Search This Blog

Wednesday, September 14, 2011

Pengusaha ladang rugi RM70,000 pokok getah ditebang

GURUN, 14 Sept (Bernama) -- Seorang pengusaha ladang getah rugi kira-kira RM70,000 apabila pokok getah yang diusahakannya telah ditebang dipercayai akibat khianat di ladangnya di Bukit Kuang, Jeniang dekat sini awal pagi Selasa.
R. Kuppusamy, 50, dari Sungai Petani berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh seorang saudaranya menerusi panggilan telefon kira-kira pukul 9 pagi sebelum bergegas ke ladangnya.
"Pokok getah saya ini berkemungkinan ditebang pada tengah malam sebab masa itu tiada siapa tahu, dan mereka telah menyamar sebagai pihak berkuasa dengan meletakkan tanda awas dan bahaya ini supaya orang awam yang lalu lalang tidak mengesyaki kegiatan mereka," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Beliau berkata sebanyak 500 pokok getah yang kini berusia dua tahun setengah telah ditebang.


"Pokok getah yang selamat hanya 20 pokok sahaja, ini amat menyedihkan saya sebab untuk mengusahakan ladang getah ini pelbagai cabaran saya perlu tempuhi, saya bekerja siang dan malam bagi memastikan ladang getah ini berhasil," katanya.

Kuppusamy mendakwa, kejadian itu dipercayai berlaku kerana perbuatan khianat oleh pihak yang tidak berpuas hati dengan kejayaannya mendapatkan tanah rizab kerajaan bagi mengusahakan ladang getah terbabit.

"Tanah seluas 1.44 hektar ini adalah rizab kerajaan tetapi saya telah memohon kepada pejabat tanah untuk mengusahakannya dan diluluskan pada 2007, saya ada dokumen sebagai bukti, saya tidak perlu takut.

"Saya dimaklumkan sekiranya saya membayar hasil bagi tempoh empat tahun, tanah ini akan menjadi milik saya, tetapi semua ini masih dalam proses, kawasan tanah ini dulu dipenuhi semak-samun," kata beliau.

Katanya beliau juga turut memiliki 2.59 hektar ladang getah berdekatan lokasi kejadian yang diusahakan secara turun-temurun oleh keluarganya.

"Kejadian ini bukan kali pertama, sekitar 2009 ladang getah saya yang 1.44 hektar ini pernah diceroboh lembu yang sengaja dilepaskan pihak yang dengki dengan saya dan ia makan anak pokok-pokok getah sampai habis dan saya rugi banyak jugak," katanya.

Sehubungan itu, Kuppusamy telah membuat laporan polis mengenai kejadian khianat terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda tengah hari semalam dan Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hashim Ali ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan. -BERNAMA

Sebabkan kematian anak teman wanita, pekerja binaan dipenjara tiga tahun

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja binaan hari ini dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Seksyen Ampang di sini selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian anak teman wanitanya berusia setahun tujuh bulan yang ditinggalkan selama 10 jam di dalam kereta.
Hakim Manira Mohd Nor memerintahkan Hooi Wai Chor, 35, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 21 April lalu.
Hooi didakwa menyebabkan kematian Low Hong Jun di dalam sebuah kereta jenis Proton Satria di hadapan rumahnya di No. 4, Jalan 11, Taman Sri Watan, Ampang Jaya dekat sini antara jam 2 pagi hingga 12 tengah hari 21 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304(b), Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan. - Bernama

Anak tikam ibu dan bapa hingga mati

SANDAKAN: Sepasang suami isteri mati ditikam oleh anak lelaki mereka di sebuah rumah di Batu 1, Jalan Utara dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian 10.45 malam itu, lelaki berkenaan yang berusia 31 tahun turut menikam kakaknya.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Rowell Marong, berkata mangsa dikenali sebagai Yew Hiap Foh, 70, dan isterinya Chu Ching Moi, 60, dan kedua-dua mereka mati di tempat kejadian akibat tikaman di dada.
Katanya, mayat Yew ditemui terbaring di bilik tidur manakala Chu ditemui terbaring di atas sofa di ruang tamu rumah tersebut.

"Kakak mangsa yang berusia 37 tahun mengalami cedera parah akibat ditikam diperut dan kini dirawat di Hospital Duchees of Kent Sandakan dan dilaporkan dalam keadaan stabil," katanya di sini hari ini.

Rowell berkata, dari laporan awal yang diterima, lelaki itu dikatakan naik berang selepas bapanya tidak membenarkan permintaannya untuk menjual rumah yang mereka diami itu.

Katanya, lelaki itu ingin berbuat demikian untuk mendapatkan modal berniaga dan dia diberitahu oleh bapanya bahawa nama pemilikan rumah itu sudah dipindahkan kepada kakaknya.
Beliau berkata, lelaki itu yang bekerja sebagai penanam sayur sebelum ini pernah mengugut mahu menikam ibu dan bapanya kerana tidak menunaikan permintaannya itu.

"Lelaki itu melarikan diri selepas kejadian itu dan polis berjaya menangkapnya selepas dia datang semula ke rumah itu dengan menaiki sebuah kereta," katanya.

Beliau berkata, sebilah pisau yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu turut ditemui di ruang tamu rumah tersebut. - BERNAMA 

Kastam Sabah rampas syabu RM1.5 juta, tahan wanita Kenya

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menggagalkan cubaan menyeludup masuk dadah jenis syabu seberat lima kilogram dianggar bernilai RM1.5 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pagi kelmarin.

Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Pematuhan JKDM Sabah, Hamzah Sundang, berkata pihaknya turut menahan seorang wanita warga Kenya yang dipercayai dijadikan keldai dadah dalam cubaan itu.
Beliau berkata demikian pada sidang media di sini, sebentar tadi

3 lelaki Cameroon didakwa sebab kematian, rompak warga Jepun

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki warga Cameroon hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang di sini terhadap dua pertuduhan menyebabkan kematian dan merompak warga negara Jepun, bulan lalu.

Bagi pertuduhan pertama, Ndele Innocent Kufor, 27, Celestin Nzogne, 35, dan Balack Mabe Jean Paul, 20, didakwa dengan niat bersama menyebabkan kematian Miyashita Hirokazu, 51, di bilik bernombor 923, Hotel De Palma, Ampang Jaya dekat sini antara jam 12.30 dan 1 tengah hari, 22 Ogos lalu.
Tiga lelaki itu yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda.
Bagi pertuduhan kedua, ketiga-tiga mereka bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, didakwa melakukan rompak berkumpulan iaitu mengambil dua telefon bimbit jenama Nokia serta wang tunai RM98,000 milik Miyashita Hirokazu dan Ryuzo

Sakata dengan menggunakan senjata yang menyerupai sepucuk pistol.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di tempat serta pada masa yang sama.

Bagi kesalahan tersebut, mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Dalina Ali, memohon agar tiada jaminan dikenakan terhadap ketiga-tiga lelaki berkenaan kerana Balack tiada pasport manakala pasport dua tertuduh lagi iaitu Ndele dan Celestin perlu disahkan ketulenannya kerana Malaysia tidak ada kedutaan Cameroon.

Hakim Manira Mohd Nor membenarkan permohonan Dalina untuk tidak mengenakan jaminan terhadap tertuduh serta menetapkan 18 Okt depan untuk sebutan bagi mereka melantik peguam. - BERNAMA 

Didakwa pecah amanah RM25,000

KUALA LUMPUR - Seorang bekas pengurus jualan sebuah syarikat swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan pecah amanah membabitkan RM25,000, dua tahun lepas.
Khoo Seng Kang, 65, didakwa tidak memasukkan wang itu ke dalam akaun Syarikat Cellgen Lifesciences (M) Sdn. Bhd. di Unit 11-8, Level 8, The Boulevard, Mid Valley, Lingkaran Syed Putra, Brickfields pada 5 Februari 2009 hingga 23 Mac 2009.
Tertuduh didakwa mengikut Sesyen 408, Kanun Keseksaaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. - Bernama

Lelaki ditahan bantu siasatan jumpa mayat

KUANTAN - Polis menahan seorang lelaki berusia 40 tahun bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang wanita warga emas di rumahnya di Taman Bumi Cemerlang, Ketari, Bentong semalam.
Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Abd Ghani berkata, lelaki berkenaan ditahan di Bentong; tanpa mendedahkan masa dan lokasi dia ditahan.
"Motif kejadian masih dalam siasatan dan berdasarkan bedah siasat, mangsa maut akibat lemas,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini. - Bernama

Pengurus Besar KTMB dituduh rasuah

KUALA LUMPUR - Pengurus Besar Pengurusan Projek Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Tajuddin Mohd. Yusoff, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap lima pertuduhan menerima rasuah.
Tajuddin, 54, dituduh menerima lima keping cek kesemuanya berjumlah RM33,000 daripada seorang pengarah syarikat pembinaan melalui lima keping cek, masing-masing bernilai RM6,600, lima tahun lepas.
Tertuduh yang kini bertugas sebagai Pengurus Besar Bahagian Pengurusan Jalan KTMB, dikatakan menerima wang tersebut daripada pengarah syarikat Sureman Sdn. Bhd., Mohamed Salleh bagi membayar pinjaman overdraf syarikat Intiwangi Sdn. Bhd. milik tertuduh.
Menurut kertas pertuduhan, Sureman telah diberikan kontrak daripada jabatan tertuduh bertugas bagi kerja pembaik pulih landasan kereta api di antara Stesen Gemas dan Stesen Kerdau (Fasa 2) serta Yard Tumpat di Kelantan. - Bernama

Dakwa abang dalam tahanan dipukul

ALOR SETAR - Seorang peniaga mendakwa abangnya dipukul oleh beberapa orang pegawai penjara Alor Setar semasa dalam tahanan dalam satu insiden pada 2 September lepas dan dinafikan hak mendapat pemeriksaan perubatan.
Fadzillah Ahmad, 52, berkata, abangnya Mohd. Dzahir, 54, yang merupakan banduan akhir (menunggu hukuman dilaksanakan) dipukul dalam keadaan tangan digari dan ditiarapkan di markas Unit Khas Penjara (UKP) lebih setengah jam.
Fadzillah berkata, abangnya memberitahunya tentang kejadian itu semasa mengunjunginya untuk sambutan Aidilfitri kira-kira pukul 11 pagi 4 September. - Bernama

33 GRO warga asing ditahan

GEORGETOWN - Polis menyerbu sebuah pusat hiburan di Tanjung Tokong dan menahan 33 wanita warga asing yang bekerja sebagai pelayan pelangan (GRO) dalam satu operasi yang bermula pukul 11 malam semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata, sepasukan polis Bahagian Pencegahan Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Timur Laut menyerbu pusat hiburan berkenaan hasil maklumat awam dan risikan.
"Ketika serbuan ada GRO yang cuba melarikan diri, bagaimanapun gagal kerana pusat hiburan itu sudah dikepung oleh anggota polis,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. - Bernama

Musnah kebun: Hampir cetus pergaduhan

PASIR PUTEH - Tindakan Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh untuk memusnahkan tanaman getah yang didakwa diteroka secara haram di Kampung Chelah Chat di sini hampir mencetuskan pergaduhan dengan penduduk di kawasan kampung berkenaan, hari ini.
Kejadian itu berlaku apabila lebih 20 penduduk di sekitar kampung berkenaan yang berhimpun sejak pagi cuba menghalang sebuah jentolak daripada memusnahkan tanaman getah seluas setengah hektar yang terletak berhampiran jalan raya antara Gaal-Jeli itu.
"Keadaan menjadi reda apabila pihak kami bersetuju untuk berunding dengan pihak pejabat berkenaan tengah hari ini,” kata seorang penduduk terbabit Mohd. Noor Deraman, 53, ketika ditemui di tempat kejadian. - Bernama

Lelaki Thai cedera kemalangan



RANTAU PANJANG – Seorang lelaki dipercayai berusia lingkungan 50-an cedera apabila motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan di Banggol Kulim di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 petang itu, lelaki itu dipercayai menunggang sendirian dan berlanggar dengan sebuah kereta menyebabkan dia cedera di kepala.

Lelaki itu juga dipercayai turut cedera pada kaki dikejarkan ke Hospital Daerah Pasir Mas oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Rantau Panjang.

Lelaki itu dipercayai warganegara Thailand berdasarkan pengenalan diri yang dijumpai.

Bagaimanapun, usaha mendapatkan maklumat lanjut gagal kerana dia tidak dapat mengingati apa yang berlaku serta masih panik dengan kejadian itu.

Seorang wanita enggan dikenali yang turut berada di tempat kejadian berkata, dia hanya melihat lelaki itu terjatuh tetapi, tidak tahu bagaimana kejadian berlaku.

“Kejadian sebenar tidak dapat dipastikan cuma saya tengok dia jatuh serta kepalanya berdarah,” katanya.

Buruh rugi RM20,000



PASIR MAS – Seorang buruh di sini, kerugian lebih RM20,000 apabila kereta Perodua Kelisanya dibakar oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, dekat Jalan Jabatan kerja Raya (JKR) jam 2 pagi, kelmarin.

Mangsa, Ramzi Mat Zain, 43, berkata, dia yang berada di luar ketika itu, terus bergegas pulang mengguna kereta saudara selepas dihubungi isterinya, menyatakan terdapat empat lelaki yang tidak dikenali mencungkil pintu kereta selepas menghadang pintu hadapan rumah.

Ramzi berkata, ketika dalam perjalanan ke rumahnya, dia terserempak dengan empat lelaki berkenaan bersama kereta Perodua Kelisanya di Jalan JKR tersebut.

“Saya menyergah mereka dan sempat melihat seorang daripada mereka menyalakan api serta terus membakar kereta tersebut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. Katanya, dia cuba mengejar keempat-empat lelaki berkenaan, namun kesemua mereka berjaya melarikan diri dengan memandu Perodua Kenari berwarna merah dan melawan arus ke arah Jalan Pasar Pasir Mas.

Bagaimanapun menurutnya, kesemua ahli keluarganya selamat tanpa dicederakan.

Ramzi berkata, beberapa hari sebelum kejadian ini, dia ada berselisih pendapat dengan seorang penduduk, namun tidak pasti sama ada kebakaran tersebut ada kaitan dengan unsur-unsur dendam mahupun khianat.

Menurutnya, sejak beberapa hari lalu juga, dia ada melihat kelibat beberapa lelaki, mundar-mandir di hadapan rumahnya tetapi tidak mengetahui motif sebenar mereka terbabit.

Sejurus selepas kejadian, Ramzi membuat laporan polis agar keselamatan diri dan keluarganya terjamin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim ketika dihubungi, mengesahkan ada menerima laporan dan pihaknya akan menyiasat kes terbabit secara menyeluruh.

“Saksi yang melihat kejadian, diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk membantu siasatan,” katanya.

Suami isteri parah dirempuh kereta



KOTA BHARU-Nasib malang bagi pasangan suami isteri apabila cedera parah selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta disyaki membawa barangan seludup ketika cuba melarikan diri daripada pihak berkuasa di Kampung Chabang Empat, Tok Mek Ngah, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, pasangan terbabit, Rozali Mamat, 37, yang juga orang kurang upaya (OKU) dan isterinya Esah Jusoh, 42, masing-masing menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II selepas mengalami kecederaan parah di kepala, bahu, tangan dan betis.

Esah berkata, ketika kejadian dia ternampak kereta terbabit dalam keadaan laju dan terdapat sebuah lagi kenderaan mengekorinya menyebabkan pemandu itu keluar dari simpang secara tiba-tiba dan merempuh motosikalnya.

Katanya, kejadian berlaku apabila dia bersama suaminya yang bekerja buruh dalam perjalanan dari arah Pasir Mas ke Tumpat untuk membeli nasi bungkus sebelum menghantar Rozali ke tempat kerja.

“Hari ini hari pertama suami saya bekerja selepas dua minggu demam dan saya tidak menyangka kejadian ini berlaku dalam sekelip mata.

“Pagi tadi saya keluar dari rumah kira-kira jam 7.30 pagi, selepas menghantar dua anak ke sekolah dan kemudiannya menghantar suami saya pula ke tempat kerja,” katanya ketika ditemui di HRPZ II semalam.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangi suaminya telah dirempuh sebuah kereta berwarna merah dalam keadaan laju yang keluar dari simpang secara tiba-tiba.

“Saya dan suami masing-masing tercampak ke jalan raya dan pada masa sama, saya turut digilis sebuah motosikal yang ditunggangi pelajar dalam perjalanan ke sekolah.

“Saya sempat meraung meminta tolong selepas melihat beberapa motosikal yang cuba melanggar saya dan ketika itu saya masih terbaring di jalan,” katanya.

Esah berkata, ketika itu, dia melihat suaminya tidak sedarkan diri dan orang ramai yang melihat kejadian itu kemudian memberi bantuan kepadanya.

Katanya, dia dan suaminya kemudian dikejarkan ke Hospital Tumpat sebelum dirujuk ke HRPZ II untuk menerima rawatan.

Kakak Rozali, Rokiah Mamat, 49, berkata, setakat ini adiknya masih belum membuat laporan dan polis dan akan dilakukan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Khalid Munap ketika dihubungi mengesahkan, pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu. 

Tiga rumah kedai sederet di pekan Mambau terbakar



SEREMBAN - Tiga buah rumah kedai sederet hangus dalam satu kebakaran di pekan Mambau dekat sini pagi tadi, yang melibatan kerugian kira-kira RM500,000, pagi tadi.

Pegawai Operasi Bomba negeri Ahmad Nizam Sapaiee berkata, kebakaran itu melibatkan tiga buah rumah kedai di mana dua daripanya musnah sama sekali manakala sebuah lagi hangus 70 peratus.

Menurutnya tujuh buah jentera bomba termasuk dua lori tangki air dari Seremban, Seremban 2, Senawang dan Teluk Kemang dengan 40 anggota berjaya memadamkan kebakaran itu sepenuhnya pada kira-kira pukul 7.25 pagi.

"Bomba menghadapi kesukaran dalam memadamkan api berikutan tekanan air rendah dan tiada kecederaan serta kemalangan jiwa dilaporkan," katanya punca kebakaran masih disiasat.

Kes Nurul Awatif: Pelajar universiti diberkas



SHAH ALAM 13 Sept. - Polis percaya berjaya menyelesaikan kes bunuh dan bakar pelajar Maahad Tahfiz Al-Tijarah di Selayang, Nurul Awatif Syakir, 19, dengan tertangkapnya seorang remaja lelaki di Seri Iskandar, Perak, semalam.
Remaja berusia 19 tahun yang juga pelajar tahun dua kursus Sarjana Muda Ukur Bahan di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu ditahan sebaik sahaja dipanggil oleh polis keluar dari kampusnya kira-kira pukul 12 tengah hari.
Suspek dipercayai kekasih mangsa yang mayatnya ditemui melecur 80 peratus di dalam parit di Jalan Bukit Belacan, Ampang dekat sini pada 5 September lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, susulan penahanan suspek, polis turut merampas telefon bimbit yang dipercayai milik mangsa dan sebuah kereta jenis Perodua Kancil.
Pihaknya juga mengenal pasti dua stesen minyak di Ampang yang dipercayai menjadi lokasi pembelian petrol untuk membakar mangsa.
"Kita juga menemui beberapa bukti fizikal yang ada hubung kait dengan kes pembunuhan seperti rambut di dalam kereta Kancil yang dirampas," katanya kepada pemberita di Pusat Media Polis Selangor di sini hari ini.
Dalam kejadian 5 September lalu, seorang pengusaha gerai terkejut apabila mendapati objek hangus dalam parit di seberang jalan berhadapan rumahnya yang disangka anak patung rupa-rupanya mayat remaja perempuan yang mati dibakar.
Polis kemudian mengesahkan mayat remaja yang ditemui terbakar hampir 80 peratus itu ialah Nurul Awatif menerusi pengecaman oleh ahli keluarga mangsa.
Sehari sebelum kejadian, mangsa dilaporkan hilang oleh keluarganya.
Menurut Tun Hisan, suspek direman selama seminggu bermula hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan dan mengetahui motif sebenar pembunuhan.
Difahamkan, polis sedang menyiasat kemungkinan pembunuhan mangsa dilakukan di tempat lain dan mayatnya kemudian dibakar di Bukit Belacan.
Siasatan juga menjurus kemungkinan kejadian bunuh dan bakar itu hanya dilakukan oleh seorang suspek.

Pengawal keselamatan dalang rompak restoran mamak?



SHAH ALAM 13 Sept. - Kumpulan penjenayah yang merompak dua restoran mamak 24 jam di sini dan aksi jenayah mereka itu disiarkan dalam laman video YouTube baru-baru ini, tumpas selepas lapan anggotanya termasuk dua pelajar dan dua pengawal keselamatan berjaya diberkas polis.
Kesemua suspek ditahan dalam lima operasi di sekitar Shah Alam, Gombak dan Rawang termasuk di Pangsapuri Rimba Jaya, Seksyen 16 di sini bermula 8 September lalu hingga kelmarin.
Difahamkan, salah seorang pengawal keselamatan yang ditahan adalah dalang penjenayah terbabit.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, turut dirampas dalam kesemua serbuan adalah sebuah motosikal yang dipercayai dicuri, beg komputer bimbit dan topi keledar serta jaket yang dipercayai digunakan semasa rompakan.
Beliau berkata, kesemua suspek kini ditahan reman sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.
"Hampir kesemua suspek yang berusia antara 17 hingga 27 tahun memiliki rekod jenayah lampau dan kita percaya telah menumpaskan kumpulan itu serta menyelesaikan dua kes rompakan itu," katanya pada sidang akhbar di Pusat Media Polis Selangor di sini, hari ini.
Pada 28 Ogos lalu, sekumpulan lelaki merompak dua restoran mamak di Seksyen 15 di sini dan turut melarikan barangan berharga milik pelanggan yang sedang makan di situ.
Rakaman kejadian rompakan tersebut kemudian disebarkan di YouTube sehingga menimbulkan rasa bimbang orang ramai, terutama yang menjadi pelanggan restoran mamak yang beroperasi 24 jam.
Tidak sampai dua minggu selepas kejadian iaitu semalam, kumpulan yang sama dipercayai merompak sebuah lagi restoran mamak di Seksyen 24 di sini dan beberapa pelanggan turut menjadi mangsa.
Kedua-dua rompakan dilakukan pada awal pagi iaitu pada pukul 4 pagi dan 5.30 pagi di mana jumlah pelanggan restoran ketika itu tidak terlalu ramai.
Tun Hisan berkata, pihaknya sedang memburu lima lagi anggota kumpulan penjenayah itu yang masih bebas dan salah seorang daripadanya dikenali sebagai S. Veeramuthu, 19, berasal dari Kapar, Klang.

Kejayaan terbesar Kastam






ZAINUL Abidin Taib (dua dari kiri) menunjukkan bungkusan dadah jenis syabu bernilai hampir RM46 juta pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JKDM Narkotik, Nilai, semalam.


SEREMBAN 13 Sept. - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan satu sindiket pengedaran dadah terbesar selepas berjaya merampas 183 kilogram syabu yang dianggarkan bernilai hampir RM46 juta dalam dua serbuan berasingan di ibu negara.
Kejayaan itu hasil serbuan yang dijalankan oleh sepasukan anggota penguat kuasa narkotik JKDM ke sebuah rumah di Ampang Jaya, Selangor kira-kira pukul 1.30 petang pada 27 Ogos lalu.
Hasil pemeriksaan, pihak JKDM menemui dadah jenis syabu 94.15 kilogram yang dianggarkan bernilai RM23.5 juta disorok di bahagian bawah 10 peti kayu yang berisi pasu ukir kaca.
Penolong Ketua Penguat Kuasa JKDM (Bahagian Penguatkuasaan), Datuk Zainul Abidin Taib berkata, susulan serbuan itu pihaknya menyerbu sebuah lagi rumah di Taman Titiwangsa, Kuala Lumpur kira-kira pukul 8.40 malam tadi.
"Dalam serbuan itu, kami menemui 89 kilogram dadah jenis sama bernilai hampir RM22 juta yang disimpan dalam peti kayu berisi pasu ukir.
"Kita juga turut menahan seorang suspek lelaki warga Iran berusia 29 tahun dalam rumah tersebut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JKDM Narkotik di Kampung Jijan, Nilai, dekat sini, hari ini.
Menurut Zainul Abidin, hasil siasatan awal, kesemua peti kayu yang dirampas dalam serbuan pertama dihantar melalui kargo udara menggunakan penerbangan Mahan Air dari Tehran, Iran ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), manakala bagi serbuan kedua, peti tersebut telah dihantar menggunakan kargo menerusi penerbangan Qatar Airways dari Doha ke KLIA.
"Rampasan ini merupakan yang terbesar dalam sejarah JKDM dan saya mengucapkan tahniah kepada pegawai serta anggota terlibat di atas kecekapan mereka mengesan dan menumpaskan sindiket pengedaran dadah dari negara Timur Tengah ini," katanya.
Tambah beliau, rampasan ini juga disifatkan terbesar bagi tahun ini berbanding 40 kes tahun ini yang hanya melibatkan nilai rampasan sebanyak RM55 juta.
"Suspek kini ditahan reman selama 14 hari mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan," katanya.

Peti RM46j

NILAI: Taktik licik seorang lelaki warga Iran menyembunyikan puluhan kilogram (kg) dadah dalam 15 peti kayu mengandungi pasu terbongkar apabila kediamannya di Taman Titiwangsa, Kuala Lumpur, diserbu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), malam kelmarin.
Lebih mengejutkan pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan bahan haram itu yang dianggarkan seberat 89 kg bernilai RM22 juta.

Dalam serbuan kira-kira jam 8.40 malam, lelaki berusia 29 tahun ditahan hasil maklumat awam dan risikan berhubung wujud aktiviti pengedaran dadah di dalam rumah terbabit.

Penolong Ketua Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JKDM, Datuk Zainul Abidin Taib berkata, hasil pemeriksaan di kediaman disewa itu menemui syabu yang disembunyikan di bahagian bawah setiap peti kayu terbabit.

“Siasatan mendapati semua peti kayu itu diikrar kepada kastam sebagai barangan ‘cenderamata’ mengandungi pasu dan dibayar cukai RM5,000.

“Ia dihantar seorang individu dari negara sama (Iran) melalui kargo udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggunakan penerbangan Qatar Airways dari Doha.


“Suspek kini direman 14 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat Narkotik JKDM di Kampung Jijan di sini, semalam.

Menurut beliau, berdasarkan rekod suspek sudah memasuki negara ini tiga kali sebagai pelancong dan dua kali daripadanya melalui Indonesia.

“Rekod turut menunjukkan suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap tinggal di Malaysia antara lima hingga 30 hari,” katanya. Sementara itu, kata Zainul, pihaknya turut menyerbu sebuah premis di Ampang Jaya, Selangor, yang disyaki dijadikan pangkalan pengedaran dadah, kira-kira jam 1.30 tengah hari 27 Ogos lalu.

“Hasil pemeriksaan ke atas 10 peti kayu di dalam premis itu menjumpai syabu seberat 94.15 kg dengan anggaran nilai pasaran RM23.5 juta yang diseludup masuk melalui kargo udara dengan penerbangan Mahan Air dari Iran.

“Kami (KDRM) percaya sindiket berkenaan adalah kumpulan yang sama berdasarkan modus operandi mereka yang menggunakan kargo udara. Justeru, kami sedang mengesan penerima barangan itu untuk membantu siasatan,” katanya.

Menurut beliau, rampasan berjumlah RM46 juta itu antara yang terbesar dalam sejarah pihaknya dalam menumpaskan sindiket pengedaran dadah pada tahun ini.

Ako bebas penjara

SHAH ALAM: “Alhamdulillah, saya bersyukur,” kata pelakon Ako Mustapha, selepas Mahkamah Tinggi Syariah di sini mengetepikan hukuman penjara tiga bulan terhadapnya kerana mengaku berkhalwat dengan seorang jurusolek bukan Islam, di Ampang, dekat sini, empat tahun lalu.
Terdahulu, Hakim Syarie Abu Zaky Mohammad membuat keputusan itu selepas menerima rayuan Ako terhadap keputusan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 21 April 2009.

Ako atau nama sebenarnya Muhaizad Ahmad Mustapha, 39, berkata, dia lega dengan keputusan itu dan berharap meneruskan kehidupannya dengan fokus mendapat rezeki lebih untuk keluarga. “Tiada apa yang saya boleh katakan lagi. Selepas ini, saya cuma nak cari duit dan pastikan makan minum isteri dan pendidikan anak terjamin,” katanya ketika dihubungi, semalam. Pada 21 April 2009, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini menjatuhkan hukuman tiga bulan penjara dan denda RM3,000 selepas mengaku salah berkhalwat.

Pelajar IPT beli petrol

SHAH ALAM: Polis menahan seorang lelaki berusia 19 tahun yang masih menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi di Seri Iskandar, Perak bagi membantu siasatan berhubung penemuan yang mayat seorang remaja perempuan rentung di kawasan semak di Kampung Lembah Jaya Utara, Bukit Belacan, Ampang pada Isnin minggu lalu.
Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula kelmarin, selepas diberkas berhampiran tempat pengajiannya itu kira-kira jam 12 tengah hari pada hari sama.

Polis menemui beberapa bukti fizikal seperti rambut yang boleh dikaitkan dengan pembunuhan berkenaan di dalam kereta jenis Perodua Kancil suspek serta telefon bimbit milik mangsa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, siasatan awal mendapati suspek membeli petrol di dua stesen minyak di Ampang yang dipercayai digunakan untuk membakar mayat mangsa selepas dibunuh.

“Suspek mengambil jurusan sarjana muda ukur bahan dan berasal dari Ukay Perdana, Ampang ditahan di luar kampus pada jam 12 tengah hari semalam (kelmarin).

“Mangsa yang dikenali sebagai Nurul Awatif Syakir berusia 19 tahun menuntut di Maahad Tahfiz At-Tijarah, Selayang berasal dari Setapak, Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.


Ditanya motif pembunuhan berkenaan, Tun Hisan berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan mengenainya termasuk hubungan suspek dengan mangsa.

“Yang pasti suspek dan mangsa saling mengenali. Bagaimanapun, kami belum pasti sejauh mana hubungan mereka,” katanya.

Terjun tingkat tiga gagal bayar hutang

KAJANG: Gara-gara tidak tahan dipukul, ditumbuk, disepak dan diacukan pisau oleh sekumpulan lelaki kerana lambat membayar hutang, seorang pengawal keselamatan nekad terjun menyelamatkan diri dari tingkat tiga sebuah flat di Taman Prima Selayang, Gombak, malam kelmarin.
Mangsa berusia 40 tahun meminjam wang RM4,300 daripada suspek, tetapi gagal melangsaikan hutang dalam jangka waktu ditetapkan menyebabkan suspek berang.

Mangsa turut cedera di kepala dan telinga selain lebam di beberapa bahagian badan kerana dipukul menggunakan getah paip, ditumbuk dan disepak empat suspek.

Sumber berkata, kira-kira jam 11 malam, suspek datang ke rumah mangsa di Balakong, dekat sini, untuk berbincang mengenai hutang yang masih gagal dijelaskan mangsa. Bagaimanapun katanya, perbincangan yang pada mulanya tenang bertukar tegang apabila mangsa masih tidak dapat menjelaskan hutang berkenaan.

“Suspek yang berang kemudian mengheret mangsa masuk ke dalam sebuah kereta milik mereka yang diletakkan berhampiran rumah mangsa sebelum membawa mangsa ke sebuah rumah flat di Taman Prima Selayang,” katanya.

Dadah RM46j dirampas

NILAI: Taktik licik seorang lelaki warga Iran menyembunyikan puluhan kilogram (kg) dadah dalam 15 peti kayu mengandungi pasu terbongkar apabila kediamannya di Taman Titiwangsa, Kuala Lumpur, diserbu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), malam kelmarin.
Lebih mengejutkan pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan bahan haram itu yang dianggarkan seberat 89 kg bernilai RM22 juta.

Dalam serbuan kira-kira jam 8.40 malam, lelaki berusia 29 tahun ditahan hasil maklumat awam dan risikan berhubung wujud aktiviti pengedaran dadah di dalam rumah terbabit.

Penolong Ketua Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JKDM, Datuk Zainul Abidin Taib berkata, hasil pemeriksaan di kediaman disewa itu menemui syabu yang disembunyikan di bahagian bawah setiap peti kayu terbabit.

“Siasatan mendapati semua peti kayu itu diikrar kepada kastam sebagai barangan ‘cenderamata’ mengandungi pasu dan dibayar cukai RM5,000.

“Ia dihantar seorang individu dari negara sama (Iran) melalui kargo udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggunakan penerbangan Qatar Airways dari Doha.


“Suspek kini direman 14 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat Narkotik JKDM di Kampung Jijan di sini, semalam.

Menurut beliau, berdasarkan rekod suspek sudah memasuki negara ini tiga kali sebagai pelancong dan dua kali daripadanya melalui Indonesia.

“Rekod turut menunjukkan suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap tinggal di Malaysia antara lima hingga 30 hari,” katanya. Sementara itu, kata Zainul, pihaknya turut menyerbu sebuah premis di Ampang Jaya, Selangor, yang disyaki dijadikan pangkalan pengedaran dadah, kira-kira jam 1.30 tengah hari 27 Ogos lalu.

“Hasil pemeriksaan ke atas 10 peti kayu di dalam premis itu menjumpai syabu seberat 94.15 kg dengan anggaran nilai pasaran RM23.5 juta yang diseludup masuk melalui kargo udara dengan penerbangan Mahan Air dari Iran.

“Kami (KDRM) percaya sindiket berkenaan adalah kumpulan yang sama berdasarkan modus operandi mereka yang menggunakan kargo udara. Justeru, kami sedang mengesan penerima barangan itu untuk membantu siasatan,” katanya.

Menurut beliau, rampasan berjumlah RM46 juta itu antara yang terbesar dalam sejarah pihaknya dalam menumpaskan sindiket pengedaran dadah pada tahun ini.

Heroin, syabu untuk ‘Taufik Hidayat’ dalam sandal

SEPANG: Cubaan menyeludup dadah keluar dari negara ini dengan menyoroknya dalam tapak tiga pasang sandal wanita yang diletakkan di dalam bungkusan kotak hadiah gagal, apabila dadah berkenaan dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Bungkusan itu dialamatkan kepada seorang penerima di Indonesia, yang mempunyai nama seakan-akan pemain badminton Indonesia, Taufik Hidayat menggunakan perkhidmatan pos ekspres.

Pengarah Kastam KLIA, Datuk M Govinden berkata, pengirim bungkusan berkenaan menggunakan alamat di Banting, Selangor, tetapi siasatan mendapati alamat digunakan tidak wujud, begitu juga d alamat penerima di Indonesia.

“Bungkusan itu dirampas pada 7 September lalu pada jam 11 pagi ketika diimbas di Pusat Mel dan Kurier (PMK), KLIA. Pemeriksaan rapi mendapati bungkusan yang mempunyai tiga pasang sandal wanita itu mempunyai dadah Metamphetamine (syabu) seberat 397 gram dan heroin seberat 211 gram.

“Syabu berkenaan dianggarkan bernilai RM100,000, manakala heroin bernilai RM40,000 menjadikan nilai keseluruhan dadah itu RM140,000,” katanya pada sidang media di Pejabat Bahagian Penguatkuasaan JKDM di Kompleks Kastam KLIA, di sini, semalam. Dalam kes berasingan, Govinden berkata, pihaknya menahan seorang lelaki warga Afrika berusia 30-an selepas dipercayai cuba menyeludup masuk syabu seberat 3.1 kilogram yang dianggarkan bernilai RM775,000.

Katanya, lelaki itu ditahan jam 7.30 malam kelmarin, sebaik tiba dengan penerbangan Egypt Air dari Kaherah, Mesir.


“Pemeriksaan terhadap beg bimbit berwarna coklat milik lelaki itu mendapati terdapat satu bungkusan mengandungi serbuk kristal dipercayai syabu.

“Syabu berkenaan diletakkan dalam bungkusan plastik sebelum dimasukkan pada bahagian dinding beg bagi mengelak dikesan pihak keselamatan,” katanya. Katanya, taktik itu tidak berjaya selepas pihaknya mendapati bahagian dinding beg berkenaan kelihatan tebal dan mencurigakan. Govinden berkata, dalam beg itu turut diisi pakaian serta barang peribadinya dan dia baru pertama kali tiba ke negara ini.

“Lelaki itu dipercayai berada di sini selama 10 hari, dan dia turut membawa wang tunai RM9,098. Lelaki itu kini direman tujuh hari,” katanya. Menurutnya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Orang awam cekup suspek

KAJANG: Seorang pelajar warga Afrika diberkas orang ramai selepas dia mencabul seorang remaja perempuan berusia 19 tahun berhampiran sebuah pasar raya di Semenyih, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, mangsa yang juga jurujual di pasar raya itu keluar seorang diri untuk pergi ke kedai berhampiran untuk membeli barangan sebelum suspek menarik tangan dan membawanya ke tingkat dua pasar raya berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, berkata sebaik menyedari suspek menarik tangannya dan membawanya ke tempat sunyi, mangsa meronta-ronta dan merayu dilepaskan, namun tidak diendahkan suspek.

Katanya, suspek bertindak lebih agresif apabila menarik mangsa naik ke tingkat tiga kerana khuatir jeritan mangsa didengari orang ramai sebelum suspek membuka seluarnya. “Suspek menunjukkan kemaluannya kepada mangsa selain meraba seluruh tubuh mangsa walaupun dia merayu tidak diperlakukan sedemikian.

“Bimbang diperlakukan lebih kejam, mangsa menjerit meminta tolong dan jeritan itu didengari seorang pengawal keselamatan yang membuat rondaan di kawasan berkenaan,” katanya.

Ab Rashid berkata, pengawal keselamatan berkenaan ke tempat kejadian menyebabkan suspek terkejut dan cuba melarikan diri ke kawasan kedai berhampiran pasar raya berkenaan.


Tindakan pengawal keselamatan mengejar suspek menarik perhatian orang awam di kawasan berkenaan sebelum mereka membantu memberkas suspek.

Beliau berkata, suspek yang kepenatan ditahan orang awam sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa dan siasatan awal mendapati suspek berusia 23 tahun dan masuk ke Malaysia sebagai pelajar kolej swasta di ibu kota.

Ab Rashid berkata, suspek kini direman di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

Ibu tunggal cari pengasuh ditemui mati

IPOH: Dua jam selepas keluar bagi mencari pengasuh bagi menjaga dua anak kecilnya, seorang janda muda ditemui mati dalam keadaan misteri, terlentang atas lantai bersebelahan sebuah pusat beli-belah terkemuka di bandar raya ini kira-kira jam 2 petang semalam.
Pemeriksaan sepasukan anggota polis yang bergegas ke tempat kejadian selepas mendapat maklumat awam, mendapati mangsa dikenali Fong Yan Wah, 23, sudah tidak lagi bernyawa.

Bapa mangsa yang enggan identitinya disiarkan berkata, anak bongsunya itu tinggal bersama keluarga di Kampung Baru Ampang, dekat sini, sejak bercerai beberapa bulan lalu.

“Anak saya mempunyai masalah kesihatan iaitu pemikirannya mudah terganggu sejak melahirkan anak kedua dan bertambah serius selepas dia bercerai.

“Tetapi, saya tidak percaya ia begitu teruk sehingga mencederakan diri sendiri,” katanya.

Menurutnya, dia tidak sedap hati apabila mangsa tidak pulang selepas dua jam meninggalkan rumah kira-kira jam 12 tengah hari semalam.


“Dia memberitahu mahu mencari pengasuh, tetapi kami tidak begitu kisah kerana kebiasaannya dia keluar sekejap sahaja. Tetapi, saya mula berasa tidak sedap hati selepas dia masih tidak pulang ke rumah.

“Kira-kira jam 2 petang (semalam), kami keluar mencarinya, tetapi belum sempat melangkah keluar rumah, seorang anggota polis datang memaklumkan penemuan mayat seorang wanita dan meminta kami membuat pengecaman,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata punca kematian mangsa masih dalam siasatan.

“Mayat mangsa ditemui lengkap berpakaian dan pemeriksaan awal mendapati tiada kesan kecederaan serta unsur jenayah dalam kes ini.

“Bagaimanapun, mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan polis menunggu laporan hasil bedah siasat,” katanya.

Cekup 4 pencuri kontena tayar

PETALING JAYA: Sekumpulan empat penyamun semuanya bersenjatakan parang melarikan sebuah lori kontena sarat dengan tayar terpakai yang dianggarkan bernilai lebih RM65,000 selepas membelasah dan mengikat seorang pengawal keselamatan kilang tayar di Bandar Bukit Puchong, dekat sini, pada kira-kira jam 10.45 malam kelmarin.
Namun, kurang enam jam selepas kejadian samun terbabit berlaku polis yang mendapat maklumat daripada mangsa serta pengurusan kilang menemui lokasi kontena berkenaan disembunyikan di tanah rizab pencawang elektrik di Pelangi Damansara, di sini.

Intipan polis di lokasi terbabit turut membawa kejayaan penahanan empat suspek yang dipercayai dua daripadanya pembeli, manakala dua lagi suspek perancang utama kejadian samun berkenaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata kira-kira jam 10 pagi semalam, empat lelaki datang ke lokasi kontena berkenaan disembunyikan dengan menaiki dua kereta dan sebaik saja mereka membuka kontena polis menyerbu serta menahan mereka.

“Hasil siasatan awal mendapati seorang daripada suspek yang berusia 44 tahun mempunyai 18 rekod jenayah lampau dan baru dibebaskan dari Penjara Simpang Renggam, Ogos tahun lalu mengikut Akta Ordinan Darurat.

“Manakala seorang lagi suspek berusia 36 tahun yang juga pengawal keselamatan mempunyai dua rekod jenayah samun. Dua lagi suspek berusia 35 dan 40 tahun, seorang pemasang sistem kawalan keselamatan dan seorang lagi pemilik restoran,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Menurutnya, polis kini menjalankan siasatan lanjut dan memburu empat lagi suspek yang dipercayai berperanan menyamun dan membawa lari treler berkenaan.

Berang kandang haram diroboh


HILANG SABAR...penternak gagal mengawal emosi ditenteramkan anggota polis.
HILANG SABAR...penternak gagal mengawal emosi ditenteramkan anggota polis.
ROBOH...penguat kuasa MPSJ merobohkan kandang yang dibina secara haram di Taman Serdang Jaya, Serdang.
ROBOH...penguat kuasa MPSJ merobohkan kandang yang dibina secara haram di Taman Serdang Jaya, Serdang.
SERDANG: Gagal mengawal emosi kerana terlalu marah dengan tindakan pihak berkuasa merobohkan pusat ternakan haiwan yang didirikan 25 tahun lalu secara haram di Taman Serdang Jaya di sini, seorang wanita cuba memukul wakil pemaju.
Difahamkan, insiden itu bermula apabila penternak terbabit tidak berpuas hati dengan penjelasan diberi sehingga menyerang pemaju, cuba memukul dan membalingnya dengan tong air yang diletakkan berhampiran.

Menurut wanita itu, notis yang dikeluarkan pihak berkuasa terlalu singkat untuk memindahkan semua barang dan merobohkan kandang terbabit.

“Mereka patut beri lebih banyak masa untuk berpindah dan merancang semula perniagaan kami, bukan datang dan terus merobohkan kandang itu.

“Sudah 25 tahun kami menjalankan perniagaan di sini dan disuruh berpindah ke Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Sungai Nilam, Hulu Selangor, yang mengambil masa satu setengah jam perjalanan.

“Jika ingin membuka pusat ternakan di kawasan baru, kami terpaksa mengeluarkan modal kira-kira RM100,000 untuk menampung perbelanjaan pembinaan kandang dan urusan lain. Kami tidak ada wang sebanyak itu dan jika ada, sudah lama kami membuka pusat ternakan di kawasan lebih baik,” katanya ketika ditemui.


Selain mendirikan premis di kawasan yang tidak dibenarkan, penternak mendapatkan bekalan utiliti daripada fius papan tanda dan paip berdekatan secara haram. Mereka juga difahamkan membenarkan orang ramai membuang lebihan bahan pembinaan di kawasan seluas kira-kira satu hektar itu.

Sementara itu, Penolong Pengarah Perancang Bandar Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Asmidar Shaarin, berkata notis arahan mengosongkan tanah sudah dikeluarkan beberapa kali sejak 2002 dan notis terakhir diberikan minggu lalu.

Guru maut dihempap pokok kelapa

MARANG: “Ibu mana tidak trauma melihat anaknya mati depan mata. Saya pengsan selepas melihat pokok kelapa itu menimpa anak,” kata Mariam Awang, 65, ibu kepada Mohamad Fadhli Chik, 35, yang maut dihempap pokok kelapa di Jalan Pusara, Kampung Seberang Marang, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 6.40 petang itu, Mohamad Fadhli yang menunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera teruk di kepala dan anggota badan.

Jenazahnya kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Marang (KKM), di sini, sebelum dirujuk ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

Bagaimanapun, Mariam yang membonceng motosikal berkenaan tidak cedera.

Mariam berkata, sebelum kejadian arwah yang juga anak bongsu daripada lima beradik mengambilnya di rumah kerana dia ingin bermalam di rumah anaknya yang terletak di kampung sama.

“Sejak suami meninggal pada 2002, saya sering bermalam di rumah anak dan pada hari kejadian, giliran saya bermalam di rumah arwah yang terletak satu kilometer dari rumah saya.


“Seperti biasa arwah datang ke rumah dengan menaiki motosikal untuk mengambil saya pada jam 6.30 petang.

“Ketika perjalanan ke rumah arwah menaiki motosikal, tiba-tiba sebatang pokok kelapa setinggi 20 meter menghempap arwah menyebabkan saya terpelanting, manakala arwah dihempap pokok kelapa itu.

“Saya terkejut apabila melihat kepala arwah berdarah sebelum dia menghembuskan nafas terakhir menyebabkan saya pengsan.

“Difahamkan orang kampung datang mengalihkan pokok kelapa sebelum kami dikejarkan ke KKM.,” katanya, semalam.

Menurutnya, dia sedih anaknya mati dalam keadaan menyayat hati tetapi reda dengan kejadian itu.

“Dia seorang yang baik, semoga rohnya dicucuri rahmat,” katanya.

Mariam berkata, arwah yang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Merchang, meninggalkan seorang balu, Suraya Ramli, 36, dan dua anak perempuan berusia tiga dan lima tahun.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Darat Pak Chang, di sini, pada jam 11 pagi semalam.

Lelaki kena 6 bulan cabul warga emas





2011/09/14

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Majistret di sini, semalam, menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap seorang lelaki yang gagal menahan nafsu hingga mencabul kehormatan warga tua berusia 62 tahun pada Mac lalu. 

Zulkefli Salleh, 46, dari Kampung Kubang Ikan, Chendering, di sini, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, yang dibacakan di depan Majistret Abdul Hayyi Salim.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah kepada mangsa dengan niat mencabul kehormatannya di sebuah rumah di Kampung Kubang Ikan pada jam 2 petang, 27 Mac lalu.
Mengikut fakta kes, mangsa yang berada di rumahnya didatangi tertuduh yang masuk melalui pintu dapur yang terbuka dan turut membawa sebilah pisau lalu memegang tangan dan lutut serta mencium mangsa, selain mengajak mangsa berkahwin dengannya. 

Difahamkan, tertuduh pernah menyuarakan hasrat berkahwin dan menyimpan perasaan terhadap mangsa. 

Mangsa yang ketakutan ketika itu mengikut apa saja dikatakan tertuduh demi menyelamatkan diri, malah tertuduh berada di kawasan rumah mangsa selain memaklumkan akan datang semula pada waktu malam. 

Lima kedai usang musnah



Oleh Ahmad Othman
bhjb@bharian.com.my
2011/09/14

  Asiah meninjau kawasan kebakaran diiringi  Choo   (kanan) dan Eng   (dua dari kiri) di Jalan Tun Sri Lanang.
Asiah meninjau kawasan kebakaran diiringi Choo (kanan) dan Eng (dua dari kiri) di Jalan Tun Sri Lanang.
Kebakaran di Jalan Tun Sri Lanang babitkan kerugian RM1.5 juta 

KOTA TINGGI: Sederet lima kedai usang binaan separa kayu, musnah akibat kebakaran yang menyebabkan kerugian lebih RM1.5 juta dalam kejadian dekat Jalan Tun Sri Lanang di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, kebakaran terbabit memusnahkan sebuah kedai tayar, restoran, aksesori kenderaan dan alat ganti motosikal.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Ismail Latif, berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian yang terletak 1.5 kilometer dari pusat bandar ini bersama tiga jentera dan dua kenderaan utiliti. 

Katanya, api dapat dikawal dalam tempoh 30 minit daripada merebak ke deretan bangunan binaan yang pernah dijadikan rumah sewa dan bengkel kenderaan serta pertukangan besi yang terletak bersebelahan tempat kejadian. 

“Api marak disebabkan rumah kedai terbabit menempatkan simpanan tin minyak enjin, cat kenderaan, aerosol dan aksesori serta alat ganti kenderaan. 

“Setakat ini, punca sebenar kejadian dan nilai kerugian akibat kebakaran itu masih dalam siasatan. Tiada mangsa mengalami kecederaan dalam kejadian ini kerana ketika kebakaran, pengusaha perniagaan di premis ini tidak tinggal di sini, ” katanya di tempat kejadian, awal pagi semalam. 
Dalam usaha anggota bomba dan penyelamat memadam kebakaran terbabit, beberapa letupan kecil kedengaran disertai api menjulang tinggi dipercayai akibat tin cat, aerosol dan minyak kenderaan yang meletup dan disambar api. 

Pengusaha restoran, Omar Ali, 49, yang mengendali perniagaan di situ sejak lebih 10 tahun lalu, berkata kejadian itu menyebabkan beliau hilang sumber pencarian. 

“Kebakaran ini menyebabkan saya kerugian kira-kira RM36,000 apabila semua harta benda dan kelengkapan perniagaan tidak dapat diselamatkan," katanya. 

Pemilik kedai tayar, Choo Hong Liam, berkata kebakaran terbabit menyebabkan beliau kerugian RM500,000 apabila semua stok tayar dalam simpanan di kedai itu bersama mesin pengendalinya musnah. 

“Saya yang tinggal di Taman Kota Jaya, bergegas ke sini sejurus mengetahuinya kira-kira jam 4.50 pagi apabila dihubungi jiran hadapan kedai yang terbakar. 

“Api marak dengan kuat dengan kedai saya mempunyai banyak simpanan tayar baru dan lama. Mesin dan peralatan saja bernilai RM200,000, manakala tayar dan aksesori lain bernilai RM300,000," katanya yang berniaga di di situ sejak 1976. 

Pemilik kedai motosikal, Eng Kim Pau, 64, mendakwa kerugian kira-kira RM1 juta apabila dua pintu kedainya yang dipenuhi aksesori dan alat ganti motosikal dan sebuah lagi dijadikan stor peralatan lain musnah sama sekali dalam kejadian ini. 

“Nasib saya kurang baik kerana semua barangan yang disimpan ini tidak dilindungi insurans," katanya yang berniaga di situ sejak premis terbabit didirikan pada 1975. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Asiah Md Ariff, turut meninjau lokasi kebakaran terbabit sambil menghulurkan sumbangan tanda simpati kepada semua mangsa ekoran kebakaran yang berlaku. 

Ditahan rompak restoran mamak




TUN HISAN menunjukkan gambar Veeramuthu di IPK Selangor, Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Lapan lelaki termasuk dua pelajar sekolah menengah ditahan bagi membantu siasatan rompakan bersenjata ke atas dua buah restoran mamak di Seksyen 15 dan 24 di sini pada 28 Ogos dan 8 September lalu.
Semua suspek yang berusia antara 17 dan 27 tahun itu ditahan di beberapa lokasi berasingan di Seksyen 16 di sini, Rawang dan Gombak antara 8 hingga 11 September.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, pihaknya turut merampas sebuah motosikal yang dilaporkan dicuri, satu beg komputer riba dan topi keledar yang dipakai suspek ketika merompak.
"Siasatan mendapati seorang daripada lapan suspek itu ditahan berkaitan kes samun dalam rumah di Gombak baru-baru ini.
"Kita juga meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan seorang lelaki, S. Veeramuthu, 19, yang dipercayai dapat membantu siasatan kes rompakan ini," katanya pada sidang akhbar di Pusat Media, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini semalam.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan semua suspek ditahan reman sehingga 15 September," ujarnya.
Pada 28 Ogos lepas, sekumpulan lelaki merompak sebuah restoran mamak di Seksyen 15, Shah Alam dan melarikan barangan milik pelanggan yang sedang menjamu selera di situ.
Tidak sampai dua minggu selepas itu, kumpulan sama dipercayai merompak sebuah lagi restoran mamak di Seksyen 24 pula.

Tiga komando antara 46 ditahan



SEBAHAGIAN daripada penagih dadah yang ditahan di ladang kelapa sawit di Sungai Udang, Melaka semalam.


MELAKA - Hasrat 41 penagih dadah untuk melepaskan gian di sebuah ladang kelapa sawit yang terletak kira-kira 200 meter dari Penjara Sungai Udang di sini tidak kesampaian apabila mereka ditahan semalam.
Lebih memeranjatkan, tiga anggota komando dari Kem Sungai Udang dan seorang anggota tentera berusia antara 23 hingga 29 tahun turut ditahan dalam operasi yang dinamakan Ops Tapis bermula pukul 6.30 pagi semalam.
Dua daripada mereka lengkap berpakaian seragam askar.
Ketua Unit Risikan Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Cif Inspektor Hisham A. Rahman mengetuai operasi selama lima setengah jam itu yang dianggotai 10 orang.
Turut ditahan ialah penganggur, pengawal keselamatan, buruh dan penduduk tempatan berusia antara 18 hingga 57 tahun.
Selain itu, lima lelaki turut ditahan kerana memiliki dadah jenis heroin dalam bentuk paket dan tiub menjadikan jumlah keseluruhan yang ditahan 46 orang.

Empat lelaki diberkas curi tayar




EMPAT lelaki ditahan di Kota Damasara, Petaling Jaya semalam kerana disyaki mencuri tayar.


PETALING JAYA - Tindakan pantas polis yang menerima maklumat berhubung kes samun lori kontena di sebuah kilang di Bukit Puchong di sini malam kelmarin membuahkan hasil apabila empat lelaki berjaya diberkas kurang 12 jam selepas kejadian jenayah itu.
Keempat-empat suspek itu ditahan pada pukul 10.10 pagi semalam berhampiran tapak semaian bunga di Kota Damansara. Turut ditemui kontena berisi muatan tayar terpakai.
Sebelum itu, pada pukul 10.45 malam kelmarin, sekumpulan empat lelaki yang menaiki sebuah kereta memecah masuk sebuah kilang tayar di Bandar Bukit Puchong.
Pengawal keselamatan warga Myanmar yang bertugas pada malam itu diikat manakala kedua-dua belah matanya pula ditutup dengan baju.
Empat suspek yang bersenjata empat bilah parang itu kemudian mencampakkan pengawal keselamatan itu ke dalam longkang menyebabkan mangsa cedera di tangan, kaki dan badan.

Perlis banjir, 342 mangsa dipindah




TUANKU Syed Faizuddin melihat Tuanku Lailatul Shahreen bersama puteri mereka, Sharifah Katrina (duduk kiri) memasak untuk mangsa banjir di pusat pemindahan mangsa banjir di Padang Besar semalam.


KANGAR - Jumlah mangsa banjir di Perlis yang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan kini tinggal seramai 342 mangsa daripada 88 keluarga yang ditempatkan di tujuh pusat pemindahan banjir di negeri ini.
"Ia menunjukkan pengurangan berbanding statistik pada pukul 3 petang iaitu 567 mangsa melibatkan 136 keluarga di 13 pusat pemindahan," kata jurucakap bilik gerakan Majlis Keselamatan Negara di sini semalam.
Kesemua mangsa ditempatkan di 13 buah pusat pemindahan mangsa banjir iaitu enam di Padang Besar, empat di Arau dan tiga di Kangar.

SEORANG anggota Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia Perlis melaporkan keadaan banjir di Titi Tinggi, Padang Besar semalam.


Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut meninjau kawasan-kawasan yang dilanda banjir serta bertemu dengan mangsa-mangsa yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan.
Baginda yang diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut melawat dua buah sekolah di kawasan Arau yang dilanda banjir iaitu Sekolah Kebangsaan Tengku Budriah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Sheikh Ahmad.

SEKUMPULAN kanak-kanak leka bermain air selepas banjir mula menenggelamkan beberapa kawasan dekat Titi Tinggi di Padang Besar semalam.


Baginda berdua kemudiannya melawat Klinik Kesihatan Gial yang ditenggelami air dan bertemu mangsa-mangsa banjir di kawasan Titi Tinggi dan Chuping. - Bernama