Search This Blog

Monday, September 19, 2011

'Jangan keruhkan suasana di Ambon'





JAKARTA 18 Sept. - Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI), Laksamana Agus Suhartono menggesa semua pihak termasuk pendatang supaya tidak mengeruhkan lagi suasana di Ambon.
Keadaan di Ambon kini tegas beliau, semakin kondusif khususnya selepas keganasan yang tercetus sehingga menyebabkan lapan orang terbunuh dan puluhan orang cedera baru-baru ini.
"Sesiapa yang mahu menuju ke Ambon diharap dapat memelihara keamanan. Saya minta mereka yang mahu ke sana tidak mengeruhkan semula suasana yang sudah kembali tenang," kata panglima itu lagi.
Pihak berkuasa juga jelas beliau, tidak akan melarang sesiapa sahaja yang mahu ke Ambon.
Pada masa sama, pihak tentera dan polis akan sentiasa memantau aspek keselamatan selain mengawal kemungkinan adanya pengganas yang mahu mencetus kekacauan di sana.
"Kita akan sentiasa berwaspada dengan kemungkinan adanya penyusup. Saat ini, persekitaran di Ambon berada dalam keadaan terkawal. Namun, jika tercetus hal yang mencurigakan kita akan mengetatkan lagi aspek keselamatan," kata Agus lagi.
Pada 10 September lalu, Kota Ambon di Maluku menjadi kecoh apabila seorang warga tempatan Darfin dijumpai maut yang dipercayai telah dibunuh.
Bagaimanapun, ada laporan yang menyebut dia meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya.
Pertikaian yang tercetus kerana mencari punca Darfin meninggal dunia menyebabkan suasana menjadi tegang sehingga menyebabkan berlakunya kekacauan. - Utusan

7 rakyat Malaysia masih dirawat di Thai



KOTA BHARU 18 Sept. – Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand, hari ini mengesahkan 18 rakyat Malaysia terkena letupan bom di Jalan Charoen Khet, Sungai Golok dengan 14 daripadanya cedera manakala empat lagi maut.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan di sini hari ini, empat yang maut ialah Wong Hong Yep, 63; Wong Kai Sean, 3; Foong Too Keh, 45, dan seorang mangsa yang dirawat Hospital Hadyai, Chan Yau Wing, 52, meninggal dunia malam tadi.
Mangsa yang cedera dan dirawat di Hospital Sungai Golok ialah Lai Yok Long, 52; Phoo King Kuang, 54; Ling Yee Lung, 28; Wee It Cheng, 61, dan Cheng Yew Mang, 40. Kesemua mereka adalah lelaki.

Mangsa letupan alami masalah pendengaran




MOHD. Fatmi Che Salleh menatap akhbar Mingguan Malaysia yang menyiarkan kisah pengemboman di Sungai Golok sambil diperhatikan Wong Wai Siong (tengah) di Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 18 Sept. - Mangsa letupan bom di Sungai Golok, Thailand, kelmarin, Wong Wai Siong, 33, dilaporkan kini mengalami masalah pendengaran setelah gegendang telinga kirinya pecah akibat bunyi letupan yang terlalu kuat.
Malah Wai Siong yang berada kira-kira 15 meter dari tempat kejadian turut cedera betis kiri akibat ditembusi serpihan besi daripada ledakan bom berkenaan namun kecederaannya tidak serius.
"Saya telah menjalani pemeriksaan, doktor kata gegendang telinga saya pecah kerana letupan kuat. Betis saya juga cedera tetapi tidak teruk, saya masih boleh berjalan lagi," katanya kepada pemberita ketika ditemui Bangunan Persatuan Buddha Kelantan di sini, hari ini.
Terdahulu, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohd. Fatmi Che Salleh yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kota Bharu menziarah mangsa di bangunan tersebut.
Letupan yang berlaku di Jalan Charoen Khet di bandar ini menyebabkan anak Wai Siong berusia tiga tahun, Wong Kai Sean dan bapanya, Wong Hong Yep, 65, meninggal dunia.
Perut Kai Sean terburai manakala leher Hong Yep berlubang akibat letupan tersebut.
Mayat Hong Yep ditempatkan di bangunan berkenaan sementara menunggu dikebumikan di tanah perkuburan di Bukit Cina dekat sini pagi esok manakala Kai Sean pula telah dibakar di Pauh Lima, Bachok dan abunya disimpan di Kuil Buddha Anil, Ketereh.
Sementara itu, Mohd. Fatmi menasihatkan rakyat negara ini yang ingin berkunjung ke bandar selatan Thailand itu supaya berhati-hati kerana ancaman sentiasa wujud.

Bunuh kontraktor: Lima ditahan

KLUANG 18 Sept. - Polis menahan lima suspek termasuk dua wanita yang dipercayai terlibat dalam kes samun dan pembunuhan seorang kontraktor syarikat perkapalan.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, tangkapan terakhir dilakukan pada 14 September lalu.
"Dua suspek berusia dalam lingkungan 30-an ditahan di Taman Desa Cemerlang, Johor Bahru.
"Kita turut menahan dua suspek wanita di Kedah pada 10 September lalu yang dipercayai terlibat dalam merompak mangsa," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri Parlimen Sembrong di sini hari ini.
Media melaporkan pada 8 September lalu, empat penyamun bersenjatakan parang telah menceroboh masuk rumah mangsa, S. Vijayaratnam, 47, di Seri Alam, Johor Bahru.
Mangsa yang sedang bersembahyang di rumahnya telah ditetak beberapa kali oleh penjenanah tersebut sehingga maut. Isteri mangsa turut ditetak dan telah dihantar untuk dirawat di hospital.
Mohd. Mokhtar berkata, polis menyiasat kes itu dari semua aspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi balai polis berhampiran.

Dua pelajar maut dirempuh kenderaan SUV



ALOR SETAR 18 Sept. - Dua pelajar termasuk seorang calon yang bakal menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) bulan depan maut selepas motosikal yang mereka naiki dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (SUV) di Jalan Langgar, di sini awal pagi ini.
Mangsa, Mohd. Syahman Johari, 16, dan rakannya, Mohd. Fatullah Yassin, 15, yang cedera parah di kepala meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, pukul 3 pagi.
Menurut Ketua Trafik Kota Setar, Deputi Supritendan Mohd. Sham Abdullah, kejadian berlaku pukul 1.15 pagi apabila motosikal itu dikatakan membuat pusingan U di jalan tersebut.
Katanya, motosikal itu bagaimanapun tiba-tiba memasuki laluan bertentangan lalu dirempuh kenderaan BMW X5 yang datang dari arah bertentangan.
"Akibat rempuhan SUV yang dipandu laju itu, kedua-dua mangsa tercampak ke atas jalan dan cedera parah di kepala. Siasatan mendapati mangsa tidak memakai topi keledar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, pemandu SUV yang berusia 26 tahun itu tidak mengalami kecederaan akibat kemalangan namun cedera dipukul orang awam di tempat kejadian.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar mengawasi pergerakan anak-anak mereka setiap masa dan tidak membenarkan golongan itu menunggang motosikal tanpa lesen dan topi keledar.
Sementara itu suasana pilu menyelubungi bilik mayat HSB hari ini ketika keluarga kedua-dua mangsa hadir untuk menuntut jenazah.
Menurut bapa Mohd. Syahman, Johari Ahmad, 52, anaknya yang merupakan pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Teknik Alor Setar keluar rumah mereka di Taman Hidayah di sini, kira-kira pukul 11 malam bersama seorang rakan.
Menurut Mohd. Faqih Yassin, 22, adiknya, Mohd. Fatullah, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Dato' Syed Omar tidak menunjukkan perubahan sebelum kejadian.
"Cuma semalam arwah beria-ia mengajak saya dan bapa saudaranya keluar bermain boling tetapi saya menolak kerana waktu itu sudah pukul 11.30 malam," katanya dari Taman Pulai Jaya di sini.

'Kena rogol 99 anak dara'






Nurlidah Hassan bercerita sambil menunjukkan lokasi 'orang minyak' (gambar kecil) bersilat di Flat Taman Pinggiran Batu Caves, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 18 Sept. - Penuntut ilmu hitam orang minyak dipercayai perlu merogol 99 anak dara selain mengamalkan beberapa 'syarat dan pantang' bagi membolehkannya mendapat apa yang dihajati seperti kekuatan menakjubkan, kemewahan dan kekebalan.
Bagaimanapun, Yang Dipertua Gabungan Pengamal Perubatan Tradisional Melayu Malaysia, Mohd. Adzhar Abd. Latif berkata, perkara itu masih tidak dapat dipastikan kesahihannya kerana kes membabitkan orang minyak di negara ini dianggap sebagai terpencil.
"Ia berdasarkan apa yang diceritakan dan diberitahu oleh 'orang dulu-dulu'. Pengamal ilmu orang minyak ini perlulah merogol 99 perempuan yang masih dara sebagai syarat untuk mendapatkan apa yang dihajati.
"Bagaimanapun, kebenarannya masih tidak dapat dipastikan. Adakah benar pengamal ilmu orang minyak ini akan mendapat apa yang mereka hajatkan itu atau hanya sekadar mitos dan legenda semata-mata tetapi ia tidak boleh diabaikan begitu sahaja kerana membabitkan keselamatan orang ramai terutamanya anak dara," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau mengulas tindakan penduduk pangsapuri di Taman Pinggiran Batu Caves, Gombak di sini yang berjaya menangkap lelaki warga asing dipercayai mengamalkan ilmu hitam 'orang minyak'.
Mohd. Adzhar tidak menolak kemungkinan wujud segelintir pihak yang mengamalkan ilmu hitam tersebut tetapi percaya penglibatan rakyat tempatan adalah minimum.
"Kita tidak boleh menolak kemungkinan wujud segelintir pihak yang mengamalkan ilmu hitam di negara ini kerana kita ada mendengar kes pukau yang banyak berlaku kebelakangan ini.
"Kes orang minyak ini pula jarang sekali berlaku dan kewujudannya perlulah dikaji semula. Saya tidak menolak kemungkinan wujud pengamal ilmu hitam tersebut tetapi kita perlu memastikan kewujudannya terlebih dahulu.
"Saya juga percaya rakyat tempatan yang terlibat dengan pengamalan ilmu hitam sangat sedikit kerana berdasarkan statistik kes-kes membabitkan ilmu hitam seperti pukau dan sebagainya, ia memihak kepada warga asing terutamanya dari Indonesia dan Afrika," jelasnya.
Menurut Mohd. Adzhar, bagi penganut agama Islam, perkara seumpamanya perlu dihindarkan kerana ia hanya memesongkan akidah dan menyebabkan berlakunya perbuatan syirik.
"Sebagai umat Islam, kita tidak sepatutnya mengamal atau mempercayai ilmu hitam ini. Ia merupakan perbuatan yang salah di sisi agama," ujarnya.
habis

Dua kanak-kanak mati lemas di kolam



KUANTAN 18 Sept. - Kegembiraan percutian lima beranak berakhir dengan tragedi apabila dua ahli keluarga itu mati lemas di kolam mandi sebuah resort dekat Beserah, di sini semalam.
Mangsa ialah murid Sekolah Kebangsaan (SK) Lepar Utara 8, Mohd. Firdaus Samsol, 7, dan adiknya, Mohd. Ridzuan Hakim, 5,
Kejadian pukul 12.35 tengah hari itu berlaku sejurus bapa kedua-dua mangsa, Samsol Ibrahim meninggalkan anaknya selama 15 minit untuk membeli minuman.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Supritendan Kamaruzzaman Jaafar berkata, keluarga itu dari Felda Lepar Utara, Maran, baru mendaftar masuk di resort tersebut pukul 12.10 tengah hari.
"Ketika keluar dari bilik, kedua-dua kanak-kanak itu mengikut bapanya, sementara isterinya berusia 30-an menyusukan bayi mereka berusia setahun di dalam bilik.
"Samsol keluar dengan menaiki kereta untuk membeli minuman tanpa membawa kedua-dua anak lelakinya. Kira-kira 10 minit kemudian, dia pulang dan mendapati anak-anaknya tiada," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kamaruzzaman berkata, lelaki itu bergegas mencari anak-anaknya di sekitar kolam mandi resort terbabit dan tergamam melihat mereka lemas di dasar kolam.
"Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat. Mereka disahkan meninggal dunia akibat lemas," jelasnya.
Katanya, mayat kedua-dua kanak-kanak itu dibawa pulang ke rumah keluarga mereka di Felda Kemayan, Bera, pukul 8 malam tadi dan selamat dikebumikan tengah hari ini.

Kontraktor menahan kesakitan tiga jam di sisi mayat adik




ANGGOTA polis memeriksa mayat Mohd. Nazmi maut akibat kenderaan yang dinaikinya terbabas ke dalam gaung di Lebuhraya PLUS menuju ke Sungai Buloh, Selangor, semalam.


KUALA LUMPUR 18 Sept. - Seorang kontraktor terpaksa menahan kesakitan akibat patah kedua-dua belah kakinya selama tiga jam dengan ditemani mayat adiknya selepas tersepit dalam kemalangan di Sungai Buloh, dekat sini awal pagi ini.
Situasi itu terpaksa dilalui Mohd. Najib Mohd. Napis, 27, selepas kereta dipandunya terbabas dan terhumban ke dalam gaung sedalam empat meter di Kilometer 452.5 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara dan gagal dilihat orang ramai.
Kemalangan yang mengorbankan adik Mohd. Najib iaitu Mohd. Nazmi, 24, dipercayai berlaku pada pukul 5 pagi.
Kereta Proton Satria dinaiki dua beradik itu yang dalam perjalanan dari Rembau hanya ditemui pada pukul 8 pagi oleh seorang pekerja tapak semaian dalam keadaan terbalik berdekatan kolam tapak berkenaan.
Abang mangsa, Mohd. Nasir berkata, kedua-dua adinya itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas beraya di rumah seorang rakan mereka di Rembau, Negeri Sembilan.
"Pada pukul 5.30 pagi ini, Mohd. Najib menghubungi saya dan dengan nada suara yang sedang menahan sakit dia memberitahu mereka tersepit dalam kemalangan di kawasan selepas Dengkil.
"Saya dan bapa kemudian bertolak ke kawasan berhampiran Dengkil untuk mencari mereka dan menghubungi pasukan keselamatan di lebuh raya untuk bertanyakan tentang kemalangan yang berlaku," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, ketika tiba di Damansara pada pukul 8 pagi, dia dihubungi oleh pihak lebuh raya yang memaklumkan penemuan sebuah kereta dan mangsa kemalangan.
Katanya, ketika dia dan bapanya tiba di lokasi kemalangan, mereka diberitahu oleh pasukan perubatan bahawa Mohd. Nazmi tidak dapat diselamatkan manakala Mohd. Najib masih sedarkan diri walaupun dalam keadaan kritikal.
Mohd. Najib kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan manakala mayat adiknya juga dibawa ke hospital sama untuk dibedah siasat.
Menurut Mohd. Nasir, keluarganya kecewa kerana kawasan kemalangan tidak dipasang penghadang jalan walaupun kawasan itu berbukit.
Pegawai Turus Trafik Selangor, Deputi Supritendan Azmi Mansor memberitahu, kedua-dua beradik itu terlibat dalam kemalangan selepas kereta dipandu Mohd. Najib terbabas dan terjatuh ke dalam gaung.
"Kejadian itu gagal dikesan kerana tiada kesan kemalangan di kawasan tersebut dan tiada pengguna lebuh raya yang melihat ia berlaku," ujarnya ketika dihubungi di sini hari ini.

Edar dadah: Penganggur berdepan hukuman gantung




MOHD. Noor Muda dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kuala Terengganu semalam selepas didakwa mengedar dadah.


KUALA TERENGGANU 18 Sept. - Seorang penganggur berhadapan dengan hukuman mati di tali gantung apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengedar dadah.
Mohd. Noor Muda, 25, didakwa mengedar pil kuda seberat 728 gram di rumahnya di Kampung Padang Palas, Kuala Bekah, di sini kira-kira pukul 6.15 petang pada 6 September lalu.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 21 gram di perkarangan tempat letak kereta pasaraya Giant di sini pada pukul 2.45 petang hari yang sama.
Atas kedua-dua kesalahan tersebut, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39 B (2) akta yang sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Majistret Noradila Ab. Latif kemudian menetapkan 14 November ini sebagai ikh sebutan semula untuk kes pertama dan 4 Disember depan sebagai sebutan semula bagi kes kedua.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Farah Yasmin Salleh.
Memetik laporan akhbar pada 9 September lalu, sebanyak 6,930 biji pil kuda bernilai RM173,250 ditemui hasil pemeriksaan lanjut pihak polis ke rumah suspek.
Ia susulan daripada penemuan lima botol serbuk putih yang dipercayai dadah jenis heroin bernilai RM5,000 dalam kenderaan yang dinaiki suspek ketika ditahan di perkarangan sebuah pasaraya di sini.
Polis kemudian menyifatkan kes itu sebagai rampasan pil kuda terbesar di Terengganu setakat ini.

Bekas tahanan diberkas bersama dadah bernilai RM58,200

KOTA KINABALU 18 Sept. - Sikap tidak serik seorang lelaki dari Semenanjung mengulangi kegiatan jenayahnya mengundang padah apabila dia ditahan ketika cuba bergiat kembali mengedar dadah di sebuah hotel di sini Sabtu lalu.
Lelaki berusia 45 tahun itu ditahan polis bersama sejumlah dadah bernilai RM58,200,
Dia pernah ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 1999 dan ditempatkan di Pusat Pemulihan Simpang Renggam mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas pada 2002 sebelum dibebaskan melalui petisyen habeas corpus enam bulan selepas itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri, Supritendan Abdul Rahim Dolmat berkata, lelaki itu ditahan di kawasan meletak kereta hotel itu di kawasan Sembulan pada pukul 12.15 tengah hari baru-baru ini hasil risikan dan maklumat.
"Dalam serbuan itu, polis merampas satu beg sandang yang mengandungi dua peket plastik berisi 55.4 gram syabu, wang tunai RM15,000 dan dokumen peribadi milik suspek.
"Siasatan lanjut membawa polis ke sebuah bilik di hotel berkenaan dan berjaya menemui sebuah bagasi mengandungi lima lagi bungkusan plastik berisi 198.8 gram syabu.
"Selain itu, lima bungkusan timah berisi daun kering dipercayai ganja dianggarkan seberat 592.83 gram yang disimpan di dalam satu plastik berwarna hijau turut ditemui," katanya di sini baru-baru ini.
Tambah Abdul Rahim, nilai bagi kesemua syabu yang dirampas dianggarkan RM54,000 manakala ganja terbabit bernilai RM4,200.
Difahamkan, suspek menginap di hotel terbabit sejak 27 Ogos lalu dan sepatutnya mendaftar keluar hari ini.
"Siasatan juga mendapati suspek tiba di negeri ini melalui penerbangan dari Johor Bahru, hari sama, tetapi tidak membawa dadah-dadah terbabit.
"Kita percaya kesemua dadah itu diseludup masuk ke negeri ini dari Semenanjung melalui perkhidmatan kurier dan telah diambil oleh suspek sejurus selepas dia sampai di sini," katanya.
Sementara itu, Abdul Rahim berkata, polis mengenal pasti beberapa rakan sindiket suspek di negeri ini dan gerakan mengesan mereka sedang dijalankan.
"Kita percaya suspek turut mempunyai rangkaian sindiket di Semenanjung khususnya di kawasan Lembah Klang. Kali ini, kita akan mengumpul semua bukti ada dan akan memastikan suspek dihadapkan ke muka pengadilan sekali lagi," katanya.

Cukai jalan kereta bekas sultan gagal diperbaharui

KOTA BHARU 18 Sept. - Dua individu tampil memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan semalam.
Ia bagi membantu siasatan berhubung dakwaan Tengku Muhammad Fakhry Petra bahawa terdapat cubaan sabotaj terhadap cukai jalan kereta-kereta peribadi milik ayahandanya, Sultan Ismail Petra.
Situasi tersebut didakwanya menyebabkan cukai jalan kereta-kereta peribadi milik ayahandanya gagal diperbaharui.
Salah seorang daripada individu tersebut ialah pembantu keselamatan bekas Sultan Kelantan itu, Tengku Abu Bakar Tengku Mansor, 46, yang ditugaskan menjaga dan menyelenggara kenderaan-kenderaan berkenaan.
Tengku Abu Bakar dan seorang yang enggan dikenali itu tiba di pekarangan pejabat SPRM negeri di Wisma Persekutuan di sini kira-kira pukul 10 pagi.
Utusan Malaysia pada 5 September lalu melaporkan Tengku Muhammad Fakhry Petra membuat aduan di pejabat SPRM Kelantan selepas mendakwa wujud cubaan sabotaj sehingga beliau gagal memperbaharui cukai jalan beberapa kereta peribadi milik ayahandanya.
Beliau membuat aduan tersebut terhadap Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Abdul Ghani Che Kassim kerana mendakwa tidak meluluskan pembaharuan cukai jalan meskipun dokumen permohonan dihantar sejak hampir setahun lalu.
Pejabat SPRM Kelantan mengesahkan kehadiran dua individu berkenaan dan keterangan mereka diambil selama sejam oleh pegawai penyiasat.

Warga emas maut nahas kereta-motosikal

KUANTAN: Seorang lelaki warga emas terbunuh selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta di Km122, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan dekat Temerloh, semalam.
Mangsa, Jantan Talib, 82, dari Paya Ruas, Maran meninggal dunia pada kira-kira 4 petang semalam ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh akibat kecederaan parah di kepala.
Pegawai Penguatkuasa Tadbir/Trafik Negeri Pahang, ASP Zainalabidin Othman berkata, dalam kejadian 11.30 pagi itu, warga emas itu dirempuh kereta berkenaan ketika keluar dari sebuah simpang.

Pemandu kereta berumur 37 tahun dan isteri serta tiga anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya kepada pemberita di sini, hari ini. -BERNAMA

Remaja maut motosikal bertembung bas Rapid Penang

GEORGETOWN: Seorang pelajar tingkatan lima maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bas Rapid Penang di Jalan Sungai Ara, di sini semalam.
Ketua Trafik Daerah Barat Daya, C/Insp Mohd Zin Mat Ali berkata mangsa Mohamad Al Amin Nordin, 17, dari Kampung Baru di sini, yang menunggang motosikal jenis Honda Wave terlibat dalam kemalangan pada pukul 9.15 malam itu.
"Kedua-dua kenderaan itu bertembung selepas motosikal yang ditunggang mangsa keluar dari satu simpang di Kampung Baru manakala bas berkenaan dari arah Sungai Ara.

"Dipercayai pemandu bas itu tidak sempat mengelak lalu merempuh motosikal terbabit sehingga menyebabkan remaja berkenaan melambung ke arah cermin depan bas sebelum diseret sejauh 12.3 meter dari tempat kejadian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Katanya mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapatkan rawatan bagaimanapun beliau meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

Mohd Zin berkata mayat mangsa dihantar ke HPP untuk bedah siasat dan polis juga telah mengambil keterangan pemandu bas Rapid Penang yang berusia dalam lingkungan 30-an itu.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.

Beliau turut meminta saksi kejadian atau sesiapa yang melihat kemalangan berkenaan agar menghubungi pegawai penyiasat trafik, Insp Razif Mat Zainal di talian 04-6429622 atau mana-mana balai polis berhampiran. -BERNAMA

APMM tahan kapal asing berlabuh tanpa kebenaran

JOHOR BAHRU: Sebuah Kapal Asing disyaki melakukan kesalahan bersauh tanpa kebenaran ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan di perairan Tanjung Piai, Johor hari ini.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zukifili Abu Bakar berkata, ketika KM Ramunia yang sedang melaksanakan operasi rutin di perairan Johor Barat pada 17 Sep 2011 lebih kurang pukul 1.00 petang, APMM telah mengesan sebuah kapal yang dalam keadaan mencurigakan apabila didapati memasang bendera Malaysia secara terbalik dikedududkan 4.5 batu nautika Tenggara Tanjung Piai.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati kapal tersebut didapati gagal memaklumkan ketibaan kapal dalam perairan Malaysia dan dengan sengaja membangkitkan pecah keamanan iaitu menaikkan bendera Malayasia secara terbalik.

"Kapten bersama dua kru kapal dibawa ke Ibu Pejabat APMM Wilayah Selatan di Johor Bahru untuk siasatan lanjut," katanya di sini. Menurut Zukifili, kapal MT Yong An didaftarkan di Wonsan, Korea Utara dan terdapat 12 kru di atas kapal tersebut terdiri daripada 10 warga Indonesia, seorang warga Sri Langka dan seorang warga China berumur antara 23 hingga 54 tahun.


MT Yong An boleh disabitkan kesalahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, seksyen 449 gagal memaklumkan ketibaan, Akta Dius Api Persekutuan 1953, seksyen 3 gagal menjelaskan bayaran dius api dan Kanun keseksaan, seksyen 504 dengan sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan iaitu menaikkan bendera Malaysia secara terbalik. -BERNAMA

Budak korban tiang gol

MUHAMMAD FAKHRUL AMIN...parah di kepala
MUHAMMAD FAKHRUL AMIN...parah di kepala
KLANG: “Arwah sebelum ini minta dibelikan kasut bola baru, saya terkilan tak sempat memenuhi hasratnya,” kata Abdul Rahman Sarbaini, 41. Anaknya, Muhammad Fakhrul Amin Abdul Rahman, 11, maut selepas cedera parah di bahagian kepala akibat dihempap tiang gol ketika bermain bola sepak, petang semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Jawa 2 itu mengalami pendarahan teruk selain retak tempurung kepala. Abdul Rahman berkata, dia yang berada di rumah terkejut apabila dipanggil seorang jiran memberitahu anaknya kemalangan ketika bermain bola sepak di padang kira-kira 50 meter dari kediamannya di Kuarters Guru Kampung Jawa. “Sebaik tiba di tempat kejadian, saya terkejut melihat banyak darah keluar dari kepalanya dan dia (Muhammad Fakhrul) sudah terbaring tidak sedarkan diri. “Melihat kecederaan yang parah, saya terus menghantarnya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (Klang) untuk mendapatkan rawatan namun dia gagal diselamatkan,” katanya. Menurutnya, sebelum kejadian, arwah tidak menunjukkan sebarang perangai pelik, kecuali meminta sepasang kasut bola baru daripada ibunya, Faizah Ayob, 41, yang memintanya bersabar. Sementara itu, Pengarah Pelajaran Selangor, Abdullah Mat Derus ketika dihubungi berkata, beliau masih belum menerima laporan kerana ketika kejadian berada di luar negara. “Mungkin pihak jabatan sudah pergi ke lokasi kejadian, namun jika sudah menerima laporan, siasatan akan segera dilakukan,” katanya. >Kronologi maut dihempap tiang 7 Mac 2000 KUANTAN: Seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di daerah ini mati selepas dihempap tiang gol yang diperbuat daripada besi sewaktu bermain di padang sekolahnya. 30 Januari 2008 SUNGAI PETANI: Seorang murid tahun empat maut selepas dihempap tiang gol ketika bermain di tepi padang Sekolah Kebangsaan Taman Sri Wang (SKTSW) selepas waktu persekolahan sementara menunggu kedatangan bapanya. 4 November 2010 KEPALA BATAS: Seorang murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Kepala Batas di sini, meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat cedera parah selepas dihempap tiang gol di padang sekolahnya.

‘Orang minyak’ kurang siuman

GOMBAK: Seorang lelaki didakwa ‘orang minyak’ yang ditahan penduduk Flat Pinggiran Batu Caves, Selayang, di sini, malam kelmarin dalam keadaan bogel disahkan kurang siuman.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, lelaki warga Indonesia terbabit kini masih menerima rawatan di Hospital Selayang kerana mengalami masalah gangguan mental.

Menurutnya, dia ditahan penduduk kira-kira jam 3.30 pagi sebelum mereka menyerahkannya kepada polis yang bergegas ke tempat kejadian.

“Anggota polis kemudian menghantar lelaki kurang siuman itu ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan selepas bersikap aneh.

“Punca lelaki terbabit bertindak sedemikian masih dalam siasatan dan kita mengenal pasti dia warga Indonesia melalui cara percakapannya,” katanya.

Abdul Rahim berkata, lelaki itu tiada dokumen bersamanya dan identitinya masih disiasat. Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, lelaki terbabit yang berumur 20-an menggemparkan penghuni kawasan berkenaan apabila dilihat bersilat di hadapan sebuah rumah dalam keadaan berbogel.

Datuk nyaris maut



Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa dan Georgie Joseph
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR : Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk nyaris maut selepas ditembak dua lelaki yang menyamar polis dari arah dekat sebelum melarikan kereta milik rakan mangsa dalam kejadian di Jalan Maarof, di sini, awal pagi semalam.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, mangsa Datuk R Jeeventhiran, 35, dalam perjalanan dari rumahnya ke Bangsar untuk menemui rakannya.

Katanya, ketika tiba berdekatan kawasan pusat beli-belah Mid Valley, kereta BMWnya dilanggar sebuah kereta Proton Perdana V6 berwarna hitam bercermin gelap dari arah belakang.

Menurutnya, disebabkan curiga dengan kenderaan itu, dia hanya memperlahankan kenderaan tetapi keretanya dilanggar dua kali lagi hingga terpaksa memberhentikannya di hadapan kuil di Jalan Maarof.

Katanya, dalam perjalanan itu, dia sempat menghubungi rakannya dan memintanya datang ke kawasan kuil itu. Sebaik memberhentikan kenderaannya, kereta yang melanggarnya turut berhenti pada jarak 50 meter.

“Kemudian, seorang lelaki hanya memakai kemeja-T putih keluar dari kereta dan disebabkan saya berseorangan ketika itu, saya hanya menurunkan sedikit cermin kereta tetapi lelaki terbabit tiba-tiba naik angin dan memaki-hamun selain meminta saya keluar dari kereta.


“Saya enggan menuruti arahan lelaki itu dan memintanya menunggu sementara rakan saya tiba di lokasi kejadian, tetapi rakan lelaki itu keluar dari kereta dan berjalan ke arah kereta saya,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Beliau berkata, ketika itu rakannya baru tiba di lokasi kejadian dengan kereta Perdana V6 menyebabkan kedua-dua lelaki terbabit berbisik sesuatu sebelum mengeluarkan satu kad kuasa dari poket seluar.

Katanya, lelaki itu menunjukkan kad kuasa tertulis anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan memintanya keluar dari kereta dengan alasan melanggar kenderaan mereka.

“Disebabkan percaya, saya keluar dari kereta ditemani rakan saya sebelum mereka meminta saya membayar ganti rugi untuk kerosakan kenderaan.

“Disebabkan bukan salah saya, saya meminta mereka mengikut saya ke Balai Polis Pantai untuk membuat laporan dan apabila saya berjalan semula ke arah kereta, seorang daripada mereka mengacukan pistol ke arah saya,” katanya.

Menurutnya, akibat risau dicederakan, dia dan rakannya berlari ke arah kereta namun lelaki itu melepaskan tembakan pertama mengenai pinggangnya dan tembakan kedua dilepaskan ke arah rakannya tetapi bernasib baik kerana tembakan itu tersasar.

Katanya, dalam keadaan berdarah, dia terus masuk ke dalam kereta dan meminta rakannya mengikutinya sebelum memecut ke arah sebuah hospital swasta yang terletak kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.

Jeeventhiran berkata, lelaki itu cuba mengekori kenderaannya tetapi selepas melihat dia masuk ke arah kawasan hospital, mereka terus melarikan diri.

“Sebaik tiba di hospital, saya sudah tidak sedarkan diri dan hanya sedar selepas selesai dibedah kira-kira jam 9 pagi semalam,” katanya.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian ususnya dan kini dilaporkan stabil.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selepas dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan, rakannya dengan bantuan pasukan peronda dari Balai Polis Pantai kembali ke lokasi kejadian dan mendapati kereta Proton Perdana V6 milik rakannya sudah tiada.

Katanya, rakannya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields sudah merakam keterangannya untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, pihaknya sudah menerima laporan kejadian itu.

Suspek bunuh tiga beranak ditahan di India

CHENNAI: Seorang suspek yang dikehendaki berhubung pembunuhan sebuah keluarga rakyat Malaysia di India Selatan tahun lalu ditangkap beberapa hari lalu, tetapi suspek utama dipercayai bersembunyi di Malaysia.
Hasil maklumat, pegawai imigresen menangkap seorang suspek utama berumur 23 tahun di lapangan terbang Tiruchirapalli, Khamis lalu sebaik tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Bagaimanapun, polis percaya suspek utama masih berada di Malaysia dan dia memiliki sebuah kedai menjual kambing.

“Suspek ditahan dan direman. Jabatan kami menghubungi Interpol Jun lalu untuk diekstradisi,” kata Insp Chandrasekaran dari Jabatan Siasatan Jenayah Cawangan Jenayah Ramanathapuram, semalam.

Kumpulan itu bertanggungjawab menculik dan pembunuhan Adhila Banu, 24, anak lelakinya Mohammad Aswan, 7 dan anak perempuannya Ajira Banu, 5, di daerah Ramananthapuram pada November 2010. Semua mangsa sedang bercuti di kampung asal mereka.

Tiga hari selepas mangsa hilang, polis menemui mayat mereka yang reput, dibungkus dalam dhoti putih dan dibuang di sebuah terusan di Vadipatti di Madurai, Tamil Nadu, kira-kira 150 kilometer dari rumah mereka.

Laporan forensik mendedahkan semua mangsa dijerut dengan sejenis selendang ‘dupatta’ dan ditekap dengan bantal. - Bernama

Mangsa nahas tersepit 4 jam sebelum ditemui

SUNGAI BULOH: “Tolong aku bang, aku tersepit dalam kereta,” itu kata-kata diterima Mohd Nasir Muhammad Napis ketika menjawab panggilan telefon adiknya yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 452.5 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara, Sungai Buloh, di sini, awal pagi semalam.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa, Mohd Najib Muhammad Napis, 27, seorang kontraktor dalam perjalanan pulang ke Tanjung Rambutan, Perak selepas pulang berhari raya di rumah rakannya di Rembau, Negeri Sembilan.

Mangsa yang memandu kereta Proton Satria parah tersepit di tempat duduk dan patah kedua-dua kakinya manakala adiknya, Mohd Nazmi, 24, maut di tempat kejadian.

Menurut Mohd Nasir, 33, dia menerima panggilan telefon daripada adik keempatnya itu kira-kira jam 5.30 pagi yang memaklumkan dia bersama Mohd Nazmi terbabit kemalangan.

“Saya mendengar suaranya tertahan-tahan menanggung sakit menyebabkan dia gagal memberi lokasi nahas, tetapi memberitahu sudah melepasi Dengkil. “Saya dan keluarga bergegas ke lokasi kejadian bagi mencari mereka sebelum menghubungi peronda Lebuhraya Elite untuk memaklumkan kemalangan terbabit, namun, dimaklumkan tiada kemalangan,” katanya ketika ditemui di Hospital Sungai Buloh.

Mohd Nasir berkata, dia kemudian menghubungi peronda Plus bagi meminta bantuan dan menemui mereka selepas diberitahu terdapat satu kemalangan berhampiran Sungai Buloh.


“Ketika itu kami sudah berada di Damansara sebelum berpatah balik ke lokasi dimaklumkan dan mendapati memang benar kedua-dua adik saya berada dalam kereta yang terhumban ke dalam gaung,” katanya.

Katanya, Mohd Najib tidak mengetahui adiknya yang berada di tempat duduk penumpang hadapan sudah meninggal dunia dan hanya diberitahu sebaik sedar di hospital.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik Selangor, Deputi Superintendan Azmi Mansor ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu mangsa tersepit lebih daripada empat jam sebelum ditemui orang awam.

Beliau berkata, kejadian itu dipercayai berpunca apabila kereta yang dipandu Mohd Najib hilang kawalan sebelum terbabas dan terhumban ke dalam gaung sedalam empat meter.

Katanya, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 4 pagi, namun pihaknya menerima maklumat awal daripada seorang pekerja nurseri warga Bangladesh yang menemui sebuah kereta terbalik di belakang kedainya kira-kira jam 8.50 pagi.

Katanya, mayat dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Gadis khalwat mengaku anak pengarah

PUTRAJAYA: Seorang gadis yang mendakwa anak kepada pengarah sebuah agensi kerajaan beribu pejabat di Pusat Pentadbiran Persekutuan di sini, ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam operasi bersepadu cegah maksiat, awal pagi kelmarin.
Wanita berusia 19 tahun itu yang juga kerani ditahan selepas bersekedudukan dengan teman lelakinya berusia 26 tahun di sebuah hotel murah di Dengkil, dekat sini. Jurucakap Jais berkata, ketika serbuan anggota penguat kuasa memberi salam sebelum mengetuk pintu bilik beberapa kali dan menunggu kira-kira setengah jam, sebelum dibuka seorang lelaki berpakaian lengkap.

Menurutnya, anggota penguat kuasa melakukan pemeriksaan sebelum mendapati wanita berpakaian lengkap bersembunyi di sebalik pintu tandas bilik hotel berkenaan.

“Ketika disoal siasat pasangan terbabit mengaku mereka bukan suami isteri atau mahram. Wanita terbabit meminta dilepaskan kerana mendakwa dia anak seorang pengarah jabatan kerajaan di Putrajaya.

“Teman lelakinya pula merayu supaya dilepaskan dengan alasan mereka sudah bertunang dan akan berkahwin tidak lama lagi. Namun, alasan itu dinafikan pasangannya, malah mereka hanya kawan biasa dan tidak pernah bertunang,” katanya.

Menurut jurucakap itu, ketika disoal siasat remaja perempuan terbabit dengan keadaan muka yang pucat lesi memberi alasan dia dan teman lelakinya berehat seketika di bilik hotel berkenaan selepas beraya dan akan pulang ke rumah masing-masing.

Drebar elak lori mati jatuh gaung

BALIK PULAU: Membasuh lori di kawasan curam membawa padah kepada pemandunya apabila maut ketika cuba mengelak digilis kenderaan berat itu yang tiba-tiba bergerak dalam kejadian di Jalan Teluk Tempoyak, di sini, kelmarin.
Mangsa, Roslan Ramli, 33, dari Sungai Kechil Ulu, Bandar Baru, Kedah, maut selepas parah akibat terjatuh di kawasan pembinaan yang dipenuhi besi kira-kira jam 5 petang.

Sebelum itu, mangsa membasuh lori pembancuh simen menggunakan hos paip tekanan tinggi di kawasan cerun.

Dipercayai disebabkan tekanan tinggi air hos berkenaan membuatkan lori terbabit tiba-tiba bergerak dan mangsa yang berada berhampiran terpaksa melompat menyelamatkan diri, tetapi gagal mengawal badan sebelum terjatuh di kawasan pembinaan terbabit. Ketua Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, Cif Inspektor Mohd Zin Mat Ali, berkata lori pembancuh simen terbabit pula terjunam ke dalam gaung tidak jauh dari tempat kejadian.

Menurutnya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat.

Katanya, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia berikutan cedera teruk di kepala.


“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau maksimum 10 tahun atau denda antara RM5,000 dan RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Mohd Zin berkata, mayat mangsa dituntut keluarganya untuk dikebumikan di kampungnya.

Menurutnya, orang ramai melihat kejadian itu diminta menyalurkan maklumat dengan menghubungi Bahagian Pertanyaan dan Penyiasatan Trafik IPD Barat Daya atau balai polis berhampiran.

Lemas muka ditekup tilam



Oleh Kasdi Ali
kasdi@hmetro.com.my

IPOH: Seorang wanita dipercayai pesakit jiwa mati selepas terbabit dalam pergaduhan dengan seorang pesakit lain di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK) di Tanjung Rambutan, dekat sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa dikenali Kong Oor Koon, 33, dimasukkan ke HBUK sejak lima hari lalu selepas dipercayai mengalami masalah kemurungan.

Mangsa difahamkan berselisih faham dengan seorang lagi pesakit wanita warga Kemboja sebelum berlaku pergaduhan antara kedua-dua pesakit berkenaan.

Kejadian turut disedari seorang kakitangan hospital sebelum bertindak meleraikan pergaduhan terbabit.

Bagaimanapun, ketika ditemui mangsa sudah tidak bernyawa dipercayai mati akibat lemas selepas mukanya ditekup menggunakan tilam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti motif kejadian.


“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan polis masih menunggu laporan bedah siasat punca kematiannya,” katanya.

Rodok perut



Oleh Norasikin Daineh
norasikin@hmetro.com.my

LAHAD DATU: Gara-gara menegur sekumpulan lelaki melanggar deretan papan tanda dan tembok jalan menggunakan van, seorang pegawai penguat kuasa Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD) maut apabila dibelasah sekumpulan 14 lelaki sebelum perutnya dirodok dengan senjata tajam, semalam.
Sebelum kejadian, mangsa Ali Jamal, 47, dikatakan melihat van merempuh deretan papan tanda di pekan terbabit sebelum mengejar dan menahan van itu serta menegur pemandu yang dipercayai mabuk, jam 4.30 pagi.

Teguran itu menyebabkan pemandu van itu berang sebelum semua lelaki di dalam van itu keluar dari kenderaan dan membelasah mangsa sebelum seorang daripada mereka merodok perut mangsa menggunakan senjata tajam.

Kumpulan lelaki terbabit kemudian melarikan diri apabila melihat mangsa terbaring berlumuran darah sebelum mangsa dihantar orang ramai ke hospital mendapatkan rawatan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Superintendan Bong Khuet Kuin, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan polis sudah menggerakkan operasi bagi memburu semua suspek.

“Siasatan awal polis mendapati kejadian ini berpunca akibat tindakan mangsa menegur sekumpulan lelaki yang sengaja melanggar tembok dan papan tanda jalan.


“Teguran itu akhirnya membawa kepada pergaduhan lelaki terbabit yang dipercayai tidak berpuas hati sebelum seorang daripada mereka merodok perut mangsa menggunakan senjata tajam,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek kemudian melarikan diri menggunakan van jenis Nissan Vanette dan polis sudah menemui van yang ditinggalkan kumpulan lelaki terbabit di Kampung Unda, lima kilometer dari tempat kejadian.

“Polis kini menjejaki kumpulan lelaki berkenaan yang dipercayai masih bersembunyi di sekitar daerah ini,” katanya.

Bong berkata, mangsa disahkan meninggal dunia jam 6.30 pagi selepas beberapa jam dimasukkan ke hospital dan mayatnya sudah dibedah siasat dan akan diserahkan kepada waris mangsa untuk dikebumikan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Kekasih ugut sebar gambar lucah


JOHOR BAHRU: Terjerat dengan cinta ‘Bollywood’ seorang gadis berusia 23 tahun tertekan selepas teman lelaki warga Bangladesh mengugut menyebarkan gambar lucahnya sejurus mangsa menyatakan hasrat memutuskan hubungan cinta terjalin beberapa bulan lalu.

Mangsa mendakwa bekas teman lelakinya yang berusia 40-an dan sudah berkahwin serta mempunyai tiga anak berang mengugut menyebarkan gambar lucahnya di Internet.

Difahamkan, suspek yang bekerja sebagai juruwang di sebuah syarikat kiriman wang ke luar negara turut menuntut mangsa memulangkan RM25,000 dibelanjakan ketika mereka bercinta sebagai syarat memutuskan hubungan.

Mangsa mendakwa diugut awal bulan lalu selepas menghubungi suspek dan menyatakan hasratnya memutuskan hubungan. Bagaimanapun, suspek yang berang menghubunginya dan mengugut menyebarkan gambar lucah wanita berkenaan.

Pada mulanya, mangsa menyangka ia hanya gurauan, namun terkejut melihat beberapa gambar lucahnya dikirim lelaki Bangladesh itu menggunakan e-mel, selain menerusi Kiriman Pesanan Multimedia (MMS).

Gambar lucah itu dipercayai dirakam menggunakan telefon bimbit suspek ketika menginap di sebuah hotel di Seremban beberapa bulan lalu.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Ruslan Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan gadis berkenaan Rabu lalu.

Dua beradik lemas bersama

KUANTAN: Kegembiraan dua beradik yang sedang bercuti bersama keluarga bertukar tragedi apabila ditemui lemas di dasar kolam sebuah resort di Beserah, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 1.50 tengah hari itu, mangsa, Mohd Firdaus Samsol, 7, dan adiknya, Mohd Ridzuan Hakim, 5, dikatakan bermain dalam kolam renang tanpa menyedari memasuki kawasan dewasa yang agak dalam.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama keluarga mendaftar masuk ke resort berkenaan jam 12.25 tengah hari.

Menurutnya, bapa mangsa kemudian keluar membeli minuman manakala mangsa ditemani ibunya yang berada dalam bilik sambil menyusukan adik bongsu mangsa berusia setahun.

Katanya, siasatan awal mendapati, mangsa disedari hilang selepas bapanya pulang dari kedai sebelum bergegas mencari sekitar resort berkenaan.

“Selepas hampir lima minit mencari, lelaki terbabit menemui dua anaknya dalam dasar kolam sebelum memanggil pengurusan pusat peranginan itu untuk membawa mangsa keluar.


“Dua beradik itu diberikan bantuan oleh Pembantu Perubatan dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke rumah mayat HTAA untuk dibedah siasat dan polis sudah mengambil keterangan berhubung kejadian itu daripada keluarga mangsa.

Katanya, siasatan awal mengesahkan kejadian itu tidak mempunyai unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Beliau berkata, jenazah dua beradik terbabit dibawa pulang ke Felda Kemayan, Bera untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kemayan, kira-kira jam 8.10 malam kelmarin.

Lelaki bantu tunang direjam

GOMBAK: Niat seorang lelaki mahu membantu menyuraikan pertengkaran tunangnya dengan keluarga wanita terbabit bertukar ganas apabila dia dibaling pasu bunga dan batu-bata menyebabkannya cedera di kepala dan badan di rumah wanita itu di Flat Pinggiran Batu Caves, di sini, Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa yang berusia 27 bekerja apabila menerima panggilan daripada tunangnya yang meminta dia datang ke rumah kerana dia bertengkar dengan keluarga dan mahu mangsa membawanya pergi.

Menurut sumber, bimbang kejadian tidak diingini berlaku, mangsa ke rumah tunangnya itu.

“Ketika tiba di rumah itu, mangsa melihat adik tunangnya sedang memarahi dan memaki hamun tunangnya itu di tingkat satu menyebabkan dia mencelah dan menjerit supaya mereka berhenti bertengkar.

“Malah, mangsa juga menasihatkan mereka turun dan berbincang, namun adik lelaki tunangnya yang geram mangsa campur tangan memaki hamunnya sebelum mengambil pasu bunga dan membaling ke arahnya,” katanya.

Sumber berkata, terkejut dengan tindakan bakal adik iparnya itu, mangsa cuba mengelak, namun tidak sempat dan terkena di kepalanya.


“Malah, seorang ahli keluarga tunang mangsa campur tangan apabila mengambil batu-bata di kawasan kejadian sebelum membaling ke arah mangsa beberapa kali.

“Mangsa gagal menyelamatkan diri terkena di badan dan pinggang menyebabkan dia menjerit kesakitan sebelum melarikan diri.

“Mangsa membuat laporan di Balai Polis Selayang sebelum mendapat rawatan di klinik berhampiran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan.

Terkandas banjir kilat

BANJIR...kenderaan mengharungi air di susur keluar Jalan Duta menghala Jalan Kuching, semalam.
BANJIR...kenderaan mengharungi air di susur keluar Jalan Duta menghala Jalan Kuching, 
KUALA LUMPUR: Hujan lebat hampir tiga jam di ibu kota mengakibatkan puluhan kenderaan ringan yang melalui susur keluar ke Jalan Duta menghala Jalan Kuching terkandas apabila dinaiki air sedalam 0.3 meter.
Tinjauan Harian Metro mendapati kebanyakan kenderaan yang terkandas kenderaan ringan yang menggunakan jalan utama itu menghubungkan mereka ke pusat bandar raya.

Akibat daripada banjir kilat itu, kesesakan lalu lintas sehingga ke Bulatan Batu Caves menuju Lebuhraya Karak iaitu sejauh enam kilometer.

Jurucakap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian itu kira-kira jam 2 petang dan difahamkan lokasi berkenaan kerap berlaku banjir kilat terutama selepas hujan lebat.

Menurutnya, banjir kilat itu surut sepenuhnya kira-kira 30 minit kemudian dan kesesakan lalu lintas di sepanjang lokasi berkenaan beransur pulih.



Campak mangsa rogol tepi jalan

Oleh Mohd Nur Asnawi Daud asnawi@hmetro.com.my SEREMBAN: Sungguh menyayat hati apabila seorang wanita yang dipercayai menjadi mangsa rogol dan belasahan ditinggalkan dalam keadaan koma di persimpangan lampu isyarat di Pekan Lukut, Port Dickson, petang Jumaat lalu. Mangsa berusia 20-an dipercayai warga tempatan hingga kini masih kritikal dan bergantung alat bantuan pernafasan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) selepas dirujuk dari Hospital Port Dickson (HPD). Ketika ditemui kira-kira jam 6.35 petang Jumaat lalu, mangsa tidak memiliki identiti pengenalan diri, sekali gus menyukarkan polis untuk mengesan warisnya. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Hamdan Majid, berkata kejadian menimpa wanita berkenaan hanya disedari apabila orang awam yang menemui mangsa terbaring di persimpangan lampu isyarat lalu menghubungi pihak hospital. Menurutnya, mangsa dihantar mendapatkan rawatan di HPD sebelum dirujuk ke HTJS kerana parah. “Hasil pemeriksaan mendapati wanita itu mempunyai kesan keretakan di belakang kepala dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul selain cedera pada kedua-dua lutut serta siku akibat diseret dan keadaannya kini dilaporkan stabil. “Berikutan itu, polis tidak menolak kemungkinan wanita itu dirogol berdasarkan beberapa elemen yang ditemui,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini, semalam. Katanya, ketika ditemui, wanita itu memakai baju-T merah jambu dan jean pendek selain memakai gelang tangan manik. “Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai diserang lebih daripada seorang suspek dan siasatan lanjut masih dijalankan. “Kami juga masih mengesan identiti wanita itu dan percaya dia rakyat tempatan berdasarkan suntikan BCG pada bahu kirinya,” katanya. Menurutnya, setakat ini belum ada sesiapa tampil bagi mencari ahli keluarga mereka yang hilang dan polis sudah melakukan semakan di negeri ini, namun tidak menerima laporan kehilangan wanita dalam tempoh terdekat ini. “Polis juga melakukan gerakan bagi mengesan suspek yang meninggalkan wanita berkenaan bagi membantu siasatan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol,” katanya. Katanya, polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga supaya tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di talian 06-6462999 atau balai polis berhampiran.

Lapor polis anak gadis pencuri

GOMBAK: Seorang bapa yang tidak tahan anak gadisnya berusia 20-an yang sering mencuri wangnya lebih 10 kali dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Nakhoda, di sini bertindak membuat laporan polis, semalam.
Bapa malang berusia 80 tahun itu nekad membuat laporan polis selepas anak perempuannya yang juga anak bongsu sering mencuri wangnya.

Menurut sumber polis, sudah lebih 10 kali anak perempuan bekas pesara kerajaan itu mencuri wang milik bapanya itu hingga mangsa hilang sabar dan membuat laporan polis untuk memberi pengajaran.

Katanya, anak gadis mangsa tidak bekerja dan mengambil wang bapanya semata-mata untuk bersuka ria walaupun tahu bapanya hidup dalam kesusahan memandangkan usia lanjut.

“Mangsa cuba menegur sikap anak gadisnya itu, namun tidak diendahkan dan semakin kerap wang dalam simpanannya hilang,” katanya di sini, semalam.

Sumber berkata, sekiranya mangsa menegur sikap buruk anak gadisnya itu, pasti mereka akan bertengkar dan anaknya itu akan merajuk serta keluar rumah.


“Laporan polis itu dibuat kerana mangsa mahu polis mengambil tindakan kepada anaknya itu dengan memberi nasihat supaya dia tidak mencuri dan berubah sikap,” katanya mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Gombak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan.

Ibu pengsan anak maut dirempuh lori





2011/09/19

KOTA BHARU: Seorang budak perempuan berusia dua tahun maut dilanggar lori pasir apabila dia melintas jalan tanpa disedari ibunya selepas melihat kakaknya berada di seberang jalan dalam kejadian di Kampung Dewan Beta di sini, semalam. 

Noramira Abdul Wahab meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan manakala ibunya, Noriah Hamzah, pengsan kerana terkejut dengan kejadian itu.
Kakak mangsa, Shamimi, berkata dalam kejadian jam 2 petang itu ibunya tidak menyedari Noramira melintas jalan sebelum dilanggar lori pasir.
“Adik secara tiba-tiba melintas jalan meluru ke arah saya yang berada di seberang jalan bersama rakan menunggu bas. 

Shamimi berkata, selepas kejadian itu, seorang ahli keluarga menghubungi ayahnya, Abdul Wahab Abdullah, yang ketika itu bekerja di Lundang Paku. 

“Mayat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat. Jenazah dikebumikan malam ini (malam tadi),” katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Osman, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan itu. 
“Mangsa parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya. 

Dua beradik lemas di resort selepas ditinggalkan bapa



KUANTAN - Dua kanak-kanak ditemui lemas di kolam mandi sebuah resort di Jalan Beserah dekat sini hanya kira-kira 25 minit selepas bapa mangsa mendaftar masuk ke resort berkenaan.
Mangsa pelajar Sekolah Kebangsaan Lepar Utara 8, Mohd. Firdaus Samsol, 7, dan adiknya, Mohd. Ridzuan Hakim Samsol, 5, ditemui terbaring di dasar kolam oleh bapa mereka, Samsol Ibrahim, 30-an, pada pukul 12.35 tengah hari kelmarin.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, Deputi Supritendan Kamaruzzaman Jaafar berkata, sebelum kejadian keluarga dari Felda Lepar Utara, Maran baru tiba di sini untuk bercuti di resort berkenaan.
Menurut beliau, Samsol yang bekerja sebagai penyelia sebuah syarikat baru sahaja mendaftar masuk ke resort tersebut pada pukul 12.10 tengah hari sebelum keluar semula untuk membeli minuman pada pukul 12.25 tengah hari.
"Ketika keluar dari bilik, kedua-dua beradik itu mengikuti bapanya, sementara isterinya berada di dalam bilik.

Ditemui pucat, tak bergerak




SELAMAT SALLEH menunjukkan lori dicuci sepupunya, Azizan yang maut di Kampung Perawah, Ngulang Kangar semalam.


PADANG BESAR – Malang menimpa seorang lelaki apabila dia ditemui oleh isterinya sudah tidak bernyawa selepas badannya tersepit antara pintu lori dan dinding surau di Kampung Perawah, Ngulang dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi, Azizan Ramli, 44, ditemui dalam keadaan muka pucat dan tidak bergerak selepas separuh badannya tersepit antara pintu lori yang bergesel dengan dinding surau yang terletak berdekatan rumah pasangan itu.
Sebelum tragedi itu, Azizan keluar mencuci lori di luar rumah pada pukul 6.30 pagi sebelum kenderaan itu dipercayai bergerak secara tiba-tiba sebelum mangsa cuba memberhentikan lori tersebut.
Azizan yang sudah tidak bernyawa ditemui oleh isterinya, Izyatun Mayuzia Che Saad, 30, yang sebelum itu mencuci pakaian di belakang rumah.
Menurut Izyatun Mayuzia, hatinya tiba-tiba berasa tidak sedap ketika sedang mencuci pakaian yang mendorong suri rumah itu keluar menjenguk Azizan di luar rumah.
“Bila saya nampak suami di pintu lori dengan kepala di dalam lori, ingatkan dia tidak apa-apa. Kemudian saya memanggil Azizan tetapi dia tidak menjawab dan setelah mendekatinya saya terkejut melihat Azizan dalam keadaan pucat dan tidak bergerak lagi,” kata wanita itu ketika ditemui di bilik mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar semalam.

Ribut bagai tsunami melanda




PENDUDUK Felda Kerteh di Kemaman membersihkan serpihan bumbung yang rosak akibat ribut semalam.


KEMAMAN – Lebih 220 buah rumah milik peneroka Felda Kerteh 5 dan Felda Kerteh 6 dekat sini rosak akibat dipukul ribut dan angin kencang kelmarin.
Kejadian pada pukul 4 petang itu berlaku hanya dalam tempoh lima minit.
Sekurang-kurangnya lebih sepuluh batang pokok turut tumbang di sepanjang jalan memasuki ke Felda itu.
Pokok-pokok itu turut merosakkan pelbagai harta benda termasuk beberapa buah kenderaan.
Seorang peneroka, Mekzah Daud, 46, berkata, kejadian itu merupakan yang pertama berlaku di Felda Kerteh sejak lebih 20 tahun dia tinggal di sini.
Katanya, hujan lebat yang turun disertai angin kencang mengingatkan dia kepada kejadian tsunami yang pernah ditonton melalui televisyen apabila rata-rata atap rumah di kampung berkenaan tercabut dan rosak teruk.
“Keadaan ketika itu menakutkan ekoran bunyi bising apabila atap rumah tiba-tiba pecah ditiup angin sehingga menyebabkan air memasuki rumah.
“Ketika itu, saya dan enam orang anak saya terus memasuki sebuah bilik sambil berpelukan kerana bimbang sesuatu yang buruk akan berlaku,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Ibu tunggal, Zawiyah Mohd., 47, pula berkata, kejadian angin kencang itu berlaku dalam tempoh singkat namun kesannya amat menakutkan.
“Rumah di kampung ini terletak berdekatan antara satu sama lain dan saya dapat lihat atap rumah jiran diterbangkan angin,” cerita wanita itu.

Pelajar maut dihempap tiang gol




TIANG gol yang menghempap Muhammad Fakhrul sehingga maut ketika bermain bola sepak di padang SK Kampung Jawa 1, Klang semalam.


KLANG - Hasrat seorang pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Jawa 2 di sini untuk memiliki sepasang kasut bola tidak kesampaian apabila dia maut setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala akibat dihempap tiang gol ketika bermain bola sepak semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, Allahyarham Muhammad Fakhrul Amin Abdul Rahman, 11, anak keempat daripada lapan beradik dikatakan bersama-sama rakan-rakannya sedang bermain bola di padang SK Kampung Jawa 1. Dia mengalami pendarahan teruk selain retak tempurung kepalanya.
Bapa mangsa, Abdul Rahman Sarbaini, berkata, beliau yang berada di rumah terkejut apabila dipanggil seorang jirannya mengatakan anaknya mengalami kemalangan akibat bermain bola di padang kira-kira 50 meter dari kediamannya di kuarters guru Kampung Jawa.
"Apabila sampai ke tempat kejadian, saya melihat banyak darah keluar daripada kepalanya dan dia (Muhammad Fakhrul) sudah terbaring tidak sedarkan diri.
"Melihat kecederaannya yang parah, saya terus menghantarnya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk menerima rawatan namun dia gagal diselamatkan," katanya.

Bandar Sungai Golok ibarat kalis peluru, bom




PIHAK berkuasa Thailand telah menutup salah satu lokasi letupan bom untuk tujuan siasatan di bandar Sungai Golok semalam.


SUNGAI GOLOK (Selatan Thailand) - Kejadian tiga butir bom yang meletup sehingga mengorbankan lima orang termasuk empat pelancong dari Malaysia Jumaat lalu dipercayai tidak banyak memberi kesan ke atas daya tarikan bandar ini sebagai syurga beli-belah dan pusat hiburan kepada pelancong asing.
Timbalan Datuk Bandar Sungai Golok, Rosdi Che Omar berkata, aktiviti di bandar itu kini pulih seperti sedia kala dengan pusat-pusat perniagaan sudah mula beroperasi dan dibuka kepada pengunjung.
Menurutnya, kebanyakan penduduk Golok serta beberapa kawasan berhampiran sudah lali dengan kejadian letupan dan keganasan.
"Kejadian seperti ini tidak begitu meninggalkan rasa trauma dalam kalangan penduduk namun ia pastinya memberi kesan kepada pelancong terutama dari Malaysia yang sering ke sini," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Katanya, pihak berkuasa Thailand akan terus mengetatkan kawalan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.
"Saya melahirkan rasa dukacita terutama kepada rakyat Malaysia yang terbunuh dalam kejadian tersebut dan sebagai tanda simpati kita akan menanggung semua kos rawatan serta sedikit sumbangan lain untuk mangsa.
"Justeru, saya memohon supaya rakyat Malaysia tidak serik untuk terus datang melancong ke sini bagi membantu meningkatkan ekonomi penduduk di bandar ini," ujarnya.

Tercampak selepas keluar hotel



IT CHENG yang dirawat di Hospital Sungai Golok semalam menunjukkan tangannya yang cedera selepas terkena letupan bom di bandar tersebut pada Jumaat lalu.


SUNGAI GOLOK (Selatan Thailand) - Seorang mangsa kejadian letupan bom di bandar Sungai Golok, Lai Yoke Long menganggap dia umpama mati hidup semula selepas terselamat walaupun hanya berada kira-kira 20 meter dari tempat insiden tersebut berdekatan Hotel Merlin di sini pada malam Jumaat lalu.
Yoke Long, 42, yang datang ke bandar itu bersama seorang rakan, sebelum itu kecewa kerana bilik hotel itu yang popular dalam kalangan pelancong Malaysia telah habis ditempah.
"Saya kemudian keluar dari hotel itu untuk cari bilik di tempat lain dan sewaktu berjalan di sebelah sebuah kereta, kami dikejutkan dengan bunyi letupan bom," kata Yoke Long ketika ditemui di Hospital Sungai Golok semalam.
Yoke Long yang berasal dari Seri Kembangan, Selangor dan bekerja di sebuah lombong emas di Tanah Merah, Kelantan memberitahu, selepas letupan dia mendapati badannya berlumuran darah dan terus lari mendapatkan perlindungan di sebuah restoran berhampiran.
"Mujurlah ada beberapa orang dalam kedai makan itu membantu dengan menghantar saya ke hospital," katanya yang mengalami kecederaan di dahi sementara dua serpihan besi masih tertusuk di bahagian dadanya.
Yoke Long berkata, dia perlu menjalani pembedahan untuk membuang serpihan besi itu di hospital berkenaan tidak lama lagi.
"Saya sudah serik ke Golok. Kepada rakan-rakan, saya nasihatkan supaya jangan lagi ke sini (Golok) jika tidak ada urusan penting," katanya.
Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd. Aini Atan semalam mengesahkan seramai 18 rakyat Malaysia terkena letupan tiga butir bom dengan empat maut manakala 14 lagi cedera.
Katanya, lima mangsa yang masih dirawat di Hospital Sungai Golok ialah Lai Yok Long, 52, Phoo King Kuang, 54, Ling Yee Lung, 28, Wee It Cheng, 61, dan Cheng Yew Mang, 40. Kesemua mereka adalah lelaki.
Dua lagi rakyat Malaysia dirawat di Hospital Yala.
Seorang lagi mangsa yang dirawat di hospital itu dan hanya mahu dikenali sebagai Man, 40, dari Kota Bharu berkata, sebutir bom meletup betul-betul di hadapan restoran dan pusat karaoke miliknya di bandar itu.