Search This Blog

Thursday, September 15, 2011

Loket berlian ditemui dalam perut pencuri



15/09/2011 2:42am

MADRID 15 Sept. – Sebutir loket bertatah berlian ditemui di dalam perut seorang pencuri di sini, hari ini selepas polis mengarahkan dia menjalani imbasan sinar-x.
Pencuri itu mencuri beg tangan kepunyaan seorang wanita Britain yang mengandungi 2,000 euro (RM8,400), sebuah telefon bimbit, loket bertatah berlian bernilai 12,000 euro (RM51,000) berkenaan dan barang-barang lain ketika berada dalam sebuah restoran.
Polis kemudian memberhentikan kereta pencuri tersebut di tempat pemeriksaan biasa kerana mempunyai rekod jenayah sebelum ini dan mereka menemui beg tangan wanita tersebut. - AFP

30 maut nahas pesawat di Uganda





2011/09/15

LUANDA: Pesawat Tentera Udara Angola terhempas awal pagi tadi di Lapangan Terbang Huambo, di tengah-tengah bandar raya dengan membunuh sekurang-kurangnya 30 orang, termasuk tiga jeneral tentera, kata pegawai tentera. 

Dalam nahas itu, enam terselamat, termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang yang mengalami kesan melecur sebelum dibawa ke hospital tentera untuk rawatan lanjut.
Orang awam turut menjadi mangsa nahas, termasuk dua wanita dan dua kanak-kanak, kata sumber.
"Saya tidak tahu apa yang berlaku, pesawat itu berkeadaan baik ketika berlepas, selepas itu saya tidak tahu apa yang berlaku," kata Kapten Jose Goncalves, yang terselamat dalam kemalangan itu ketika ditemui di hospital. - AFP 

Gudang musnah dalam kebakaran

PELABUHAN KLANG: Sebuah gudang menyimpan pelbagai barangan termasuk arak, tayar dan kabel elektrik, di sini, musnah dalam kebakaran malam semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Mohd Hamizal Ainuddin, berkata 32 anggota jabatan itu bersama lima jentera bomba dari Pelabuhan Klang, Sungai Pinang dan Kota Raja berkejar ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 10.06 malam.
"Apabila anggota bomba dan penyelamat tiba pada kira-kira jam 10.18 malam, 60 peratus gudang berkenaan dijilat api dan mereka mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengawal kebakaran dan mengelak api daripada merebak ke premis lain," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Hamizal berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta jumlah kerugian sedang disiasat. - BERNAMA 

Sebahagian loji penapis minyak musnah


API dilihat menjulang kira-kira 20 meter dalam kejadian kebakaran yang melanda loji penapis minyak milik Esso di Port Dickson, awal pagi tadi. - Foto Dzulkeffli Mustapha


PORT DICKSON - Sebahagian daripada loji penapis minyak milik Esso musnah dalam satu kebakaran di sini awal pagi ini melibatkan sebuah pam saluran penghantar minyak dari loji ke kapal.
Kira-kira 100 orang pekerja berada di loji berkenaan semasa kebakaran yang bermula pada lewat tengah malam dan sempat menyelematkan diri sementara api dapat dikawal dan dipadamkan sepenuhnya kira-kira empat jam kemudian.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Saadon Mokhtar memberitahu Bernama pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 1.06 pagi dan mengejarkan enam jentera bomba termasuk unit Hazamat (bahan merbahaya) bersama 32 anggota ke tempat kejadian.
Katanya, tiada laporan kemalangan atau kecederaan diterima dan kerja memadamkan kebakaran turut dibantu oleh dua jentera bersama-sama 24 anggota pasukan bomba Esso dan Shell.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat, tambah beliau.
Seorang pekerja di loji berkenaan Kassim Bee Mohamad Kassim, 49, berkata pada awalnya beliau terdengar bunyi mesin yang kuat dan letupan kemudiannya melihat api marak dengan tiba-tiba.
T. Mallika, 54, seorang pekerja berkata semasa kejadian, mereka sedang bekerja dan ketakutan serta terus lari keluar menyelamatkan diri apabila melihat api menjulang naik. - Bernama

15 ditahan judi di P. Pinang



15/09/2011 1:40pm

GEORGE TOWN - Polis menahan 15 orang termasuk seorang wanita yang sedang berjudi di Kampung Batak, Relau di sini semalam.
"Ketika diserbu mereka yang sedang leka berjudi di dalam sebuah kontena lama cuba melarikan diri bagaimanapun gagal kerana dikepung polis.
"Kita berjaya menahan 15 orang termasuk seorang wanita dalam serbuan berkenaan kira-kira 11 malam,” kata Pegawai Turus Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Kontijen Polis Pulau Pinang, ASP Mohd Sauti Harun.
Beliau berkata, serbuan dilakukan selepas pihak polis menjalankan intipan sejak seminggu lalu.
Kesemua yang ditahan merupakan penduduk tempatan yang berumur antara 25 dan 63 tahun.
Mohd Sauti berkata, pihaknya turut merampas wang tunai RM1,398 dan pelbagai peralatan perjudian antaranya meja, kerusi dan cip.
"Kita pernah menyerbu tempat berkenaan beberapa kali bagaimanapun mereka tetap menjalankan kegiatan perjudian secara berkumpulan di situ,” katanya yang mengetuai operasi tersebut.
Beliau berkata seramai tiga pegawai termasuk beliau dan 18 anggota terlibat dalam serbuan berkenaan dengan operasi berterusan akan dijalankan bagi membanteras aktiviti perjudian.
Kes itu disiasat menurut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. - Bernama

Jurukimpal dituduh bunuh bekas isteri



15/09/2011 3:15pm

KUANTAN - Seorang jurukimpal dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh bekas isterinya pada akhir bulan lepas.
Mohd Anis Abdul Rahim, 30, dituduh membunuh Hazlinda Mamat, 20, di tempat perkelahan Sungai Terpai di Sungai Lembing di sini pada 31 Ogos kira-kira 3 pagi hingga 2.30 petang 1 Sept lepas.
Tertuduh yang berasal dari Kampung Tiram di sini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Mohd Anis yang mempunyai seorang anak hasil perkahwinan dengan mangsa mengangguk faham selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nordiana Abdul Aziz, bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Cif Insp Mohd Azman Arifin manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

Banjir ganggu perkhidmatan KTMB



15/09/2011 7:00pm

KUALA LUMPUR - Limpahan air hujan yang mengganggu struktur landasan berpunca daripada hujan lebat lewat petang semalam di Km366.5 di antara stesen Sungai Buloh dan Rawang, Selangor menyebabkan gangguan terhadap perkhidmatan tren Komuter, perkhidmatan antara bandar, kargo dan tren elektrik (ETS).
Menurut kenyataan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hari ini ekoran kejadian itu kesemua perkhidmatan tersebut terpaksa dijadualkan semula. Bagi perkhidmatan KTM Komuter, perkhidmatan tren dari Sungai Gadut ke Rawang ditamatkan di stesen Sungai Buloh dan berpatah balik ke Sungai Gadut manakala penumpang dari Sungai Buloh ke Rawang boleh meneruskan perjalanan dengan perkhidmatan bas yang disediakan. Penumpang yang ingin ke Kuang boleh menaiki tren dari Rawang ke Kuang, bagaimanapun perkhidmatan Pelabuhan Klang ke Batu Caves dan Rawang ke Tanjung Malim tidak mengalami gangguan dan beroperasi seperti biasa.
Menurut kenyataan itu lagi antara perkhidmatan tren Antara Bandar yang terjejas dan dijadualkan semula ialah Ekspres Senandung Mutiara (No.23, Butterworth-Tanjung Malim) perkhidmatan Ekspres Sinaran Utara (No.10 Tanjung Malim- Butterworth) dan Perkhidmatan Ekspres Sinaran Utara (No.11 Butterworth-Tanjung Malim).
Turut terjejas ialah Perkhidmatan Ekspress Senandung Mutiara (No.22 Tanjung Malim-Butterworth), Perkhidmatan Ekspress Rakyat (No. 2 Singapura-KL Sentral, Tanjung Malim-Butterworth), Ekspress Rakyat (No. 1 Butterworth-Tanjung Malim, KL Sentral-Singapura) Ekspress Senandung Langkawi (No.21 Hat Yai-Ipoh) ekspress Senandung Langkawi (No.20 Ipoh-Hat Yai). Perkhidmatan ETS yang dijadual semula adalah semua perkhidmatan ETS dari Ipoh ke KL Sentral atau Seremban yang ditamatkan di Rawang dan penumpang dipindahkan dengan menaiki bas ke KL Sentral dan begitu juga sebaliknya.
Menurut kenyataan itu kerja-kerja membaik pulih landasan dan struktur di jangka dapat disiapkan pada awal pagi Sabtu ini.
Maklumat lanjut mengenai perkhidmatan KTMB boleh didapati dengan menghubungi talian Pusat Khidmat Pelanggan KTMB 1-300-88-5862 dari pukul 9 pagi hingga 10 malam. - Bernama

Ditahan curi pokok karas



15/09/2011 5:20pm

JOHOR BAHARU - Pasukan Gerakan Marin Wilayah Dua (PGM) menahan empat lelaki termasuk tiga warga Kemboja kerana menebang dan cuba mencuri pokok karas di Pulau Pisang dekat Pontian, di sini, semalam.
Komander PGM Wilayah Dua, ACP Zainul Abidin Hasan berkata, kesemua mereka ditahan kira-kira pukul 11.30 pagi oleh anggota PGM dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian semasa menjalankan rondaan berskala di pulau berkenaan.
"Anggota PGM dan IPD Pontian pada mulanya terserempak dengan enam orang yang sedang menebang pokok tersebut. Bagaimanapun, hanya empat daripada mereka yang berjaya ditahan manakala dua yang lain berjaya melarikan diri ke dalam hutan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya pihaknya turut merampas lima kapak, dua parang, tiga pemutar skru, tujuh batang besi diubahsuai serta dua karung kayu karas yang siap dipotong daripada mereka.
Zainul Abidin berkata kesemua mereka dipercayai menceroboh tanah rizab kerajaan dan melakukan kesalahan mengikut Kanun Tanah Negara 1984 (pindaan 1993) kerana mengambil hasil hutan tanpa kebenaran.
Katanya, pokok karas mendapat permintaan tinggi di pasaran kerana menghasilkan gaharu yang memberikan keuntungan berlipat kali ganda.
Kes berkenaan, katanya, diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Johor dan Pejabat Tanah Pontian untuk tindakan lanjut. - Bernama

UPP rampas mercun RM36,000



15/09/2011 7:00pm

PADANG BESAR - Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) merampas 13 kotak mercun papan bernilai RM36,000 di ladang tebu Chuping dekat sini hari ini.
Komander UPP Padang Besar ASP Noor Janihan Nanyan berkata, rampasan dilakukan pukul 9.45 pagi setelah anggota risik UPP menemui longgokan kotak mercun itu di celah-celah pokok tebu yang terletak kira-kira 15 meter dari pagar sempadan Malaysia-Thailand.
Mercun seberat 364 kilogram itu dipercayai diseludup masuk dari negara jiran melalui pagar sempadan yang telah dirosakkan, katanya pada sidang akhbar di sini.
Beliau berkata, UPP juga menemui kesan koyakan pada pagar sempadan itu yang dipercayai digunakan sebagai laluan oleh penyeludup. - Bernama

Lelaki ditembak cuba serang polis



15/09/2011 7:01pm

IPOH - Polis menembak mati seorang lelaki dan menahan tiga yang lain ketika mereka cuba menyamun sebuah kelab malam di Jalan Mustapha Al Bakri di sini awal hari ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Shukri Dahalan berkata, lelaki yang mati dalam kejadian pada pukul 12.10 pagi tadi dikenali sebagai Khathir Oli a/l Fakir Mohamad, 21, berasal dari sini.
Mayatnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.
"Anggota polis terbabit terpaksa melepaskan satu das tembakan ke atas lelaki itu bagi mempertahankan dirinya kerana suspek menyerangnya dengan sebilah parang selain berlaku pergelutan”, katanya kepada pemberita selepas majlis Sambutan Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini. - Bernama

3 minit larikan barang kemas



15/09/2011 7:17pm

IPOH - Empat lelaki seorang daripadanya dipercayai bersenjatakan sepucuk pistol dan tukul besi mengambil masa tiga minit untuk melarikan barang-barang kemas bernilai lebih RM50,000 dalam rompakan di sebuah kedai emas di Jalan Sultan Idris Shah di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Azisman Alias berkata, dalam kejadian pada pukul 3.25 petang itu, empat perompak tersebut menaiki sebuah Proton Persona.
Semasa kejadian, tiga lelaki itu memakai topeng, seorang lagi dipercayai bersenjatakan pistol dan tukul besi memasuki kedai emas lalu memecahkan meja cermin yang mengandungi barang-barang emas, katanya ketika dihubungi hari ini. - Bernama

Wanita cedera ditumbuk, ditampar



KOTA BHARU- Gara-gara selisih faham seorang wanita cedera selepas dipercayai ditumbuk dan ditampar oleh seorang lelaki yang dikenali dalam kejadian di Kampung Pasir Tumbuh, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang, mangsa yang berusia 47 tahun terbabit luka di siku kanan dan kaki serta lebam di dada dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II oleh saudara sepupunya yang berusia 60-an.

Bagaimanapun, mangsa yang enggan namanya disiarkan kini dibenarkan pulang ke rumah selepas semalaman menerima rawatan di HRPZ II kerana dikhuatiri retak tulang dada.

Mangsa juga ibu kepada empat anak itu berkata, kejadian berlaku ketika dia selesai membeli di salah sebuah kedai runcit yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya sebelum didatangi lelaki terbabit yang berusia lingkungan 40-an.

Katanya, sebaik selesai membeli, dia terus ditumbuk dan ditampar bertubi-tubi oleh lelaki terbabit sehingga terjatuh serta cedera tetapi tidak berdaya melawan.

“Sebelum diserang, saya menyedari dia berada di dalam kedai bersama-sama saya tetapi tidak menjangka akan berlaku pergelutan.

“Ketika kami bergaduh orang ramai melihatnya tetapi mereka tidak berani menolong dan selepas terjatuh saya bangun kemudiannya terus berjalan ke rumah bapa saudara yang terletak kira-kira 50 meter daripada tempat kejadian untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian membawanya ke Balai Polis Kubang Kerian membuat laporan sebelum dihantar ke HRPZ II untuk mendapatkan rawatan.

Ditanya mengenai punca kejadian, mangsa memberitahu, sebelum ini ada berlaku perselisihan faham dengan lelaki terbabit sehingga dia bertindak menyerangnya.

Bagaimanapun, katanya dia menyerahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan dan menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abd. Rafar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Beliau berkata, pihaknya akan memanggil kedua-dua pihak untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Kedai mainan rugi RM5,000



MACHANG - Pengusaha kedai mainan, Teh Yeoh Owne, 40, kerugian lebih RM5,000 apabila kedainya dipecah masuk dua kali dalam masa tiga hari, kelmarin.

Yeoh Owne berkata, kejadian pertama pada 10 September lalu, dia kerugian kira-kira RM2,000 melibatkan pelbagai jenis alat permainan termasuk kereta kawalan jauh dan selebihnya pada kejadian kedua.

Katanya, pada kejadian pertama, pencuri memecahkan siling kedainya di Kiosk Kesukma, Majlis Daerah Machang, dekat sini untuk masuk ke dalam kedai, namun berbeza pada kejadian kedua, apabila pencuri memotong kunci pintu kedai.

Katanya, dua laporan polis telah dibuat berhubung kejadian itu dan berharap tangkapan dapat dibuat dengan segera.

“Kami hanya menyedari kejadian itu ketika membuka kedai kira-kira jam 10 pagi dan tidak menolak kemungkinan individu sama memecah masuk kedai.

“Sudah tiga kali kedai dipecah masuk sejak beroperasi di sini dan kami percaya ia dilakukan golongan muda yang berminat dengan permainanan, di sini.

Yeoh Owne menjual pelbagai alat permainan termasuk kenderaan yang menggunakan alat kawalan jauh.

Katanya, walaupun terletak di tengah bandar, namun pencuri berjaya memecah masuk kedainya tanpa disedari sesiapa.

Menurutnya, biarpun sedih kedai dipecah masuk, namun dia tetap berniaga seperti biasa dengan dibantu anak lelakinya. 

Pemandu maut, tunang parah



MACHANG - Seorang lelaki, Noor Iskandar Yusop, 25 maut apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori ketika berpatah balik mahu mengambil barangan yang tertinggal di rumah tunangnya, di sini, lewat malam, kelmarin.

Mangsa dipercayai dalam perjalanan ke Kuala Lumpur bersama tunangnya, Mariam Hussin, 27 setelah pulang melawat nenek Mariam yang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam di Kilometer 32.7, Jalan Machang-Kota Bharu, mangsa, Noor Iskandar, pemandu kereta jenis Perodua MyVi, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di seluruh badan manakala tunangnya, Mariam, pula cedera parah sebelum dikejarkan ke Hospital Machang (Hosmac).

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan, Che Malek Bedot berkata, kereta yang dipandu Noor Iskandar dari arah Kuala Krai ke Kota Bharu bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan.

Katanya, kedua-dua kenderaan tersebut dipercayai dipandu laju manakala salah satu daripadanya cuba memotong kenderaan di hadapan.

“Difahamkan pasangan tunang tersebut dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dan dipercayai berpatah balik memandangkan kenderaan yang dipandunya dari arah Kuala Krai ke Kota Bharu.

“Noor Iskandar yang berasal daripada Gemas, Negeri Sembilan manakala Mariam beralamat di Bachok bekerja di Kuala Lumpur dan pulang untuk menziarahi nenek Mariam yang sakit,’’ katanya.

Sementara itu, bapa saudara Mariam, Abdul Aziz Harun, 39, berkata anak saudaranya itu pulang ke kampung, bersama seorang lagi bapa saudaranya dengan menaiki kenderaan lain bagi menziarahi neneknya.

“Noor Iskandar tiba dari Kuala Lumpur sehari sebelum kejadian dan dikenali sebagai seorang peramah serta mudah mesra dengan ahli keluarga kami lain dan kali terakhir saya berbual dengannya ialah ketika dia bersama Mariam di HUSM, kira-kira 7 petang kelmarin.

“Saya tidak tahu waktu bila mereka bertolak ke Kuala Lumpur, namun, saya sempat menasihati Noor Iskandar supaya memandu kereta secara berhati-hati,” katanya

Abdul Aziz berkata , Mariam mengikat tali pertunangan dengan lelaki pilihannya itu, Mei lalu dan kedua-dua mereka dijangka melangsungkan perkahwinan sempena cuti persekolahan pada penghujung tahun ini.

Leka mop lantai, suri rumah dirompak RM20,000



SHAH ALAM – Gara-gara leka mencuci lantai, seorang suri rumah nyaris maut apabila kediamannya dimasuki, empat perompak bersenjatakan parang dalam kejadian di Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini, Isnin lalu.

Suri rumah berusia 45 tahun itu juga, terpaksa berputih mata, apabila barang kemas serta wang tunai RM20,000 turut dilarikan perompak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Shah Alam, Deputi Superintendan Kamaruddin Ismail berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi ketika wanita itu berseorangan di rumah.

Beliau berkata, sebelum kejadian mangsa membuka pintu pagar dan pintu rumah, sambil mop lantai.

“Mangsa terlalu asyik dengan kerjanya, tidak sedar kehadiran empat perompak menyerbu masuk dan terus mengacu parang ke arahnya.

“Keempat-empat perompak itu mengarah, mangsa tunduk dan melarangnya melihat mereka. Perompak terus ikat tangan mangsa dengan tali pita ukur,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, semua perompak lingkungan 20-an itu, terus menggeledah rumah mangsa dan mengambil RM20,000.

“Mereka turut mengambil rantai leher, subang, gelang termasuk cincin yang dipakai, sebelum melarikan diri,” katanya.

Kamaruddin berkata, mangsa kemudiannya menjerit dan berlari ke rumah jiran untuk mendapatkan bantuan.

Menurutnya, mangsa membuat laporan polis dan dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan.

Beliau berkata, usaha memburu keempat-empat perompak, giat dijalankan dan polis menyeru orang ramai mempunyai maklumat kejadian, untuk tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Koperal Jenain dihukum lima tahun penjara


IBU Allahyarham Aminulrasyid Amzah, Norsiah Mohamad (kanan) bersama bapa saudara arwah, Kamaruddin Arshad berbincang selepas Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Koperal Jenain Subi, 48, (gambar kecil) apabila didapati bersalah menyebabkan kematian anaknya pada April tahun lalu. - Foto BERNAMA/Sairien Nafis


SHAH ALAM - Seorang anggota polis berpangkat Koperal, Jenain Subi dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini setelah didapati bersalah menyebabkan kematian Aminulrasyid Amzah, 15, pada April tahun lalu.
Hakim Latifah Mohd Tahar membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Jenain, 48, didakwa melakukan kesalahan itu antara 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April 2010 di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini.

Pertuduhan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Aminulrasyid disahkan meninggal dunia akibat luka tembakan di kepala. Seramai 39 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani, Mohd Dusuki Mokhtar dan Adilla Ahmad sementara Jenain diwakili peguam M Athimulan, Salim Bashir dan Halim Ashgar Mohd Hilmi. - Bernama

15 ditahan kerana berjudi

GEORGE TOWN - Polis menahan 15 orang termasuk seorang wanita yang sedang berjudi di Kampung Batak, Relau, di sini, semalam.
"Ketika diserbu mereka yang sedang leka berjudi di dalam sebuah kontena lama cuba melarikan diri bagaimanapun gagal kerana dikepung polis.

"Kita berjaya menahan 15 orang termasuk seorang wanita dalam serbuan berkenaan kira-kira 11 malam," kata Pegawai Turus Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Kontinjen Polis Pulau Pinang, ASP Mohd Sauti Harun.

Beliau berkata, serbuan dilakukan selepas pihak polis menjalankan intipan sejak seminggu lalu.
Kesemua yang ditahan adalah penduduk tempatan yang berumur antara 25 dan 63 tahun.
Mohd Sauti berkata, pihaknya turut merampas wang tunai RM1,398 dan pelbagai peralatan perjudian antaranya meja, kerusi dan cip.
"Kita pernah menyerbu tempat berkenaan beberapa kali bagaimanapun mereka tetap menjalankan kegiatan perjudian secara berkumpulan di situ," katanya yang mengetuai operasi tersebut.

Beliau berkata, seramai tiga pegawai termasuk beliau dan 18 anggota terlibat dalam serbuan berkenaan dengan operasi berterusan akan dijalankan bagi membanteras aktiviti perjudian.
Kes itu disiasat menurut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. - Bernama

Nahas ngeri kereta api Argentina




PETUGAS penyelamat berkumpul di tapak nahas kereta api Buenos Aires, Argentina, semalam. - REUTERS


BUENOS AIRES 14 Sept. - Sekurang-kurangnya 11 penumpang maut manakala 212 yang lain cedera, apabila sebuah kereta api merempuh sebuah bas sebelum tergelincir dan melanggar kereta api lain dalam satu kemalangan di sebuah stesen pinggir bandar di sini, semalam.
Kejadian itu berlaku pada pukul 1000 GMT (6 petang waktu Malaysia) ketika beribu-ribu penumpang sedang berasak-asak untuk menaiki kereta api ke tempat kerja di stesen daerah Flores, barat daya Buenos Aires.
"Ketika kejadian, kereta api tersebut hilang kawalan dan merempuh sebuah bas.
"Kemudian ia tergelincir dari landasan lalu melanggar sebuah lagi kereta api yang datang dari arah bertentangan," kata jurucakap syarikat kereta api Buenos Aires.
Sementara itu di India, sebuah kereta api penumpang yang sedang merentasi selatan negara itu bertembung dengan sebuah kereta api lain di Chenai menyebabkan sekurang-kurangnya 10 maut, manakala 52 lagi cedera, semalam.
Menurut ketua polis Chenai, Shalendra Babu, lima gerabak turut tergelincir akibat pertembungan tersebut yang berlaku kira-kira 80 kilometer di barat daya Chenai, ibu kota Tamil Nadu.
Punca kejadian masih disiasat.
Pegawai Daerah, S. Nagarajan berkata, hujan lebat yang melanda menyukarkan operasi mencari dan menyelamat, namun kesemua mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital. - AFP/AP

Banjir di Perlis kian pulih




SEORANG lelaki (baju biru) membawa ahli keluarganya menaiki sampan yang sarat dengan kanak-kanak dan orang dewasa ke Kampung Bahor Pulai, Kangar, semalam. - BERNAMA


KANGAR 14 Sept. - Jumlah mangsa banjir di Perlis terus berkurangan dengan sebanyak 383 mangsa daripada 98 keluarga masih berada di tujuh pusat pemindahan yang kesemuanya di kawasan Kangar sehingga pukul 5 petang ini.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Perlis berkata, setakat ini 1,040 mangsa daripada 252 keluarga telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sejak Isnin dan 17 pusat pemindahan telah ditutup.
Lebih ramai mangsa dijangka dibenarkan pulang sehingga malam ini berikutan cuaca cerah dan keadaan banjir yang semakin surut di semua kawasan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar turut melawat kawasan yang dilanda banjir hari ini dan bertemu 80 mangsa banjir daripada 17 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan di surau Tebing Tinggi.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengarahkan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis agar terus bersiap sedia dan berjaga-jaga bagi menghadapi bencana banjir di negeri itu.
Menurut beliau, JKM di peringkat negeri dan daerah telah bersedia daripada pelbagai aspek untuk membantu mengsa banjir.
"Persediaan merangkumi urusan pengagihan bantuan makanan dan perlindungan untuk membantu mangsa-mangsa banjir yang terlibat walaupun keadaan kini terkawal.
"Persediaan rapi ini juga dirancang bagi memastikan mangsa-mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan dapat dibantu sepenuhnya," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, setakat ini keperluan asas telah diberikan oleh JKM kepada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan dan bantuan keperluan asas yang diberikan adalah seperti barangan makanan kering, tuala, selimut, tikar dan kit bencana. - Bernama

Lelaki maut jengkaut tergelincir





KULAIJAYA 14 Sept. - Gara-gara memberi laluan kepada kenderaan lain dari hadapan, seorang lelaki maut setelah jengkaut yang dipandunya tergelincir lalu terhumban dari tebing setinggi kira-kira empat meter semalam.
Kejadian berlaku pukul 5.30 petang, semasa mangsa, Chow Chee Wah, 47, melalui laluan sempit dan licin akibat hujan di Jalan Biru 10, Felda Penggeli Timur, Kulaijaya, dekat sini.
Semasa insiden itu, Chee Wah dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Pinang Hijau 3, Bandar Tenggara di sini.
Saksi, Ahmad Bujang, 48, berkata, kemalangan berlaku apabila mangsa memberi laluan kepada sebuah kereta yang datang dari arah hadapan.
"Malangnya, mangsa gagal mengawal jentera berat dipandu dan menyebabkannya tergelincir lalu terjatuh dari tebing di tepi jalan raya itu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, semalam.
Difahamkan, Chee Wah yang mempunyai empat anak bekerja sendiri dan berpengalaman memandu jentera berat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Osman Muhammad Sebot ketika dihubungi hari ini mengesahkan kemalangan dengan mangsa dipercayai mati di tempat kejadian.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya untuk dibawa pulang ke kampung halamannya di Bukit Sipot, Segamat.

Dua dibunuh sebagai amaran untuk pemberi maklumat

NUEVO LAREDO (Mexico): Mayat seorang lelaki dan wanita yang berlumuran darah dijumpai tergantung dari sebuah jambatan di timur laut Mexico, bersama dengan ugutan kepada sesiapa saja yang melaporkan mengenai jenayah dadah melalui laman sosial.
Kata polis, mesej yang ditinggalkan berdekatan dengan mayat separuh bogel, mengaitkannya dengan laman web untuk mereka yang melaporkan kejadian jenayah dadah.
Salah satu mesej itu bertulis, “Ini yang akan berlaku kepada mereka.” Ia ditandatangani dengan huruf ‘Z’ yang selalu dikaitkan dengan geng dadah, Zetas.

Nuevo Laredo terletak di timur laut Tamaulipas berdekatan dengan sempadan AS, dan geng Zetas sering dipertanggungjawabkan dalam keganasan yang berlaku di situ.


Geg Zetas bermula sebagai kumpulan bekas tentera yang bekerja sebagai askar upahan oleh kartel dadah Gulf sekitar 90-an.

3 cubaan seludup heroin dalam perut gagal

DUBAI: Pegawai kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai menumpaskan tiga cubaan menyeludup kapsul dadah yang ditelan tiga penumpang warga asing dalam insiden berasingan.
Pengarah Jabatan Operasi Penumpang Kastam Dubai, Ali al-Mughawi berkata, kuantiti dadah jenis heroin itu dengan sebanyak 219 kapsul dianggarkan lebih 2.5 kilogram.

Beliau berkata, pegawai kastam wanita di terminal 2 lapangan terbang itu mengesyaki kemunculan dua penumpang dengan visa pelawat dari Asia. Ketika pemeriksaan rutin bagasi, pegawai terbabit mendapati tingkah laku susupek mencurigakan dan apabila tubuhnya melalui mesin imbasan, terdapat bahan dikesan dalam perutnya.

Pemeriksaan lanjut mengesahkan suspek menyorokkan 83 kapsul heroin dengan berat 835 gram di dalam perutnya.

Dalam kes kedua, penumpang dari Asia juga didapati menyembunyikan 86 kapsul dadah heroin seberat 879 gram di dalam perutnya.

Manakala dalam kes ketiga, kira-kira 50 kapsul heroin ditemui dalam dalam tubuh seorang wanita dari Afrika.

‘Ada orang ekori saya’

GEMAS: “Mak, Iskandar takut...ada orang ekori saya,” itulah kata-kata terakhir Nor Iskandar Yusop, 25, kepada ibunya, Noraini Abdullah, 57, sebelum dia maut dalam kemalangan, kelmarin.
Menurut Noraini, anak kelima daripada tujuh beradik itu sempat menghubungi telefon bimbitnya dua hari sebelum kemalangan itu berlaku mengatakan ada orang mengekorinya, kira-kira jam 4 pagi.

“Saya yang sedang tidur bingkas bangun untuk menjawab panggilannya dan memberitahu dia (anak) itu hanya ilusi kerana keadaannya demam pada hari itu.

“Namun, kini baru saya faham ‘benda’ yang mengekori anak saya itu mungkin malaikat maut dan petanda awal pemergiannya,” katanya sebak ketika ditemui di kediamannya di Kampung Melayu Bukit Masjid di sini, semalam.

Kata wanita itu, mangsa yang sememangnya baik kelihatan pelik ketika Aidilfitri lalu kerana banyak mendiamkan diri.

“Saya juga hairan apabila dia turut meminta kebenaran untuk tumpang tidur di bilik saya sedangkan dia tidak pernah berbuat demikian sebelum ini. Berikutan itu, saya membenarkannya untuk tidur sama di bilik saya dan suami,” katanya.


Noraini berkata, sebelum kemalangan itu, mangsa dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur selepas selesai melawat nenek tunangnya yang tenat.

“Saya terkejut dan terus menghubungi anak lain memberitahu anak lelaki saya itu kemalangan, namun tidak menyangka dia meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya. Sementara itu, abang mangsa, Norisham, 35, berkata dia terkilan kerana tidak sempat berjumpa adik lelakinya itu selepas hampir empat bulan tidak bersua muka.

Bayi 2 bulan tak cedera walaupun kereta remuk

PASIR PUTEH: Seorang bayi lelaki berusia dua bulan boleh disifatkan sebagai ‘bayi ajaib’ apabila langsung tidak cedera walaupun kereta dinaikinya remuk dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 3, Jalan Pasir Puteh-Telosan di Kampung Saring, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 6.30 petang, bayi itu, Mohamad Syafik Azri Mohd Saidi, bersama ibunya, Azlina Idris, 30; bapanya, Mohd Saidi Sapiai, 36; dan neneknya, Zainab Samat, 54 serta dua abangnya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Permatang Pasir, Gunong, Bachok.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Iswara dipandu Mohd Saidi dirempuh sebuah Perodua Kancil dipandu Mohd Suhaimi Che Mahmood, 23, yang terbabas di laluan bertentangan dan turut bertembung sebuah Toyota Corolla GL yang dipandu Nik Well Nik Man, 54.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, siasatan mendapati, kemalangan itu dipercayai berpunca apabila kereta yang dipandu Mohd Suhaimi dari Pasir Puteh menuju Telosan terbabas ke jalan bertentangan. Katanya, selepas merempuh kereta dinaiki Mohd Saidi sehingga remuk, kereta Mohd Suhaimi yang turut dinaiki dua anak perempuannya, adik ipar lelaki dan juga rakannya, Mohd Ramy Zaki, 24, bertembung pula dengan kereta dipandu Nik Well.

“Akibat rempuhan kuat itu, isteri Mohd Saidi, Azlina yang duduk di bahagian depan penumpang, cedera di muka terkena serpihan cermin kereta, manakala ibunya, Zainab cedera di b mulut.

“Mohd Saidi dan dua lagi anak lelakinya tidak cedera, namun paling mengejutkan, Mohd Syafik Azri langsung tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun ibunya yang memangkunya cedera,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Menurut Mohd Kamal, selain Azlina dan Zainab, turut mengalami kecederaan dalam kemalangan itu ialah Mohd Suhaimi yang retak tulang tumit kaki, manakala Mohd Ramy cedera di bahagian leher.

“Semua yang cedera menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tengku Anis, di sini,” katanya.

Godam kad SIM curi duit


TUMPAS...antara kad SIM asal yang ditemui dalam simpanan suspek.
TUMPAS...antara kad SIM asal yang ditemui dalam simpanan suspek.
KUALA LUMPUR: Ilmu dimiliki graduan pengkomputeran warga negara Sierra Leonne disalahgunakan apabila dia menjadi dalang menggodam kad modul pengenalan pengguna (SIM) telefon bimbit bagi menjalankan kegiatan penipuan kewangan melalui Internet.
Difahamkan, suspek yang menamatkan pengajiannya di kolej swasta di negara ini sangat licik ‘mencuri’ maklumat peribadi mangsa melalui mesin kios yang disediakan di bank sebaik saja mangsa menggunakannya bagi mendapatkan butiran lengkap peribadi mangsa.
Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Wira Syed Ismail Syed Azizan berkata, anggota sindiket berusia 20 hingga 27 tahun itu juga membabitkan lelaki Jordan dan Pakistan serta empat warga tempatan ditahan di rumah mereka di Petaling Jaya, 10 dan 12 September lalu.

Menurut Syed Ismail, sindiket berkenaan mendapatkan maklumat perbankan Internet mangsa seperti nama pengguna, kata laluan dan nombor telefon menggunakan teknik ‘phising’ sebelum memuat turun maklumat daripada kios ke dalam pemacu pena (pendrive) atau komputer riba mereka menerusi satu perisian khas.


“Selepas memperoleh semua maklumat berkenaan, sindiket menyamar pekerja syarikat telekomunikasi dan memberitahu kononnya talian mangsa terganggu beberapa jam bagi kerja naik taraf,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Tukul besi bongkar rahsia

KAJANG: Hajat dua orang lelaki untuk meraikan ‘kejayaan’ mereka melarikan pembesar suara dan pemain cakera padat digital (DVD) dianggarkan bernilai lebih RM1,000 tidak kesampaian sejurus ditahan anggota polis peronda di Jalan Bukit, di sini, Isnin lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, dua anggota unit kereta peronda (MPV) melakukan rondaan cegah jenayah di sekitar bandar ini sebelum terserempak sebuah Nissan Frontier dalam keadaan mencurigakan di hadapan stesen bas.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, berkata sebaik menyedari kehadiran polis dan ingin melakukan pemeriksaan, suspek berusia 20-an terkejut dan cuba melarikan diri ke bandar Kajang.

Katanya, bagaimanapun, kecekapan polis dapat menahan kenderaan suspek dan hasil pemeriksaan ke atas kereta berkenaan polis menjumpai sebuah pembesar suara, pemain DVD dan tukul besi.

“Curiga dengan barangan terbabit selain terdapat satu tukul besi di dalam kenderaan itu, suspek mengaku menggunakan tukul besi itu untuk memecahkan cermin dua kereta.

“Hasil siasatan awal polis mendapati suspek terbabit kes pecah kereta yang dilaporkan di sebuah taman perumahan di Jalan Bukit sebelum mereka ditahan,” katanya.

Dipanggil keluar sebelum ditetak

CHUKAI: Suasana di sebuah kedai makan di Bukit Kuang, di sini, gempar seketika apabila seorang lelaki masuk semula ke dalam kedai berkenaan dengan keadaan berlumuran darah selepas belakangnya ditetak menggunakan senjata tajam dipercayai parang, semalam.
Dalam kejadian jam 11.45 pagi itu, mangsa seorang ahli perniagaan berusia 40-an menikmati hidangan tengah hari di kedai berkenaan sebelum keluar untuk menemui seseorang.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat, berkata mangsa yang makan di kedai berkenaan dipercayai dihampiri seorang suspek bertanyakan namanya.

Katanya, sebaik saja mengaku dirinya orang dicari, mangsa dimaklumkan ada individu mahu menemuinya di belakang kedai itu sebelum mangsa bergegas keluar.

“Mangsa keluar mengikut suspek ke bahagian belakang kedai berkenaan sejauh lima meter sebelum dia berlari masuk semula ke dalam kedai itu dengan berlumuran darah.

“Difahamkan, mangsa parah di bahagian belakang dengan luka sepanjang 15 sentimeter. Malah, suspek yang dipercayai menetak mangsa turut memegang sebilah parang yang berlumuran darah sebelum menaiki Proton Waja dan meninggalkan tempat kejadian,” katanya.


Susulan itu, sepasukan polis bergegas ke tempat kejadian sebaik saja bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman menerima panggilan daripada orang awam sebelum menghubungi pemilik kedai makan terbabit bagi mendapatkan gambaran awal mengenai kejadian berkenaan.

Menurut Abdullah Sani, mangsa dikejarkan ke Hospital Daerah Kemaman untuk rawatan lanjut.

Katanya, keterangan mangsa yang memiliki kedai kenderaan berat dan berasal dari Bukit Kuang, di sini, belum diperoleh memandangkan mangsa masih tidak sedarkan diri selepas pembedahan itu.

“Ketika ini, kami masih tidak dapat menentukan motif serangan berkenaan berikutan keadaan mangsa yang tidak sedarkan diri,” katanya.

Ibu ugut bunuh tak restui kahwin

AMPANG: Hanya kerana percaya bomoh, seorang ibu memukul, menendang perut dan memijak kaki selain mengugut mahu membunuh anak gadisnya yang berusia 23 tahun kerana tidak mahu gadis itu berkahwin dengan lelaki pilihannya, kelmarin.
Difahamkan, teman lelaki mangsa yang berusia lewat 20-an itu pilihan ibu mangsa yang menyatukan mereka, namun disebabkan terlalu percaya kepada bomoh, si ibu menghalang pula hubungan mereka.

Menurut sumber, mangsa dipercayai melarikan diri dari rumah mereka di Pandan Mewah, di sini, selepas bengkak dan lebam pada badan akibat tindakan ibunya sebelum membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah, di sini.

Katanya, ibu gadis terbabit yang berusia 50-an bertindak sedemikian selepas mendapat perkhidmatan seorang bomoh untuk menilik nasib mangsa dan teman lelakinya.

“Malangnya, keputusan tilikan nasib itu kononnya mangsa dan teman lelakinya tidak boleh berkahwin kerana akan berlaku perceraian menyebabkan si ibu mahu dia memutuskan hubungan dengan lelaki itu.

“Bagaimanapun, hari perkahwinan mereka semakin hampir menyebabkan mangsa enggan berbuat demikian dan mengundang kemarahan ibunya,” katanya.


Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa tidak dapat menerima hakikat apabila ibunya menyuruh dia memutuskan hubungan dengan lelaki terbabit menyebabkan berlaku pertengkaran.

“Ketika pertengkaran itu, ibu saudara mangsa masuk campur dengan memukul, menampar dan menarik rambut mangsa menyebabkan dia terjatuh.

“Malah, ibu saudara memukul kepala mangsa beberapa kali. Mangsa cuba bangun, namun tidak berdaya,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, sumber mendakwa mangsa menerima ‘habuan’ lebih teruk apabila ibunya menendang perut dan memijak kakinya.

Selain itu, mereka dipercayai mengugut mahu membunuh mangsa sekiranya mangsa keluar berjumpa teman lelakinya.

Berikutan itu, mangsa melarikan diri dari rumahnya dan membuat laporan polis.

Mana ibu, bapa kami

ALOR SETAR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kota Setar meminta orang ramai atau ibu dan bapa kepada dua orang bayi lelaki dan perempuan berusia satu bulan dan tiga bulan yang ditinggalkan ibu masing-masing pada Jun dan Julai lalu supaya tampil ke hadapan bagi membantu mengesan keluarga bayi terbabit.
Pelindung Kanak-Kanak JKM Kota Setar, Mohd Basharudin Samsudin berkata bayi lelaki terbabit yang diberi nama Muhammad Aliff Zaidi Abdullah ditinggalkan kepada sepasang suami isteri oleh seorang wanita Melayu dipercayai ibu kepada bayi terbabit dengan alasan mahu ke tandas di Terminal Bas Shahab Perdana, di sini, pada 28 Julai lalu.

Namun, selepas lebih sejam, wanita terbabit tidak datang mengambil bayinya semula menyebabkan pasangan suami isteri berusia 40-an dari Kuala Nerang itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, di sini.

Bayi pramatang seberat 1.58 kilogram (kg) itu kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, untuk pemeriksaan dan rawatan kesihatan. Mohd Basharudin berkata, bayi perempuan berusia tiga bulan itu pula ditinggalkan ibunya yang juga warga Laos, Keovongvichith Phayvanh, 21, selepas dua hari dilahirkan di HSB pada 4 Jun lalu. Katanya, bayi yang diberi nama Amelya itu dilahirkan pramatang pada jam 2.40 pagi dengan berat 1.88 kg dan difahamkan, ibu bayi terbabit sempat berpesan kepada jururawat yang bertugas bahawa dia akan kembali sebelum menghilangkan diri selepas dua hari melahirkan bayi itu.

“Berdasarkan pemeriksaan salinan pasport milik Keovongvichith, kita dapati dia memasuki Malaysia pada 14 Julai tahun lalu. Sehingga hari ini, kita masih gagal mengesannya sama ada dia masih berada di Malaysia atau sudah pulang ke negara asalnya.

“Wanita terbabit juga tidak ditemani sesiapa sepanjang berada di hospital dan kita juga tidak tahu tujuannya datang ke negara ini,” katanya.


Mohd Basharudin berkata, kes berkenaan dirujuk megikut Seksyen 17 (1) (d) Akta Kanak Kanak 2001 kerana ibu atau penjaga keberatan untuk memelihara bayi berkenaan dan pihaknya sudah mendapatkan perintah Mahkamah Majistret, di sini, bagi jagaan sementara selama sebulan di bawah Seksyen 19 (2) akta yang sama.

Amelya kini ditempatkan di Rumah Kanak Kanak Taman Bakti, Pulau Pinang manakala Muhammad Alif Zaidi diserahkan kepada pasangan suami isteri terbabit bagi tempoh sebulan.

Katanya, jika dalam tempoh itu tiada sesiapa yang menuntut, pasangan itu yang masih tidak mempunyai anak boleh membuat permohonan untuk mengambil bayi terbabit sebagai anak angkat.

Mereka yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kedua-dua bayi berkenaan boleh menghubungi Mohd Basharudin atau Rosmini Meh di talian 04-7202370 atau 04-7202351.

Impian tunang berkecai

MACHANG: “Mana tunang saya? Dia selamat tak?,” tanya Mariam Husin, 27, kepada beberapa jururawat wad kecemasan Hospital Machang selepas dia dan tunangnya, Noor Iskandar Yusop, 25, terbabit dalam nahas ngeri di Kilometer 32.7, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai di Tok Bok, di sini, kelmarin.
Pertanyaan spontan itu menimbulkan suasana pilu di kalangan jururawat bertugas menyebabkan ada yang memalingkan muka ke arah lain sebelum Mariam menangis sebaik seorang kenalan rapatnya memaklumkan tunangnya itu meninggal dunia.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, Noor Iskandar yang memandu kereta Perodua Myvi milik Mariam meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Mariam pula cedera parah di leher apabila kenderaan dinaiki berlanggar dengan sebuah lori.

Pemandu dan kelindan lori itu tidak mengalami sebarang kecederaan sebelum kedua-duanya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang.

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa yang berasal dari Gemas, Negeri Sembilan dikatakan dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menjemput Mariam di rumah bakal mentuanya di Kampung Kuchelong, Jelawat, Bachok.

Sebaik tiba di Machang, mereka dipercayai ingin berpatah balik ke Bachok selepas Mariam tertinggal beberapa dokumen penting di rumah keluarganya.


Bagaimanapun, malang buat pasangan ‘berdarah manis’ yang bertunang pada Mei lalu dan dijangka berkahwin pada hujung tahun ini apabila kereta dipandu berlanggar dengan sebuah lori yang datang dari arah Kota Bharu.

Akibat perlanggaran berkenaan, Perodua Myvi yang baru dua tahun dibeli hampir putus dua, selain bumbung tercabut, manakala bahagian depan kereta remuk.

Bapa saudara Mariam, Abdul Aziz Harun, 39, berkata, anak saudaranya itu pulang ke kampung Sabtu lalu bersama seorang lagi bapa saudaranya dengan menaiki kenderaan lain bagi menziarahi neneknya, Fauziah Ismail, 70, yang terlantar sakit di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Katanya, Noor Iskandar yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat swasta di KL pula baru tiba awal pagi kelmarin, menaiki kereta Mariam semata-mata ingin mengambil Mariam yang dijangka meneruskan tugasnya semula sebagai pembantu pengurusan murid di Sekolah Rendah Bukit Bandaraya, KL hari ini.

“Noor Iskandar peramah dan mudah mesra dengan ahli keluarga kami dan kali terakhir saya berbual dengannya ialah ketika dia bersama Mariam menziarahi Fauziah di HUSM, kira-kira 7 malam kelmarin.

“Saya tidak tahu jam berapa mereka bertolak ke KL, namun saya sempat menasihati Noor Iskandar supaya berhati-hati memandu kereta,” katanya.

Menurut Abdul Aziz, dia pernah menasihati Mariam supaya bekerja di negeri kelahirannya sendiri, namun anak saudaranya itu memberi alasan sukar mendapat peluang pekerjaan di Kelantan, selain gaji ditawarkan murah.

Katanya, Mariam bertunang dengan Noor Iskandar Mei lalu dan dijangka melangsungkan perkahwinan sempena cuti persekolahan pada hujung tahun ini.

“Saya terkilan kerana hasrat anak saudara saya untuk mendirikan ‘mahligai’ bersama Noor Iskandar tidak kesampaian apabila tunang kesayangannya menemui ajal dalam kemalangan itu.

“Namun, saya bersyukur ke kerana Mariam terselamat,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Machang, awal pagi semalam.

Jenazah Noor Iskandar dibawa ke kampung halamannya di Kampung Melayu Bukit Masjid, Gemas selepas dituntut ahli keluarganya yang tiba dari Negeri Sembilan, awal pagi semalam untuk dikebumikan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Malik Bedot ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan nahas disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Lemas tergelincir dalam tangki najis



Oleh Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@bharian.com.my
2011/09/15

Budak terpijak penutup sebelum terjatuh

KUANTAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun lemas dalam tangki najis selepas dipercayai tergelincir ketika bermain di kawasan berkenaan yang hanya ditutup sebahagiannya menggunakan papan, di bangunan Arked MARA, Bandar Baru, dekat Kuala Rompin, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, mangsa, Mohd Izwan Jusoh dari Endau, Mersing, Johor bermain bersama beberapa rakannya, manakala bapanya berusia lingkungan 50-an berniaga pakaian di pasar malam tidak jauh daripada lokasi kejadian berkenaan.
Bapa mangsa kemudian turun ke dalam tangki itu untuk menyelamatkan anaknya yang ketika itu sudah tidak kelihatan dan dipercayai tenggelam di dasar tangki. - Johari Jahaya, Ketua Polis Daerah Rompin.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya, berkata mangsa yang berlari-lari di kawasan berkenaan dikatakan terpijak papan terbabit sebelum tergelincir jatuh ke dalam tangki najis yang dipercayai sedalam kira-kira dua meter.

"Tindakan beberapa rakan mangsa yang menjerit serta memanggil nama mangsa menarik perhatian bapa mangsa yang kemudian bergegas ke lokasi kejadian bersama beberapa peniaga lain.

"Lelaki terbabit kemudian turun ke dalam tangki berkenaan untuk menyelamatkan anaknya yang ketika itu sudah tidak kelihatan dan dipercayai tenggelam ke bahagian dasar tangki," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Johari berkata, bapa mangsa dipercayai terpaksa meraba-raba di dalam tangki berkenaan sebelum berjaya menarik tangan anaknya beberapa minit kemudian. 
"Namun mangsa ketika itu sudah tidak bernyawa dipercayai kerana lemas sebelum dibantu orang ramai untuk dibawa keluar dari tangki berkenaan," katanya.

Beliau berkata, polis hanya dimaklumkan berhubung kejadian kira-kira jam 7 malam dan bapa mangsa kemudian membawa mayat anaknya ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat dilakukan.

"Hasil bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya. 

Tikam ibu, bapa kerana rumah



Oleh Poliana Ronnie Sidom 
poliana@bharian.com.my
2011/09/15

RUMAH yang menjadi punca kejadian seorang lelaki  menikam ibu bapanya  di Sandakan, malam kelmarin.
RUMAH yang menjadi punca kejadian seorang lelaki menikam ibu bapanya di Sandakan, malam kelmarin.
Lelaki mabuk naik angin hasrat jual kediaman untuk modal niaga gagal

KOTA KINABALU: Sepasang warga emas mati ditikam oleh anak lelaki mereka kerana dipercayai berang dengan tindakan bapanya menukar hak pemilikan rumah yang didiami pasangan itu dalam kejadian di Jalan Bahagia, Batu 1, Sandakan, malam kelmarin.
Suspek yang bekerja sebagai penanam sayur dipercayai mabuk ketika menikam bahagian dada ibunya, Chu Ching Moi, 60, dan bapanya, Yew Hiap Foh, 70, dalam kejadian jam 10.45 malam di rumah pasangan terbabit.
Suspek bertambah berang apabila bapanya memberitahu hak pemilikan rumah itu sudah ditukar kepada nama kakaknya. - Rowell Marong, Ketua Polis Daerah Sandakan
Kakak suspek, Yew Pui Lin, 37, turut parah akibat tikaman di perut tetapi dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent, Sandakan.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Superintendan Rowell Marong, berkata beberapa hari sebelum kejadian, suspek dikatakan meminta kebenaran bapanya untuk menjual rumah yang mereka diami untuk dijadikan modal perniagaan.

Bagaimanapun, katanya, bapa suspek tidak bersetuju kerana anaknya itu pernah berniaga di Semenanjung sebelum pulang ke Sabah akibat muflis.

“Suspek bertambah berang apabila bapanya memberitahu hak pemilikan rumah itu sudah ditukar kepada nama kakaknya (Pui Lin), malah sempat mengugut akan membunuh mereka jika kemahuannya menjual rumah itu tidak dipenuhi,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam. 
Pada hari kejadian, Rowell berkata, suspek dikatakan pulang dalam keadaan mabuk dan berlaku pertengkaran antaranya dengan ketiga-tiga mangsa hingga mendorong kepada pembunuhan kejam ibu bapanya.

“Kakak suspek yang cedera parah sempat menghubungi adik perempuannya yang tinggal kira-kira lima kilometer (km) dari rumah mereka bagi meminta bantuan,” katanya.

Rowell berkata, Ching Moi ditemui terbaring di sofa ruang tamu, manakala Hiap Foh di bilik tidur rumah berkenaan dengan kedua-duanya mati di tempat kejadian.

Katanya, suspek melarikan diri selepas kejadian, tetapi ditangkap apabila pulang semula ke rumah berkenaan.

“Kita turut menemui sebilah pisau di ruang tamu rumah terbabit dipercayai digunakan sebagai senjata pembunuhan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

Curi wang guna web



Oleh Safeek Affendy Razali
safeekaffendy@bharian.com.my
2011/09/15

KAD SIM yang dirampas berhubung
siasatan kes penipuan memindahkan wang secara haram menggunakan internet.
KAD SIM yang dirampas berhubung siasatan kes penipuan memindahkan wang secara haram menggunakan internet.
Tiga pelajar asing miliki kepakaran IT ceroboh akaun bank, pindah RM250,000 secara haram 

KUALA LUMPUR: Tujuh suspek, termasuk tiga pelajar warga asing dipercayai dalang utama sindiket penipuan perbankan internet ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Millennium Square, Petaling Jaya di sini, awal minggu ini bagi membantu siasatan kes pemindahan wang 12 mangsa secara haram berjumlah RM250,000.

Mahkamah Tentera bertindak



KUALA LUMPUR – Hukuman ke atas anggota tentera yang didapati bersalah kerana terlibat dalam penagihan najis dadah akan ditentukan oleh Mahkamah Tentera.
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad menegaskan, kerajaan tidak berkompromi dalam kes seperti itu kerana mereka merupakan anggota pasukan beruniform.
“Tiada kompromi terhadap tentera yang menagih dadah. Apabila sudah terbukti melalui ujian air kencing positif dadah kesemua mereka akan didakwa di Mahkamah Tentera.
“Mahkamah akan menentukan sama ada mereka digantung tugas atau dibuang daripada perkhidmatan tentera,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Beliau berkata demikian mengulas kes empat anggota tentera yang berpakaian seragam ditahan di sebuah ladang kelapa sawit disyaki menagih dadah kelmarin.
Jelas Abd. Latiff, anggota tentera yang melakukan kesalahan seperti menagih dadah mesti melalui prosedur undang-undang yang ditetapkan dan bakal dihadapkan ke Mahkamah Tentera.
Kosmo! semalam melaporkan mengenai empat anggota tentera berpakaian seragam ditahan bersama 41 penagih dadah di belakang Penjara Sungai Udang, Melaka disyaki sedang menagih dadah.
Empat yang ditahan itu, tiga daripada mereka adalah anggota komando dari Kem Sungai Udang yang berusia antara 23 hingga 29 tahun.
Antara yang turut ditahan dalam operasi dinamakan Ops Tapir itu ialah penganggur, pengawal keselamatan, buruh dan penduduk tempatan yang berusia antara 18 hingga 57 tahun.
Sementara itu, 46 orang yang ditahan di Sungai Udang kelmarin direman selama 14 hari sehingga 26 September ini mengikut Seksyen 49(1)(b) Akta Penagih Dadah 1983 dan Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Kosmo! yang melakukan tinjauan di ‘sarang ladang’ semalam mendapati kawasan berkenaan lengang dan tiada sebarang kelibat penagih dadah melepaskan gian di situ.
Malah tiada sebarang motosikal dilihat memasuki kawasan itu berbanding hari-hari sebelum ini apabila puluhan buah motosikal dilihat memasuki kawasan itu setiap hari.