Search This Blog

Thursday, September 22, 2011

Hospital sengaja caj lebih didedah






Bukti caj berlebihan apabila hanya empat alatan yang digunakan manakala yang lain adalah bagi menambah stok hospital.


KUALA LUMPUR 21 Sept. – Sebuah hospital swasta di ibu kota didakwa ‘menipu’ ramai pesakitnya sejak lima tahun lalu apabila mengenakan caj rawatan berlebihan termasuk yang tidak masuk akal untuk menambah stok ubat dan peralatan berkaitan di hospital berkenaan.
Perkara itu didedahkan oleh seorang bekas doktor di hospital berkenaan yang kecewa tindakan pengurusan hospital tersebut mengambil cara mudah untuk membuat keuntungan dengan menekan pesakit.
“Malah petugas hospital juga diarahkan agar mengenakan caj tambahan terhadap beberapa kelengkapan hospital yang kehabisan stok ke dalam akaun pesakit walaupun ia tidak digunakan pesakit terlibat.
“Alatan seperti kapas, kain pembalut, jarum suntikan, tiub getah, sarung tangan dan sebagainya dimasukkan ke dalam bil menyebabkan pesakit seolah-olah ‘membantu’ menanggung kos hospital yang tidak sepatutnya,” katanya yang enggan identitinya didedahkan di sini hari ini.
Doktor tersebut yang telah mengenal pasti penipuan itu turut mengumpul bahan bukti dari 2007 bagi menguatkan dakwaannya itu.
Menurutnya, bayaran tambahan lebih RM200 dikenakan terhadap pesakit terutama di bahagian kecemasan serta kepada mereka yang menggunakan perkhidmatan insurans bagi membayar bil perubatan mereka.
Katanya, lazimnya pesakit yang menggunakan insurans tidak mengambil tahu caj yang dikenakan hospital dan menyerahkan kepada pihak insurans menjelaskan bil mereka.
“Keadaan itu menyebabkan pihak hospital mengambil kesempatan mengaut keuntungan bagi menanggung kos peralatan yang sepatutnya ditanggung oleh pihak hospital sendiri,” katanya.
Menurutnya, mereka yang menjadi mangsa ialah pesakit sendiri apabila caj yang dikenakan berlebihan dan tahap maksimum pembiayaan insurans pesakit akan berkurangan.
Keadaan itu juga katanya, akan menyebabkan pesakit terpaksa membayar sendiri caj perubatan sekiranya mendapatkan rawatan pada masa depan kerana insurans mereka telah mencapai tahap maksimum.
“Itu baru di bahagian kecemasan yang hanya mengambil masa paling lama dua jam, belum lagi jika mereka terpaksa dimasukan ke wad beberapa hari,” katanya.
Menurut doktor berkenaan, beliau mengetahui ‘penipuan’ tersebut apabila seorang pesakit di bawah kendaliannya yang menghidap gastrik terpaksa membayar caj berlebihan terhadap perkhidmatan yang tidak diperoleh seperti dua kotak kapas, pembalut luka, jarum suntikan, cadar dan sarung bantal yang tidak digunakan oleh pesakit di bahagian kecemasan.
“Saya pernah berkhidmat di beberapa hospital lain seperti di Sunway, Tawakal, Ampang Puteri dan beberapa hospital lain namun kes seperti ini tidak pernah berlaku,” katanya.

Syabu: Polis tahan tujuh lelaki



SEMPORNA 21 Sept. - Polis menahan tujuh lelaki yang dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah di sebuah rumah di Kampung Seri Sapi di sini semalam.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Azim Khan berkata, dalam serbuan pada pukul 12.15 tengah hari itu, polis turut menemui 20 peket kecil dadah dipercayai jenis syabu.
"Hasil pemeriksaan ke atas dua suspek kita menemui sejumlah peket lutsinar yang dipercayai dadah jenis syabu. Ujian air kencing ke atas semua suspek yang berumur 23 hingga 38 tahun juga mendapati mereka positif dadah," katanya di sini hari ini.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12 (2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Suri rumah disamun 6 lelaki bersenjata parang



KUALA LUMPUR 21 Sept. - Seorang surirumah melalui detik-detik cemas apabila disamun enam lelaki bersenjatakan parang semasa berada dalam rumahnya di Jalan Marmar 2, Taman Melewar di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, dalam kejadian pukul 2.20 petang itu, enam lelaki menaiki dua motosikal telah berhenti di hadapan rumah mangsa sebelum tiga daripada mereka menyerbu masuk ke dalam rumah.
"Tiga suspek bersenjatakan parang mengugut mangsa agar menyerahkan barang-barang berharga, manakala tiga lagi rakan mereka menunggu di luar rumah.
"Mangsa yang ketakutan segera menyerahkan barang kemas, telefon bimbit dan wang tunai RM80 kepada suspek," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini.
Zakaria berkata, selepas memperoleh barang-barang tersebut, suspek yang dua daripadanya bertubuh besar segera melarikan diri dengan motosikal jenis Kawasaki Kips dan Yamaha 125Z.
Katanya, mangsa yang mengalami kerugian kira-kira RM4,000 bagaimanapun tidak dapat mengecam wajah suspek kerana mereka memakai topi keledar penutup penuh.

4 sekeluarga tinggal sehelai sepinggang




Anggota bomba berusaha memadamkan api yang melibatkan rumah Zahara Abu Bakar (gambar kecil) di Kampung Baung, Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 21 Sept. - Empat sekeluarga dari Kampung Baung, Pengkalan Chepa dekat sini tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran pagi ini.
Kejadian pukul 8.15 pagi itu turut memusnahkan sebuah motosikal dan kereta jenis Perodua Kancil milik mangsa yang diletakkan berhampiran rumah berkenaan.
Mangsa, Zahara Abu Bakar 63, berkata, dia menyedari kebakaran itu selepas ternampak kepulan asap di kawasan rumahnya ketika dia dan salah seorang anaknya, Masitah Mohammad, 19, berada di dapur untuk menikmati sarapan pagi.
"Saya mengarahkan Masitah mengejutkan seorang lagi anak saya, Siti Asiah, 24, yang ketika itu sedang berehat di ruang tamu supaya keluar dari rumah.
"Sebaik sahaja keluar, saya lihat rumah sudah pun terbakar. Saya tidak berdaya untuk berbuat apa-apa kerana api marak dengan cepat. Bagaimanapun saya bersyukur kerana musibah ini tidak meragut nyawa kami sekeluarga," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Ketika kejadian, suaminya Mohamad Ibrahim, 64, tiada dirumah kerana keluar bekerja.
Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Saipu Bahari Mat Noor ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 8.25 pagi dan tiba di tempat kejadian tidak lama kemudian.
Menurutnya, seramai 21 anggota dari dua buah balai iaitu Pengkalan Chepa dan Kota Bharu bersama lima jentera dikejarkan ke tempat kejadian untuk memadamkan api.
"Kerugian dianggarkan berjumlah RM160,000. Punca sebenar kebakaran ini masih dalam siasatan," katanya.

Lelaki maut kereta dirempuh lori



KUANTAN 21 Sept. - Seorang lelaki terbunuh selepas kereta Proton Waja yang dinaiki bersama isteri dan tiga anaknya bertembung dengan sebuah lori secara bertentangan di Kilometer 13, Jalan Lipis-Merapoh awal pagi semalam.
Wan Mohd. Khairi Wan Mahmud, 32, berasal dari Kota Bahru, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Isteri mangsa berusia 29 tahun dan tiga anaknya yang berusia antara lima hingga dua tahun turut mengalami kecederaan parah akibat kemalangan itu.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, dalam kejadian pukul 4.10 pagi itu, mangsa sekeluarga dalam perjalanan dari arah Merapoh menghala ke Kuala Lumpur.

2 ditahan sejurus larikan MPV



JOHOR BAHRU 21 Sept. - Empat penjenayah hanya sempat melarikan sebuah kereta jenis Mitsubishi Grandis selama 25 minit yang disamun di Taman Delima di sini semalam sebelum dua daripada mereka berjaya ditahan polis tidak jauh dari tempat kejadian.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, kejadian berlaku pukul 9 pagi ketika pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) itu, seorang wanita berusia 39 tahun menghantar dua anaknya berusia empat dan lima tahun ke sebuah tadika di taman perumahan di taman itu.
Beliau berkata, sewaktu mangsa menurunkan kedua-dua anaknya, dia tiba-tiba dihampiri sebuah kereta jenis Proton Saga yang dinaiki empat lelaki.
"Keempat-empat suspek yang bersenjatakan dua bilah parang meluru ke arah mangsa sebelum melarikan diri bersama kereta dan barang berharga yang terdapat di dalam kenderaan itu.
"Mangsa segera membuat laporan polis dan hasil tindakan pantas itu, sebuah kereta peronda polis berjaya mengesan kenderaan mangsa yang dinaiki dua suspek di Lebuh Raya Kempas," katanya pada sidang akhbar selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Ibu dakwa anak dihantar ke tokong didera



KUALA LUMPUR 21 Sept. - Seorang ibu kini menanggung kekesalan yang tidak berkesudahan apabila tindakan menghantar dua anak lelakinya tinggal di sebuah tokong di sini sejak empat tahun lalu rupa-rupanya membawa penderitaan kepada anak-anaknya itu.
Ei Yae Feng, 30, berkata, dia tidak menyangka anak-anaknya yang masing-masing berumur berusia 11 dan 8 tahun menjadi mangsa dera individu yang tidak berperikemanusiaan sepanjang tempoh itu.
Katanya, tujuannya menghantar anak-anaknya ke tokong itu adalah kerana kesibukannya bekerja selain dimaklumkan tokong itu menyediakan tempat jagaan serta pendidikan secara percuma.
"Saya tidak sangka semasa di sana anak saya telah didera dengan teruk termasuk dipukul dengan kayu serta diikat dengan rantai anjing selain dipaksa mengutip derma untuk tokong berkenaan," katanya sidang media anjuran Persatuan Penduduk Pandan Perdana di sini hari ini.
Turut hadir, wakil Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Pandan, Cindy Leong dan pengerusi persatuan penduduk itu, Lim Ah Chai.
Yae Feng menambah, dia mendapat tahu tentang penderaan itu selepas mendapati kaki anaknya, Choo Yee Xuan bengkak teruk pada bulan lalu akibat dipukul.
Selain itu, dakwaanya, dia turut memperoleh maklumat kekejaman tersebut apabila mendapat beberapa keping gambar penderaan di tokong itu yang dirakam pihak tertentu.
"Pihak berkuasa harus segera mengambil tindakan kerana dikhuatiri nasib yang menimpa anak-anaknya itu akan terjadi kepada kanak-kanak lain yang masih tinggal di situ," katanya.
Sementara itu, ketika Utusan Malaysia melakukan tinjauan di tokong tersebut, terdapat lima pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang membuat pemeriksaan.
Difahamkan, hasil siasatan JKM mendapati tokong berkenaan menjalankan aktiviti pusat jagaan tanpa lesen dan suasana tokong tersebut tidak sesuai untuk aktiviti tersebut.
Terdapat lebih 20 penghuni termasuk kanak-kanak berusia antara empat tahun hingga 14 tahun serta beberapa warga emas menetap di tokong terbabit.

11 maut, 14 hilang tragedi bot karam di Bali






PASUKAN keselamatan menggunakan bot mencari mangsa bot karam di perairan pantai Sanur di Bali, semalam. - AFP


DENPASAR, Bali 21 Sept. - Seramai 11 orang mati dalam tragedi bot karam di perairan Jungut, Nusa Penida di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian itu juga, seramai 11 orang berjaya diselamatkan oleh pasukan penyelamat sementara 14 orang lagi masih hilang.
Tragedi bot Sri Murah Rezeki yang karam itu turut membawa lima orang anak kapal.
Menurut jurucakap polis daerah Bali, Agus Doeta Supranggoni, bot berkenaan dilaporkan karam di perairan berkenaan pada pukul 2.40 pagi selepas mengangkut penumpang yang baru saja selesai menghadiri upacara Ngaben di Nusa Penida, Klungkung.
"Siasatan awal polis mendapati bot berkenaan tidak layak untuk mengangkut penumpang," kata Agus kepada wartawan.
Terdapat juga laporan yang menyebut bot berkenaan hanya mampu membawa penumpang seramai 30 orang.
"Kapasiti bot berkenaan hanya mampu menampung 30 penumpang namun Sri Murah Rezeki telah mengangkut 36 orang termasuk anak kapalnya. Ia belum ditambah lagi dengan peralatan muzik dan barangan lain yang menyebabkan bot berkenaan mudah karam," kata Gabenor Bali, Made Mangku Pastika.
Gabenor itu turut menjelaskan kepada wartawan, sebilangan besar daripada mangsa yang terlibat dalam tragedi itu pernah menjadi duta kesenian pada Pesta Kesenian Bali (PKB).
"Ada satu keluarga besar yang terdiri daripada empat bersaudara semuanya guru. Daripada empat saudara itu, baru seorang yang ditemui mati. Selebihnya masih dicari pasukan penyelamat," jelas beliau lagi.
Katanya, duta PKB itu menaiki bot berkenaan dengan membawa bersama peralatan muzik seperti gamelan dan angklung.
Usaha mencari mangsa yang hilang yang turut melibatkan nelayan tempatan masih belum memberikan hasil.
Pencarian dilakukan di sekitar wilayah perairan Nusa Penida, Nusa Lembongan, Kusamba dan sekitarnya hingga Pantai Sanur Bali. - Utusan

Lelaki meninggal dunia di hotel dihentak objek tumpul - Polis



SUNGAI PETANI 21 Sept. - Polis mengesahkan lelaki yang ditemui mati dengan tangan dan kakinya terikat dalam sebuah bilik hotel di Taman Sejati Indah di sini semalam, meninggal dunia akibat dihentak dengan objek tumpul di kepala.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Zakaria Ahmad berkata, laporan bedah siasat yang dijalankan ke atas Mohd. Nasir Ishak, 35, petang ini mendapati mangsa dipukul dengan objek keras di belakang kepalanya.
"Mangsa mati bukan disebabkan tembakan di kepala tetapi akibat kecederaan parah selepas dihentak oleh suspek.
"Polis juga menemui peluru yang dilepaskan ke arah dinding semasa melakukan pemeriksaan dalam bilik itu. Bagaimanapun, ia tidak mengenai mangsa," katanya ketika dihubungi pemberita di sini.
Akhbar hari ini melaporkan seorang lelaki ditemui mati dengan kecederaan di kepala dengan tangan serta kakinya diikat dengan tuala di sebuah bilik hotel di Taman Sejati Indah semalam.
Mayat Mohd. Nasir dari Kampung Padang Benggali, Teluk Air Tawar, Butterworth ditemui berlumuran darah di atas katil dalam sebuah bilik di tingkat tiga oleh kakitangan hotel kira-kira pukul 1.30 petang.
Sementara itu, seorang ahli keluarga mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad berkata, mangsa merupakan seorang kontraktor dan terlibat dalam projek memotong pokok kelapa sawit.
Katanya, Mohd. Nasir juga pernah berkhidmat sebagai pegawai khas kepada Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, Datuk Helmi Abdul Rashid semasa pemimpin itu menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam.
"Kali terakhir ahli keluarga bertemu dengannya adalah pada Ahad lalu. Awal pagi kelmarin, arwah memaklumkan kepada ibunya, Rohani Hassan, bahawa dia pergi menghantar coklat yang dibeli dari Langkawi untuk kawannya di Sungai Petani.
"Namun, kira-kira pukul 7 petang, dia tidak menjawab panggilan yang dibuat dan menyebabkan ahli keluarga berasa bimbang," katanya.
Berikutan itu, kata Ahmad, Rohani membuat laporan mengenai kehilangan mangsa di Balai Polis Kepala Batas malam kelmarin.

Terselamat dari kereta dihempap lori ayam




SEORANG pegawai polis memeriksa kenderaan yang remuk teruk dihempap lori ayam yang terbalik di Lebuh raya A64 dekat York, Britain, kelmarin. - AGENSI


LONDON 21 Sept. - Seorang ibu dan anak perempuan nyaris maut ketika sebuah lori yang membawa beribu-ribu ekor ayam terbalik ke atas kereta mereka, kelmarin.
Anak perempuannya yang memandu kereta model Peugeot 107 itu, berbaring atas ibunya di tempat duduk penumpang bagi melindungi diri apabila kereta mereka remuk teruk.
Mereka terpaksa berbaring mendatar dalam kereta tersebut bagi mengelakkan kecederaan dan menunggu pasukan penyelamat untuk mengeluarkan mereka.
Kedua-dua wanita itu kemudiannya diperiksa di hospital dan sungguh mengejutkan apabila mengetahui mereka hanya mempunyai luka dan lebam sahaja.
Pemandu lori juga terselamat dan tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan itu yang berlaku di Lebuh raya A64 berhampiran kawasan York.
Menurut polis trafik, Sarjan Andy Quigley berkata, ia merupakan antara kejadian ajaib yang pernah dilihat sepanjang 16 tahun perkhidmatannya.
"Mereka amat bernasib baik. Apabila kami menerima panggilan mengenai kejadian itu, kami menjangka akan berurusan dengan kemalangan maut,'' katanya. - Agensi

14 mangsa jenayah siber setiap saat

KUALA LUMPUR: Laporan jumlah insiden meliputi semua jenis jenayah siber yang dirujuk kepada CyberSecurity Malaysia menunjukkan peningkatan berlipat ganda dari tahun 2009 hingga 2010 iaitu 3,566 kes kepada 8,090 kes.
Manakala statistik terbaru Laporan Jenayah Siber Norton 2011 menunjukkan 14 orang menjadi mangsa jenayah siber bagi setiap saat di seluruh dunia.

Kenyataan ini jelas menunjukkan keselamatan siber semakin membimbangkan dan sesiapa saja boleh menjadi mangsa bagi pelbagai jenayah siber.

Jumlah sebenar insiden dilaporkan kepada Pusat Bantuan Cyber999 dari Januari hingga Ogos ini ialah 10,406 kes manakala lebih 5.15 juta kes yang dikesan Sistem Amaran Awal Siber (CEWS) meliputi penipuan, pencerobohan dan program berniat jahat.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Lt Kol (B) Prof Datuk Husin Jazri berkata, bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini, semua kategori membabitkan insiden keselamatan sekuriti mencatatkan peningkatan ketara, “Kes membabitkan penipuan Internet mendahului senarai diikuti kes membabitkan ‘spam’, pencerobohan maklumat dan lain-lain,” katanya ketika ditemui dalam majlis pelancaran Norton 2012, di sini.

Berdasarkan laporan CyberSecurity Malaysia, 3757 kes jenayah siber membabitkan penipuan Internet diterima terus meningkat dan daripada jumlah itu, kes ‘phishing’ adalah yang paling tinggi dengan 2,144 aduan diikuti penipuan maklumat atas talian sebanyak 774 kes, 301 kes membabitkan ‘Nigerian Scam’ dan selebihnya lain-lain penipuan.


Menurut Husin, CyberSecurity Malaysia telah membangunkan perisian ‘DontPhishMe’ yang bermatlamat menyediakan perlindungan kepada pengguna di negara ini dan perisian ini boleh dimuat turun secara percuma.

Tengok posmen teringat suami

BUTTERWORTH: “Walaupun enam tahun sudah berlalu, saya masih menanti kepulangan suami. Setiap kali ternampak posmen, hati saya tertanya-tanya kemungkinan ada surat untuk saya,” kata Bahiyah Mat Safar, 40.
Bahiyah berasal dari Jeniang, Sik, Kedah, dan menetap di Kampung Keda, Labu Besar, Kulim selepas berkahwin dengan Rahim Mat Safar, 45, warga Indonesia yang bekerja mengambil upah di ladang kelapa sawit.

Menurut Bahiyah, kali terakhir suaminya keluar rumah ialah pada 2005 dengan alasan untuk mencari pekerjaan baru berikutan pendapatan bekerja di ladang kelapa sawit tidak menentu.

“Dia hanya memberitahu mahu mencari pekerjaan baru ketika keluar rumah kerana memerlukan pendapatan lebih bagi menyara kami empat beranak.

“Namun, selepas itu tiada sebarang berita saya terima dan masih tertunggu-tunggu walaupun enam tahun sudah berlalu,” katanya di sini, baru-baru ini. Hasil perkahwinan Bahiyah dengan suaminya itu mereka dikurniakan dua anak lelaki, Mohd Iswan, 18, dan Mohd Zulkifli, 14.

Bahiyah berkata, dia sendiri tidak pasti sama ada suaminya itu masih hidup selain tidak tahu di mana hendak mencarinya berikutan tiada maklumat untuk dijadikan petunjuk.


“Saya hairan kenapa tiada berita daripadanya sedangkan tiada perselisihan faham antara kami berdua sebelum dia keluar.

“Walaupun enam tahun berlalu, saya masih menunggu berita daripadanya,” suami malah setiap kali ternampak posmen, hati saya tertanya-tanya adakah surat untuk saya namun akhirnya hampa," katanya yang mengambil upah mengutip sayur bagi menyara kehidupan.

Menurutnya, dia kini terpaksa menjadi ibu dan ayah kepada dua anaknya selain tidak mempunyai tempat bergantung.

Bahiyah berkata, sesiapa mempunyai maklumat mengenai suaminya itu boleh menghubungi adiknya, Ibrahim di 017-4537756.

Warga emas lemas tergelincir sungai

MELAKA: “Saya terdengar jeritan meminta tolong dan nampak lelaki itu terkapai-kapai dalam air lalu terus terjun untuk menyelamatkannya,” kata seorang saksi kejadian lemas di Sungai Melaka berhampiran Jambatan Kampung Morten, di sini, semalam.
Nizam Masni, 42, berkata usahanya untuk membantu lelaki itu bagaimanapun gagal selepas mangsa terus tenggelam.

Menurutnya, lelaki berkenaan tidak timbul sejurus selepas itu lalu dia menyelam ke dasar sungai untuk mengesan mangsa.

“Puas saya menyelam dan berusaha mencari mangsa, tetapi gagal dan terpaksa naik ke tebing selepas kaki saya cedera terkena cerucuk di dasar sungai.

“Ketika kejadian, ada beberapa orang di sekitar tempat kejadian, namun mereka tidak dapat menghulurkan bantuan dipercayai kerana panik,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.40 pagi, Soon Fee Lim, 67, dari Bukit Baru ditemui mati lemas selepas terjatuh ke dalam sungai berkenaan. Menurut Nizam, ketika kejadian, dia sedang melakukan kerja landskap berhampiran loji air kira-kira 50 meter lokasi mangsa tergelincir.


Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Razali Che Ari, berkata pihaknya menerima panggilan jam 11.13 pagi dan tiba di lokasi lima minit kemudian.

“Sebuah jentera bersama 10 anggota termasuk enam daripada unit skuba terus melakukan operasi mengesan lelaki itu.

“Mayat mangsa ditemui kira-kira dua meter dari lokasi dia dipercayai tergelincir selepas satu jam setengah operasi mencari dilakukan.

“Pihak kami mempunyai kesukaran untuk menyelam kerana dasar sungai dipenuhi cerucuk dan sampah,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehuddin Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

‘Nak mati senangkan?’

KOTA BHARU: “Orang nak mati ini, mudah matikan?” Begitulah ungkapan terakhir seorang warga emas, Wan Meriah Wan Sulaiman, 55, kepada suaminya, Abdul Munaf Abdul Ghani, 62, sebelum terbabit kemalangan maut di Jalan Wakaf Stan, dekat sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 malam itu, niat murni dua beradik warga emas yang berjalan kaki sambil berpimpin tangan untuk menunaikan solat Isyak di Masjid Balai Istana, dekat sini, bertukar pilu selepas seorang daripadanya maut dilanggar dua kenderaan.

Akibat kemalangan itu, mangsa yang dilanggar sebuah motosikal Yamaha 135LC tercampak beberapa meter sebelum kakinya patah digilis sebuah kereta, manakala kakaknya, Wan Mariam Wan Sulaiman, 68, turut cedera selepas tersungkur di jalan bertentangan.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan dihantar ke bilik mayat Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, sebelum laporan berhubung kemalangan itu dibuat kakaknya.

Penunggang motosikal Yamaha 135LC, Mas Faisal Mas Mohamad, 19, turut cedera dan dikejarkan ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan.

Wan Mariam berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama arwah adiknya melintas jalan untuk menunaikan solat Isyak berdekatan sebuah masjid kira-kira 100 meter dari rumah mereka.


“Ketika itu kami dua beradik mahu solat di Masjid Balai Istana. Dia (arwah) pimpin tangan saya sebelum kami berdua melintas jalan. “Tiba-tiba bahu kiri saya dirempuh sesuatu dengan kuat, menyebabkan kami berdua tercampak. Dalam keadaan tersungkur saya mendapatkan adik yang cedera parah,” katanya ketika ditemui di rumah arwah adiknya itu di Lorong Tok Kenali, semalam.

Menurut Wan Mariam, dalam keadaan sakit, dia gagahkan diri mendapatkan adiknya.

“Saya lihat mukanya berlumuran darah dan mengerang kesakitan. Saya mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah, meskipun keadaannya ketika itu nyawa-nyawa ikan sebelum dipangku suaminya yang turut mendapatkannya sejurus kemalangan.

“Saya sempat mengajarnya mengucap sebelum adik saya itu meninggal dunia,” katanya.

Wan Mariam berkata, sebelum kejadian, dia yang sedang menunaikan solat berdekatan kediamannya di Jalan Pondok Tok Kenali, dekat sini, didatangi arwah adik bongsunya itu yang mengajaknya menunaikan solat Isyak di masjid berkenaan.

“Mulanya berat hati saya untuk mengikutnya, tetapi apabila dipelawa adik untuk bertemu dan beramah mesra dengan jemaah di masjid itu, saya tidak menolaknya sebelum kami sama-sama jalan sambil berpimpin tangan,” katanya.

Sementara itu, Abdul Munaf berkata, dia yang sedang menunaikan solat Maghrib terkejut mendengar bunyi dentuman kuat berdekatan rumahnya, sebelum mengesyaki kemalangan itu membabitkan isterinya yang baru keluar rumah untuk ke masjid.

“Baru saja mengangkat tangan dan menyebut Allahuakbar, tiba -tiba saya dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat, sebelum seorang pemuda datang ke rumah memberitahu memaklumkan isteri terbabit kemalangan.

“Arwah isteri tidak memaklumkan hasratnya untuk ke masjid, berbanding sebelum ini, tetapi sempat bertanya soalan mengenai hal kematian apabila berkata ‘Orang nak mati ini, mudah matikan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan itu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Pelajar kena rasuk cuba terjun tingkat dua asrama

ALOR GAJAH: Gempar apabila seorang penuntut wanita sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini, yang dikatakan dirasuk cuba terjun dari tingkat dua kolej kediamannya, petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 6 petang, penuntut berusia 21 tahun itu memanjat tingkap dan duduk di balkoni dengan kedua-dua kakinya terjuntai ke bawah.

Perbuatan gadis dari sebuah negeri di utara tanah air itu, bagaimanapun disedari rakan sebiliknya yang cuba memujuknya turun.

Pujukan itu bagaimanapun gagal lalu mereka memanggil pengurusan kolej dan sekali lagi cuba memujuk penuntut itu supaya tidak terjun.

Usaha itu juga menemui kegagalan sebelum pasukan bomba dan penyelamat dipanggil bagi melakukan usaha menyelamat gadis yang dirasuk itu.

Menurut rakan sebilik mangsa yang enggan dikenali, dia terdengar suara seperti orang meracau di luar tingkap bilik lalu pergi memeriksanya.


“Saya terkejut selepas mendapati rakan sebilik berada di atas balkoni luar dan dia seolah-olah sudah bersedia untuk terjun. Bimbang perkara buruk berlaku, saya cuba memujuknya supaya turun, namun tidak diendahkan.

“Saya menghubungi kakitangan kolej memaklumkan perkara itu dan kami sekali lagi berusaha memujuknya, namun gagal,” katanya.

Menurutnya, selepas gagal memujuk penuntut itu, mereka menghubungi pasukan bomba dan penyelamat yang datang tidak lama kemudian.

Katanya, rakan sebiliknya yang menuntut di tahun satu jurusan insurans itu dipercayai mengalami gangguan makhluk halus sejak beberapa hari lalu.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Pegawai Bomba Kanan II Chee Hong Chuan berkata, pihaknya yang menerima maklumat mengenai kejadian itu bergegas ke lokasi untuk menyelamatkan mangsa.

“Ketika tiba, gadis itu masih berada di balkoni tingkat dua kolej kediamannya dengan kedua-dua kakinya terjuntai sambil berdiam diri.

“Tanpa membuang masa, kami menariknya masuk ke bilik penginapan,” katanya.

Menurutnya, gadis yang pengsan sejurus selepas itu diserahkan kepada pihak pengurusan kolej untuk tindakan selanjutnya.

Tak pulang sejak Isnin

SUNGAI PETANI: “Sebelum keluar rumah petang Isnin lalu, arwah (Mohd Nasir) ada memberitahu ibunya, Rohani Hassan, 50-an, mahu menghantar coklat yang dibeli di Pulau Langkawi kepada rakannya di Sungai Petani.
“Tetapi, ibunya pelik apabila gagal menghubunginya kira-kira jam 7 malam (Isnin) biarpun mencuba berulang kali,” kata seorang saudara lelaki kepada Mohd Nasir Isahak, 35, yang ditemui mati di dalam bilik di sebuah hotel di Sungai Petani, di sini, kelmarin.
Mayat Mohd Nasir yang juga seorang kontraktor kelapa sawit ditemui di atas katil dengan kaki dan tangannya diikat serta berlumuran darah akibat cedera di kepala oleh kakitangan hotel yang mahu mengemas bilik kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Arwah sebelum ini adalah pembantu khas kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bertam, Kepala Batas, Datuk Helmi Rashid, selama tiga penggal.


Menurut saudaranya yang enggan dikenali, ibu arwah cuba menghubunginya untuk memberitahu supaya mengambil anak mangsa, namun gagal menyebabkan wanita berkenaan berasa bimbang dengan keselamatannya.

Nahas maut motosikal 62%

PUTRAJAYA: Lebih 62 peratus kematian akibat kemalangan jalan raya di negara ini membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal berusia 15 hingga 21 tahun, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha.
Menurutnya, peratusan itu tinggi berikutan jumlah motosikal di negara ini lebih banyak berbanding kenderaan lain, malah menunjukkan penunggang dan pembonceng motosikal tergolong dalam kategori berisiko tinggi terbabit dalam kemalangan, terutama kemalangan maut. Katanya, lebih 45 peratus motosikal di atas jalan raya di negara ini setiap hari dan jumlah yang besar itu menyebabkan mereka lebih berisiko terbabit kemalangan jalan raya.

“Malah, saya difahamkan motosikal juga menjadi penyumbang kemalangan di beberapa negara lain termasuk di Perancis dengan 30 peratus kemalangan jalan raya, sedangkan jumlah motosikal di negara itu hanya dua peratus.

“Senario sama turut berlaku di Amerika Syarikat, dengan hanya tiga peratus motosikal berbanding kenderaan lain di negara itu, tetapi ia menyumbang 15 peratus kemalangan jalan raya,” katanya pada sidang media selepas majlis sambutan Aidilfitri di kementeriannya, di sini, semalam.

Cho Ha berkata, mengikut perangkaan diperoleh ketika Persidangan Menteri Pengangkutan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) baru-baru ini, kadar kematian akibat kemalangan jalan raya di seluruh dunia ialah 1.3 juta setiap tahun.

Katanya, Indonesia mencatat lebih 33,000 kematian, China dan India lebih 100,000 kematian manakala Amerika Syarikat 42,000 kematian setiap tahun.


Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) akan memperkenalkan kurikulum keselamatan jalan raya di sekolah menengah mulai tahun depan, sebagai susulan kepada kurikulum yang diperkenalkan di sekolah rendah sebelum ini.

Menurutnya, pendekatan itu dilakukan bagi mendidik pelajar dan generasi muda mengenai keselamatan di jalan raya, selaras usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara ini.

“Kurikulum ini akan dilaksanakan dengan kerjasama JKJR dan Kementerian Pelajaran. Ia akan diajar dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

“Ini adalah usaha kita mendidik rakyat di negara ini supaya lebih sedar mengenai keselamatan ketika berada di jalan raya,” katanya.

Ghaib lepas dapat RM1

KUALA KANGSAR: Kehilangan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun diselubungi tanda tanya apabila mangsa dilaporkan ‘ghaib’sejurus meminta wang RM1 dari ibunya.
Mangsa, Nur Shafiqa Ismail, yang juga murid tahun lima, Sekolah Kebangsaan (SK) Talang, dilaporkan gagal dikesan keluarganya sejak hilang lebih 10 hari lalu.

Dalam kejadian awal pagi 12 September lalu, mangsa yang tinggal bersama ibu saudaranya di Kampung Talang Masjid, di sini, dikatakan keluar dari rumah sehelai sepinggang.

Ibu saudara mangsa, Zalina Shak, 43, berkata, dia menyangka Nur Shafiqa ke sekolah seperti biasa pada hari kehilangannya berikutan dia sibuk di dapur.

Zalina berkata, dia mula tidak sedap hati apabila anak saudaranya tidak pulang hingga lewat petang.

"Saya segera ke sekolah dan bertanya kepada guru bertugas. Namun, saya terkejut apabila diberitahu bahawa Nur Shafiqa tidak hadir ke sekolah pada hari berkenaan.


“Saya kemudian menghubungi ibu kandung Nur Shafiqa yang tinggal di Kampung Chuar Kati, dekat sini, dan ibunya memaklumkan anaknya itu ada datang ke rumah meminta sedikit wang sebelum keluar dari rumahnya," katanya.

Dia diberitahu bahawa ibu mangsa sempat menyuruh anaknya pulang semula ke rumahnya, namun mangsa hilang entah ke mana sehingga kini.

Zalina berkata, kebiasaannya Nur Shafiqa akan menaiki basikal ke sekolah tetapi basikal itu ditemui ditinggalkan berhampiran Masjid Kampung Talang, di sini.

"Ketika hilang, Nur Shafiqa hanya memakai pakaian biasa berikutan baju sekolah serta peralatan lain masih berada di rumah," jelasnya bimbang.

Katanya, Nur Shafiqa tinggal bersamanya sejak Januari tahun ini apabila bapa pelajar itu meminta dia menjaga anaknya itu selepas berpisah dengan isterinya.

Katanya, tiada perselisihan faham antaranya dengan Nur Shafiqa, malah dia sentiasa menjaga kanak-kanak malang itu dengan baik termasuk memujuknya jika dia merajuk selain menunaikan permintaannya.

“Saya juga menegurnya seperti anak saya yang lain apabila dia melakukan kesalahan kecil termasuk menasihatinya supaya rajin belajar dan membaca buku.

“Perwatakannya agak matang berbanding usianya yang masih di sekolah rendah dan badannya agak besar berbanding rakannya yang lain,” katanya.

Berikutan itu, Zalina membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar pada 16 September lalu dan turut mendapat khidmat bantuan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) kawasan itu untuk membantu menjejaki Nur Shafiqa.

“Kami berharap orang ramai yang mempunyai maklumat hubungi saya di talian 012-4651869,” katanya.

2 lelaki dakwa dikasari

KUALA LUMPUR: Dua lelaki yang ditahan dalam satu tangkapan memfailkan saman terhadap tujuh anggota polis kerana menyebabkan kecederaan terhadap mereka dalam siasatan yang dijalankan tiga tahun lalu.
B Prabakar, 30, dan C Solomon Raj, 20, masing-masing plaintif pertama dan kedua memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi di sini, semalam. Mereka menamakan tujuh anggota polis, Sarjan Mohd Shafiee Abdul Halim, Sarjan Mohd Diah Sulaiman, Sarjan Zulkiplly Taib, Koperal Abdullah Musa, Koperal Zamrin Zaid, Lans Koperal Matila@Saudi Ismail dan Lans Koperal Nizam Abdul Wahab sebagai defendan pertama hingga ketujuh. Mereka turut menamakan Ketua Polis daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid sebagai defendan kelapan dan kerajaan Malaysia, defendan kesembilan. Mengikut pernyataan tuntutan, kedua-dua plaintif mendakwa mereka ditahan pada 23 Disember 2008 jam 9.30 malam, di sebuah tempat letak kereta di hadapan Kelab My Place, Sri Hartamas, dekat sini, dalam satu operasi tangkapan.

Mereka mendakwa ketika disoal siasat, mereka didera, dipukul, disimbah air panas dan dikasari secara fizikal oleh defendan pertama hingga ketujuh.

Pada 12 September lalu, Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan Mohd Shafiee dan Mohd Diah membela diri terhadap tuduhan berkenaan. Hakim Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.

Bagaimanapun, mahkamah melepas dan membebaskan lima lagi tertuduh yang menghadapi pertuduhan sama iaitu Zulkiplly, Abdullah, Zamrin, Matila@Saudi dan Nizam daripada Bahagian Siasatan Jenayah, IPD sama.

Wanita teresak-esak dijatuhi hukuman

KUALA LUMPUR: “Ketika itu, saya tamak dan terlalu pentingkan diri sendiri,” kata seorang wanita sambil menangis teresak-esak di Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Pengakuan itu dibuat Amanda Lai, 21, selepas mengaku salah atas tuduhan melupuskan barang kemas milik ibu angkatnya, minggu lalu yang dibacakan di hadapan Majistret Zaki Asyraf Zubir.

Tertuduh kemudian dijatuhi hukuman penjara enam bulan bermula dari tarikh dia ditangkap pada 15 September lalu.

Amanda yang berada di kandang tertuduh menangis teresak-esak sebaik hukuman itu dijatuhkan.

Mengikut tuduhan, Amanda didakwa melupuskan dengan menjual rantai tangan dan cincin milik Ong Pi Kan, 62, di kedai pajak gadai Lian Sin Tang San Bhd, No 116, Jalan Tun Sambanthan di sini pada jam 2.10 petang, 10 September lalu.

Dia yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Terdahulu, Amanda yang tidak diwakili peguam memohon diberikan peluang kedua kerana dia menyesal dengan perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Fithril Hakim Ab Jalil memohon hukuman setimpal dikenakan untuk memberi pengajaran kepada tertuduh supaya dia tidak mengulangi kesalahan sama.

Diperdaya bakal ‘ustaz’

TAMPIN: Seorang kaunselor kerugian lebih RM17,000 selepas dipercayai dipukau lelaki yang mendakwa dirinya dari sebuah sekolah agama pondok di Brunei, di sini, kelmarin.
Mangsa, Che Rozita Che Rahman, 35, berkata, ketika itu dia berada di sebuah kedai telefon di Tampin Square di sini, sebelum didatangi seorang lelaki.

Menurutnya, ketika itu dia sedang berurusan di kedai berkenaan untuk membaiki telefon bimbitnya yang rosak kira-kira jam 11 pagi.

“Seorang lelaki berusia 20-an memperkenalkan dirinya sebagai penuntut sekolah agama pondok dari Brunei yang sedang menjalani latihan amali di negeri ini.

“Lelaki itu bertanyakan jalan ke sebuah kedai buku dan meminta saya menerangkan bagaimana hendak ke sana," katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Rozita yang bekerja di sebuah pusat kaunseling berkata, dia memberitahu lelaki itu kemungkinan kedai buku yang dicari itu terletak di belakang sebuah stesen minyak.


“Bagaimanapun, lelaki itu meminta saya supaya bertanyakan kepada seorang lelaki lain yang berada berhampiran mengenai lokasi sebenar kedai itu.

“Saya terus bertanya dan lelaki itu memberitahu kedai dimaksudkan terletak di depan Pasar Tampin,” katanya.

Menurutnya, lelaki ‘Brunei’ itu turut meminta bantuannya memberikan sebiji batu permata berwarna coklat dan merah kepada lelaki yang menunjukkan arah kedai buku itu sebagai tanda terima kasih kerana membantu yang dipercayai rakan subahat suepek pertama.

Che Rozita berkata, lelaki yang mendakwa bakal ustaz itu memberitahu batu permata terbabit mempunyai 1001 macam kegunaan.

“Dia kata, kalau batu itu direndam dalam air kelapa muda, air kelapa itu akan bertukar menjadi hijau seperti warna kulitnya. Malah dia turut mengeluarkan sebilah mata pisau cukur kemudian meminta saya menggenggam batu berkenaan dan bertindak menghiris tangan kanan yang menggenggam batu itu, ajaibnya tangan saya tidak luka,” katanya.

Menurutnya, selepas itu, lelaki terbabit mengajaknya makan tengah hari di sebuah restoran makanan segera. Sambil berbual lelaki itu memintanya menanggalkan kesemua barang kemas dan dimasukkan ke dalam satu sampul surat.

“Dalam keadaan khayal, saya menurut apa saja arahan termasuklah menyerahkan kad bank. Selepas itu, saya tidak mengingati apa lagi dan pulang semula ke pejabat.

“Apabila sedar saya mendapati barang kemas kepunyaan saya iaitu satu rantai leher, masing-masing dua gelang tangan dan cincin serta kad bank sudah tiada,” katanya.

Malah katanya, dia percaya kehilangan barang kemas dan kad bank itu berpunca daripada dua lelaki termasuk orang awam itu yang berniat jahat dan bersubahat untuk memukau dirinya.

“Saya sempat melaporkan mengenai kehilangan kad ATM. Bagaimanapun, suspek mengeluarkan RM2,000 di sebuah mesin ATM di sebuah pusat beli-belah di Jalan Seremban.

“Saya terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin untuk membuat laporan dan memohon pihak polis membuat semakan kamera litar tertutup (CCTV) di bank berkenaan bagi mengenal pasti suspek,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang ketika menghubungi mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Bilal, bapa maut

DUNGUN: Hasrat seorang bilal membesarkan ruang tamu rumahnya tidak kesampaian apabila dia maut selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 23, Jalan Dungun-Bukit Besi, kelmarin.
Dalam kejadian jam 5 petang itu, Yusof Daleng, 40, yang bertugas sebagai bilal di Masjid Kampung Minda, Pasir Raja, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan selepas kereta Proton Saga dipandunya bertembung dengan sebuah Perodua Myvi.

Turut maut bapanya, Daleng Hassan, 66, duduk di tempat duduk belakang yang mengalami kecederaan parah di kepala dan badan manakala adiknya, Mohamad Zaid Daleng, 23, duduk di sebelah pemandu patah kaki kanan dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Selain itu, tiga beranak yang turut menaiki kereta terbabit, Normadiah Mahmud, 43, dan dua anaknya Mohd Sabri Abd Latif, 10, dan Mohd Ikrima, 12, mengalami kecederaan di kepala serta badan dan ketiga-tiga mereka dirawat di HSNZ.

Isteri Yusof, Hasnah Mat Kasim, 41, berkata arwah suaminya itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Minda, Pasir Raja, di sini, selepas menghadiri majlis Jamuan Sambutan Aidilfitri Dewan Undangan Negeri Sura yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bandar Dungun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

Elak masuk jerat skim kutu haram

TIMBUL kekeliruan di kalangan masyarakat mengenai aktiviti ‘main kutu’ sehingga diperdebatkan sesetengah pihak apabila Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 diperkenalkan bagi menghalang manipulasi golongan tidak bertanggungjawab terhadap orang ramai untuk meraih keuntungan ‘atas angin’.
Namun hakikatnya, akta itu hanya berkuat kuasa ke atas orang perseorangan atau syarikat yang menjadikan skim kutu sebagai satu perniagaan dan meraih keuntungan berdasarkan komisen atau dividen yang diperoleh hasil simpanan wang kutu yang dikutip daripada orang ramai.

Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 yang diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat, Julai lalu, tidak pernah menghalang aktiviti kutu yang dijalankan secara tradisi, berkonsep tabungan, tolong-menolong serta tidak bermotif keuntungan dalam kalangan anggota masyarakat di kampung atau bandar.

Pengarah Kanan Penguatkuasaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Datuk Muhammad Redzuan Abdullah berkata, aktiviti meraih perniagaan membabitkan kutu perlu dibendung, apalagi ia kini giat dijalankan menerusi Internet dan wang pos, kerana boleh mewujudkan fenomena penyelewengan, pecah amanah dan salah guna wang yang dikumpul.

Beliau berkata, aktiviti itu juga didapati mula mewujudkan dua impak negatif, iaitu tabiat enggan menyimpan wang di bank, sekali gus mampu meruntuhkan institusi kewangan negara, seterusnya memberi kesan buruk kepada pelabur kecil yang ingin membuat pinjaman bagi menjalankan perniagaan.

“Berikutan itu, bagi mengelak penyelewengan oleh pihak tidak bertanggungjawab, pindaan hukuman mengikut Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 terhadap mereka yang didapati bersalah ditingkatkan daripada RM5,000 kepada RM500,000 dan penjara tiga tahun ke 10 tahun, bagi memberi mesej kepada penganjur skim bahawa mereka akan menerima kesan dahsyat jika melakukan kesalahan itu.


“Nilai denda RM5,000 tidak memadai bagi syarikat yang menjalankan perniagaan skim kutu, apalagi ada antara mereka menjana keuntungan sehingga RM3.6 juta hanya dalam tempoh enam bulan,” katanya pada sidang media di pejabatnya, baru-baru ini.

Beliau berkata, hukuman lebih berat akan berkuat kuasa tidak lama lagi apabila pindaan pada Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 diluluskan dalam masa terdekat ini, seperti yang terkandung dalam Rang Undang-Undang (Larangan) Kumpulan Wang Kutu (Pindaan) 2011.

Katanya, pada 14 April lalu, SSM turut mendapat keizinan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mewartakan seksyen 3 akta berkenaan sebagai kesalahan mengikut Akta Anti Pengubahan Wang yang memberi kuasa kepada pegawai penyiasat SSM untuk menyita harta penganjur skim kutu sebaik dakwaan dibuat.

“Kita sudah mendapat senjata paling mujarab untuk menghukum, sekali gus mengekang perniagaan berasaskan skim kutu dengan cara membeku aset penganjur dan menyenaraihitamkan namanya daripada menjalankan mana-mana perniagaan,” katanya.

Menurutnya, pada 2009, hanya enam aduan yang diterima berkaitan perniagaan berasaskan skim kutu, namun jumlah itu bertambah pada tahun lalu dengan 32 kes.

Katanya, SSM turut menjalankan pemantauan di Internet bagi mengesan perniagaan yang didapati berkonsepkan keuntungan daripada kutu dan mereka yang didapati bersalah juga akan disenaraihitamkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). “SSM juga kini fokus pada mendidik orang ramai untuk menimbulkan kesedaran supaya tidak terpedaya dengan perniagaan kutu yang bakal merugikan mereka,” katanya.

Tiga ditahan menyamun bukan pegawai tinggi SPRM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan tiga pegawai mereka yang ditahan dipercayai menyamun pengurup wang warga asing RM900,000 pada 15 September lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bukan pegawai kanan tertinggi SPRM.
SPRM dalam kenyataannya berkata, pihaknya kini membantu polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu dan percaya kes itu dapat diselesaikan.

Katanya, sementara menunggu hasil siasatan polis, ketiga-tiga pegawai terbabit dikecualikan dan dilucut dari tugas aktiviti siasatan.

Kelmarin, sebuah akhbar melaporkan polis Selangor menahan tiga pegawai tertinggi SPRM kerana dipercayai terbabit melakukan samun ke atas seorang pengurup wang warga asing di KLIA 15 September lalu.

Dalam laporan itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, ketiga-tiga pegawai itu bertugas di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Kanak-kanak disyaki didera

KUALA LUMPUR: Seluruh tubuh kecilnya dipenuhi kesan lebam dan luka dipercayai dipukul dengan objek keras manakala kaki kirinya patah dikatakan akibat ditendang dan dipijak.
Itulah penderitaan terpaksa ditanggung kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang dipercayai didera bapanya di kediaman mereka di Jinjang, di sini, sejak sebulan lalu.
Rahsia mengenai perbuatan kejam itu terbongkar apabila lelaki terbabit membawa anaknya itu yang terlantar sakit sejak seminggu lalu bagi mendapatkan rawatan di Hospital Selayang, di sini, jam 8.30 malam, kelmarin.

Menurut sumber, biarpun bapa mangsa mendakwa anaknya itu sakit akibat terjatuh daripada sofa, pemeriksaan doktor kemudian mendapati mangsa didera sebelum satu laporan polis dibuat.


Menurut sumber, mangsa dibawa bapanya ke unit kecemasan hospital berkenaan dengan menaiki kereta dalam keadaan cemas dan mendakwa anaknya itu tidak dapat bangun sejak beberapa hari lalu.

Bekas kilang RM5j hangus


MARAK...anggota bomba memadamkan kebakaran bekas kilang di Kampung Padang Balang, semalam.
MARAK...anggota bomba memadamkan kebakaran bekas kilang di Kampung Padang Balang, semalam.
KUALA LUMPUR: “Ketika saya leka menyiapkan kerja di ruang tamu, tiba-tiba saya dikejutkan dengan bunyi bising seakan orang bergaduh di luar rumah.
“Sebaik meninjau, saya terkejut apabila mendapati beberapa lelaki berlari menyelamatkan diri kerana api marak memusnahkan bekas kilang getah di hadapan rumah saya,” kata Hamidi Mohd, 31, saksi kejadian kebakaran bekas kilang getah Lian Hin Rubber di Kampung Padang Balang, di sini, awal pagi semalam.
Beliau berkata, ini kebakaran pertama dan terbesar yang pernah disaksikannya sejak menyewa di kawasan itu lima tahun lalu dan rumahnya kira-kira 100 meter dari kilang terbabit.

Kilang getah 11 tingkat yang dianggarkan bernilai RM5 juta itu kini dijadikan gudang penyimpanan barangan pembinaan, makanan selain menjadi kilang perabot hangus dalam kejadian kira-kira 12.40 tengah malam.


Ketua Bomba Wilayah Persekutuan, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba, Khirudin Drahman, berkata bomba menerima panggilan kecemasan jam 12.41 tengah malam dan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gombak tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian.

Remaja tembak kekasih di kompleks beli-belah kerana cemburu

MANILA: Gara-gara cemburu dalam hubungan cinta sejenis, seorang remaja lelaki berusia 13 tahun menembak temannya - berusia 16 tahun - dalam sebuah kompleks beli-belah semalam, sebelum menembak kepalanya sendiri.
Kejadian itu menyebabkan kedua-dua remaja lelaki terbabit tidak sedarkan diri kerana otak masing-masing tidak lagi berfungsi.

Ketua Polis Mexico, Wilson Santos, berkata berdasarkan nota ditinggalkan remaja 13 tahun itu, pihak berkuasa yakin ia bermotifkan cemburu.

“Polis melihat kes ini berpunca daripada cinta tiga segi dan cemburu,” katanya.

Santos berkata, tembakan dilepaskan menggunakan pistol yang dipercayai diseludup masuk ke kompleks berkenan yang terletak tidak jauh di utara Manila.

Insiden itu sekali lagi mencetuskan kebimbangan terhadap amalan pemilikan senjata api di Filipina.


Kata Santos, nota berkenaan agak panjang tetapi isinya menjurus kepada cemburu.

“Penyerang marah kerana pasangannya menjalin hubungan dengan orang ketiga dan menegaskan tiada sesiapa boleh merampas kekasihnya itu,” katanya.

Sementara itu, jurucakap hospital berkata, disebabkan keadaan remaja terbabit tidak dapat diselamatkan, doktor mula mengambil organ kedua-dua mereka untuk didermakan kepada sesiapa yang memerlukan.

Kejadian semalam turut membimbangkan Presiden Filipina, Benigno Aquino.

Ia adalah kejadian serangan kedua membabitkan pistol di kompleks beli-belah dalam tempoh enam hari. - AFP

Bar karaoke dibom, 5 maut

MANILA: Lima orang terbunuh dan tujuh cedera apabila sebutir bom dilontar ke dalam sebuah bar karaoke yang sesak, semalam.
Dua penunggang motosikal dilapor bertanggungjawab dalam serangan di La Paz, sebuah bandar pertanian kecil yang terletak kira-kira dua jam perjalanan ke utara Manila, kata polis.

Motif serangan tidak diketahui dan belum ada tangkapan dibuat, kata jurucakap polis La Paz, Robert Calacal.

“Serangan seumpama ini jarang berlaku di bandar ini,” kata Calacal.

Menurutnya, letupan itu berlaku ketika waktu paling sibuk di bar berkenaan, menyebabkan lima pengunjung maut, kesemuanya warga Filipina.

Seorang jurucakap polis kebangsaan berkata di Manila, tujuh pelanggan cedera.


Bar berkenaan sering dikunjungi penduduk miskin tempatan, termasuk petani, pekerja binaan dan kerani.

Karaoke adalah minat utama rakyat Filipina dan pergaduhan adalah lumrah.

Pernah pengunjung bersenjata menembak rakan sendiri kerana menyanyi tidak sedap atau enggan berkongsi mikrofon. - AFP

14 pemuzik tradisional Bali mati lemas

BALI: Polis Indonesia semalam berkata, sebuah bot kayu membawa puluhan pemain muzik tradisional Bali karam dalam ombak besar menyebabkan 11 orang mati lemas.
Pasukan menyelamat berusaha mencari 14 penumpang lain yang masih hilang, termasuk tekong bot terbabit.

Jurucakap polis, Kolonel Agus Doeta Soepranggono berkata, anggota kumpulan muzik tradisional itu dalam pelayaran dari Bali ke pulau berhampiran, Nusa Penida untuk membuat persembahan pada satu majlis pengebumian apabila kapal mereka karam setengah jam selepas berlepas.

Kemalangan di laut adalah perkara biasa di Indonesia, yang mempunyai lebih 17,000 pulau, menjadikannya negara gugusan pulau terbesar dunia.

Sebahagian kemalangan itu berpunca daripada kesesakan dan tahap keselamatan yang buruk. - AP

Sindiket bapa ayam tumpas

MAKKAH: Suruhanjaya Siasatan dan Pendakwaan menyoal siasat 11 warga asing kerana disyaki menjalani perniagaan pelacuran di sebuah rumah untuk jemaah haji dan umrah di daerah Al-Khansa, semalam.
Geng yang mengandungi 11 warga lelaki Bangladesh dan lima wanita Indonesia diserbu selepas kegiatan mereka diperhatikan oleh polis.
Menurut polis, pengawal keselamatan bangunan itu turut menjadi kaki geng itu dengan mengenakan bayaran sebanyak SR200 (RM166.70) kepada pelanggan.

Semua suspek kemudian dihantar ke balai polis Al-Maabdah.

Cubaan 3 wanita Afrika cuba seludup dadah gagal

Dubai: Tiga wanita ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai kerana cuba menyeludup dadah.
Anggota polis Jabatan Anti Narkotik yang bertugas di lapangan terbang menahan tiga wanita Afrika itu kerana perbuatan mereka yang mencurigakan.
Dua suspek tidak mengaku cuba menyeludup dadah walaupun pemeriksaan dibuat mengesahkan sebaliknya. Wanita yang ketiga mengaku telah menelan kapsul berisi dadah.

Sebanyak 2.044 kilogram kokain ditemui dalam 184 kapsul yang dibawa oleh tiga wanita itu.

Korek, ramas mata

IPOH: Satu jari tangan kanannya digigit hingga putus, manakala kedua-dua biji matanya dikorek sebelum digenggam sekuat hati hingga hancur.
Itulah nasib menimpa seorang wanita, Kong Ooi Koon, 33, yang dibelasah hingga mati selepas terbabit dalam satu pergaduhan dengan seorang pesakit lain di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK) di Tanjung Rambutan, dekat sini, Ahad lalu.
Ibu saudara mangsa, Kong Swee Ying, 40, berkata, mereka mungkin tidak mengetahui tahap kecederaan yang dialami anak ketiga daripada lima beradik itu tanpa campur tangan pihak ketiga.

“Kami mungkin tidak berpeluang melihat kecederaan sebenar dialaminya ketika mahu membuat pengecaman di bilik mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, pagi Ahad lalu.


“Selepas tempoh masa melihat mayat dilanjutkan, baru kami melihat dengan jelas kesan kecederaan dialami pada bahagian kepala, muka, badan dan tangan kanan,” katanya.

Siswi dirasuk nak terjun asrama

RAWAT...mangsa   ketika menerima rawatan dan perubatan Islam 
di kolej berkenaan.
RAWAT...mangsa ketika menerima rawatan
 dan perubatan Islam di kolej berkenaan.

ALOR GAJAH: Gempar apabila seorang penuntut wanita sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini, yang dikatakan dirasuk cuba terjun dari tingkat dua kolej kediamannya, petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 6 petang, penuntut berusia 21 tahun itu memanjat tingkap dan duduk di balkoni dengan kedua-dua kakinya terjuntai ke bawah.

Perbuatan gadis dari sebuah negeri di utara tanah air itu, bagaimanapun disedari rakan sebiliknya yang cuba memujuknya turun.

Pujukan itu bagaimanapun gagal lalu mereka memanggil pengurusan kolej dan sekali lagi cuba memujuk penuntut itu supaya tidak terjun.

Usaha itu juga menemui kegagalan sebelum pasukan bomba dan penyelamat dipanggil bagi melakukan usaha menyelamat gadis yang dirasuk itu.

Menurut rakan sebilik mangsa yang enggan dikenali, dia terdengar suara seperti orang meracau di luar tingkap bilik lalu pergi memeriksanya.


“Saya terkejut selepas mendapati rakan sebilik berada di atas balkoni luar dan dia seolah-olah sudah bersedia untuk terjun. Bimbang perkara buruk berlaku, saya cuba memujuknya supaya turun, namun tidak diendahkan.

“Saya menghubungi kakitangan kolej memaklumkan perkara itu dan kami sekali lagi berusaha memujuknya, namun gagal,” katanya.

Menurutnya, selepas gagal memujuk penuntut itu, mereka menghubungi pasukan bomba dan penyelamat yang datang tidak lama kemudian.

Katanya, rakan sebiliknya yang menuntut di tahun satu jurusan insurans itu dipercayai mengalami gangguan makhluk halus sejak beberapa hari lalu.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Pegawai Bomba Kanan II Chee Hong Chuan berkata, pihaknya yang menerima maklumat mengenai kejadian itu bergegas ke lokasi untuk menyelamatkan mangsa.

“Ketika tiba, gadis itu masih berada di balkoni tingkat dua kolej kediamannya dengan kedua-dua kakinya terjuntai sambil berdiam diri.

“Tanpa membuang masa, kami menariknya masuk ke bilik penginapan,” katanya.

Menurutnya, gadis yang pengsan sejurus selepas itu diserahkan kepada pihak pengurusan kolej untuk tindakan selanjutnya.

'Mama' rekrut keldai dadah


Oleh Halina Mohd Noor, Nurul Farina Nazlan dan Aizuddin Sapian
bhnews@bharian.com.my
2011/09/22

Wanita, anak lelaki tawar peluang melancong ke luar negara sebelum perangkap warga tempatan bawa narkotik

KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang dibantu anak lelakinya, dipercayai menjadi ejen sindiket dadah antarabangsa merekrut rakyat tempatan, terutama remaja dengan menawarkan kunjungan ke luar negara sebelum memerangkap dan memperdaya mereka untuk dijadikan keldai dadah.
Wanita berusia 40-an yang dikenali sebagai ‘Mama’ itu menggunakan anaknya yang dikenali sebagai Amus, berumur 20-an untuk memujuk mangsa, terutama remaja yang menganggur ke luar negara seperti China dan Brazil dengan upah lumayan sehingga RM9,000.

Sindiket jurunikah ‘touch n go’ dikesan



Oleh Jalal Ali Abdul Rahim
bhnews@bharian.com.my
2011/09/22

IPOH: Satu sindiket juru nikah palsu dikesan bergiat aktif di beberapa negeri termasuk Perak dengan menawarkan khidmat menikahkan pasangan Islam terutama yang berdepan masalah atau kesukaran berkahwin dengan mengenakan bayaran antara RM2,000 hingga RM5,000 setiap pasangan. 

Sindiket itu turut diberi jolokan sindiket nikah ‘touch n go’ kerana kelicikan dalangnya, lelaki dikenali panggilan ‘Tok Ayah’ berusia lewat 40-an atau awal 50-an yang menyediakan khidmat itu secara bergerak dari satu tempat ke tempat lain.
Modus operandi sindiket itu ialah Tok Ayah membawa konco-konconya bertemu pasangan yang mahu mendapatkan khidmat mereka di tempat ditetapkan, termasuk di tepi jalan sebelum menikahkan ‘pelanggannya’.
Berdasarkan risikan, Tok Ayah dikatakan berpangkalan di Kedah tetapi bergerak antara negeri itu sehingga Wilayah Persekutuan bagi menawarkan khidmatnya sekali gus menarik minat pasangan tertentu yang memilihnya sebagai jalan pintas untuk bernikah. 

Ia disebabkan pasangan terbabit tidak mahu bersusah payah mematuhi prosedur ditetapkan pihak berkuasa agama negeri atau apabila berdepan masalah untuk berkahwin sehingga sebelum ini pasangan seperti itu sering pergi bernikah di negara jiran. 

Lelaki itu juga didakwa membekalkan sijil nikah palsu dan di Perak, kegiatan itu terbongkar selepas Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) mengesan dan merampas beberapa sijil nikah palsu yang ditiru berdasarkan format sijil nikah baru versi jawi digunakan di Perak berkuat kuasa di negeri terbabit tahun lalu. 

Pengarah JAIP, Mohd Yusop Husin, berkata siasatan mendapati Perak menjadi tempat persinggahan Tok Ayah melakukan kegiatan itu antara Kedah dan Wilayah Persekutuan dan di negeri ini, suspek dikatakan menggunakan seorang ejen bagi memudahkan urusan mendapatkan pasangan untuk dinikahkan. 
Bagaimanapun, katanya, lelaki itu sukar diberkas kerana begitu licik menjalankan kegiatannya termasuk secara bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain menemui ‘pelanggannya’. 

“Antara kes terbaru yang kita kesan dikatakan berlaku di Margosa (Bandar Seri Botani, dekat Simpang Pulai). 

“Berdasarkan maklumat, lelaki ini menikahkan sendiri pasangan selain turut membawa bersamanya saksi sebelum memberikan sijil nikah palsu tertera nama pendaftar bertauliah. Bayaran dikenakan bagi proses itu antara RM2,000 hingga RM5,000 yang perlu dijelaskan sebaik proses selesai. 

“Sijil asli mempunyai lapan ciri keselamatan namun pemeriksaan sijil nikah palsu yang kita peroleh mendapati ada perbezaan dari segi saiz, warna dan kualiti kertasnya. Dari segi warna umpamanya, warna kuning pada logo Perak lebih pudar berbanding yang asli,” katanya kepada Berita Harian. 

Maut tertimbus dalam kolam emas





2011/09/22

ANGGOTA penyelamat mengeluarkan mayat pendulang emas yang tertimbus di ladang milik Pertubuhan Anak Yatim Mersing, malam tadi.
ANGGOTA penyelamat mengeluarkan mayat pendulang emas yang tertimbus di ladang milik Pertubuhan Anak Yatim Mersing, malam tadi.
MERSING: Laungan ‘Allahu Akbar’ di bawah timbusan tanah membawa kepada penemuan mayat seorang pemuda yang mati tertimbus ketika mendulang emas untuk menambah pendapatan sebagai persediaan meraikan kelahiran anak kedua tiga bulan lagi, dalam kejadian di sebuah ladang sawit di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian di ladang Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Mersing (PKAYM), dekat Kilometer 13 Jalan Endau-Mersing itu, Mohd Shafadrul Afandi Shukor, 24, dari Kampung Hubung, terbunuh apabila bahagian dasar lubang lebih lima meter dalam yang dimasuki runtuh.
Sebelum kejadian kira-kira jam 6 petang kelmarin, Afandi memberitahu bapa mentuanya, Mohd Khamsani Kassim, 43, dia keluar rumah untuk membeli barangan keperluan harian.
Bagaimanapun, kegagalannya pulang ke rumah sehingga jam 9 malam menyebabkan Mohd Khamsani Kassim, 43, dia keluar rumah untuk membeli barang keperluan harian.

Bagaimanapun, kegagalannya pulang ke rumah sehingga jam 9 malam menyebabkan Mohd Khamsani bersama seorang ipar mangsa, keluar mencarinya di sekitar kampung serta kawasan ladang berkenaan.

“Hati saya berat menelah Afandi pergi mendulang kerana sebelum ini dia pernah ke situ, walaupun saya melarangnya melakukan kerja bahaya itu. Sebaik tiba, saya terlihat motosikalnya, beg serta peralatan mendulang berhampiran lubang yang digali. Ketika itu, di bawah timbusan tanah, saya terdengar laungan ‘Allahu Akbar’ sebelum dengusan nafasnya berakhir.

“Apabila meninjau lubang yang membentuk terowong itu, saya yakin dia tertimbus dan berusaha menggali, namun tidak terdaya. Kami kemudian mengambil keputusan menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan bantuan,” katanya. 
Beliau berkata, ladang itu menjadi tumpuan pendulang emas, termasuk menantunya yang menjalankan kerja itu secara sambilan kerana percaya tanah di situ mengandungi emas.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Mersing, Pegawai Bomba Kanan II Ramli Harun, berkata beliau bersama 13 anggota dari Mersing dan Endau bergegas ke lokasi.

“Kami sukar mengesan mangsa yang terperangkap jauh dalam tanah. Sebuah jengkaut terpaksa dibawa masuk untuk menggali kawasan itu bagi mengeluarkan mayat yang tertimbus. Operasi bermula jam 12 tengah malam yang turut dibantu orang awam akhirnya berjaya mengeluarkan mayat pada jam 2.40 pagi,” katanya.

Ibu mentua mangsa, Ayati Othman, 43, menyifatkan kejadian itu amat menyedihkan ketika isterinya, Nurul Saufeqah, 20, sarat mengandung enam bulan, selepas memperoleh anak sulung, Mohd Adam Haikal, yang kini berusia 18 bulan.

“Dia tinggal bersama kami sejak mendirikan rumah tangga. Afandi sering bercerita mengenai hajatnya mendulang emas kerana ada rakan memberitahunya mereka boleh dapat hasil lumayan. Suami saya sering menasihatkan dia tidak meneruskan usaha itu, namun selepas mendulang buat pertama kali sebelum ini, dia seolah-olah seronok, walaupun risikonya tinggi,” katanya.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Semaloi, petang semalam selepas dibedah siasat di Hospital Mersing. 

Hajat tercapai sebelum maut




ORANG RAMAI melihat keadaan kereta yang terlibat dalam kemalangan hingga mengakibatkan Yusof dan Daleng maut di Dungun kelmarin.


DUNGUN – Kegembiraan seorang tukang kebun sekolah yang dapat melihat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara dekat pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri DUN Sura dekat sini tidak berpanjangan apabila dia dan bapanya maut dalam kemalangan kelmarin.
Kejadian pukul 5 petang di Kilometer 23, Jalan Dungun-Bukit Besi, dekat Kampung Padang Pulut di sini itu mengakibatkan Yusof Daleng, 40, dan bapanya, Daleng Hassan, 66, maut akibat kecederaan di badan dan kepala. Empat lagi penumpang cedera parah.
Mereka yang parah ialah adik Yusof, Mohd. Zaid, 23; jiran, Normadiah Mahmud, 43, dan dua anak Normadiah, Mohd. Ikrima Abd. Latif, 12, dan Mohd. Sabri, 10.
Difahamkan, kejadian berlaku apabila kereta jenis Proton yang dinaiki kesemua mangsa bertembung dengan kereta Perodua Myvi dinaiki Mohd. Nor Ehsan, 20, dan Badrul Hisham Ibrahim, 32.
Myvi yang dipandu Mohd. Nor dikatakan telah memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta mangsa. Mohd. Nor dan Badrul Hisham turut parah.
Rombongan itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Minda, Jerangau selepas pergi ke majlis yang dihadiri Muhyiddin.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Dahlan Mohd. Noor memberitahu, dua mayat termasuk mereka yang parah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.

Tiga penternak fail saman RM1j



TIGA penternak, dari kiri, Tamilselvan, Krishnan dan Nganersegaran menunjukkan gambar ternakan mereka yang mati selepas memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Seremban semalam.


SEREMBAN - Tiga penternak lembu memfailkan saman RM1 juta terhadap Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kerana mendakwa ternakan mereka terjejas selepas dibekalkan enam ekor lembu yang dijangkiti penyakit kuku dan mulut.
Tiga penternak tersebut, K. Tamilselvan, C.P. Krishnan dan M. Nganersegaran, dari Jempol dekat sini memfailkan writ saman tersebut melalui dua peguam mereka, T. Kumar dan Nasir Abdul Aziz di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Mengikut writ saman, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dinamakan sebagai defendan pertama manakala Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (kedua) dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Sembilan, Datuk Dr. Noor Soeraya Norsham (ketiga).
Turut dinamakan dalam writ saman itu ialah Penolong Ketua Pengarah JPV, Dr. Salmiyah Tahir sebagai defendan keempat dan dua kakitangan JPV Negeri Sembilan iaitu Mohamad Abdullah dan Latip Yasim (kelima dan keenam).
Kumar berkata, anak guamnya mengambil tindakan itu kerana tertekan dengan tindakan defendan yang gagal memberikan rawatan awal terhadap enam ekor lembu yang diterima daripada Pusat Perkhidmatan Industri Tenusu Gemencheh menerusi program Ternakan Bekalan Trust 2010 pada 16 Disember 2010 lalu.
Katanya, selepas enam hari menerima lembu itu, anak guamnya yang masing-masing menerima dua ekor lembu mendapati ternakan itu menunjukkan simpton dijangkiti penyakit mulut berbuih, berair dan tidak boleh makan.
Dia kemudian memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Perkhidmatan Haiwan Jempol.