Search This Blog

Saturday, September 24, 2011

Tindakan 'nakal' ke penjara



AYER KEROH - Akibat bertindak 'nakal' memegang punggung rakan sekerjanya, seorang lelaki warga Nepal terpaksa meringkuk dalam penjara selama lapan bulan, serta denda RM2,000.

Tertuduh turut berdepan penjara tambahan dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Tanka Bahadur Tamang, 25, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap seorang wanita raktar tempatan berusia 23 tahun yang bekerja di tempat sama di sebuah restoran makanan segera dekat Banda Hilir, kira-kira 4 petang, 10 Jun lalu.

Tertuduh membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya dalam bahasan Nepal oleh seorang penterjemah di hadapan Majistret Muzila Mohamed Arshad.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Muhammad Juhari Haron, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dan denda jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dalam rayuannya, tertuduh yang telah berkahwin dan mempunyai seorang anak di negara asalnya, merayu supaya hukuman minima dikenakan kerana sudah insaf.

Tertuduh turut merayu diberikan peluang kedua meneruskan hidup di negara ini memandangkan pengalaman ditahan reman di Penjara Sungai Undang sudah cukup memberikan pengajaran kepadanya.

Sementara itu, mahkamah sama turut menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan tiga sebatan terhadap seorang buruh kontrak selepas didapati bersalah atas dua tuduhan memiliki dadah.

Muzila menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap Zul Fahmi Nordin, 25, selepas mendapati tiada undur keraguan dalam kes itu sepanjang perbicaraan berlangsung bermula 2 Disember tahun lalu.

Tertuduh didakwa memiliki dadah merbahaya jenis kanabis berat bersih 47.42 gram dan dadah jenis methapetamin berat bersih 1.19 gram, dan disiasat di bawah Seksyen 6, Akta Dadah Berbahaya 1952 (akta 234 semakan 1980).

Cermin kereta Adun kena pecah



SEREMBAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nilai, Yap Yew Weng kerugian lebih RM1,500 apabila cermin kereta jenis Nissan X-Trail miliknya dipecah dan beberapa barangan di dalamnya hilang dipercayai dicuri, awal pagi semalam.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 4.30 pagi di kediamannya dekat Taman Rasah Jaya, di sini apabila cermin pintu belakang bahagian kanan keretanya dicabut dan diumpil dengan alat dipercayai pemutar skru.

Yew Weng berkata, sewaktu kejadian beliau sedang nyenyak tidur dan tidak mendengar apa berlaku di luar rumahnya.

Menurutnya, kejadian disedari kira-kira 9 pagi sewaktu beliau mahu pergi pejabat.

“Sebaik sahaja saya menghampiri kereta, saya dapati cermin pintu belakang sudah tidak ada dan cermin tingkap dicabut itu berada di bawah kereta.

“Saya mula bimbang dan mendapati komputer riba dan beg pakaian yang diletakkan dalam kereta itu hilang,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya, semalam.

Yew Weng berkata, berdasarkan makluman daripada jirannya, sewaktu kejadian, alat penggera keretanya berbunyi, tetapi jirannya itu tidak melihat sebarang kelibat manusia di luar kawasan rumah tersebut.

Berikutan kejadian itu, Yew Weng membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Pencuci kereta dihukum mati



GEORGETOWN - Suasana tenang di Mahkamah Tinggi di sini bertukar hiba apabila ahli keluarga seorang pencuci kereta tidak mampu menahan kesedihan setelah tertuduh dihukum gantung kerana mengedar dadah seberat 124.81 gram jenis heroin dan monoacetylmorphines, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu semalam setelah berpuas hati dengan pihak pendakwaan yang berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di peringkat pembelaan terhadap Prabakaran Peraisamy,29.

Pada mulanya, ahli keluarga tertuduh yang duduk di galeri awam nampak tenang tetapi masing-masing menangis teresak-esak sebaik sahaja hukuman dijatuhkan.

Terdahulu, Zamani berkata, keterangan tertuduh ketika membela diri hanyalah penafian semata-mata dan keterangan ‘after thought’ bukan satu pembelaan yang baik.

Jelasnya, keterangan Prabakaran yang mendakwa sampul surat berisi heroin dan monoacetylmorphines itu kononnya milik orang lain yang dipercayai mengandung cip komputer juga tidak munasabah dan tidak boleh dipercayai kerana kerana saksi pendakwaan memberitahu, tertuduh sentiasa memegang sampul tersebut.

Dalam pembelaannya sebelum ini, Prabakaran mendakwa hanya menolong kawan untuk menerima sampul surat kononnya mengandungi cip komputer tanpa mengetahui kandungan sebenar sampul yang diterima daripada seorang lelaki bernama Chan untuk diserahkan kepada Ravi. Sampul itu dikatakan akan diambil oleh Ravi daripadanya.

Prabakaran juga menyatakan, sebelum ini dia pernah menerima plastik mengandungi cip komputer daripada Chan untuk diserahkan kepada Ravi. Namun kali ini, dia dia tidak sempat melihat isi kandungan sampul surat itu.

Zamani berkata, mahkamah mendapati cerita pembelaan tidak pernah dikemukakan kepada saksi pendakwaan yang dipercayai merupakan satu rekaan ‘after thought’ yang tidak ada sebarang asas.

“Oleh itu, mahkamah tiada pilihan lain selain menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas tertuduh,” katanya.

Terdahulu, Prabakaran disabitkan bersama dua orang yang masih bebas mengedar dadah seberat 124.81 gram iaitu 17.83 gram heroin dan 106.98 gram monoacetylmorphines.

Kesalahan itu dilakukan oleh Prabakaran di Jalan Besar Permatang Tinggi, Bukit Tengah, Bukit Mertajam, kira-kira jam 8.10 malam, 22 Oktober 2009.

Timbalan Pendakwa Raya, Umma Devi Loganathan mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39B(2) akata yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Prabakaran ditangkap sewaktu berurusan dengan polis yang menyamar sebagai ejen bagi urusan jual beli dadah di sebuah bengkel cuci kereta di Bukit Tengah, Bukit Mertajam.

Kastam rampas wang seludup



PADANG BESAR – Kastam Diraja Malaysia Perlis berjaya merampas sejumlah RM253,000 wang tunai yang cuba diseludup seorang penoreh getah warga Thailand di pintu masuk Kompleks Imigresen di sini, kira-kira 12.45 petang kelmarin.

Pengarah Kastam Negeri, Mohd Pudzi Man berkata, sepasukan pegawai yang bertugas di unit pemeriksaan penumpang membuat pemeriksaan terhadap kenderaan jenis ‘pick up’ yang melalui lorong van import untuk ke Malaysia.

Menurutnya, hasil pemeriksaan berjaya menjumpai empat bungkusan yang mengandungi wang kertas yang disorok dengan nilai Ringgit Malaysia di bawah tempat duduk bahagian belakang kenderaan berkenaan.

Beliau berkata, dari alasan yang diberi, penoreh getah berumur 24 tahun berkenaan memaklumkan wang yang dibawanya itu adalah untuk kegunaan membayar hutang.

Tetapi, katanya, suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan wang itu dan tidak ikrar wang berkenaan dalam Borang Kastam 22.

“Berikutan kegagalannya mengemukakan dokumen berkaitan wang itu, kita merampas wang tunai berkenaan serta menahan penoreh getah terbabit untuk siasatan lanjut,” katanya.

Mohd Pudzi berkata, atas kes bereknaan, empat lelaki iaitu tiga warga Malaysia dan seorang warga Thailand dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut 23 (1) AMLATFA (Akta pendegahan pengubahan wang haram dan pencegahan pembiayaan keganasan) 2001 dan bersabit di bawah akta ini boleh dihukum di bawah seksyen 23 (2) AMLATFA yang mana denda tidak melebihi RM1,000,000 atau penjara melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Malah, kes juga disiasat di bawah seksyen 4 (1) AMLATFA iaitu terlibat dengan pengubahan wang haram dan jika disabitkan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama iaitu denda tidak melebihi RM5,000,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Turut disiasat diawah seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 membawa masuk barangan larangan import yang jika sabit kesalahan boleh dihukum dibawah seksyen 135 (1)(i)(iii)(aa) iaitu denda minimum 10 kali ganda nilai dan maksimum tidak melebihi 20 kali ganda nilai atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Jeritan isteri selamatkan nyawa



MENGLEMBU – Pekerja yang sibuk bekerja di sebuah kilang kayu di sini panik apabila mendengar jeritan ‘Api! Api!’ dari kawasan rumah kongsi berhampiran kilang itu.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari semalam, tempat penyimpanan kayu sebuah kilang yang sudah 53 tahun beroperasi, terbakar ketika 30 pekerja sibuk bekerja di blok berhampiran dalam kilang yang sama.

Seorang pekerja, Abdul Wahab, 29, yang berasal dari Sabah berkata, sewaktu kejadian isteri dan anaknya berusia setahun berada di rumah kongsi yang berhampiran.

Menurutnya, ketika itu kedua ahli keluarganya itu sedang nyenyak tidur sebelum isterinya terasa bahang api di rumah mereka.

“Isteri saya melihat api sudah mula marak dan merebak ke bahagian rumah kongsi yang lain. Dia (isteri) terus menyelamatkan anak kami dan beberapa barangan berharga.

“Dalam masa yang sama, dia turut menjerit meminta tolong kepada pekerja kilang yang berada di blok bersebelahan,” katanya di lokasi kejadian semalam.

Walaupun beberapa pekerja cuba mengawal kebakaran namun usaha mereka gagal kerana api merebak terlalu cepat dan memusnahkan barangan termasuk kayu yang terletak di dalam stor penyimpanan.

Katanya, kedengaran juga bunyi letupan kecil dipercayai akibat tong gas yang meletup namun mereka bernasib baik kerana sempat mengubah tong gas lain ke tempat lebih selamat.

Kilang itu dipercayai mengalami kerugian mencecah RM100,000.

Sementara itu, Penolong Kanan Penguatkuasa Bomba, Zainasrie Zainal berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira jam 12.02 tengah hari semalam.

Dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh dengan kekuatan 14 anggota bergegas ke tempat kejadian.

“Kami tiba pada jam 12.10 tengah hari dan api dapat dikawal 50 minit kemudian,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian serta jumlah sebenar kerugian masih dalam siasatan.

Barang kemas dilarikan Pak Arab



BANDAR BARU BANGI – Seorang lelaki terkejut selepas barang kemas miliknya bernilai RM2,000 dilarikan tiga lelaki berbangsa Arab dalam kejadian pecah rumah di Seksyen 5, dekat sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abd Rashid Abd Wahab (gambar) berkata, kejadian berlaku jam 7.30 malam, apabila mangsa berusia 39 tahun tiada di rumah kerana bekerja dan hanya mengetahui kejadian sebaik dimaklumkan jiran.

Menurutnya, sewaktu kejadian, jiran mangsa yang berada di rumah terdengar bunyi penggera rumah mangsa sebelum jirannya itu keluar meninjau keadaan sebenar.

“Sebaik keluar dari rumah, jirannya melihat kelibat tiga lelaki berbangsa Arab dalam keadaan mencurigakan berada di dalam rumah mangsa.

“Dia kemudian memaklumkan beberapa jiran lain sebelum mengambil keputusan mengepung rumah mangsa,” katanya.

Beliau berkata, menyedari rumah berkenaan dikepung, suspek bertindak melarikan diri bersama barangan dicuri menggunakan kereta Proton Persona warna hitam.

“Beberapa jiran mangsa turut mengejar suspek dan cuba untuk memberkas mereka,” katanya.

Abd Rashid berkata, suspek yang cemas gagal mengawal kereta berkenaan sebelum melanggar pokok beberapa meter dari tempat kejadian.

“Kesemua suspek melarikan diri ke kawasan perumahan berhampiran bersama barang kemas dicuri.

“Siasatan awal mendapati suspek memecah masuk menggunakan pintu belakang rumah mangsa menyebabkan penggera berbunyi.

“Polis tidak menjumpai senjata di dalam kereta mangsa dan dipercayai alat berkenaan ditinggalkan suspek di kawasan sekitar rumah mangsa sewaktu melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, kereta digunakan suspek dipercayai disewa daripada seseorang dan polis kini sedang mengesan pemilik kereta selain usaha memburu suspek giat dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda,” katanya.

Iklan urut haram makin berleluasa



SELAYANG – Orang ramai mempertikaikan iklan haram terutama iklan urut yang disifatkan semakin berleluasa di tempat yang menjadi tumpuan awam.

Wakil penduduk dari Selayang Indah, Mohd Yusof Tukiman, 34, berkata, terbaru dia kesal tembok sebelah bawah jejambat ke Pasar Borong Selayang juga dijadikan tumpuan untuk iklan terbabit.

“Apa yang dimaksudkan oleh mereka dengan ‘Heaven Massage’ (urutan syurga), ‘Cheese Massage’ (urutan keju) ‘Happy Massage’ (urutan gembira) dan sebagainya kalau tidak khidmat urut batin yang boleh menjurus kepada aktiviti tidak sihat.

“Selain di sini, banyak kawasan tidak sepatutnya diletakkan iklan ini seperti di laluan jejambat Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Batu Caves, bawah jejambat jalan MRR2 dekat Kepong dan lain-lain,” katanya.

Menurutnya, perkara ini sepatutnya dipantau pihak berkuasa dengan segera mengambil tindakan menurunkan iklan haram berkenaan yang boleh dikhuatiri membawa masyarakat ke arah aktiviti tidak sihat.

Katanya, pemasangan iklan sedemikian juga di lokasi lain agak mencurigakan seperti di belakang lorong bangunan yang dapat dilihat seperti di kawasan Selayang Utama dan Wilayah Selayang.

“Saya cadangkan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu tubuhkan unit khusus untuk memadamkan iklan haram ini di sesuatu kawasan. Selain itu, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) perlu uar-uarkan talian yang boleh dihubungi bagi melaporkan nombor iklan haram ini.

“Masalahnya apabila tindakan lambat diambil, tindakan mereka meletak iklan haram ini semakin menjadi-jadi apabila mereka merasa bebas berbuat demikian,” katanya.

Dalang penipuan perbankan didakwa



SHAH ALAM - Dua pelajar lelaki warga asing dan seorang wanita tempatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap tuduhan membabitkan penipuan perbankan Internet selepas menggodam kad modul pengenalan pengguna (SIM) telefon bimbit rakyat negara ini.

Rana Adil Hayat, 24, dari Pakistan; Ibrahim Koroma, 27, warga Sierra Leonne, dan Adelina Audrey Lesslar, 27, didakwa memperdayakan Pegawai Perkhidmatan Celcom Blue Cube, Tuzira Safardi, 36, untuk mempercayai mereka Mohammad Zamri Sulong, pemilik berdaftar Celcom.

Perbuatan itu didakwa mendorong Tuzira mengeluarkan kad SIM ganti.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Celcom Blue Cube, Subang Jaya, dekat sini, antara 8.15 dan 8.22 malam, 5 Julai lalu.

Ibrahim dan Lesslar didakwa menipu Pegawai Perkhidmatan Pelanggan Maxis, Ekhwan Yusof, 22, untuk mempercayai kedua-duanya Joseph Christine Melani.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di Maxis Center Curve, The Curve, Mutiara Damansara dekat sini, antara 9 dan 9.30 pagi, 20 Ogos lalu.

Hakim, Aslam Zainuddin membenarkan Rana Adil dan Ibrahim diikat jamin RM15,000 manakala, Lesslar RM17,000 serta kes disebut semula 11 Oktober depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nazrul Nizam Mohd Zameri manakala peguam, Tharuma Ratnam dan A Aravindhaksan.

Nekad bakar diri



KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga emas maut selepas bertindak nekad membakar dirinya dipercayai tertekan dengan masalah kesihatan, dalam kejadian di kawasan Projek Perumahan Rakyat Desa Rejang di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.40 malam itu, Sow Kim Tan, 81, dikatakan membakar dirinya di tepi longkang dengan menggunakan minyak petrol.

Menurut anak mangsa, Soo Ah Chuan, 51, berkata, bapanya itu pernah memberitahu kepadanya bahawa dia sudah tidak sanggup menanggung keperitan akibat menghidap pelbagai penyakit.

Katanya, bapanya itu menghidap penyakit gout, sakit sendi dan kencing manis.

“Sebelum kejadian ini, bapa memberitahu untuk membeli minyak petrol. Dia membeli minyak itu dengan menggunakan basikal.

“Saya tidak sangka, dia sanggup bertindak sedemikian,” katanya.

Sementara itu menurut sumber polis, siasatan di lokasi kejadian menemui botol bersaiz 1.5 liter dipercayai digunakan mangsa untuk mengisi minyak petrol dibeli.

“Pemeriksaan mendapati mayat mangsa sudah 80 peratus terbakar. Botol itu juga turut terbakar,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Pemancing dikhuatiri lemas



KAJANG – Rutin harian seorang lelaki berusia 31 tahun yang memancing di sungai berhampiran Tol Batu 11, dekat sini berakhir tragedi apabila mangsa dipercayai lemas dalam sungai berkenaan.

Mangsa, Ng Lee Thian yang masih belum berkahwin dan tinggal bersama bapanya di Taman Indah Batu 9, Cheras hanya disedari bapanya, Ng Yoke Seng selepas mangsa tidak pulang ke rumah sejak keluar memancing Rabu lalu.

Yoke Seng berkata, menjadi rutin harian anaknya keluar rumah untuk pergi memancing di sungai berkenaan dan akan pulang pada petangnya namun anaknya tidak pulang pada petang Rabu lalu.

“Bimbang anak lelaki tidak pulang ke rumah, saya pergi ke lokasi memancing dan terjumpa beberapa barangan milik anak yang ditinggalkan di tepi sungai berkenaan dan mula mensyaki kejadian buruk menimpanya.

“Sejurus selepas itu saya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang,” katanya yang ditemui tempat kejadian, kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abd Rashid Abd Wahab ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan gerakan mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dilaksanakan.

“Usaha mencari dan menyelamat mangsa sedang dijalankan anggota polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang digerakkan secara bersepadu.

“Sehingga jam 3 petang ini, mangsa masih belum ditemui dan usaha berterusan akan dilaksanakan dari masa ke semasa,” katanya.

Suami, isteri jadi mangsa taktik licik



KUANTAN - Sepasang suami isteri menjadi mangsa kerakusan syarikat penganjur peraduan gores dan menang apabila mereka terpaksa menerima hakikat wang yang ‘dipinjamkan’ kepada ejen syarikat ini lesap begitu sahaja.

Pasangan yang berusia 29 dan 25 tahun ini terkedu apabila wang tunai bernilai RM1,600 yang diserahkan untuk diimbas nombor sirinya gagal diperoleh kembali akibat helah dan tipu daya ejen syarikat tersebut.

“Ketika keluar dari pada pusat membeli belah di bandar ini bulan lalu, kami didatangi dua remaja memberikan dua keping kad gores dan menang kepada saya dan isteri.

“Pada mulanya kami menolak pelawaan itu namun mereka berjanji tiada bayaran dikenakan dan kami membuka kupon tersebut,” kata mangsa yang dikenali sebagai Mohd ketika ditemui di Tribunal Tuntutan Pengguna (TTPM), kelmarin.

Mohd berkata, ejen tersebut mengatakan dia bertuah kerana kupon yang dibukanya berjaya mendapat barangan elektrik iaitu mesin pengurut kaki manakala isterinya tidak memperolehi apa-apa.

“Ejen yang dikenali sebagai KK Tan menyatakan jika ingin menangi hadiah mewah lain, kami perlu menyerahkan RM5,900 tetapi kami tiada wang sebanyak itu.

“Kemudian dia memujuk kami menyerahkan wang separuh sahaja iaitu RM3,000 dan kami tetap berkeras tidak mahu,” katanya yang kesal dengan penipuan ini seolah-olah tiada tindakan yang diambil oleh pihak kerajaan terhadap syarikat ini.

Setelah termakan pujuk dan rayu ejen itu, mereka mengeluarkan wang RM1,500 daripada bank dan RM100 dalam simpanannya kepada KK Tan yang berjanji akan menyerahkan kembali kepada pasangan ini.

“Nombor siri wang itu dikatakan berjaya memenangi tilam jed yang berharga RM16,000 namun kami perlu membayar wang selebihnya bernilai RM4,300.

“Kami menolak tilam itu dan meminta mereka untuk mengembalikan wang yang dipinjamkan namun mereka enggan menyerahkannya,” katanya.

Kata Mohd, ejen terbabit turut mengambil gambar dia dan isterinya untuk dijadikan sebagai bukti bahawa mereka berjaya memenangi hadiah tersebut sebagai kempen kepada produk mereka.

Terkedu dengan alasan yang diberikan oleh ejen tersebut, pasangan ini nekad melaporkan tuntutan mereka kepada TTPM.

Sementara itu, Presiden TTPM, Maznah Haron mengarahkan pasangan tersebut mengembalikan produk elektrik yang dimenangi pasangan ini setelah wang mereka diserahkan kembali oleh syarikat tersebut.

Padah kebas duit mertua



KUANTAN - Seorang penganggur menerima padah selepas dijatuhkan hukuman penjara 180 bulan dan 31 sebatan oleh dua Mahkamah Majistret berasingan, di sini, kelmarin.

Tertuduh, Syed Mohd Badli Shah Syed Hamzah, 31, dari Kampung Sungai Karang Pantai menghadapi 10 pertuduhan iaitu mencuri kad mesin juruwang automatik (ATM) milik bakal ibu mentuanya dan membuat pengeluaran keseluruhan, RM12,0000.

Di Mahkamah Majistret Khas Trafik, tertuduh didakwa atas tiga pertuduhan dengan curang menggunakan kad ATM Maybank milik Ramlah Ali, 55, dari Bandar Indera Mahkota, untuk kegunaan sendiri tanpa mendapat kebenaran dan membuat tiga pengeluaran berturut-turut berjumlah RM4,000 di premis bank itu di Jalan Beserah, di sini, kira-kira jam 5.22 petang pada 31 Julai lalu.

Lelaki itu mengaku bersalah di depan Majistret Rini Triany Muhamad Ali sebelum dikenakan hukuman penjara 15 bulan dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan.

Manakala di Mahkamah Majistret 1 pula, dia dituduh melakukan tujuh kesalahan sama dengan membuat pengeluaran kesemuanya berjumlah RM8,000 pada 30 Julai hingga 2 Ogos lalu di premis Maybank berasingan di sekitar pusat bandar.

Tertuduh mengaku bersalah bagi setiap dakwaan terbabit di depan Majistret Nordiana Abdul Aziz yang kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan dan empat sebatan bagi pertuduhan pertama.

Manakala bagi pertuduhan kedua sehingga ke-7, Nordiana menjatuhkan hukuman penjara 20 bulan dan empat sebatan bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Abdul Halim Hamad, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun dan sebatan serta denda.

Culik, pukul, campak keluar van

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun ‘diculik’ dua lelaki menaiki van putih ketika berjalan pulang dari sekolahnya di Taman Melati di sini, semalam.
Jenayah itu disyaki dilakukan kumpulan sama yang berdendam dengannya selepas kanak-kanak lelaki itu menggagalkan satu cubaan ragut dilakukan penjenayah terbabit pertengahan bulan lalu.
Sebaik ditangkap dan dimasukkan ke dalam van, mangsa dipukul seorang daripada suspek berusia 20-an sepanjang perjalanan sebelum dicampak keluar dari van yang sedang bergerak sebaik tiba di stesen Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Wangsa Maju di sini, jam 2 petang, kelmarin.

Menurut sumber, dua lelaki berkenaan yang berdendam dengan budak terbabit terserempak dengan mangsa bersendirian dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumahnya.


Sebaik melihat mangsa, dua penjenayah terbabit yang menaiki sebuah van putih terus berhenti di hadapannya.

‘Isteri kedua hari-hari mau’

BUKTI...Datuk berkenaan menunjukkan surat akuan sah perkahwinan dengan wanita terbabit.
BUKTI...Datuk berkenaan menunjukkan surat akuan sah perkahwinan dengan wanita terbabit.



KUALA LUMPUR: Biarpun sudah dua kali bercerai, seorang pelakon tambahan yang juga model iklan tetap mengganggu kehidupan suaminya yang juga seorang ahli perniagaan dengan memberi alasan kemaruk seks sehingga sanggup bernikah secara ‘Cina buta’ selepas diceraikan talak tiga, semata-mata bagi memuaskan nafsunya.
Namun, walaupun berjanji akan berubah selepas ‘merujuk’ semula dengan suaminya, dia masih meneruskan aktiviti songsang bersama beberapa lelaki lain sebelum dicekup anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), minggu lalu.
Suaminya yang bergelar Datuk, 40-an, berkata selain kemaruk seks, isteri keduanya yang berusia 30-an, menggunakan kecantikannya untuk memerangkap lelaki bagi mendapatkan kesenangan hidup selepas melayani mereka hingga ke bilik tidur.


Bagi memerangkap mangsa, isterinya yang mendakwa ejen sebuah bank menawarkan bantuan kepada lelaki yang disasarkan untuk mendapatkan pinjaman peribadi atau perniagaan asalkan mereka sanggup melayan nafsu liarnya.




Katanya, dia diperkenalkan kepada isterinya yang ketika itu pelakon tambahan dan kakitangan sebuah syarikat produksi filem pada 2008 oleh kenalan dan berkahwin di Thailand, dua bulan kemudian.

Suspek samun khayal dadah



BESUT – Polis menahan tujuh lelaki dan merampas 197 biji pil kuda (methamphetamine) dan tiga botol serbuk dipercayai heroin bernilai kira-kira RM8,000 dalam beberapa tangkapan berasingan dala:m tempoh empat hari berakhir kelmarin.

:Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, dalam serbuan jam 5 pagi kelmarin, sepasukan polis telah menyerbu sebuah rumah di sebuah taman perumahan di Kampung Raja yang disyaki dihuni suspek terbabit dengan kes samun di Bachok, Kelantan pada 17 September lalu.

Menurutnya, polis yang memecah masuk ke dalam rumah tersebut berjaya menahan seorang lelaki berusia 32 tahun yang sedang keadaan khayal dipercayai di bawah pengaruh dadah di satu penjuru bilik tidur di rumah berkenaan.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek, polis menemui 58 biji dipercayai pil kuda di atas paha suspek dan dua botol serbuk putih dipercayai heroin di dalam satu beg pinggang,” katanya.

Kamaruddin berkata, turut dirampas sebuah kereta Proton Wira dan sebilah parang yang dipercayai ada kaitan dengan kejadian samun di jajahan tersebut.

Dalam serbuan berasingan pada jam 4.20 pagi hari sama, empat lelaki berusia 17 hingga 30 tahun ditahan di sebuah rumah di Kampung Bukit Puteri Dalam dekat Kuala Besut.

Kata beliau, hasil pemeriksaan pada badan suspek dan di dalam rumah tersebut, polis menemui 41 biji pil kuda dan sebotol serbuk putih dipercayai heroin.

“Tiga daripada suspek didapati positif dadah manakala suspek berumur 17 tahun yang merupakan seorang pelajar tingkatan lima sebuah sekolah di daerah ini negatif dadah,” katanya.

Rabu lalu pula, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Besut telah melakukan serbuan di sebuah rumah di Kampung Tasik Tok Lebai, Jabi pada jam 8.10 pagi.

Polis telah menahan seorang lelaki yang beralamat di Kampung Renek itu dipercayai pengedar dadah dan polis merampas sebanyak 95 biji pil kuda manakala suspek juga didapati positif dadah.

Sehari sebelum itu kira-kira jam 4.30 pagi, polis berjaya menahan seorang pelajar institusi kemahi-ran di sini yang baru pulang dari kampungnya di Jengka, Pahang setelah dipercayai membawa bersamanya 20 biji pil kuda.

“Pelajar tersebut dipercayai mendapat bekalan di kampungnya dan ditahan sebaik turun bas berhampiran Bank Maybank Jertih,” katanya.

Isnin lalu pula dua remaja bawah umur berumur 16 dan 17 tahun yang menaiki sebuah kereta telah ditahan di Kampung Seberang Kastam dekat Pantai Air Tawar.

Mereka yang sudah tidak bersekolah didapati membawa 24 biji pil kuda yang disembunyikan berhampiran tempat duduk penumpang.

Semua suspek ditahan reman untuk membantu siasatan dan kes tersebut disiasat berdasarkan dakwaan masing-masing iaitu di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah berbahaya 1952, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) akta yang sama. 

Nyaris rentung bersama Lamborghini RM1.2j

TERBAKAR...anggota bomba menyiasat kebakaran sebuah Lamborghini 
di Damansara, semalam.
TERBAKAR...anggota bomba menyiasat kebakaran sebuah Lamborghini di Damansara, semalam.
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki nyaris rentung apabila kereta Lamborghini Gallardo miliknya yang bernilai RM1.2 juta terbakar ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Damansara, di sini semalam.
Ketika kejadian jam 11.45 pagi itu, mangsa berusia 31 tahun yang enggan dikenali dalam perjalanan pulang selepas keluar bersiar-siar bagi memanaskan enjin kereta itu selepas seminggu ditinggalkan di sekitar kawasan rumah sebelum terhidu asap daripada bahagian enjin kenderaannya. Menurut Ketua Operasi, Bomba Dan Penyelamat Sri Hartamas, Shahrul Azizi, pihaknya menerima panggilan daripada mangsa jam 11.50 pagi dan tiba di tempat kejadian tujuh minit kemudian.

“Mangsa memberitahu terhidu bau asap enjin keretanya 100 meter dari tempat kejadian dan dia memberhentikan kenderaannya di bahu jalan lalu segera keluar sebelum api marak membakar keseluruhan kereta.

“Kebakaran dikawal sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba Dan Penyelamat Sri Hartamas kira-kira 10 minit dan kereta itu rosak sepenuhnya.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, pemilik kereta mewah yang dibeli tiga tahun lalu itu dipercayai ahli perniagaan warga tempatan yang bekerja di Shanghai, China dan baru pulang ke Malaysia kelmarin.

TM rugi RM3.4 juta



KOTA BHARU- Syarikat pembekal telekomunikasi, Telekom Malaysia (TM) Berhad Kelantan kerugian kira-kira RM3.4 juta akibat kecurian kabel yang lebih serius berbanding tahun lalu.

Pengurus Besar TM negeri, Ab Rashid Che Othman berkata, jumlah tersebut dicatatkan bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini apabila pihaknya berjaya mengesan sebanyak 893 kes kecurian kabel di seluruh negeri ini.

“Kes curi kabel pada tahun ini lebih serius berbanding tahun lalu apabila melebihi 800 kes dikesan untuk tempoh lapan bulan pertama yang membabitkan kehilangan 110 kilometer kabel di seluruh negeri.

“Jika dibandingkan dengan tahun lalu, ia mencatatkan jumlah yang agak tinggi apabila sebanyak 948 kes dikesan melibatkan kerugian sebanyak RM4.3 juta untuk tempoh Januari hingga Disember,” katanya kepada media pada majlis Jalinan Mesra Aidilfitri Telekom Malaysia Kelantan di Perkarangan Kompleks TM Kelantan di sini, semalam.

Menurutnya, Pasir Mas menjadi daerah yang paling teruk terjejas akibat masalah itu selain beberapa penempatan di pinggir bandar Kota Bharu.

“Daripada siasatan yang dijalankan, kebanyakan kes didalangi penagih dadah, tetapi kita juga yakin ia turut dilakukan sindiket,” katanya yang turut mengakui melaksanakan pelbagai program bagi sebagai usaha menangani masalah berkenaan.

Ab Rashid berkata, kerjasama erat antara pihaknya dengan polis, Skim Rondaan Sukarela (SRS), dan penduduk kampung kampung banyak membantu mengekang masalah tersebut dari terus berleluasa.

Mengulas mengenai majlis yang diadakan pada hari itu, Ab Rashid berkata, ia adalah program tahunan bagi meraikan kakitangan dan pengguna di luar kompleks TM.

Menurutnya, diharapkan program tersebut akan merapatkan hubungan antara kakitangan dan pelanggan TM dari seluruh negeri ini. Kira-kira 1,000 orang hadir pada majlis yang turut menjadi platform TM melahirkan tanda terima kasih kepada pengguna.

Polis tahan dua lelaki kes tipu guna surat palsu MB



IPOH - Polis menahan dua lelaki termasuk seorang guru kanan berhubung kes penipuan berjumlah RM40,000 yang membabitkan pengeluaran surat sokongan palsu menggunakan cop Menteri Besar Perak, kata Ketua Polis Perak, Datuk Shukri Dahalan.

Beliau berkata selain guru berusia 45 tahun, seorang lagi yang diberkas ialah seorang kontraktor berumur 47 tahun.

Polis turut merampas tiga "cop" yang berkaitan dengan urusan rasmi pejabat Menteri Besar Perak serta beberapa dokumen yang berkaitan dengan permohonan projek di Perak, katanya kepada pemberita selepas majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Shukri berkata polis menerima dua aduan kes penipuan berkenaan pada Ogos lepas dan dengan penangkapan dua lelaki itu awal bulan ini, polis yakin dapat menyelesaikan kes berkenaan.

Beliau berkata guru kanan berkenaan bertugas di sebuah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMKJ) daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.

Katanya, kes penipuan berkenaan membabitkan surat sokongan palsu berkaitan permohonan perusahaan pembalakan dan permohonan pelepasan dan penjualan lot kuota bumiputera dalam projek perumahan.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap individu yang tidak bertanggungjawab menggunakan cop rasmi pejabat menteri besar untuk mengeluarkan surat sokongan palsu.

"Saya tidak akan bertolak ansur kerana hal ini membabitkan hal pentadbiran kerajaan negeri kerana perbuatan sebegini dilakukan, mana-mana kerajaan sekalipun akan menghadapi keruntuhan akibat perbuatan tidak bertanggungjawab" katanya selepas merasmikan Hari Peladang Peringkat Daerah di
Teluk Intan.

"Saya ucapkan terima kasih kepada pihak polis kerana sudah mengenal pasti terhadap individu yang melakukan perbuatan itu," katanya.

Zambry berkata beliau sebelum ini pernah terkejut apabila ada orang yang berjumpa dan menunjukkan surat sokongan dari pejabat Menteri Besar sedangkan beliau sendiri tidak mengeluarkan apa-apa surat sokongan kepada individu yang menemuinya.

Beliau menasihati orang ramai supaya jangan mudah terpedaya dengan mana-mana individu yang mendakwa boleh memberi surat sokongan yang mempunyai cop rasmi pejabat Menteri Besar. - Bernama

Lapan beradik terselamat



KOTA BHARU-Tindakan pantas seorang abang berteriak kepada adiknya beradiknya bagi melarikan diri setelah melihat api di dalam bilik ayahnya, menyelamatkan nyawa lapan beradik daripada menjadi mangsa kebakaran di Kampung Badang semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 11 pagi itu hanya disedari Wan Mohamad Amin Wan Bakar, 19, yang berada di dapur bersama tujuh beradik yang lain yang ketika itu sedang makan tengah hari.

Menurut Wan Mohamad Amin, ketika kejadian, dia baru sahaja hendak menyuapkan nasi ke mulutnya dan ternampak api yang bermula dari bilik ayahnya.

Difahamkan ketika kejadian, bapa mereka Wan Bakar Mohamad, 45, tiada di rumah kerana keluar bersama ibunya Supiah Musa, 44.

“Ketika berada di dapur hanya adik bongsu, Wan Mohamad Faizol, 2, tiada bersama kami kerana bermain di dalam bilik abah (ayah).

“Apa yang saya fikirkan ketika itu hanyalah keselamatan kesemua adik-adik beradik saya dan mujurlah adik bongsu saya sempat keluar dari dalam bilik setelah api mula marak,” katanya kepada Sinar Harian.

Wan Mohamad Amin berkata, dia tidak dapat menyelamatkan barangan lain dalam rumah termasuk wang RM2,000 yang baru dikeluarkan dari bank semalam untuk digunakan membeli barang namun komputer riba milik salah seorang dari adiknya dapat di selamatkan.

“Saya masih terkejut dengan kejadian ini kerana tidak menyangka kejadian ini memusnahkan kesemua barangan dalam rumah termasuk kediaman kami.

“Api begitu pantas merebak dan sehingga saat ini (semalam) abah dan ma (mak) saya masih tidak mengetahui mengenai kejadian ini kerana saya tidak dapat menghubungi mereka,” katanya.

Katanya, kebakaran mungkin berpunca daripada adik bongsunya yang dipercayai bermain mancis di dalam bilik terbabit.

“Saya tidak menyangkal kemungkinan adik (Faizol) punca berlakunya kebakaran ini tetapi pihak bomba masih menyiasat mengenai punca kejadian ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba Kota Bharu, Zainuddin Senawi berkata, dua jentera dengan 13 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

“Kami terima laporan ibu dan bapa mereka tiada dan hanya tinggal anak-anaknya sahaja dalam rumah. Kerugian dianggarkan bernilai RM60,000 dan punca kejadian masih disiasat,” katanya.

Polis sahkan suspek cuba memperkosa mangsa sebelum bunuh dan bakar



SHAH ALAM - Polis mengesahkan suspek dalam kes bunuh dan bakar seorang remaja wanita di Jalan Bukit Belacan, Ampang pada 5 Sept lepas cuba memperkosa mangsa selepas hajatnya untuk menyambung kembali hubungan percintaan mereka ditolak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata siasatan mendapati suspek berang selepas mangsa Nurul Awatif Syakir, 19, seorang pelajar Maahad Tahfiz Al-Tijarah di Selayang enggan meneruskan hubungan mereka.

Beliau berkata suspek dipercayai mengambil tindakan nekad membunuh mangsa sebaik permintaanya itu ditolak.

"Laporan bedah siasat telah diperoleh. Polis juga sudah mendapatkan perintah sambung reman sehingga 27 Sept ini sebelum mengambil tindakan seterusnya," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Akhbar pada 5 Sept lepas melaporkan mangsa dilapor hilang oleh anggota keluarganya setelah tidak pulang selepas keluar rumah pukul 8.30 malam sehari sebelum itu.

Pengecaman mayat mangsa dilakukan anggota keluarganya melalui cebisan baju kurung berwarna hijau serta sepasang anting-anting yang dipakai gadis itu sebelum menuntut mayat itu di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) kira-kira pukul 11 pagi hari yang sama.

Pada 12 Sept polis menahan seorang lelaki berusia 19 tahun yang merupakan pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan di pusat pengajiannya yang terletak di Seri Iskandar, Perak bagi membantu siasatan kes itu.- Bernama

Geng curi motosikal tumpas



KOTA BHARU 23 Sept. - Polis menahan empat lelaki yang dipercayai aktif mencuri motosikal dalam serbuan di dua buah rumah di Kampung Rekang Hulu dan Kampung Kuau, Bachok, dekat sini, 6 September lalu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, kesemua lelaki yang berusia 20-an itu bekerja sebagai petani, buruh dan nelayan sementara salah seorang daripada suspek yang ditahan adalah pembeli motosikal curi.
Menurutnya, ekoran penahanan pukul 3.45 pagi itu, pihak polis turut merampas empat buah motosikal, sebuah jenis Honda EX 5, dua buah jenis Yamaha LC 135 dan sebuah Yamaha Lagenda yang dilaporkan hilang di sekitar bandar ini.
"Dua daripada motosikal terbabit telah ditemui di salah sebuah rumah seorang suspek yang disyaki membeli kenderaan terbabit sementara dua lagi motosikal ditemui masing-masing di rumah dua daripada suspek terbabit.
"Siasatan juga mendapati, suspek yang merupakan satu kumpulan yang aktif menjalankan kegiatan mencuri motosikal sejak empat bulan lalu diketuai oleh seorang suspek yang bekerja sebagai nelayan," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Azham berkata, dalam serbuan di rumah ketua kumpulan terbabit yang berusia 26 tahun itu, polis juga merampas pelbagai jenis komponen motosikal curi yang telah dileraikan.
Menurutnya lagi, motosikal yang dicuri itu dijual dengan harga RM300 dan polis percaya sudah banyak motosikal yang curi yang telah dijual suspek.
"Kita turut menjalankan ujian saringan air kencing terhadap keempat-empat suspek dan kesemua positif pil kuda," ujarnya.

79 kaki judi termasuk 22 wanita dicekup ketika leka berjudi



PULAU PINANG 23 Sept. - Seramai 79 'kaki judi' termasuk 22 wanita dicekup dalam serbuan di sebuah bangsal di Kampung Batak, Relau di sini, awal pagi tadi.
Serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, kira-kira pukul 1 pagi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Supritendan Lai Fah Hin berkata, hasil siasatan mendapati, mereka terlibat dengan kegiatan judi Tai Sai (judi dadu) dan dalam serbuan itu polis merampas wang tunai bernilai RM1,538.
"Selain wang tunai, kami turut merampas tiga buah dadu, cip pelbagai jenis, meja panjang, 30 kerusi plastik dan sebuah kalkulator.
"Seramai 57 lelaki dan 22 wanita warga tempatan yang leka berjudi dicekup, manakala yang lain memboloskan diri," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini..
Menurut Fah Hin, kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.
"Semua yang ditahan merupakan penduduk tempatan berusia dalam lingkungan 40 hingga 70 tahun. Mereka dibawa ke IPD Barat Daya untuk siasatan lanjut.
"Pihak polis juga akan meningkatkan operasi bagi membanteras kegiatan judi haram yang semakin berleluasa di daerah ini," ujarnya.

Terjerat ah long akibat hantaran kahwin






ZALI (kiri) menunjukkan senarai nama ah long dan jumlah pinjaman serta laporan polis kepada Michael Tay di Pejabat Timbalan Pengerusi Biro Aduan Awam MCA Cawangan Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 23 Sept. – Setelah kecewa permohonan pinjaman daripada 10 buah bank tempatan tidak diluluskan, seorang kontraktor terpaksa meminjam daripada ah long untuk membayar wang hantaran perkahwinan.
Bagaimanapun tindakan itu akhirnya mengakibatkan mangsa terjerat hutang dengan tujuh ceti haram.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Zali, 31, berkata, mulanya dia memohon pinjaman daripada bank untuk membayar wang hantaran kepada keluarga mertuanya sebanyak RM10,000 namun permohonannya itu tidak diluluskan.
Zali yang bekerja di Pasir Gudang berkata, dia baru sahaja mendirikan rumah tangga namun akibat kekurangan wang dia terpaksa menangguhkan pemberian wang hantaran tersebut sehingga selesai majlis persandingan.
“Namun sehingga beberapa hari selepas majlis, saya masih tiada wang tersebut menyebabkan saya tidak berfikir panjang dan meminjam daripada ah long.
“Pada mulanya saya mahu meminjam RM10,000 tetapi hanya RM1,000 diluluskan. Tidak sampai seminggu, dia (ah long) meminta saya membayar semula termasuk bunga sebanyak RM1,500,” katanya kepada pemberita di Pejabat Timbalan Pengerusi Biro Aduan Awam MCA Cawangan Johor Bahru, Michael Tay di sini semalam.
Menurut Zali, dia yang tiada wang terpaksa meminjamnya daripada ah long kedua untuk membayar pinjaman daripada ah long terdahulu dan begitulah seterusnya sehingga keseluruhan hutang dengan tujuh ah long menjadi RM12,800.
Dia yang membuat laporan di Balai Polis Pasir Gudang berhubung perkara itu di sini kelmarin, kini berada dalam keadaan tertekan kerana bukan saja tidak mempunyai wang untuk membayar wang hantaran malah dibelenggu dengan hutang ah long.
Sementara itu, Michael berkata, dia akan cuba menghubungi kesemua ah long berkenaan untuk memberi masa kepada kontraktor berkenaan untuk memulangkan kesemua pinjaman tersebut.

Samun: Polis edar gambar 2 lelaki



SHAH ALAM 23 Sept. - Polis hari ini mengedarkan gambar dua lelaki yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes samun wang tunai berjumlah RM938,085 membabitkan tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, 16 September lalu.
Dua lelaki terbabit, T. Sritharan yang memegang kad pengenalan bernombor 790131-14-5015 dengan alamat terakhirnya di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh manakala D. Nagarajan (770408-02-6273) yang mempunyai dua alamat iaitu di Bandar Sri Damansara dan Sri Petaling, dekat sini.
Ketua Polis negeri, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, Nagarajan didapati memiliki rekod jenayah dan pernah ditahan membabitkan kes samun pada 2009.
"Justeru, kami minta ahli keluarga atau rakan-rakan dua individu itu tampil di balai polis berhampiran atau menghubungi terus pegawai penyiasat Asisten Supritendan Zaharul Idris di talian 019-6664953 bagi membantu siasatan," katanya pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor di sini hari ini.
Tun Hisan turut memaklumkan bahawa pihaknya masih lagi menjalankan siasatan lanjut mengenai kes itu termasuk membabitkan tiga pegawai SPRM berusia antara 20-an dan 35 tahun yang telah ditahan pada 19 September lalu.
Tiga pegawai terbabit ditahan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor apabila hadir untuk memberi keterangan selepas dipercayai terbabit dalam kes samun seorang pengurup wang warganegara asing yang masuk ke negara ini bagi urusan perniagaan.
Mengenai dakwaan salah seorang daripada suspek yang ditahan bergelar Datuk, Tun Hisan menafikan perkara itu sebaliknya mengakui mereka yang ditahan antaranya berpangkat Asisten Komisioner.

Dua beradik diburu polis Thailand






Chaitath Intanuchit menunjukkan gambar suspek yang mempunyai kaitan dengan kejadian letupan bom di Sungai Golok tempoh hari, di Narathiwat kelmarin.


NARATHIWAT, Selatan Thailand 23 Sept. – Polis Thailand memburu dua beradik termasuk seorang daripadanya disahkan mempunyai dua kerakyatan iaitu Thailand dan Malaysia, kerana dipercayai bertanggungjawab memasang dan meletupkan bom di daerah Golok, pada 16 September lalu.
Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Chaitath Intanuchit berkata, wajah seorang daripada suspek berjaya dirakam oleh sebuah kamera litar tertutup (CCTV) di Hotel Merlin yang turut terjejas akibat pengeboman itu.
Beliau berkata, lelaki tersebut, Suhaidi Rubaku, 26, diburu bersama abangnya, Roslan, 27, yang dipercayai turut terlibat menghasilkan bom dan tidak menolak kemungkinan kedua-duanya telah melarikan diri dan bersembunyi di Malaysia.
Katanya, mereka yang berasal dari Mukim Peluru, Sungai Padi di selatan Thailand merupakan rakan kepada tiga lelaki yang ditahan polis Kelantan pada 14 Disember 2009 di Pasir Mas, Kelantan, kerana terlibat menghasilkan bahan letupan termasuk bom.
Jelas beliau, kedua-dua suspek adalah pengedar dadah antarabangsa diisytiharkan sebagai penjenayah merbahaya kerana turut terlibat dalam pengeboman lain di daerah Golok pada 21 Ogos dan 6 September 2009.
“Selepas mendapatkan maklumat daripada 35 saksi dan melalui rakaman CCTV, kami telah mengeluarkan arahan bahawa Suhaidi merupakan individu sangat dikehendaki polis kerana bertanggungjawab memasang dan meletupkan bom itu dan abangnya dipercayai turut membantunya.
“Saya telah memaklumkan perkara tersebut kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) beberapa hari lalu kerana mungkin suspek berada di Malaysia selepas siasatan kami mendapati dia turut mempunyai Mykad, namun menggunakan nama berlainan,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, semalam.
Hadir sama, Pegawai Pemerintah Rejimen Tentera Marin Narathiwat, Kapten Somkeart Ponprayoon.
Dalam kejadian pukul 7.30 petang, 16 September lalu, empat rakyat Malaysia maut, manakala 14 lagi cedera dalam tiga letupan bom di kawasan hiburan Jalan Charoen Khet di sempadan negara Thailand itu.
Chaitath berkata, rakaman CCTV yang diperoleh jelas merakamkan Suhaidi telah terlebih dahulu melintas di hadapan Hotel Merlin berulang kali dalam waktu yang singkat, sebelum meletakkan bom tersebut di sebelah hotel tanpa disedari orang lain.
Katanya, hasil siasatan mendapati pengeboman tersebut bukan ditujukan kepada rakyat Malaysia tetapi merupakan tindakan balas dendam Suhaidi dan abangnya selepas pihak berkuasa Thailand merampas pil kuda, wang tunai, senjata api dan emas milik mereka dua hari sebelum itu yang keseluruhannya berjumlah kira-kira RM800,000.
“Kami mendapati, beberapa pengeboman sebelum ini turut berlaku beberapa hari selepas pihak berkuasa merampas dan mematahkan aktiviti pengedaran dadah oleh suspek, justeru kami yakin letupan kali ini turut mempunyai motif sama.
“Jumlah rakyat Malaysia yang paling ramai terkorban adalah tidak sengaja kerana suspek sebenarnya mahu membalas dendam dan berharap letupan itu membunuh dan mencederakan lebih ramai orang,” tambahnya.
Beliau memberitahu, kedua-dua suspek merupakan penjenayah antarabangsa yang sukar ditangkap kerana ada antaranya memiliki dua taraf kerakyatan yang memudahkan mereka untuk bersembunyi di antara dua negara. – Utusan

129 negara sokong Palestin




PELAJAR-pelajar Palestin turut sama bersorak semasa menyertai demonstrasi membantah ucapan Presiden Barack Obama di Perhimpunan Agung PBB kelmarin yang pro-Israel, di Ramallah, Palestin, semalam. -REUTERS


NEW YORK 23 Sept. - Ketika Presiden Palestin, Mahmoud Abbas bersedia untuk mengemukakan permohonan pengiktirafan sebagai sebuah negara berdaulat, dua per tiga anggota Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah menyokong usaha berkenaan.
Delegasi Palestin menyatakan sebanyak 129 negara sudah memberikan sokongan kepada Palestin, lapor saluran televisyen, Al Jazeera.
Keadaan itu membawa makna Palestin menerima sokongan dua pertiga majoriti di Perhimpunan Agung PBB di mana Palestin boleh memilih untuk mendapatkan status bukan anggota dalam badan dunia itu.
''Pada peringkat ini, Palestin boleh ke Majlis Keselamatan PBB di mana Abbas menyerahkan permohonan berkenaan kepada Setiausaha Agung PBB,'' lapor Al Jazeera.
Dalam pada itu, rakyat Palestin mengadakan demonstrasi di jalan-jalan raya di Ramallah dan Gaza, semalam selepas ucapan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama di Perhimpunan Agung PBB yang dilihat pro-Israel.
Lebih 1,000 penunjuk perasaan yang membawa kain rentang mengecam Obama, berkumpul di luar pejabat Abbas di Tebing Barat sebelum berarak ke pusat bandar.
Di Gaza pula, kira-kira 300 wanita mengadakan demonstrasi di luar pejabat PBB sambil melaungkan slogan anti-Obama.
Ucapan Obama itu mengulangi bantahannya terhadap usaha pengiktirafan Palestin itu dan menunjukkan simpati ke atas kesengsaraan hidup rakyat Israel.
Sementara itu, rakyat Palestin hari ini memberikan sokongan penuh kepada pemimpin mereka yang akan mengemukakan permohonan pengiktirafan tersebut.
Penyanyi dari Jenin, Ahmad Rahal mencipta lagu yang memuji Presiden Mahmoud Abbas sebagai seorang penjaga dan pelindung rakyat Palestin.
Menurut pemilik bengkel, Bilal Abu Ahmed, mereka amat menyambut baik tindakan Abbas dan gembira jika ia berjaya.
"Kami sudah tidak mampu untuk terus menderita. Biarlah anak-anak kami hidup dalam kemerdekaan," katanya. - Agensi

‘Saya mahu bayar hutang’

PADANG BESAR: Seorang lelaki warga Thailand memberi alasan mahu membayar hutang apabila ditahan pihak berkuasa yang menemui empat bungkusan wang kertas bernilai RM253,000 dalam kenderaannya, kelmarin.
Lelaki berusia 24 tahun itu ditahan kira-kira jam 12.45 tengah hari oleh anggota Kastam Diraja Malaysia (KDRM) ketika memandu kenderaan jenis pikap melalui laluan pemeriksaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) di sini.

Bungkusan wang berkenaan itu disembunyikan di bahagian bawah tempat duduk belakang kenderaan berkenaan.

Pengarah KDRM negeri, Mohd Pudzi Man, berkata pihaknya membuat pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan menemui wang kertas dalam pelbagai not berkenaan disusun dalam empat bungkusan surat khabar di bawah tempat duduk belakang.

Katanya, suspek yang mendakwa bekerja sebagai penoreh getah memberi alasan membawa masuk wang berkenaan bagi tujuan membayar hutang kepada rakan niaganya di negara ini.

“Sebaik pihak kami meminta suspek menyerahkan dokumen berkaitan pengisytiharan wang berkenaan, dia gagal mengemukakannya sebelum bertindak menahannya.


“Berikutan itu, suspek bersama kenderaannya ditahan bagi tindakan lanjut dan pihak KDRM mendapati semua not yang cuba diseludup berkenaan berjumlah RM253,000,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, semalam.

Menurutnya, setiap individu yang ingin membawa masuk wang tunai melebihi AS$10,000 (RM36,000) perlu mengikrar wang berkenaan dengan mengisi borang Kastam K22.

Katanya, jika gagal, mereka boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

“Tindakan suspek yang gagal mengisytiharkan wang terbabit menyalahi peruntukan undang-undang mengikut Seksyen 23(1) serta 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).

“Justeru, semua wang tunai terbabit dirampas, manakala suspek pula ditahan untuk tindakan lanjut dan sebuah pikap yang digunakan suspek ketika kejadian juga dirampas,” katanya.

Menurutnya, lelaki berkenaan juga akan disiasat kes akan disiasat di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967.

Katanya, ia adalah rampasan kedua membabitkan wang tunai melebihi AS$10,000 di negeri ini selepas kes sama membabitkan jumlah RM100,000 pada April lalu.

Terikat 19 jam

ALOR GAJAH: Seorang ibu tunggal warga emas bersama anak perempuannya hanya terbayangkan maut apabila kedua-dua tangan mereka diikat, manakala mulut ditampal pita pelekat sebelum seorang daripada mereka dipukul tiga penjenayah dalam kejadian samun di Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah, malam Rabu lalu.
Tiga penjenayah berusia 20-an terbabit dipercayai memasuki rumah mangsa dengan membakar kayu tingkap bahagian dapur hingga jeriji besi tingkap ditanggalkan dengan mudah.
Difahamkan, warga emas terbabit, Samidah Yusop, 73, bukan hanya diikat malah dipukul sehingga cedera sebelum penjenayah menyamun dan membiarkan mereka terkurung selama 19 jam sebelum dikesan adiknya sendiri yang menyedari mangsa tidak keluar rumah seharian.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, Samidah ke tandas sementara anak perempuan sulungnya, Rosiah Mansor, 56, yang mengalami masalah mental sejak kematian suaminya duduk di kerusi di ruang tamu.


Samidah yang juga kakak sulung kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Abu Seman Yusop, cedera di muka akibat ditumbuk penjenayah selain patah pergelangan tangan kiri dalam kejadian itu dan ditemui adiknya bersama beberapa jiran dalam keadaan tangan terikat dan terbaring di lantai dapur dalam keadaan lemah.

Terbaring keletihan

KOTA KINABALU: Seorang penuntut wanita universiti di Lembah Klang berusia 22 tahun yang dipercayai selesai membersihkan diri selepas ‘bersama’ teman lelakinya, terkejut apabila mendapati penguat kuasa agama berkopiah memenuhi ruang bilik rumah tumpangan disewa bersama kekasih yang juga penuntut universiti di negeri ini, kelmarin.
Gadis tempatan yang juga penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Kuala Lumpur itu dikatakan menjalani latihan amali di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) dan mengambil kesempatan berasmara dengan kekasihnya, jam 11.30 malam.
Bagaimanapun, perbuatan pasangan kekasih itu dihidu penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) yang menyerbu bilik berkenaan sebelum mendapati teman lelakinya yang berusia 21 tahun terbaring keletihan di atas katil.

Pemeriksaan di bilik berkenaan mendapati pakaian dalam gadis berkenaan bertaburan di atas lantai, malah ketika disoal siasat, mereka mengaku hanya pasangan kekasih dan mengambil kesempatan memadu kasih di rumah tumpangan itu.


Penolong Ketua Penguat kuasa Agama JHEAINS, Khamis Jamil berkata, ketika serbuan beberapa penguat kuasa mengetuk pintu bilik pasangan terbabit beberapa kali sebelum dibuka seseorang.

‘Suspek bukan Datuk’

SHAH ALAM: Polis Selangor menafikan salah seorang daripada tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditahan kerana disyaki menyamun seorang pengurup wang asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 September lalu berpangkat Datuk.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata ketiga-tiga suspek itu adalah pegawai kanan biasa dengan salah seorangnya berpangkat asisten komisioner.

“Mangsa disamun di bangunan satelit KLIA dan kalau hendak masuk dalam bangunan ini ia memerlukan pas masuk dan tidak boleh suka-suka hendak masuk.

“Jadi siasatan kita juga menjurus bagaimana semua suspek boleh masuk ke dalam bangunan ini dan biarkan polis siasat terlebih dulu termasuk mencari bukti di mana wang samun itu disembunyikan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.

Harian Metro sebelum ini melaporkan penahanan tiga pegawai kanan SPRM selepas disyaki menyamun seorang pengurup wang asing membabitkan kerugian AS$300,000 (RM900,000) di KLIA pada 16 September lalu.

Ketiga-tiga pegawai kanan itu berumur 20 hingga 35 tahun dan ditahan reman tujuh hari bermula Isnin lalu.


Polis juga sudah merakam keterangan 15 saksi bagi membantu siasatan kes tiga pegawai kanan SPRM itu.

Tun Hisan berkata, polis masih mengesan dua suspek awam dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu.

Jelasnya, kedua-dua suspek dikenali T Sritharan, 32, dan D Nagarajan, 34, masing-masing beralamat terakhir di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh dan Bandar Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan lain, Tun Hisan ditanya mengenai perkembangan siasatan kes kediaman Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu di Seksyen 19, di sini Selasa lalu yang disimbah cecair dipercayai petrol, beliau berkata, pihaknya sudah menghantar segala bukti fizikal untuk dianalisis Jabatan Kimia.

“Polis masih belum dapat petunjuk, tetapi segala bukti yang kita temui di kawasan kejadian termasuk jenis minyak yang digunakan sudah dihantar untuk dianalisis dan buat masa ini polis masih belum mendapat laporan Jabatan Kimia,” katanya.

Dipukul lima rakan

GOMBAK: Seorang lelaki menerima empat jahitan di dahi dan luka di kaki selepas dibelasah lima lelaki kerana enggan menyerahkan wang yang diminta mereka, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa berusia 33 tahun yang baru pulang bekerja terkejut apabila lima lelaki terbabit yang dikenalinya menunggu di depan pintu rumahnya di Taman Rawang Putra, di sini.

Mangsa yang kepenatan mahu masuk ke dalam rumah, namun dihalang sebaliknya mereka meminta mangsa menyerahkan wang.

Menurut sumber, mangsa memberi alasan tidak mempunyai wang tambahan pula belum menerima gaji dan menyuruh semua lelaki itu beredar.

“Mereka mengajak mangsa minum dan melepak bersama, namun mangsa enggan dan menolak ajakan itu.

“Berang ajakan tidak dilayan tambahan mangsa tidak memberi wang menyebabkan mereka naik angin dan memarahi mangsa,” katanya.


Sumber berkata, belum sempat mangsa berbuat apa-apa seorang daripada mereka menghentak kepalanya dengan topi keledar dan menumbuk muka beberapa kali.

“Mereka membelasah mangsa beramai-ramai beberapa minit sebelum meninggalkannya.

“Mangsa yang cedera pergi ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan dan menerima empat jahitan di dahi,” katanya.

Mangsa yang bimbang dengan keselamatannya membuat laporan di Balai Polis Kuala Selangor untuk tindakan lanjut sebelum kes itu dirujuk semula ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Eksekutif Proton bersalah terima rasuah

KUALA LUMPUR: Seorang bekas eksekutif Proton Sdn Bhd dikenakan hukuman penjara enam bulan dan denda RM70,000 selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan menerima rasuah daripada pemilik syarikat perkhidmatan kejuruteraan dan pembekal alat ganti kereta, berjumlah RM3,028.27, enam tahun lalu.
Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain menjatuhkan hukuman itu terhadap Fahmy Ameer Mohd Raf, 36, di Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Beliau yang menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula hari ini.

Fahmy didakwa secara rasuah menerima RM432.61 sebanyak tujuh kali secara berasingan sebagai pembayaran ansuran kereta miliknya daripada Mohd Sharid Md Salleh, pemilik syarikat Enrichford Sdn Bhd.

Bayaran tersebut dibuat sebagai dorongan supaya tertuduh tidak menghalang syarikat pembekal alat ganti kereta milik mangsa mendapat kerja daripada Proton.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Tingkat 5, Wisma Nusantara, Jalan Puncak, Persimpangan Jalan P Ramlee di sini, antara 12 September 2005 dan 15 Jun 2006.


Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 10(a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Fahmy Ameer yang diwakili peguam Shahrulnizam Azmuir, memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kepada anak guamnya kerana tertuduh adalah pesalah pertama dan penanggung tunggal keluarga.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Azuan Adzhar.

‘Abang jaga ibu’

JASIN: Seorang wanita tidak sempat bekerja di sebuah kilang di Taman Perindustrian Merlimau, di sini, apabila dia maut dalam kemalangan sejurus selesai temu duga di kilang berkenaan, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 11.50 pagi, mangsa, Sarahliza Khamis, 21, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Parit Putat Benteng di Sungai Rambai, di sini, apabila motosikal Honda EX-5 dinaikinya bertembung sebuah lori tiga tan jenis Mercedes Benz.

Berikutan itu, mangsa terperosok di bawah lori terbabit dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Hasrat anak keempat daripada lima adik beradik itu untuk naik pelamin pada Februari tahun depan tidak kesampaian.

Abang mangsa, Mohd Sobri, 26, berkata dia tidak menyangka pesanan adiknya supaya menjaga ibunya, Asnah Jamal, 63, pada malam kelmarin menjadi pesanan terakhir sebelum arwah pergi buat selama-lamanya.

Katanya, pada malam sebelum kejadian, Sarahliza memberitahu dia akan menghadiri temu duga di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Merlimau di sini.


“Arwah selalu berpesan kepada saya supaya menjaga emak dan banyak mengingatkan saya, lebih-lebih lagi saya bakal mendirikan rumah tangga pada November depan.

“Peringatan itu saya anggap sebagai biasa saja dan tak sangka pesanan malam tadi (kelmarin) menjadi yang terakhir,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Merlimau, di sini, semalam.

Menurut Mohd Sobri, sejak beberapa minggu lalu Sarahliza terlalu ceria walaupun ada kalanya dia agak serius dan mendiamkan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Che Suza Che Hitam mengesahkan kejadian itu.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, kejadian berlaku selepas lori yang dipandu seorang lelaki berusia 53 tahun itu keluar dari persimpangan dipercayai tidak menekan brek dan membelok ke arah kanan.

“Mangsa yang gagal mengelak kenderaan terbabit melanggar badan lori itu sebelum terperosok di bawahnya menyebabkan dia parah di kepala maut di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk bedah siasat,” katanya.

Tetap dijel

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi, di sini, semalam mengekalkan hukuman penjara 17 tahun terhadap seorang lelaki warga Pakistan yang didapati bersalah merogol anak tirinya yang berusia 15 tahun, lima tahun lalu.
Hakim Datuk Ghazali Cha membuat keputusan itu selepas menolak rayuan dikemukakan tertuduh yang berusia 28 tahun dan pernah bekerja sebagai pembantu restoran. Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula daripada tarikh dia ditangkap pada 11 September 2009 dan tertuduh juga dikenakan hukuman 10 sebatan.

Bagaimanapun, mahkamah mengetepikan dua lagi pertuduhan rogol yang disabitkan terhadap tertuduh masing-masing 15 dan 16 tahun penjara serta empat sebatan. Terdahulu dalam penghakimannya, Ghazali berkata, dalam keterangan, mangsa memberitahu kejadian rogol itu berlaku pada tengah malam. Bagaimanapun, pihak pendakwaan tidak berbuat apa-apa untuk meminda pertuduhan itu.

Oleh itu mahkamah mengetepikan dua pertuduhan terhadap tertuduh.

Sementara itu, dalam pembelaannya, tertuduh menafikan berada di tempat kejadian tanpa mengemukakan notis alibi dan mahkamah mendapati ia adalah penafian semata-mata. “Sumbang mahram adalah satu kesalahan yang serius dan ia boleh mengakibatkan masalah sosial. Rayuan tertuduh di Mahkamah Sesyen pula tidak menunjukkan tertuduh kesal dengan perbuatannya,” kata Ghazali.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mazelan Jamaludin manakala tertuduh diwakili peguam Benedict Anand. Pada 13 Januari lalu, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 17 tahun yang dijalankan serentak serta 12 sebatan terhadap tertuduh selepas disabitkan salah atas pertuduhan itu. Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada pada 31 Ogos 2006 sebelum mengulanginya pada 17 September 2006 dan pada 21 September 2006.


Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di ruang tamu rumah yang terletak di Jalan Thamby Abdullah, di sini.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Tiga dituduh godam kad SIM

SHAH ALAM: Dua pelajar lelaki warga asing di sebuah institusi pengajian tinggi swasta dan seorang wanita tempatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas pertuduhan melakukan penipuan perbankan Internet dengan menggodam kad modul pengenalan pengguna (SIM) telefon bimbit rakyat negara ini.
Tertuduh, Rana Adil Hayat, 24, dari Pakistan; Ibrahim Koroma, 27, warga Sierra Leonne dan Adelina Audrey Lesslar, 27, lepasan ijazah komunikasi massa bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Aslam Zainuddin. Ketiga-tiga tertuduh didakwa memperdayakan Pegawai Perkhidmatan Celcom Blue Cube, Tuzira Safardi, 36, untuk mempercayai mereka adalah Mohammad Zamri Sulong, pemilik berdaftar talian Celcom 019-XXXXXXXX. Perbuatan itu mendorong Tuzira mengeluarkan kad SIM ganti nombor berkenaan.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Celcom Blue Cube, Subang Parade, Subang Jaya, dekat sini, antara jam 8.15 dan 8.22 malam pada 5 Julai lalu. Ibrahim dan Lesslar turut didakwa atas pertuduhan kedua menipu Pegawai Perkhidmatan Pelanggan Maxis, Ekhwan Yusof, 22, untuk mempercayai kedua-duanya adalah Joseph Christine Melani, pemilik berdaftar talian Maxis 012-XXXXXXXX. Tindakan itu mendorong Ekhwan menggantikan kad SIM nombor itu.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Maxis Center Curve, The Curve, Mutiara Damansara, dekat sini, antara jam 9 dan 9.30 pagi pada 20 Ogos lalu.

Bagi setiap pertuduhan, semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nazrul Nizam Mohd Zameri menawarkan jaminan RM25,000 untuk Ibrahim dan Lesslar serta RM10,000 bagi Rana Adil. Bagaimanapun, peguam bela mewakili Rana Adil dan Ibrahim, M Tharuma Ratnam memohon jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya tidak mampu. Menurutnya, Ibrahim sukar mendapatkan ahli keluarga menjadi penjamin. Aslam membenarkan Rana Adil dan Ibrahim diikat jamin RM15,000 dengan dua penjamin warga Malaysia serta syarat tambahan menyerahkan pasport antarabangsa ke mahkamah.

Beliau juga memerintahkan kedua-dua warga asing itu melapor diri pada setiap Sabtu di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sehingga proses perbicaraan selesai. Manakala, Lesslar pula dikenakan ikat jamin RM17,000 dengan penjamin oleh ibu bapanya. Mahkamah menetapkan kes itu disebut semula pada 11 Oktober depan.

‘Telefon tak berjawab’

TAMPIN: “Kerana pelik melihat dia (mangsa) masih tidak pulang ke rumah, saya cuba menghubungi telefon bimbitnya beberapa kali namun tidak berjawab,” kata Maheran Mohammad, 42, isteri kepada pengawas Renjer Hutan Gemas/Gemencheh yang ditemui mati di kawasan tempat kerjanya, pagi semalam.
Difahamkan, mangsa, Rusli Kassim, 46, mengalami kecederaan teruk di kepala dipercayai akibat terjatuh dari kawasan tinggi sebelum mayatnya ditemui tertiarap oleh kakitangan hutan terbabit, kira-kira jam 8 pagi. Menurut Maheran, dia kali terakhir menemui mangsa ketika mahu keluar bekerja di kediaman mereka di Taman Sri Terachi, Kuala Pilah, kira-kira jam 7 pagi kelmarin.

“Pada waktu itu, saya tidak melihat sebarang perubahan padanya namun kebelakangan ini dia kerap termenung dan kami tidak pernah bertanyakan mengenainya.

“Bagaimanapun, hati ini resah apabila dia masih tidak pulang ke rumah malam tadi (kelmarin) kerana dia kebiasaannya akan memberitahu saya jika mempunyai urusan lain.

“Bimbang dengan keadaan itu, saya cuba menghubunginya namun gagal,” katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat Hospital Tampin di sini, semalam.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, keresahannya akhirnya terungkai apabila menerima panggilan daripada seseorang memaklumkan mengenai penemuan mayat mangsa berhampiran keretanya, kira-kira jam 8 pagi semalam.


Anak sulung mangsa, Nor Farhana Izzati, 20, berkata sebelum kejadian, bapanya ada meminta supaya menunggunya pulang untuk memberi wang saku.

“Saya menanti kepulangan ayah sehingga jam 1 pagi namun dia tidak pulang menyebabkan saya bergegas pulang ke kolej kerana perlu menyiapkan tugasan,” katanya yang menuntut di Kolej Yayasan Melaka.

Menurutnya, dia amat sedih kerana bapanya itu tidak sabar melihatnya di majlis konvokesyen pada tahun depan.

“Beliau yang sentiasa ceria adalah pembakar semangat untuk saya melanjutkan pengajian dan sentiasa memberi sokongan padu.

Kehilangannya memang amat dirasai apatah lagi kami semua masih belajar dan memerlukan perhatian seorang ayah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Renjer Hutan Gemas/Gemencheh, Rosman Abdullah berkata, beliau sempat bertugas bersama mangsa sehingga jam 5.30 petang kelmarin.

“Kami kemudian beredar pulang, namun tidak mengetahui sama ada mangsa sudah keluar dari kawasan pejabat. Pagi tadi (semalam), saya terkejut apabila diberitahu mayatnya dijumpai,” katanya.

Hampir diliwat di surau

KAJANG: Kepantasan seorang bapa menyelamatkan anak lelakinya berusia lapan tahun daripada menjadi mangsa nafsu songsang seorang lelaki yang cuba meliwat anaknya itu dalam tandas sebuah surau di Seksyen 8, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 2.45 petang itu, bapa mangsa yang berusia 30 tahun terkejut dimaklumkan rakan anaknya seorang lelaki tidak dikenali menarik tangan kanak-kanak itu masuk ke tandas surau berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, sebaik menerima aduan itu, bapa mangsa bersama adik iparnya bergegas ke surau berkenaan untuk meninjau sendiri keadaan sebenar.

Katanya, sebaik tiba, bapa mangsa terdengar suara kanak-kanak menangis sebelum mencari arah punca suara tangisan itu.

“Ketika bapa mangsa menghampiri tandas, dia mengesyaki tangisan kanak-kanak di dalam tandas berkenaan adalah suara anaknya.

“Lebih membimbangkan pintu tandas berkenaan dikunci dari dalam dan usaha bapa mangsa untuk membuka pintu berkenaan gagal,” katanya.


Ab Rashid berkata, bimbang perkara buruk berlaku kepada anaknya, tanpa berfikir panjang bapa mangsa nekad menendang pintu tandas berkenaan beberapa kali sehingga terbuka.

Katanya, sebaik pintu tandas berkenaan terbuka, bapa mangsa terkejut sejurus mendapati seorang lelaki yang tidak dikenali dan anaknya dalam keadaan tidak berpakaian.

“Sejurus pintu dibuka, anak mangsa menangis ketakutan kerana terkejut dengan perbuatan lelaki berkenaan yang cuba meliwatnya.

“Terkejut perbuatannya diketahui bapa mangsa, suspek nekad melarikan diri dan berlaku pergelutan antara suspek dan bapa mangsa sebelum dia dicekup,” katanya.

Bapa mangsa terus menghubungi polis sebelum sebuah kereta peronda tiba di tempat kejadian beberapa minit kemudian dan membawa suspek ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk siasatan lanjut.

Ab Rashid berkata, suspek kini direman empat hari dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana cubaan meliwat.

Panggilan malam dibunuh

SHAH ALAM: Talian telefon yang didaftar atas nama firma milik bekas peguam, N Pathmanabhan dikesan ada membuat panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) dari Banting pada malam empat individu termasuk Datuk Sosilawati dibunuh, tahun lalu.
Pakar Teknologi dari Bahagian Keselamatan Maxis Mobile Sdn Bhd, Ahmad Safuan Shaharani, 32, berkata, panggilan didaftarkan atas nama Pathma Nalli & Patners itu berjaya disambungkan berdasarkan bayaran yang dikenakan bagi setiap panggilan. Menurutnya, nombor itu dikesan menghantar SMS dan membuat panggilan daripada kawasan pemancar Batu Laut 2, Banting masing-masing pada jam 7.53 dan 8.29 malam pada 30 Ogos tahun lalu. “(Kadar) panggilan itu adalah lima sen,” katanya ketika pada perbicaraan kes bunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47, peguam Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38. Pathmanabhan, 42, dan tiga pekerjanya, T Thilaiyalagan, 20, R Matan, 21, dan R Kathavarayan, 31, didakwa membunuh semua mangsa di Lot No 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Ahmad Safuan yang juga saksi pendakwaan ke-46 seterusnya memberitahu Mahkamah Tinggi, nombor itu ada membuat beberapa panggilan di sekitar kawasan Subang Jaya, dekat sini, pada malam sama. “Pada jam 9.55 malam, 30 Ogos 2010, nombor itu membuat panggilan kepada nombor 016-XXXXXXX selama 12 saat dan pemanggil berada di Subang Jaya “Pada jam 11.12 malam hari sama, nombor itu membuat panggilan sekali lagi kepada nombor yang sama. Panggilan itu berjaya dibuat dan pemanggil berada di SS15, Subang Jaya,” katanya. Saksi itu memberitahu, panggilan dari nombor sama terus ke peti pesanan suara pada jam 10.30 malam, dari SS12, juga di Subang Jaya.

Menurutnya, semua panggilan berjaya dibuat kerana bil terperinci menunjukkan masa dan bayaran yang dikenakan bagi panggilan berkenaan. Terdahulu, Ahmad Safuan mengesahkan nama tertera pada dokumen yang dicetak pihaknya di samping mengakui status semua nombor yang disebutkan adalah aktif pada masa panggilan. Selain itu, pihaknya turut mencetak butiran terperinci berhubung nombor yang digunakan untuk membuat ujian panggilan pada 9 Mac lalu. Sementara itu, Pathmanabhan yang lazimnya kelihatan tenang secara tiba-tiba cuba menghalang gambarnya dirakam jurugambar media ketika dibawa keluar selepas selesai perbicaraan semalam.

Ditetak selepas minta rakan bayar hutang

KAJANG: Seorang lelaki cedera di muka, dada dan perut selepas ditetak dan dipukul rakannya kerana mahu meminta wang daripada lelaki terbabit dalam kejadian di Taman Putra, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa bertemu dengan rakannya itu di tempat yang dijanjikan.

Bagaimanapun, sewaktu tiba di lokasi itu, mangsa terkejut apabila mendapati rakannya itu datang bersama sekumpulan lelaki.

“Pada mulanya, mangsa berbincang secara baik kerana mahu rakannya itu memulangkan semula wang yang dipinjamkan kepadanya beberapa hari lalu.

“Perbincangan yang pada mulanya tenang bertukar menjadi tegang dan berlaku pertengkaran apabila rakannya dikatakan enggan memulangkan semula wang mangsa,” katanya.

Sumber berkata, mangsa tetap berkeras mahu rakannya itu memulangkan semula wangnya dan tindakan berkenaan mengundang padah apabila rakannya terus dipukul sebelum ditetak mangsa beberapa kali menggunakan pisau.


Mangsa bernasib baik tidak diperlakukan lebih kejam kerana dihalang rakannya yang berada di tempat kejadian.

“Bimbang perbuatannya dilaporkan kepada pihak berkuasa oleh orang awam yang menyaksikan kejadian itu, mereka semua kemudian melarikan diri.

“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kajang (HK) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab mengesahkan menerima laporan daripada mangsa.

‘Mustahil anak saya terjun sendiri’

ALOR SETAR: “Saya sebak melihat keadaan anak terlantar kesakitan dalam keadaan trauma dan sering meracau selepas terjatuh dari tingkat satu asrama kerana dituduh mencuri seutas jam tangan sedangkan dia menafikan berbuat demikian.”
Begitu kata peniaga, Ilias Mustafa, 52, apabila anaknya, Mohd Asymuni, 27, cedera pada tulang belakang dan tumit kaki selepas terjatuh dipercayai akibat ditolak dari tingkat satu bangunan asrama sebuah sekolah pondok, di sini, Selasa lalu.

Kejadian d berlaku jam 10 malam apabila dua pelajar sekolah pondok terbabit datang ke rumah keluarganya memaklumkan Mohd Asymuni yang juga orang kurang upaya (OKU) terjatuh sebelum bapa mangsa bergegas ke asrama berkenaan.

Ilias dari Taman Nilam, dekat sini, berkata, sebaik tiba dia mendapati anaknya yang juga mengalami masalah lembam terlentang sambil mengerang kesakitan di bilik bawah bangunan asrama terbabit.

Menurutnya, dia meminta penjelasan berhubung kejadian, tetapi pelajar sekolah itu memaklumkan anaknya terjun sendiri. Namun, mangsa menafikan perkara itu dan mendakwa mereka berbohong.

Katanya, dia menghubungi ambulans sebelum anak sulung daripada tiga beradik itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk menerima rawatan lanjut.


“Mohd Asymuni sudah lebih 10 tahun belajar al-Quran di sekolah pondok itu dan dia sering mengadu dibuli termasuk dijentik kemaluannya selain kepala dihantuk ke dinding oleh pelajar lain, tetapi saya masih boleh bersabar.

“Bagaimanapun, kejadian terbaru ini menguji kesabaran kerana mereka (pelajar) seperti menyembunyikan sesuatu.

“Saya bertambah sedih apabila doktor memaklumkan tulang belakang dan tumit kedua-dua kakinya retak dana mengambil masa lama untuk pulih,” katanya yang berkunjung ke pejabat Harian Metro, di sini, semalam.

Difahamkan, mangsa sudah menjalani pembedahan selama lima jam kelmarin bagi memasang besi pada tulang belakangnya untuk membolehkannya pulih.

Menurutnya, dia kesal apabila seorang guru sekolah pondok berkenaan turut mendakwa anaknya terjun sendiri.

Katanya, mereka sepatutnya menyiasat dulu sebelum mengeluarkan kenyataan.

“Lebih dikesalkan apabila pengurusan mahupun pelajar sekolah terbabit langsung tidak datang menjenguk atau bertanya khabar keadaan Asymuni.

“Saya bukan mahu menghukum mereka membuta-tuli, sebaliknya hanya meminta penjelasan berhubung apa yang berlaku kerana percaya ada sesuatu disembunyikan,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Alor Setar pada Rabu lalu.

Bagaimanapun, pengurusan sekolah pondok berkenaan gagal dihubungi bagi mengulas kejadian itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Kedah, Datuk Khairuddin Zain ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima laporan berhubung kejadian itu dan perlu memeriksa sama ada sekolah terbabit berdaftar dengan agensi itu atau sebaliknya.

Remaja pergi sekolah dibelasah dengan kayu

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar cedera di dahi akibat dipukul dengan kayu oleh pelajar senior ketika dalam perjalanan ke sekolahnya di Salak Selatan Baru, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa yang berusia 13 tahun tiba di hadapan pintu sekolah berkenaan terkejut apabila dibaling batu, namun ia tidak mengenainya. Malah, belum sempat mangsa bertanya sebab dia bertindak sedemikian tiba-tiba datang seorang lagi pelajar tingkatan dua memukulnya dengan kayu di kepala hingga berdarah.

Menurut sumber, sebaik memukul mangsa, kedua-dua pelajar terbabit masuk ke sekolah dan meninggalkan mangsa kesakitan.

“Mujur rakan mangsa membantu dan membawanya berjumpa pengetua.

“Pengetua berkenaan menghubungi ambulans bagi menghantar mangsa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PP UKM),” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Dikeroyok keluarga rakan wanita

AMPANG: Seorang pelajar lelaki cedera dibelasah ahli keluarga rakan wanitanya gara-gara dituduh melakukan perkara tidak elok dengan anak gadis mereka menyebabkan dia cedera di kepala, tangan dan badan, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, pelajar terbabit yang berusia 17 tahun tidur di rumah rakannya di Pandan Mewah, di sini, sebelum terjaga apabila terdengar pintu rumah diketuk.

Menurut sumber, mangsa yang menyangka rakannya datang membuka pintu, namun terkejut apabila mendapati tiga lelaki tidak dikenali bertanyakan seseorang.

“Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa memberitahu orang yang dicari itu dirinya dan belum sempat berbuat apa-apa, seorang daripada lelaki terbabit masuk dan menumbuk muka serta kepalanya.

“Tersentak dengan tindakan itu, mangsa bertanya mengapa dia dipukul sebelum mereka memperkenalkan diri bapa, abang dan bapa saudara rakan wanitanya,” katanya.

Menurutnya, keluarga terbabit membawa mangsa ke kediaman mereka di Sri Nilam untuk berjumpa seorang pelajar perempuan yang berkawan dengan anak mereka.


“Pada pertemuan itu, pelajar perempuan terbabit disoal keluarga itu sama ada mangsa pernah berbuat perkara tidak elok kepadanya dan anak mereka.

“Namun, ia dinafikan pelajar terbabit dan memberitahu mangsa bukan seperti didakwa mereka,” katanya.

Sumber itu berkata, sebaik mendengar penjelasan itu, mangsa dilepaskan.

“Mangsa membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan.

Hanya jumpa rangka bapa

DUNGUN: Seorang lelaki terkedu apabila menemui rangka dan tengkorak manusia dipercayai milik bapanya yang hilang sejak 38 hari lalu di kawasan hutan di belakang rumahnya di Kampung Rhu Batil, Kuala Abang, di sini, semalam.
Mohd Fauzi Aman, 37, berkata dia dan abangnya, Azhar, 39, menemui rangka dan tengkorak berkenaan pada jam 9 pagi selepas memasuki kawasan hutan itu yang terletak kira-kira 20 meter dari rumahnya.

Menurutnya, hatinya tiba-tiba terdetik memasuki kawasan hutan berpaya di belakang kediamannya itu biarpun dia sudah beberapa kali memasuki kawasan itu bagi mencari bapa, Aman Mohamad, 68, yang hilang sejak 16 Ogos lalu.

“Pada malam sebelum penemuan itu, saya tidak dapat tidur lena kerana teringatkan bapa dan saya berdoa kepada Allah agar diberikan petunjuk di mana bapa berada.

“Sebaik memasuki kawasan itu, saya dan abang terjumpa rangka tulang dari paras pinggang ke bawah dan ketika itu saya diselubungi perasaan sedih hingga menyebabkan saya terduduk seketika di situ,” katanya.

Menurutnya, tidak puas hati dengan penemuan cebisan tulang itu, dia dan abangnya terus memeriksa kawasan sekitar sebelum menemui tengkorak manusia dan beberapa lagi tulang yang berselerak.


“Saya percaya tulang itu berselerak akibat dimakan dan dilarikan binatang liar,” katanya yang percaya tulang dan tengkorak berkenaan milik bapanya.

Mengimbas kehilangan bapanya, Mohd Fauzi berkata, selepas bersahur pada 16 Ogos lalu, dia dikejutkan isterinya pada jam 7.45 pagi memaklumkan bapanya tiada di dalam bilik sebelum bertindak mencari di sekitar kampung.

“Saya mendapati kunci pintu dapur terbuka dari dalam dan mencari bapa sekitar kampung, namun tidak menemuinya,” katanya.

Menurutnya, beberapa penduduk memberitahu ada menemui seorang lelaki tua berkain pelekat tanpa baju berjalan di sekitar kampung dan daripada gambaran yang diberikan ia bertepatan dengan gaya bapanya.

“Bapa memang tinggal bersama saya dan ada kalanya bersama abang, Azhar membawanya pulang untuk dijaga di rumahnya di Kemaman. Dia sejak akhir-akhir ini kelihatan banyak terlupa, namun berdasarkan ingatannya pada kisah lampau, saya percaya dia masih belum nyanyuk,” katanya.

Mohd Fauzi berkata, dia sudah puas berusaha mencari bapanya termasuk ke kampung asal bapanya tinggal sebelum ini di Kampung Seberang Pintasan, dekat sini, namun usaha itu menemui jalan buntu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan rangka itu dan berkata, pihaknya akan mendapatkan bantuan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu untuk mengenal pasti identiti rangka berkenaan.