Search This Blog

Saturday, September 10, 2011

Riwayat cinta


KENANGAN...Faizal dan Zuzziana ditemui terbaring berpelukan.
KENANGAN...Faizal dan Zuzziana
ditemui terbaring berpelukan.

SEREMBAN: Kecewa apabila cinta dihalang keluarga, sepasang kekasih nekad minum racun menyebabkan seorang lelaki maut manakala teman wanitanya kini koma di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) di sini.
Dalam kejadian jam 8 pagi semalam di rumah di Taman Bunga Sejati, Nyatoh, Rantau, di sini, Muhammad Faizal Raj Abdullah, 28, mati di tempat kejadian manakala Zuzziana Rahmat, 18, ditemui kritikal.
Seorang jiran, Suthir Baba, 26, menemui pasangan kekasih itu dalam keadaan berpelukan di ruang tamu rumah dengan mulut dan hidung masing-masing berbuih.


Suthir berkata, dia menyedari kejadian itu ketika pulang dari bekerja jam 8.20 pagi selepas melihat wanita membuka pintu pagar dan kemudian masuk semula ke dalam rumah.




Menurutnya, selang beberapa minit dia terdengar bunyi orang bernafas kuat dari dalam rumah itu sebelum dia dan seorang lagi jiran meninjau untuk melihat apa yang berlaku.

9 pengawal tak muncul-muncul

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai sumber manusia kerugian RM10,300 selepas diperdaya seorang ejen pembekal pekerja asing yang berjanji membekalkan sembilan pengawal keselamatan warga asing kepada syarikatnya, tetapi gagal berbuat demikian.
Malah, hingga kini, ejen terbabit gagal dihubungi.

Mangsa, Shamini, 30, berkata, sejak dia membuat pembayaran terakhir pada 16 Ogos lalu bagi mendapatkan pekerja asing, ejen terbabit seolah-olah mendiamkan diri walaupun dia cuba menghubunginya berulang kali, namun panggilannya tidak dijawab.

Menurutnya, dia menerima arahan daripada majikan untuk mengambil sembilan pengawal keselamatan sebelum menghubungi ejen terbabit dan bertemunya pada 12 Ogos lalu di sebuah pusat beli-belah terkemuka.

“Pada pertemuan itu, saya membuat bayaran pertama sebanyak RM4,350 kepada ejen itu selepas berbincang mengenai perkara itu.

“Saya turut menyerahkan satu dokumen perjanjian kepada ejen itu untuk ditandatangani bagi urusan pengambilan pekerja asing berkenaan, namun dia menolak dengan alasan dia hanya ejen.


“Bagaimanapun, dia berjanji akan meminta pihak syarikatnya untuk berbuat demikian dan mengambil dokumen berkenaan,” katanya.

Katanya, selepas berbincang dengan majikannya, mereka mengambil keputusan untuk menambah bilangan pengambilan pekerja kepada 25 orang kerana yakin dengan cara pengurusan ejen terbabit.
Menurutnya, dia menghubungi ejen terbabit pada 15 Ogos lalu bagi memaklumkan perkara itu dan selepas bersetuju, mangsa meminta nombor akaunnya bagi urusan transaksi pembayaran.

“Saya memasukkan RM3,450 ke dalam akaunnya dan ejen terbabit berjanji akan menghantar pekerja berkenaan keesokan hari.

“Pada 16 Ogos lalu, saya mendapat panggilan daripadanya memaklumkan perlu membayar lagi RM2,500 bagi urusan berkenaan dan bersetuju kerana syarikat kami memerlukan pekerja itu secepat mungkin,” katanya.

Bagaimanapun, pada keesokan harinya, pekerja yang dijanjikan tidak muncul, malah ejen terbabit tidak menjawab panggilan walaupun dihubungi berulang kali.

Shamini membuat laporan polis Rabu lalu selepas menyedari ejen terbabit menipunya kerana hingga kini, syarikatnya belum menerima pekerja yang dijanjikan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut akan dijalankan.

Dibunuh enggan pinjamkan RM50

BRICKFIELDS: Hanya kerana enggan meminjamkan RM50 kepada rakan sekerja yang juga rakan sekampungnya di Madura, Indonesia, seorang buruh binaan mati dibunuh di sebuah rumah yang diubah suai di Taman Tan Yew Lai, di sini, tengah hari semalam.
Seorang rakan mangsa yang enggan dikenali, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 1 tengah hari ketika pekerja lain berada di masjid berhampiran untuk menunaikan solat Jumaat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata polis menerima maklumat kejadian kira-kira jam 3 petang.

“Menurut saksi, tiga daripada mereka pergi menunaikan solat Jumaat sebelum menemui mangsa di dalam rumah berkenaan,” katanya.

Wan Bari berkata, seorang lagi pekerja yang menghilangkan diri kini diburu polis dan mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Pelajar tersepit kereta terbabas

ALOR GAJAH: Walaupun cedera ringan tetapi terpaksa meminta bantuan bomba bagi memotong bumbung mengeluarkan seorang pemandu tersepit di dalam keretanya selepas kereta itu terbabas dan merempuh besi penghadang jalan berhampiran persimpangan lampu isyarat, Simpang Ampat, di sini, semalam.
Dalam kemalangan itu, seorang penuntut sebuah universiti tempatan memandu Proton Saga Aeroback terbabas ketika cuba mengelak sebuah kereta memasuki lorong kanan secara tiba-tiba, jam 10.40 pagi.

Pelajar terbabit, Wan Fadhlullah Farhan, 22, bersama rakannya, Mohd Nazirul Mubin Mohd Khairani, 19, dalam perjalanan ke Shah Alam, Selangor, mengambil cenderahati dari beberapa buah syarikat korporat di sana sempena pertandingan anjuran fakultinya yang akan diadakan hari ini.

Bawa geng pukul wanita

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga wanita cedera di pinggang, kepala, perut, kaki dan tangan selepas dibelasah sekumpulan lima lelaki warga Afrika yang tidak puas hati berhubung bayaran air dan elektrik gerai yang disewa mereka daripada mangsa di Taman Connaught, di sini kelmarin.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Aza, 26, yang menjalankan perniagaan makanan itu baru turun dari keretanya dan sedang berjalan ke arah kedainya.

Katanya, dengan tiba-tiba, dia ditolak dari belakang sebelum diheret sejauh 50 meter oleh lima lelaki warga Afrika itu.

Menurutnya, mereka kemudian membelasahnya hingga pengsan dan hanya sedarkan diri selepas seorang kenalan lelakinya menyedari kejadian berkenaan datang membantu menyelamatkannya.

Aza berkata, kejadian berkenaan dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati seorang daripada mereka yang menyewa gerai di kawasan berkenaan dan gerai itu pernah disewanya sebelum ini sejak setahun lalu.

“Disebabkan saya hendak berpindah ke kedai baru, saya diminta mencari penyewa baru dan lelaki berkenaan yang menjalankan perniagaan pakaian membayar RM4,400 sebagai bayaran deposit dan sewa gerai dari Julai hingga bulan depan.


“Bagaimanapun, lelaki itu berjanji menjelaskan bayaran bil air dan elektrik itu kepada pihak pengurusan, namun gagal membuat bayaran itu hingga pihak pengurusan memotong bekalan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, akibatnya, lelaki berkenaan tidak puas hati dan bertindak menyerangnya bersama empat lagi rakan.
Katanya, selepas diselamatkan, dia dibawa ke klinik berdekatan dan menjalani imbasan seluruh badan dan doktor mengesahkan dia mengalami kecederaan serius dalam perut akibat dipijak.

Selepas itu, dia membuat laporan polis di Balai Polis Cheras untuk tindakan lanjut.

Dirodok kerana tolong kawan

KUALA LUMPUR: Niat mulia seorang lelaki membantu rakannya yang dipukul enam ‘samseng’ di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, di sini membawa padah apabila dia ditikam tiga kali menyebabkan mangsa koma selama dua hari dan dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Kejadian kira-kira jam 11 malam, 7 Julai lalu itu menyebabkan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Shakir, 23, dirawat di PPUM selama seminggu selepas ditikam di belakang, kepala dan kaki.

Bagaimanapun, kejadian itu hanya dilaporkan kepada polis kelmarin selepas dinasihatkan berbuat demikian.

“Saya lambat membuat laporan kerana tidak mahu memperbesar perkara ini, namun atas nasihat abang ipar yang bimbangkan keselamatan, saya akur dan membuat laporan polis,” katanya.

Menurutnya, dalam kejadian itu, dia pada mulanya mahu membantu rakan yang dipukul enam lelaki termasuk empat pelajar sekolah menengah berusia 17 tahun dan dua lagi berusia 20-an.

Bagaimanapun, tindakannya itu menyebabkan dia turut dibelasah kumpulan lelaki itu.


Katanya, akibat pukulan dan tendangan enam lelaki itu, dia dan rakannya terjatuh, tetapi nasibnya lebih malang apabila seorang daripada mereka yang memegang pisau kerambit bertindak menikamnya di kepala, belakang dan kaki.

“Saya pengsan dan hanya tersedar selepas dua hari dirawat di PPUM.
“Rakan saya hanya cedera ringan,” katanya yang membuat laporan kejadian itu di Balai Polis Sungai Besi.

Mangsa ragut kena seret

SUBANG JAYA: Seorang wanita terseret beberapa meter ketika melawan peragut yang cuba merampas beg tangannya ketika dia menuju ke keretanya di Jalan Persiaran Kewajipan, di sini, Rabu lalu.
Ketika kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa yang berusia 29 tahun sedang berjalan ke keretanya untuk pulang ke rumah.

Bagaimanapun, ketika menghampiri keretanya, tiba-tiba muncul sebuah motosikal ditunggangi dua lelaki dari arah belakang terus merampas beg tangannya.

Menurut sumber, mangsa yang terkejut dengan tindakan lelaki terbabit cuba melawan dan enggan melepaskan beg tangan itu.

“Ia menyebabkan lelaki terbabit bertindak merentap kuat beg berkenaan dan pada masa sama rakannya memecut laju motosikal ditunggangi mereka.

“Akibatnya, mangsa terjatuh dan terseret beberapa meter di atas jalan sebelum akhirnya melepaskan beg tangannya itu,” katanya.

Pelajar Malaysia maut nahas di Mesir

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Al-Azhar maut selepas dirempuh sebuah kenderaan ketika mahu bertemu rakannya, Rabu lalu.
Dalam kejadian di kawasan Panorama, Solah Salim, kira-kira jam 7.30 malam (1.30 pagi Malaysia) itu, mangsa, Haizrul Azizy Idros, 29, berasal dari Selangor dan juga penuntut tahun akhir jurusan Pengajian Islam dilanggar sebuah kenderaan sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 12.30 malam (6.30 pagi Malaysia) ketika dirawat di Hospital Ta’min Sihhi, Rabaah.

Duta Besar Malaysia di Mesir, Datuk Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mokti berkata, ketika kejadian, mangsa berjalan sendirian untuk melintas jalan di kawasan kejadian bagi bertemu rakannya sebelum dirempuh sebuah kenderaan menyebabkan mangsa cedera parah.

“Kedua-dua ibu bapa mangsa kini sudah berada di Mesir bagi menuntut jenazah anaknya,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Katanya, jenazah mangsa akan dikebumikan di tanah perkuburan berdekatan Universiti Al-Azhar.

Dicekup ketika ambil wang tebusan


KUALA LUMPUR: Seorang wanita berusia 45 tahun kini trauma selepas diculik sebelum dikurung dua lelaki lebih 12 jam di sebuah rumah di Pandan Jaya, dekat sini, kelmarin.
Dia yang menjalankan perniagaan keluarga diculik kira-kira jam 8 malam, Rabu lalu di hadapan rumahnya di Kajang, dekat sini.

Sebaik diculik, seorang suspek berusia 30-an menghubungi keluarga mangsa meminta tebusan RM500,000 dan mendakwa kegagalan menyediakan wang berkenaan akan menyebabkan mangsa dibunuh.

Biarpun panik dengan ancaman berkenaan, ahli keluarga mangsa membuat laporan polis sekali gus membolehkan kerjasama dirancang untuk menjerat penculik selain menyelamatkan mangsa.

Menurut sumber, rundingan dilakukan berjaya mengurangkan tebusan sebanyak RM200,000 selain mendedahkan lokasi pertukaran antara mangsa dan wang yang bakal dilakukan di sebuah taman perumahan di Pandan Jaya, Ampang, dekat sini.

Sumber berkata, sepasukan anggota polis dari Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang mengesan lokasi tebusan mengepung kawasan rumah berkenaan sejak jam 7 malam, kelmarin.


“Suspek yang menaiki sebuah kereta tiba di rumah berkenaan kira-kira jam 9 malam. Namun, selepas mangsa dibebaskan, pasukan polis terus menahan suspek,” katanya.

Suspek yang ditahan dan mangsa yang diselamatkan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini, untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Difahamkan, keterangan mangsa sudah dirakam pihak berkuasa sebelum dibenarkan pulang ke rumah. Katanya, seorang lagi suspek masih diburu pihak berkuasa.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Azman Ayob ketika dihubungi, memberitahu pihaknya menerima laporan mengenai penculikan itu namun enggan mengulas lanjut.

Difahamkan, satu sidang media akan diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor (IPK), oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner, Mohd Adnan Abdullah, berhubung kejayaan pihak polis menyelamatkan mangsa culik itu pada minggu hadapan.

4 cari emas di hutan simpan kena tahan





2011/09/10

MERSING: Empat lelaki berusia lingkungan 30-an ditahan ketika sedang mendulang emas secara haram berhampiran Sungai Mawar di kawasan Hutan Simpan Gunung Arong di sini, pagi semalam. 

Serbuan dilakukan kira-kira jam 11 pagi oleh Pegawai Perhutanan Wilayah Johor Timur, Zubait Said bersama kakitangannya.
“Daripada pemantauan, kami dapati masih ada individu mendulang emas, walaupun amaran diberi dan serbuan dibuat berhasil menahan mereka yang menceroboh hutan simpan. Kami turut merampas mesin pengepam air, kuali, baldi dan penggali serta beberapa peralatan mendulang yang lain.
“Siasatan awal mendapati pendulang mampu memperoleh pendapatan sehingga RM100 sehari dan ada kala terpaksa pulang tangan kosong, sedangkan risiko dihadapi termasuk kematian akibat tanah runtuh sangat tinggi. Lebih satu hektar hutan simpan, termasuk pokok dan kualiti air sungai bakal terjejas disebabkan kegiatan ini,” katanya. 

Beliau berkata, semua yang ditahan akan didakwa mengikut Seksyen 32 Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993) kerana menjalankan aktiviti berkenaan di kawasan hutan simpan. 

Taktik seludup dadah ikut jalan darat



Oleh Fazli Abdullah

2011/09/10

Sindiket kurang guna laluan udara kerana kawalan ketat lapangan terbang

GEORGETOWN: Sindiket pengedaran dadah antarabangsa kini dikesan mengubah taktik dengan menyeludup masuk dadah melalui jalan darat berikutan tindakan berterusan pihak berkuasa negara ini ke atas kegiatan itu di lapangan terbang. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim, berkata pihaknya mendapati sindiket terbabit sudah mengubah taktik dengan mengurangkan kegiatan penyeludupan melalui jalan udara.
Dalam kes terbaru sejak awal minggu ini hingga kelmarin, polis merampas pelbagai dadah bernilai RM2.6 juta di Lembah Klang dan Terengganu selain menahan tujuh orang, termasuk empat warga asing.
Sindiket antarabangsa dikatakan menggunakan wanita warga Thailand untuk membawa masuk bekalan dadah itu ke negara ini menggunakan jalan darat bagi mengelak kegiatan mereka dikesan oleh pihak polis. 

Sindiket itu didapati mengurangkan kegiatan penyeludupan melalui jalan udara kerana kami memperhebatkan pemantauan di lapangan terbang dan kini mereka mengubah taktik dengan menggunakan jalan darat bagi melepasi sempadan negara. 

Walaupun sindiket itu mengubah taktik, kami tetap meneruskan pemantauan di lapangan terbang serta bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa negara lain, katanya. 

Noor Rashid bercakap kepada pemberita selepas menutup Kursus Kerjasama Narkotik Antara JSJN, Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura dan Biro Pembanterasan Narkotik Polis Thailand (PNSB) di Hotel Cititel di sini, semalam. 
Kursus lima hari yang bermula Isnin lalu turut dihadiri Pengarah CNB, Ng Boon Gay dan Pesuruhjaya PNSB, Lt Jen Atitep Panjamannond serta 40 pegawai kanan polis dari ketiga-tiga negara. 

Kursus yang dijadikan acara tahunan sejak 2003 dengan ketiga-tiga negara bergilir-gilir menjadi tuan rumah, diilhamkan Atitep bagi merapatkan kerjasama dalam usaha memerangi pengedaran dadah di ketiga-tiga negara. 

Ia juga dapat meningkatkan persefahaman dalam kalangan pegawai dan pertukaran maklumat membanteras kegiatan itu. 

Rayu bawa pulang ibu dari Vietnam



Oleh Meor Hisham Zulkifli

2011/09/10

Anak minta bantu mangsa sindiket pemalsuan kad kredit 

KUALA LUMPUR: Sudah lapan kali kami tidak dapat berhari raya dengan ibu. Kami merayu supaya ada pihak yang bersimpati dapat membantu membawa emak saya yang kini terkandas di Vietnam. 

Itu luahan Siti Ansyakinah Zainal Abidin, 23, yang turut menitiskan air mata memohon bantuan Kelab Putera 1Malaysia, semalam.
Ibunya, Normazawati Wong Abdullah, 49, yang turut menghidap sakit kronik dan kesihatannya makin merosot, diperdaya kumpulan sindiket pemalsuan kad kredit pada 2004 sebelum akhirnya terpaksa merengkuk di dalam penjara selama enam setengah tahun sebelum dibebaskan Januari lalu.
Malangnya apabila sudah berada di lapangan terbang Ho Chi Minh untuk kembali ke tanah air, beliau sekali lagi ditahan atas alasan belum membayar denda hampir empat juta dong (RM60,500) menyebabkannya terus terkandas di bandar raya itu. 
Saya terpaksa menjual kereta malah apa saja yang berharga untuk membantunya. 

Ketika terkandas dia memerlukan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan untuk menampung keperluan hidup selain membeli ubat kerana ibu saya menghidap penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi. 

Kini saya mendapat tahu keadaan kesihatannya semakin merosot dan memerlukan lebih banyak wang untuk membeli ubat, kata kerani Bahagian Perhubungan Pelanggan Polis Diraja Malaysia di Petaling Jaya, Selangor. 
Anak ketiga daripada lima adik beradik itu berkata, sejak sekian lama dia berusaha mendapatkan bantuan termasuk beberapa kali hadir ke Kelab Putera 1Malaysia bagi memohon bantuan. 

Saya terpaksa menerima segala cemuhan membantu membawa pulang ibu. Ada pihak yang berkata, apa perlunya mereka tolong kerana ibu saya melakukan kesalahan. 

Tetapi ibu saya diperdaya dan diperalatkan sindiket. Ibu terpaksa menurut kata sindiket itu selepas mereka mengugut akan mencederakan kami adik beradik, katanya yang menjelaskan ketika ibunya ke Vietnam, dia terpaksa menjadi ketua keluarga membesarkan adik bongsunya berusia 13 tahun. 

Sementara itu, Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata pihaknya bersimpati terhadap nasib yang menimpa mangsa dan keluarga mereka serta kini berusaha mengumpul dana serta sumbangan pihak luar untuk membawa pulang Normazawati segera. 

Setakat ini kami sudah mengumpul kira-kira RM20,000 dan memerlukan kira-kira RM40,000 lagi untuk membayar denda bagi membolehkan Normazawati pulang. Kita harap akan ada dermawan yang sudi membantu dan turut sama menghulurkan sumbangan. 

Kita jangkakan dalam masa terdekat, beliau boleh dibawa balik ke Malaysia, katanya. 

Tiga budak lemas berpelukan



Oleh Adha Ghazali

2011/09/10

MAYAT tiga kanak-kanak  lemas   dituntut keluarga masing-masing di Hospital Tuanku Fauziah, Arau, semalam.
MAYAT tiga kanak-kanak lemas dituntut keluarga masing-masing di Hospital Tuanku Fauziah, Arau, semalam.
Lelaki temui mayat pasangan kembar, rakan dalam terusan

ARAU: Tiga kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun, termasuk pasangan kembar lemas ketika bermain di sebuah terusan di Kampung Banat di sini, petang semalam. 
Ketiga-tiga mangsa, Mohd Akmal Abdul Razak dan pasangan kembar Abdul Hakim dan Abdul Hakam Zulkifli, disahkan meninggal dunia selepas mayat mereka ditemui dalam keadaan berpelukan antara satu sama lain di dasar terusan terbabit. 
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Husin, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan yang mengorbankan nyawa pasangan kembar dan rakan rapatnya itu, semalam. Beliau berkata, mayat mangsa ditemui seorang penduduk kampung yang kebetulan melalui kawasan terusan terbabit, terletak kira-kira 100 meter dari kediaman keluarga mereka, kira-kira jam 5.30 petang.

Lelaki itu dikatakan curiga dengan penemuan basikal serta beberapa barang, termasuk selipar milik kanak-kanak di pinggir terusan. Dia kemudian terjun ke dalam air sebelum mengesan mayat ketiga-tiga mangsa di dasarnya. 

Mayat ketiga-tiga mangsa yang juga rakan sekelas di Sekolah Kebangsaan Arau itu kemudian dihantar ke Bilik Mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, sebelum dituntut oleh keluarga masing-masing, katanya. 

Sementara itu, bapa pasangan kembar terbabit, Zulkifli Mat Isa, 48, ketika ditemui berkata anaknya serta Akmal memang rapat sehinggakan ketiga-tiga mereka dianggap seolah-olah adik beradik. 
Mereka bukan saja sekelas ketika di tadika. 

Malah, di sekolah rendah pun mereka sekelas. Apa pun, saya reda dengan pemergian mereka, katanya yang mengesahkan ketiga-tiga mangsa akan dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Guar Sanji, di sini, jam 10 pagi ini. 

Sementara itu, bapa kepada Akmal, Abdul Razak Mohamad, 39, berkata kelakuan anaknya itu sedikit pelik sejak dua tiga malam lepas, kerana lebih gemar tidur di ruang tamu di hadapan televisyen, berbanding di dalam bilik. 

Dia begitu manja sekali dengan saya sejak akhir-akhir ini, sehinggakan meminta saya menemaninya tidur di ruang tamu. Mungkin itu petanda sebelum dia pergi meninggalkan kami, katanya. 

Suami, isteri maut terperosok bawah bas



Oleh Ahmad Othman 

2011/09/10

KERETA Proton  Iswara dinaiki sepasang suami isteri remuk teruk selepas terperosok bawah bas di Kilometer 47, Jalan Johor Bahru-Mersing.
KERETA Proton Iswara dinaiki sepasang suami isteri remuk teruk selepas terperosok bawah bas di Kilometer 47, Jalan Johor Bahru-Mersing.
Kenderaan mangsa remuk diseret lebih 20 meter

KOTA TINGGI: Sepasang suami isteri bukan hanya ditakdirkan mati bersama, tetapi lebih menyayat hati mayat si isteri ditemui dengan senaskhah surah Yasin di atas badan mangsa, dipercayai dibacanya sebelum kereta yang dinaiki bertembung bas Politeknik Johor Bahru (PJB) dalam nahas di Kilometer 47, Jalan Johor Bahru-Mersing, di sini, pagi semalam.

Pasangan suami isteri itu yang juga peneroka FELDA Lok Heng Barat, Abu Sarimi, 63, dan isterinya, Zaharah Giser, dalam perjalanan ke rumah anak mereka untuk mengambil MyKad yang tertinggal.
Dalam kemalangan kira-kira jam 9 pagi berhampiran ladang Lembaga Getah Malaysia (LGM) itu, Proton Iswara dipandu Abu, terperosok bawah bas berkenaan sebelum diseret lebih 20 meter, menyebabkan pasangan itu tersepit dalam remukan kenderaan itu.
Ketika kejadian, pasangan dari rumah di Blok 17 FELDA Lok Heng Barat, dalam perjalanan ke arah Kota Tinggi untuk ke rumah anak mereka di Larkin Perdana, Johor Bahru kerana Abu berhasrat mengambil MyKad miliknya yang tertinggal di sana, Rabu lalu.

Sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu menarik kenderaan yang terperosok itu sebelum mayat pasangan itu dapat dikeluarkan dari remukan kenderaan itu.

Pemandu bas PJB, Mohd Ismail Daud, 29, bersama 30 pelajar serta tiga pensyarah mereka yang menaiki kenderaan itu dalam perjalanan menghadiri kursus di Pulau Sibu dekat Mersing, bagaimanapun tidak cedera.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Suhaimy Hashim, ketika dihubungi, berkata pasangan suami isteri itu mati di tempat kejadian. Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan, katanya.

Sementara itu, anak keempat mangsa daripada tujuh beradik, Suraya Abu, 30, mengakui pasangan itu dalam perjalanan ke rumahnya di Johor Bahru, kerana bapanya mahu mengambil MyKad yang tertinggal selepas mendapatkan rawatan kesihatan di Hospital Sultan Ismail, pada Rabu lalu.

Ayah berkeras nak memandu sendiri ke rumah kami walaupun dinasihatkan berulang kali supaya membatalkan hasratnya dan disuruh berehat kerana keadaannya yang kurang sihat.

Pagi ini, ayah ada hubungi beritahu nak datang ke rumah kerana mahu mengambil kad pengenalannya yang tertinggal. Kami tidak benarkan ayah memandu kerana tahu dia kurang sihat kerana menghidap penyakit semput dan gastrik. Lagipun kami adik beradik memang bercadang nak balik hujung minggu ini untuk mengadakan kenduri di rumah ayah, katanya.

Seorang lagi anak mangsa, Aida Abu, 34, pula tidak menyangka permintaan arwah bapanya yang begitu beriya-iya meminta mereka sekeluarga merakam gambar bersama-sama pada hari raya pertama lalu petanda ayahnya akan pergi buat selama-lamanya.

Sebelum ini memang ayah tidak berapa kisah untuk mengambil gambar (dengan keluarga), namun pada hari raya kali ini dia bersungguh-sungguh mahu mengambil gambar bersama keluarga walaupun kami tidak memakai pakaian sama warna. Rupanya inilah kenangan terakhir kami bersama arwah sebelum dia pergi selama-lamanya, katanya.

Kelantan catat peningkatan kes rogol



KOTA BHARU 9 Sept. - Negeri ini mencatatkan peningkatan mendadak bilangan kes rogol membabitkan remaja perempuan berusia 13 hingga 15 tahun dalam musim perayaan ini terutamanya sejak dua minggu lalu.
Lebih malang dalam kebanyakan kes, mangsa dirogol secara bergilir-gilir.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, dalam tempoh seminggu sebelum dan selepas 1 Syawal lalu jenayah itu bertambah mendadak.
Beliau yang bimbang jenayah rogol secara bergilir-gilir menjadi trend terkini remaja di negeri itu bagaimanapun tidak menyatakan bilangan kes dalam tempoh itu.
"Walaupun kes dicatatkan masih rendah iaitu 197 sepanjang lapan bulan pertama tahun ini berbanding 206 kes dalam tempoh sama tahun lalu, tetapi ia meningkat dalam tempoh dua minggu lalu," katanya.
Beliau ditemui selepas majlis pemimpin bersama rakyat di Kampung Tok Panjang, Kedai Buloh, anjuran Persatuan Sukan Tomoi Kelantan, di sini hari ini.
Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Pangkalan Chepa, Dali Husin dan Pengerusi Persatuan Sukan Tomoi Kelantan, Mat Hassan Jusoh.
Mazlan sehubungan itu berharap ibu bapa dan penjaga tidak membenarkan anak gadis mereka sewenang-wenangnya keluar bersama teman lelaki.
"Mungkin sempena musim perayaan, ibu bapa beri kelonggaran untuk anak gadis mereka keluar berjumpa teman lelaki," katanya.
Mengenai Ops Sikap Ke-24 di negeri ini yang berakhir 5 September lalu, Mazlan memberitahu, ia mencatatkan sebanyak 834 kes dengan 26 kematian.

Tindakan disiplin diambil



ALOR SETAR 9 Sept. – Tindakan disiplin terhadap seorang pelajar senior yang terbabit dalam kes membelasah seorang pelajar di asrama sekolah agama di Jitra pada April lalu, akan ditentukan selepas siasatan selesai.
Pengarah Pelajaran negeri, Mansor Lat berkata, siasatan tersebut akan melibatkan pihak sekolah, mangsa dan polis.
Kata Mansor, pihaknya akan memanggil pihak sekolah termasuk pengurusan asrama, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) serta keluarga mangsa untuk mendapat maklumat terperinci berhubung kes tersebut.
“Kita akan jalankan siasatan terperinci. Kes ini melibatkan jenayah dan polis juga sedang siasat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tentang klip video aksi seorang pelajar tingkatan tiga sekolah agama terbabit yang membelasah pelajar tingkatan dua di asrama sekolah itu yang dirakam melalui telefon bimbit rakannya dipercayai pada 2 April lalu.
Klip video tersebut didedahkan oleh bapa mangsa semalam yang mendakwa anaknya itu kini mengalami trauma akibat insiden tersebut.
Kata Mansor, siasatan juga akan dijalankan membabitkan klip video tersebut dan bagaimana perkara tersebut gagal dilaporkan oleh pihak sekolah walaupun selepas beberapa bulan ia berlaku.
“Kita juga akan teliti klip video ini dan mengambil maklumat daripada pihak asrama,” katanya.

Lelaki lemas bot tenggelam di Tasik Bersia



IPOH 9 Sept. - Seorang lelaki ditemui mati lemas selepas bot yang dinaikinya bersama rakan mengalami kerosakan enjin sebelum tenggelam di Tasik Bersia, Temenggor, semalam.
Dalam kejadian pukul 9 pagi, mangsa, Mohamad Khairu Zaid, 42, yang bekerja sebagai siak masjid dalam perjalanan untuk ke sebuah kebun getah sambil membawa benih tanaman bersama seorang lagi rakannya, Wan Zaini Wan Ismail, 32.
Ketua Polis Daerah Gerik, Supritendan Abdul Manaf Bahari ketika dihubungi hari ini berkata, bot yang mereka naiki bagaimanapun tenggelam tetapi Wan Zaini berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi tasik dan melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.
"Mangsa yang lemas ditemui di dasar tasik berkenaan oleh sepasukan anggota Polis Gerakan Marin (PGM) pukul 6.30 petang selepas operasi mencari dan menyelamat dilancarkan.
"Kejadian dipercayai berpunca kerana kedua-duanya membawa lebih muatan," katanya sambil memberitahu mayat mangsa dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat.

Dua beradik kembar, rakan sebaya lemas



ARAU 9 Sept. - Dua beradik kembar berusia lapan tahun bersama seorang lagi rakan sebaya mereka mati lemas selepas terjatuh di sebatang terusan di Kampung Banat di sini, hari ini.
Kejadian dipercayai berlaku ketika ketiga-tiganya, pasangan kembar Abdul Hakim dan Abdul Hakam Zulkifli serta Mohd. Akmal Abdul Razak bermain di terusan tersebut pukul 5.15 petang.
Ia disedari oleh seorang penduduk kampung yang melalui kawasan tersebut selepas ternampak hanya kasut dan basikal kanak-kanak itu tanpa kelibat mereka.
Selepas mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku, penduduk berkenaan turun ke dalam terusan tersebut dan mendapati mayat ketiga-tiga kanak-kanak itu dalam keadaan berpelukan.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Nadzri Hussain ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian tersebut.
Mayat ketiga-tiga kanak-kanak tersebut dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan akan dikebumikan pagi esok.

Pasangan kekasih minum racun, seorang mati



SEREMBAN 9 Sept. - Gara-gara cinta terhalang, sepasang kekasih bertindak nekad meminum racun mengakibatkan seorang daripadanya maut di sebuah rumah di Rantau, dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 8 pagi itu, mangsa yang terbunuh seorang lelaki mualaf berusia 28 tahun.
Kekasihnya yang berusia 18 tahun pula kini dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) di sini.
Pasangan itu ditemui jirannya dalam keadaan berpelukan di ruang tamu rumah terbabit.
Menurut jiran tersebut, ketika kejadian dia baru pulang bekerja sebelum nampak wanita itu membuka pintu pagar dan masuk ke dalam rumah tersebut.
"Selang beberapa minit, saya terdengar bunyi orang bernafas dengan kuat dari dalam rumah. Dia dan seorang lagi jiran lalu meninjau untuk melihat apa yang berlaku.
"Kami bagaimanapun terkejut melihat wanita itu sudah terbaring di dada lelaki itu dan mulut mereka berbuih.
"Kami lalu menghubungi ambulans tetapi tidak lama selepas itu lelaki tersebut disahkan meninggal dunia," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tambah jiran berkenaan, dia juga menemui dua cawan plastik mengandungi cecair berwarna putih disyaki racun serangga di kawasan ruang tamu rumah itu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Yusoff Awang ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian tersebut.

Peragut diberkas, polis parah



KUALA LUMPUR 9 Sept. – Tindakan seorang peragut menendang motosikal dinaiki seorang anggota polis yang mengejarnya membawa padah apabila dia diberkas selepas motosikal ditunggang bersama rakan, terbabas.
Kejadian pukul 1 petang itu, turut mengakibatkan Konstabel Mohd. Hafiz Che Hashim, 23, patah kaki kanan selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan dan dirempuh sebuah kenderaan lain.
Insiden itu berlaku ketika Mohd. Hafiz bersama seorang lagi anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi meronda di kawasan Kuala Lumpur City Centre (KLCC).
Dia kemudian melihat kelibat mencurigakan dua lelaki berusia 20-an yang menaiki motosikal jenis Yamaha di Jalan P.Ramlee, lalu mengarahkan mereka berhenti.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka melarikan diri menyebabkan Mohd. Hafiz bertindak mengejarnya sehinggalah salah seorang suspek menendang motosikal anggota itu sehingga terbabas.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Abdullah, motosikal ditunggang suspek turut terbabas dan seorang daripada mereka berjaya ditahan dengan bantuan seorang pemandu teksi.
“Hasil pemeriksaan awal, Mohd. Hafiz hanya cedera di kaki sahaja tetapi tidak dipastikan lagi kemungkinan ada pendarahan di dalam badan,” katanya selepas melawat beliau di HKL di sini hari ini.

Perhilitan rampas 132 ekor haiwan dari zoo swasta




Beberapa anggota Perhilitan membawa keluar harimau yang dirampas di Danga Bay Petting Zoo di Teluk Danga, Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 9 Sept. - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) merampas 132 ekor haiwan termasuk spesies yang dilindungi di sebuah zoo persendirian di Danga Bay Petting Zoo, Teluk Danga, di sini hari ini.
Timbalan Ketua Pengarah 2 Perhilitan, Dr. Zaaba Zainol Abidin berkata, rampasan dilakukan selepas pemilik zoo yang beroperasi sejak 2005 itu gagal memperbaharui permit khas pemilikan.
Menurutnya, zoo itu gagal mendapat kelulusan untuk memperbaharui permit khas tersebut selepas dipercayai melanggar Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, antaranya menyediakan kandang sempit dan tidak sesuai bagi setiap haiwan.
"Sebanyak 132 ekor haiwan termasuk yang dilindungi, antaranya seekor gajah, harimau (tiga) dan masing-masing dua beruang dan singa dirampas.
"Kesemua haiwan itu akan ditempatkan di beberapa lokasi, antaranya Zoo Melaka, Zoo Kemaman serta Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang," katanya kepada pemberita selepas serbuan itu di sini hari ini.
Zaaba berkata, Perhilitan sebelum ini memberi peluang kepada pihak pengurusan zoo berkenaan untuk mengikuti segala peraturan di bawah akta baru itu, namun ia gagal dilaksanakan.
Menurutnya, seramai 45 anggota Perhilitan, Zoo Melaka dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah terlibat dalam operasi tersebut bermula pukul 9.30 pagi itu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Danga Bay Sdn. Bhd., Tan Teow Keat berkata, permit khas pemilikan zoo tersebut gagal diperbaharui setelah tamat, Mei tahun lalu.
"Sebelum ini kita buat rayuan kepada Perhilitan agar memberi lebih masa untuk melakukan penambahbaikan terhadap zoo berkenaan seperti yang ditetapkan dalam akta baru itu, namun gagal.
"Permit zoo ini sentiasa diperbaharui pada setiap tahun, namun untuk akta yang baru diperkenalkan ini ia gagal dipenuhi.
"Kami akur dengan tindakan Perhilitan dan bercadang untuk memindahkan zoo ini ke Hutan Simpan Ulu Sedili yang berkeluasan kira-kira 40 hektar," katanya.
Semalam, Perhilitan turut merampas lima ekor haiwan yang dilindungi iaitu dua ekor anak gajah, dua Orang Utan dan seekor harimau di Zoo Johor kerana didapati gagal mengikut peraturan yang ditetapkan oleh jabatan tersebut.
Pada 20 Jun lalu, Perhilitan Johor merampas lebih 60 ekor haiwan di Zoo Saleng, Senai, juga kerana gagal memperbaharui permit khas itu.

Mat Sabu dakwa isteri diugut simbah asid



PULAU PINANG 9 Sept. - Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu hari ini membuat laporan polis kerana mendakwa isteri dan anak perempuannya diancam akan disimbah asid oleh seseorang yang tidak dikenali.
Laporan itu dibuat di Balai Polis Kepala Batas di sini pada pukul 10.36 pagi.
Dalam laporannya, Mohamad berkata, ugutan itu diterimanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) pada 27 Ogos lalu, kira-kira pukul 2 petang.
Ketika itu beliau berada di rumahnya di Guar Petai, Tasek Gelugor, di sini.
Pengirim SMS tersebut turut mencabarnya menyerang balai polis.
Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob ketika dihubungi hari ini mengesahkan perkara tersebut.

100,000 terpedaya kutu haram





KUALA LUMPUR 9 Sept. - Hampir 100,000 individu di negara ini didapati terjebak dalam skim kutu haram menerusi pelbagai medium terutama Internet, yang membabitkan pelaburan kira-kira RM33 juta sepanjang tahun lalu.
Selain menggunakan laman web, blog dan seumpamanya, penganjur skim kutu haram juga melantik ejen-ejen atau pun menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) serta menggunakan pembayaran secara perbankan dalam talian, wang pos atau kiriman wang.
Ketua Pegawai Eksekutif, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Datuk Azmi Ariffin berkata, tahap kerugian para peserta skim ini bergantung kepada jumlah yuran dan pelaburan yang dibayar dan terdapat individu yang mengalami kerugian jutaan ringgit.
Menurut beliau, aktiviti itu yang semakin berleluasa di negara ini, mendapat sambutan menggalakkan kerana ia menjanjikan pulangan lumayan dalam waktu yang singkat.
Katanya, skim haram itu dikenal pasti mencatatkan penyertaan paling tinggi mengatasi pelaburan lain seperti perniagaan sarang burung, cacing dan lintah yang turut dikategorikan skim berisiko tinggi.
"Berdasarkan rekod SSM, hampir 100,000 individu terpedaya menyertai skim pelaburan haram itu pada tahun lalu," katanya dalam ucapan pada Simposium Jenayah Ekonomi Antarabangsa Ke-29 di Universiti Cambridge, London baru-baru ini yang diedarkan kepada media.
Tambah Azmi, skim kutu haram tersebut telah mewajibkan para pesertanya membayar sejumlah yuran secara berkala sebelum pulangan mewah yang dijanjikan diterima oleh mereka.
"Masalah ini amat membimbangkan kerana skim pelaburan haram yang tidak kukuh ini tumbuh bagai cendawan selepas hujan dan ia dijalankan secara terbuka di seluruh negara," jelasnya lagi.
Azmi berkata, sepanjang tempoh tahun lalu juga pihaknya menerima 214 aduan berkaitan skim pelaburan dengan 62 peratus daripadanya melibatkan skim pelaburan haram.
"Kini perusahaan ternakan lintah dan cacing juga turut dijadikan skim pelaburan haram. Seramai 71 pelabur telah mengalami kerugian hampir RM5 juta gara-gara terlibat dengan skim pelaburan menternak lintah manakala 3,000 pelabur kerugian hampir RM25 juta kerana skim pelaburan ternakan cacing," ujarnya.
Beliau menambah, skim pelaburan melibatkan sarang burung pernah menjadi tumpuan ramai pada 2008, namun ia dapat dibendung menerusi kawalan undang-undang dan pemantauan yang dijalankan.
Sehubungan itu, beliau memberitahu, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah proaktif termasuk meminda Seksyen 3 Akta Larangan Kumpulan Wang Kutu 1971 di mana Kabinet telah meluluskan Rang Undang-Undang (Larangan) Kumpulan Wang Kutu (Pindaan) 2011.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai aktiviti skim kutu haram tersebut, Azmi ketika dihubungi Utusan Malaysia memberitahu, kesemua peserta yang diperdaya membuat aduan kepada SSM setelah mereka mengalami kerugian besar dari segi kewangan.
"Kerugian itu bergantung kepada jumlah pelaburan dan yuran yang mereka bayar. Kebanyakan peserta kerugian besar kerana melakukan pelaburan dalam jumlah yang besar sehingga ada yang menjangkau jutaan ringgit," katanya.
Beliau memberitahu, pelaburan kutu telah wujud sejak 1970, namun skim itu kini diharamkan kerana ia mengenakan caj dan yuran perkhidmatan yang berbentuk perniagaan dan menipu orang ramai.

Pesawat kargo bawa diesel, beras terhempas di Indonesia



10/09/2011 2:17am

JAKARTA 10 Sept. - Sebuah pesawat kargo yang dipandu oleh seorang juruterbang Australia dan pembantunya dari Slovakia, terhempas di kawasan pergunungan Papua, Indonesia, semalam.
Jurucakap Menteri Pengangkutan, Bambang Ervan berkata, pesawat jenis Cessna Grand Caravan milik syarikat penerbangan tempatan, Susi Air itu membawa muatan diesel dan beras ketika kejadian.
"Kami mengesan kedudukan pesawat tersebut dari udara, namun tidak dapat menghampiri lokasi kejadian ekoran cuaca gelap.
"Kami juga tidak pasti sama ada juruterbang dan pembantunya terselamat dalam kejadian itu," katanya. - Reuters

Polis masih buru perompak kedai mamak



SHAH ALAM 9 Sept. - Polis masih belum dapat mengenal pasti identiti enam penjenayah yang telah melakukan rompakan bersenjata di dua buah restoran mamak di sekitar bandar raya ini pada malam 28 Ogos lalu dan semalam.
Bagaimanapun, siasatan terhadap kumpulan bersenjatakan parang itu sedang giat dilakukan daripada pelbagai sudut termasuk kemungkinan kaitan mereka dengan kumpulan gangster.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, siasatan awal pihaknya percaya kesemua penjenayah terlibat berusia lingkungan 20-an.
Beliau berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan mereka bertindak berani ketika melakukan rompakan kerana di bawah pengaruh dadah.
"Setakat ini kita masih belum mendapat maklumat mengenai identiti kumpulan tersebut, tetapi pasukan khas yang kita tubuhkan sedang giat memburu mereka," kata beliau ketika dihubungi di sini hari ini.
Pada 28 Ogos lalu, kumpulan lelaki itu merompak sebuah restoran mamak di Seksyen 15 di sini dan turut melarikan barangan berharga milik pelanggan yang sedang menjamu selera di situ.
Rakaman kejadian rompakan itu melalui kamera litar tertutup (CCTV) kemudian disebarkan di Internet oleh pihak tertentu.
Penyebaran rakaman video itu menimbulkan rasa bimbang orang ramai terutama pelanggan restoran mamak yang beroperasi 24 jam.
Tidak sampai dua minggu selepas itu, semalam kumpulan yang sama dipercayai merompak sebuah lagi restoran mamak di Seksyen 24 di sini dan beberapa pelanggan turut menjadi mangsa.
Kedua-dua rompakan dilakukan pada awal pagi iaitu pada pukul 4 pagi dan 5.30 pagi di mana jumlah pelanggan restoran ketika itu tidak terlalu ramai.

Mayat remaja disah pelajar kolej



KUALA LUMPUR 9 Sept. – Polis mengesahkan mayat remaja yang ditemui terbakar hampir 80 peratus di Jalan Bukit Belacan, Ampang, dekat sini, pada 5 September lalu adalah pelajar sebuah kolej swasta, berusia 19 tahun.
Pengecaman mayat mangsa yang juga rakyat tempatan dilakukan oleh ahli keluarganya hari ini melalui cebisan baju kurung berwarna hijau serta sepasang anting-anting yang dipakai gadis itu sebelum menuntut mayat itu di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) kira-kira pukul 11 pagi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, polis telah mengambil keterangan ahli keluarga dan rakan-rakan mangsa yang juga pelajar kolej swasta di Selayang bagi membantu siasatan.
Mangsa dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya setelah tidak pulang selepas keluar rumah, pukul 8.30 malam pada 4 September lalu.

Lelaki belasah OKU dengan rotan



KUALA LUMPUR 9 Sept. - Seorang lelaki tergamak melibas seorang orang kurang upaya (OKU) dengan rotan hanya kerana berang terhadap mangsa yang memarahinya kerana dia enggan memberikan sebatang rokok.
Dalam kejadian berhampiran Kelab Emico, Sungai Besi, pukul 11 pagi pada Sabtu lalu, mangsa, Ng Wai Keong, 59, yang parah terpaksa dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Wai Keong yang koma bagaimanapun meninggal dunia di hospital tersebut semasa menerima rawatan, semalam.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, suspek dipercayai dipengaruhi alkohol semasa melibas mangsa.
"Laporan perubatan mangsa bagaimanapun mendapati kematian lelaki itu berpunca dari jangkitan paru-paru. Namun siasatan lanjut dan post mortem akan dijalankan," katanya ketika ditemui selepas melawat anggotanya yang cedera parah ditendang peragut, di HKL di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Chin Wah memberitahu, polis turut menemui rotan digunakan untuk memukul mangsa dan suspek ditahan reman sehingga 13 September ini.

Buruh warga Indonesia maut leher dikelar



KUALA LUMPUR 9 Sept. - Seorang buruh warga Indonesia maut apabila lehernya dikelas manakala perutnya dilibas menggunakan kerambit oleh rakannya dalam kejadian di Taman Tan Yew Lai, Jalan Klang Lama di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mayat lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditemui tertiarap di ruang tamu rumah empat tingkat yang sedang dibaik pulih, oleh tiga rakannya yang pulang dari mengerjakan solat Jumaat.
Menurut sumber, suspek pernah meminjam RM50 daripada mangsa dan dia berang selepas gagal meminjam jumlah yang sama untuk kali kedua.
“Kerana gagal mendapatkan wang, suspek menjadi berang lalu mengelar leher dan melibas perut mangsa menggunakan kerambit ketika tiga rakannya pergi mengerjakan solat Jumaat.
“Selepas kejadian itu, suspek yang tinggal di sebuah rumah di Pandan Indah bersama empat rakannya melarikan diri,” katanya di sini hari ini.

7 kenderaan musnah terbakar






BEBERAPA buah motosikal terbakar milik penduduk Flat D20 di Seberang Jaya Bukit Mertajam Pulau Pinang, semalam.


BUKIT MERTAJAM 9 Sept. - Penghuni Flat D20 dekat Seberang Jaya di sini, gempar apabila tujuh buah kenderaan yang diletakkan di tempat letak kenderaan berbumbung di situ musnah terbakar dalam kejadian awal pagi ini.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 4 pagi ketika penduduk sedang nyenyak tidur melibatkan masing-masing dua buah Honda EX5 dan Honda Wave serta sebuah Yamaha, Modenas dan kereta Perodua Kelisa.
Menurut salah seorang pemilik motosikal, K. Tinesh Kumar, 23, dia menyedari kejadian itu selepas dikejutkan ibunya yang terdengar bunyi siren bomba di bawah flat yang diduduki sejak dua tahun lalu itu.
"Saya bingkas bangun namun apabila turun dari rumah di tingkat tiga didapati motosikal saya yang diletakkan di tempat letak kenderaan itu telah hangus terbakar.
"Saya kemudian memeriksa kawasan itu dan menemui sebuah bekas yang dipercayai berisi petrol di bawah motosikal saya," katanya yang kerugian hampir RM4,000 akibat kejadian itu.
Tinesh mendakwa, adiknya, Vijitra,16, ada terdengar bunyi sesuatu dibaling dari atas flat itu namun tidak mengesyaki apa-apa.
Jelasnya, dia percaya individu bertanggungjawab memang menyasarkan motosikalnya ekoran penemuan bekas petrol itu namun enggan membuat sebarang tuduhan.
"Saya pernah menegur sekumpulan remaja bergaduh di kawasan ini dua hari sebelum hari raya dan mereka memang marahkan saya serta hampir memukul saya tapi sempat melarikan diri.
"Saya tak pasti sama ada mereka sanggup membalas dendam pada saya kerana saya serahkan kepada siasatan pihak polis," ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi pemilik motosikal, S Ganeson, 32, berkata, dia mengalami kerugian hampir RM10,000 selepas dua buah motosikal miliknya dan bapa hangus dalam kejadian itu.
"Ketika kejadian saya sedang tidur sebelum terdengar jeritan jiran mengatakan ada api dan saya segera menghubungi bomba.
"Kesemua mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Seberang Jaya dan berharap pihak polis menahan mereka yang bertanggungjawab melakukan khianat ini," katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Supritendan Baharudin Mustapha ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

24 penghuni 8 rumah selamat dalam kebakaran




ANGGOTA bomba mencari sesuatu di salah sebuah rumah yang terlibat dalam kebakaran di Kampung Batu 8 1/2, Skudai, Johor Bahru, kelmarin.


JOHOR BAHRU 9 Sept. - Seramai 24 penghuni di lapan buah rumah di Kampung Batu 8 1/2, Skudai di sini, terselamat dalam satu kebakaran awal pagi kelmarin.
Kebakaran pukul 2.30 pagi itu bermula dari salah sebuah rumah sebelum ia merebak dengan cepat ke rumah berhampiran yang diperbuat daripada kayu.
Menurut seorang mangsa, Goh Ah Moi, 63, ketika kejadian dia sedang tidur sebelum dikejutkan oleh anak dan cucunya.
"Saya tak sempat nak menyelamatkan apa-apa selain melarikan diri ke tempat yang lebih selamat. Meskipun hilang harta benda namun saya bersyukur kerana semua ahli keluarga saya selamat," katanya semasa ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini, hari ini.
Seorang lagi mangsa, Loi Tek Foo, 56, pula memberitahu, semasa kejadian isterinya, Sia Kui Fong, 56, terhidu bau asap sebelum melihat api sudah membakar sebahagian dinding rumah mereka.
Sementara itu, Penguasa Bomba Zon Johor Bahru, R. Saiful Iswandy R. Hassan ketika dihubungi hari ini memberitahu, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pukul 3 pagi dan empat jentera iaitu dua dari Balai Johor Bahru dan masing-masing satu dari Balai Taman Universiti dan Balai Kulai dikejarkan ke tempat kejadian.
"Ketika tiba, enam rumah sudah musnah terbakar dan api dapat dikawal selama setengah jam sebelum operasi tamat sepenuhnya pukul 9.45 pagi. Punca sebenar kebakaran masih disiasat," katanya.

Mekanik tidak mengaku samun



PETALING JAYA 9 Sept. – Seorang mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menyamun seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA), bulan lalu.
Mohd. Zamhuri Azhari, 24, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Razaina Razali, 19, dengan merampas sebuah komputer riba dan telefon bimbit pelajar itu.
Dia didakwa berlaku di jalan masuk ke tapak pembinaan My Rapid Transit (MRT) Lembaga Getah Malaysia, Sungai Buloh di sini pada pukul 9.30 malam, 27 Ogos lalu.
Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan.
Hakim Rozina Ayob membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Oktober ini untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret di sini, seorang penganggur dipenjara lapan bulan kerana mencuri 10 gulung paip tembaga dan wayar elektrik bernilai kira-kira RM3,000 pada Ahad lalu.
M. Murugan, 29, dijatuhi hukuman tersebut setelah mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di sebuah kedai milik See Kok Choy, 43, di No. 4 Jalan PJS 1/140, Taman Medan Pejasa di sini pada pukul 12.15 tengah malam, 4 September lalu.

Pertaruh nyawa demi tugas




MOHMAD (kanan) meninjau kecederaan yang dialami Mohd. Hafiz ketika melawat anggota polis itu di HKL, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Seorang anggota polis berpangkat konstabel mempertaruhkan nyawanya untuk mengekang jenayah apabila mengalami patah kaki kanan ketika mengejar peragut di Jalan P. Ramlee di sini kelmarin.
Selain itu, kejadian pukul 1 petang itu turut mengakibatkan Mohd. Hafiz Hashim, 23, yang bertugas di bahagian am Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi mengalami kecederaan dalaman.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dan seorang rakannya sedang melakukan rondaan dengan menunggang dua buah motosikal di beberapa kawasan di sekitar ibu negara.
Katanya, tidak lama kemudian, mereka terserempak dengan dua lelaki menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z dalam keadaan mencurigakan di persimpangan KLCC.

Tiada permit pemilikan zoo




BEBERAPA kakitangan Perhilitan membawa keluar harimau yang dirampas di Danga Bay Petting Zoo di Teluk Danga, Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Kegagalan memperbaharui permit khas pemilikan zoo membawa padah kepada pemilik Danga Bay Petting Zoo, Teluk Danga di sini apabila 132 ekor haiwan termasuk spesies dilindungi dirampas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) semalam.
Zoo milik persendirian yang beroperasi sejak 2005 itu tidak mendapat kelulusan untuk memperbaharui permit khas tersebut selepas dipercayai melanggar Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, antaranya menyediakan kandang yang sempit dan tidak sesuai bagi setiap haiwan.
Timbalan Ketua Pengarah 2 Perhilitan, Dr. Zaaba Zainol Abidin berkata, sebanyak 132 ekor haiwan termasuk yang dilindungi antaranya seekor gajah, harimau (tiga), beruang (dua), singa (dua) dan lain-lain spesies dirampas dalam operasi ini.
"Kesemua haiwan tersebut akan dipindahkan di beberapa tempat termasuk Zoo Melaka, Zoo Kemanan, Terengganu serta di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang," katanya kepada pemberita selepas serbuan di sini.
Menurut Zaaba, Perhilitan pernah memberi peluang kepada pihak pengurusan zoo berkenaan untuk mengikuti segala peraturan di bawah akta baharu itu namun ia gagal dilaksanakan.