Search This Blog

Tuesday, September 6, 2011

Gempar, 2 kilang perabot terbakar



TASEK – Siapa sangka, suasana lewat petang kelmarin yang tenang bertukar menjadi kecoh apabila penduduk sekitar digemparkan dengan kebakaran yang melibatkan dua kilang.

Kejadian yang berlaku pada jam 6.45 petang itu memusnahkan hampir 70 peratus bangunan kilang berkenaan yang masing-masing adalah kilang perabot.

Berikutan kejadian itu, keadaan lalu lintas di beberapa laluan utama sekitar kawasan Tasek menjadi sesak dan ada antaranya terpaksa ditutup dalam tempoh beberapa jam bagi tujuan keselamatan penduduk serta pengguna.

Penduduk, Safura Ayub, 50, berkata, ketika kejadian berlaku, dia bersama anak-anaknya berada dalam rumah.

“Ketika menonton televisyen, makcik dan anak-anak dikejutkan dengan bunyi dentuman seperti bom sebanyak tiga kali.

“Dentuman kuat itu menyebabkan makcik terkejut dan tiba-tiba makcik terdengar suara jeritan orang,” katanya.

Sejurus itu, dia bersama anak-anak bergegas keluar dan melihat kepulan api.

“Sepanjang 23 tahun menetap di Tasek, kebakaran ini adalah kali pertama berlaku dan menyebabkan makcik sekeluarga terpaksa berhadapan bahang panas.

“Atas nasihat pihak bomba, makcik diminta untuk meninggalkan rumah sementara waktu bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku kerana rumah yang didiaminya hanya beberapa meter sahaja dari kilang berkenaan,” katanya.

Difahamkan, kerja memadam kebakaran pada peringkat permulaan agak sukar berikutan bekalan air sukar diperoleh.

Sehubungan itu, beberapa pasukan bomba dari kawasan sekitar terpaksa bergegas ke lokasi kejadian untuk memberikan bantuan.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Azmi Tamat berkata, seramai 50 anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian dengan masing-masing terdiri dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap, BBP Nibong Tebal, BBP Perai, BBP Jalan Perak, BBP Perda dan BBP Bayan Baru manakala hampir 20 lagi dari BBP Sukarela.

“Pihak bomba menerima panggilan telefon daripada orang awam pada jam 7.14 malam dan tiba di lokasi kejadian pada jam 7.25 malam.

“Dalam tempoh 25 minit, pasukan bomba berjaya memadam kebakaran meskipun pada peringkat permulaan mengalami kesukaran kerana kekurangan air.

“Bagaimanapun, kebakaran dapat dikawal dengan menggunakan bekalan air dari pili bomba, sungai dan parit berhampiran.

“Punca dan jumlah kerugian kebakaran masih dalam siasatan dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan,”katanya.

Kebakaran yang melibatkan kawasan seluas dua hektar itu juga turut mendapat perhatian daripada beberapa pemimpin setempat antaranya Adun Sungai Bakap, Makhtar Shapee; Pengerusi Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Tasek, Anuar Md Desa dan Pengerusi Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Negeri (JKKKN) Tasek, Mohd Said Mohd Zain.

Makhtar berkata, selaku pemimpin setempat, beliau bersimpati terhadap apa yang berlaku dan turut melahirkan rasa syukur apabila tiada penduduk atau pekerja kilang yang cedera.

Sementara itu, sumbangan hamper turut diberikan untuk dua keluarga yang tinggal berhampiran kilang terbabit menerusi ahli JKKKP Tasek.-SH

Permintaan terakhir arwah



FELDA SUNGAI RETANG – “Kebelakangan ini, arwah abang selalu berpesan kepada saya dan keluarga supaya pergi juga ke rumahnya, terutama ketika dia melakukan majlis kenduri perkahwinan anaknya. Saya tidak sangka, permintaan bersungguh itu adalah petanda akhir saya menemuinya Ahad lalu,”.

Itu antara luahan Wan Afzan Wan Nong, 52, adik kepada Allahyarham Wan Saidun Wan Nong, 58, yang maut dalam kemalangan kira-kira jam 1.40 petang semalam, berdekatan Felda Sungai Retang, Jerantut.

Kejadian dikatakan berlaku apabila kenderaan dipandu mangsa (Wan Saidun) cuba mengelak lubang jalan yang dalam proses dibaiki, seterusnya menyebabkannya hilang kawalan serta masuk ke laluan bertentangan.

Lantaran itu, kenderaan dipandu mangsa yang datang dari arah Kuala Tahan menuju ke Sungai Retang, bertembung dengan sebuah lori balak tanpa muatan menghala ke Kuala Tahan, mengakibatkan mangsa tersepit serta meninggal dunia di tempat kejadian.

Wan Afzan ketika ditemui di perkarangan Rumah Mayat Hospital Jerantut semalam berkata, arwah abangnya adalah seorang yang periang dan suka bergurau malah amat disenangi anak saudaranya.

Menurutnya, arwah abangnya gemar berseloroh dalam keluarga, namun tidak menyangka pesanan untuk bertemu dia (Afzan) seisi keluarga adalah petanda terakhir bersamanya.

“Arwah abang bersungguh-sungguh menyuruh saya dan keluarga hadir ke majlis perkahwinan anaknya. Ketika di Sungai Retang, arwah abang menghantar saya dan suami sampai ke kereta walaupun saya sudah menyuruh dia supaya kembali melayan tetamu.

“Arwah ketika majlis anaknya itu sudah menunjukkan perubahan apabila kurang bercakap dan berjenaka, sebaliknya bertegas mahu menghantar saya sampai ke kereta,” katanya, di sini.

Wan Afzan berkata, kehilangan abangnya amat dirasai berikutan mereka baru bertemu pada Sabtu dan Ahad lalu.

“Kehilangannya amat dirasai kerana arwah juga antara yang rapat dan amat mengambil berat hal keluarga serta sanak saudara,” katanya kepada :Sinar Harian.



Pengguna laluan Jerantut Kuala Tahan perlu lebih waspada



Sementara itu, Pegawai Penyiasat Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut, Inspektor Muhammad Muhaimin Jaffar berkata, hasil siasatan mendapati lori terbabit berada dalam laluannya, dan membrek sejauh kira-kira lima meter serta cuba mengelak sebelum bertembung dengan kereta dipandu mangsa.

Menurutnya, kenderaan mangsa yang hilang kawalan setelah mengelak lubang menyebabkannya bertembung dengan lori tersebut, serta mengakibatkan mangsa tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu lori balak pula tidak mengalami kecederaan.

“Kes kemalangan tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Superintendan Zakaria Kassim ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Beliau turut menasihatkan pengguna jalan Jerantut Kuala Tahan supaya lebih berwaspada ketika melalui jalan tersebut serta mengamalkan pemanduan berhemah.

Seramai enam anggota Bomba Penyelamat Jerantut, diketuai Pegawai Operasi, Osman Malek bergegas ke tempat kejadian, dengan bomba mengambil masa lebih 20 minit untuk memotong bahagian tepi pintu kenderaan mangsa bagi mengeluarkannya. Turut hadir menziarahi mangsa serta waris di Rumah Mayat Hospital Jerantut semalam adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak serta Naib Ketua Umno Bahagian Jerantut, Datuk Nazri Ngah.

Sikap peramah petanda ajal



KUALA LIPIS - Seorang pemandu kereta dan seorang penumpangnya maut selepas kereta dinaiki bersama tiga rakan lain terbabit dalam nahas jalan raya melibatkan lima kenderaan di Kilometer 13, Jalan Lipis –Benta dekat Lipis petang kelmarin.

Dalam nahas kira-kira jam 5.30 petang itu, pemain bola sepak Malaysian Indian Youth Development Foundation (MIYDF) daerah Lipis, A Puveneswaran, 31 dan H Khartik, 18, mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, tiga lagi penumpang kereta terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Menurutnya, pemandu dan penumpang kenderaan lain termasuk seorang penunggang motosikal yang terlibat dipercayai turut terselamat dalam nahas di laluan berselekoh itu.

“Kejadian dipercayai berlaku ketika kereta jenis Proton Iswara dinaiki mangsa dari arah Benta menghala ke Lipis hilang kawalan ketika melalui satu laluan berselekoh di lokasi kejadian.

“Ketika kejadian cuaca hujan renyai-renyai manakala permukaan basah dan licin,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, semalam.

Mohamed Fauzi berkata, kereta mangsa kemudiannya terbabas ke kanan jalan dan termasuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda serta sebuah motosikal.

“Kereta mangsa yang berpusing selepas pertembungan itu turut dirempuh sebuah lagi kenderaan manakala pacuan empat roda yang tersasar melanggar sebuah lagi kereta di hadapannya.

“Mangsa yang bertugas sebagai pengawai keselamatan di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Lipis bersama salah seorang penumpangnya meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati punca kemalangan akibat hilang kawalan dan faktor laluan basah serta licin selepas hujan.

“Nahas yang meragut dua nyawa itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.



Minta pulang awal



“Saya sempat meminta mereka menunggu sehingga selesai majlis penutup. Mereka mendengar arahan dan kembali ke tempat duduk, namun beberapa minit kemudian saya dapati mereka berlima tiada di kawasan padang.”

Demikian kata, Pengerusi MIYDF negeri, K Tamilselven ketika menceritakan detik awal sebelum kejadian kemalangan maut itu.

Menurutnya, kedua-dua mangsa bersama tiga rakan lain sedang dalam perjalanan pulang dari Raub setelah selesai menyertai Pertandingan Bola Sepak MIYDF di Sekolah Menengah Chung Ching, Raub.

“Kelima-lima anak buah saya ini aktif bermain bola sepak dan mewakili MIYDF daerah Lipis hingga ke peringkat negeri. Setelah selesai kejohanan kira-kira jam 4 petang, mereka meminta kebenaran untuk pulang awal ke Lipis.

“Saya minta mereka menunggu hingga selesai acara penutup. Mereka mendengar arahan, namun beberapa minit kemudian mereka beredar dari kawasan padang dalam keadaan tergesa-gesa,” katanya di Rumah Mayat Hospital Lipis, semalam.



Bersalaman dua kali



Tamilselven berkata, sebelah pagi sebelum mereka semua bergerak ke Raub untuk menyertai pertandingan bola sepak, mendiang Puveneswaran dan Karthik berubah menjadi peramah.

“Namun, kami tidak memikirkan perkara buruk akan berlaku dan gembira dengan sikap ramah ditunjukkan kedua-dua mendiang sepanjang perjalanan dari Lipis ke Raub,” katanya.

Tamilselven berkata, kedua-dua mendiang turut menunjukkan sikap aneh apabila bersalam dengannya sebanyak dua kali sebelum bergerak pulang ke Lipis.

“Saya terkejut apabila dikhabarkan mengenai kemalangan terbabit dan bergegas ke tempat kejadian sejurus tamat acara penutup pertandingan itu,” katanya.



Kehilangan dua penyerang



Tamilselven berkata, pemergian kedua-dua mendiang yang maut dalam kemalangan ngeri itu turut meragut semangat rakan-rakan pasukan MIYDF daerah yang kehilangan tonggak utama pasukan.

“Kedua-dua mendiang bermain di posisi penyerang dan kehilangan mereka dalam kejadian itu sedikit sebanyak merencatkan aktiviti bola sepak pasukan ini.

“Mendiang turut dikenali sebagai pemain berdisiplin dan banyak membantu pasukan MIYDF daerah memenangi pertandingan sama ada di peringkat daerah mahupun negeri,” katanya.



Jiran yang baik



Sementara itu, jiran kepada mendiang Puveneswaran, Azhar Idris berkata, mendiang dikenali sebagai seorang jiran yang ringan tulang dan sering membantu apabila majlis keraian seperti kenduri-kendara diadakan di kawasan perumahan mereka di Taman Muhibah, Batu 4.

“Walaupun berbeza agama, namun mendiang tidak segan membantu memeriahkan kenduri terutama membabitkan orang Melayu. Sikap ini sering dipuji jiran setempat,” katanya.



Hulur bantuan



Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman yang turut hadir menziarahi keluarga mangsa di Hospital Lipis semalam meluahkan kesedihan berhubung kejadian itu.

“Saya dimaklumkan kedua-dua mendiang kehilangan bapa dan sedikit sebanyak bantuan peribadi dihulurkan kepada keluarga mangsa untuk meringankan beban mereka dalam melancarkan urusan pengebumian.

“Pemandu kenderaan juga dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu terutama di kawasan yang kerap berlaku kemalangan,” katanya.

Sanggup ceroboh rumah rakan



KUALA TERENGGANU- ‘Kawan makan kawan’. Dek kerana gagal mengawal hasutan syaitan, penoreh getah sanggup menceroboh rumah rakannya sendiri untuk mencuri di Kampung Tok Amat, Merchang, Marang, pagi kelmarin.

:Suspek, 22, yang baru mendirikan rumah tangga dua bulan lalu melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap rakannya sendiri bersama dua sepupunya kira-kira jam 9 pagi iaitu ketika mangsa meninggalkan rumah untuk pergi ke tempat kenduri di Kam-pung Pasir Putih, Marang.

:Kejadian itu hanya disedari mangsa, 25, yang bekerja di Pelantar Minyak selepas pulang ke rumah kira-kira jam 3.30 petang dan mendapati beberapa barang telah hilang antaranya TV Plasma 32 inci jenama Toshiba dan satu unit komputer riba jenama Compaq Presario.

:Mengesyaki rumahnya diceroboh, mangsa membuat laporan di Balai Polis Merchang pada hari sama.

:Rentetan laporan, suspek beralamat di Kampung Gong Kassim, Merchang, Marang ditangkap semula di Kampung Tok Amat oleh pihak polis kira-kira 11.10 malam kelmarin.

:Hasil tangkapan suspek, polis berjaya menemui TV Plasma 32 inci jenama Toshiba itu yang disorokkan dalam semak berhampiran beberapa barang lain turut ditemui iaitu sepasang kasut jenama Metrix warna hitam merah dan satu unit DVD Player jenama Vision yang dipercayai barang curi.

:Polis kini masih memburu dua sepupu suspek yang dipercayai terlibat sama dalam kejadian itu.

:Difahamkan, suspek cedera selepas dipercayai berlaku pergelutan ketika melarikan diri daripada orang awam.

:Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Marang, Asisten Superintenden Mohd Zohan Seman ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan suspek kini direman selama empat hari untuk disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Buruh kempunan kahwin



KUALA TERENGGANU- Hasrat seorang buruh yang ingin mendirikan rumahtangga dengan gadis pilihan hatinya yang dijangka akan berlangsung pada November depan iaitu selepas Hari Raya Aidiladha tidak kesampaian setelah dia dijatuhi hukuman penjara lapan bulan di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Tertuduh, Mohd Rizal Baharuddin, 33, dari Taman Impian Murni, kampung Bukit Datu, Kuala Terengganu dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah memiliki barang curi milik Pasar raya Giant, Kuala Terengganu pada 2 September lalu.

Terdahulu tertuduh dalam rayuannya merayu agar mahkamah meringankan hukuman kerana mengaku telah insaf di atas perbuatan yang dilakukannya itu dan berjanji tidak akan me-ngulanginya lagi.

Bagaimanapun, dalam penghakimannya, Majistret, Nor Azizah Yusof menolak penga-kuan insaf tertuduh kerana mendapati tertuduh tidak pernah serik. Ini sebab, sebelum ini tertuduh pernah memiliki rekod jenayah lampau iaitu dua jenayah narkotik dan dua jenayah di bawah Seksyen 384 dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Anak Dustan manakala tertuduh tidak diwakili mana-mana peguam bela.

Mengikut fakta kes, tertuduh didapati dengan niat menyimpan barang curi milik Pasaraya Giant, Kuala Terengganu iaitu sebuah DVD Player jenama Pensonic, satu kabel penyambung DVD dan satu remote jenama Pensonic.

Perbuatan tertuduh terbongkar setelah dia ditahan polis pada 2 September lalu kira-kira jam 7 petang di tepi jalan Balik Bukit, Kuala Terengganu.

Tertuduh yang ketika itu sedang membawa sesuatu di dalam beg plastik berwarna putih yang bertulis Pizza Hut ditahan kerana didapati dalam keadaan mencurigakan dan selepas disoal siasat berkaitan barang yang dibawa, tertuduh gagal memberikan keterangan yang munasabah.

Tertuduh seterusnya di bawa ke balai polis Kuala Terengganu untuk siasatan dan tertuduh mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh di penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dan didenda.

Penjual Bunga Dipenjara, Denda RM10,000



SHAH ALAM: Hanya kerana mahu 'menyelamatkan' saudara yang tidak mempunyai lesen, seorang penjual bunga melor dihukum penjara sehari dan denda RM10,000 kerana memberi rasuah kepada seorang anggota polis trafik, bulan lalu.
Ironinya, suapan yang diberikan oleh tertuduh, S. Manogaran hanya berjumlah RM20, tetapi Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Asmadi Hussin memberitahu denda tersebut adalah jumlah minimum yang diperuntukkan oleh undang-undang.
Dalam penghakimannya pada Selasa, Asmadi juga memerintahkan agar tertuduh yang tidak diwakili peguam menjalani hukuman penjara selama enam bulan, jika gagal menjelaskan denda itu.
Manogaran, 30, didakwa memberi suapan RM20 kepada anggota trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, dekat sini Koperal Firdaus Brohan pada pukul 12.45 pagi. 31 Julai lalu di Plaza Tol Batu 9, Lebuhraya Cheras - Kajang, dekat sini.
Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk Firrdaus tidak mengeluarkan saman terhadap G. Maheswaran yang semasa itu melakukan kesalahan menunggang motosikal tanpa lesen yang sah.
Pada prosiding itu, tertuduh merayu kepada Asmadi agar menjatuhkan hukuman yang ringan kerana dirinya akan berkahwin pada bulan hadapan menyebabkan hakim berkenaan bertanyakan mengenai kad jemputan perkahwinan tertuduh.
"Saya belum buat lagi," katannya dan mengakui bahawa semasa kejadian berlaku, dia membonceng motosikal terbabit.
Manogaran seterusnya memberitahu, dia turut menanggung perbelanjaan orang tuanya dan berikrar tidak akan melakukan kesalahan di masa hadapan.
Asmadi kemudiannya berkata, tertuduh seharusnya membiarkan Maheswaran untuk bertanggungjawab terhadap kesalahan yang dilakukannya.
"Dia yang buat kesalahan tetapi kamu pula yang dipenjarakan. Lain kali, jangan campur tangan dalam masalah orang lain, biar dia yang selesaikan sendiri.
"Ini semata-mata hal RM20 punya pasal. Ingat ada benda yang tidak boleh dibeli," nasihat Asmad

Remaja Perempuan Yang Ditemui Mati Dibakar Ketika Masih Hidup



KUALA LUMPUR: Polis tidak menolak kemungkinan remaja perempuan yang ditemui mati dalam keadaan 80 peratus rentung di tepi jalan berhampiran sebuah loji kumbahan di Kampung Lembah Jaya Utara, Ampang semalam dibakar ketika mangsa masih hidup.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Amiruddin Jamaluddin berkata, hasil bedah siasat mendapati tiada kesan luka pada tubuh badan mangsa yang dipercayai berusia 17 hingga 18 tahun itu kecuali kesan kebakaran.
Beliau berkata, mangsa dipercayai mati akibat kebakaran serius di bahagian hadapan tubuhnya selain dibakar di bahagian bahu, dada, muka dan bawah pusat.
"Namun kita sedang menunggu keputusan penuh Jabatan Kimia bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa dan juga identitinya," kata beliau kepada para pemberita di pejabatnya di sini, Selasa.
Beliau berkata, profil mangsa menunjukkan dia adalah seorang berkulit kuning langsat, berambut lurus paras bahu dan mempunyai ketinggian 162cm, memakai rantai tangan emas di pergelangan tangan kiri serta memakai subang emas halus.
Amiruddin menambah, mangsa turut memakai pakaian yang dibuat daripada kain nipis dipercayai baju kurung berwarna hijau dan bercorak hitam.
"Mangsa bagaimanapun dilihat seperti tidak berpakaian kerana pakaian mangsa turut hangus terbakar di bahagian hadapan dan hanya tinggal cebisan kain di bahagian belakang badannya.
"Minyak tanah dipercayai digunakan sebagai bahan untuk membakar mangsa kerana terdapat bau minyak tanah di cebisan kain dan juga lokasi kejadian," katanya.
Beliau berkata, tempoh kematian mangsa dan sama ada mangsa mati dibakar di lokasi itu atau di tempat lain belum dikenalpasti.
Amiruddin meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga seperti yang dinyatakan agar tampil ke Balai Polis Ampang Jaya atau yang berhampiran bagi membantu siasatan dan proses pengecaman mayat.
Beliau berkata, semalam polis menerima empat laporan orang hilang dan satu daripada mereka telah membuat pengecaman tetapi hasilnya negatif manakala yang lain akan melakukannya dalam masa terdekat. - BERNAMA

Dua peniaga kerugian RM8,000 ditipu pelancong Arab



06/09/2011 7:57pm



KUANTAN 6 Sept. – Dua pemilik kedai barangan kemas kerugian kira-kira RM8,000 selepas sekumpulan pelancong dipercayai warga Arab melarikan dua utas rantai dan seutas gelang tangan emas selepas menyamar sebagai pelanggan dalam dua kejadian berasingan di Bandar Baru Lipis dan Raub, semalam.
Ketua Polis Daerah Lipis, Supritendan Abdul Razak Hassan berkata, dalam kejadian pertama di Bandar Baru Lipis, kumpulan suspek itu terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia dalam lingkungan 30-an serta seorang kanak-kanak lelaki dianggarkan berusia 10 tahun.
“Kumpulan itu yang berpakaian seperti orang Arab memasuki kedai tersebut antara pukul 11.30 pagi dan 12.30 tengah hari kononnya untuk membeli barangan kemas.
“Mereka meminta mangsa yang berusia 23 tahun mengeluarkan satu dulang barang kemas untuk melihatnya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, selepas membelek barangan kemas di dalam dulang itu, suspek meminta kebenaran untuk membayar dengan mata wang asing namun ditolak mangsa sebelum kumpulan tersebut beredar.
“Semasa ingin menyimpan semula barang kemas itu, mangsa menyedari kehilangan dua utas rantai bernilai hampir RM4,000 dan kejadian dilaporkan kepada polis,” katanya.
Dalam pada itu, sejam selepas kejadian tersebut, seorang pengurus kedai emas wanita berusia 20-an di Raub kerugian kira-kira RM4,000 apabila tiga suspek dipercayai juga warga Arab melarikan seutas gelang tangan emas.
Ketua Polis Daerah Raub, Supritendan Wan Shamsudin Wan Osman berkata, kejadian berlaku pukul 11 pagi di Jalan Dato' Abdullah apabila mangsa didatangi tiga suspek yang berpakaian Arab dan berpura-pura membeli barang kemas.
“Suspek mahu melihat barang kemas dan berpura-pura mahu membeli. Mereka kemudian memberitahu tidak berminat untuk membeli lalu beredar dengan Proton Waja berwarna hitam.
“Kehilangan gelang hanya disedari ketika mangsa memeriksa stok barang kemas yang dijual sebelum menutup premis pada pukul 4 petang,” ujarnya.
Beliau tidak menolak kemungkinan kejadian itu melibatkan suspek yang sama dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. - Utusan

Nekad selamatkan ibu, dua cucu



BESERI – “Saya terkejut melihat api marak sedang membakar bumbung bilik rumah kayu yang menempatkan dua cucu saya.

“Manakala ibu saya yang baru menjalani pembedahan mata pula berada di bilik lain. Saya bergegas untuk menyelamatkan ketiga-tiga mereka kerana keadaan ketika itu begitu berbahaya.

“Saya bimbang keselamatan mereka kerana bumbung dan alang kayu yang sudah dimakan api boleh runtuh pada bila-bila masa,” kata seorang surirumah, Che Jaeezah Saidun, 45, selepas mengalami detik cemas ketika menyelamatkan ibu dan dua cucunya yang berada dalam rumah kayu yang terbakar di Bukit Temiang, dekat sini, semalam.

Difahamkan, sebelum mendengar jeritan cucunya memberitahu kebakaran, Che Jaeezah berada di rumahnya yang terletak bersebelahan rumah ibunya.

Che Jaeezah berkata, dia berusaha membawa turun ibunya, Habibah Safar, 70, terlebih dahulu sebelum berusaha menyelamatkan dua lagi cucunya, Tengku Putra Shakirin, 5, dan Tengku Putri Sofia, 3, yang berada dalam bilik dipercayai sebagai tempat api mula merebak.

Menurutnya, selepas berjaya menyelamatkan tiga ahli keluarganya itu, dia bergegas ke arah jalan raya untuk menahan kenderaan yang lalu lalang bagi mendapatkan bantuan.

“Ketika kejadian tiada sesiapa di rumah kerana mereka keluar bekerja. Kejadian berlaku amat pantas dan bunyi letupan silih berganti,” katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kangar, Johari Othman ketika ditemui di tempat kejadian berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.40 dan tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 1.56.

Beliau berkata, seramai 15 anggota bersama 25 anggota bomba sukarela dari Balai Bomba Sukerala Pauh, Padang Besar, Kuala Perlis, Gial dan Kodiang hadir memadamkan api.

Punca kebakaran masih disiasat bagaimanapun, tidak menolak kemungkinan kebakaran berpunca dari sistem pendawaian yang sudah lama.

“Kejadian dipercayai berpunca dari sistem pendawaian elektrik yang sudah lama dari sebuah bilik tidur.

“Kerugian keseluruhan dianggarkan bernilai RM70,000 kerana membabitkan sebuah rumah kayu lama dianggarkan bernilai RM40,000 dan tiga kenderaan lama dan sebuah motosikal,” katanya.-SH

Maut tertembak senapang rakan

SUNGAI PETANI - Seorang penternak ikan maut apabila selaras senapang patah milik rakannya terjatuh dan tiba-tiba meletup lalu tertembak dadanya dalam kejadian di ladang kelapa sawit berdekatan Kampung Teluk Air Keruh, Batu Lintang, dekat sini lewat malam tadi.
Mangsa Lim Boon Thong, 47, dari Taman Nilam di sini, sebelum kejadian dikatakan baru selesai memburu babi hutan di ladang kelapa sawit itu.
Menurut saksi yang enggan dikenali kejadian itu berlaku kira-kira 12.30 tengah malam semasa mangsa bersama rakannya hendak pulang daripada memburu babi di ladang berkenaan. - Bernama, kosmo

Polis tahan juru ukur buat cukai jalan palsu, miliki ganja

GEORGETOWN: Perbuatan seorang lelaki yang menggunakan cukai jalan palsu akhirnya membawa padah dan membongkar kegiatannya memiliki dadah jenis ganja dalam sebuah kereta.

Pegawai Turus Unit Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Cif Inspektor Rohizad Halim, berkata lelaki itu pada mulanya ditahan polis dalam satu operasi "Ops Evo Elit" di Kilometer 7.4 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Butterworth, awal pagi ini.
Beliau berkata dalam operasi yang bermula pada pukul 1 pagi itu, lelaki terbabit kelihatan gelisah setelah ditahan dan pemeriksaan mendapati dia menggunakan cukai jalan palsu yang dibuat sendiri.
"Ketika ditahan lelaki berusia lingkungan 40-an itu dalam keadaan mencurigakan dan agak gelisah, hasil pemeriksaan lanjut dalam keretanya, kita menemui sepeket ganja yang disimpan di bawah tempat duduk pemandu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut menemui topi berlogo polis dan sebilah pisau dalam kereta Proton Perdana milik lelaki yang bekerja sebagai juru ukur itu.

Rohizad berkata polis tidak menolak kemungkinan lelaki itu cuba menyamar sebagai anggota polis dengan menggunakan topi berlogo polis yang ditemui dalam keretanya.

"Siasatan awal mendapati lelaki yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu datang ke Pulau Pinang untuk membeli ganja sebagai bekalannya bagi melepaskan gian," katanya.
Beliau berkata hasil siasatan juga mendapati lelaki berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah. - BERNAMA 

Bekas pelajar Malaysia ditangkap Polis Yogyakarta

JAKARTA: Seorang rakyat Malaysia, bekas pelajar sebuah pondok pesantren (institusi pendidikan agama) di Bantul, Yogyakarta ditangkap polis di Yogyakarta semalam kerana disyaki menjual enjin motosikal yang dicuri.

Lelaki berusia 30 tahun yang berasal dari Kelantan itu ditangkap setelah polis memasang perangkap apabila mendapat maklumat daripada seorang peniaga bahawa bekas pelajar itu menawarkan untuk menjual blok enjin motosikal kepadanya.
Polis juga merampas beberapa barang bukti daripada suspek.
Jurucakap Polis Yogyakarta hari ini berkata, suspek yang tinggal di Kampung Krapyak, Desa Panggungharjo, Sewon, Bantul itu, mengaku mencuri motosikal sebanyak dua kali.

Setelah mencuri, bahagian motosikal berkenaan akan dileraikan dan dijual secara berasingan sebagai alat ganti, kata jurucakap itu.

Mengikut undang-undang jenayah Indonesia, lelaki itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.

Polis memaklumkan kejadian itu kepada Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan kepada keluarga suspek.
Difahamkan pondok pesantren tempat lelaki itu belajar sudah menyingkirkannya daripada institusi pendidikan agama itu pada Julai lalu kerana masalah disiplin.

Terdapat 10 pelajar Malaysia yang sedang menuntut di pesantren itu dan mereka tidak berdaftar dengan pihak Education Malaysia (MSD) di Indonesia.

Atase Pendidikan Malaysia Ludinata Misnun yang dihubungi berkata, Education Malaysia Indonesia akan memastikan kebajikan suspek semasa dalam tahanan pihak berkuasa Indonesia.

Pihaknya juga akan memastikan hak lelaki terbabit untuk mendapatkan keadilan terjamin, katanya. - BERNAMA 

Lelaki ditemui mati selepas ugut cederakan isteri

BESUT: Seorang lelaki ditemui mati tergantung selepas mengugut untuk mencederakan isteri dan ahli keluarganya dalam satu kejadian di Kampung Tembila Besut di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 pagi, mangsa berusia 30-an yang tidak mempunyai pekerjaan itu dilaporkan bergaduh dengan isterinya sebelum bertindak mengambil sebilah parang di dapur untuk mencederakan anggota keluarganya.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria, berkata oleh kerana takut dicederakan dan untuk mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini, isteri mangsa segera membawa tiga anaknya berumur lingkungan dua hingga lima tahun serta ibu mertuanya keluar dari rumah.
"Kira-kira 15 minit kemudian, isterinya mendengar dentuman kuat dari dalam rumah dan apabila memeriksa mendapati suaminya yang juga seorang penagih dadah sudah tergantung di kawasan ruang tamu rumah berkenaan," katanya kepada pemberita di sini.

Polis mengklasifikasikan kes itu itu sebagai kematian mengejut. - BERNAMA

Tiga rumah musnah terbakar

JOHOR BAHRU 6 Sept. - Tiga rumah musnah dalam satu kebakaran yang berlaku di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang dekat sini awal pagi tadi.
Kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 2 pagi tadi disyaki berpunca daripada litar pintas. - Utusan

Curi enam motosikal dalam masa 26 jam

SINGAPURA
SEORANG lelaki dipenjara setahun lapan bulan dan tidak dibenarkan menunggang selama lima tahun kerana mencuri enam motosikal dan menunggangnya silih berganti dalam masa 26 jam Mei lalu.
Ini dilakukan Mohd Rafie Mohamed Siti, 20 tahun, walaupun lesen memandunya telah ditarik balik.Di Mahkamah Rendah semalam, pendakwa raya mendedahkan bahawa Mohd Rafie menukar motosikal apabila motosikal curi yang ditunggangnya kehabisan minyak atau rosak.Dia melakukannya dengan menggunakan hanya segugus kunci induk.Siasatan mendapati Mohd Rafie seorang penganggur dan menggunakan motosikal curi itu untuk suka-suka.Semalam, dia mengaku bersalah bagi tuduhan mencuri dan menunggan motosikal semasa dilarang menunggang dan tanpa insuran.Dokumen mahkamah menunjukkan dia melakukan perbuatan itu mulai 1 tengah malam pada 23 Mei lalu.Dengan sepupunya berusia 16 tahun, Mohamad Erizam Zainudin, bertindak sebagai pengawas, Mohd Rafie mencuri motosikal pertama di sebuah tempat letak kereta di Tampines Street 12.Mereka meninggalkan motosikal itu di Hougang Avenue 2 dan mencuri motosikal kedua pada 2 pagi.Tetapi motosikal itu rosak dua jam kemudian dan mereka mencuri motosikal ketiga di Hougang Avenue 10.Mereka mungkin bersembunyi dan berehat sepanjang hari itu kerana hanya mencuri motosikal keempat pada 11 malam di Jalan Teck Whye.Mereka meninggalkan motosikal itu pada 1 pagi pada 24 Mei dan menunggang keluar motosikal kelima dari tempat letak kereta Teban Gardens Road.Dua jam kemudian, pada 3 pagi, mereka mencuri sebuah topi keledar dan motosikal keenam di tempat letak kereta di Bukit Batok West Avenue 6.Mohamad Erizam, pesalah kali pertama, telah dikenakan probesen.Mohd Rafie mempunyai rekod beberapa kesalahan jenayah dan melakukan kesalahan-kesalahan itu lima bulan selepas dibebaskan dari penjara.

Lagi pelajar cedera main mercun di Kelantan


KEADAAN muka Mohd Shafiq melecur teruk selepas dipercayai terkena percikan api belerang mercun roket menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, semalam. - Foto Syamsi Suhaimi


KOTA BAHARU 6 Sept. - Seorang pelajar cedera parah di bahagian muka apabila disambar serbuk mercun yang dibakarnya dalam satu kejadian di Kampung Banggul Ara, Chicha, Pasir Mas, semalam.
Pelajar Sekolah Pendidikan Khas di Sekolah Kebangsaan Sultan Ibrahim 2, Pasir Mas, Mohd. Shafiq Mohd Laili, 9, cedera selepas belerang mercun yang dibakar tiba-tiba menyambar mukanya dalam kejadian yang berlaku di luar rumahnya pukul 6 petang.
"Mercun roket itu asalnya dijumpai anak saya ketika pulang sekolah semalam yang dipercayai dibuang seseorang selepas tidak meletup.
"Tiba-tiba petang semalam seorang lagi anak saya Maisarah (kakak Mohd Shafiq) maklumkan dia kena mercun yang dibawa pulang itu,” kata bapa mangsa, Mohd Laili Che Abdul Rahim, 43, di Wad Kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini, hari ini.
Katanya, Mohd Shafiq kemudiannya dibawa ke Hospital Pasir Mas tetapi terpaksa dihantar ke HRPZII untuk menerima rawatan lanjut.
Ketika kejadian, Mohd. Laili yang merupakan seorang pekerja di pelantar minyak di Terengganu berada di rumah bersama isteri, Masnizawati Abdul Manaf, 28.
"Saya tidak tahu Mohd Shafiq dapat mana mancis api dan mahu bermain mercun yang dijumpainya itu,” katanya.
Beliau berkata, Mohd. Shafiq merupakan seorang kanak-kanak yang mengalami masalah “hiper aktif”.
"Keadaan anak saya kini stabil dan doktor pakar mahu memeriksa bahagian mata yang terkena mercun itu,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam HRPZII Zaid Ahmad berkata ini merupakan kes kecederaan ke-10 akibat mercun yang dilaporkan di hospital itu sepanjang perayaan ini. - Bernama

26 maut dalam nahas jalan raya semalam

KUALA LUMPUR: Berbaki sehari lagi, Ops Sikap-24 mencatatkan 26 lagi kematian pada hari ke-14, dengan pengguna motosikal merupakan mangsa korban tertinggi apabila menyumbang kepada 17 kes di seluruh negara semalam.

Laman web Polis Bukit Aman hari ini, turut melaporkan tujuh kematian membabitkan pengguna kereta, satu van serta seorang pejalan kaki dan ini menjadikan jumlah keseluruhan mangsa korban sepanjang Ops Sikap kini meningkat kepada 280 orang.
Laman web itu melaporkan, 10 kemalangan maut berlaku di jalan persekutuan, enam di jalan bandaran, dua di jalan negeri, dua di lebuh raya dan satu di lain-lain jalan.
Jalan bandaran mencatatkan kemalangan paling tinggi dengan 585 kes diikuti jalan persekutuan (396 kes), jalan negeri (247 kes), lebuh raya (89 kes) dan jalan-jalan lain (83 kes) yang menjadikan jumlah kemalangan sebanyak 1,400 kes.

Menurut laman web itu juga, dalam operasi semalam, sebanyak 12,690 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.

Ops Sikap ke-24 yang bermula 23 Ogos lalu sempena Aidilfitri, akan berakhir hari ini. - BERNAMA 

Warga emas maut selepas kereta bertembung lori balak

KUANTAN: Seorang warga emas maut apabila Proton Iswara yang dipandunya yang cuba mengelak jalan yang rosak, bertembung dengan sebuah lori balak tanpa muatan di KM25 Jalan Jerantut-Padang Piol dekat Kuala Tahan, berdekatan Felda Sungai Retang, Jerantut semalam.
Mangsa, seorang peneroka, Wan Saidun Wan Nong, 58, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan selepas tersepit di tempat duduk pemandu.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata dalam kejadian 1.40 tengahari itu mangsa dalam perjalanan dari arah Felda Sungai Retang menuju ke Jerantut.

"Sampai tempat kejadian, dipercayai mangsa cuba mengelak jalan rosak lalu termasuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori balak dari arah hadapan," katanya kepada pemberita di sini.


Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jerantut untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

"Pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan, dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya. - Bernama

Wanita parah terminum racun semut

KOTA BAHARU: Seorang wanita dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini selepas terminum racun semut yang disangkanya sirap yang dibancuh suaminya di rumah mereka di Kampung Rambutan Rendang di sini hari ini.
Norhafiza Badli Afendi, 27, mengalami kekejangan dan mulut berbuih selepas terminum racun itu dalam kejadian pada 11 pagi.
Suaminya, Mohd Din Yusof, 27, berkata sebelum itu beliau membancuh racun semut itu yang berwarna hijau dan memasukkannya dalam gelas dan diletakkan di atas meja makan.

"Saya keluar bagi mengambil pam penyembur racun dan tidak sangka isteri saya yang menyangka ia sejenis sirap pandan telah meminumnya ketika saya keluar sebentar itu.


"Isteri saya sukar bercakap dan terketar-ketar selepas meminumnya. Keadaan dia sekarang sukar untuk bercakap dan darah mengalir dari mulut dia," kata Mohd Din ketika ditemui di wad kecemasan hospital itu. - Bernama

Kelantan catat 25 kematian dalam Ops Sikap ke-24

KOTA BHARU: Ops Sikap ke-24 yang dilancarkan sejak 23 Ogos lalu mencatat 25 kematian di Kelantan dengan kemalangan membabit motosikal mencatat jumlah korban tertinggi, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Kelantan, Mohd Azlisham Abdul Rahman.

Beliau berkata, 17 kematian melibatkan kemalangan motosikal diikuti lima kematian membabitkan kereta, satu kematian berkaitan van dan dua kematian membabitkan basikal.
Pada masa yang sama, beliau berkata, masih ramai penunggang dan pembonceng motosikal yang tidak memakai topi keledar.
Sehubungan itu, kempen kesedaran tentang pemakaian topi keledar secara lebih agresif akan diadakaan, katanya kepada pemberita di sini, hari ini, semasa kempen keselamatan jalan raya sempena musim perayaan Aidilfitri 2011. - BERNAMA 

Pemandu diserang selepas nahas

IPOH - Pemandu sebuah bas ekspres diserang sekumpulan lelaki dan wanita sejurus selepas bas berkenaan terbabit dalam kemalangan jalan raya di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di sini semalam.
Kumpulan dua lelaki dan dua wanita berkenaan turut menyerang pemandu kedua bas berkenaan selain memecah cermin tingkap bas dalam kejadian pada kira-kira 7.30 petang itu.
Seramai 25 penumpang berada dalam bas ekspres yang dalam perjalanan dari Hatyai, Thailand ke Kuala Lumpur itu.
Ketua Polis Trafik Daerah Ipoh, DSP Rodzi Mat Rejab berkata, polis telah menerima aduan daripada pemandu bas berkenaan dan siasatan sedang dijalankan membabitkan kes bergaduh dan samun.
Katanya, kumpulan berkenaan turut merampas kunci bas dan kad Touch n Go sebelum melarikan diri apabila sebuah kereta peronda polis tiba ke sebuah tempat berdekatan Plaza Tol Jelapang di sini.
Pemandu bas seorang warga Thailand berumur 50 tahun hanya cedera ringan, katanya.
Rodzi berkata, bas berkenaan sebelum itu terlibat dengan kemalangan dengan sebuah kenderaan MPV kira-kira dua kilometer sebelum plaza tol berkenaan.
Kereta MPV yang dinaiki empat penumpang itu terbabas ke dalam longkang dan seorang daripada mangsa cedera ringan, katanya.
Polis sementara itu belum dapat memastikan kaitan antara kumpulan yang menyerang bas itu dengan mangsa kemalangan. - Bernama, KOSMO

Diperdaya penipu ala-Arab

KUANTAN - Dua pemilik kedai emas terpedaya dengan taktik pelanggannya yang berpakaian ala-Arab, yang kononnya mahu membeli barangan kemas.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Supritendan Nordin Mustapha berkata, dalam kejadian pertama di sebuah kedai emas di Jalan Lipis-Raub pada 12 tengahari semalam, pemilik kedai berkenaan, seorang wanita, 23, didatangi dua lelaki yang berpakaian seperti Arab dan seorang wanita memakai jubah dengan menutup muka.
"Suspek berusia lingkungan 30-an berpura-pura untuk membeli emas dan mangsa mengeluarkan beberapa dulang emas untuk ditunjukkan kepada suspek,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata, suspek kemudiannya bersetuju membeli tetapi ingin membayar dengan menggunakan mata wang dollar Amerika.
"Mangsa tidak bersetuju dan meminta suspek menukarkan wang berkenaan, suspek kemudiannya keluar dari kedai berkenaan kononnya untuk menukar wang berkenaan,” katanya.
Katanya, mangsa menyimpan semula dulang emas yang dikeluarkan sebelum menyedari seutas rantai yang bernilai RM3,500 telah hilang.
Dalam satu lagi kejadian di Bandar Baru Kuala Lipis, seorang lagi pemilik kedai, seorang wanita, 33, juga ditipu menerusi modus operandi yang sama.
"Dalam kejadian 2 petang, dia didatangi dua suspek, seorang lelaki dan wanita, dipercayai suspek yang sama yang menipu di kedai sebelum itu,” katanya.
Mangsa hanya menyedari seutas rantai bernilai RM3,000 telah hilang selepas kedua-dua suspek itu bergegas keluar. - Bernama

Maut bertembung lori balak

KUANTAN - Seorang warga emas maut apabila Proton Iswara yang dipandunya yang cuba mengelak jalan yang rosak, bertembung dengan sebuah lori balak tanpa muatan di Km25 Jalan Jerantut-Padang Piol dekat Kuala Tahan, berdekatan Felda Sungai Retang, Jerantut semalam.
Mangsa, seorang peneroka, Wan Saidun Wan Nong, 58, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan setelah tersepit di tempat duduk pemandu.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, dalam kejadian 1.40 tengahari itu mangsa dalam perjalanan dari arah Felda Sungai Retang menuju ke Jerantut.
"Sampai tempat kejadian, dipercayai mangsa cuba mengelak jalan rosak lalu termasuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori balak dari arah hadapan,” katanya kepada pemberita di sini.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jerantut untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya.
"Pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan, dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. - Bernama

Tiga anak maut dalam nahas depan mata bapa

REMUK: Beginilah keadaan kereta yang dinaiki tiga beradik
yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Kilometer
 113.6, Jalan Johor Bahru-Seremban, berhampiran
Pekan Yong Peng, Johor, kelmarin. -- Foto HARIAN METRO

SIMPANG RENGGAM: Dengan sekelip mata, seorang bapa melihat tiga orang anaknya terkorban apabila kereta Perodua Kancil yang dinaiki mereka kemalangan di Kilometer 113.6, Jalan Johor Bahru-Seremban, berhampiran Pekan Yong Peng, pada 2.45 pagi kelmarin.
'Kejadian berlaku sekelip mata. Saya dan isteri hanya melihat kereta Perodua kancil yang dinaiki tiga anak kami bertembung dengan sebuah kenderaan lain kira-kira 100 meter di depan kami dan hanya dipisahkan dua kereta lain,' kata bapa tiga beradik yang maut dalam kemalangan jalan raya itu, Koperal Patah Raji Muhamad, 50 tahun.Dalam kejadian itu, anak sulung pasangan berkenaan, Encik Ahmad Zakwan, 19 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian; manakala dua orang adiknya, Encik Ahmad Zahinuddin, 18 tahun, dan Ahmad Zarif, 12 tahun; meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Batu Pahat.Encik Patah Raji dan isterinya, Cik Sopiah Azmi, 48 tahun, yang menaiki kenderaan lain bersama dua lagi anak hanya tergamam melihat kereta yang dinaiki tiga beradik itu bertembung sebuah kereta Proton BLM di depan mata mereka, sebelum memberhentikan kenderaan bagi membantu anak-anaknya.Selain itu, ahli keluarga itu menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan namun tidak sempat menyelamatkan mangsa yang cedera parah di kepala dan badan.Pemandu kereta Proton berkenaan, Encik Ho Hong Shou, hanya cedera ringan.Encik Patah Raji yang bertugas di Balai Polis Simpang Renggam berkata, ketika kejadian, mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Renggam Jaya, di sini, selepas berhari Raya di Kampung Limau Hantu, Pangkal Meleret, Machang, Kelantan, pada Hari Raya kedua.'Sepanjang perjalanan semuanya berjalan lancar. Pada mulanya kereta dipandu Ahmad Zahinuddin, namun ketika tiba di Muadzam Shah, Pahang, kami berhenti rehat seketika untuk melepaskan penat sebelum Ahmad Zakwan menggantikan adiknya.'Sebelum bertolak saya sempat bertanya pada Ahmad Zakwan, sama ada dia boleh meneruskan perjalanan dan dia menjawab tidak ada masalah. Bagaimanapun, apabila tiba di lokasi, saya melihat kereta dinaiki tiga anak bertembung dengan sebuah kenderaan lain,' katanya.Diminta mengulas lanjut kejadian itu, Encik Patah Raji, yang masih sedih dengan pemergian tiga anak lelakinya itu hanya berlinangan air mata dan terpaksa ditenangkan saudara maranya. -- Harian Metro.

26 maut dalam nahas jalan raya semalam

KUALA LUMPUR: Berbaki sehari lagi, Ops Sikap-24 mencatatkan 26 lagi kematian pada hari ke-14, dengan pengguna motosikal merupakan mangsa korban tertinggi apabila menyumbang kepada 17 kes di seluruh negara semalam.

Laman web Polis Bukit Aman hari ini, turut melaporkan tujuh kematian membabitkan pengguna kereta, satu van serta seorang pejalan kaki dan ini menjadikan jumlah keseluruhan mangsa korban sepanjang Ops Sikap kini meningkat kepada 280 orang.
Laman web itu melaporkan, 10 kemalangan maut berlaku di jalan persekutuan, enam di jalan bandaran, dua di jalan negeri, dua di lebuh raya dan satu di lain-lain jalan.
Jalan bandaran mencatatkan kemalangan paling tinggi dengan 585 kes diikuti jalan persekutuan (396 kes), jalan negeri (247 kes), lebuh raya (89 kes) dan jalan-jalan lain (83 kes) yang menjadikan jumlah kemalangan sebanyak 1,400 kes.

Menurut laman web itu juga, dalam operasi semalam, sebanyak 12,690 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.

Ops Sikap ke-24 yang bermula 23 Ogos lalu sempena Aidilfitri, akan berakhir hari ini. - BERNAMA 

Penduduk bimbang dua harimau berkeliaran

KULIM: Lebih 400 penduduk di Kampung Wang Pinang dan Kampung Padang Tembak, di sini berada dalam keadaan bimbang apabila kisah penemuan harimau berhampiran kampung mereka heboh menjadi bahan bualan sejak beberapa hari lalu.

Paling bimbang adalah mereka yang memiliki haiwan ternakan seperti lembu dan kambing.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP) Padang Tembak, Hashim Md Isa, berkata sehingga kini ada dua keluarga yang menternak kira-kira 30 ekor lembu dan 40 ekor kambing yang menjadikan kawasan hutan berhampiran kampung itu sebagai tempat meragut rumput setiap hari.
“Namun, sehingga kini kami tidak pun medapat sebarang laporan yang lembu atau kambing dibaham haiwan liar itu," katanya di sini, semalam.

Khamis lalu, seorang penoreh getah yang dalam perjalanan ke kebun terserempak dengan dua ekor harimau berkeliaran dan menggunakan mercun untuk mengusir haiwan itu tetapi gagal serta terpaksa berpatah balik dan meminta bantuan penduduk tempatan.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, penoreh getah berusia dalam lingkungan 60-an itu menggunakan telefon bimbitnya untuk menghubungi seorang adiknya yang memaklumkan kepada Pasukan Persatuan Prihatin dan Kepartian Masyarakat Kulim (PPKM) iaitu satu pertubuhan cegah jenayah sukarela di sini yang berkejar ke tempat kejadian berhampiran Kampung Padang Tembak.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Salleh ketika dihubungi mengesahkan pihaknya dimaklumkan dengan kejadian itu dan memaklumkannya kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah untuk tindakan susulan.
Sementara itu, Perhilitan Kedah sedang menjejak dua ekor harimau yang dikatakan berkeliaran di sekitar kampung terbabit sejak kelmarin.

Pengarahnya, Rahim Ahmad berkata, sehingga kini tiga renjer jabatan berkenaan dari Pejabat Perhilitan Daerah Baling berada di lokasi yang dilaporkan seorang penoreh getah terserempak dengan dua ekor haiwan liar itu dalam perjalanan ke kebunnya.

“Anggota jabatan ke lokasi berkenaan sejak petang semalam (kelmarin) dan mereka bermalam dalam kawasan hutan Bukit Besar di situ. Sehingga ini, mereka tidak menemui sebarang kesan atau jejak tapak harimau yang dikatakan penduduk berkeliaran di sekitar kampung berkenaan,” katanya.

Pengerusi PPKM, Khor Eng Hing, berkata seperti maklumat yang diperoleh daripada penoreh getah dari Selama, Bandar Baharu yang terserempak dengan harimau berkenaan, mereka menganggarkan berat seekor daripadanya adalah 80 kilogram dan seekor lagi pula 30 kilogram.

“Anggota kami juga berjaya menjejak bekas tapak kaki harimau berkenaan sekitar kawasan kira-kira 500 meter dari Kampung Padang Tembak di situ,” katanya. – BERNAMA 

SA Bandar Tangkak terbakar

SITI Salwa   (kanan) bersama guru Sekolah Agama Bandar Tangkak, Ledang meninjau  meja  terbakar pagi semalam.
SITI Salwa (kanan) bersama guru Sekolah Agama
 Bandar Tangkak, Ledang meninjau meja terbakar pagi semalam.

Perbuatan khianat dikaitkan punca bilik darjah musnah ketika perayaan

LEDANG: Perbuatan khianat dilakukan pencuri yang menceroboh Sekolah Agama (SA) Bandar Tangkak di sini, dipercayai menjadi punca sebuah bilik darjahnya musnah angkara kebakaran pagi kelmarin.
Kebakaran kira-kira jam 11.30 pagi itu memusnahkan meja guru, papan hitam, siling dan bilik stor sebuah bilik darjah yang terletak di tingkat atas Blok B sekolah berkenaan.
Kemusnahan yang berlaku itu menjejaskan proses pembelajaran 60 murid Darjah Satu dan Empat yang bergilir menggunakan bilik berkenaan pada waktu pagi dan petang, apabila kembali bersekolah semalam, selepas seminggu bercuti sempena Aidilfitri.

Kebakaran yang berlaku itu disedari orang ramai yang mengunjungi Pasar Tani Tangkak yang terletak bersebelahan sekolah terbabit, apabila melihat kepulan asap daripada bangunan itu.

Guru Hal Ehwal Murid (HEM) SA Bandar Tangkak, Siti Salwa Othman, 41, berkata beliau bergegas ke sekolah sejurus menerima panggilan telefon daripada orang awam memaklumkan kejadian itu.

"Setibanya di sekolah, saya dapati sebuah bilik darjah di tingkat atas Blok B terbakar yang memusnahkan meja guru, papan hitam, siling dan bilik stor menyimpan peralatan.
“Kami bersyukur kejadian ini berlaku ketika cuti persekolahan dan ia dapat dikawal daripada merebak ke bangunan lain. Seramai 983 murid mengikuti pembelajaran sesi pagi dan petang di sekolah ini dan bilik darjah yang terbakar itu digunakan murid Darjah Satu dan Empat.

"Saya tidak menolak kemungkinan kebakaran berpunca daripada perbuatan khianat kerana ada kesan peralatan bilik darjah digeledah, selain pokok bunga dirosakkan. Api merebak mungkin berpunca daripada banyak buku dalam laci meja guru yang dibakar sebelum marak memusnahkan papan hitam dan bahagian lain dalam bilik darjah tersebut," katanya.

Beliau berkata, kebakaran itu pertama kali berlaku di sekolah terbabit selepas sebelum ini pejabat pentadbiran beberapa kali dipecah masuk pencuri.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan kebakaran itu pada jam 11.37 pagi.

Katanya, sebuah jentera bersama empat anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II Yusof Muniron, dikejarkan ke tempat kejadian dan berjaya memadamkan kebakaran dalam masa lima minit.

"Api berpunca daripada longgokan kertas yang terbakar di meja guru serta bilik stor,” katanya. 

Gempa bumi kuat di Sumatera Utara, Indonesia

KUALA LUMPUR - Satu gempa bumi kuat bermagnitud 6.7 skala Richter telah berlaku di Sumatera Utara pada pukul 1.55 pagi tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia pusat gempa bumi itu terletak di latitud 2.9 Utara longitud 97.3 Timur. 363 kilometer Barat daya Pulau Pangkor,Perak.

Gegaran  turut dirasai di Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Penang dan Kedah.

Tak sempat hantar anak

KOTA BHARU - Hasrat seorang bapa untuk menghantar anak sulungnya ke menara gading, malam kelmarin, tidak kesampaian apabila dia maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi kelmarin, Isa Osman, 51, mengalami kecederaan teruk di kepala selepas motosikal yang dinaikinya dipercayai dalam perjalanan untuk menjaja air terbabas di Wakaf Che Yeh dan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk rawatan.

Bagaimanapun, dia kemudiannya meninggal dunia kira-kira jam 4 petang semalam di HRPZII akibat kecederaan yang serius kerana selepas terbabas terdapat kenderaan lain dari arah Jalan Kuala Krai melanggar mangsa.

Isteri mangsa, Rokiah Ahmad berkata, pada malam kematiannya itu dia sepatutnya menemani anak sulungnya, Noriani, 19, menaiki bas untuk urusan pendaftaran kemasukan penuntut baru di Universiti Kebangsaan Malaysia.

”Dia memang beria-ia mahu menghantar anak sulung kami ini dengan menaiki bas dan sepatutnya mereka bertolak malam tadi, tetapi saya reda ajalnya tiba sebelum sempat mengiringi anaknya menjejak kaki ke universiti.

”Saya menerima ketentuan ini dan saya mahukan anak perempuan saya ini tidak patah semangat untuk meneruskan pengajiannya dalam jurusan Syariah supaya dapat membuktikan kemampuan walaupun ayahnya tiada lagi di dunia ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Paya Rambai semalam.

Rokiah berkata, keseronokan mereka sekeluarga menyambut Aidilfitri dan kegembiraan meraikan kejayaan anaknya dapat melanjutkan pengajian ke menara gading bersama-sama suaminya tidak berpanjangan kerana dia pergi untuk selama-lamanya.

Katanya, sebelum kejadian suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan dan keluar berniaga seperti rutinnya dengan motosikal kira-kira jam 9 pagi.

”Pada hari kejadian saya gelisah kerana sehingga jam 1.40 petang dia masih belum balik lagi sedangkan kebiasaannya dia akan pulang untuk makan tengah hari bersama-sama kami pada jam 1.30 petang.

“Saya menyuruh anak sulung menghubungi ayahnya kira-kira jam 2 petang tetapi panggilan itu tidak dijawab. Saya tidak berpuas hati dan dan setelah dihubungi untuk kali dua suara orang lain yang menjawabnya lalu memberitahu suami saya berada di hospital kerana kemalangan,” katanya.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Sari kira-kira jam 10 malam kelmarin.

Tak dapat tidur lena

KUALA KRAI - Dua kes kecurian dalam tempoh setahun membuatkan tiga keluarga bersaudara di Kampung Bedal, dekat sini, tidak dapat tidur lena kerana bimbang kejadian sama mungkin berulang.

Seorang penduduk, Mohamad Aziz, 43, berkata, kejadian terbaru berlaku dua hari lalu apabila rumah ibunya dipecahkan masuk hingga menyebabkan kerugian lebih RM2,000.

Katanya, mereka bagaimana pun bernasib baik apabila komputer riba milik anak saudaranya yang hilang pada kejadian itu berjaya diperoleh semula hasil tindakan pantas anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).

“Walaupun telah dijual kepada orang lain, tindakan pantas Ketua Platun Rela Bukit Sireh, Azmi Ibrahim berjaya mengesan komputer riba itu yang dijual di pekan Temangan, dekat Machang.

“Kami bimbang kes kecurian mungkin berulang kerana kedua-dua kejadian dipercayai dilakukan oleh orang sama yang juga penduduk kampung ini,” katanya, di sini, semalam.

Difahamkan, komputer riba itu berjaya dikesan selepas Azmi mendesak seorang pemuda, juga dipercayai penagih dadah yang disyaki terlibat dalam kejadian berkenaan.

Pengakuan dibuat penduduk terbabit membawa kepada penemuan semula barang curi itu yang telah bertukar tangan selepas dijual pada harga RM200.

Mohamad berkata, pada kejadian pertama Oktober tahun lalu, pencuri memecah masuk rumahnya serta rumah kakak dan ibunya yang terletak berhampiran hingga menyebabkan mereka kerugian ribuan ringgit.

“Pada kejadian itu, saya sendiri kerugian wang tunai, barang kemas dan telefon bimbit dengan nilai keseluruhan lebih RM1,000 tidak termasuk kerugian dialami kakak dan ibu saya,” katanya.

Justeru, Mohamad menggesa pihak berkuasa berkenaan bertindak tegas membanteras penyalahgunaan dadah terutama pil kuda di kampung itu yang dipercayai menjadi punca utama kes kecurian.

Dua beradik serah diri



KUANTAN- Dua individu dipercayai adik- beradik yang sebelum ini dijejaki polis bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian lembu di Kampung Tanjung Putus, Bukit Rangin dekat sini tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, petang kelmarin.

Kedua-dua mereka Suhaimi Mat Yacob, 47 dari Kampung Cherang Hangus, Bekelam, Bachok dan Mustakim Mat Yacob, 44 dari Kampung Bugis, Beserah dekat sini tampil meyerah diri Sabtu lalu selepas gambar mereka tersiar di akhbar.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuantan, Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar berkata, dua beradik itu kini ditahan untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, polis berpuas hati dengan keterangan Suhaimi yang merupakan pemilik asal kereta jenis Proton Satria yang digunakan dalam kegiatan tersebut dan dia difahamkan dibebaskan petang semalam.

“Mustakim yang membeli kenderaan itu sejak dua tahun lalu masih ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam.

Kamaruzzaman berkata, suspek sebenar kes curi lembu itu sudah dikenal pasti berdasarkan keterangan kedua-dua mangsa.

“Suhaimi dalam keterangannya mendakwa sudah menjual kereta tersebut kepada adiknya, Mustakim kira-kira dua tahun lalu bagaimanapun tidak menukar nama.

“Mustakim pula mencagarkan kereta tersebut kepada individu lain (suspek) tanpa menyedari kenderaan tersebut digunakan dalam kegiatan curi lembu,” katanya.

Beliau berkata, polis sedang menjejaki dua suspek dan percaya kes tersebut dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

“Polis percaya kegiatan itu melibatkan lebih daripada dua suspek dan siasatan terus dijalankan bagi mengenal pasti semua yang terlibat,” katanya.

Dalam kejadian awal pagi kelmarin, seorang penternak lembu terkejut apabila terdengar bunyi tembakan sebelum ternampak salah seekor lembunya rebah.

Pada masa yang sama dia ternampak dua kereta dipandu laju meninggal lokasi kejadian selepas gagal melarikan lembu terbabit setelah menyedari kehadiran pemilik haiwan ternakan tersebut.

Lelaki berusia 25 tahun itu bertindak mengejar kenderaan suspek dan dalam kejadian itu, salah sebuah kenderaan tersebut mengalami kerosakan lalu terbabas ke dalam longkang bagaimanapun pemandu dan penumpangnya berjaya melarikan diri.

Hasil siasatan polis mendapati dua ekor lembu mati terkena tembakan menyebabkan pemiliknya kerugian kira-kira RM3,000.

Wanita maut dirempuh pacuan empat roda



KLANG SELATAN - Seorang wanita warga Indonesia terbunuh selepas basikal yang dinaikinya dirempuh kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian di Jalan Sungai Jati, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang itu, mangsa dikenali Ida, 46, cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Trafik merangkap Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintenden Rosly Abdul Rahman berkata, mangsa menaiki basikal seorang diri dari arah Klang menuju Bulatan Jalan Kebun.

“Berdasarkan siasatan, basikal ditunggang mangsa dirempuh kenderaan pacuan empat roda yang datang dari arah sama.

“Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke jalan raya dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, pemandu pacuan empat roda itu melarikan diri sejurus kejadian.

“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Bilik Mayat, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.

“Saya minta pemandu itu tampil ke Balai Trafik Klang Selatan dengan segera bagi memberikan kerjasama kepada polis dalam melengkapkan siasatan kes ini,” katanya.

Katanya lagi, saksi kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Cif Inspektor Reduan Rahman di talian 03-33722222 atau tampil ke Balai Trafik Klang Selatan bagi membantu siasatan.

Kereta dicuri ketika rehat



PORT DICKSON – Rehat seorang lelaki pada tengah hari, kelmarin terganggu apabila dia didatangi seorang lelaki bersenjatakan pisau yang kemudiannya melarikan kereta miliknya.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Baljeet Singh (gambar) berkata, kejadian itu berlaku sekitar jam 12.30 tengah hari di Kuala Lukut.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa sedang berehat di dalam keretanya dikejutkan dengan kehadiran seorang lelaki yang mengetuk tingkap keretanya.

“Lelaki itu memberitahu bahawa dia mahu menarik kereta tersebut kerana sudah lama tidak dibayar, walau bagaimanapun mangsa memaklumkan keretanya sudah habis dibayar,” katanya.

Baljeet berkata, lelaki itu kemudian mengeluarkan pisau dan diacukan ke leher mangsa sebelum mengarahkannya keluar dari kereta.

“Lelaki yang datang dengan sebuah kereta bersama empat lagi rakannya melarikan kereta mangsa jenis Perodua Kancil nombor pendaftaran NBN 4561 berwarna silver,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 397 Kanun Keseksaan bagi rompakan berkumpulan dan rompakan dengan bersenjata.

“Mangsa yang berusia 37 tahun menanggung kerugian mencecah RM20,000,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu dan tahu di mana kereta mangsa boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah di talian 06-6472222 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan polis.

Terkejut gambar hari raya berlatarkan gereja


AZMAN menunjukkan tanda salib terdapat di belakang gambar keluarganya yang diambil semasa hari raya pertama di sebuah kedai gambar di Kok Lanas, Kota Bharu, baru-baru ini.




KOTA BHARU 5 Sept. - Sebuah keluarga dekat sini terkejut apabila dua keping gambar yang diambil di sebuah kedai gambar di Ketereh sebagai kenangan sempena Hari Raya Aidilfitri pada 30 Ogos lalu, mempunyai latar belakang gereja serta tertera lambang salib.
Salah seorang ahli keluarga tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Azman berkata, dia menyedari perkara itu selepas melihat imej berkenaan dengan teliti ketika berada dalam kedai gambar berkenaan kelmarin untuk mengambilnya kerana ia sudah siap diproses.
"Semasa mengambil gambar itu, saya ada memberitahu pemilik kedai tersebut supaya meletakkan latar belakang yang bersesuaian namun sebaik sahaja siap diproses, saya terkejut apabila mendapati ia berlatarbelakangkan gereja.
"Selain itu, ia mempunyai lambang salib serta patung-patung yang dikaitkan dengan agama Kristian," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Azman berkata, dua keping gambar ahli keluarganya yang lengkap berbaju raya itu diambil dengan bayaran deposit RM20 di sebuah kedai berhampiran rumah mereka pada hari raya pertama dan pemilik kedai menyuruhnya datang semula kelmarin untuk mengambil gambar yang sudah siap dicuci.
"Saya cuba mendapatkan penjelasan pemilik kedai terbabit yang merupakan seorang wanita berusia lingkungan 40-an dan memaklumkan ia tidak disengajakan dan dia juga tidak mengetahuinya.
"Saya menjelaskan kepadanya bahawa orang Islam tidak boleh mempunyai tanda tersebut dan saya juga mempersoalkan, sepatutnya dia mengetahui sensitiviti itu memandangkan media baru-baru ini telah melaporkan pelbagai isu berkaitan gereja," katanya.
Dakwanya, wanita tersebut membuat tawaran supaya menukar latar belakang pada gambar tersebut namun dia enggan kerana mereka seolah-olah mahu mempersendakan agama Islam.
Pada masa sama, dia juga sempat melihat beberapa keping gambar lain yang siap diproses dan turut tertera lambang sama seperti pada gambar miliknya.
"Saya percaya masih ada banyak gambar yang mempunyai imej tersebut dan pelanggan tidak menyedarinya. Pada mulanya, saya ingin membakar gambar tersebut tetapi ia satu tindakan yang tidak tepat dan sepatutnya ia didedahkan untuk pengetahuan umum," katanya.
Azman meminta pihak berkaitan khususnya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) membuat pemantauan segera berhubung perkara tersebut kerana dikhuatiri boleh memudaratkan selain menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam di negeri ini.
Sementara itu, katanya, mereka sekeluarga bersedia untuk membuat laporan polis untuk mengelakkan perkara sama berulang kepada orang lain.

JPAM, penduduk kampung tangkap anak buaya sesat


Siti Rabiulhara Ibrahim (kanan) dan Ismawati Mohri menangkap anak buaya sambil dibantu penduduk kampung, Surida Jamain di Kampung Gita Tengah, Kuching, Sarawak, semalam.



KUCHING 5 Sept. - Dua anggota wanita Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) negeri tidak menyangka terpaksa membantu penduduk kampung menangkap seekor anak buaya sepanjang 1.5 meter, pada hari pertama bertugas selepas bercuti panjang menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Anak buaya yang dipercayai tersesat itu ditemui seorang penduduk di belakang sebuah rumah di Kampung Gita Tengah, di sini kira-kira pukul 11 pagi ini.
Ismawati Mohri, 27, berkata, sebaik sahaja menerima panggilan dari pemilik rumah itu, dia bersama rakannya, Siti Rabiulhara Ibrahim, 28, serta tiga lagi anggota JPAM lain bergegas ke kampung tersebut.
"Saya baru bertugas hari ini setelah mengambil cuti selama seminggu untuk menyambut hari raya di kampung. Tidak sangka hari pertama sudah kena tangkap buaya.
"Anak buaya itu agak agresif, namun tindakan pantas penduduk kampung mengikat mulut dan kakinya dengan tali terlebih dahulu memudahkan kerja kami," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sementara itu, pemilik rumah, Jamaim Kandis, 56, berkata, kehadiran buaya di situ, bukanlah perkara baru kerana reptilia berkenaan sering kelihatan di sungai tidak jauh dari rumahnya.
"Namun, ia kali pertama dikesan naik ke darat. Mungkin buaya tersebut terlalu lapar dan ingin memburu ayam dan itik peliharaan penduduk kampung.
"Keadaan itu merisaukan kami semua, jadi saya melarang anak-anak bermain di sekitar tebing sungai," katanya.
Tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku manakala reptilia itu dibawa ke pejabat operasi JPAM sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

Kastam rampas gading gajah bernilai RM3 juta


ZAINUL Abidin Taib (depan) bersama pegawainya menunjukkan gading gajah yang dirampas selepas sidang akhbar di Wisma Kastam Pelabuhan Utara, Klang, semalam.



PELABUHAN KLANG 5 Sept. - Bahagian Penguatkuasaan Kastam Selangor merampas 695 gading gajah seberat dua tan bernilai RM3 juta, yang ditemui di dalam salah satu daripada dua kontena yang diisytiharkan berisi plastik hancur kitar semula, hari ini.
Penolong Ketua Pengarah Kastam (Bahagian Penguatkuasaan) Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Zainul Abidin Taib memberitahu sidang akhbar di sini hari ini, kontena yang disyaki mengandungi gading gajah itu ditahan di Pelabuhan Barat di sini pada Jumaat lepas dan pemeriksaan secara menyeluruh dilakukan pagi ini.
Beliau berkata, Kastam Selangor membuat penahanan itu selepas mendapat maklumat daripada Bahagian Penguatkuasaan Kastam Pulau Pinang bahawa terdapat dua kontena bersaiz 6.09 meter yang disyaki dimuatkan dengan gading gajah berada di Pelabuhan Barat.
"Hasil pemeriksaan yang dijalankan pasukan Kastam mendapati 92 beg plastik dimuatkan di bahagian tengah sebuah kontena tersebut berisi gading gajah," katanya.
Maklumat awal siasatan mendapati gading gajah ini berasal dari Tanzania dan akan dihantar ke China sebelum dieksport semula ke negara-negara rantau Asia, katanya.
Beliau berkata, tiada tangkapan dibuat setakat ini dan pihaknya masih menjalankan siasatan berikutan rampasan ini.
Zainul Abidin berkata, menjadi satu kesalahan untuk membawa masuk gading gajah ke Malaysia tanpa permit eksport dari negara asal kerana gajah termasuk gadingnya merupakan spesies yang dilindungi mengikut Seksyen 13 Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008.
Beliau berkata, berdasarkan Seksyen 13(2) Akta itu, individu yang membawa masuk spesies terancam boleh dikenakan denda RM100,000 bagi setiap haiwan, tumbuhan ataupun anggota badannya tetapi jumlahnya tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.
Zainul Abidin berkata, ini bukan kali pertama Malaysia cuba dijadikan transit bagi penyeludupan gading gajah kerana pada 19 Ogos lepas, Kastam Pulau Pinang merampas 664 gading gajah seberat 1.6 tan bernilai RM2.3 juta.
Beliau berkata, kegiatan ini dipercayai dilakukan oleh sindiket yang sama kerana modus operandi adalah serupa iaitu menyembunyikan gading-gading gajah di dalam guni plastik bersama guni-guni yang berisi plastik hancur kitar semula. - BERNAMA

Seorang lagi remaja didakwa serang Asyraf


Gambar video diambil daripada YouTube merakamkan Asyraf diserang sekumpulan remaja yang berpura-pura membantunya semasa rusuhan di London pada 8 Ogos lalu. - AFP



LONDON 5 Sept. - Seorang lagi remaja didakwa di Mahkamah Majistret Thames, hari ini kerana menyerang pelajar Malaysia, Muhammad Asyraf Haziq Rossli semasa rusuhan di kota London baru-baru ini dalam satu insiden yang dirakam dan ditonton berjuta-juta pengguna Internet.
Suspek kedua itu dituduh menyerang pelajar jurusan akaun tersebut, mengakibatkan beliau cedera di bahagian rahang selepas ditumbuk dalam serangan di Barking, timur London pada 8 Ogos lalu.
Remaja berkenaan berusia 17 tahun turut didakwa atas satu dakwaan mengakibatkan kesakitan ke atas Asyraf, satu dakwaan mencuri, dua kesalahan mencuri dan dua kesalahan keganasan.
Suspek pertama, Reece Donovan, 21, kini ditahan selepas dihadapkan ke mahkamah pada bulan lalu atas dakwaan samun.
Donovan dituduh merompak telefon bimbit jenis Nokia dan konsul permainan PSP jenis Sony milik Asyraf.
Pemuda itu adalah seorang anggota kumpulan remaja lelaki yang berpura-pura membantu Asyraf yang terjatuh selepas diserang oleh perusuh.
Klip video di Internet menunjukkan Donovan bukan menolong Asyraf tetapi mengambil barang-barang dari beg sandang Asyraf yang bernilai 300 pound (RM1,440).
Ketika kejadian, Asyraf sedang berbasikal apabila diserang oleh sekumpulan budak-budak lelaki dan basikalnya dicuri oleh mereka yang berumur tidak lebih 12 tahun.
Kejadian tersebut yang dirakam serta ditonton di Internet, mendapat liputan meluas media di seluruh dunia.
Pada satu sidang media, Asyraf berkata, insiden seperti itu tidak akan berlaku di Malaysia kerana ia merupakan sebuah negara yang teratur serta anggota polis melaksanakan tanggungjawab mereka dengan berkesan. - AFP

Larikan serbuk emas RM200,000





KUALA TERENGGANU 5 Sept. – Polis memburu tiga individu termasuk sepasang suami isteri yang dipercayai memecah masuk sebuah kedai emas di Jalan Bukit Mok Mek, Jertih, pada 31 Ogos lalu, sebelum melarikan serbuk emas dan barangan perak bernilai RM200,000.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, suspek yang berusia lingkungan 30-an itu dipercayai turut aktif melakukan kes curi di Pahang dan Lembah Klang.
Katanya, ia berdasarkan hasil siasatan ke atas seorang suspek berusia 28 tahun berasal dari Bentong, Pahang, yang ditahan pada hari kejadian berkenaan.
“Hasil siasatan kita percaya dua lagi suspek yang melarikan diri itu, dibantu isteri salah seorang daripadanya dan turut bersekongkol memecah masuk kedai emas tersebut,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau berkata, dalam kejadian pukul 7.45 pagi itu, suspek dipercayai memasuki sebuah kedai kosong yang terletak bersebelahannya sebelum menebuk dinding kedai emas terbabit.
“Mereka berjaya memasuki kedai emas itu namun gagal memasuki bilik kebal tempat simpanan barang kemas.
“Suspek hanya dapat sejumlah serbuk emas dan barangan perak dianggarkan bernilai kira-kira RM200,000 yang tidak disimpan di dalam bilik kebal,” katanya.
Menurut beliau, polis yang mendapat maklumat bertindak pantas menyerbu kedai itu dan berjaya menahan salah seorang suspek ketika cuba melarikan diri dengan sebuah Perodua Myvi tidak jauh dari tempat kejadian.