Search This Blog

Thursday, September 8, 2011

Polis tahan 7 suspek, rampas dadah RM2.6j

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia menahan tujuh suspek termasuk empat warga asing serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM2.6 juta di Lembah Klang dan Terengganu, dalam tempoh tiga hari sejak Selasa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata kesemua mereka yang berusia antara 20 dan 41 tahun itu membabitkan beberapa sindiket pengedaran dadah.
Bercakap pada sidang media di sini hari ini, Noor Rashid berkata penangkapan pertama membabitkan tiga lelaki termasuk satu warga Thailand di Bandar Sri Damansara kelmarin, kira-kira jam 11.15 malam.

"Pada mulanya kita tahan seorang lelaki warga asing yang memandu kereta jenis Toyota Crown. Susulan itu polis menahan dua lagi rakannya di kawasan yang sama.


"Hasil pemeriksaan ke atas kereta itu, kita menjumpai 60 ketulan mampat dadah jenis ganja yang disembunyikan di ruang sulit khas pada bahagian kereta yang telah diubah suai," katanya.

Beliau berkata siasatan awal juga mendapati suspek aktif menyeludup masuk dadah dari Thailand untuk pasaran di sini sejak tiga bulan lalu.

Kes kedua di Lembah Klang ialah penangkapan tiga suspek warga asing termasuk seorang wanita pada 4.15 pagi tadi di belakang sebuah stesen minyak di Jalan Duta di sini.

"Pada masa itu dua lelaki keluar dari kereta dan cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap selepas berlaku pergelutan. Turut ditahan seorang wanita yang berada di dalam kereta.

"Hasil pemeriksaan di dalam kereta, polis merampas dua beg galas yang berisi 29 ketul dadah jenis ganja dengan anggaran berat 28.1 kg," katanya.

Beliau berkata siasatan ke atas dua lelaki warga Nigeria dan wanita Thailand itu mendapati dadah tersebut dibawa dari Nigeria dan transit di Thailand sebelum dibawa masuk untuk pasaran di negara ini.

Selain itu, Noor Rashid berkata JSJN Terengganu juga berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan penangkapan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun kelmarin.

"Pelbagai jenis dadah yang telah kita rampas iaitu 6,930 biji pil WY dengan nilai kira-kira RM173,250, lima botol heroin berjumlah RM5,000 dan wang tunai berjumlah RM31,000," katanya.

Beliau berkata kesemua suspek kini ditahan reman dan semua kes disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. - Bernama

Rasuah: Kastam mengaku tak bersalah

ALOR SETAR - Seorang Pembantu Penguasa Kastam, yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas dua pertuduhan membabitkan rasuah tahun lalu.
Lee Kuang Guan, 52, yang bertugas di Unit Khas Pemeriksaan Penumpang Jeti Kuah, Langkawi dituduh meminta suapan RM440 daripada A. Sinappayen sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas Sinappayen kerana membawa keluar arak tanpa dikenakan bayaran cukai, melalui panggilan telefon pada pukul 10.10 pagi, 26 Mac 2010.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda suapan mengikut mana lebih tinggi. - Bernama

Beras: Kerani bebas pecah amanah

KUALA LUMPUR - Seorang bekas kerani pasar raya Giant dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan pecah amanah melibatkan 150 kampit beras bernilai hampir RM10,000.
Hakim Che Mohamad Zulkifly Jusoh membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Zulkhairi Abdullah, 28, yang berasal dari Kedah.
Mengikut kertas pertuduhan, Zulkhairi didakwa pecah amanah terhadap 480 kampit beras Jasmine Super dengan menyalahgunakan 150 kampit beras jenis itu iaitu menyerahkannya kepada pekerja Jasmine Food Corporation Sdn. Bhd. untuk dijual tanpa kebenaran pasar raya terbabit. - Bernama

Dua peragut pura-pura beraya

KUANTAN - Dua lelaki yang segak berpakaian Melayu, kononnya mahu datang berhari raya di rumah “Makcik Jenab”, bertindak meragut seorang suri rumah yang sedang membersihkan laman rumahnya.
Ketika kejadian 9.30 pagi di Sungai Koyan, dekat Raub, itu mengakibatkan mangsa, 35, mengalami kerugian RM7,000 selepas rantai leher dan seutas loketnya diragut dua lelaki terbabit.
Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Supritendan Nordin Mustapha, sebelum kejadian, mangsa melihat kedua-dua suspek beberapa melintasi rumahnya dengan sebuah motosikal.
"Suspek kemudian memberhentikan motosikal di depan rumah mangsa dan berpura-pura bertanyakan rumah “Makcik Jenab”, suspek beritahu dia dan rakannya hendak beraya di rumah “Makcik Jenab”,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Suspek berusia lingkungan 20 hingga 30-an itu kemudiannya bertindak meragut rantai leher mangsa. - Bernama

Kes cabul: Polis cari tiga lelaki

SEREMBAN - Polis Negeri Sembilan sedang mencari tiga orang lelaki bagi membantu siasatan kes curi kenderaan serta samun dan mencabul kehormatan.
Ketua Jabatan Siasatan Negeri, Asisten Komisioner Hamdan Abdul Majid berkata, ketiga-tiga suspek ini amat diperlukan bagi membantu polis untuk menyelesaikan kes-kes tersebut.
"Lelaki yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes kecurian kenderaan ialah Wong Teck Lim, nombor kad pengenalan 760312-05-5265 dan alamat terakhirnya di No. 43, Taman Sikamat Indah, Seremban dan Low Kok Hing, nombor kad pengenalan 780904-14-5377 dan alamat terakhirnya di Lot PT 10502, Pemindahan Pagar Besi, Batu Rakit Kuala Terengganu dan A-10, Jalan Pinggiran Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor.
"Seorang lagi ialah pemandu teksi, Selvaraj a/l Suppiah, nombor kad pengenalan 661215-02-5263 yang tinggal di No. 16, Jalan Semenyih Indah 16, Taman Semenyih Indah, Semenyih, Selangor, bagi membantu siasatan kes samun dan cabul,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Katanya, orang ramai yang mengenali dan mempunyai maklumat mengenai ketiga-tiga lelaki berkenaan diminta supaya menghubungi balai polis terdekat. - Bernama

Taktik pengedar dadah terbongkar

KUALA TERENGGANU - Taktik seorang lelaki yang menjadikan rumah kawannya sebagai tempat pengedaran dadah akhirnya terbongkar setelah polis menyerbu kediaman tersebut awal pagi semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 1.22 pagi di sebuah pangsapuri di Kampung Ladang Gemilang itu, polis menemui 2,620 biji pil kuda yang dianggar bernilai RM65,500 dan wang tunai RM61,550 yang dipercayai hasil jualan dadah.
"Kita berjaya menemui pil berkenaan yang disorokkan di dalam pembesar suara di salah sebuah bilik di rumah itu,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan Roslan Abd. Wahid pada sidang akhbar di sini hari ini.
Ketika serbuan itu dilakukan katanya, lelaki itu dan rakannya serta isteri dan anak perempuan rakannya itu yang berumur 10 tahun berada di rumah dan ditahan polis.
Katanya, suspek yang berusia 34 tahun menjadikan rumah berkenaan sebagai tempat pengedaran, manakala rakannya yang berumur 35 tahun yang merupakan pemilik rumah itu menjadi orang suruhannya bagi manghantar bekalan dadah di sekitar Kuala Berang. - Bernama

Warga emas mati ditemui mati di rumah

SEREMBAN — Seorang lelaki warga emas dijumpai mati dipercayai dibunuh di sebuah rumah di Jalan Tun Dr Ismail di sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Abdul Majid berkata, mayat mangsa yang dikenali sebagai Lai Chun, 77, dijumpai mati di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan kira-kira pukul 12 tengah hari oleh seorang wanita, yang merupakan adik iparnya.
"Ketika kejadian wanita berusia dalam lingkungan 60-an itu datang ke rumah lelaki itu untuk memberikan mangsa makanan. Apabila tiba di depan pintu rumah berkenaan wanita itu memanggil mangsa beberapa kali namun tiada jawapan.
"Kerana hairan adik ipar mangsa kemudiannya masuk ke dalam rumah dan terkejut apabila menemui mayat lelaki itu terbaring di atas lantai,” katanya di sini. Hamdan berkata, mangsa yang tidak berkahwin tinggal di rumah kayu berkenaan seorang diri sejak beberapa tahun lalu.
"Siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dipercayai dipukul dengan objek tumpul. Buat masa ini punca sebenar kematian dan motif kejadian masih lagi dalam siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. - Bernama

Ribuan tilapia mati di Sungai Arau

KANGAR — Ribuan ikan tilapia yang diternak dalam sangkar di Sungai Arau dekat sini ditemui mati oleh para pengusahanya hari ini.
Ikan-ikan yang hampir matang dan boleh dituai dalam tempoh beberapa minggu lagi ditemui terapung di permukaan air oleh lima peserta Program Pembangunan Rakyat Termiskin yang mengusahakan projek itu.
Salah seorang peserta, Mohamad Almi Salleh, 35, menganggarkan kerugian yang mereka alami berikutan kematian ikan-ikan di dalam 27 buah sangkar itu ialah kira-kira RM40,000.
Katanya, beliau tidak tahu mengapa ikan-ikan yang diternak itu mati tetapi tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada pencemaran air sungai itu.
"Saya sedih dengan kematian ikan-ikan yang kami ternak sehingga mengundang kerugian besar,” katanya kepada pemberita, semasa meninjau Sungai Arau hari ini.
Menurut Mohamad Almi, mereka mengusahakan projek itu sejak tiga tahun lalu dan sebelum ini, mereka menghadapi kerugian akibat pencemaran sungai dan banjir.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Perlis, Sabry Ahmad yang turut melakukan tinjauan di projek ternakan itu berkata, kerajaan negeri akan cuba membantu para pengusaha memulihkan kegiatan ternakan itu.
Menurutnya, projek di bawah program Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) itu diwujudkan sejak tiga tahun lalu bagi membantu meningkatkan taraf hidup para peserta yang merupakan rakyat termiskin di kawasan itu.
Para peserta menuai hasil ternakan itu antara tiga dan enam bulan sekali bergantung kepada permintaan dan saiz ikan yang diperlukan.
Turut berada di kawasan ternakan ikan itu ialah Pengarah Jabatan Alam Sekitar Perlis, Marzuki Mokhtar dan para pegawai Jabatan Perikanan Perlis. - Bernama

Jurugambar sambilan didenda RM99

IPOH - Seorang jurugambar sambilan hari ini didenda RM99 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda itu oleh Mahkamah Majistret di sini kerana kesalahan menggunakan perkataan kurang sopan dan mengaibkan terhadap seorang penjawat awam, April lepas.
P. Manivanan, 37, didapati bersalah menggunakan perkataan yang kurang sopan dan mengaibkan terhadap anggota polis trafik Muhammad Ramli, 45, di Jalan Sultan Idris Shah pada 9.30 malam, 25 April lepas Majistret Fauziah Hani Ahmad Fuzi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh melalui perbicaraan yang menampilkan empat saksi memberi keterangan.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14, Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100 jika sabit kesalahan.
Terdahulu, ketika memberi kenyataan membela diri, tertuduh mendakwa pihak berkenaan sengaja mahu menganiayanya dengan kuasa mereka.
Peguam M. Kulasegaran yang mewakili Manivanan berhujah bahawa pertuduhan ke atas anak guamnya adalah cacat dan tidak difahami.
Pertuduhan tidak lengkap kerana ia tidak menunjukkan tertuduh mempunyai niat mengganggu keamanan atau di mana keamanan mungkin terganggu, katanya.
Beliau juga memohon anak guamnya dilepaskan dengan diberikan amaran kerana disabit kesalahan kecil.
Timbalan Pendakwa Raya K. Sitartha pula dalam hujahnya berkata, kenyataan membela diri oleh tertuduh dibuat selepas difikirkan kemudian dan versi pembelaan itu tidak dikemukakan kepada saksi pendakwaan bagi mendapatkan penjelasan.
Beliau memohon mahkamah memberi hukuman setimpal supaya tertuduh tidak mengulangi kesalahan dan sebagai pengajaran. - Bernama

Kemalangan akibat elak lubang



TEMANGAN - Orang ramai meminta pihak berkenaan membaiki segera jalan berlubang di sekitar Temangan bagi mengelakkan kemalangan.

Ahad lalu, dua kereta bertembung akibat mengelak lubang tersebut hingga menyebabkan kecederaan.

Seorang penduduk, Hussin Mat Ali, 45, berkata, boleh dikatakan sepanjang jalan Temangan ke Temangan Lama mempunyai lubang yang membahayakan pengguna jalan raya.

Menrutnya, pihaknya bimbang ia akan menyebabkan lebih banyak kecelakaan kepada pengguna jalan tersebut.

“Keadaan bertambah membimbangkan pada waktu malam dan hujan apabila pemandu tidak dapat melihat dengan jelas lubang tersebut dan adakala cuba mengelak sehingga mereka memasuki laluan bertentangan.

“Masalah jalan berlubang ini mungkin nampak remeh, namun kami tidak mahu kemalangan yang berlaku Ahad lalu berulang kembali dan bimbang kalau ia sebabkan kematian,” katanya.

Hussin berkata, pelbagai usaha telah dilakukan penduduk bagi memberi amaran kepada pengguna mengenai lubang-lubang bahaya tersebut namun ia tidak berhasil.

Menurutnya, membaiki jalan tersebut adalah satu-satunya cara bagi menjaga keselamatan pengguna di sini.
-SH

Wanita terminum racun makin stabil

KOTA BHARU- Keadaan ibu kepada empat anak, Norhafizah Baddli Affandi, 27, yang terminum bancuhan racun semut di rumahnya kini dilaporkan semakin stabil berbanding kelmarin.

Suaminya, Mat Din Yusof, 27, berkata, isterinya yang masih dirawat di Wad Temenggong, Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II itu sudah mula bercakap, meracau tetapi masih dalam keadaan separuh sedar.

“Saya merasakan kemungkinan disebabkan dia terminum air bancuhan racun semut yang disangka sirap dalam jumlah yang banyak menyebabkan isteri saya meracau.

“Sebelum ini dia tidak pernah bertindak begitu tetapi sejak jam 10 malam tadi (semalam) selepas sedar dia mula meracau dan bercakap mengenai kenangan lama bersama anak-anak,” kata Mat Din ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi kelmarin itu, Norhafizah Baddli, terminum bancuhan racun semut yang diletakkan di atas meja di rumahnya di Kampung Rambutan Rendang, Pengkalan Chepa.

Sebelum kejadian itu, suaminya membuat bancuhan tersebut untuk menghalau semut di sekitar rumahnya yang menggigit anak bongsu mereka.

Mat Din yang bekerja sendiri itu juga bersyukur kerana isterinya tidak perlu lagi menggunakan alat bantuan pernafasan mulai semalam.

Mat Din yang masih terkejut dengan kejadian menimpa isterinya itu terpaksa meletakkan anak-anaknya di rumah bapanya untuk jagaan sementara.-SH

Pengsan lihat rumah hangus



GEMANG - Seorang pemilik rumah di sini, pengsan setelah melihat kediamannya hangus dalam kejadian kebakaran yang melibatkan dua rumah separuh kekal pada pukul 11.45 pagi kelmarin.

Pemilik rumah berkenaan yang juga peniaga di Pasar Jeli, Khalizah Mohd, 51, bergegas pulang ke rumahnya yang terbakar selepas dimaklumkan mengenai kejadian tersebut oleh jiran.

Khalizah berkata, ketika kejadian, hanya anak lelakinya, Mohd Zaid, 13, berada di rumah dan sedang bersiap untuk ke sekolah.

“Ketika sedang bersiap dia ternampak kepulan asap dari bahagian dapur lalu bertindak keluar dari rumah dan memberitahu jiran agar menghubungi pihak bomba.

“Ketika kejadian saya dan suami Che Daud Che Lah, 54, tiada di rumah kerana kami keluar berniaga di bandar Jeli setiap hari Sabtu, Rabu dan Khamis,” katanya.

Menurutnya, kejadian tersebut membuatkan dia sekeluarga hilang tempat tinggal yang dibina 30 tahun lalu dan mengalami kerugian mencecah hampir RM100,000.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Che Engku Chik Che Engku Ngah berkata, setelah menerima panggilan pada jam 11.45 pagi, pihaknya bergegas ke tempat kejadian dengan 14 anggota termasuk enam anggota bomba sukarela bersama tiga jentera.

“Ketika sampai di tempat kejadian, api sedang marak dan pihak kami mengambil masa setengah jam bagi memadam kebakaran untuk pastikan api betul-betul padam.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan dan kami berharap agar masyarakat lebih peka dan mengambil langkah bijak sebelum meninggalkan kediaman masing-masing,” katanya.

Bagaimanapun, kejadian itu tidak meragut sebarang nyawa apabila hanya sebuah rumah sahaja berpenghuni manakala sebuah lagi kosong.-SH

Samseng jalan raya kembali lagi!

IPOH - Samseng jalan raya kembali bermaharajela! Fakta ini dibuat bersandar kes seorang pemandu kedua bas ekspres warga Thailand yang dipukul sekumpulan dua lelaki dan dua wanita di Kilometer (KM) 266.8 Lebuhraya Utara Selatan (arah Selatan) berhampiran Plaza Tol Jelapang malam Selasa lalu.

Malah seorang mangsa yang tidak mahu dikenali juga mengalami kejadian serupa pada malam Jumaat minggu lalu apabila dibelasah dua remaja secara tiba-tiba.

Mangsa yang menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke Ipoh dari Teluk Intan pada jam 12 tengah malam di belasah selepas dia membunyikan hon kerana remaja terbabit menunggang motosikal secara merbahaya.

Mangsa sedar diekori remaja berkenaan hingga ke Medan Gopeng dan secara tiba-tiba suspek bersama rakan yang membonceng menendang motosikalnya sehingga dia terjatuh.

Suspek turut merampas kunci motosikalnya sebelum membelasah mangsa bertubi-tubi.

“Syukur tiada kecederaan serius berlaku dan saya diberikan jahitan di mulut yang koyak selain lebam dan bengkak di seluruh anggota badan,” katanya kepada Sinar Harian.

Berikutan kejadian itu, satu laporan polis dibuat pada malam yang sama dan mangsa meminta kerjasama polis mengesan suspek.

“Saya sebenarnya kecewa sikap remaja hari ini yang kurang sopan, membuat tindakan sendiri dan bertindak membabi-buta walaupun ditegur atas kesalahan mereka sendiri,” katanya yang masih trauma dan kecewa dengan kejadian itu.-SH

Guna pisau sayur serang ayah



KOTA BHARU – Seorang anak sanggup menderhaka kepada bapa kandungnya sendiri apabila bertindak menyerang lelaki tua itu dengan menggunakan sebilah pisau pemotong sayur ketika mereka berselisihan faham dalam kejadian di Ketereh, enam bulan lalu.

Akibat tindakan ganas lelaki berusia 28 tahun itu, warga emas, Che Hasan Jusoh, 58 mengalami kecederaan sebelum bertindak membuat laporan di balai polis berhampiran.

Susulan dari laporan yang diterima, polis menahan Che Azuan Che Hasan dan siasatan mendapati tertuduh mengaku mencederakan mangsa di alamat Kampung Hutan Pasir, Ketereh pada jam 7.45 malam, 9 Mei lalu.

Majistret Nur Zakiyah Shamsudin dalam keputusannya memutuskan hukuman 10 bulan penjara terhadap tertuduh sebagai balasan daripada perlakuannya itu.

“Hukuman kamu akan berkuat kuasa dari tarikh tangkapan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, tertuduh sedang menjalani hukuman bersabit penyalahgunaan dadah mengikut Seksyen 15(a)(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kegembiraannya yang bakal dibebaskan esok terbantut akibat hukuman terbaru, semalam.

Sehubungan itu, Che Azuan sekali lagi terpaksa menyambung kehidupannya di dalam penjara akibat kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dilakukannya itu.-SH

JPJ keluar 343 saman



KUALA TERENGGANU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu telah mengeluarkan sebanyak 343 saman sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri 2011 bermula pada 14 Ogos lalu.

Pengarah JPJ, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, saman yang dikeluarkan adalah merangkumi 383 jumlah kesalahan dengan pelbagai kategori, termasuk tiada lesen memandu atau lesen tamat tempoh.

Menurutnya, statistik itu diperoleh berdasarkan Ops Hari Raya Aidilfitri bermula 14 Ogos hingga 3 September.

“Mengikut statistik, 343 saman yang dikeluarkan bermula pada 14 Ogos hingga 3 September meliputi motosikal persendirian sebanyak 161 saman, 108 saman bagi motokar persendirian, 33 saman kenderaan berat bawah lima tan dan 34 kenderaan berat lebih lima tan serta tujuh saman untuk bas ekspres.

“Saman yang dikeluarkan berdasarkan kepada pemeriksaan ke atas 4,537 buah kenderaan di semua laluan sepanjang operasi,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, penguatkuasaan perintah larangan kenderaan barangan di laluan utama dua hari sebelum raya, 27 dan 28 Ogos serta dua hari selepas raya, iaitu 3 dan 4 September dipatuhi oleh pemandu dan pemilik syarikat terbabit.

Abdul Rahman berkata, ini susulan kesedaran yang tinggi untuk sama-sama mengurangkan kadar kesesakan dan kemalangan jalan raya semasa musim perayaan.

“Selain memberikan penumpuan kepada jalan utama iaitu di Kilometer (KM) 58 Jerangau-Jabor, KM54 Jalan Sungai Tong-Permaisuri dan KM61 Marang-Dungun, tumpuan juga diberikan kepada laluan lain.

“Antaranya, di laluan selekoh Bukit Bauk, Dungun yang juga antara laluan bahaya terutama pada musim perayaan,” katanya sambil memberitahu operasi akan berterusan sehingga 14 September ini.

Menurutnya, pujian harus diberikan kepada pemandu bas ekspres kerana sepanjang operasi penyamaran yang dilakukan ke atas 22 trip bas yang dipilih secara rawak, pemanduan adalah secara berhemah dan juga sangat mementingkan keselamatan penumpang.-SH

Bara api jatuh atas tilam



BALING - Seorang penduduk Kampung Teluk Petata, Fazilah Mohd Syukri, 22, terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM3,000 apabila bilik kediamannya hangus dalam satu kebakaran jam 10 malam, kelmarin.

Kebakaran yang berpunca dari lintas pintas itu disedari mangsa apabila terdengar bunyi letupan di dalam bilik berkenaan.

“Ketika itu, saya bersama anak baring di dalam bilik. Secara tiba-tiba, lampu bilik meletup dua kali. Kemudian, bara api pula jatuh di atas tilam sehingga berlakunya kebakaran.

“Saya tidak sempat memadamkan kebakaran itu dari terus merebak,” katanya.

Katanya, ketika itu dia hanya menjerit meminta pertolongan orang ramai untuk memadamkan api tersebut.

“Tidak lama kemudian, abang ipar saya, Mohd Yusri Abdul Wahap datang untuk mengawal api yang sedang marak.

“Dia menggunakan tujuh baldi air untuk mengawal kebakaran. Dalam masa yang sama, saya juga menghubungi pihak bomba,” katanya.

Menurutnya, dia bersyukur tidak mengalami sebarang kecederaan.

:Pengerusi Biro Bencana Baling, Noorazman Ramli bersama Masyarakat Penyayang (Mayang) Balingturut meninjau tempat kejadian dan menyumbangkan barangan makanan kepada mangsa.

Noorazman berkata, pihaknya amat bersimpati dengan kemalangan yang menimpa dan diharap mangsa bersabar.

“Yang penting, tiada kecederaan dilaporkan. Sumbangan dan bantuan dapat diberikan, tetapi nyawa tiada gantinya,” katanya kepada Sinar Harian.

Ganja pisahkan ahli keluarga



POKOK SENA - “Ke mana sahaja pergi, saya akan mengikut suami malah saya tidak pernah berenggang dengannya sehinggalah berada di dalam penjara ini,” kata Zainab, 52, yang dipenjarakan di atas kesalahan memiliki ganja seberat 10 kilogram bersama suaminya, Azhar, 54, di Penjara Pokok Sena, Kedah.

Zainab mengakui dia tidak tahu bahawa bersamanya terdapat bahan larangan itu dan menyifatkan bahawa apa yang berlaku sekarang adalah ketentuan takdir.

Menurutnya, tempoh tahanan selama 18 tahun yang dikenakan adalah begitu panjang dan setiap detik dia merindui tujuh anaknya serta suaminya yang berada di bangunan penjara bahagian lelaki.

“Namun anak-anak sudah pun besar, malah enam daripada tujuh sudah pun berkeluarga, kami bersyukur mereka langsung tidak meminggirkan kami sejak dipenjarakan pada 2007,” katanya kepada Sinar Harian.

Zainab turut meluahkan sepanjang berada berasingan dengan suaminya, dia sentiasa memikirkan mengenai makan minum Azhar sehinggakan sebak apabila masuk waktu makan.

“Saya selalu terfikir, waktu ini suami saya sedang makan apa, dan apakah dia berasa selesa dengan makanan itu,”katanya.

Sementara itu, Azhar ketika ditemui mengakui disebabkan mahu mengejar kemewahan dunia, dia tidak menyangka percubaan kali pertama membawa ganja berkenaan telah mengheret mereka ke penjara.

Menurutnya, bukan disebabkan oleh tekanan hidup di dalam mencari rezeki tetapi disebabkan keinginan mahu memperoleh wang dengan cepat dan banyak, dia berani mengambil risiko.

“Masa saya melakukan perkara itu, saya tahu kesalahannya tetapi disebabkan keinginan dunia yang hanya sementara ini, ia telah memisahkan saya, isteri dan tujuh anak selama 18 tahun,” katanya.

Zainab dan Azhar adalah pasangan suami isteri daripada 31 banduan terpilih yang menunjukkan disiplin baik sepanjang menjalani hukuman dan dibenarkan untuk bertemu dengan keluarga masing-masing sempena pertemuan bersemuka hari raya di Penjara Pokok Sena.

Turut hadir Pengarah Penjara Pokok Sena, Zawari Abd Rashid.

Lelaki lari lintang-pukang dikejar pekerja gerai dipercayai mencuri bekalan ikan

JELAWAT – Seorang lelaki yang dipercayai cuba mencuri bekalan ikan dari sebuah stor ikan di sini, lari lintang pukang tanpa sempat melarikan ikan yang diisi dalam keretanya selepas dikejar pekerja gerai ikan terbabit awal pagi kelmarin.

Peniaga tersebut, Adnan Ariffin,43, berkata, kejadian disedarinya ketika melalui jalan Melawi- Jelawat menuju ke Tok Bali untuk mengambil bekalan ikan kira- kira jam 6 pagi kelmarin.

Menurutnya, ketika melalui depan gerainya, salah seorang pekerjanya terlihat lampu gerai mereka terpadam dan mereka berpatah balik untuk melihat lampu yang terpadam.

“Ketika itu memang kami sudah nampak sebuah kereta yang diletakkan di depan gerai, kami sangkakan ia kereta rosak yang ditinggalkan di depan gerai.

“Apabila kami keluar dari van menuju ke gerai, kami terlihat kelibat seorang lelaki yang keluar dari stor ikan dan terjun ke dalam semak melarikan diri. Kami cuba mengejar tetapi gagal mengesannya memandangkan cuaca masih gelap dan dia lari dalam semak,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
-SH

Lapan rumah terbakar



SKUDAI - Seramai 24 penduduk daripada lapan keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah papan dihuni mereka di Kampung Batu 8 1/2 Skudai, di sini, sejak puluhan tahun lalu musnah dalam :kebakaran, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, kebakaran yang dipercayai berpunca daripada salah sebuah daripada lapan rumah terbabit sebelum ia merebak ke rumah lain.

Mangsa, Goh Ah Moi, 63, berkata, dia menyedari kebakaran itu setelah dikejutkan anak dan dua cucu perempuan yang terjaga sebaik terhidu bau asap di ruang rumahnya.

“Saya tidak pasti sama ada kebakaran bermula daripada rumah saya atau sebaliknya. Saya hanya berlari keluar bersama anak dan cucu diikuti penghuni tujuh kediaman lain.

“Api marak dengan pantas dan kurang setengah jam kemudian, kesemua rumah sudah terbakar,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan kecemasan RM500 daripada Ahli Parlimen Gelang Patah, Tan Ah Eng, MCA Gelang Patah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Seorang lagi mangsa, Loi Tek Foo, 56, berkata, ketika kejadian, isterinya, Sia Kui Fong, 56, terhidu bau asap sebelum mereka ke ruang depan rumah dan melihat api sedang membakar sebahagian dinding rumah mereka.

“Ketika itu, suasana amat mencemaskan dan kami hanya terfikir untuk menyelamatkan diri saja tanpa memikirkan perkara lain.

“Saya bukan saja :kehilangan tempat kediaman yang dihuni sejak lahir, malah turut kehilangan semua dokumen penting termasuk wang tunai RM1,000 yang saya simpan di rumah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Zon Johor Bahru, Penguasa Bomba dan Penyelamat, R Saiful Iswandy R Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

“Kami menerima panggilan kebakaran pada jam 3 pagi dan mengerahkan empat jentera bomba membabitkan dua dari Balai Bomba Johor Bahru dan masing-masing satu dari Balai Bomba Taman Universiti serta Kulai untuk ke lokasi kejadian.

“Sejurus tiba, enam rumah sudah musnah terbakar dan api dapat dikawal setengah jam kemudian. Operasi memadam kebakaran tamat sepenuhnya pada jam 9.45 pagi,” katanya.

Menurut Saiful, punca sebenar kebakaran serta :taksiran kerugian masih dalam siasatan.-SH

Penganggur dijel dua bulan, satu sebatan

SENAI - Seorang penganggur dijatuhi hukuman dua bulan penjara dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret, di sini, kerana memiliki pisau dan senapang palsu.

Liew Kiat Foh, 20, didakwa memiliki pisau tujuh inci bagi pertuduhan pertama di hadapan sebuah bank di Taman Nusa Bestari, Skudai di Nusajaya, kira-kira jam 1.45 pagi pada 3 September lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki senapang palsu di tempat sama, pada masa dan tarikh sama seperti pertuduhan pertama.

Dia didakwa di bawah Seksyen 6 (1) Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 bagi kesalahan pertama dan didakwa di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960 bagi kesalahan kedua.

Kiat Foh mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd Fadlee Mamat.

Mohd Fadlee menetapkan hukuman dua bulan penjara dan satu sebatan bagi kesalahan pertama dan satu bulan penjara bagi kesalahan kedua yang dibenarkan dijalankan secara serentak.

Sementara itu, dalam pertuduhan berasingan, Kiat Foh didakwa memiliki 0.64 gram syabu.

Dia dituduh memiliki dan didakwa di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman denda sehingga istilah RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Mohd Fadlee menetapkan 4 Oktober ini untuk sebutan semula kes, sementara menunggu laporan kimia diperoleh.

Ditinggal suami selepas insiden



TAIPING – Ditinggalkan suami selepas terlibat dalam kemalangan adalah episod duka seorang wanita yang kini terpaksa bangkit meneruskan kehidupan dengan menjual poskad dan kad hari lahir.

S S Santhaya Bama, 42, berkata, selepas terlibat dalam kemalangan pada 2007, dia mengalami kecederaan teruk di kepala sehingga mendapat rawatan di United Kingdom dan kini keadaannya semakin pulih namun, masih menjalani fisioterapi.

Menurutnya, sejak kemalangan itu, dia tidak mampu lagi melakukan kerja berat memandangkan dia pernah dua kali menjalani pembedahan di kepala selain beberapa kali di lutut.

“Saya juga sering mengalami tekanan sehingga tidak dapat tidur hampir dua hari dan terpaksa mengambil ubat.

“Perkahwinan saya selama enam tahun dan dikurniakan seorang anak, tidak mampu bertahan setelah saya kemalangan, anak pula telah dibawa suami ke England,” katanya. Santhaya berkata, dia kini berniaga poskad dan kad hari lahir secara atas talian untuk mendapatkan pendapatan bagi menyara kehidupannya.

Katanya, idea untuk membuat kad hari lahir sebagai barang perniagaan tercetus apabila kad yang dibuat sendiri untuk ibunya ketika hari lahir ke-63 mendapat pujian rakan-rakannya.

“Ketika itu, saya tiada wang untuk membeli hadiah, jadi saya gunakan kreativiti dengan menghasilkan kad menggunakan koleksi kad-kad yang saya simpan sebelum ini.

“Hasilnya saya boleh menjualnya kepada orang ramai sebagai pendapatan tambahan selain hanya menerima bantuan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Katanya, dia yang tergolong dalam golongan kurang upaya tidak pernah mengharapkan simpati orang ramai tetapi membantu membeli produknya.

Sementara itu, katanya, dia sangat memerlukan kamera yang baik untuk mengambil gambar berkualiti bagi mendapatkan hasil baik untuk kad atau poskadnya.

“Saya berterima kasih kepada Penyelaras Dun Pokok Assam, Datuk Ho Cheng Wang kerana menyumbangkan kamera baru selepas saya memohon bantuan dari beliau,” katanya.

Rahsia atas siling terbongkar



SUNGAI PETANI - “Saya diliwat dua kali, kali pertama di atas siling asrama dan kali kedua pada bulan puasa di tandas asrama,” begitulah pengakuan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun ketika ditemu bual Sinar Harian semalam.

Kanak-kanak terbabit menjadi mangsa liwat seorang rakan asramanya sebelum bulan puasa dan pada 20 Ogos lalu dan kini ditempatkan di

Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk siasatan lanjut.

Menurut mangsa, kali pertama dia diliwat oleh rakannya itu di atas siling asrama setelah dipaksa naik ke tempat itu yang difahamkan diletakkan tilam.

“Siling asrama pecah dan ini membolehkan rakan terbabit naik ke atas siling itu. Saya dipaksa naik ke atas siling ketika rakan-rakan lain menonton televisyen.

“Kali kedua, semasa saya membasuh pakaian di bilik air, rakan itu memanggil saya ke tandas dan memaksa saya tanggalkan seluar serta mengugut supaya saya tidak memberitahu sesiapa mengenai perkara itu,” katanya.

Ibu mangsa pula berkata, anak keduanya itu memberitahu diliwat ketika dia pergi ke sekolah anaknya kerana sering berasa runsing selepas menghantar mereka pulang ke sebuah asrama anak yatim di sini, Ahad lalu.

Menurutnya, gerak hatinya yang tidak dapat melelapkan mata pada Ahad lalu membawanya pergi ke sekolah keesokan harinya (Isnin) untuk bertanyakan khabar anaknya itu.

“Saya terkejut apabila anak saya mengaku diliwat tanpa rela oleh rakan asramanya sambil menangis. Dia juga memberitahu saya bahawa dia tidak mahu pulang semula ke asrama anak yatim terbabit kerana takut.

“Saya kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah. Selepas itu terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk membuat laporan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Ong Aik Cheang ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan laporan.

Aik Cheang berkata, kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 377(c) Kanun Keseksaan dan suspek direman.

“Sementara ini kita menunggu laporan daripada pihak hospital bagi membantu siasatan dan suspek direman sehingga 12 September ini,” katanya.

Pengarah HSAH, Dr Harif Fadzilah Che Hashim ketika dihubungi berkata, mangsa ditempatkan di Wad Bunga Raya 1 HSAH dan masih dibawah pemeriksaan doktor.

“Pihak kita menjalankan pemeriksaan fizikal dan ujian darah. Untuk sementara waktu ini kita menunggu hasil pemeriksaan.

“Selepas itu, kes ini akan diserahkan kepada Pegawai Pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, penyelia asrama anak yatim berkenaan yang enggan namanya disiarkan ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.

Menurutnya, setakat ini pihaknya mengambil tindakan terhadap suspek dengan gantung asrama selama sebulan sementara siasatan dijalankan.

“Sekiranya didapati bersalah, pihak kami tidak akan membenarkan suspek ditempatkan di asrama ini lagi,” katanya.-SH

‘Ibu rindu Muni’



TANJUNG DAWAI – Seorang ibu di sini merayu anaknya pulang ke pangkuan keluarga memandangkan seluruh ahli keluarga termasuk ibu bapa dan keempat-empat beradik lain merinduinya.

Robeah Hamid, 49, berkata, dalam kejadian April 2006, anak perempuan yang ketika itu berusia 16 tahun keluar dari rumah jam 6.30 pagi dipercayai dalam perjalanan ke sekolah menaiki bas seperti biasa bersama rakan lain.

:Menurutnya, anaknya, Munirah Abdul Hamid atau dikenali dengan nama panggilan Muni tidak pulang sejak hari itu menyebabkan ahli keluarga dan beberapa pihak lain turut membantu menjalankan operasi mencari.

“Walaupun pelbagai usaha dilakukan, namun Muni tetap tidak dijumpai,” katanya kepada Sinar Harian di rumahnya.

Robeah berkata, selepas beberapa hari kehilangan Muni, dia sekeluarga gempar apabila menerima satu khidmat pesanan ringkas dari nombor tidak dikenali dipercayai digunakan Muni.

“Dalam pesanan itu, dia meminta maaf kepada keluarga selain memohon agar membawanya pulang kerana berada di Batam, Indonesia.

“Namun, alangkah kecewanya apabila polis cuba menjejaki menggunakan nombor itu tetapi hampa,” katanya.

Menurutnya, walaupun sudah lima tahun tidak dijumpai, keluarga masih meneruskan pencarian dan percaya Munirah masih hidup.

“Abang sulungnya, Herman, 26, pernah bermimpi didatangi Muni beberapa hari sebelum Aidilfitri lalu yang meminta tolong supaya mengambil dan membawanya pulang bersama,” katanya.

Perkara sama turut dialami anak jiran Robeah iaitu rakan sepermainan Munirah.

Salehah Md Isa, 52, berkata, anaknya, Wardah turut mendapat petunjuk sama melalui mimpi, di mana Munirah digambarkan berada dalam kesusahan dan ingin pulang ke pangkuan keluarga.

Dalam pada itu, Robeah berkata, dua pengamal perubatan pula menjelaskan anaknya ada di kawasan pedalaman di Perak, namun tidak dapat dipastikan lokasi sebenar.

Dia meminta mana-mana pihak yang pernah terlihat atau mengenali anaknya supaya menghubunginya menerusi 019-5993692 atau melalui alamat No 28, Rumah Panjang, Tanjung Dawai, 08110 Bedong.

Maut hanya kerana lagu Hindi



TELUK INTAN - Hanya kerana lagu Hindi yang tidak boleh dimainkan, seorang lelaki maut selepas dibelasah sekumpulan lelaki yang tidak berpuas hati dengan keadaan itu, di sebuah kelab Bandar Baru, di sini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, kejadian berlaku pada 31 Ogos lalu apabila mangsa yang dikenali sebagai Beh Chin Hooi, 33, cuba meleraikan pergaduhan di antara seorang lelaki dan penjaga kelab.

Menurutnya, sebelum itu, seorang lelaki bersama rakannya telah meminta penjaga kelab itu memasang lagu hindi mengguna ‘pendrive’ yang diberikan mereka.

“Namun begitu, ‘pendrive’ ini gagal berfungsi menyebabkan timbul salah faham di antara kedua-dua pihak.

“Lelaki ini dikatakan memukul penjaga kelab itu, tetapi berjaya dileraikan oleh mangsa yang juga pemilik kolam udang,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Kok Liang berkata, lelaki yang tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa datang semula ke kelab itu bersama enam rakannya menyerang mangsa di hadapan kelab itu.

“Salah seorang daripada kumpulan itu menyerang mangsa menggunakan senjata tajam iaitu parang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian pipi dan kepala,” katanya.

Beliau berkata, mangsa mendapat rawatan awal dan menerima 12 jahitan di kepala sementara empat jahitan di sebelah mata kirinya sebelum dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk rawatan lanjut.

“Setelah beberapa hari menerima rawatan di hospital, mangsa meninggal dunia awal pagi semalam,” katanya.

Katanya, pihaknya telah memberkas dua lelaki berusia 28 hingga 29 tahun dan akan di reman bagi membantu siasatan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dengan niat boleh dikenakan hukuman mandatori, hukuman gantung sehingga mati jika disabitkan kesalahan,” katanya.SH

Ditahan kerana mencabul



LUNAS - Gara-gara gatal tangan seorang lelaki warga Indonesia berusia 30an ditangkap kerana mencabul seorang wanita berusia 36 tahun yang juga isteri orang di Pasar Malam Taman Desa Makmur kira-kira jam 8.15 malam, kelmarin.

Menurut mangsa, suspek pernah melakukan sedemikian terhadapnya beberapa kali sebelum ini dan dia memaklumkan perbuatan itu kepada suaminya.

Dengan bantuan Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) cawangan Lunas yang diketuai oleh ketuanya Loh Kean Theng, satu serbuan dirancang.

Kean Theng berkata, ketika kejadian mangsa sedang membeli barangan keperluan rumah. Suspek datang dari belakang dan memegang pinggul mangsa.

“Mangsa menjerit, suspek cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan oleh orang awam dan ahli PPKM yang berada di tempat kejadian.

“PPKM kemudiannya menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan unit MPV bagi membawa suspek ke Balai Polis Lunas, “ katanya.

Mangsa dan suaminya turut membuat laporan di balai polis sama terhadap kejadian yang berlaku terhadapnya.

Kean Theng menasihatkan pengunjung pasar malam terutama wanita supaya tidak memakai pakaian mengghairahkan selain membawa wang tunai dan memakai barangan kemas yang banyak.

“Ini mengakibatkan penjenayah terangsang melakukan perbuatan jenayah terhadap diri mereka. Sehingga kini beberapa perlakuan jenayah seperti cabul dan ragut pernah dilaporkan berlaku di kawasan tapak pasar malam, “ katanya.-SH

Harimau kumbang tokak kaki



BALING - Seorang penduduk Kampung Siong Lubuk Legong, Baling, Dollah Kacang, 32, bersabung nyawa selama setengah jam bagi melepaskan diri dari serangan harimau kumbang ketika dia bersama rakannya mencari hasil hutan di Bukit Lasau pada jam 8.30 pagi, semalam.

Mangsa yang juga merupakan keturunan Orang Asli Kensiu berkata, seramai 17 orang termasuk dirinya pergi ke kawasan Bukit Lasau untuk mencari rotan.

“Namun begitu. kami berpecah kepada beberapa kumpulan, kumpulan saya terdiri daripada lima orang rakan yang lain. Ketika saya dan rakan sedang mencari rotan, seekor harimau kumbang terjun dari pokok yang berdekatan lalu meluru ke arah rakan saya iaitu Zulkifli Kulim, 29.

“Rakan saya sempat membaling kayu ke arah harimau itu lalu harimau itu berpatah balik dan ingin menyerang saya pula. Saya tidak sempat mengelak dan terus jatuh apabila harimau itu menokak kaki kiri saya,” katanya.

Menurutnya, dia tidak dapat berbuat apa-apa kerana badan tersepit di kawasan batang rotan.

“Saya hanya mampu menolak harimau itu sekuat hati walaupun keadaan saya semakin lemah kerana harimau itu terus menokak kaki saya. Rakan-rakan saya turut membantu menarik ekor harimau itu. Namun. harimau itu masih tidak melepaskan gigitannya.

“Hampir setengah jam rakan saya membantu bagi melepaskan gigitan harimau itu sehinggalah saya dapat mengambil parang yang diikat di belakang pinggang saya seterusnya melibas parang tersebut di badan harimau itu,” katanya.

Menurutnya, harimau itu terus melarikan diri apabila badannya luka apabila dilibas parang.

Menurutnya, selepas kejadian, dia dikendong oleh abangnya yang turut mencari hasil hutan, untuk ke tempat yang selamat.

“Kumpulan kami berjalan sejauh kira-kira 12 kilometer untuk sampai ke kawasan pembalakan. Sampai di situ, kami meminta bantuan pembalak untuk membawa saya ke Klinik Kesihatan Kampung Lalang,” katanya.

Katanya, walaupun ini merupakan kejadian pertama yang berlaku dalam hidupnya, dia tidak berasa takut kerana situasi itu merupakan perkara biasa bagi penduduk di sini.

“Disebabkan itu, kami sentiasa akan bergerak dalam kumpulan. Ini adalah untuk mengelak sebarang perkara yang tidak dingini. Nasib baik rakan-rakan saya ada bersama untuk membantu,” katanya.

Wang penduduk dicuri toyol?



BAGAN AJAM - Lebih 100 keluarga di tiga kampung dekat sini hidup dalam keadaan tertekan dan keresahan berikutan wang simpanan mereka semakin kerap hilang.

Dakwa mereka, kehilangan itu dipercayai angkara perbuatan toyol berdasarkan beberapa kejadian aneh dilalui penduduk sebelum rumah mereka dimasuki dan wang simpanan disedari hilang.

Penduduk berkata, biarpun pelbagai cara diguna untuk menghalang kecurian itu termasuk menggunakan khidmat perubatan tradisional, namun sehingga kini kejadian itu terus berlaku dan ia kini semakin menjadi-jadi hingga merimaskan mereka.

Seorang penduduk, Abdul Aziz Ishak, 64, dari Kampung Contoh berkata, kecurian dipercayai angkara toyol itu mula berlaku awal Ogos lalu apabila wang di rumahnya sering didapati hilang.

“Peliknya, jumlah wang yang hilang itu bukannya banyak hanya sekadar RM50 dalam satu-satu masa, namun kejadian kecurian itu akan berulang menyebabkan jumlahnya kerugian dialami saya sahaja mencecah RM300.

“Sebagai orang lama saya dapat mengagak ia melibatkan toyol kerana makhluk ini hanya mengambil sejumlah RM50 sahaja pada satu masa biarpun pada masa sama terdapat sejumlah wang lain yang disimpan di dalam laci, poket seluar mahupun di bawah bantal,” katanya.

Peniaga kedai makan, Norzuliatun Nordin, 35, turut mengalami kejadian sama beberapa kali sebelum ini selepas menyedari wang simpanannya sering kurang sebanyak RM50 setiap hari.

“Saya percaya ini perbuatan toyol kerana sebelum menyedari wang simpanan hilang, saya sering terdengar rengekan suara kanak-kanak di kawasan rumah yang kemudiannya diikuti dengan perasaan seram dan gementar.

“Setiap kali selepas mengalami suasana begitu saya mendapati wang simpanan menjadi susut sebanyak RM50 dan kejadian terbaru dialami pada Ahad lalu apabila wang kutipan raya anak hilang sebanyak RM50,” katanya.

Menurutnya, selepas tujuh kali mengalami keadaan sama dia berjumpa dengan seorang pengamal perubatan tradisional dan dimaklumkan ia angkara toyol berdasarkan ia merengek seperti kanak-kanak sebelum memasuki rumah mangsanya.



Lima kali wang hilang



BAGI Huszaimi Abu Hassan, dari Flat Teluk Air Tawar berkata, dia lima kali mengalami kehilangan wang sejak mula menyambut puasa lalu.

“Selepas mendengar banyak rakan kehilangan wang, saya mula mengambil berbagai langkah keselamatan termasuk mengikut petua orang lama menghalau gangguan makhluk halus ini seperti menabur kacang hijau di muka pintu dan menyelitkan benda tajam seperti jarum dan paku didinding dan tepi tingkap.

“Namun semua usaha ini tak berkesan apabila mendapati kacang hijau itu berselerak seolah-olah diusik oleh toyol manakala paku dan jarum dicabut dan hilang menyebabkan saya turut mengalami nasib malang kehilangan wang akibat dicuri,” katanya.



Penduduk mengeluh



DALAM pada itu, kunjungan Sinar Harian ke beberapa rumah penduduk tiga kampung berkenaan mendapati kebanyakan mereka mengeluh kerana pelbagai langkah diambil termasuk berpakat menganjurkan majlis bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan surah Kursi namun kecurian itu masih berlaku.

Norma Bakar, 43, yang tiga kali mengalami kecurian berkata, dia dan penduduk lain mula menggunakan satu lagi petua baru iaitu mencucuk wang kertas RM50 dengan jarum bagi menghalang diambil toyol.

“Penduduk juga mengambil satu pendekatan lain iaitu mencucuk buah limau purut dengan paku yang kemudiannya diletakkan berdekatan wang simpanan dalam usaha menghalangnya dari hilang.

“Memang sah ini kerja makhluk halus itu kerana jika kita meletakkan wang kertas lain seperti RM10 dan RM5 ianya tidak terusik tapi jika terdapat wang kertas RM50 ia akan didapati hilang,” katanya.

Tak sempat curi motosikal

SEREMBAN – Cubaan dua lelaki untuk melarikan sebuah motosikal terbantut apabila terserempak dengan dua anggota polis trafik yang kebetulan membuat rondaan di Jalan Tuanku Munawir, dekat sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Md Yusoff Awang berkata, kejadian berlaku kira-kira 10 pagi, apabila kedua-dua suspek itu cuba melarikan sebuah motosikal jenis Honda EX-5 yang disyaki dicuri.

Beliau berkata, bagi mengelakkan daripada ditangkap, mereka kemudiannya meninggalkan motosikal terbabit di simpang jalan, sebelum kedua-duanya melarikan diri.

“Bagaimanapun, salah seorang daripada suspek berjaya diberkas tidak jauh daripada kawasan berkenaan. Namun, seorang lagi suspek dapat melarikan diri.

“Polis kini sedang giat memburu suspek dan kita meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut tentang kejadian berkenaan supaya menyalurkannya kepada pihak polis,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, kedua-dua suspek merupakan warga tempatan berusia dalam lingkungan 20-an dan polis sedang siasat latar belakang mereka.

Selain itu, katanya, polis turut menemui peralatan untuk kegiatan mencuri termasuk kunci pendua pada suspek.

“Suspek kini direman dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Md Yusoff berkata, polis menerima maklum balas baik daripada orang ramai berhubung saranan memaklumkan kepada balai polis berdekatan sebelum meninggalkan rumah untuk menyambut Aidilfitri di kampung masing-masing.

“Disamping itu, kadar kes jenayah membabitkan kes pecah rumah juga menunjukkan penurunan sebanyak 50 peratus pada musim perayaan ini berbanding tahun sebelumnya,” katanya.-SH

'Saya rasa teraniaya'



SIMPANG DURIAN - Seorang peniaga yang juga bekas pemilik sebuah stesen minyak di pekan ini membuat laporan polis apabila mendakwa dirinya dianiaya.

Peniaga terbabit, Mohd Yusoff Salleh berkata, lesen wakil penjual minyak selama lebih 20 tahun ditamatkan tanpa sebarang sebab munasabah.

Menurutnya, antara alasan yang diberikan oleh wakil syarikat petroleum terbabit adalah pihaknya menjual minyak diesel melebihi dari apa disyaratkan.

“Saya menerima surat daripada syarikat berkenaan yang menyatakan had jualan diesel hanya setakat 50,000 liter sahaja dalam sebulan.

“Pam minyak milik saya menjual diesel paling tinggi iaitu sebanyak 24 peratus daripada jualan diesel di kawasan lain sepanjang Jun 2010 hingga Jun 2011,” katanya.

Mohd Yusoff berkata, selepas itu, lesennya sebagai wakil penjual dan rakan niaga syarikat berkenaan ditamatkan pada 29 Jun 2011 serta pengurusan stesen minyak berkenaan diserahkan kepada pihak lain.

Berikutan masalah itu, Mohd Yusoff membuat laporan polis di balai polis Simpang Durian.

Menurutnya, tindakan membuat laporan polis itu juga didorong oleh sikap pengurus kawasan yang didakwa bersikap biadab terhadapnya.

“Pengurus itu mendakwa diri saya tidak bertanggungjawab dan mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya menerusi satu perbualan telefon,” katanya.

Katanya, dia juga diugut oleh pengurus terbabit yang mahu menamatkan lesen wakil penjual sekiranya dia menghebahkan perkara berkenaan.

“Bagaimanapun, lesen wakil penjual saya tetap ditamatkan meskipun perkara berkenaan tidak didedahkan kepada sesiapa,” katanya.-SH

Dirogol lelaki baru dikenali

BANDARAYA MELAKA - Seorang wanita bukan sahaja ditahan beberapa jam di dalam sebuah rumah, tetapi turut dirompak dan dirogol seorang lelaki baru dikenalinya.

Mangsa yang merupakan warga Indonesia berusia 38 tahun itu mendakwa, dia berkenalan dengan lelaki berkenaan di sebuah kedai kopi di Taman Malim Jaya, dekat sini, awal bulan ini.

Menurutnya, lelaki berkenaan mengajaknya ke sebuah pusat hiburan di Taman Melaka Raya, di sini.

Bagaimanapun, katanya, dia dibawa ke sebuah rumah dan lelaki berkenaan memberi alasan menunggu kawannya sebelum ke pusat hiburan berkenaan.

Menurutnya, apabila ‘kawan’ lelaki berkenaan tidak muncul, mangsa telah mendesak supaya dibawa pulang.

“Bagaimanapun, lelaki itu terus mengeluarkan pisau dan memaksa saya membuka pakaian sebelum merogol saya. Dia kemudiannya mengikat saya pada sebuah kerusi sebelum menghilang diri untuk beberapa jam,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mangsa yang merayu kemudian dibebaskan selepas telefon bimbit dan wangnya diambil lelaki terbabit, sebelum membuat laporan di Balai Polis Malim, dekat sini.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri, Datuk Chuah Ghee Lye mengesahkan sudah menerima laporan wanita berkenaan.

Menurutnya, polis juga sudah mengenalpasti lelaki berkenaan dan dijangka akan ditahan tidak lama lagi.
-SH

Bayi 7 bulan masih selamat

ALOR GAJAH - Bayi lelaki berusia tujuh bulan yang tercampak dari dakapan ibu saudaranya ketika membonceng motosikal dalam keadaan mukanya tersembam di atas permukaan jalan raya, selamat selepas terbabit dalam satu kemalangan maut, malam Selasa minggu lalu.

Dalam kejadian jam 9 malam di Jalan Masjid Tanah-Alor Gajah, berhampiran stesen minyak, penunggang motosikal, Nurkhairunnisa Abu Bakar, 23, disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Alor Gajah, sementara pemboncengnya pula hanya mengalami luka ringan di buku lali sebelah kaki kiri.

Bayi terbabit, Nur Mohd Airil Aiman, 7 bulan, muntah selepas kemalangan dihantar ke Hospital Alor Gajah kemudian dirujuk ke Hospital Melaka dan ditahan di wad kanak-kanak hospital berkenaan selama dua malam sebelum dibenarkan keluar wad.

Ibu bapa bayi itu, Hasmatullah Kamsani, 21, dan isteri yang juga kakak kepada pembonceng motosikal, Norini Aida Shakira Deraman, 32, ketika ditemui di rumah adiknya itu di Taman Pisang Emas, Gadek, dekat sini, bersyukur anaknya terselamat dari maut tanpa sebarang kecederaan.

“Kami bersyukur anak kami dan pembonceng motosikal yang juga adik kami terselamat tanpa sebarang kecederaan cuma Nur Mohd Airil lebam sedikit di belakang kepala setelah tercampak dalam keadaan mukanya terlungkup di permukaan jalan,” katanya malam kelmarin.

Pembonceng motosikal yang juga ibu saudara bayi terbabit, Suziliana Draman, 23, berkata, sebelum kejadian, berlaku banyak perubahan yang dapat dilihat antaranya, arwah Nurkhairunnisa beria-ia menyarung samping dan menyembur minyak wangi pada baju Melayu dipakai suaminya pada pagi hari raya.

“Selepas solat sunat Aidilfitri, arwah mengajak saya beraya di rumah ibu saudaranya di Pekan Masjid Tanah sebelum ke Lubok China berkunjung ke rumah rakannya dan bergerak balik kira-kira jam 8.30 malam itu dalam keadaan hujan renyai lalu singgah di Masjid Tanah mengisi minyak motosikal.

“Arwah juga sibuk menyatakan keinginan memperkenalkan teman lelaki yang juga abang ipar saya kepada kedua orang tuanya sekembalinya dari beraya di Ipoh dan katanya, Ramadan serta Syawal kali ini adalah terakhir bakal meninggalkan seribu satu kenangan indah dalam hidupnya,” katanya.

Suziliana berkata, ketika mereka keluar dari simpang stesen pam minyak berkenaan, dia ternampak cahaya lampu agak malap dari arah hadapan sebelum cahaya tadi menyuluh ke arah motosikal dinaiki dan merempuhnya kuat hingga Nur Mohd Airil yang tertidur ketika itu terlepas dari pangkuannya.

“Selepas dirempuh motosikal terbabit, saya tercampak ke belakang dalam keadaan kedua kaki melunjur atas jalan manakala arwah tercampak di sebelah kiri dalam keadaan terlentang dan menggelupur sementara muka Nur Mohd Airil tersembam di sebelah kanan.

“Saya pantas mencapai anak saudara yang tertiarap sebelum menghubungi suami bagi memaklumkan kemalangan yang berlaku dengan motosikal dinaiki lelaki warga asing,” katanya.

Menurutnya, tidak lama selepas itu datang seorang lelaki membantu mengambil Nur Mohd Airil dan seorang lelaki pertengahan umur membantu Nurkhairunnisa yang sedang nazak.

“Saya dapat melihat dengan jelas Nurkhairunnisa terbaring dan mengerang di sebelah kiri dalam keadaan menggelupur sambil menahan kesakitan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, dia sempat melihat lelaki warga asing yang turut terlibat dalam kemalangan itu cuba melarikan diri ke arah taman perumahan sebelum dikejar orang ramai.

“Orang ramai menahan lelaki terbabit sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

“Tetapi saya kesal kerana lelaki terbabit bukan sahaja tidak dikenakan sebarang tindakan, malahan dibebaskan tanpa syarat dengan alasan pihak berkuasa tiada kuasa menahan untuk mendakwanya berikutan lelaki terbabit bukan warganegara tempatan akan menyukarkan segala urusan,” katanya.-SH

Polis ambil keterangan pelanggan, saksi rompakan



KAJANG – Polis mengambil keterangan daripada tujuh pelanggan yang berada dalam kedai emas yang terlibat dalam rompakan di Pekan Kajang Isnin lalu dan saksi bebas yang berada berhampiran semasa kejadian lalu bagi membantu siasatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintenden Azman Ayob berkata, tujuh pelanggan yang berada dalam premis berkenaan dirakam percakapan selain saksi bebas serta melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di kawasan berhampiran.

“Berdasarkan pemerhatian dan siasatan yang dijalankan polis, kesemua suspek melarikan diri dengan menaiki dua motosikal jenis Honda Wave berwarna putih dan Yamaha LC warna merah menuju ke Sungai Chua, Kajang,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, polis juga percaya rakan suspek terlebih dahulu mengunjungi premis berkenaan sebelum mereka menjalankan kegiatan jenayah berkenaan berdasarkan maklumat awal yang diperolehi.

“Gerakan mengesan kesemua suspek sedang giat dijalankan dan orang ramai yang mengetahui berkenaan kejadian ini boleh menghubungi Balai Polis Daerah Kajang di talian 03-87362222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Sinar Harian kelmarin menyiarkan berkenaan tindakan empat lelaki yang bersenjatakan dua objek menyerupai pistol dan satu tukul besi hanya mengambil masa lima minit untuk melarikan lima dulang emas dalam kejadian rompakan di sebuah kedai emas di Jalan Besar, di sini.

Kesemua suspek yang memakai topi keledar penuh dan jaket hitam berusia lingkungan 30-an melarikan diri menggunakan dua motosikal yang diletakkan berhampiran kedai emas berkenaan.
-SH

Muka hancur terseret di jalan

SUBANG JAYA – Seorang remaja maut dalam keadaan mengerikan apabila wajahnya terseret beberapa meter di kilometer 26.5 Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) awal pagi, semalam.

Dalam kejadian itu, K Kishendran, 19, yang menunggang motosikal dikatakan tercampak beberapa meter dari tempat duduk kenderaan ditunggangi menyebabkan mangsa mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, rakan mangsa yang membonceng di belakang, D Gantan, 21, pula mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Serdang sejurus selepas kejadian dilaporkan.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 3.20 pagi ketika kedua-dua mangsa menaiki motosikal dari arah Pusat Bandar Puchong ke Putrajaya.

“Motosikal yang ditunggangi mangsa dipercayai dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kenderaan lain sebelum kedua-duanya tercampak ke atas jalan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, mangsa yang menunggang motosikal mati serta-merta di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan teruk di bahagian muka, kepala dan kehilangan darah yang banyak.

“Kita memerlukan kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya dapat berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Inspektor Mohammad Zul Helmi Khalid di talian 0378627222 untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
-SH

Tak sempat tukar tayar kereta



KUALA TERENGGANU - Niat murni seorang anak untuk menukar tayar kereta baru milik bapanya tidak kesampaian apabila dia maut dalam satu kejadian kemalangan di Jalan Kuala Terengganu-Kelantan di Kampung Felda Belara, di sini, petang semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3.20 petang menyebabkan mangsa, Mohd Halimi Nordin, 22, dari Kampung Banggol Kulim, Rantau Panjang, Kelantan maut di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah pada kepala dan badan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Abdul Halim Mohd Ishak berkata, mangsa yang memandu kereta jenis Honda Civic datang dari arah Kelantan dipercayai hilang kawalan selepas memotong sebuah kenderaan lain di hadapannya.

“Kereta yang dipandu mangsa terbabas kira-kira 40 meter dan berpusing beberapa kali lalu merempuh pembetung air sebelum terjunam ke dalam parit tali air sedalam kira-kira tiga meter.

“Mangsa yang tersepit di bahagian pemandu dikeluarkan oleh orang awam namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mayat mangsa yang bekerja sebagai juruukur di sebuah tapak projek Jelapang Padi, Setiu dihantar ke bilik mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk dibedah siasat, dan kereta milik bapanya itu kini ditahan di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut.-SH

Bebas hadapi tuduhan rogol

MARAN - Mahkamah Majistret Maran di sini membebaskan dua remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun daripada pertuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dalam kejadian pada 25 Mei 2009.

Remaja lelaki berusia 16 tahun dari Felda Jengka 15 dan rakannya dari Felda Jengka 14 itu didakwa melakukan kesalahan tersebut lebih kurang jam 3.20 petang bertempat di dalam bilik sebuah rumah di Felda Jengka 15 dekat Bandar Tun Abdul Razak Jengka.

Keputusan dibuat Majistret, Noor Zaihan Mohamad Ali selepas mendapati kedua-dua remaja itu tidak disabitkan dengan kesalahan tetapi didapati bersalah.

Mereka dibebaskan dengan bon jaminan berkelakuan baik di bawah Seksyen 91 (1) Akta Kanak-kanak 2001 tanpa cagaran selama dua tahun.

Dakwaan dilakukan di bawah seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh di penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun dan dikenakan sebatan.

Sementara itu, majistret di mahkamah sama turut membebaskan seorang remaja 19 tahun dari pertuduhan melakukan kekerasan jenayah cabul ke atas seorang remaja perempuan berusia 14 tahun pada 2 Mei lalu.

Remaja berasal dari Felda Jengka 1 itu didakwa melakukan kesalahan di Jalan Besar Felda Jengka 1 menghala ke Pekan Sungai Jerik pada jam 12.30 tengah hari dengan niat mencabul kehormatan melalui cara meraba bahagian belakang badan dari tengkuk hingga punggung.

Kesalahan didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan tersebut.

Remaja itu dibebaskan dengan bon jaminan berkelakuan baik di bawah Seksyen 173 A Kanun Tatacara Jenayah selama dua tahun dengan cagaran berjumlah RM1,500 selepas tidak disabitkan dengan kesalahan tetapi didapati bersalah dan akan menghadapi Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), tahun ini.

Cedera ditikam rakan sendiri



KUALA BERANG - Gara-gara tidak mahu bertanggungjawab biarpun motosikal dipinjamnya rosak selepas terbabit dalam kemalangan, seorang lelaki berumur 28 tahun menerima padah apabila dia ditikam rakannya sendiri dalam kejadian di hadapan sebuah stesen minyak, di sini, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, mangsa yang berasal dari Kampung Buluh dipercayai ditikam menggunakan sebilah pisau sehingga mengalami kecederaan pada tulang rusuk kiri dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu bagi mendapatkan rawatan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir berkata, terdahulu, mangsa meminjam motosikal daripadasuspek berumur 20-an yang juga rakannya dan berasal daripada satu kampung namun motosikal berkenaan mengalami kerosakan kerana terbabit dalam kemalangan.

“Mangsa dikatakan tidak mahu bertanggungjawab atas kerosakan itu sehingga mencetuskan pertengkaran antara mereka.

“Namun, pada malam kejadian (malam semalam), mangsa mengajak suspek berjumpanya di hadapan sebuah stesen minyak dengan alasan untuk menyelesaikan masalah di antara mereka,” katanya.

Mohd Rosli berkata, perjumpaan itu tidak semena-mena menyebabkan mangsa bertindak menyerang suspek sehingga berlaku pergelutan dan ketika itu suspek menggunakan pisau untuk mencederakan mangsa, menyebabkan mangsa mengalami cedera bahagian rusuk kiri.

“Terdahulu, ayah mangsa yang ketika itu menjalankan kerja-kerja pembaikan kabel di Perumahan Sungai Petai terdengar ada pergaduhan di hadapan stesen minyak berkenan tidak jauh dari tempatnya bekerja, bergegas ke lokasi kejadian untuk meninjau keadaan.

“Namun, sebaik mengetahui anaknya terbabit dalam pergaduhan itu, dia berusaha meleraikan pergelutan tersebut dan ketika itu didapati anaknya sudah cedera,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Mohd Rosli berkata, bapa mangsa juga ternampak seorang lelaki yang dikenali memegang sebilah pisau yang disyaki digunakan untuk menikam anaknya itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. 

Nenek lumpuh disamun



KUALA TERENGGANU - Malang buat seorang warga emas. Sudahlah lumpuh, dia turut menjadi mangsa samun oleh lelaki tidak dikenalinya dalam kejadian yang berlaku di rumahnya, di Kampung Titian Hangus, kelmarin.

Nenek berusia 81 tahun itu kehilangan sepasang subang pusaka akibat kejadian itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, mangsa, Manong Salleh yang lumpuh bahagian pinggang ke bawah sedang duduk seorang diri sambil melipat baju, sebelum didatangi seorang lelaki yang pada mulanya disangkakan anak saudaranya.

Menurut mangsa, ketika itu pintu rumahnya yang uzur itu berkunci dari dalam, namun ia dengan mudah dapat dibuka penjenayah terbabit.

“Lelaki yang menutup mukanya dengan tuala menyerbu masuk rumah dan kemudian terus mengilas tangan makcik ke belakang serta menyembamkan muka makcik ke lantai sebelum merentap subang pusaka yang diwarisi daripada arwah emak makcik, sebelum melarikan diri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Subang itu dianggar bernilai RM800.

Manong berkata, telinganya juga cedera akibat kejadian itu.

Dia kemudian membuat aduan polis dengan bantuan seorang jiran.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K Manoharan yang dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu. BERNAMA
-SH

Bergelut dengan penyamun

KOTA BHARU- Tindakan berani seorang anak bergelut dengan penyamun bersenjatakan parang dan bertopeng dapat menyelamatkan ibunya daripada menjadi mangsa curi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi semalam, seorang peniaga ikan cedera di tangan ketika bergelut dengan seorang daripada dua penyamun yang bersenjata ketika menceroboh masuk bilik ibunya, Hasmah Ali, 54,

Mangsa Saupi Jusoh, 28, yang bergelut di dalam bilik di rumahnya di Kampung Pulau Gajah, Pengkalan Chepa itu luka di ibu jari dan telunjuk terpaksa menerima 14 jahitan, selepas menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II.

Saupi berkata, ketika kejadian dia tidur di ruang tamu dan sebaik sahaja terdengar jeritan ibunya, dia bergegas masuk ke bilik sebelum bergelut dengan seorang lelaki bertopeng.

“Dalam keadaan samar-samar itu saya terus menerkam salah seorang lelaki kerana saya tidak ternampak dia memegang senjata dan bergelut dengannya lelaki tersebut demi menyelamatkan ibu saya.

“Ketika kami bergelut salah seorang daripada lelaki terbabit sempat melarikan diri dan dalam masa sama saya cedera serta dia juga luka kerana selepas kejadian ini saya melihat terdapat kesan darah di lantai rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Sementara itu, Hasmah berkata, ketika kejadian dia hanya mampu menjerit meminta pertolongan dan meronta-ronta tetapi tidak dapat bertindak agresif kerana mulutnya ditutup oleh salah seorang lelaki terbabit.

Hasmah juga bernasib baik kerana tindakan cepat anaknya itu menyebabkan pencuri tersebut berputih mata tidak dapat mengambil barangan termasuk barang kemas yang dipakainya bernilai kira-kira RM50,000

Katanya, akibat ketakutan kedua-dua lelaki terbabit meninggalkan sebilah pedang, sepucuk pistol mainan, esi pengumpil dan barangan yang ditemui itu diserahkan kepada polis.

“Saya mempercayai lelaki tersebut menceroboh masuk menerusi tingkap berdasarkan kesan umpil dan membuka pintu dapur untuk memudahkan mereka melarikan diri,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superitendan Idris Abd. Rafar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, sebaik menerima laporan, polis melancarkan gerakan memburu suspek untuk membantu siasatan.

”Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah pada malam hari dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun,” katanya.-SH

Pemandu ‘kereta terbang’ hilang



RANTAU PANJANG – Pengguna Lebuhraya Rantau Panjang-Pasir Mas dikejutkan kejadian ‘kereta terbang’ sejauh lebih 100 meter kira-kira jam 6 petang kelmarin.

Kereta datang dari arah Rantau Panjang menghala ke Pasir Mas dipercayai tidak dapat mengawal kenderaannya sehingga terbabas ke dalam gaung di laluan setentang.

Pemandu kereta jenis Wira itu difahamkan memandu sendirian tiada di tempat kejadian selepas kemalangan.

Sementara, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Senior Komisioner Haliludin Rahim berkata, kejadian berlaku di Kilometer 10 Jalan Kota Bharu, Rantau Panjang, Pasir Mas.

Menurutnya, mengikut maklumat awal yang diterima orang awam, kenderaan itu dipandu laju dan terbabas ketika cuba mengelak melanggar sebuah lori.

“Lori dipercayai datang dari arah sama sementara mangsa dan pemandu kereta bagaimanapun menghilangkan diri selepas kejadian.

“Kereta mangsa rosak teruk berikutan kemalangan itu,” katanya.-SH

Kononnya mahu datang beraya, dua lelaki ragut suri rumah

KUANTAN - Dua lelaki yang segak berpakaian Melayu, kononnya mahu datang berhari raya di rumah "Makcik Jenab", bertindak meragut seorang suri rumah yang sedang membersihkan laman rumahnya.

Ketika kejadian 9.30 pagi di Sungai Koyan, dekat Raub, itu mengakibatkan mangsa, 35, mengalami kerugian RM7,000 selepas rantai leher dan seutas loketnya diragut dua lelaki terbabit.

Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Supt Nordin Mustapha, sebelum kejadian, mangsa melihat kedua-dua suspek beberapa melintasi rumahnya dengan sebuah motosikal.

"Suspek kemudian memberhentikan motosikal di depan rumah mangsa dan berpura-pura bertanyakan rumah "Makcik Jenab", suspek beritahu dia dan rakannya hendak beraya di rumah "Makcik Jenab"," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Suspek berusia lingkungan 20 hingga 30an itu kemudiannya bertindak meragut rantai leher mangsa.
"Berlaku pergelutan antara suspek dengan mangsa sebelum salah seorang suspek tiba-tiba mengeluarkan sebilah parang dari dalam baju Melayu yang dipakainya," katanya.

Mangsa yang tergamam kemudiannya membiarkan suspek meragut rantainya sebelum kedua-dua mereka melarikan diri.

Beliau berkata mangsa kemudiannya membuat laporan di balai polis Sungai Koyan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.- Bernama, SH

Tiga pegawai kanan buat laporan polis

KUALA LUMPUR 7 Sept. - Tiga pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan ditahan berhubung isu pemberian tender logistik di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman seperti yang disiarkan sebuah blog Gerakan Anti PKR, sebelum ini.
Menurut Pengarah Logistik Bukit Aman, Datuk Zulkifli Abdullah, laporan yang dibuat pada 4 Ogos lalu itu adalah bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial.
"Ketiga-tiga pegawai berkenaan membuat laporan itu bagi menafikan dakwaan tersebut yang dianggap tidak benar.
"Secara umum, proses perolehan yang dijalankan mengikut peraturan ditetapkan, ada spesifikasi dan beberapa peraturan yang perlu dipatuhi, pihak polis hanya menyediakan cadangan keperluan yang perlu dikaji terlebih dahulu," katanya di sini, hari ini.
Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) sebelum ini menggesa PDRM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat empat blog yang didakwa mendedahkan aktiviti penyelewengan dan penglibatan pihak Israel dalam pemberian projek di Ibu Pejabat PDRM, Bukit Aman.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu mendakwa pendedahan tersebut bukan perkara remeh memandangkan wujud penglibatan seorang lelaki yang mempunyai hubungan baik dengan Israel dan Singapura.
Ketua Wira Perkasa Malaysia, Irwan Fahmi Ideris termasuk 10 ahlinya hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi baru-baru ini untuk membuat laporan polis berhubung perkara itu.
Irwan Fahmi berkata, laporan dibuat susulan pendedahan oleh empat laman blog baru-baru ini, iaitu gerakan-anti-pkr.blogspot, darulehsantoday.blogspot, kerisputera.blogspot dangeraktimur.blogspot yang dianggap boleh mengancam keselamatan negara.
Blog tersebut memaparkan dengan jelas pada 22 Jun lalu, maklumat lengkap termasuklah nombor kontrak projek berkenaan, individu yang terlibat malah maklumat daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Penagih dadah hidup mewah tipu tiga bank, akhirnya dicekup

PULAU PINANG 7 Sept. - Tanda tanya tentang kehidupan mewah seorang penagih akhirnya terbongkar setelah dia didapati memperdaya sekurang-kurangnya tiga buah bank komersial untuk memiliki lapan kad kredit dengan cara memalsukan dokumen.
Had penggunaan bagi setiap kad kredit itu pula mencecah sehingga RM15,000 dan digunakan untuk berhibur serta membeli barangan mewah seperti jam berjenama dan barang kemas sejak setahun lalu.
Kegiatan licik lelaki yang tidak bekerja itu menyebabkan bank-bank terbabit mengalami kerugian hampir RM100,000 selain gagal mengambil tindakan undang-undang ke atasnya.
Bagaimanapun, kegiatan suspek berusia 48 tahun itu akhirnya terbongkar selepas ditahan di rumahnya di Taman Sinar Pelangi, Jelutong di sini, pukul 12.30 tengah hari semalam, selepas lebih tiga bulan menjadi buruan polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Asisten Komisioner Roslee Chik berkata, pemeriksaan polis mendapati, suspek mempunyai dua kad pengenalan palsu dan lapan keping kad kredit yang dipohon menggunakan dokumen palsu.
"Suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan seorang penagih dadah hidup mewah dengan menjalankan kegiatan penipuan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.
Roslee memberitahu, suspek disyaki turut menghasilkan dokumen-dokumen palsu termasuk MyKad, lesen memandu dan cukai jalan sebelum dijual kepada individu tertentu dengan harga RM60 hingga RM100 setiap satu.
"Ia berikutan penemuan sebanyak 31 MyKad, lesen memandu serta cukai jalan palsu selain barangan seperti komputer, telefon, pencetak dan cip kad telefon yang dipercayai digunakan suspek untuk tujuan itu.
"Kita menerima maklumat kira-kira 50 keping dokumen seperti cukai jalan dan lesen memandu palsu dijual oleh suspek di sekitar Pulau Pinang dan kita meminta pelanggannya tampil menyerah diri kerana kegiatan itu salah di sisi undang-undang," katanya.
Menurut beliau, suspek ditahan reman sehingga Jumaat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Pesara tentera rugi RM2 juta

KUALA LUMPUR 7 Sept. – Seorang pesara tentera kerugian hampir RM2 juta setelah ditipu oleh sekumpulan lelaki warga Senegal yang berlagak alim dan kononnya boleh menambah rezeki serta mengubah nasib malang mangsa bersama keluarganya.
Mangsa berusia 59 tahun mula menyerahkan wang kepada penjenayah terbabit sejak berkenalan dengan dua anggota kumpulan itu di sebuah surau di Seksyen 10, Wangsa Maju di sini pada 2009.
Lelaki warga emas terbabit bagaimanapun hanya menyedari tertipu baru-baru ini, lalu membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan tiga anggota kumpulan itu di Hotel J.W Marriot, Bukit Bintang, di sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghani berkata, mangsa mula menyerahkan wang secara berperingkat sejak perkenalan dengan dua anggota sindiket tersebut.
Dalam pertemuan itu, katanya, suspek yang berlagak alim dan arif tentang ilmu agama berjaya memperdayakan mangsa agar mempercayai bahawa dia dan keluarganya akan ditimpa nasib malang.
“Suspek menipu mangsa dengan mengatakan nasib dia bersama keluarganya akan dirundung malang, malah nyawa mereka juga dalam bahaya.
“Perkara itu bagaimanapun boleh dihindarkan jika mangsa melakukan sembahyang, membayar zakat dan korban dengan menyerahkan wang kepada mereka untuk menguruskannya,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Izany, suspek turut mendakwa mangsa akan memperoleh rezeki berlipat-ganda jika melakukan semua perkara tersebut.
Beliau berkata, mangsa yang mendakwa seperti dipukau kemudian bersetuju lalu menyerahkan wang kepada suspek secara berperingkat sama ada diberi secara tunai atau dimasukkan ke dalam akaun penjenayah berkenaan.
Katanya, sejak 2009 sehingga tahun ini, mangsa telah menyerahkan wang hampir RM2 juta kepada penjenayah terbabit tetapi akhirnya berhenti berbuat demikian apabila menyedari dia ditipu.
“Hasil laporan dibuat mangsa baru-baru ini, sepasukan anggota polis dari JSKJ Sentul telah membuat siasatan dan berjaya memberkas tiga anggota kumpulan itu di Hotel J.W Marriot pada pukul 3 petang semalam.
“Lelaki Senegal masing-masing berusia 32, 39 dan 40 tahun itu bagaimanapun bukanlah suspek yang ditemui mangsa di surau pada 2009 tetapi mereka turut terlibat dalam kegiatan penipuan tersebut.
“Dua daripada mereka merupakan pelajar kolej swasta, manakala seorang lagi memasuki negara ini sebagai pelawat,” katanya sambil memberitahu ketiga-tiga suspek direman empat hari bermula hari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.-utusan

Kes gadis dibakar tarik perhatian keluarga dari Papua New Guinea

KUALA LUMPUR 7 Sept. - Usaha mengesan identiti mayat seorang gadis yang ditemui dibakar di Bukit Belacan, Ampang dekat sini kelmarin, mengejutkan pasukan polis apabila turut mendapat perhatian sebuah keluarga dari Papua New Guinea (PNG) yang kehilangan anak gadis.
Keluarga itu yang terbaca mengenai penemuan mayat gadis berusia 17 atau 18 tahun di sebuah laman web telah menghubungi Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Walaupun gadis itu hilang di PNG, namun keluarganya bersedia menghantar gambar melalui e-mel untuk pengecaman mayat.
Amiruddin berkata, dalam perbualan telefon yang diterimanya pagi ini, keluarga itu menjelaskan secara terperinci kehilangan gadis tersebut dan mereka percaya mungkin kehilangannya ada kaitan dengan sindiket antarabangsa.
Menurutnya, selain itu, sebuah keluarga dari Johor turut membuat laporan tentang kehilangan ahli keluarga mereka.
"Keluarga dari Johor itu akan menghantar gambar dalam tempoh terdekat untuk membuat pengecaman mayat.
"Polis daerah ini juga mengalu-alukan keluarga lain yang kehilangan anak gadis mereka supaya tampil membuat laporan dan melakukan pengecaman mayat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, seorang pengusaha gerai di Lembah Jaya Utara, Jalan Bukit Belacan, Ampang, terkejut apabila mendapati objek hangus dalam parit di seberang jalan berhadapan rumah yang mulanya disangka anak patung rupa-rupanya adalah mayat remaja perempuan yang mati dibakar.

Lelaki didakwa terima rasuah RM500

ALOR SETAR 7 Sept. - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah RM500 daripada seorang peniaga kereta sewa pada Februari tahun lalu.
Rizal Roplis, 38, dari Kampung Pulau Pisang Tunjang membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa kepadanya di hadapan Hakim Mohd. Rosli Osman.
Rizal yang bekerja kampung didakwa menerima wang tunai tersebut daripada Ahmad Farid Idrus sebagai dorongan untuk membantu mendapatkan semula kereta sewa Perodua Viva bernombor pendaftaran KCM 657 kepada lelaki itu.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Restoran Nasi Kandar Nasmir di No. 47 dan 48 Jitra, Kubang Pasu kira-kira pukul 10.10 malam, 12 Februari 2010.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.
Di bawah seksyen tersebut, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda maksimum lima kali ganda nilai suapan atau denda RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), A. Hafiizh Abu Bakar yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan dia menanggung isteri dan lima anak termasuk dua yang masih bersekolah.
Mohd. Rosli membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 10 Oktober ini.

Judi haram


SHADAN Othman (tiga dari kiri) memeriksa salah sebuah kafe siber dalam operasi membanteras kegiatan perjudian internet dalam satu operasi di Alor Gajah, Melaka, malam tadi.



Usaha membasmi kegiatan perjudian Internet terus diperhebatkan apabila Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) bertindak menyerbu 10 kafe siber yang disyaki menjalankan kegiatan terbabit dalam satu operasi malam tadi.
Operasi bersepadu membabitkan 21 anggota terdiri daripada penguat kuasa MPAG, dan polis itu dijalankan di sekitar Masjid Tanah, pekan Alor Gajah dan Pulau Sebang.
Turut terlibat dalam operasi itu beberapa kakitangan Jabatan Agama Islam Melaka.
Setiausaha MPAG yang mengetuai operasi itu, Shadan Othman berkata, hasil serbuan operasi yang bermula pukul 9 malam sehingga 12.30 malam itu, dua lesen perniagaan telah dirampas kerana kesalahan melanggar syarat lesen.
“Sebanyak 10 kompaun telah dikeluarkan termasuklah kesalahan menjalankan perniagaan melebihi had masa, membenarkan kanak-kanak bawah umur memasuki premis tersebut,” katanya di sini.

Pukul isteri: Pemandu lori didenda

PETALING JAYA 7 Sept. - Gara-gara mencederakan isteri dengan memijak bahagian belakang badan wanita itu pada Sabtu lalu, seorang pemandu lori didenda RM800 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
T. Sivaraman, 39, dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku melakukan kesalahan itu terhadap M. Parameswari, 47, di No. D315, Blok D, Pangsapuri Seri Cempaka, Puchong di sini pada pukul 11.30 malam, 3 September lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu, tertuduh yang diminta untuk menjelaskan kepada mahkamah punca dia berbuat demikian memberitahu, mangsa yang merupakan isteri daripada perkahwinan keduanya telah memukul dua orang anaknya hasil perkongsian hidup bersama isteri pertama yang telah meninggal dunia.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Majistret Surya Wati Shawal sempat menasihatkan agar tertuduh tidak mengambil tindakan sendiri sebaliknya menyerahkan perkara tersebut kepada pihak polis.
Sementara itu, di mahkamah sama, seorang pekerja kilang dilepas tanpa dibebaskan daripada tuduhan memukul isterinya sehingga menyebabkan wanita itu cedera parah di mata sebelah kiri.
Surya Wati membuat keputusan tersebut setelah Juli Agustini, 34, yang merupakan warga Indonesia menarik balik laporan polis yang dibuat terhadap suaminya.
Mohd. Rozeman Mohd. Yusoff, 33, didakwa melakukan perbuatan itu di No. 0606, Blok 9, Pangsapuri Subang Hijauan Jalan Bintang U5/33, Seksyen U5 Shah Alam dekat sini pada pukul 11 pagi, 2 Jun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

70 murid SK Othman Shawal keracunan selepas minum susu sekolah

MELAKA 7 Sept. - Seramai 70 murid Sekolah Rendah Kebangsaan Othman Shawal, Kuala Sungai Baru, Alor Gajah di sini mengalami keracunan makanan selepas meminum susu kotak yang dibekalkan pihak sekolah pagi ini.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Azmi Hashim berkata, sebanyak 23 pelajar perempuan dan 47 pelajar lelaki mengalami sakit perut dan muntah pada pukul 10.30 pagi.
"Semua pelajar yang terlibat telah dirawat sebagai pesakit luar dan semua mereka telah dibenarkan pulang.
"Terdapat tanda-tanda awal keracunan pada susu itu apabila ia didapati berasa masam dan kita telah menghentikan pemberian susu itu serta-merta," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurutnya, sebanyak 681 lagi kotak susu telah disita dan pemantauan lanjut sedang dilakukan.
Pada Jun lalu, keracunan sama berlaku melibatkan 97 murid di tiga sekolah rendah di Melaka yang mengalami sakit perut, muntah dan cirit-birit selepas tiga jam meminum susu kotak berperisa coklat berjenama Dutch Lady yang diproses pada suhu tinggi (UHT) itu.
Tiga sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Selandar, Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka As-Syakirin, Selandar dan SK Lendu di Alor Gajah.

Budak cemas, kaki terperosok dalam mangkuk tandas


Anggota bomba membantu mengeluarkan kaki kiri Ahmad Aminuddin Mohamed yang terperosok dalam lubang mangkuk tandas di Kampung Sungai Kelong, Pasir Puteh, semalam.



PASIR PUTEH 7 Sept. - Seorang budak lelaki berusia 10 tahun cemas dan hanya mampu menjerit kesakitan apabila kaki kirinya terperosok dalam lubang mangkuk tandas di rumahnya di Kampung Sungai Kelong, dekat sini, hari ini.
Kejadian berlaku pada pukul 3.30 petang, apabila Ahmad Aminuddin Mohamed, murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Bukit Abal, Selising dekat sini, tergelincir akibat lantai bilik air yang licin menyebabkan kaki kirinya terus terperosok ke lubang mangkuk tandas cangkung berkenaan.
"Pada mulanya saya menganggap ia sebagai kejadian biasa, tidak rasa takut kerana hanya sebelah kaki sahaja yang tergelincir masuk ke dalam lubang tandas.
"Namun, selepas beberapa kali saya cuba menarik untuk melepaskan kaki kiri gagal, saya mula takut dan menjerit sekuat hati meminta pertolongan," katanya ketika ditemui di rumahnya.
Bapanya, Mohamed Yaacob, 51, berkata, menyedari jeritan kuat anaknya itu, mereka sekeluarga bergegas memecahkan pintu tandas dan menghubungi pihak Bomba dan Penyelamat untuk mendapatkan bantuan.
Sementara itu, ketua operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Juhan Abd. Ghani berkata, pihaknya mengambil masa 20 minit untuk mengeluarkan kaki kiri Ahmad Aminuddin dengan kaedah yang selamat bagi memastikan kakinya tidak luka, patah atau terseliuh.
"Kami menggunakan sejenis alat untuk memudahkan proses melepa dan memecahkan mangkuk tandas serta mengeluarkan kaki mangsa dengan selamat," katanya.
Menurutnya, kejadian itu merupakan kes ketiga di daerah ini dan menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika menggunakan tandas terutama melibatkan penggunaan air sabun.