Search This Blog

Thursday, October 13, 2011

Gadis bawah umur dirogol sehingga mengandung



SUNGAI RUAN – Seorang gadis berusia 15 tahun mendakwa dirogol kira-kira penghujung Disember tahun lalu sehingga mengakibatkannya mengandung.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Azhar Abdul Rahman berkata, gadis itu mendakwa diperkosa lelaki berusia 47 tahun yang juga penduduk tempatan.

Menurutnya, laporan polis dibuat pada awal Oktober lalu iaitu ketika si gadis sedang sarat mengandung.

“Suspek ditahan sehari selepas laporan diterima dan siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat dalam Perhimpunan Bulanan yang diadakan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), semalam.

Seramai 39 anggota dan pegawai polis Raub menerima kenaikan pelbagai pangkat berbeza.

Dalam perkembangan lain, Azhar berkata, prestasi dan pencapaian setiap anggota serta pegawai polis perlu dipertingkatkan terutama dalam kerja berpasukan.

Katanya, hubungan erat bersama masyarakat wajar dititikberatkan sebagai mata dan telinga yang menyalurkan maklumat untuk sama-sama memastikan tahap keselamatan di kawasan masing-masing meningkat.

“Setakat ini, maklum balas daripada penduduk setempat memuaskan dan kita akan memanfaatkan setiap peluang yang ada untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan dari semasa ke semasa.

“Penduduk juga perlu memainkan peranan dan tanggungjawab sebagai anggota masyarakat prihatin termasuk menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya terdapat perkara yang mencurigakan di kawasan kejiranan masing-masing,” katanya.

Beliau berharap talian kilat polis Raub menerusi 09-3554999 dapat dimanfaatkan bagi tujuan keselamatan dan keamanan masyarakat daerah ini.

Remaja 16 tahun dirogol penyamun



BENTONG – Seorang remaja perempuan bukan sahaja menjadi mangsa samun apabila rantai leher miliknya dirampas penjenayah tetapi lebih malang dirinya turut menjadi mangsa rogol.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, kejadian dilaporkan berlaku di sebuah rumah papan di kawasan Bentong dekat sini kira-kira jam 1.00 pagi semalam

Menurutnya, ketika kejadian berlaku kesemua ahli keluarga mangsa sedang nyenyak tidur.

“Suspek dipercayai masuk ke rumah mangsa menerusi pintu belakang dan kemudiannya merampas rantai leher yang dipakainya.

“Tidak cukup dengan tindakan menyamun, suspek terbabit itu juga mengambil peluang merogol mangsa yang berusia 16 tahun lima bulan itu,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, selepas merogol mangsa, suspek dipercayai keluar menggunakan pintu yang sama untuk melarikan diri.

Menurutnya, polis dimaklumkan kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.30 pagi dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Polis sedang mengesan suspek yang terlibat dalam kes ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Orang awam yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya ke balai berhampiran atau menggunakan talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong iaitu, 09-223 1999,” katanya.

OKU kemalangan, lori terbalik



TRAS – Pemuda kurang upaya (OKU) mengalami luka di tangan sementara ibu yang membonceng patah kaki kanannya selepas motosikal ditunggang mangsa bertembung dengan motosikal lain di Kilometer 369 dekat Kampung Baru Tras, semalam.

Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub, Cif Inspektor Mohd Nazlan Othman berkata, mangsa Wong Ken Chen, 32, membawa ibunya, Kong Nyok Mooi, 60, menaiki motosikal empat roda.

Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian lebih kurang jam 9 malam, motosikal ditunggang mangsa bertembung dengan motosikal jenis EX5 yang ditunggang remaja berusia 15 tahun.

“Remaja itu pengsan seketika sebaik sahaja terlibat kemalangan dan ketiga-tiga mangsa terbabit dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Ketika kejadian, jalan terang dengan sinaran lampu jalan, manakala kedudukan lokasi kejadian berhampiran kediaman penduduk setempat,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa tidak memakai topi keledar dan kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan sebuah lori 10 tan terbalik selepas terbabas ke kiri jalan dalam kemalangan di Kilometer 355 Jalan Raub – Cheroh lebih kurang jam 2 petang, kelmarin.

Mohd Nazlan berkata, pemandu lori itu yang berusia 53 tahun dari Taman Kenanga dekat sini mendakwa cuba mengelak kereta dari arah bertentangan.

Katanya, pemandu gagal mengawal kenderaan lalu terlanggar papan tanda sebelum terbalik di kiri jalan.

“Dia tidak mengalami kecederaan serius dan berdepan kemungkinan dikenakan tindakan saman di bawah Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas,” katanya.

Surau jadi mangsa khianat



SEREMBAN – Jemaah Surau Taman Kemuning, Senawang di sini, terkejut ketika mahu menunaikan solat Maghrib, malam kelmarin apabila mendapati pintu stor belakang surau berkenaan terbakar dipercayai perbuatan khianat.

Bukan sahaja pintu stor dibakar, malah barang dapur disimpan dalam stor berkenaan juga bersepah.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, lebih 10 bekas telur hangus dibiarkan atas lantai, selain serbuk teh dan susu pekat tin bertaburan atas meja di stor yang menjadi tempat menyediakan juadah untuk jemaah surau.

Selain itu, sebuah tabung derma jemaah surau dipercayai mempunyai wang melebihi RM100 turut dilarikan.

Kejadian itu disedari seorang Imam surau yang sedang bersiap sedia untuk menunaikan solat Maghrib sebelum terhidu bau hangit dari arah stor.

Pengerusi Surau Taman Kemuning, Mohd Rafid Mohd Shariff berkata, tiada kesan pintu surau diumpil atau dipecahkan kerana pintu surau itu sememangnya berkunci.

“Sebab itu kita percaya ia adalah perbuatan khianat,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu adalah kali pertama berlaku di surau berkenaan yang dibuka sejak empat tahun lalu, bagaimanapun memberitahu sebelum ini pernah diceroboh apabila mentol dalam surau berkenaan hilang.

“Sejak dua bulan lalu, pihak surau terpaksa membeli semula 11 mentol lampu bagi menggantikan mentol yang dicuri.

“Pada mulanya kami tidak mengesyaki apa-apa, sebaliknya menukarkan kepada yang baru. Namun, selepas melihat ada yang berani membakar surau ini, kami rasa ada sesuatu tak kena,” katanya kepada :Sinar Harian:, di sini semalam.

Berikutan kejadian itu, Mohd Rafid berkata, pihaknya sudah membuat laporan di Balai Polis Senawang, dekat sini malam kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Yusoff Awang ketika dihubungi mengesahkan kej:adian.

“Kita percaya perbuatan ini adalah kerja budak nakal dan tiada kaitan dengan sentimen perkauman. Bagaimanapin, siasatan sedang dijalankan untuk mengetahui kejadian sebenar termasuk mengenal pasti mereka yang terlibat,” katanya.

Menurutnya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Ibu tunggal ditemui mati



SEREMBAN - Seorang ibu tunggal ditemui mati di kawasan pembuangan sampah di Rumah Pangsa Jalan Tun Dr Ismail dekat sini, kira-kira jam 5.30 petang kelmarin.
Mangs yang berumur sekitar 30-an dipercayai keluar dari wad psikiatri Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini, sehari sebelum kejadian dan dia tidak menetap di kawasan perumahan berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Md Yusoff Awang berkata, pihak polis menerima maklumat daripada orang ramai berhubung penemuan mayat wanita berkenaan, kira-kira jam 4.10 petang. - SH MNS/Syamilah Zulkifli

Pengedar dadah kecundang



NILAI – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan cubaan membawa masuk dan mengedar dadah jenis ganja bernilai RM90,000 di negara ini.

Timbalan Pengarah Kastam Cawangan Narkotik, Liah Omar berkata, cubaan mengedar dadah melalui kenderaan itu berjaya dikesan anggota daripada Cawangan Narkotik Kastam, Isnin lalu, kira-kira 10.30 malam.

“Sepasukan pegawai berjaya menahan dua kenderaan persendirian di Kilometer 449.1 Lebuhraya Utara–Selatan, arah selatan berhampiran Rawang, setelah mengekori sejauh kira-kira 10 kilometer, dipercayai membawa dadah untuk dihantar ke Kuala Lumpur.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, kenderaan pertama dipandu seorang lelaki warga Nigeria berusia 37 tahun juga pelajar kolej swasta di Kuala Lumpur, di sini, menemui 31 bungkusan tumbuhan kering mampat iaitu dadah jenis ganja seberat 37 kilogram,” katanya pada sidang media di Pejabat Kastam Narkotik di sini, semalam.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap kenderaan kedua yang dinaiki seorang wanita warga Laos pula mendapati tiada sebarang dadah ditemui.

“Kita menahan wanita berusia 35 tahun yang memasuki negara ini sebagai pelancong untuk siasatan lanjut berikutan dokumen perjalanannya merekodkan perjalanan dari Laos ke Thailand dan kemudiannya memasuki Malaysia melalui pintu masuk Bukit Kayu Hitam, Changloon.

“Manakala pemandu kenderaan kedua yang dipercayai warga Nigeria itu berjaya meloloskan diri di tempat kejadian dan gagal dikesan meskipun usaha mencari dilakukan,” katanya.

Liah berkata, ganja yang dibalut kemas dan diisi dalam sebuah beg serta kotak yang disembunyikan di tempat simpanan barang belakang kenderaan itu dipercayai diperoleh dari negara jiran berdasarkan tulisan pada bungkusan tersebut.

“Kita percaya ganja ini akan diedarkan untuk pasaran Lembah Klang dan kita akan siasat kaitan kedua-dua suspek serta individu lain yang terlibat dalam sindiket dadah antarabangsa ini,” katanya.

Menurutnya, suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. 

Sepasang suami isteri maut



BENTONG - Sepasang suami isteri maut dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 48.7 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur dekat sini selepas terlibat dalam kemalangan kira-kira jam 5 pagi kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor, mangsa, Khairul Azhar Mohamed, 31, beralamat di Kampung Paya Balai Besar, Dungun menaiki lori jenis Isuzu tiga tan bersama isterinya, Masitah Omar, 26.

Menurutnya, mereka berdua dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Kuala Lumpur.

“Setibanya di tempat kejadian, lori yang dipandu mangsa dipercayai terlanggar belakang sebuah treler jenis Mercedes Benz membawa muatan kayu gergaji.

“Akibat pelanggaran itu, bahagian hadapan lori dinaiki mangsa dan isteri remuk di bahagian hadapan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan badan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohamad Mansor berkata, kedua-dua mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan lanjut namun Khairul Azhar disahkan meninggal dunia kira-kira jam 7.30 pagi.

Bagaimanapun, katanya, Masitah yang tidak bekerja dipindahkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh dan meninggal dunia kira-kira jam 8.21 malam akibat kecederaan parah di kepala dan kaki.

“Kemalangan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih diteruskan,” katanya.

Pelatih JKM putus kemaluan




MARANG – Mengerikan. Demikianlah keadaan kecederaan dialami seorang peserta kursus kemahiran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang putus kemaluan selepas seluar yang dipakai tersangkut pada ‘roller’ traktor pemotong rumput.

Mangsa, Mohd Hafis Abdul Rahman, 26, tergelincir ketika hendak turun dari bahagian belakang jentera yang berhenti selepas menjalani lati-han amali di Taman Pengeluar Kekal Makanan (TPKM) Serating, di sini, dalam kejadian Ahad lalu.

Sebelum kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, mangsa bersama pemandu jentera terbabit memotong rumput untuk menyediakan maka-nan bagi haiwan ternakan yang diternak di kawasan ladang milik sebuah syarikat swasta di situ. Namun mangsa dipercayai tergelincir semasa turun dari jentera pertanian itu lalu terjatuh ke belakang menyebabkan seluar yang dipakai tersangkut pada ‘roller’ yang masih berpusing dan menarik mangsa ke dalam.

Akibat kejadian itu seluar dipakai mangsa koyak rabak sebelum dia mengalami kecederaan parah pada kemaluannya. Mangsa yang tinggal di Gong Badak, Kuala Terengganu itu kemudiannya dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Sementara itu, seorang jurucakap JKM ketika dihubungi Sinar Harian berkata, mangsa terbabit sedang menjalani latihan amali dibantu pemandu jentera itu sedang melakukan kerja pemotongan rumput untuk dijadikan makanan kambing.

“Bagaimanapun, mangsa yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) itu mengalami kecederaan parah pada kemaluannya selepas terjatuh di bahagian belakang jentera pertanian itu semasa kenderaan itu berhenti,” katanya.

:Menurutnya, pihak pengurusan membuat satu laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Merchang dan melawat mangsa pada malam kejadian. Lawatan tersebut diketuai Penolong Pengarah II, JKM Negeri Terengganu, Rusmi Mahmood.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian yang menimpa pemuda berkenaan.

Usaha Sinar Harian untuk menemubual mangsa bagaimanapun tidak dibenarkan pihak hospital.

Penuntut IPTS meninggal dunia akibat demam denggi



KUALA LUMPUR - Seorang penuntut perempuan sebuah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) di sini meninggal dunia di hospital Ampang akibat demam denggi.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Hasan Abd Rahman berkata penuntut berusia 22 tahun itu dimasukkan ke hospital Ampang pada 24 Sept setelah lima hari deman, dan dua kali mendapatkan rawatan di klinik swasta.

"Namun, sehari selepas dimasukkan ke hospital pelajar itu meninggal dunia akibat sindrom kejutan denggi" katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Hasan berkata hasil pemeriksaan pegawai kesihatan menemui dua tempat pembiakan Aedes di kediaman pesakit berkenaan iaitu dalam besen dan pam tandas.

Selain itu sebanyak enam tempat pembiakan nyamuk Aedes turut ditemui di
sebuah kawasan pembinaan yang terletak berhampiran universiti, tempat pesakit
itu belajar.
Dari segi pemantauan, Dr Hasan berkata sejumlah 316 kes demam denggi dan satu kematian dilaporkan pada minggu pertama bulan Oktober ini, iaitu menurun 8 kes berbanding 324 kes dengan satu kematian pada minggu sebelumnya.

"Terdapat tujuh negeri yang menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu lepas iaitu 10 kes di Pulau Pinang, Kedah (lima kes), Terengganu dan Pahang (masing-masing empat kes), Negeri Sembilan (dua kes) dan masing-masing satu kes di Johor dan Wilayah Persekutuan," katanya. - Bernama

Didakwa menipu menerusi Internet



AYER KEROH – Seorang warga Nigeria mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, semalam dan meminta dibicarakan atas empat pertuduhan penipuan Internet antara Mei 2009 dan Januari tahun lalu.

Tertuduh, Ago Uche dari Lagos, Nigeria, membuat pengakuan di hadapan Hakim Zaharah Hussain dan Ahmad Sazali Omar.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menipu Mohd Ruddin Abd Ghani dengan cara menawarkan wang berjumlah RM4.3 juta melalui penipuan Internet.

Penawaran itu dorongan untuk mendapatkan wang mangsa sebanyak RM50,000 dan pembayaran dibuat menerusi perbankan dalam talian kepada tertuduh melalui akaun OCBC atas nama seorang individu tidak dikenali mangsa, kira-kira 6.30 petang pada 28 Mei 2009.

Tertuduh bersama seorang rakan yang masih bebas turut mengulangi perbuatan sama membabitkan beberapa nilai iaitu RM70,000, RM43,200 dan RM20,000, pada 22 Januari 2010.

Semua kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Fairuz Nurshuhada Amran manakala tertuduh, bekas pelajar sebuah kolej di negeri ini tidak diwakili peguam.

Empat ditahan, dua lagi bolos



BUKIT KAYU HITAM - Hasrat enam bersaudara pendatang asing tanpa izin (Pati) dari Myanmar untuk menyeludup masuk ke negara ini melalui lorong tikus di sempadan tidak berjaya selepas empat dari mereka berjaya ditahan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Bukit Kayu Hitam, petang kelmarin.

Semua mereka berjaya masuk melalui lorong tikus sebelum dibawa menaiki sebuah kenderaan milik warga tempatan yang dipercayai menjadi orang tengah sindiket penyeludupan manusia.

Timbalan Komander UPP Kedah, Noor Mohamed Shaik Alaudin berkata, empat anggotanya berjaya menahan sebuah kenderaan jenis Proton Saga yang dinaiki enam Pati termasuk seorang pemandu warga tempatan di Kampung Padang Satu di sini kira-kira jam 2.30 petang.

Menurutnya, bagaimanapun dua daripada Pati terbabit berjaya melarikan diri di kawasan semak berhampiran manakala empat yang lain berjaya ditahan termasuk pemandu.

“Hasil pemeriksaan mendapati semua Pati yang ditahan terdiri daripada seorang wanita berusia 35 tahun dan kanak-kanak perempuan lapan tahun yang berada di tempat duduk belakang manakala dua lelaki masing-masing berusia 23 dan 25 tahun bersembunyi dalam bonet kereta terbabit.

“Kita percaya semua mereka mempunyai talian kekeluargaan dan masuk ke negara ini untuk mencari pekerjaan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Noor Mohamed berkata, hasil siasatan juga mendapati pemandu tempatan berusia 24 tahun itu mengakui melakukan kerja terbabit untuk pertama kalinya bagi mendapat upah tambahan.

“Kes pertama iaitu melibatkan pemandu tempatan yang melakukan kesalahan terlibat secara langsung atau tidak membawa masuk seseorang ke Malaysia secara bertentangan dengan Akta Imigresen boleh dihukum mengikut Seksyen 55A (1) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

“Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih dari RM50,000 dan penjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali dan tidak kurang enam sebatan,” katanya.

Manakala bagi kes kedua melibatkan Pati yang masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit sah akan disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan juga boleh disebat tidak lebih enam sebatan.

Panik dua kereta api bertembung



SUNGAI SIPUT (U) – Empat penumpang maut, 15 cedera parah, manakala empat lagi cedera ringan dalam satu tragedi melibatkan pertembungan dua gerabak kereta api yang berlaku di Sungai Buloh, di sini, awal pagi semalam dan membuatkan penduduk sekitar kelam-kabut serta panik.

Bagaimanapun, ia hanya satu lakonan latihan kecemasan bencana yang dijayakan beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Sungai Siput dan Kuala Kangsar, Jabatan Pertahanan Awam (Jpam), Pejabat Tanah dan Daerah, Keretapi Tanah Melayu (KTM) serta beberapa lagi agensi.

Komander latihan, Superintendan Azman Salim berkata, latihan pertembungan itu berlaku kira-kira jam 4.25 pagi melibatkan dua kereta api dari arah bertentangan.

Menurutnya, tugas anggota terlibat ialah menyelamatkan mangsa sama ada yang sudah mati atau tercedera ke tempat selamat.

“Seramai 500 anggota keselamatan terlibat terdiri daripada kakitangan agensi berkaitan dalam membantu menyelamatkan 23 penumpang di dalam kereta api.

“Latihan kecemasan ini dilakukan sebagai persediaan kepada anggota keselamatan dan agensi berkaitan sekiranya kejadian seperti ini berlaku serta apa tindakan atau peranan harus dilakukan,” katanya.

Azman berkata, ia juga memberi pendedahan kepada penumpang atau orang awam supaya tidak panik dan memberi kerjasama kepada anggota keselamatan.

Beliau berkata, sewaktu sesi latihan berkenaan turut melibatkan aksi atau tindakan sekiranya terdapat gas beracun dibawa di dalam gerabak.

“Pertembungan berlaku melibatkan kereta api dari arah selatan dan utara, satu arah membawa penumpang, manakala satu lagi membawa kontena berisi bahan kimia atau gas beracun.

“Di dalam gerabak turut membawa gas beracun dan pihak bomba perlu bertindak menentukan sama ada gas ini bocor atau tidak.” katanya.

Menurutnya, setelah diperiksa tiada kebocoran berlaku dan jika berlaku situasi gas bocor, bukan sekadar mangsa ditimpa bahaya, seluruh penduduk di Sungai Siput berisiko serta perlu dipindahkan secepat mungkin,” katanya.

Katanya, operasi berkenaan tamat pada jam 7.30 pagi dan berdasarkan prestasi keseluruhan menunjukkan komitmen yang baik daripada semua anggota terlibat.

“Berdasarkan rumusan, latihan kecemasan ini berjaya kerana semua anggota terlibat dan setiap agensi memainkan peranan serta kerjasama baik.

“Sekiranya kes seperti ini benar-benar berlaku, semua yang terlibat diyakini mampu mengambil langkah dan bertindak dengan sewajarnya bagi mengawal keadaan,” katanya.

Nenek berdepan tali gantung



GEORGETOWN - Seorang nenek warga Uganda berdepan hukuman mati di tali gantung apabila dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini atas tuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 2,329 gram, tahun lalu.

Nabweteme Hadija, 56, didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori untuk kesalahan mengedar methamphetamine, di Balai Bahagian Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL), kira-kira jam 11 malam, 9 September 2010.

Dalam prosiding bicara bersambung dengan keterangan saksi ke-11, Chif Inspektor Bahagian Narkotik LTABL, Balber Singh Hadep Singh berkata, semasa menjalankan tugas rondaan di bahagian ketibaan LTAB, beliau melihat seorang wanita (tertuduh) dalam keadaan mencurigakan sedang berjalan keluar dari bahagian ketibaan LTAB sambil menarik satu bagasi berwarna hitam.

Menurutnya, beliau bersama pasukan menahan dan memperkenalkan diri sebagai polis kepada tertuduh dalam bahasa Inggeris serta bertanya negara asal dan destinasinya.

“Ketika itu, saya melihat tertuduh gelisah dan bertanya mengapa dia diperiksa. Kami mendapati tertuduh dalam keadaan mencurigakan dan perlu membuat pemeriksaan lanjut terhadap penumpang itu.

“Saya membawa tertuduh ke mesin pengimbas dan dengan bantuan pegawai kastam, saya melakukan pengimbasan terhadap bagasi hitam itu serta menemui sesuatu yang berwarna hijau tersorok di bahagian bawahnya,” katanya.

Balber Singh berkata, pemeriksaan rapi terhadap bagasi itu mendapati bahagian bawahnya keras dan setelah dikoyakkan, beliau menemui bungkusan plastik yang dibalut dengan selotape mengandungi serbuk kristal disyaki dadah berbahaya.

“Ketika itu, saya melihat tertuduh dalam keadaan gelisah, badannya berpeluh dan mula menangis serta cuba menafikan bungkusan plastik tersebut,” katanya.

Selepas mendengar keterangan itu, Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Amin Firdaus Abdullah menetapkan 2 November tarikh untuk keputusan peringkat akhir kes pendakwaan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Amril Johari manakala Nabweteme diwakili S Yagoo.

Taktik seludup minyak gagal



PADANG BESAR – Seorang penduduk tempatan berusia 29 tahun ditahan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) di sini selepas cuba menyeludup minyak bersubsidi ke negara jiran malam kelmarin.

Lelaki yang sebelum ini menetap di Perak itu ditahan di belakang sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Melayu berhampiran sempadan selepas diekori anggota dari kawasan perindustrian Padang Besar.

Komander Kawasan UPP Padang Besar, Asisten Superintenden Noor Janihan Nanyan berkata, anggota yang melakukan rondaan telah terserempak dengan sebuah kereta jenis Proton Wira dalam keadaan mencurigakan di kawasan perindustrian Padang Besar kira-kira jam 5.10 petang.

Menurutnya, selepas yakin dengan perkara buruk dilakukan pemandu kenderaan itu, anggota kemudian bertindak mengekori kenderaan itu dan mendapati kereta terbabit berhenti di belakang sebuah rumah di Kampung Melayu di sini.

“Anggota kemudian bertindak menahan lelaki berkenaan. Hasil pemeriksaan menjumpai dua tangki tambahan yang dipercayai mampu mengisi 1,000 liter minyak dipasang dalam kenderaan terbabit.

“Malah cukai jalan kenderaan itu juga telah tamat tempoh, dan dipasang cermin gelap untuk mengaburi mata penguat kuasa,” katanya.

Menurutnya, selepas diperiksa, pihaknya menemui sebuah tangki tambahan yang dipasang di tempat duduk belakang dan dalam bonet kenderaan berkenaan.

“Nilai rampasan kira-kira RM24,800 termasuk RM20,000 nilai kereta, nilai diesel sebanyak RM1,800 dan tangki yang diubahsuai," katanya.

Empat lelaki ditahan leka masak daun ketum



PADANG SERAI - Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim yang diketuai Asisten Superintendan Ahmad Sidi Mohamad Lazin, berjaya menahan empat lelaki berusia antara 34 hingga 45 tahun di sebuah rumah teres satu tingkat di Taman Serai Wangi kira-kira jam 3 petang semalam.

Ahmad Sidi berkata, kumpulan itu sudah menjalankan kegiatan memproses dan pengedaran air daun ketum sebulan lalu dan aktiviti mereka itu dipantau polis sejak dua hari sebelum serbuan dibuat.

“Ketika tiba di rumah suspek, polis mendapati tiga daripada empat suspek berkenaan sedang memasak daun ketum di bahagian belakang rumah.

“Hasil serbuan itu, sebanyak 60 kilogram daun ketum dan 100 bungkusan air daun ketum yang siap dibungkus berjaya dirampas,” katanya.

Menurutnya, terdapat lubang berukuran 2.5 meter panjang dan satu meter lebar dikorek di pekarangan rumah untuk menyembunyikan bekalan daun ketum mentah dan hampas daun ketum setelah diproses.

“Ini adalah rampasan terbesar melibatkan aktiviti memproses daun ketum sepanjang tahun ini.

“Air daun ketum ini dipercayai dijual dan diedarkan di sekitar kawasan Padang Serai terutama Sidam Kanan dengan harga RM4 sebungkus. Selain itu, polis menganggarkan jumlah rampasan dibuat terhadap daun ketum mentah bernilai kira-kira RM900 manakala air daun ketum bernilai RM400.

“Hasil siasatan awal, bekalan daun ketum mentah diperoleh dari Sik dengan harga RM15 sekilogram. Kesemua suspek terlibat termasuk daun ketum dan air ketum serta peralatan memproses seperti dapur yang dirampas akan dibawa ke IPD Kulim,” katanya.

Kapal layar hampir musnah terbakar



KUAH - Kecekapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuah dan Ibu Pejabat Bomba Langkawi berjaya menghalang sebuah kapal layar persiaran daripada hangus terbakar.

Bagaimanapun, hampir 70 peratus bahagian dalam enjin kapal itu musnah dalam kebakaran itu.

Kapal Layar MV Sun Chaser Motor Yard, milik persendirian itu dipercayai sedang melakukan kerja mengecat dan pengubahsuaian dalam bangunan (hangar) Bousted Langkawi Shipyard Sdn Bhd.

Pegawai Penguasa Bomba Langkawi, Yunus Ibrahim berkata, hasil siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai bermula dari bahagian dalam enjin kapal terbabit.

“Operasi untuk memadamkan kebakaran sedikit sukar kerana asap tebal menyelubungi kapal dan mengganggu tugas untuk mencari punca api merebak. Bagaimanapun pihak bomba berjaya mengawal kebakaran sehingga jam 10 malam termasuk memantau kawasan itu hingga jam 8 pagi keesokannya,” katanya.

Menurutnya, seramai 53 anggota terlibat dalam keseluruhan operasi memadam kebakaran, melibatkan lima jentera yang dikerah bagi mengawal api daripada merebak.

Yunus berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti kerugian dan punca kebakaran.

“Berdasarkan maklumat pemiliknya, MV Sun Chaser mula melakukan kerja baik pulih sejak Mei 2010 dan dijangka memulakan pelayaran pertama Disember ini,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada orang awam yang berusaha memadamkan kebakaran sebelum jentera bomba tiba.

“Kerjasama dan panggilan awal daripada orang ramai untuk maklumat mengenai kebakaran amat dihargai dan sekiranya terdapat sebarang maklumat mereka diminta terus menghubungi menerusi talian 994 dengan segera,” katanya.

Empat lelaki mengaku tidak salah tuduhan menyamun



AYER KEROH - Empat lelaki berusia antara 21 dan 29 tahun yang berhadapan tuduhan menyamun dua mangsa Jun lalu mengaku tidak bersalah di di Mahkamah Seksyen, di sini, semalam.

M P Namasivayan, 21, G Maikel, 24; S James Lenin, 29 dan PNarendranpanthy, 24, memohon dibicarakan di hadapan Hakim Zaharah Hussain.

Mereka didakwa melakukan rompakan dengan cara menyamun dua mangsa iaitu A Elangovan, 52, dan K Indrani, 45, di sebuah hotel bajet di Jalan Kesidang, Kampung Lapan, Bachang, kira-kira jam 10 malam Jun lalu.

Antara barangan yang disamun termasuklah seutas rantai leher emas bernilai RM5,000, wang tunai RM30 dan RM387, kunci rumah, kunci kedai, kunci kereta dan sebuah peti besi yang di dalamnya terkandung empat pasport antarabangsa, sijil kelahiran, sijil perkahwinan dan lain-lain dokumen penting milik kedua-dua mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Ifa Sirrhu Samsudin.

Ifa turut memohon supaya mahkamah mengenakan ikat jamin RM10,000 bagi setiap tertuduh.

Zaharah kemudiannya menetapkan jaminan RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin selain mengarahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga tarikh sebutan semula kes yang ditetapkan pada 16 November depan.

Berjudi dalam bilik rumah sewa



LADANG JELEBU - Cubaan menyembunyikan kegiatan judi siber dengan melakukannya di dalam bilik di sebuah rumah sewa tidak berhasil apabila polis berjaya menghidu operasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Jelebu, De:puti Superintendan Setapa Yusoff berkata, itu adalah taktik baru pemilik premis judi siber bagi mengelak kegiatan mereka dikesan oleh pihak berkuasa.

Menurutnya, kebiasaannya pusat judi siber itu beroperasi di kawasan rumah kedai berdekatan taman perumahan.

“Mereka tahu jika membuka premis di kawasan berkenaan tidak selamat kerana polis sentiasa membuat pemantauan dan serbuan,” katanya kepada Sinar Harian.

Hasil maklumat orang ramai, sepasukan polis menyerbu sebuah rumah di No 21 Kampung Ladang Jelebu kira-kira jam 6 petang pada 9 Oktober lalu.

Ketika serbuan, seorang pemuda berusia 22 tahun berada di dalam rumah berkenaan dan hasil siasatan mendapati dia tidak memiliki rekod jenayah lampau.

Polis turut merampas enam set komputer yang dipercayai digunakan untuk kegiatan judi siber.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 2001) dan Seksyen 6 Enakmen Pusat Hiburan kerana berniaga tanpa lesen.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 4B (a), pesalah boleh dihukum denda sebanyak RM10,000 bagi setiap mesin yang dirampas atau penjara lima tahun.

Manakala hukuman di bawah Seksyen 6 boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun.

Ditumbuk tanpa belas kasihan



KEPONG – Hanya kerana menegur jiran yang melanggar keretanya, seorang warga emas ditumbuk bertubi-tubi tanpa belas kasihan oleh individu terbabit.

Dalam kejadian di Taman Beringin pagi Jumaat lalu, mangsa Mahmud Nawawi,58, cedera ditumbuk di muka serta patah tulang pinggul kanan selepas terjatuh diserang jiran berkenaan yang berusia 30 tahun itu.

Mangsa yang ditemui Sinar Harian di Hospital Pusrawi, Kuala Lumpur semalam memberitahu bumper kereta Toyota Unser miliknya terjatuh kerana dilanggar oleh jirannya yang baru pulang dari kerja.

“Pada mulanya dia ada memberitahu dengan isteri saya untuk alihkan kereta yang diletakkan hadapan rumah tetapi ketika itu saya sedang tidur kerana pulang lewat berniaga pada waktu malam,”katanya.

Jelasnya, keretanya yang diletakkan di hadapan rumah langsung tidak mengganggu laluan jalan malah kenderaan jirannya masih boleh memasuki ruang rumahnya.

“Tiba–tiba kami dikejutkan dengan bunyi deruan enjin yang kuat diikuti bunyi benda dilanggar, bila periksa bumper kereta sudah jatuh dan suspek hanya buat tidak tahu sahaja menyebabkan saya bertanyakan perkara itu kepadanya, tidak semena-mena dia menumbuk muka saya,”katanya.

Akibat kejadian itu dia dikejarkan ke Hospital Selayang namun dirujuk ke Hospital Pusrawi kerana pembedahan hanya dapat dijalankan dalam tempoh tiga minggu hingga ke tiga bulan untuk menunggu giliran untuk dibedah.

“Bahagian pinggul kanannya kini terpaksa dimasukkan batang besi yang mempunyai lapan skru bagi menyokong tulang yang patah dan mengambil masa lebih kurang enam bulan untuk sembuh,”katanya.

Katanya, kos rawatan setakat semalam sudah mencecah RM 13,000 dan dia kini terpaksa memohon bantuan daripada Baitumal untuk menjelaskan bil tersebut.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.

Suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 kanun keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Nyaris maut elak langgar motosikal




RHU RENDANG - Seorang pemandu kereta nyaris maut apabila kenderaan yang dipandunya terbabas sebelum merempuh beberapa pasu bunga di Kilometer 16 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Kampung Kijing, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, kenderaan jenis Satria Neo dari arah Kuantan ke Kuala Terengganu itu terbabas ketika cuba mengelak daripada merempuh sebuah motosikal di hadapannya yang dikatakan menunggang melawan arus kenderaan.

Mangsa, Khalid Mohd Akil, 42, ketika ditemui di tempat kejadian berkata, kejadian berlaku apabila motosikal yang melawan arus itu tiba-tiba membelok ke kanan untuk menyeberangi jalan bagi memasuki laluan bertentangan menuju ke Marang.

“Disebabkan motosikal itu membelok secara tiba-tiba, saya terpaksa mengelak dengan pantas untuk mengelak daripada melanggarnya tetapi kereta gagal dikawal lalu merempuh pasu bunga,” katanya.

Khalid dari Seberang Marang berkata, dia terpaksa mengelak ke kanan jalan kerana bimbang kemalangan itu akan mendatangkan kecederaan terhadap penunggang motosikal terbabit dan pengguna jalan raya lain.

“Saya bimbang ada yang tercedera kerana pasu yang pecah juga bertaburan di atas jalan raya, tetapi sebaik sahaja keluar dari kereta, saya dimaklumkan tiada yang cedera,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian kemalangan tersebut.

Pelajar tingkatan satu dirogol bergilir-gilir



GONG PASIR - Seorang pelajar sekolah menengah terpaksa melalui detik hitam apabila dirogol secara bergilir-gilir oleh sekumpulan lelaki di sebuah rumah di Kampung Alor Mak Bah, malam kelmarin.

Peristiwa yang meragut mahkota berharga seorang gadis berusia 13 tahun itu dipercayai berlaku setelah mangsa yang merupakan pelajar salah sebuah sekolah menengah berdekatan dibawa sekumpulan lelaki ke sebuah rumah kosong sebelum dirogol oleh beberapa remaja lelaki.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan keluar rumah kira-kira jam 8.15 malam untuk membeli air minuman dan ubat di sebuah kedai runcit berdekatan rumahnya.

Bagaimanapun, selepas kesucian gadis remaja yang sedang menuntut di tingkatan satu dinodai oleh sekumpulan remaja lelaki bernafsu syaitan terbabit, mangsa dikatakan ditinggalkan di sebuah pondok di tepi jalan dekat Nibong sebelum ditemui penduduk kampung yang bertindak menghubungi polis bagi memaklumkan penemuan gadis berasal dari Gong Pasir itu.

Berikutan laporan yang diterima di Balai Polis Dungun berkaitan kejadian terbabit, polis melancarkan gerakan memburu suspek disyaki.

Hasilnya, lima suspek berusia antara 19 hingga 22 tahun ditahan dalam lima serbuan berasingan di Kampung Alor Mak Bah kerana disyaki terlibat merogol pelajar yang difahamkan bersekolah di Sekolah Menengah Balai Besar itu.

Ketua Polis daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan tangkapan itu dan kesemua suspek kini ditahan reman mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan untuk membantu siasatan.

Dua sahabat karib dituduh rompak



KOTA BHARU – Dua sahabat karib dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam kerana dituduh merompak rantai leher seorang wanita secara berkumpulan dalam kejadian di Dewan Beta, di sini, bulan lalu.

Mohammed Sanusi Dolah dan Ridhuan Mohamed masing-masing 29 tahun dituduh mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan yang dihadapi, mereka merompak rantai leher bernilai RM700 milik Ayuney Yusof, 26 di hadapan sebuah kedai runcit di Kampung Langgar, Dewan Beta di sini, pada jam 2 petang, 23 September lalu.

Pada prosiding di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin semalam, pasangan rakan karib itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Berikutan itu, Ahmad Bazli menetapkan kes disambung semula pada 15 November depan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nor Hamizah Ghazali memohon mahkamah tidak memberikan jaminan kepada kedua tertuduh itu berikutan tuduhan serius dihadapi mereka.

“Mereka juga akan dituduh di Mahkamah Majistret Bachok berkait kesalahan mencuri motosikal mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan selepas ini (semalam),” katanya.

Difahamkan kedua-duanya turut berdepan tuduhan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana menagih dadah.

Anak imam bebas tuduhan rogol



KOTA BHARU – Keterangan bercanggah oleh saksi utama yang juga mangsa menyelamatkan anak seorang imam daripada disabitkan dengan tiga pertuduhan merogol kanak-kanak berkenaan, tiga tahun lalu.

Pemuda itu, Mohd Mustafa Che Hassan, 20 berdepan tuduhan merogol kanak-kanak 12 tahun 11 bulan tersebut di sebuah rumah di Kampung Tempoyak, Berkelam, Bachok pada 20, 21 dan 23 Mac 2008.

Berdasarkan pertuduhan pertama dia didakwa melakukan perbuatan jijik itu antara jam 4.30 dan 5.30 petang, 20 Mac; pertuduhan kedua pada keesokan harinya antara 4.50 dan 6.05 petang manakala ketiga antara jam 9.45 pagi dan 1.15 petang, 23 Mac 2008.

Pada keputusan di akhir kes pendakwaan semalam, Hakim Zainal L Salleh bagaimanapun mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie kes terhadap ketiga-tiga tuduhan itu.

Katanya, keterangan mangsa bercanggah ketika disoal pegawai penyiasat berbanding yang direkodkan di mahkamah walaupun terdapat laporan kewujudan air mani milik tertuduh di cadar tempat kejadian.

“Kewujudan spesimen itu tidak menunjukkan tarikh atau masa kejadian berlaku, maka, tidak selamat bagi saya untuk menyabitkan tertuduh. Dengan itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri,” katanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Ahmad Salam Yusof dan peguam bela, Rosmizan Sulaiman.

Jumpa janin di tapak pelupusan sampah



MUADZAM SHAH – Seorang wanita Orang Asli yang menjadikan rutin hariannya mencari rezeki dengan mengutip sampah di Tapak Pelupusan Sampah Bukit Ibam, di sini, terkejut apabila menemui sebuah beg plastik sampah yang berisi janin, di sini, tengah hari semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam, wanita berusia 50-an itu terkejut apabila menjumpai mayat bayi dibaluti pakaian berwarna hitam di dalam plastik sampah berkenaan.

Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin, Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, jantina bayi tersebut masih belum dikenalpasti.

Katanya, mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat.

"Bayi dipercayai berusia lingkungan tujuh bulan dan siasatan akan dijalankan untuk mengesan individu yang terbabit," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Inspektor Suzie@ Stephanie Kupit di talian 019-3850502 bagi membantu siasatan. 

Warga emas maut nahas


BENTONG: Seorang warga emas terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 345.5, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, dekat Bukit Tinggi, petang semalam.
Dalam kejadian jam 3.50 petang, Saodah Ahmad, 73, dari Felda Bukit bading, Ajil, Terengganu, mati di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Mohamad Mansur Mohd Nor berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah Proton Wira yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan, melanggar belakang kanan sebuah Land Rover milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Pelanggaran itu menyebabkan Proton Wira itu terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar tembok batu dan memasuki laluan bertentangan.

“Proton Wira itu kemudian bertembung sebuah Perodua MyVi dinaiki mangsa bersama tiga lagi penumpang dari Kuantan ke Kuala Lumpur.


“Mangsa yang duduk di tempat duduk penumpang belakang parah di kepala dan mati di tempat kejadian, manakala yang lain hanya cedera ringan” katanya.

myMetro | Warga emas maut nahas:

'via Blog this'

‘Kuliah’ seks empat gadis


KUALA LUMPUR: Empat gadis bakal bergelar jururawat yang ponteng kuliah di sebuah kolej swasta di Klang, Selangor, sejak beberapa hari lalu, ditahan selepas didapati ‘berpesta seks’ bersama pasangan masing-masing di sebuah bilik asrama kolej berkenaan, malam kelmarin.
Dalam serbuan dilakukan pengurusan kolej berkenaan jam 7 malam, dua daripada pelajar perempuan terbabit dilaporkan dicekup dalam keadaan separuh bogel dan dua lagi berpakaian lengkap, manakala empat lelaki berusia awal 20-an bersembunyi dalam tandas asrama kolej.
Difahamkan, biarpun menyedari pemeriksaan mengejut dilakukan pihak pengurusan kolej, keempat-empat lelaki terbabit gagal menyelinap keluar menyebabkan mereka bersembunyi di dalam tandas bagi mengelakkan dicekup, namun gagal.

Menceritakan semula kejadian itu, sumber berkata, pihak pengurusan kolej menerima banyak aduan salah laku keempat-empat gadis terbabit daripada pelajar lain dan pensyarah sejak seminggu lalu.


“Antara salah laku yang dilaporkan ialah tidak hadir kelas dan sering membawa lelaki masuk ke asrama sehingga menimbulkan ketidakselesaan di kalangan pelajar lain.


“Rentetan daripada aduan berkenaan, satu pemeriksaan mengejut dilakukan pihak kolej selepas dimaklumkan terdapat empat lelaki dipercayai kekasih kepada keempat-empat pelajar terbabit menyelinap masuk ke asrama kira-kira jam 6 petang semalam (kelmarin),” katanya.

Menurut sumber, pemeriksaan yang dilakukan empat kakitangan terdiri daripada pihak pengurusan kolej yang diiringi anggota polis itu membuahkan hasil apabila keempat-empat lelaki terbabit ditahan ketika bersembunyi di dalam tandas asrama berkenaan.

myMetro | ‘Kuliah’ seks empat gadis:

'via Blog this'

Tunggang motor lepas ditembak


PASIR MAS: “Suami menjerit memanggil nama saya dan sebaik keluar, saya lihat dia dalam keadaan lemah dan berlumuran darah.
“Anak sulung pula menangis tidak henti-henti sambil memberitahu papanya (suami) kena tembak,” kata Miss Mati Mat Rashid, 29, isteri kepada Mohd Anuar Mat Nor, 31, yang ditembak kenalannya selepas bertengkar, dipercayai kerana masalah hutang.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam di Cabang Empat Salam, Rantau Panjang, di sini, kelmarin, Mohd Anuar bernasib baik kerana hanya terkena sebutir peluru daripada beberapa das tembakan yang dilepaskan rakannya.

Tembakan itu terkena pada bahagian pinggang kiri dan menembusi dada kanannya.

Walaupun cedera parah, Mohd Anuar sempat menunggang motosikal sejauh kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian ke rumahnya di Taman Wahyu, Rantau Panjang, di sini, untuk membawa pulang anaknya, Mohd Hifni Hamka, 6, yang dibawa bersama ketika bertemu dua kenalannya itu.


Mangsa dikatakan berjumpa dan berbincang dengan kenalannya sebelum bertengkar dipercayai berkaitan masalah hutang.

Seorang daripada kenalan mangsa mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa.

Menurut Miss Mati, dia terkejut dengan ‘kepulangan berdarah’ suami bersama anak sulungnya, namun bersyukur anaknya selamat.

“Suami beritahu dia ditembak. Saya panik dan tidak tahu untuk berbuat apa-apa sebelum suami sendiri yang menelefon rakannya untuk mendapatkan bantuan.

“Suami dibawa ke Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Rantau Panjang dan anggota JPAM menghantarnya ke Hospital Pasir Mas sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik kecemasan Hospital Pasir Mas, di sini, malam kelmarin.


Miss Mati berkata, sebelum kejadian, suaminya yang bekerja sendiri, keluar bersama anak sulungnya kira-kira jam 8 malam dengan menunggang motosikal tanpa memaklumkan arah tujuannya.


Katanya, dia hanya sempat mendengar anak dan suaminya itu bersembang dan kemudian anaknya mengajak suaminya keluar ke kedai.


“Saya tidak tahu motif suami ditembak. Anak sulung yang turut berada di tempat kejadian masih trauma dan hanya mampu memberitahu papanya (suami) ditembak di kawasan semak,” katanya.


Abang mangsa, Azhar Mat Nor, 35, pula berkata dia terkejut apabila mendapat panggilan telefon yang memaklumkan adiknya ditembak dan langsung tidak menyangka kejadian seperti berlaku kepada ahli keluarganya.


Katanya, walaupun ada masalah atau bergaduh sekalipun, sepatutnya ia tidak diselesaikan dengan cara melepaskan tembakan.


“Saya tidak tahu motif kejadian ini, tetapi terkilan dengan apa yang berlaku,” katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, dua suspek kenalan mangsa berusia 30-an dan mereka adalah penduduk tempatan.


Katanya, suspek dikatakan tidak berpuas hati dengan mangsa, dipercayai berkaitan masalah hutang dan selepas bertengkar, salah seorang suspek mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa.


"Salah satu tembakan yang dilepaskan itu terkena mangsa di bahagian pinggang kiri dan menembusi di bahagian dada kanan. Mangsa sempat pulang ke rumah bersama anaknya yang turut dibawa ketika bertemu suspek sebelum dirawat di Hospital Pasir Mas. "Berikutan keadaan mangsa yang parah, dia dipindahkan ke HRPZII, Kota Bharu untuk rawatan lanjut. Buat masa sekarang mangsa masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan keadaannya masih kritikal tetapi stabil," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Kelantan, Kota Bharu, semalam.


Menurut Mazlan, setakat ini dua suspek itu masih belum ditahan dan polis termasuk dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Pasir Mas dan IPPK akan menjalankan operasi mengesan suspek berkenaan.


“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun,” katanya.

myMetro | Tunggang motor lepas ditembak:

'via Blog this'

‘Saya tak tahu ini kereta curi, bos suruh pandu’


BUTTERWORTH: Seorang lelaki mendakwa dibayar RM60 untuk memandu sebuah Toyota Hilux ke Alor Setar, Kedah, tanpa menyedari kenderaan itu dicuri.
Lelaki berkenaan mendakwa dia tidak tahu kereta terbabit adalah kenderaan curi kerana diminta majikan memandunya dari Kuala Lumpur ke satu lokasi di Alor Setar untuk dibaiki.

“Saya hanya kerja, bos yang minta saya pandu kereta ini ke Alor Setar. Saya pergi sana (Alor Setar) untuk buat kerja ubah suai rumah.

“Bos saya bayar ikut gaji hari. Sehari saya dibayar RM60, saya tak tahu pun ini kereta curi, bos yang minta saya pandu,” katanya ketika ditahan dalam sekatan jalan raya dalam satu operasi khas oleh sepasukan peronda elit di Plaza Tol Sungai Dua arah utara, dekat sini, pagi semalam.

Sebelum itu, anggota peronda elit berkenaan terpaksa mengejar kenderaan dipandu lelaki berusia 26 tahun itu sejauh kira-kira tiga kilometer selepas memecut kenderaannya sebelum berjaya menahannya kira-kira jam 8.30 pagi.


Cubaan lelaki berkenaan untuk membawa kereta curi berkenaan ke arah utara itu dikesan hasil kecekapan anggota Unit Peronda Evolution X yang diketuai Pegawai Turus Unit Peronda Polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Cif Inspektor Rohizad Halim selepas berjaya mengenal pasti status kenderaan terbabit.

Pemeriksaan awal mendapati kenderaan berkenaan menggunakan nombor pendaftaran palsu kerana ia dilaporkan milik sebuah kereta Toyota Vios yang didaftarkan atas nama sebuah syarikat.

Menurut Rohizad, pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati Hilux terbabit dilaporkan dicuri di sebuah pasar raya di Shah Alam petang kelmarin.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diperoleh didapati bahawa kenderaan itu dicuri kira-kira jam 2 petang.

Pagi ini (semalam), kita berjaya menemui semula kenderaan yang dilaporkan hilang tidak sampai 24 jam.


Saya percaya kenderaan ini dalam perjalanan untuk dibawa ke satu lokasi tertentu sebelum diseludup masuk ke negara jiran,” katanya.


Menurutnya, lelaki berkenaan kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 379 (1) Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor dan sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih tujuh tahun dan denda.


Sementara itu, tiga pemuda berusia lingkungan 20-an ditahan selepas ditemui tiga peket serbuk putih dipercayai dadah dalam kenderaan mereka Proton Wira ketika pemeriksaan di operasi sama kira-kira jam 7.10 pagi.

myMetro | ‘Saya tak tahu ini kereta curi, bos suruh pandu’:

'via Blog this'

Taktik baru keldai dadah


SHAH ALAM: Taktik sekumpulan keldai dadah dari Iran menyembunyikan syabu bernilai lebih RM4 juta dalam botol penyembur rambut dan badan, tumpas apabila ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, baru-baru ini.
Dalam kejadian 6 Oktober lalu, kira-kira jam 11 malam, seorang lelaki dan lima wanita warga Iran terbabit ditahan kerana menyeludup 5.4 kilogram dadah disyaki jenis Methamphetamine yang disorokkan dalam 12 botol penyembur rambut dan badan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir, taktik membawa masuk dadah dengan meletakkan di dalam botol penyembur rambut dan badan itu adalah taktik terbaru keldai dadah dari Iran selepas pelbagai modus operandi lain dapat dikesan polis.

“Berdasarkan siasatan, mereka meletakkan beberapa liter cecair penyembur rambut dan badan di bahagian atas botol bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Jika disembur memang keluar cecair itu tetapi sebaik dipotong, kami menemui sejumlah dadah dimasukkan ke dalam botol berkenaan yang dimuatkan ke dalam tujuh bagasi,” katanya dalam sidang akhbar, di sini, semalam.


Nordin berkata, enam suspek berumur antara 20 hingga 43 tahun memasuki negara ini menggunakan pas pelancong direman sehingga hari ini bermula tarikh tangkapan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan pada 8 Oktober lalu, pihak narkotik KLIA menangkap seorang lelaki warga Nigeria dipercayai menyeludup 390 gram dadah jenis Methamphetamine.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, polis menahan suspek berusia 22 tahun yang mendakwa seorang peniaga.

myMetro | Taktik baru keldai dadah:

'via Blog this'

Suami isteri meninggal selang sejam


KUANTAN: Sepasang suami isteri terbunuh apabila terbabit dalam satu kemalangan jalan raya di Kilometer 48.7, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, dekat Bukit Tinggi Bentong, kira-kira jam 5.15 pagi kelmarin.
Bagaimanapun, selepas beberapa jam bertarung nyawa, mangsa, Khairul Azhar Mohammad, 31, terlebih dulu menghembuskan nafas terakhirnya iaitu selang sejam sebelum isterinya, Masitah Omar, 26, juga gagal diselamatkan.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, sebelum kejadian Khairul Azhar yang memandu lori jenis Isuzu ditemani isterinya dari Terengganu ke Klang.

“Pada masa sama, treler dengan muatan kayu bergergaji dari arah sama menuju ke Pelabuhan Klang, berada di hadapan lori mangsa,” katanya, di sini, semalam.
Katanya, ketika tiba di tempat kejadian, lori yang dinaiki pasangan suami isteri terbabit dipercayai merempuh belakang treler jenis Mercedes itu menyebabkan mereka mengalami kecederaan parah di kepala dan kaki.
“Khairul Azhar yang cedera parah di kepala dikejarkan ke Hospital Bentong (HB) untuk menerima rawatan lanjut, namun gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 7 petang manakala isterinya turut dibawa ke hospital sama sebelum dipindahkan ke Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.

“Bagaimanapun, isteri mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dan kaki turut menerima nasib sama apabila disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan jam 8.21 malam,” katanya.
Fauzi berkata, pemandu treler, P Kalimuthu, 34, dari Taman Bukit Bendera, tidak mengalami kecederaan dan kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan.

myMetro | Suami isteri meninggal selang sejam:

'via Blog this'

Baca Yasin di pusara


DUNGUN: Hasrat seorang anak untuk memperdengarkan bacaan Yasin buat kali pertama kepada ibu bapanya tidak kesampaian apabila mereka terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya di Kilometer 48.7, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, di sini, pagi kelmarin.
Shafiq Syarifuddin Khairul Azhar, 7, menjadi anak yatim piatu apabila ibu bapanya, Khairul Azhar Mohammed, 31, dan ibunya, Masitah Omar Zokry, 26, terbunuh apabila lori sayur yang dinaiki mereka melanggar belakang treler membawa muatan kayu di tempat kejadian pada jam 5 pagi.

“Arwah umi (ibu) sebelum ini sering berpesan kepada saya supaya menghafal surah Yasin kerana ia surah penting yang perlu dikuasai semua umat Islam.

“Hasil bantuan nenek dan ustaz di sekolah, saya sudah pandai membaca surah itu.

“Pada malam sebelum kejadian, saya beritahu umi bahawa saya sudah boleh membaca surah itu dan ibu sekadar tersenyum sambil berkata Alhamdulillah,” katanya ketika ditemui pada upacara pengebumian ibunya di Tanah Perkuburan Kampung Wa, di sini, semalam.


Menurutnya, meskipun terkilan kerana tidak sempat memperdengarkan bacaan Yasin kepada ibunya, hatinya tetap bangga kerana dapat membaca surah itu di kubur ibu dan bapanya yang terletak bersebelahan.

Dalam kemalangan itu, Khairul Azhar dari Batu 48, di sini, mengalami kecederaan parah di kepala dan badan serta patah kaki kanan apabila lori dipandunya merempuh belakang treler membawa muatan kayu.

Dia yang dikejarkan ke Hospital Bentong disahkan meninggal dunia pada jam 6.50 pagi, kelmarin.

myMetro | Baca Yasin di pusara:

'via Blog this'

Takut sampai panjat pokok


KENINGAU: Akibat terlalu takut dibelasah sekumpulan remaja, seorang lelaki berusia 52 tahun melarikan diri dengan memanjat sebatang pokok setinggi 10 meter di kawasan Tamu Ground di sini, tengah malam kelmarin.
Bagaimanapun, tindakan di luar dugaan lelaki berkenaan membawa padah apabila dia gagal turun semula, sehingga terpaksa mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Keningau.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12.50 tengah malam ketika lelaki dikenali sebagai Talib Ladoh dikatakan merayau-rayau di kawasan Tamu Ground, sebelum dia terserempak sekumpulan remaja melepak di kawasan berhampiran.

Talib disapa seorang remaja terbabit, namun sejurus kemudian berlaku perselisihan faham sehingga kumpulan remaja terbabit dikatakan cuba memukulnya.

Dalam ketakutan, Talib melarikan diri dengan memanjat sebatang pokok ara di kawasan berhampiran.


Orang ramai yang melihat kejadian itu meminta kumpulan remaja terbabit tidak mengganggu lelaki berkenaan lalu mereka beredar dari kawasan itu.

Menyedari kumpulan remaja terbabit beredar, mangsa cuba turun, namun gagal dan cuba terjun. Bagaimanapun, orang ramai yang berada di kawasan itu meminta mangsa tidak bertindak sedemikian kerana boleh mengundang bahaya sebelum memaklumkan JBPM Keningau.

Ketua Operasi, Penolong Bomba Kanan II Juanis Asil berkata, sebaik menerima maklumat itu, sepasukan anggota bomba dikejarkan ke tempat kejadian kira-kira jam 1 pagi.

“Seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian untuk operasi menyelamat. Sebaik tiba di lokasi kejadian, Talib dalam keadaan panik memandangkan keadaannya berdepan bahaya.

“Bomba berusaha mententeramkan mangsa dengan alasan isteri dan anaknya dalam perjalanan ke tempat kejadian.


“Selepas 15 minit memujuk mangsa, akhirnya dia diturunkan seorang anggota bomba,” katanya.


Beliau berkata, selepas mangsa selamat, dia kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut

myMetro | Takut sampai panjat pokok:

'via Blog this'

myMetro | Takut sampai panjat pokok

myMetro | Takut sampai panjat pokok:

'via Blog this'

Maut akibat tumbukan kuat di kepala, muka


KUALA KUBU BHARU: Wanita yang ditemui mati di Kuarters Pejabat Haiwan, Taman Golden Wood, Ulu Bernam, dekat sini, Ahad lalu dipercayai mati akibat kesan tumbukan kuat di kepala dan muka.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norell Azmi Yahya Afendy, berkata laporan bedah siasat Pakar Patologi Forensik Hospital Sungai Buloh mendapati mangsa mengalami pendarahan dalam otak akibat kesan tumbukan itu.

“Bedah siasatan yang dilakukan semalam selama empat jam bermula jam 10.15 pagi tadi (semalam) mendapati mangsa ditumbuk dengan kuat pada kepala,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, siasatan awal juga mendapati tiada sebarang objek digunakan.

“Berdasarkan siasatan, kami dapati tulang leher mangsa tidak patah jadi kemungkinan mangsa tidak dicekik walaupun lehernya lebam, namun kami belum dapat kenal pasti berapa kali mangsa ditumbuk,” katanya.


Muka depan Harian Metro 10 Oktober lalu melaporkan mangsa, Gurmet Kaur Sedara Singh, 41, ditemui mati dalam keadaan telentang di atas katil bilik tidurnya dengan kesan bengkak di muka dan berdarah pada hidung serta mulut kira-kira jam 7 pagi.

Difahamkan, mangsa dipercayai dipukul kakaknya ketika menjamu selera di rumah mereka gara-gara tidak puas hati apabila barang kemas yang digadai gagal ditebus si adik.

Perselisihan faham di antara dua beradik itu serta suami mangsa yang berusia 57 tahun bermula sejak petang sebelum kejadian menjadi semakin serius pada waktu malam.

myMetro | Maut akibat tumbukan kuat di kepala, muka:

'via Blog this'

Rugi RM2,500 disamun ‘pelanggan’ berparang


KUALA LUMPUR: Seorang pengurus berusia 42 tahun bukan saja kerugian RM2,500, malah berdepan detik hitam apabila diacukan parang oleh seorang penyamun ketika menjaga kaunter kedainya di Jalan Radin Anum, Bandar Baru Sri Petaling, di sini, kelmarin.
Difahamkan, dalam kejadian 9.20 malam itu, mangsa menjaga kaunter farmasi manakala adiknya menjaga kaunter utama apabila seorang lelaki tempatan masuk dengan berpura-pura membeli sesuatu.

Menurut sumber, suspek berusia 20-an itu mengambil dua peket minuman dan berpura-pura ke kaunter untuk membuat pembayaran.

“Bagaimanapun, tiba-tiba seorang lagi suspek dipercayai rakan suspek pertama meluru masuk dan menuju kaunter berkenaan.

“Pada mulanya mangsa tidak mengesyaki sesuatu, namun suspek yang berpura-pura ingin membuat pembayaran mengeluarkan parang sebelum mengacukan ke arah mangsa,” katanya.


Menyedari mangsa ketakutan, dua suspek itu mengarahkan mangsa mengeluarkan barangan berharga serta menyerahkan semua wang.

Menurutnya, selepas merampas semua barang berkenaan, suspek melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal, namun mangsa tidak sempat melihat nombor pendaftaran kenderaan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata beliau menerima laporan kes terbabit dan siasatan lanjut dijalankan.

myMetro | Rugi RM2,500 disamun ‘pelanggan’ berparang:

'via Blog this'

Mana baki RM135,000?


TERTIPU...Hairulnizam (kiri) menunjukkan butiran kereta miliknya sambil disaksikan Chin.
TERTIPU...Hairulnizam (kiri) menunjukkan butiran kereta miliknya sambil disaksikan Chin.
KUALA LUMPUR: Seorang peniaga kerugian lebih RM135,000 apabila mendakwa ditipu seorang lelaki yang mengaku ejen jual beli kereta terpakai ketika mahu menjual keretanya, 17 September lalu.
Difahamkan, mangsa, Hairulnizam Hamzah, 30, menyedari ditipu seminggu kemudian apabila gagal menghubungi lelaki yang dikenali sebagai Nazri, 40, bagi menuntut baki wang pembelian kereta BMW miliknya sebanyak RM135,000.

Menurutnya, dia hanya dibayar RM10,000 secara tunai oleh lelaki terbabit ketika datang mengambil kereta itu di rumahnya di Bandar Seri Permaisuri. “Saya ingin menjual kereta dan Nazri menawarkan diri untuk membeli seterusnya menyelesaikan segala dokumen memandangkan dia ejen jual beli kereta terpakai.

“Dia datang bersama seorang lagi lelaki bergelar ‘Datuk’ didakwa sebagai majikannya untuk mengambil kereta sambil mengarahkan saya mengisi dokumen pertukaran pemilik.

“Selepas seminggu menunggu, saya mula curiga dengan Nazri kerana tidak mendapat sebarang panggilan berkaitan proses jual beli berkenaan,” katanya ketika ditemui di Wisma MCA.


Katanya, dia pergi ke pejabat Nazri di Kota Kemuning, Shah Alam, namun hampa apabila mendapati premis berkenaan berkunci dan seolah-olah sudah lama tak beroperasi.

“Saya risau pihak bank akan menyenarai hitam nama saya apabila tidak menjelaskan hutang pinjaman pembelian kereta berkenaan yang masih berbaki,” katanya.

Sehubungan itu, Hairulnizam membuat laporan di Balai Polis Salak Selatan pada 27 September lalu.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Wilayah Persekutuan, Banie Chin, berkata setakat ini pihaknya menerima lebih dari 15 aduan berkaitan penipuan penjualan kereta terpakai.
myMetro | Mana baki RM135,000?:

'via Blog this'

Hilang nyawa pertahan kereta


DI SINI...tempat kereta mangsa dilarikan penyamun. Gambar kecil,  Teoh Moy Lay.
DI SINI...tempat kereta mangsa dilarikan penyamun. Gambar kecil, Teoh Moy Lay.
KAPAR: Tindakan seorang wanita cuba menghalang penyamun melarikan kereta Toyota Altis miliknya bertukar tragedi apabila dia maut dilanggar dan diseret sejauh 60 meter di depan rumahnya di Jalan Kapar, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 7.18 malam itu, Teoh Moy Lay, 51, eksekutif kewangan sebuah syarikat swasta baru pulang ke rumahnya dan ketika membuka pagar, tiba-tiba muncul seorang lelaki yang terus meluru masuk ke dalam keretanya.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohamad Shukor Sulong berkata, mangsa yang menyedari suspek berusia 20-an itu cuba melarikan kereta miliknya cuba menghalang. “Mangsa menjerit meminta tolong daripada suaminya yang ketika itu berada dalam rumah.

“Apabila suaminya keluar, dia cuba menghalang suspek daripada melarikan kenderaan milik mereka, tetapi gagal.

“Malah suspek melanggar mereka menyebabkan suami mangsa cedera ringan, manakala mangsa cedera parah setelah diseret sejauh 60 meter dari lokasi kejadian,” katanya.


Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia jam 8.20 malam ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta, di sini.

“Gerakan mencari suspek dan seorang lelaki lain dipercayai rakan suspek masih giat dijalankan. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, suami mangsa, Koh Siew Ming, 57, yang ditemui masih bersedih dengan kejadian itu hanya menyatakan dia terpaksa menerima takdir isterinya sudah tiada.

Jiran mangsa pula yang enggan dikenali berkata, pada mulanya dia menyangka kekecohan didengarnya kerana suami isteri itu bertelagah.


“Saya dengar jeritan, tapi saya ingatkan mereka bergaduh. Sebaik keluar rumah saya nampak kereta yang melanggar mangsa sudah melarikan diri.


“Saya bergegas ke rumah mereka bagi memberi bantuan,” katanya.

myMetro | Hilang nyawa pertahan kereta:

'via Blog this'

Dadah bernilai RM1.4b dirampas


JEDDAH: Pasukan keselamatan menahan 475 orang kerana terlibat dalam penyeludupan dan pengedaran dadah bernilai SR1.71 bilion (RM1.43 bilion) ke Arab Saudi sejak empat bulan lalu, kata Kementerian Dalam Negeri, semalam.
Jurucakap kementerian, Mejar Jeneral Mansour Al-Turki berkata, suspek termasuk 204 orang Arab Saudi dan 72 warga Yaman dan 199 lagi warna lain. Mereka ditahan antara Jun dan September lalu.
“Dalam beberapa operasi, polis terpaksa mengambil tindakan kerana menghadapi tentangan sengit yang telah menyebabkan kematian Majed bin Mubarak Al-Rahmani dan lapan anggota polis turut tercedera,” kata Mansour.

Seorang pengedar dan tiga orang yang lain terbunuh dalam satu operasi yang berlainan.


Katanya, Agensi Penguatkuasaan Dadah di Arab SAudi telah menjalankan enam operasi dalam tempoh tersebut. Dalam operasi pertama, mereka merampas 15.9 kilogram heroin dan 1.02 kilogram lagi dalam operasi kedua.


Mereka berjaya menumpaskan percubaan untuk menyeludup 25.22 kilogram kokain dalam operasi ketiga, 13.54 juta pil dadah dalam operasi keempat, 8,346 kilogram hasyis dalam operasi kelima dan 1.63 juta pil dadah dalam operasi keenam.

Anggota polis turut merampas wang tunai sebanyak SR6.63 juta (RM5.53 juta) daripada semua suspek.

Mansour memuji kerjasama antara Jabatan Kastam dan Agensi Penguatkuasaan Dadah dalam usaha untuk menghalang penyeludupan dadah ke Arab Saudi.

Kementerian berkata lagi, pihak polis telah menahan 503 suspek termasuk 252 warga Arab Saudi dan 24 warga asing kerana terlibat dalam pengedaran dadah pada Mac, April dan Mei, tahun ini.

Ketika bercakap kepada pemberita, Mansour menasihati jemaah yang datang untuk mengerjakan haji dan umrah supaya berhati-hati dengan orang yang memberi hadiah di lapangan terbang kerana ia mungkin mengandungi dadah dan ini akan membahayakan diri mereka.

“Siapa pesalah sebenar tidak penting buat pihak keselamatan dan kastam. Mereka akan menahan sesiapa saja yang didapati membawa dadah,” katanya.
myMetro | Dadah bernilai RM1.4b dirampas:

'via Blog this'

8 maut lelaki lepas tembakan dalam salun rambut di California




2011/10/13

LOS ANGELES: Lapan maut manakala seorang parah selepas seorang lelaki melepaskan tembakan di sebuah salun rambut yang sesak di bandar pantai di California, semalam.

Lelaki bersenjata berkulit putih itu kemudian ditahan kira-kira setengah kilometer dari tempat kejadian di Salon Meritage, Seal Beach, di Lebuh Raya Pacific Coast, Los Angeles.
Ketika kejadian enam maut di tempat kejadian, manakala tiga lagi parah tetapi dua yang parah itu meninggal dunia selepas dibawa ke hospital berhampiran.
Media tempatan melaporkan, suspek mempunyai senjata pelbagai guna dan memakai pakaian ala tentera ketika memasuki salun rambut berkenaan.

"Suspek memberi kerjasama ketika pegawai polis menahannnya," kata Sarjan
Steve Bowles.

Polis mengesahkan menjumpai senjata pelbagai guna dalam kereta milik suspek dan motif kejadian masih tidak jelas.
Salun rambut berkenaan sesak dengan pelanggan ketika kejadian kerana waktu rehat tengah hari. - AFP
Berita Harian Online | 8 maut lelaki lepas tembakan dalam salun rambut di California:

'via Blog this'