juga menghadapi masalah tertentu.

Katanya, bagaimanapun lelaki yang didakwa menetap di sebuah kampung dekat Jertih belum sempat melakukan apa-apa terhadap menantunya kecuali pernah memegang paha dan tangannya.

“Mujurlah lelaki durjana itu tidak sempat melakukan apa-apa kepada anak saudara saya yang sanggup menawarkan wang untuk melakukan perbuatan terkutuk,” katanya yang pulang dari Kuala Lumpur semata-mata untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut.

Beliau berkata, anak saudaranya kini tinggal berasingan dengan bapa mentuanya dan bekerja sebagai pembantu jualan di Kampung Raja.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi memberitahu pihaknya tidak ada menerima laporan mengenai kejadian itu setakat ini.

'via Blog this'

Sumbat bayi dalam tangki



KEMAMAN – Seorang gadis nekad menyumbat bayi lelaki yang baru dilahirkan ke dalam tangki pam tandas bagi me-ngelakkan kelahiran itu diketahui rakan-rakannya dalam kejadian di sebuah hostel sewa di Bandar Chukai, dekat sini, awal pagi semalam.

Difahamkan, gara-gara panik dengan kelahiran anaknya itu gadis berusia 23 tahun yang bekerja di sebuah kedai buku itu turut bertindak membuang uri dan tali pusat ke dalam lubang tandas dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi.

Bagaimanapun, tangisan bayi yang sayup-sayup didengari oleh rakan-rakan sehostel selain kesan tompokan darah dari tandas ke bilik tidur menyebabkan perbua-tan suspek yang menyembunyikan bayinya di dalam tangki pam tandas itu terbongkar.

Rakan sebilik dan rakan di bilik lain yang melihat suspek dalam keadaan lemah dan mencurigakan dengan terdapat kesan tompokan darah dari tandas hingga ke bilik mendesak suspek menceritakan perkara sebenar selepas gagal mengesan arah datangnya suara tangisan sayup-sayup itu.

Setelah didesak suspek kemudiannya mengaku menyorokkan bayinya dalam tangki pam tandas hostel mereka sebelum bayi malang itu ditemui dalam keadaan menyedihkan kira-kira satu setengah jam kemudian.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, bayi berkenaan dijumpai kira-kira jam 3.30 pagi selepas suspek sendiri menunjukkan tempat dia menyorokkan bayinya itu.

“Ketika ditemui bayi cedera di muka, kesejukan dan biru di seluruh badan sebelum suspek dan bayinya dibawa ke Hospital Kemaman.

“Bayi ditahan di wad kanak-kanak manakala suspek dimasukkan di wad bersalin dan kita dimaklumkan pihak hospital bahawa bayi dan suspek sekarang (petang semalam) berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Katanya, susulan kes berkenaan doktor hospital itu membuat laporan di Balai Polis Chukai kira-kira jam 8 pagi sebelum tempat kejadian telah dilawati oleh pihaknya bersama pasukan forensik ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Terengganu.

“Semua keterangan saksi juga telah kita ambil dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Isteri hilangkan diri sejak 15 September lalu

SH:


PASIR PUTEH – Dia masih hak saya! Itu luahan seorang suami yang mahukan isterinya kembali ke pangkuannya setelah berlaku perselisihan faham antara pasangan terbabit Aidilfitri lalu.

Zulkifli Sidik, 58, dari Taman Jaya, Cherang Ruku dekat sini mendakwa Normah Harun, 57, yang menghilangkan diri sejak sebulan lalu masih menjadi isterinya yang sah.

“Pada hari raya lalu, isteri saya keluar rumah jam 12 tengah hari dan pulang pada jam 1 pagi, keesokannya, dia keluar lagi dari jam 4 petang sehingga jam 12 tengah malam.

“Saya menegurnya, kemudian berlaku pergaduhan sehingga terkeluar perkataan kasar daripada mulut saya, tapi sebagai suami, saya menegur untuk kebaikan bersama, takkan saya nak biarkan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Zulkifli berkata, pada 15 September lalu, isterinya yang merupakan kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) itu keluar untuk menghadiri satu mesyuarat pada jam 8.30 malam dan tidak pulang ke rumah sehingga kini.

Sehubungan itu, Zulkifli membuat laporan di Balai Polis Cherang Ruku pada 30 September lalu dan berharap orang ramai yang mengenali isterinya serta mengetahui dengan jelas di mana berada agar memaklumkan kepadanya.

“Saya difahamkan dia berada di sekitar Kota Bharu dan saya mahu mengingatkan dia agar menjaga nama baik majikannya. Dia kena ingat bahawa saya tidak akan menceraikannya,” katanya.

Zulkifli mengakui kehidupannya tidak mewah, namun ia bukan cara yang betul untuk memutuskan ikatan yang telah dibina bertahun lamanya.

'via Blog this'

Hajat tunai solat Jumaat musnah

SH:


KOTA BHARU - Hajat dua beradik untuk menunaikan solat Jumaat di masjid Kampung Baung, dekat sini, tidak kesampaian apabila keduanya parah dalam kemalangan petang semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.20 petang itu menyebabkan motosikal yang ditunggang Ridzuan Shamsudin, 29, gagal dikawal apabila tayar bahagian belakang motosikal lasak jenis Demak itu pecah dan menyebabkan adiknya, Hafiz Shamsudin, 23, turut parah dalam kejadian itu.

Dipercayai kedua-dua mangsa tercampak di bahagian pembahagi jalan yang menyebabkan Hafiz cedera parah di bahagian kepala manakala Ridzuan cedera di bahagian tangan dan kaki.

Menurut isteri Ridzuan, Azrin Adrina Mohd Zawawi, 18, dia menerima panggilan kira-kira jam 1.30 petang daripada suaminya mengatakan mereka berdua terlibat dalam kemalangan.

“Suaranya perlahan tetapi sempat berpesan kepada saya untuk menyuruh ayah Mohd Zawawi Daud, 57, meminta bantuan ambulans.

“Tidak sampai beberapa minit, dia terus matikan panggilan dan saya cuba telefon ayah tetapi tidak berjawab kerana dia sedang menunaikan solat Jumaat,” katanya.

Sementara itu, menurut ibu mangsa, Fatimah Ismail, 58, dia hanya menerima berita anak ketiga dan keempat daripada lima beradik itu terlibat kemalangan melalui seorang ahli keluarganya.

“Terkejut menerima berita mengenai kemalangan itu, kerana sebelum kejadian mereka ada berborak di luar berbincang mengenai perlawanan bola sepak malam ini (semalam) antara Kelantan dan Terengganu.

“Semasa mereka berada di ruang tamu makcik sedang memasak di dapur tetapi selepas keluar makcik lihat keduanya tiada di ruang tamu dan anak bongsu makcik mengatakan mereka sudah pun keluar untuk ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat,” katanya.

Fatimah berkata, motosikal yang ditunggang Ridzuan merupakan pemberian bapa mertuanya.

Pemberian itu digunakan sebagai kenderaan untuk memudahkan dia menjalankan urusan perniagaan katering yang diusahakan sejak sekian lama.

“Dia baru tiga bulan mendapat motosikal itu daripada bapa mertuanya dan pada hari kejadian (semalam) dia pulang ke rumah menziarahi saya dan adik beradiknya yang lain kerana dia kini menetap di Wakaf Baru, Tumpat bersama isterinya.

“Setakat ini (semalam) Hafiz belum sedarkan diri manakala Ridzuan masih boleh bercakap tetapi dalam keadaan lemah,” katanya ketika ditemui di wad kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

'via Blog this'

Jeritan selamatkan keluarga

SH:


RANTAU PANJANG – Jeritan seorang wanita berjaya menyelamatkan suami serta lima anaknya, yang ketika itu berada di rumah kedai di pekan Rantau Panjang kira-kira 8.50 malam kelmarin.

Bagaimanapun, dia tidak bernasib baik apabila terlanggar periuk panas berisi tomyam yang cuba dialihkan dari kedai bersebelahan, sehingga menyebabkan paha hingga kaki kirinya melecur.

Fatimah Husin, 48, berkata, sebaik selesai solat Isyak, dia yang ketika itu berada di bilik atas rumah, melihat api marak dari rumah jiran terletak di belakang kediamannya.

Menurutnya, dia menjerit memanggil suami yang sedang makan bersama tiga anak lelakinya di tingkat bawah, sementara dua anak perempuannya solat di tingkat atas.

“Sebaik mendengar jeritan saya, masing-masing keluar menyelamatkan diri, saya sempat membaca ayat Kursi sambil mencari dokumen penting untuk diselamatkan, sementara suami pula mengalunkan azan.

“Setelah berjaya menyelamatkan kesemua dokumen penting, saya berlari keluar dari rumah, sampai pada bahagian depan, saya terlanggar orang yang sedang mengalihkan periuk tomyam di kedai sebelah,” katanya.

Menurutnya, dia bersyukur kesemua anggota keluarganya selamat walaupun dia mengalami kecederaan.

“Ketika kejadian saya, hanya memikirkan tentang dokumen penting setelah anak-anak berjaya menyelamatkan diri masing-masing.

“Saya bersyukur sempat menyelamatkan kesemua dokumen penting dalam keadaan kelam kabut malam kelmarin, dan rumah tidak musnah, cuma mengalami kerosakan pada bahagian belakang,” katanya.

Sementara itu, Norhafizah Abdullah, 24, anak ketiga Fatimah Loman, 49, yang juga mangsa kebakaran, bersyukur ibunya selamat dalam kebakaran melibatkan 12 rumah di pekan Rantau Panjang, malam kelmarin.

Nothafizah berkata, dia yang menetap di Shah Alam dan terus pulang sebaik menerima berita tentang kejadian.

“Saya bersyukur emak selamat walaupun rumah kami musnah dalam kebakaran ini.

“Barang kemas saya yang berada dalam simpanan emak juga terbakar, tetapi saya bersyukur emak selamat,” katanya yang kini berusaha untuk mencari penempatan sesuai untuk ibu, adik serta ayahnya tinggal sebelum kembali ke Shah Alam menyambung tugasnya di sebuah syarikat swasta.

Menurutnya, dia juga akan memastikan segala keperluan persekolahan adiknya dapat dibeli bagi membolehkannya meneruskan persekolahannya seperti biasa.

“Setelah segala urusan mencari kediaman untuk emak serta membeli keperluan adik barulah saya kembali ke Shah Alam, saya berharap adik dapat kembali bersekolah seperti biasa,” katanya.

Adiknya, Nur Fatin Norshafieyka, 14, berkata, beberapa minit sebelum kejadian, dia ke kedai berhampiran rumahnya untuk membeli telur bungkus dan keuy teaw

“Saya segera ke sana, ketika itu saya tengok orang ramai keluar dari rumah masing-masing untuk menyelamatkan diri, saya cuba masuk lorong untuk balik ke rumah, tetapi gagal kerana keadaan gelap dan asap hitam,” katanya.

Adun Gual Periok, Mohamad Awang berkata, dia bersimpati dengan 12 keluarga yang terlibat dalam kebakaran ini dan meminta mereka bersabar.

Menurutnya, Kerajaan Negeri akan membantu mangsa dengan menghulurkan bantuan di bawah Tabung Serambi Mekah.

Sementara itu, Penguasa Kanan Bomba Dua, Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Anuarrulhakim Mohny berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 8.55 malam dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.

Kejadian kelmarin menyebabkan lima rumah serta dua rumah kedai musnah ,sementara lima yang lain terbakar sebahagian sahaja.

Kerugian sehingga kini dianggarkan sekitar RM300,000, sementara punca kejadian masih dalam siasatan.

'via Blog this'

Maut kereta tembung treler

SH:


KUALA KRAI - Kegembiraan dua beradik pulang ke kampung untuk menghadiri majlis perkahwinan emak saudara mereka bertukar tragedi apabila seorang daripadanya maut dalam kemalangan jalan raya di sini, awal pagi semalam.

Nahas membabitkan kereta Perodua Myvi dipandu mangsa dan sebuah treler muatan kelapa sawit itu berlaku di Kilometer 108, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, dekat sini, kira-kira jam 5.45 pagi.

Mangsa, Wan Mohd Asyraf Wan Muhamed, 24, mati di tempat kejadian manakala abangnya, Wan Mohd Hafiz, 29, dan seorang sepupu mereka yang turut menaiki kereta itu cedera ringan.

Pemandu treler yang penuh muatan kelapa sawit terbabit bagaimanapun tidak alami sebarang kecederaan.

Bapa mangsa, Wan Muhamed Wan Ismail, 55, berkata, dua anaknya serta sepupu mereka bekerja di Kuala Lumpur dan dalam perjalanan pulang ke kampung di Wakaf Berangan, dekat Pasir Puteh.

“Mereka ambil cuti tiga hari sampai Ahad ini sebab nak hadir majlis perkahwinan emak saudara mereka, esok (hari ini).

“Kami sekeluarga tahu mereka ambil cuti dan bertolak balik dari Kuala Lumpur malam tadi kerana perkara ini sudah lama dirancang,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Wan Muhamed berkata, kali terakhir dia bertemu Wan Mohd Asyraf, anak keduanya daripada empat beradik itu ialah sebelum Aidilfitri lalu.

“Dia tak balik kampung pada hari raya kerana bekerja,” katanya yang dimaklumkan mengenai kejadian oleh abangnyadi rumahnya di Kampung Wakaf Berangan.

Wan Muhamed yang bertugas di Pejabat Pelajaran Daerah Pasir Puteh berkata, jenazah anaknya itu disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Gong Kubur, dekat Pasir Puteh.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah, Asisten Superintendan Dzulkifli Ab Ghani berkata, nahas berlaku ketika kereta dipandu mangsa dari Gua Musang menuju ke Kuala Krai manakala treler terbabit dari arah bertentangan.

“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta mangsa dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan treler terbabit,” katanya.

'via Blog this'

Isteri selamatkan suami

SH:


RANTAU PANJANG- Seorang isteri terpaksa mengheret suaminya yang lumpuh sejauh 100 meter bagi menyelamatkannya daripada terperangkap dalam kebakaran melibatkan 12 rumah dan kedai di pekan Rantau Panjang, malam kelmarin.

Dalam kejadian, 8.50 malam itu, Rubiah Loman, 49, dan suaminya, Mohd Rosdi Rashid, 49, sedang berehat di rumahnya sebelum mendengar jeritan daripada jiran meminta mengosongkan rumahnya yang sedang terbakar.

Rubiah berkata, selepas mendengar jeritan itu, apa yang difikirkannya ketika itu adalah untuk menyelamatkan suaminya walaupun sedar berdepan dengan kesukaran kerana penyakit stork yang dihidapi suaminya sejak setahun yang lalu.

“Perkara pertama saya fikirkan ialah untuk menyelamatkan suami walaupun saya sedar berdepan dengan kesukaran kerana dia tidak dapat bergerak.

“Mulanya saya cuba meminta tolong, tetapi tidak ada yang mendengarnya kerana masing-masing cuba menyelamatkan diri, disebabkan tiada pilihan kerana hanya kami berdua sahaja berada di rumah ketika itu, saya menarik tangan suami dan terus mengheret keluar dari rumah hingga ke tepi jalan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Dalam kebakaran 12 kedai itu, tujuh daripadanya hangus melibatkan kerugian bernilai RM300,000.

Rubiah yang juga mengidap penyakit kencing manis berkata, selepas membawa suaminya di tepi jalan, beberapa orang penduduk tampil membantu mengangkat Rosdi ke masjid berdekatan.

“Saya tidak mempunyai kudrat untuk menarik suami selain kasihan melihat keadaannya yang tidak mampu bergerak, tetapi saya gagahi juga menariknya hingga ke tepi jalan dan berhenti di situ kerana tidak berdaya untuk terus menariknya.

“Saya bersyukur walaupun suami cedera pada paha kirinya, tetapi dia tetap berjaya diselamatkan,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian tersebut.

Rubiah berkata, ketika kejadian anak bongsunya, Nur Fatin Norshafieyka Mohd Rosdi, 14, keluar membeli makan malam.

Bagaimanapun, katanya, mereka sekeluarga bersyukur kerana kebakaran itu tidak mengorbankan nyawa keluarganya walaupun barang kemas seperti cincin dan subang hilang bersama wang tunai lebih RM500.

Penguasa Kanan Bomba Dua, Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Anuar Rulhakim Mohny berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.55 malam dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.

Menurutnya, tiga jentera bomba masing-masing dari Balai Bomba Rantau Panjang, Pasir Mas dan Pangkalan Kubor dengan15 anggota berjaya memadamkan kebakaran dalam masa 30 minit.

'via Blog this'

Hati-hati sindiket bomoh palsu

SH
KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati dengan sindiket penipuan melibatkan bomoh, mendakwa kononnya mampu menyembuhkan penyakit.

Sindiket itu terdiri daripada lelaki dan wanita, dipercayai memperdaya wanita dengan lakonan serta kata-kata pujukan sehingga mangsa terjerat dan menyebabkan kerugian ribuan ringgit.

Ketua Jabatan Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, dua kes penipuan dipercayai dari sindiket sama di rekodkan sepanjang tahun ini, membabitkan kerugian sehingga RM120,000.

“Tahun lalu, kita terima lima aduan membabitkan kerugian RM400,000,” katanya di Wisma MCA, di sini, semalam.

Chong berkata, sindiket berkenaan berpura-pura mendekati wanita dan bertanya jika mangsa mengenali bomoh yang boleh mengubati penyakit.

“Kebanyakan mangsa tidak kenal bomoh itu. Seorang wanita, anggota sindiket itu kemudian tampil dan memberitahu dia kenal bomoh terbabit lalu bersama-sama bertemu dengannya.

“Ketika sedang merawat, bomoh itu akan kata mangsa juga mempunyai masalah kesihatan yang boleh mengakibatkannya maut dalam tempoh beberapa hari,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang terpedaya seolah-olah dipukau, mengikut arahan sindiket berkenaan, apabila diminta untuk memasukkan wang tunai dan barang kemas ke dalam sebuah beg sebelum disimpan di tempat yang ditentukan, beberapa hari, bagi menyembuhkan penyakit.

“Mangsa hanya dibenarkan buka beg itu, selepas tamat tempoh. Ketika itu, mangsa menyedari tertipu selepas mendapati beg tersebut cuma ada air mineral.

“Baru-baru ini, dua suspek sindiket berkenaan sudah diberkas polis, tetapi individu yang pernah menjadi mangsa sebelum ini risau kerana masih ada lagi penjenayah yang masih bebas,” katanya.
'via Blog this'

Maut terjatuh daripada tempat letak kereta

SH: "

IPOH - Seorang lelaki maut selepas dipercayai terjatuh daripada tempat letak kereta sebuah pasar raya di sini, lewat petang kelmarin.- SH PRK"

'via Blog this'

Suspek bunuh dan rogol tujuh tahun lepas direman sejak dua hari lalu

 SH:
KUALA LUMPUR - Seorang suspek kes rogol dan bunuh yang melarikan diri daripada tahanan tujuh tahun lalu, kini ditahan reman sejak dua hari lepas, kata polis. "Lelaki itu ditahan selepas terlibat dalam kes melarikan sebuah kereta mewah baru-baru ini. Dia kini direman selama tujuh hari," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor ACP Mohd Adnan Abdullah. Mohd Adnan berkata lelaki terbabit menggunakan identiti baru dan kad pengenalan palsu bagi mengelak daripada dikesan. Beliau berkata lelaki berusia 37 tahun itu disyaki merogol dan membunuh See Sheau Fang, 18, pada 26 Feb 2004 dan menanam mayat gadis itu di dalam lubang bersimen di hadapan rumahnya di Taman Perwira, Banting. "Selepas lima hari ditahan, suspek melarikan diri menerusi siling tandas di Balai Polis Tanjung Sepat pada 13 Mac 2004," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini. Mohd Adnan berkata selain kes bunuh, rogol dan lari dari tahanan, lelaki itu juga pernah terlibat dalam kes peras ugut pada tahun 1999.- Bernama" 'via Blog this'

Maut terjatuh daripada tempat letak kereta

SH: "

IPOH - Seorang lelaki maut selepas dipercayai terjatuh daripada tempat letak kereta sebuah pasar raya di sini, lewat petang kelmarin.- SH PRK"

'via Blog this'

Din Kudung kembali

myMetro | Din Kudung kembali:

JOHOR BAHRU: Seorang kasanova kudung jari tangan yang dikenali sebagai Din Kudung kembali aktif apabila dikesan memperdaya sekurang-kurangnya dua wanita dengan mengaku sebagai kontraktor sebelum mengikis wang mereka berjumlah kira-kira RM200,000.

Sebelum ini, dia pernah dipenjara dua tahun dan lapan sebatan pada 15 Ogos 2003 lalu tetapi ia sedikitpun tidak menginsafkan lelaki berkenaan, sebaliknya mengubah taktik dengan memerhatikan mangsa terlebih dahulu sebelum bertindak menipu mereka.


Lelaki berkenaan tetap mencari mangsa di Terminal Pengangkutan Awam dan Pasar Larkin, sama seperti sebelum ini, namun dipercayai tidak dibuat secara rambang sebaliknya meneliti latar belakang mangsa terutama mereka yang putus cinta sebelum berkenalan.

Helah itu dilakukan bagi memudahkannya berkenalan, sebelum membawa mangsa ke beberapa kawasan bersama seorang kenalannya dan memberitahu beberapa projek pembinaannya seperti di Bandar Seri Alam, terbengkalai akibat masalah kewangan.


Mendedahkan penipuan lelaki berusia awal 40-an itu, seorang peniaga dikenali sebagai Syed Baidullah, 37, berkata, dia didatangi dua wanita yang juga kakitangan kerajaan menceritakan ditipu bekas banduan berkenaan.


Katanya, mangsa mendakwa ditipu barang kemas, wang simpanan, meminjam dari bank hampir RM100,000 dan menggadaikan barang kemas bagi memenuhi kehendak lelaki berkenaan.

Selepas mangsa dibebani hutang, Din Kudung akan meninggalkan mangsa dan menukar semua nombor telefon yang pernah diberikan kepada mangsa.


“Saya mengenali dua mangsa lelaki berkenaan yang bertugas sebagai kakitangan kerajaan dan seorang kakitangan swasta yang membuat laporan polis pada Julai lalu apabila sedar ditipu hingga menyerahkan wang pinjaman bank yang dibuat berjumlah hampir RM200,000,” katanya.

Seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Syarifah, 28, berkata, dia mengenali Din Kudung di tempat kerjanya di Masai, Januari lalu.


Katanya, sebaik berkenalan, Din mengatakan sudah lama memerhatikannya dan ingin menjadikan teman hidup. “Selama tiga bulan berkenalan, Din banyak menggunakan wang simpanan saya dan tanpa segan silu selalu menyelongkar dompet saya.


“Pada mulanya saya tidak menyangka apa-apa namun sedar niat jahatnya apabila mendapati dia sering berjoli dan apabila bertegas menuntut bayaran balik, dia sering berdolak-dalih.


“Sebahagian besar wang sudah dikembalikan namun hingga Mac lalu, Din masih berhutang RM4,000 sebelum menghilangkan diri,” katanya.


Menurutnya, wang berkenaan hanya dibayar selepas seorang kenalannya campur tangan dan memberikan kata dua kepada Din supaya memulangkan wangnya.


Mangsa kedua, seorang kakitangan awam yang mahu kenali sebagai Anis, 25, berkata, Din menyapanya di Terminal Pengangkutan Awam dan Pasar Larkin, hujung tahun lalu.


Menurutnya, ketika perkenalannya itu, Din dilihat tahu latar belakangnya termasuk tempat kerja menyebabkannya percaya Din menyelidik mangsanya sebelum menghampiri dengan ramah dan memperkenalkan diri sebagai kontraktor.


Katanya, selepas berkenalan Din menyatakan hasrat meminjam wang untuk pelaburan, membayar saman dan menjamin pekerjanya yang ditahan Jabatan Imigresen. “Apa yang membuatkan saya lemah ialah Din pandai merayu, menangis dan merendah diri sebagai orang kurang keupayaan (OKU) agar dikasihani.


“Dia akan menggunakan kekurangannya itu sebagai cara memperdaya saya selain bijak berkata-kata.


“Hingga kini, saya sudah membuat dua pinjaman bank berjumlah RM89,000 dan menyerahkannya kepada Din dan menyerahkan tiga cincin serta subang kerana Din memerlukan wang bagi menjamin pekerja yang kononnya ditahan Jabatan Imigresen,” katanya. “Selain itu, saya turut menyerahkan RM10,000 yang diambil menerusi kad kredit dan wang tunai RM5,000,” katanya.


Menurutnya, dia membuat laporan polis pada 3 Julai lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam apabila Din gagal dikesan melalui enam nombor telefon bimbitnya.


Sementara itu, Jurucakap IPD Seri Alam ketika dihubungi mengesahkan laporan berkenaan, namun enggan mengulas lanjut berikutan kes masih dalam siasatan.


Difahamkan, lelaki berkenaan bergiat aktif sejak tahun lalu dan menyamar sebagai ahli perniagaan yang mempunyai pelbagai ‘projek’ dibantu rakan yang berlakon menambah kenyataannya bagi meyakinkan mangsa seperti ke ke kawasan pembinaan perumahan baru di Seri Alam, Masai.


Kisah penipuan Din Kudung sering terpapar di Harian Metro dengan kali terakhir pada 15 Ogos 2003, apabila Mahkamah Majistret Johor Bahru menjatuhkan hukuman penjara dua tahun serta lapan kali sebatan selepas didapati bersalah menipu dua wanita.


'via Blog this'

Padah enggan merokok

myMetro | Padah enggan merokok:

AMPANG: Sekumpulan enam murid lelaki darjah lima sebuah sekolah rendah, di sini layak digelar ‘gangster junior’ apabila sanggup bertindak membuli seorang murid sekolah sama dengan membuang air kecil ke atas badan kanak-kanak itu hanya kerana mangsa enggan menghisap rokok, petang kelmarin.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa yang juga murid darjah lima sekolah sama sedang bermain di padang permainan kawasan perumahan Taman Mega Jaya, di sini, sebelum dihampiri kumpulan kanak-kanak terbabit.


“Mereka yang melihat mangsa sedang bermain-main di padang berkenaan kemudian bertindak memanggilnya. Mangsa yang dipercayai sering dibuli kemudian menghampiri kumpulan itu.

“Kumpulan itu kemudian memaksa mangsa berbaring di tepi longkang. Namun mangsa enggan berbuat demikian menyebabkan dia dipukul dua ahli kumpulan itu dengan dua batang kayu beberapa kali,” katanya.


Menurutnya, mangsa yang kesakitan kemudian terpaksa menurut perintah itu dengan berbaring di tepi longkang sambil dikelilingi ahli kumpulan itu.


Difahamkan, salah seorang ahli kumpulan itu turut merakam aksi buli mereka menggunakan telefon bimbit.

“Salah seorang daripada mereka kemudian bertindak memberi rokok kepada mangsa dan memaksanya menghisap rokok itu namun mangsa sekali lagi enggan.


“Kali ini, mereka bertindak lebih kejam apabila meletakkan rokok di mulut mangsa dan memaksanya menghisap rokok itu sambil memukulnya beberapa kali,” katanya.

'via Blog this'

Heret suami selamat dari rentung

myMetro | Heret suami selamat dari rentung:

RANTAU PANJANG: Tindakan seorang wanita mengheret suaminya yang menghidap penyakit angin ahmar sejauh 50 meter dari rumah, berjaya menyelamatkan mereka daripada rentung dalam kebakaran besar membabitkan 12 unit kediaman termasuk rumah kedai, di Pekan Rantau Panjang, di sini, malam kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 8.50 malam berhampiran Jalan Sekolah Cina itu berlaku ketika pasangan suami isteri terbabit, Rubiah Loman, 49, dan Mohd Rosdi Rashid, 49, menonton televisyen di ruang tamu rumah mereka.


Menurut Rubiah, mereka juga sedang menunggu anak bongsu, Nurul Fatin Nor Shafieyka Mohd Rosdi, 14, pulang selepas keluar membelikan juadah makan malam.

Katanya, dia menyedari kejadian itu apabila dikejutkan dengan jeritan jiran yang memberitahu rumahnya terbakar.


“Sebaik terdengar jeritan itu, mak cik pantas bangun dan mengheret suami keluar untuk menyelamatkan diri.


“Makcik juga kurang sihat dan tidak sedar dari mana datangnya kekuatan untuk membawa suami keluar ketika keadaan kelam-kabut itu,” katanya.

Katanya, dia tiada pilihan melainkan menarik keluar suami secara bersendirian memandangkan jirannya yang lain sibuk menyelamatkan diri.


“Mujur ketika itu makcik tidak panik dan masih mampu berfikir untuk menyelamatkan suami yang menderita penyakit angin ahmar sejak 18 bulan lalu.

Akibat diseret kira-kira lebih 50 meter itu, suaminya mengalami luka di bahagian kaki tetapi tiada sebarang kecederaan serius.


Sementara itu, Nurul Fatin Nor Shafieyka, 14, berkata tidak lama selepas memesan makanan di kedai makan berhampiran rumahnya, dia terdengar bunyi riuh penduduk kampung.

'via Blog this'

Ditemui lemas

myMetro | Ditemui lemas:

LANGKAWI: Seorang bapa nekad terjun ke dalam kolam lombong pasir sedalam 3.5 meter untuk mencari anak lelakinya berusia 12 tahun yang dipercayai tergelincir ke dalam kolam itu di Kampung Gelam, Mukim Kedawang di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, Mohd Aiman, yang pendiam dan jarang keluar rumah, dikatakan terjatuh ke dalam kolam itu ketika bermain dengan dua rakannya.


Bagaimanapun, pencarian Ali Mat Akob, 49, berakhir kekecewaan apabila anak kelima daripada enam beradik itu ditemui lemas dalam kolam berkenaan selepas mencari kira-kira 15 minit.

“Ketika kejadian, saya sedang membuat kerja sekitar rumah apabila seorang rakan datang dalam tergesa-gesa memberitahu anak saya jatuh ke dalam kolam dan tidak timbul-timbul.


“Saya bergegas ke tempat kejadian yang jaraknya kira-kira 500 meter dari rumah dan mendapati tempat itu sunyi serta tiada sesiapa di situ,” kata Ali ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Langkawi (HL), di sini.


Berikutan itu, Ali terjun untuk mencari anaknya tetapi gagal kerana air kolam keruh dan dalam, memaksanya naik semula ke darat untuk meminta bantuan rakan.

“Beberapa minit kemudian, dua pekerja syarikat mengorek pasir berkenaan datang membawa tali untuk membantu usaha mencari sebelum seorang penduduk menemui mayat anak saya di dasar kolam.


“Saya sendiri yang menyambut mayat Mohd Aiman di tebing kolam dan mengesyaki dia sudah lama jatuh dan tenggelam dalam kolam itu selepas melihat keadaan matanya yang menonjol keluar,” katanya.

Ali berkata, tiada kelakuan ganjil ditunjukkan Mohd Aiman sebelum kejadian kecuali beria-ria mahu ke rumah abangnya di Sepang, Selangor pada cuti sekolah nanti.


“Arwah baru lepas mengambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan sebelum ini dia selalu memberitahu saya atau isteri kalau mahu ke mana-mana, tetapi hari ini, kami tidak tahu dia ke kolam itu.


“Mungkin ajalnya sudah sampai dan saya reda dengan apa yang berlaku,” katanya yang turut meminta pengusaha projek gali pasir berkenaan membina pagar bagi mengelak kejadian sama berulang.


Rakan mangsa, Mohd Akif Danial Ridzuan, 10, berkata sebelum kejadian dia dan mangsa serta seorang lagi rakan mereka keluar berbasikal dan bermain berhampiran kolam tapak gali pasir berkenaan.


“Ketika berada di tebing kolam Mohd Aiman tiba-tiba hilang kawalan selepas cuba membersihkan bajunya yang terkena pasir lalu terjatuh ke dalam kolam dan tenggelam. Kawasan itu memang selalu jadi tempat kanak-kanak bermain,” katanya.


Jenazah Mohd Aiman yang juga pelajar Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Kedawang di sini, dibawa ke Bilik Mayat HL untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya jam 9.45 malam.


Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

'via Blog this'

Menangis lepas kena tali gantung

myMetro | Menangis lepas kena tali gantung:

SHAH ALAM: Seorang jurujual warga India dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi, selepas didapati bersalah mengedar 710 gram (g) ketamin.

Dadah berkenaan ditemui dalam peket lut sinar dibalut pada badannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, tahun lalu.


Hakim Noor Azian Shaari membuat keputusan itu terhadap Abu Baker Siddiq Abdul Kader, 28, selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes.

Tertuduh yang memakai baju kemeja lengan pendek corak kotak mulanya kelihatan tenang dengan keputusan itu, tetapi menangis teresak-esak sebaik memasuki lif untuk dibawa ke lokap.


Noor Azian pada penghakimannya berkata, mahkamah mendapati keterangan Abu Baker Siddiq ketika membela diri sebagai tidak munasabah, tidak logik dan tidak masuk akal.


Beliau berkata, cerita tertuduh bahawa tidak mengetahui kandungan dadah itu tidak boleh dipercayai.

Katanya, mahkamah menerima keterangan saksi polis berhubung tangkapan dan penemuan dadah itu berikutan pihak berkenaan tidak mempunyai apa-apa kepentingan dalam hal itu.


Sepanjang perbicaraan, seramai enam saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan tampil memberi keterangan.

'via Blog this'

Hukum mati

myMetro | Hukum mati:

SHAH ALAM: Seorang penarik kereta dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah mengedar 1.614 kilogram (kg) ganja berhampiran kompleks beli-belah di Bandar Utama, dekat sini, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah membuat keputusan itu terhadap Andi Idham Mohamed@Mohamed Ali, 32, selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.


Abdul Alim pada penghakimannya berkata, mahkamah membuat keputusan itu selepas meneliti keterangan dan hujahan bertulis pihak pendakwaan dan pembelaan dalam kes itu.

“Tertuduh disabitkan bersalah seperti dalam pertuduhan dan digantung di leher sampai mati,” katanya.


Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Nazri Yahya dan Farah Atikah Hasnan.


Mengikut pertuduhan, Andi Idham didakwa mengedar dadah berbahaya itu di dalam kereta Honda Civic di tepi jalan besar Lebuh Bandar Utama, Damansara Utama, Petaling Jaya, jam 10.30 malam, pada 10 Mac 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) kata sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.


Berdasarkan keterangan saksi, polis menerima maklumat bahawa seorang ahli sindiket pengedaran dadah yang memandu sebuah kereta akan mengedar dadah berhampiran kompleks beli- belah One Utama.

Serbuan di tempat kejadian mendapati tertuduh ditangkap bersama satu beg mengandungi dua ketulan mampat ganja yang dibalut plastik lut sinar.


Tertuduh ketika membela diri memberitahu mahkamah bahawa dia memandu kenderaan milik rakannya.


Sepanjang perbicaraan, seramai enam saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan tampil memberi keterangan.

'via Blog this'

Tipu bekal amah

myMetro | Tipu bekal amah:

KUALA LUMPUR: Biarpun pengumuman status pembekuan pembantu rumah asing dari Indonesia hanya diketahui selepas perbincangan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono di Lombok, 22 Oktober ini, satu sindiket dikesan mengambil kesempatan menipu orang ramai kononnya dapat membekalkan tenaga kerja dari negara itu.

Kegiatan itu dikesan selepas terdapat aduan daripada beberapa mangsa yang terpedaya dengan janji manis ejen terbabit yang mendakwa mempunyai akses untuk membawa masuk pembantu rumah asing.


Terbaru, seorang bekas penjawat awam bergelar Datuk kerugian RM1,000 ditipu seorang lelaki yang mendakwa ejen amah dan boleh mendapatkan khidmat warga Indonesia terbabit tanpa sebarang masalah dengan mengenakan bayaran pada kadar tertentu.

Mangsa, Datuk Abu Hassan Abdul Rahman, 62, berkata, dia menerima tawaran daripada wakil sindiket berkenaan bulan lalu untuk menjaga cucunya kerana anaknya sibuk bekerja dan pada masa sama perlu menguruskan rumah tangga.


Katanya, sebaik bayaran RM1,000 dibuat, lelaki itu mengarahkan mereka sekeluarga menjemput amah berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), namun selepas beberapa jam menunggu, kelibat wanita itu tidak kelihatan.


“Anak saya cuba menghubungi ejen terbabit, namun gagal. Selepas mencuba beberapa kali, baru sedar bahawa kami menjadi mangsa penipuan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Katanya, dia kesal dengan kejadian itu kerana mereka ditipu ketika keadaan begitu memerlukan.


“Saya berharap agar orang ramai berhati-hati dengan tawaran seumpama ini. Mungkin sudah sampai masanya kerajaan menggubal undang-undang berkaitan dan menyediakan satu skim membantu keluarga mendapatkan pembantu rumah tempatan,” katanya. Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia (Pikap), Datuk Raja Zulkepley Dahalan berkata, kegiatan sindiket itu jelas satu penipuan kerana sehingga kini, belum ada kata putus mengenai perkara itu.

Katanya, sewajarnya orang ramai memeriksa kesahihan dakwaan itu kerana setakat ini, umum mengetahui bahawa khidmat pembantu asing dari Indonesia masih lagi dibekukan.


“Apa yang jelas, kita menjangkakan ia akan dimuktamadkan dalam masa terdekat. Justeru, saya menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati sebelum menerima apa juga bentuk tawaran mendapatkan amah asing ini,” katanya.

'via Blog this'

2 beradik parah nahas ke masjid

myMetro | 2 beradik parah nahas ke masjid:

KOTA BHARU: Dua beradik dalam perjalanan ke masjid menunaikan solat Jumaat, parah apabila tayar belakang motosikal dinaiki pecah sebelum hilang kawalan dan melanggar penghadang jalan, dekat Baung, Pengkalan Chepa, petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu menyebabkan mangsa, Reduan Shamsuddin, 29, patah tangan, manakala adiknya, Hafiz, 23, pengsan di tempat kejadian sebelum mereka dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) oleh orang ramai.


Menurut adik ipar kepada Reduan, Azalinawati Zamri, 35, berkata dia menerima panggilan abang iparnya jam 1.30 tengah hari bagi memaklumkan kejadian itu.

“Dalam suara yang terketar-ketar, dia meminta saya memberitahu ayah mereka terbabit dalam kemalangan.


“Saya cuba menghubungi ayah beberapa kali, namun gagal kerana dia berada di masjid,” katanya.


Menurut ibu mangsa, Fatimah Ismail, 58, berkata Reduan datang dari Wakaf Bharu mengambil adiknya di rumah mereka di Kampung Lepan Pari, Pengkalan Chepa sebelum ke masjid berhampiran.

Katanya, motosikal itu baru tiga bulan digunakan anaknya hasil pemberian bapa mentua Reduan, Zamri Daud, 57.


“Sebelum mereka keluar, dua beradik itu sempat berbincang untuk ke stadium malam nanti menyaksikan perlawanan bola sepak antara Kelantan dan Terengganu.

“Tidak lama kemudian makcik terkejut apabila mendapat tahu mereka terbabit dalam kemalangan,” katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abd Rafar, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

'via Blog this'

Ditindih lapan peragut

myMetro | Ditindih lapan peragut:

KUALA LUMPUR: Seorang wanita bukan saja cedera dipukul dan ditindih lapan peragut, malah turut kerugian kira-kira RM1,500 dalam kejadian ragut di Taman Pertama Cheras, di sini, kelmarin.

Ketika kejadian jam 6 petang itu, mangsa berjalan ke tempat letak kereta selepas membeli barangan di pasar malam berhampiran sebelum didatangi lapan lelaki menunggang empat motosikal. Semua mereka dianggarkan berusia 20-an.


Mangsa, Ng Lee Hong, 53, berkata dia dihampiri dua lelaki bermotosikal yang cuba meragut beg tangannya, namun tidak berjaya.

Katanya, pergelutan di antara mereka menyebabkan dia terjatuh di atas jalan sebelum didatangi enam lagi lelaki yang menaiki tiga motosikal dan dua daripada mereka cuba menarik beg tangannya.


“Saya melawan, tetapi ditumbuk dua lelaki itu hingga tidak berdaya. Mereka kemudian bertindak kejam apabila menindih badan saya bagi mengelak saya bangun.


“Selain itu, mereka memukul badan saya dan menarik beg tangan yang mengandungi wang tunai dan barangan berharga lain termasuk subang emas,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, dia menjerit meminta tolong, namun tiada yang membantu.


Akibat kejadian itu, dia cedera di badan dan kedua-dua tangan.

Katanya, selepas kejadian, dia mendapatkan kereta sebelum membuat laporan di Balai Polis Cheras.

'via Blog this'