Search This Blog

Saturday, September 17, 2011

Nelayan asing menyamar




KUANTAN – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menahan sebuah bot nelayan Thailand yang disyaki menyamar dengan menggunakan nombor pendaftaran negara ini iaitu KNF 7359.

Ketika kejadian, anak kapal dari Kelas Peronda Generasi Baru, KD Perak mendapati awak-awak bot berkenaan sedang melakukan aktiviti penangkapan ikan dengan menggunakan pukat jerut.

Panglima Wilayah Laut 1, Laksamana Pertama, Datuk Pahlawan Mohamad Roslan Mohamad Rosli berkata, KD Perak berjaya mengesan bot nelayan tersebut yang memasuki perairan Pantai Timur Semenanjung Malaysia di posisi 80 batu nautika timur laut Tanjung Gelang.

Menurutnya, selepas siasatan, anak kapal mendapati lapan awak-awak warganegara Thailand berada di atas bot sepanjang 15 meter itu.

“Siasatan mendapati bot terbabit tidak mempunyai permit menangkap ikan di perairan negara dan kesemua awak-awak tidak memiliki sebarang pengenalan diri.

“Malah beberapa peralatan menangkap ikan telah disita seperti magnetik kompas, radio dan Global Positioning System (GPS).

Katanya, TLDM seterusnya menghubungi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur untuk siasatan lanjut dan pendakwaan di bawah Akta Penangkapan Ikan 1984.

“Penahanan ini telah membuktikan keberkesanan operasi TLDM dalam mengawal dan melindungi kepentingan maritim di perairan negara.

“Selain itu, kerjasama baik yang sedia terjalin antara TLDM dan APMM mampu mewujudkan persekitaran maritim negara yang aman serta selamat,” katanya.

Polis buru suspek kes samun mati



JOHOR BAHRU - Polis kini memburu seorang lagi individu yang dipercayai dapat membantu siasatan dalam kejadian rompak hingga mengakibatkan kematian seorang kontraktor perkapalan di rumahnya dekat Bandar Seri Alam, di sini, 6 September lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, sehingga kini polis berjaya menahan lima individu yang disyaki termasuk dua wanita.

Menurutnya, selain seorang lelaki yang ditahan pada hari kejadian selepas rompakan itu berlaku, pihaknya kemudian menahan dua lagi wanita berusia lingkungan 30-an di sekitar bandar raya ini, Sabtu lalu, seterusnya dua lagi lelaki berusia lingkungan 35 hingga 47 tahun di Kuala Ketil, Sungai Petani, Kedah, empat hari selepas tangkapan dua wanita berkenaan.

“Siasatan terhadap kes berkenaan masih lagi diteruskan berikutan seorang lagi suspek yang sudah dikenal pasti sedang diburu dan tangkapan akan dilakukan pada bila-bila masa sebelum kertas siasatan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

“Seorang lelaki yang ditahan di Sungai Petani itu didapati mempunyai rekod jenayah lampau dan kita sedang memburu satu lagi suspek sehingga dapat kerana ia perbuatan tidak berperikemanusiaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Mencegah dan Menghapuskan Jenayah di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam di Bandar Seri Alam itu, S Vijayaratnam, 47, mati, manakala isterinya, G Vijayalakshmi, 45, parah akibat tetakan bertalu-talu di kepala di depan pembantu rumah mereka, warga India, P Rasathi, 31.

Mohd Mokhtar berkata, siasatan awal yang dijalankan pihaknya mendapati motif rompakan yang dilakukan berkenaan dipercayai kerana wang dan semua suspek akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Malah, saya juga akan melawat Vijayalakshmi yang difahamkan sudah dibenarkan pulang ke rumah selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Regency, di sini, akibat kecederaan parah yang dialaminya bagi memaklumkan perkara berkenaan,” katanya.

Kos baik pulih cecah RM35,000



FELDA SEBERTAK - Sebanyak RM35,000 diperlukan bagi membaiki dua sekolah yang rosak dipukul ribut minggu lalu.

:Dua sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (LKTP) Tementi dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Bera 32.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemayan, Mohd Fadil Osman berkata, kos itu bagi mengganti bumbung dan siling di beberapa bangunan sekolah yang tercabut, selain membaik pulih kekuda bumbung keluli.

Menurutnya, dalam kejadian ribut itu, bukan sekadar bumbung atau siling yang rosak, namun beberapa peralatan dan perabot dalam bangunan turut rosak.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 petang. Jadi pada ketika itu tiada siapa di sekolah dan banyak peralatan yang tidak dapat diselamatkan. Namun, peralatan tersebut ada yang masih boleh digunakan,” katanya ketika ditemui semasa Jamuan Raya Felda Sebertak, dekat sini.

Difahamkan, kebanyakan bumbung atau siling yang rosak melibatkan bilik darjah dan ia perlu dibaiki segera bagi keselesaan pelajar.

Mohd Fadil berkata, dalam keadaan sedemikian, mustahil pelajar dapat menumpukan perhatian dan peruntukan segera diperlukan bagi membiayai kos baik pulih.

Katanya, pelajar masih lagi perlu menghabiskan sesi pembelajaran sebelum menghadapi peperiksaan akhir tahun terutamanya bagi pelajar tingkatan tiga dan lima yang bakal menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

“Saya percaya, dalam hal ini, bukan sahaja warga sekolah bimbang ia mengganggu pembelajaran pelajar, tetapi turut merunsingkan ibu bapa.

“Sudah pastinya, ibu bapa mahu yang terbaik untuk anak-anak mereka. Jadi, jika bangunan yang rosak itu dapat dibaiki segera, adalah lebih menyenangkan,” katanya.

Beliau berkata, bagi SK (LTKP) Tementi, kira-kira RM15,000 diperlukan untuk membiayai kos memasang perabung dek logam, mengganti bumbung jenis asbestos simen dan mengganti atap genting konkrit.

Katanya, bagi SMK Bandar Bera 32 pula, antara yang perlu diganti ialah bumbung dek logam dan siling jenis simen asbestos yang bernilai kira-kira RM20,000.

“Bajet ini disediakan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) yang turut memantau kes ini, dan semua kos ini adalah termasuk kerja-kerja membersihkan serta membawa keluar sampah dari kawasan tapak,” katanya.

Monyet ancam penduduk



RAUB – Populasi beberapa spesies monyet semakin meningkat di daerah ini sehingga menjadi ancaman kepada penduduk terutama membabitkan pencerobohan kawasan kediaman dan kemusnahan harta.

Seorang penduduk, Subari Ahmad, 58, berkata, kelompok monyet terutama kera dan beruk semakin berani mendekati manusia terutama memasuki serta menggeledah rumah untuk mencari makanan.

Menurutnya, senario itu amat mudah dilihat tidak kira di premis makanan, rumah kediaman, tepi jalan ataupun kebun tanaman penduduk kampung.

“Penduduk bimbang pembiakan tidak terkawal spesies monyet ini akan mengancam keselamatan dan kesihatan terutama penularan wabak berkaitan.

“Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam usaha menggembleng tenaga membanteras spesies monyet daripada terus bermaharajalela seperti hari ini,” katanya.

Seorang penduduk, Adli Adzamin Hussin, 40-an, berkata, kelompok haiwan itu tidak lagi takut pada manusia sebaliknya ia menakutkan manusia pula.

Katanya, tindakan sesetengah organisasi menjalankan aktiviti memusnahkan spesies itu seperti menembaknya, tidak lagi relevan kerana ia membiak lebih banyak.

“Kita berharap ada usaha lebih tegas dalam menangani perkara ini terutama jabatan dan agensi terbabit supaya tidak terjadi perkara buruk membabitkan ancaman keselamatan anak-anak kecil.

“Usaha mengawal pembiakan spesies monyet ini perlu diberi perhatian terlebih dahulu supaya tidak terlalu pantas melampaui keperluan ekosistem sehingga menjejaskan keperluan populasi manusia,” katanya.

Dia berharap seluruh masyarakat daerah ini memberikan sepenuh kerjasama membantu pihak bertanggungjawab menjalankan usaha membanteras populasi spesies monyet terutama berhampiran kawasan kediaman.

Transit seludup bahan api diserbu

 

KOTA BHARU - Kegiatan penyeludupan dengan menggunakan bekas tempat pembuatan batik sebagai transit tumpas apabila sekumpulan pegawai penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Negeri berjaya menyita 2,000 liter minyak petrol dengan rampasan keseluruhan bernilai RM120,000.

Timbalan Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Wan Suhaimi Wan Ibrahim berkata, pihaknya melakukan serbuan ke atas sebuah stor atau gudang penyimpanan bahan api yang disyaki menjalankan aktiviti penyeludupan petrol dan diesel ke negara Thailand.

Menurutnya, serbuan dilakukan ke atas sebuah gudang ditutup dengan dinding zink dipercayai bekas tempat pembuatan kain batik Kelantan di Kampung Menjual, Kampung Kubang Batang Cabang Empat, Tumpat dan terletak di lokasi tersorok itu juga digunakan sebagai transit atau tempat penyedutan bahan api dari bekas yang dibuat daripada besi dalam kenderaan-kenderaan tertentu.

“Sebelum serbuan dilakukan pihak kita melakukan risikan dan intipan sejak beberapa hari bagi mengumpulkan maklumat serta bahan bukti aktiviti penyorotan atau penyimpanan sementara bahan api minyak petrol di dalam gudang tersebut,” katanya.

Dalam operasi yang diketuai Penolong Pegawai Penguat kuasa A’ala Shah dan Penolong Pegawai Penguat kuasa Ghazali dengan kerjasama pihak Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Pengkalan Kubor seramai empat orang itu juga mendapati kenderaan penyeludup dikenal pasti yang melalui laluan masuk ke kampung itu menuju ke gudang tersebut.

“Keadaan jalan kampung yang agak sempit dan membahayakan bagi lain-lain kenderaan yang berselisih menjadikan aktiviti mereka agak bebas bergerak di gudang tersorok dari pandangan umum ini,” katanya.

Wan Suhaimi berkata, pemeriksaan berjaya menemui 73 tong berisi minyak petrol, lima kenderaan di dalam gudang tersebut iaitu dua Proton Iswara Aeroback, satu Proton Gen-2, sebuah van Ford Spectron dan sebuah lori Isuzu yang mempunyai bekas besi berbentuk tangki berfungsi sebagai ’pengutip’ manakala van dan lori untuk penghantaran tong-tong diisi minyak ke pengkalan tepi Sungai Golok.

Wan Suhaimi berkata, modus operandinya adalah kenderaan yang diletakkan bekas berbentuk tangki akan membeli minyak petrol dari stesen-stesen minyak sekitar Tumpat dan Kota Bharu dan setelah penuh kenderaan tersebut akan masuk ke gudang tadi untuk proses penyedutan dan pemindahan ke dalam tong-tong plastik atau’ jerry can’.

“Setelah selesai proses ini, kenderaan tersebut akan bergerak semula membeli minyak petrol dari stesen minyak dan aktiviti ini akan terus menerus sehinggalah malam.

“Tong-tong plastik yang berisi minyak petrol itu akan dihimpunkan di dalam stor ini sehinggalah malam sebelum kenderaan lain iaitu van dan lori akan membawanya pada waktu malam juga ke pengkalan haram di sekitar Pengkalan Kubor iaitu sepanjang Sungai Golok,” katanya.

Menurutnya, motobot akan sedia menanti ketibaan kenderaan terbabit dan kemudiannya tong-tong berisi minyak petrol dipindahkan dengan cepat sebelum ia bergerak pantas ke Thailand.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-peraturan Bekalan 1974. Pertuduhan dibuat bersama dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Terkejut diherdik



ALOR GAJAH - Niat seorang pekerja wanita di sebuah kedai makan untuk beramah mesra dengan pelanggan dibalas dengan herdikan dan hinaan oleh pelanggan berkenaan yang secara tiba-tiba naik angin, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, wanita terbabit, Asmah Jusoh, 37, ketika kejadian, dia datang mendekati pelanggan yang juga seorang anggota penguat kuasa di daerah ini untuk mengambil pesanan makanan sambil bergurau.

Menurutnya, sebaik anggota penguat kuasa dan rakannya duduk, dia bertanyakan menu makanan yang ingin dipesan.

“Anggota penguat kuasa itu hanya memesan segelas susu panas sebelum mendakwa dirinya kurang sihat dan enggan makan sementara rakannya memesan makanan seperti biasa.

“Dengan nada lembut dan berniat beramah mesra dengan pelanggan, saya mencadangkan agar dia makan kerana kurang sihat supaya boleh memakan ubat selepas itu, tetapi secara tiba-tiba dia naik angin dan mengherdik saya dengan meninggi suara,” katanya.

Asmah berkata, dia terkejut apabila lelaki terbabit memaki hamun dirinya dengan kata-kata kesat dan cuba menggertak membaling meja dan menyelerakkan peralatan di atas meja makan.

“Saya sememangnya mesra pelanggan tetapi tidak menyangka diherdik dengan kata-kata kesat oleh anggota penguat kuasa terbabit.

“Lelaki terbabit turut memberontak dengan menyelerakkan peralatan seperti tisu dan bekas sudu yang ada di atas meja sebelum ditenangkan rakannya yang duduk bersebelahan dan meminta saya supaya tidak mengambil hati,” katanya.

Katanya, mujur ketika diherdik, tiada pelanggan lain dan hanya ada beberapa pekerja kedai lain tidak jauh dari mereka.

“Saya sudah bekerja di sini hampir setahun setengah lalu dan hanya berdiam diri selepas malu diherdik serta diaibkan di hadapan rakan-rakan sebelum memaklumkan kejadian itu kepada suami yang merupakan bekas anggota keselamatan.

“Saya pulang ke rumah selepas selesai kerja dan masih terngiang-ngiang maki hamun lelaki itu hingga menyebabkan saya menangis kerana merasakan diri dihina dengan perkataan kesat seolah-olah saya tiada maruah,” katanya.

Keluar 443 saman



BENTONG – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri berjaya memeriksa sejumlah 5,233 kenderaan dan mengeluarkan sebanyak 443 saman atas pelbagai kesalahan sepanjang Ops Hari Raya bermula 14 Ogos hingga 14 September lalu.

Pengarahnya, Datuk Zakaria Man berkata, dalam tempoh itu, pihaknya turut menjalankan penyamaran membabitkan 54 trip bas dan sebanyak 14 kes kesalahan dapat dikesan.

Menurutnya, antara tiga kesalahan lazim dilakukan pemandu bas ialah memotong garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit dan merokok.

“Dalam masa sama, JPJ juga bekerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menjalankan pemeriksaan ke atas pemandu bas di terminal bas utama negeri ini.

“Seramai 251 pemandu bas diperiksa sepanjang tempoh sebulan dan dua daripadanya positif dadah,” katanya selepas Majlis Penutupan Ops Hari Raya Aidilfitri 2011 bertempat di Plaza Tol Bentong.

Zakaria berkata, dari segi jumlah kemalangan, sebanyak 11 kemalangan maut membabitkan 17 kematian dilaporkan berlaku di kawasan pemantauan JPJ.

:Menurutnya, jumlah itu menunjukkan pengurangan jkemalangan dan kematian terutama di laluan Kuantan- Segamat.

“Berdasarkan rekod sebelum ini, jumlah kemalangan dan kematian di kawasan pemantauan JPJ iaitu di laluan Kuantan-Segamat mencatatkan jumlah kes yang tinggi, namun ia berkurangan pada kali ini iaitu hanya tiga kes kemalangan maut dan tiga kes kematian.

“Pengurangan kes kemalangan di kawasan ini disebabkan pelbagai faktor termasuk proses penebangan pokok akasia yang giat dijalankan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang mana sebelum ini mengganggu penglihatan pengguna jalan raya,” katanya.

Zakaria berkata, pihaknya akan mempergiatkan usaha menyedarkan pengguna seterusnya mengurangkan kadar kemalangan serta kematian di jalan raya.

Geng curi gaharu tumpas



SENAI – Seramai empat orang ditangkap termasuk seorang warganegara tempatan selepas dilihat sedang memotong pokok karas (gaharu) di Taman Negara Pulau Pisang, kelmarin.

Komander Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Dua, Asisten Komisioner Zainul Abidin Hasan berkata, tiga warganegara Kemboja dan seorang warga tempatan ditangkap setelah anggota di bot ronda RH 21 menjalankan Ops Pensure yang berlepas dari Jeti Markas Taktikal PGM Kukup terserempak dengan mereka.

"Semasa menjalankan pemeriksaan di sekitar pulau berkenaan, anggota bertugas bersama dua anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian terserempak dengan enam orang yang sedang menebang pokok disyaki pokok gaharu.

"Ketika menghampiri mereka, dua daripadanya berjaya meloloskan diri ke dalam hutan dan anggota PGM berjaya menahan empat orang daripada mereka,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Turut dirampas, peralatan menebang pokok seperti kapak, parang selain pemutar skru, besi yang telah diubah suai dan dua karung kayu gaharu yang telah siap dipotong.

Kesemua yang ditangkap dipercayai telah menceroboh tanah rizab kerajaan dan kes itu disiasat di bawah Kanun Tanah Negara 1984 (pindaan 1993).

Zainul berkata, pokok itu yang mendapat permintaan tinggi di pasaran dipercayai boleh dijadikan sebagai minyak wangi dan memberikan keuntungan yang berlipat ganda.

“PGM Wilayah Dua sentiasa memantau dan mengawasi sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang di kawasan tumpuan di sekitar muara, sungai dan pulau yang sering menjadi tempat pendaratan,” tambahnya.

Kereta terbakar tiba-tiba



BATU 23 – Seorang pekerja swasta terselamat apabila kenderaan dinaiki terbakar secara tiba-tiba sebaik sahaja dia memarkir kenderaan di hadapan tempat kerjanya di salah sebuah restoran besar berhampiran Pasar Raya Tesco, di sini jam 10.15 pagi, semalam.

Liew, 36, berkata, tidak sampai lima minit kenderaannya diparkir, dia dipanggil oleh salah seorang kakitangan :pembersihan dan memaklumkan mengenai kenderaan miliknya itu terbakar.

“Saya sangat terkejut kerana sebaik sahaja keluar mendapati bahagian hadapan kenderaan mengeluarkan api yang sangat besar.

“Nasib baik salah seorang pekerja ternampak kejadian yang berlaku, jika tidak tentu kebakaran yang lebih teruk akan berlaku,” katanya.

Liew berkata, kebakaran berkenaan berjaya dipadamkan dalam tempoh kira-kira sepuluh minit menggunakan alat pemadam kebakaran yang disediakan di tempat kerjanya itu.

“Saya memang bernasib baik kerana kebakaran ini berlaku sebaik sahaja saya turun dari kenderaan dan sempat menghantar dua anak ke sekolah sebelum itu.

“Jika saya masih berada di dalam kereta bersama anak-anak, sudah tentu :kejadian ini boleh membahayakan keselamatan kami,” katanya.

Katanya, berikutan kejadian itu, dia terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM10,000 apabila sebahagian daripada alat yang terdapat pada bahagian enjin kenderaan hangus terbakar.

Liew berkata, dia mengesyaki kejadian itu berpunca daripada perkhidmatan servis kenderaan yang dilakukannya kira-kira sebulan lalu dan akan membuat laporan berhubung kejadian yang berlaku supaya siasatan lanjut dapat dijalankan.

“Ini adalah kejadian pertama yang saya alami malah saya tidak mengesyaki sebarang perkara buruk akan berlaku kerana bateri kenderaan baru sahaja ditukar ketika kereta ini diservis sebulan lalu,” katanya.

Ibu tak maaf pembunuh anak



KUALA LUMPUR - “Saya tidak akan maafkan pembunuh anak perempuan saya dan mahukan hukuman setimpal dikenakan kepada pembunuh tersebut,” kata Azizah Abdul Rahman, 46, ibu kepada Nurul Awatihf Mohd Shakir, 19, yang dibunuh kejam sebelum dibakar di Jalan Bukit Belacan, Ampang minggu lalu.

Azizah berkata, dia tidak dapat menerima bagaimana anaknya diperlakukan sebegitu kejam.

“Ibu mana hatinya tidak luluh menerima hakikat anaknya dibunuh.

“Sememangnya musibah ini langsung tidak terduga oleh keluarga kerana Nurul bukanlah anak yang bermasalah dan sangat taat kepada agama dan keluarga,” katanya.

Menurutnya, Nurul adalah satu-satunya anak tunggal perempuan dari lima beradik dan sangat manja terutamanya dengan ayah dan adik lelaki ketiga.

Sementara itu, Mohd Shakir, 48, sedih dengan pemergian anak tunggal perempuannya namun reda di atas kejadian yang berlaku.

“Air mata saya sudah tidak mampu untuk mengalir lagi kerana apa yang terjadi tetap terjadi dan pasrah atas ketentuan Allah.

“Arwah Nurul atau mesra dikenali sebagai Angah tidak pernah keluar rumah tanpa meminta izin. Ke mana sahaja dia hendak pergi kebiasaannya saya akan ambil dan hantar tetapi tidak sangka ketika dia meminta izin keluar rumah berhari raya bersama kawannya merupakan hari terakhirnya,” katanya.

Menurutnya, anaknya yang belajar di pusat pengajian tahfiz di Selayang bercita-cita bergelar sebagai Hafizah IT.

Menceritakan detik kehilangan arwah, Shakir berkata, sehari sebelum pulang ke asrama, anaknya meminta izin keluar berhari raya bersama kawan perempuannya pada 4 September lalu.

“Sebagai ayah, saya mempercayainya kerana arwah tahu menjaga diri. Tetapi pada hari tersebut, sehingga lewat malam, arwah masih tidak pulang dan anak lelaki saya cuba menghubungi kakaknya melalui telefon bimbitnya tetapi gagal.

“Pada keesokan harinya, saya dan isteri berusaha mencarinya sehinggalah berita pagi pada 7 September menyiarkan berita tentang penemuan mayat. Kemudian barulah saya membuat laporan polis berhubung kehilangan anak saya.

“Pada hari tersebut juga, saya bersama isteri membuat pengecaman barang dan sah ia milik anak saya berdasarkan gelang, anting-anting dan cebisan baju hijau bercorak hitam anak saya. Keesokan harinya, saya dan isteri membuat pengecaman jenazah pula di hospital,” katanya.

Shakir berkata, polis menghubungi keluarganya dan memberitahu suspek membunuh anaknya ditahan.

“Biarlah polis melakukan siasatan menyeluruh dan menyelesaikan perkara ini dan saya berharap pembunuh anak saya menerima hukuman yang sepatutnya sebelum menerima azab di akhirat nanti,” katanya.

Sementara itu, adik arwah, Mohd Asyraf berkata, ketika pulang berhari raya di kampung, sebelum hilang arwah sentiasa mahu bergambar dengannya.

“Angah turut menasihatkan saya untuk belajar bersungguh-sungguh, jangan nakal dan jangan memberi masalah kepada keluarga,” katanya.

Selimut jadi tali penyelamat



KOTA TINGGI – Selimut nyata menjadi penyelamat apabila segelintir pengunjung hotel di sini nekad menjadikan ia sebagai tali untuk turun dari tingkat atas selepas sebuah hotel di sini terlibat dalam kebakaran awal pagi semalam.

Penolong Kanan Penguasa bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Mohd Ismail Abdul Latif, berkata, seramai 80 pengunjung termasuk lapan warga asing berbangsa Jepun menginap di Rest Inn Hotel di sini, terlibat dalam kejadian terbabit.

Bagaimanapun, katanya, dalam kejadian jam 3.20 pagi itu, enam mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital Sultan Ismail, manakala tujuh lagi dimasukkan ke dalam wad di Hospital Kota Tinggi, termasuk seorang mangsa berusia 12 tahun yang terpaksa menduduki peperiksaan UPSR di hospital, manakala yang lainnya dirawat sebagai pesakit luar.

“Ada pengunjung yang menginap di tingkat atas menjadikan selimut sebagai tali sebelum terjun pada tilam yang dicampak dari bilik dan ada juga yang terlalu panik sehingga memecahkan cermin tingkap untuk menyelamatkan diri.

"Walau bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih lagi di dalam siasatan,” katanya.

Katanya, sebelum itu pihak bomba menerima panggilan pada jam 3.20 pagi dan sampai ke tempat kejadian dua minit kemudian dengan dua jentera bomba serta 2 kenderaan utiliti.

"Hotel tiga tingkat itu mempunyai sebanyak 44 buah bilik dan kita menggunakan peralatan seperti tangga pada bahagian depan dan juga kiri bangunan untuk menyelamatkan mangsa.

“Manakala dua pasukan lain yang turut dibantu anggota polis memecahkan pintu untuk mencari mangsa di tingkat atas. Kesemua mangsa yang dikejarkan ke hospital dengan menaiki ambulans, kenderaan bomba dan juga kenderaan orang awam,” katanya.

Sementara itu, rakan kongsi perusahaan hotel tersebut, Ng Keng Heng, berkata, anggaran kerugian yang ditanggung mencecah RM1.5 juta.

“Pihak kami akan memberikan bantuan kepada mangsa terlibat dan menanggung kos kesemua rawatan,” katanya ketika ditemui di Hospital Kota Tinggi. 

Hantar gambar memalukan



AYER KEROH – Seorang ibu terkejut apabila menerima khidmat pesanan multimedia (MMS) memaparkan gambar mengaibkan anak gadisnya di rumah mereka di Kampung Pengkalan, Alor Gajah, dekat sini, baru-baru ini.

Gambar anaknya yang sedang tidur dengan baju dalam dan ditutup dengan selimut sehingga paras dada itu diterima dari nombor tidak dikenali.

Menurut sumber, wanita terbabit bertanyakan kepada anak gadisnya berusia 14 tahun itu sebelum anaknya membuat pengakuan pernah bertemu seorang lelaki dan diba:wa ke sebuah hotel di bandaraya Melaka.

Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Shah Gzali Khan Shadat yang mengesahkan kejadian itu berkata, wanita terbabit membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Bukit Beruang pada pagi 13 September lalu.

“Ibu mangsa menerima MMS beberapa hari sebelum membuat laporan di IPK pagi Selasa lalu. Suspek sudah pun ditahan di kediamannya di Alor Gajah, semalam (kelmarin).

“Suspek berusia 22 tahun dan bekerja sebagai pemandu lori itu dipercayai kenalan kepada abang mangsa dan mereka tinggal sekampung,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurut Shah Gzali, suspek kini ditahan reman bermula hari ini dan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengedarkan gambar lucah. 

Mangsa buli tak puas hati



IPOH – Sepasang suami isteri tidak berpuas hati sikap pihak berkuasa yang menganggap kejadian buli menimpa mereka sekeluarga sebagai tidak serius.

Mangsa, M Thinakaran, 31, berkata, dalam kejadian 6 September lalu, beliau bersama isteri, Annierita Kaur, 25; ibu mertua, Garmet Kuar, 55 dan dua anak yang masih kecil berada dalam kereta di tempat letak kereta di sebuah pasara raya terkemuka pada jam lebih kurang 3.40 petang.

Menurutnya, ketika itu keretanya telah menghalang satu kenderaan lain untuk keluar menyebabkan pemilik kenderaan tersebut marah dan membunyikan hon.

“Walaupun saya telah nyatakan supaya mereka menunggu sebelum kereta saya dialihkan, individu berkenaan tetap berdegil dan terus membunyikan hon,” katanya ketika ditemui pada sidang media, di Wisma DAP di sini, semalam.

Malah, pemilik kenderaan terbabit dikatakan keluar dari keretanya dan memarahi mangsa dengan kata-kata kesat termasuk mengambil tukul dari bahagian bonet belakang untuk memukul mangsa.

Namun lelaki bersama anaknya itu tidak sempat bertindak apabila menyedari kawasan itu terbuka dan dikelilingi ramai orang.

Episod kemarahan itu tidak berakhir apabila lelaki itu kembali mengundurkan semula kenderaannya dan berhenti di hadapan kereta mangsa.

Kedua-dua anak-beranak itu dikatakan keluar dari kenderaan dan meluru ke kereta Thinakaran dan menendang pintu depan bahagian kanan mangsa hingga kemik.

Anak lelaki terbabit terus bertindak membuka pintu kereta dan bapanya pula terus menumbuk muka mangsa.

Akibat serangan itu Thinakaran cedera di bahagian tangan dan pipi kanan.

“Isteri saya cuba menghubungi talian rakan cop beberapa kali. Tetapi terpaksa pula menunggu ketibaan mereka kerana sedang mencari lokasi kejadia.

“Bagaimanapun, kami terperanjat apabila pihak berkuasa mahu kami tunjukkan bukti untuk menahan individu terbabit.

“Selepas membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Senam, saya dimaklumkan tidak ada sebarang tindakan dapat dikenakan kepada kedua-dua individu terbabit kerana serangan yang dilakukan hanya menggunakan tangan dan kaki bukan senjata.

“Saya pelik, kerana walaupun menyerang menggunakan tangan dan kaki tetapi saya tetapi cedera. Anak sulung saya juga trauma,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kula Segaran melahirkan rasa kesal dengan kejadian tersebut dan berharap polis dapat menjalankan siasatan mengikut prosedur yang betul.

Katanya, arahan supaya mangsa berbincang dengan dua individu terlibat untuk selesaikan masalah tidak adil kepada keluarga mangsa.

“Saya difahamkan isteri mangsa cuba mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada pihak pengurusan pasar raya itu, namun gagal kerana kamera tidak berfungsi,” katanya.

Mangsa kejadian ribut dibantu



SIMPANG RENGGAM - Ahli Parlimen Simpang Renggam menghulurkan bantuan segera kepada mangsa ribut di lima kampung dalam kejadian yang berlaku pada Sabtu lalu.

Lima kampung yang terlibat adalah Kampung Parit 2, Kampung Parit 3 Sungai Linau, Kampung Parit Haji Hashim, Parit Hassan dan Kampung Melayu, Simpang Renggam.

Pegawai Khas Ahli Parlimen Simpang Renggam, Taib Kosman berkata, kejadian ribut berkenaan telah merosakkan beberapa rumah di lima kampung terbabit yang mana ia telah menerbangkan bumbung rumah penduduk.

“Kejadian berkenaan pada mulanya hanya hujan lebat sahaja tetapi tanpa di duga, ianya diikuti dengan angin kuat sehinggakan ada bumbung rumah tercabut dan ada juga rumah yang dihempap pokok.

“Berikutan dengan kejadian itu, saya mewakili Ahli Parlimen, Liang Teck Meng melawat kawasan yang terlibat dan secara serta merta menghubunginya berkaitan kejadian berkenaan kerana pada masa ini beliau berada di luar negara,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Taib berkata, Tek Meng telah mengeluarkan sedikit peruntukkan yang juga bantuan segera bagi membantu penduduk yang mengalami bencana berkenaan.

Menurutnya, Teck Meng berharap agar dengan bantuan kecemasan ini mangsa bencana ribut dapat menggunakan bantuan itu bagi membaiki rumah dan sebagainya.

“Bantuan yang diberikan beliau ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan mereka apatah lagi ianya berlaku pada Syawal.

“Dalam pada itu, kami juga ada meminta bantuan daripada pasukan bomba untuk membersihkan dan memotong pokok yang tumbang. Malah, kami bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa yang berlaku semasa bencana ribut melanda,” katanya.

Taib berkata, kerja pemantauan masih lagi dijalankan terutama dalam memberikan bantuan bagi mereka yang tiada tempat tinggal disebabkan rumah mereka rosak teruk akibat angin ribut.

Menurutnya, pihak Parlimen Simpang Renggam akan sentiasa berusaha membantu semua mangsa bencana ribut ini bagi meringankan beban mereka.

Tragedi bumbung terbang



TAMAN DESA HARMONI – :Hujan lebat berserta ribut menyebabkan bumbung lima buah rumah di Kampung Rumah 10, Plentong dan Taman Desa Harmoni diterbangkan angin kencang dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, kelmarin.

Adun Johor Jaya, Tan Cher Puk (gambar) berkata, tiga batang pokok turut tumbang di Jalan Harmoni Utama dan Kampung Rumah 10.

:Bagaimanapun, katanya, kejadian yang mengejutkan penduduk itu tidak menyebabkan kemalangan jiwa apabila pokok yang tumbang tidak menghempap kediaman atau kenderaan penduduk.

“Kita bernasib baik kerana bumbung yang diterbangkan angin kencang tidak terkena orang kerana tersangkut pada pokok dan tiga batang pokok yang tumbang termasuk sebatang pokok kelapa tidak menghempap rumah atau kenderaan yang lalu-lalang.

“Kita menghubungi pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengenai dua buah rumah di Kampung Rumah 10 dan tiga buah rumah di Taman Desa Harmoni, termasuk Pusat Aktiviti MCA Cawangan Taman Desa Harmoni yang mana bumbungnya telah diterbangkan angin dalam kejadian ribut petang semalam (kelmarin),” katanya.Cher Puk berkata, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dengan kejadian hujan dan ribut yang kerap melanda pada sebelah petang supaya tidak berlaku kejadian yang tidak diingini.

Menurutnya, mangsa yang terlibat bagaimanapun tidak mengalami kerugian besar dan jalan raya mula dibuka kepada lalu lintas kurang sejam apabila Unit Tindakan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bertindak cepat membersihkan pokok-pokok yang tumbang.

“Kita berterima kasih kepada Unit Tindakan MBJB kerana cukup cepat tiba ke lokasi kejadian kerana kurang sejam pokok-pokok yang tumbang akibat dipukul ribut dapat dibersihkan segera.

“Kita nasihatkan orang ramai supaya tidak berkeliaran di luar rumah dan lebih berwaspada setiap kali hujan lebat yang berserta ribut untuk :mengelakkan ada yang menjadi mangsa,” katanya.

Nyaris dipatuk ular tedung selar



PARIT YASIN - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun nyaris dipatuk ular dipercayai tedung selar ketika sedang bermain di belakang rumahnya di Parit Yasin, pagi semalam.

Ketika kejadian, Mat Harith Mat Relawan, sedang leka bermain dan menyahut panggilan datuknya, Mahat Ismail, 60, seperti biasa.

Mahat yang kemudiannya keluar dari rumah, terkejut selepas mendapati reptilia itu berada sangat hampir dengan cucunya.

“Ketika itu, saya bersama seorang kawan, Yeo Yang sedang berbual di beranda belakang rumah sebelum kami melihat ada seorang ular berwarna kuning sedang mendekati cucu saya,” katanya.

Cemas dengan situasi itu, dia meminta supaya cucunya itu tidak bergerak atau bangun dari tempat dia bermain.

Mujur, rakannya yang ketika itu berkunjung ke rumah untuk membeli hasil tani mempunyai senapang dan segera menembak kepala reptilia paling berbisa itu.

Sementara itu, ibu mangsa, Siti Marlina Abdullah, 23, yang ketika itu sedang mengemas rumah tersentak dengan jeritan anaknya yang meminta tolong berulang kali.

“Saya terkejut selepas anak meminta tolong dan terdengar pula bunyi tembakan. Apabila saya keluar anak saya sedang menangis ketakutan,” katanya.

Dia terus mendakap dan menenangkan anaknya itu dan bersyukur tiada perkara yang buruk berlakunya ke atas anaknya itu.

Mahat yang masih lagi terkejut dengan kejadian itu, berkata, sekiranya rakannya itu tiada ketika kejadian, sudah tentu cucunya itu kini sudah tiada lagi.

“Ketika itu saya tergamam melihat ular tedung selar ini hanya beberapa meter sahaja dari cucu saya,” katanya yang bekerja kampung.

Berikutan kejadian itu, rumahnya menjadi tumpuan penduduk kampung untuk melihat sendiri ular tedung selar seberat tujuh kilogram yang boleh membunuh dengan satu patukan.

Difahamkan, kejadian serupa pernah berlaku pada keluarga ini, tujuh tahun lalu, apabila mereka sekeluarga menemui ular sawa seberat 200 kilogram belakang rumah. 

Empat lelaki diburu



IPOH – Empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan pistol dan tukul besi berjaya melarikan barangan kemas bernilai RM50,000 dalam satu rompakan kedai emas di Jalan Sultan Iskandar di sini, semalam.

Dalam kejadian pada jam 3.25 petang itu, kesemua penjenayah menaiki kereta Proton Persona meluru masuk ke dalam kedai itu dan mengambil masa kira-kira lima minit untuk melarikan 10 dulang emas.

Pemilik kedai emas turut diacukan pistol manakala, dua lelaki bertindak memecahkan cermin meja pameran sebelum melarikan barang kemas seperti rantai kaki dan gelang tangan.

Bagaimanapun, kereta yang dinaiki suspek berjaya dikesan pihak peronda setengah jam selepas kejadian kemudian terbabas berhampiran Waller Court di sini. Namun, suspek berjaya melarikan diri.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, pasukan forensik mengadakan siasatan pada kereta berkenaan untuk mendapatkan klu bagi mengesan suspek.

Katanya, jenayah terancang itu dilakukan penjenayah yang berusia lingkungan umur 20an dan 30an dan kesemua mereka memakai jaket hitam serta bersarung tangan.

Pengawal, penganggur ditahan



BATU PAHAT - Seorang daripada tiga suspek yang dipercayai pengedar dadah gagal melarikan diri daripada polis apabila ‘sarang’ mereka diserbu, awal pagi semalam.

Serbuan yang diketuai Inspektor Mohd Mokhtar Mohd Nor dilakukan kira-kira jam 12.15 pagi, menjumpai dadah bernilai kira-kira RM6,100 melibatkan tiga lelaki tempatan berumur sekitar 29 hingga 36 tahun dan.

:Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, hasil daripada siasatan dan maklumat awam sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah Batu Pahat telah menyerbu sebuah rumah yang dipercayai menjadi pusat simpanan dadah berkenaan.

Menurutnya, polis berjaya menjumpai tiga paket plastik lut sinar Heroin seberat 210 gram yang dianggarkan bernilai RM5,200 dan enam papan ‘foil’ Eramin 5 sebanyak 54 biji bernilai RM900.

“Dalam serbuan berkenaan juga turut dirampas ialah wang tunai berjumlah RM3,770 yang dipercayai hasil daripada jualan dadah selain seutas rantai emas milik suspek.

“Siasatan awal mendapati kumpulan suspek ini menjalankan aktiviti pengedaran mereka di sekitar daerah ini dan dua daripada suspek mempunyai rekod kesalahan lampau termasuk kegiatan jenayah.

“Semasa ditahan di rumah di Taman Soga yang dipercayai milik salah seorang suspek, ke semua dadah berkenaan berada di atas lantai manakala ketiga-tiga suspek sedang berehat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, semalam.

Din berkata, ketiga-tiga suspek yang terdiri daripada pengawal keselamatan dan dua daripadanya penganggur ini akan ditahan reman selama tujuh hari sehingga 21 September ini untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika sabit kesalahan ketiga-tiga suspek berkenaan boleh dihukum gantung sampai mati.

“Polis mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang memberikan maklumat selama ini kerana dengan maklumat berkenaan membolehkan polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah sekitar daerah ini.

“Bagi mereka yang mempunyai maklumat berkaitan apa juga kegiatan jenayah atau melihat sesuatu yang mencurigakan, bolehlah menghubungi pihak polis di talian hotline 074343999,” katanya.

Remaja cuba serang polis mati ditembak



IPOH - Seorang remaja lelaki ditembak mati ketika cuba menyerang seorang anggota polis dalam satu kejadian samun melibatkan empat lelaki bersenjata parang, di sebuah pusat hiburan di Jalan Mustapha Al-Bakri Pekan Baru Ipoh, awal pagi semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Shukri Dahlan ketika mengesahkan kejadian berkata, dalam kejadian sekitar 12.10 pagi itu, Kathir Oli a/l Pakir Mohammad 21, ditembak ketika cuba menyerang anggota polis bersama dua lagi rakan.

Bagaimanapun, anggota polis itu berjaya melepaskan satu das tembakan ke arah semua lelaki terbabit dan mengenai Kathir Oli.

Sementara tiga daripada mereka diberkas hasil kerjasama pasukan bantuan polis (D9) dari bangunan berhampiran.

“Tiga lagi rakan Kathir Oli direman sehingga 22 September untuk bantu siasatan,” katanya pada sidang media di Mes Pegawai Kanan Polis di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Zakaria Yusoff.

Sementara itu, polis sedang mengesan K Nathan, 31, yang dipercayai boleh membantu siasatan berhubung dua kejadian melepaskan tembakan di dua lokasi berbeza di Ipoh.

Alamat terakhir Nathan, di No.6, Laluan Klebang Ria, Taman Klebang Ria Chemor.

“Kejadian pertama berlaku 4 September lalu sekitar 12.30 di hadapan Fresh Hotel Taman Mas sementara kejadian kedua di Taman Rishah menyebabkan seorang mangsa cedera.

Polis menggesa orang ramai yang mengetahui atau mengenali lelaki ini menghubungi talian 05-241500 (Insp. Abd Nizam Ab. Latif).

Tak sempat makan malam



MANTIN – Jika sebelum ini, dia sudah dua kali terlibat dalam kemalangan. Namun, kelmarin, dia sekali lagi terlibat dalam kemalangan sehingga meragut nyawanya.

Itu yang berlaku kepada Mohd Khalid Abd Rani, 53, apabila maut selepas motosikal ditungganginya dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki tiga pelajar lelaki warga Afrika di Jalan Mantin - Nilai, berhampiran Kampung Gebok, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu menyebabkan mangsa yang juga seorang pengawal keselamatan yang dalam perjalanan ke rumahnya di Kampung Rawa Hilir, Lenggeng, meninggal dunia di tempat kejadian.

Isteri mangsa, Hamidah Ahmad, 54, berkata, suaminya dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja di Batang Benar, Nilai untuk makan malam sebelum memulakan syif baru pada 7 petang.

“Tapi saya pelik sebab pada 5 petang dia masih belum pulang ke rumah. Saya cuba menghubunginya tetapi tidak berjawab.

“Kira-kira 5.15 petang, seorang jiran datang ke rumah memberitahu ternampak motosikal suami saya tersadai di bahu jalan. Saya seolah-olah hilang nyawa bila diberitahu suami saya terlibat dalam kemalangan jalan raya dan meninggal di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya, semalam.

Hamidah berkata, pada hari raya pertama lalu, suaminya turut mengalami kemalangan di Nilai hingga menyebabkan bahunya terseliuh.

Malah, katanya, sebelum kejadian itu, arwah yang mempunyai dua anak turut mengalami kemalangan, namun ketika itu dia tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Tapi saya tak sangka pula kali ketiga kemalangan, ajal menjemputnya dan lebih membuatkan saya sedih arwah tidak sempat makan ayam goreng yang dimintanya untuk hidangan makan malam,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, kejadian berlaku apabila mangsa dipercayai mahu membuat pusingan U dan menyeberangi jalan dari arah Nilai ke Mantin.

“Perodua Myvi yang dinaiki lelaki Afrika dari sebuah kolej swasta, Mantin berusia 18 hingga 21 tahun itu bagaimanapun tidak sempat membrek lalu merempuh belakang sebelah kiri motor.

“Akibatnya, mangsa terjatuh, diseret serta meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala,” katanya.

Beliau berkata, pemandu kereta itu berusia 21 tahun itu melarikan diri dan meninggalkan dua rakannya lain di dalam kereta itu.

“Bagaimanapun, pemandu terbabit menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban pagi tadi (semalam) selepas menyedari polis menahan dua rakannya,” katanya.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin mengesahkan menerima laporan kejadian itu. 

Dua kereta bertembung




PADANG BESAR – Seorang warga emas menemui ajal selepas kenderaan jenis Perodua Kelisa yang dinaikinya bersama adik dan ibu saudara bertembung dengan Proton Iswara yang dinaiki dua remaja lelaki di kilometer 15.8 Jalan Padang Besar-Kangar, kira-kira jam 4.40 petang kelmarin.

Hasil pertembungan itu juga mendapati, aktiviti dua remaja lelaki berkenaan terbongkar apabila muatan minyak untuk diseludup ke negara jiran dalam tangki tambahan yang dipasang di kenderaan mereka tertumpah ke atas jalan raya.

Anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis dengan pantas telah menyembur air ke kawasan tumpahan minyak bagi mengelak berlaku kebakaran.

Pegawai Turus Trafik Negeri, Asisten Superintendan Rusli Yahaya ketika dihubungi berkata, kejadian berlaku apabila kedua-dua kenderaan dari arah bertentangan bertembung antara satu sama lain.

Katanya, kereta yang dinaiki tiga warga emas itu adalah dari arah Padang Besar-Kangar manakala kereta yang dinaiki dua remaja lelaki itu pula dari arah Kangar-Padang Besar.

Mangsa, iaitu Manis Ismail, 60, meninggal di tempat kejadian manakala adiknya, Hasnah Ismail, 57, dan ibu saudaranya, Mek Saad, 68, menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar.

Dua remaja lelaki yang berumur 19 dan 16 tahun yang telah cuba melarikan diri selepas kejadian berjaya ditahan ketika hadir ke Balai Polis Padang Besar kira-kira jam 10 pagi semalam.

“Punca kejadian masih disiasat dan kedua-dua remaja yang terbabit telah menyerah diri di balai polis semalam.

“Polis tidak menolak kemungkinan kenderaan terbabit digunakan untuk menyeludup minyak berikutan terdapat tangki tambahan dan hos yang dipasang pada kenderaan terbabit,” katanya.

Rusli berkata, kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalanraya 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian.

Cemas diterkam penyamun



REMBAU – Seorang warga emas tidak dapat melupakan detik cemas diterkam penyamun ketika nyenyak tidur dan bergelut selama beberapa minit dalam kejadian pecah rumah kira-kira jam 5 pagi, semalam.

Warga emas berkenaan, Kamariah Arifin, 80, dari Kampung Air Hitam, Chembong berkata, kejadian pecah masuk rumah itu merupakan kejadian kali ketiga berlaku sejak 2004 di mana majoritinya berlaku pada awal pagi.

Menurutnya, ketika kejadian, dia yang tinggal dan tidur sendirian terperanjat apabila diterkam penyamun.

“Saya sempat menjerit dan menendang-nendang penyamun sebelum mata dan mulut ditutup menggunakan tangan penyamun. Saya juga diarahkan untuk mendiamkan diri.

“Saya tidak tahu berapa orang penyamun yang ada di dalam rumah ketika itu tetapi percaya jumlahnya lebih daripada seorang,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya, semalam.

Kamariah berkata, susulan pergelutan itu, bajunya turut terkoyak di bahu lengan kiri dan kanan serta di pipi kanan terdapat kesan calar dipercayai terkena kuku salah seorang penyamun.

“Ketika pergelutan, penyamun berjaya membawa lari seutas rantai emas yang telah terputus dua dan gelang emas yang keseluruhannya bernilai hampir RM10,000 serta satu telefon bimbit.

“Saya percaya penyamun berkenaan masuk ke kediamannya melalui tingkap di bahagian dapur dan terdapat kesan roboh di pagar rumahnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom mengesahkan ada menerima laporan berhubung kes berkenaan dan setakat ini masih belum ada sebarang tangkapan dibuat.

Lelaki ditemui mati dalam kereta



KAJANG – Misteri bau busuk dari sebuah kereta yang diletakkan di lot parkir kereta akhirnya terungkai apabila seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan duduk di bahagian pemandu kereta di Batu 11, Cheras, dekat sini, kelmarin.

Difahamkan, kenderaan berkenaan telah tiga hari berada di kawasan itu dan ia hanya disedari apabila orang awam yang kebetulan lalu di kawasan berkenaan terhidu bau busuk sebelum bertindak mendekati kenderaan berkenaan.

Mangsa seorang lelaki Cina yang berusia 58 tahun ketika ditemui hanya memakai seluar pendek warna biru dan kemeja-T coklat berbelang.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abd Rashid Abd Wahab ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian.

“Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian bolehlah tampil di balai polis berhampiran atau menghubungi Balai Polis Kajang,” katanya. 

Bapa dituduh rogol anak tiri



KUANTAN- Seorang bapa berdepan hukuman penjara hingga 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan semalam atas tuduhan melakukan sumbang mahram dengan merogol anak tirinya di rumah mereka di Kampung Cherating dekat sini, 6 September lalu.

Tertuduh yang berusia 34 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas tuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah di hadapan Hakim Fathiyah Idris.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam terpaksa meringkuk dalam penjara selepas mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang membantah ikat jamin ke atas lelaki itu atas faktor keselamatan mangsa kerana sebelum ini mereka tinggal bersama.

Tetuduh cuba mencelah merayu supaya dibenarkan ikat jamin bagaimanapun Fathiyah meminta dia memfailkan permohonan yang lengkap berhubung perkara tersebut.

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh melantik peguam dalam tempoh sebulan bagi mewakilinya dalam perbicaraan akan datang.

Mahkamah sebelum itu menunggu untuk menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh selepas dia memilih untuk mengaku bersalah.

Bagaimanapun, ketika sidang mahkamah bersambung semula, tertuduh menukar pengakuannya kepada tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Fatiyah berkata, tertuduh berhak berbuat demikian bagaimanapun dia mengingatkan lelaki itu bahawa, jika dia didapati bersalah di akhir kes perbicaraan kelak, tertuduh tidak berpeluang mendapatkan hukuman ringan (minimum).

Sebaliknya tertuduh berkemungkinan berdepan hukuman yang lebih tinggi atau hukuman maksimum yang diperuntukkan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.

“Kamu perlu sedar, mengikut seksyen ini, kamu berdepan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan,” katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 13 Oktober depan sebagai tarikh sebutan lantikan peguam bagi kes tersebut.

Pemilik kerbau sebak



SANTONG – Seorang pengembala kerbau sebak dan hanya mampu menitiskan air mata sebaik melihat haiwan kesayangannya dikerat dua oleh penjenayah tidak berhati perut yang bertindak menyembelih badan kerbaunya itu sebelum melarikan sebahagian daging.

Pemilik kerbau terbabit, Mohd Norizam Othman, 43, berkata, kerbau yang dibelinya dengan harga RM6,000 sejak lebih setahun lalu itu digunakan untuk kerja menghalau kerbau lain di hutan dan diletakkan di kawasan hutan di Kampung Tok Harun, berdekatan Jalan JPP 56, dekat sini.

Bagaimanapun, ketika ingin memulakan rutin hariannya kira-kira jam 10 pagi kelmarin, dia terkejut apabila mendapati kerbau kesayangannya itu berada di bawah pokok.

“Apabila saya hampiri, alangkah terkejutnya saya mendapati kerbau denak saya hanya tinggal separuh. Bahagian badannya terpotong dua. Hanya baha-gian kepala yang tinggal, bahagian ekor lesap.

“Tindakan penjenayah terbabit menyembelih badan kerbau secara tidak berperikemanusiaan itu amat menyayat hati saya kerana ia begitu jinak. Malah, sudah lebih setahun saya memeliharanya,” kata Norizam.

Berikutan kejadian itu, Norizam yang berasal dari Felda Kerteh 4 membuat satu laporan polis di Balai Polis Paka lalu satu gera-kan memburu suspek disyaki dilancarkan sebelum sebuah Perodua Myvi dinaiki dua lelaki ditahan Unit Kereta Peronda di Air Putih, Kemaman kira-kira jam 6 petang semalam.

Ketika ditahan, dua penjenayah terbabit dipercayai dalam perjalanan menghantar daging kerbau yang dicurinya dengan Perodua Myvi yang disewanya.

Turut ditemui sebahagian daging kerbau diletakkan di bahagian tempat duduk kereta Perodua Myvi itu, dipercayai barang kes.

Siasatan awal polis mendapati suspek bertindak menggantung leher kerbau di dahan pokok sebelum bertindak mengerat badan kerbau terbabit dan melarikannya.

Kejadian dipercayai dilakukan pada waktu malam untuk mengelakkan perbuatannya diketahui penduduk tempatan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan mengesahkan penahanan dua suspek lelaki tempatan berusia 17 dan 26 dan kes masih dalam siasatan.

87 ditahan hadiri pesta liar






Anggota polis menguji air kencing sebahagian daripada peserta parti liar di sebuah banglo di pusat peranginan terkenal di Alor Gajah, awal pagi semalam.


ALOR GAJAH 16 Sept. - Tujuh pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) adalah antara 87 yang ditahan polis ketika leka menyertai parti dadah dan arak di sebuah banglo pusat peranginan terkenal di sini awal pagi ini.
Selain dalam keadaan mabuk, sebahagian besar daripada mereka yang ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 2.30 pagi itu turut berada dalam keadaan khayal selepas mengambil dadah.
Malah, dalam sebuah bilik di banglo tersebut pula terdapat pasangan yang berpelukan dalam keadaan mengghairahkan.
Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 35 tahun manakala pelajar IPT terlibat pula terdiri daripada tiga lelaki dan empat perempuan dari Johor, Terengganu dan Kuala Lumpur.
Ketika serbuan dilakukan, kesemua mereka tidak menyedari kehadiran polis kerana sedang leka menari dengan pasangan masing-masing selepas mengambil dadah.
Difahamkan, pesta liar itu dianjurkan oleh seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang menggunakan laman sosial Facebook untuk berinteraksi dengan semua peserta.
Serbuan diketuai Inspektor Risikan Operasi dan Tahanan, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik negeri, Cif Inspektor Mohd. Hisham A. Rahman bersama 14 anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri.
Menurut sumber polis, serbuan dibuat di sebuah banglo yang mempunyai lima bilik selepas menerima maklumat daripada orang awam.
"Bertindak daripada maklumat tersebut sepasukan polis membuat intipan sebelum membuat serbuan kira-kira pukul 2.30 pagi," katanya di sini hari ini.
Sumber itu memberitahu, seramai 34 orang ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 di mana 15 daripadanya positif mengambil dadah jenis syabu dan ganja.
Katanya, 19 lagi daripada mereka termasuk seorang wanita dan pelajar IPT ditahan kerana memiliki dadah.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan Md. Azmi Othman ketika dihubungi mengesahkan serbuan dan tangkapan itu.

Penduduk Canberra dipindah kilang kimia terbakar




ASAP tebal berkepul-kepul terbang ke udara kesan kebakaran pada kilang kimia di kawasan perindustrian Mitchell di Canberra, Australia, semalam. - AFP


SYDNEY 16 Sept. - Perkhidmatan kecemasan Australia bergelut memadamkan satu kebakaran kimia besar di ibu negara Canberra semalam, walaupun kebimbangan mengenai penyebaran asap toksik semakin berkurangan.
Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kecemasan (ESA) berkata, kira-kira 100 penduduk dipindahkan dan mereka yang tinggal dalam radius 10 kilometer dari kawasan kejadian yang terletak di pinggir bandar Mitchell itu diminta tidak keluar rumah dan menutup tingkap.
Menurut beberapa laporan, api marak sehingga beberapa ratus meter ke udara dan penduduk turut dikejutkan dengan siri letupan serta bola api ketika kebakaran berlaku.
Bagaimanapun tiada kematian dilaporkan.
ESA berkata, produk-produk kimia yang terbakar di loji kitar semula bahan kimia itu menyebabkan kepulan asap hitam terbentuk dan mungkin mengandungi phosgene yang boleh menyebabkan masalah pernafasan.
Phosgene juga boleh menyebabkan iritasi pada kulit dan mata, rasa loya, pening, muntah-muntah serta sakit dada.
Pesuruhjaya ESA, Mark Crosweller bagaimanapun berkata, bacaan awal ke atas kualiti udara adalah baik.
Kebakaran yang boleh dilihat dari beberapa kilometer jauh itu turut menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas ekoran penutupan beberapa jalan, selain perkhidmatan bas dihentikan serta sekolah ditutup.
Punca kebakaran masih belum diketahui. - AFP

Polis tonton aksi rempit

KUALA LUMPUR: Taktik polis yang memberi peluang kepada Mat Rempit berpesta sambil menayangkan aksi berani mati sebelum melakukan serbuan membuahkan hasil apabila empat penunggang dan dua pembonceng motosikal ditahan di Dataran Merdeka, malam kelmarin.
Difahamkan, empat penunggang dan dua pembonceng motosikal itu asyik menunjukkan aksi berbahaya tanpa menyedari anggota polis berpakaian biasa menyaksikan pertunjukan mereka.

Dalam operasi Ops Ambang Merdeka dijalankan Unit Kuat Kuasa Khas (U3K) Trafik Kuala Lumpur kira-kira jam 12 tengah malam itu, enam suspek terbabit cuba meloloskan diri dengan meninggalkan motosikal mereka di kawasan berkenaan, tetapi gagal.

Ketua Unit Kuat Kuasa Khas Trafik Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Azmi Wahid, berkata Mat Rempit terbabit menunjukkan pelbagai aksi bahaya di jalan raya sebelum lokasi berkenaan digempur.

“Empat penunggang motosikal itu ditahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas kesalahan memandu secara melulu dan berbahaya hingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda minimum RM5,000 atau kedua-duanya.

“Dua lagi pembonceng motosikal ditahan mengikut Seksyen 111, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan semua Mat Rempit itu berusia 18 hingga 19 tahun,” katanya.


Menurutnya, 21 motosikal disita atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh manakala 58 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan.

Sementara itu, seorang penunggang motosikal parah selepas dirempuh sebuah kereta Honda di Bulatan Dato Onn berhampiran Bank Negara, kira-kira jam 2 pagi.

Difahamkan, kereta dipandu seorang lelaki berusia 20-an yang dipercayai di bawah pengaruh alkohol membuat pusingan di bulatan itu sebelum merempuh seorang penunggang motosikal.

Mangsa yang parah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut manakala pemandu kereta dibawa ke Balai Polis Trafik Jalan Bandar bagi tindakan lanjut.

Amah kebas barang kemas

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 33 tahun kerugian kira-kira RM10,000 apabila barang kemas milik isterinya dilarikan pembantu rumah warga Indonesia di rumahnya di Taman Danau Kota, di sini, kelmarin.
Mangsa menyedari kejadian itu kira-kira jam 5.30 petang apabila pemeriksaan di biliknya mendapati barang kemas di dalam almari lesap.

Menurut sumber, sebelum kejadian itu, mangsa melihat pembantu rumahnya berusia awal 20-an membawa beg plastik hitam dan meninggalkan rumah berkenaan kira-kira jam 4 petang.

“Pada mulanya mangsa menyangkakan pembantu rumahnya mahu membuang sampah, namun mula syak apabila dia tidak pulang selepas sejam kemudian,” katanya.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Setapak, di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

‘Saya nekad lawan perompak’

KUALA TERENGGANU: “Walaupun penjenayah itu mengugut mahu membunuh saya, ia tidak melemahkan semangat saya untuk mempertahankan diri daripada menjadi mangsanya apatah lagi mengenangkan anak yang pernah diragut,” kata Rohani Sulong, 48, mangsa rompakan di kedai runcit di Kampung Kuala Bekah, Chabang Tiga, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Rohani yang cedera di kedua-dua tangan dipercayai terkena pisau selain lebam di kepala dan belakang badan kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), manakala anaknya, Nor Fatiha Mohd Bidin, 22, menerima jahitan di jari tangan kiri akibat terkena pisau.

Ketika menceritakan detik cemas itu, ibu enam anak itu berkata, dia didatangi suspek berumur 32 tahun yang kononnya mahu membeli penyedut minuman sebelum dia memaklumkan tidak menjual barang berkenaan.

Katanya, suspek kemudian memaklumkan ingin membeli gula-gula 20 sen. Ketika itu, Rohani memaklumkan dia mula berasa tidak sedap hati dan sangkaannya tepat apabila suspek meragut rantai di leher ketika dia ingin memulangkan baki wang kepada penjenayah itu.

“Ketika itu, sebelah tangannya mengambil duit, manakala sebelah lagi cuba meragut rantai saya. Saya nekad melawannya dengan cuba memegang rantai sebelum berlaku pergelutan.

“Dalam pergelutan itu, penjenayah terbabit meminta rakannya yang berada di luar untuk membantu sebelum penjenayah itu ditahan anak saudara dengan bantuan orang kampung,” katanya yang ditemui di HSNZ di sini, semalam.


Semalam, Harian Metro melaporkan seorang penjenayah yang cuba merompak sebuah kedai runcit di Kampung Kuala Bekah, Chabang Tiga, di sini, bernasib malang apabila menerima rawatan di HSNZ selepas cedera ketika bergelut dalam usaha melarikan diri sebaik perbuatannya disedari, petang kelmarin.

Rakyat kita terbunuh serangan bom di Sungai Golok

SELATAN THAILAND: Seorang rakyat Malaysia terbunuh dalam tiga siri serangan bom membabitkan hotel dan kuil, dalam kejadian di Sungai Golok, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Sungai Golok, Kolonel Chakapon Phancon, berkata kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu menyebabkan lebih 30 individu parah.

“Semua mangsa dikejarkan Hospital Sungai Golok.

“Rakyat Malaysia yang terbunuh dalam kejadian itu tidak dikenal pasti identitinya setakat ini,” katanya.

Difahamkan, dua hotel yang menjadi sasaran serangan letupan bom itu ialah Hotel Parkson dan Hotel Merlin, dekat sini, yang berkedudukan kira-kira 50 meter antara satu dengan lain.

Selain itu, serangan disasarkan ke atas sebuah kuil.

Bayar RM150 buat maksiat

GEORGETOWN: Bilik sebuah apartmen mewah di satu kawasan terpencil di Jalan Tengku Kudin, di sini, dikesan menjadi lokasi pasangan untuk memadu kasih.
Tiga bilik dalam apartmen terbabit disewakan kepada orang ramai dan pasangan mengambil kesempatan menyewanya untuk melakukan maksiat dengan bayaran antara RM120 hingga RM150.

Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar apabila tiga pasangan kekasih yang asyik bermadu asmara dalam apartmen mewah itu diserbu sepasukan anggota polis dari Cawangan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), semalam.

Ketiga-tiga pasangan kekasih berusia 20-an ditahan mendapati mereka berdua-duaan dalam bilik apartmen itu.

Berikutan itu, mereka ditahan kerana kerana disyaki berkhalwat dan dibawa ke IPDTL untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada JHEAIPP.

Mereka ditahan mengikut Seksyen 27 (a)(b), Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 dan sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya.

Cari dadah jumpa senapang

PEKAN: Sepasukan anggota polis memeriksa rumah penagih dadah terkejut apabila menemui selaras senapang patah buatan sendiri dan sembilan butir peluru hidup, di Bukit Kenau, dekat sini, tengah malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, polis yang menerima maklumat berhubung kegiatan penagih berusia 40 tahun itu, membuat pemeriksaan di rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Yahaya Othman berkata, ketika pemeriksaan dijalankan, polis menemui senapang patah berkenaan bersama sembilan butir peluru hidup dalam bilik penagih terbabit.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, penagih terbabit mendakwa memperoleh senapang patah bersama peluru hidup itu melalui seorang lelaki Orang Asli yang menjual kepadanya.

Katanya, siasatan turut mendapati, penagih terbabit yang tinggal bersama keluarganya mendakwa baru memiliki senapang patah itu dan hanya digunakan untuk memburu binatang.

“Pada mulanya, polis mahu membuat pemeriksaan terhadap penagih itu berkaitan dengan kes dadah, namun tidak menyangka pula membawa kepada penemuan senapang patah berkenaan.


“Pada masa sama, kita turut mendapati sembilan peluru yang ditemui itu masih hidup sebelum senjata api berkenaan dirampas untuk pemeriksaan,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, suspek yang menagih heroin dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini, untuk siasatan berhubung penemuan senjata api berkenaan.

Katanya, polis menasihatkan orang ramai adalah menjadi kesalahan memiliki senjata api buatan sendiri dan polis tidak teragak-agak menahan individu jika didapati memiliki senjata api.

Yahaya berkata, penagih terbabit kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 8 (A) Akta Senjata Api 1960 dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

Temui raifal mirip AK47


RAMPAS...Inspektor Jakariya Jupakal menunjukkan senapang tiruan yang menyerupai AK47 sambil diperhatikan Hamza (kiri) di Kota Kinabalu, semalam.
RAMPAS...Inspektor Jakariya Jupakal menunjukkan senapang tiruan yang menyerupai AK47 sambil diperhatikan Hamza (kiri) di Kota Kinabalu, semalam.

KOTA KINABALU: Mengejutkan apabila polis turut menemui sebutir bom dinamit buatan sendiri serta raifal mirip AK-47 dipercayai tiruan, selain pelbagai jenis dadah apabila menahan satu pasangan kekasih dalam serbuan di sebuah taman perumahan di Jalan Damai di sini, Isnin lalu.
Dalam serbuan jam 10.30 pagi itu, polis merampas satu peluru AK-47, kanister dan satu bungkusan plastik mengandungi bebola kecil dipercayai digunakan sebagai peluru untuk rompakan bersenjata.

Selain itu, polis menemui beberapa peralatan pecah rumah termasuk kuku kambing, parang, pisau Rambo, pisau berbentuk sabit, pemutar skru dan pemotong besi dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan pecah rumah sekitar bandar raya ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu terhadap kenderaan jenis Nissan di Jalan Damai dan menahan seorang lelaki berusia 32 tahun serta wanita berusia 22 tahun kerana disyaki terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah.

“Pada mulanya, serbuan itu bagi mengesan aktiviti pengedaran dadah, namun siasatan lanjut membawa kepada penemuan senjata api tiruan dan peralatan pecah rumah di rumah suspek.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemui beberapa jenis dadah termasuk pil Eramin 5 dan masing-masing satu peket dipercayai mengandungi ganja dan syabu selain peralatan termasuk alat penimbang digital, pembalut aluminium dan pemetik api dianggarkan bernilai RM1,150,” katanya pada sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini, semalam.


Beliau berkata, lebih mengejutkan, hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui pelbagai senjata dan peralatan pecah rumah dalam sebuah bilik di rumah sama.

“Antara senjata ditemui ialah bom buatan sendiri, raifal AK-47 dipercayai tiruan, pistol tiruan, lima gas bagi meledakkan peluru, pisau Rambo dan sebilah sabit. “Selain itu, polis merampas pelbagai peralatan pecah rumah seperti kuku kambing, pemotong besi dan pemutar skru yang disembunyikan dalam bilik berkenaan,” katanya.

Menurutnya, susulan penahanan lelaki tempatan itu serta kekasihnya, warga China berusia 22 tahun yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah, polis menahan dua lagi lelaki dipercayai penjual senjata berkenaan.

“Lelaki terbabit masing-masing berusia 33 tahun ditahan pada Rabu dan Khamis lalu di sekitar Kota Kinabalu, namun tiada rampasan senjata dilakukan.

“Siasatan mendapati suspek pertama mempunyai kesalahan kes dadah lampau. “Kes itu disiasat mengikut Seksyen 36 (1), Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki senjata tiruan dan Seksyen 39A(1), Akta Dadah Berbahaya 1992 kerana memiliki dadah,” katanya.

Pesta dadah, seks diserbu


DITAHAN...sebahagian remaja lelaki yang ditahan, kelmarin.
DITAHAN...sebahagian remaja lelaki yang ditahan, kelmarin.

ALOR GAJAH: Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta dari Selangor serta negeri ini antara 87 ditahan ketika menyertai parti liar membabitkan pengambilan dadah di sebuah banglo dua tingkat di sebuah resort di sini, yang disewa kononnya bagi meraikan sambutan Hari Malaysia, malam kelmarin.
Difahamkan ketika pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri diketuai Inspektor Risikan Operasi dan Tahanan JSJN negeri, Cif Inspektor Mohd Hisham A Rahman menyerbu banglo terbabit kira-kira jam 2.30 pagi, ramai peserta pesta itu berhibur dalam keadaan khayal.

Menurut sumber, dalam serbuan itu, polis menahan 87 orang termasuk 17 perempuan dan sebahagian daripada mereka pelajar IPT awam dan swasta berusia 18 hingga 35 tahun.

Katanya, ketika serbuan, ada antara mereka berada di kawasan kolam renang dan ruang tamu, manakala sebahagian lagi dalam tiga bilik di tingkat atas dan lebih mengejutkan ada peserta tidur berpelukan tanpa menyedari kehadiran polis.

Penyertaan untuk pesta ‘private party’ itu dikatakan percuma, tetapi jemputan melalui laman sosial, facebook dan SMS daripada kenalan masing-masing. Malah, ada antara peserta tidak mengenali antara satu sama lain.

Harian Metro difahamkan, banglo itu turut dilengkapi sistem audio yang dikendalikan seorang DJ yang dipercayai kenalan kepada penganjur pesta berusia 30-an bagi menghiburkan pengunjung mulai jam 10 malam.


Menurut sumber itu, beberapa peserta yang menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri, namun gagal kerana banglo terbabit dikepung.

“Polis merampas dadah jenis syabu dan ganja dipercayai digunakan peserta,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, semua yang ditahan dibawa ke balai polis berdekatan untuk menjalani ujian air kencing dan hasilnya 15 suspek didapati positif dadah.

Seramai 19 suspek termasuk tujuh wanita ditahan kerana memiliki dadah manakala selebihnya dibebaskan tanpa syarat.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Md Azmi Othman yang dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

Difahamkan, turut ditahan dalam serbuan itu ialah seorang wanita yang sudah bertunang didapati memiliki dadah, manakala tunangnya dibebaskan tanpa syarat.

Kebanyakan pelajar yang menyertai parti berkenaan berasal dari Johor, Kuala Lumpur, Perlis serta Terengganu dan mereka terdiri daripada pelajar IPT, mekanik, penganggur dan jurujual.

Difahamkan, ketika siasatan awal, peserta parti itu cuba menyembunyikan identiti penganjur yang didakwa berada di Ipoh, Perak.

Malah, serbuan dianggotai empat pegawai dan 14 anggota JSJN IPK negeri itu dilakukan selepas mendapat maklumat risikan sejak awal Jun lalu dan penganjur didapati menggunakan facebook untuk menjemput peserta.

Tinjauan Harian Metro di banglo terbabit mendapati ia dipenuhi botol minuman keras selain penemuan kondom di luar pekarangan banglo itu.

Jahit timah dalam sotong


BUKTI...Mohd Shukri menunjukkan ketulan timah yang ditemui dalam sotong yang dibeli.
BUKTI...Mohd Shukri menunjukkan ketulan timah yang ditemui dalam sotong yang dibeli.

KUALA LUMPUR: Sotong batu ladung. Itu kejutan diterima seorang kakitangan sebuah sekolah di sini, selepas mendapati lebih 10 kilogram (kg) sotong kering yang dibeli bagi majlis kenduri kahwin anak keduanya mengandungi bahan tambahan berbentuk ketulan timah, seberat 2kg yang dijahit pada beberapa bahagian sotong itu.
Mohd Shukri Taib, 56, berkata dia membeli sotong kering berkenaan secara borong di sebuah kedai pemborong makanan kering di Selayang, di sini, pagi kelmarin.

Menurutnya, selepas membawa pulang makanan kering itu, dia bersama isteri mula menyiang sotong itu menjadi kepingan kecil dan terkejut apabila mendapati beberapa bahagian sotong yang bersaiz besar sukar dikerat terutama pada bahagian ekor dan kepala.

“Selepas membelek sotong itu, saya terkejut apabila menjumpai dua biji batu ladung (pemberat yang digunakan untuk memancing) terselit di celah ekor manakala dua lagi di kepala.

“Lebih mencurigakan, ketulan itu seolah-olah sengaja diletakkan kerana ia dijahit dengan rapi menggunakan tali tangsi,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Selepas menjumpai ‘bahan tambahan’ itu, Mohd Shukri dan isteri memeriksa semua sotong yang belum disiang dan mendapati semuanya mengandungi ketulan timah.


Mohd Syukri berkata, sebelum ini keluarganya sudah biasa membeli barang makanan kering di kedai berkenaan, tetapi dalam kuantiti yang kecil.

“Boleh dikatakan saya pelanggan tetap kedai itu dan kerap membeli barang makanan kering seperti sotong, ikan masin atau udang kering, namun ini kali pertama saya membeli dalam kuantiti yang banyak.

“Saya mengesyaki ketulan timah itu hanya diletakkan pada makanan kering yang dijual secara pukal bagi mengelak taktik itu dikesan pembeli yang hanya menyedari perkara ini selepas pulang ke rumah,” katanya yang turut membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Katanya, boleh dikatakan setiap sotong kering bersaiz sederhana dan besar mengandungi tiga hingga empat ketulan timah dan tidak dapat dilihat pembeli sekiranya tidak dibelek dengan teliti.

Menurut Mohd Shukri, dia membeli makanan kering itu pada harga RM44 sekilogram dan nilai keseluruhan bagi satu bungkusan besar yang dibeli berjumlah RM455 dengan berat lebih 10 kilogram.

“Saya enggan menuduh, namun musykil dengan tindakan menyelit ketulan timah itu pada sotong kering berkenaan. Saya mengesyaki ia mungkin sengaja dijahit bagi menipu berat sebenar sotong kering itu yang mungkin tidak mencecah nilai yang tertera,” katanya.

Katanya, selepas ditimbang semula, berat sebenar sotong itu kira-kira lapan kilogram manakala berat ketulan batu yang ditemui dianggarkan dua kilogram.

Mohd Shukri berkata, dia bukan sahaja tertipu, malah terpaksa berbelanja lebih untuk membeli sotong tambahan untuk kenduri anaknya.

Sementara itu, Pengarah Penguat kuasa KPDNKK Selangor, Othman Nawang berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berdasarkan aduan yang diterima bagi mengenal pasti punca ketulan batu itu diselit pada sotong berkenaan.

“Kita akan menyiasat kes itu kerana berdasarkan maklumat kemungkinan wujud unsur penipuan timbangan bagi makanan kering yang dijual,” katanya.

Rakyat kita mangsa bom Golok



Oleh Norliza Wasilan
norlizawasilan@bharian.com.my
2011/09/17

ANTARA mangsa   yang cedera  akibat serangan bom  di Sungai Golok, malam tadi.
ANTARA mangsa yang cedera akibat serangan bom di Sungai Golok, malam tadi.
60 cedera, dua maut dalam tiga serangan berasingan di selatan Thailand 

SUNGAI GOLOK (Selatan Thailand): Rakyat Malaysia antara yang dipercayai maut dalam serangan bom yang dilakukan serentak di tiga lokasi berasingan dalam kejadian bom di Sungai Golok malam tadi.
Laporan awal pihak berkuasa menyebut kira-kira 60 orang cedera dalam kejadian pada jam 7.15 petang waktu Thailand (8.15 malam waktu Malaysia), tetapi tidak diketahui sama ada cedera parah atau sebaliknya, manakala dua orang terbunuh termasuk seorang rakyat Malaysia yang belum dikenal pasti identitinya.
Setakat jam 10 malam tadi, belum diketahui berapa ramai rakyat Malaysia yang cedera. 

Ketua Polis Sungai Golok, Kolonel Chakapon Phanon, ketika mengulas kejadian berkata, tiga lokasi serangan membabitkan dua hotel iaitu Hotel Parkson dan Hotel Merlin serta sebuah tokong. 

Katanya, semua mangsa yang maut dan cedera dihantar ke Hospital Sungai Golok. 
“Jarak antara kedua-dua hotel yang menjadi lokasi serangan berada tidak jauh iaitu 50 meter. Polis tidak dapat mengenal pasti identiti mangsa yang mati atau cedera setakat ini. 
“Polis percaya kejadian ini dilakukan puak pemisah. Bagaimanapun, siasatan terperinci akan dilakukan untuk memastikan pihak yang bertanggungjawab dalam insiden itu,” katanya. 

Pekan Golok menjadi destinasi popular di kalangan rakyat Malaysia terutama di Kelantan untuk membeli-belah terutama pada hujung minggu atau cuti umum. 

Ibu tunggal derita sakit rayu anak pulang





JOHOR BAHRU – Seorang ibu tunggal kini hidup tertekan ekoran kehilangan anak perempuannya berusia 16 tahun sejak Rabu lalu dipercayai melarikan diri dari rumah.
Lebih membimbangkan, Hong Chee Fen, 39, dari Taman Saujana, Kota Tinggi turut menghidap penyakit kanser pangkal rahim dan kehilangan anaknya, Hng Wei Nee (gambar) menjejaskan lagi kesihatannya.
Chee Fen berkata, dia menyedari anaknya hilang apabila tidak lagi menjawab panggilan telefonnya sejak Rabu lalu.
“Pada hari itu, dia tinggal berseorangan di rumah dan saya berada di salun rambut milik saya tidak jauh dari rumah.
“Pada pukul 6.30 petang, saya telefon dia sebab hendak hantar makanan malam tetapi telefon bimbitnya tidak berjawab lalu saya terus pulang ke rumah,” katanya pada sidang akhbar di Kelab Akhbar Cina di sini semalam.