Search This Blog

Friday, September 23, 2011

Tak tenang malam pertama

JOHOR BAHRU: Malam pertama seorang pengantin baru tidak seindah diimpikan apabila dibayangi lapan along yang memburunya selepas gagal melunaskan pinjaman berjumlah RM10,000 yang dibuat sebagai hantaran kepada keluarga pengantin perempuan.
Mangsa hanya mahu dikenali sebagai Zali, 24, berkata, dia juga terpaksa berlakon gembira ketika diraikan sebagai raja sehari di atas pelamin ketika majlis persandingan berlangsung di rumah pengantin perempuan di bandar raya ini, awal bulan lalu.
Zali berkata, nasibnya ibarat ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ apabila menanggung hutang along yang mengenakan kadar faedah pinjaman hingga 200 peratus.

“Saya kekurangan wang untuk menyediakan wang hantaran serta perbelanjaan lain lalu meminjam wang daripada along kerana buntu selepas tiada sesiapa dapat membantu.


“Along pertama meminta saya memasukkan RM1,000 ke dalam akaun banknya sebagai cagaran bagi mendapatkan RM10,000 dan selepas melakukannya, dia berdiam diri walaupun dihubungi beberapa kali,” katanya.

Hadiah mayat

SUNGAI SIPUT: Seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun bertindak menggantung diri sebagai hadiah hari jadi buat bekas teman lelakinya dalam satu kejadian di Taman Tun Sambanthan, di sini, pagi semalam.
Lima minit sebelum mengambil keputusan menggantung diri, mangsa dikenali L Valarmathi yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Haji Abdul Wahab itu menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada bekas teman lelakinya itu.

Difahamkan, mangsa baru putus cinta dengan teman lelakinya itu yang juga pelajar tingkatan empat sebuah sekolah lain bertindak demikian kerana mengalami tekanan perasaan. Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi, Valarmathi ditemui maut apabila menggantung diri pada kipas di dalam biliknya menggunakan sehelai kain sari.

Mayat mangsa ditemui ibubapanya yang bergegas pulang ke rumah selepas mendapat panggilan daripada bekas teman lelaki anaknya yang memaklumkan mengenai SMS yang mengejutkan itu.

Bapa mangsa, M Lingam, 46, ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Sungai Siput semalam berkata, dia mendapat panggilan daripada bekas teman lelaki anaknya itu sebelum bergegas pulang bersama isteri ke rumah.

Beliau berkata, sebaik tiba di rumah, dia cuba memanggil anaknya yang berada di dalam bilik, namun tidak berjawab sebelum menendang pintu bilik berkenaan.


“Saya terkejut mendapati badan Valarmathi tergantung pada kipas dengan leher dililit sehelai kain sari dan muka kebiruan.

“Ketika kejadian, Valarmathi keseorangan di rumah, manakala saya dan isteri keluar bekerja selain anak yang lain bersekolah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim ketika dihubungi berkata, mangsa bertindak membunuh diri dipercayai kerana mengalami masalah peribadi dan tekanan perasaan.

Katanya, kejadian itu disedari bapa mangsa yang pulang ke rumah kira-kira jam 11.30 pagi sebelum menemui mangsa sudah tidak bernyawa.

“Mangsa tidak ke sekolah pada hari kejadian. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat dan punca kejadian masih disiasat. Kes ini boleh diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Pukul penyewa

AMPANG: Gara-gara berang selepas ibunya dimarahi penyewa rumah yang tidak berpuas hati mengenai kadar sewa, seorang lelaki bertindak memukul penyewa berkenaan hingga pengsan dalam kejadian di Taman Nirwana, dekat sini, kelmarin.
Suspek yang berusia 35 tahun itu dikatakan naik angin selepas mengetahui ibunya dimarahi mangsa yang berusia 39 tahun lalu menghubungi lelaki itu sebelum mereka bertemu di sebuah restoran di Taman Putra Sulaiman.
Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa datang berseorangan untuk berbincang dengan suspek.

Menurut sumber, pertemuan itu berakhir dengan pergaduhan apabila mangsa dimarahi suspek yang berang dengan tindakan biadab mangsa memarahi ibunya.


“Selepas berlaku pertengkaran, suspek meminta mangsa memohon maaf dengan ibunya jika mahu perkara itu diselesaikan.

Pengarah songlap RM26j dijel 12 tahun, denda RM1j

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini semalam menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM1 juta terhadap seorang bekas pengarah syarikat elektronik yang juga penghidap kanser usus atas tuduhan pecah amanah membabitkan wang bernilai RM26,045,473.94 milik syarikat berkenaan, empat tahun lalu.
Hakim Jagjit Singh menjatuhkan hukuman itu terhadap Toh Chun Toh Gordon, 58, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan terhadap kes itu.

Selain Toh, rakannya yang juga bekas pengarah syarikat itu, Abul Hasan Mohamed Rashid, 66, pula dihukum penjara enam tahun. Toh yang hadir dengan berkerusi roda dan kelihatan lemah turut berdepan dengan hukuman penjara dua tahun sekiranya gagal membayar denda seperti yang diperintahkan mahkamah. Bagaimanapun Jagjit membenarkan permohonan kedua-dua tertuduh untuk menangguhkan hukuman itu sehingga selesai mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Terdahulu dalam penghakimannya, Jagjit berkata, mahkamah dapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan terhadap kes itu kerana ia penafian semata-mata dan keterangan yang diberi adalah berunsur fikir kemudian.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 26 dan 28 Mac 2007 di Kenanga Investment Berhad, Aras 2, Menara Pelangi, Jalan Kuning, Taman Pelangi, Johor Bahru, Johor.

Timbalan Pendakwa Raya, Shanti Geoffry dan pegawai pendakwa dari Suruhanjaya Sekuriti, Norifhan Rozi mengendalikan pendakwaan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.


Terdahulu, peguam Joshua Kevin dan Ng Aik Guan yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon hukuman ringan kerana kedua-duanya sudah tidak bekerja dan terpaksa menanggung keluarga.

Eksekutif akaun dituduh palsu cek RM1.35 juta

KUALA LUMPUR: Seorang eksekutif akaun sebuah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tujuh pertuduhan memalsukan cek berjumlah RM1.35 juta, dua tahun lalu.
Tertuduh, Aliah Fadzilah Wan Abdullah, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan ketika kes berkenaan disebut di hadapan Hakim SM Komathy Suppiah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memalsukan tujuh cek United Oversea Bank (Malaysia) Berhad (UOB) milik syarikat Malaysia Plastics Sdn Bhd dalam tujuh transaksi berasingan berjumlah RM1.35 juta.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di UOB Bank, Bangunan UOB Medan Pasar, 10-12, Medan Pasar, di sini antara Disember 2009 dan Februari 2010.

Bagi ketujuh-tujuh pertuduhan itu Aliah Fadzilah didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 467 kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nazri Amir Johan manakala tertuduh diwakili peguam Lim Chi Chau. Mahkamah kemudian membenarkan kes itu dipindahkan untuk dibicarakan bersama kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan mengekalkan ikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai. Kelmarin, Aliah juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 57 tuduhan memalsukan dokumen serta menggunakan dokumen palsu berupa cek bernilai RM4.5 juta, dua tahun lalu. Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu.

‘Helo saya tak disahut’

SHAH ALAM: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, semalam bahawa dia ada menerima panggilan daripada birasnya yang juga pegawai bank CIMB iaitu salah seorang daripada tiga individu yang didakwa dibunuh bersama jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, di Banting, Ogos tahun lalu.
Penolong Eksekutif Felda Palm Industries, Jefri Hamdan, 40, berkata panggilan itu diterimanya daripada Noorhisham Mohammad, 38, pada jam 10 malam, 30 Ogos 2010 ketika berada di rumahnya.

Bagaimanapun, katanya, oleh kerana Noorhisham hanya mendiamkan diri, dia mengambil tindakan mematikan panggilan telefon itu.

“Saya cakap ‘helo’ berkali-kali tapi tidak disahut oleh pemanggil.

“Yang saya dengar hanyalah bunyi angin seperti kereta sedang bergerak,” katanya.

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin, saksi pendakwaan ke-45 itu memberitahu dia tidak menghubungi semula lelaki itu kerana beranggapan bahawa Noorhisham akan menelefonnya semula sekiranya ada hal penting.


Saksi itu berkata, isterinya adalah adik kepada isteri Noorhisham, Suzana Radin Pangat, 39, yang kali terakhir ditemuinya pada 31 Ogos 2010. Ketika itu katanya, dia pergi ke rumah Suzana kerana mereka sudah berjanji untuk berbuka puasa di luar seperti yang pernah dijanjikan oleh Noorhisham.

Bagaimanapun katanya, rancangan terpaksa dibatalkan selepas Suzana memberitahu suaminya ada urusan di luar yang tidak diketahui lokasinya.

Mengikut pertuduhan, bekas peguam, N Pathmanabhan, 42, bersama tiga pekerja ladangnya, T Thilaiyalagan, 20; R Matan, 21, dan R Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47; peguam, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dan Noorhisham.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Terdahulu, Pakar Bahagian Teknikal Telekomunikasi dan Teknologi Celcom, Haizal Hambali, 35, berkata pihaknya melakukan dua ujian panggilan bagi menentukan kedudukan beberapa panggilan di tempat kejadian pada Mac dan Julai lalu.

“Hasil ujian kedua di empat lokasi di Ladang Gadong, Banting pada 7 Julai lalu dikesan diterima dari stesen pemancar di Batu Laut, Banting.

“Rekod Maklumat Panggilan (CDR) pula menunjukkan pemanggil ketika itu berada di kawasan liputan tempat kejadian,” katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azimul Azami.

Peguam Manjeet Singh kemudian tiba-tiba bangun membantah penggunaan perkataan ‘tempat kejadian’ itu kerana perbicaraan masih berjalan.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dan meminta ia ditukar kepada tempat ujian panggilan.

Menyambung keterangannya, Haizal memberitahu jarak lokasi ujian panggilan itu dengan stesen pemancar Batu Laut, Banting yang dianggarkan sejauh 1.8 Kilometer.

Bagaimanapun, ketika disoal balas, peguam Amer Hamzah Arshad, Haizal bersetuju CDR yang diperoleh dari stesen pemancar tidak dapat menentukan lokasi tepat kedudukan pemanggil dan penerima panggilan.

Saksi ke-44 yang sebelum ini turut pernah terbabit dalam penyiasatan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaaribu empat tahun lalu itu turut mengakui bahawa untuk menentukan kedudukan stesen pemancar bergantung kepada kualiti dan kekuatan isyarat sesebuah telefon bimbit.

“Jarak hanya memainkan peranan tetapi kurang mustahak,” katanya menjawab soalan Hakim Datuk Akhtar Tahir.

Perbicaraan bersambung hari ini.

Dilanggar kereta cikgu

RAWANG: Seorang murid tahun satu sebuah sekolah di sini, patah serta cedera di kaki kirinya selepas dilanggar kenderaan gurunya dalam kawasan sekolah ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di sini, 23 Ogos lalu.
Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 12 tengah hari ketika Danial Hakim Rashdan, 7, dalam perjalanan pulang ke rumah bersama beberapa rakannya.

Menurut bapanya, Rashdan Baharin, 40, mangsa dipercayai dilanggar seorang guru perempuan sekolah terbabit ketika dia baru tiba untuk mengajar pada sesi petang persekolahan.

“Menurut anak saya, dia dilanggar berhampiran pintu masuk sekolah ketika sedang berkejaran dengan rakannya dan tidak sedar ada kereta sedang bergerak ke arahnya.

“Selepas kejadian, guru terbabit membawa Danial ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan dan anak saya ditahan di wad sehari memandangkan kecederaannya yang serius sehingga patah tulang kaki kiri.

“Keesokannya, saya pergi berjumpa dengan pihak sekolah untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung kejadian, namun pihak sekolah hanya menyerahkan kepada saya wang kebajikan RM100 dan enggan bertanggungjawab terhadap kejadian yang menimpa anak saya,” katanya ketika dihubungi.


Berang dengan kejadian terbabit, Rashdan pergi ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Gombak empat hari kemudian untuk bertanya adakah pihak sekolah ada membuat laporan berhubung kejadian berkenaan.

“Saya hairan kerana pihak PPD memberitahu mereka tidak menerima laporan berhubung kemalangan di kawasan sekolah kerana menurut guru besar sekolah terbabit, dia sudah membuat laporan kepada PPD.

“Malah, sehingga hari ini, tiada wakil sekolah datang melawat anak saya yang sedang berehat di rumah setelah lebih sebulan kejadian menimpa,” katanya.

‘Suami awak suami saya’

JOHOR BAHRU: Seorang bapa kepada sembilan anak bukan saja sanggup mengaku bujang dan muda 10 tahun berbanding usia sebenar, malah memalsukan identitinya termasuk gambar serta nombor kad pengenalan gara-gara mahu berpoligami.
Helah pengusaha baulu terbabit yang dikenali sebagai Samad, 42, dengan berkahwin lagi tanpa pengetahuan isteri pertama terbongkar apabila isterinya itu membuat semakan dengan Jabatan Agama Johor (JAJ).

Isteri pertama Samad yang mahu dikenali sebagai Rosmah, 41, berkata selain mendakwa masih bujang menggunakan sekeping surat sokongan daripada ketua kampung, suaminya turut mendakwa baru berusia 32 tahun berdasarkan nombor kad pengenalan yang ditukar sedangkan dia 10 tahun lebih tua.

“Saya mengesyaki suami bermain kayu tiga dengan janda lima anak dikenali sebagai Nora, berusia lingkungan 30-an, yang juga kakitangan syarikat milik suami berpejabat di Pontian.

“Suami semakin kerap tidak pulang ke rumah di Taman Teratai di sini, atas alasan sibuk dengan perniagaan bahulunya,” katanya, semalam.

Rosmah yang bertugas sebagai juruwang di sebuah pasar raya di Taman Teratai, berkata pada 19 September lalu, dia ke kedai suami untuk berbincang berkaitan masalah rumahtangga mereka.


Bagaimanapun, Rosmah yang juga ibu kepada sembilan anak berusia antara lima dan 24 tahun terkejut apabila mendapati suaminya sedang makan dengan Nora.

“Saya terus bertanyakan kepada suami kedudukan sebenar perkahwinan kami yang kemudian mencetuskan pertengkaran antara saya dengan Nora.

“Ketika pertengkaran, Nora mendakwa dia juga berhak kerana suami saya suaminya juga. Kenyataan itu menyebabkan saya terkilan dan sedih,” katanya.

Bagi memastikan kesahihan dakwaan Nora, Rosmah ke Bahagian Pendaftaran Nikah, Pejabat Agama Johor Bahru keesokan harinya dan bertambah terkejut selain keliru apabila melihat sijil perkahwinan serta beberapa dokumen yang didaftarkan menggunakan nombor kad pengenalan dan gambar palsu lelaki terbabit.

Rosmah yang keliru dengan penemuan itu membuat laporan polis di Balai Polis Taman Universiti pada hari sama selain membuat aduan rasmi kepada JAJ.

“Beberapa saksi pernikahan yang ditemui, seorang daripadanya adalah bapa saudara suami turut memaklumkan perkara serta peristiwa sebenar yang berlaku selepas saya cuba mendapatkan kepastian mereka.

“Bapa saudara suami memberitahu Nora adalah sepupu sebelah suami. Berdasarkan dokumen sokongan yang dikemukakan untuk bernikah, suami turut mendakwa dia bujang sedangkan dia berkahwin dengan saya ketika berusia 19 tahun,” katanya.

Menurut Rosmah, bapa saudara suami juga menyatakan lokasi pernikahan yang tercatat pada dokumen di pejabat agama itu tidak tepat salinan kad pengenalan saksi yang disertakan juga bukan saksi sebenar yang hadir ketika majlis berlangsung.

Rosmah berharap JAJ menyiasat perkara itu kerana ia membabitkan pemalsuan dokumen untuk berkahwin lain dan jika dibiarkan, lebih ramai yang akan melakukan perkara sama.

“Kakitangan di pejabat agama sewajarnya melakukan pemeriksaan terhadap dokumen milik suami atau sesiapa saja sebelum mengeluarkan sebarang pengesahan.

“Saya harap perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin dan JAJ sewajarnya memanggil suami untuk membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap JAJ ketika dihubungi mengesahkan sudah menerima aduan daripada Rosmah.

“Kami masih menjalankan siasatan terhadap aduan dikemukakan Rosmah, kami mungkin akan memanggil suaminya dalam masa terdekat untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Buat masa ini, kami sedang mengkaji beberapa dokumen yang dinyatakan oleh Rosmah,” katanya enggan mengulas lanjut.

Sukar gerak

IPOH: Seorang bekas pelajar tingkatan satu Kolej Melayu Kuala Kangsar (KMKK), mendakwa mengalami kesukaran bergerak apabila bahagian lutut kaki kirinya tercedera selepas dipukul pengawas sekolah berkenaan tiga bulan lalu.
Pelajar berkenaan, Muhamamad Saniy Samsudin, 13, yang kini menuntut di Sekolah Menengah Jitra, Kedah, terpaksa menjalani rawatan susulan dan fisioterapi masing-masing di Hospital Taiping dan Hospital Jitra, Kedah.

Malah, doktor pakar mengesahkan Muhammad Saniy terpaksa menjalani pemulihan enam bulan bagi membolehkan kakinya pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

Dalam kejadian pada 26 Jun lalu, Muhammad Saniy bersama 13 pelajar tingkatan satu lain yang menuntut di sekolah sama ditumbuk dan dipukul dua pengawas kerana keluar ke pusat siber di pekan Kuala Kangsar pada hari minggu, biarpun sudah mendapat kebenaran guru.

Bapa pelajar berkenaan, Samsudin Mohamed, 46, yang ditemui kesal dengan perkara berkenaan dan tidak menyangka pengawas sekolah tergamak memukul anaknya sehingga cedera termasuk beberapa pelajar lain.

Beliau berkata, kejadian itu bukan saja menyebabkan anaknya trauma sebaliknya terpaksa meninggalkan pelajaran hampir dua bulan kerana terpaksa berulang alik ke hospital bagi menjalani rawatan fisioterapi.


“Lebih teruk, doktor mengesahkan tisu di lututnya koyak dan mengambil masa lama untuk pulih sepenuhnya. Biarpun sudah tidak bertongkat, kakinya tetap lemah dan sukar berdiri lama.

“Anak saya juga mengalami trauma apabila dia bukan saja tidak menjalani sebarang sesi kaunseling sekolah selepas kejadian itu, sebaliknya masih dibuli pelajar senior sekolah itu hampir dua bulan,” katanya.

Katanya, dia menukarkan anaknya ke sekolah lain kerana tidak tahan dengan tekanan diberikan terhadap anaknya.

Samsudin yang kini menetap di Taman Halban, Jitra, berkata, anaknya pernah mengadu pengawas sekolah berkenaan tidak membenarkan pelajar lain membantunya terutama ketika mengambil makanan dan minuman rehat di kantin selain almarinya yang sering diselongkar pelajar senior.

Menurutnya, perbuatan itu tidak sepatutnya terjadi dan ia memalukan imej sekolah berkenaan yang terkenal sebagai antara sekolah berprestij di negara ini.

“Saya juga kesal kerana dua pengawas yang terbabit itu hanya digantung sekolah lima hari dan hukuman itu tidak setimpal dengan perbuatan mereka.

“Sehingga kini, pelajar senior berkenaan termasuk warisnya tidak pernah menghubungi saya untuk menyatakan rasa kesal terhadap perbuatan yang mereka lakukan terhadap anak saya,” katanya.

Katanya, anaknya mula bersekolah di Sekolah Menengah Jitra sejak Isnin lalu, namun dia juga kesal kerana sekolah gagal menunaikan janji menempatkan anaknya di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra.

Selain itu, katanya, sehingga kini juga, segala dokumen termasuk buku kemajuan dan rekod ko-kurikulum anaknya belum diserahkan biarpun anaknya sudah memasuki sekolah baru.

Samsudin berkata, dia berharap kisah yang menimpa anaknya ini diambil perhatian serius KMKK bagi membolehkan pelajar lain dapat meneruskan pembelajaran di sekolah itu.

“Saya juga difahamkan, ramai ibu bapa pelajar yang terbabit insiden sama tidak mahu anak mereka meneruskan pembelajaran di sekolah itu kerana tidak berpuas hati dengan persekitarannya,” katanya.

Budak 2 tahun diperkosa di rumah pengasuh

PETALING JAYA: Seorang budak perempuan berusia dua tahun yang baru dibawa pulang ibunya dari rumah pengasuh dipercayai dirogol selepas mengadu sakit pada kemaluannya di Kota Damansara, di sini, kelmarin.
Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, ibu mangsa yang baru pulang dari tempat kerja menjemput anaknya seperti biasa di rumah pengasuh terbabit.

Bagaimanapun, setibanya di rumah, kanak-kanak itu menangis dan mengadu sakit di kemaluan dan selepas diperiksa, terdapat luka dan bengkak di bahagian berkenaan.

“Ibu mangsa membawa anaknya itu ke pusat kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan lanjut.

“Wanita itu terperanjat apabila doktor mengesahkan terdapat kesan kecederaan pada kemaluan anaknya akibat tusukan objek keras,” katanya.

Menurutnya, ibu mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Kota Damansara.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, siasatan awal mendapati semua penghuni di rumah pengasuh terbabit adalah wanita, namun tidak menolak kemungkinan suspek adalah orang dikenali mangsa.

Jurutari dibogel, dicampak

KOTA BHARU: Seorang jurutari lelaki berusia 20-an bukan saja melalui pengalaman hidup paling memalukan apabila dibogelkan sebelum diikat dua lelaki yang tidak berpuas hati terhadapnya, tetapi turut dicampak ke dalam tali air di Jalan Dewan, dekat Salor, Khamis lalu.
Tidak setakat itu, mangsa yang di bawa dari Tanah Merah ke sebuah rumah tumpangan di Wakaf Bharu, kira-kira jam 11 malam turut ditutup mukanya oleh pemuda berkenaan menggunakan pakaian.

Tidak tahu motif perbuatan itu, rambut mangsa turut digunting ketika berada di rumah tumpangan berkenaan, selain telefon bimbitnya dirampas suspek.

Difahamkan, sebelum kejadian mangsa yang berasal dari Tanah Merah diajak dua pemuda berkenaan ke sebuah rumah tumpangan, namun berlaku kejadian tidak diduga apabila diaibkan ketika berada dalam rumah berkenaan.

Selepas puas melakukan ‘khianat’ terhadap mangsa, dua pemuda berkenaan mengarahkan mangsa dalam keadaan bogel masuk ke dalam kereta dan dibuang ke dalam tali air dekat Salor, yang jaraknya kira-kira 15 kilometer dari Wakaf Bharu.

Sebaik suspek meninggalkannya, mangsa menyelamatkan diri.


Dia bernasib baik kerana lambaiannya disedari orang awam, sebelum kereta peronda melalui kawasan berkenaan memberhentikan kenderaan dan membawanya ke Balai Polis Kota Bharu, dekat sini, untuk membuat laporan.

Selepas sesi laporan polis selesai jam 3.50 pagi, polis menghantarnya ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Khalid Munap, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian ‘aib’ yang dilakukan dua pemuda berkenaan terhadap mangsa.

Berikutan kejadian itu katanya dua suspek masing-masing berusia 22 dan 24 tahun yang disyaki terbabit dengan kejadian berkenaan ditahan pada 19 September lalu jam 12 tengah hari bagi membantu siasatan.

“Kes itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana pemerasan dan kedua-dua suspek terbabit sudah dijatuhkan hukuman penjara selama 18 bulan dan dua sebatan,” katanya, semalam.

Rempuh polis lepas asmara

PERMAISURI: Panik melihat kehadiran sebuah kereta peronda polis, seorang lelaki yang asyik memadu asmara bukan saja merempuh kenderaan pihak berkuasa terbabit, malah lari meninggalkan teman wanitanya yang terkial-kial memberikan penjelasan kepada polis mengenai tindakan mereka itu.
Kejadian berlaku pada jam 1.30 pagi semalam di kawasan parkir dan rehat di hadapan sebuah kolej swasta di bandar ini ketika pasangan terbabit memadu asmara di dalam sebuah Perodua Myvi di kawasan berkenaan tanpa menyedari dua anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah melihat perbuatan mereka.

Disebabkan terkejut dengan kehadiran pihak berkuasa berkenaan, lelaki itu memecut keretanya dan bergesel dengan kereta peronda polis menyebabkan bumper hadapan kereta peronda itu tercabut.

Pasangan terbabit memecut meninggalkan tempat kejadian menyebabkan anggota polis terbabit mengejar sejauh satu kilometer sebelum kereta itu tersadai di bahu jalan akibat satu tayar hadapannya pecah.

Polis membawa pelajar itu bersama kereta teman lelakinya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu, di sini, untuk siasatan lanjut. Pelajar terbabit dibebaskan selepas keterangannya diambil manakala teman lelakinya masih menghilangkan diri

3 murid maut keracunan makanan

LIMA: Tiga kanak-kanak terbunuh dan lebih 50 lagi kritikal selepas mengambil makanan yang bercampur racun serangga di sebuah sekolah di utara Peru, kata pegawai kesihatan semalam.
Kejadian berlaku pada Selasa lalu apabila hidangan nasi berlauk ikan bilis itu disimpan dalam kotak pernah diisi racun serangga.

Kira-kira 56 orang, termasuk guru dan ibu bapa, mendapatkan rawatan hospital di wilayah Cajabamba, kira-kira 750 kilometer di utara Lima.

Menteri Pembangunan Wanita dan Sosial, Aida Garcia Naranjo, berkata tiga yang terbunuh berusia di antara tujuh dan 10 tahun.

Difahamkan, ada kemungkinan jumlah korban meningkat.

Makanan itu adalah sebahagian daripada program bantuan makanan dikendalikan kerajaan. - AFP

Syabu dalam tangki oksigen

JAKARTA: Kastam Indonesia menahan seorang lelaki Iran kerana disyaki cuba menyeludup dadah syabu bernilai RM6 juta dengan menyorokkan bahan itu dalam tangki oksigen.
Rosul Solihikan, 30, diberkas Isnin lalu ketika dia menuntut dua tangki berkenaan yang dihantarnya dari Iran.

Ketua penyiasat kastam di lapangan terbang, Gatot Sugeng Wibowo, berkata pihak berkuasa menemui syabu seberat 18 kilogram di dalam tangki berkenaan.

“Rosul dan barangan itu tiba pada hari sama minggu lalu, tetapi menggunakan dua pesawat berbeza dari Iran,” katanya.

Suspek - mendakwa seorang juruteknik peralatan menyelam - tiba menaiki pesawat syarikat penerbangan Emirates, manakala tangki oksigen itu menggunakan kargo Qatar Airways.

Kata Gatot, kastam Indonesia memang memberi perhatian lebih kepada mana-mana barangan dibawa masuk dari Iran.


Polis berkata, sindiket penyeludupan dadah dari Iran kini menjadi pembekal utama heroin dan syabu di Indonesia, berbanding negara Afrika Barat sebelum ini.

Menurut Gatot, Rosul ini disiasat unit antinarkotik polis Indonesia.

Negara itu memperuntukkan hukuman berat, termasuk penjara seumur hidup dan mati, bagi kesalahan mengedar dadah. - AFP

Israel terus lancar kempen anti-Palestin





2011/09/23

Pemimpin, delegasi Zionis guna media lobi anggota PBB tolak permohonan jadi ahli 

BAITULMAQDIS: Ketika diplomat antarabangsa memutuskan untuk menentang atau menyokong permohonan Palestin menjadi ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Israel melancarkan kempen menerusi media untuk menyatakan pandangannya dalam isu berkenaan supaya difahami.
“Saya bercakap dengan berpuluh-puluh wartawan setiap hari, tidak kira mesej e-mel Facebook dan temubual radio serta televisyen,” kata jurucakap Kementerian Luar Israel, Yigal Palmor.
Dalam video di laman web YouTube awal minggu ini, Palmor berkata: “Israel tidak menentang penubuhan negara merdeka Palestin. Israel mahu wujud bersama secara aman bersebelahan tetapi keamanan cuma dapat dicapai menerusi rundingan langsung, tiada cara lain,” katanya. 

Pusingan terakhir rundingan gagal September 2010 apabila Israel enggan menunda lagi pembinaan penempatan Yahudi di kawasan yang dianggap penduduk Palestin sebagai sebahagian negara mereka. 

Pemimpin Palestin pula menegaskan, rundingan damai tidak akan disambung kecuali pembinaan penempatan dibekukan. 

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, akan mengemukakan permintaan mendapatkan keanggotaan penuh negaranya kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, manakala Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menggunakan skil retorik menentang bidaan itu di Perhimpunan Agung (UNGA). 
Israel menentang keras kempen diplomatik, mengatakan Palestin cuma boleh wujud menerusi perbincangan dua hala dan tidak boleh didesak badan luar. 

Mengiringi Netanyahu ke New York kelmarin sekumpulan jurucakap sehaluan dengannya, pakar media, menteri dan timbalan menteri. – AFP 

Pemimpin Palestin gelar Obama jurucakap Israel





2011/09/23

pix_gal0
Ucapan Presiden AS di PBB hanya sokong hak Yahudi 

RAMALLAH: Penduduk Palestin semalam mengutuk ucapan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), menyifatkannya sebagai memaparkan sikap berat sebelah Washington kepada Israel.
Pengulas, ahli politik dan penduduk awam Palestin berkata, ucapan Obama kelmarin, menjelang permohonan Palestin menjadi anggota PBB, menunjukkan Washington tidak mampu menjadi orang tengah yang adil antara Israel dan Palestin.
Pemimpin Hamas di Gaza berkata, ucapan itu bermakna Palestin dan dunia Arab perlu berhenti terus bergantung kepada Washington. 

“Ucapan Obama menunjukkan sikap berat sebelah Amerika yang menyokong penjajah Israel dan negara Arab dan Palestin patut berhenti bergantung kepada Amerika. 

“Kami menggesa pemimpin Palestin menggunakan strategi berdikari dan dunia Arab serta Islam sedar dengan keangkuhan Amerika dan Israel,” kata jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri. 

Pengulas dalam tiga akhbar utama Palestin turut menyuarakan kemarahan dan kekecewaan berhubung ucapan Obama itu. 
“Ucapan Obama mengecewakan mereka yang menanti sesuatu yang baru daripadanya, mencetuskan kemarahan. Ia menutup semua pintu dan tingkap yang dibiarkan terbuka oleh Presiden Palestin untuk mencari kemajuan,” menurut tulisan Talal Okal dan akhbar Al-Ayyam. 

Okal menuduh Obama mendalamkan sikap berat sebelah terhadap kisah, kedudukan dan dasar Israel. 

“Dia begitu ketara berat sebelah dan cinta kepada Yahudi dan Israel. Apa yang ditawarkan dalam ucapannya menunjukkan kerjasama, penerimaan penuh kepada dasar dan kehendak Israel. 

“Dia terus cakap bahawa Yahudi dan Israel dikelilingi kebencian dan perang oleh negara Arab tetapi ucapannya tidak menyentuh langsung kesengsaraan penduduk Palestin,” tulisnya. 

Al-Ayyam menyiarkan kartun menunjukkan Obama mengeluarkan buih keluar daripada mulut dalam bentuk Star of David ketika berucap. 

Menulis dalam akhbar Al-Quds, akhbar paling laris di Palestin, ahli Parlimen Arab Israel, Ahmed Tibi, berkata ucapan Obama dibayangi ucapan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy. 

Walaupun pemimpin Perancis itu tidak menyokong usaha Palestin memohon keanggotaan penuh di PBB, dia mencadangkan alternatif menaikkan status pemerhati di UNGA dan jelas merujuk kepada derita penduduk Palestin, kata Tibi. 

“Tidak seperti Sarkozy, yang mengulas isu Palestin dan positif hak penduduk Palestin, ucapan Obama berat sebelah. 

Malah, dalam ucapan sama Obama memuji kebangkitan dan revolusi penduduk Arab terhadap pemerintahan kuku besi dan penindasan, tetapi dia tidak menyebut langsung mengenai pencerobohan Israel ke atas tanah penduduk Palestin,” tulisnya. 

Di jalan raya di Baitulmaqdis Timur, orang ramai juga mengutuk ucapan itu. 
“Tidak mengejutkan, Israel dan Amerika adalah satu dan Obama sudah tentu sokong Israel menentang Palestin supaya dia dipilih semula pada tahun 2012,” kata Shadi Elias, 22. 

Di Ramallah, pengarah sekolah, Mohammed Zeidan, menuduh Obama bersikap adil kepada semua negara Arab kecuali penduduk Palestin. 

“Apabila Obama memasuki Rumah Putih sebagai presiden, kedudukan dan aspirasinya memberikan kita harapan tetapi Obama menunjukkan kepada dunia kelmarin Amerika akan sentiasa di sisi Israel dan dia tiada beza dengan pemimpin Amerika terdahulu,” katanya. – AFP 

Biras terima panggilan Norhisham



PATHMANABHAN (depan) dan tiga tertuduh lain diiringi polis keluar dari Mahklamah Tinggi Shah Alam selepas perbicaraan semalam.


SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu terdapat satu panggilan telefon diterima oleh biras Norhisham Mohammad, 38, salah seorang mangsa kes bunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain pada 30 Ogos tahun lalu.
Jefri Din Hamdan, 40, saksi pendakwaan ke-45 mendakwa, dia menerima panggilan telefon bimbit pegawai bank itu pada pukul 10 malam namun setelah menjawabnya tiada jawapan balas didengarinya.
"Saya tidak membuat panggilan semula kerana mengandaikan panggilan itu tidak penting malah Norhisham juga tidak menghubungi semula," kata Jefri ketika menjawab soalan daripada Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin.

Pencuri diesel Petronas tumpas



KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya berjaya menumpaskan satu sindiket penyelewengan diesel subsidi yang beroperasi di Sandakan, Sabah dengan tertangkap 10 lelaki kelmarin.
Menurut sumber, sindiket berkenaan didakwa sudah beroperasi sejak dua tahun lalu dan dipercayai menjual minyak diesel subsidi bagi pasaran luar.
Dalam operasi tersebut, SPRM merampas sebanyak 67,000 liter minyak diesel yang bernilai RM154,000 dipercayai milik Petronas di Sandakan Bulk Depot, Karamunting.

Ditangkap menipu guna cop palsu MB




BEBERAPA dokumen dan cop getah yang dirampas daripada dua lelaki dipercayai terbabit dalam dua kes penipuan di Perak semalam.


IPOH – Polis percaya dapat menyelesaikan kes penipuan menggunakan kepala surat dan cop rasmi palsu Menteri Besar Perak berikutan penahanan dua lelaki termasuk seorang guru penolong kanan sebuah sekolah baru-baru ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan (gambar kecil) berkata, kedua-dua suspek yang berusia 45 dan 47 tahun itu ditahan pada 13 September lalu.
Katanya, semasa ditangkap polis turut merampas tiga unit cop getah yang mempunyai kaitan dengan urusan rasmi Pejabat Menteri Besar Perak.
“Salah seorang yang ditangkap bekerja sebagai kontraktor manakala seorang lagi merupakan penolong kanan sebuah sekolah menengah jenis kebangsaan di Seberang Perai, Pulau Pinang.
“Kita juga menemui beberapa dokumen berhubung permohonan untuk projek perusahaan pembalakan di Perak,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini semalam.

PATI dicekup ketika berdengkur




PATI yang ditahan ketika tidur di sebuah rumah di Kampung Titi Serong, Kuala Perlis semalam.


KUALA PERLIS – Seramai 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sedang nyenyak tidur diberkas oleh Unit Pencegah Penyeludup (UPP) dalam satu serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Titi Serong di sini awal pagi semalam.
Kesemua PATI warga Myanmar itu yang berumur di antara 10 hingga 60 tahun ditahan kira-kira pukul 6 pagi dan dipercayai baru memasuki negara ini pada malam tersebut.
Komander UPP Perlis, Deputi Supritendan Zakaria Abdul Rahman berkata, seorang penduduk tempatan berusia 30-an yang bersembunyi di dalam reban ayam berhampiran rumah itu ketika serbuan turut ditahan.