Search This Blog

Tuesday, October 11, 2011

10 individu ditangkap ketika asyik berjudi



SENAI - Keseronokan 10 individu termasuk tiga wanita yang leka bertaruh mahjung tergamam apabila dicekup polis dalam satu serbuan di Taman Ungku Tun Aminah di sini, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Mohd Akhir Ishak berkata, dalam serbuan kira-kira jam 6.40 petang, pihaknya mencekup 10 individu yang berusia di antara 41 hingga 61 tahun.

“Hasil maklumat orang awam, sepasukan anggota Cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara membuat serbuan di sebuah kediaman dijadikan tempat berjudi.

“Ketika tiba di lokasi, beberapa anggota yang melakukan intipan mendapati suspek asyik bermain judi dalam rumah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, polis merampas wang yang dijadikan nilai pertaruhan sebanyak RM388, dua buah meja, sembilan kerusi dan 304 batu mahjung.

“Turut dirampas 179 cip pelbagai warna dipercayai digunakan untuk berjudi dan dua dadu. Kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 4 B (a) Akta Rumah Judi Terbuka,” katanya.

Van polis, lori bertembung



ENDAU - Seorang anggota polis dan seorang suspek dadah, maut apabila van unit polis anti-narkotik yang mereka naiki bertembung dengan lori muatan tiang konkrit di Batu 197, Jalan Mersing-Endau petang semalam.

Mangsa, Koperal Razeli Stapa, 48, dan suspek dadah itu maut di tempat kejadian, manakala seorang anggota polis, Lans Koperal Nik Li Nik Hassan, seorang suspek dadah dan pemandu lori mengalami kecederaan.

Kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Mersing, manakala tiga yang cedera turut dihantar ke hospital yang sama untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superitendan Mohd Nor Rasid mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, sewaktu kejadian jam 3.10 petang itu, dua anggota polis narkotik dalam perjalanan dari Endau menghala ke Mersing dengan membawa dua suspek yang terlibat dalam kes dadah ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing.

“Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, van yang dipandu oleh salah seorang anggota itu dipercayai bertembung dengan lori dari arah bertentangan.

“Berikutan rempuhan yang kuat itu, van berkenaan remuk teruk. Seorang anggota polis dan suspek meninggal dunia di tempat kejadian, manakala, seorang anggota polis dan suspek yang cedera dibawa ke Hospital Mersing," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata, pemandu lori mengalami kecederaan dan mendapat rawatan di Hospital Mersing manakala kelindannya tidak cedera.

Katanya, anggota polis narkotik itu baru balik dalam operasi yang dibuat dengan melakukan dua tangkapan sebelum kemalangan yang berlaku ketika waktu hujan.

Kedua-dua anggota polis yang terlibat bertugas di Bahagian Narkotik IPD Mersing.

Warga emas nekad bakar diri



IPOH – Pengguna jalan raya di Jalan Pasir Puteh gempar apabila seorang lelaki bertindak nekad membakar diri di laluan pejalan kaki berhampiran Taman Pengkalan di sini, semalam.

Dalam kejadian pada jam 1.20 petang itu, Chong Nam Choon, 68, maut beberapa minit selepas api berjaya dipadamkan oleh orang ramai yang melalui jalan berkenaan.

Seorang saksi, K Lasar, 42, berkata, dia menyangka api marak di kawasan berkenaan disebabkan oleh longgokan sampah yang dibakar rupa-rupanya tubuh seorang lelaki yang mengerang kesakitan.

“Saya yang menunggang basikal ke restoran berhampiran ternampak lelaki berkenaan terbaring dengan badannya penuh api. Tiada sebarang jeritan walaupun api sangat besar.

“Saya meminta bantuan orang lain untuk membantu memadamkan api termasuk menyiramnya dengan air. Setelah api dipadamkan, dia masih hidup tetapi mati beberapa minit kemudian,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azisman Alias yang mengesahkan kejadian itu berkata, terdapat kesan melecur di seluruh badan mangsa.

“Mangsa yang tinggal di Taman Pasir Puteh Selatan menaiki motosikal ke kawasan berkenaan sebelum membakar diri. Bagaimanapun, punca kematian masih selain mendapatkan keterangan beberapa saksi di tempat kejadian,” katanya.

Taktik makan diri



SUNGAI SIPUT (U) – Akibat memandang rendah keupayaan seorang warga emas, taktik dua wanita dan seorang lelaki warga China akhirnya memakan diri apabila mereka ditangkap sepasukan sukarelawan keselamatan di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim berkata, semua suspek ditangkap di lokasi berasingan sekitar Sungai Siput ketika masing-masing cuba melarikan diri setelah menyedari taktik penipuan mereka terbongkar.

Menurut beliau, semua suspek yang berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun telah mendatangi seorang warga emas berusia 72 tahun pada Sabtu lalu dan telah menyamar sebagai penilik nasib dengan tujuan memperdaya warga emas berkenaan.

“Warga emas itu sedang membeli barangan dapur di Pasar Besar Sungai Siput ketika didatangi ketiga-tiga suspek yang mengatakan dia bernasib malang.

“Suspek cuba meyakinkan warga emas berkenaan dengan menilik nasib secara percuma dan mendakwa semua tilikan menunjukkan nasib malam, lalu menawarkan untuk membantu warga emas berkenaan membuang nasib malang dengan cara mereka tersendiri,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, suspek kemudiannya telah meminta warga emas tersebut membawa wang sebanyak RM25,000 serta semua barang kemas dalam bungkusan dan bertemu mereka semula, semalam.

Menurut Azman, suspek mendakwa wang tunai dan barang kemas berkenaan akan disembahyangkan untuk membuang sial, dan akan dipulangkan kembali kepada warga emas itu.

“Walau bagaimanapun warga emas berkenaan telah dapat menghidu taktik atau helah suspek untuk memperdayanya dan telah memaklumkan perkara ini kepada anaknya.

“Sehubungan itu, satu perangkap telah dirancang yang mana warga emas itu telah menemui suspek seperti dijanjikan, namun tanpa membawa sebarang wang tunai dan barang kemas,” katanya.

Menurut Azman, hasil perancangan rapi, suspek akhirnya terperangkap, seterusnya berjaya ditangkap dan dibawa ke balai polis untuk siasatan serta tindakan selanjutnya.

“Polis masih menyiasat kes ini, namun berdasarkan siasatan awal, semua suspek didapati mempunyai pasport serta berasal dari Republik China, dan kes penipuan seperti ini merupakan kali pertama berlaku di kawasan Sungai Siput,” katanya.

Suntik lembu dengan pelali




SUNGAI PASIR – Seorang penternak di sini, tidak menyangka akan mengalami kerugian berganda berikutan 10 lembu yang diternak di kandang dicuri pihak tidak bertanggungjawab.

Abd Rahman Ishak, 43, berkata, tiga lembu jantan, tiga betina dan empat lembu dara didapati hilang dari kandangnya yang terletak di belakang kuarters guru di sini minggu lalu.

Menurutnya, kejadian dipercayai dilakukan pada waktu malam dan hanya disedari keesokan hari ketika dia sedang bekerja setelah diberitahu rakannya.

“Akibat kehilangan 10 lembu, saya mengalami kerugian kira-kira RM20,000. Hanya 10 ekor yang tinggal,” katanya.

Dia juga berkata, lembu yang diternak dijangka dijual menjelang Aidiladha tidak lama lagi.

Berikutan kejadian, Abd Rahman membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kecurian itu dilakukan menggunakan taktik licik apabila pencuri bertindak berani menyuntik lembu dengan pelali sebelum mengalihkan lembu berkenaan.

“Saya tidak menyangka pencuri sanggup menggunakan perbuatan salah itu semata-mata untuk mencuri 10 lembu,” katanya.

Abd Rahman berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukannya di sekeliling kawasan kandang, dia menjumpai jarum suntikan pelali yang dikatakan digunakan untuk memudahkan mereka membawa lembu itu.

Remaja merogol dikenakan jaminan bon RM2,000



SIK - Seorang remaja berusia 16 tahun dikenakan bon jaminan berkelakuan baik dengan cagaran RM2,000 untuk tempoh dua tahun oleh Mahkamah Majistret Sik semalam.

Majistret Raja Shahril Anuar Raja Baniamin membuat keputusan demikian selepas mengaku bersalah atas pertuduhan bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol seorang remaja berusia 14 tahun, April lalu.

Seksyen 376 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Tertuduh didakwa merogol remaja itu pada jam 11 malam, 23 April 2011 dalam pondok rehat di Kampung Tandop Gajah Putih, Mukim Jeneri.

Disebabkan tertuduh dan mangsa masih bawah umur, tertuduh hanya dikenakan bon jaminan berkelakuan baik dengan cagaran jaminan RM2,000 untuk tempoh dua tahun.

Bagaimanapun Raja Shahril Anuar turut mengarahkan remaja terbabit dan ibu bapa atau penjaganya untuk melapor diri di balai polis setiap bulan.

Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syaiful Akmal Mohd Razi. 

Warga emas jatuh longkang



SEMPANG PANTAI - Akibat tidak kuat berjalan ditambah penglihatan yang semakin kabur, seorang warga emas, Fatimah Hamid, 74, menerima lebih 10 jahitan di kepala apabila terjatuh longkang di luar kawasan rumahnya, baru-baru ini.

Anaknya, Rohaya Champit, 53, berkata, ketika kejadian, dia tidak berada di rumah dan hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan anaknya.

Menurutnya, walaupun ibunya tiada masalah kesihatan, namun selepas kejadian itu, keadaannya semakin uzur selain sukar bergerak dan terpaksa dipapah setiap kali hendak ke bilik air.

“Setelah emak jatuh, dia sukar bangun dan hanya berbaring di katil. Kadangkala sukar juga untuk membawanya ke bilik air, lebih-lebih lagi tiadanya kerusi roda.

“Bagaimanapun saya reda dan selain menjaga emak, saya juga menjaga ayah yang semakin uzur serta hanya menyara hidup melalui bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diperoleh ayah sebanyak RM290 setiap bulan,” katanya yang juga seorang ibu tunggal.

Rohaya berkata, dia masih mempunyai seorang anak yang bersekolah dan anaknya itu juga menerima bantuan JKM sebanyak RM220 sebulan.

“Sukar untuk saya bekerja kerana tiada siapa yang dapat menjaga emak dan ayah.

“Mungkin nasib kami tidak semewah orang lain, namun saya bersyukur dengan rezeki ALLAH SWT dan berharap bantuan diberikan dapat ditambah lagi memandangkan harga barangan dapur semakin mahal,” katanya.

Kedaifan dan penderitaan keluarga ini mendapat perhatian Adun Serkam, Datuk Ghazale Mohamad yang turun padang bersama pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun), JKM daerah Jasin dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Simpang Pantai.

Menurut Ghazale, pemberian kerusi roda daripada JKM bukti kepekaan pihaknya setelah mengetahui keadaan keluarga itu yang tidak mampu membeli kerusi roda bagi memudahkan pergerakan Fatimah.

“Kita akan meneruskan aktiviti turun padang seperti ini dari masa ke semasa dengan kerjasama JKM juga JKKK kampung yang menyalurkan maklumat jika ada kes-kes seumpama ini,” katanya.

Lapan ditahan curi kayu karas



GEORGETOWN - Jabatan Perhutanan Pulau Pinang menahan lapan lelaki yang dipercayai terlibat dengan kegiatan mencuri kayu karas di Hutan Kekal Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam dalam tiga serbuan pada 3 September dan 20 Oktober lalu.

Pengarahnya, Shah Rani A Zailan berkata, kesemua yang ditahan adalah warga tempatan dan didapati melakukan kesalahan menceroboh tanah rizab kerajaan dan memiliki hasil hutan tanpa kebenaran.

Beliau berkata, mereka melakukan kesalahan mengikut Kanun Tanah Negara 1984 (Pindaan 1993) kerana mengambil hasil hutan tanpa kebenaran.

“Kita telah membuat laporan polis mengenai kegiatan mereka ini dan dalam masa yang sama sedang menyiapkan laporan untuk diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Turut hadir, Exco Kesihatan dan Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh.

Shah Rani berkata, hasil intipan yang dilakukan pihaknya mendapati sindiket mencuri kayu karas ini menjalankan kegiatan mereka pada waktu malam selain turut melibatkan beberapa warga asing.

Menurutnya, sindiket ini tidak menggunakan gergaji untuk menebang pokok kerana ia dikhuatiri menyebabkan bunyi bising sebaliknya kapak tajam yang diubahsuai untuk mendapatkan bahagian kayu yang diperlukan.

Beliau berkata, sindiket itu mampu menebang enam hingga tujuh pokok sehari bagi mendapatkan hasil kayu dan dipercayai untuk dijual ke pasaran Timur Tengah.

“Pemerhatian kami mendapati modus operandi yang digunakan sindiket ini ialah mereka akan membuat pemantauan dengan menanda pokok yang bakal ditebang pada siang hari dan ia disusuli dengan aktiviti mencuri kayu pada sebelah malam.

“Pokok karas mendapat permintaan tinggi di pasaran kerana menghasilkan gaharu yang memberikan keuntungan berlipat kali ganda. Pokok kayu karas atau Depu atau nama saintifiknya ‘Aquilaria’ boleh diproses menjadi gaharu dan dikomersilkan sebagai bahan pewangi dan kosmetik,” katanya.

Cari siput jumpa tengkorak



PORT DICKSON - Aktiviti seorang remaja yang mencari siput di pantai Kuala Lukut terganggu apabila tidak sengaja menemui tengkorak.

Ahmad Azrai, 19, berkata, dia mencari siput bersendirian sekitar jam 4 petang, kelmarin.

Menurutnya, ketika sedang mencari siput, tiba-tiba dia ternampak objek pelik di dalam timbunan pasir di tepi pantai.

“Saya mendekatinya dan membersihkan objek tersebut. Rupa-rupanya ia adalah tengkorak dan pada awalnya saya menyangka ia tengkorak monyet,” katanya.

Azrai berkata, selepas itu, dia membawa tengkorak tersebut pulang ke rumahnya di Rumah Rakyat Lukut.

“Apabila tiba di rumah saya meneliti semula tengkorak tersebut dan melihat gigi yang masih terdapat pada tengkorak tersebut menyerupai gigi manusia.

“Kemudian saya menghubungi polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Baljeet Singh ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Menurutnya, siasatan lanjut di lokasi kejadian oleh Unit Forensik tidak menemui lain-lain tulang manusia.

“Setakat ini, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung penemuan tengkorak terbabit.

“Mereka yang kehilangan ahli keluarga atau waris diminta membuat laporan di balai polis berhampiran,” katanya.

Lima lelaki ditahan curi motor




KUALA KLAWANG - Lima lelaki termasuk dua warganegara Indonesia ditahan polis dalam dua tangkapan berasingan pada 23 dan 24 September lalu selepas disyaki terlibat dalam 13 kes kecurian motosikal di daerah ini dan di dua kawasan lain.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Asisten Superintendan Setapa Yusoff berkata, polis menemui bukti untuk menuduh dua daripada lima lelaki berkenaan di mahkamah.

Menurutnya, bagaimanapun tiga daripadanya dibebaskan kerana tiada bukti mereka terlibat.

“Dengan tertangkapnya dua lelaki ini, polis berjaya menyelesaikan kes kecurian motosikal yang dilaporkan di daerah Jelebu sebanyak 11 kes, Seremban (1 kes) dan satu kes lagi di Kota Damansara, Kuala Lumpur.

“Semasa tangkapan, suspek utama yang juga rakyat tempatan ditangkap polis ketika sedang menunggang salah sebuah motosikal dicuri bersama teman wanitanya berusia 36 tahun di Taman Naga Emas, Titi,” katanya kepada :Sinar Harian: ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu, semalam.

Setapa berkata, tangkapan lelaki berusia 27 tahun itu turut membawa kepada tangkapan seorang lagi rakannya yang merupakan warganegara Indonesia di Sungai Muntoh.

“Hasil siasatan, polis mendapati suspek, Azman Ariff, 27, merupakan penduduk di daerah ini mula melakukan kegiatan mencuri motor selepas diberhentikan kerja sekitar Oktober tahun lalu.

“Malah suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau bagi kesalahan sama, namun tidak pernah dipenjarakan,” katanya.

Beliau berkata, hasil tangkapan itu, polis berjaya merampas enam motosikal yang dicuri. Manakala selebihnya dipercayai dijual oleh suspek kepada rakannya yang berada di Johor.

“Polis tidak menolak kes berkenaan didalangi oleh sindiket mencuri dan menjual motosikal. Polis kini masih memburu rakan suspek yang berada di Johor bagi membantu siasatan.

“Suspek dan seorang lagi rakannya yang merupakan warga Indonesia dihadapkan ke mahkamah Jumaat lalu dan berhadapan dengan lima pertuduhan,” katanya.

Katanya, bagi pertuduhan pertama, suspek boleh dikenakan hukuman penjara selama 16 bulan, pertuduhan kedua (penjara 11 bulan), pertuduhan ketiga (penjara sembilan bulan), pertuduhan keempat (penjara 15 bulan) dan pertuduhan kelima (penjara 11 bulan).

“Manakala rakannya hanya berhadapan dengan satu pertuduhan yang boleh dikenakan hukuman penjara selama enam bulan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 339 (A) bagi kesalahan curi motosikal dan Seksyen 411 bagi kesalahan menyimpan barang curi.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda dan kedua-duanya sekali.

Kereta rempuh tiang elektrik



MASJID TANAH - Lima sekeluarga nyaris maut apabila kereta pacuan empat roda dinaiki terbabas ke kiri jalan merempuh sebatang tiang elektrik hingga terpatah dua di Lubok China, dekat sini, tengah malam semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa, Shahidah Ghani, 33, bersama empat anaknya berusia antara dua hingga 13 tahun dalam perjalanan pulang dari Jasin ke rumahnya di Taman Wira Indah, Lubok China.

Difahamkan, mangsa ke Serkam pada petang kejadian atas urusan suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori membawa bekalan susu ke sekolah-sekolah.

Saksi kejadian, Norliza Abdullah, 43, berkata, dia yang sedang menjahit dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat sebelum terdengar suara kanak-kanak menangis dan terus keluar melihat apa yang berlaku.

Menurutnya, dia terus keluar sebelum memanggil jiran sebelah dan menahan dua remaja yang melalui jalan ini.

“Saya meminta mereka melihat apa yang berlaku dan terkejut apabila mendapati mangsa adalah individu yang sering saya tegur.

“Saya kenal dengan mangsa disebabkan anak bongsu saya bersekolah di tempat sama dengan anak mangsa, apatah lagi turut mengenali keluarga mertua mangsa yang tinggal di Felcra Ramuan China Kechil, tidak jauh dari kejadian,” katanya.

Remaja terbabit, Mohd Shafie Norizan, 18, dan Mohd Zaki Zulkifli, 18, dalam perjalanan ke pekan Lubok China terkejut apabila dilambai Norliza yang meminta pertolongan sebelum menyedari terdapat sebuah pacuan empat roda terbabas di kiri jalan.

Menurut mereka, sebaik memberhentikan motosikal, mereka mendapati mangsa terdiam akibat panik dan kami meminta mereka sekeluarga keluar menerusi pintu penumpang sebelah pemandu.

“Kami dimaklumkan mereka sedang mencari telefon bimbit tetapi kami meminta mereka keluar terlebih dahulu kerana bimbang sekiranya tiang elektrik yang sudah terpatah dua itu rebah menimpa kereta berkenaan yang remuk teruk di bahagian hadapan,” kata mereka.

Sementara itu, ibu mertua mangsa, Habibah Bakar, 53, ketika ditemui di lokasi kejadian masih terkejut dengan panggilan diterima daripada mangsa sendiri.

Menurutnya, bersyukur kerana anak, menantu dan cucu-cucunya tidak mengalami sebarang kemalangan jiwa.

Difahamkan, mangsa dan empat anaknya dibawa ke Klinik Kesihatan Lubok China untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan.

Kereta curi rempuh meter air



TELOK EMAS - Sebuah kereta dipercayai dinaiki sepasang kekasih yang terbabas sehingga merempuh meter air beberapa buah rumah di Kilometer 12 Kampung Pernu di sini malam kelmarin, rupa-rupanya membongkar satu kes jenayah.

Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Melaka Tengah, Deputi Superintendan Gan Chip Pho berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, anggota polis mendapati pemandu kereta jenis Proton Gen2 itu tiada di situ.

Menurutnya, pemandu lelaki terbabit lari meninggalkan rakannya, seorang wanita berusia lingkungan 20-an.

“Semakan nombor plat pendaftaran kenderaan terbabit mendapati ia adalah kereta curi kerana kenderaan sama dilaporkan hilang di Taman Sea, Petaling Jaya, Selangor.

“Justeru, kami menahan wanita terbabit dan menyerahkannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan lanjut. Pemandu kereta terbabit turut dicari bagi membantu :siasatan,” katanya, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, kereta jenis Proton Gen2, dipandu seorang lelaki dari arah pusat bandar secara tiba-tiba melakukan pusingan U di bahu jalan lalu melanggar longgokan meter paip air milik beberapa penduduk.

Menurut saksi yang enggan dikenali, sejurus kemudian keluar seorang lelaki bersama seorang wanita yang berusia dalam lingkungan 20-an.

Katanya, dia melihat berlaku pertengkaran sehingga lelaki itu bertindak menampar beberapa kali wanita terbabit.

Tidak lama selepas itu, datang beberapa lelaki lain yang cuba meleraikan pergaduhan itu sehingga hampir-hampir mencetuskan ketegangan antara mereka.

Bagaimanapun, lelaki yang memandu kenderaan terbabit menghilangkan diri sebelum kehadiran anggota polis di tempat kejadian.

Kejadian berkenaan juga turut mengakibatkan lebih empat rumah terputus bekalan air selama hampir empat jam.

Tidak sempat bertunang



MARAN - Bakal graduan Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Kampus Cawangan Kuantan maut, manakala rakannya cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan di KM186.2 Lebuh Raya Pantai Timur dekat Sri Jaya menghala ke Kuantan jam 3.50 petang, semalam.

Mangsa, Nurul Hana Jalaluddin, 22, meninggal dunia di tempat kejadian, sementara Siti Fatimah Rani, 23, juga bakal graduan KPTM cedera parah di bahagian muka dan patah tangan.

Lebih menyedihkan, kedua-duanya sudah mengesahkan untuk hadir pada majlis konvokesyen Sabtu ini sementara Nurul Hana bakal menjadi tunangan orang pada 22 Oktober depan.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin berkata, mangsa memandu kenderaan jenis Proton Pesona bersama Siti Fatimah menuju ke Kuantan selepas menziarahi keluarga di Perak.

Menurutnya, kenderaan mangsa dipercayai tercampak ketika kenderaan dipandu mangsa terbabas lalu melanggar bukit sebelum berpusing beberapa kali.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat dan dituntut keluarga bagi pengebumian di kampung halamannya di Tanjung Piandang, Perak. Siti Fatimah masih koma dan sedang dirawat di Hospital Kuantan,” katanya.

Ahmad Johari berkata, mangsa yang bekerja di Kuala Lumpur sementara menunggu hari konvokesyen pulang ke kampung menaiki kenderaan milik bakal tunang mangsa bagi menguruskan persiapan pertunangan.

Menurutnya, pada hari kejadian, mangsa dalam perjalanan ke Kuantan untuk memulangkan kembali kenderaan yang digunakan itu kerana bakal tunang mangsa bekerja di Kuantan.

Sementara itu Pengerusi KPTM, Datuk Sohaimi Shahadan ketika dihubungi melahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Menurutnya, tragedi yang berlaku itu merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga mangsa tetapi juga kepada pihak kolej yang melahirkan seorang graduan berjaya.

“Saya akan berbincang dengan pihak kolej bagi membantu keluarga mangsa untuk urusan konvokesyen yang berlangsung minggu ini dan saya harapkan keluarga mangsa tabah dalam menghadapi dugaan ini,” katanya.

Beliau berkata, wakil KPTM di Ipoh akan melawat keluarga Allahyarham Nurul Hana dan memberi sedikit sumbangan.

Belasah ibu dengan penyapu, lelaki ke Hospital Tampoi



KUALA TERENGGANU – Mahkamah Majistret di sini, semalam mengarahkan seorang bekas kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dihantar ke Hospital Tampoi, Johor Bahru selepas mengaku bersalah memukul ibu kandungnya menggunakan sebatang penyapu sepanjang 21 inci.

Tertuduh, Ahmad Shukri Abdul Razak, 54, dari Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu, mengaku bersalah mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen serta kanun sama di hadapan Majistret, Noradila Ab Latif.

Tertuduh pada 21 Julai lalu kira-kira jam 11 malam di sebuah rumah di Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu dengan sengaja telah memukul menggunakan sebatang penyapu ke atas Salasiah Muda, 73.

Dengan itu tertuduh didapati telah melakukan kesalahan yang boleh dipenjara sehingga tiga tahun, atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Ngiam Ooi Ming.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang pernah mendapat rawatan sakit mental di wad 17, Hospital Hulu Terengganu secara tiba-tiba telah mengamuk dan memukul ibu kandungnya yang ketika itu berada di rumah, menggunakan sebatang penyapu berhulu kayu.

Kejadian sebegini bukan pertama kali dilakukan tertuduh, malah sebelum ini dia pernah mencederakan ahli keluarganya yang lain serta jiran tetangga.

Bagaimanapun, bimbang perkara sama berulang, ibu tertuduh mengambil keputusan membuat laporan polis di Balai Polis Chendering untuk tindakan seterusnya.

Rentetan itu, tertuduh, bapa kepada dua anak itu ditangkap pada 2 Oktober lalu kira-kira jam 4.30 petang ketika berada di hadapan Wad Kenanga, Hospital Hulu Terengganu.

Selepas pengakuan bersalahnya direkodkan, Noradila menetapkan 22 November depan sebagai tarikh sebutan semula dan mengarahkan tertuduh dihantar ke Hospital Tampoi, Johor Bahru untuk mendapat rawatan selanjutnya.

Heroin dirampas dalam Ops Tapis



JELI – Seorang lelaki berusia 40 tahun ditahan kerana memiliki dadah jenis heroin seberat empat gram ketika serbuan dilakukan anggota polis dari Jabatan Narkotik IPD Jeli dalam operasi ‘Ops Tapis’ jam 5.15 pagi semalam di sebuah rumah di Bukit Jering, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Sheik Azhar Sheik Omar berkata, hasil daripada maklumat awam, lapan anggota polis bertindak melakukan serbuan ke atas sebuah rumah berkembar.

“Ketika serbuan dibuat, suspek sedang tidur dan tidak sempat melarikan diri. Suspek pada mulanya tidak mengaku menyimpan dadah namun anggota polis tetap bertindak dan melakukan pemeriksaan dalam rumahnya.

“Hasilnya 91 tiub straw dan satu botol cerah bertudung kuning berisi heroin yang diletakkan dalam bekas hitam berzip di tepi dinding berjaya dijumpai dengan anggaran nilai RM1,200,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dalam serbuan tersebut, isteri dan anak-anak suspek turut berada dalam rumah berkembar itu di mana mereka mendiami ruang belakang rumah yang agak sempit.

“Suspek yang juga pengedar dadah di kawasan tersebut ditahan dan kemudiannya dibawa ke IPD Jeli untuk direman bermula semalam untuk siasatan lanjut.

“Ujian saringan air kencing dilakukan ke atas suspek dan mendapati dia positif Morphine,” katanya.

Sheik Azhar berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Polis berkas dua lelaki bantu siasatan



KOTA BHARU- Polis Kelantan menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan seorang ahli perniagaan, Saw Yew Siang, 57, di sebuah kebun pisang, di Kampung Kubang Palas Bukit Marak, Isnin lalu.

Dua lelaki terbabit yang berusia 31 dan 35 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) selepas terserempak dengan mereka berhampiran sebuah kedai makan di Jalan Tengku Petra Semerak, dekat sini, kira-kira jam 5 petang kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, kedua-dua lelaki terbabit yang bekerja sendiri dipercayai diupah oleh pihak tertentu untuk mengutip hutang sebelum dikatakan bertindak membunuh mangsa.

Beliau berkata, kedua-duanya berasal dari Kota Bharu sebaik tiba di kawasan berhampiran sebuah premis di jalan tersebut dan selepas tangkapan dibuat, polis turut merampas tiga kereta yang dipercayai terlibat dengan pembunuhan mangsa.

Katanya, kedua-dua suspek kini direman selama enam hari bermula semalam untuk membantu siasatan dan polis sedang mengesan tiga lagi lelaki yang boleh membantu polis menjalankan siasatan.

“Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum sampai mati. Hasil siasatan awal juga mendapati kes tersebut berlaku adalah bermotifkan hutang,” katanya ketika ditemui di pejabatnya.

Mazlan berkata, pihaknya merampas tiga kenderaan termasuk kereta jenis Proton Wira, Perdana dan Atos yang masing-masing dirampas di Kota Bharu dan Jerteh, Terengganu.

Katanya, polis sudah mengenal pasti tiga suspek lagi untuk membantu siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubung segera balai polis berdekatan atau menerusi talian 09-7450999.

Selasa lalu, mangsa yang berasal dari Tumpat, Kelantan ditemui mati di sebuah kebun pisang dengan kedua-dua tangannya diikat dan kepalanya ditutup dengan kain.

Mayat Yew Siang ditemui mati oleh seorang pemilik kebun berkenaan, kira-kira jam 7.30 pagi dengan kesan berlumuran darah di kepala.

Mohon maaf sebelum ajal




KOTA BHARU - Seolah-olah dia dapat merasakan ajalnya sudah tiba apabila beberapa hari sebelum maut dalam kemalangan jalan raya mangsa sempat meminta maaf dengan kenalan-kenalannya.

Itulah luahan Asiah Ismail, 43, ibu kepada Mohamad Afandi Hussain, 16, setelah anak lelakinya maut dalam kemalangan jalan raya di Lebuh raya Salor, dekat sini awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.05 pagi itu, mangsa, Mohamad Afandi yang juga pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah dekat Ketereh maut di tempat kejadian setelah motosikal yang ditunggangnya dari arah Kota Bharu menghala ke Pasir Mas bertembung dengan sebuah kenderaan lain selepas memotong dua lagi motosikal rakannya.

Asiah memberitahu, sebelum kemalangan, mangsa bersama abangnya, Izani, 17, ke rumah neneknya, Bidah Yahya, 60, di Kampung Pendek kira-kira jam 6.30 petang dan difahamkan dia yang menunggang motosikal sendirian itu nekad mahu mengisi petrol biarpun dilarang abangnya kerana hari sudah lewat.

Asiah berkata, menerusi cerita yang dimaklumkan oleh rakan-rakannya, beberapa hari sebelum terlibat dalam kejadian itu, arwah sentiasa meminta maaf dengan sahabat serta guru-gurunya.

“Mungkin dia sudah tahu masanya telah sampai dan mengambil kesempatan memohon ampun dengan mereka yang rapat dengannya.

“Saya juga menyedari, dia juga berubah menjadi seorang yang semakin periang dan banyak bercakap dengan ahli keluarga dan rakan-rakannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya Kampung Pangkal Kuang, Ketereh semalam.

Asiah berkata, anak ketiga daripada enam beradik tersebut juga menunjukkan tabiat peliknya beberapa hari sebelum kejadian, iaitu kerap makan nasi.

“Sebelum ini dia tidak pernah makan nasi dua kali dalam tempoh tidak sampai setengah jam tetapi pada suatu hari itu dia meminta saya menggoreng ikan dan memakannya sebanyak dua kali dalam masa yang singkat.

“Saya tidak mengesyaki perkara yang buruk berlaku walaupun ia tidak pernah dilakukannya sebelum ini,” katanya.

Asiah berkata, dia mengetahui kejadian yang meragut nyawa anaknya itu setelah menerima panggilan daripada saudara maranya kira-kira jam 1.30 pagi yang ketika itu dia tidur di rumahnya.

Sementara itu, Timbalan Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, mayat mangsa di hantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya.

Mesir kembali bergolak



KAHERAH - Seramai 26 terkorban dan sekurang-kurangnya 271 cedera dalam kejadian pertempuran ganas antara penganut Kristian, orang Islam dan pasukan keselamatan, kelmarin sekali gus menjadi keganasan terburuk sejak revolusi kebangkitan rakyat menggulingkan bekas presiden Hosni Mubarak, Februari lalu.

Stesen televisyen tempatan menyiarkan kerajaan kini mengenakan perintah berkurung di kawasan sekitar Kaherah kerana khuatir kekacauan itu akan menjadi lebih buruk.

Dalam satu kenyataan lain, perdana menteri Essam Sharaf menggesa orang ramai terutamanya penganut Kristian dan orang Islam supaya tidak termakan dengan hasutan luar kerana dikhuatiri akan memburukkan lagi keadaan yang semakin meruncing di bandar tersebut.

“Pergolakan terbaru ini adalah satu konspirasi untuk mencetuskan huru-hara dan perbalahan antara kaum,” menurutnya lagi.

Terdahulu, kekacauan tercetus selepas penunjuk perasaan bertempur dengan polis antirusuhan dan askar yang berkawal di luar kawasan bangunan stesen televisyen di Maspero, Kaherah semasa mereka sedang berarak kerana membantah tindakan gabenor Mustafa al-Sayed meruntuhkan sebuah gereja di wilayah Aswan di selatan Mesir.

Seorang saksi mendakwa demonstrasi itu sepatutnya diadakan secara aman tetapi bertukar ganas selepas pasukan keselamatan menyerang mereka secara tiba-tiba.

Mereka bertindak membalas serangan tersebut dengan membaling batu batu dan membakar kenderaan milik tentera serta orang awam.

Insiden itu membuktikan walaupun selepas Mubarak digulingkan, penganut Kristian masih tidak berpuas hati dengan pemerintah tentera yang didakwa tidak mengambil tindakan tegas berhubung isu perkauman dan kejadian siri serangan terhadap mereka.

Sebagai langkah berjaga-jaga, satu mesyuarat Kabinet tergempar diadakan, semalam selepas 40 suspek ditahan bagi membincangkan krisis tersebut yang mungkin merebak menjadi perang saudara.

Dalam satu kejadian Mac lalu, 13 terbunuh dalam rusuhan kaum di sekitar kejiranan Manshiyet Nasser selepas penganut Kristian berang kerana sebuah gereja di kampung Sol di selatan Kaherah diserang pihak tidak bertanggungjawab.

Lelaki nyaris terkena dua das tembakan

TELOK KEMANG – Rasa curiga seorang lelaki apabila diekori oleh sebuah motosikal berakhir dengan kejadian tembakan.
Sinar Harian difahamkan, mangsa seorang lelaki berbangsa Cina berusia lingkungan 40-an baru pulang dari Port Dickson selepas membeli beberapa barang keperluan sebaik habis kerja sekitar jam 8.30 malam, kelmarin.
Mangsa menaiki kereta berseorangan dan ketika tiba di kawasan tempat letak kereta rumahnya di Batu 7 Telok Kemang, dia melihat di cermin belakang, motosikal yang ditunggangi dua lelaki masih mengekorinya.
Tidak lama kemudian, pembonceng motosikal melepaskan dua das tembakan menembusi cermin keretanya. Bagaimanapun, mangsa sempat menyelamatkan diri tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Sebaik tembakan dilepaskan, suspek terus melarikan diri menaiki motosikal tersebut.
Ketika ditemui pemberita, mangsa berkata, dia tidak pasti motif sebenar kejadian itu  dan dia sendiri masih bingung dengan kejadian berkenaan.
Mangsa telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Port Dickson, semalam. – SH MNS/ Nurulatiq Ahmad Bandi

Polis rampas 60 set komputer



KUALA KLAWANG - Polis berjaya merampas 60 set komputer yang dipercayai digunakan untuk kegiatan judi siber di tiga rumah kedai di Pekan Simpang
Pertang, di sini.
Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Setapa Yusoff berkata, pusat judi terbabit telah beroperasi sejak tiga bulan lalu.
"Polis kerap melakukan serbuan di premis berkenaan dan ia sering bertukar-tukar pemilik serta menjalankan kegiatan judi siber secara senyap-senyap. 
"Aktiviti dilakukan di belakang kedai bagi mengelakkan daripada dikesan pihak berkuasa,” katanya.
Menurutnya, dalam serbuan pada 8 Oktober lalu, kira-kira jam 11 malam, polis menahan dua lelaki India warga tempatan berusia 27 dan 29 tahun.
"Semasa serbuan tiada pelanggan di premis berkenaan. Hasil siasatan mendapati kedua-dua mereka tidak memiliki rekod jenayah lampau," katanya. – SH MNS/ Nuraziazila Latif

Wang masjid lesap kali ketiga



KOTA – Warga Masjid Kariah Kota kesal dan kecewa apabila masjid yang seharusnya menjadi lokasi aktiviti kemasyarakatan serta beribadat menjadi sasaran pencuri yang tergamak melarikan wang masjid berkenaan.
Nazir Masjid Kariah Kota, Maspan Mat Ubin berkata, selama hampir dua tahun dipertanggungjawabkan memegang jawatan berkenaan, sudah tiga kali kejadian sama berulang. – SH MNS/ Nur Ainna Hamzah

Polis nyaris ditetak dengan parang



SEREMBAN - Seorang anggota polis terpaksa berdepan detik mencemaskan apabila diserang dengan parang oleh salah seorang suspek semasa membuat serbuan operasi penyalahgunaan dadah di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Broga, Lenggeng dekat sini, kelmarin.

Difahamkan, suspek berkenaan cuba meloloskan diri daripada ditangkap pihak berkuasa.
Bagaimanapun, anggota polis terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan. – SH MNS/ Hamizah Basir

Kapal persiaran mewah terbakar





2011/10/11

LANGKAWI: Sebuah kapal persiaran mewah berharga lebih RM18 juta yang sedang dibaik pulih di limbungan Boustead Yachts Langkawi (BYL) di Bukit Malut, di sini, terbakar malam kelmarin. 

Kebakaran kapal mewah dua tingkat itu memaksa 53 anggota bomba berkampung di tempat kejadian 10 jam bagi memastikan api tidak merebak ke kapal lain, sekali gus mengelak kejadian lebih buruk.
Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Langkawi, Mohd Yunus Ibrahim, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.06 malam.
Katanya, tiga jentera dan dua kenderaan pacuan empat roda daripada Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Ayer Hangat bersama 53 anggota bergegas ke lokasi kebakaran dan tiba pada jam 8.21 malam. 

“Api yang dikesan bermula di bahagian belakang kapal berhampiran bilik enjin berjaya dikawal daripada merebak dalam tempoh dua jam dan sejurus itu kapal itu diselubungi asap sebelum padam sepenuhnya pada 7.30 pagi tadi (semalam). 

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, manakala jumlah sebenar kerugian dan puncanya masih dalam siasatan," katanya. 

7 tentera Colombia terbunuh





2011/10/11

BOGOTA: Tujuh anggota tentera darat Colombia terbunuh dalam pertempuran dengan pemberontak berhaluan kiri di selatan negara itu. 

Menteri Pertahanan, Juan Carlos Pinzon, berkata kumpulan pemberontak itu menyerang pasukan peronda tentera di sebatang jalan di Caloto ketika mereka mengangkut bekalan untuk pasukan lain.
“Mereka diserang dengan zalim dengan bahan letupan," katanya.
Revolutionary Armed Forces of Colombia (FARC) dipersalahkan atas keganasan itu. - AFP 

Dua letupan ragut 9 nyawa di Baghdad





2011/10/11

BAGHDAD: Dua serangan bom selang beberapa minit di barat Baghdad petang semalam membunuh sekurang-kurangnya sembilan orang manakala 20 lagi cedera ketika keganasan di seluruh negara mengorbankan 12 nyawa. 

Letupan pertama berlaku kira-kira jam 8.30 malam (1730 GMT) berhampiran kumpulan orang awam di kejiranan Iskan.
Menurut wartawan dan pegawai Kementerian Dalam Negeri Iraq, letupan kedua berlaku apabila petugas kecemasan tiba di tempat kejadian untuk merawat mangsa yang cedera. - AFP

Dua maut serangan bom di Nigeria





2011/10/11

MAIDUGURI, Nigeria: Dua terbunuh selepas penyerang dipercayai ahli puak radikal Islam meletupkan dua bom di bandar timur laut Nigeria di mana ketakutan dan rasa tidak selamat sentiasa menghantui penduduk, kata pihak berkuasa semalam. 

Jurucakap Pasukan Petugas Angkatan Bersama, Kol Victor Ebhaleme, berkata letupan pagi semalam berhampiran pasar di Maiduguri membunuh seorang askar.
Seorang atendan rumah mayat pula menyatakan, seorang awam turut terbunuh sejurus tiba di Universiti Hospital Perguruan Maiduguri.
Dua askar lagi cedera kerana letupan itu. - AP 

Bangkok cemas





2011/10/11

PENDUDUK Bangkok meredah air berikutan Thailand dilanda banjir terburuk dalam sejarah negara itu. - Foto Reuters
PENDUDUK Bangkok meredah air berikutan Thailand dilanda banjir terburuk dalam sejarah negara itu. - Foto Reuters
  • 270 orang korban banjir
  • 700,000 rumah musnah
  • 1.4j hektar sawah tenggelam
  • 200 kilang tutupBANGKOK: Banjir besar yang melanda utara Thailand kini mengancam Bangkok dengan anga kematian meningkat kepada 270 orang, 700,000 kediaman penduduk musnah dan 1.38 juta hektar sawah tenggelam sehingga semalam.
  • Samseng belasah dalam ambulans



    Oleh Badrul Hizar Ab Jabar
    bhizar@bharian.com.my
    2011/10/11

     KEADAAN Proton Wira  selepas diserang kumpulan remaja.
    KEADAAN Proton Wira selepas diserang kumpulan remaja.
    Kumpulan penunggang motosikal tak puas hati selepas terbabit kemalangan

    MELAKA TENGAH: Seorang pemandu kereta cedera selepas diserang sekumpulan penunggang motosikal dipercayai mat rempit ketika berada di dalam ambulans di Hospital Melaka, sejurus dua rakan mereka terbabit dalam kemalangan dengan pemandu itu di Jalan Limbongan di sini, awal pagi semalam.
    Kejadian berlaku kira-kira jam 3.40 pagi dan lebih 20 remaja bermotosikal berusia lingkungan 20an turut berada di lokasi kejadian, namun belum dipastikan jumlah mereka yang terbabit dalam pergaduhan itu.
    Pemandu terbabit turut tercedera, sebelum ambulans tiba membawa ketiga-tiga mangsa kemalangan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan. - Chuah Ghee Lye, Ketua Polis negeri
    Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye, berkata siasatan awal mendapati, sebelum kejadian, kumpulan remaja itu bergerak dalam kumpulan besar penunggang motosikal, manakala mangsa berusia 50 tahun dan menaiki Proton Wira dalam perjalanan dari arah Melaka Raya menuju ke Klebang.

    Beliau berkata, sejurus kemalangan yang menyebabkan penunggang berusia 18 tahun dan pemboncengnya itu cedera, kumpulan remaja berkenaan dikatakan bertindak menyerang pemandu serta memecahkan semua cermin kereta.

    "Pemandu terbabit turut tercedera, sebelum ambulans tiba membawa ketiga-tiga mangsa kemalangan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.

    "Dipercayai akibat tidak berpuas hati, kumpulan remaja disyaki rakan kepada penunggang motosikal itu mengekori ambulans hingga di hadapan bahagian kecemasan hospital, sebelum bertindak menyerang dan memukul pemandu berkenaan yang masih berada di dalam ambulans. 
    “Akibat kejadian itu, cermin bahagian belakang sebelah kiri ambulans pecah," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

    Mengulas lanjut, Chuah berkata, setakat ini pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kejadian pergaduhan itu.

    Katanya, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana bergaduh dan Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu menyebabkan kemalangan.

    "Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di talian 06-2842222 atau cawangan Trafik IPD di 06-2834139 bagi membantu siasatan," katanya. 

    Dibuli senior, tak basuh dulang makanan





    2011/10/11

    KLUANG: Seorang pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Agama (SMA) Arabiyah yang enggan membasuh dulang makanan dan pakaian empat pelajar senior, cedera di mata dan badan apabila dibelasah pelajar terbabit di belakang asram sekolah berkenaan Sabtu lalu. 

    Kumpulan pelajar itu yang sebelum ini memeras wang daripada Mohd Hafidzul Amsyar Nor Azman, mencederakan mangsa pada bahagian mata, kepala, kaki serta belakang badan dengan menumbuk dan terajang selain memukul menggunakan kasut bola dan payung dalam kejadian jam 1.30 tengah hari.
    Mohd Hafidzul Amsyar berkata, sebelum kejadian itu beliau diberitahu rakan yang baru selesai makan tengah hari, sekumpulan pelajar senior mahu bertemunya di belakang asrama.
    “Ketika bersemuka, seorang pelajar senior menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap saya, sebelum seorang lagi tiba-tiba menyepak belakang menyebabkan saya terjatuh. 

    “Selepas membelasah hingga tidak bermaya, mereka memasukkan saya ke dalam longkang yang ditutup beberapa minit sebelum dikeluarkan dan mengarahkan saya pulang mandi. 

    “Takut dengan perbuatan mereka, saya meninggalkan asrama dengan berjalan kaki setengah jam sebelum menaiki bas 30 kilometer dalam kesakitan," katanya di rumahnya dekat Kampung Sahari, Simpang Renggam semalam. 

    Katanya, sejurus sampai di rumah, mangsa mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Daerah Kluang serta membuat laporan polis berhubung kejadian itu. 
    Bapa mangsa, Nor Azman Sahari, 42, berkata, kesal dengan tindak tanduk pengurusan SMA Arabiyah yang seolah-olah tidak mengambil tanggungjawab terhadap kejadian menimpa anaknya. 

    “Setakat ini, empat pelajar terbabit bersama keluarga masing-masing ada mengunjungi kami memohon maaf mengenai kejadian yang berlaku, walaupun sepatutnya mereka datang bersama pengetua sekolah," katanya. 

    Sementara itu, Pengetua SMA Arabiyah, Mohd Kamal Mohd Said, ketika ditemui mengakui pihaknya sudah mengetahui kejadian itu dan akan mengambil tindakan disiplin terhadap empat pelajar yang sudah dikenal pasti itu tetapi menolak untuk membuang mereka dari sekolah itu. 

    Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Mohd Noor Mohamad, mengesahkan menerima laporan kejadian itu. 

    Polis, tahanan maut nahas



    Oleh Mohd Sah Muda
    bhjb@bharian.com.my
    2011/10/11

    NORZITA (kanan sekali) ditenteramkan rakan ketika di Unit Forensik Hospital Mersing.
    NORZITA (kanan sekali) ditenteramkan rakan ketika di Unit Forensik Hospital Mersing.
    Van bawa suspek kes dadah bertembung treler dalam hujan lebat 

    MERSING: Seorang anggota polis bersama suspek kes dadah yang diiringi maut, manakala rakan setugasnya dan seorang lagi tahanan parah apabila van dinaiki mereka bertembung treler di sini, petang semalam.
    Dalam kemalangan jam 3 petang di Kilometer 13 Jalan Mersing-Endau itu, anggota Bahagian Narkotik Polis Mersing, Koperal Razli Setapa, bersama tahanannya yang identiti belum diperoleh, mati di tempat kejadian.
    Rakan setugas mangsa yang juga pemandu van terbabit, Lans Koperal Nik Li Nik Hassan dan seorang lagi suspek parah, manakala pemandu treler dan kelindan yang bertembung dengan kenderaan mereka terselamat. 

    Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Nor Rasid berkata, ketika kejadian, dua anggota polis terbabit sedang dalam perjalanan membawa dua lelaki berkenaan dari Balai Polis Endau untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing. 

    “Ketika sampai di tempat kejadian dalam keadaan hujan lebat, van dinaiki dua anggota terbabit bertembung dengan treler yang datang dari arah bertentangan yang hilang kawalan dan memasuki laluan mereka. 

    “Kita masih menyiasat punca sebenar kemalangan ini mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, sementara mangsa yang cedera kini masih dalam rawatan di Hospital Mersing. Kami menyampaikan rasa simpati terhadap keluarga mangsa yang terbunuh dalam kemalangan ini," katanya, semalam. 
    Beliau berkata, jenazah mangsa yang terbunuh dihantar ke Unit Forensik Hospital Mersing untuk bedah siasat dan pihaknya sedang berusaha mengesan waris suspek kes dadah yang turut terbunuh dalam kemalangan itu. 

    Sementara itu, suasana pilu menyelubungi Unit Forensik Hospital Mersing apabila rakan serta ahli keluarga termasuk isteri Razli, Norzita Abdul Rahman, menunggu untuk menuntut mayat suaminya. Suri rumah itu tidak dapat ditemui kerana terlalu sedih dan terkejut dengan kemalangan menimpa suaminya. 

    “Saya tak sangka, kegembiraan selesai menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) petang ini, berakhir dengan khabar menyedihkan apabila ayah saya maut dalam kemalangan ketika menjalankan tugas," kata anak bongsu Razli, Noor Adi Fitri, 15. 

    Lelaki jual daging busuk ditahan

    MADINAH: Anggota Pemeriksa Majlis menahan seorang warga asing kerana didapati menjual daging busuk ke restoran di Madinah, semalam.
    Mereka juga merampas daging busuk yang dibawa oleh lelaki itu di dalam trak pikap. Dia dituduh melakukan kesalahan tidak mengikut peraturan kebersihan menjual barang-barang makanan.
    Pengarah pasar di Majlis Perbandaran Madinah Muhammad Solaihem berkata, 70 kilogram daging dirampas daripada lelaki itu. 

    Budak 5 tahun cedera teruk disyaki didera bapa, ibu tiri

    JEDDAH: Seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang mempunyai tanda seperti didera dengan teruk telah dimasukkan unit rawatan rapi, Hospital Najran.
    Polis juga telah menahan bapanya dan ibu tiri kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Muhammad atas tuduhan mendera.
    Pakcik kanak-kanak itu mengesyaki dia didera apabila Muhammad dijumpai dalam keadaan trauma dengan kesan cedera di badannya.

    Katanya lagi, ibu tiri kanak-kanak itu sering memukulnya dengan teruk. Muhammad dikatakan tidak boleh bercakap. Menurut doktor, kecederaannya mungkin disebabkan dia didera.


    Ibu tirinya mengaku memukul Muhammad untuk mendisiplinkannya.

    Mayat penjaja lesap dari hospital




    ANGGOTA keluarga Hock Tseng menguruskan mayat mendiang yang ditinggalkan di sebuah tokong di Temiang, Seramban semalam.


    SEREMBAN – Sebuah keluarga yang mahu menuntut mayat seorang ahli keluarga yang meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJ) di sini terkejut apabila mendapati mayat lelaki berkenaan telah dituntut oleh individu lain yang tidak dikenali.
    Ahli keluarga terbabit, Andrew SK. Lim, 42, berkata, dia sampai ke HTJ semalam untuk menuntut mayat abangnya, Lim Hock Tseng, 51, yang meninggal dunia kelmarin selepas 10 hari dimasukkan ke hospital itu kerana sakit berkaitan paru-paru.
    Andrew bersama beberapa ahli keluarga lain datang dari Johor dan Singapura selepas dimaklumkan oleh pihak HTJ mengenai kematian Hock Tseng pada pukul 8.30 pagi kelmarin.
    Bagaimanapun, katanya, sebaik tiba di bilik mayat, dia terkejut kerana diberitahu oleh petugas di situ bahawa mayat abangnya sudah dituntut oleh seorang lelaki yang mendakwa sebagai abang kepada Hock Tseng.
    “Seorang atendan di bilik mayat memberitahu seorang lelaki mengaku sebagai waris Hock Tseng dan menuntut mayat itu pada petang kelmarin.
    “Lelaki itu menunjukkan kad pengenalannya yang mempunyai nama keluarga ‘Lim’ yang sama dengan nama keluarga saya,” kata Andrew ketika ditemui di sini semalam.

    Pathmanabhan beli Ladang Gadong RM300,000



    SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bahawa Ladang Gadong di Tanjung Sepat, Banting yang didakwa menjadi lokasi pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lain adalah milik tertuduh pertama, N. Pathmanabhan yang dibeli tidak lama sebelum kejadian.
    Saksi ke-58 pendakwaan, K. Sree Ganashan, 39, seorang jurutera berkata, hartanah seluas 0.12 hektar itu dijual oleh ibu saudaranya yang bernama Dhanam kepada bekas peguam itu pada Ogos tahun lepas.
    Dia yang bertanggungjawab ke atas urusan pembelian hartanah itu berkata, Pathmanabhan membeli ladang berkenaan dengan harga RM300,000.
    “Selepas mak cik beritahu nak jual tanah, saya telah beritahu kawan-kawan.
    “Mungkin ada kawan yang beritahu Pathmanabhan dan dia (Pathmanabhan) kemudian hubungi saya bertanyakan perkara itu serta ingin melihat tanah itu.
    “Saya tunjukkan tanah itu kepada Pathmanabhan pada bulan Ogos tahun lepas dan dia kemudian bersetuju beli. Pathmanabhan bayar deposit RM100,000 seminggu selepas itu dan dua minggu seterusnya dia bayar baki RM200,000. Kesemua bayaran dibuat melalui cek,” katanya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin.
    Sree Ganashan memberi keterangan pada perbicaraan Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang T. Thilaiyagan, R. Matan serta R. Khatavarayan yang didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.
    Pathmanabhan, 42; Thilaiyagan, 20; Matan, 21; dan Kathavarayan, 31, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
    Saksi itu berkata, sepanjang menguruskan pembelian tanah itu, dia mengadakan pertemuan dengan Pathmanabhan sebanyak empat kali iaitu di kedai makan, pejabat tertuduh dan ladang berkenaan.
    “Saya menjadi saksi ketika perjanjian ditandatangani oleh mak cik saya dan Pathmanabhan namun salinan perjanjian itu sudah hilang,” kata Sree Ganashan ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff.