Search This Blog

Monday, September 12, 2011

Wanita hamil tidak mengaku salah



KOTA BHARU 11 Sept. - Seorang wanita hamil yang dihadapkan bersama suaminya di Mahkamah Majistret di sini hari ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki secara bersama 60 biji pil methamphetamine seberat enam gram pada Khamis lalu.
Cik Rosiawati Alselamiah Mat Ali, 33, dari Jalan Atas Paloh di sini yang hamil enam bulan kelihatan gelisah mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Zakiyah Shamsudin.
Bagaimanapun suaminya Nurhamziefahmi Shafie, 21, beralamat di Flat Buloh Kubu mengaku bersalah dan mahkamah menetapkan 9 November hadapan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Nizam manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mereka berdua secara bersama didakwa memiliki 60 biji pil berwarna merah disyaki dadah jenis methamphetamine seberat enam gram di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Puteri Akar, belakang Masjid Muhammadi, di sini pada pukul 11.45 malam, 8 September lalu.
Pasangan tersebut didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39A(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun serta sebat tidak kurang tiga kali dan tidak lebih sembilan kali.
Dalam rayuan mengurangkan wang jaminan, Cik Rosiawati memohon budi bicara mahkamah kerana dia kini sedang hamil dan dijangka bersalin pada Disember ini.
"Selain itu, saya juga mempunyai tanggungan anak-anak yang masih kecil dengan suami terdahulu dan tinggal bersama-sama saya ," katanya.
Mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM7,000 seorang dengan seorang penjamin.

Remaja merempit dipenjara sehari, denda RM5,000



KOTA BHARU 11 Sept. - Gara-gara 'merempit' dan berlumba motosikal dengan kelajuan yang boleh membahayakan pengguna lain, seorang remaja dipenjara sehari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Nik Izdirharuddin Nik Idris, 21, dari Kampung Chica, Jalan Pasir Puteh di sini mengaku bersalah atas dakwaan tersebut di hadapan Majistret Nur Zakiyah Shamsudin.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Trafik, Cif Inspektor Saiful Nizam Misbaah.
Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan pada 9 Ogos lalu, kira-kira pukul 1 pagi oleh sepasukan polis yang sedang mencegah lumba haram di sekitar Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa.
Tertuduh dan tiga lagi rakan bercadang membuat lima pusingan mulai pintu keluar lapangan terbang itu sehingga pusingan U di hadapan kem tentera.
Namun apabila tiba pusingan keempat, mereka berhenti di sebuah perhentian bas. Polis telah menahan Nik Izdirharuddin dan seorang lagi rakannya namun dua lagi berjaya meloloskan diri.
Tertuduh yang bekerja sendiri ditahan kira-kira 30 minit selepas pemerhatian dibuat oleh anggota polis apabila mendapati dia menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 berwarna hitam dengan cara melulu, berbahaya dan menggunakan kelajuan yang tinggi bersama-sama rakannya dalam perlumbaan tersebut.
Tertuduh didapati bersalah di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) dan boleh dikenakan hukuman di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM15,000.

Penoreh getah ke tali gantung






MOHD. Haris Abdul Talib (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Alor Setar, semalam, selepas dijatuhkan hukuman gantung kerana membunuh seorang gadis.


ALOR SETAR 11 Sept. – Seorang penoreh getah dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh seorang gadis di Kupang, Baling, dua tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Zakiah Kassim menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd. Haris Abdul Talib, 28, setelah pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah.
Tertuduh yang berkemeja T hitam kelihatan tenang setelah hukuman berkenaan dijatuhkan ke atasnya.
Dalam penghakiman beliau, Zakiah menyebut, tertuduh dalam pembelaannya tidak dapat menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes berkenaan kerana ia bersifat penafian semata-mata dan tidak berasas.
Beliau juga secara peribadi turut menasihatkan Mohd. Haris mengambil kesempatan yang ada untuk memperbaiki diri serta menjadi insan yang baik dan beriman sementara menunggu keputusan rayuannya.
Mohd. Haris dituduh melakukan pembunuhan ke atas Farhanim Ahmad Ibrahim, 17, di antara 29 Mac 2009 pukul 6 pagi hingga 4 April 2009 pukul 2.40 petang di kawasan belukar Kampung Carok Kapas, Mukim Kupang, Baling.
Dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati mandatori.
Seramai 14 saksi pihak pembelaan dan 12 saksi pendakwaan telah memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes itu.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nor Hasnita Wan Daud manakala tertuduh diwakili peguam KT Jayaraj.
Farhanim dilaporkan hilang pada 29 Mac 2009 dan ditemui oleh seorang pencari madu lebah di kawasan belukar Kampung Carok Kapas dalam keadaan reput lima hari kemudian.
Mayat mangsa dicam oleh anggota keluarga menerusi jam tangan, rantai dan siku mangsa yang bengkok akibat kesan kemalangan.
Suspek ditahan pada 5 April 2009 dan dia turut menunjukkan parang yang dipercayai digunakan untuk menetak mangsa di rumahnya kepada polis selain telefon bimbit mangsa turut ditemui di rumah berkenaan.

Pokok besar ragut tiga nyawa



Oleh Adha Ghazali 

2011/09/12

PADANG BESAR: Tiga termasuk dua pelajar maut, manakala seorang lagi parah apabila van dinaiki sembilan pelajar Maahad Tarbiah Islamiah (MATRI) Tunjong, di sini, dihempap sebatang pokok besar di kilometer 23.5 Jalan Kilang Gula, Chuping, dekat sini pagi semalam. 

Kejadian berlaku ketika semua anggota rombongan, termasuk lapan pelajar MATRI dalam perjalanan melawat Kilang Gula Felda Perlis (KGFP) menaiki sebuah van jenis Toyota Liteace dipandu bapa angkat mereka, Shahidan Ali, 67, jam 9 pagi.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Dros, berkata tiga yang terbunuh ialah Shahidan yang juga bekas pekerja KGFP serta dua pelajar MATRI iaitu Azman Bakhtiar Sharizan, 14, dari Taman Seri Kenanga, Kulim dan Ahmad Izzat Ismail, 17, dari Tanjung Tokong, Pulau Pinang.
Ketiga-tiga mangsa disahkan maut di tempat kejadian akibat parah terutama Shahidan dan Ahmad Izzat yang duduk di bahagian depan van yang dihempap pokok . 

Difahamkan, Azman yang berada di tempat duduk belakang pemandu meninggal dunia ketika cuba dibantu rakan lain, manakala seorang lagi pelajar, Mohd Ahnaf Anissofian, 14, dari Kuala Lumpur yang duduk di sebelah Azman dilaporkan parah, katanya. 

Che Man berkata, pokok terbabit tumbang selepas dipukul ribut ketika hujan lebat melanda kawasan terbabit, sebelum menghempap bahagian depan van dinaiki mangsa. 

Anggota bomba yang bergegas ke tempat kejadian kemudian terpaksa memotong pokok bersaiz sebesar pemeluk orang dewasa itu, sebelum berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit. Mayat kemudian dihantar ke bilik mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, sebelum dituntut keluarga, katanya. 
Salah seorang mangsa, Muhammad Zulfadhli Rodi, 14, dari Arau, di sini, berkata dia bersama empat rakan lain terpaksa keluar melalui tingkap belakang van yang pecah selepas hampir separuh daripada bahagian depan kenderaan dinaiki mereka remuk dihempap pokok. 

Sebaik keluar, kami lihat Izzat dan pemandu sudah tidak bernyawa, manakala Azman pula sedang mengerang kesakitan. Kami semua cuba membantunya, tetapi gagal sebelum terus berlari mendapatkan bantuan pengawal keselamatan di KGFP yang terletak tidak jauh dari situ, katanya. 

Natasya belum terlambat berubah





2011/09/12

KUALA TERENGGANU: Masih belum terlambat untuk dia kembali ke pangkal jalan dan berubah. Sebagai seorang ibu, saya nasihatkan supaya Natasya Farisya berubah. Tidak ada untung apa pun mereka yang menjadi pondan, kata Yah, 50, ibu kepada Allahyarham Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, pemuda yang gagal dalam permohonan menukar nama dan status jantina dalam MyKad kepada Aleesha Farhana. 

Yah yang mengulas mengenai Natasya Farisya, 28, pondan yang dikaitkan dengan kes pemuda parah disimbah asid, di Kangar, Perlis baru-baru ini, berkata peluang untuk pemuda itu berubah masih terbuka luas kerana dia tidak melakukan pembedahan membuang kemaluan untuk menjadi wanita.
Sambil memohon mereka yang mengalami kekeliruan jantina supaya mengambil iktibar kes arwah anaknya yang genap 44 hari meninggal dunia hari ini, beliau berkata, tiada ibu bapa gembira melihat anak dilahirkan sebagai lelaki, mengubah penampilan dan perwatakan menjadi wanita.
"Bagi saya, Natasya Farisya dan mereka yang sepertinya patut kembali ke pangkal jalan kerana peluang berubah masih ada. 

"Mereka yang tak boleh kembali seperti kes arwah anak saya kerana sudah melakukan pembedahan. Kesal dan marah macam mana pun, jika dibunuh sekali pun, tidak boleh diubah kerana sudah terlambat, tetapi Natasya Farisya dan yang senasib dengannya masih boleh diselamatkan lagi. 

"Seperti kes arwah Mohd Ashraf, kami sekeluarga tidak tahu dia menukar jantina. Walaupun kami pernah membuangnya kerana marah dengan perbuatannya, akhirnya kami terpaksa reda dan berserah kepada Allah kerana tiada apa boleh dilakukan lagi. Jika kami tahu, perkara itu tidak mungkin berlaku kerana tiada ibu bapa yang gembira melihat anaknya sebegitu," katanya kepada Berita Harian. 

Berita Harian sebelum ini melaporkan, Natasya Farisya, yang juga bekas model sambilan dari Taman Sri Bakau, Kangar, Perlis, ditahan Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) JAIPs pada 2007 dan 2010, selepas dikesan menyalahi Seksyen 7 Enakmen Jenayah Dalam Syarak Negeri Perlis 1991 kerana berpakaian seperti wanita. 
Natasya Farisya atau nama sebenarnya Tabri Rashid Abu Hassan menarik perhatian awam kerana pengakuan terbuka 'teman istimewanya', Mohd Hafizuddin Johari, 20, yang juga mangsa simbahan asid kerana mahu hidup bersama. 

Yah berkata, walaupun Natasya Farisya dikatakan mempunyai teman lelaki yang setia ingin bersamanya, tetapi ia hanya bersifat sementara. 

Selepas kes arwah Mohd Ashraf dipaparkan media, banyak pihak terutama jabatan kerajaan berkaitan membuka saluran untuk golongan seperti ini kembali ke pangkal jalan. 

Namun, saya agak terkilan kerana hasrat pihak terbabit mahu menangani kes seperti dialami arwah Mohd Ashraf kini bagaikan sepi, sedangkan masih ramai yang memerlukan bantuan dan sokongan untuk berubah, katanya. 

Sementara itu, Yah berkata, keluarganya tidak menghalang jika ada pihak mahu menerbitkan buku, filem, drama atau dokumentari berkaitan arwah anaknya untuk dijadikan iktibar, tetapi berharap pihak berkenaan memberi sedikit bayaran, supaya dapat dimanfaatkan ke jalan kebaikan. 

Tekong Indonesia ditahan



Oleh Mohd Iskandar Ibrahim

2011/09/12

KOTA TINGGI: Bukan saja hilang 'duit raya', malah seorang tekong warga Indonesia bakal berdepan tindakan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang selepas ditahan cuba menyeludup keluar 19 warga asing di kedudukan 1.2 batu nautika perairan Tanjung Pengelih, Pengerang kelmarin. 

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu, tekong berusia 42 tahun bersama 19 warga asing itu ditahan sepasukan anggota dan pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang sedang menjalankan rondaan di sekitar perairan terbabit.
Ketua Penguat kuasa APMM Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zulkifli Abu Bakar, berkata sebuah bot APMM terserempak dengan sebuah bot pancung yang sedang menuju ke arah Batam, Indonesia.
Anggota APMM yang sedang melakukan rondaan Operasi Perkasa Selatan terserempak dengan sebuah bot pancung dalam keadaan bergelap dan mencurigakan. Sebaik dihampiri, bot pancung berkenaan terus memecut cuba melarikan diri, namun berjaya dipintas dan ditahan kira-kira 15 minit kemudian. 

Pemeriksaan mendapati semua warga asing lelaki berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun itu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri sah dan cuba keluar dari negara ini secara haram," katanya kepada Edisi Johor, semalam. 

Zulkifli berkata, pihaknya percaya pendatang asing berkenaan dalam perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing. 

Selain pemeriksaan dokumen, kita juga menyemak dengan jabatan berkenaan sama ada mereka sudah mendaftar berikutan program pemutihan dilaksanakan kerajaan baru-baru ini. 
Siasatan akan dijalankan untuk mengenalpasti sekiranya ada saki-baki tekong masih bebas serta jumlah bayaran dikenakan terhadap setiap warga asing yang mendapatkan perkhidmatan mereka. 

Tekong itu kini ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan serta untuk tindakan selanjutnya termasuk proses pendakwaan di mahkamah nanti," katanya. 

Beliau berkata, turut dirampas sebuah bot pancung berukuran lapan meter dan enjin sangkut jenis Yamaha dengan 200 kuasa kuda yang digunakan untuk membawa pendatang asing terbabit. 

Katanya, semua warga asing yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat APMM Wilayah Selatan, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 5 (1) (2) Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang. 

10 minit wang dilesapkan tok Arab



Oleh Abu Bakar Al Sidek

2011/09/12

Peniaga dakwa kena pukau rugi RM470 hasil jualan lemang

SUNGAI MANIK: Seorang penjual lemang seolah-olah seperti dipukau apabila membiarkan saja wang dalam dompetnya sebanyak RM470 dilarikan lelaki berketurunan Arab dalam tempoh 10 minit mereka berjumpa. 

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang Rabu lalu, Mat Disa Hussain, 68, berkata wang yang dilesapkan tok Arab itu hasil jualan lemang sempena sambutan Aidilfitri digunakan untuk perbelanjaan harian di depan warung makan di depan Kilang Padi Beras Nasional Negara (BERNAS) di sini.
Katanya, kejadian berlaku apabila beliau yang menunggang motosikal singgah di warung itu kerana hendak minum sebelum sebuah kereta Toyota Vios berwarna hitam berhenti di seberang jalan.
Seorang lelaki Arab menjenguk muka ikut tingkap kereta sebelum memanggil saya dengan bertanya di mana ada kedai makan yang sedap. Belum sempat saya hendak beritahu, lelaki itu terus membuka dompetnya menunjukkan wang kertas RM10 dan bertanya kepada saya bagaimana mahu menyebut nilai wang berkenaan dalam Bahasa Melayu. 

Selepas itu dia keluarkan wang kertas RM5 dan bertanya perkara sama. Kemudian dia menyatakan tidak pernah melihat wang kertas RM50 dan meminta saya menunjukkan bagaimana rupa wang kertas berkenaan. 

Mat Disa yang tinggal Simpang Tiga Kampung SC Belt Chenderong Balai dekat sini, berkata sebaik membelek wang kertas RM50 itu sambil mengatakan ia cantik, lelaki Arab itu terus melipatkan menjadi empat segi sebelum memasukkan kembali wang itu dalam dompet yang saya pegang di tangan kiri. 

Katanya, tangan lelaki Arab dan tangan beliau sama-sama masuk ke dalam dompet itu dan ketika itu pandangannya dapat melihat wang kertas RM50 sudah masuk dalam dompet dan kemudian terus memasukkan semula dompet itu dalam kocek seluar. 
Lelaki Arab itu terus menutup cermin kereta dan beredar dari situ. 
Bagaimanapun, tidak lama kemudian saya sedar dan merasa tidak sedap hati terus keluarkan dompet dari kocek seluar dan terkejut mendapati wang sebanyak RM470 dalam dompet saya sudah lesap, katanya. 

Mat Disa berkata, dia lihat dengan matanya jari tangan lelaki Arab itu tidak memegang wang ketika menarik keluar tangannya dari dompet. 

Saya terus beritahu rakan yang sedang minum di warung dan kami kejar lelaki itu dengan menunggang beberapa motosikal menghala ke pekan Langkap dan cuba mencarinya di semua kedai makan dan kedai emas di situ tetapi tidak jumpa, katanya. 

Mat Disa kemudian membuat aduan ke Balai Polis Simpang Empat Labu Kubong mengenai kejadian misteri itu. 

Penyamun bengkel kereta kebal




MOHD, AFFENDY menunjukkan dua daripada lapan laporan polis yang dibuat.


AMPANG JAYA – Nasib malang terus menghantui seorang pemilik bengkel kereta di Taman Keramat AU3 di sini apabila dalam tempoh kurang tiga tahun bengkel tersebut didakwa telah lapan kali diceroboh penyamun.
Dalam tujuh kejadian dengan dua kejadian berlaku pada bulan ini, mangsa Mohd. Affendy Mustafar, 35, mendakwa, dia terpaksa menanggung kerugian mencecah ratusan ribu ringgit selepas kehilangan pelbagai alat ganti dan aksesori kereta.
Dalam tempoh itu, turut menjadi sasaran penyamun adalah sebuah kereta BMW E46 dan Naza Citra milik pelanggan.
Kejadian terbaharu di bengkel yang membaiki pelbagai kenderaan dan memasang aksesori berlaku pada 4 September lalu iaitu ketika umat Islam menyambut Aidilfitri hari keenam.
“Saya syak bengkel dipecah masuk pencuri sama yang mahu mencuri wang tunai namun hari itu saya bernasib baik kerana telah menyimpan semua wang di bank,” cerita Mohd. Affendy ketika ditemui baru-baru ini.
Tiada barang lain yang hilang.
Selang tiga hari sebelum itu, Mohd. Affendy mendakwa bengkel miliknya kehilangan empat rim kereta yang melibatkan kerugian sebanyak RM1,500.
“Semasa kejadian pada 1 September, saya merasa tertekan kerana terpaksa menanggung kerugian besar,” katanya yang membuat laporan polis dengan harapan kegiatan pecah masuk ke bengkel miliknya akan berakhir.
Dakwanya, selepas membuat laporan itu, polis datang ke bengkelnya dan merakam beberapa keping gambar.
Mohd. Affendy memberitahu, dia amat buntu kerana bengkel miliknya dilihat menjadi sasaran penjenayah manakala polis pula seolah-olah tidak membantu ‘menyelamatkan’ bengkelnya.
Selain bengkel miliknya, sekitar kawasan tersebut mempunyai lebih 10 bengkel kereta lain namun bengkel-bengkel tersebut tiada masalah dipecah masuk.

Diseludup untuk minta sedekah




Sungai Golok menjadi laluan sindiket pemerdagangan manusia menyeludup masuk kanak-kanak untuk dijadikan sebagai peminta sedekah.


KUALA LUMPUR - Sebelum ini sindiket pemerdagangan manusia banyak berkisar kepada kes-kes melacur wanita warga asing namun terbaru terbongkar satu sindiket didalangi warga Myanmar yang memerdagangkan kanak-kanak dari negara sendiri dengan menjadikan mereka sebagai pengemis.
Sindiket yang dipercayai aktif sejak awal tahun ini didakwa mampu mengaut keuntungan ribuan ringgit pada setiap bulan dengan membawa masuk kanak-kanak warga Myanmar untuk dijadikan peminta sedekah atau menjual barang-barang di negara ini.
Kegiatan sindiket pemerdagangan manusia membabitkan kanak-kanak terbongkar hasil serbuan Unit Anti Pemerdagangan Orang (Atip) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama Ibu Pejabat Kontinjen Kelantan di sebuah rumah yang menempat pengemis di kalangan kanak-kanak warga asing di Ketereh, Kelantan pada 9 Ogos lalu.
Dalam serbuan tersebut, polis menyelamatkan 16 kanak-kanak Myanmar yang terdiri daripada lima lelaki dan 11 kanak-kanak perempuan yang berusia antara tiga hingga 12 tahun.
"Kesemua kanak-kanak itu semasa ditahan memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR). Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kesahihan status kanak-kanak tersebut," kata sumber itu kepada Kosmo!.
Dalam serbuan bermula pada pukul 12 tengah hari itu, polis turut merampas beberapa buah telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM2,000 (dipercayai hasil kutipan sebagai pengemis), 1,600 keping surah Yasin dan 180 keping pelekat ayat-ayat al-Quran.
Rumah yang menempatkan kanak-kanak malang itu disewa oleh sindiket pemerdagangan manusia.