Search This Blog

Sunday, September 11, 2011

Warga emas maut digilis treler



MACHANG - Seorang penunggang motosikal maut selepas digilis sebuah treler di Kampung Kemuning, dekat sini, semalam.

Mangsa, seorang warga emas, Mat Isa Mamat, 60, dari Kampung Batu 30 maut serta-merta dalam kejadian jam 8.40 pagi itu, akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Che Malek Bedot berkata, mangsa cedera parah akibat terperosok di bawah treler selepas bergesel dengan kenderaan tersebut.

“Mangsa dalam perjalanan dari Kuala Krai ke Kota Bharu sebelum bergesel dengan kenderaan berat tersebut di tempat kejadian.

“Mangsa dipercayai terjatuh ke bawah treler dan digilis. Jenazah dihantar ke Hospital Machang sebelum dituntut keluarga.

“Sehubungan itu, orang ramai yang melihat kejadian tersebut diminta menghubungi Cawangan Trafik Daerah Machang di talian 09-9751222 bagi membantu siasatan,” katanya semalam.

Che Malek berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada masa sama, Che Malek meminta pengguna jalan raya memandu dengan berhemah dan mematuhi undang-undang yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Menurutnya, sikap bertolak ansur bukan hanya mampu menyelamatkan nyawa sendiri, tetapi juga pengguna yang lain.

Tujuh maut sepanjang Ops Sikap tahun ini



ROMPIN – Sebanyak tujuh kes kemalangan maut dicatatkan di daerah ini dengan peningkatan dua kes maut berbanding tahun lalu sepanjang 23 hari Ops Sikap Musim Perayaan Aidilfitri dilaksanakan.

Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin, Asisten Superintendan Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, penunggang dan pembonceng motosikal mencatatkan sebanyak empat kematian maut.

Menurutnya, sebanyak tiga kes kemalangan maut membabitkan pemandu kereta, menjadikan jumlah kes kemalangan maut sepanjang Ops Sikap ini adalah antara tertinggi dalam tempoh tiga tahun.

“Tahun lepas, tiga kes maut membabitkan pemandu kereta, sementara motosikal dan basikal masing-masing mencatatkan satu kes kemalangan maut,” katanya.

:Zainul Mujahidin berkata, beberapa jalan berisiko di Rompin memerlukan tumpuan pemandu antaranya membabitkan Jalan Kuantan-Johor Bharu, Jalan Kuantan-Segamat, Jalan Rompin-Bahau dan Jalan Leban Chondong-Muadzam Shah.

“Bagaimanapun, jalan-jalan lain juga perlu diberi tumpuan setiap pengguna jalan raya untuk mengelakkan sebarang malapetaka atau kecelakaan ketika memandu,” katanya.

Beliau berkata, terdapat beberapa faktor utama menyebabkan kemalangan antaranya sikap pemandu itu sendiri, keadaan permukaan jalan licin dan tahap keselamatan kenderaan pengguna jalan raya.

“Ada sebahagian kes disebabkan kecuaian pemandu yang masih berdegil untuk memandu walaupun menyedari dalam keadaan mengantuk dan tahap kesihatan kurang baik,” katanya.

Justeru, beliau menasihati semua pengguna jalan raya merancang perjalanan dengan lebih tersusun supaya mereka berada dalam keadaan selamat dan selesa semasa berada di atas jalan raya.

“Janganlah kerana mahu cepat sampai, nyawa kita dan orang lain pula dijadikan taruhan akibat kelalaian serta kecuaian diri kita sendiri,” katanya.

Kereta terjunam dalam gaung



PENGKALAN BERANGAN - Seorang lelaki berumur awal 40-an nyaris maut selepas kereta yang dipandunya terhumban ke gaung sedalam 1.5 meter di selekoh simpang tiga berhadapan Pasar Pengkalan Berangan di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 pagi itu, mangsa, Anuar Shafiee yang memandu kereta Proton Saga dipercayai dari arah Wakaf Tapai, Pengkalan Berangan dan dalam perjalanan ke rumahnya berdekatan kampung berkenaan.

Menurut saksi, Kassim Muda, mangsa dipercayai hilang kawalan ketika sampai di tempat kejadian dan keretanya gagal dikawal sewaktu membelok di selekoh lalu terbabas dan terhumban ke dalam gaung sedalam 1.5 meter.

“Bagaimanapun, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kejadian itu manakala kereta yang dipandunya juga tidak mengalami kerosakan teruk,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini.

Selepas kejadian itu, Kassim berkata, kira-kira 25 belia yang berada di tempat kejadian segera membantu mangsa yang berada di dalam kereta dan mengerakkan usaha menarik semula kenderaan itu secara gotong-royong.

Difahamkan, mangsa tidak membuat laporan kepada pihak berkuasa berhubung kejadian kerana tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Malah, Kassim berkata, mangsa bersyukur kerana selamat dan berterima kasih kepada belia di kampung itu yang bekerjasama membantu mangsa dan menarik semula keretanya yang berada di dalam gaung.

Kembar OKU nyaris maut




KUANTAN - Ribut dan angin kencang malam kelmarin merosakkan kira-kira 13 rumah di Felda Sungai Panching Utara hingga menyebabkan dua daripadanya rosak teruk.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 7.30 malam itu mengejutkan kebanyakan penduduk yang sedang berehat di rumah masing-masing. Malah, ia turut merosakkan beberapa kedai milik penduduk di situ.

Penduduk, Sabariah Abdullah, 51, berkata, ketika kejadian, dia sedang mengaji di biliknya sejurus selesai menunaikan solat.

Menurutnya, bunyi angin yang bertiup begitu kuat membuatkan dia tidak sedap hati.

Tidak lama kemudian, sebahagian atap zink di bahagian ruang tamunya terbang dalam sekelip mata.

“Angin bertiup kencang tiga kali, kali pertama hanya menerbangkan sekeping atap zink, tetapi pada tiupan ketiga, sebahagian atap di ruang tamu terbang hingga menyebabkan keadaan rumah rosak teruk.

“Saya sangat terkejut dengan kejadian itu dan hanya memikirkan keadaan lapan anak saya terutama pasangan kembar orang kurang upaya (OKU) spastik yang berada di dalam rumah,” katanya ketika ditemui di sini.

:Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Panching, Mohd Zaili Besar dan Pengerusi Jawatankuasa Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan, Jamaluddin Harun.

Sabariah yang juga ibu tunggal kelihatan masih trauma serta seperti tidak percaya rumah yang baru dibaikinya itu kini rosak teruk.

:Seorang lagi penduduk, Siti Zainab Mohamed Idris, 49, berkata, dia dihubungi anak bongsunya, Mohd Khairul Azhar Saharin, 16, yang memberitahu rumah mereka dilanda ribut.

Katanya, ketika kejadian, dia tiada di rumah kerana mempunyai urusan lain di bandar, bagaimanapun dia bergegas pulang untuk melihat keadaan rumahnya selepas mengetahui mengenai kejadian itu.

“Sejurus tiba, saya sangat terkejut apabila mendapati keadaan sebahagian atap rumah di bahagian belakang termasuk dua bilik tercabut.

“Ini kejadian pertama sejak saya tinggal di sini 29 tahun lalu. Mungkin kejadian ini ada hikmahnya. Saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya.

Mohd Khairul Azhar berkata, ketika kejadian, dia berada di ruang tamu sebelum terdengar bunyi dentuman kuat selepas angin kencang menerbangkan sebahagian atap di bahagian bilik.

“Kejadian berlaku dengan pantas dan keadaan gelap serta hujan lebat menyebabkan saya sukar melihat apa yang terjadi.

“Selepas keadaan reda, saya terkejut apabila mendapati atap bahagian belakang rumah sudah tiada,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zaili berkata, bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan diberikan selepas kerugian dinilai selain bantuan segera lain.

Katanya, selain di Felda Sungai Panching Utara, sebuah rumah lagi di Kampung Pandan 1 turut dilanda ribut.

Kereta terbalik jalan berminyak



TEMERLOH – Seorang kakitangan awam nyaris maut apabila kereta dipandunya terbabas lalu terbalik ke dalam longkang selepas melalui jalan berminyak dekat Jalan Kampung Charuk Puting ke Temerloh, di sini,malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.10 malam itu, pemandu kereta, Muhammad Shar Rizan Mahamud, 28, dalam perjalanan pulang ke rumah di Seberang Temerloh dari tempat kerjanya di sebuah sekolah agama di Guai, Bera.

Menurutnya, dia memandu perlahan kerana melalui kawasan kampung tetapi apabila tiba di tempat kejadian ketika menuruni bukit, dia dapat merasakan kereta dipandunya tidak seimbang.

“Tayar kereta langsung tidak mencengkam dan kereta beberapa kali berpusing lalu terbabas serta terbalik di longkang,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Muhammad Shar Rizan yang berulang alik ke tempat kerja sejak dua tahun lalu berkata, dia dapat merasakan permukaan jalan sangat licin dipercayai berminyak ketika melalui kawasan terbabit.

Menurutnya, ketika kejadian, hujan renyai-renyai menambahkan lagi kesan licin permukaan jalan yang sedia berminyak.

Muhammad Shar Rizan kemudian membuat laporan di balai Polis Mentakab kira-kira jam 10.30 malam kelmarin.

Dirompak 6 lelaki berparang



LUKUT – Seorang wanita bersama anaknya melalui saat getir apabila rumah mereka di ceroboh enam lelaki bersenjatakan parang, pagi kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8 pagi di Dataran Segar, Lukut itu mengakibatkan mangsa kerugian mencecah hampir RM90,000.

Suami mangsa, J Kumar, 54, berkata, ketika kejadian, dia sudah keluar bekerja dan di rumahnya hanya ada isteri serta anaknya yang berusia 34 tahun.

Menurutnya, enam lelaki yang tidak memakai penutup muka itu masuk melalui pintu utama rumah dan menyerang isteri serta anaknya sebelum diikat dengan wayar.

“Mereka kemudian menggeledah rumah dan melarikan barang kemas dianggarkan bernilai RM80,000, wang tunai RM6,000, dua komputer riba, satu telefon bimbit dan sepasang kasut berjenama,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya.

Kumar berkata, kesemua suspek dikenal pasti berusia 30-an.

“Kejadian rompakan bersenjata ini berlaku dengan pantas dan sangat mengerikan, namun mujur keluarga saya tidak diapa-apakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Baljeet Singh ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah di talian 06-6472222 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan polis.

Kepala terhentak ke jalan



BATU KIKIR- Seorang penoreh getah maut selepas motosikal ditungganginya terlanggar belakang sebuah kereta di kilometer 13, Jalan Simpang Pertang-Kuala Pilah, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa, M Cidi Hamzah, 40, dalam perjalanan menuju ke Kuala Pilah untuk menjual getah beku.

Ketua Polis daerah, Mohd Sabri Mohamad berkata, sebelum kejadian, mangsa memotong kenderaan lain di laluan sebelah kiri dan kanan jalan.

“Mangsa membawa seguni getah beku yang diletakkan di depan motosikal Honda EX5.

“Selepas memotong beberapa kenderaan ,mangsa tiba-tiba hilang kawalan lalu terlanggar bahagian kiri, belakang sebuah kereta jenis Toyota di hadapannya,” katanya.

Menurutnya, topi keledar mangsa tertanggal dan kepalanya terhentak di bahu jalan.

“Orang ramai membantu menghubungi ambulans tetapi mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

“Siasatan awal polis mendapati, mangsa tidak mengikat dengan kemas topi keledarnya,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, mangsa menoreh getah dekat kebun keluarganya di Felda Pasoh Dua.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jempol untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh keluarganya untuk dikebumikan, tengah hari semalam.

Warga emas hilang ditemui



KUALA KRAI - Misteri kehilangan seorang warga emas yang tidak pulang ke rumah sejak 29 Ogos lalu akhirnya terjawab apabila rangka mayatnya ditemui di sebuah cerun tepi kebun getah di Kampung Temalir, dekat sini, semalam.

Rangka Fatimah Mat Diah, 76, dari Kampung Belanga ditemui seorang penduduk, Zahari Harun yang turut serta pada operasi mencari mangsa berhampiran sempadan Kampung Peria kira-kira jam tiga petang.

Cucu mangsa, Mohd Zamri Abdullah, 42, berkata, operasi mencari dijalankan hasil penemuan selipar neneknya oleh seorang penoreh getah kira-kira satu kilometer dari tempat mayat dijumpai.

“Selipar dia (Fatimah) ditemui dua hari lalu tetapi baru hari ini (semalam), dia (penoreh getah) menghubungi sepupu saya dan beritahu ada jumpa selipar.

“Bila disahkan selipar itu milik nenek saya, kami mengumpulkan kira-kira 10 penduduk dan memulakan operasi mencari di sekitar kawasan berkenaan sebelum rangka mayatnya ditemui Zahari,” katanya semalam.

Tinjauan di lokasi penemuan mendapati tengkorak dan rangka badan mangsa terletak kira-kira 10 meter dari pakaian bersama gigi manakala cebisan tulang lain seperti rahang bertaburan di kawasan itu.

Fatimah dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Belanga selepas mengunjungi seorang cucunya, Zulkifli Abdullah, 38, di Kampung Temalir sehari sebelum sambutan Aidilfitri lalu.

Kehilangan mangsa disedari anak bongsu Fatimah, Mat Yasin Adam yang tinggal bersamanya kira-kira jam tujuh petang hari kejadian apabila dia tidak pulang ke rumah.

Zamri berkata, identiti rangka itu dicam milik neneknya berdasarkan pada pakaian iaitu baju warna oren dan kain sarung yang ditemui tidak jauh dari rangka badan.

“Apa pun, saya dan keluarga bersyukur kerana dia akhirnya ditemui juga selepas 12 hari hilang biarpun dalam keadaan begini,” katanya yang bertugas sebagai guru di Pahang.

Menurut Zamri, neneknya yang mempunyai tiga anak berusia antara 55 hingga 61 tahun akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Temalir, esok (hari ini).

Sementara itu, rangka mangsa dibawa keluar dari kawasan cerun tersebut oleh anggota polis kira-kira jam 9 malam dan dibawa ke Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya untuk dikebumikan.

Kanak-kanak nyaris maut



KANDIS – Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun terselamat apabila sempat dipanggil keluar rumah oleh penduduk dalam satu kebakaran yang berlaku di Kampung Nelayan Kandis, lewat petang kelmarin.

Mohd. Helmi Mohd. Sidik, 7, hanya tinggal bersendirian di rumahnya ketika punca api bermula di tingkat atas rumah mereka kira-kira jam 6 petang kelmarin.

Bapanya, Mohd. Sidik Awang, 54, berkata, ketika itu dia keluar ke kedai kopi seketika dan isterinya Che Rahmah Amat, 50, sedang bekerja di ladang tembakau berhampiran.

“Ketika itu saya baru sahaja keluar untuk minum kopi di kedai berdekatan. Isteri saya pula sedang bekerja di ladang tembakau.

“Dua anak perempuan kami, Ilya Natasha, 12, dan Suzana, 17, masing- masing berada di rumah kawan mereka. Hanya anak bongsu, Mohd Helmi yang ada di rumah ketika itu.

“Saya hanya mengetahui kejadian itu apabila jiran datang memberitahu tentang kebakaran itu. Tetapi mujurlah anak kami selamat dan tidak terperangkap dalam kebakaran tersebut,” katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).

Katanya, ketika kejadian, anaknya Mohd. Helmi bermain di luar rumah dan apabila melihat api marak di tingkat atas, dia masuk ke tingkat bawah rumah untuk menyelamatkan barang- barang.

Namun, penduduk yang menghampiri lokasi kejadian mengarahkan Mohd. Helmi keluar selamatkan diri kerana bimbang api semakin merebak.

Akibat kejadian tersebut, keluarga ini tinggal sehelai sepinggang dan kerugian dianggarkan bernilai kira- kira RM130,000.

Penduduk mendakwa, apabila pihak Bomba tiba, masalah air menjadi kekangan untuk memadamkan api disebabkan pili Bomba ketiadaan air. Difahamkan, kawasan tersebut sering mengalami gangguan bekalan air berterusan.

Sementara itu, Pegawai Penjaga Balai Bomba Daerah Bachok, Nordin Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 6.13 petang dan tiba di lokasi pada 6.27 petang.

Difahamkan, Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Dr Awang Adek Hussin turut menziarahi mangsa pada sebelah petangnya. 

Peragut berpakaian sekolah



TANAH MERAH – Dua lelaki lengkap berpakaian sekolah didakwa mendalangi jenayah ragut yang melibatkan seorang wanita berusia 25 tahun kira-kira jam 6.10 pagi, kelmarin.

Mangsa, U Mogana Dewi berkata, ketika kejadian, dia sedang menunggu bas untuk ke tempat kerjanya di pondok berhampiran kawasan kediamannya.

Menurutnya, ketika itu, dia berseorangan dan memang setiap hari menunggu bas di situ.

“Tiba-tiba saya didatangi dua lelaki berpakaian sekolah menengah dengan menunggang motosikal hendak meragut beg tangan.

“Saya cuba melawan dengan tidak melepaskan beng tangan tetapi salah seorang daripada mereka memukul saya dengan menggunakan benda tajam di bahagian kepala mengakibatkan saya pengsan,” katanya.

Katanya, beg tangannya itu mengandungi wang sebanyak RM950 yang dipinjam daripada seorang kawannya.

Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan lanjut berikutan kecederaan yang dialaminya.

Enam motosikal hangus



SEBERANG JAYA – Enam motosikal masing-masing dua Honda EX5 dan Honda Wave, satu Yamaha dan Modenas yang diletakkan di parkir berbumbung di Flat D20 Gerbang Tuna, dekat sini, hangus terbakar dalam satu kejadian awal pagi kelmarin.

Bagaimanapun, hanya tiga daripada enam motosikal terbabit musnah 100 peratus, sementara tiga lagi motosikal yang diletakkan berhampiran hanya mengalami kerosakan kecil.

Selain motosikal, turut terkena tempias adalah sebuah kereta Perodua Kelisa yang diletakkan bersebelahan tempat letak motosikal itu.

Seorang pemilik motosikal, K Tinesh Kumar, 23, berkata, kejadian disedari kira-kira jam 4 pagi selepas dikejutkan ibunya yang terdengar bunyi siren bomba di bawah rumah mereka yang terletak di tingkat tiga flat berkenaan.

Menurutnya, dia bangun dan terkejut mendapati motosikal miliknya yang diletakkan di parkir sudah pun hangus terbakar.

“Ketika turun, api hanya tinggal sedikit sahaja kerana sudah dipadamkan anggota bomba. Saya kemudiannya memeriksa motosikal dan terjumpa sebotol bekas petrol ditinggalkan di bawah motosikal.

“Sebelum kejadian, adik saya, Vijitra ada terdengar bunyi seperti orang membaling sesuatu, tetapi dia buat tidak tahu sahaja kerana menyangka tiada apa-apa,” katanya yang menganggarkan mengalami kerugian kira-kira RM4,000.

Tinesh berkata, dia percaya mereka yang melakukan perbuatan itu mensasarkan motosikalnya berdasarkan penemuan botol petrol, namun enggan membuat sebarang spekulasi.

Katanya, dia turut kesal apabila motosikal lain yang diletakkan berhampiran motosikalnya turut terkena tempias akibat dari perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

Dia yang baru dua tahun mendiami flat itu bagaimanapun memberitahu ada menegur sekumpulan remaja bergaduh di kawasan flat dua hari sebelum Aidilfitri lalu.

“Saya tidak pasti sama ada mereka yang melakukannya atau orang lain. Cuma, malam itu, mereka memang seperti marahkan saya kerana menegur mereka. Malah, mereka mahu memukul saya, tetapi, mujur saya sempat lari masuk ke rumah,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, S Ganeson, 32, berkata, dia mengalami kerugian hampir RM10,000 selepas motosikal miliknya dan bapa hangus terbakar.

Katanya, ketika kejadian dia sedang tidur dan terjaga apabila mendengar jiran menjerit mengatakan ada api.

Menurutnya, dia segera menelefon bomba selepas terlihat asap berkepul dari parkir motosikal.

Katanya, laporan polis dibuat di Balai Polis Seberang Jaya dan meminta polis menyiasat bagi mengesan punca dan individu yang sanggup melakukan perbuatan khianat itu.

Ketua Balai Bomba Perai, Timbalan Penguasa Bomba A’azelan Hassan ketika dihubungi berkata, dua jentera dengan kekuatan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada 4.10 pagi.

Beliau berkata, api berjaya dikawal pada 4.20 pagi dan padam sepenuhnya 18 minit kemudian.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Superintendan Baharudin Mustapha ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, pihaknya ada menerima laporan mengenai kejadian oleh mangsa dan kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Duit jual lemang lesap



SUNGAI MANIK - Tidak sampai 10 minit, seorang penjual lemang hilang hasil jualan sebanyak RM470 apabila didakwa dipukau seorang lelaki berketurunan Arab petang Rabu lalu.

Mangsa, Mat Disa Hussain, 68, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang apabila dia mahu minum di sebuah warung di hadapan Kilang Padi Beras Nasional Negara (Bernas), Sungai Lampam, di sini.

Menurutnya, sebaik tiba di warung itu, seorang lelaki yang menaiki kereta jenis Toyota Vios berwarna hitam telah berhenti di seberang jalan.

“Lelaki Arab ini memanggil saya dan bertanya lokasi kedai makan yang sedap di kawasan sekitar.

“Belum sempat saya memberitahu, lelaki itu terus membuka dompetnya menunjukkan wang kertas RM10 dan bertanya kepada saya, orang Malaysia cakap berapa, lalu menjawab RM10 dan pak Arab itu menjawab dalam bahasa Inggeris ten dollar,” katanya ketika ditemui, di sini, petang semalam.

Mat Disa berkata, seterusnya, lelaki Arab itu turut mengeluarkan wang kertas RM5 bertanya perkara yang sama lalu dia menjawab RM5, lelaki itu sekali lagi menjawab dalam bahasa Inggeris five dollar.

“Pak Arab ini menyatakan dia tidak pernah melibat wang kertas RM50 dan meminta saya menunjukkan kepadanya.

“Saya yang tidak sengaja mengeluarkan dompet lalu menunjukkan sehelai wang kertas RM50 kepada lelaki Arab itu lalu dibeleknya dan mengatakan wang Malaysia cantik,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu telah lipat wang kertas terbabit menjadi segi empat dan terus memasukkan ke dalam dompet duit yang saya pegang di tangan kiri.

“Ketika itu, tangan lelaki itu dan tangan saya sama-sama masuk ke dalam dompet. “Saya lihat wang kertas RM50 yang dipegang lelaki itu sudah ada dalam dompet sebelum memasukkan dalam kocek seluar saya,” katanya.

Katanya, lelaki Arab itu kemudian terus menutup cermin kereta dan beredar dari situ, namun setelah kereta itu pergi, dia mulai sedar dan tidak sedap hati, lalu mengeluarkan semula dompet dari kocek seluar untuk diperiksa.

“Saya terkejut apabila wang hasil jual lemang yang berada di dalam dompet saya sudah lesap begitu sahaja walaupun sudah memeriksa di beberapa tempat.

“Saya terus beritahu rakan-rakannya yang sedang minum di warung dan cuba mengejar lelaki itu ke pekan Langkap serta beberapa kawasan kedai makan tapi tidak berhasil,” katanya.

Tambahnya, ketika kejadian dia terasa seolah-olah dipukau dalam keadaan separuh sedar semasa berbual dengan lelaki Arab berusia dalam lingkungan 30-an yang hadir bersama seorang wanita Arab berusia lingkungan 20-an.

“Saya kemudiannya membuat laporan mengenai kejadian itu di Balai Polis Labu Kubong, pada hari kejadian.

“Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dan jangan mudah terpedaya sekiranya terserempak pak Arab yang menggunakan helah yang sama,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian itu dan turut meminta orang ramai berhati-hati.

Katanya, kini pihaknya juga sedang mengesan lelaki dan wanita berketurunan Arab tersebut bagi membantu siasatan.

“Kita menyeru mana-mana pihak yang terlihat kejadian itu boleh tampil membantu polis untuk memberikan maklumat bagi mengekang kejadian ini daripada terus berlaku,” katanya.

12 jam diculik, dikurung



KUALA KANGSAR – “Saya diugut untuk ditembak dan dikenakan renjatan elektrik di seluruh badan sepanjang 12 jam berada dalam kurungan selepas diculik empat penjenayah bersenjata api,” kata Ketua PKR Cabang Padang Rengas, Alias Zenon, ketika menceritakan pengalaman ngerinya setelah diculik sekumpulan penjenayah, kelmarin.

Alias telah dilarikan bersama kereta jenis Mercedes miliknya oleh sekumpulan lelaki, disyaki berbangsa Cina yang menaiki kereta jenis Honda Accord, di hadapan rumahnya di Paya Panjang, Padang Rengas, di sini, pada jam kira-kira 1 tengah hari, kelmarin.

Alias tidak menyangka adegan yang sering ditonton dalam kaca televisyen, juga dalam filem itu berlaku ke atas dirinya, namun bernasib baik kerana dilepaskan dalam keadaan selamat.

“Saya tidak dapat berbuat apa-apa atau melawan kerana dua penjenayah mengacukan pistol di kiri dan kanan leher saya sebaik sahaja tiba di perkarangan rumah saya sebelum saya dihenyak ke tempat duduk penumpang belakang kereta milik saya dan dibawa lari ke arah utara.

“Saya tidak perasan penjenayah berkenaan mengekori di belakang kereta saya semasa dalam perjalanan pulang dari Pejabat Wanita PKR di Kota Lama Kiri, dan setelah dibawa lari, mata saya ditutup ketika tiba di pertengahan jalan melepasi Lebuh Raya Cangkat Jering,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar, semalam.

Menurut Alias, dia telah dibawa ke sebuah rumah di kawasan terpencil di Juru, yang mana seorang wanita turut berada di situ dan telah dikurung dalam sebuah bilik, sebelum kumpulan penjenayah berkenaan meminta wang tunai sebanyak RM20,000 hingga RM30,000.

“Saya cakap kepada mereka saya tidak ada duit sebanyak itu dan sewaktu dikurung mulut dan mata saya ditutup, manakala tangan diikat, serta wang tunai saya sebanyak RM4,000 bersama telefon bimbit dirampas.

“Baju saya dikoyak dan mereka telah mengenakan renjatan elektrik sebanyak 10 wayar di bahagian badan saya untuk memaksa saya memberikan apa yang mereka minta, dan ketika diugut akan ditembak, saya merayu kepada mereka agar membebaskan saya,” katanya.

Katanya, selepas merayu kepada penjenayah terbabit, dia kemudiannya dibebaskan dan dihantar ke kawasan berhampiran Plaza Tol Changkat Jering, dekat sini, serta dipinjamkan telefon bimbit oleh penjenayah itu untuk meminta bantuan daripada seorang rakan yang kemudiannya datang bersama anggota polis.

“Saya tidak kenal dan tidak pernah bertemu dengan penjenayah terbabit, bagaimanapun dapat mengecam wajah mereka kerana mereka tidak memakai topeng semasa menculik saya, manakala kereta jenis Mercedes dengan nombor pendaftaran AGS 3003 milik saya masih berada bersama mereka, dipercayai untuk dijual di Thailand,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Gaffar Mohamad berkata, mangsa yang telah ditinggalkan penjenayah di plaza tol terbabit, menghubungi seorang rakannya untuk meminta bantuan yang kemudiannya menghubungi polis bagi memaklumkan perkara berkenaan dan seterusnya membawa Alias ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar bagi mengambil keterangan.

“Mangsa telah ditinggalkan kira-kira jam 2.00 pagi di lokasi berkenaan dalam keadaan sihat serta selamat kecuali mengalami luka ringan pada badan dan polis masih berusaha mengesan penjenayah terbabit bersama kereta jenis Mercedes milik mangsa yang turut dilarikan.

“Polis masih menjalankan siasatan berhubung kes ini, manakala mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk mendapatkan rawatan dan motif sebenar kejadian ini masih belum diketahui,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abd Aziz, turut merasa gembira dengan perkhabaran terbaru itu dan turut bersimpati atas kejadian yang menimpa diri Alias.

Bom lama di bengkel kereta



JELAPANG - Seorang pengusaha bengkel kereta terkejut apabila sebutir bom lama yang dipercayai digunakan sewaktu zaman Perang Dunia Kedua ditemui berhampiran bengkelnya oleh pekerja kedai bersebelahan, di Jalan Jelapang-Chepor, kelmarin.

Mohd Azizan Sulaiman, 54, berkata, pada mulanya dia melihat pekerja di kedai membuat jeriji tingkap dan pintu sedang sibuk mengemas sisa besi berhampiran bengkelnya serta membuang beberapa barangan yang tidak diperlukan.

Bagaimanapun, Mohd Azizan terlihat satu objek pelik dibuang ke bahagian belakang berhampiran pokok pisang di belakang bengkelnya menyebabkan dia tergerak hati untuk melihatnya.

“Rupa-rupanya objek pelik yang dibaling itu adalah sebutir bom lama yang pernah digunakan tentera pada zaman Perang Dunia Kedua.

“Saya yang panik segera menyuruh mereka yang membuangnya untuk melaporkan perkara itu kepada pihak polis,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya polis yang tiba bersama skuad Unit Pemusnah Bom (UPB) mengambil masa beberapa jam sebelum memusnahkannya kira-kira 200 meter dari bengkel.

“Pihak berkuasa hanya datang hari ini (semalam) dan mereka sudah pun memusnahkan bom itu dalam keadaan selamat,” katanya.

Mohd Azizan berkata, ia adalah kejadian pertama yang berlaku sejak dia membuka perniagaan bengkel keretanya kira-kira 10 tahun lalu.

“Hati saya tetap bimbang kalau-kalau masih ada bom lama yang tersimpan di sekitar bengkel,” katanya lagi.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan bom yang ditemui sudah dimusnahkan kira-kira jam 5.15 petang semalam.

Katanya, siasatan awal mendapati bom itu berusia dalam lingkungan 80 tahun dan dipercayai peninggalan zaman perang.

16 ditahan disyaki guna pasport palsu




SENAI - Seramai 16 warga Indonesia yang dipercayai menggunakan pasport palsu ditahan Jabatan Imigresen negeri sebaik tiba di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail (LTASI) Senai di sini, semalam.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen negeri, Gajendra Bahadur berkata, kesemua lima lelaki dan 11 wanita berusia antara 20 hingga 50 tahun dari Surabaya, Indonesia itu ditahan sebaik tiba di negara ini jam 5.40 petang.

“Kesemua warga asing itu mendakwa datang ke negara ini untuk melawat saudara mereka sempena Hari Raya Aidilfitri namun terpaksa ditahan kerana menggunakan pasport yang mencurigakan dan disyaki adalah palsu.

“Pemeriksaan ke atas pasport warga asing itu mendapati terdapat beberapa ciri yang meragukan antaranya gambar pemilik asal pasport yang ditukar kepada gambar orang lain,’” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Beliau berkata, cop masuk dan keluar pada pasport tersebut juga disyaki dipadam seolah-olah pemilik pasport tidak pernah masuk ke Malaysia sebelum ini.

“Pihaknya tidak menolak kesemua warga asing yang ditahan itu datang ke negara ini untuk bekerja dan kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 (3) Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.

Curi barang majikan



LEDANG - Dua bekas pekerja diibaratkan seperti kacang lupakan kulit apabila tergamak menipu majikan dengan mencuri barangan bahan binaan milik majikan sebagai jalan pintas untuk memperoleh wang tambahan.

Bagaimanapun, kelicikan mereka untuk menutup kesalahan dengan berhenti kerja secara drastik itu gagal selepas majikan berjaya mengesan perbuatan mereka.

Berikutan pembongkaran kegiatan mereka majikannya membuat laporan polis dan gerakan mengesan suspek dijalankan serta merta.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, kedua-dua suspek yang berusia 21 dan 23 tahun ditahan kira-kira jam 12.15 tengahari pada 5 September lalu.

Menurutnya, dengan penangkapan suspek berjaya menyelesaikan kejadian misteri kehilangan barangan binaan kontraktor itu di Gersik.

“Pada mulanya, majikan berkenaan tidak mengesyaki perbuatan pekerjanya tetapi apabila mereka berhenti kerja secara mengejut kira-kira seminggu sebelum hari raya berjaya membongkar segalanya.

“Anggota Jabatan Siasatan Jenayah berjaya menahan kedua-dua suspek di kediaman mereka di Pagoh,” katanya pada sidang media, kelmarin.

Beliau berkata, dalam tangkapan berkenaan polis turut merampas tong cat 20 liter, 18 kotak jubin dan dua beg simen.

Harun berkata, bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan menyeluruh untuk mengenal pasti motif suspek mencuri barangan berkenaan sama ada untuk dijual ataupun kegunaan sendiri.

“Suspek telah didakwa Mahkamah Majistret di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri dan menyimpan barang curi dan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda.

“Setiap suspek turut dijamin sebanyak RM1,500 sehingga kes disebut semula pada 12 September ini,” katanya.

Isteri nampak pistol


DI SINI...mangsa diculik di depan rumahnya di Padang Rengas.
DI SINI...mangsa diculik di depan rumahnya di Padang Rengas.

KUALA KANGSAR: “Saya tak berani bantu suami selepas melihat seorang daripada penjenayah itu memiliki pistol,” kata Noraini Abdullah, isteri kepada Alias Zenon, 73, yang diculik sekumpulan enam lelaki di rumahnya di Batu 16, Padang Rengas, di sini, semalam.
Kejadian berlaku jam 1 tengah hari di hadapan rumah mangsa, seorang ahli perniagaan yang juga Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Padang Rengas ketika dia pulang makan tengah hari.
“Saya sedang memasak di dapur apabila menyedari kelibat seseorang di luar rumah. Saya tidak dapat melihat dengan jelas kerana hujan lebat ketika itu.

“Saya keluar dan melihat kereta suami berada dalam garaj. Ketika itu saya dapati dua lelaki tidak dikenali berada di dalam keretanya menyebabkan saya berasa tidak sedap hati,” katanya yang enggan gambarnya dirakamkan.


Noraini berkata, dia sempat melihat suaminya keluar dari kenderaan dan ketika itulah seorang daripada lelaki terbabit menarik mangsa ke tempat duduk belakang sebelum melarikan dia dan kereta Mercedes miliknya.

193 maut dalam nahas feri karam di Tanzania

ZANZIBAR: Sekurang-kurangnya 193 maut apabila feri yang dinaiki karam di luar gugusan kepulauan pelancongan popular Zanzibar awal pagi tadi, kata seorang menteri.

Beliau berkata, punca nahas disebabkan jumlah penumpang yang terlalu ramai.
Menteri Hal Ehwal Kecemasan, Mohammed Aboud berkata, pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan 612 mangsa dari Feri MV Spice Islander dan terpaksa menghentikan kerja menyelamat pada sebelah malam.
Feri itu dalam perjalanan dari Unguja ke Pemba - dua dari tiga pulau yang membentuk bandar Zanzibar, berlepas kira-kira jam 9 malam (waktu tempatan) dan terbalik empat jam kemudian. - AFP 

Pesara maut diserang sakit jantung



11/09/2011 11:46am

SEREMBAN — Seorang pesara Tabung Haji maut setelah dia dipercayai diserang sakit jantung ketika memandu keretanya di Km 1, Jalan Seremban-Kuala Pilah di sini, malam tadi.
Kejadian pada pukul 7.30 malam itu turut menyebabkan kereta yang dipandu Kamaruzzaman Yeop Idris, 55, merempuh tiga kenderaan lain di hadapannya.
Jurucakap polis berkata, ketika kejadian, Kamaruzzaman memandu seorang diri.
Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar di sini untuk bedah siasat. – Bernama

Penoreh bunuh gadis dihukum gantung



11/09/2011 2:16pm

ALOR SETAR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang penoreh getah selepas dia didapati bersalah membunuh seorang gadis dua tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Zakiah Kassim menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Haris Abdul Talib, 28, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah.
Mohd Haris dituduh membunuh Farhanim Ahmad Ibrahim, 17, sebelum mayatnya yang telah reput ditemui pencari madu lebah dalam belukar di kampung Carok Kapas di Kupang, Baling.
Dia melakukan pembunuhan ke atas Farhanim antara 29 Mac 2009 pukul 6 pagi hingga 4 April 2009 pukul 2.40 petang di kawasan belukar terbabit dan dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati mandatori. – Bernama

Penoreh getah maut disambar petir



11/09/2011 6:09pm

MARANG – Seorang penoreh getah maut disambar petir ketika berteduh daripada hujan di dalam rumah rakit berhampiran sangkar ikan milik bapa saudaranya di Kampung Batangan, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, mangsa Mohd Farizuddin Adnan, 27, bersama seorang sepupunya dilaporkan berlindung di rumah rakit tersebut setelah tiba-tiba hujan lebat ketika mereka sedang melakukan kerja mengangkat pukat.
Menurut sepupu mangsa, Muhammad Hairi Syahiddin Mohd, 18, ketika kejadian dia dan sepupunya masuk ke dalam rumah rakit tersebut untuk berlindung sebelum tiba-tiba kedengaran bunyi petir yang kuat.
"Saya mendengar bunyi dentuman petir yang kuat dan saya berpaling ke belakang melihat badan arwah telah terbakar saya bergegas memanggil ayah yang berada di luar rumah ketika itu dan cuba memadam api di badan mangsa.”
"Setelah api berjaya dipadamkan kami bergegas membawa arwah ke klinik kesihatan berhampiran, namun arwah disahkan meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini. – Bernama

Arwah penyeri rumah

KANGAR: Jenazah tiga kanak-kanak termasuk sepasang kembar yang lemas di sebuah terusan, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad dengan dihadiri ratusan penduduk di Tanah Perkuburan Islam Guar Sanji, dekat sini, jam 11 pagi semalam.
Abdul Hakam Zulkifli dan kembarnya, Abdul Hakim bersama rakan karib mereka, Muhammad Akmal Abdu Razak, disembahyangkan di Surau Kampung Banat, sebelum dibawa ke tanah perkuburan menaiki tiga van jenazah.

Bapa pasangan kembar, Zulkifli Mat Isa, 46, isterinya, Che Norma Seman, 42, dan bapa Muhammad Akmal, Abdul Razak Mohamad, 39, hadir pada pengkebumian itu.

Datuk kepada pasangan kembar, Seman Md Isa, 71, berkata kehilangan serentak dua daripada 11 cucunya sangat dirasai kerana sebelum ini kembar berkenaan menjadi penyeri kehidupan keluarganya.

“Kedua-dua arwah menetap bersama saya di rumah ini dan hampir setiap malam rumah menjadi riuh rendah dengan gelagat mereka.

“Namun semuanya tinggal kenangan selepas pemergian mereka,” katanya ketika ditemui selepas pengkebumian di rumahnya di Kampung Banat, Arau, dekat sini, semalam.


Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Md Isa Sabu dan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri, Jafperi Othman, selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Guar Sanji.

Seman berkata, tiga jam sebelum kejadian, kembar terbabit meminta wang daripada nenek mereka, Zainab Chik untuk membeli makanan dan mereka pergi bersama rakan akrab, Muhammad Akmal ke kedai runcit berhampiran.
“Isteri saya memberi tiap seorang RM2 dan mereka membeli coklat sebelum pulang bermain di bawah pokok di tepi terusan bersama beberapa rakan sebaya yang lain.

“Saya terkilan apabila dimaklumkan gula-gula getah masih dalam mulut Abdul Hakam ketika mayatnya dibawa naik ke tebing selepas ketiga-tiga mereka lemas dalam terusan yang terletak 100 meter dari rumah,” katanya.

Dalam kejadian jam 5.15 petang kelmarin, mayat ketiga-tiga mangsa yang juga pelajar tahun dua Sekolah Kebangsaan Arau, dekat sini, ditemui dalam keadaan berpelukan oleh seorang penduduk kampung.

Mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Tunku Fauziah (HTF) untuk bedah siasat.

Seman berkata, beliau tiada di rumah ketika kejadian berlaku dan terus bergegas ke terusan terbabit selepas dimaklumkan penduduk kampung sebelum mendapati mayat ketiga-tiga mangsa berada di tebing.

Sementara itu, Che Norma pula berkata, walaupun nakal, kembarnya yang juga anak bongsu daripada lima beradik kuat beribadat dan mampu berpuasa cukup sebulan pada Ramadan lalu.

“Kedua-dua arwah hendak menyambung puasa enam hari selepas Aidilfitri lalu tetapi kami sekeluarga meminta mereka menangguhkan dulu. Sejak akhir ini, kedua-dua arwah asyik bergomol (bergaduh nakal),” katanya yang masih sugul.

Penerjun jatuh longkang


 
CEDERA... anggota JPJ yang cedera dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.
CEDERA... anggota JPJ yang cedera dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.


MELAKA: Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cedera selepas terjatuh ke dalam longkang ketika membuat penerjunan sempena Majlis Penutup dan Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas dan Induksi Pembantu Penguatkuasa Gred N17 di Akademi JPJ, Tiang Dua, Ayer Molek, dekat sini, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 10.35 pagi, Asnawi Mohd Hassan, 37, cedera di kaki kiri serta muka selepas terjatuh ke dalam longkang berhampiran tapak perbarisan akademi terbabit.

Dia dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut dan kini dalam keadaan stabil.

Jurucakap JPJ berkata, penerjun yang membawa bendera JPJ ketika melakukan penerjunan itu dihantar pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) negeri ke Hospital Melaka untuk rawatan.

“Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan yang berada di lokasi turut mengiringi penerjun berkenaan ke kenderaan JPAM sebelum dihantar ke hospital.

“Dua lagi penerjun bersama anggota JPJ itu tidak cedera,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. Kursus bermula pada 1 Jun lalu itu membabitkan 191 pelatih iaitu 137 lelaki dan 54 wanita, dan semua berjaya menamatkan latihan.

Syukur anak selamat

BACHOK: Hanya perasaan syukur mampu dipanjatkan seorang pengawal keselamatan apabila anak bongsunya berusia tujuh tahun terselamat selepas rumah papan diduduki 20 tahun lalu dijilat api di Kampung Kandis, di sini, petang kelmarin.
Kejadian jam 6 petang itu mengakibatkan keluarga Mohd Sidek Awang, 54, tinggal sehelai sepinggang kerana semua peralatan, termasuk perabot dan barangan berharga, gagal diselamatkan berikutan api marak dalam tempoh 15 minit.

Menceritakan detik cemas dilalui, Mohd Sidek berkata, dia yang ketika itu minum di sebuah kedai bergegas pulang ke rumahnya sejauh 500 meter selepas mendapati kediamannya terbakar.

“Panik bila dapat tahu rumah terbakar dan ketika itu hanya terbayang keadaan anak bongsu, Mohd Hilmi. Dalam keadaan cemas, saya hanya terbayangkan anak sebab ditinggalkan seketika di rumah dengan pengawasan jiran.

“Alhamdulillah, anak saya selamat dan di bawah jagaan jiran. Biarpun rumah dijilat api, saya bersyukur kerana bantuan jiran membolehkan anak saya terselamat,” katanya ketika di temui di rumahnya, semalam.

Mohd Sidek berkata, dia tidak tahu bagaimana kebakaran berlaku kerana isteri bersama dua lagi anaknya tiada di rumah ketika kejadian.


“Kebetulan pada petang kejadian, dua anak saya menemani ibu mereka bekerja di kilang tembakau, tiga kilometer dari rumah kami, manakala anak bongsu bermain bersendirian di rumah dengan dipantau jiran,” katanya.

Bapa maut dibelasah

PONTIAN: Niat murni seorang bapa meleraikan pergaduhan membabitkan anak lelakinya dengan sekumpulan remaja berakhir tragedi apabila dia maut dipercayai dipukul dengan senjata tumpul.
Dalam kejadian jam 11.30 malam kelmarin di Taman Utama di Pekan Nanas di sini, Chen Chio Beng, 38, dibelasah kumpulan remaja lelaki itu ketika cuba menghalang mereka menyerang anak sulungnya.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin berkata, dalam kejadian itu, 10 remaja lelaki yang menceroboh masuk ke kediaman keluarga mangsa bertindak agresif dengan membelasah anak lelaki mangsa berusia 19 tahun dan beberapa rakannya di situ.

Beliau berkata, siasatan mendapati pergaduhan itu berpunca daripada perselisihan faham antara kedua-dua kumpulan remaja itu sejak beberapa hari sebelum kejadian.

“Ketika berlaku pertengkaran, secara kebetulan bapa remaja itu berada di rumah dan cuba meleraikan kedua-dua kumpulan remaja.

“Ketika cuba mengelak keadaan bertambah serius, bapa remaja itu menjadi mangsa apabila turut dibelasah hingga mengakibatkan cedera parah di beberapa anggota badan,” katanya.


Zahaliman berkata, selepas kejadian, kumpulan lelaki itu melarikan diri dengan menaiki kereta dan motosikal.

Beliau berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Pontian di sini, tetapi menghembuskan nafas terakhir tidak lama selepas itu.
“Siasatan mendapati suspek menggunakan batu bata, botol dan besi ketika menyerang mangsa. Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Hingga kini dua lelaki ditahan dan kami yakin dapat mengesan lapan individu yang terbabit dalam kejadian sama,” katanya sambil memberitahu, dua lelaki terbabit ditahan reman tujuh hari.

Majikan terkilan ditipu

JOHOR BAHRU: Seorang majikan mendakwa terkilan dengan tindakan seorang pekerja wanita yang bukan saja mengikis wangnya dan menggelap wang syarikat RM10,000, malah sanggup mereka-reka cerita kononnya sudah meninggal dunia semata-mata untuk mengaburi pihaknya.
Majikan itu, Rogayah A Aziz, 49, berkata lebih mengejutkan, bekas pekerjanya yang didakwa meninggal dunia akibat penyakit misteri hujung tahun lalu, didapati masih hidup dan bergerak aktif sebagai sukarelawan di dalam sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bandar raya ini.

Beliau mendakwa, sepanjang bekerja di syarikatnya, wanita berkenaan pernah memperdayanya dengan mereka-reka pelbagai cerita menyayatkan hati semata-mata untuk mengikis wangnya.

“Saya melantik wanita itu sebagai jurujual di farmasi milik keluarga di sini, pada 13 Julai 2010 kerana simpati dengan nasibnya yang memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga, termasuk menyara empat anak bersekolah.

“Sepanjang lima bulan bekerja, wanita itu mengaku dirinya bernasib malang dan menggunakan modal itu untuk menagih simpati selain mengikis wang saya secara beransur-ansur.

“Dia licik menagih simpati kononnya mengalami masalah rumah tangga, termasuk ditinggal suami sejak dua tahun lalu, ibunya sakit dan anak perempuan bongsu berusia 10 tahun pernah menjadi mangsa rogol,” katanya.


Menurut Rogayah, hampir setiap hari, ada saja cerita sedih daripada wanita berkenaan bagi membolehkannya meminjam wang dan mendapatkan bantuan, termasuk dijadikan alasan untuk pulang cepat atau ponteng kerja.

Katanya, wanita itu juga kerap meminjam wang antara RM100 hingga RM200 dengan menggunakan alasan terbabit.
“Saya tidak pernah menolak permintaan wanita itu kerana simpati dengan nasibnya dan pada masa sama, saya kerap memberi semangat kepadanya supaya menaik taraf kehidupan keluarga.

“Penipuan wanita itu terbongkar pada 17 Disember lalu apabila saya menemui beberapa slip bank menunjukkan dia menggelap wang syarikat dan mendepositkan wang ke akaun seorang lelaki dipercayai kekasihnya,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Skudai, di sini, pada hari sama.

Menurut Rogayah, ketika disoal, wanita itu cuba memutar-belit cerita selain tidak mengaku menggelapkan wang syarikat.

“Dia juga cuba mengalih perhatian saya dengan mereka-reka cerita baru, termasuk menyatakan ibunya meninggal dunia selain anak lelakinya patah tangan akibat terbabit dalam kemalangan.

“Saya masih menyimpan semua SMS dihantar oleh wanita itu sebagai bukti,” katanya kepada Metro Ahad.

Beliau berkata, usahanya untuk mendapatkan penjelasan daripada wanita berkenaan gagal apabila tidak hadir ke tempat kerja, sebaliknya berhenti tanpa notis.

Menurutnya, walaupun pada awalnya kecewa terhadap perbuatan tidak bertanggungjawab itu, dia bersimpati apabila menerima berita kematian wanita berkenaan menerusi SMS kononnya dihantar oleh adik perempuan pekerjanya pada hujung Disember lalu.

Katanya, dia pernah berusaha mengesan keluarga wanita itu, termasuk di kediaman terakhir di sebuah flet di Skudai untuk menyampaikan bantuan, namun gagal.

“Saya hanya menyedari niat jahatnya mereka-reka cerita kononnya sudah meninggal dunia selepas mendapat maklumat dia bergerak aktif sebagai sukarelawan di bandar raya ini.

“Saya terkejut mendapati dia masih hidup dan saya berharap pihak berkuasa menyiasat penipuannya secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan Rogayah.

Bagaimanapun, sukarelawan terbabit ketika dihubungi menafikan dakwaan bekas majikannya dan mendakwa terpaksa berhenti kerja tanpa notis di atas arahan majikannya.

Tersilap makan pil

KOTA BHARU: Akibat tersilap makan pil selesema, seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Teknik, Pengkalan Chepa, di sini, terpaksa mendapatkan rawatan kira-kira empat jam di wad kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), kelmarin.
Nur Izzati Abdul Rahman, 17, dikejarkan pengurusan sekolah jam 3 petang kelmarin selepas anak sulung daripada enam beradik itu ditemui dalam keadaan tidak bermaya sebelum pengsan.

Mengulas kejadian yang menimpa anaknya, Abdul Rahman Abu Bakar berkata, dia dimaklumkan oleh isteri bahawa anaknya memakan ubat selesema pada petang kejadian.

Berikutan itu, dia terkena alahan terhadap ubat terbabit sebelum dikejarkan ke hospital dan dirawat di wad kecemasan.

“Saya difahamkan oleh gurunya, anak saya demam sejak Rabu lalu dan mungkin penyakit dialami tidak sembuh sebelum dijangkiti selesema, menyebabkan dia memakan dua biji pil sebelum menerima kesan alahan dan dikejarkan ke hospital,” katanya ketika ditemui di HRPZ, di sini, semalam.

Dia difahamkan, akibat kejadian itu, anaknya tidak sedarkan diri sejam sebelum stabil semula selepas menerima rawatan di wad kecemasan.

Dibelasah bongkar rahsia bapa poligami

KANGAR: Seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun parah dibelasah bapanya yang juga warga Amerika Syarikat (AS) selepas dia membongkar rahsia lelaki berkenaan yang berkahwin baru di Thailand, beberapa bulan lalu.
Dalam kejadian jam 3.30 petang Rabu lalu, mangsa yang berketurunan Siam berada di rumah ibu tirinya yang juga isteri kedua bapanya di Taman Guru Jaya, di sini.

Mangsa adalah anak isteri pertama lelaki itu yang diceraikan sebaik perkahwinannya dengan isteri kedua terbongkar.

Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa memberitahu ibu tirinya bahawa suspek berkahwin untuk kali ketiga beberapa bulan lalu.

Difahamkan, selepas menceraikan isteri pertama, si bapa memeluk Islam dan bekerja sebagai pensyarah di sebuah pusat pengajian dekat sini dan sudah tinggal lama di negeri ini.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, mangsa yang belajar di Phuket tinggal di rumah ibu tiri selepas pulang bercuti sebelum berlaku pertengkaran dengan bapa.


Menurutnya, suspek yang berang selepas rahsianya terbongkar kemudian mencederakan mangsa dengan memukulnya bertubi-tubi di muka dan dan kepala.

“Ibu tiri mangsa berusia 33 tahun dan bekerja dengan sebuah syarikat swasta cuba menghalang, namun mangsa terus dipukul.
“Selepas kejadian itu, ibu tiri mangsa membawanya ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

Mangsa yang cedera di muka dan telinga dilaporkan dalam keadaan stabil.

Suspek direman hingga 13 September ini dan disiasat mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan.

Dakwa dibelasah polis

KUALA TERENGGANU: “Saya terkilan dengan layanan diberikan anggota polis terhadap anak saya hingga menyebabkan dia cedera di muka dan mata kiri.
“Malah, anak saya turut lebam di kakinya selain patah satu batang gigi akibat ditendang anggota berkenaan ketika soal siasat, Rabu lalu,” kata Manap@Awang Ismail, 63, bapa kepada Mohd Azam Manap, 31, yang mendakwa cedera dibelasah seorang anggota polis ketika dalam tahanan.

Sebelum ini, Mohd Azam yang bekerja sebagai pemandu lori ditahan di rumahnya di Pekan Tepoh, di sini, jam 2.30 pagi Selasa lalu oleh sepasukan polis selepas dipercayai terbabit dalam satu kes curi.

Ketika menceritakan kejadian itu, Mohd Azam mendakwa insiden itu berlaku dalam tempoh 15 minit apabila dia ditendang beberapa kali.

“Saya bukan saja dibelasah tanpa belas, malah anggota terbabit turut menyapukan darah di lantai ke muka saya menggunakan mop lantai.

“Ketika itu ada beberapa orang dalam bilik berkenaan. Namun, hanya seorang membelasah saya. Dia hanya berhenti memukul selepas melihat keadaan saya tidak bermaya,” katanya ketika ditemui di pejabat Metro Ahad di sini, semalam.


Selain dipercayai terbabit dalam kes curi, Mohd Azam ditahan kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah. Bagaimanapun, Mohd Azam dibebaskan selepas diikat jamin Khamis lalu.

Akibat kecederaan itu, Mohd Azam mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah dan dirawat sebagai pesakit luar.
Menurut Manap, anggota berkenaan tidak sewajarnya menggunakan kekerasan ketika menjalankan soal siasat walaupun anaknya ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kes curi.

“Sebagai bapa, saya sedih apabila anak saya diperlakukan sedemikian. Jika dia bersalah sekali pun, anggota berkenaan perlu mengikut undang-undang dan bukan bertindak sesuka hati.

“Mujur doktor memaklumkan keadaan anak saya tidak serius walaupun ketika ini penglihatannya ada kalanya kabur. Berikutan kejadian ini, saya membuat satu laporan di Balai Polis Kuala Terengganu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Saya tidak berniat mengeruhkan keadaan tetapi hanya mahukan keadilan, selain tidak mahu orang lain menerima nasib sama seperti anak saya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Abdul Halim Ishak mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat mengikut seksyen 323 Kanun Keseksaan.

800 panik

GUA MUSANG: Saat cemas dilalui 800 penumpang Ekspres Senandung Wau, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam perjalanan dari Tumpat ke Kuala Lumpur selepas sebuah daripada 14 kocnya terbakar berhampiran Stesen Keretapi Merapoh, dekat sini, malam kelmarin.
Kejadian jam 11.30 malam itu memaksa pemandu tren memberhentikan kenderaan di stesen berhampiran bagi mendapatkan bantuan anggota bomba dan penyelamat, sekali gus memadamkan kebakaran koc yang memuatkan generator elektrik serta hawa dingin.

Difahamkan, keadaan cemas itu menyebabkan penumpang bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri sebaik tren menghampiri stesen terdekat, termasuk ada yang nekad terjun di kawasan itu kerana terlalu panik.

Senario itu disaksikan penduduk setempat sebaik tren berhenti secara mengejut apabila kebanyakan penumpang berebut-rebut terjun dari koc kerana bimbang api yang membakar gerabak membawa alat berkenaan di bahagian belakang merebak ke koc lain.

Bagaimanapun, koc yang terbakar dapat dikawal sepasukan anggota bomba sukarela di Kampung Merapoh dalam masa 15 minit sebelum dibantu sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang yang tiba 16 minit kemudian.

Kerja keras anggota bomba membolehkan perjalanan diteruskan sejam kemudian dengan meninggalkan koc terbakar itu di Stesen Keretapi Merapoh sebelum menyambung koc gantian generator elektrik dari Stesen Kuala Lipis.


Menurut penumpang, Salamah Alias, 28, kejadian itu mengejutkan penumpang hingga memaksa mereka terjun dari koc penumpang bagi menyelamatkan diri sebaik kereta api berhenti.

Katanya, insiden disedari selepas terdengar bunyi bising penumpang lain mengenai kebakaran sebuah koc, menyebabkan dia secara spontan mengambil beg pakaian dan melompat keluar sebaik koc berhenti di stesen terdekat, “Boleh dikatakan semua penumpang bertempiaran lari dan terjun dari koc kerana masing-masing takut api merebak ke koc penumpang lain.
“Bagaimanapun, kami bersyukur kerana tindakan cepat sepasukan bomba sukarela Kampung Merapoh memadam kebakaran menyebabkan keadaan kembali reda dan penumpang menaiki semula kereta api,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Bomba Sukarela Kampung Merapoh, Rossraman Abdul Majid berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang ternampak kereta api ekspres itu terbakar jam 11.30 malam.

Katanya, dia bersama lima anggota dengan sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian untuk memadam api yang marak membakar koc dan berjaya mengawalnya dalam masa 15 minit.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, ada penumpang panik dan terjun dari koc untuk menyelamatkan diri hinggakan kita terpaksa meminta mereka bertenang.

“Malah, ada penumpang terjun ke dalam parit di tepi landasan kereta api, namun semua penumpang menaiki semula koc sejam kemudian untuk meneruskan perjalanan,” katanya.

Dalam kejadian bulan lalu, 300 penumpang Ekspres Senandung Timuran, KTMB dalam perjalanan dari Tumpat ke Johor Bahru cemas selepas tren dinaiki merempuh dua ekor gajah dalam kejadian di Kilometer 407.5, Bukit Abu-Manek Urai, di sini.

Dalam kejadian jam 10.40 malam itu pemandu tren terpaksa memberhentikan kenderaan secara mengejut namun tidak sempat mengelak ibu dan anak gajah yang melintasi landasan.

Umpan seutas gelang

KUALA LUMPUR: Hanya kerana seutas gelang, seorang wanita berusia 20 tahun diperangkap seorang lelaki sebelum dirogol di sebuah bilik hotel di Puduraya, di sini, Rabu lalu.
Difahamkan, mangsa mengenali suspek berusia lingkungan 30-an itu melalui telefon sejak dua bulan lalu sebelum dipelawa bertemu buat kali pertama di KL Sentral, di sini.

Disebabkan ghairah untuk mendapatkan barang kemas berkenaan selain terpedaya dengan ayat manis lelaki terbabit, mangsa bersetuju untuk bertemu di KL Sentral, jam 11 pagi.

Menurut sumber, sebaik tiba di KL Sentral, suspek membawa mangsa ke sebuah restoran di kawasan Puduraya.

“Ketika minum, suspek mendakwa tertinggal gelang terbabit dan akan memberinya kepada mangsa pada pertemuan seterusnya sebagai tanda permulaan hubungan mereka.

“Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa kemudian tidak sedarkan diri selepas meneguk minuman diberikan lelaki terbabit yang dipercayai dicampur dengan dadah,” katanya.

192 maut feri karam





2011/09/11

STONE TOWN: Sekurang-kurangnya 192 orang lemas semalam apabila sebuah feri karam dalam keadaan laut bergelora di perairan timur Afrika ketika dalam perjalanan dari Zanzibar ke pulau Pemba, tragedi terburuk dalam sejarah rantau itu. 

Bot nelayan dan sampan membawa mangsa feri MV Spice yang terselamat ke pantai dan ramai penduduk menyambut mereka untuk mencari sanak saudara yang mungkin terkorban.
Dokumen kapal menunjukkan ia dalam perjalanan dari Unguja ke kepulauan Pemba membawa lebih 600 penumpang, kata Pesuruhjaya Polis Zanzibar, Mussa Alli Mussa, Zanzibar juga dikenali sebagai Unguja. Zanzibar dan Pemba adalah dua pulau utama di kepulauan Zanzibar dan menjadi destinasi popular yang mengunjungi pantainya dekat Lautan Hindi. Zanzibar adalah wilayah separuh autonomi di Tanzania. Sehingga ini, 606 penumpang diselamatkan.

Kami juga sambut beberapa mayat tetapi tidak dapat beritahu jumlah keseluruhan yang maut, kata Mussa. 

Puluhan askar membawa mayat ke tepi pantai dipenuhi orang ramai yang mencari sanak saudara mereka. 

Beberapa trak tentera membawa mayat ke padang bola sepak Maisara di Stone Town dipenuhi ribuan orang yang menunggu untuk mengecam identiti mangsa. 
Ramai daripada kami sampai di sini pada 2.30 pagi. Kami hantar beberapa bot mencari mangsa tetapi tidak menemui mereka selepas feri karam, kata Suleiman Amis, 32, yang bekerja dengan agensi bot pelancongan tempatan. 

Pendaftar kapal Zanzibar, Abdual Said, berkata MV Spice memiliki lesen membawa 600 penumpang. Pemba terletak 40 kilometer dari Zanzibar. 

Penumpang yang selalu menaiki feri untuk berulang alik di antara dua pulau itu menyifatkan kapal berkenaan perlu diperbaiki dan sering membawa lebih muatan. 
Mereka biasa membiarkan penumpang bersesak seperti dalam tin sardin. Sebab itu, saya bimbang kejadian kali ini bencana besar, kata seorang penduduk, Mwnakhamis Juma. 

Ada saksi berpendapat kemungkinan angka kematian meningkat. 

Kami masih menerima mayat. Jadi, angka kematian tentu lebih besar, kata seorang doktor, Karim Zah di Hospital Mnazi Mmoja, di sini. Reuters 

Dua remaja bakar bilik darjah ditahan



LEDANG – Misteri kejadian kebakaran sebuah bilik darjah Sekolah Agama Naib Long, Tangkak, terjawab dengan penangkapan dua remaja pada 6 September, lalu.

Remaja tersebut yang juga merupakan pelajar di salah sebuah sekolah menengah di Tangkak, disyaki terbabit dalam perbuatan khianat membakar bilik darjah dalam kejadian kira-kira jam 11.25 pagi pada 3 September lalu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, hasil siasatan polis berjaya menahan remaja berusia 13 tahun di kediamannya di Jalan Naib Long pada jam 10.30 pagi.

Menurutnya, penangkapan tersebut telah memudahkan pihak polis menjejaki seorang lagi suspek berusia 12 tahun dan berjaya ditahan di Padang Lerek, Tangkak, iaitu kira-kira 45 minit selepas penangkapan suspek pertama.

“Hasil soal siasat mendapati suspek menggunakan pemetik api untuk membakar bilik darjah ini dengan tujuan khianat merosakkan harta benda sekolah.

“Kebakaran bilik darjah ini telah memusnahkan meja guru, papan hitam, siling dan bilik stor menyimpan peralatan dengan anggaran kerugian RM3,000,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Ledang, semalam.

Beliau berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

“Pihaknya sedang menunggu laporan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk siasatan lanjut sebelum didakwa di mahkamah.

“Siasatan terperinci juga mendapati kedua-dua remaja ini juga tidak mempunyai rekod kesalahan lampau,” katanya.

Enam penjawat awam ditahan



JOHOR BAHRU – Seramai: 50 orang awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri kerana cuba memberi rasuah kepada anggota dan pegawai kerajaan, sepanjang Januari hingga Jun tahun ini.

Pengarahnya, Simi Abdul Ghani berkata, sebanyak 69 tangkapan yang dibuat sepanjang tempoh tersebut dengan 50 daripadanya merupakan orang awam, enam pegawai gred 41 ke atas dan 13 pegawai kumpulan sokongan yang dikenakan tindakan mahkamah.

"Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, SPRM menerima 516 maklumat daripada orang awam dengan 68 daripadanya telah dibuka kertas :siasatan. Daripada angka itu, kita menahan 69 orang.

"Saya melihat kebelakangan ini, trend pemberi rasuah lebih ramai dikenakan tindakan berbanding penerima rasuah khususnya di :kalangan pegawai kerajaan,” katanya sempena perasmian majlis penyerahan projek Kompleks Pejabat SPRM Johor, di Jalan Persiaran Tanjung, di sini, semalam.

Menurut, beliau berbangga dengan komitmen ditunjukkan kesemua agensi kerajaan yang telah menunjukkan sikap kerjasama dalam mencegah rasuah.

Katanya, sebanyak RM127,509 nilai rasuah direkodkan daripada 69 tangkapan yang dibuat dan RM21,503 harta dilucutkan hak.

Jelasnya, terdapat penurunan kertas siasatan yang dibuka bagi tempoh yang sama tahun lalu dengan 73 kes dan 60 tangkapan.

Namun nilai rasuah yang direkodkan tahun lalu tinggi iaitu RM537,925 dan RM4,595 dilucutkan hak.

Satu juta dalam tempoh 8 bulan



KULAIJAYA – Hampir satu juta kerugian dicatatkan daripada 144 kes kebakaran yang berlaku sekitar daerah ini sepanjang tempoh lapan bulan pertama tahun ini manakala sebanyak RM6,075,700 nilai harta benda berjaya diselamatkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat daerah Kulaijaya, Masnon Idris berkata, angka kerugian itu turut membabitkan satu kes kebakaran pada hari raya pertama di kawasan Pangsapuri Kulai, Kulai Besar, di sini.

Daripada statistik yang direkodkan itu, bulan Mei mencatat kerugian tertinggi sebanyak RM448,000 manakala jumlah kerugian bagi bulan April sebanyak RM89,900 dicatat lebih tinggi berbanding nilai yang berjaya diselamatkan iaitu sebanyak RM65,100.

“Berdasarkan rekod sehingga Ogos ini, kami berjaya menyelamatkan nilai tertinggi sebanyak RM2,908,600 pada bulan Februari manakala jumlah kerugian bulan itu adalah sebanyak RM41,400.

“Bulan Jun mencatat kerugian kedua tertinggi selepas bulan Mei iaitu kemusnahan bernilai RM224,000 manakala jumlah yang berjaya diselamatkan melebihi dua kali ganda dari nilai kerugian.

“Manakala kes kebakaran tertinggi adalah pada bulan Februari iaitu sebanyak 28 kes diikuti bulan Mei sebanyak 24 kes,” katanya.

Katanya, menjelang musim perayaan baru-baru ini, kes kebakaran meningkat akibat lintar pintas terutama bagi kediaman yang ditinggalkan penghuni untuk pulang menyambut perayaan di luar kawasan.

“Selain kes kebakaran, kami turut melakukan kes menyelamat pada Hari Raya Pertama bagi kemalangan lebuh raya membabitkan sembilan kenderaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak melupakan tanggungjawab menitikberatkan aspek keselamatan kebakaran di samping langkah pencegahan jenayah menjelang musim perayaan.

Bapa mahu ambil tindakan



KUALA LUMPUR – Bapa kepada remaja yang didera di sebuah asrama juvana di Sentul bakal mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak terlibat termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana didakwa cuai dalam menjalankan tugas.

Bapa mangsa, Shamizani Rajab, 37, berkata, setakat ini pihaknya sudah melantik peguam.

“Pihak keluarga sudah melantik peguam iaitu Ahmad Zaharil Muhaiyar untuk mengendalikan kes anak saya ini kerana cukup teraniaya sepanjang ditahan di sana.

“Sebaik sahaja dapat laporan pakar dan dokumen berkaitan, peguam saya akan memfailkan writ saman kepada Mahkamah Tinggi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Noormah Abdul Rauf turun padang melawat remaja berkenaan.

Beliau yang hadir ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pagi semalam menemui remaja tersebut, di wad pediatrik hospital berkenaan.

“Saya sudah berjumpanya namun masih belum boleh memberikan sebarang kesimpulan tentang perkara ini lagi,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini pihaknya sudah menempatkan pegawai JKM dari asrama tersebut untuk memantau keadaan remaja terbabit.

Sebelum ini, remaja berkenaan dihantar menjalani pemeriksaan di hospital tersebut sejak Selasa lalu selepas mendakwa dirinya didera seorang ustaz dengan semburan api, kayu snooker dan ekor ikan pari sejak dimasukkan ke asrama itu awal Julai lalu.

Remaja itu dimasukkan ke asrama itu bagi menanti perbicaraan mahkamah atas tuduhan mencuri motosikal.

Suami isteri maut nahas



KOTA TINGGI – Sepasang suami isteri maut selepas kereta Proton Iswara yang dipandu si suami, Abu Saribi, 62, dipercayai terbabas sehingga memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah bas yang membawa 30 pelajar Politeknik Johor Bahru, di sini, semalam.

Kejadian yang berlaku di Kilometer 47 Jalan Johor Bahru- Mersing itu berlaku kira-kira jam 9 pagi ketika mangsa, bersama isterinya, Zaharah Giser, 57, dari Felda Lok Heng Barat di dalam perjalanan menuju ke rumah anaknya di Larkin Perdana, Johor Bahru.

Saksi kejadian, Nurakashah Kassim,26, berkata, dia yang duduk di barisan dua dari hadapan bas tersebut melihat sendiri kereta berkenaan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan bas yang dinaikinya.

“Saya terkejut apabila melihat kereta dari arah hadapan tiba-tiba memasuki laluan kami. Bas yang kami naiki sempat mengelak sedikit namun kereta tersebut terus meluru ke arah bas.

"Kami yang begitu terkejut segera turun ke bawah sebelum pelajar di bawa menaiki bas yang lainnya untuk ke destinasi,” katanya yang juga pensyarah di politeknik tersebut.

Katanya, mereka ketika itu dalam perjalanan untuk ke Tanjung Leman bersama dua lagi bas yang lainnya membawa pelajar jurusan pelancongan mengikuti kursus selama tiga hari dua malam.

Sementara itu, pemandu bas, Mohd Ismail Daud, 29, berkata, kereta yang dipandu mangsa meluru dari arah belakang sebuah lori sempat dielak namun tetap bertembung dengan bas yang dipandunya.

“Keadaan terlalu pantas apabila kereta tersebut tiba-tiba muncul dari belakang sebuah lori lalu terus menuju ke arah bas. Saya juga sempat mengelak namun kenderaan kami tetap bertembung,” katanya yang sudah mempunyai pengalaman selama 8 tahun membawa bas.

Dalam pada itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Suhaimy Hashim, ketika dihubungi mengesahkan kemalangan maut yang melibatkan pasangan suami isteri itu.

“Siasatan awal mendapati mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penumpang bas yang lain terselamat dan tiada kecederaan dilaporkan. Penumpang bas juga dibawa ke destinasi yang ingin dituju dengan menaiki dua bas politeknik yang lainnya,” katanya.

Tedung kuning disangka sawa



BATU PAHAT – Pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah Batu Pahat berjaya menangkap seekor ular tedung kuning dipercayai yang terbesar pernah mereka tangkap, lewat petang kelmarin.

Ular berkenaan ditangkap setelah mereka dihubungi pemilik sebuah dusun durian di Sungai Ayam/Sungai Suloh kira-kira jam 5.30 petang dan mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menangkapnya.

Pembantu Pertahanan Awam Daerah Batu Pahat, Musi Kipli berkata, pada mulanya pasukannya menerima panggilan yang menyatakan ada ular sawa di dusun berkenaan.

Menurutnya, apabila sampai ke tempat berkenaan mereka dapati ular berkenaan adalah ular tedung bukannya ular sawa seperti yang diadukan dan mempunyai sedikit kesukaran untuk menangkapnya.

“Jika ular sawa, kami akan terus menangkapnya sahaja, tetapi semasa kami menghampirinya, kami dapati ianya bukan ular sawa kerana ular berkenaan berdiri dan mahu menyerang kami.

“Kami terkejut dan kami terpaksa menukar strategi kerana menangkap ular tedung berbeza caranya dengan menangkap ular sawa kerana ular berkenaan mempunyai bisa yang boleh membawa maut.

Setelah berhempas-pulas akhirnya kami berjaya menangkap ular berkenaan kira-kira 20 minit kemudian dan terus membuang bisanya bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya kepada Sinar Harian.

Musi berkata, sebelum ini pasukannya hanya biasa menangkap ular sawa dan juga ular tedung hitam di mana saiz ular tedung hitam yang pernah ditangkap hanya kecil sahaja.

Menurutnya, berbeza dengan kali ini ular tedung ini berwarna kuning dan saiznya lebih besar iaitu kira-kira 4.5 meter panjangnya dan beratnya pula mencecah hampir 20 kilogram.

“Ular tedung yang kami tangkap ini besarnya hampir macam ular sawa dan menangkapnya sememangnya memerlukan kepakaran yang tinggi kerana selain saiznya besar ia juga berbisa.

“Berbeza dengan ular tedung yang biasa kerana saiznya kecil dan kami kurang bimbang terutamanya bisanya yang mungkin akan lebih berbahaya berdasarkan saiznya yang lebih besar,” katanya.

Menyamar pegawai KDN



SEREMBAN - Jabatan Imigresen negeri mendedahkan tentang kegiatan pihak tertentu cuba mengambil kesempatan menipu pendatang asing tanpa izin (Pati) dengan menyamar sebagai pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Pengarahnya, Faizal Fazri Othman berkata, seorang wanita warga tempatan berumur 40-an ditahan kerana disyaki melakukan kegiatan itu di sekitar Rembau, Jun lalu.

“Suspek dikatakan cuba memperdayakan beberapa Pati sebelum Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja dan Pati atau dikenali Program 6P bermula, 1 Ogos lalu.

“Wanita terbabit dipercayai datang dari Seremban ke Rembau untuk berjumpa Pati bagi mendaftarkan mereka bagi Program 6P,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Dialog Jabatan Imigresen negeri dan syarikat-syarikat terlibat dengan Program 6P di sini, semalam.

Menurut beliau, suspek dipercayai mengenakan bayaran antara RM150 hingga RM500 ke atas setiap Pati dan terdapat sebanyak lapan borang pendaftaran Program 6P bersamanya ketika dia ditahan.

Kata Faizal, wanita berkenaan disyaki menggunakan surat dan dokumen rasmi berkaitan KDN dipercayai palsu untuk mempengaruhi Pati.

“Suspek diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya kerana disyaki terlibat dalam penipuan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 51,673 warga asing didaftarkan menerusi Program 6P di negeri ini, sepanjang Ogos lalu.

“Seramai 37,199 adalah warga asing manakal baki 14,474 merupakan Pati. Kita percaya ada lagi Pati yang gagal mendaftar dan akan melancarkan operasi mengesan mereka,” katanya.

Rakan tenggelam depan mata



GERIK – Mayat mangsa bot karam, Mohamad Khairu Zaid, 42, yang tenggelam di Tasik Bersia, Temenggor, di sini, kelmarin berjaya ditemui tersangkut di celah ranting pokok mati di dalam tasik sedalam 12 meter selepas hampir 10 jam hilang.

Rakan mangsa, Wan Zaini Wan Ismail, 32, yang turut bersamanya ketika itu berkata, semasa kejadian, dia dan mangsa cuba menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing selepas bot karam tetapi Mohamad Khairu tenggelam beberapa meter sebelum sampai ke tepian.

Menurutnya, pada kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi itu, dia dan mangsa dalam perjalanan ke kebun getah melalui Tasik Bersia sejauh 400 meter sebelum bot itu tenggelam.

“Kami tidak dapat berpaut pada bot kerana ia tenggelam disebabkan berat tanah daripada anak pokok getah yang dibawa.

“Apabila bot mulai tenggelam, kami cuba berenang ke tebing sejauh kira-kira 200 meter dan saya berjaya menyelamatkan diri walaupun hampir lemas,” katanya kepada pemberita, semalam.

Kata Wan Zaini, mangsa hampir sampai ke tebing berhampiran Pengkalan Bersia tetapi dia tenggelam kerana tidak berupaya berenang lagi.

Katanya, dia masih terngiang-ngiang jeritan mangsa mengatakan dia sudah tidak berupaya lagi untuk berenang sambil meminta tolong.

“Sebaik tiba di tebing, saya sempat mencapai sebatang buluh hampir reput dan campak ke arahnya.

”Dia berjaya berpegang pada umbi buluh yang saya campak dan saya cuba menarik dari hujung tetapi malangnya tersangkut ranting di tepi tasik sebelum melihat dia beransur tenggelam. Saya berasa terkilan kerana gagal menyelamatkannya,” katanya.

Manakala, ibu mangsa, Fatimah Daud, 83, berkata, dia redha dengan pemergian anaknya dan tiada perubahan berlaku sebelum kejadian itu.

Menurutnya, mangsa bangun awal pada hari kejadian dan sempat minum air kosong sebelum pergi bersama rakan untuk mengambil upah menanam anak pokok getah di seberang Tasik Bersia.

“Dia yang kematian isteri sejak 10 tahun lalu tidak mempunyai anak tetapi merupakan seorang yang rajin dan menjadi tok siak di Masjid Bersia Lama,”katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Che Seman Che Soh berkata, gerakan mencari mangsa bermula jam 11 pagi dengan 40 anggota termasuk penduduk.

Katanya, antara yang menyertai operasi itu ialah bomba, Unit Skuba Kuala Kangsar, Unit Marin Pulau Pinang, polis, Jabatan Petahanan Awam (JPAM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Unit Marin Pulau Pinang tiba pada jam 6 petang menyambung operasi yang ditangguhkan unit lain sebelum menemui mangsa pada jam 6.30 petang.

”Mangsa ditemui tersangkut di celah ranting pokok mati dan kejadian mungkin berpunca daripada bot sarat muatan membuatkan ia tidak seimbang,” katanya.

Mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bersia Lama awal pagi semalam selepas dibedah siasat di Hospital Gerik.