Search This Blog

Monday, October 10, 2011

Pekebun Sarawak tangkap buaya hampir lima meter


-- Foto METRO AHAD


BEKENU (Sarawak): Para penduduk melihat seekor buaya yang dapat ditangkap seorang lelaki di Sungai Niah, di sini, Jumaat lalu.
Buaya sepanjang hampir lima meter itu ditangkap selepas termakan umpan ayam yang dipasang seorang pekebun dikenali sebagai Encik Choa Hui, 56 tahun.Encik Choa bersama penduduk dikatakan mengambil masa sejam sebelum buaya itu dapat dibawa naik ke darat.Sebelum itu, penduduk di kampung berdekatan sering terserempak reptilia tersebut yang dikatakan pernah membaham anjing yang menghampiri tebing sungai.Malah, kemunculan buaya itu menjadi perkara biasa bagi segelintir penduduk berdekatan tebing sungai, dan keadaan itu membimbangkan mereka. -- Metro Ahad.

Dua pelajar lemas ketika mandi sungai

Utusan Malaysia Online - Jenayah:KEPALA BATAS 9 Okt. – “Kak, esok tolong masak bihun. Nak buat makan-makan sambut hari jadi saya.”
Itulah kata-kata terakhir Mohammad Hafiz Mustapa, pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Tok Labu, Penaga sebelum dia dan rakannya, Mohd. Harraz Bukhori, 13, tenggelam dihanyutkan arus deras di muara sungai Kampung Kuala Muda di sini semalam.
Mayat Mohammad Hafiz, 13, ditemui sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) kira-kira pukul 10.30 pagi ini selepas operasi mencari dan menyelamat yang disertai pasukan polis dan penduduk sekitar dihentikan pukul 11 malam tadi.
Mayat Mohd. Harraz pula ditemui pukul 6.30 petang ini berhampiran sebuah rumah api, kira-kira 700 meter dari tempat mereka mandi.
Bapa kepada Mohammad Hafiz, Mustapa Mohd. Akhir, 58, berkata, anak ke-11 daripada 13 adik beradik itu bersungguh-sungguh meminta kakaknya memasak bihun untuk meraikan hari lahirnya yang disambut hari ini.
“Sebelum ini, tidak pernah dia meminta kakak-kakaknya meraikan hari jadinya. Tapi semalam, dia bersungguh sangat. Tidak sangka, itu permintaan terakhir anak saya,” katanya dalam nada sebak sambil menyifatkan anaknya itu seorang yang baik dan pendiam.
Menurut Mustapa, anaknya itu juga dilihat agak pelik apabila menatap wajah ibunya, Khatijah Ali, 48, beberapa ketika sebelum keluar dari rumah mereka yang terletak berhampiran muara sungai itu untuk mandi bersama rakannya yang lain.
“Dia jarang mandi di sungai itu walaupun jaraknya dekat dengan rumah kami. Kalau dia mandi pun, selalunya saya tidak merasa risau kerana dia tahu berenang,” kata Mustapa.
Dia memberitahu, kira-kira pukul 5.30 petang semalam, anaknya itu mandi di sekitar muara sungai bersama 14 rakannya termasuk Mohd. Harraz.
Mohammad Hafiz dikatakan hanyut dibawa arus dan dipercayai Mohd. Harraz yang berada paling hampir dengannya berenang ke arah rakannya itu untuk membantu.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka kemudian tenggelam dihanyutkan arus deras.
Sementara itu, Bukhori Mohd., 48, berkata, beliau reda dengan pemergian anak bongsu daripada empat adik beradik itu.
Menurut Bukhori, anaknya itu merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Muda, Penaga dan merupakan satu-satunya anak lelakinya.
“Dia sangat rapat dengan saya dan ibunya. Namun jika itulah (lemas) takdir Allah terhadapnya, saya reda,” katanya sambil menangis.

'via Blog this'

Sindiket dadah diserbu

Utusan Malaysia Online - Jenayah:KLANG 9 Okt. - Seorang lelaki dipercayai ketua sindiket pengedaran dadah maut selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah hotel tiga bintang di sini, ketika diserbu sepasukan anggota dan pegawai polis hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.25 pagi itu, suspek yang berusia 39 tahun ditemui mati tertiarap di anjung tingkat dua hotel berkenaan.
Tiga lagi anggota sindiket tersebut termasuk seorang wanita Indonesia ditahan dan sejumlah dadah termasuk 400 gram heroin serta syabu dan pil ekstasi yang masih belum diketahui jumlah dirampas.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusof berkata, sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik menyerbu dua buah bilik di tingkat tujuh hotel tersebut selepas mendapat maklumat mengenai kegiatan pengedaran dadah.
Beliau berkata, salah satu bilik dihuni suspek yang mati bersama seorang wanita Indonesia manakala sebuah bilik lagi disewa oleh dua rakannya.
Menurut beliau, polis menyerbu bilik yang dihuni dua rakan jenayah suspek sebelum pergi ke biliknya.
"Ketika anggota polis mengetuk bilik suspek, pintu lambat dibuka dan ketika itulah kita percaya suspek yang cuba melarikan diri telah terjatuh," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohamad menjelaskan, pengurus hotel bertugas yang turut serta dalam serbuan itu kemudian memaklumkan mengenai penemuan mayat suspek di tingkat dua.
Kata beliau, pemeriksaan lanjut yang dibuat di bilik suspek selepas pintu dibuka oleh seorang wanita menemui beberapa peket dadah dan kunci kereta.
"Hasil pemeriksaan ke atas mayat suspek yang hanya berseluar jean, kita menemui beberapa peket dadah jenis syabu dan pil-pil ekstasi.
"Kita juga memeriksa kereta jenis Proton Iswara Aeroback yang diletakkan berhadapan hotel tersebut dan menemui dadah jenis heroin seberat kira-kira 400 gram di bawah tempat duduk penumpang hadapan," tambah beliau.
Kata Mohamad, siasatan awal mendapati, si mati yang mendaftar masuk di hotel itu semalam memiliki dua rekod jenayah berkaitan dadah dan curi motosikal.
Tambahnya lagi, dua rakan suspek pula masing-masing bekerja sebagai pekerja bengkel kereta dan pembantu restoran manakala teman wanitanya kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

'via Blog this'

3 penunggang Orang Asli menentang arus terbunuh

Utusan Malaysia Online - Jenayah:
Anggota polis memeriksa lokasi kemalangan maut di Lebuh Raya Damansara-Puchong di Petaling Jaya awal pagi semalam.


PETALING JAYA 9 Okt. - Tindakan tiga lelaki Orang Asli menunggang dua buah motosikal melawan arus membawa padah apabila kesemua mereka maut selepas bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 2.7, Lebuh Raya Damansara-Puchong di sini awal pagi ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 3.45 pagi ketika kesemua mangsa dalam perjalanan dari Bukit Lanjan menghala ke Damansara Perdana.
Pegawai Turus Trafik Selangor, Deputi Supritendan Azmi Mansur berkata, mereka yang maut ialah dua beradik iaitu Ngah Relup, 30, dan Mazlan Relup, 34, berasal dari Pahang manakala Bah Juli Bah Muning, 29, pula berasal dari Perak.
"Kita percaya motosikal dinaiki tiga lelaki itu berada di lorong paling kanan di laluan bertentangan lebuh raya tersebut untuk pulang ke rumah mereka di Damansara Perdana.
"Kedua-dua motosikal itu kemudian bertembung dengan sebuah kereta jenis Honda City dipandu seorang remaja lelaki mengakibatkan kesemua mangsa tercampak di atas lebuh raya dan maut di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Azmi, pemandu kereta itu tidak mengalami kecederaan.
Katanya, mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu diminta menghubungi mana-mana balai polis terdekat bagi membantu siasatan.

'via Blog this'

Penagih dadah mati dalam lokap mahkamah

Utusan Malaysia Online - Jenayah:KOTA BHARU 9 Okt. – Seorang penganggur disyaki penagih dadah dan dikatakan menghidap HIV, meninggal dunia secara mengejut di lokap mahkamah di sini hari ini selepas dua jam dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas dakwaan mengambil dadah.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 3.30 petang, ketika tertuduh, Rosli Yaacob, 43, yang ditahan reman sejak empat hari lalu, menunggu dalam lokap mahkamah bersama kira-kira 20 tahanan lain untuk dibawa ke Penjara Pengkalan Chepa dekat sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Idris Abd. Rafar ketika dihubungi mengesahkan penganggur itu meninggal dunia di lokap berkenaan.
“Kejadian tersebut disedari ketika anggota bertugas memanggil namanya untuk menaiki trak penjara, tertuduh yang dalam keadaan terbaring didapati sudah tidak sedarkan diri dan mereka menghubungi ambulans.
“Selepas disahkan meninggal dunia, jenazahnya dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat dan polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut,” ujarnya.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh ditangkap pada Rabu lalu dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Perupok, Badang Jalan Pengkalan Chepa dan hasil ujian air kencing mendapati, dia positif mengambil dadah.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

'via Blog this'

Batu nisan pula dirosakkan oleh pelampau Yahudi

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:
LELAKI Palestin menunjukkan batu nisan yang diconteng dengan ayat Hebrew bermaksud 'Maut Kepada Arab' di Jaffa di Tel Aviv, kelmarin. - REUTERS


TEL AVIV 9 Okt. - Berpuluh-puluh batu nisan dirosakkan di tanah-tanah perkuburan Islam dan Kristian yang terletak bersebelahan di Jaffa manakala sebutir bom petrol dilontar ke sebuah rumah ibadat Yahudi di bandar di selatan Tel Aviv itu, semalam.
Pada hari Yom Kippur (Hari Penebusan Dosa) penganut Yahudi itu, sekurang-kurangnya lima batu nisan dipecahkan dan kira-kira 20 lagi disembur dengan grafiti berbahasa Hebrew, termasuk 'Maut kepada Arab' dan 'Tanda Harga', iaitu slogan yang digunakan oleh pendatang haram Yahudi dan penyokong mereka di Tebing Barat.
Polis menggambarkan insiden 'tanda harga' sebagai perbuatan membalas dendam oleh pelampau Yahudi terhadap penduduk Palestin atau Arab, dan istilah itu selalunya merujuk kepada serangan pendatang haram Yahudi ke atas penduduk Palestin atau harta mereka di Tebing Barat, termasuk dengan membakar masjid.
Jurucakap polis, Micky Rosenfeld berkata, sebutir bom petrol turut dilemparkan ke bumbung sebuah rumah ibadat Yahudi di kawasan Jaffa tetapi tidak menyebabkan sebarang kerosakan atau kemalangan jiwa.
"Kami sedang menyiasat pihak yang bertanggungjawab merosakkan batu nisan itu," katanya.
Beberapa puluh penduduk Israel dan Palestin keluar memprotes serangan itu dan seorang anggota majlis perbandaran tempatan menyalahkan pendatang haram Yahudi.
Jaffa yang merupakan kawasan purba di Tel Aviv mempunyai penduduk terdiri daripada penganut Yahudi dan orang Arab yang beragama Islam dan Kristian.
Isnin lalu, sebuah masjid di kampung Badwi di utara Israel dibakar dan grafiti disemburkan pada dindingnya dalam serangan yang didakwa dilakukan oleh pendatang haram Yahudi. - Reuters

'via Blog this'

Maut dibunuh ahli keluarga sendiri

Utusan Malaysia Online - Berita Utama:
ANGGOTA polis membawa keluar mayat Gurmeet Kaur dari kuarters Pejabat Haiwan Kecil di Taman Goldenwood, Ulu Bernam, Hulu Selangor, semalam.


HULU SELANGOR 9 Okt. - Seorang peniaga nasi lemak ditemui mati dipercayai akibat dipukul ahli keluarganya sendiri di sebuah kuarters Pejabat Haiwan Kecil di Taman Goldenwood, Jalan Besar di Ulu Bernam di sini hari ini.
Gurmeet Kaur Sedara Singh, 41, ditemui mati di atas katil dengan kesan bengkak dan berdarah di muka.
Mangsa dipercayai bergaduh dengan suami serta kakaknya sebelum ditemui mati di kuarters itu yang turut dijadikan pusat rawatan haiwan Jabatan Veterinar Ulu Bernam.
Menurut sumber, sebelum pergaduhan, ketiga-tiga mereka yang tinggal bersama di rumah itu dikatakan dalam keadaan tidak sedar selepas mengambil minuman keras.
"Mangsa dikatakan bertengkar dengan kakaknya dipercayai berpunca daripada tindakan si mati yang tidak menebus semula gelang emas milik kakaknya itu, sebaliknya wang itu digunakan bersama untuk membeli arak.
"Mungkin disebabkan dalam keadaan mabuk, pertengkaran mereka berlanjutan sehingga membawa kepada kematian mangsa yang hanya disedari oleh suaminya pukul 7 pagi ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, anak ketiga mangsa, N. Shareendra, 24, ketika ditemui di tempat kejadian memberitahu, mayat ibunya ditemui bapanya sendiri sebaik sahaja bangun dari tidur pagi ini.
"Bapa memberitahu, dia nampak ibu saya terbaring di atas lantai lalu mengangkat ke bilik tidur tetapi mulutnya dilihat berdarah. Saya dan abang ipar tiba di rumah tidak lama kemudian dan segera memaklumkan kepada polis," katanya yang tinggal di Cameron Highlands dan pulang sejak semalam.
Ditanya tentang pergaduhan itu, Shareendra yang berkerja sebagai pengawal keselamatan mengakui, ketiga-tiga mereka dalam keadaan mabuk setelah mengambil minuman keras petang semalam.
"Saya masih nampak mereka dalam keadaan mabuk dan bertengkar pada pukul 11.30 malam tadi, namun saya tidak menyangka kejadian akan berlaku seburuk itu kerana saya kemudian keluar dari rumah.
"Ibu bapa saya kerap bergaduh selepas mengambil arak dan setiap kali bergaduh, bapa akan memukul ibu," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Norel Azmi Yahya Affendi berkata, polis telah menahan suami mangsa yang berusia 57 tahun dan merupakan pegawai veterinar serta kakaknya yang berusia 44 tahun tidak lama selepas kejadian.
"Terdapat kesan calar di muka suspek wanita dipercayai akibat bergelut dengan si mati dan siasatan awal mendapati, ketika kejadian mereka dalam keadaan mabuk.
"Mayat mangsa juga didapati mempunyai kesan bengkak di muka selain berdarah di hidung dan mulut. Polis juga tidak menolak kemungkinan mangsa telah ditolak sehingga cedera kerana tiada senjata ditemui," katanya.

'via Blog this'

Skim tipu jual mesin

Utusan Malaysia Online - Berita Utama:
Suspek kes penipuan mesin layan diri dibawa masuk ke dalam kereta polis sambil disaksikan oleh sekumpulan mangsa di hadapan sebuah hotel di Petaling Jaya, kelmarin.


KUALA LUMPUR 9 Okt. – Satu skim penipuan perniagaan mesin layan diri (vending machine) yang melibatkan kerugian ratusan juta ringgit berjaya ditumpaskan menerusi penangkapan seorang lelaki di Petaling Jaya dekat sini semalam.
Kegiatan penipuan itu dibongkar hasil maklumat yang diperoleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) selepas kira-kira setahun mengumpul bukti dan maklumat daripada kira-kira 1,600 individu yang menjadi mangsa skim berkenaan.
Dalam serbuan semalam, PPIM dengan kerjasama polis memberkas lelaki yang dipercayai salah seorang dalang utama skim penipuan itu ketika memberi ceramah di sebuah hotel.
Pegawai Kerja PPIM, Mustafa Hamzah berkata, dalam serbuan itu juga 30 mangsa penipuan skim tersebut meminta supaya suspek memulangkan semula wang mereka sehingga berlaku pergaduhan kecil.
“Suspek akhirnya mengaku bahawa beliau bertanggungjawab serta sedang berusaha untuk memulangkan wang yang dituntut mangsa,” dakwanya di sini hari ini.
Mustafa menambah, PPIM kemudiannya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya yang menghantar anggota untuk menahan suspek bagi siasatan lanjut.
Katanya, mangsa dikatakan ditipu supaya membeli beberapa jenis mesin layan diri Matkiosk (mesin serbaguna), Waterdrop (air) dan ‘kiddie ride’ (alat permainan kanak-kanak).
Menurutnya, modus operandi skim itu adalah dengan menjanjikan keuntungan setiap bulan kepada pelabur yang membeli mesin itu, namun tidak pernah dibayar.
Setiap mesin layan diri itu katanya, dijual dengan harga serendah RM18,000 dengan ada di kalangan pelabur yang membeli beberapa mesin berbeza membabitkan nilai sehingga RM100,000.
Berikutan penangkapan suspek itu juga, Mustafa menyeru orang ramai yang menjadi mangsa kepada penipuan skim perniagaan mesin layan diri itu tampil memberi maklumat kepada pertubuhan itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan seorang lelaki ditahan dalam kejadian itu kerana dipercayai terlibat dalam skim penipuan perniagaan.

'via Blog this'

Hotel, pusat sabung ayam jadi sasaran

ZAMBOANGA: Dua letupan kuat di sebuah hotel kecil dan sebuah pusat sabung ayam di selatan Filipina semalam menyebabkan 11 orang cedera.
Menurut polis, letupan pertama berlaku tengah hari di aras bawah bangunan dua tingkat Red Palm Inn di selatan Pulau Mindanao, kawasan militan Islam beroperasi.
Seorang tetamu hotel dan saksi kejadian, Roland Teofilo berkata, “Letupan itu sangat kuat. Enam rakan saya cedera kerana ditimpa dinding yang runtuh.

“Letupan itu berlaku di bawah bilik kami.”


Ketua polis tempatan, Superintendan Arthur Larudis berkata, pihaknya mengesyaki ia letupan bom buatan sendiri.

Ketika pakar bom melakukan siasatan, satu lagi letupan berlaku di pusat sabung ayam, berhampiran.

Datuk Bandar Celso Lobregat berkata, serangan itu berlaku di kawasan majoriti penduduk beragama Kristian yang ketika itu sibuk membuat persediaan sambutan keagamaan. - AFP

Ribuan cari kerja guna sijil palsu

RIYADH: Kementerian Pengajian Tinggi mendapatkan khidmat sebuah syarikat antarabangsa terkemuka bagi mengesahkan ketulenan 100,000 ijazah di Arab Saudi.
Tindakan itu diambil selepas sejumlah syarikat awam dan swasta menanggung kerugian besar kerana terpedaya dengan pemohon kerja memalsukan sijil masing-masing.

Sumber berkata, syarikat terbabit memulakan siasatan mereka dengan bantuan 70 pakar.

“Mereka menyemak dan menyiasat kesahihan kira-kira 30 sijil sehari,” katanya.

Antara aspek diteliti, kertas jawapan peperiksaan dan nama universiti yang digunakan pada sesuatu sijil.

Difahamkan, sembilan agensi kerajaan dan 30 syarikat swasta mengalami kerugian selepas mengambil 8,072 pekerja yang menggunakan sijil palsu. - SG

Syria beri amaran negara asing jangan iktiraf Majlis Kebangsaan yang ditubuhkan pembangkang

DAMSYIK: Syria akan bertindak balas terhadap mana-mana negara yang mengiktiraf Majlis Kebangsaan Syria yang ditubuhkan pembangkang negara itu, kata Menteri Luar, Walid Muallem, semalam.
Kata Walid, Syria pasti mengambil langkah tertentu jika sebarang negara mengiktiraf “majlis haram” berkenaan.

“Ada beberapa kumpulan melakukan keganasan di Syria menyebabkan sejumlah orang syahid.

“Barat bercakap mengenai revolusi aman dan tidak mengakui kumpulan itu wujud, tetapi masih membekalkan mereka senjata,” katanya.

Ditubuhkan di Istanbul, Turki, akhir Ogos lalu, Majlis Kebangsaan Syria menyatukan semua kumpulan pembangkang utama negara itu, sama ada dari dalam atau luar negara.

Antara anggota majlis berkenaan ialah Jawatankuasa Penyelaras Tempatan (LCC), rangkaian aktivis merangsang protes massa, Ikhwanul Muslimin yang diharamkan sejak sekian lama, serta kumpulan mewakili Kurdis.


Seorang daripada anggota majlis itu - pemimpin Kurdis - Meshaal Tamo, dibunuh Jumaat lalu, sekali gus mencetuskan kecaman daripada Amerika Syarikat, Perancis, Kesatuan Eropah dan Turki.

Damsyik meletakkan kesalahan pembunuhan itu ke atas “kumpulan pengganas bersenjata.” Walid berkata, kematian Meshaal ada kaitan dengan pendirian pemimpin Kurdis itu yang menentang campur tangan asing di Syria.

Ditanya mengenai hubungan Damsyik - Ankara, Walid berkata, Syria tidak akan berdiam diri terhadap sesuatu tindakan Turki. - AFP

21 tahun hidup menipu

LONDON: Seorang lelaki tua menipu pejabat pencen sebanyak 90,000 pounds (RM380,000) dengan menuntut pencen ayahnya yang sudah mati selama 21 tahun.
David Seal, 78, memberitahu pegawai yang ayahnya, berusia 104 tahun jika masih hidup, berada di luar negara dan dia mengambil wang pencennya setiap minggu.
Semalam, dia dipenjara selama 12 bulan selepas megaku menipu dan mencuri wang pencen ayahnya selama 21 tahun.

Seal yang menduda, menuntut pencen mingguan ayahnya sejak ayahnya meninggal dunia pada 1989 pada usia 83 tahun.


Dia membuka akaun menggunakan nama ayahnya pada 1995 ketika sistem pembayaran ditukar dan wang dimasukkan terus ke dalam akaun.

Pendakwaraya Kevin Slack berkata: “Mahkamah terkejut kerana dia berjaya menitup sebegitu lama.” - AP

Kubur dendam

TEL AVIV: Berpuluh-puluh batu nisan di kawasan perkuburan Jaffa dirosakkan, selain diconteng dengan kata-kata mengecam Arab, semalam.
Menggunakan aksara Hebrew, antara kata-kata disembur pada kubur berkenaan ialah “Kematian kepada Arab” dan “Tanda harga” - slogan digunakan militan Yahudi yang menduduki secara haram Tebing Barat.

Istilah “tanda harga” merujuk kepada sebarang tindak balas Israel terhadap penempatan haram Yahudi di Tebing Barat yang dibangunkan tanpa kebenaran kerajaan Israel.

Sebelum ini, kumpulan terbabit pernah membakar beberapa masjid dan merosakkan harta Israel dan Palestin.

Jurucakap polis, Micky Rosenfeld, berkata siasatan dijalankan dan kawalan ditingkatkan di kawasan berkenaan.

“Kami melihat kepada siapa yang mungkin bertanggungjawab di sebalik tindakan itu,” katanya.


Sementara itu, puluhan warga Israel dan Palestin mengadakan protes terhadap serangan berkenaan dan seorang pemimpin tempatan menyalahkan penduduk Yahudi atas kejadian itu.

Jaffa adalah sebahagian daripada kawasan pendudukan purba Yahudi dengan populasi campuran Arab dan Yahudi.

Penduduknya pula menganut Islam dan Kristian.

Ahli Majlis Perbandaran Tel Aviv - Jaffa, Sami Abu-Shehadi, berkata pelampau di kalangan pendatang Yahudi melakukan tindakan sia-sia.

“Mereka mahu membawa konflik ke dalam Israel dan ini yang mereka lakukan,” katanya.

Isnin lalu, sebuah masjid di bahagian utara Israel dibakar dan diconteng dalam kejadian didakwa didalangi pendatang haram Yahudi. - Reuters

Pejuang kecewa diarah cuma kepung Bani Walid

BANI WALID: Bani Walid kekal sebagai kubu kuat Muammar Gaddafi walaupun bandar padang pasir itu kekurangan simbol bermakna terhadap bekas diktator terbabit berbanding Sirte.
Ketika matlamat menawan Bani Walid belum tercapai, kekecewaan memuncak di kalangan tentera Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC).

Pada masa sama, mereka masih tertunggu-tunggu arahan daripada pihak atasan sebelum memulakan gerakan ke bandar berkenaan.

Pejuang NTC ditempatkan kira-kira 40 kilometer dari pusat bandar Bani Walid sejak beberapa minggu lalu.

Mereka diberitahu, serangan ke atas Bani Walid hanya akan dimulakan selepas Sirte dirampas daripada pejuang yang setia kepada Gaddafi.

Seorang daripada tentera NTC berkata, ketua mereka sekadar mahu Bani Walid dikepung.


“Selepas Sirte dikuasai, pejuang Misrata akan datang membantu,” katanya. - AFP

Tukang kayu penggal isteri

PATNA (India): Seorang tukang kayu memenggal kepala isterinya dengan kapak kemudian berjalan beberapa jam dengan membawa kepala isterinya itu, sebelum ditahan polis.
Menurut polis, lelaki itu berang dengan isterinya yang enggan membawa anak perempuan mereka ke pusat kesihatan untuk mendapat suntikan vaksin.
Kejadian itu berlaku kelmarin di sebuah kampung terpencil Thakania di daerah Darbhanga, yang terkenal sebagai pusat budaya Bihar.

Tukang kayu itu, Hira Yadav, 30, dilapor selalu sering bertengkar dengan isterinya, Rina Devi, 25.


Yadav hilang sabar apabila isterinya menolak arahannya supaya membawa anak perempuan mereka ke klinik kesihatan sempena hari Vijayadashmi, hari memperingati pembunuhan Ravana oleh Rama yang menurut agama Hindu ialah hari kemenangan kebaikan melawan kejahatan.

Menurut laporan media, isterinya tidak mahu membawa anak perempuan mereka mendapatkan suntikan vaksin kerana dia mahu pergi ke pesta dan melihat patung Dewi Durga di tempat pemujaan.

Mereka terus bertengkar dan isterinya mengeluarkan kata kesat mengenai ibu Yadav. Ini membuatkan lelaki itu marah lalu menyerang isterinya dengan kapak dan memenggal kepala wanita itu.

Yadav kemudian berjalan ke tapak pesta dengan membawa kepala isterinya dan sebelah tangan lagi memegang kapak.
Orang kampung yang terperanjat, hanya mengekorinya dari jauh.

Anggota polis akhirnya menahan Yadav. Kepala isterinya dihantar untuk bedah siasat.
“Ini bukan kes bunuh dengan sengaja. Dia bertindak kerana terlalu marah,” kata penyiasat.

Penguasa Polis, Vikash Vaibhav berkata: “Tertuduh mengaku melakukan jenayah itu.

“Ia kes yang amat mengerikan,” katanya. - GN

Guna wang rompakan untuk nikmati piza, bir

YUMA (Arizona): Pihak berkuasa berkata mereka menahan seorang lelaki yang merompak sebuah bank di bandar ini sebelum membelanjakan sebahagian wang itu untuk bir dan piza di restoran berdekatan.
Henry Elmer, 56, kini ditahan di penjara atas pelbagai kesalahan merompak dan mencuri.
Polis menerima panggilan kecemasan daripada Bank Wells Fargo yang bertentangan dengan Balai Polis Yuma pada jam 1.30 petang, semalam.

Lelaki itu dilapor masuk ke bank, mengeluarkan pisau kecil dan melarikan sejumlah wang.


Polis berkata, mereka memberkas Elmer sebelum dia sempat menjamah piza itu. - AP

Jemaah maut jatuh tingkat 9

KUALA LUMPUR: Seorang jemaah haji wanita Malaysia meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat sembilan hotel penginapannya di Hotel Al-Haram di Madinah, Arab Saudi, kira-kira jam 4 petang waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia), kelmarin.
Sumber memberitahu, mangsa yang berasal dari Selangor, bersama suaminya ke Makkah untuk menunaikan Rukun Islam kelima.

Katanya, sebelum kejadian, mangsa dikatakan berada dalam biliknya di tingkat sembilan hotel berkenaan.

“Mangsa dipercayai terjatuh dari biliknya sebelum meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Tabung Haji ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.


Sementara itu, seorang jemaah haji Malaysia yang turut menetap di hotel sama, Mohd Faizal Mohd Noor berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan ke Masjid Nabawi, tidak jauh dari hotel itu untuk menunaikan solat Asar.

Katanya, dia ternampak mangsa terjatuh dari bilik hotelnya dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pukul adik sampai mati


PERIKSA...anggota polis memeriksa di sekitar kawasan rumah mangsa.
PERIKSA...anggota polis memeriksa di sekitar kawasan rumah mangsa.
KUALA KUBU BHARU: Gara-gara tidak puas hati apabila barang kemas yang digadai gagal ditebus adik, seorang wanita disyaki membelasah adiknya sehingga mati dalam kejadian di Kuarters Pejabat Haiwan, Taman Golden Wood, Ulu Bernam, dekat sini.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 11 malam kelmarin, mangsa, Gurmet Kaur Sedara Singh, 41, dan kakaknya menjamu selera di rumah mereka sebelum berlaku pertengkaran.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norell Azmi Yahya Afendy, berkata kakak mangsa berusia 44 tahun dan tinggal serumah dengan mangsa bersama tiga lagi ahli keluarga mereka, dipercayai tidak puas hati apabila barang kemas miliknya gagal ditebus mangsa.

“Perselisihan faham di antara dua beradik itu serta suami mangsa yang berusia 57 tahun bermula sejak petang sebelum menjadi semakin serius pada waktu malam.


“Mangsa dan kakaknya itu bergelut sebelum suspek disyaki membelasahnya sehingga mati. Mayat mangsa ditemui telentang di atas katil bilik tidurnya dengan kesan bengkak di muka dan berdarah pada hidung serta mulut kira-kira jam 7 pagi tadi (semalam),” katanya.

Disamun ketika keluar kereta

KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah berdepan detik menakutkan apabila disamun sebaik keluar dari keretanya di depan rumah rakan di Bandar Baru Sri Petaling, kelmarin.
Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, mangsa berusia 57 tahun itu mahu berjumpa dengan rakannya dan meletakkan kenderaannya di tepi jalan.

Menurut sumber, beberapa saat selepas mangsa membuka pintu kenderaannya, dua lelaki dipercayai warga Indonesia menghampiri kenderaannya sebelum seorang daripadanya membuka pintu penumpang hadapan dan cuba merampas telefon bimbit mangsa.

“Suspek gagal merampas telefon bimbit mangsa kerana wanita terbabit melawan, namun suspek sempat melarikan beg tangan milik mangsa sebelum lari dengan menunggang motosikal,” katanya.

Sumber berkata, mangsa kerugian RM17,000 dan mengalami bengkak di tangan dan bahunya berikutan tindakannya melawan suspek terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid (gambar) ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan (Kk) kerana kesalahan samun berkawan,” katanya.

Tunjuk lagak

KUALA LUMPUR: Seorang wanita berusia 30-an dan seorang lelaki dipercayai warga Singapura berusia 62 tahun memarahi seorang pegawai polis gara-gara tidak berpuas hati kerana disaman.
Kedua-dua insiden itu berlaku selepas mereka dikenakan saman atas kesalahan melanggar lampu isyarat dalam Operasi Bersepadu di persimpangan Jalan Sultan Ismail-Bukit Bintang, petang semalam.
Operasi bersepadu yang dijalankan dengan arahan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) disertai tiga agensi iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membabitkan 50 pegawai dan anggota.

Difahamkan, lelaki terbabit turut gagal mempamerkan lesen memandu dan hanya membawa pasport ketika itu, menyebabkan dia keluar kereta dan berjumpa dengan seorang pegawai polis bagi meluahkan perasaan tidak puas hati.

Maut cuba lari dari polis

KLANG: Kerana mahu mengelak daripada ditahan, seorang suspek kes dadah, mati selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah hotel di sini, pagi semalam, manakala tiga lagi suspek kes sama ditahan polis dalam satu serbuan Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, di hotel itu.
Lelaki berusia 39 tahun itu terjatuh selepas dipercayai tergelincir ketika memanjat keluar dari tingkap pengudaraan bilik air di bilik didiaminya sewaktu cuba mengelak daripada diberkas anggota polis yang melakukan serbuan.
Turut ditemui pada mayat lelaki tempatan yang hanya memakai seluar jeans itu adalah beberapa peket dadah.

Siasatan awal mendapati lelaki itu mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan curi motosikal.


Bilik yang didiami lelaki itu sejak kelmarin adalah bilik kedua diserbu selepas anggota polis menyiasat di sebuah bilik berdekatan dengan bilik berkenaan dan menahan dua lelaki tempatan berusia antara 30 dan 50 tahun bersama sejumlah peket dadah.

Suami cekup isteri bersama 2 lelaki di bilik tidur

KUALA LUMPUR: Luluh hati seorang suami berusia 32 tahun apabila menangkap isterinya sedang ‘berpesta’ arak di dalam bilik di rumahnya di Pantai Dalam, di sini, bersama dua lelaki tidak dikenali, Khamis lalu.
Lebih mengejutkan, pemeriksaan lanjut si suami di dalam bilik itu menemui puluhan botol dan tin arak disembunyikan dalam almari di bilik tidurnya itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, berang dengan tindakan isterinya berusia lewat 20-an itu, si suami menghalau kedua-dua lelaki terbabit sebelum membuat laporan di Balai Polis Pantai, di sini.

Menurut sumber, si suami yang baru pulang dari kerja berasa curiga apabila melihat dua pasang kasut lelaki di hadapan pintu rumahnya.

“Sebaik masuk ke dalam rumah, lelaki terbabit mendengar bunyi gelak tawa dari dalam bilik tidurnya. “Si suami terkejut apabila melihat isterinya dan dua lelaki tidak dikenali berada dalam keadaan khayal di dalam bilik tidurnya. “Si suami menghalau kedua-dua lelaki terbabit sebelum menemui puluhan tin dan botol arak disembunyikan dalam almari di bilik itu menyebabkan mereka bertengkar hampir 20 minit,” katanya.

3 samun wang ATM

SHAH ALAM: Tiga lelaki termasuk dua yang menyamar memakai seragam kakitangan syarikat keselamatan melarikan RM400,000 untuk mesin juruwang automatik (ATM) di stesen minyak di Bukit Jelutong, di sini, tengah hari semalam.
Kejadian jam 12 tengah hari itu berlaku selepas kejadian hampir sama di sebuah stesen minyak di Ijok, Kuala Selangor, apabila sekumpulan lima lelaki terbabit dalam rompakan van keselamatan yang membawa RM2.2 juta, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob, ketika dihubungi berkata, ketiga-tiga suspek menaiki kereta yang belum dikenal pasti dan berhenti berdekatan stesen minyak berkenaan.

Difahamkan, polis masih mencari kenderaan yang digunakan dalam kejadian itu berikutan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di stesen minyak kabur.


Ketika kakitangan syarikat keselamatan membawa wang untuk mesin ATM di stesen minyak di Bukit Jelutong itu, dua suspek yang dipercayai tidak bersenjata mengheret dua pengawal keselamatan syarikat itu masuk ke dalam kereta bersama-sama RM400,000 dan pistol milik syarikat itu.

Hilang punca rezeki

PEKAN: “Saya kini hilang punca pendapatan menyara keluarga selepas bot sebelum ini digunakan menangkap ikan kini musnah selepas terbakar malam kelmarin.
“Selain bot, pelbagai peralatan lain seperti joran, mesin mengesan ikan, peralatan perhubungan dan sistem pengesan global (GPS) digunakan mencari rezeki turut musnah sekelip mata,” kata, Syed Mohd Khusairi Syed Abd Rahman, 46, mangsa bot terbakar di jeti Kampung Marhum, dekat sini.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, empat bot nelayan tempatan kelas A ditempatkan di jeti berkenaan musnah terbakar dipercayai dipanah petir menyebabkan kerugian lebih RM140,000. Menurutnya, ketika kejadian, dia baru tiba di rumah di Kuala Pahang selepas menyediakan persiapan seperti minyak diesel, umpan memancing dan air batu sebelum ke laut.

“Hanya Tuhan saja tahu perasaan saya apabila dimaklumkan bot saya terbakar.

“Tiba sahaja di tempat kejadian, hancur luluh hati saya apabila melihat hampir keseluruhan bot saya musnah sementara tiga bot lain sedang marak terbakar dan usaha memadam kebakaran sukar dilakukan disebabkan angin kencang.

“Malah, minyak diesel dalam tong simpanan di setiap bot menyebabkan api mudah merebak selain sukar untuk dipadam,” katanya yang mengalami kerugian lebih RM50,000.


Syed Mohd Khusairi berkata, kebakaran dipercayai berpunca dari satu bot berkenaan yang dipanah petir dan api kemudian cepat merebak menyambar bot berhampiran.

“Saya kini hilang pendapatan dan buntu memikirkan sumber kewangan menyara keluarga.

“Saya merayu kepada pihak yang prihatin dapat menghulurkan bantuan untuk kami memulakan semula hidup sebagai nelayan yang dilakukan sejak turun temurun,” katanya yang sebelum ini meraih pendapatan antara RM800 hingga RM1,000 sebulan.

Rakannya, Abdul Ghafar Ismail, 52, berkata kejadian berlaku begitu pantas dan tidak sempat menyelamatkan botnya.

2 beradik, rakan melambung dirempuh kereta

KUALA LUMPUR: Tersalah masuk simpang dipercayai menjadi punca dua penunggang motosikal dan seorang pembonceng maut akibat menunggang menentang arus di Kilometer 2.7 Lebuhraya Damansara-Puchong arah Petaling Jaya, awal pagi semalam.
Mereka bertindak berani mati selepas menyedari tersalah memasuki simpang sebelum bertindak memecut di laluan paling kanan lebuh raya berkenaan yang ketika itu lengang.

Malangnya, tindakan itu mengundang padah apabila mereka merempuh sebuah kereta yang berada di lorong sama kira-kira 300 meter dari plaza tol.

Dalam kejadian jam 3.45 pagi itu, mangsa, Mazlan anak Relup, 34, membonceng adiknya, Ngah anak Relup, 30, serta rakan mereka, Bah Juli anak Bah Muning, 29, maut di tempat kejadian.

Difahamkan, akibat rempuhan kuat itu, ketiga-tiga mangsa melambung dan tercampak di atas jalan raya manakala motosikal yang ditunggang remuk.

Jurucakap polis trafik Petaling Jaya berkata, mangsa dikatakan baru selesai menghadiri satu majlis perkahwinan seorang rakan di Bukit Lanjan, namun gara-gara tidak mahir dengan laluan di situ mereka tersilap memasuki simpang dan menentang arus.


“Mangsa dipercayai menunggang dengan laju dengan harapan mereka dapat mencari jalan keluar dari lebuh raya berkenaan, namun tidak sempat berbuat demikian apabila merempuh sebuah kereta di laluan sama.

Katanya, kereta Honda City itu dipandu seorang remaja berusia 17 tahun yang baru empat bulan memiliki lesen memandu.

“Remaja berkenaan bersama dua rakannya yang lain dalam perjalanan dari Bandar Sri Damansara menuju ke Damansara dan baru saja melepasi plaza tol.

“Berdasarkan alamat pada kad pengenalan, pasangan adik-beradik yang bekerja sebagai pekerja bengkel berasal dari Kampung Pos Titom, Kuala Lipis, Pahang manakala rakan mereka dari Sungkai, Perak,” katanya.

Katanya, mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat.

Bidik tupai kena mentua

RANAU: Rasa tidak tenteram dan curiga seorang lelaki apabila melihat kesan luka di pipi mayat sepupu berusia 50 tahun yang dimandikannya, membongkar kisah saudaranya itu yang dipercayai maut selepas ditembak secara tidak sengaja ketika memburu tupai sebelum dikebumikan menantunya pada 24 September lalu.
Walaupun jenazah Wahimin Usat, 50, sudah dikebumikan di Kampung Lobau Lama, di sini, ia menimbulkan pelbagai persoalan di benak sepupunya yang kemudian nekad membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau, Khamis lalu. Menurut sumber, mangsa dipercayai keluar memburu bersama menantunya berusia 36 tahun di sekitar hutan di Kampung Lobau Lama, di sini, sebelum lelaki terbabit melepaskan satu das tembakan sebaik melihat tupai.

“Suspek yang menyangka tupai terbabit sudah berjaya ditembak kemudian cuba mengambilnya, tetapi terkejut apabila melihat tubuh bapa mentuanya berlumuran darah dan terbaring tidak bernyawa,” katanya.

Malah, katanya, suspek yang panik kemudian membawa jasad bapa mentuanya berlumuran darah itu pulang ke rumah sebelum menyiapkan keperluan dan terus mengebumikan lelaki terbabit.

Menurutnya, suspek dipercayai enggan membuat laporan polis kerana bimbang dikenakan hukuman manakala ahli keluarga yang bergantung harap kepada suspek juga bimbang untuk membuat laporan.

“Bagaimanapun, rahsia perbuatan suspek terbongkar apabila sepupu mangsa menemui kesan luka di pipi ketika memandikan mayat mangsa sebelum membuat laporan polis,” katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Sahriff Abd Wahid, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan menyatakan polis masih menjalankan siasatan.

“Polis menerima laporan jam 10.40 pagi pada 6 Oktober lalu dan bergegas ke tempat kejadian, sebelum menahan lelaki terbabit untuk siasatan lanjut.

“Buat masa ini, kita masih menunggu arahan mahkamah bagi menggali semula kubur mangsa untuk mengenal pasti punca kejadian,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Sahriff berkata, siasatan awal mendapati, suspek dipercayai secara tidak sengaja tertembak mangsa yang juga bapa mentuanya ketika memburu di kawasan hutan di Kampung Lobau Lama.

Menurutnya, suspek dipercayai melepaskan tembakan sebaik melihat seekor tupai dan terkejut melihat bapa mentuanya terbaring dengan kesan darah di badan ketika mahu mengambil haiwan itu.

“Suspek kemudian dikatakan membawa pulang mayat mangsa dan mengebumikannya,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini, suspek masih direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Wanita serang jiran lelaki

KUALA LUMPUR: Tindakan lelaki meletakkan motosikalnya berdekatan kereta milik jiran tidak sampai 15 minit bertukar kecoh selepas pemilik kereta berkenaan yang juga wanita menyerangnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Raya Permai, Sungai Besi, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 4.20 petang itu, mangsa berusia 33 tahun itu meletakkan motosikal jenis Suzuki dalam kawasan perumahan berkenaan tanpa menghalang laluan jalan ataupun kenderaan lain.

Sumber berkata, selang 15 minit ketika mangsa hendak mengambil motosikalnya, wanita yang juga jirannya berusia 30-an mendekatinya.

“Wanita berkenaan memarahi mangsa kerana meletakkan motosikal berdekatan keretanya sebelum menolak motosikal mangsa sehingga pecah cermin sisi dan bahagian depan,” katanya.

Menurutnya, wanita itu menolak mangsa sebelum menendang dan memukulnya dengan kasut.

Mangsa cedera di badan serta muka dan menerima rawatan di klinik swasta berdekatan kawasan perumahan sebelum membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Merajuk bawa mati

KODIANG: Seorang warga emas merajuk hingga mati apabila mayatnya dijumpai di Kampung Kubang Lintah, Padang Perahu, dekat sini, semalam, selepas dia meninggalkan rumah sejak enam hari lalu kerana merajuk dengan seorang anaknya yang menjual lembu miliknya.
Mat Zain Mahmud, 80, dikatakan keluar dari rumahnya di kampung berkenaan Selasa lalu selepas kecewa dengan tindakan seorang daripada lima anaknya menjual sebahagian daripada tujuh lembu yang dipelihara tanpa pengetahuannya.
Mangsa keluar berjalan kaki ke ladang getah dan hutan berhampiran rumahnya sebelum mayatnya yang lengkap berpakaian dijumpai kira-kira jam 11 pagi semalam, 500 meter dari rumahnya.

Harian Metro yang turut menyertai operasi mencari bersama polis dengan bantuan anjing pengesan menemui mayat Mat Zain dalam keadaan mengiring di dalam hutan berkenaan.


Operasi mencari oleh 15 anggota polis diketuai Asisten Superintendan Mohd Khairi Kamil menjumpai mayat Mat Zain yang masih berpakaian lengkap iaitu berkemeja-T putih dan berseluar biru gelap serta memakai but getah. Namun terdapat kesan kecederaan di tangan kirinya dipercayai akibat digigit haiwan.

Anak makan nasi empat pinggan sebelum lemas

KEPALA BATAS: Seorang bapa tidak menyangka selera makan luar biasa anak lelakinya yang menghabiskan nasi sehingga empat pinggan tengah hari kelmarin, petanda dia akan kehilangan anak ke-11 itu akibat lemas ketika mandi di muara Sungai Muda, Penaga, dekat sini.
Mangsa, Mohd Hafiz Mustapa dan rakannya, Muhamad Harraz Bukhori, kedua-duanya berusia 13 tahun lemas ketika mandi bersama 13 rakan lain di sungai berkenaan, jam 5 petang kelmarin.

Bapa mangsa, Mustapa Mohd Akhir, 58, nelayan dari Taman Seri Damai, berkata kali terakhir berjumpa anaknya itu ketika pulang ke rumah jam 1 tengah hari kelmarin.

“Ketika saya di rumah, dia (Mohd Hafiz) tidak beritahu akan ke sungai bersama rakannya. Yang saya tahu dia makan nasi sehingga empat pinggan.

“Waktu itu saya tidak nampak ia sebagai luar biasa walaupun agak terkejut apabila diberitahu mengenai seleranya itu.

“Bagaimanapun, kira-kira jam 6 petang, saya terkejut apabila dimaklumkan dia (Mohd Hafiz) lemas ketika mandi di Sungai Muda,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.


Dalam kejadian petang kelmarin, Mohd Hafiz, pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Tok Labu, Muhamad Harraz dan 13 rakan mereka ke muara sungai berkenaan selepas menjalani latihan silat.

Mereka dikatakan mandi pada jarak 10 meter dari tebing sungai tanpa disedari terdapat curam selain arus kuat walaupun ketika itu air laut ‘mati’.

Rakan mangsa, Mohd Fakri Shamsudin, 12, berkata mulanya dia nampak Mohd Hafiz hampir lemas dan cuba menyelamatkannya, tetapi gagal.

“Saya tarik tangannya untuk ke tepi tetapi dia (Mohd Hafiz) suruh saya melepaskannya kerana kakinya mengalami kekejangan. “Hanya beberapa minit kemudian saya terus dapati dia terus tenggelam seperti ditarik sesuatu,” katanya. Difahamkan, Muhamad Harraz yang melihat kejadian itu cuba menyelamatkan Mohd Hafiz, tetapi dia sendiri turut tenggelam.

Seorang lagi rakan mangsa, Amirul Hakimi Mohd Fauzi, 12, berkata dia cuba mencari kayu sebaik menyedari Mohd Hafiz hampir lemas tetapi tidak berhasil menyelamatkan rakannya itu.

“Saya menjerit meminta tolong sebaik ternampak orang di tepi pantai, namun sudah terlewat kerana Mohd Hafiz dan Muhamad Harraz sudah hilang.

“Kami sedih dengan kejadian ini dan tidak sangka akan kehilangan dua rakan serentak. Saya dan rakan lain sudah serik dan tidak mahu mandi sungai lagi,” katanya. Bapa Muhamad Harraz, Bukhori Mohamad, 48, berkata anak lelaki tunggal daripada empat beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian.

“Setahu saya dia boleh berenang, tetapi dalam air apa pun boleh berlaku,” katanya sambil menahan sedih. Sementara itu, operasi mencari bermula jam 6 petang kelmarin, membabitkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat diketuai Pegawai Operasi, Yusmin Mohd Yusof, polis marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta 20 bot nelayan Kuala Muda.

Peniaga dibelasah, kereta dilarikan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mendakwa kerugian hampir RM160,000 selepas dibelasah dan disamun sekumpulan empat lelaki di susur masuk ke Taman Desa, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 9 malam itu, mangsa yang berusia 37 tahun memandu kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux menuju Cheras.

Menurut sumber, setibanya mangsa di susur masuk ke Taman Desa, sebuah kereta Honda Civic tiba-tiba melanggar kenderaan dipandunya dari belakang sebelum dia memberhentikan kenderaan berkenaan.

“Mangsa, seorang ahli perniagaan, turun dari kenderaan berkenaan untuk menyelesaikan perkara itu dengan pemandu kereta terbabit.

“Bagaimanapun, tidak sempat berbuat apa-apa, empat suspek yang menaiki kereta terbabit membelasah mangsa dengan menumbuk dan menendangnya sebelum meninggalkan mangsa di tepi jalan dan melarikan kenderaannya,” katanya.

Menurutnya, selain kenderaan itu, barangan mangsa seperti tiga telefon bimbit, buku cek, cermin mata berjenama serta duit syiling lebih RM300 di dalam kenderaan berkenaan turut dilarikan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Mengada-ngada rakam operasi

SAMAN...anggota Unit Kuatkuasa Khas Polis Trafik Kuala Lumpur mengeluarkan saman kepada penunggang motosikal, semalam.
SAMAN...anggota Unit Kuatkuasa Khas Polis Trafik Kuala Lumpur mengeluarkan saman kepada penunggang motosikal, semalam.
KUALA LUMPUR: Seorang penjawat awam bersama tiga rakannya yang merakam Ops Samseng Jalanraya di Jalan Gereja/Dataran Merdeka, di sini, semalam menerima padah apabila kamera videonya dirampas.
Difahamkan, ketika Unit Kuatkuasa Khas Polis Trafik Kuala Lumpur (U3K) dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjalankan operasi yang bermula jam 12.30 tengah malam hingga 3.30 pagi itu, sebuah Perodua Myvi hitam yang dipandu seorang penjawat awam memasuki kawasan berkenaan.

Seorang penumpang kereta terbabit pula dilihat merakam perjalanan operasi berkenaan dan apabila tindakan penumpang itu ditegur seorang anggota polis yang bertugas, pemandu terbabit memaki-hamun anggota berkenaan.

Bagaimanapun, kumpulan itu tidak bernasib baik apabila ditahan dalam sekatan jalan raya itu dan apabila disoal, penjawat awam terbabit pada mulanya menjawab dia tidak mengetahui mengenai tindakan rakannya itu, malah menafikan mereka membuat kesalahan.

Ketua Unit Kuatkuasa Khas Trafik Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Azmi Wahid, berkata meskipun pemandu terbabit penjawat awam, pihaknya tidak berkompromi dengannya kerana tindakan kumpulan itu menyalahi undang-undang dan disebabkan itu pihaknya merampas kamera video milik mereka.

“Pemeriksaan lanjut mendapati mereka merakam perjalanan operasi dan bagi mengelakkan mereka menyebarkan rakaman berkenaan, kami memadamkan semua rakaman dalam kamera video itu.


“Selepas diberi amaran, kamera video itu diberikan balik bagaimanapun sekiranya kami mendapati rakaman terbabit disebarkan tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka,” katanya selepas operasi berkenaan, semalam.

Sementara itu, gara-gara panik dan bimbang ditahan dalam operasi berkenaan, beberapa Mat Rempit nekad menggadai nyawa serta membahayakan pengguna lain apabila cuba meloloskan diri dengan menunggang motosikal melawan arus.

Ada juga pemandu kereta yang meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan bagi mengelak melalui kawasan sekatan tanpa menyedari pihak berkuasa bersedia di seluruh kawasan itu.

Azmi berkata, dengan kekuatan dua pegawai dan 14 anggota kedua-dua jabatan berkenaan, pihaknya melakukan pemeriksaan ke atas 330 kenderaan termasuk motosikal.

“Polis menyita lima motosikal dan mengeluarkan 85 saman atas pelbagai kesalahan termasuk ubah suai nombor plet, tidak memiliki lesen dan cukai jalan tamat tempoh,” katanya selepas tamat operasi di sini.

Kakak tak puas hati wang gadai gelang pukul adik hingga mati





2011/10/10

HULU SELANGOR: Pertengkaran antara dua beradik akibat salah faham berhubung wang hasil gadaian seutas gelang emas berakhir dengan tragedi, apabila kakak mangsa yang tidak puas hati dipercayai memukul adiknya hingga mati dalam kejadian di kuarters Pusat Haiwan Kecil Hulu Bernam di sini, malam kelmarin. 

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa, Gurmeet Singh Sedara Singh, 41, ditemui mati dalam keadaan terlentang di atas katil dengan kesan kecederaan di bahagian muka dan mulut dalam sebuah bilik rumah kuarters itu yang didiami adik beradik berkenaan bersama tiga lagi ahli keluarga mereka.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, suspek yang berusia 44 tahun dan tinggal bersama mangsa dipercayai tidak berpuashati apabila barang kemas miliknya itu gagal ditebus selepas mangsa menggadaikan.
“Difahamkan kedua-dua adik beradik itu serta suami mangsa yang berusia 57 tahun bergaduh sejak petang sebelum pertengkaran antara mereka memuncak kira-kira jam 11 malam tadi (kelmarin) hingga berlaku pergelutan antara kedua-duanya. 

“Kita percaya suami mangsa terbabit secara langsung dalam pertengkaran itu kerana dia turut berada di tempat kejadian namun kita masih meneruskan siasatan. Kita syak mangsa dipukul dan ditumbuk sehingga mati kerana tiada senjata ditemui di tempat kejadian, ” katanya di sini, semalam. 

Katanya, ketika kejadian hanya terdapat ibu mangsa yang berusia 70-an dan anak bongsu pasangan itu yang berusia 11 tahun di kuarters berkenaan kerana empat lagi anak pasangan itu tidak lagi tinggal bersama. 

Norel berkata, pihak polis hanya dihubungi kira-kira jam 8 pagi oleh salah seorang ahli keluarga mangsa memaklumkan perkara itu sebelum menahan kedua-dua suspek yang menyerah diri di tempat kejadian. Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat. 
Sementara itu, anak sulong mangsa, Shareendra, 24, berkata ketika kejadian beliau tiada di rumah kerana keluar bersama rakannya selepas pulang ke kediaman ibu bapanya itu sempena cuti hujung minggu. 

“Bila saya balik ke rumah kira-kira jam 8 pagi, saya diberitahu oleh bapa dia jumpa mayat ibu saya di atas lantai dengan keadaan mulut berdarah, muka bengkak dan bahagian belakangnya cedera sebelum mengangkatnya ke atas katil, ” katanya. 

Universiti haram purdah kena serbu





2011/10/10

TUNIS: Sekumpulan aktivis menyerbu sebuah universiti di Tunisia, Sabtu lalu, kerana enggan menerima kemasukan seorang pelajar wanita berpurdah, mendedahkan suasana tegang dalam isu agama yang dijangka menjadi fokus pilihan raya bulan ini. 

Pilihan raya Tunisia bermula pada 23 Oktober, pilihan raya pertama sejak pemberontakan penduduk meletus di beberapa negara Arab. Pilihan raya terbabit ditandingi penyokong pelaksanaan undang-undang agama dengan penduduk sekular yang percaya nilai liberal terancam.
“Setiausaha Agung universiti diserang pagi ini oleh sekumpulan pelampau agama,” kata Moncef Abdul Jalil, seorang ketua fakulti di universiti Sousse, kira-kira 150 kilometer ke selatan ibu negara Tunisia.
Kira-kira 200 penduduk membuat bantahan di luar fakulti dan menyerbu bangunan sambil membawa kain rentang menuntut hak pelajar untuk memakai purdah, kata Abdul Jalil yang dipetik agensi berita TAP. 

“Kejadian ini menyebabkan ramai pelajar dan profesor risau,” katanya. 
Saksi memberitahu, selepas kejadian itu, ramai anggota pasukan keselamatan mengepung bangunan fakulti untuk menghalang keadaan lebih teruk. 

Pergaduhan di Sousse menyebabkan kemarahan ahli sekular menerusi Facebook. Berikutan gesaan secara online bagi bantahan balas, kira-kira 200 wanita berhimpun di El-Menzah. – Reuters 

Protes antirasuah di 1,000 kota





2011/10/10

PENUNJUK perasaan 'Occupy Portland' berhimpun di tengah bandar Jumaat lalu   bagi menyokong pergerakan 'Occupy Wall Street'.
PENUNJUK perasaan 'Occupy Portland' berhimpun di tengah bandar Jumaat lalu bagi menyokong pergerakan 'Occupy Wall Street'.
Pentadbiran Republikan, Demokrat dianggap lindungi golongan kaya 

WASHINGTON: Bantahan anti rasuah dan korporat di Amerika Syarikat bermula di Wall Street, New York, kini dilaporkan meletus di lebih 1,000 bandaraya di seluruh negara itu.
Pergerakan ‘Occupy Wall Street’ memulakan demonstrasi empat minggu lalu dan meneruskan perhimpunan sehingga sekarang dengan menuntut kerajaan segera mengarahkan tentera pulang bagi mengurangkan perbelanjaan sejajar dengan keadaan ekonomi yang malap ketika ini.
Sehingga pagi Jumaat lalu, halaman web ‘Occupy Together’, hab pergerakan ‘Occupy Wall Street’ melaporkan perhimpunan di 1,000 bandaraya, lapor kumpulan Democracy Now. 

“Pada masa ini, saya tidak nampak perbezaan antara George Bush and (Barack) Obama. Golongan kelas pertengahan semakin teruk sejak Obama dipilih,” kata John Penley yang diberhentikan kerja dalam bidang guaman di Brooklyn. 

“Beliau sepatutnya mengambil dasar popular dan agresif sejak awal lagi dengan menghalang bonus kepada pegawai Wall Street dan tidak cuba membantu bank yang bermasalah,” kata Michael Kazin, profesor sejarah Universiti Georgetown yang menulis buku ‘American Dreamers.’ 

“Tetapi, apa yang paling utama ialah ekonomi tidak semakin baik dan itulah yang menjadi sebab utama semua orang kecewa,” katanya lagi. 
Pada Khamis lalu, aktivis memulakan bantahan ‘Oktober 2011’ dengan menduduki Plaza Freedom di Washington DC. Penunjuk perasaan terbabit antara lain membantah pengaruh negatif pemimpin korporat, pengangguran, kemiskinan dan ketidaksamaan sosial di Amerika. 

Mereka menyalahkan amalan Wall Street dan pengaruh korporat dalam dasar Rumah Putih yang memburukkan lagi krisis ekonomi Amerika. 

“Kita perlu hentikan pelaburan dalam penswastaan. Kita sepatutnya merasa bimbang terhadap nasib 99 peratus penduduk. Kita perlu labur wang kita untuk program kebajikan sosial,” kata seorang penunjuk perasaan. 

Semua ahli pergerakan ‘Occupy Wall Street’ berikrar untuk meneruskan bantahan mereka sehingga musim sejuk akan datang. 

Penunjuk perasaan menggunakan slogan ‘Kami adalah 99 peratus’ untuk menarik perhatian kepada fakta mereka bukan sebahagian daripada satu peratus penduduk Amerika yang memegang kekayaan dalam negara itu. 

Penunjuk perasaan membantah pengagihan kekayaan dan kuasa di kalangan kumpulan minoriti di negara itu, kata pengarang ‘Occupied Wall Street’, Arun Gupta kepada Press TV. – Agensi 

PIBG rayu SK Jelai diganti baru



Oleh Nurhayati Abllah
bhnews@bharian.com.my
2011/10/10

 KEADAAN  SK Jelai Batu Kurau yang terbakar pada 25 Ogos 2010.
KEADAAN SK Jelai Batu Kurau yang terbakar pada 25 Ogos 2010.
Murid guna bangunan usang selepas sekolah terbakar setahun lalu 

BATU KURAU: Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Jelai, di sini, terpaksa menggunakan bangunan papan usang berusia lebih 100 tahun sebagai tempat belajar sementara berikutan bangunan sekolah mereka yang terbakar setahun lalu tidak dibaik pulih.
Lebih malang, lebih 300 penghuninya yang dikategorikan dalam sekolah rendah gred A di daerah itu turut berdepan dengan risiko dihempap runtuhan kayu kerana premis yang diduduki sekarang ini terlalu daif.
Naib Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Zainal Abidin Mohd Kassim, 42, berkata murid dan semua kakitangan sekolah itu terpaksa menggunakan bangunan sekolah lama berusia lebih 100 tahun kerana bangunan utama terbakar sejak setahun lalu belum dibaik pulih. 

“Sejak kebakaran berlaku pada 25 Ogos tahun lalu, sebahagian daripada 287 murid terpaksa meneruskan sesi pembelajaran di bangunan papan usang yang dibina pada 1878 terletak berhampiran bangunan yang terbakar. Pihak pentadbiran sekolah juga terpaksa ‘mengorbankan’ bilik komputer untuk dijadikan bilik guru besar yang baru selain mengubah suai makmal sains untuk kegunaan bilik guru. 

“Kami tidak ada pilihan selain menggunakan bangunan lama kerana murid terpaksa meneruskan pelajaran, manakala guru serta kakitangan sekolah perlu menjalankan tugas masing-masing,” katanya ketika ditemui, kelmarin. 

Zainal Abidin berkata, situasi ini mengecewakan masyarakat setempat khususnya di kalangan ibu bapa kerana menyifatkan masalah itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh mengancam penghuni sekolah, selain menimbulkan ketidakselesaan kepada pelajar dan guru. 
“Bangunan terbakar itu dibiarkan tanpa sebarang usaha baik pulih. Kami sedih dengan sikap sambil lewa beberapa pihak termasuk individu harapan kami yang sepatutnya menjaga kebajikan serta kepentingan penduduk di daerah ini langsung tidak mengendahkan masalah itui,” katanya. 

Zainal berkata, pihak berkaitan mungkin mengandaikan masalah itu tidak merumitkan, sedangkan bangunan terbakar itu turut menempatkan bilik guru besar, penolong kanan, penolong kanan hal ehwal murid dan kokurikulum, pusat sumber dan enam bilik darjah. 

Sementara itu, bapa kepada seorang murid yang juga penduduk di situ, Mamat Abdullah, 51, turut berpendapat masalah itu perlu diselesaikan secepat mungkin dan bangunan baru perlu dibina bagi memastikan keselesaan murid untuk belajar dengan lebih baik. 

“Saya hairan bagaimana ada pihak mencadangkan bangunan terbakar itu hanya perlu dibaik pulih tanpa dibina baru sedangkan keputusan Jabatan Bomba dan Penyelamat Batu Kurau memutuskan bangunan itu tidak boleh digunakan lagi. 

“Bangunan terbakar itu perlu diroboh dan digantikan yang baru atas tapak asal. Kami bukannya mahu bangunan untuk dijadikan premis hiburan tetapi ia tempat untuk murid dan guru sekolah belajar serta bertugas dengan selesa,” katanya. 

Curi untuk bayar hutang DVD lucah



ST PAUL, Amerika Syarikat (AS) - Seorang remaja berusia 18 tahun, Amanda Owens (gambar) yang bekerja sebagai pengasuh kanak-kanak dituduh memecah masuk ke rumah jirannya untuk melarikan beberapa barang berharga bagi menampung perbelanjaannya membeli cakera video digital (DVD) lucah.
Menurut beberapa buah akhbar kelmarin, dia ditangkap selepas jirannya itu, Darin Pake, 44, yang mengupahnya sebagai pengasuh kanak-kanak memasang kamera pemantauan di rumahnya di sini.
Menurut Pake, dia melakukan tindakan tersebut selepas mengetahui beberapa barang miliknya hilang seperti kamera, beg dan sejumlah wang.
Imej rakaman kamera pemantauan tersebut menunjukkan Amanda merangkak ke dalam rumahnya selepas memasukinya dari lubang untuk anjing di pintu kediamannya.
Pake kemudian menghubungi polis menyebabkan Amanda disoal siasat.
Amanda mengaku, dia membeli 20 hingga 30 DVD lucah dan merancang untuk menjual barang berharga bagi mendapatkan wang bagi membayar hutang pembelian filem porno itu.
Owens didakwa melakukan rompakan dan berdepan dengan penjara sehingga 10 tahun dan denda AS$20,000 (RM63,120) jika didapati bersalah. - Agensi

Arena laga ayam rosak dibom



BEBERAPA penyiasat tentera dan polis memeriksa lokasi sebuah arena laga ayam yang dibom di bandar Zamboanga, Filipina semalam.


ZAMBOANGA, Filipina - Dua letupan besar yang dipercayai daripada bom buatan sendiri telah menyebabkan sebuah rumah tumpangan dan gelanggang laga ayam rosak di selatan Filipina menyebabkan sebelas orang cedera.
Letupan pertama berlaku pada waktu tengah hari di tingkat bawah sebuah hotel dua tingkat, Red Palm di Zamboanga, sebuah bandar bergolak di Mindanao.
"Ia merupakan satu letupan yang amat besar. Enam kawan saya cedera dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan apabila satu dinding runtuh ke atas mereka selepas letupan itu," kata seorang pengunjung hotel tersebut, Roland Teofilo.
Polis mengesyaki letupan itu berpunca daripada bom namun menurut ketua polis tempatan, Arthur Larudis, tiada kumpulan yang tampil mengaku bertanggungjawab melakukan serangan letupan itu.
Letupan kedua berlaku di kawasan gelanggang ayam laga berhampiran hotel tersebut ketika pakar-pakar bom sedang melakukan siasatan di bahagian tingkat bawah dengan menyebabkan dua orang cedera.
Kumpulan Abu Sayyaf yang bersekutu dengan Al-Qaeda beroperasi di Pulau Basilan di seberang bandar ini.
Beberapa serangan di bandar ini kerap dipersalahkan ke atas kumpulan tersebut. - Agensi