Search This Blog

Friday, September 16, 2011

15 wanita ditahan terlibat kegiatan maksiat




WANITA warga asing yang ditahan dalam serbuan di Bandar Puteri, kerana menjalankan kegiatan maksiat.


KUALA LUMPUR 15 Sept. - Sebanyak 15 wanita ditahan kerana disyaki menjalankan kegiatan maksiat dalam serbuan polis di sebuah pusat kecantikan, spa dan sauna tiga tingkat di Jalan Puteri 5/20, Bandar Puteri, Puchong, dekat sini malam tadi.
Dalam serbuan pukul 12 tengah malam itu, yang dilakukan hasil maklumat awam, polis turut menahan empat lelaki berusia 30-an yang dipercayai pelanggan selain 10 penjaga wanita tersebut.
Serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota dari Urusetia Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) Risikan/Operasi Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.
Ketua Operasinya, Asisten Supritendan Ammi Shah Fadhil berkata, tujuh daripada wanita yang ditahan adalah warga China, Vietnam (tujuh) dan seorang rakyat tempatan.
Katanya, siasatan mendapati kesemua warga asing itu datang ke negara ini menggunakan pas pelancong.
"Pusat itu baru beroperasi kurang sebulan dan berselindung di sebalik lesen pusat kecantikan, spa dan sauna.
"Namun kegiatan mereka adalah menjalankan kegiatan pelacuran dengan penemuan kondom dan 12 bilik kecil," katanya ketika ditemui selepas operasi tersebut di sini tengah malam tadi.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati harga yang ditawarkan sebanyak RM120 untuk urutan batin sementara pakej seks pula kira-kira RM200.
Katanya, kesemua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Puchong untuk siasatan lanjut.

Pelajar maut motosikal terbabas



KOTA BHARU 15 Sept. - Seorang ibu tidak menyangka perubahan sikap anaknya yang menjadi terlalu manja merupakan petanda remaja itu akan menemui ajal apabila maut dalam kemalangan di Kampung Badak Mati, Bukit Marak dekat sini, malam tadi.
Dalam kejadian pukul 11.45 malam itu, Mohd. Amirul Faiz Zamri, 19, pelajar Pondok Sungai Bayu, Gua Musang maut di tempat kejadian selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas dan melanggar tiang elektrik.
Difahamkan motosikal yang ditunggangi mangsa dari Pauh Lima menghala ke Binjai itu dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas dan dia cedera parah di kepala dipercayai tidak memakai topi keledar.
Ibu mangsa, Latifah Mohd. Nor, 47, berkata, anak ketiga daripada tujuh beradik tersebut keluar dari rumah kira-kira pukul 8.40 malam untuk ke rumah saudaranya di Bukit Marak kira-kira dua kilometer dari kediaman mereka.
Menurutnya, beberapa hari sebelum kejadian anak lelakinya itu menunjukkan sikap yang lebih manja dan sangat penyayang terhadap adik-adiknya.

Penunggang maut dilanggar lari






Anggota polis mengutip cebisan mayat Cheok Chee Loong selepas digilis beberapa kenderaan dalam kejadian langgar lari di Kilometer 18.1 Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, semalam.


TELOK KEMANG 15 Sept. - Seorang penunggang motosikal maut dalam keadaan ngeri selepas digilis oleh beberapa kenderaan dalam satu kejadian langgar lari di Kilometer 18.1 Lebuh Raya Seremban-Port Dickson dekat sini di sini malam tadi.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 7.55 malam itu, Cheok Chee Loong, 27, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan beberapa bahagian badan.
Ketua Polis daerah, Supritendan Baljeet Singh berkata, semasa kejadian mangsa yang menunggang motosikal dipercayai dalam perjalanan pulang ke Lukut dari tempat kerja di sebuah kilang perabot di Seremban.
"Tiba di tempat kejadian lelaki itu dikatakan dilanggar dari belakang oleh sebuah kenderaan yang tidak dikenali menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan raya sebelum digilis oleh beberapa kenderaan yang lain.
"Kejadian itu menyebabkan kepala mangsa pecah manakala tangan dan kakinya putus," katanya di sini hari ini.
Menurutnya, keadaan lebuh raya yang gelap menyebabkan pengguna jalan raya tidak nampak mangsa terjatuh di atas jalan.
"Sehingga kini pemandu kenderaan yang melanggarnya masih belum membuat sebarang laporan berhubung kejadian itu.
"Sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson di talian 06-647 2222," jelasnya.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat sebelum diserah kepada keluarga untuk urusan pengkebumian.

Kubur bayi digali semula



PENGKALAN KUBUR 15 Sept. - Kubur seorang bayi lelaki berusia empat bulan di Tanah Perkuburan Islam Geting Tengah di sini, terpaksa digali semula berikutan arahan mahkamah setelah keluarganya tidak melaporkan kematiannya kepada polis.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Supritendan Khalid Munap berkata, kerja-kerja dijalankan dengan disaksikan Majistret Pasir Mas, pegawai Jabatan Agama Islam Kelantan dan imam kampung.
"Maklumat awal mendapati bayi itu menghidap lemah jantung dan sindrom down sejak lahir. Bayi itu meninggal di rumah keluarganya di Kampung Geting, pukul 12.30 tengah malam kelmarin.
"Ketika kejadian, bapa bayi itu, Adam Hamid, 45, yang merupakan seorang nelayan tiada di rumah kerana pergi menangkap ikan. Sejurus pulang, lelaki itu mendapati anaknya telah dikebumikan," ujarnya.

Mercun dirampas






Komander Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Padang Besar, ASP Noor Janihan Nanyan (tengah) menunjukkan mercun papan yang dirampas selepas sidang akhbar semalam. - bernama


PADANG BESAR 15 Sept. - Meskipun Tahun Baru Cina hanya akan disambut tiga bulan lagi tetapi kegiatan penyeludupan mercun telah mula dikesan khususnya di sempadan negeri ini.
Buktinya, sebanyak 364 kilogram mercun papan bernilai RM36,000 dirampas sepasukan anggota Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Chuping, di sini hari ini.
Bertindak hasil maklumat, lapan anggota UPP itu menyerbu sebuah ladang tebu dan menemui 13 kotak mercun berkenaan, kira-kira 15 meter dari pagar sempadan Malaysia-Thailand.
Pemangku Komander UPP Negeri, Asissten Supritendan Noor Janihan Nayan berkata, serbuan pukul 9.45 pagi itu diketuai oleh Sarjan Ibrahim Nor.
"Hasil maklumat, pasukan itu telah membuat intipan sehingga menemui kesan tapak kaki dan seterusnya kotak-kotak berisi mercun tersebut.
"Kotak-kotak itu disorokkan di antara celah pokok tebu. Pasukan itu menunggu beberapa jam bagi mengesan pemilik barangan tersebut tetapi tidak berhasil.
"Kita hanya mengesan dua penunggang lelaki motosikal bernombor pendaftaran Malaysia dan Thailand berlegar-legar di kawasan itu," katanya kepada para pemberita di sini, hari ini.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan pihaknya turut mengesan lubang pada pagar di sempadan itu, dipercayai untuk menjalankan kegiatan penyeludupan.
Beliau berkata, kawasan ladang tebu berhampiran pagar sempadan negara dikesan kini menjadi tumpuan penyeludup untuk menyeludup pelbagai barang.
"Jika dahulu ia menjadi tumpuan penyeludupan pendatang asing tanpa izin, kini ia turut dijadikan laluan untuk menyeludup barang," ujarnya.

Lelaki tuntut hutang dari rakan, mati dibunuh



KUALA LUMPUR 15 Sept. - Gara-gara hutang, dua lelaki yang bersahabat baik menjadi musuh dan akhirnya bergaduh sehingga mengakibatkan seorang terbunuh di Bandar Baru Selayang, dekat sini malam tadi.
Hubungan baik dua sahabat terbabit menjadi keruh apabila salah seorang daripada mereka enggan membayar wang RM15,000 yang dipinjam sebelum itu.
Keengganan lelaki terbabit membayar balik pinjaman telah menyebabkan rakannya berang, lalu bertindak mencarinya di rumah dan menyerangnya dengan parang.
Disebabkan mahu mempertahankan diri, mangsa yang diserang bertindak balas dengan memukul rakannya menggunakan kayu menyebabkan lelaki itu maut akibat mengalami kecederaan di dahi dan dada.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, mangsa yang terbunuh, Wong Chee Sun, 61, sebelum kejadian, memaklumkan kepada anak perempuannya yang dia mahu ke rumah kawannya di Bandar Baru Selayang untuk menuntut hutang RM15,000 yang dipinjam lelaki tersebut.
"Mangsa bagaimanapun tidak pulang ke rumah walaupun sudah hampir setengah jam keluar menyebabkan isteri bersama dua anaknya menjadi bimbang lalu pergi mencarinya di rumah rakannya itu.
"Tiba di situ, mereka terkejut melihat mangsa terbaring tidak sedarkan diri di sebelah rakannya yang turut mengalami luka di tangan kiri dipercayai terkena parang," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Abdul Rahim berkata, mereka kemudian membawa mangsa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan tetapi lelaki warga emas terbabit disahkan mati tidak lama selepas itu.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan, mangsa didapati mengalami bengkak di dahi dan dada yang dipercayai punca kematiannya.
Katanya, polis kemudian menahan rakan mangsa berusia 45 tahun untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Saluran paip minyak bocor






Salah sebuah saluran paip minyak milik Esso terbakar selepas dipercayai pecah di Batu 2, Jalan Pantai, Port Dickson, semalam.


TELOK KEMANG 15 Sept. - Salah sebuah saluran paip minyak milik syarikat Esso Malaysia Berhad (EMB) di Batu 2, Jalan Pantai, Port Dickson, di sini dilaporkan mengalami kebocoran sehingga mengakibatkan berlaku kebakaran di loji itu awal pagi ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Yahya Jaafar berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pukul 1.08 pagi daripada pihak pengurusan loji sebelum bergegas ke lokasi kebakaran.
Katanya, seramai 32 anggota bersama lima jentera termasuk Pasukan Menangani Bencana Bahan Kimia (Hazmat) Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang, Port Dickson, Seremban dan Seremban 2 terlibat dalam operasi.
Tambahnya, selain itu, pihaknya turut dibantu pasukan pihak polis, Pasukan Bertindak Kecemasan (ERT) dari syarikat Esso dan Shell.
"Apabila sampai kami menghadapi kesukaran memadam kebakaran kerana api menjulang setinggi kira-kira 20 meter. Kebakaran hanya dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 3.36 pagi.
"Berdasarkan maklumat awal, kebakaran itu melibatkan kebocoran paip dan pemeriksaan mendapati tiada kerosakan lain di loji terbabit," katanya di sini, hari ini.
Yahya menjelaskan, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan dua tangki minyak serta sebuah tempat simpanan gas daripada turut terbakar.
"Kita percaya kebakaran itu berlaku akibat masalah teknikal tetapi punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan," katanya.
Dalam pada itu, EMB dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini menjelaskan, satu siasatan menyeluruh akan dijalankan untuk mengenal pasti punca kebakaran tersebut.
"Operasi di loji penapisan tersebut yang dihentikan sementara sebagai langkah keselamatan sudah disambung semula dan berjalan seperti biasa.
"Kejadian itu juga tidak menjejaskan operasi pengeluaran minyak di loji tersebut," katanya.

10 anggota bomba kena buang kerja setiap tahun





2011/09/16

MELAKA TENGAH: Kira-kira 10 anggota bomba dan penyelamat dibuang kerja di seluruh negara setiap tahun kerana masalah ponteng kerja dan terbabit dengan aktiviti penyalahgunaan dadah, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim. 

Ketika mendedahkan perkara itu, beliau berkata, pihaknya memandang serius masalah itu dan sentiasa mengambil langkah wajar bagi mengelak ia terus berlarutan sehingga menjejaskan imej pasukan itu.
“Ini satu perkara yang tidak boleh bertolak ansur dan mana-mana anggota yang dikesan terbabit pasti dikenakan hukuman,” katanya selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Khidmat Cemerlang Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka di Kompleks Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Melaka, Bukit Katil, semalam.

Kerugian kes tipu internet RM2.54j



Oleh Faiza Zainudin dan Nazura Ngah
bhnews@bharian.com.my
2011/09/16

Guna ubah modus operandi elak dikesan 

KUALA LUMPUR: Jumlah kerugian akibat kegiatan sindiket penipuan perbankan internet dipercayai didalangi warga asing mencapai RM2.54 juta dari Januari hingga Julai lalu, berbanding RM1.01 juta sepanjang tahun lalu.
Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Abu Hassan Alshari Yahaya, berkata jumlah itu diperoleh menerusi data pusat perkhidmatan pelanggan dikenali BNMLINK dan BNMTELINK yang merekodkan aduan penipuan pelanggan bank dari seluruh negara.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan lebih ramai mangsa mengalami kerugian tetapi enggan membuat laporan kerana malu selain bimbang imej tercalar berikutan ada di kalangan mereka terdiri daripada ahli politik, profesional dan akademik. 

Katanya, peningkatan kerugian disebabkan kelicikan sindiket yang menggunakan pelbagai modus operandi yang sentiasa berubah seiring perubahan teknologi maklumat bagi memperdaya dan mengeliru orang ramai termasuk menyamar sebagai polis, pegawai bank dan pegawai BNM. 

Selain menggunakan kaedah ‘phishing’ iaitu mencuri maklumat ketika pelanggan mengakses laman web perbankan internet palsu, sindiket berkenaan juga menggunakan teknik ‘spoofing’ iaitu memalsukan nombor telefon digunakan untuk menghubungi mangsa bagi menyembunyikan identiti. 

“Kaedah ‘spoofing’ juga membuatkan nombor pemanggil yang tertera kelihatan seperti nombor bank komersial, nombor agensi kerajaan dan nombor BNM. 
“Mereka yang menipu sangat bijak kerana pandai berlakon seperti wakil bank, syarikat kad kredit dan pegawai kerajaan untuk meyakinkan mangsa mendedahkan maklumat perbankan, kata laluan dan maklumat sulit lain. 

“Sindiket juga mengupah ‘runner’ terdiri daripada pelajar atau penganggur untuk mengguna akaun bank mereka sebagai transit bagi tempoh singkat bagi transaksi wang diperoleh daripada akaun mangsa,” katanya kepada Berita Harian, semalam. 

100 keluarga pindah banjir kilat



Oleh Siti Sofia Md Nasir
bhnews@bharian.com.my
2011/09/16

Hujan lebat 12 jam genangi Kampung Sri Sentosa hingga paras dada 

KUALA SELANGOR: Lebih 100 keluarga di Kampung Sri Sentosa, Ijok, di sini, semalam terpaksa berpindah ke kawasan lebih tinggi berikutan banjir kilat yang melanda kampung mereka.
Hujan lebat yang berterusan hampir 12 jam sehingga awal pagi semalam itu menyebabkan kawasan berkenaan dinaiki air sehingga paras dada.
Setiausaha Masjid Taufikiyah, Ismail Hanafiah, 59, berkata kampungnya kerap mengalami banjir namun banjir kali ini ia kejadian paling teruk. 

"Saya sedih dengan apa yang berlaku di kampung saya. Sampai bila masalah banjir ini akan berterusan melanda kampung ini? 

"Mujur ada masjid yang dapat dijadikan tempat berkumpul bagi mangsa banjir," katanya ketika ditemui di Masjid Taufikiyah, di sini. 

Ismail percaya pembangunan yang tidak dirancang rapi menjadi punca banjir kali ini berlaku dengan lebih teruk. 
Katanya, pihak pemaju hanya melihat pada keuntungan tanpa memikirkan kesan terhadap penduduk. 

Sementara itu, penduduk, R Rancheathan, 53, berkata beliau tidak sempat menyelamatkan barangan di rumahnya kerana air naik terlalu cepat. 

"Semua barang elektrik saya musnah. Sebelum ini rumah saya pernah dinaiki air tetapi saya sempat menyelamatkan beberapa barang penting. Banjir kali ini sangat teruk. Saya harap ada pihak dapat membantu mengurangkan beban kami," katanya yang tinggal dua beranak bersama anak gadisnnya. 

Bagi Saerah Basran, 61, beliau terpaksa menanggung kerugian kerana ayam ternakannya mati akibat banjir. 

"Saya sudah 37 tahun tinggal di kampung ini. Inilah musibah yang paling teruk melanda kampung kami. 

"Walaupun rumah saya dibina tinggi, air masih naik hingga ke paras lutut. Saya berharap pihak berwajib dapat menyelesaikan masalah banjir yang kerap melanda kampung kami," katanya. 

1,000 bungkusan mercun papan dalam semak





2011/09/16

 NOOR JANIHAN (tengah) menunjukkan mercun yang  dirampas dalam operasi di UPP Chuping.
NOOR JANIHAN (tengah) menunjukkan mercun yang dirampas dalam operasi di UPP Chuping.
PADANG BESAR: Kekerapan dua lelaki bermotosikal berulang-alik ke laluan keselamatan berhampiran sempadan Malaysia-Thailand, di sini, membongkar penemuan 1,000 bungkusan mercun papan bernilai lebih RM36,400 di kawasan terbabit, pagi semalam. 

Difahamkan, semua stok mercun yang dimuatkan ke dalam 13 kotak besar itu ditemui tersorok di kawasan semak berhampiran Pos C1 di laluan keselamatan terbabit, selepas siasatan lanjut dilakukan pihak berkuasa di sekitar lokasi berkenaan kira-kira jam 10 pagi.
Berdasarkan maklumat, stok berkenaan ditemui selepas dua lelaki terbabit yang disedari kerap mengunjungi kawasan berkenaan melarikan diri sejurus menyedari kegiatan mereka dihidu sepasukan anggota Unit Pencegah Penyeludupan (UPP).
Namun, selepas siasatan lanjut dilakukan ke atas laluan digunakan suspek melalui kesan tayar motosikal mereka, anggota bertugas kemudian menemui sejumlah kotak besar yang kemudian disahkan mengandungi stok mercun. 

Pemangku Komander UPP Perlis, Asisten Superintendan Noor Janihan Nanyan, berkata pihaknya percaya semua stok terbabit baru dibawa masuk dari negara jiran melalui pagar sempadan sebelum ditinggalkan di dalam semak berkenaan. 

Hasil maklumat, katanya, beliau yakin dua suspek berkenaan berulang-alik menggunakan motosikal untuk memunggah stok berkenaan sedikit demi sedikit sebelum dibawa ke tempat pengumpulan untuk diedarkan khusus bagi stok Tahun Baru Cina. 

“Kita terpaksa meninjau gerak-geri kedua-dua suspek selama kira dua jam, sebelum serbuan dilakukan. Bagaimanapun, kedua-dua suspek sempat melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa. 
“Semua stok mercun seberat 364 kilogram dengan nilai lebih RM36,400 itu kemudian dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(d) Akta kastam 1967,” katanya. 

Awas warga asing minta derma



Oleh Rahmat Othman
bhnews@bharian.com.my
2011/09/16

  LELAKI disyaki  warga Pakistan  menutup muka bagi mengelak gambarnya dirakamkan selepas dikesan meminta derma anak yatim di Yan.
LELAKI disyaki warga Pakistan menutup muka bagi mengelak gambarnya dirakamkan selepas dikesan meminta derma anak yatim di Yan.
Rakyat Pakistan raih RM400 sehari perdaya orang ramai bantuan anak yatim

YAN: Kegiatan meminta derma di kalangan warga Pakistan dengan menggunakan sijil kebenaran palsu yang kononnya dikeluarkan Jabatan Agama Islam Kedah, kini bergerak aktif di beberapa daerah di negeri ini sejak sebulan lalu.
Difahamkan, dengan sijil palsu berkenaan, peminta derma terbabit mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM300 sehari hasil kutipan daripada penduduk setempat, kononnya untuk membantu anak yatim di negara asalnya.
Saya berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan bagi mengelak lebih ramai rakyat tempatan ditipu. - Mohamed Hassan, Pesara tentera.
Bagi meraih simpati orang ramai, warga Pakistan itu menunjukkan beberapa keping gambar yang didakwa anak yatim dari negaranya yang memerlukan bantuan segera.

Tinjauan Berita Harian baru-baru ini di daerah ini turut menemui seorang warga Pakistan berusia 30-an sedang menjalankan kegiatan mengutip derma dengan mengunjungi rumah penduduk setempat.

Lelaki yang mendakwa tidak berapa fasih berbahasa Inggeris itu turut menunjukkan sekeping gambar bangunan lama yang didakwanya asrama anak yatim yang perlu dibaik pulih, selain menunjukkan sekeping salinan surat dari JAIK kononnya memberi kebenaran mengutip derma di negeri ini sejak awal tahun ini.

Bagaimanapun, dia melarikan diri ketakutan selepas menyedari kegiatannya terbongkar, selain menutup muka bagi mengelak gambarnya diambil. 
Seorang pesara tentera, Mohamed Hassan, 51, mendakwa sejak kebelakangan ini ramai warga asing terutama warga Pakistan datang meminta derma di sekitar daerah ini, kononnya membantu anak yatim.

“Saya percaya ini adalah jalan untuk mereka mendapatkan wang secara mudah, yang mana dalam sehari mereka boleh mendapat antara RM300 ke RM400 dengan penipuan itu,” katanya.

Mohamed berkata, dia berasa ragu-ragu apabila didatangi peminta derma lelaki warga Pakistan, namun terpaksa menghulurkan derma bagi mengelak daripada terus diganggu.

“Saya berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan bagi mengelak lebih ramai rakyat tempatan ditipu,” katanya.

Seorang kakitangan kerajaan yang hanya mahu dikenali sebagai Mohidin, 44, mendakwa peminta derma rakyat asing itu juga sering mengganggu urusan orang ramai.

“Kita tengah sibuk bekerja, dia datang berceloteh panjang sambil meminta derma untuk anak yatim di negaranya. Bagi saya lebih baik saya memberi sumbangan anak yatim di negara ini daripada anak yatim yang tidak pasti kewujudannya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JAIK, Datuk Khairudin Zin, ketika dihubungi mengingatkan rakyat tempatan supaya tidak terpedaya dengan peminta derma warga asing berkenaan.

Katanya, JAIK tidak lagi membenarkan warga asing mengutip sebarang derma di negeri ini, kecuali pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan yang dibenarkan oleh antara dua kerajaan.

“Saya percaya surat salinan JAIK yang dibawa peminta derma warga asing itu adalah palsu kerana kami sudah tiga tahun tidak mengeluarkan surat seumpama itu kepada warga asing,” katanya. 

Dua penyamun dipenjara 12 tahun



SHAH ALAM - Dua lelaki warga Indonesia dihukum penjara 12 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam kerana menyamun dan mengelar seorang suri rumah, Raja Noriana Raja Ahmad (gambar), 41, sehingga menyebabkan kematiannya tiga tahun lalu.
Hakim Aslam Zainuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Gatut Prastiyo, 26, dan Rotab Mohamad, 23, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah bagi pertuduhan pindaan kerana merompak.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.
Mereka sebelum itu didakwa di bawah Seksyen 4 Akta Senjata 1960.
Gatut dan Rotab didakwa bersama-sama dua orang lain yang telah meninggal dunia, melakukan rompakan secara berkumpulan ke atas harta milik Yusof Abdul, 69, dan isteri, Raja Noriana di antara pukul 4.15 pagi hingga 5.30 pagi di rumah No. 6 Jalan Akuatik 13/66, Seksyen 13, Shah Alam pada 9 September 2008.
Antara barang-barang yang dicuri termasuklah sebuah telefon bimbit jenama Nokia, kamera Sony, barang kemas berupa lapan bentuk cincin, tiga pasang subang, lima utas rantai emas, dua buah loket, dua gelang emas dan sebuah jam tangan.
Pendakwaan telah dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin manakala tertuduh diwakili Ram Karpal Singh.
Kosmo! pernah melaporkan keluarga mangsa yang ketika itu ingin bersahur mendapati rumah mereka yang baru diduduki kurang dua minggu di Seksyen 13 di sini dipecah masuk oleh sekumpulan penyamun warga Indonesia.
Dalam kejadian itu, Raja Noriana, ibu kepada dua orang anak yang dijadikan tebusan terbunuh akibat cedera parah selepas ditikam di leher, belakang serta dikelar di rusuk kiri.

Disangka babi



ANGGOTA polis melihat mayat Chamren yang mati ketika berburu babi hutan di Baling kelmarin.


BALING – Hobi seorang lelaki yang gemar berburu babi hutan pada setiap minggu memakan diri apabila dia maut selepas terkena tembakan yang disyaki dilepaskan oleh rakannya di kebun getah di Kampung Sungai Limau, Mukim Kupang dekat sini kelmarin.
Kejadian pukul 5.30 petang itu mengakibatkan lelaki berketurunan Thailand, Chamren Duroon, 56, dari Kampung Pegang, Mukim Pulai mati di tempat kejadian.
Difahamkan, rakan mangsa bertindak melepaskan tembakan selepas menyangka Chamren ialah haiwan buruan.
Ketua Polis Daerah Baling, Supritendan Mat Daud Mat Hasan berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan rakannya sering berburu setiap minggu dan mereka telah berpecah sebaik sampai di kebun getah tersebut.
Katanya, rakan mangsa yang mungkin ternampak objek bergerak dan disangka babi hutan kemudian telah melepaskan tembakan menggunakan senapang patah sebelum terkejut melihat mangsa berlumuran darah.
“Mungkin keadaan di situ gelap disusuli dengan hujan menyebabkan rakan mangsa tidak perasan lalu melepaskan tembakan. Tempat kejadian kira-kira 800 meter dari jalan utama.
“Rakan mangsa berusia lingkungan 50-an ditahan ketika dia datang untuk membuat laporan di Balai Polis Kupang mengenai kejadian tersebut,” katanya yang memberitahu mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat.
Tambahnya, selain lelaki itu, polis turut merampas selaras senapang. Suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan iaitu membunuh tanpa niat.
Sementara itu, adik mangsa, Rakwi, 52, berkata, tiada apa-apa perubahan yang dilihat pada abangnya ketika mereka bertemu pada pukul 3 petang.
“Abang tidak banyak cakap dan hanya memberitahu yang dia hendak pergi berburu dengan rakan. Tiga jam kemudian, saya terima panggilan mengenai kejadian itu,” ceritanya.
Mayat mangsa dituntut keluarganya tengah hari semalam sebelum dibakar.

Padah serang polis




ANGGOTA polis mengangkat mayat suspek yang mati terkena tembakan ketika cuba merompak sebuah pub di Jalan Mustapha Al-Bakri, Ipoh semalam.


IPOH - Tindakan empat lelaki yang cuba menyerang seorang anggota polis selepas diarahkan menyerah diri mengundang padah apabila salah seorang mati ditembak manakala bakinya dapat ditahan dalam kejadian di Jalan Mustapha Al-Bakri di sini semalam.
Kejadian pukul 12.30 tengah malam itu berlaku ketika suspek berusia di antara 20 dan 31 tahun itu sedang merompak sebuah pub.
Anggota polis tersebut yang berada di kawasan berdekatan kemudian bergegas ke tempat kejadian sebaik terdengar jeritan meminta tolong oleh seorang wanita.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, suspek terus menyerang anggota polis itu dengan parang dan besi selepas mangsa memperkenalkan dirinya sebagai anggota keselamatan.

Putih mata lesap RM10 juta




KHAIRUL ANWAR (kiri) menerangkan sesuatu kepada mangsa tipu, Rosnani (tengah) sambil diperhatikan anaknya, Nurul Syakila Mohd. Imran di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Sepuluh usahawan mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM10 juta akibat ditipu seorang wanita yang mendakwa dirinya pegawai kanan polis. Pengerusi Sukarelawan Peguam (Sukaguam), Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, mangsa mendakwa ditipu tahun lalu oleh wanita itu yang memperkenalkan nama sebagai Kak Su.
“Usahawan-usahawan ini pada mulanya ditawarkan tender kerajaan yang boleh memberi keuntungan antara RM1 juta dan RM6 juta oleh Kak Su sehingga mereka sanggup melabur ribuan ringgit kepadanya,” ujarnya pada sidang akhbar di sini semalam. Justeru, katanya, pihaknya menggesa kes berkenaan disiasat segera kerana ia menjatuhkan nama baik jabatan kerajaan. Salah seorang mangsa, Rosnani Sengari @ Basar, 46, berkata, pada awalnya, dia sendiri tidak mempercayai kata-kata Kak Su dan bimbang ditipu.
“Bagaimanapun, setelah dibawa ke premis kerajaan di Kuala Lumpur dan diperkenalkan dengan pegawai polis bertugas, saya mula yakin kontrak yang ditawarkan kepada Kak Su sah. “Jadi saya bersetuju membekalkan modal untuk membeli barangan dan peralatan untuk pertukangan, pameran dan pakaian seragam polis,” katanya.

'Jangan ganggu Hafizuddin'



ESAH (kanan) bersama Mohd. Hafizuddin yang semakin pulih selepas disimbah asid dalam kejadian 3 September lalu.


KUALA LUMPUR – “Cukup-cukuplah Natasha. Janganlah ganggu keluarga kami lagi.” Begitulah rintihan Esah Bakar, 62, yang merupakan ibu saudara kepada Mohd. Hafizuddin Johari, 20, yang disimbah asid di Kangar, Perlis baru-baru ini gara-gara mempunyai hubungan dengan seorang pondan yang dikenali Natasha Farisya, 28.
Sejak kejadian itu, dakwa Esah, keluarga Mohd. Hafizuddin hidup tidak tenteram dan diselubungi ketakutan kerana bimbang Natasha akan ‘merampas’ kembali anak lelaki mereka.
Dia mendakwa, berdasarkan maklumat yang diterima, Natasha kini dipercayai sedang merancang untuk melarikan Mohd. Hafizuddin buat kali ketiga kerana sebelum ini dia sudah dua kali berbuat demikian.
“Kali pertama dia melakukannya pada bulan Ramadan lalu, ketika Mohd. Hafizuddin menemani ibunya mengambil ubat di hospital.
“Kemudian Natasha melarikannya sekali lagi dari rumah ibu bapanya di Kangar pada hari raya ketiga yang lalu. Kami tidak mahu dia melarikan Hafizuddin buat kali ketiga,” ceritanya ketika berkunjung ke pejabat Kosmo! di sini semalam.