Search This Blog

Sunday, September 25, 2011

Curi duit masjid lepas berhelah hendak qiamullail

SEGAMAT: Seorang penganggur membuat helah mahu melakukan qiamullail di Masjid Jamek Chaah di sini, tetapi tujuan sebenarnya ialah mencuri wang dari dua tabung derma masjid itu.

Sebelum kejadian itu disedari pada 15 September lalu, jemaah masjid merungut kerana jumlah kutipan tabung derma berkurangan daripada biasa.Selalunya masjid itu dapat mengumpul derma hingga RM3,000 ($1,227) setiap bulan.Misteri wang derma berkurangan itu terbongkar selepas lelaki berusia 19 tahun itu ditahan pada 12.15 tengah hari tersebut - ketika mencuri wang di satu daripada tabung itu.


Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden (Supt) Abdul Majid Mohd Ali, berkata sehari sebelum kejadian itu disedari, ada jemaah memaklumkan suspek dilihat tidur dalam masjid dengan memberi alasan bahawa dia ingin melakukan ibadat malam itu.'Jemaah masjid berkenaan meminta remaja terbabit bermalam di lokasi lain, tetapi dia enggan.'Keesokan harinya, beberapa jemaah masjid datang ke sana bersama seorang pegawai dari ibu pejabat polis daerah Segamat untuk meninjau persiapan akhir majlis tahlil yang akan diadakan pada malam itu, dan mendapati sebuah kereta Proton Satria berwarna merah diletak di pekarangan masjid,' katanya, kelmarin.


Pegawai yang tidak sedap hati itu melakukan pemeriksaan di sekitar masjid, tetapi tidak menemui pemandu kereta tersebut.Mereka kemudian membuka pintu tepi masjid perlahan- lahan dan terlihat seorang lelaki berada di tepi tabung itu.'Anggota polis berkenaan mengawasi perlakuan remaja terbabit selama lima minit dan mendapati dia sedang memancing wang. 


Anggota polis itu turut merampas dawai serta lampu suluh daripada suspek.'Pemeriksaan terhadap suspek turut menemui wang kertas yang dilipat kecil berjumlah RM64 dalam dompetnya. Ia dipercayai hasil curi daripada tabung masjid,' kata Supt Abdul Majid.Imam masjid, Encik Mohamad Syafiq, 27 tahun, berkata pihaknya tidak pernah mengunci pintu masjid bagi memudahkan pengunjung beribadat pada bila-bila masa.Terdapat dua tabung di masjid itu dan pengiraan jumlah kutipan dibuat setiap Jumaat sebelum ia disimpan di bank oleh bendahari masjid, katanya. -- Harian Metro.

Remaja dirantai, warga tua tidur bersama 40 anjing di rumah kebajikan tidak berdaftar

KUALA LUMPUR: Dua remaja lelaki berusia 16 tahun dirantai, seorang warga emas berusia 68 tahun dibiarkan tidur dan tinggal bersama kira-kira 40 anjing dan sepasang suami isteri uzur dibiarkan berbaring atas katil dipenuhi najis.

Lebih menyedihkan ialah bilik tidur warga emas itu usang dengan atap dan dindingnya bocor sehingga membuat mereka basah dan kesejukan apabila hujan.Selain itu, lapan kanak-ka nak berusia 10 hingga 14 tahun berhimpit dalam bilik tidur seluas hanya kira-kira enam meter persegi.Begitulah kehidupan daif yang ditanggung empat warga emas berusia 50 hingga 70 tahun, lapan kanak-kanak dan dua remaja yang berlindung di sebuah pusat kebajikan tidak berdaftar sejak tiga tahun lalu.


Penderitaan mereka berakhir apabila ibu salah seorang remaja yang dirantai itu melaporkan kejadian tersebut kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) baru-baru ini.Susulan laporannya, jabatan itu dengan 10 anggotanya yang diketuai Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan, Encik Mohamad Aziz Abdul Kapi, menjalankan operasi menyelamat penghuni di pusat itu sekitar 11 pagi kelmarin.


Menurut Encik Mohamad Aziz, hasil pemeriksaan mendapati pusat itu turut menyediakan khidmat asuhan kanakkanak tanpa lesen serta menggajikan tenaga pengajar tidak bertauliah.Difahamkan bahawa 36 kanak-kanak dihantar oleh waris mereka ke pusat terbabit.'


Persekitaran seperti tempat tidur sempit, kelas berhampiran kolam ikan dan keadaan terlalu kotor tidak memenuhi piawaian menjalankan pusat asuhan kanak-kanak,' kata Encik Mohamad Aziz.Menurut beliau, tindakan awal yang diambil pihaknya ialah menghantar semua kanak- kanak itu pulang ke rumah masing-masing.


Tiga warga emas yang bersetuju ditempatkan ke rumah jagaan lebih selesa pula telah dibawa keluar dari pusat tersebut.Mereka yang dibawa keluar itu akan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi rawatan dan ditempatkan sementara dalam jagaan JKMWPKL sebelum dipindahkan ke pusat kebajikan lain. -- Harian Metro.

Bom meletup di gereja Indonesia

JAKARTA: Sebutir bom diletupkan disyaki pengebom berani mati di sebuah gereja, tengah Pulau Jawa, hari ini, lapor sebuah stesen radio. Radio El Shinta melaporkan bom itu meletup selepas sembahyang pagi ini di Gereja Kepunton, bandar Solo. Jurucakap polis tempatan, Djihartono, memberitahu El Shinta bahawa setakat ini hanya seorang pengebom disahkan mati tetapi tiada yang cedera. El Shinta dipetik berkata, mangsa dikejarkan ke dua hospital berdekatan. - AP

12 maut dalam tiga letupan di Karbala

KARBALA (Iraq): Sekurang-kurangnya 12 orang maut dan lebih 30 lagi cedera dalam tiga letupan di bandar Iraq, Karbala ketika mereka berbaris di luar bangunan kerajaan tempatan, kata polis, hari ini. 
Sebutir bom kereta meletup di luar pejabat berkenaan yang mengeluarkan kad pengenalan diri dan pasport manakala dua lagi letupan berlaku ketika ambulans tiba di tempat kejadian.

"Ketika orang ramai dan anggota keselamatan sibuk mengeluarkan mangsa yang terkorban dan cedera, dua lagi letupan berlaku menyebabkan ramai cedera," kata pegawai polis Karbala. - REUTERS

Lokasi panas aktiviti judi dikenal pasti

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang telah mengenal pasti beberapa lokasi ”panas” aktiviti perjudian di negeri ini dan kini giat menjalankan operasi bagi membanteras gejala itu. Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob berkata operasi berterusan oleh Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri dengan bantuan anggota polis Bukit Aman itu bertumpu di tiga daerah. "Tumpuan utama ialah di Timur Laut, Barat Daya dan Seberang Jaya Tengah. Kami turut menjalankan operasi di lokasi yang pernah diserbu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Beliau berkata bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, sebanyak 1,718 serbuan dilakukan berbanding 641 pada tahun lepas dan dalam tempoh yang sama seramai 631 orang ditahan berbanding 271 orang pada tahun lepas. "Sebanyak 6,416 set komputer yang mengandungi perisian perjudian dirampas pada tahun ini berbanding 1,972 set yang dirampas tahun lepas,” katanya. - Bernama

71 pelajar sekolah teknik keracunan

ALOR SETAR – Seramai 71 pelajar di asrama sebuah sekolah teknik di sini mengalami cirit birit dan muntah-muntah selepas makan di kantin asrama sekolah itu pada malam Jumaat lepas.
Mereka yang terdiri daripada 40 pelajar lelaki dan 31 pelajar perempuan berumur antara 15 dan 17 tahun dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selepas dikesan mengalami simptom keracunan makanan malam tadi.
Ketua Jabatan Unit Kecemasan HSB Dr Fatahul Laham Mohamed berkata pihaknya menerima panggilan tentang kejadian itu kira-kira pukul 8.30 malam tadi dan kira-kira pukul 9.15 malam, dua bas sekolah itu tiba di HSB dengan membawa pelajar-pelajar berkenaan.
"Semasa sampai di hospital, keadaan mereka letih dan lemah akibat mengalami cirit birit dan muntah-muntah tapi stabil,” katanya ketika ditemui pemberita di di sini hari ini.
Beliau berkata hanya enam pelajar yang dimasukkan air kerana badan terlalu lemah.
"Semua pelajar itu hanya mendapat rawatan sebagai pesakit luar dan dibenar pulang kira-kira pukul 11.30 malam tadi selepas keadaan mereka semakin pulih,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan Kedah Dr Hayati Mohd Radzi berkata pihaknya telah mengambil sampel makanan di kantin dewan makan asrama berkenaan dan mengarahkan dewan makan itu menutup operasi buat sementara waktu.
"Keracunan itu dipercayai berpunca daripada makanan yang mereka (pelajar) makan pada malam Jumaat lepas iaitu sambal sotong,” katanya.
Beliau berkata pada awal tahun ini Jabatan Kesihatan telah memeriksa kantin itu dan ia didapati 80 peratus bersih iaitu kebersihan kantin itu berada pada tahap memuaskan. - Bernama

Ejek-mengejek punca pelatih PLKN bergaduh

KUALA TERENGGANU – Beberapa pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di kem PLKN di Setiu dilapor bergaduh Jumaat lepas, dipercayai berpunca dari ejek-mengejek. Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustafa berkata kejadian pada pukul 8 malam itu difahamkan membabitkan 10 pelatih. Akibatnya, beberapa pelatih mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan, katanya kepada pemberita di sini, hari ini. Beliau berkata polis telah mengambil keterangan daripada beberapa pelatih yang terlibat bagi membantu siasatan. "Ia merupakan satu insiden terpencil dan pihak pengurusan PLKN kem berjaya menyelesaikan masalah itu,” katanya. - Bernama

Satu mati, 19 cedera dalam serangan bom di gereja

25/09/2011 7:49pm
 JAKARTA 25 Sept. – Satu serangan bom berani mati berlaku di sebuah gereja di kota Solo, Jawa Tengah pagi ini, mengorbankan nyawa pengembom itu dan mencederakan sekurang-kurangnya 19 orang jemaah penganut Kristian yang baru selesai mengerjakan ibadat. Ketua Bahagian Perhubungan Awam Ibu Pejabat Polis Indonesia Insp Jen Anton Bachrul Alam berkata 19 yang cedera dalam kejadian itu kini dirawat di dua hospital di Solo, dan sehingga pukul 4.30 petang ini, lima daripada mereka telah dibenarkan pulang. "Berdasarkan maklumat saksi, kejadian berlaku apabila jemaah sedang keluar daripada gereja itu setelah selesai melakukan ibadat, sebahagiannya keluar, tinggal sebahagian lagi di dalam dan pelaku juga ikut keluar. "Apabila sampai di pintu utama, dia telah meletupkan bom, sehingga mencederakan ramai orang dan masih dirawat di hospital,” katanya pada sidang akhbar di Jakarta. Serangan oleh pengebom berani mati itu berlaku di Gereja Bethel Injil Sepenuh, Kepunton, Kota Solo pada pukul 10.55 pagi. Anton berkata pelaku dipercayai menyamar sebagai anggota jemaah dan ikut sama melakukan ibadat. Polis belum dapat memastikan identiti pelaku dan masih menyiasat jenis bom yang digunakan. Polis telah menyiarkan gambar wajah mayat pengebom itu dan merayu orang ramai tampil memberikan maklumat mengenai identiti pelaku bagi membantu siasatan kejadian itu. Kerajaan Indonesia mengutuk keras kejadian serangan bom berani mati itu dan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dijadual mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian itu. - Bernama

Pinjam RM3,000, terpaksa bayar RM26,000



SHAH ALAM – Seorang aktivis bimbang keadaan rumahnya yang telah 19 hari ditinggalkan selepas tindakan ah long membaling cat dan merantai pintu pagar menuntut hutang yang kini mencecah RM26,000.

Mangsa, William Huee Thing Hoa berkata, dia khuatir jika ah long itu bertindak ganas dengan mengambil barangan berharga dalam rumahnya.

Menurutnya, ah long bertindak menyimbah cat selepas kegagalannya untuk membayar faedah pada waktu ditetapkan.

“Saya membuat laporan polis selepas rumah disimbah cat namun tindakan tersebut tidak menakutkan ah long sebaliknya bertindak lebih berani dengan merantai pintu pagar.

“Berikutan daripada peristiwa itu, sekali lagi saya cuba membuat laporan di Bukit Aman namun laporan tersebut tidak diterima kerana pernah membuat laporan sama di Dang Wangi,” katanya.

William berkata, pada peringkat permulaan dia hanya meminjam RM3,000 tetapi menjadi RM26,000 dalam tempoh tiga minggu kerana kadar faedah yang tinggi iaitu RM1,000 untuk tempoh 10 hari.

“Mereka juga bijak mempengaruhi peminjam untuk membuat pinjaman daripada pemiutang lain untuk melangsaikan hutang terdahulu.

“Sehingga kini, saya telah meminjam wang daripada tujuh ah long namun masih belum berjaya melangsaikan hutang terdahulu dan hanya mampu untuk menampung bayaran faedah sahaja,” katanya.

Menurutnya, dia berharap polis boleh bertindak pantas membanteras ah long yang semakin berleluasa kerana memberi ancaman kepada masyarakat.

Suri rumah, cucu nyaris maut



PULAU KERENGGA - Seorang suri rumah bersama cucunya terselamat dalam kejadian kebakaran yang menyaksikan kediaman mereka musnah di Kampung Kuala Tengah, Serating di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, pasangan Wahab Hassan, 53, dan Zainon Mohamad Mera, 51, dikatakan mengalami kerugian sebanyak RM250,000 apabila kesemua barangan dan rumah gagal diselamatkan.

Berikutan kejadian ini, pasangan terbabit tinggal sehelai sepinggang dan rumah separa kayu yang menjadi tempat mereka berteduh sejak 29 tahun lalu kini lenyap menjadi abu.

Menurut Zainon, ketika kejadian, dia berada di rumah itu bersama cucunya, Amirul Amir Mohd Sharudin Syah, 4, sedang berehat di ruang tamu sambil menunggu suaminya pulang dari solat Jumaat di masjid berdekatan untuk makan tengah hari.

“Sebaik selesai memasak di dapur, saya dan cucu duduk di ruang tamu sebelum terhidu bau hangit dari arah sebuah bilik. Semasa pintu bilik dibuka, saya terkejut melihat api sedang membakar peralatan dalam bilik berkenaan.

“Saya yang berada di depan pintu bilik terus berlari keluar dari rumah sambil mendukung Amirul walaupun dalam keadaan diri saya kurang sihat kerana bimbang sesuatu yang buruk berlaku pada kami,” katanya.

Difahamkan Zainon kemudiannya masuk semula ke dalam rumah untuk mengambil dokumen penting. Dalam masa sama dia menjerit meminta pertolongan tetapi gagal untuk memadam kebakaran kerana api semakin marak, lantas keluar dari rumah berkenaan.

“Saya hanya berjaya menyelamatkan sebuah beg mengandungi beberapa dokumen penting seperti geran tanah dan kad pengenalan, yang lainnya semua hangus dalam sekelip mata akibat kebakaran ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan, Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Marang, PBT 2 Zakaria Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan pada 2.26 petang dan sebuah jentera bomba bersama tujuh anggota ditugaskan untuk memadam kebakaran.

“Api dapat dikawal dalam tempoh dua jam dan padam sepenuhnya kira-kira jam 5 petang. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan jumlah kerugian serta punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya.

Kedai hangus depan mata



PASIR MAS – Peniaga kedai makan di Kampung Lati, di sini hanya mampu melihat kedai yang menjadi tempat dia mencari rezeki sejak empat tahun lalu hangus hanya lima minit dalam kejadian jam 5 petang semalam.

Norida Samah,32, berkata, ketika kejadian dia berada di belakang kedai berehat seketika setelah ketiadaan pelanggan sementara pembantunya menguruskan kedai .

Bagaimana pun katanya, ketika hampir terlena, pembantunya, Zubaidah Latif, 36, menjerit memanggil namanya dan dia segera keluar kerana suaranya seperti orang dalam kecemasan.

“Ketika itu saya lihat api sedang membakar kedai, dan saya nekad meredah api menyelamatkan barang kemas serta wang tunai yang simpan di dalam kedai.

“Tetapi belum sempat saya masuk ke dalam kedai, saya dipegang dan dinasihatkan supaya tidak berbuat demikian dan hanya mampu menangis serta melihat kedai hangus,” katanya sambil ditenangkan pembantunya.

Norida berkata, dia terkilan kerana tidak sempat membayar gaji Zubaidah sejak lima hari lalu dan wang tersebut turut hangus.

Menurutnya, kebiasaannya setiap hari dia membayar gaji Zubaidah dan pekerjanya.

“Saya tidak tahu nak buat macam mana lagi sekarang, semuanya (barang jualannya dan wang ) terbakar,” katanya.

Norida berkata, kejadian berlaku begitu pantas dan api dipercayai datang dari bilik tengah sebelum merebak ke bahagian kedai yang lain.

Menurutnya, sebelum kejadian, selain anak pekerjanya berusia empat tahun, dia bersama tiga yang lain berada dalam kedai menyediakan barang-barang dapur untuk berniaga.

“Saya tidak menyangka dalam sekelip mata semua terbakar. Setelah empat tahun berniaga, hari ini semunya hangus sekelip mata,” katanya yang tidak tahu apakah perancangan seterusnya.

Sementara itu, Zubaidah berkata, ketika kejadian dia sedang memasak kuah sate, bagaimanapun belakangnya terasa panas secara tiba-tiba.

Menurutnya, ketika itu dia nampak api dan terus berlari keluar menyelamatkan diri serta mencari anak bongsu daripada lima anaknya.

“Saya mencari anak bongsu saya, Norfadilah Ismail, 4, saya sangka dia berada di dalam kedai, tetapi sebaik keluar saya ternampak dia berada di luar kedai dan gembira sebab dia selamat,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, warga emas yang juga pemilik ketiga-tiga kedai yang terbakar, Rohanah@Siti Hawa Che Daud, 62, berkata dia tidak diberitahu tentang kebakaran kedai yang disewa sejak 30 tahun itu.

Menurutnya, ketika itu dia berada di pondok berhampiran tempat kejadian.

“Saya dimaklumkan tentang kebakaran tetapi tidak mengetahui rumah siapa yang terbakar sehinggalah saya balik dan menantu memaklumkan kedai saya terbakar.

“Saya tidak tahu macam mana nak cari rezeki selepas ini kerana kedai itulah punca rezeki kami sejak 30 tahun lalu,” katanya.

Rohanah @Siti Hawa berkata, salah sebuah kedai tersebut baru sahaja siap dibaik pulih beberapa hari lalu.

Sementara itu, Pegawai Kanan Bomba II (PBK), Azuhan Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.11 petang dan bergegas ke tempat kejadian menggunakan dua jentera.

“Kerugian dianggarkan RM66,000 melibatkan sebuah kedai makan yang hangus 100 peratus manakala rumah kedai bersebelahannya mengalami kerosakan 70 peratus dan rumah kedai ketiga hanya mengalami kerosakan di bahagian bumbung.

“Seramai tujuh anggota berusaha memadamkan kebakaran melibatkan satu kedai makan setingkat dan dua rumah kedai dua tingkat dalam masa 24 minit dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Maut tak sempat jemput rakan



PONTIAN - “Bang aku nak ke Johor Bahru. Bang aku kemalangan.”

Itulah kata-kata terakhir seorang pemuda yang sempat membuat panggilan telefon kepada abangnya dan memaklumkan dirinya terlibat dalam kemalangan di Batu 29, Jalan Pontian-Johor Bahru malam kelmarin.

Mangsa, M:ohd Izwan Nul Hakim A Kadir, 24, yang tersepit di bahagian pemandu disahkan meninggal dunia sebaik sahaja dikeluarkan dari keretanya.

Bapa mangsa, A. Kadir A. Majid, 67 , berkata, Allahyarham yang merupakan anak bongsu daripada lapan beradik, telefon abangnya, Mohd Aidil, sebelum talian terputus.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, mangsa dipercayai gagal mengawal kereta yang dipandunya dan terbabas dan terhumban ke dalam parit.

Mangsa dalam perjalanan ke Terminal Pengangkutan Awam Larkin, Johor Bahru, untuk menjemput rakannya.

Kadir yang ditemui Sinar Harian di rumahnya di Jalan Parit Ibrahim, di sini, berkata, dia tidak menduga kelmarin adalah hari terakhir dia dan Allahyarham berniaga ikan di Pasar Awam Pontian.

“Tiada sebarang perubahan yang ditunjukkan arwah, namun semalam (kelmarin), dia balik ke rumah awal pada pukul 11.30 pagi tidak seperti kebiasaannya.

“Hanya terdapat tiga peniaga ikan Melayu di Pasar Awam Pontian, dan Izwan adalah salah seorang daripadanya, selain saya dan seorang lagi peniaga,” katanya.

Menurutnya, Allahyarham yang masih bujang dapat beraya bersama kesemua adik beradik kecuali seorang yang berada di Sabah.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Nanas, Mohd Yazid Othman berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 12.05 malam dan serama enam anggota bomba dikejarkan ke tempat kejadian.

Beliau berkata, kereta yang dipandu mangsa remuk di sebelah kanan menyebabkan mangsa tersepit, sebelum disahkan meninggal dunia sebaik sahaja dikeluarkan dari kereta.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pontian untuk dibedah siasat sebelum jenazahnya dituntut ahli keluarga dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Parit Ibrahim selepas solat Zohor, semalam.

Pelajar hilang sejak 13 Sept lalu gagal dikesan



KUALA LUMPUR, 23 Sept: Seorang pelajar, Muhamad Akram Sujut, 16, (gambar) hilang dan tidak dapat dikesan sejak 13 September lalu apabila beliau didapati masih belum pulang ke asrama sekolahnya di Pondok Beta Hilir di Kota Bharu, Kelantan hingga hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai diminta berkerjasama mengesaninya serta melaporkan kepada keluarganya dengan segera jika menemuinya di sebarang tempat bagi menyelamatkan beliau dari segala kejadian tidak diingini.
Ayahnya, Sujut Esmon, 45, yang tinggal di B8-10-8, Flat Desa Mentari, Petaling Jaya, Selangor amat mengharapkan kerjasama orang ramai untuk mengesani anaknya bagi menyelamatkan Muhamad Akram dan membolehkan beliau menjalani kehidupan seperti biasa.
Menurut Sujut, kehilangan Muhamad Akram amat menyedihkan beliau dan seluruh keluarganya serta penuh tanda tanya, setelah beliau menghantarnya ke Stesyen Bas Hentian Putra, di sini, pada jam 10.00 malam 12 September lalu untuk pulang ke asrama sekolahnya.
Katanya, pada sekitar jam 8.15 pagi 13 September lalu, Muhamad Akram ada menelefon beliau melalui telefon bernombor 09-7434447 dan memberitahu kepadanya bahawa beliau telah sampai di Stesyen Bas Kota Bharu.
"Melalui perbualan menerusi telefon itu, dia juga meminta nombor telefon ustaznya yang bernama Nazri daripada saya," katanya ketika berkunjung ke pejabat Harakahdaily, di sini, hari ini.
Pada petang hari yang sama, menurut beliau, beliau telah menerima panggilan telefon daripada kawan anaknya yang tidak beliau pastikan namanya melalui telefon bernombor 014-8092693 yang memberitahu anaknya masih tidak sampai di Pondok Beta Hilir.
Katanya, sehingga ke hari ini, anaknya masih juga tidak sampai ke Pondok Beta Hilir dan gagal dikesani, walaupun berbagai usaha telah dilakukan oleh beliau, keluarganya, saudara maranya dan rakan-rakannya untuk mencari dan mengesani anaknya.
Dalam usaha mencari Muhamad Akram, beliau telah mendapatkan kerjasama daripada pihak polis dengan membuat laporan kehilangan anaknya di Balai Polis Kota Bharu, Kelantan pada 15 September lalu.
Beliau yang berkerja sebagai peniaga menjelaskan, usaha mencari anaknya telah dilakukan di Kelantan termasuk di Tanah Merah dan Machang, dengan kerjasama saudara mara dan sahabat handai beliau dan isterinya yang berasal dari Machang.
Selain itu, berita mengenai kehilangan anaknya telah disiarkan di TV3 pada pagi semalam, setelah beliau berkunjung ke stesyen TV3 untuk memaklumkan kejadian itu.
"Tetapi sehingga sekarang, anak saya masih juga tidak ditemui. Inilah yang merisaukan kami sekeluarga. Saya amat mengharapkan kerjasama orang ramai untuk mengesani dan mencari anak saya itu," katanya.
Anak beliau, jelasnya, mempunyai ketinggian lebih kurang 5 kaki 6 inci, berkulit putih, berbadan sederhana.
Semasa keluar dari rumah, Muhamad Akram berpakaian T shirt putih berline hijau dan berseluar jeans hitam.
Kepada orang ramai yang menemuinya diharap menghubungi Sujut di talian 019-3389960 atau 013-3134223.
-harakahdaily

Taufan Hilary meninggalkan pantai Mexico

MIAMI 25 Sept. - Taufan Hilary terus bergerak ke Lautan Pasifik hari ini dan terus jauh meninggalkan pantai Mexico, lapor Pusat Taufan Negara yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
Taufan Hilary yang sekuat 220 kilometer sejam itu merupakan ribut Kategori Empat pada skala lima tahap Saffir-Simpson.
Hilary dijangka akan menuju ke arah barat laut dan akan kehilangan kelajuan, tetapi ia juga dijangka kekal menjadi taufan utama pada keesokan harinya. - AFP

Bot karam lagi di Indonesia, 13 terkorban


JAKARTA 25 Sept. - Sebanyak 13 orang terbunuh dan sembilan lagi hilang selepas sebuah bot karam hari ini di wilayah Jawa Timur, Indonesia, kata pegawai.
Ketua Agensi Menyelamat dan Mencari Surabaya, Sutrisno berkata, bot yang karam di kawasan perairan Pulau Raas itu dipercayai berpunca daripada ombak yang kuat.
“Kami menemui 18 orang yang terselamat. Kami menjangkakan seramai 40 orang krew dan penumpang berada dalam bot itu,” katanya.
Selasa lalu, 25 orang terkorban apabila sebuah bot karam di pulau Bali. - AFP

5 lelaki, wanita ditahan, rampas dadah RM10,800



BAGAN SERAI 24 Sept. – Polis berjaya melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah jenis heroin dan syabu dengan tertangkapnya lima lelaki dan seorang wanita di Semanggol dan Kalumpang di sini Selasa lalu.
Berikutan penahanan kesemua suspek berusia 22 hingga 62 tahun itu, polis merampas heroin seberat 313 gram dan syabu seberat 6.7 gram, bernilai RM10,800.
Turut dirampas dalam serbuan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kerian diketuai Inspektor Mohd. Sofian Kasudin itu ialah 10 buah telefon bimbit, dua buah kereta dan sebuah motosikal.
Ketua Polis Daerah Kerian, Supritendan Mat Fauzi Nayan berkata, serbuan pertama hasil maklumat orang ramai itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Kerian-Taiping di Semanggol, pukul 12.05 tengah malam.
“Di situ, polis menahan semua suspek dan hasil pemeriksaan dan menemui 313 gram heroin dan 6.4 gram syabu.
“Polis kemudian telah membuat pemeriksaan di rumah seorang suspek di Kalumpang di sini menemui satu peket syabu seberat 0.38 gram.
“Siasatan polis mendapati dua daripada suspek ditahan itu mempunyai rekod kesalahan berkaitan dadah,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

2,000 unit mesin judi dirampas

ALOR SETAR 24 Sept. - Polis berjaya merampas 2,000 unit komputer yang telah diubah suai menjadi mesin judi dalam serbuan ke atas 241 premis di daerah Kota Setar sepanjang tahun ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan berkata, jumlah serbuan yang dilakukan pada tahun ini oleh pihak polis meningkat berbanding tahun lalu yang hanya melibatkan 65 premis.
"Polis melakukan serbuan ke atas 254 premis dan daripada jumlah itu sebanyak 241 premis dikesan menjalankan kegiatan perjudian berkomputer.
"Peningkatan jumlah serbuan itu adalah disebabkan kewujudan banyak pusat judi haram dan kita bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) memandang serius perkara ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar di sini, hari ini.
Menurutnya, dalam serbuan terbaru iaitu malam semalam, polis berjaya merampas sebanyak 50 unit komputer diubah suai menjadi mesin judi di enam buah premis di daerah ini.
"Kita menahan enam individu yang disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka," katanya.
Kata Adzaman, selain polis, PBT juga perlu memainkan peranan penting dengan memantau operasi pusat-pusat siber berlesen dan bertindak menarik balik lesen sekiranya wujud aktiviti perjudian di premis itu.
"Kita juga ada membuat 10 permohonan untuk memotong bekalan elektrik di premis yang dikenal pasti masih menjalankan aktiviti perjudian walaupun serbuan dijalankan," katanya.

10 sekeluarga hilang tempat tinggal


WAN Mohd. Amin Wan Bakar bersama adiknya, Wan Mohd. Faizul melihat kesan kebakaran rumahnya di Kampung Badang, Kota Bharu, kelmarin. - MINGGUAN/ROSNI MASRI



KOTA BHARU 24 Sept. - Sepasang suami isteri bersama lapan anak hilang tempat tinggal, apabila rumah mereka di Kampung Badang dekat sini, musnah dalam kebakaran semalam.
Kejadian pukul 11 pagi itu dipercayai berpunca daripada anak bongsu pasangan itu berusia dua tahun yang bermain mancis.
Kebakaran berlaku ketika pasangan itu, Wan Bakar Mohamad, 45, pengawal keselamatan dan isterinya, Supiah Musa, 44, pencuci bangunan, tiada di rumah kerana kerana mendengar ceramah agama di bandar, sebelum terus ke tempat kerja.
Seorang anak pasangan itu, Wan Mohd. Amin Wan Bakar, 19, berkata, ketika kejadian dia dan abangnya, Wan Mohd. Maliki, 22, serta lima lagi adiknya berada di dapur untuk makan tengah hari.
"Semasa makan, saya perasan adik bongsu, Wan Mohd. Faizul, 2, tiada bersama di meja makan dan seorang lagi adik keluar bermain.
"Ketika kami semua bersiap untuk menjamah hidangan, tiba-tiba adik bongsu saya berlari keluar dari bilik ibu bapa dan ketika itu saya nampak api marak keluar dari dalam bilik," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini semalam.
Katanya, api merebak dengan cepat menyebabkan dia dan adik-beradik yang lain tidak sempat menyelamatkan harta benda, kecuali mengarahkan masing-masing keluar menyelamatkan diri.
Bagaimanapun katanya, salah seorang adiknya sempat menyelamatkan sebuah komputer riba, namun semua barangan serta dokumen peribadi lain musnah dalam kebakaran tersebut.
"Saya terkilan kerana bukan sahaja rumah terbakar tetapi wang tunai RM2,000 yang saya keluarkan semalam untuk menampung perbelanjaan keluarga bulan ini turut hangus.
"Saya tidak pasti punca kebakaran tetapi saya rasa mungkin disebabkan adik bongsu saya bermain mancis di dalam bilik kerana kebakaran bermula dari situ," ujarnya yang bekerja sebagai seorang buruh.
Dalam pada itu, Ketua Operasi Balai Bomba Kota Bharu, Zainuddin Senawi ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 11.27 pagi dan tiba di tempat kejadian kira-kira 10 minit kemudian.
"Operasi melibatkan dua buah jentera dan 13 anggota. Ketika bomba sampai rumah yang diperbuat daripada batu tersebut hampir 100 peratus terbakar dan kita mengambil masa kira-kira 15 minit untuk memadamkan keseluruhan kebakaran.
"Punca kejadian masih dalam siasatan dan kerugian dianggarkan berjumlah RM60,000," jelasnya.

Samseng jalanan ditahan

Sebahagian penunggang motosikal ditahan di Lebuh Raya
 Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin, Melaka, semalam.

MELAKA 24 Sept. - Lebuh Raya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di sini, yang sering dipenuhi ratusan golongan samseng jalanan setiap hujung minggu, bertukar kecoh apabila sepasukan polis membuat operasi dan kepungan malam tadi.
Kepungan dilakukan pukul 2 pagi selepas pasukan polis membuat risikan di lebuh raya itu pukul 10 malam.
Berikutan itu, sebanyak 330 motosikal dan 38 kereta ditahan untuk pemeriksaan.
Serbuan dilakukan oleh Unit Khas Trafik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Turut membantu membuat kepungan ialah pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan Kelantan.
Menurut Pegawai Operasi Unit Khas Cawangan Trafik Bukit Aman, Asisten Supritendan Khuzir Abd. Majit, pihaknya membuat penutupan jalan masuk dan keluar lebuh raya dan memerangkap golongan itu.
"Samseng jalanan mula menguasai jalan dari Simpang Bukit Piatu hingga ke jejantas Semabok sejauh lebih satu kilometer sebelum kepungan dilakukan pukul 2 pagi.
"Lebih 500 penunggang dan pembonceng motosikal termasuk yang menjadi penonton kemudian dibawa di IPD Melaka Tengah untuk pemeriksaan," katanya ketika ditemui selepas operasi itu di sini awal pagi tadi.
Beliau berkata, pihaknya turut melakukan pemeriksaan dan menahan 38 kereta bercermin gelap termasuk dua buah BMW dan sebuah Porsche.
Katanya, sebanyak 51 saman dikeluarkan selain menyita 15 motosikal dan tiga kereta kerana tamat cukai jalan tamat, selain pemandu serta penunggang yang tidak mempunyai lesen.
"JPJ yang terdiri dari Ibu Pejabat Putrajaya dan Cawangan Melaka telah mengeluarkan 40 notis arah periksa semula selain menyita dua motosikal dan sebuah kereta," katanya kepadaMingguan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau berkata, anggota narkotik yang membuat ujian air kencing menahan seorang remaja kerana didapati positif ganja.
Selain itu, tambahnya, polis berjaya mengesan 10 waran tangkap terhadap mereka yang diperiksa selain menahan kenderaan yang mempunyai saman tertunggak.
"Ada yang membayar saman serta merta untuk membawa pulang kenderaan masing-masing," katanya.

Disamun polis tipu

ALOR GAJAH: Empat penjenayah bersenjatakan parang, pedang samurai dan batang besi menyamar anggota polis sebelum menyamun dua pekerja warga Bangladesh di sebuah rumah kongsi di Kampung Ayer Hitam Lendu, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 11.30 malam, Shazu, 24, dan rakannya, Imran Husin, 28, dikatakan nyenyak tidur di rumah kongsi di belakang sebuah stor peralatan rumah sebelum dikejutkan dengan kunjungan empat lelaki memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, sebuah kereta Perodua Kancil berwarna merah dinaiki empat lelaki dilihat menceroboh masuk ke rumah kongsi sebelum menuju ke arah bilik mangsa.

Katanya, sebelum kejadian dia ternampak motosikal dinaiki dua lelaki dan ditunggang secara perlahan berlegar-legar di depan rumah kongsi sebelum beredar dan sejurus kemudian muncul kereta Kancil merah dinaiki empat lelaki.

“Ketika itu, saya di luar rumah yang jaraknya hanya 50 meter dari rumah kongsi.

“Keempat-empat lelaki itu keluar sebelum menyerbu bilik mangsa, menyebabkan saya menghubungi polis.


“Apabila kembali ke tempat kejadian, saya lihat kereta dan motosikal tadi menghala ke Alor Gajah dan seorang pekerja Bangladesh terbaring berlumuran darah,” katanya.

Shazu yang ditemui di perkarangan Hospital Alor Gajah berkata, suspek mengarahkannya membuka pintu dengan mendakwa mereka anggota polis yang menjalankan pemeriksaan.

“Bagaimanapun, tiba-tiba mereka menyerbu masuk sebelum seorang menghayunkan batang besi panjang dan mengenai kepala rakan saya, menyebabkannya rebah ke lantai.

“Kemudian, seorang daripada mereka mendesak saya menyerahkan semua kad bank dan mengugut akan membunuh jika tidak mengikut arahan,” katanya.

Selepas menyerang mangsa, empat penjenayah terbabit membawa lari peralatan elektrik, peti televisyen, wang tunai RM1,400, sebuah kipas kaki dan sebuah beg pakaian mangsa.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan bagi menjejaki empat suspek terbabit.

Bapa buntu nasib anak

KOTA BHARU: Akibat dihimpit kemiskinan, seorang bapa kini buntu memikirkan nasib lima daripada sembilan anaknya yang keciciran dalam pelajaran apabila bersekolah hanya ‘separuh jalan’.
Lebih memeritkan, bagaikan ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ apabila rumah pusaka didiami sejak 10 tahun lalu musnah dalam kebakaran, malam kelmarin.

Wan Bakar Wan Mohamad, 57, berkata empat anak perempuannya, Wan Noraini, 18, Wan Norizan, 16, Wan Nasrah, 15, dan Wan Nur Atikah, 12, masing-masing hanya bersekolah setakat darjah enam, manakala seorang anak lelakinya, Wan Mohd Amin pula hanya bersekolah sehingga tingkatan satu.

Katanya, anak sulungnya, Wan Azmirawati, 25, kini bekerja kilang di Kuala Lumpur, manakala anak kedua, Wan Maliki, 21, bekerja di sini sebagai pencanting batik.

“Hanya seorang anak saya, Wan Mustaqim kini bersekolah dalam darjah satu di Sekolah Kebangsaan Merbau dan seorang lagi anak, Wan Mohd Faizal yang berusia enam tahun, belum bersekolah.

“Saya berharap ada pihak membantu supaya lima anak saya dapat bersekolah semula demi masa depan mereka,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), dekat sini, semalam.


Menurut Wan Bakar, pekerjaan sebagai tukang kebun dengan pendapatan RM500 sebulan tidak mencukupi untuk menanggung keluarganya yang besar.

Katanya, demi menambah pendapatan, isterinya, Sophiah Musa, 44, terpaksa bekerja sebagai tukang sapu, namun tetap tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan sekolah anak.

“Pendapatan diperoleh hanya cukup untuk keperluan makan, minum dan keperluan harian. Itupun, kami sekeluarga kerap ‘ikat perut’ apabila wang habis di pertengahan bulan,” katanya.

“Dalam keadaan miskin, rumah didiami pula terbakar, menyebabkan saya sekeluarga bertambah tertekan mengenangkan nasib kami pada masa depan,” katanya.

Wan Bakar berkata, dia mengharapkan bantuan pihak yang prihatin bagi membolehkan rumahnya yang musnah dalam kebakaran dibina semula.

Ambulans dirempuh kereta

MARAN: Seorang pemandu ambulans dan seorang pembantu klinik dari Klinik Kesihatan Maran, di sini, nyaris maut apabila ambulans dinaiki mereka dirempuh sebuah Perodua Myvi ketika mahu mengambil mangsa kemalangan di Kilometer 156.4, Lebuhraya Pantai Timur (LPT), semalam.
Dalam kejadian jam 1 tengah hari, ambulans dinaiki petugas klinik terbabit masing-masing berusia 30-an berada di lokasi berkenaan untuk menyelamatkan seorang penunggang motosikal yang terbabas tetapi berada di seberang lebuh raya di laluan menuju ke Kuantan.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin berkata, sebaik tiba di lokasi, ambulans berkenaan dikatakan mahu menyeberang jalan selepas pihak peronda LPT membuka penghadang besi di tengah laluan.

Menurutnya, ketika membelok untuk ke laluan bersebelahan, tiba-tiba sebuah Perodua Myvi dinaiki dua wanita yang dipandu laju merempuh ambulans secara berdepan.

“Rempuhan terbabit menyebabkan kedua-dua kenderaan remuk di depan dan sisi, namun semua mangsa terselamat dan tidak cedera,” katanya ketika dihubungi.

Ahmad Johari berkata, berlaku sedikit kesesakan selepas kemalangan terbabit berikutan kedua-dua kenderaan berada di tengah jalan sebelum dialihkan.


“Berikutan kemalangan itu, sebuah ambulans lain dihantar untuk mengambil penunggang motosikal berusia lingkungan 20-an yang cedera ringan selepas terbabas.

“Mangsa yang terbabit dengan kemalangan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Budak maut jatuh 6 tingkat


AHMAD SAFUAN... maut
AHMAD SAFUAN... maut
MARANG: “Walaupun masih terkejut dengan apa yang berlaku, saya reda dengan pemergian arwah,” kata Koperal Shafik Afandi Ahmad, 44, bapa kepada seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lima kuarters kediaman Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, semalam.
Dalam kejadian jam 7.50 pagi, Ahmad Safuan Shafik Afandi dipercayai terjatuh dari tingkat lima sebelum ditemui anggota polis wanita, Koperal Marina Jaafar, 37, yang dalam perjalanan menghantar anaknya ke rumah pengasuh yang tinggal di blok sama dengan mangsa.

Mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di belakang kepala, patah tangan dan kaki kiri sebelum jenazahnya dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HNSZ), Kuala Terengganu untuk pemeriksaan lanjut.

Jelas Shafik Afandi yang bertugas di Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam IPD Marang, kejadian dipercayai berlaku jam 7.50 pagi selepas arwah kali terakhir dilihat berada di lif tingkat enam sebelum turun melalui tangga ke tingkat lima, 10 minit sebelum ditemui jatuh di tingkat bawah kuarters.

“Saya tidak pasti bagaimana kejadian berlaku. Ketika kejadian, isteri, Roslina Mohd Yusof, 44, memasak manakala tiga anak lain menonton televisyen sebelum isteri dikejutkan dengan kejadian yang menimpa arwah,” katanya ketika ditemui di Surau An Nur, IPD Marang, di sini, semalam.

Ketika ditanya sikap arwah di rumah, Shafik Afandi berkata, arwah tidak menunjukkan sikap pelik selain manja dan rapat dengan keluarga.


“Walaupun arwah anak istimewa yang menghidap Sindrom Down dan hyperaktif, dia tidak menyusahkan dan faham jika kita menyuruh dia melakukan sesuatu.

“Ketiadaannya pasti memberikan kesan mendalam terhadap kami sekeluarga,” katanya yang tiga tahun menetap di tingkat lapan kuarters berkenaan.

Sementara itu, Marina berkata, dia menyedari kejadian itu ketika mendukung anaknya berusia tiga tahun untuk dihantar ke rumah pengasuh yang tinggal di blok sama dengan mangsa.

“Ketika itu saya terdengar bunyi kuat dan menyangka ia sampah yang dibuang memandangkan tidak mendengar bunyi jeritan.

“Sebaik menjenguk ke dalam longkang, saya tergamam melihat seorang kanak-kanak berlumuran darah sebelum memaklumkan kejadian itu kepada seorang rakan berhampiran yang kebetulan menghidupkan enjin motosikal.

“Saya tidak pasti mangsa masih bernyawa atau tidak, cuma matanya ketika itu tertutup sebelum orang ramai mengangkat mangsa ke atas kerusi berhampiran,” katanya yang bertugas di Balai Polis Marang.

Ketua Polis Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya berkata, berdasarkan maklumat awal, mangsa ditemui di tingkat enam jam 7.40 pagi dan mungkin jatuh sama ada dari tingkat enam, lima atau empat yang mana siasatan lanjut mengenai kejadian ini akan dijalankan bagi mengetahui punca kejadian,” katanya.

Polis buru Suhaidi, Roslan

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memburu dua beradik yang disyaki terbabit dalam pengeboman di pekan Sungai Golok sehingga meragut lima nyawa, termasuk empat rakyat Malaysia, minggu lalu.
Suhaidi Kubaru, 26, dan abangnya Roslan, 27, dipercayai memiliki dua kerakyatan iaitu Malaysia dan Thailand, membolehkan mereka bebas berada di kedua-dua negara.

Malah, kedua-dua suspek yang juga anggota kumpulan pengedaran dadah terbesar di Selatan Thailand disyaki melarikan diri dan bersembunyi di negara ini selepas insiden berkenaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, pihaknya dimaklumkan pihak berkuasa Thailand mengenai kedua-dua suspek itu dan akan memberi kerjasama penuh dengan polis Thailand dalam usaha memburu Suhaidi dan Roslan.

“Kita sedia memberi kerjasama diperlukan polis Thailand untuk memburu kedua-dua suspek itu jika benar mereka melarikan diri dan bersembunyi di negara ini.

“Siasatan lanjut dan usaha memburu akan dilakukan hinggalah kedua-dua penjenayah ditahan untuk membantu siasatan berhubung pengeboman itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Kelmarin, Ketua Polis Narathiwat, Mejar Jeneral Chaithat Intanuchit memberitahu, pihak berkuasa Malaysia dimaklumkan mengenai Suhaidi dan Roslan yang dipercayai bersembunyi di negara ini.

Dua suspek itu juga disyaki terbabit dalam kegiatan membuat bom pada Disember tahun lalu dan ahli kumpulan antara tiga rakyat Thailand yang pernah ditahan polis di Pasir Mas atas kesalahan memperdagangkan senjata api.

Chaithat berkata, pihaknya mempunyai bukti jelas melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Suhaidi berada di depan Hotel Merlin, Sungai Golok beberapa minit sebelum letupan pada 16 September lalu.

Polis Thailand percaya serangan bom dilakukan dengan niat membalas dendam selepas pihaknya membuat rampasan dadah, senjata, emas dan wang tunai yang semuanya bernilai lapan juta bath (RM800,000) tiga hari sebelum pengeboman.

Jeritan terakhir

BATU PAHAT: “Cepat buka pintu ni boboy, ayah panas,” itulah jeritan terakhir seorang ayah, Hassan Dg Patangga, 68, ketika terperangkap dalam kebakaran yang memusnahkan kediamannya di Kampung Parit Jabar Laut, Senggarang di sini, sebelum mangsa ditemui rentung, awal pagi semalam.
Mangsa dikatakan memanggil anak bongsunya, Ahmad Borhan, 15, selepas gagal keluar dari rumah kerana api marak dengan pantas.

Dalam kejadian pada jam 1.30 pagi, mangsa yang bekerja mengambil upah di kebun kelapa sawit maut apabila rumahnya yang diperbuat daripada papan hangus dijilat api.

Metro Ahad difahamkan, ketika kejadian, mangsa bersama isteri, Rohana Md Amin, 53, dan anaknya nyenyak tidur sebelum Rohana yang mengalami penyakit angin ahmar di sebahagian tubuh menyedari satu daripada wayar elektrik rumahnya terbakar.

Katanya, sebaik menyedarinya, dia mengejutkan arwah dan memaklumkan perkara itu sebelum arwah menyimbah api dengan air.

“Malangnya, api makin marak menyebabkan kami bertiga keluar menyelamatkan diri. Bagaimanapun, arwah tiba-tiba meluru ke dalam rumah dipercayai bagi mengambil dokumen penting,” katanya.


Menurutnya, dia mendengar jeritan mangsa meminta anaknya membuka pintu sebelum pintu ditendang, namun arwah tidak kelihatan berikutan asap tebal.

Katanya, arwah adalah punca pendapatan keluarga kerana dia tidak sihat untuk bekerja, manakala Nor Ummi menghadapi masalah penglihatan.

“Pada malam sebelum kejadian, arwah kelihatan gelisah dan hendak tidur di bilik lain kerana panas. Dia masuk tidur awal, sedangkan saya masih menonton televisyen hingga tengah malam.

“Kami tidak menyangka ia petanda dia akan pergi meninggalkan kami sekeluarga,” katanya.

Ketika kejadian, dua lagi anak mereka, Norashima, 20, penuntut Kolej Teknikal Yayasan Melaka dan Nor Ummi, 17, pelajar Sekolah Menengah Vokasional Inderapura, Kulaijaya masing-masing berada di pusat pengajian mereka.

Kebakaran berjaya dikawal daripada merebak ke rumah bersebelahan dalam tempoh 15 minit dan dipadamkan sejam kemudian.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut dijalankan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr Mohd Puad Zarkashi melawat dan menyampaikan bantuan kepada keluarga Rohana.

Dua beradik kena tahan

TUMPAS... dua beradik berasal dari Muar, Johor ditahan polis Indonesia selepas cuba menyeludup 500 gram dadah syabu.
TUMPAS... dua beradik berasal dari Muar, Johor ditahan polis Indonesia selepas cuba menyeludup 500 gram dadah syabu.
IPOH: Sepasang adik beradik berasal dari Muar, Johor sengaja mencari nahas apabila ditahan pihak berkuasa negara jiran selepas cuba menyeludup 500 gram dadah syabu dianggarkan bernilai lebih RM500,000.
Difahamkan, suspek wanita berusia 46 tahun dan adik lelakinya berusia 33 tahun menggunakan taktik menyembunyikan bungkusan paket dadah di dalam alat generator, mesin mengurut kaki dan pelbagai perkakasan elektrik yang dibawa masuk ke negara itu.

Pasangan adik beradik itu bagaimanapun ditahan ketika cuba membawa masuk dadah melalui Pelabuhan Internasional Bandar Sri Setia Raja, Bengkalis, Sumatera menggunakan perkhidmatan feri.

Sumber polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berkata, pasangan adik beradik terbabit ditahan jam 1.30 tengah kelmarin selepas tiba ke pelabuhan itu.

Polis republik terbabit yang terlebih dulu mendapat maklumat, melakukan pemeriksaan terhadap barangan elektrik dibawa oleh suspek kononnya bagi tujuan perniagaan.

Suspek dikatakan sengaja menyembunyikan dadah itu secara berasingan di dalam perkakas elektrik yang dibawa, namun polis republik terbabit berjaya menemui tujuh bungkusan dadah.


Difahamkan, dua bungkusan dadah syabu berwarna biru manakala lima bungkusan lagi berwarna putih, dan dianggarkan bernilai RM500,000 mengikut harga pasaran.

Adik beradik itu dikatakan mengaku pernah beberapa kali melakukan aktiviti penyeludupan dadah ke Indonesia selepas diupah seseorang rakyat Malaysia dengan ganjaran RM1,000 setiap seorang.

Suspek yang mendakwa dadah syabu itu perlu dihantar ke destinasi Surabaya kini ditahan di balai Polis Bengkalis dan bakal berdepan hukuman penjara tidak kurang 15 tahun.

Kes itu adalah tangkapan terbaru selepas seorang ahli perniagaan Malaysia ditahan pihak berkuasa Indonesia di Jakarta, Rabu lalu kerana disyaki terbabit dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa di negara jiran itu.

Difahamkan, suspek berperanan penting menyalurkan dadah berkenaan, yang diperoleh daripada Iran dan Belanda, kepada sindiket terbabit melalui jalan laut ke Medan, Indonesia sejurus bekalan tiba di Malaysia yang dijadikan pusat transit.

Ahli perniagaan terbabit ditahan bersama tujuh lagi anggota sindiket lain, semuanya warga Indonesia, selepas hampir tiga bulan mengekori pergerakan mereka.

Hasil penahanan itu, polis Indonesia menemui 52,000 pil ecstasy dan 1.5 kilogram bernilai lebih RM6 juta yang disembunyikan di tiga lokasi berasingan di sekitar Jakarta Pusat.

Budak 13 tahun ditahan gara-gara eksperimen seks

HULU SELANGOR: Gara-gara mahu meniru aksi melakukan hubungan seks ketika bermain ‘pondok-pondok’ bersama sepupunya, seorang remaja lelaki berusia 13 tahun ditahan polis selepas mencabul kanak-kanak itu yang berusia empat tahun, kelmarin.
Difahamkan, remaja lelaki terbabit ditahan polis selepas keluarga kanak-kanak itu membuat laporan dan pemeriksaan mendapati ada kesan cabul pada bahagian kemaluan mangsa.

Sumber menyatakan dalam kejadian tengah hari itu, kedua-duanya bermain di rumah mangsa.

“Ketika bermain, remaja terbabit dipercayai menyuruh mangsa membuka pakaiannya sebelum melakukan aksi tidak senonoh dan mencabul mangsa.

“Selepas selesai bermain, remaja itu pulang ke rumahnya. Namun, mangsa yang berasa sakit pada kemaluannya menangis dan memberitahu ibunya,” katanya.

Kata sumber, ibu mangsa kemudian bertanyakan anak kecilnya yang menceritakan perbuatan remaja terbabit.


Terkejut mendengar cerita itu, wanita berkenaan pergi ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan berhubung kejadian itu.

Mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan lanjut sebelum polis menahan suspek di rumahnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Afendy mengesahkan penahanan remaja itu.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

Parah dibelasah kerana mengadu

BEIJING: Seorang pelancong diheret dari biliknya, dibelasah sebelum ditinggalkan di tepi jalan berhampiran rumahnya selepas cuba mengetengahkan masalah dihadapi kepada kerajaan.
Agensi berita Xinhua melaporkan, Zhao Zhipei tiba di Beijing dari Luoyang, Henan, untuk mengadu kepada sebuah biro pengaduan awam.

Bagaimanapun, sekumpulan lelaki memecah masuk bilik disewa Zhao di sebuah hotel sebelum mengheretnya ke dalam van.

Memetik kenyataan sumber, Xinhua melaporkan, Zhao dikurung dalam van berkenaan sementara dia dibawa pulang ke kampungnya di Luoyang.

Bagaimanapun, sepanjang perjalanan itu, Zhao dibelasah sehingga pengsan sebelum dia ditinggalkan di tepi jalan tidak jauh dari rumahnya.

Beberapa akhbar tempatan turut menyiarkan gambar Zhao yang pengsan.


Mengikut sistem diamalkan sejak zaman silam, seseorang boleh mengemukakan tuntutan mengenai pelbagai isu kepada kerajaan, termasuk masalah pengambilan tanah atau salah laku polis.

Bagi membolehkan isu itu ditangani pihak berkuasa, seseorang perlu mengemukakan petisyen kepada biro pengaduan awam berkenaan.

Sesetengah orang memilih untuk mengemukakan aduan itu di Beijing supaya masalah mereka lebih cepat diatasi. Bagaimanapun, majoriti penduduk tidak gemar mereka dikaitkan dengan tuntutan itu bagi menjaga imej kawasan berkenaan.

Kejadian menimpa Zhao menimbulkan kemarahan orang ramai dan sesetengahnya menyalahkan kerajaan.

Komuniti siber berpendapat, semua pihak yang berkaitan perlu dihukum sewajarnya kerana ia bukan kali pertama berlaku.

Sementara itu, pihak berkuasa berkata, kakitangan keselamatan yang diupah biro pengaduan awam itu bertanggungjawab atas kejadian berkenaan. - AFP

Pesawat bawa 19 penumpang hilang di Nepal

KATMANDU: Sebuah peswat yang membawa 19 penumpang untuk meninjau Gunung Everest dilaporkan hilang dan terputus hubungan dengan menara kawalan lebih sejam, hari ini.

Pesawat Beechcraft milik Buddha Air membawa 16 pelancong asing dan tiga anak kapal, dilaporkan hilang ketika menghampiri Lapangan Terbang Katmandu.
Pegawai berakta, pusat menyelamat tidak mempunyai sebarang maklumat lanjut.
Pesawat berkenaan membawa pelancong untuk meninjau Gunung Everest dan puncak tinggi lain dan dijadualkan kembali ke Katmandu. - AP 

Bayi 9 bulan maut dalam gumpalan toto

PUTRAJAYA: Seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan maut selepas ditemui tergumpal dalam gebar kapas atau lebih dikenali sebagai selimut toto dalam kejadian di rumah pengasuhnya di Presint 8 di sini, kelmarin.

Dalam kejadian itu, bayi berkenaan, Nur Harisya Miasarah Haizam atau panggilan manjanya, Mia berada di bawah jagaan pengasuh selepas dihantar ibunya, Hayati Idris, 28, bersama abang mangsa yang berusia empat tahun.
Mia disahkan meninggal dunia pada jam 9.15 malam kelmarin selepas lebih 11 jam menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Putrajaya, di sini.
Difahamkan, mangsa dibawa pengasuh ke ICU hospital itu kira-kira jam 10.30 pagi selepas mendapati bayi berkenaan lesu, biru dan tidak bergerak ketika ditemui bergumpal dalam selimut toto.

Hayati berkata, beliau menerima panggilan daripada pengasuh anaknya kira-kira jam 10.30 pagi yang memaklumkan Mia lemas dalam selimut toto serta dibawa ke hospital.

Pengasuh memberitahu ketika kejadian, Mia berada di ruang tamu bersama abangnya dan beberapa kanak-kanak lain, manakala pengasuh membawa seorang anaknya ke tandas.

Sebaik keluar ke ruang tamu, pengasuh melihat Mia berada di bawah selimut toto nipis dalam keadaan yang sudah tidak bermaya, lesu, sedikit biru dan tidak bernafas.
Pengasuh kemudian segera membawa Mia ke unit kecemasan hospital untuk rawatan lanjut kerana tidak tahu melakukan bantuan nafas mulut ke mulut, katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Hayati berkata, anaknya berada dalam keadaan kritikal sepanjang menerima rawatan di ICU dan tidak menunjukkan sebarang reaksi positif kecuali menggerakkan jari tangan beberapa kali.

Selepas itu, Mia langsung tidak menunjukkan reaksi positif hingga saat akhir anak saya meninggalkan kami kira-kira jam 10 malam.

Saya dan suami, Haizam Sharif, 32, reda dengan pemergian Mia. Sudah ditakdirkan ajalnya sudah tiba, kita tidak boleh menghalang takdir, sebaliknya terima dengan reda dan rela hati, katanya yang mempunyai seorang lagi anak lelaki berusia enam tahun.

Hayati berkata, jenazah Mia dibawa pulang ke kampungnya di Kampung Pasir Gajah, Kampung Gajah, Perak dan sudah selamat dikebumikan pada jam 11 pagi semalam.

Berikutan kejadian itu, Hayati membuat laporan di Balai Polis Daerah (IPD) Putrajaya, bagaimanapun beliau tidak bercadang mengambil tindakan terhadap pengasuh terbabit. 

Kanak-kanak maut jatuh dari tingkat lima



Bangunan kuarters IPD Marang tempat Ahmad Safuan 
terjatuh dari tingkat 5.


MARANG - Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun maut selepas terjatuh dari tingkat lima kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Supritendan Ahmad Mazlan Yahaya berkata, mangsa, Ahmad Safuan Syafik Afandi yang mengalami sindrom down dan hiperaktif dipercayai terjatuh kira-kira pukul 7.45 pagi.
"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas tangan dan kaki kirinya patah dan mengalami kecederaan parah di kepala.
"Sebelum kejadian, ada seorang anggota polis terserempak dengan mangsa di tingkat enam di kuarters berkenaan dan bertanya kepada mangsa, dia hendak ke mana, tetapi mangsa terus berlari ke tingkat bawah," katanya kepada pemberita.

Rentung selepas dua kali redah api




RUMAH Hasan hangus dijilat api menyebabkan keluarganya kini tinggal sehelai sepinggang di Senggarang, Batu Pahat semalam.


BATU PAHAT - "Buka pintu ini Boboi, cepat tolong ayah, panas!"
Itu jeritan terakhir seorang ayah, Hasan Dg Patangga (gambar), 68, kepada anak bongsunya yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) Ahmad Borhan, 15, sebelum warga emas itu ditemui rentung dalam rumahnya di Kampung Parit Jabar Laut, Senggarang di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, mangsa yang bekerja mengambil upah di kebun kelapa sawit, maut apabila rumahnya yang diperbuat daripada papan hangus dijilat api.
Turut bersama mangsa ketika kejadian ialah isterinya, Rohana Md. Amin, 53, yang mengalami penyakit angin ahmar dan anak bongsunya itu. Kedua-dua mereka bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri.
Dua lagi anaknya, Norashima, 20, kini belajar di Kolej Teknikal Yayasan Melaka, manakala Nor Ummi, 17, belajar di Sekolah Menengah Vokasional Inderapura, Kulaijaya, Johor.
Menurut Rohana, dia pada mulanya terdengar satu letupan kuat yang disangkanya bunyi mercun tetapi setelah nampak api dan asap marak di dalam rumah, dia mula panik dan cepat-cepat mengejutkan suami dan anak yang tidur di bilik lain.
"Sebelum kejadian, arwah kelihatan gelisah berbanding biasa dan katanya dia hendak tidur di bilik lain kerana cuaca panas. Dia masuk tidur awal sedangkan saya masih menonton televisyen sehingga tengah malam," katanya.