Search This Blog

Wednesday, September 21, 2011

Nelayan maut dipanah petir ketika bersiap memancing



NUSAJAYA 20 Sept. - Kegembiraan tiga sahabat menjala udang dan memancing ikan di Puteri Harbour di sini bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut akibat dipanah petir.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa, Mat Desa Hashim, 52, yang bekerja sebagai nelayan mati di tempat kejadian manakala dua lagi rakannya, Hamidun Mohamed, 31, dan Tarmizi Jailani, 50, terselamat.
Hamidun ketika menceritakan kejadian itu berkata, mereka bertiga keluar ke laut kira-kira pukul 10 pagi dengan menaiki bot fiber milik mangsa.
"Selepas sejam kami menjala udang, hujan turut dengan lebat menyebabkan kami terpaksa berteduh di rumah rakit berhampiran tempat kami menjala.
"Sebaik sahaja hujan reda, kami ke laut semula untuk memancing ikan. Sedang kami sibuk menyiapkan kelengkapan memancing, saya terdengar dentuman kuat beserta cahaya petir," katanya ketika ditemui di kediaman Mat Desa di sini hari ini.
Hamidun yang bekerja sebagai operator Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) berkata, akibat dentuman itu, mangsa tercampak ke laut manakala Tarmizi terjatuh atas bot.
Dia kemudian segera terjun untuk mencapai kaki mangsa dan menariknya semula ke dalam bot sebelum menghubungi isteri mangsa untuk memaklumkan kejadian itu.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Razak Md. Said ketika dihubungi mengesahkan kejadian ini dan mengklasifikasikan kematian mangsa sebagai mati mengejut.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika pergi memancing terutama dalam keadaan cuaca buruk dan disertai hujan lebat serta petir.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kulaijaya untuk dibedah siasat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Perintis.
Mangsa meninggalkan seorang isteri, Fauziah Yahya, 49, dan dua anak lelaki, Mohd Amirul, 15, dan Mohd Ashraf, 10 tahun.

Sekat gejala hidu ubat kebas





KUALA LUMPUR 20 Sept. – Kegiatan menghidu bahan kimia untuk tujuan khayal dikesan tidak lagi terhad kepada gam bahkan ada kalangan remaja menyalahgunakan ubat kebas dikenali sebagai ‘ethylchloride’ yang biasa digunakan oleh para atlet.
Difahamkan, terdapat pelajar sekolah termasuk perempuan di sekitar Lembah Klang kini beralih menggunakan semburan ‘ethylchloride’ ini untuk khayal dan berseronok.
Kegiatan ini membimbangkan kerana pengambilan bahan kimia jenis semburan yang biasa digunakan sebagai ubat bius itu boleh menjejaskan kesihatan sesiapa yang menghidunya.
Menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguat Kuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan, Mazlan Ismail, kes menghidu ‘ethylchloride’ untuk khayal bukan perkara baru sebaliknya pernah dilaporkan berlaku di kalangan remaja Singapura sejak 2007.
Bagaimanapun, kata beliau, di negara ini, kegiatan menghidu ‘ethylchloride’ tidak pernah dikesan kerana mungkin menghidu gam lebih popular.
“Jika benar dakwaan ada remaja Malaysia kini menjadi penagih ‘ethylchloride’, ia amat membimbangkan dan wajar dibendung segera.
“Ini kerana ‘ethylchloride’ adalah ubat kebas bagi menghilangkan kesakitan yang hanya digunakan secara luaran dan amat berbahaya jika dihidu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Mazlan, ubat semburan ini jika dihidu boleh mengkhayalkan tetapi ia akan meninggalkan kesan sampingan dan boleh memudaratkan kesihatan setelah meresap ke dalam paru-paru serta darah.
Beliau berkata, di negara ini, penjualan ‘ethylchloride’ hanya dibenarkan di farmasi tetapi orang ramai yang ingin membelinya tidak memerlukan surat preskripsi daripada doktor.
Katanya, mungkin disebabkan kelonggaran ini, maka ia disalahgunakan oleh remaja untuk mengkhayalkan diri bagi mendapatkan keseronokan.
“Penyalahgunaan ‘ethylchloride’ sama seperti kegiatan menyalahgunakan dadah jenis ketamin yang digunakan untuk pembedahan di India.
“Walaupun belum ada lagi mangsa dilaporkan mati akibat menghidu ‘ethylchloride’ setakat ini tetapi tindakan segera patut diambil untuk membendung gejala ini daripada berleluasa,” ujarnya.

Dadah syabu disorok dalam pelembap bibir



SEPANG 20 Sept. - Pelbagai taktik digunakan oleh sindiket dadah untuk membawa masuk barang larangan itu ke negara ini, namun kecekapan pihak berkuasa membolehkan kegiatan ini dibanteras.
Terbaharu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggagalkan cubaan menyeludup 1.5 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM375,000 yang disembunyikan dalam penutup pelembap bibir, Khamis lalu.
Pengarahnya, Datuk M. Govinden berkata, tangkapan itu berhasil selepas membuat pemantauan terhadap para penumpang yang tiba dari Doha, Qatar di KLIA.
Katanya, hasil pemeriksaan, pihaknya menahan seorang pelajar lelaki kolej swasta warga Afrika selepas curiga dengan barangan keperluan wanita yang dibawanya termasuk pelembap bibir.
"Imbasan bagasi dan beg sandang yang dibawanya tidak menunjukkan imej mencurigakan.
"Bagaimanapun, kita curiga dengan barangan wanita yang dibawanya, lalu pemeriksaan rapi dibuat. Hasilnya, kita menemui bungkusan mengandungi serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu yang dibungkus dalam kertas karbon sebelum disorok dalam pelembap bibir," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Katanya, suspek yang berusia awal 30-an itu memasukkan pelembap bibir jenama Romantic Bird yang telah diisi dengan syabu ke dalam 12 kotak dan setiap kotak dianggarkan mengandungi 24 batang pelembap bibir.
Sementara itu, dalam satu lagi kejayaan, beliau memaklumkan, pihaknya merampas sebuah kereta elektrik jenis Tazzari buatan Itali di Zon Perdagangan Bebas KLIA kerana menuntut pengecualian cukai dengan menggunakan surat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), tengah hari semalam.
Katanya, kereta itu diikrarkan sebagai Electric Car TK 8703.90 310 yang menarik duti import 30 peratus, 10 peratus duti eksais dan 10 peratus cukai jualan dengan menggunakan surat kelulusan disyaki palsu bagi mengelakkan cukai berjumlah RM52,056.20 dan lesen import.

Pokok 100 tahun hempap tujuh kereta



BUKIT MERTAJAM 20 Sept. - Sebatang pokok yang berusia lebih 100 tahun tumbang dan menghempap tujuh buah kereta di tempat letak kereta di Stesen Kereta Api Bukit Mertajam di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, sebuah motosikal dan gerai menjual burger di turut ditimpa pokok besar berkenaan.
Salah seorang pemilik kereta tersebut, Mohd. Shahril Eizamie Anuar, 32, yang bertugas di stesen itu meletakkan kenderaannya di bawah pokok kira-kira pukul 1 petang kerana tempat letak kereta untuk kakitangan telah penuh.
"Semasa sedang bekerja, saya nampak pokok itu tumbang lalu menghempap kereta saya dan enam kereta lain yang diletakkan di kawasan berkenaan.
"Pokok itu menghempap gerai burger terlebih dahulu sebelum dahannya menimpa kereta saya sehingga mengakibatkan cermin belakang pecah dan bumbungnya kemik," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang peniaga, S. Jayadanam, 46, yang menyaksikan kejadian itu berkata, dia bersyukur kerana tiada pemilik kereta berada di situ ketika kejadian.
Dia yang berniaga hampir 30 tahun di situ mendakwa, pokok berkenaan bergoyang ditiup angin yang agak kuat selepas hujan lebat sebelum tumbang dan menghempap kereta.
"Sebelum kejadian, saya nampak ada seorang lelaki baharu saja meletakkan keretanya di situ, tetapi mujurlah dia terselamat dalam kejadian itu," katanya.

Kereta mewah, parabola seludup RM830,000 dirampas



KOTA KINABALU 20 Sept. - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri ini merampas lima kereta mewah dan 48 set parabola bernilai RM830,000 yang dipercayai diseludup masuk ke negara ini tanpa permit sah.
Kejayaan itu hasil serbuan yang dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Naluyan, Tenom dekat sini pada pukul 11 pagi, Jumaat lalu.
Timbalan Pengarah JKDM negeri, Hamzah Sundang berkata, pihaknya membuat serbuan itu berdasarkan risikan dan maklumat yang diterima berhubung kegiatan penyeludupan di rumah berkenaan.
"Dalam serbuan itu, pihak kami menemui lima unit kereta mewah iaitu tiga buah Toyota Crown Royal Saloon serta masing-masing sebuah Toyota Crown Athlete dan Toyota Crown Royal Touring bersama 48 set parabola yang kesemuanya bernilai RM830,000 termasuk cukai," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, kesemua kereta mewah yang dirampas dipercayai diseludup dari negara jiran dan nombor pendaftarannya telah diubah suai bagi meyakinkan pembeli selain mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.
Dalam serbuan itu, kami menahan seorang suspek mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967, katanya.
Hamzah dalam pada itu turut menasihatkan orang ramai yang ingin membeli kereta mewah dengan harga murah agar membuat semakan dan pemeriksaan kenderaan terlebih dahulu di Jabatan Pengangkutan Jalan atau Puspakom Sabah.
Langkah ini, katanya, perlu bagi mengelak terbeli kenderaan seludup kerana nombor pendaftarannya diubah suai seakan-akan baru.
Beliau turut meminta kerjasama daripada orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat mengenai aktiviti penyeludupan kepada JKDM dengan menghubungi mana-mana pejabat berdekatan atau menghubungi talian bebas tol 1-800-88-8855.

Wanita, pemandu teksi maut rempuh lori




Liew Chee Keong tidak dapat menahan kesedihan apabila melihat mayat Liong How Yin terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 235 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Pedas, Rembau, Negeri Sembilan, semalam.


REMBAU 20 Sept. - Hasrat seorang wanita untuk pergi bercuti di Nepal tidak kesampaian apabila dia maut selepas teksi dinaikinya merempuh sebuah lori muatan bekas tong arak yang baru terbalik dan merintang di tengah-tengah lebuh raya dekat sini awal pagi ini.
Dalam kejadian pukul 5.25 pagi itu, mangsa, Liong How Yin, 39, dan pemandu teksi itu, Azhar Abdul Karim, 42, meninggal dunia di tempat kejadian selepas teksi limosin jenis Naza Citra dinaiki mereka gagal dikawal lalu merempuh lori kargo itu.
Ketika kejadian, teksi dinaiki mangsa dalam perjalanan dari arah Melaka menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur .
Sebaik sahaja tiba di Kilometer 235, Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan susur keluar Plaza Tol Pedas-Linggi, teksi itu gagal mengelak dan merempuh sebuah lori yang baru terbabas dan terbalik menyebabkan ia merintang di tengah lebuh raya.
Menurut jurucakap polis, Azhar meninggal dunia setelah tersepit di tempat duduknya yang remuk teruk, manakala How Yin yang duduk belakang turut maut akibat cedera parah di kepala.
"Mangsa berasal dari Bukit Beruang, Melaka manakala pemandu teksi itu berasal dari Alor Gajah, Melaka.
"Bagaimanapun, pemandu dan kelindan lori kargo itu gagal dikesan selepas kemalangan tersebut," katanya ketika ditemui hari ini.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mizan Md. Dom yang mengesahkan kejadian itu dan pihaknya masih dalam siasatan pihaknya.
Sementara itu, suami How Yin, Liew Chee Keong yang tiba di lokasi kemalangan hari ini mendakwa, dia gagal mengesan semua dokumen penting termasuk pasport dan wang tunai isterinya.

Lelaki mati ditembak dalam bilik hotel, tiga suspek diburu polis




ANGGOTA polis mengangkat mayat Mohd. Nasir Ishak yang ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala di sebuah hotel di Sungai Petani, Kedah, semalam.


SUNGAI PETANI 20 Sept. - Seorang lelaki ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala manakala tangan serta kakinya diikat dengan tuala di sebuah bilik hotel di Taman Sejati Indah di sini hari ini.
Mayat Mohd. Nasir Ishak, 35, dari Kampung Tengah Abi, Perlis ditemui berlumuran darah di atas katil dalam sebuah bilik di tingkat tiga oleh kakitangan hotel kira-kira pukul 1.30 petang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Zakaria Ahmad berkata, mangsa yang memakai seluar panjang dan tidak berbaju dipercayai mati beberapa jam sebelum mayatnya ditemui.
"Mangsa mati kerana mengalami pendarahan yang teruk selepas terkena tembakan di kepala. Polis bagaimanapun belum menemui sebarang senjata yang digunakan untuk membunuh mangsa," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.
Menurutnya, pihak hotel menghubungi polis sebaik sahaja menemui mayat mangsa.
Beliau berkata, sebelum itu kakitangan hotel membuat panggilan beberapa kali ke bilik mangsa namun tiada jawapan.
Setelah mengesyaki sesuatu, katanya, mereka menggunakan kunci utama untuk memasuki bilik dan menjumpai mayat mangsa kemudian.
Mohd. Zakaria itu memberitahu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati dua lelaki dan seorang wanita dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan itu.
Selain itu, katanya, polis yang memeriksa mayat itu mendapati tiada barangan mangsa hilang.
Beliau memberitahu, Mohd. Nasir dikatakan menginap di hotel tersebut sejak petang semalam.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di talian 04-4212222 bagi membantu siasatan.

Tujuh lelaki ditahan seludup diesel bersubsidi



KUALA LUMPUR 20 Sept. - Tujuh lelaki termasuk tiga pemandu lori sebuah syarikat minyak tempatan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kerana terlibat dalam kegiatan penyeludupan 70,000 liter minyak diesel bersubsidi untuk dijual kepada industri tempatan dan asing.
Penahanan mereka yang berusia antara 20 hingga 40 tahun itu turut melibatkan dua pemandu syarikat minyak swasta, seorang pemilik tangki minyak haram dan seorang pekerjanya.
Kesemua suspek ditahan berasingan di sekitar Sandakan, Sabah dalam operasi khas Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira pukul 9 pagi ini.
Menurut sumber, tiga buah tangki syarikat minyak tempatan, dua buah tangki syarikat minyak swasta serta sebuah tangki minyak haram disita dalam operasi tersebut.
"Sebanyak 70,000 liter minyak diesel bersubsidi yang cuba dipindahkan dianggarkan bernilai RM130,000.
"Ketika diserbu, berlaku aktiviti pemindahan minyak dari sebuah lori minyak tempatan ke sebuah lori individu manakala sebuah lagi lori syarikat minyak yang sama kepada sebuah tangki minyak haram," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut sumber itu, SPRM menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sama ada kesemua individu terbabit ada kaitan dengan sindiket penyeludupan minyak bersubsidi ke negara jiran.
Difahamkan, kegiatan penyeludupan kumpulan itu dihidu sejak awal tahun ini, sebelum satu operasi dilancarkan bagi menumpaskan kegiatan mereka.

Empat 'Geng Dol' mati ditembak polis




Mohd. Shukri Dahlan menunjukkan pistol dan parang dalam kejadian samun yang melibatkan warga asing di IPD Ipoh, Perak, semalam.


IPOH 20 Sept. - Polis percaya dapat menyelesaikan sejumlah 18 kes samun di beberapa buah daerah di negeri ini termasuk di sini, Batu Gajah, Sungai Siput, Manjung dan Perak Tengah dengan tumpasnya empat penjenayah warga asing yang ditembak mati malam tadi.
Dalam kejadian pukul 9.30 malam itu, empat lelaki warga asing yang dikenali sebagai 'Geng Dol' itu ditembak mati setelah cuba menyerang anggota polis sebaik sahaja kenderaan yang mereka naiki terperangkap di jalan mati di Kampung Changkat Larang, Batu Gajah.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, sepasukan polis terserempak dengan sebuah kereta jenis Proton Waja berwarna kelabu dinaiki empat lelaki berusia antara 30 hingga 40 tahun dalam keadaan mencurigakan.
"Semasa polis hendak membuat pemeriksaan ke atas kereta tersebut di tepi jejantas jalan Kampung Changkat Larang, pemandu kereta itu terus memecut.
"Sebaik sahaja tersekat ketika dikejar, kereta tersebut kemudian cuba mengundur dengan laju dan melanggar kereta pasukan polis di bahagian hadapan," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Mohd. Shukri berkata, seorang suspek kemudian melepaskan satu das tembakan ke arah kereta polis sementara tiga lagi keluar dari kenderaan dengan bersenjatakan parang panjang untuk menyerang anggotanya.
Tambah beliau, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh.
Beliau berkata, polis terpaksa melepaskan tembakan balas ke atas suspek bagi mempertahankan diri menyebabkan keempat-empat mereka mati di tempat kejadian.
"Hasil pemeriksaan, polis mendapati kereta itu adalah kereta curi.
"Selain itu, polis menemui dua unit komputer riba, satu telefon bimbit, pelbagai jenis barang kemas, tiga utas jam tangan, sepucuk pistol buatan sendiri, tiga bilah parang serta wang tunai bernilai RM1,870 di dalam kenderaan dinaiki mereka," katanya.
Beliau berkata, salah seorang daripada mangsa samun oleh kumpulan itu tampil membuat pengecaman barang curi tersebut pada pukul 5.30 pagi tadi untuk mengesahkan sebahagian daripada barang itu miliknya.

Kahwin punca wanita maut ditikam pengkid?





SUNGAI PETANI 20 Sept. - Suriati Mat Saad, wanita yang maut dipercayai selepas ditikam kekasihnya iaitu seorang pengkid semalam dipercayai merancang untuk melangsungkan perkahwinannya dalam tempoh terdekat.
Seorang saudara terdekat mangsa yang enggan dikenali memberitahu, Suriati, 29, juga dikatakan cuba memutuskan hubungan dengan pengkid itu setelah diminta oleh ahli keluarganya baru-baru ini.
"Ahli keluarga memang mengetahui dia agak rapat dengan suspek. Namun, Suriati pernah memberitahu bahawa rakannya itu tidak berpuas hati apabila mendapat tahu pihak keluarga merancang untuk mencari jodoh untuknya," katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 5.30 petang semalam, Suriati maut dipercayai selepas ditikam kekasihnya iaitu seorang pengkid di rumah sewa mereka di Taman Semarak di sini.
Ketika kejadian, mangsa berasal dari Kampung Rendang Pasir, Yan dekat sini berada di rumah itu bersama kekasihnya yang berusia 25 tahun.
Kedua-dua mereka dikatakan bertengkar dan keadaan menjadi agresif apabila suspek mengeluarkan pisau memotong buah lalu menikam mangsa berkali-kali.
Selepas pergelutan itu, suspek dikatakan bertindak menikam dirinya sebelum cuba melarikan diri namun rebah di hadapan rumah jirannya.
Saudara terdekat Suriati itu berkata, beberapa ahli keluarga mangsa juga pernah bertemu dengan suspek sebelum ini tetapi tidak mengesyaki apa-apa.
"Dia (suspek) nampak baik hati. Tak sangka pula kejadian seperti ini boleh berlaku ke atas Suriati," katanya.
Jenazah Suriati dituntut ahli keluarganya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rendang Pasir, petang ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, polis belum merekodkan keterangan daripada suspek memandangkan dia kini masih dirawat di HSAH.
Suspek masih dirawat dan keadaannya kini dilaporkan stabil, katanya.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ibu tunggal didakwa subahat biar anak dirogol




Tertuduh dan teman wanitanya (belakang) diiringi anggota polis ke Mahkamah Sesyen, Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 20 Sept. - Seorang ibu tunggal yang tergamak membiarkan anak gadisnya dirogol di depan mata oleh teman lelakinya sendiri menerima padah apabila dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan bersubahat melakukan kesalahan itu.
Sementara teman lelakinya, berusia 43, pula didakwa atas dua tuduhan merogol gadis sunti itu pada 2009 dan tahun lalu.
Kedua-duanya mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Latifah Mohd. Tahar.
Lelaki yang bekerja sebagai petani itu dituduh merogol mangsa yang berusia 12 tahun 11 bulan di sebuah rumah di Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada pukul 12 tengah hari, pertengahan Disember 2009.
Dia juga didakwa mengulangi perbuatan tersebut terhadap mangsa yang ketika itu berusia 13 tahun di hadapan ibu gadis itu di rumah yang sama pada 30 Januari 2010.
Kedua-dua pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 376(2)(c) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan.
Sementara itu, ibu mangsa pula didakwa bersubahat atas kedua-dua pertuduhan dengan membiarkan mangsa dirogol oleh tertuduh.
Dia yang bekerja sebagai penyelia perkhidmatan teksi di sebuah hotel lima bintang itu didakwa mengikut Seksyen 109 yang dibaca bersama Seksyen 376(2)(c) Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur A'minahtul Mardiah Md. Nor memohon agar kedua-dua tertuduh tidak dibebaskan dengan sebarang ikat jamin atas alasan mereka mungkin akan menganggu saksi serta perjalanan perbicaraan kes itu kelak.
Katanya, sebagai seorang ibu kepada empat anak, tertuduh yang berusia 30 tahun sepatutnya bertindak sebagai pelindung tetapi dia sebaliknya membiarkan kekasihnya sendiri merogol anak sulungnya di depan mata.
Beliau turut memohon agar mangsa dijaga oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana tertuduh mempunyai akses untuk menganggu gadis itu jika dia terus dijaga oleh neneknya.
Latifah membenarkan permohonan pendakwaan dengan tidak menawarkan sebarang jaminan kepada kedua-dua tertuduh.
Beliau bagaimanapun memerintahkan mangsa terus dijaga oleh neneknya dengan pengawasan oleh JKM.
Kes itu akan disebut semula pada 21 Oktober ini.

Lima suspek pecah kereta dicekup




HARUN Idris (tiga dari kiri) melihat beberapa jenis barangan yang dirampas dari satu kumpulan pecah kereta yang ditumpaskan polis di Tangkak, Johor, kelmarin.


LEDANG 20 Sept. - Polis berjaya menyelesaikan enam kes pecah kereta di sekitar bandar Tangkak dengan tertangkapnya lima suspek di sekitar daerah ini pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Harun Idris berkata, kesemua suspek yang berusia antara 28 hingga 41 tahun dipercayai melakukan jenayah tersebut sejak awal tahun ini.
"Kejayaan polis ini hasil siasatan yang dijalankan terhadap kes pecah kereta yang berlaku kira-kira pukul 10 pagi di Jalan Muar-Tangkak pada Khamis lalu.
"Dalam tempoh lima jam selepas menerima laporan kes, kita berjaya memberkas lima suspek secara berasingan di sekitar Tangkak," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Harun memberitahu, kesemua suspek turut memiliki rekod jenayah lampau dan pemeriksaan air kencing mendapati kesemua mereka positif mengambil dadah jenis heroin.
"Polis turut menemui barang curi bernilai kira-kira RM2,000 iaitu empat kotak cakera padat, masing-masing sebuah pemain cakera padat dan mesin gerudi serta beberapa alat tulis," katanya.
Semua suspek kini ditahan reman sehingga esok dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, katanya.

Polis buru empat suspek samun pemilik restoran



KUALA LUMPUR 20 Sept. - Polis memburu empat lelaki yang dipercayai terlibat dengan jenayah samun kenderaan dalam dua kejadian berasingan di Rawang bulan lalu dan Semenyih awal pagi ini.
Dalam kes terbaru, empat suspek itu dikatakan melarikan sebuah kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux selepas menyamun pemilik restoran makanan Cina di Semenyih kira-kira pukul 1.50 pagi ini.
Mangsa ketika kejadian sedang bersiap-siap untuk menutup restorannya sebelum didatangi tiga suspek bersenjatakan parang manakala seorang lagi menunggu di dalam sebuah kereta Honda Civic berwarna hitam.
Difahamkan, mangsa yang berseorangan ketika kejadian tidak mengalami kecederaan. Bagaimanapun, wang tunai RM1,500 serta kenderaan pacuan empat roda miliknya dilarikan suspek.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini mengesahkan kejadian tersebut.
"Siasatan awal polis mendapati, kenderaan yang dinaiki keempat-empat suspek berusia lingkungan 20-an dipercayai kereta yang curi dalam satu kejadian di Rawang pada 30 Ogos lalu.
"Tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ketika kejadian, bagaimanapun pihak polis sedang mengumpul semua maklumat yang ada bagi membantu siasatan," katanya.
Katanya, polis menjalankan siasatan tersebut mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.

Maut ketika melintas lebuh raya



KUALA LUMPUR 20 Sept. - Seorang lelaki maut selepas dirempuh dua buah kenderaan termasuk sebuah motosikal ketika cuba melintas jalan Kilometer 10, Lebuh Raya Persekutuan menghala ke Klang dekat sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam, mangsa yang belum dikenal pasti identitinya meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah.
Jurucakap polis memberitahu, penunggang motosikal terbabit turut parah dan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan lanjut.
"Polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian ini dan sebuah kenderaan yang dipercayai turut merempuh mangsa belum tampil membuat laporan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dera bayi: Wanita Filipina ditahan



KUALA LUMPUR 20 Sept. - Akibat mempercayai rakan senegara, seorang jurujual warga Filipina menghantar anak lelakinya yang berusia lapan bulan untuk dijaga oleh sepasang suami isteri.
Wanita berusia lingkungan 30-an itu akan menghantar anak lelakinya awal pagi dan mengambil semula pada waktu malam selepas pulang bekerja.
Namun kelmarin, ketika mengambil anak lelakinya dari rumah pengasuh terbabit di Pandan Jaya, Ampang, wanita itu terkejut apabila mendapati terdapat kesan lebam di muka dan badan bayinya.
Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, bimbang dengan kesan lebam itu, mangsa membawa anak lelakinya ke sebuah klinik swasta sebelum diarahkan untuk menerima rawatan lanjut di Hospital Ampang.
Beliau berkata, bayi malang itu mengalami kesan lebam di pipi kiri serta di paha kiri dan kanan.
"Sebaik sahaja menghantar anaknya di Hospital Ampang, mangsa membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Amiruddin, tidak sampai 24 jam laporan polis itu dibuat, polis menahan seorang wanita berusia 43 tahun yang merupakan pengasuh bayi terbabit.
Katanya, suspek ditahan di rumahnya di Pandan Jaya awal pagi semalam. Hasil pemeriksaan, wanita itu mempunyai dokumen perjalanan palsu.
Beliau berkata, suami suspek kini sedang dikesan pihak polis kerana dipercayai melarikan diri ketika serbuan dilakukan.
"Suspek kini ditahan reman selama 14 hari bermula hari ini hingga 3 Oktober depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1) c, Akta Kanak-Kanak 2011 dan Seksyen 6 (1) c, Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Mekanik bebas tuduhan bunuh



IPOH 20 Sept. - Seorang mekanik terselamat daripada hukuman mati di tali gantung apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini, membebaskannya daripada tuduhan membunuh seorang warga emas, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Zainal Adzam Abd. Ghani membebaskan S. Murugan, 32, di akhir kes pendakwaan selepas mendapati pendakwa raya gagal membuktikan kes prima facie ke atas pertuduhan tersebut.
Murugan bersama rakannya J. Rawichandar, 36, didakwa membunuh Ong She Swoi, 65, di sebuah kedai runcit di Lot 4013, Jalan Baru Selekoh, Sungai Tiang Rungkup, Teluk Intan di sini antara pukul 8 pagi dan 11 pagi, 23 Disember 2009.
Rawichandar bagaimanapun telah meninggal dunia pada 12 Disember tahun lalu ketika berada dalam tahanan.

Rayuan ibu jaga dua anak ditolak




Linda Isah Vesintin memeluk salah seorang anaknya di luar Mahkamah Rayuan Syariah di Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 20 Sept. - Suasana hiba menyelubungi Mahkamah Rayuan Syariah di sini hari ini apabila seorang wanita warga Itali yang tersedu-sedu menahan tangisan setelah rayuan untuk mendapatkan hak penjagaan dua anak lelakinya ditolak.
Sehubungan itu, keputusan Mahkamah Tinggi Syariah pada 18 Julai tahun lalu dikekalkan iaitu menyerahkan dua kanak-kanak terbabit di bawah penjagaan bapanya, Nik Muhammad Zuhri Nik Muhammad Yusoff, 40, seorang polis berpangkat Inspektor yang bertugas di Kedah.
Bagaimanapun, perayu kes tersebut, Linda Isah Vesintin, 36, yang hampir tiga tahun tidak dapat bermesra dengan kanak-kanak itu dilihat bercucuran air mata ketika berpeluang bertemu mereka di dalam mahkamah sambil memeluk erat dan mencium anak-anaknya selama beberapa minit sebelum dibawa pergi.
Panel rayuan itu dipengerusikan oleh Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad mengakui wujud sedikit kesilapan ketika Mahkamah Tinggi membuat keputusan.
''Selepas mendengar keterangan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati berlaku sedikit kesilapan berhubung keputusan hak penjagaan tersebut. Sepatutnya ia memberi peluang terlebih dahulu kepada kanak-kanak terbabit memilih sendiri untuk tinggal dengan siapa tanpa tekanan atau pengaruh mana-mana pihak,'' kata Daud.
Mahkamah turut bertanya sekali lagi kepada Nik Muhammad Irham, 10, dan Nik Muhammad Danish, 8, sama ada memilih bapa atau ibu mereka. Kedua-duanya memilih untuk kekal di bawah penjagaan bapanya.
Sebelum itu, peguam yang mewakili Linda, Ismail Mohd. berhujah, pihaknya mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi yang meminta anak-anak membuat pilihan sedangkan selama dua tahun sembilan bulan, mereka berjauhan daripada ibu.
''Perayu (Linda) dan suaminya berkahwin pada tahun 2000 di Labuan dan mereka kemudian tinggal di Sabah. Pada November 2008, anak-anak telah dibawa oleh suami ke Kelantan.
''Sejak itu, perayu tidak dapat bersama-sama anak-anaknya. Mahkamah pernah sebelum ini memberinya hak menemui anak-anak di balai polis tertentu tetapi haknya dinafikan pihak suami sehinggalah mahkamah memberikan haknya menemui anak-anak dua jam sebulan di mahkamah," katanya.
Ismail turut menjelaskan Linda yang merupakan penyelia gudang di sebuah syarikat carigali minyak dilahirkan di Brunei namun bapanya merupakan warga Itali dan ibunya rakyat Malaysia serta dibesarkan di Labuan.
Terdahulunya Nik Muhammad Zuhri memberitahu bahawa dia tidak membenarkan anak-anak dijaga oleh bekas isterinya kerana bimbang akan dibawa lari.
Disebabkan tidak mendapat persetujuan responden, mahkamah meluangkan masa bersama-sama kanak-kanak terbabit.
''Setelah bertemu dengan anak- anak ini dan duduk bersama-sama mereka, kami diberitahu bahawa mereka sayang kedua-dua ayah dan ibunya namun mereka yang akan membuat keputusan untuk tinggal dengan siapa,'' katanya.
Walaupun memilih untuk tinggal bersama bapanya, mahkamah membatalkan perintah Mahkamah Tinggi yang hanya membenarkan Linda bertemu dua jam sebulan dengan anaknya dengan arahan mempunyai hak melawat pada bila-bila masa.
''Hak ibu untuk menemui anak itu, bapa tidak boleh halang, jika ia halang, maka dianggap berlaku penghinaan kepada mahkamah dan mahkamah boleh mengambil tindakan undang-undang,'' katanya.
Linda dan Nik Muhd. Zuhri yang berkahwin pada 2000 disahkan bercerai pada 19 Ogos 2009 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Labuan.
Penghakiman itu turut disertai oleh Penasihat Perundangan Syariah, Jabatan Peguam Negara, Tan Sri Syeikh Ghazali Abd. Rahman dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Anggota polis dibelasah 4 lelaki



KUALA LUMPUR 20 Sept. - Seorang anggota polis berpangkat sarjan cedera di muka dan badan selepas dipukul sekumpulan lelaki berdekatan sebuah pusat hiburan di Bandar Puteri 5, Puchong dekat sini awal pagi ini.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 1.15 pagi ketika mangsa bersama rakannya berada berhampiran pusat hiburan tersebut.
Menurut sumber, ketika sedang duduk minum, mangsa yang merupakan anggota Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya dikatakan dihampiri empat lelaki.
Katanya, berlaku pergaduhan mulut antara mangsa dengan kumpulan terbabit sebelum suspek mengambil sebatang besi dan memukul anggota polis terbabit.
Tambah sumber, sebuah beg sandang yang dibawa bersama mangsa berisi pistol dan beberapa butir peluru dirampas dan dilarikan suspek.
"Mangsa mengalami kecederaan teruk di muka dan badan akibat dipukul dengan batang besi oleh suspek," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Difahamkan, pengurus pusat hiburan terbabit yang cuba meleraikan pergaduhan itu turut mengalami cedera ringan.
Katanya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan lanjut dan kini dilaporkan stabil.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian ini.
Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana menyamun berkumpulan menggunakan senjata.

Nik Aziz minta semua pihak jangan takut hukum hudud



KOTA BHARU 20 Sept. - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) meminta semua pihak termasuk bukan Islam supaya tidak takut dengan hukum hudud kerana ia bukannya dilaksanakan oleh orang politik.
Beliau berkata, persepsi buruk terhadap hudud timbul disebabkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat yang melihat ia hanya melibatkan hukuman ke atas pesalah sedangkan ia membawa maksud yang lebih luas.
Katanya, penjelasan melalui seminar-seminar perlu diadakan terutama membabitkan golongan bukan Islam supaya mereka dapat melihat hudud dalam perspektif yang lebih meluas.
"Saya juga ingin tegaskan bahawa hukum hudud ini jika dilaksanakan bukannya dipelopori oleh orang politik tetapi hakim yang akan menjatuhkan hukuman.
"Itupun akan menjalani perbicaraan yang adil terlebih dahulu. Jadi tidak perlu untuk berasa gerun dan takut dengan hukum hudud kerana bimbang kononnya akan dikuasai oleh orang politik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Hududullah di Balai Islam Lundang di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Pas berhasrat untuk terus melaksanakan hudud di negeri ini biarpun ditentang oleh rakan-rakannya dalam pembangkang.
Nik Abdul Aziz turut menyifatkan golongan yang menolak, menghina dan mengenepikan hudud merupakan mereka yang jahil serta tidak mengetahui keindahan syariat Islam itu sendiri.
"Sekalipun mungkin mereka beragama Islam, Islam yang dianuti hanya di ruang yang terbatas tanpa didaulatkan sebagai undang-undang yang memerintah.
"Hakikatnya, menolak undang-undang syariah samalah ertinya dengan menafikan kebijaksanaan Allah SWT selaku pentadbir alam ini.
"Justeru, saya mengharapkan tabiat menolak hudud dapat diperbetulkan agar jangan menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat," katanya.

Bekas Ahli Parlimen Dungun maut dalam kemalangan




Gambar kanan, seorang mangsa terbaring dan seorang lagi meninggal dunia selepas dua kenderaan bertembung di Kilometer 26, Jalan Kuala Terengganu- Kuantan dekat Kampung Alur Tuman, Marang, Terengganu, semalam. - BERNAMA


MARANG 20 Sept. - Penasihat Agama kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Awang Jabar terbunuh selepas terlibat dalam nahas jalan raya di Kilometer 26, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Alur Tuman di sini, hari ini.
Allahyarham yang berusia 66 tahun merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi selain pernah menjadi Ahli Parlimen Dungun dan Setiausaha Parlimen di Kementerian Belia dan Sukan.
Turut terkorban dalam kemalangan itu ialah seorang wanita warganegara Yemen, Nesmah Nabil Abdul Karem Al-Saiban, 25, yang menaiki sebuah lagi kenderaan jenis Perodua Alza.
Allahyarham Awang yang patah tulang tengkuk dan Nesmah Nabil yang cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 7.10 pagi itu, enam lagi cedera termasuk lima rakan senegara Nesmah Nabil.
Mereka dikenali sebagai Mohamad Mazan Jamal, Mohamad Hassan, Mohamad, Najda dan Fairus (semuanya warga Yemen berusia lingkungan 20-an) dan pemandu Allahyarham Awang, Abdul Razak Mat Amin, 67.
Difahamkan, kesemua mangsa warganegara Yemen itu yang merupakan penuntut dalam perjalanan ke Kuala Terengganu untuk bercuti di Pulau Redang.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Supritendan Alias Hashim berkata, nahas berlaku sewaktu kereta jenis Mercedes-Benz yang dinaiki Allahyarham Awang menghala ke Dungun manakala kereta Perodua Alza dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu.
"Allahyarham Awang bersama pemandunya dalam perjalanan untuk menghadiri program Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dungun," katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, setiba di tempat kejadian, kenderaan terbabit dikatakan bertembung di kawasan berselekoh menyebabkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Dalam pada itu, jenazah mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk bedah siasat.
Allahyarham Awang meninggalkan seorang balu, Datin Mariam Abdullah serta tujuh orang anak terdiri daripada tiga lelaki dan empat perempuan.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim di sini petang ini.

Sangkar nafsu tiga minggu

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun bagaikan menyambut Aidilfitri tahun ini di dalam neraka apabila dikurung, diberi dadah dan dirogol bergilir-gilir oleh lima lelaki sejak hari raya kedua sebelum berjaya meloloskan diri, malam kelmarin.
Mangsa dikurung dalam sebuah rumah di Bandar Mahkota Cheras, di sini, sejak 31 Ogos lalu selepas termakan pujukan seorang lelaki baru dikenalinya berusia awal 20-an untuk ke rumah terbabit yang mengadakan majlis rumah terbuka sempena hari raya.
Sumber polis berkata, sepanjang tiga minggu dikurung lima lelaki berusia 20-an itu, mangsa dipaksa mengambil dadah sebelum dirogol.

Katanya, penderitaan mangsa berakhir kira-kira jam 8 malam kelmarin apabila berjaya melarikan diri dari rumah ‘neraka’ itu sebelum membuat laporan di Balai Polis Seri Kembangan.


“Kes terbabit kemudian dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk tindakan lanjut,” kata sumber itu.

Pendakwah maut dipanah petir

NUSAJAYA: “Ini hari kedua abang berpuasa enam, tidak sangka hajatnya menghabiskan ibadat berkenaan tidak kesampaian selepas meninggal dunia akibat dipanah petir,” kata Azizah Yahya, 44, di sini, semalam.
Azizah ditemui di kediaman abang iparnya, Mat Desa Hassim, 52, di Taman Nusa Perintis, petang semalam, yang meninggal dunia selepas dipanah petir ketika memancing ikan berhampiran perairan Puteri Harbour.

Menurut Azizah, abang iparnya sepatutnya pulang jam 5 petang semalam untuk persediaan berbuka puasa.

“Abang gemar melakukan ibadat sunat dan kerap memaklumkan mahu menghabiskan puasa enam ini, saya tidak sangka tahun ini abang gagal menyudahkan ibadat berkenaan.

“Hubungan saya dengan abang rapat kerana sebagai seorang pendakwah bebas, saya banyak belajar ilmu agama daripadanya,” katanya.

Menurut Azizah, pada Ramadan lalu, Mat Desa sempat ke Kedah berdakwah selama dua minggu di sana.


“Walaupun sedih, saya reda dengan ketentuan Tuhan ini,” katanya.

Hamidon Mohamed, 31, yang bersama Mat Desa ketika kejadian berkata, kejadian berlaku amat pantas.

“Saya dan seorang lagi rakan, Tarmizi, 50-an, duduk dalam bot apabila tiba-tiba terdengar dentuman kuat.

“Sejurus kemudian, saya dapati Tarmizi dalam keadaan bingung manakala Mat Desa yang berada di belakang bot tercampak ke laut,” katanya.

Hamidon terjun dan sempat mencapai kaki Mat Desa sebelum menarik mangsa ke dalam bot sebelum bergegas ke Jeti Tanjung Nelayan.

Menurut Hamidon yang juga kakitangan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), dia sempat menghubungi isterinya dan meminta wanita itu menghubungi ambulans.

“Namun, sebaik tiba di jeti, petugas perubatan yang ada di situ mengesahkan Mat Desa sudah meninggal dunia,” katanya.

Pantang maut sebelum ajal

SHARJAH: (Maghribi) Seorang wanita Maghribi terselamat setelah terjatuh dari balkoni tingkat lima sebuah apartmen di kawasan Al-Nahda.
Menurut seorang pegawai hospital Al Qasimi semalam, wanita yang berusia 28 tahun itu bagaimanapun, mengalami patah tulang di pinggul, kaki dan rusuk.
Pegawai itu berkata, wanita itu bernasib baik dan tidak mati kerana dia mendarat di atas sebuah kereta yang diletakkan di situ.

Wanita itu dikejarkan ke hospital dan ditempatkan di unit rawatan rapi di mana doktor melaporkan keadaannya stabil.


Pegawai hospital itu berkata, wanita itu perlu menjalani beberapa pembedahan untuk membetulkan tulangnya yang patah di beberapa bahagian tubuh.

“Dia mungkin terpaksa tinggal di hospital selama kira-kira tiga minggu,” katanya.

Katanya, wanita itu mungkin cuba membunuh diri tetapi polis masih lagi menyiasat kes itu.

Dia telah berkahwin dengan seorang lelaki Arab dan mempunyai seorang anak perempuan. - AN

Mahmoud Abbas tak peduli ancaman AS

NEW YORK: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas semalam berkata, beliau akan meneruskan rancangan meminta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengundi Jumaat ini mengenai keanggotaan penuh negaranya dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Bercakap kepada wartawan dalam pesawat yang membawanya ke New York, Mahmoud mengaku keputusannya akan memberi kesan kepada Pihak Berkuasa Palestin.
“Kami mengambil keputusan untuk mengambil langkah ini dan bersedia menghadapi segala kesan ekoran daripadanya. Saya tidak akan mengubah pendirian saya.

“Daripada saat ini sehingga saya berucap, kami hanya ada satu pilihan, pergi ke Majlis Keselamatan. Kemudian kami akan berbincang dan mengambil langkah selanjutnya,” kata pemimpin Palestin itu. - AFP

Wartawan mati ditikam

BEIJING: Seorang wartawan China yang mengikuti skandal membabitkan jualan minyak masak yang dikitar semula ditikam mati, kata polis dan media kerajaan, semalam.
Li Xiang, 30, wartawan Stesen Televisyen Luoyang di tengah wilayah Henan ditikam lebih 10 kali awal pagi kelmarin sebaik pulang ke rumah selepas berhibur bersama rakannya di pusat karaoke, lapor akhbar Zhengzhou.
Komputer riba yang dibawa Li turut lesap dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai samun dan bunuh, tetapi tidak mengesyaki terdapat motif lain.

Polis memberitahu Li mati awal pagi 19 September lalu tetapi enggan mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan.


Pengarang stesen televisyen tempat Li bekerja juga enggan memberi sebarang ulasan.

Li yang bakal berkahwin bulan depan bertugas mengikuti skandal makanan terbaru yang melanda China, kes minyak masak ‘kitar semula’ yang membawa kepada penahanan 32 orang yang disyaki menjual produk karsinogenik itu. - AFP

Simpan mayat ibu saudara dalam peti sejuk

VIENNA: Polis semalam menemui mayat seorang wanita berusia 89 tahun di dalam peti sejuk bekunya.
Polis turut mengesahkan, anak saudara wanita berkenaan mengaku memasukkan mayat itu ke dalam peti terbabit.

Jurucakap polis, Markus Haindl berkata, suspek yang belum didedahkan identitinya mendakwa, ibu saudaranya mati akibat penyakit biasa dan dia tidak melaporkan kematiannya kepada pihak berkuasa bagi membolehkannya memperoleh elaun bulanan si mati.

Polis masih menanti keputusan bedah siasat untuk memastikan kematian wanita itu di Neuhohofen.Ybbs, kira-kira 100 kilometer ke barat Vienna, tidak membabitkan perbuatan jenayah. - Reuters

Jel 5 tahun

MELAKA: Bekas atlet boling Sukan Malaysia (Sukma) negeri, Nor Afizal Azizan, 20, yang sebelum ini dilepaskan dengan bon jaminan berkelakuan baik selama lima tahun tanpa cagaran RM25,000 atas kesalahan merogol seorang gadis bawah umur tahun lalu, dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.
Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin membuat keputusan itu selepas meneliti secara terperinci fakta kes dan keseluruhan hujahan timbalan pendakwa raya (perayu) dan peguam tertuduh (responden) pada prosiding rayuan silang itu.

Beliau turut menegaskan mahkamah perlu berhati-hati menggunakan peruntukan Seksyen 294 Kanun Acara Jenayah (KAJ) bagi kes rogol.

“Mengikut fakta, kedua-dua pihak iaitu mangsa dan responden sepatutnya dipersalahkan kerana mangsa juga sukarela dalam kejadian rogol ini. Namun, ini kesalahan serius walaupun ada fakta responden seorang atlet Sukma dan punya masa depan cerah, ia tidak cukup untuk mahkamah memberi pertimbangan hukuman mengikut peruntukan Seksyen 294 KAJ.

“Kesalahan Seksyen 376 Kanun Keseksaan ini dilaporkan berlaku setiap hari ketika ini, sebab itu timbul isu buang bayi dan sebagainya.

“Jika mahkamah mengesahkan perintah seksyen berkenaan, bermakna ia mengizinkan kejadian (rogol) berlaku,”katanya.


Ahmad Nasfy berkata, jika mahkamah meneruskan perintah Seksyen 294 KAJ akan menjadi rujukan yang tidak berpatutan (bad president) kepada mahkamah rendah dalam kes berkaitan selepas ini.

“Terpulang kepada mahkamah atasan menimbang keputusan ini. Atas semua sebab dinyatakan ini, saya mengubah keputusan hukuman dan perintah Seksyen 294 KAJ diketepikan dan diganti penjara lima tahun mulai hari ini (semalam),” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ifa Sirrhu Samsudin merayu diketepikan keputusan hukuman Mahkamah Sesyen bertarikh 5 Julai lalu dan berhujah atas beberapa faktor, perbezaan umur responden dan mangsa, isu tiada paksaan atau suka sama suka serta status responden sebagai atlet boling bukan ‘tiket’untuk mendapat hukuman ringan.

“Beza umur responden enam tahun dengan mangsa sepatutnya dia lebih matang memikirkan kesan dan akibat perbuatannya. Malah, sebagai pemain boling dia sepatutnya menjaga imejnya dan tidak melakukan perbuatan salah di sisi agama Islam dan undang-undang.

“Selain itu, dia tidak patut menggunakan statusnya untuk dapatkan hukuman rendah. Adakah semua atlet mesti diberikan peluang seperti responden jika melakukan kesalahan?” katanya.

Leka lerai kabel RM1j

KLANG: Dua penyangak leka meleraikan pelbagai kabel curi bernilai hampir RM1 juta diberkas kira-kira jam 10.30 pagi di sebuah premis simpanan barang lusuh di Jalan Sungai Jati, di sini, semalam.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintendan Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, pihaknya melakukan serbuan selepas mendapat maklumat daripada Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Klang.

Katanya, serbuan dibuat selepas intipan dibuat selama seminggu.

Menurutnya, dua lelaki tempatan berusia 20-an dan 40-an diberkas ketika meleraikan kabel curi di premis berkenaan.

Azhan berkata, wakil Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia Bhd (TM) juga mengesahkan kabel curi berkenaan milik mereka ketika dipanggil ke lokasi serbuan bagi membantu siasatan.

“Siasatan mendapati stor barang lusuh berkenaan beroperasi sejak lapan tahun lalu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.


Nik Ros Azhan berkata, siasatan awal mendapati kabel berkenaan dicuri di sekitar bandar Klang dan Shah Alam dan kedua-dua suspek tiada rekod lampau.

Dalam serbuan terbabit, katanya, turut disita bangunan premis itu selain barang-barang curi, sebuah lori lima tan dan dua lori satu tan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) (C) Akta Barang Lusuh 1947.

Dua bot berlanggar

SONG: Keadaan di pekarangan jeti, di sini, cemas apabila dua bot ekspres bertembung menyebabkan seorang pembantu juragan satu daripada bot terbabit terjatuh dan dikhuatiri lemas dalam Sungai Rejang, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang apabila bot ekspres dari Kapit dikatakan membuat pusingan ‘U’ kerana mahu berlabuh di jeti berkenaan.

Pada masa sama, sebuah lagi bot sedang berundur keluar dari jeti untuk ke Sibu sebelum kedua-duanya berlanggar. Menurut sumber, akibat pelanggaran itu, dua pembantu juragan yang kebetulan berada di belakang bot dari Kapit terjatuh ke dalam sungai.

“Seorang daripada mangsa menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi sungai, manakala seorang lagi dikenali sebagai Bayu, 26, yang bekerja sebagai pengutip tiket bot ekspres berkenaan dipercayai warga Indonesia, dikhuatiri lemas kerana tidak tahu berenang.

“Pelanggaran itu menyebabkan kedua-dua bot kebocoran, namun lebih 50 penumpang dalam kedua-dua bot terbabit diselamatkan dengan bantuan bot lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Song, Deputi Superintendan Zayadi Sebeli berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu kira-kira jam 3.45 petang sebelum mengerahkan anggota ke lokasi kejadian.


Beliau berkata, setakat jam 6 petang semalam, usaha mencari dan menyelamat mangsa masih belum mendatangkan hasil berikutan keadaan arus sungai yang agak deras.

“Kami turut meminta pertolongan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kanowit serta IPD Sibu bagi membantu mencari mangsa,” katanya.

Kejadian semalam insiden pertama membabitkan pelanggaran bot tahun ini. Tahun lalu, 11 penumpang maut apabila bot ekspres dinaiki mereka karam selepas melanggar tali tongkang berhampiran kem pembalakan di Hulu Sungai Anap di Tatau.

Remaja cabul ibu tiri ditahan

SUBANG JAYA: Seorang remaja lelaki bukan saja mengamuk malah bertindak lebih keji hingga sanggup mencabul kehormatan ibu tirinya sendiri selepas mengheret wanita terbabit ke belakang rumah mereka di Taman Bukit Pelangi, di sini, malam kelmarin.
Remaja terbabit bagaimanapun ditahan di rumahnya selepas mangsa membuat laporan polis dengan ditemani suaminya.

Dalam kejadian yang berpunca daripada sedikit perselisihan faham antara mereka kira-kira jam 8 malam itu, mangsa berusia 33 tahun dikatakan bertikam lidah dengan anak tirinya itu sebelum suspek naik angin dan memecahkan pasu dalam rumah berkenaan.

Sumber berkata, remaja berusia 17 tahun itu menarik tangan ibu tirinya dan mengheretnya ke belakang kediaman mereka sebelum meraba seluruh badannya.

“Mangsa hanya mampu merayu supaya dilepaskan, tetapi tidak diendahkan anak tirinya itu menyebabkan mangsa menjerit meminta tolong.

“Suspek yang terkejut menghentikan perbuatan itu sebelum mengarahkan mangsa tidak memberitahu sesiapa mengenai kejadian itu,” katanya.

Mangsa beritahu sudah bertunang

SUNGAI PETANI: “Kak Su (Suriati) bersama teman serumahnya pulang ke rumah di Yan pada Ahad lalu, malah turut memaklumkan kepada temannya itu dia sudah bertunang dan akan berkahwin tidak lama lagi.”
Begitu kata seorang adik lelaki Suriati Mat Saad, 29, yang menjadi mangsa bunuh teman serumahnya dipercayai akibat cemburu di rumah sewa mereka di Taman Semarak, Sungai Pasir, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mayat Suriati yang bekerja di sebuah kilang di Kawasan Industri Bakar Arang, di sini, ditemui dalam keadaan telentang dengan kesan tikaman di dada dan perut di ruang tamu rumah oleh jirannya.

Lelaki berusia 27 tahun yang enggan dikenali itu, berkata dia tidak menyangka suspek berusia 35 tahun terbabit bertindak demikian kerana selama ini keluarga mengenalinya sebagai seorang yang baik dan mudah bergaul.

Menurutnya, arwah dan temannya itu sering pulang ke rumah keluarganya di Kampung Redang Pasir, Yan, di sini, dan mereka mengetahui hubungan kedua-duanya amat rapat disebabkan bekerja di kilang sama sejak lebih empat tahun lalu.

“Kakak dan temannya itu sering pulang ke Yan dan kali terakhir pada Ahad lalu dengan menunggang skuter Yamaha EgoS yang baru dibelinya pada Jumaat lalu.


“Saya bersama keluarga mengetahui mereka tinggal serumah di Taman Semarak, tetapi tidak mengesyaki hubungan kedua-duanya serius.

“Saya juga pernah meminta kakak memutuskan hubungan dengan temannya itu kerana arwah memaklumkan ingin berkahwin tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali yang dihubungi berkata, suspek kini masih menjalani rawatan di HSAH kerana kecederaan dan reman ke atasnya akan dibuat selepas keadaan wanita itu stabil serta sihat.

Isteri tak sedap hati

KUALA TERENGGANU: “Saya memang rasa tidak sedap hati, malah sempat berpesan kepada arwah dan pemandunya supaya berhati-hati berikutan hujan.
“Sikap arwah pula yang gemar tersenyum sejak kebelakangan ini juga memusykilkan saya, namun apa boleh buat ajalnya sudah tiba,” kata Datin Mariam Abdullah, 63, isteri bekas Ahli Parlimen Dungun, Datuk Awang Jabar, 66, yang maut dalam kemalangan jalan raya, semalam.
Allahyarham meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah termasuk patah leher apabila kereta dinaiki bersama pemandunya, Abdul Razak Awang, 66, bertembung sebuah Perodua Alza di Kilometer 26, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Alor Tuman, Marang, jam 7.10 pagi.

Seorang lagi mangsa maut ialah penumpang Perodua Alza iaitu Nesmah Nabil Abdul Karim, 25, warga Yaman.


Allahyarham Awang yang juga bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Belia dan Sukan meninggalkan tujuh anak, tiga lelaki dan empat perempuan, berusia antara 21 hingga 41 tahun.

Kes bunuh peguam ke Mahkamah Tinggi

KLANG: Kes pekerja ladang warga India yang dituduh membunuh peguam, Datuk R Anbalagan yang juga majikannya di sebuah kuil di sebuah kampung di Kapar, di sini, Isnin lalu, akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Majistret Azlinda Ahmad Sharif membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Shahrul Ekhsan Hasim untuk berbuat demikian. Pada 17 Jun lalu, Narayanan Rajangam, 24, didakwa membunuh Anbalagan dengan menetak menggunakan sebilah parang di Kuil Sri Ramalingeswarari, Lot 9221, Jalan Kebun Baru, Kampung Perepat, Kapar, pada jam 9.30 malam, 13 Jun lalu.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pada masa sama katanya, pihaknya mahu mengetahui status dua saksi warga asing lain yang ditahan berhubung kes bunuh itu.

Shahrul Ekhsan kemudian memaklumkan bahawa kedua-dua saksi itu sudah dihadapkan ke mahkamah pada 5 Julai lalu atas kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan sah. “Mereka sudah dijatuhi hukuman penjara empat bulan berkuatkuasa dari tarikh mereka ditangkap pada 14 Jun lalu atas kesalahan tidak mempunyai pasport dan tinggal melebihi masa di Malaysia.

“Kedua-duanya akan tampil sebagai saksi pendakwaan selepas menjalani hukuman,” katanya. Pada 14 Julai lalu, akhbar melaporkan seorang pembantu rumah warga Indonesia menyaksikan majikannya, Anbalagan dikejar seorang pekerja yang bersenjatakan parang beberapa minit sebelum mangsa ditemui mati dalam sebuah kuil di Kampung Perepat.

Ibu nafi subahat

SHAH ALAM: Seorang ibu tunggal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dua pertuduhan bersubahat membenarkan kekasih merogol anak sulungnya berusia 13 tahun di hadapan mata sendiri.
Tertuduh yang bertugas sebagai penyelia teksi di sebuah hotel mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar. Pada prosiding sama, teman lelakinya, Ma Kasim Sirat, 43, petani, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan merogol mangsa. Ma Kassim didakwa merogol anak teman wanitanya di sebuah rumah di Bukit Sentosa, Hulu Selangor dekat sini, jam 12.30 tengah malam, pada pertengahan 2009 dan 30 Januari tahun lalu. Ibu mangsa berusia 30 tahun pula didakwa bersubahat dengan membenarkan anaknya dirogol pada tempat, masa dan tarikh sama. Bagi setiap pertuduhan, pasangan kekasih itu didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. Timbalan Pendakwa Raya, Nur A'minahtul Mardiah Md Nor tidak menawarkan sebarang jaminan bagi menjamin keselamatan mangsa. Beliau berkata, ini kerana tertuduh tahu tempat tinggal mangsa yang kini dijaga neneknya dan sekolah di mana remaja itu belajar. “Terkini, kami mendapat tahu bahawa mangsa membuat laporan polis untuk menarik balik laporan pertamanya (berhubung dakwaan rogol).

“Bagaimanapun, pihak pendakwaan belum menerima laporan berkenaan,” katanya. Latifah kemudian membenarkan permohonan pendakwaan supaya tertuduh tidak dikenakan jaminan. Beliau berkata, kes ini membabitkan dakwaan terhadap ibu mangsa dan teman lelakinya di samping status kanak-kanak perempuan itu yang masih bersekolah.

“Penjamin yang mahu menjamin pula adalah nenek kanak-kanak perempuan itu, jadi mahkamah memutuskan untuk tidak membenarkan jaminan,” katanya.

Ketika ditanya Latifah sama ada ibu tunggal itu sedar betapa serius dakwaan bersubahat dihadapinya, wanita itu hanya berdiam diri.

Mahkamah kemudian menetapkan kes disebut semula pada 21 Oktober depan untuk tujuan lantikan peguam.

Lagi mangsa ‘projek muzium PDRM’ tampil

KUALA LUMPUR: Selepas kegiatan sindiket ‘projek muzium PDRM’ membabitkan seorang wanita yang dikesan memperdaya 10 usahawan berjumlah RM10 juta disiarkan Harian Metro pada 16 September lalu, lebih ramai mangsa tampil membuat laporan pernah ditipu kumpulan sama.
Menggunakan modus operandi sama, kontraktor, Azmi, 40, berkata, dia yang juga jiran suspek utama kerugian RM28,000 selepas menerima tawaran untuk mendapatkan kerja membekalkan peralatan ke muzium berkenaan Mac lalu.

Katanya, pada mulanya dia tidak berminat dengan tawaran kerja itu dan mengenali suspek yang tinggal berjiran dengannya di Kajang, namun mengubah keputusan selepas wanita terbabit yang dikenali sebagai ‘Kak Su’ menunjukkan tiga pesanan kerajaan untuk pembekalan peralatan sempena Hari Polis serta mengajaknya ke ‘pejabat’ untuk semua proses berkaitan.

“Mulanya Kak Su menunjukkan pesanan kerajaan berjumlah lebih RM50,000 yang ditandatangani seorang pegawai daripada Bahagian Logistik Bukit Aman menyebabkan saya yakin ia dokumen tulen sebelum menyerahkan bayaran kepadanya,” katanya ketika membuat aduan kepada Pengerusi SukaGuam, Datuk Khairul Anwar Rahmat, semalam.

Sementara itu, Khairul Anwar berkata, pihaknya akan membawa kes terbabit kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar selain Pengarah Jabatan Siasatan jenayah Komersial, Datuk Syed Ismail Syed Azizan lewat minggu ini dan mengumpul maklumat lengkap berhubung kegiatan terbabit.

Diikat sebelum ditembak

SUNGAI PETANI: Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan tiga individu menaiki lif lalu menuju ke bilik mangsa menjadi bukti penting bagi polis dalam siasatan kes pembunuhan kejam seorang lelaki di sebuah hotel di Taman Sejati, di sini, petang semalam.
Mayat mangsa, Mohd Nasir Ishak, 35, ditemui pekerja hotel yang mahu mengemas bilik kira-kira jam 1.30 tengah hari dalam keadaan berlumuran darah dipercayai akibat ditembak di kepala manakala kaki dan tangannya diikat pada katil.

Ketika mayatnya ditemui, mangsa hanya memakai seluar panjang dan tidak berbaju serta tubuhnya dalam posisi mengiring di atas katil dalam bilik yang terletak di tingkat tiga hotel berkenaan.

Mangsa yang berasal dari Perlis, mendaftar masuk di hotel itu seorang diri petang kelmarin, namun gagal mendaftar keluar sebagaimana sepatutnya, menyebabkan pekerja hotel berkenaan diarah mengemaskan biliknya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd Zakaria Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 1.30 tengah hari daripada pengurusan hotel berkenaan lalu bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, siasatan mendapati mangsa ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di kepala, manakala tangan dan kakinya diikat.


“Mangsa hanya memakai seluar panjang dan tidak berbaju ditemui dalam keadaan mengiring. Pemeriksaan lanjut mendapati ada kesan tembakan pada jarak dekat di bahagian kepala mangsa menyebabkan dia mati di tempat kejadian.

“Polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti motif kejadian kerana mendapati tiada kesan pecah masuk pada pintu bilik, selain tiada kesan diselongkar, manakala barangan peribadinya tidak hilang,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini.

Berikutan itu, polis tidak menolak kemungkinan mangsa diserang oleh orang dikenalinya.

Mohd Zakaria berkata, berdasarkan pemeriksaan CCTV hotel berkenaan, polis mendapati tiga individu menaiki lif lalu menuju ke bilik mangsa.

“Polis juga menemui Perodua Viva berwarna putih yang digunakan mangsa di tempat meletak kereta di hotel berkenaan,” katanya.

Polis tahan dua lelaki disyaki curi kabel RM1j





2011/09/21

KLANG: Polis menahan dua lelaki yang dipercayai terbabit mencuri kabel bernilai hampir RM1 juta dalam serbuan di sebuah stor barang lusuh di Jalan Sungai Jati, di sini, semalam. 

Kedua-dua suspek yang berumur 20-an dan 40-an itu ditahan ketika sedang meleraikan kabel curi di premis berkenaan.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Klang, Deputi Superintendan Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, berkata serbuan pada jam 10.30 pagi itu hasil maklumat yang diperoleh daripada pasukan Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Klang.
"Kita menjalankan intipan selama seminggu dan mendapati premis terbabit menyimpan pelbagai jenis kabel curi antaranya milik Telekom Malaysia (TM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB). 

"Pihak TM dan TNB juga sudah mengesahkan kabel curi berkenaan milik mereka ketika dipanggil untuk membuat pengesahan di lokasi serbuan," katanya kepada pemberita di sini, semalam. 

Beliau berkata, kabel berkenaan dipercayai dicuri di sekitar Klang dan polis turut menyita tiga lori dan bangunan premis berkenaan. 

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek tiada rekod lampau dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Barang Lusuh 1947,” katanya. 

Penyamun Geng Dol berkubur




Mayat seorang penjenayah Indonesia yang mati ditembak di Batu Gajah malam kelmarin.


IPOH - Keseronokan empat anggota Geng Dol menikmati hasil rompakan dari sebuah rumah banglo milik seorang ahli perniagaan di Menglembu di sini hanya bertahan sehari apabila kesemua mereka mati ditembak di Batu Gajah dekat sini malam kelmarin.
Sebelum mati ditembak, kumpulan perompak warga Indonesia itu melarikan dua komputer riba, tiga telefon bimbit, barangan kemas, dua utas jam tangan dan wang tunai berjumlah RM1,870 dari rumah mangsa di Menglembu pada pukul 2.30 pagi.
Namun belum sempat penjenayah itu berseronok, mereka telah ditembak mati kira-kira tujuh kilometer dari lokasi mereka melakukan jenayah.
Geng Dol yang mengambil nama sempena nama seorang pemimpin kumpulan itu mula aktif melakukan samun dan pecah rumah pada awal tahun ini dengan menumpukan lokasi jenayah mereka di Ipoh, Batu Gajah, Manjung dan Perak Tengah.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, episod malang keempat-empat penjenayah itu bermula apabila sebuah kereta peronda polis terserempak dengan sebuah kereta Proton Waja dinaiki suspek pada pukul 9.30 malam kelmarin di Jalan Kampung Changkat Larang di Batu Gajah di sini.
"Polis berhenti dan cuba menahan kereta suspek untuk pemeriksaan. Malangnya, pemandu kenderaan tersebut memecut laju sehingga melanggar bahu jalan.
"Polis kemudian mengejar kereta itu sehingga ia memasuki jalan mati. Suspek yang panik kemudian mengundur kenderaan itu dan melanggar bahagian depan kereta peronda polis," kata beliau kepada pemberita di sini semalam.