Search This Blog

Wednesday, September 7, 2011

Subang pesaka nenek lumpuh dilarikan perompak

KUALA TERENGGANU: Seorang nenek berusia 81 tahun yang lumpuh kehilangan sepasang subang pesaka akibat dirompak oleh lelaki tidak dikenali di rumahnya di Kampung Titian Hangus di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.00 petang, mangsa Manong Salleh yang lumpuh bahagian pinggang ke bawah sedang duduk seorang diri sambil melipat baju sebelum didatangi oleh seorang lelaki yang pada mulanya disangkakan anak saudaranya.
Menurut mangsa, pada ketika itu pintu rumahnya yang uzur itu berkunci dari dalam, namun dengan mudah dapat dibuka oleh lelaki berkenaan.

"Lelaki yang menutup mukanya dengan tuala menyerbu masuk rumah dan kemudian terus mengilas tangan makcik ke belakang dan menyembamkan muka makcik ke lantai sebelum merentap subang pesaka yang diwarisi daripada arwah emak makcik, dan melarikan diri," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.


Subang itu dianggar bernilai RM800.

Manong berkata telinganya cedera akibat diragut perompak itu.

Beliau kemudian membuat aduan polis dengan bantuan seorang jiran.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K Manoharan yang dihubungi
mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu. - Bernama, hmetro

Sindiket penipuan kad kredit tumpas


KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Asisten Komisioner Roslee Chik (kiri) menunjukkan kad pengenalan dan lesen memandu palsu yang dirampas selepas berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam sindiket penipuan kad kredit, cukai jalan palsu, lesen palsu dan kad pengenalan palsu membabitkan kerugian sebanyak RM98,000 di Taman Sinar Pelangi, Jelutong, di Georgetown, hari ini. - foto Asman Ibrahim



GEORGE TOWN: Polis menumpaskan satu sindiket penipuan kad kredit membabitkan kerugian sebanyak RM98,000 apabila menahan seorang lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Sinar Pelangi, Jelutong di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang ACP Roslee Chik berkata lelaki berusia 44 tahun yang dipercayai ketua sindiket berkenaan ditahan pada jam 12 tengah hari semalam.
"Polis menjalankan siasatan serta risikan sejak tiga bulan lalu selepas tiga buah bank komersial membuat laporan polis berhubung penipuan identiti pemilik kad kredit selepas mereka kerugian RM98,000," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata dalam serbuan di rumah sewa lelaki itu, polis merampas lapan kad kredit yang dipohon menggunakan dokumen palsu antaranya kad pengenalan, borang Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.


Roslee berkata siasatan mendapati lelaki terbabit adalah penagih dadah tegar
dan menggunakan identiti serta dokumen palsu bagi anggota sindiketnya memohon
kad kredit dari bank. - Bernama, hmetro

Kontraktor mati, isteri parah dalam rompakan

JOHOR BAHARU: Seorang kontraktor syarikat perkapalan maut, manakala isterinya cedera parah selepas ditetak dalam satu rompakan di kediaman mereka di Jalan Tasek 24, Bandar Seri Alam di sini semalam.
Mangsa, S Vijayaratnam, 47, yang ditetak di belakang kepala disahkan meninggal dunia jam 12.04 malam selepas dimasukkan ke Hospital Pakar Regency di sini, manakala isterinya, G Vijayalakshmi, 45, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama.
Mereka dipercayai dirompak oleh empat lelaki bersenjatakan parang.

Salah seorang suspek berusia 39 tahun turut maut apabila kereta Proton Perdana milik mangsa yang dilarikan bersama rakannya terbabas lalu merempuh sebatang pokok kira-kira satu kilometer dari rumah mangsa.


Menurut pembantu rumah mangsa warga negara India, P Rasathi, 31, ketika
kejadian jam 7.30 malam itu, kedua-dua majikannya sedang bersembahyang di luar
rumah manakala anak kedua mereka V Deeliip, 12, berada di bilik di tingkat
atas.

Perompak tersebut membawa pasangan berkenaan ke tingkat atas sebelum menggeledah dan mencari barangan berharga.

Vijayaratnam ditetak kerana anaknya enggan keluar dari bilik yang dikunci dari dalam sebaik menyedari rompakan itu.

Rasathi yang terlalu takut turut menyerahkan barangan kemas miliknya kepada penjenayah terbabit.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, sebaik sampai di lokasi kemalangan pihaknya menemui dua daripada suspek dalam keadaan parah.

"Suspek yang memandu kereta curi tersebut meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakannya berusia 31 tahun cedera parah. Polis turut menemui semula barang kemas dan telefon bimbit milik mangsa dalam kereta tersebut," katanya.

Polis masih memburu dua lagi rakan suspek dan tidak menolak kemungkinan kesemua suspek sedang mabuk ketika melakukan rompakan.

Katanya, suspek yang mati dan yang cedera parah itu tidak memiliki rekod jenayah lampau dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Bernama

Dua Lelaki Didakwa Bunuh Bekas Komando

Oleh SALWA SHA’ARI
KUALA LUMPUR: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, atas tuduhan membunuh seorang bekas komando Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), Shariff Din, minggu lalu.
Tertuduh, Zakaria Ali, 32, dan Wan Farid Wan Ramli, 24, hanya mengaku bahawa mereka faham akan pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Siti Shakirah Moktaruddin.
Kedua-dua mereka didakwa membunuh Shariff, 47, pada pukul 3.15 pagi, 28 Ogos lalu di bawah Blok A, PPR Taman Wahyu 2, Off Jalan Ipoh, dekat sini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Abu Hassan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding itu, Zakaria dan Wan Farid tidak diwakili peguam.
Siti Shakirah menetapkan kes disebut semula pada 8 November depan.
Media sebelum ini melaporkan, Shariff maut akibat ditikam oleh salah seorang daripada dua lelaki yang sedang memecah sebuah kereta milik penduduk di kawasan perumahan itu.
Jenazah bapa kepada empat orang anak itu dibawa pulang ke Parit Buntar, Perak, untuk dikebumikan di sana.
Pada 3 September lalu, Ketua Polis Sentul Asisten Komisioner (ACP) Zakaria Pagan menyampaikan surat penghargaan dan sumbangan wang kepada balu allahyarham, Fauziah Ahmat Alwi, 50, di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Wahyu, Jinjang, di sini.-mstar

Seorang Terbunuh, Dua Cedera Parah Di Sibu

SIBU: Seorang pemandu terbunuh manakala dua lagi cedera parah dalam satu kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Tunku Osman di sini pukul 8.40 pagi, Rabu.
Kushaini Sulong, 39, seorang pemandu di Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri di Kuching, meninggal dunia di tempat kejadian.
Seorang lagi lelaki, Ranno Mainor, 24, yang menaiki kenderaan pacuan empat roda yang dipandu Kushaini, cedera parah.
Kushaini, Ranno dan Mohd Khairul Sharizan, 27, dari Jabatan Pelajaran di sini sedang dalam perjalanan dari Sibu untuk menghantar kertas peperiksaan Ujiian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dalam kenderaan pacuan empat roda.
Mereka diikuti oleh tiga yang lain dalam sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda.
Bagaimanapun, mereka hanya cedera ringan.
Turut cedera parah seorang lelaki berumur 24 tahun yang memandu Toyota Hilux yang bertembung dengan dua kenderaan lain.
Menurut Ketua Polis Sibu ACP Shafiee Ismail, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila pemandu Toyota Hilux, yang datang dari arah bertentangan, hilang kawalan.
Ia melanggar pembahagi jalan dan bertembung dengan kenderaan yang dipandu Kushaini sebelum melanggar kenderaan lain yang mengikuti dari belakang. -BERNAMA, mstar

4 kereta di PPR Batu Muda terbakar





PEMILIK kenderaan, Normala Shariff 39, melihat sebahagian keretanya yang terbakar akibat terkena api dari pembakaran sampah oleh pihak tidak bertanggungjawab. Kejadian ini mengakibatkan empat buah kereta rosak di PPR Batu Muda, hari ini. - Foto Abdullah Yusof


KUALA LUMPUR: Empat kereta yang diletak di kawasan parkir Projek Perumahan Rakyat Batu Muda, Jalan Ipoh di sini dilaporkan musnah awal pagi tadi dipercayai disambar api dari kebakaran yang berlaku di tempat pembuangan sampah yang berhampiran.

Kejadian kira-kira 4 pagi itu memusnahkan sebuah kereta Proton Wira, dua Toyota Vios dan sebuah Nissan Terrano.

Pemilik kereta Proton Wira, Syukri Mad Darus, 30, berkata beliau hanya menyedari kebakaran keretanya pada bahagian enjin pada pukul 6 pagi apabila diberitahu jiran-jirannya.

"Apabila saya turun ke bawah, api sudah dapat dipadam. Ada jiran-jiran saya nampak api pada pukul 4 pagi di kawasan berdekatan tempat pembuangan sampah," katanya yang menganggarkan kerugian keretaya antara RM5,000 hingga RM6,000.

Pemilik Nissan Terrano, Sofian Aminsah, 42, berkata keretanya terbakar pada bahagian belakang.

Beliau dikejutkan dari tidur oleh anak saudaranya untuk memberitahu tentang kebakaran itu pada jam 4 pagi.

"Setengah jam kemudian, bomba datang dan memadam api yang sedang marak," katanya. - BERNAMA . bharian

Pemandu bas Sani Ekspres kena 4 tahun penjara

PEMANDU bas dua tingkat Sani Ekspres, Mohd Kamil Mohd Rashid, 38, yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan 10 penumpangnya di KM 272.7 Lebuh Raya Utara-Selatan, Disember 2009 lalu, dijatuhi hukuman empat tahun penjara dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Trafik di Ipoh, hari ini. - Foto NSTP, bharian
IPOH: Pemandu bas dua tingkat Sani Ekspres yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan 10 penumpangnya di Lebuh Raya Utara-Selatan di sini, Disember 2009 lalu, dijatuhi hukuman empat tahun penjara dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Trafik di sini, hari ini.

Mohd Kamil Mohd Rashid, 38, didapati bersalah memandu secara melulu dan berbahya menyebabkan kemalangan itu di KM 272.7 Lebuh Raya Utara-Selatan, pada 26 Disember 2009.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara selama enam bulan jika gagal memabayar denda berkenaan, selain menggantung lesen memandu tertuduh selama tiga tahun.
-bharian

3 maut, 3 parah van terbabas parit di Bukit Merah

BAGAN SERAI: Tiga terbunuh, tiga lagi parah apabila sebuah van yang dinaiki 11 orang terbabas ke dalam parit di Kilometer 186.6, Lebuh Raya Utara-Selatan, dekat Bukit Merah, 5.40 pagi tadi.

Ketika kejadian van berkenaan dalam perjalanan dari Muar ke Universiti Utara Malaysia (UMM) di Sintok, Kedah.
Mereka yang terbunuh ialah pemandu van Chua Wee Chor, 33, Tukijah Isa, 59, dan anaknya Nurul Haniza Mohd Jamil, 34.
Mangsa yang parah ialah suami Tukijah, Mohd Jamil Anuar, 68, anak lelaki mereka Mohd Nazir, 29, dan cucu mereka Aliya Madiha Abdullah, 1 tahun. 

Seorang pemandu terbunuh, dua cedera parah

SIBU: Seorang pemandu terbunuh manakala dua lagi cedera parah dalam satu kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Tunku Osman, di sini, jam 8.40 pagi hari ini.

Kushaini Sulong, 39, seorang pemandu di Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri di Kuching, meninggal dunia di tempat kejadian.
Seorang lagi lelaki, Ranno Mainor, 24, yang menaiki kenderaan pacuan empat roda yang dipandu Kushaini, cedera parah.
Kushaini, Ranno dan Mohd Khairul Sharizan, 27, dari Jabatan Pelajaran di sini sedang dalam perjalanan dari Sibu untuk menghantar kertas peperiksaan Ujiian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dalam kenderaan pacuan empat roda.

Mereka diikuti oleh tiga yang lain dalam sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda. Bagaimanapun, mereka hanya cedera ringan.

Turut cedera parah seorang lelaki berusia 24 tahun yang memandu Toyota Hilux yang bertembung dengan dua kenderaan lain.

Menurut Ketua Polis Sibu, ACP Shafiee Ismail, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila pemandu Toyota Hilux, yang datang dari arah bertentangan, hilang kawalan.
Ia melanggar pembahagi jalan dan bertembung dengan kenderaan yang dipandu Kushaini sebelum melanggar kenderaan lain yang mengikuti dari belakang. - BERNAMA 

Ugut gambar bogel: Juruwang dipenjara

KUALA LUMPUR – Seorang juruwang kafe Internet dijatuhi hukuman penjara 11 bulan dan denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas didapati bersalah memiliki dan mengugut untuk menyiarkan gambar bogel seorang wanita pada Jun lepas.
Majistret Abdullah Siddiq Mohd Nasir menjatuhkan hukuman itu selepas Muhamad Sukri Kassim, 21, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan dan denda RM1,000 bagi pertuduhan pertama atau penjara lima bulan jika tidak membayar denda, manakala bagi pertuduhan kedua, Muhamad Sukri dikenakan penjara 11 bulan dan denda RM1,500 atau penjara tujuh bulan jika tidak membayar denda.
Abdullah Siddiq memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu serentak mulai hari ini.
Bagi pertuduhan pertama, Muhamad Sukri yang berasal dari Segamat, Johor, didakwa dengan niat telah mengugut mangsa yang berusia 21 tahun untuk menyiarkan gambar bogelnya.
Kesalahan didakwa berlaku di Blok A-3-18, Kelompok Bambu A, Jalan AU2, Keramat Wangsa, pada 2.30 petang 15 Jun lalu.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa dengan niat memiliki gambar dan video lucah yang tersimpan di dalam telefon bimbitnya, di Blok 30, Bangunan Flat PKNS, Jalan Plumbum 7/97. Seksyen 7, Shah Alam, pada 4.20 petang 16 Jun lalu. – Bernama

Dua dituduh terima deposit tanpa lesen

KUALA LUMPUR - Dua pengarah syarikat skim cepat kaya, Business Time Dina, hari ini diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan menerima deposit tanpa lesen sah daripada orang awam berjumlah RM200,000.
Hakim S.M Komathy Suppiah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh Hasri Mohd Noor, 41, dan Hazlan Abd Hamid, 39.
Mahkamah menetapkan 12 September ini untuk kedua-dua tertuduh membela diri.
Kedua-dua tertuduh atas kapasiti sebagai pengarah syarikat didakwa menerima deposit tersebut daripada orang awam tanpa memegang lesen sah mengikut Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989 di Wisma MPL, Jalan Raja Chulan di sini, pada 25 Februari.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM10 juta, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Syarikat Business Time Dina yang menjalankan perniagaan berbentuk perdagangan itu turut menghadapi pertuduhan menerima deposit dari sebuah syarikat tanpa lesen mengikut akta yang sama, pada waktu dan di tempat yang sama. – Bernama

4 kereta terbakar disambar api sampah


PEMILIK kenderaan, Normala Shariff 39, melihat sebahagian keretanya yang terbakar akibat terkena api dari pembakaran sampah oleh pihak tidak bertanggungjawab. Kejadian ini mengakibatkan empat buah kereta rosak di PPR Batu Muda, hari ini. - Foto Abdullah Yusof


KUALA LUMPUR – Empat buah kereta yang diletak di kawasan letak kereta Projek Perumahan Rakyat Batu Muda, Jalan Ipoh di sini dilaporkan musnah awal pagi tadi dipercayai disambar api dari kebakaran yang berlaku di tempat pembuangan sampah yang berhampiran.
Kejadian kira-kira 4 pagi itu memusnahkan sebuah kereta Proton Wira, dua buah Toyota Vios dan sebuah Nissan Terrano.
Pemilik kereta Proton Wira, Syukri Mad Darus, 30, berkata, beliau hanya menyedari kebakaran keretanya pada bahagian enjin pada pukul 6 pagi apabila diberitahu jiran-jirannya.
"Apabila saya turun ke bawah, api sudah dapat dipadam. Ada jiran-jiran saya nampak api pada pukul 4 pagi di kawasan berdekatan tempat pembuangan sampah,” katanya yang menganggarkan kerugian keretanya antara RM5,000 hingga RM6,000.
Pemilik Nissan Terrano, Sofian Aminsah, 42, berkata, keretanya terbakar pada bahagian belakang. – Bernama, kosmo

Pemilik restoran nasi kandar difitnah

KUALA LUMPUR – Seorang pemilik restoran Nasi Kandar membuat laporan polis tentang surat layang yang menuduh beliau sebagai penipu dan terlibat dalam kegiatan meramal nombor ekor serta perjudian.
Ketua Eksekutif dan pemilik restoran Kayu Nasi Kandar, Sirajudin Mohamed Mydin, 48, menafikan semua tuduhan yang dilemparkan dalam surat layang itu dan menyifatkannya sebagai satu fitnah pihak tertentu yang cemburu dengan perniagaan nasi kandarnya.
Bercakap di sini hari ini, Sirajudin berkata, beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Shah Alam semalam setelah kakak iparnya memfakskan kepadanya surat layang itu, yang ditampal di sebuah kedai mendandan rambut di
Kuala Kangsar.
Beliau berharap orang ramai tidak percaya dengan surat layang yang cuba memburuk-burukkan diri serta perniagaannnya.
Sirajuddin berkata, perniagaan nasi kandarnya semakin berkembang dan kini mempunyai tiga cawangan restoran di bandar-bandar utama Selangor seperti di Shah Alam, Damansara dan Subang Jaya. – Bernama, kosmo

Mengaku tak bersalah terima rasuah

ALOR SETAR – Seorang lelaki berusia 38 tahun yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas satu pertuduhan menerima rasuah bernilai RM500 tahun lalu.
Rizal Roplis dari kampung Pulau Pisang, Jitra yang hanya melakukan kerja kampung dituduh menerima rasuah daripada Ahmad Farid Idrus sebagai dorongan kepadanya untuk membantu mendapatkan kembali kereta Ahmad Farid yang disewakan kepada pihak ketiga.
Rizal dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda suapan mengikut mana lebih tinggi.
Hakim Mohd Rosli Osman menetapkan 10 Oktober depan sebagai tarikh untuk serahan dokumen. – Bernama

Nahas: Pemandu terbunuh, dua parah

SIBU – Seorang pemandu terbunuh manakala dua lagi cedera parah dalam satu kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Tunku Osman di sini pukul 8.40 pagi hari ini.
Kushaini Sulong, 39, seorang pemandu di Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri di Kuching, meninggal dunia di tempat kejadian.
Seorang lagi lelaki, Ranno Mainor, 24, yang menaiki kenderaan pacuan empat roda yang dipandu Kushaini, cedera parah.
Kushaini, Ranno dan Mohd Khairul Sharizan, 27, dari Jabatan Pelajaran di sini sedang dalam perjalanan dari Sibu untuk menghantar kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dalam kenderaan pacuan empat roda.
Turut cedera parah seorang lelaki berumur 24 tahun yang memandu Toyota Hilux yang bertembung dengan dua kenderaan lain.
Menurut Ketua Polis Sibu, ACP Shafiee Ismail, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila pemandu Toyota Hilux, yang datang dari arah bertentangan, hilang kawalan.
Ia melanggar pembahagi jalan dan bertembung dengan kenderaan yang dipandu oleh Kushaini sebelum melanggar kenderaan lain yang mengikuti dari belakang. – Bernama

Jangan terpedaya sindiket tawar wang

KOTA KINABALU – Polis sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya tidak diperdaya oleh satu sindiket yang menjanjikan tawaran hebat termasuk hadiah wang yang lumayan menerusi satu peraduan yang meragukan.
Ingatan dibuat oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sabah, Supt Jauteh Dikun hari ini ketika mengulas muslihat satu sindiket yang meminta orang ramai menambah nilai kredit telefon bimbit kononnya untuk melayakkan mereka memenangi hadiah wang tunai sehingga RM10,000.
"Masih ada segelintir masyarakat membiarkan diri mereka tertipu dengan cara yang demikian,” katanya kepada pemberita di sini.
Jauteh berkata dalam kes terbaru, seorang mangsa telah menerima SMS supaya mengambil hadiah yang dijanjikan di sebuah pasar raya di Sandakan, tetapi didapati peraduan itu tidak wujud.
Menurutnya, polis telah menerima empat aduan serupa membabitkan kerugian berjumlah RM2,000 sejak bulan lepas dan telah mendapatkan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menjejaki pemilik nombor-nombor telefon terbabit. – Bernama

Penoreh getah ditipu RM640,000



SEGAMAT – Seorang penoreh getah kerugian kira-kira RM640,000 apabila terpedaya dengan helah seorang wanita dipercayai dari Hong Kong melalui panggilan telefon yang mula menghubunginya pada 2 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Abdul Majid Mohd Ali berkata, mangsa terpedaya dengan tawaran wanita berkenaan yang menyatakan dia memenangi hadiah bernilai RM175,000 dalam satu pertandingan anjuran sebuah televisyen.

Katanya, mangsa diminta untuk memasukkan sedikit wang pendahuluan untuk memiliki hadiah yang dimenanginya itu

“Sorang wanita berumur lingkungan 35 tahun yang bekerja sebagai penoreh getah di Labis menerima panggilan pada 2 Jun 2011 dan dimaklumkan telah memenangi hadiah menyatakan telah menerima hadiah berbentuk wang Hong Kong dalam HK$460,000.

“Setelah terpengaruh, mangsa telah melakukan sebanyak 46 transaksi dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM640,187 di dua bank yang berlainan seperti yang diminta sebelum tersedar dirinya ditipu dengan panggilan.

“Sebaik tersedar dirinya menjadi mangsa penipuan, mangsa membuat satu laporan polis pada 2 September 2011 dan mangsa menyatakan jumlah wang itu diperoleh daripada sanak saudaranya serta ahli keluarga terdekat,” pada sidang media di Balai Polis Trafik Segamat petang semalam.

Menurutnya, mangsa telah melakukan transaksi terakhir pada 22 Ogos lalu dan jumlah terbesar dimasukkan dalam satu transaksi adalah RM20,000 hanya dengan satu transaksi sahaja.

“Pihak polis mendapati mangsa telah memasukkan wang di dua bank yang dinyatakan dengan 13 nombor akaun persendirian yang berbeza dan ini merupakan kes transaksi terbesar di Segamat setakat ini,” katanya.

Abdul Majid juga menasihatkan kepada semua orang agar tidak mudah terpengaruh dengan mana-mana panggilan yang menyatakan menang wang ataupun panggilan yang mendatangkan curiga dan boleh terus menghubungi panggilan Hotline kita bagi sebarang bantuan.

Seminggu dalam kurungan



KUALA KANGSAR – Terpedaya dengan helah kawan baik sendiri yang menjanjikan seorang calon suami untuknya, seorang wanita warga Vietnam dikurung selama seminggu bilik sebuah rumah di Taman Bunga Raya, di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Superintendan Guan Beng Kang berkata, mangsa yang berusia 24 tahun bagaimanapun berjaya melepaskan diri dan telah membuat satu laporan polis dengan bantuan seorang lelaki tempatan, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar di sini, kelmarin.

Menurutnya, dalam aduannya, mangsa mengaku telah dihubungi rakannya (suspek) yang juga seorang wanita warga negara Vietnam pada 15 Ogos lalu, sebelum menaiki penerbangan dan tiba di Kuala Lumpur (KL) pada 30 Ogos lalu.

“Menurut mangsa, suspek yang telah berkahwin dengan seorang lelaki tempatan berjanji untuk membantunya jika mangsa berminat mencari jodoh di negara ini.

“Setibanya di KL, mangsa telah dijemput oleh suspek dan dibawa ke sini, serta diperkenalkan dengan suami suspek yang berusia 36 tahun,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Beng Kang, ketika mangsa bertanya mengenai bakal suaminya, suspek serta suaminya enggan mempertemukan mangsa dengan orang yang dimaksudkan menyebabkan mangsa berasa tertipu sehingga berlaku pergaduhan kecil antara mereka bertiga.

Katanya, mangsa kemudiannya mendakwa telah dibawa ke sebuah rumah dan dikurung dalam sebuah bilik serta diugut dan dipukul sepanjang seminggu dalam kurungan, sebelum berjaya melarikan diri ke kawasan pekan Kuala Kangsar.

“Semasa mangsa sedang menangis di tepi jalan, di kawasan pekan Kuala Kangsar, dia telah ditemui seorang lelaki tempatan yang kemudiannya membawa mangsa ke balai polis untuk membuat laporan.

“Siasatan awal yang dijalankan setelah mangsa mendakwa didera dan dipukul, mendapati terdapat kesan calar di beberapa bahagian badannya dan mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar (HKK) untuk menjalani pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Katanya, hasil siasatan, suspek bersama suaminya telah ditahan reman selama enam hari untuk siasatan lanjut sementara mangsa difahamkan telah dibenarkan keluar dari HKK, awal pagi semalam dan telah dihantar ke Kuala Lumpur untuk proses penghantaran kembali ke negara asal.

“Mangsa akan dibawa kembali ke IPD Kuala Kangsar pada Rabu nanti untuk kawad cam, dan jika sabit kesalahan, suspek bersama suaminya boleh dikenakan hukuman di bawah Akta Pemerdangangan Orang 2007,” katanya.

Rugi RM10,000



TELUK INTAN - Sepasang warga emas kerugian RM10,000 apabila rumah mereka dipecah masuk empat lelaki bertopeng di Batu 9, Hutan Melintang, semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, ketika kejadian kedua-dua mangsa berusia 60-50 an sedang tidur di rumahnya dan tidak menyedari empat lelaki tersebut memecah masuk melalui pintu di bahagian dapur.

Menurutnya, sebaik sahaja masuk ke dalam rumah, kumpulan perompak bersenjatakan parang dan pisau itu terus mengikat pasangan suami isteri tersebut serta mengugut akan mencederakan mereka jika berbuat sesuatu.

“Kerana takut, pasang itu menurut kehendak perompak yang merampas barang berharga milik mereka seperti gelang, rantai emas.

“Kami mempercayai geng ini mempunyai kaitan dengan kes jenayah yang sama di beberapa kawasan daerah ini berdasarkan modus operandi dilakukan dan kini polis giat mengesan keempat-empat lelaki tersebut,” katanya kepada Sinar Harian di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak (IPD), semalam.

Kok Liang berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Sekyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, katanya, satu kemalangan maut melibatkan sebuah motosikal dan dua kereta di Kilometer (KM) 33.5 Jalan Langkap-Tapah, kelmarin.

“Dalam kejadian jam 12.15 tengah malam, kelmarin seorang pelajar tingkatan tiga, meninggal dunia ketika menerima rawatan.

“Mangsa, Mohamad Izwan Busri dari Tronoh Mines, Air Kuning, Tapah, menunggang motosikal jenis Suzuki Best seorang diri dari arah Teluk Intan ke Tapah,” katanya.

Beliau berkata, Mangsa yang cuba membuat pusingan balik dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun dari arah yang sama.

Menurutnya, pada masa yang sama, sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun telah merempuh belakang kereta lelaki pertama sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, bagaimanapun kedua-dua pemandu itu tidak cedera.

“Pelanggaran itu menyebabkan mangsa mengalami cedera parah dan meninggal dunia di Hospital Tapah,” katanya.

Kok Liang berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik untuk tujuan bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan,” katanya.

Natasha dihubungi orang tak dikenali



KANGAR – Pondan yang dikatakan menjadi punca seorang lelaki dari Simpang Empat disimbah asid baru-baru, mendakwa menerima lebih 10 panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada orang tidak dikenali selepas kisah berkenaan dipaparkan di akhbar.

Dia yang dikenali sebagai Natasha, 28, berkata, semua panggilan dan SMS yang diterimanya itu menyatakan rasa simpati terhadap kejadian yang menimpanya.

Malah, ada juga yang berminat untuk berkenalan dengannya.

“Sejak kisah saya yang dikatakan menjadi punca seorang teman, Mohd Hafizuddin, disiarkan di akhbar, saya banyak menerima panggilan daripada orang tidak dikenali yang memberi sokongan kepada saya.

“Panggilan diterima itu termasuklah daripada seorang individu yang mengaku bergelar ‘Datuk’ ingin berkenalan dengan saya. Bagaimanapun, semua panggilan yang dibuat ke telefon bimbitnya itu menggunakan nombor peribadi,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang lelaki, Mohd Hafizuddin Johari, 21, cedera di bahagian muka dan lengan kanan selepas disimbah sejenis cecair dipercayai asid oleh seorang lelaki ketika sedang mengunci pintu pagar di hadapan rumah di Taman Sri Bakau, di sini, kira-kira jam 4.25 pagi, 3 September lalu.

Ketua Polis Kangar, Superintendan Abdul Rahman Noordin berkata, kejadian dipercayai bermotifkan cemburu kerana mangsa tinggal serumah dengan lelaki berperwatakan wanita.

“Daripada maklumat yang kita terima, suspek berminat untuk berkawan dengan lelaki berperwatakan wanita yang tinggal serumah dengan mangsa itu, bagaimanapun, ia dihalang oleh mangsa,” katanya.

Natasha berkata, dia yang kini masih trauma dengan kejadian itu masih mengharapkan Mohd Hafizuddin yang kini dijaga keluarganya di Simpang Empat kembali tinggal bersamanya.

“Apa-apa pun keputusan ditangan Hafiz. Saya hanya menunggu keputusan daripada dia sahaja. Apa sahaja keputusan dia, saya akan terima.

"Bagaimanapun, saya berharap dia akan kembali kepada saya,” katanya.

Natasha berkata, Hafiz sebelum ini merancang untuk tinggal bersamanya di satu tempat yang jauh dari Perlis.

Bagaimanapun, hasrat itu terbantut selepas keluarga Mohd Hafizuddin yang menghalang perhubungan mereka berdua dan bertindak membawanya pulang ke rumah mereka di Simpang Empat.

Sikap peramah petanda ajal



KUALA LIPIS - Seorang pemandu kereta dan seorang penumpangnya maut selepas kereta dinaiki bersama tiga rakan lain terbabit dalam nahas jalan raya melibatkan lima kenderaan di Kilometer 13, Jalan Lipis –Benta dekat Lipis petang kelmarin.

Dalam nahas kira-kira jam 5.30 petang itu, pemain bola sepak Malaysian Indian Youth Development Foundation (MIYDF) daerah Lipis, A Puveneswaran, 31 dan H Khartik, 18, mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, tiga lagi penumpang kereta terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Menurutnya, pemandu dan penumpang kenderaan lain termasuk seorang penunggang motosikal yang terlibat dipercayai turut terselamat dalam nahas di laluan berselekoh itu.

“Kejadian dipercayai berlaku ketika kereta jenis Proton Iswara dinaiki mangsa dari arah Benta menghala ke Lipis hilang kawalan ketika melalui satu laluan berselekoh di lokasi kejadian.

“Ketika kejadian cuaca hujan renyai-renyai manakala permukaan basah dan licin,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, semalam.

Mohamed Fauzi berkata, kereta mangsa kemudiannya terbabas ke kanan jalan dan termasuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda serta sebuah motosikal.

“Kereta mangsa yang berpusing selepas pertembungan itu turut dirempuh sebuah lagi kenderaan manakala pacuan empat roda yang tersasar melanggar sebuah lagi kereta di hadapannya.

“Mangsa yang bertugas sebagai pengawai keselamatan di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Lipis bersama salah seorang penumpangnya meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati punca kemalangan akibat hilang kawalan dan faktor laluan basah serta licin selepas hujan.

“Nahas yang meragut dua nyawa itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.



Minta pulang awal



“Saya sempat meminta mereka menunggu sehingga selesai majlis penutup. Mereka mendengar arahan dan kembali ke tempat duduk, namun beberapa minit kemudian saya dapati mereka berlima tiada di kawasan padang.”

Demikian kata, Pengerusi MIYDF negeri, K Tamilselven ketika menceritakan detik awal sebelum kejadian kemalangan maut itu.

Menurutnya, kedua-dua mangsa bersama tiga rakan lain sedang dalam perjalanan pulang dari Raub setelah selesai menyertai Pertandingan Bola Sepak MIYDF di Sekolah Menengah Chung Ching, Raub.

“Kelima-lima anak buah saya ini aktif bermain bola sepak dan mewakili MIYDF daerah Lipis hingga ke peringkat negeri. Setelah selesai kejohanan kira-kira jam 4 petang, mereka meminta kebenaran untuk pulang awal ke Lipis.

“Saya minta mereka menunggu hingga selesai acara penutup. Mereka mendengar arahan, namun beberapa minit kemudian mereka beredar dari kawasan padang dalam keadaan tergesa-gesa,” katanya di Rumah Mayat Hospital Lipis, semalam.



Bersalaman dua kali



Tamilselven berkata, sebelah pagi sebelum mereka semua bergerak ke Raub untuk menyertai pertandingan bola sepak, mendiang Puveneswaran dan Karthik berubah menjadi peramah.

“Namun, kami tidak memikirkan perkara buruk akan berlaku dan gembira dengan sikap ramah ditunjukkan kedua-dua mendiang sepanjang perjalanan dari Lipis ke Raub,” katanya.

Tamilselven berkata, kedua-dua mendiang turut menunjukkan sikap aneh apabila bersalam dengannya sebanyak dua kali sebelum bergerak pulang ke Lipis.

“Saya terkejut apabila dikhabarkan mengenai kemalangan terbabit dan bergegas ke tempat kejadian sejurus tamat acara penutup pertandingan itu,” katanya.



Kehilangan dua penyerang



Tamilselven berkata, pemergian kedua-dua mendiang yang maut dalam kemalangan ngeri itu turut meragut semangat rakan-rakan pasukan MIYDF daerah yang kehilangan tonggak utama pasukan.

“Kedua-dua mendiang bermain di posisi penyerang dan kehilangan mereka dalam kejadian itu sedikit sebanyak merencatkan aktiviti bola sepak pasukan ini.

“Mendiang turut dikenali sebagai pemain berdisiplin dan banyak membantu pasukan MIYDF daerah memenangi pertandingan sama ada di peringkat daerah mahupun negeri,” katanya.



Jiran yang baik



Sementara itu, jiran kepada mendiang Puveneswaran, Azhar Idris berkata, mendiang dikenali sebagai seorang jiran yang ringan tulang dan sering membantu apabila majlis keraian seperti kenduri-kendara diadakan di kawasan perumahan mereka di Taman Muhibah, Batu 4.

“Walaupun berbeza agama, namun mendiang tidak segan membantu memeriahkan kenduri terutama membabitkan orang Melayu. Sikap ini sering dipuji jiran setempat,” katanya.



Hulur bantuan



Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman yang turut hadir menziarahi keluarga mangsa di Hospital Lipis semalam meluahkan kesedihan berhubung kejadian itu.

“Saya dimaklumkan kedua-dua mendiang kehilangan bapa dan sedikit sebanyak bantuan peribadi dihulurkan kepada keluarga mangsa untuk meringankan beban mereka dalam melancarkan urusan pengebumian.

“Pemandu kenderaan juga dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu terutama di kawasan yang kerap berlaku kemalangan,” katanya.

Setengah jam menahan sakit



PASIR MAS SALOR - Seorang lelaki mengalami kecederaan apabila tersepit dalam van manakala anaknya cedera ringan setelah terlibat dalam kemalangan di Kampung Baru dekat Lebuhraya Pasir Mas Salor, jam 10.15 malam, kelmarin.

Ketua polis daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, mangsa, Chua Jou Long, 47, memandu sebuah van bersama anaknya, yang juga sindrom down dari arah Pasir Mas ke Kota Bharu, bertembung dengan sebuah kereta Proton Pesona dari arah bertentangan.

“Mereka dikatakan cuba memintas kenderaan di hadapan, namun tidak sempat lalu melanggar kereta yang dipandu Norzaire Said, 29, bersama dua rakannya.

“Pemandu kereta Norzaire bersama seorang rakannya mengalami kecederaan ringan, namun seorang lagi rakanya, Mohd Razali Husin, 44, patah tangan lengan kiri.

“Kita menasihati semua pemandu supaya mematuhi undang-undang jalan raya terutama sekali ketika musim perayaan, agar kemalangan seperti ini dapat dielakkan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Ketua operasi, bomba dan penyelamat Kota Darulnaim, Che Ludin Che Wel berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.27 malam dan bergegas ke tempat kejadian bersama pasukan bomba dan penyelamat Pasir Mas.

“Setibanya di tempat kejadian, kita dapati semua mangsa dalam kereta Proton Pesona berjaya dikeluarkan dengan selamat, namun pemandu van, Jou Long tersepit di dalam kenderaan.

“Dengan kekuatan sembilan anggota, kita berjaya mengeluarkan mangsa dalam masa 15 minit,” katanya.

Polis sita bas ekspres



SEGAMAT - Sebuah bas ekspres yang membawa 26 penumpang dari Terengganu menuju ke arah Johor Bahru ditahan pasukan polis trafik daerah Segamat apabila mendapati keadaan bas itu tidak begitu selamat untuk digunakan membawa penumpang.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Abdul Majid Mohd Ali berkata, pihak polis menahan bas ekspres tersebut dalam lingkungan jam 6 petang kelmarin sewaktu bas itu menuju ke arah Johor Bahru ketika melalui daerah ini.

Menurutnya, bas tersebut dipercayai terlibat dalam satu kemalangan pada 3 September lalu di Kemasik, Kemaman, Terengganu dan akibat daripada itu berlaku kerosakan di bahagian belakang bas berkenaan.

“Pihak polis menahan kerana kita melihat keadaan bas ini tidak selamat bagi penumpang yang menaikinya dalam keadaan lampu belakang pecah, enjin dapat dilihat dari luar serta mendatangkan bahaya kepada penumpang jika sekiranya berlaku perkara tidak diingini.

“Keadaan bas sebegini tidak sepatutnya berada di atas jalan raya, tetapi masih lagi dipandu, malah turut membawa penumpang demi mengaut keuntungan tanpa memikirkan keselamatan penumpang yang dibawa,” katanya.

Menurutnya, polis telah menyita bas berkenaan dengan keadaan remuk di bahagian tepi kiri, tidak berlampu dan membahayakan penumpang selain dipercayai mengaburi pihak berkuasa dengan membawa penumpang menaiki bas yang sempurna terlebih dahulu sebelum menukarnya dengan bas ini di tempat lain.

“Setiap bas yang membawa penumpang hendaklah berada dalam keadaan yang baik untuk berada di atas jalan raya tanpa mendatangkan bahaya kepada penumpang dan keselamatan penumpang seharusnya didahulukan.

“Penumpang dinasihatkan agar memastikan keselamatan mereka terjamin apabila menaiki kenderaan awam dan pengusaha bas juga diingatkan agar mengutamakan keselamatan penumpang dari mengaut keuntungan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Anak hilang lari dari rumah



KOTA BHARU – Seorang ibu hanya mampu menangis sehingga kering air mata menanti kepulangan anak untuk berhari raya bersama apabila gadis berkenaan tidak muncul selepas dipercayai lari dari rumah hampir sebulan lalu.

Kehilangan Nurul Izati Che Mohamad, 19 hanya disedari Hasmah Mamat, 45 ketika bangun untuk bersahur pada jam 4 pagi, 12 Ogos lalu.

Sejak 25 hari pemergian gadis sunti berkenaan, Hasmah dan suami, Che Mohamad Ibrahim, 48 hidup dalam kegelisahan berikutan bimbang akan keselamatan anak kedua daripada lima beradik itu.

Menurut Hasmah, dia langsung tidak menyedari sebarang perubahan pada Nurul Izati sebelum anaknya itu dipercayai melalui pintu belakang meninggalkan rumah mereka di Kampung Siti Manis, Kedai Buluh, Pantai Cahaya Bulan di sini, awal pagi berkenaan.

“Malam hari kejadian, sebelum tidur saya melihat dia berjalan mundar-mandir di dalam rumah tetapi tidak mengesyaki apa-apa perkara buruk.

“Bagaimanapun, ketika bangun sahur saya dapati pintu dapur tidak berkunci dan mendapati dia sudah tidak ada dalam bilik tidurnya. Saya dan suami mencari dia di merata tempat tetapi tidak ada,” katanya.

Akibat kejadian itu, enam sekeluarga tersebut melalui saat-saat getir apabila menyambut hari raya penuh dengan perasaan hiba kerana kepulangan anak yang tidak kunjung tiba.

“Nurul (panggilan manja Nurul Izati) anak yang baik, pendiam dan tidak banyak kerenah. Sebelum ini pun dia tidak pernah buat perangai tidak elok dan setahu saya dia juga tidak mempunyai teman lelaki.

“Saya merayu supaya dia pulang, saya risau entah dia makan atau tidak sihat ke tidak. Saya bimbang, saya rindu dan macam-macam lagi perasan bercampur-baur,” katanya sebak.

Sementara itu adik Nurul Izati, Che Ahmad Asfa, 17 turut merayu supaya kakaknya itu pulang ke rumah dengan segera.

“Saya sayu melihat ibu yang selalu termenung dan tidak lalu makan kerana sedih teringat akan kakak. Duduk dalam rumah pun ibu ternampak bayang-bayang kakak. Baliklah kak, kami semua sayangkan kakak,” katanya.

Bagi sesiapa yang pernah melihat Nurul Izati diminta segera menghubungi balai polis berhampiran atau menghubungi talian 019-9472001.

Lelaki diserang dengan pedang



ALOR SETAR - Seorang lelaki berusia 30 tahun ditetak menggunakan pedang samurai oleh tiga lelaki yang tidak dikenalinya di hadapan Sekolah Menengah Teknik Alor Setar, Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam, 4 September itu, Basri Sharif sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Alor Mengkudu selepas mengunjungi sebuah klinik di Simpang Kuala untuk mendapatkan ubat anak bongsunya yang demam.

Menurutnya, sewaktu tiba di kawasan berhampiran sekolah berkenaan, motosikal Yamaha Lagenda yang ditunggangnya dihalang oleh sebuah kereta Mercedes berwarna perak sehingga memaksanya masuk ke laluan tar kecil.

“Akibat dihalang secara tiba-tiba, motosikal yang saya naiki terjatuh dan sebaik bangun, kelihatan tiga lelaki yang tidak dikenali keluar dari kereta, masing-masing bersenjatakan sebilah pedang samurai, parang dan golok, terus menyerang saya tanpa saya tahu puncanya.

“Mungkin mereka tersilap orang dan saya yang menjadi mangsa memandangkan tiada barang berharga yang dirampas,” katanya.

Basri yang bertugas sebagai penjawat awam, menerima tujuh tetakan termasuk di tangan dan bahu sebelum dapat melepaskan diri dari kumpulan terbabit memandangkan tempat berlakunya kejadian itu terlalu sunyi dan jauh dari jalan utama.

“Saya cuba menepis serangan menyebabkan tangan saya turut luka dan sewaktu mahu melarikan diri dan mengambil motosikal, satu lagi tetakan mengenai bahagian belakang saya.

“Sebaik mencapai motosikal, saya terus memecut dan mujurlah bertemu dengan seorang kenalan di pertengahan jalan sebelum memintanya menghantar saya ke hospital,” katanya yang berharap agar penyerangnya itu ditangkap secepat mungkin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Adzaman Mohd Jan ketika dihubungi S:inar Harian: mengesahkan menerima laporan berhubung kes berkenaan sehari selepas kejadian itu berlaku.

“Tetakan itu mengenai bahu kiri serta tangan kanan mangsa dan mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk menerima rawatan.

“Ketiga-tiga suspek dipercayai menaiki motokar jenis Mercedes yang tidak diketahui nombor pendaftarannya. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pengarah HSB, Datuk Dr Juita Ghazalie berkata, mangsa sudah dibenarkan keluar dari hospital semalam.

5 kes curi motosikal setiap bulan



PADANG TERAP - Sekurang-kurangnya lima kes kecurian motosikal dilaporkan di daerah Padang Terap pada setiap bulan bermula awal tahun ini.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Ku Yaacob Ku Ahmad berkata, kebanyakan motosikal yang dicuri berlaku di kawasan kampung berbanding pekan yang berpunca daripada kecuaian pemilik kenderaan itu sendiri.

Menurutnya, terdapat kes di mana pemilik motosikal meninggalkan kunci di kenderaan dan perkara itu memudahkan pencuri untuk melarikan motosikal.

“Kes kecurian motosikal menjadi penyumbang utama kepada peningkatan indeks jenayah di daerah Padang Terap dan sekurang-kurangnya lima kes kecurian motosikal dilaporkan pada setiap bulan.

“Namun rondaan berterusan oleh pihak polis di kawasan pekan dapat mengurangkan kecurian motosikal di kawasan itu, namun kini kes berkenaan beralih ke kawasan kampung,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Rumah Terbuka Adun Pedu, Datuk Seri Mahdzir Khalid di pekarangan Pejabat Adun Pedu, Kampung Kerasak, dekat sini.

Ku Yaacob berkata, bagaimanapun pihaknya memandang serius kes kecurian yang dilaporkan dan usaha untuk mengesan suspek giat dilakukan.

Menurutnya, polis masih belum mahu mendedahkan sama ada kegiatan itu dilakukan secara berkumpulan ataupun individu.

“Kita tidak mahu mendedahkan maklumat sebenar kerana tidak mahu ia bakal menggagalkan usaha dan risikan yang dilakukan selama ini,” katanya.

Menurutnya, beliau meminta kerjasama ibu bapa untuk mengawasi pergerakan anak masing-masing dari semasa ke semasa bagi mengelakkan mereka terlibat dengan aktiviti jenayah.

“Sekiranya ada anak-anak membawa pulang motosikal ke rumah, ibu bapa perlu selidik dengan betul-betul bagi memastikan anak tidak terlibat dengan jenayah,” katanya.

Kuil lama dipecah masuk



SEREMBAN – Sebuah kuil lama di Ladang Sungai Salak, Siliau di sini, kerugian hampir RM5,000 apabila dipecah masuk pada 4 September lalu.

Pengerusi kuil Seri Mahariaman, S Elenkoven, 38, berkata, kejadian disedari sewaktu anak saudaranya, V Arvin, 17, datang ke kuil terbabit untuk mengemaskan tempat sembahyang kira-kira jam 10 pagi.

Katanya, sebaik sahaja anak saudaranya itu sampai ke kuil, dia terlihat pintu di bilik utama terbuka dan mengesyaki ada sesuatu yang terjadi.

“Sangkaannya tepat apabila mendapati tiga kunci mangga di pintu besi di bilik utama tercabut dan semua barang berharga hilang.

:“Selain enam butir emas dicuri, sebuah set pelita tembaga untuk upacara sembah�yang bernilai lebih RM1,600 turut dicuri,” katanya.

Menurutnya, sebuah tabung yang hanya dibuka setahun sekali juga dipecahkan.

“Sejak kuil ini dibina lebih 50 tahun lalu, ini :kejadian kedua selepas kali pertama dipecah masuk pada 2009.

“Saya kecewa dengan kejadian ini kerana pada 11 September depan, ada upacara keagamaan besar-besaran di kuil ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dikcson, Superintendan Baljeet Sigh ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan iaitu membinasakan, merosakkan atau mencemarkan mana-mana tempat sembahyang.

Pulanglah adik...ayah tak sihat



SEREMBAN – Seorang ibu merayu anak perempuannya pulang selepas tiga hari melarikan diri, dipercayai mengikut teman lelakinya pada Sabtu lalu.

Siti Hawa Mohd Yunus, 60, berkata, anak tunggalnya, Nur Shafina Maulad Yaakob, 14, kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam ketika dia bersama suami dan anaknya itu beraya di rumah adiknya di Fasa Satu, Taman Kelab Tuanku Mambau, dekat sini.

“Kami sekeluarga beraya di rumah adik yang :berdekatan dengan rumah saya dan ketika itu rumah adik saya dipenuhi sanak-saudara yang berkumpul bagi meraikan Aidilfitri bersama-sama.

:“Ketika mahu pulang, baru saya perasan Nur Shafina tiada dan anak sepupu saya memaklumkan dia baru sahaja keluar bersama teman lelakinya,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Fasa Dua, Taman Kelab Tuanku Mambau, di sini, semalam.

Siti Hawa berkata, anak sepupunya yang sebaya dengan Nur Shafina memaklumkan, anaknya telah berpesan supaya tidak memberitahunya dia keluar bersama teman lelakinya itu.

“Nur Shafina keluar rumah ketika kami semua sibuk , sementara teman lelakinya pula menunggu di luar rumah dengan menunggang motosikal,” katanya.

Menurutnya, Nur Shafina yang dipanggil ‘adik’, keluar dengan hanya membawa beg duit dan telefon bimbit sahaja tanpa beg pakaian.

“Saya cuba hubunginya tetapi gagal kerana kedua-dua telefon bimbitnya ditutup.

“Bimbang dengan keselamatannya, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Mambau selepas dua hari dia tidak pulang rumah,” katanya.

Siti Hawa yang berniaga menjual nasi lemak di :hadapan rumahnya berkata, dia dan saudara yang lain turut berusaha mencari Nur Shafina di sekitar bandar Seremban dan beberapa bandar lain namun belum berhasil.

“Rakan sekolahnya juga tidak tahu ke mana dia pergi.

“Anak saya mengenali teman lelakinya yang bernama Amirul, 18, yang juga pelajar kolej swasta di Kuala Lumpur sejak setahun lalu melalui rakan sekolahnya,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini, Amirul ada datang beraya di rumahnya dua kali dan sering bertemu Nur Shafina.

“Saya tidak pernah memarahi mereka tetapi sering menasihatkan agar mementingkan pelajaran terlebih dahulu kerana mereka masih belajar dan muda lagi.

“Pulanglah adik. Jangan buat mak macam ini. Ayah tidak sihat dan sering kali menyebut nama adik. Kami amat sayangkan adik” katanya.

Orang ramai yang pernah melihat atau mempunyai maklumat lanjut mengenai Nur Shafina boleh menghubungi Siti Hawa menerusi talian 017-2997793 atau 013-3678097.

Mangsa air pasang



KEMAMAN – Hasrat seorang pemuda keluar rumah untuk meraikan hari raya bersama teman bertukar tragedi apabila dia lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Bukit Kuang, Chukai, dekat sini, dalam kejadian ketika air pasang pada petang Ahad lalu, sebelum mayat mangsa ditemui kira-kira jam 6 petang kelmarin.

Mangsa, Mohd Rizal Ismail @ Ibrahim, 31, (gambar kecil) yang tinggal bersama keluarga di Lot 6387-1, Chukai lemas setelah dihanyutkan arus ke tengah sungai selepas terjatuh.

Meskipun pahit, dugaan itu diterima keluarga mangsa dengan reda walaupun kejadian lemas yang meragut nyawa seorang ahli keluarga mereka itu menyebabkan kegembiraan menyambut Syawal tahun ini berakhir dengan duka.

Bapa mangsa, Ismail @ Ibrahim Dollah, 64, ketika ditemui di tempat kejadian berkata, kali terakhir dia bercakap dengan anak bujangnya yang bekerja sendiri itu adalah sebelum arwah keluar dari rumah kira-kira jam 12 tengah hari (Ahad).

Rumah digeledah pencuri ketika raya



PETALING JAYA – Sebuah rumah di Apartmen Idaman dimasuki pencuri ketika penghuninya pulang ke kampung sempena hari raya.

Mangsa, Mohd Suhari Hasan, 34, berkata, dia hanya menyedari rumahnya dipecah masuk selepas pulang dari kampung Jumaat lalu.

“Seluruh bilik utama digeledah dengan barangan dari almari dan baju bertaburan di lantai,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati tiada barangan yang hilang kerana wang tunai dan barangan kemas tidak ditinggalkan.

“Suspek itu berkemungkinan mahu mencari barang berharga seperti wang atau barang kemas dan mereka masuk ke rumah ini melalui pintu jeriji di bahagian dapur yang mempunyai bekas diumpil,” katanya.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, pada hari raya kedua hasrat tiga pencuri mahu melarikan barangan berharga daripada sebuah Tadika Kemas tidak kesampaian apabila masing-masing lari bertempiaran selepas kegiatan mereka memecah masuk dihidu anggota Biro Keselamatan apartmen tersebut.

Ketuanya, Azmi Ardi berkata, kejadian berlaku jam 12 tengah malam selepas pihaknya menerima aduan bunyi bising dari arah tadika itu.

“Anggota ronda bergegas ke tadika itu untuk melakukan pemeriksaan namun belum sempat kami tiba, ketiga-tiga pencuri itu sudah melarikan diri ke arah belukar berhampiran Restoran Jejantas Sungai Buloh,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan kemudiannya mendapati suspek masuk ke tadika itu melalui bumbung berdasarkan kesan pecah pada siling namun tidak berjaya membawa apa-apa barangan berharga keluar kerana pintu jeriji gagal dibuka dari dalam.

Rugi barang elektrik meletup



PUCHONG – Kira-kira 70 penduduk di Bandar Puteri 11 di sini mendakwa kerugian lebih RM100,000 apabila hampir kesemua peralatan elektrik di dalam rumah mereka terbakar dan mengalami kerosakan.

Difahamkan, kejadian berlaku dipercayai selepas kabel di sub stesen Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhampiran rumah mereka dikatakan terbakar awal pagi kelmarin.

Penduduk, Khor Ling Ling berkata, ketika kejadian dia sedang tidur sebelum dikejutkan dengan percikan api yang keluar daripada kipas siling dalam bilik tidurnya.

“Saya terperanjat apabila melihat percikan api di kipas sebelum bangun mendapatkan anak. Malah anak saya juga terkejut melihat suis komputer mengeluarkan percikan api sama dan terdengar beberapa bunyi letupan selepas itu.

“Pemeriksaan ke atas semua barang elektrik di rumah mendapati, kebanyakan daripadanya rosak termasuk set audio di bilik atas,” katanya yang memaklumkan kerugian hampir RM18,000.

Pengerusi Persatuan Penduduk Bandar Puteri 11, Alice Choo berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 pagi mengejutkan penduduk di tiga deretan rumah teres tiga tingkat di kawasan berkenaan.

“Kejadian berlaku kurang dua minit dan selepas dimaklumkan penduduk, pemeriksaan di sub stesen mendapati kabel sudah terbakar,” katanya selepas mengadukan perkara itu kepada Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo di sini, semalam.

Alice berkata, pihaknya juga berharap wakil TNB akan melakukan pemeriksaan di rumah yang terlibat.

Dalam pada itu, Gobind Singh menggesa TNB mengadakan perjumpaan dengan penduduk untuk memberi penerangan jelas berhubung insiden yang berlaku.

“Saya dimaklumkan kejadian itu berlaku akibat ada peralatan dicuri di ‘feeder pillar’ pencawang elektrik (sub station) TNB berkenaan. Namun persoalan bagaimana ia dicuri timbul kerana kawasan perumahan dikawal ketat oleh pengawal keselamatan selain kunci pintu pagar kotak pencawang yang tidak mempunyai kesan pecah masuk.

“Kalau kecurian berlaku, saya minta pihak itu jelaskan bagaimana ia berlaku. Ini bukan kali pertama saya mendapat laporan seperti ini di kawasan Puchong,” katanya.

Beliau yang bertemu penduduk di sini turut mempersoalkan tahap keselamatan penduduk.

“Bolehkah mereka terus menggunakan elektrik kerana kerosakan berlaku bukan kecil.

“Saya juga mahu tahu sama ada penduduk diberi pampasan atas kerugian ditanggung,” katanya yang memaklumkan satu laporan polis dibuat untuk memberi ruang kepada pihak keselamatan itu untuk menyiasat sama ada benar atau tidak kecurian berlaku di pencawang elektrik.

Sementara itu, Jurucakap TNB yang dihubungi berkata, kejadian ‘overvoltage’ berlaku disebabkan kecurian busbar di ‘feeder pillar’ oleh pihak ketiga yang menceroboh perkarangan pencawang.

Menurutnya, pihak TNB Selangor akan berhubung dengan persatuan penduduk untuk perbincangan dan tindakan selanjutnya mengenai perkara itu.

Nahas berlaku sekelip mata



KUALA ABANG – “Sebaik sedar, saya lihat orang ramai, saya tidak berapa ingat, kejadian itu berlaku dalam sekelip mata, seketika kemudian saya menyedari bahawa saya sudah dibawa ke hospital,” kata Abdul Hakim Harun, 26, mangsa yang terselamat dalam kemalangan maut melibatkan dua kenderaan di selekoh tajam dekat sini, lewat petang kelmarin.

Hakim, pemandu kereta Perodua Kancil patah kaki kanan dan cedera pada bahagian muka apabila kereta dipandunya dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta Perodua Kembara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ketika kejadian, Hakim bersama isteri, Alen Alias, 22, dan kakaknya Fadhilah Harun, 26, dalam perjalanan dari Johor Bahru untuk pulang bercuti menyambut Aidilfitri di kampung halamannya dekat Kuala Terengganu.

Sebaik sampai di Kilometer 67 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berdekatan Pantai Batu Pelanduk, Kuala Abang, kereta dipandunya dari arah Kuantan ke Kuala Terengganu itu dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Perodua Kembara JKM dipandu Che Khairy Abu Bakar, 28, yang hanya cedera ringan.

Hakim ketika ditemui di unit kecemasan Hospital Dungun selepas kejadian terbabit bagaimanapun masih belum menyedari bahawa kakaknya Fadhilah yang duduk di bahagian belakang, menemui ajal di tempat kejadian setelah mengalami cedera parah pada kepala serta patah paha kiri.

Bagaimanapun, suasana bertukar hiba seketika apabila Hakim yang turut cedera pada bahagian mata dan kaki akibat tersepit di tempat duduk pemandu itu akhirnya diberitahu pihak polis bahawa kakaknya gagal diselamatkan.

Menurut ibu saudaranya, Rohani Abdullah, 57, Hakim, kakitangan restoran Secret Recipe bersama isteri dan kakaknya itu sebenarnya bercadang untuk pulang ke Kuala Terengganu Ahad lalu, namun hasratnya itu terpaksa ditangguhkan berikutan dia gagal mendapat cuti.

“Saya diberitahu dia (Hakim) dan arwah Fadhilah beria-ia ingin pulang berhari raya bersama keluarganya di Kuala Terengganu.

“Tidak sangka pula hasratnya itu tidak kesampaian,” kata Rohani.

Turut ditemui dalam kenderaan mangsa ialah satu ikat tunai RM1, dipercayai duit raya yang bakal diberikan kepada kanak-kanak yang datang beraya apabila dia tiba di rumah keluarganya nanti.

Sebuah jentera bersama tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Dungun turut dikejarkan ke lokasi untuk membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Mayat Fadhilah kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun bedah siasat.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian terbabit dan kes masih dalam siasatan pihaknya.

Rahsia pelajar hamil terbongkar



BESUT- Ibu bapa kepada seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat sebuah sekolah menengah di sini yang membuat pemeriksaan di hospital selepas curiga dengan perubahan pada anaknya terkejut apabila sebenarnya anak mereka itu mengandung.

Tindakan mangsa berusia 16 tahun yang cuba menyembunyikan rahsia menjadi mangsa rogol rakan abangnya daripada pengetahuan keluarga, akhirnya terbongkar selepas pemeriksaan yang dilakukan di Hospital Besar Kota Bharu, Kelantan pada Ahad lalu.

Berikutan keadaannya anaknya itu, keluarga mangsa yang terkejut dengan hasil pemeriksaan itu bertindak membuat laporan di Balai Polis Jertih.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, pada Mei lalu, kira-kira 10 pagi, ketika mangsa bersendirian di rumahnya di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Lak Lok dekat Jertih, dia telah didatangi seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Syed’.

Menurutnya, lelaki itu adalah kawan kepada abang mangsa dan mereka telah melakukan hubungan seks dalam bilik tidur mangsa.

“Bagaimanapun mangsa merahsiakan kejadian itu daripada pengetahuan keluarganya sehingga ibu bapanya curiga dengan perubahan remaja itu lalu membawa anak mereka untuk pemeriksaan di Klinik Kesihatan Gaal, Pasir Puteh Kelantan.

“Bagaimanapun dia dirujuk ke Hospital Kota Bharu dan hasil pemeriksaan yang dijalankan didapati gadis itu mengandung 19 minggu,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Bayar elak motosikal dirosakkan


‘Seorang penjaga parkir haram (kiri) menerima wang daripada seorang penunggang motosikal yang meletakkan kenderaannya di sebuah kawasan parkir awam percuma di Jalan Imbi, baru-baru ini.



KUALA LUMPUR 6 Sept. - Bukan sahaja pemandu kereta terganggu dengan kehadiran penjaga parkir haram di sekitar pusat ibu kota, malah penunggang motosikal juga berdepan dengan masalah yang sama.
Walaupun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah mewartakan sesuatu kawasan itu sebagai parkir percuma untuk motosikal tetapi penjaga parkir haram ini tidak pernah mengendahkan papan tanda yang dipasang.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, penjaga parkir haram itu akan bertindak membantu pemilik motosikal mencari ruang kosong termasuk dengan menyusun dan merapat-rapatkan motosikal jika sesuatu kawasan parkir itu hampir penuh.
Bayaran yang biasa diberikan adalah antara RM1 hingga RM2 walaupun pemerhatian Utusan Malaysia mendapati mereka tidak menetapkan sebarang jumlah.
Tinjauan mendapati, di kawasan- kawasan yang sibuk seperti berhampiran Plaza Low Yat di Bukit Bintang, penjaga parkir haram itu mampu mengaut sehingga RM50 dalam masa setengah jam sahaja.
Seorang kakitangan kerajaan, Mohd. Faizal Mohd. Saudi, 33, berkata, memang terdapat banyak kawasan letak motosikal di sekitar Kuala Lumpur yang menjadi tumpuan golongan tertentu mencari pendapatan.
“Saya sering kali didatangi oleh golongan ini untuk meminta bayaran ketika meletakkan motosikal di kawasan parkir awam dan mahu tidak mahu, kita terpaksa memberi.
“Ini kerana rakan saya pernah mengalami kejadian motosikalnya ditoreh kerana tidak memberikan wang kepada mereka,” katanya.
Pesara, Ismail Yusoff, 63, berkata, kebanyakan mereka yang terlibat dalam kegiatan itu tidak mempunyai pekerjaan tetap, lalu menjadikan kawasan parkir awam sebagai sumber rezeki.
“Kalau saya didatangi golongan tersebut, saya bagi sahaja RM1 kepada mereka. Takut juga, kalau tidak bagi, mereka akan rosakkan motosikal saya,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Iqbal Mohd. Sofian, 22 berkata, jika tiada pilihan dan kawasan parkir penuh, dia akan meletakkan di kawasan yang dijaga oleh golongan itu.

Trauma makan mi segera bersawang, berulat


Mi segera yang bersawang dan berulat yang dibeli oleh Syed Mazlan Syed Zubir di sebuah pasar raya di Seremban, baru-baru ini.



SEREMBAN 6 Sept. - Seorang kakitangan kerajaan terkejut selepas salah satu bungkusan mi segera berjenama terkemuka yang dibelinya di sebuah pasar raya di sini didakwa bersawang dan berulat.
Syed Mazlan Syed Zubir, 42, berkata, kejadian berkenaan disedari oleh isterinya ketika hendak menyediakan hidangan itu kepada anak perempuannya yang berusia enam tahun baru-baru ini.
"Setelah memeriksa dengan teliti, saya dapati ada benda asing menyerupai sawang labah-labah dan ulat berada di permukaan mi segera itu," katanya ketika datang ke pejabat Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Menurutnya, kejadian tersebut tidak sepatutnya berlaku memandangkan tarikh luput yang tertera pada pembungkus mi segera itu adalah pada 11 September ini.
"Agak trauma juga saya selepas ini untuk menikmati mi segera tersebut kerana bimbang mengandungi ulat," dakwanya.
Syed Mazlan berkata, syarikat pengeluar mi segera tersebut perlu menjalankan pemeriksaan secara lebih teliti dan kerap ke atas produk makanan mereka yang dijual bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
-utusan

25 maut Ops Sikap di Kelantan


Makhtar Mustafa (tengah) memakaikan topi keledar baru kepada penunggang motosikal sambil diperhatikan Mohd. Azlisham Abdul Rahman (kiri) pada progrem Kempen Keselamatan Jalan Raya musim Perayaan di Kota Bharu, semalam.



KOTA BHARU 6 Sept. - Ops Sikap ke-24 yang dilancarkan di negeri ini sejak 23 Ogos lalu telah mencatatkan 25 kematian dengan kebanyakannya adalah penunggang dan pembonceng motosikal.
Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Kelantan, Mohd. Azlisham Abdul Rahman berkata, daripada jumlah tersebut, 17 kematian membabitkan kemalangan motosikal, lima melibatkan motokar manakala satu kematian adalah penumpang van serta dua lagi daripada kemalangan basikal.
Sementara itu katanya, kajian dibuat Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), mendapati 80 peratus pengguna jalan raya di negeri ini masih mengabaikan aspek keselamatan terutamanya tidak memakai topi keledar dan tali pinggang keselamatan.
"Ops sikap yang dilancarkan itu akan berakhir hari ini dan setiap hari kita melakukan tinjauan dan keseluruhannya 25 kematian direkodkan sehingga semalam," katanya kepada pemberita selepas Kempen Keselamatan Jalan Raya Musim Perayaan Aidilfitri 2011 di Jalan Che Su di sini pagi ini.
Majlis itu dirasmikan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Makhtar Mustafa yang turut mengambil kesempatan memberikan topi keledar baru serta beberapa risalah keselamatan jalan raya kepada pengguna yang melalui jalan tersebut.
Azlisham berkata, pengabaian aspek keselamatan terutama sekali tidak memakai topi keledar dan tali pinggang keselamatan merupakan satu perkara serius yang perlu diubah oleh setiap masyarakat.
Jelas beliau, kajian MIROS itu mendapati kebanyakan pengguna yang ditemui tahu risiko yang bakal dihadapi namun mereka tetap tidak peka terhadap aspek keselamatan.
"Sehubungan itu, JKJR akan memperbanyakkan kempen keselamatan di seluruh negeri terutama mengenai dua perkara ini untuk mengurangkan risiko kematian setiap kali berlaku kemalangan," ujarnya.
-utusan

2,600 VCD, DVD haram bernilai RM26,000 dirampas


Para pegawai Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memeriksa sebahagian daripada VCD yang dirampas di Dungun, kelmarin.



DUNGUN 6 Sept. - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) merampas 2,600 keping cakera padat video (VCD) dan cakera video digital (DVD) dalam serbuan di sini semalam.
Rampasan bahan cetak rompak bernilai RM26,000 itu hasil serbuan yang disasarkan ke atas dua premis di Pekan Paka sebelum dua lagi serbuan di sekitar pusat bandar ini.
Operasi selama lima jam mulai 6.30 petang itu membabitkan seramai 12 anggota diketuai Timbalan Pengarah PPDNKK Terengganu, Abdul Ghani Harun.
Abdul Ghani berkata, operasi di Dungun ini dibuat sempena Ops Raya selepas pihaknya menerima laporan awam dan rampasan ini merupakan rampasan terbesar di daerah ini.
"Sepanjang operasi tiada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku dan pemilik premis memberi kerjasama yang baik dan mereka tahu mereka telah melakukan kesalahan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, keempat-empat pemilik premis serta empat pekerja mereka yang berusia dalam lingkungan 20-an hingga 40-an ditahan untuk diambil keterangan lanjut.
Kata beliau, pengusaha premis VCD dan DVD terbabit dipercayai mengambil stok yang banyak kerana beranggapan ia begitu laris disebabkan orang ramai ingin menonton semasa cuti musim perayaan.
"Kesemua pe ngusaha akan disiasat di mengikut Perintah Perihal Dagangan Label Cakera Optik 2010 yang boleh dikenakan kompaun sehingga RM250,000 dan penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.
Abdul Ghani berkata, PPDNKK akan membuat pemantauan berterusan terhadap premis yang diserbu itu serta akan bertindak merampas dan mendakwa mereka lagi sekiranya terus berdegil.

Polis berjaya selesai enam kes pecah rumah


Zahari Mohamed (dua dari kanan) menunjukkan barangan curi yang dirampas oleh pihak polis selepas penahanan enam lelaki di Keningau, kelmarin.



KENINGAU 6 Sept. - Polis berjaya menyelesaikan enam kes pecah rumah sekitar daerah ini yang berlaku sejak awal tahun ini dengan penahanan enam lelaki termasuk dalangnya pada 25 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Zahari Mohamed berkata, kejayaan itu diperoleh ekoran satu laporan polis yang dibuat seorang pengurus syarikat selepas rumahnya di Taman MDK di sini, dipecah masuk pada 21 Ogos lalu.
Katanya, dalam kejadian itu, mangsa kehilangan wang tunai sebanyak RM5,000 yang disimpan di dalam almari.
"Ekoran maklumat, dalang kes yang merupakan seorang penganggur dan rakyat tempatan, berusia 33 tahun berjaya diberkas.
"Siasatan mendapati suspek terlibat dalam enam kes pecah rumah lain sejak Januari hingga Ogos lalu. Turut ditahan lima lelaki lain yang disyaki membeli barangan curi berkenaan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini semalam.
Tambah Zahari, polis menemui pelbagai barang kes seperti tujuh buah komputer riba, seutas rantai leher emas, dua utas gelang emas dan pelbagai mata wang asing.
Katanya, daripada tujuh buah komputer riba itu, empat daripadanya telah dikenal pasti oleh pemilik masing-masing.
Tegas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun.
"Bagi mereka yang membeli dan memiliki barang curi merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 411 kanun sama yang boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
-utusan

3 rumah terbakar angkara khianat


Ahli DEWAN Undangan Negeri Tiram, Datuk Maulizan Bujang (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Zahorrain Said di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, semalam.



JOHOR BAHRU 6 Sept. - Tiga buah rumah teres dua tingkat di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang dekat sini, musnah dalam satu kebakaran awal pagi ini, yang disyaki angkara perbuatan khianat.
Kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 2 pagi itu turut memusnahkan beberapa buah kenderaan milik tiga keluarga terbabit terdiri daripada tiga kereta, sebuah van dan tiga motosikal.
Seorang mangsa, Ahmad Yaacob, 58, berkata, ketika kejadian dia sedang tidur dan hanya menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan oleh anak perempuannya yang terdengar bunyi seseorang membaling sesuatu ke arah rumah mereka.
Katanya, dia yang membuka pintu melihat bahagian hadapan rumahnya dipenuhi asap tebal.
"Saya kemudian menyuruh ketiga-tiga anak saya keluar melalui pintu belakang. Jiran-jiran beritahu pada waktu kejadian itu, mereka ternampak seseorang menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan berlegar-legar di depan rumah saya sebelum membaling sesuatu ke kawasan rumah.
"Sebelum ini, anak lelaki saya pernah menerima ugutan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan lisan daripada seorang wanita yang ingin membakar rumah saya selepas anak lelaki saya tidak membenarkan dia tumpang di sini (rumah).
"Dia pernah berkata ingin menumpang di rumah ini dalam dua tiga hari sementara menunggu untuk mendapatkan rumah sewa," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.
Seorang lagi mangsa, Zahorrain Said, 38, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas mendengar jeritan jiran-jiran.
"Saya menyuruh isteri dan tiga anak keluar melalui pintu belakang sebelum bertindak mematikan bekalan elektrik dan menyelamatkan dokumen penting. Saya cuba untuk mengeluarkan kereta, tetapi gagal kerana api sudah marak," katanya.
Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Mohd. Salleh Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pukul 1.50 pagi dan tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.
Katanya, api berjaya dikawal dalam tempoh sejam dan jumlah kerugian dianggarkan melebihi RM200,000.

Pemandu parah lori rempuh tembok plaza tol


KEADAAN lori yang merempuh tembok plaza tol dan menyebabkan pemandunya parah di Plaza Tol Jalan Duta, semalam.



KUALA LUMPUR 6 Sept. - Seorang pemandu lori cedera parah setelah kenderaan yang dipandunya hilang kawalan dan terbabas lalu merempuh tembok penghadang Plaza Tol Jalan Duta, di sini hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 1 petang semasa lori yang membawa muatan alat ganti kereta dari Bukit Beruntung dekat sini, sedang menuruni bukit dan dipercayai tiba-tiba mengalami masalah brek.
Lori terbabit turut bergesel dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu oleh seorang pengarah projek yang sedang menunggu giliran untuk membayar tol.
Pemandu MPV terbabit, Khairul Aizad Mustafa, 25, bagaimanapun bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kemalangan tersebut menyebabkan tiga lorong plaza tol di situ, terpaksa ditutup kepada semua kenderaan kerana lori terbabit melintang jalan sehingga mengakibatkan kesesakan sepanjang satu kilometer.
Pemandu lori yang mengalami kecederaan parah itu dikeluarkan oleh orang ramai sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.
Khairul Aizad ketika ditemui memberitahu, semasa kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke Putrajaya setelah melawat tapak projek pembinaan di Sungai Buloh.
"Semasa hampir memasuki lorong ke plaza tol, tiba-tiba kenderaan saya bergegar kuat dan kedengaran bunyi dentuman kuat di sebelah kiri kereta saya.
"Saya bernasib baik kerana sempat membelok kenderaan ke arah kiri sebelum lori terbabit merempuh tembok konkrit di plaza tol berkenaan," katanya.
Khairul Aizad yang masih terkejut dengan kejadian itu berkata, kemalangan tersebut berlaku pantas tetapi dia bersyukur kerana terselamat tanpa mengalami kecederaan.
-utusan