Search This Blog

Friday, September 9, 2011

Perhilitan rampas 132 haiwan di Danga Bay Petting Zoo


JOHOR BAHARU 9 Sept. - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) merampas 132 ekor haiwan termasuk spesies yang dilindungi di Danga Bay Petting Zoo, Teluk Danga, di sini, hari ini.
Tindakan itu diambil selepas pemilik zoo persendirian yang beroperasi sejak 2005 itu gagal memperbaharui permit khas pemilikan zoo berkenaan.
Timbalan Ketua Pengarah 2 Perhilitan, Dr. Zaaba Zainol Abidin berkata, zoo itu tidak mendapat kelulusan untuk memperbaharui permit khas tersebut kerana melanggar Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang antaranya menyediakan kandang yang sempit dan tidak sesuai bagi setiap haiwan.
"Kesemua 132 ekor haiwan yang dirampas itu termasuk seekor gajah, tiga ekor harimau, dua ekor beruang dan dua ekor singa. Haiwan berkenaan akan ditempatkan di beberapa lokasi, antaranya Zoo Melaka, Zoo Kemaman Terengganu dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Zaaba berkata, Perhilitan pernah memberi peluang kepada pihak pengurusan zoo berkenaan untuk mematuhi segala peraturan namun ia gagal dilaksanakan. - Bernama

Dua beradik mati tergantung

IPOH - Dua lelaki adik beradik ditemui mati tergantung pada palang siling di dapur rumah mereka di Taman Badrishah, Lahat, di sini hari ini.
Pemangku Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Supritendan Ahmad Termizi Abdul Haq berkata, Hew Kong Chen, 43, dan adiknya Hew Kong Weh, 38, ditemui mati oleh abang mereka 12 tengah hari lalu melaporkannya kepada polis.
Polis mendapati kedua-dua lelaki itu tergantung dengan tali nilon dililit pada leher, katanya ketika dihubungi.
Ahmad Termizi berkata, mayat kedua-duanya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.
"Motif mereka berbuat demikian belum diketahui dan polis sedang menyiasat,” katanya. Ahmad Termizi berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mereka adalah penagih dadah tegar. - Bernama

Tiga kanak-kanak 8 tahun mati lemas





2011/09/09

KANGAR: Tiga kanak-kanak berusia 8 tahun termasuk dua daripadanya kembar maut selepas lemas di Sungai Banat, dekat Arau, di sini, sebentar tadi.

Lelaki lemas bot karam

IPOH - Seorang lelaki mati lemas selepas bot yang dinaiki bersama rakannya tenggelam di Tasik Bersia, Temenggor, kira-kira 180 kilometer dari sini semalam.
Ketua Polis Daerah Gerik, Supritendan Abdul Manaf Bahari berkata, mangsa yang mati lemas dalam kejadian 9 pagi semalam itu dikenal pasti sebagai Mohamad Khairu Zaid, 42, manakala rakannya Wan Zaini Wan Ismail, 32, terselamat selepas berjaya berenang ke tepi tasik.
Mayat Mohamad Khairu yang juga siak masjid di Kampung Bersia, ditemui di dasar tasik pada kira-kira 6.30 petang semalam oleh pasukan marin dan dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi hari ini.
Manaf berkata, ketika kejadian kedua-dua mereka dalam perjalanan ke kebun getah apabila enjin bot gentian kaca itu mengalami masalah menyebabkan bahagian depannya yang membawa muatan 100 batang benih getah dimasuki air lalu tenggelam.
Mereka berdua bertindak terjun ke dalam tasik dengan Wan Zaini berjaya berenang ke tepi, manakala Mohamad Khairu tenggelam ke dalam tasik, katanya.
Beliau berkata, polis yang menerima laporan daripada Wan Zaini kemudian melancarkan operasi mencari dan menyelamat dengan bantuan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
Kejadian dipercayai berpunca bot yang sarat muatan hingga menyebabkannya tidak seimbang dan karam, katanya. - Bernama

Wanita dituduh pecah amanah

JOHOR BAHARU - Seorang wanita bekas pengarah syarikat pengangkutan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tiga tuduhan pecah amanah dengan memasukkan cek syarikat ke dalam akaun sendiri tiga tahun lepas.
Bagi pertuduhan pertama, Hasnah Zaliha Salleh, 38, sebagai pengarah Syarikat Neet Freighters Sdn Bhd, didakwa melakukan pecah amanah melibatkan 26 keping cek CIMB bernilai RM82,835 yang dimasukkan ke dalam akaun Public Bank miliknya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Neet Freighters Sdn Bhd di Jalan Persisiran Perling di sini antara 19 Januari dan 4 November 2008.
Bagi pertuduhan kedua, Hasnah Zaliha didakwa melakukan kesalahan yang serupa melibatkan enam keping cek CIMB bernilai RM13,637.50 yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank miliknya antara 10 Februari dan 25 Jun 2008.
Bagi kesalahan ketiga, dia didakwa melakukan kesalahan serupa melibatkan empat keping cek CIMB yang kesemuanya bernilai RM16,488 yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank milik syarikatnya, Sharul Enterprise, antara 18 Mac dan 28 Oktober 2008.
Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anwar Abdul Raof manakala Hasnah Zaliha diwakili peguam Fairoz Elyas Majeed. - Bernama

6 motosikal dibakar

SEBERANG JAYA - Enam buah motosikal yang diletak di tempat parkir berbumbung di Flat D20 Gerbang Tuna di sini terbakar pagi tadi dipercayai akibat perbuatan khianat.
Tiga daripadanya musnah manakala tiga lagi hanya mengalami kerosakan kecil dalam kejadian kira-kira 4 pagi.
K. Tinesh Kumar, 23, berkata, beliau sekeluarga yang tinggal di tingkat tiga flat berkenaan hanya menyedari kejadian itu selepas terdengar bunyi siren kenderaan bomba dan penyelamat yang tiba di tempat kejadian.
"Saya terus bangun sebelum turun ke bawah dan terkejut apabila mendapati motosikal saya hangus terbakar,” katanya.
Katanya, sebelum kejadian adiknya Vijitra, 16, dikatakan terdengar bunyi seperti orang membalingkan sesuatu objek tetapi tidak mengendahkannya. - Bernama

Seludup petrol guna kereta mewah, teksi



PENGKALAN KUBOR – Helah penyeludup menggunakan teksi dan kereta mewah untuk menyeludup petrol ke negara jiran terbongkar apabila Pasukan Gerakan Marin (PGM) Pengkalan Kubor berjaya menumpaskan cubaan menyeludup petrol bernilai RM21,596, di sini.

Kejayaan itu berikutan operasi pada jam 1 pagi apabila anggota PGM Pengkalan Kubor menahan sebuah kereta Hyundai di Pengkalan Haram Zahari, Kampung Tualang dekat sini, semalam.

Turut ditahan sebuah teksi yang diubahsuai apabila ada tangki tambahan di bonet belakang yang mampu memuatkan 250 liter minyak di Pengkalan Haram Nasir Kampung Simpangan dalam kejadian berasingan jam 11.30 malam, kelmarin.

Pegawai Pemerintah PGM Pengkalan Kubor, Deputi Superintendan Tan Cheng San berkata, pemandu teksi berusia 27 tahun ditahan, manakala petrol yang diseludup sempat dibawa menyeberangi Sungai Golok tersebut.

“Ketika anggota PGM sampai, bot yang sarat diisi minyak petrol berlepas menyeberangi Sungai Golok dan anggotanya berjaya menahan pemadu teksi itu.

“Selepas disoal siasat, pemandu itu didapati mengambil upah menyeludup minyak menggunakan teksi sebagai taktik terbaru bagi mengaburi penguat kuasa,” katanya.

Menurutnya, tahun ini sudah dua kes teksi ditahan PGM kerana cubaan menyeludup minyak ke Thailand di sekitar daerah ini.

“Dua kes melibatkan penyeludupan menggunakan teksi dan dua kes menyeludup minyak menggunakan kereta mewah termasuk kes hari ini (semalam), PGM berjaya menahan kereta Hyundai di Pengkalan Haram Zahari itu,” katanya.

Menurutnya, ketika serbuan didapati kereta Hyndai tersebut masuk ke pengkalan haram itu tanpa memasang lampu.

“Bila menyedari kehadiran anggota PGM, pemandunya lari lintang pukang dan menaiki bot enjin galah yang sedang menunggu di pengkalan haram itu dan menyeberangi ke seberang Thailand.

“Kereta dan minyak petrol sebanyak 28 tong yang setiap satunya mengandungi 30 liter ditinggalkan di pengkalan haram itu,” katanya.

Menurutnya, minyak bernilai RM1,596 dan kereta Hyundai bernilai RM20,000 diserahkan kepada kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk tindakan lanjut.

Hikmah nenek tinggal di wad



SEMABOK - Kerana berada di dalam wad, seorang nenek terselamat apabila rumahnya di Kampung Duyong, Jalan Semabok Dalam, di sini hangus dalam kebakaran, malam kelmarin.

Piah Husin, 77, ditahan di wad sejak Ahad lalu kerana menghidap penyakit kencing manis.

Rumahnya yang kosong itu disedari terbakar oleh jirannya kira-kira 10.10 malam sebelum bertindak memaklumkan kepada anak Piah yang tinggal berdekatan rumah berkenaan.

Cucu Piah, Aqilah Razak, 17, berkata ketika kejadian, dia sedang mengulang kaji pelajaran, sementara adiknya yang lain bersiap untuk tidur di rumah ibu bapanya yang terletak berhampiran kediaman neneknya itu.

“Mungkin ada hikmahnya nenek dirawat di hospital sambil ditemani bapa ketika ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, Kamaluddin Alwi berkata, seramai 17 anggota membabitkan empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Bukit Katil dan Jalan Kubu tiba di lokasi selepas menerima panggilan daripada orang awam.

“Api berjaya dikawal kira-kira 10.33 malam dan padam sepenuhnya tepat 11 malam.

“Kira-kira 90 peratus rumah berkenaan hangus, kecuali bahagian dapur,” katany

Penutup besi kumbahan dicuri



BANDAR DARULAMAN - Kecurian penutup besi pada tempat saluran kumbahan di belakang rumah penduduk di Taman Tengku Maheran yang kian menjadi-jadi semakin membimbangkan penduduk di situ.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa rumah penduduk di situ mendapati banyak besi penutup yang menutup tempat saluran kumbahan hilang dipercayai dicuri individu tidak bertanggungjawab.

Penduduk, Azizah Ariffin, 50, berkata, kejadian itu sudah berlarutan sejak beberapa bulan lalu dan ia melibatkan beberapa rumah penduduk di sini terutamanya ketika penghuni tiada di rumah.

Menurutnya, bukan itu sahaja malahan kegiatan itu turut dilakukan pada waktu lewat malam bagi mengelak daripada dikesan penghuni rumah yang kebanyakannya sudah nyenyak tidur di rumah pada waktu itu.

“Saya pernah terdengar beberapa kali bunyi seolah-olah orang sedang memanjat pagar dan apabila melihatnya di bahagian luar hanya ternampak kelibat orang yang membawa penutup berkenaan bersamanya berlari dengan pantas meninggalkan kawasan rumah penduduk.

“Pada mulanya saya fikir ia hanya sekali sahaja, tetapi apabila siang mendapati terdapat beberapa penduduk turut mengeluh menghadapi masalah sama,” katanya kepada Sinar Harian.

Azizah berkata, penduduk di situ semakin bimbang jika kejadian itu berulang malah ia menjejaskan keselamatan mereka.

“Ia membahayakan ahli keluarga terutamanya kanak-kanak yang bermain di belakang rumah boleh terjatuh ke dalam lubang berkenaan gara-gara penutupnya dicuri.

“Mungkin sekarang kecurian di luar rumah, mana tahu jika dibiarkan masalah seperti itu boleh menyebabkan kecurian harta benda lain di kawasan rumah penghuni terutamanya semasa ketiadaan penghuni,” katanya.

Sementara itu, Zakiah Ahmad Zakaria, 45, berkata, penduduk di situ berharap pihak berkenaan dapat memantau masalah itu sekali gus mengurangkan kadar jenayah di kawasan perumahan terbabit.

“Saya berharap masalah ini dapat dicegah sebelum ia melarat sehingga menyebabkan lebih ramai penduduk menghadapi masalah sama selain kecurian harta benda lain pada masa akan datang,” katanya.

Parah angkara baran suami




AYER KEROH - Angkara sikap baran suami, seorang isteri kini menderita akibat sering didera sehingga patah tangan kiri selepas dipukul dengan batang besi mesin penyedut hampagas, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira 7 pagi di hadapan rumahnya di Taman Desa Seri Merbau, Jasin itu, P Packiahlakshimi, 39, dipukul teruk hanya kerana mahu menjemput pulang empat daripada lima anaknya di rumah mertua yang terletak berhampiran.

Isteri malang itu mendakwa, suaminya berusia 43 tahun enggan membenarkannya membawa pulang anaknya ke rumah sendiri dan bertindak mengheretnya ke rumah, selain menarik rambut sehingga putus serta menyepak mukanya.

“Kejadian ini bermula pada tengah malam dan sebaik saya sekali lagi pergi ke rumah mertua pada 2 pagi tetapi masih tidak dibenarkan berjumpa dengan anak.

“Pada 7 pagi, saya sekali lagi dipukul suami dan kali ini dengan batang besi mesin penyedut hampagas pula.

“Saya berkali-kali merayu supaya tidak mencederakan saya tetapi dia terus memukul saya di bahagian badan dan tangan sehingga patah.

“Dalam keadaan sakit, saya berjalan kaki seorang diri pergi ke Hospital Jasin,” katanya.

Akibat kecederaan itu, Packiahlakshimi dirujuk ke Hospital Melaka untuk menjalani rawatan lanjut pada tangan kirinya yang patah dan ditahan wad sehingga kelmarin.

Dia pernah membuat beberapa laporan polis di Balai Polis Daerah Jasin sejak kejadian pada 2007 dan terbaru pada Sabtu lalu.

Packiahlakshimi yang dalam keadaan tangan kiri bersimen turut merujuk masalahnya kepada Pengarah Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) Melaka, semalam.

Pengarah Pembela BN, Amir Hamzah Aziz berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib Packiahlakshimi.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka akan memberikan tempat perlindungan sewajarnya untuk Packiahlakshimi bersama anak-anaknya dan bantuan kebajikan segera," katanya.

Tercampak ke pembahagi jalan



KULIM - Seorang remaja lelaki, yang baru memulakan pekerjaannya di Taman Perindustrian Sungai Lembu, maut apabila motosikal jenis Modenas yang ditunggangnya dirempuh oleh motosikal jenis Suzuki RGV 125 di persimpangan Taman Penaga kira-kira jam 12.55, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, P Kartigayan, 17, dilaporkan maut dalam perjalanan ke Unit Kecemasan Hospital Kulim.

Menurutnya, waris mangsa memaklumkan, mangsa merupakan anak bongsu dari empat adik beradik. Mangsa dalam perjalanan balik ke rumahnya di Taman Tengku Putera setelah tamat waktu bekerja.

“Mangsa dipercayai keluar dari selekoh tanpa berhenti sebelum dirempuh oleh penunggang motosikal lain dari arah Pekan Kulim.

Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke pembahagi jalan kira-kira sejauh dua meter.

“Pihak kami turut mendapati mangsa tidak mempunyai lesen memandu yang sah dan menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar,” katanya.

Beliau berkata, mayat Kartigayan kemudiannya di hantar ke bilik mayat Hospital Kulim untuk bedah siasat.

“Penunggang yang merempuh mangsa tercedera dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Polis akan menyiasat kes ini mengikut seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Ratusan novel hangus



BEDONG – Kira-kira 500 biji kelapa dan 500 buah novel milik peniaga santan hangus dalam kebakaran termasuk enam buah kedai lain di Pekan Bedong, di mana anggaran kerugian mencecah ratusan ribu ringgit dalam kejadian jam 2.30 pagi semalam.

Mangsa, Anior Zamani Saad, 44, dari Bukit Selambau berkata, dia menerima panggilan mengenai kejadian dan bergegas untuk melihat apa yang berlaku namun sebaik sampai ke lokasi mendapati lima mesin santan, motosikal, peti ais dan barangan perkakasan lain disimpan dalam kedai hangus.

Menurutnya, ratusan novel yang disimpan sejak 10 tahun lalu turut musnah dan tidak dapat diselamatkan.

“Saya telah menjalankan perniagaan di sini sejak 12 tahun lalu dan tidak sangka perkara ini berlaku,“ katanya kepada Sinar Harian semalam.

Selain itu, pemilik kedai bunga, M Mohanraj, 30, berkata, keluarganya menyewa kedai berkenaan sejak 30 tahun lalu dan menjalankan perniagaan bunga hidup serta barangan upacara sembahyang bagi penganut Hindu.

“Kita juga telah menyediakan stok barangan keperluan untuk sambutan Deepavali yang akan diraikan dalam masa sebulan dari sekarang,” katanya.

Menurutnya, kejadian yang menimpa sangat menyedihkan kerana mereka kini kehilangan punca pendapatan bukan sahaja terpaksa menanggung isteri dan seorang anak malah hasil perniagaan yang dikongsi bersama adik turut digunakan untuk menyara ibu serta keluarga.

“Saya masih belum fikir apa perancangan akan dibuat selepas ini kerana masih bingung dengan kejadian ini.

“Barangan sambutan perayaan juga banyak yang sudah dibeli selain dokumen penting termasuk surat perjanjian sewa kedai, buku cek dan lesen perniagaan yang disimpan dalam kedai juga musnah,” katanya.

Selain itu, pemilik kedai makan, Velu Ratnam, 47, berkata, sebanyak enam buah kedai musnah dalam kebakaran termasuk dua gerai makan, dua kedai menjual bunga, kedai menjual VCD dan kedai menjual santan.

Hadir sama ke lokasi kejadian ialah Penyelaras Parlimen Merbok, Datuk Tajul Urus Mat Zain dan Penyelaras Parlimen Jerai, Datuk Suhaimi Abdullah.

Tajul berkata, peniaga yang mempunyai masalah modal boleh membuat permohonan kepada Tekun bagi memulakan perniagaan mereka.

“Kita berbincang dengan Majlis Perbandaran Sungai Petani yang akan menjalankan tindakan selanjutnya supaya dapat mempercepatkan pembersihan tapak kebakaran agar dapat memberi keizinan dalam menyediakan khemah sementara buat mangsa meneruskan perniagaan, dan kami turut memberikan sumbangan segera,” katanya.

Menyamar kakitangan JKM



SEGAMAT - Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan segelintir individu tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai kakitangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membuat pemeriksaan di rumah bagi mendapatkan bantuan dari jabatan berkenaan.

Pegawai JKM Daerah Segamat, Khairu Asri Ismail berkata, JKM telah menerima beberapa aduan daripada orang ramai menyatakan kononnya ada :kakitangan jabatan berkenaan yang datang ke rumah dan membuat pemeriksaan di beberapa tempat serta terus mengambil :kesempatan untuk mencuri, sedangkan JKM tidak melakukan perkara sebegitu.

Menurutnya, antara aduan yang telah JKM terima seperti pada tahun lepas di Pekan Jabi, di sini, dan yang terbaru pada tahun ini di Kampung Chodan, Pogoh 3, selain beberapa aduan yang menyatakan hal sama berlaku.

“Aduan terbaru kita terima daripada seorang wanita berumur lingkungan 75 tahun yang didatangi seorang lelaki ke rumahnya dengan menaiki motosikal.

"Lelaki itu mengaku dari JKM dan mahu memeriksa keadaan rumahnya yang dilanda banjir awal tahun ini.

“Setelah masuk ke dalam rumah, lelaki itu meminta butiran peribadi dengan alasan bantuan akan disalurkan dan sekiranya tidak bekerjasama, ia menjadi masalah apabila mangsa datang ke pejabat JKM,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Khairu Asri berkata, JKM tidak akan menyalurkan bantuan atau mengarahkan mana- mana pihak lain atau wakil untuk mengambil butiran peribadi selain daripada kakitangan yang telah dilantik khas untuk melaksanakan tugasan berkenaan.

“Perkara ini boleh mengelirukan pandangan sesetengah orang yang telah tertipu dengan tindakan penyamaran ini dan kita juga simpati dengan mangsa yang kebanyakan adalah warga emas.

“JKM menasihatkan kepada orang ramai untuk menghubungi atau datang terus ke pejabat JKM bagi mendapatkan pengesahan sebelum mempercayai individu lain walaupun kita difahamkan individu itu turut menggunakan nama sebenar kakitangan yang bertugas di JKM ini,” katanya.

Menyamar pegawai KDN



SEREMBAN - Jabatan Imigresen negeri mendedahkan tentang kegiatan pihak tertentu cuba mengambil kesempatan menipu pendatang asing tanpa izin (Pati) dengan menyamar sebagai pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Pengarahnya, Faizal Fazri Othman berkata, seorang wanita warga tempatan berumur 40-an ditahan kerana disyaki melakukan kegiatan itu di sekitar Rembau, Jun lalu.

“Suspek dikatakan cuba memperdayakan beberapa Pati sebelum Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja dan Pati atau dikenali Program 6P bermula, 1 Ogos lalu.

“Wanita terbabit dipercayai datang dari Seremban ke Rembau untuk berjumpa Pati bagi mendaftarkan mereka bagi Program 6P,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Dialog Jabatan Imigresen negeri dan syarikat-syarikat terlibat dengan Program 6P di sini, semalam.

Menurut beliau, suspek dipercayai mengenakan bayaran antara RM150 hingga RM500 ke atas setiap Pati dan terdapat sebanyak lapan borang pendaftaran Program 6P bersamanya ketika dia ditahan.

Kata Faizal, wanita berkenaan disyaki menggunakan surat dan dokumen rasmi berkaitan KDN dipercayai palsu untuk mempengaruhi Pati.

“Suspek diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya kerana disyaki terlibat dalam penipuan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 51,673 warga asing didaftarkan menerusi Program 6P di negeri ini, sepanjang Ogos lalu.

“Seramai 37,199 adalah warga asing manakal baki 14,474 merupakan Pati. Kita percaya ada lagi Pati yang gagal mendaftar dan akan melancarkan operasi mengesan mereka,” katanya.

Bangkai ikan penuhi sungai



PONTIAN - Ribuan ikan mati dengan bangkainya yang timbul dan terdampar di Sungai Chengkeh, Kampung Sungai Chengkeh, di sini, awal pagi semalam, dipercayai akibat daripada air sungai yang tercemar.

Bukan itu sahaja, dalam tinjauan yang dilakukan di sepanjang sungai itu turut mendapati hidupan lain seperti siput, ketam dan lokan juga ditemui mati.

Seorang penduduk Abdul Hamid Ahmad, berkata, kejadian itu adalah pertama kali berlaku melibatkan keseluruhan Sungai Chengkeh yang berhubung terus dengan Sungai Pulai.

Menurutnya, sejak menjadi nelayan, itulah kejadian terburuk pernah berlaku yang mengakibatkan nelayan terjejas mata pencarian.

“Sehari sebelum kejadian, penduduk ada memberitahu banyak udang terdampar di tepi sungai, tetapi hari ini (semalam), ikan pula yang menjadi mangsa.

“Selain itu, hidupan laut lain seperti ketam, lokan dan sebagainya turut mati di kawasan bakau di pesisir sungai ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, air sungai turut tercemar berdasarkan kepada bau airnya yang busuk dan berwarna hitam yang dipercayai punca hidupan air di sungai terbabit mati.

Sementara itu, Ismail Johor berkata, kebanyakan yang mati itu adalah anak-anak ikan dan keadaan itu merisaukannya mengenai kesan jangka panjang terhadap mata pencariannya sebagai seorang nelayan.

“Habis semua ikan belanak, tilapia, sembilang, siding, kitang dan mati, termasuk anak-anak ikan yang masih kecil,” katanya.

Dia juga percaya ikan-ikan itu mati akibat keracunan berdasarkan kepada insang ikan yang kebiruan dan agak keras.

Sehubungan dengan itu, nelayan di kawasan Sungai Chengkeh meminta tindakan segera diambil bagi mencari punca sebenar kejadian dan mengenal pasti langkah-langkah yang perlu supaya kejadian yang sama tidak berulang.

Ketua Pengkalan Jeti Nelayan Sungai Chengkeh, Wahab Hussein, 65, yang ditemui di Tanjung Bin berkata, pihaknya berasa kesal dan kecewa dengan keadaan yang berlaku di sungai terbabit.

“Kejadian ini adalah yang paling teruk dan menjejaskan punca rezeki kira-kira 50 nelayan di sini,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya meminta agar pihak yang berkenaan termasuk Jabatan Alam Sekitar dapat memberikan penjelasan.

Sementara itu, Ketua Perikanan Daerah Pontian, Sidek Adnan berkata, pihaknya telah menghubungi Jabatan Alam Sekitar dari Johor Bahru dan siasatan yang lebih terperinci akan dilakukan.

Beliau turut mengambil contoh air dan akan diserahkan kepada bahagian penyelidikan Jabatan Perikanan di Gelang Patah.

“Perkara ini masih lagi dalam siasatan bagi mencari punca sebenar ikan-ikan mati di Sungai Chengkeh ini,” katanya.

Kereta terbang rempuh laluan sebelah



SERI KEMBANGAN – “Keadaan sangat mencemaskan apabila saya nampak sebuah kereta terbang dari arah bertentangan merempuh pembahagi jalan sebelum bertembung kenderaan di depan saya,” kata Hasmazira Husain, 32, saksi kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Putra Permai di sini tengah hari kelmarin.

Hasmazira yang juga seorang jururawat berkata, dia melihat sendiri kereta Proton Wira yang terbabas menghala ke arah Taman Equine itu menghempap sebahagian kereta mangsa jenis Proton Saga BLM yang maut sebelum berpusing beberapa kali dan terbabas di tengah laluan.

“Beberapa kilometer sebelum sampai ke tempat dituju, saya panik apabila bertembung dengan sebuah kereta yang memasuki laluan bertentangan dan merempuh kereta dipandu seorang lelaki di depan saya,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan kelam kabut itu, kereta jenis Perodua Viva miliknya yang turut dilanggar pemandu hilang kawalan terbabit diberhentikan di tepi jalan untuk melihat keadaan pemandu di kereta depan.

“Saya dapati pemandu tersepit dan orang ramai yang berada di tempat kejadian juga gagal mengeluarkan mangsa.

“Selepas beberapa minit. bomba tiba di tempat kejadian mengeluarkan mangsa dan saya sendiri turut memberi rawatan kepada mangsa,” katanya mangsa yang patah kaki, tangan serta mengalami kecederaan teruk di bahagian dada dikejarkan ke hospital oleh ambulans yang tiba beberapa minit kemudian.

Sementara itu, jurucakap polis Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang berkata, mangsa, Chow Yik Loong, 61, bagaimanapun disahkan meninggal dunia selepas enam jam menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Serdang.

Katanya, pemandu kereta Proton Wira hanya mengalami kecederaan ringan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Saksi diminta hubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Serdang, Inspektor Nur Azam Shah Md Aziz di talian 03-89422222 atau 0169055595 untuk membantu siasatan,” katanya.

Almari, pakaian terbakar angkara mercun



KOTA BHARU - Angkara mercun yang dipercayai tersesat masuk ke sebuah rumah kedai di Kampung Tapang, sebahagian almari dan pakaian di tingkat atas premis terbabit musnah dalam kebakaran di sini, malam kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, disedari anak pemilik rumah kedai terbabit, Alif Hafriz Zulkifli, 26, setelah dimaklumkan jirannya menerusi telefon.

“Pada kebiasaannya saya sering tidur di kedai ini setiap hari untuk menjaga kedai runcit ini yang merupakan milik datuk.

“Keluarga saya tidak tinggal di sini dan hanya meninggalkan pakaian lama dan beberapa buah almari di tingkat atas lagipun rumah kami tidak jauh dari sini hanya 20 meter dari kedai ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, pada hari kejadian kedai terbabit ditinggalkan kosong dan dia bercadang datang semula ke kedai untuk tidur di kedai terbabit pada jam 11 malam.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba Kota Bharu, Yazulia Yahya berkata, panggilan diterima kira-kira jam 9.46 malam dan tiba tempat kejadian kira-kira jam 9.51 malam.

”Tiga jentera balai Kota Bharu dihantar ke tempat kejadian. Punca kebakaran masih disiasat,” katanya.

Keluarga mangsa tuntut polis siasat

JOHOR BAHRU - Keluarga mendiang S Vijayaratnam, 47, yang maut ditetak dalam kejadian samun di rumahnya di Masai, 6 September lalu, menuntut polis melakukan siasa-tan motif jenayah berkenaan.

Anak sulung mangsa, V Nishindren, 18, berkata, kejadian perlu disiasat sama ada, motif cemburu atau dendam.

Menurutnya, mungkin ada pihak yang cemburu dengan kejayaan perniagaan perkapalan mendiang bapanya sehingga membawa kepada tragedi terbabit.

“Mendiang bapa memiliki perniagaan sub kontraktor berkaitan perkapalan di Pulau Jerjak, Pulau Pinang sejak tujuh tahun lalu dan berulang setiap minggu ke rumah.

Selain itu, Nishindren berkata, ibunya, G Vijayalakshmi, 45, yang parah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Pakar Regency, Pasir Gudang, dilaporkan stabil.

Terdahulu, Vijayaratnam mati akibat kecederaan parah selepas ditetak penjenayah, menceroboh kediamannya.

Penjenayah kemudiannya melarikan diri , menggunakan kereta jenis proton Perdana milik Vijayaratnam.

Bagaimanapun, seorang daripada penjenayah mati, manakala rakannya parah selepas kereta dinaiki merempuh pokok, dua lagi penjenayah masih lagi diburu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintendan Saifi Abdul Hamid berkata, suspek yang parah akan direman bagi membantu siasatan.

Penyamun berbaju Melayu



KUANTAN – Seorang suri rumah terkejut apabila dikunjungi dua lelaki tidak dikenali lengkap berpakaian baju Melayu ketika dia sedang menyapu sampah dan membersihkan halaman rumahnya di Sungai Koyan dekat Lipis, kelmarin.

Lebih menghairankan, tetamu asing yang berpura-pura tersalah rumah untuk berkunjung itu agak pelik kerana membawa bersama sebilah parang.

Keraguan wanita berusia 35 tahun itu berasas, apabila ‘tetamu’ yang kononnya mencari rumah ‘Mak Cik Jenab’ itu sebenarnya perompak.

Kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu menyebabkan suri rumah tersebut kerugian apabila rantai leher yang dipakai ketika kejadian lesap di kebas penyamun terbabit.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (Risikan dan Operasi) Superintenden Nordin Mustapha berkata, ketika kejadian mangsa sedang menyapu sampah di halaman rumah bersendirian manakala suami dan anak-anak berada di dalam rumah.

Menurutnya, mangsa mendakwa ternampak kedua-dua suspek itu beberapa kali melintasi rumahnya dengan menaiki sebuah motosikal sebelum memberhentikan kenderaan tersebut dan menghampirinya.

“Salah seorang suspek yang memakai baju Melayu itu menghampiri mangsa dan pura-pura bertanyakan rumah ‘mak cik jenab’ untuk pergi beraya.

“Mangsa yang cuba membantu tiba-tiba terkejut apabila salah seorang suspek cuba meragut rantainya dan dia bertindak melawan untuk menghalang tindakan penyamun itu sehingga berlaku pergelutan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Katanya , mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Sungai Koyan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Polis kini sedang mengesan dan memburu ke dua-dua suspek yang berusia lingkungan 20 hingga 30an itu,” katanya.

Mangsa tergamam parang atas kepala

LiPIS - “Saya tergamam dan tidak dapat berbuat apa-apa bila perompak tersebut meletakkan pisau pemotong daging ke atas kepala kemudian merentap seutas rantai leher yang saya pakai.

Demikian kata, Ana (bukan nama sebenar) ketika menceritakan detik awal kejadian dua perompak yang memakai baju Melayu dan menaiki motosikal RXZ yang melarikan rantai leher miliknya kira-kira jam 9.45 pagi di halaman rumahnya di Sungai Koyan, dekat sini, kelmarin.

Menurutnya, ketika kejadian berlaku dia bersama anak bongsunya sedang membersihkan kawasan sekitar rumah sebelum di datangi dua lelaki berusia sekitar 30-an.

“Ketika sibuk mengemas kawasan laman rumah, saya perasan sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki mengelilingi sekitar blok ini namun tidak memikirkan sesuatu yang buruk kerana beranggapan mereka sedang mencari rumah kenalan.

“Tidak lama kemudian mereka masuk ke halaman rumah saya dan bertanyakan rumah makcik Zainab. Baru sahaja saya ingin menanyakan soalan lebih lanjut tiba-tiba saya dikejutkan dengan serangan dari salah seorang lelaki berkenaan yang mengacu pisau pemotong daging di atas kepala,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Ana berkata, dia terkejut dan tidak dapat berbuat apa-apa ketika perompak berkenaan merentap rantai leher miliknya sebelum beredar pergi begitu sahaja.

“Selepas mengambil rantai leher saya, perompak berkenaan berjalan seperti biasa tanpa rasa bersalah. Mereka kemudiannya memecut motosikal menuju ke jalan besar.

“Saya yang seolah-olah baru tersedar dengan kejadian itu terus menjerit nama suami dan emak. Kami kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Koyan,” katanya.

Ana berkata, walaupun masih trauma dengan kejadian tersebut tetapi dia bersyukur kerana tidak berlaku sebarang kecederaan kepadanya.

“Saya memikirkan banyak perkara andai perompak berkenaan mengapa-apakan saya menggunakan pisau pemotong daging tersebut. Tambahan pula anak bongsu saya ada bersama ketika kejadian tersebut berlaku.

“Buat masa sekarang saya masih fobia untuk melakukan kerja-kerja di halaman rumah dan akan sentiasa berhati-hati walaupun berada di rumah sendiri,” katanya.

Lelaki mati minum racun rumpai, manakala teman wanitanya stabil

SEREMBAN - Seorang lelaki berusia 28 tahun ditemui mati dipercayai meminum racun rumpai di rumah sewanya di Taman Bunga Sejati, Kampung Nyatoh, Rantau dekat ini, hari ini.

Lelaki itu dikenali sebagai A. Soraj alias Muhammad Faizal Raj Abdullah. Teman wanitanya yang berusia 18 tahun dipercayai turut meminum racun berkenaan namun keadaannya stabil.

Jiran mangsa, Suthir Babu, 26, berkata, apabila sampai ke rumah setelah habis bekerja pada pukul 8 pagi, dia terdengar kedua-dua mangsa mengerang kesakitan.

"Saya bergegas ke rumah mangsa dan mendapati mangsa dan seorang wanita mengerang kesakitan. Saya dan seorang lagi jiran segera mengangkat kedua-dua mangsa ke dalam kereta mangsa untuk dihantar ke hospital," katanya.

Bagaimanapun, Suthir berkata usaha mereka gagal berikutan enjin kereta mangsa tidak dapat dihidupkan.

"Ketika itulah saya dapati mangsa (Soraj) telah meninggal dunia manakala mulutnya berbuih. Saya kemudian menghubungi polis dan ambulans untuk membawa mereka ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban," katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Supt Yusof Awang ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya polis sedang menyiasat kejadian itu termasuk status hubungan kedua-dua mangsa.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan Soraj dan teman wanitanya kecewa apabila hubungan cinta mereka dikatakan mendapat tentangan keluarga.- Bernama

Lelaki OKU mati akibat dipukul hanya kerana meminta rokok

KUALA LUMPUR: Hanya kerana ingin meminta rokok, seorang lelaki kelainan upaya (OKU) mati akibat dipukul seorang lelaki dengan rotan berhampiran sebuah kelab di Sungai Besi dekat sini Sabtu lepas.
Mangsa yang berumur 59 tahun mati kira-kira pukul 10 pagi semalam di Hospital Kuala Lumpur setelah enam hari dilaporkan tidak sedarkan diri.
Ketua Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata berdasarkan hasil laporan awal pihak hospital, mangsa dikatakan mati akibat jangkitan paru-paru tetapi polis masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa.

Beliau berkata dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa dikatakan telah memarahi suspek kerana enggan memberi rokok kepadanya.


"Suspek kemudiannya berang dengan kelakuan mangsa sebelum bertindak mengambil sebatang rotan di dalam bonet keretanya dan memukul mangsa berkali-kali," katanya di sini hari ini.

Ku berkata abang mangsa membuat laporan polis pada hari kejadian.

Beliau berkata suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Polis tidak menolak kemungkinan ketika kejadian suspek berada di bawah pengaruh alkohol, katanya.- BERNAMA

Sembilan maut dalam nahas kapal terbang di Bolivia

LA PAZ: Pasukan penyelamat tidak menjumpai mangsa yang terselamat dalam bangkai kapal terbang kecil yang hilang awal minggu ini dan terhempas ketika membawa sembilan orang, kata pihak berkuasa penerbangan Bolivia.

Pesawat syarikat Aerocom membawa tujuh penumpang dan dua krew dalam perjalanan dari bandar di timur Bolivia, Santa Cruz menuju Trinidad apabila tiba-tiba hilang dari radar Selasa lalu.
"Pasukan penyelamat sampai di tempat kejadian pada sebelah petang dan mengesahkan tiada mangsa terselamat," kata Pengarah Penerbangan Negara Bolivia dalam kenyataan. - AFP

Anggota polis patah kaki ketika kejar suspek kes ragut

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis patah kaki dan mengalami komplikasi pendarahan dalaman akibat terjatuh daripada motosikalnya yang ditendang dua suspek kes ragut ketika mengejar mereka, di sini semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh, berkata dalam kejadian 1 petang itu, Konstabel Mohd Hafiz Hashim, 23, dan seorang lagi anggota polis menunggang motosikal berasingan, meronda di sekitar Jalan P Ramlee.
"Mereka kemudian melihat dua lelaki menaiki sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan dan cuba melarikan diri apabila ternampak mereka, menyebabkan dua anggota terbabit mengejar," katanya kepada pemberita selepas melawat Mohd hafiz di Hospital Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Beliau berkata, suspek yang berusia lingkungan 20-an itu bertindak menendang motosikal yang ditunggang Mohd Hafiz menyebabkan motosikal beliau dan juga suspek terjatuh.

Katanya, akibat kejadian itu, seorang daripada suspek mengalami kecederaan di badan manakala rakannya melarikan diri.

"Dengan kerjasama daripada seorang pemandu teksi yang kebetulan berada di kawasan itu, suspek yang cedera berjaya ditahan," katanya.

Mohmad berkata, suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau, kini menerima rawatan di hospital yang sama dan akan ditahan reman.
Katanya, polis juga sudah mengenal pasti identiti seorang lagi suspek dan sedang menjejakinya.

Mengulas perkembangan berkaitan, Mohmad memuji tindakan pemandu teksi tersebut yang membantu polis membanteras jenayah dan berharap lebih ramai orang awam memberi kerjasama serupa. - BERNAMA 

Dua beradik ditemui bunuh diri

IPOH: Dua beradik ditemui mati tergantung dipercayai bunuh diri di rumah mereka di nombor 24, Taman Lahat Baru, di sini, kira-kira jam 11 pagi tadi.

Mangsa dikenali Hew Hong Weh, 38, dan Hew Kong Chen, 43.

Pemandu nyaris maut kontena terbakar

SUNGAI PETANI: Seorang pemandu kontena terlepas daripada maut selepas diberitahu tayar lori yang dipandunya terbakar di Kilometer 89.7 di Lebuhraya Utara-Selatan dekat sini, hari ini.

Mohamad Fauzi Marzuki, 29, bernasib baik kerana tayar kiri belakang lori kontena itu yang mengandungi muatan kayu seberat 25 tan tidak meletup semasa terbakar.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seorang pemandu wanita kerana memotong di KM80 untuk memberitahu mengenai kebakaran itu kira-kira 11 pagi," katanya kepada pemberita semasa ditemui di tempat kejadian.
Mohamad Fauzi dari Changlun, Kedah, memberitahu beliau terus berhenti di tepi lebuh raya untuk memeriksa lorinya.

"Sebaik berhenti saya melihat api sedang marak dan tiba-tiba tayar tersebut meletup. Saya kemudian memisahkan kepala lori daripada kontena," katanya.


Menurutnya beliau dalam perjalanan dari Bukit Kayu Hitam ke Pelabuhan Pulau Pinang untuk menghantar kayu terbabit.
Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Khairil Syamsul Mohd Yusof berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 11.01 pagi dan tiba di tempat kejadian dalam masa 19 minit.

Katanya, tiga buah jentera, dua dari Sungai Petani dan sebuah dari Guar Chempedak dengan anggota berjumlah 14 orang dikejarkan ke tempat kejadian dan mendapati kira-kira 30 peratus daripada kontena itu sedang terbakar.

"Anggota Bomba mengambil masa hanya beberapa minit untuk memadam api," kata Khairil Syamsul dan menambah punca kejadian masih disiasat. - BERNAMA 

Pujuk, paksa beli telefon tiruan



KLANG - Memujuk dan memaksa untuk membeli, itu antara taktik digunakan beberapa kumpulan lelaki yang bertindak mengaburi orang ramai dengan penjualan telefon bimbit tiruan di pintu masuk sebuah pasar raya, di sini.

Pujukan itu dilakukan beberapa kali sehingga mangsa bersetuju untuk membeli telefon berkenaan pada harga yang dianggap berpatutan.

Sinar Harian sempat menemui beberapa mangsa yang mendakwa terpaksa membeli telefon yang dijual kumpulan berkenaan yang rata-ratanya dianggotai lelaki warga Indonesia kerana khuatir terus diekori.

Salah seorang mangsa yang ingin dikenali Aizura, 27, berkata, dia pernah diekori kumpulan itu hanya kerana enggan membeli telefon yang ditawarkan.

Menurutnya, bersama seorang rakan, mereka menolak tawaran yang cuba dibuat kumpulan itu dengan cara baik, namun terus diekori hingga menimbulkan rasa takut.

“Ketika kami tiba di pintu masuk pasar raya itu, kami disapa dua lelaki sambil menawarkan beberapa telefon bimbit di tangan pada harga potongan, tanpa mempedulikan mereka, kami terus masuk, namun kedua-duanya mengekori sambil berusaha memujuk dengan tawaran harga menarik.

“Sepanjang berada dalam pasar raya itu, kami terus diekori dan diperhatikan dari jauh,” katanya.

Aizura berkata, gara-gara takut dengan ‘ancaman’ kumpulan itu, dia segera beredar keluar, namun sempat disergah salah seorang lelaki berkenaan.

“Kerana terlalu takut, saya mengambil salah satu telefon bimbit jenis N97 yang mereka tawarkan lalu membuat bayaran RM650 kerana tidak mahu lagi diekori,” katanya.

Menurutnya, dia percaya telefon berkenaan adalah tiruan kerana mengalami kerosakan meskipun baru digunakan.

“Saya harap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang mengambil kesempatan dengan menipu mangsa terutamanya wanita. Kami terpaksa membeli telefon itu bukan kerana berminat, tetapi kerana takut diperlakukan sesuatu,” katanya.

Tinjauan yang dibuat di pekarangan pasar raya itu mendapati, beberapa lelaki kelihatan seakan mencari peluang memujuk orang ramai, malah sempat menegur salah seorang wartawan sambil menawarkan telefon dengan harga murah.

Selama beberapa minit melayan salah seorang penjual, Sinar Harian cuba menemui penjual telefon bimbit yang sah di sebuah kedai pasar raya berkenaan.

Rata-rata mereka mendakwa, aktiviti penjualan telefon tiruan sudah lama dijalankan di kawasan itu.

Difahamkan, kebanyakan mereka membeli telefon tiruan daripada kedai lain sebelum menjual kepada pelanggan dengan cara memujuk dan memaksa.
-SH

20 rumah kongsi hangus



SERDANG PERDANA – Pekerja buruh binaan projek pusat beli-belah baru di Serdang Perdana di sini tinggal sehelai sepinggang apabila kesemua 20 unit rumah kongsi yang didiami mereka selama ini hangus dalam kejadian kebakaran tengah hari, semalam.

Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira 45 minit selepas mereka meninggalkan rumah ketika waktu rehat untuk menyambung semula kerja pembinaan di kawasan berhampiran.

Api marak dan merebak dengan pantas menyebabkan tiada barangan dapat diselamatkan berikutan rumah kongsi dibina dengan papan dan mudah terbakar.

Ketua Balai Bomba Serdang, Timbalan Penguasa Bomba Zolkipli Sailan berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 1.47 petang sebelum tiga jentera dan satu lori tangki air masing-masing dari Balai Bomba Seri Kembangan, Bangi dan Sungai Besi tiba kurang 10 minit di tempat kejadian.

Sebaik tiba menurutnya, api marak dan hanya berjaya dikawal 24 minit selepas operasi pemadaman dimulakan. Api berjaya dipadamkan sepenuhnya 30 minit selepas itu.

“Kami difahamkan kejadian berlaku selepas pekerja yang mendiami rumah kongsi itu keluar untuk ke tempat kerja masing-masing yang tidak jauh dari situ selepas tamat waktu rehat.

“Kebakaran menyebabkan kesemua 100 peratus bahagian rumah kongsi musnah dan gagal diselamatkan,” katanya yang memberitahu operasi membabitkan 26 keanggotaan termasuk pegawai dan anggota.

Beliau berkata, siasatan punca kebakaran akan dijalankan pihak bomba untuk mengenal pasti bagaimana tragedi itu berlaku.

“Kerugian masih tidak diketahui manakala punca kejadian kebakaran masih lagi dalam siasatan,” katanya kepada Sinar Harian
-SH

Dicerai selepas lahirkan anak



RAWANG – Seorang suri rumah hilang tempat berpaut apabila diceraikan suaminya selepas melahirkan anak ketiga.

Dia yang baru berpantang hari keenam kelihatan masih bersedih kerana perlu membesarkan tiga anak tanpa mempunyai pekerjaan tetap.

Sejak berhenti kerja sebagai penyelaras jualan di sebuah kilang komponen penghawa dingin kereta di Taman Sri Gombak Februari lalu, dia mencari pendapatan sampingan dengan membuat donat dan kek cawan untuk dijual di sekolah.

“Tetapi untuk bulan ini (tempoh berpantang) saya tidak dapat membuat kuih. Jika tidak hasil jualan diterima antara RM150 dalam seminggu.

“Saya bernasib baik tuan rumah ini membenarkan saya membayar duit sewa rumah berdasarkan kemampuan.

“Cuma ansuran bayar kereta RM300 lebih sebulan sudah tertunggak empat bulan sehingga kini kerana tidak mampu dijelaskan,” katanya semasa lawatan Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Taman Tun Teja, Mohd Shafie Taslim menemui keluarganya.

Menurutnya, dia berdepan kesukaran membuat tuntutan nafkah bagi anak pertama dan keduanya (berusia 12 dan 11 tahun) daripada bekas suami pertama kerana tidak mampu turun naik mahkamah kerana sebelum ini bekerja.

Katanya, dia juga ‘tidak kuasa’ membuat tuntutan sama dengan suami keduanya sekarang untuk anak baru dilahirkan, kerana biasa hidup berdikari.

“Kali terakhir saya berhubung dengan suami kedua pun sebelum raya lalu, kerana dia hendak meminjam kereta untuk bersama anaknya pulang berhari raya. Tetapi saya tidak benarkan.

“Bagi saya jika mereka (bekas suami pertama dan kedua) tahu tanggungjawab, mereka akan beri (nafkah) sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya yang tinggal di Apartmen Taman Tun Teja, di sini selepas habis pantang nanti, dia akan cuba menyelesaikan kes dihadapinya di Mahkamah Syariah.

Katanya, dia yang berasal dari Pulau Pinang mempunyai saudara di sini, tetapi tidak mahu menyusahkan mereka.

Sementara itu Mohd Shafie berkata, kesulitan dihadapi Fatimah akan dipanjangkan ke perhatian pihak dan agensi berkaitan.

Mereka yang prihatin membantu keluarga ini boleh email ke jkptamantunteja@yahoo.com.my atau facebook, JKP Taman Tun Teja Rawang.
-sh

Dua remaja kena bon

SHAH ALAM – Dua remaja bawah umur dikenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun dengan jaminan RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas didapati bersalah merogol seorang pelajar berusia 14 tahun, empat tahun lalu.

Sementara seorang rakan mereka dijatuhi hukuman penjara 11 tahun dengan empat sebatan bagi kesalahan sama.

Hakim, Slamat Yahya membuat keputusan itu, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap dua remaja itu masing-masing berusia 15 tahun dan 17 tahun serta penganggur, Mohamad Firdaus Esa, 23.

Slamat memerintahkan hukuman penjara Mohamad Firdaus berkuat kuasa pada tarikh dia ditangkap, 1 April 2008.

Mohamad Firdaus didapati bersalah merogol remaja tingkatan tiga berkenaan di sebuah rumah kosong di Golden Villa Kondominium, Jalan Temenggong 37/KS7, Taman Sejahtera, di sini, pada jam 2 pagi hingga 4 petang, 3 Mac 2008.

Remaja berusia 15 tahun tersebut menghadapi dua tuduhan merogol mangsa sama, di tempat sama pada 3 dan 6 Mac 2008, antara jam 2 pagi hingga 11 pagi.

Manakala remaja 17 tahun itu merogol remaja terbabit, pada jam 3 petang, 6 Mac 2008 di tempat sama.

Diugut dengan parang

KUANTAN: Seorang suri rumah berdepan detik cemas apabila diugut dengan parang oleh dua penjenayah ketika mangsa cuba mempertahankan rantai lehernya daripada diragut lelaki berkenaan dalam kejadian di Sungai Koyan, Raub, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa berusia 35 tahun kerugian RM7,000 apabila rantainya dilarikan suspek berikutan bimbang dicederakan sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan Nordin Mustapha, berkata sebelum kejadian, mangsa sedang menyapu sampah di laman rumahnya manakala suami dan anak-anaknya berada dalam rumah.

“Menurut mangsa, suspek yang berbaju Melayu dan menaiki motosikal jenis Yamaha RXZ merah dilihat lalu-lalang di depan rumah, namun tidak mengesyaki apa-apa,” katanya ketika ditemui media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, semalam.

Menurutnya, suspek kemudian mendekati mangsa konon mahu bertanyakan rumah seseorang, namun mangsa tidak mengenali nama diberikan sebelum tiba-tiba seorang daripada suspek cuba merentap rantai dipakai.

Sorok ganja dalam kereta


PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim (dua kiri) menunjukkan ketulan dadah mampat jenis ganja bernilai RM2.6 juta yang dirampas dalam beberapa serbuan di sekitar ibu kota ketika sidang akhbar di Bukit Aman di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA


KUALA LUMPUR: Sindiket dadah antarabangsa kini bukan saja menjadikan wanita warga Thailand sebagai umpan mengaburi mata pihak berkuasa, tetapi turut menukar taktik menggunakan jalan darat untuk menyeludup dadah ke negara ini melalui pintu masuk sempadan.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, sepanjang minggu ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya menumpaskan beberapa sindiket penyeludupan dadah terbesar menjadikan nilai rampasan mencecah RM2.6 juta.

Menurutnya, serbuan pertama pada Selasa lalu menahan dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Thailand berusia 25 hingga 32 tahun di Bandar Sri Damansara, di sini kira-kira jam 11.15 malam.

“Susulan penahanan itu, polis merampas 60 ketul ganja mampat seberat 54.3 kilogram disorok di dalam beberapa bahagian sebuah kereta Toyota Crown yang sudah diubahsuai.

“Ketulan dadah itu disorok pada bahagian bumper kiri dan kanan kereta serta lantai tempat duduk belakang,” katanya di Bukit Aman di sini, semalam.

Noor Rashid berkata, mereka dipercayai anggota sindiket yang aktif menyeludup dadah dari Thailand untuk pasaran tempatan sejak tiga bulan lalu.


Dalam serbuan berasingan di Jalan Duta, dua lelaki warga Nigeria dan seorang penumpang wanita warga Thailand berusia 28 hingga 41 tahun ditahan di sebuah stesen minyak kira-kira jam 4.15 pagi, semalam.

“Berlaku pergelutan antara polis dan suspek yang cuba melarikan diri selepas kereta yang dipandunya dikepung sepasukan anggota polis.
“Hasil pemeriksaan menjumpai 29 ketul ganja mampat dengan berat 28.1 kilogram yang cuba diseludup masuk ke negara ini,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek kini ditahan reman.

Amukan gila talak

SUNGAI PETANI: Seorang bekas pengawal keselamatan bagai hilang pertimbangan apabila bertindak merampas senapang patah milik bapanya akibat perselisihan faham selepas bekas isterinya yang kini menetap di Perlis didakwa enggan rujuk semula dengannya dalam kejadian amuk di Kampung Teluk Wang Besar, di sini, semalam.
Berikutan keengganan bekas isterinya itu, lelaki berusia 30-an terbabit dikatakan mengamuk kira-kira jam 3.30 petang.

Sumber berkata, sebelum kejadian, lelaki berkenaan bertengkar dengan adik lelakinya apabila dia naik angin secara tiba-tiba lalu masuk ke dalam bilik bapanya yang berusia 60-an dan mengambil selaras senapang patah yang disimpan di dalam almari.

Menurutnya, keadaan berkenaan mengakibatkan kedua ibu bapanya berlari keluar untuk menyelamatkan diri.

“Mengikut maklumat awal, lelaki terbabit dipercayai mengamuk kerana kecewa dengan sikap bekas isterinya enggan rujuk semula selepas pasangan terbabit berpisah kira-kira setahun lalu.

“Lelaki itu sudah dua kali pergi ke Pejabat Agama Daerah untuk mengambil borang, tetapi hasratnya (merujuk semula) tidak mendapat layanan daripada wanita terbabit,” katanya.


Menurutnya, lelaki berkenaan yang turut mempunyai satu tali pinggang peluru dipercayai mengancam akan melakukan tindakan luar dugaan.

Berikutan itu, polis yang dihubungi berikutan kejadian itu, mengepung rumah milik ibu bapa suspek berkenaan sebagai langkah berjaga-jaga, selain mendapatkan bantuan bekas isterinya untuk memujuk lelaki itu agar bagi menyerah diri.
Ketika kejadian, tiga anak lelaki terbabit yang dipeliharanya, berada di rumah ibu saudaranya berhampiran.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Kuala Muda, Deputi Superintendan Ricky Tey berkata pihaknya berjaya menahan lelaki 35 tahun terbabit sebaik dia keluar mencari bekas isterinya yang berada di rumah berhampiran, kira-kira jam 9.50 malam.

Menurutnya, lelaki terbabit tidak membawa sebarang senjata api ketika polis menahannya untuk membantu siasatan.

“Polis turut merampas sepucuk senapang patah dan lebih 30 butir peluru dalam rumah terbabit untuk siasatan dan suspek akan disiasat mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya.

Warga emas cari kayu ditemui mati dalam semak

KUALA LUMPUR: Seorang warga emas berusia 74 tahun meninggal dunia akibat sesak nafas selepas keluar mencari kayu terpakai bagi membuat kraftangan di Jalan Usahawan, Setapak, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, Kamaruddin Mat Zain, 74, dijumpai terbaring di dalam semak di atas timbunan kayu.

Isteri mangsa, Sofia Abu Bakar, 68, berkata, suaminya keluar rumah kira-kira jam 10 pagi mencari kayu terpakai kerana mahu membuat kapal terbang kraftangan.

“Saya berasa tidak sedap hati kerana hingga jam 12 tengah hari suami masih tidak pulang kerana kebiasaannya, arwah pergi selama satu jam saja.

“Perasaan tidak sedap hati saya terjawab apabila seorang jiran yang melalui kawasan itu melihat arwah terbaring dalam semak dalam keadaan tidak bernyawa,” katanya.

Menurutnya, dia bergegas ke tempat kejadian dan terkejut melihat suaminya yang sihat sebelum itu meninggal dunia dalam sekelip mata.


“Sebelum ini, arwah selalu pitam kerana usia yang sudah lanjut, namun tidak menyangka akan pergi meninggalkan saya dan anak secepat ini.

“Tiada tanda pelik sebelum arwah meninggal dunia dan seperti biasa arwah minum air teh dan nasi sebelum keluar melakukan aktiviti memandangkan sudah lama bersara,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Othman Abu Bakar berkata kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Penyamun acu parang kebas wang RM110

KAJANG: Seorang pekerja sebuah kedai serbaneka berdepan detik cemas sejurus seorang lelaki bersenjatakan parang tiba-tiba menyerbu masuk kedai berkenaan dan mengacukan parang sebelum melarikan wang tunai berjumlah RM110 di Taman Bukit Angsana, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa bersama seorang lagi rakan sekerjanya sibuk menyusun barangan dalam kedai berkenaan sebelum didatangi seorang lelaki yang disangkakan pelanggan.

Menurut sumber, sebaik tiba di kawasan kaunter, suspek menghampiri mangsa dan tiba-tiba mencekak kolar bajunya.

“Suspek kemudian menarik mangsa pergi ke kaunter bayaran kedai berkenaan dan memaksanya menyerahkan wang hasil jualan harian kedai berkenaan.

“Mangsa pada mulanya enggan menuruti arahan suspek bagaimanapun terpaksa akur kerana bimbang diri dan rakannya akan dicederakan suspek,” katanya. Sumber berkata, sebaik suspek mendapat wang diinginkan, dia melarikan diri dengan sebuah motosikal yang diletakkan berhampiran premis berkenaan dengan seorang lagi rakan suspek menunggu di luar untuk memerhatikan keadaan.

Katanya, mangsa dan rakannya membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Damai Perdana.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

5 lelaki ‘tawan’ 11 pelanggan

KUALA LUMPUR: Suasana tenang di sebuah restoran makanan laut di Jalan Kuchai Lama, di sini bertukar kecoh apabila lima lelaki bersenjatakan parang ‘menawan’ 11 pelanggan termasuk pemilik premis berkenaan sebelum merampas pelbagai barangan berharga termasuk wang tunai berjumlah kira-kira RM21,200, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, sebuah kereta jenis Honda Accord berwarna kelabu berhenti di hadapan restoran berkenaan sebelum semua suspek tiba-tiba turun lalu menyerbu pelanggan yang sedang menjamu selera.
Pemilik restoran, Cha Cheng Yong, 50, berkata, suspek kemudian meletakkan parang ke leher beberapa pelanggan dan mengugut mereka untuk mengeluarkan semua barangan berharga atau mereka akan bertindak lebih kasar.

“Kami semua ketakutan pada masa itu kerana mereka bersenjatakan parang.


“Kami terpaksa menyerahkan segala barangan berharga termasuklah wang tunai, barang kemas, telefon bimbit, kad bank, jam tangan, malah dokumen penting seperti kad pengenalan dan lesen memandu pun mereka rampas,” katanya

Geng Zulaikha untung besar

KUALA TERENGGANU: Polis melumpuhkan sindiket rangkaian pengedaran dadah besar di negeri ini berikutan tertangkapnya lima individu termasuk sepasang suami isteri yang dikatakan licik dan aktif meraih keuntungan hingga puluhan ribu ringgit seminggu.
Malah, sindiket pengedaran dipercayai daripada Geng Zulaikha itu bukan saja aktif menjalankan kegiatan pengedaran di negeri ini, malah turut memiliki beberapa rangkaian pengedaran di negeri lain membabitkan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang.

Tangkapan membabitkan lelaki berusia 21, 26 dan 34 tahun serta pasangan suami isteri berusia 33 dan 35 tahun itu dilakukan secara berasingan pada Selasa dan Rabu lalu sebelum berjaya merampas dadah jenis pil kuda bernilai RM238,750 dan 21 gram heroin bernilai RM5,000 serta wang tunai RM92,220.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu, Superintendan Roslan Abd Wahid, berkata tangkapan pertama membabitkan lelaki berusia 26 tahun dalam serbuan terhadap sebuah Perodua Myvi di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Padang Hiliran, di sini, Selasa lalu.

Beliau berkata, dalam serbuan diketuai Inspektor Shahrul Effendy pada jam 5.22 petang, suspek yang terkejut dengan kehadiran polis cuba merempuh anggota polis ketika cuba meloloskan diri tetapi gagal apabila polis bertindak pantas dengan memecahkan cermin kenderaan itu.

“Pemeriksaan dilakukan menemui lima botol heroin yang dibungkus dengan surat khabar seberat 21 gram disembunyikan di tempat mengisi barang pada pintu penumpang depan,” katanya.


Menurutnya, soal siasat terhadap lelaki itu membawa polis ke rumahnya di Kampung Padang Palas, Kuala Bekah, di sini, jam 6.45 petang pada keesokan hari.

Katanya, pemeriksaan dalam bilik suspek menemui pil kuda 6,930 biji bernilai kira-kira RM173,250 termasuk disorok dalam kotak makanan ringan.
“Polis merampas wang tunai RM30,670 disembunyikan bersama sebuah motosikal Yamaha RXZ bernilai RM3,000,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, sebelum itu polis menahan lelaki berusia 21 tahun di rumahnya di Kampung Padang Jerat, Pulau Musang, di sini, kira-kira jam 5.45 petang.

“Tangkapan terhadap lelaki terbabit hasil maklumat daripada suspek pertama dan hasil serbuan polis tidak menemui sebarang dadah, sebaliknya merampas pelbagai jenis mercun yang disembunyikan dalam biliknya,” katanya.

Mangsa buli terus diugut

ALOR SETAR: “Anak saya teruk dibelasah, tetapi hukuman kepada penyerangnya hanya buang asrama,” kata Abu Bakar Mohd Salleh, 43, bapa kepada Danial Wafiy Nuruddin, 14, yang kecewa dengan pengurusan sebuah sekolah agama di Jitra kerana didakwa gagal mengambil tindakan tegas terhadap pelajar senior yang memukul anaknya itu.
Dalam kejadian 2 April lalu di asrama lelaki sekolah berkenaan, Danial Wafiy cedera di muka, mulut dan badan selepas dibelasah termasuk dipukul menggunakan kayu kerusi oleh seorang pelajar tingkatan tiga dipercayai bermotifkan cemburu.
Difahamkan, pelajar senior terbabit berang kerana tidak berpuas hati selepas mendapat tahu mangsa dijadikan adik angkat oleh seorang pelajar perempuan tingkatan empat di sekolah itu.

Kejadian itu turut dirakam menggunakan telefon bimbit dan rakaman video dihantar ke telefon bimbit mangsa.


Video selama 50 saat itu menunjukkan mangsa hanya berseluar dalam ditumbuk bertubi-tubi dan disepak sehingga rebah sebelum dipukul berkali-kali di kepala menggunakan sebatang kayu kerusi.

Trio perkosa pelajar kena hukum

SHAH ALAM: Seorang lelaki berstatus suami dihukum penjara tujuh tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini, selepas didapati bersalah merogol pelajar tingkatan empat di sebuah rumah kosong di Klang dekat sini, tiga tahun lalu.
Hakim Slamat Yahya membuat keputusan itu terhadap Mohamad Firdaus Esa, 26, dan memerintahkan hukuman bermula dari 1 April 2008.

Bagaimanapun, dua rakannya yang juga remaja bawah umur pelajar tingkatan empat didapati bersalah atas kesalahan sama masing-masing dan dikenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun dengan jaminan RM5,000 setiap seorang.

Terdahulu, Slamat pada penghakimannya berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan. Sepanjang perbicaraan, seramai 10 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan tampil memberi keterangan. Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga didakwa merogol mangsa di sebuah kondominium di Taman Sejahtera, Klang, pada 3 dan 6 Mac 2008. Bagi setiap pertuduhan, mereka didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Maisarah Kamal, manakala tertuduh diwakili oleh peguam, Pritam Singh Deol dan Aminuddin Mohd Ramli. Terdahulu, pihak pembelaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan mengambil kira latar belakang anak guam mereka. Menurut mereka, tiada bukti menunjukkan bahawa kecederaan dialami oleh mangsa.

Nurul Maisarah bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana perbicaraan kes itu yang sudah melewati tiga tahun dan memakan kos pendakwaan yang banyak.

Beliau berkata, mahkamah juga harus mengambil kira bahawa peruntukan undang-undang melindungi mangsa bawah umur dalam kejadian rogol meskipun perbuatan itu dilakukan atas kerelaan. “Saya pohon satu hukuman berbentuk pengajaran supaya semua tertuduh insaf,” katanya. Difahamkan, mangsa yang lari dari rumah meminta bantuan tertuduh kedua yang juga teman lelakinya. Kekasihnya itu menempatkan teman wanitanya itu di sebuah rumah kosong, sebelum dia dan dua rakannya merogol mangsa.

Kerani bebas pertuduhan

KUALA LUMPUR: “Saya dijadikan sebagai kambing hitam hingga dituduh di mahkamah. Sebenarnya ada dalang di sebalik kejadian ini,” kata bekas kerani sebuah pasar raya besar di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
Zulkhairi Abdullah, 28, berkata demikian selepas dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan pecah amanah membabitkan 150 kampit beras bernilai hampir RM10,000 milik sebuah pasar raya, dua tahun lalu.

Hakim Che Mohamad Zulkifly Jusoh membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

“Tertuduh dibebaskan tanpa perlu membela diri,” katanya.

Dia yang hadir ke mahkamah dengan kemeja ungu kelihatan gembira selepas mendengar keputusan mahkamah itu.

Mengikut pertuduhan, Zulkhairi sebagai pekerja pasar raya itu didakwa pecah amanah dengan memberikan 150 daripada 480 kampit berat jenis Jasmine Super kepada pekerja Jasmine Food Corporation Sdn Bhd untuk dijual tanpa kebenaran pasar raya itu.


Kejadian didakwa berlaku di pasar raya berkenaan di Taman Setiawangsa di sini pada jam 8.30 pagi, 24 Disember 2008 dan jam 10.40 pagi, 27 Disember 2008.

Bagi kesalahan itu, dia yang berasal dari Pendang, Kedah didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan tiga sebatan dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Difahamkan kejadian itu berlaku selepas empat hari Zulkhairi bekerja di situ.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Aishah KM Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam bela, Noor Ariff Delia.

Seramai 11 saksi dipanggil memberi keterangan sepanjang prosiding berlangsung.

Enam berparang kebas mesin wang

SHAH ALAM: Sebuah lagi restoran India Muslim atau mamak dirompak pada awal pagi semalam yang dipercayai dilakukan kumpulan sama dalam kejadian pada 28 Ogos lalu.
Dalam kejadian jam 5.30 pagi semalam, pemilik restoran di Seksyen 24, di sini, Ashraf Ali, 49, berkata, rompakan berlaku terlalu pantas kira-kira dua minit apabila tiga lelaki termasuk bersenjatakan parang meluru masuk ke restorannya.
Menurutnya, seorang daripada suspek itu menetak peti sejuk berisi ais krim menggunakan parang untuk menakutkan pelanggan dan pekerjanya, manakala rakan suspek merosakkan talian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di suis utama.

“Kejadian itu menyebabkan 10 pekerja serta 10 pelanggan lari menyelamatkan diri ke pintu belakang.


“Perompak mengambil satu komputer riba dan telefon yang ditinggalkan pelanggan. Mesin wang di kaunter pembayaran juga dirampas kumpulan perompak itu,” katanya.

Sekeluarga terancam along tagih RM70,000


TERIMA UGUTAN...Rokiah sekeluarga membuat aduan kepada PPIM.
TERIMA UGUTAN...Rokiah sekeluarga membuat aduan kepada PPIM.

KUALA LUMPUR: Sebuah keluarga kini hidup dalam ketakutan selepas diburu along yang meminta bayaran RM70,000 selepas seorang ahli keluarga mereka meminjam wang sebanyak RM3,000 untuk membayar bil hospital di Klang.
Mangsa hanya dikenali sebagai Rokiah, 50, berkata, along dan konconya ada pergi ke premis perniagaannya minggu lalu dan menggugut meminta wang sebanyak RM70,000.

Katanya, along berkenaan mahu wang pinjaman itu dilunaskan segera sekiranya mereka mahu selamat.

“Selepas itu, konconya datang lagi ke kedai saya meminta wang sebanyak RM35,000 tetapi ia masih tidak mampu dilunaskan oleh saya kerana jumlahnya terlalu besar.

“Kelmarin, mereka datang lagi meminta wang RM25,000 tetapi saya tiada wang sebanyak itu. Mereka turut mengugut kami sekeluarga hingga kami takut untuk keluar rumah,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, kejadian itu amat menakutkannya sekeluarga kerana konco along terbabit kerap datang meminta wang padahal jumlah pinjaman anaknya tidak seberapa tetapi kadar bunga dikenakan amat tinggi dan berlipat kali ganda.


Katanya, anaknya membuat pinjaman dengan along berkenaan April lalu kerana suaminya sakit. Pinjaman itu terpaksa dilakukan bagi membiayai bil hospital.

“Saya tidak menyangka perkara ini menjadi semakin rumit apabila kami sekeluarga pula diburu along terbabit yang menuntut hutang mereka dengan jumlah yang banyak.
“Pada awal pinjaman, anak saya ada membayar sebanyak RM50 sehari bagi tempoh dua minggu dan berhenti apabila kesempitan wang,” katanya yang tidak tahan dengan gangguan along menyebabkan dia sekeluarga nekad membuat laporan di Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sebelum membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Suami muda tak sabar

KUANTAN: Akibat gagal menahan sabar selepas lebih tiga jam menunggu isteri membeli-belah, seorang lelaki hilang pertimbangan sehingga sanggup memukul wanita itu di depan orang ramai dengan sebuah beg tangan di sebuah pasar raya di Jalan Gambang, di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, wanita berusia 50 tahun dan tinggal di sebuah taman perumahan berhampiran pasar raya berkenaan, lebam di beberapa bahagian badan dan muka sebelum mendapat rawatan di sebuah klinik kesihatan di Jalan Gambang.

Sebelum kejadian, pasangan terbabit dikatakan masuk ke sebuah pasar raya untuk membeli barangan keperluan sebelum si suami dikatakan penat dan berehat di luar pasar raya itu.

Selepas kira-kira tiga jam menunggu, si suami yang berusia hampir 20 tahun lebih muda daripada isterinya itu mula bengang dan berang apabila mendapati wanita berkenaan tidak muncul dalam waktu yang sudah dijanjikan sebelum itu.

Bagaimanapun, beberapa minit kemudian, isteri lelaki berkenaan keluar dari pasar raya itu sambil menjinjing beberapa beg plastik mengandungi barangan dibeli.

Tanpa mempedulikan isterinya yang ketika itu menjinjing banyak barang di tangan, lelaki berkenaan terus menengkingnya sehingga menarik perhatian pengunjung lain yang berada berhampiran.


Lelaki itu yang tidak menghiraukan perhatian pengunjung lain terus merampas beg tangan isterinya sebelum memukul beberapa kali di badan selain melibas beg berkenaan ke muka isterinya.

Wanita terbabit yang terkejut dengan tindakan luar batasan si suami kemudian terus melarikan diri masuk ke dalam kereta kerana malu kejadian itu disaksikan pengunjung lain.
Susulan kejadian itu, wanita terbabit membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, kira-kira jam 10 malam kelmarin.

Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, pergaduhan itu hanya berpunca daripada lelaki berkenaan tidak puas hati dengan sikap mangsa kerana gemar mengambil masa lama untuk membeli-belah.

Bagaimanapun, katanya, polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.

Bapa berang lihat video anak kena buli

ANTARA rakaman video dalam kad sim telefon bimbit milik Danial Wafiy (kiri) dibelasah senior.
ANTARA rakaman video dalam kad sim telefon
bimbit milik Danial Wafiy (kiri) dibelasah senior.

ALOR SETAR: Seorang bapa kecewa dengan pihak pengurusan sebuah sekolah agama bantuan kerajaan di Jitra yang didakwa gagal mengambil tindakan tegas ke atas seorang pelajar senior yang membuli anaknya sehingga meninggalkan kesan trauma melampau.

Abu Bakar Mohd Salleh, 43, yang menetap di Kampung Kubang Bonggor, Alor Janggus mendakwa anaknya, Danial Wafiy Nuruddin Abu Bakar, 14, dibelasah tanpa belas kasihan oleh seorang pelajar tingkatan tiga di asrama lelaki Sekolah Menengah Agama Hidayah Islamiah, Jitra, pada 2 April lalu dipercayai bermotifkan cemburu.
Abu Bakar berkata, anaknya dibelasah bertubi-tubi termasuk ditendang di perut, disepak sehingga rebah sebelum dipukul dengan sebatang kayu kerusi di kepala berulang kali sehingga mendatangkan kecederaan termasuk bengkak, lebam dan luka seluruh badan.
Difahamkan, pelajar senior terbabit berang kerana tidak berpuas hati selepas mendapat tahu mangsa dijadikan adik angkat oleh seorang pelajar perempuan tingkatan empat sekolah itu.

Lebih memeranjatkan, aksi buli itu seolah-olah menjadi 'hiburan' kepada rakan pelajar senior terbabit yang turut merakamkan kejadian hampir 20 minit dengan telefon bimbit sebelum menghantar rakaman itu ke telefon bimbit mangsa.

Katanya, kejadian itu hanya disedarinya awal Julai lalu selepas anak keduanya, Nurul Ainin Sofia, 20, melihat rakaman kejadian buli itu menerusi kad sim milik Danial Wafiy yang dipasang menerusi telefon bimbitnya ketika pelajar itu pulang bercuti.

“Jika tidak kerana kad sim itu, pastinya saya tidak tahu anak saya dibuli teruk oleh pelajar senior terbabit, selain didera mental dan fizikal sehingga keputusan peperiksaannya dan prestasi pembelajarannya merosot. Tambahan pula Danial Wafiy tidak memaklumkan kepada kami, mahupun ibunya mungkin kerana takut diperlakukan lebih teruk lagi.
“Selepas menyaksikan rakaman video itu saya terus membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu pada 9 Julai lalu. Namun, saya kecewa kerana sehingga kini tiada tindakan diambil ke atas pelajar senior terbabit oleh pihak berkuasa mahupun pihak sekolah.

“Pihak sekolah ada memanggil saya untuk berbincang mengenai kes berkenaan dan lebih mengecewakan mereka meminta saya menarik balik kes itu,” katanya. sambil menambah dia difahamkan pelajar senior itu hanya dikenakan tindakan dibuang asrama. 
-SH

Potong wayar CCTV sebelum rompak

Geng sama samun restoran India Muslim lain 

SHAH ALAM: Selepas merompak sebuah restoran India Muslim di Seksyen 15, di sini, pada 28 Ogos lalu, sekumpulan perompak dipercayai geng sama merompak sebuah lagi restoran, kali ini di Seksyen 24, kira-kira jam 5.30 pagi semalam.

Pada kali ini, kumpulan itu turut memotong wayar kamera litar tertutup (CCTV) sebelum merompak restoran India Muslim terbabit selepas menyedari aksi mereka merompak dan menyerang pemilik dan pelanggan restoran di Seksyen 15 sebelum ini disiarkan beberapa laman web.
Pemilik restoran di Seksyen 24, Ashraf Ali, 49, yang sudah 10 tahun berniaga di kawasan itu, berkata hampir 10 pelanggannya sebelum itu dikejutkan dengan kehadiran tiga suspek yang memakai topi keledar dan bersenjatakan parang.
“Semua mereka enam orang kerana saya lihat tiga lagi rakan mereka yang menunggang motosikal sedang tunggu di luar. Kejadian ini berlaku begitu pantas iaitu kira-kira dua minit saja.

“Selain mesin wang berharga RM2,000 yang di dalamnya terdapat wang tunai lebih RM500, mereka turut mengambil rokok di kaunter selain merampas komputer riba dan telefon bimbit milik pelanggan,” katanya.

Saksi kejadian, Mohd Farid Abdul Salam, 20, berkata ketika itu beliau bersama keluarganya berada dalam sebuah kereta berhampiran tempat kejadian.

“Apabila saya melihat rompakan ini, saya bertindak menelefon polis. Keadaan ketika itu agak kelam kabut dan semua perompak sudah melarikan diri sebaik polis tiba,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob, ketika dihubungi berkata pihaknya percaya rompakan kedua itu dilakukan kumpulan sama dengan semua suspek berusia lingkungan belasan tahun hingga lewat 20-an.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan semua suspek di bawah pengaruh dadah ketika rompakan sehingga menyebabkan mereka berani bertindak," katanya.

Beberapa laman web menyiarkan video kejadian rompakan di sebuah kedai India Muslim di Seksyen 15, di sini pada jam 4 pagi, 28 Ogos lalu.

Sementara itu, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) meminta semua ahlinya agar sentiasa berwaspada dengan kes rompakan bersenjata yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Presidennya, Noorul Hassan Saul Hameed, berkata pihak persatuan mahu semua pengusaha membuat tindakan keselamatan awal seperti mendaftar dengan Rakan COP. 

Pelajar UTAR hidup ketakutan

Bimbang sejak rumah sewa musnah terbakar didakwa perbuatan khianat

KAMPAR: Penuntut Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di sini, kini dalam kebimbangan ekoran kejadian kebakaran yang memusnahkan 11 unit rumah sewa dihuni beberapa pelajar universiti itu sejak awal bulan lalu, dipercayai akibat perbuatan khianat.

Kebakaran itu dikesan berlaku pada waktu tengah malam dan awal pagi sekitar Taman Kampar Perdana di sini, yang menjadi tumpuan pelajar UTAR menginap berikutan kedudukannya berhampiran kampus tetapnya.
Dalam kejadian terbaru Sabtu lalu, sebuah rumah teres dua tingkat dihuni enam penuntut UTAR musnah terbakar selepas kediaman itu dipercayai dibaling ‘molotov koktel’.
Dipercayai, pihak yang melakukan perbuatan itu adalah suspek sama bertanggungjawab membakar lima lagi rumah pada hari sama dengan pelbagai cara termasuk membaling tuala yang terlebih dulu dibakar dengan api.

Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lee, 19, berkata suspek dipercayai menceroboh dalam pekarangan rumah sebelum melontar api melalui cermin depan rumah.

Pelajar jurusan perakaunan di UTAR itu berkata, dia sedang berehat di ruang tamu rumah ketika kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi, Sabtu lalu.

“Saya terkejut cermin tingkap pintu gelungsur rumah tiba-tiba pecah dan pada masa sama, melihat percikan api menyambar langsir. Saya terus bergegas keluar tetapi tidak melihat individu yang melakukannya.
“Namun, saya bernasib baik kerana api dapat dipadamkan dan tidak membabitkan kerosakan teruk,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, pengawal keselamatan sebuah pangsapuri berhampiran kawasan perumahan teres terbabit, S Meri, 28, berkata dia bersama dua lagi rakannya turut melakukan rondaan secara sukarela.

“Perbuatan ini bukan saja menimbulkan huru-hara di kawasan perumahan itu, malah boleh mengancam nyawa penduduk jika terus dibiarkan. Justeru, saya bersama dua rakan meningkatkan rondaan di sekitar perumahan ini walaupun ia tidak berada di bawah kawasan jagaan kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, pihaknya sudah menahan seorang lelaki berusia lingkungan 20-an pada Ahad lalu tetapi enggan mengulas lanjut kerana siasatan sedang dijalankan.

“Suspek ditahan selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan berhampiran kawasan perumahan terbabit dan kini sedang disiasat sama ada mempunyai kaitan dengan kes kebakaran dilaporkan.

“Polis memandang serius kes ini kerana ia boleh mendatangkan risiko kepada nyawa penduduk dan langkah segera sudah diambil dengan membina sebuah pos polis sementara di tengah kawasan perumahan ini yang mula beroperasi kelmarin,” katanya. 

Pembantu Penguasa KDRM mengaku tak salah rasuah

ALOR SETAR: Seorang Pembantu Penguasa Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Cawangan Langkawi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam, atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM440 daripada seorang lelaki pada Mac tahun lalu.

Lee Kuang Guan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Hakim Mohd Rosli Osman.
Mengikut pertuduhan pertama, Kuang Guan melakukan kesalahan itu ketika bertugas di Unit Khas Pemeriksaan Penumpang Jeti Kuah, Langkawi pada 26 Mac 2010 dengan meminta suapan wang tunai RM440 daripada S Arichindarem, 51, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atasnya bagi membawa keluar arak bernilai RM1,340 daripada dikenakan cukai ketika pemeriksaan.
Tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Bagi pertuduhan kedua, Kuang Guan pada tarikh sama didakwa menerima suapan wang tunai RM440 daripada Arichindarem di tandas lelaki Balai Berlepas Jeti Kuah, Langkawi sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atasnya yang membawa keluar arak bernilai RM1,340 daripada dikenakan cukai ketika pemeriksaan.

Untuk kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda maksimum lima kali ganda nilai suapan atau denda RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Mohd Rosli kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, sementara menunggu sebutan kes pada 11 Oktober ini.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), A Hafiizh Abu Bakar, manakala tertuduh diwakili peguam, A Ashok. 

Kecewa Ops Sikap ke-24 gagal


Ismail Omar pada sidang media berkaitan Ops Sikap Ke-24 di Bukit Aman, semalam. – BERNAMA



KUALA LUMPUR 8 Sept. – Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar melahirkan rasa kecewa kerana semua usaha dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendidik rakyat negara ini agar bersikap tertib dan sopan di jalan raya masih tidak berkesan sehingga mengakibatkan Ops Sikap Ke-24 yang berakhir kelmarin, gagal.
Beliau berkata, bermacam-macam pendekatan sudah diambil oleh PDRM dan pihak berkuasa lain untuk mendidik orang ramai agar bersikap tertib dan sopan di jalan raya, namun ia masih gagal.
Sehubungan itu, katanya, beliau akan mengemukakan cadangan kepada Menteri Dalam Negeri agar merangka kokurikulum program keselamatan jalan raya di peringkat sekolah rendah dan prasekolah untuk memberi kesedaran serta menanam budaya pematuhan kepada peraturan dan undang-undang lalu-lintas.
“Saya berasa dukacita dan kesal kerana semua usaha yang kita buat selama ini untuk mendidik orang ramai bersopan dan tertib di jalan raya seolah-olah tidak berkesan apabila jumlah kemalangan masih lagi tinggi direkodkan.
“Macam-macam kaedah kita pakai. Antaranya adalah memberi nasihat, mengedarkan risalah dan buku panduan keselamatan, malah turut memberi hadiah atau buah tangan kepada pengguna jalan raya di plaza-plaza tol,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.
Menurut Ismail, beliau juga yakin latihan yang diberikan kepada orang ramai untuk mendapatkan lesen memandu juga cukup kemas, malah jalan raya di negara ini diiktiraf sebagai terbaik di dunia.
Beliau berkata, semua usaha dilakukan itu bagaimanapun dilihat hanya sia-sia apabila kadar kemalangan jalan raya dalam Ops Sikap Ke-24 masih tinggi setelah mencatatkan 259 kemalangan maut dengan 289 kematian.
Katanya, jumlah dicatatkan itu meningkat berbanding Ops Sikap Ke-23 di mana terdapat pertambahan 41 kes (18.8 peratus) kemalangan maut, manakala kematian turut meningkat 41 kes (16.5 peratus).
Keseluruhannya, kata beliau, sebanyak 19,462 kemalangan dicatatkan dalam Ops Sikap Ke-24 iaitu meningkat 2,645 kes (15.7 peratus) berbanding sebelum ini.
“Penunggang dan pembonceng motosikal merupakan penyumbang tertinggi dengan kadar kemalangan maut dan kematian berjumlah 178 kes (61.6 peratus) daripada 289 kematian yang direkodkan iaitu meningkat 35 kes (24.5 peratus).
“Mangsa paling banyak terkorban ialah mereka yang berusia 16 hingga 20 tahun,” katanya sambil memberitahu kemalangan paling tinggi berlaku antara pukul 4 dan 6 petang dan antara 1 hingga 2 pagi.
Beliau menambah, kajian mendapati lebih 85 peratus kemalangan berlaku disebabkan sikap pemandu dan pengguna jalan raya sendiri apabila memandu dalam keadaan cuai, letih, tertidur, mengekori kenderaan lain terlalu rapat dan leka.
Dalam pada itu, Ismail berkata, pihaknya akan membuat penjenamaan semula atau memberi nama baru yang lebih sesuai dan sinonim dengan keadaan semasa kepada Ops Sikap di musim perayaan pada masa hadapan.
-UTUSAN