Search This Blog

Tuesday, September 13, 2011

Dua kapal tangki berlanggar




KEADAAN kapal MT Cendanawati yang rosak akibat dilanggar sebuah kapal lain berhampiran Pulau Tioman kelmarin.


KUANTAN - Seramai 19 krew dan seorang kapten yang menaiki kapal tangki minyak, MT Cendanawati berdepan pengalaman cemas apabila dirempuh sebuah kapal tangki yang lebih besar kira-kira lapan batu nautika dari Pulau Tioman kelmarin.
Kejadian yang berlaku di antara pukul 3.30 hingga 3.45 pagi itu menyebabkan kapten kapal dari Indonesia itu cedera ringan di kepala dan tengkuk manakala anak kapal lain selamat.
Pengarah Operasi Wilayah Maritim Malaysia (APMM) Timur, Kepten Maritim Syd. Mohd. Fuzi Syd. Hasan (gambar kecil) berkata, ekoran perlanggaran itu, kapal MT Cendanawati yang dalam pelayaran dari Thailand ke Indonesia hampir karam kerana mengalami kebocoran enjin serta rosak di bahagian belakang.
"Kapal yang melanggarnya iaitu MT Cosmic 10 pula dipercayai terus berpatah balik ke Pulau Batam tanpa membantu anak kapal MT Cendanawati," ujarnya pada sidang akhbar di Pejabat APMM di Indera Mahkota di sini semalam.
Syd. Mohd. Fuzi memberitahu, siasatan awal mendapati, kapal MT Cendanawati menghubungi kapal MT Cosmic 10 melalui radio pada pukul 3.30 pagi untuk memberitahu mahu menukar haluan ke kiri dari arah utara bagi mengelak perlanggaran, tetapi tidak dijawab.
"Berikutan itu, kapal MT Cendanawati telah memberi isyarat lampu hijau kepada MT Cosmic 10. Namun, kapal yang dipercayai berasal dari Indonesia itu tidak menerima isyarat itu menyebabkan perlanggaran berlaku," katanya.
Ujarnya, anak kapal MT Cendanawati bagaimanapun telah diselamatkan oleh sebuah kapal dagang, Lady Anyvisia sebelum pihak APMM tiba di tempat kejadian.
"Siasatan berhubung kejadian diserahkan kepada Jabatan Laut manakala Jabatan Alam Sekitar juga sudah dimaklumkan untuk menyiasat kemungkinan berlaku pencemaran akibat perlanggaran dua kapal tangki itu," katanya.
Sementara itu, kapten kapal MT Cendanawati, Dadi Suyadi, 45, berkata, kejadian selama 15 minit itu menyebabkan semua anak kapal menjadi cemas apabila kapal mereka yang berukuran 88.6 meter panjang itu mula dimasuki air.
"Mujurlah sebuah kapal dagang menyedari perlanggaran itu dan membantu menyelamatkan kami," katanya

Traktor dirempuh kereta api




BEGINILAH keadaan bahagian badan traktor yang dirempuh kereta api di Kilometer 44, Sungai Dusun, Kuala Krai semalam.


KUALA KRAI - Seorang lelaki warga Indonesia maut apabila traktor pengangkut kelapa sawit yang dipandunya dirempuh sebuah kereta api penumpang semasa cuba melintas di landasan di Kilometer 44, Sungai Dusun dekat sini pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 pagi itu, mangsa, Mohd. Rizwan Mohd. Shaiful, 26, yang merupakan pekerja di Ladang Mengkebang di sini mengalami kecederaan parah di kepala dan putus telinga.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Supritendan Abdul Rahman Jaafar berkata, kejadian berlaku ketika traktor yang membawa muatan buah kelapa sawit itu dalam perjalanan ke tempat simpanan yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian.
Jelasnya, akibat kemalangan tersebut, traktor itu terputus dua manakala perjalanan kereta api yang membawa 80 penumpang dari Tumpat ke Gua Musang itu tergendala selama sejam.
NUR AZIAH menunjukkan gambar Mohd. Rizwan yang maut selepas traktor dipandunya dilanggar kereta api di Kuala Krai semalam.


"Mangsa yang sudah mendirikan rumah tangga dengan isteri warga tempatan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Krai," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Sementara itu, isteri mangsa, Nur Aziah Mat Naim, 24, memberitahu, suaminya itu pernah menyatakan hasrat ingin membawanya bertemu dengan keluarga di Lombok, Indonesia.
"Sejak berkahwin sembilan bulan lalu, suami beria-ia mahu menemukan saya dengan keluarganya. Tapi, kerana tidak cukup duit, hasrat itu ditangguhkan ke hari raya. Malangnya hasrat itu tak kesampaian," katanya yang masih belum dikurniakan cahaya mata.

Anak beranak tinggal sehelai sepinggang




ANGGOTA bomba memadam kebakaran rumah Mohd. Zaki (gambar kecil) di Kampung Ayer Chanal, Tanah Merah semalam.


TANAH MERAH - Tiga beranak tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka hangus dijilat api di Kampung Ayer Chanal di sini semalam.
Kejadian berlaku pada pukul 8 pagi ketika penghuni rumah berkenaan tiada di rumah.
Pemiliknya, Mohd. Zaki Abu Bakar, 32, berkata, ketika kejadian, dia bersama isterinya, Nik Nah Nik Hassan, 28, keluar menoreh getah di Jalan Legeh di sini manakala anak mereka, Muhammad Saidatul Mutahar, 2, ditinggalkan di rumah ibunya di kawasan berdekatan.
Selepas dimaklumkan tentang kejadian oleh ibunya, Mohd. Zaki bergegas pulang dan melihat rumahnya telah separuh dijilat api dan cuba memadam tetapi tidak berjaya.
"Saya bersyukur kerana ketika kebakaran, kami semua tiada di rumah tetapi semua barang tidak dapat diselamatkan kerana api terlalu marak," katanya ketika ditemui.
Dalam pada itu, Pegawai Bomba Kanan II Daerah Tanah Merah, Abd. Hadi Hassan berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.25 pagi.
Katanya, 18 anggota bomba termasuk Bomba Sukarela Ayer Lanas dan Bomba Sukarela Jajahan Jeli dihantar ke tempat kejadian untuk mengawal kebakaran.

Dua peragut patah kaki kena jel




RIZAL (bertongkat) dan Mohammad Rahmani diiringi keluar dari Mahkamah Sesyen Melaka semalam.


MELAKA - Nasib dua lelaki yang cedera ketika meragut rantai seorang wanita pada awal tahun lalu bertambah malang apabila mereka dijatuhi penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Hakim Ahmad Sazali Omar menjatuhkan hukuman tersebut ke atas bekas anggota polis, Rizal Abdul Jalil, 29, dan peniaga nasi lemak, Mohammad Rahmani Mohd. Johar, 20, selepas mereka mengaku bersalah merompak rantai G. Sangeetha, 29, di Jalan Pengkalan Rama di sini pada pukul 12.30 malam, 1 Januari tahun lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 391 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebat.
Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat.

30 kafe judi di Kuantan



13/09/2011 1:53pm

KUANTAN - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menamatkan talian Internet 30 buah kafe siber sekitar Kuantan kerana didapati terlibat dengan aktiviti perjudian.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, jumlah itu adalah daripada 34 premis yang disyaki terbabit dalam kegiatan tidak bermoral tersebut.
Baki empat premis masih dalam siasatan Telekom Malaysia bagi memastikan penglibatan mereka, katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.
Mohd Sharkar berkata, permohonan pemotongan talian itu dilakukan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).
"Selain itu, SKMM dengan kerjasama MPK dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan sedang menyiasat 64 buah kafe siber sekitar Kuantan yang disyaki terlibat dengan operasi judi haram,” katanya menjawab soalan Datuk Pang Tsu Ming (BN-Semambu).
Mohd Sharkar berkata, bagi tempoh Januari tahun lepas hingga Julai tahun ini, sebanyak 106 premis disyaki menjalankan premis perjudian mesin berkomputer diserbu dan hasilnya sebanyak 896 buah komputer dirampas.
Selain itu, seramai 434 orang termasuk penjaga premis ditahan untuk proses dokumentasi dan seramai 16 anggota sindiket telah diambil tindakan di bawah undang-undang pencegahan.
"Sebanyak 70 premis telah dipohon bagi pembatalan lesen perniagaan kepada pihak MPK manakala 71 premis dipohon bagi pemotongan bekalan elektrik kepada pihak Tenaga Nasional Berhad,” katanya. - Bernama

Seludup dadah guna sandal



13/09/2011 2:51pm

SEPANG - Cubaan menyeludup dadah jenis methamphetamine atau syabu dan heroin yang disorokkan dalam tiga pasang sandal wanita berjaya dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketiga-tiga pasang sandal yang mengandungi 397 gram dadah jenis syabu bernilai RM100,000 dan 211 gram dadah jenis heroin bernilai RM40,000 itu, diletakkan dalam sebuah kotak untuk dihantar ke alamat penerima di Indonesia menggunakan perkhidmatan pos ekspres.
Pengarah Kastam KLIA, Datuk M. Govinden berkata, pengirim menggunakan alamat Lot 133, Rumah Panjang Jalan Pasir Ujung, Banting, Selangor dan hasil siasatan mendapati alamat tersebut tidak wujud.
"Dadah itu dirampas pada 7 September lepas dan kita sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti pengirimnya melalui pejabat pos tempat barangan tersebut dikirim,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. - Bernama

Guru dituduh cabul pelajar



13/09/2011 3:36pm

KUALA LUMPUR - Seorang guru sebuah sekolah rendah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tuduhan mencabul seorang pelajar lelaki berusia tujuh tahun Mac lepas.
Mohd Sabri Che Bedolah, 34, dari Taman Kajang Utama, Kajang, Selangor, didakwa mencabul kehormatan pelajar itu di tangga sekolah berkenaan pada 12 tengah hari 4 Mac lepas.
Mohd Sabri yang diwakili peguam Wan Ahamad Fadzil Wan Omar didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman berkenaan, jika disabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Norasyikin Ahmad menawarkan jaminan sebanyak RM11,000 dengan seorang penjamin tetapi Wan Ahamad Fadzil merayu supaya wang jaminan itu dikurangkan kepada RM3,000 kerana anak guamannya terpaksa menanggung anak yang masih bersekolah serta keluarganya.
Majistret Aizatul Akmal Maharani membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 kemudian menetapkan 13 Oktober ini untuk sebutan kes.
Ibu Mohd Sabri membayar jaminan itu. - Bernama

Kedai telefon diarah baiki semula telefon



13/09/2011 3:40pm

ALOR SETAR - Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) mengarahkan sebuah syarikat menjual telefon bimbit membaiki semula telefon seorang pelanggan yang mengalami kerosakan dalam tempoh jaminan.
Presidennya, M.Suppiah mengeluarkan perintah itu kepada Teleforce Telecommunication (M) Sdn Bhd setelah mendengar tuntutan yang dibuat oleh seorang pekerja kedai serbaneka Siti Rohaya Hussain, 26, di sini hari ini.
TTPM mengarahkan syarikat itu membaiki semula telefon bimbit milik Siti Rohaya dalam tempoh dua minggu dari tarikh hari ini dan jika syarikat berkenaan gagal berbuat demikian, penuntut layak menerima telefon baru.
Siti Rohaya yang tinggal di Langgar di sini dalam tuntutannya pada Oktober 2010, berkata, beliau telah membeli sebuah telefon bimbit jenis Nokia C6 di kedai itu bernilai RM1,431 dan bayaran dibuat melalui ansuran mudah.
"Setiap bulan saya bayar RM159 dalam tempoh sembilan bulan dan pada Julai lepas, saya selesai bayar penuh. Pada November tahun lepas, telefon itu rosak dan saya membawa ke kedai yang saya beli untuk dibaiki tapi pada Julai lepas telefon itu rosak lagi,” katanya di sini hari ini.
Siti Rohaya berkata kali kedua (Julai lepas) peniaga memberitahu bahawa ia mengambil masa sebulan untuk membaiki telefon itu dan dalam tempoh sebulan, dua kali beliau ke kedai berkenaan bertanyakan tentang telefonnya yang masih belum siap dibaiki.
"Saya hairan kenapa mereka mengambil masa terlalu lama dan saya terus membuat tuntutan di sini. Selepas saya menghantar surat TTPM kepada syarikat itu, mereka menelefon saya dua hari kemudian dan memberitahu telefon saya sudah siap.
"Bila saya balik rumah saya lihat nombor siri telefon itu tidak sama dengan nombor siri yang berada pada kotak telefon tersebut dan apabila saya membuka telefon itu, terdapat lebih 30 mesej yang bukan milik saya dan juga senarai nombor telefon yang saya tidak kenali,” katanya. - Bernama

Pelajar ditahan, kes remaja dibunuh



13/09/2011 3:49pm

SHAH ALAM - Polis menahan seorang pelajar lelaki institut pengajian tinggi di Perak semalam bagi membantu siasatan kes penemuan mayat remaja wanita yang tubuhnya 80 peratus terbakar di Lembah Jaya Ampang pada 5 September lepas.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, pelajar berusia 19 tahun itu menuntut di tahun dua program Sarjana Muda Juru Ukur Bahan di Sri Iskandar.
Pihaknya turut merampas telefon bimbit mangsa dan sebuah kereta Perodua Kancil milik keluarga pelajar lelaki itu yang di dalamnya terdapat helaian rambut yang belum dikenal pasti, katanya pada sidang berita di sini.
Tun Hisan berkata, polis juga mengenal pasti dua stesen minyak di Ampang di mana petrol, yang dikatakan dibeli untuk membakar mayat remaja itu.
Pelajar lelaki itu, yang ditahan kira-kira 12 tengah hari semalam di luar kampusnya, direman tujuh hari.
Tun Hisan berkata, hasil siasatan awal polis mendapati pelajar lelaki itu, yang berasal dari Taman Ukay Perdana, Hulu Kelang, mengenali mangsa yang menetap di Selayang.
Norul Awatif Mohd Shakir, 19, penuntut Maahad Tahfiz At-Tijarah, Selayang, ditemui mati pada 5 September selepas keluar dari rumahnya untuk bertemu rakannya pada 4 September.
Mayat mangsa dicam oleh bapanya berdasarkan kepada maklumat mengenai rantai tangan dan subang emas serta cebisan baju kurung yang dipakai mangsa. - Bernama

Mayat wanita ditemui di pasar raya

IPOH - Pengunjung sebuah pusat membeli belah di bandar raya ini terkejut apabila menemui mayat seorang wanita terbaring di hadapan pasar raya tersebut hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, mayat tanpa dokumen pengenalan diri itu ditemui orang ramai berhampiran laluan utama ke pasar raya tersebut kira-kira 2.30 petang tadi yang kemudian melaporkan kepada polis.
Wanita itu dianggar berusia dalam lingkungan 20-an dan lengkap berpakaian ketika ditemui, katanya kepada pemberita, di sini.
Katanya, mayat itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.
Setakat ini polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut, namun kami akan membuka kertas siasatan jika bedah siasat mendapati kematian wanita tersebut mempunyai unsur jenayah, katanya. - Bernama

Pasport palsu: 12 lagi warga Indonesia ditahan



JOHOR BAHRU 12 Sept. - Hanya selepas 48 jam 16 warga Indonesia ditahan menggunakan pasport palsu kononnya untuk mengunjungi saudara-mara sempena Aidilfitri, 12 lagi warganegara itu diberkas menggunakan modus operandi sama sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail (LTASI), Senai, dekat sini semalam.
Penahanan terbaru itu dilakukan sebaik sahaja warga asing tersebut tiba di balai ketibaan lapangan terbang berkenaan pada pukul 5.40 petang.
Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Hassan Silong berkata, kesemua sembilan lelaki dan tiga wanita yang ditahan itu berusia 20 hingga 50 tahun dan berasal dari Surabaya.
Beliau berkata, mereka mendakwa datang ke negara ini untuk melawat saudara-mara sempena Aidilfitri, namun ditahan kerana menggunakan pasport yang mencurigakan dan disyaki palsu.
"Pemeriksaan ke atas pasport warga asing itu mendapati terdapat beberapa ciri yang meragukan, antaranya gambar pemilik asal pasport yang ditukar dengan gambar orang lain.
"Selain itu, cop masuk dan keluar pada pasport tersebut juga disyaki dipadamkan, seolah-olah pemilik pasport tidak pernah masuk ke Malaysia sebelum ini," katanya di sini hari ini.
Pihaknya tidak menolak kemungkinan kesemua warga asing itu datang ke negara ini untuk bekerja dan mereka kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8(3) Akta Imigresen 1959/1963.
Dalam kejadian 9 September lalu, seramai 16 warga Indonesia termasuk 11 wanita berusia 20 hingga 50 tahun yang dipercayai menggunakan pasport palsu ditahan Jabatan Imigresen negeri sebaik sahaja tiba di LTASI, dekat sini.

Samun bogel: Polis buru pengawal keselamatan kondominium



KUALA LUMPUR 12 Sept. - Polis memburu seorang pengawal keselamatan sebuah kondominium di Ampang Jaya yang dipercayai dapat membantu siasatan kes seorang profesor wanita warga Australia cuba disamun seorang lelaki bogel ketika mendaki Bukit Belacan baru-baru ini.
Pengawal keselamatan yang dipercayai terlibat dalam serangan tersebut kini dikatakan menghilangkan diri selepas kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, polis sudah mengenal pasti identiti suspek dan sedang memburunya.
"Berdasarkan siasatan polis, kita percaya suspek bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kondominium di kawasan itu dan sudah biasa dengan persekitaran tempat kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini melaporkan, Prof. Dr. Catherine Yule, berusia lingkungan 50-an yang mengajar di sebuah kolej swasta di sini diserang seorang lelaki berbogel ketika membawa dua anjingnya mendaki bukit itu, di belakang rumahnya di Taman TAR.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 3 petang Jumaat lalu ketika mangsa bersama seorang pembantu rumahnya yang merupakan warga Indonesia membawa dua ekor anjingnya mendaki bukit itu.
Bagaimanapun, pembantu rumah mangsa yang dikenali sebagai Ika, 35, bertindak berani menyelamatkan majikannya dan bergelut dengan suspek biarpun dia sendiri dipukul dan ditolak ke dalam lubang sedalam satu meter.
Suspek yang cuba bertindak lebih agresif bagaimanapun melarikan diri selepas memperoleh telefon bimbit Ika yang terjatuh.
Mengulas tentang motif suspek menyerang mangsa dalam keadaan bogel, Amiruddin berkata, perkara itu masih dalam siasatan pihaknya.

Tiga 'kasanova' Nigeria dicekup





KUALA LUMPUR 12 Sept. - Tiga 'kasanova' warga Nigeria yang aktif memperdayakan wanita melalui cinta siber berjaya dicekup polis baru-baru ini, setelah mereka termakan 'umpan' yang dipasang oleh seorang penyiasat peribadi wanita dari Australia.
Ketiga-tiga suspek sebelum ini, pernah memperdayakan seorang wanita warga Australia dikenali sebagai Rosalie sehingga mangsa mengalami kerugian apabila sanggup menyerahkan wang kepada 'kekasih' yang dikenali melalui alam siber itu.
Mangsa yang berasa tertipu kemudian mengupah seorang penyiasat peribadi di negaranya untuk menjejaki kumpulan penjenayah berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany berkata, hasil maklumat diberikan oleh Rosalie, penyiasat peribadi wanita berusia 28 tahun itu mula menjejaki suspek yang akhirnya dikesan berada di Malaysia pada Julai lalu.
Beliau berkata, penyiasat wanita terbabit berpura-pura berkenalan dengan suspek yang menggunakan nama samaran Benjamin Walthal melalui e-mel.
"Sepanjang sebulan tempoh perkenalan, suspek sempat meminta wanita itu memasukkan wang melalui Western Union sebanyak 5,000 Australia dolar (AU$) atau RM15,633.
"Suspek memberi alasan wang itu mahu digunakan bagi membayar cukai pelepasan wang pendapatannya bekerja di Malaysia sebanyak AU$1 juta (RM3.1 juta)," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata, penyiasat wanita yang menggunakan nama samaran Amber Batlett itu berpura-pura bersetuju membantu suspek dengan mengarahkan seorang detektifnya mengirim wang AU$760 (RM2,430) kepada suspek melalui Western Union di Melbourne, Australia.
Beliau berkata, selepas kiriman wang pertama itu, suspek yang menyangka mangsa sudah terjerat sekali lagi meminta wanita itu memasukkan wang AU$20,000 (RM62,441) dengan alasan mahu membayar hotel dan yuran sebuah bank yang digunakan bagi memasukkan wang di sini.
Katanya, kali ini, penyiasat wanita itu tidak memenuhi permintaan suspek tetapi berjanji akan menyerahkan wang tersebut secara tunai apabila dia datang ke Malaysia pada Jumaat lalu.
"Penyiasat wanita terbabit kemudian datang ke ibu negara dan membuat laporan polis sebelum bekerjasama memerangkap kumpulan sindiket berkenaan.
"Dia seterusnya mengatur pertemuan dengan suspek di KL Sentral di sini dengan membawa bersama sepasukan anggota polis sehingga akhirnya membawa kepada penahanan dua lelaki Nigeria dan seorang remaja tempatan peminta sedekah berusia 17 tahun yang diupah sebagai orang tengah mengambil wang dari wanita tersebut," katanya.
Menurut Izany, hasil siasatan lanjut terhadap dua lelaki Nigeria itu, polis memberkas seorang lagi rakan senegara mereka yang merupakan suspek utama di Pusat Beli-belah Alamanda, Putrajaya, pada hari sama.
Katanya, siasatan mendapati suspek utama berkahwin dengan wanita tempatan dan keempat-empat suspek berusia 17 hingga 41 tahun kini direman di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Ummi batalkan saman RM100 juta



KUALA LUMPUR 12 Sept. - Adik Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ummi Hafilda Ali hari ini menarik semula saman RM100 juta ke atas bekas rakan perniagaannya, Nor Azman Abdullah @ Baginda Minda dan sebuah penerbit portal berita.
Penarikan semula saman itu bagi membetulkan beberapa isu teknikal seperti kesalahan nama individu yang disaman dan alamat penyampaian saman.
Nama sebenar Nor Azman mengikut kad pengenalan ialah Baginda Anak Minda.
Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk V. T. Singham yang membenarkan permohonan tersebut bagaimanapun turut memberikan peluang bagi ahli perniagaan itu untuk memfailkan buat kali terakhir saman tersebut.
Pada 17 Mac lalu, Ummi Hafilda, 43, menyaman Nor Azman dan Mkini Dotcom Sdn. Bhd. (Mkini Dotcom) atas dakwaan menyiarkan artikel berunsur fitnah dan menjatuhkan maruahnya.
Bagaimanapun pada 13 April lalu, mahkamah membatalkan saman itu setelah peguam kesemua pihak yang terlibat tidak hadir sebelum ia difailkan semula oleh plaintif pada 25 April lalu.
Saman itu kemudiannya difailkan pada 25 April lalu dan kali ini merupakan kali kedua ia dibatalkan oleh mahkamah.
Pada prosiding hari ini, Ummi Hafilda yang berjubah dan bertudung sedondon berwarna coklat diwakili peguam Zulhilmi Wagiman manakala Nor Azman diwakili peguam, Mohd. Yusmadi Mohd. Yusof.
Mkini Dotcom yang merupakan penerbit dan pemilik portal propembangkang, Malaysiakinidiwakili peguam, Fahri Azad.
Terdahulu, Zulhilmi memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya tidak bersetuju dengan syarat kos yang ditimbulkan oleh Nor Azman selaku defendan pertama kerana jumlahnya akan berbeza sekiranya kes diselesaikan melalui perbicaraan.
Mohd. Yusmadi sebelum itu memohon kos sebanyak RM5,000 kerana anak guamnya terpaksa menghadiri prosiding itu dari Sabah.
Hakim Singham bagaimanapun hanya membenarkan kos dikenakan di akhir kes dan jumlahnya berdasarkan persetujuan kedua-dua pihak atau selepas ditaksirkan oleh mahkamah.
Yusmadi turut membangkitkan isu status Ummi Hafilda yang bankrap perlu mendapatkan kebenaran untuk memulakan sebarang tindakan undang-undang.
Sejurus mengakui status anak guamnya, Zulhilmi memaklumkan bahawa pihaknya telah merujuk saman itu kepada Jabatan Insolvensi Malaysia dan telah diberikan kebenaran untuk berbuat demikian.
Menurut pernyataan tuntutan Ummi Hafilda sebelum ini, wanita itu mendakwa bekas rakan perniagaannya itu telah memberikan kenyataan sindiran (innuendo) yang merujuk kepada dirinya pada sidang akhbar yang diadakan di lobi Bangunan Parlimen pada 15 Mac lalu.
Menurutnya, ayat-ayat fitnah itu membawa maksud, plaintif seorang ahli perniagaan yang terdesak untuk mendapatkan peluang perniagaan, seorang wanita yang tidak bermoral, tidak jujur, pembohong dan tidak boleh dipercayai.
Mkini Dotcom pula melalui portal berita dan wartawannya, Hazlan Zakaria telah menulis atau menyebabkan artikel fitnah itu disiarkan pada pukul 2.31 petang, 15 Mac lalu dalam versi bahasa Inggeris diikuti pada pukul 3.04 petang hari yang sama bagi versi bahasa Malaysia.

Bekas CEO Sime Bank bebas tuduhan pecah amanah



KUALA LUMPUR 12 Sept. - Selepas 14 tahun, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sime Bank akhirnya dilepas dan dibebaskan daripada empat pertuduhan bertindak di luar bidang kuasanya dengan meluluskan pinjaman berjumlah RM175 juta.
Hakim Datuk Khadijah Idris yang kini bertugas sebagai Ketua Bahagian Penasihat di Jabatan Peguam Negara turut melepas dan membebaskan Datuk Ismail Zakaria, 70, daripada empat pertuduhan alternatif melakukan pecah amanah terhadap dana-dana bank tersebut membabitkan nilai yang sama.
Salah seorang peguam bela bekas pegawai bank itu, Kitson Foong ketika ditemui menyatakan, hakim tersebut memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Ujarnya, hakim tersebut memberitahu, selepas meneliti keterangan kesemua saksi dan pembelaan Ismail di peringkat bela diri serta dokumen-dokumen berkaitan, Khadijah mendapati tindakan tertuduh meluluskan pinjaman tersebut adalah berdasarkan mandat yang diberikan dan ia di dalam pengetahuan Lembaga Pengarah bank berkenaan.
Selain Foong, Ismail turut diwakili peguam bela, Ahmad Zaidi Zainal manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syed Faisal Syed Amir dan pegawai pendakwa, Anthony Kularaj Kulasingam dari Bank Negara Malaysia (BNM).
Pada 30 April 1999, Ismail didakwa telah memberikan kemudahan kredit kepada Everise Capital Sdn. Bhd. (Everise) secara berperingkat di antara 20 September 1997 dan 21 Oktober tahun yang sama di Tingkat 2, Bangunan Sime Bank, Jalan Sultan Sulaiman di sini.
Dia didakwa bertindak di luar terma dan syarat tugasnya sebagai CEO dalam meluluskan pinjaman RM59 juta, RM50 juta, RM40 juta dan RM26 juta kepada Everise.
Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 65(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda maksimum RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Everise yang merupakan sebuah syarikat pegangan pelaburan adalah anak syarikat Repco Capital yang diuruskan oleh ahli perniagaan, Low Thiam Hock atau turut dikenali sebagai Repco Low.
Ismail meletakkan jawatannya di bank berkenaan selepas Sime Bank yang merupakan antara empat bank terkemuka negara pada ketika itu mencatatkan kerugian RM1.81 bilion sebelum cukai bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Disember 1997.

5 tetamu kenduri kahwin ditikam

SHAH ALAM: Hanya disebabkan tersentuh beberapa tetamu di satu majlis perkahwinan di Taman Subang Mas, Subang Jaya, dekat sini, malam kelmarin, seorang lelaki umpama hilang akal apabila mengamuk dan menikam lima tetamu di majlis itu.
Akibatnya, seorang daripada mangsa warga tempatan berasal dari Sabah cedera parah dan kini dirawat di sebuah hospital akibat terkena tikaman pisau lelaki terbabit.

Sebelum kejadian, suspek dikatakan melalui kawasan majlis perkahwinan itu yang turut diserikan dengan acara berkaraoke satu pasangan dari Sabah.

Disebabkan hujan lebat, suspek berhenti dan menumpang teduh di khemah yang disediakan tidak jauh dari Blok A, pangsapuri berkenaan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Rosli Mohamad Isa, berkata ketika kejadian kira-kira jam 10.45 malam, suspek menumpang teduh sambil memerhatikan acara karaoke itu di tempat kejadian.

Bagaimanapun, katanya, suspek dipercayai salah faham lalu mengamuk apabila badannya tersentuh oleh tetamu di majlis itu menyebabkan dia menikam beberapa mangsa menggunakan sebilah pisau.

Hentak rakan guna mangga

AMPANG: Berang selepas bekas rakan serumahnya menukar mangga jeriji rumah pangsa yang pernah dihuninya, seorang wanita berusia 20-an menendang dan memukul bekas rakan serumahnya itu dengan mangga berkenaan, kelmarin.
Sumber polis berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa yang tidur bersama seorang lagi rakannya dalam sebuah bilik di rumah berkenaan di Pandan Indah, di sini, terkejut sebaik mendengar ketukan pintu yang kuat.

“Mangsa bangun dan membuka pintu sebelum mendapati bekas rakan serumahnya berada di luar rumah. Wanita itu mendakwa mahu mengambil barang miliknya yang masih tertinggal.

“Tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa membuka mangga dan jeriji yang dikunci dan membenarkan wanita terbabit masuk untuk mengambil barang,” katanya.

Menurutnya, tanpa diduga bekas rakan serumah mangsa itu tiba-tiba menghentak mangsa dengan mangga di belakang badannya. Apabila mangsa cuba melawan, dia ditampar, ditumbuk dan ditendang beberapa kali.

“Mangsa menjerit meminta tolong dan rakan serumahnya cuba membantu, namun turut dipukul,” katanya.


Sumber itu berkata, suspek mengamuk dengan menghentak dan mencampak semua barang di ruang tamu sebelum meninggalkan rumah itu.

Menurutnya, mangsa dan rakannya itu mendapatkan bantuan jiran yang menghantar mereka ke Hospital Ampang sebelum membuat laporan di balai polis berhampiran.

Traktor putus tiga dirempuh kereta api

KUALA KRAI: “Malam sebelum kejadian, dia (arwah suami) datang kepada saya sebelum berbaring di atas riba. Perkara itu (bermanja), tidak pernah dilakukannya sejak kami bernikah sembilan bulan lalu,” kata suri rumah, Nor Aziah Mat Naim, 24.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi semalam, suaminya, Mohd Rizwan Mohd Saful, 26, yang juga pekerja ladang sawit maut apabila traktor muatan sawit dipandunya dirempuh sebuah kereta api penumpang yang dalam perjalanan dari Tumpat ke Gua Musang ketika cubaannya melintasi pintu di Ladang Mengkebang, Sungai Durian, dekat sini, gagal.

Insiden terbabit menyebabkan mangsa tercampak kira-kira tiga meter dari tempat kejadian sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Krai dekat sini, akibat cedera parah di kepala dan badan.

Rempuhan itu menyebabkan kenderaan dipandu mangsa terputus tiga, manakala kereta api yang membawa kira-kira 20 penumpang terbabit meluncur ke hadapan sebelum berhenti beberapa meter dan meneruskan perjalanan sejam kemudian.

Nor Aziah berkata, dia hanya menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan kerani ladang berkenaan sebelum bergegas ke tempat kejadian dan mendapati suaminya dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.

“Ketika saya memangkunya, suami masih bernyawa dan pipinya masih panas, tetapi dia sudah tidak sedarkan diri kerana kecederaan parah di bahagian sebelah kanan badan dan kepalanya.


“Saya sempat melihat mukanya semakin pucat sebelum disahkan meninggal dunia oleh anggota pasukan perubatan dari Hospital Kuala Krai yang tiba di tempat kejadian kira-kira jam 9.30 pagi,” katanya ketika ditemui di Bahagian Forensik HKK, di sini, semalam.

Katanya, dia reda dengan kematian suaminya itu, namun tidak menyalahkan mana-mana pihak berhubung kejadian itu.
Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa yang berasal dari Lombok, Indonesia, bersama seorang lagi pekerja warga Indonesia dikatakan baru selesai memunggah kelapa sawit dan ingin membawanya ke tempat menimbang dengan memandu traktor bersendirian.

Bagaimanapun, sebaik tiba di kawasan landasan, mangsa tidak menyedari kereta api dalam perjalanan dari Tumpat ke Gua Musang menyebabkannya meneruskan perjalanan tanpa menyedari jarak kereta api sudah terlalu hampir.

Sebaik cuba melintasi landasan itu, traktor dipandu mangsa dirempuh menyebabkan mangsa terhumban dan kenderaan itu terputus tiga.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdul Rahman Ja’apar, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian itu.

Saya diacu pistol

SYUKUR...Alias (tengah) gembira dan bersyukur kerana dibebaskan dalam keadaan selamat, semalam.
SYUKUR...Alias (tengah) gembira dan bersyukur kerana dibebaskan dalam keadaan selamat, semalam.
KUALA KANGSAR: “Saya diacu pistol di leher dan kepala selain dikenakan renjatan elektrik hampir seluruh badan sepanjang diculik dan dikurung selama hampir 12 jam,” kata Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Padang Rengas, Alias Zenon, 73, sebaik dibebaskan sekumpulan penculik awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian petang Jumaat lalu, Alias yang juga ahli perniagaan diculik sekumpulan lelaki bersenjata pistol di hadapan kediamannya di Batu 16, Paya Panjang, Padang Rengas, di sini, ketika pulang makan tengah hari.
Bagaimanapun, dia dibebaskan lelaki berkenaan kira-kira jam 2 pagi kelmarin sebelum ditinggalkan berhampiran Plaza Tol Changkat Jering.

Menceritakan detik cemas itu, Alias berkata, dia tidak mampu melawan apabila dua lelaki mengacukan pistol di kepalanya sebaik diculik di hadapan rumahnya petang Jumaat lalu.


Beliau berkata, baju dan seluar yang dipakainya koyak rabak akibat renjatan elektrik itu malah, dia turut mengalami lebam di beberapa bahagian badan akibat dipukul.

Tiga maut jip terbang

KUANTAN: “Pada pertemuan raya pertama, arwah pernah memberitahu mahu berhenti kerja di Awana Kijal, Kemaman dan pulang ke Karak, Bentong untuk memulakan pekerjaan baru.
“Namun, semua impian itu berakhir apabila arwah meninggal dunia akibat terbabit dalam kemalangan itu,” kata Mohd Nasir Harun, 54, abang ipar kepada Mustapa Kamal Samah, 40, dari Kampung Karak Setia, Karak, dekat Bentong, yang terbunuh apabila kereta Proton Satria yang dipandunya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 214.9, Lebuhraya Pantai Timur (LPT), berdekatan susur keluar Tol Gambang, petang kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, turut terbunuh pemandu kenderaan pacuan empat roda itu, Wong Hong Yen, 40, yang meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, ketika menerima rawatan dan seorang lagi pemandu kereta Mercedes Benz, Yee Koi Chee, 68, dari Air Putih, di sini, yang maut di tempat kejadian.


Difahamkan, Yee yang juga ahli perniagaan, dijadual bakal menerima anugerah Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk pada hujung bulan ini.


Pada masa sama, isteri Yee, Chew Moy, 64, yang berada di dalam kereta bersama suaminya dikatakan hanya cedera ringan dan masih dirawat di HTAA.


Menceritakan semula kejadian itu, Mohd Nasir berkata, dia mendapat panggilan berhubung kemalangan itu melalui orang awam yang menghubunginya dengan menggunakan telefon bimbit milik arwah sebelum bergegas ke tempat kejadian.




Menurutnya, dia reda dengan pemergian arwah selepas terbabit dalam kemalangan ngeri itu dan kali terakhir bertemu dengan arwah pada hari raya pertama. Katanya, dalam pertemuan itu, arwah pernah memberitahu hendak pulang bekerja di Karak selepas lebih 14 tahun bekerja di Awana Kijal, Kemaman selain merancang untuk mendirikan rumah tangga.


“Arwah balik ke kampung pada Sabtu lalu kerana bertemu dengan seorang pengusaha kek dan berhasrat mencari pengalaman sebelum merancang mahu membuka perniagaan sendiri.Sementara itu, 


Ketua Polis Daerah Bentong, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff, berkata siasatan mendapati, kenderaan pacuan empat roda yang dipandu Wong dalam perjalanan menghala ke Kuala Lumpur dari Kuantan terbabas ke kanan dan melanggar besi penghadang di tengah jalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.


Menurutnya, pada masa sama, kenderaan pacuan empat roda itu bertembung dengan kereta yang dipandu Yee dan Mustapa Kamal yang menghala ke Kuantan dari Kuala Lumpur.

Dua ‘merisik’ guna parang

KUALA LUMPUR: Satu majlis merisik bertukar huru-hara apabila dua penjenayah bersenjatakan parang meluru masuk ke dalam rumah dan menyamun wang tunai serta barang kemas dipakai anggota rombongan merisik, selain menetak dua daripada mereka yang cuba melawan.
Kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam kelmarin di sebuah rumah di Batu 4, Jalan Gombak, dekat sini, dan nilai keseluruhan barang kemas serta wang tunai yang dilarikan dianggar RM50,000.
Difahamkan, anggota rombongan merisik itu membabitkan ibu, bapa, abang dan kakak serta bakal pengantin lelaki berusia 20 hingga 50 tahun pergi ke rumah bakal pengantin wanita untuk merisik dan menetapkan tarikh perkahwinan
Sumber polis berkata, ketika perbincangan keluarga kedua-dua pihak, dua lelaki berusia 30-an yang bersenjatakan parang meluru ke dalam rumah.

Menurutnya, dua penjenayah itu mengacukan parang dan mengarahkan semua mangsa menyerahkan wang tunai dan barang kemas dipakai.
“Bimbang dicederakan, keluarga kedua-dua bakal pengantin patuh arahan itu dan menyerahkan barang kemas seperti gelang, rantai dan subang kepada suspek.

Tertuduh rasuah boleh bayar ansur denda RM125,000

MOHD Tasrim (kanan) ketika keluar dari Mahkamah Sesyen di Shah Alam, semalam.
MOHD Tasrim (kanan) ketika keluar dari
Mahkamah Sesyen di Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM: Seorang bekas pembantu pengurus sebuah syarikat pengeluar kereta nasional, dihukum penjara setahun dan didenda RM125,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas didapati bersalah menerima rasuah bernilai RM24,100, tiga tahun lalu.

Mohd Tasrim Yusof, 35, juga diperintahkan menjalani hukuman setahun penjara jika gagal membayar denda.
Bagaimanapun, Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan Mohd Tasrim membayar denda itu secara ansuran dalam tempoh enam bulan.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama, secara rasuah, menerima suapan wang tunai RRM24,100 daripada seorang pemilik syarikat VC Motor Winding (Asia) Sdn Bhd, Yap Kong Fook, sebagai upah kerana memberikan kerja membekal dan menyelenggara alatan motor elektrik (PMS No: 73540, PMS No: 75342, PMS No: 75346 dan PMS No: 75355) kepada syarikat itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta restoran De'Chiangmai Thai Seafood di Nombor 95, Jalan Kampung Melayu, Sungai Buloh, Klang, di antara jam 8 dan 9 malam, pada 7 Januari 2008.

Terdahulu, peguam Datuk Shukri Mohamed, memberitahu mahkamah, tertuduh sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak berumur antara empat hingga 11 tahun, manakala isteri tertuduh adalah seorang suri rumah.

Katanya, kesalahan tertuduh adalah kesalahan pertama dan tertuduh juga sudah dilucutkan jawatan selepas kes itu.
Berikutan itu, dia kini sudah tidak bekerja dan mengalami kesulitan kewangan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ng Siew Wee.-bharian

Amuk gara-gara tersentuh

Lelaki tumpang berteduh tikam lima tetamu majlis kahwin

SHAH ALAM: Hanya kerana badan tersentuh, seorang lelaki Indonesia 'angin satu badan' lalu mengamuk dan menikam lima tetamu warga tempatan menggunakan pisau di satu majlis perkahwinan di Taman Subang Mas, di Subang Jaya, pada jam 10.45 malam kelmarin.
Akibatnya, seorang daripada lima mangsa parah dan kini dirawat di sebuah hospital manakala tiga lelaki, termasuk dua warga asing dan seorang tempatan ditahan polis bagi membantu siasatan.
Tanpa disengajakan beberapa tetamu warga tempatan dari Sabah dikatakan tersentuh badan suspek menyebabkan berlaku salah faham. - Asisten Komisioner Rosli Mohamad Isa, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan, Jenayah Selangor
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Rosli Mohamad Isa, mengesahkan kejadian dan berkata, semua lelaki yang ditahan termasuk cedera kini disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Katanya, kejadian bermula apabila suspek berumur lingkungan 30-an yang melalui kawasan majlis perkahwinan menumpang teduh akibat hujan, tetapi tanpa disengajakan beberapa tetamu warga tempatan dari Sabah dikatakan tersentuh badan suspek menyebabkan berlaku salah faham.

“Suspek bukan tetamu majlis itu, tetapi hanya menumpang teduh kerana hujan. Apabila badannya tersentuh, dia mengamuk dan menikam beberapa mangsa menggunakan pisau. Seorang daripada mangsa dilaporkan parah dan kini dirawat di hospital,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.

Majlis perkahwinan itu dianjurkan oleh warga tempatan berasal dari Sabah dan penganjur menjemput ramai tetamu termasuk rakan sekerja.
Sementara itu, beberapa penduduk tempatan mendakwa kejadian amuk dan pergaduhan sering berlaku di kawasan perumahan itu dan kejadian malam kelmarin menyebabkan mereka berasa bimbang terutama dengan kehadiran ramai penyewa luar termasuk warga asing.

Seorang penduduk yang enggan dikenali mendakwa, antara puncanya ialah kerana penduduk asing tidak memahami budaya penduduk tempatan dan mereka juga sering menjadikan beberapa kawasan di sekitar sebagai tempat untuk meneguk minuman keras.

"Sebelum ini beberapa pergaduhan berlaku di kawasan berkenaan, malah sebelum ini juga ada kematian akibat pergaduhan yang kebanyakannya membabitkan warga asing. Keadaan menjadi lebih parah apabila mereka dalam keadaan mabuk," katanya.

Tilapia, belanak terapung

  nelayan menunjukkan  ikan yang mati  akibat pencemaran air di jeti nelayan Kampung Sungai Cengkih.
nelayan menunjukkan ikan yang mati akibat pencemaran
air di jeti nelayan Kampung Sungai Cengkih.

Pencemaran Sungai Cengkih jejas pendapatan 80 nelayan tempatan 

PONTIAN: Kematian ikan dan hidupan akuakultur dipercayai akibat pencemaran minggu lalu, menjejaskan kehidupan kira-kira 80 nelayan tempatan yang menjadikan Sungai Cengkih di sini sebagai sumber rezeki mereka.
Kesan kemusnahan ikan dan udang yang mati akibat pencemaran air sungai yang dipercayai berpunca daripada projek petrokimia itu, dijangka mengambil masa panjang untuk dipulihkan.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Cengkih, Ab Hamid Ahmad, berkata pencemaran air pada Khamis lalu, menyebabkan ribuan ikan dan udang pelbagai spesies mati dan terapung di sepanjang sungai berkenaan.

Katanya, ekoran kejadian itu, nelayan kawasan berkenaan kini hanya mampu berputih mata kerana tidak dapat menjalankan aktiviti harian untuk menampung pendapatan keluarga.

"Nelayan yang selama ini mencari rezeki di Sungai Cengkih bukan saja menanggung kerugian kerana kesukaran mendapat hasil tangkapan seperti kebiasaannya, malah peralatan digunakan juga sukar dibersihkan kerana air sungai berbau busuk.

"Perkara ini mungkin mengambil masa panjang untuk dipulihkan dan sepanjang tempoh itu, nelayan secara tidak langsung menjadi mangsa apabila tidak dapat menangkap ikan, sekali gus menjejaskan pendapatan mereka.
"Kami berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap masalah dihadapi nelayan di sini, yang kebanyakannya mempunyai keluarga dan anak yang masih bersekolah," katanya.

Dalam kejadian yang disedari awal pagi Khamis lalu, pencemaran yang berlaku di sungai itu menyebabkan ikan seperti tilapia, belanak, sembilang, duri dan udang, mati terdampar di tebing selain terselit di celah akar kayu bakau ketika air mulai surut dengan bau busuk di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Daerah Perikanan Pontian, Md Sidek Adnan, berkata punca kematian ikan dan hidupan air Sungai Cengkih itu masih dalam siasatan.

"Pihak kami sudah membuat tinjauan di kawasan yang banyak menyebabkan bangkai ikan timbul dan mati. Kami sudah mengambil contoh air dari Sungai Cengkih dan sebatang tali air yang bersambung dengan sungai berkenaan yang didakwa menjadi punca pencemaran itu.

"Sampel yang diambil kini masih dalam kajian Unit Biosekuriti di Gelang Petah, sebelum tindakan lanjut diambil," katanya. -bharian

Bookie boleh dikenakan Ordinan Darurat

JOHOR BAHRU: Pengendali judi dan pertaruhan bola sepak yang bergerak di negeri ini, bakal berdepan tangkapan mengikut Ordinan Darurat (EO) yang sedia dilakukan polis Johor, jika perlu dalam usahanya membanteras kegiatan sindiket terbabit daripada terus mencemari saingan Piala Malaysia yang bermula Selasa lalu.

Susulan siasatan terhadap seorang bookie yang ditahan ketika sibuk menguruskan pertaruhan sambil menonton aksi antara Kedah dan Johor di Stadium Tan Sri Hassan Yunos dekat Larkin itu, polis Johor dijangka membuatkan beberapa lagi tangkapan terhadap individu dikenal pasti menjadi dalang sindiket terbabit dalam tempoh terdekat.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata bertindak atas maklumat diperoleh menerusi siasatan sedang dijalankan, pihaknya juga menubuhkan sebuah pasukan khas untuk membanteras segala bentuk perjudian termasuk kes pertaruhan berkenaan.
Hasil tangkapan dilakukan, lelaki berusia 28 tahun sedang disiasat untuk pendakwaan mengikut Akta Pertaruhan dan kita sedang menjejaki dalang di sebalik kegiatan haram itu. Dalam masa terdekat ini, beberapa orang lagi akan dicekup. Kita sedang cari 'kepala' kegiatan ini. - Mohd Mokhtar Mohd Shariff, Ketua Polis Johor
"Hasil tangkapan dilakukan dalam stadium terbabit, lelaki berusia 28 tahun sedang disiasat untuk pendakwaan mengikut Akta Pertaruhan dan kita sedang menjejaki dalang di sebalik kegiatan haram itu.

"Dalam masa terdekat ini, beberapa orang lagi akan dicekup. Kita sedang cari 'kepala' kegiatan ini yang duduk di belakang tabir sambil memandu kereta mewah.

"Kita akan cari mereka dan tidak teragak-agak menggunakan undang-undang pencegahan seperti Ordinan Darurat jika perlu," katanya ketika ditemui selepas hadir pada perasmian Majlis Penyerahan Projek Kompleks Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor di sini.

Mohd Mokhtar berkata, dalam usaha membanteras judi bola sepak itu, pihaknya kini bekerjasama dengan SPRM dan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) untuk memastikan jenayah terbabit dihentikan dan individu terbabit dicekup.
"Saya nasihatkan orang ramai jangan terbabit atau bersekongkol dalam kegiatan haram ini," katanya. 

Lelaki ditahan kes bakar kereta

Laporan polis dibuat suspek 'makan diri' apabila dia dicam saksi kejadian 

KLANG: Seorang lelaki berumur 32 tahun ditahan selepas membuat laporan polis mengenai kemalangan jalan raya membabitkan dirinya, bagi membantu siasatan berhubung kes membakar dua kenderaan di Bukit Raja, di sini, petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohamad Shukor Sulong, berkata dalam kejadian kira-kira jam 7.30 petang itu, seorang lelaki membakar sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux yang diletakkan di Lorong Makyong, Taman Bukit Raja sebelum melarikan diri.
Katanya, ketika cuba melarikan diri, dia dikatakan secara tidak sengaja menyebabkan pelapik kaki dalam keretanya terbakar.

"Akibat panik, lelaki itu membuang pelapik kaki melalui cermin bahagian hadapan sebelah penumpang dan mengenai sebuah Proton Gen 2 hingga menyebabkan kereta itu turut terbakar.

"Lelaki itu kemudian gagal mengawal kereta yang dipandunya menyebabkan dia terbabas di sebuah pencawang milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di kawasan perumahan itu," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Berikutan kemalangan itu, lelaki berkenaan ke Balai Polis Bukit Raja untuk membuat laporan tanpa menjangka dia akan diminta pegawai penyiasat ke tempat kejadian yang mahu menyiasat punca kemalangan.
Mohamad Shukor berkata, tindakan lelaki itu membuat laporan polis `memakan diri' kerana seorang saksi mengesyaki lelaki sama yang dipercayai terbabit dalam kes membakar dua kenderaan di kawasan perumahan itu.

"Suspek yang menyertai lawatan anggota polis ke lokasi kemalangan terus ditahan sebaik polis menerima maklumat daripada saksi berkenaan yang kebetulan berada di lokasi itu," katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat latar belakang suspek, bahan yang digunakan suspek untuk membakar kereta terbabit, selain motif ia dilakukan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat dengan api. 

Bekas pekerja samun majikan?

KUANTAN – Seorang kontraktor kerugian kira-kira RM10,000, manakala sebuah kereta jenis Atos milik rakannya turut hilang dalam satu kejadian samun bersenjatakan parang, yang turut dipercayai membabitkan bekas pekerjanya.
Dalam kejadian 7 petang semalam di sebuah rumah di Taman Seroja dekat Jerantut, mangsa, 48, yang tinggal bersama dua rakannya, 40-an, baru pulang dari tempat kerja sebelum mendapati tiga lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang berada di dalam rumah mereka.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Supt Nordin Mustapha berkata mangsa dan dua rakannya kemudiannya diikat kaki dan tangan dengan pita pelekat.
"Mangsa kehilangan wang tunai RM5,000, tiga buah telefon bimbit dan peralatan memasang mozek dengan jumlah kerugian keseluruhan bernilai kira-kira RM10,000.
"Ketiga-tiga suspek kemudiannya melarikan diri dengan kereta jenis Atos milik rakannya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Nordin berkata mangsa mendakwa dia mengecam dan mengenali suara salah seorang daripada suspek terbabit.
"Mangsa mendakwa salah seorang suspek itu merupakan bekas pekerjanya yang dipecat tidak lama dahulu, berusia lingkungan 40-an dan sering menimbulkan masalah ketika bekerja,” katanya.
Beliau berkata pihak polis telah mengenal pasti dan sedang memburu suspek berkenaan.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. - Bernama

Penolong pengurus dipenjara

SHAH ALAM – Seorang penolong pengurus dari Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dihukum penjara setahun dan denda RM125,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah menerima rasuah lebih RM24,000 pada 2008.
Hakim Mat Ghani Abdullah turut memerintahkan Mohd Tasrim Yusof, 35, dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, Mohd Tasrim didakwa memperoleh rasuah berupa wang tunai RM24,100 daripada Yap Kong Fook iaitu pemilik bersama syarikat VC Motor Winding (Asia) Sdn Bhd di tempat letak kereta di halaman Restoran De Chiangmai Thai Seafood di Jalan Kampung Melayu, Sungai Buloh, Daerah Klang, antara 8 hingga 9 malam, 7 Jan 2008.
Tertuduh didakwa menerima suapan itu sebagai upah membantu memberikan kerja-kerja membekal dan menyelenggara alatan motor elektrik kepada syarikat VC Motor Winding (Asia) Sdn Bhd.
Dia didakwa mengikut Seksyen 10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.
Hakim bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman terhadap Mohd Tasrim ditangguhkan sementara menunggu rayuan dan turut memberikan tempoh masa sehingga Mac depan bagi tertuduh menjelaskan bayaran dendanya.
Terdahulu, peguam Datuk Shukri Mohamed yang mewakili tertuduh berhujah bahawa anak guamnya telahpun dipecat dari syarikat Perodua sejak beliau didakwa atas kesalahan rasuah dan punca kewangannya sangat terhad untuk menyara tiga orang anaknya yang masih bersekolah dan isteri beliau yang merupakan seorang suri rumah.
Di samping itu, katanya anak guamnya tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan adalah penyumbang kepada kestabilan dan pendapatan syarikat Perodua.
Timbalan pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ng Siew Lee pula berhujah mahkamah harus mengambil kira kepentingan awam dalam kes ini ketika menjatuhkan hukuman dan bukannya memberikan penekanan terhadap alasan peribadi tertuduh seperti hilang sumber pendapatan dan sebagainya.
"Imej syarikat Perodua telahpun terjejas ekoran kesalahan Mohd Tasrim yang merupakan seorang pegawai di peringkat pengurusan syarikat,” katanya.
Beliau berkata tertuduh telah menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan daripada Yap, yang merupakan saksi pendakwaan pertama dalam kes itu. - Bernama