Search This Blog

Monday, September 5, 2011

Penduduk Dua Kampung Bimbang Harimau Berkeliaran

KULIM: Lebih 400 penduduk di Kampung Wang Pinang dan Kampung Padang Tembak di sini, berada dalam keadaan bimbang apabila kisah terjumpanya harimau berhampiran dengan kampung mereka heboh menjadi bahan bualan sejak beberapa hari lepas.
Paling bimbang adalah mereka yang memiliki haiwan ternakan seperti lembu dan kambing.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP)Padang Tembak Hashim Md Isa berkata sehingga kini terdapat dua keluarga yang menternak kira-kira 30 ekor lembu dan 40 ekor kambing yang menjadikan kawasan hutan berhampiran kampung itu sebagai tempat meragut rumput setiap hari.
"Tapi sehingga kini kami tidak pun medapat sebarang laporan yang lembu atau kambing dibaham haiwan liar itu," katanya kepada Bernama di sini pada Isnin.
Khamis lepas, seorang penoreh getah yang dalam perjalanan ke kebun terserempak dengan dua ekor harimau berkeliaran dan telah menggunakan letusan mercun untuk mengusir haiwan itu tetapi gagal serta terpaksa berpatah balik dan meminta bantuan penduduk tempatan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, penoreh getah yang berusia dalam lingkungan 60-an itu menggunakan telefon bimbitnya untuk menghubungi seorang adiknya yang memaklumkan kepada Pasukan Persatuan Prihatin dan Kepartian Masyarakat Kulim (PPKM) iaitu satu pertubuhan cegah jenayah sukarela di sini yang berkejar ke tempat kejadian berhampiran Kampung Padang Tembak.
Ketua Polis Daerah Kulim Supt Ghuzlan Salleh ketika dihubungi mengesahkan bahawa pihaknya telah dimaklumkan dengan kejadian itu dan memaklumkannya kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah untuk tindakan susulan.
Sementara itu, Perhilitan Kedah sedang menjejak dua ekor harimau yang dikatakan berkeliaran di sekitar kampung tersebut sejak semalam.
Pengarahnya Rahim Ahmad berkata sehingga kini tiga orang renjer jabatan berkenaan dari Pejabat Perhilitan Daerah Baling berada di lokasi yang dilaporkan seorang penoreh getah terserempak dengan dua ekor haiwan liar itu dalam perjalanan ke kebun.
"Anggota-anggota jabatan telah ke lokasi berkenaan sejak petang semalam dan mereka telah bermalam dalam kawasan hutan Bukit Besar di situ dan sehingga ini mereka tidak menemui sebarang kesan atau jejak tapak harimau yang dikatakan penduduk telah berkeliaran di sekitar kampung-kampung berkenaan," katanya.
Pengerusi PPKM Khor Eng Hing, 48, berkata seperti maklumat yang diperoleh daripada penoreh getah dari Selama, Bandar Baharu yang terserempak dengan harimau-harimau tersebut, mereka menganggarkan berat seekor daripadanya adalah 80 kg dan seekor lagi pula 30 kg.
"Anggota-anggota kami juga berjaya menjejak bekas tapak kaki harimau berkenaan sekitar kawasan kira-kira 500 meter dari Kampung Padang Tembak di situ," katanya. - BERNAMA

Empat Maut Dalam Tiga Nahas Jalan Raya Di Pahang

KUANTAN: Empat maut dalam tiga nahas jalan raya di Pahang, pada Ahad.
Dalam kejadian pertama, dua lelaki maut apabila kereta yang dinaiki bersama tiga yang lain terbabit dalam nahas jalan raya yang melibatkan lima kenderaan di Km13, Jalan Lipis - Benta dekat Kuala Lipis kira-kira pukul 5.30 petang.
Pemandu kereta itu, A. Puveneswaran, 31, dan penumpangnya, H. Khartik, 18, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Superintendan Mohd Fauzi Abdul Rahim berkata tiga lagi penumpang kereta terbabit cedera ringan.
Beliau berkata kereta mangsa yang dari arah Benta menuju ke Lipis terbabas ke kanan jalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah motosikal.
"Kereta mangsa yang berpusing selepas pertembungan itu kemudiannya dirempuh sebuah lagi kereta manakala kenderaan pacuan empat roda yang tersasar melanggar sebuah lagi lain kereta di hadapannya," katanya.
Dalam kejadian berasingan, seorang penunggang motosikal terbunuh apabila dirempuh sebuah kereta jenis Proton Saga secara bertentangan di Km75 Jalan Pekan-Terapai dekat Chini pada pukul 5 petang.
Mangsa, berketurunan Orang Asli, Armi Jafri Asing, 21, maut ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Chini akibat cedera parah di kepala.
Dalam satu lagi kejadian, seorang kanak-kanak lelaki maut apabila kereta Perodua Kenari yang dipandu bapanya bersama tiga anggota keluarga yang lain merempuh belakang sebuah jengkaut di Km28.9 Jalan Ibam - Rompin, dekat Pekan.
Kejadian pada pukul 9 malam itu menyebabkan Mohammad Harikh Ismail, 9, cedera parah di kepala dan mati di tempat kejadian.
"Kereta yang datang dari arah Ibam menuju ke Rompin itu hilang kawalan dan terlanggar bahagian belakang jengkaut menyebabkan kereta itu berpusing-pusing beberapa kali sebelum bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan," katanya. - BERNAMA

Bahaya pokok kelapa condong



TITI GANTUNG – Bimbang kemungkinan dihempap pokok kelapa yang bakal tumbang pada bila-bila masa kerana keadaannya yang semakin condong ke arah jalan di kampung Parit 16, di sini, pengguna meminta pihak berkenaan memberi perhatian dan tindakan segera.

Seorang pengguna, Zulkifli Khamis, 42 (tidak mahu gambarnya disiarkan) berkata, keadaan pokok kelapa di tepi jalan berkenaan amat membimbangkan kerana hanya bertahan kepada kabel telefon di situ.

Menurutnya, pokok kelapa yang hanya menunggu hari untuk menyembah bumi itu mampu mengundang bahaya dan pelbagai masalah lain kepada pengguna di sini sekiranya tindakan awal tidak diambil.

“Keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang ini, termasuk kekerapan hujan lebat di sebelah petang dan kadangkala ribut, menyebabkan pokok kelapa berkenaan semakin condong ke arah jalan serta membimbangkan pengguna.

“Melihat kepada keadaan pokok kelapa itu, saya khuatir sesuatu yang buruk boleh berlaku dan mungkin boleh menyebabkan kecederaan kepada pengguna jalan di kampung ini terutama pada sebelah malam,” katanya ketika ditemui, di sini.

Katanya, keadaan pokok kelapa yang hanya bertahan kepada kabel telefon itu juga mungkin akan menyebabkan berlaku gangguan bekalan telefon selain kemalangan ke atas pengguna jalan berkenaan.

“Saya bimbang sekiranya pokok itu tumbang merintangi jalan kerana ia akan menyebabkan kesesakan lalu lintas berlaku di kawasan ini dan lebih buruk jika ia terkena kepada pengguna.

“Jalan ini merupakan satu-satunya laluan keluar masuk di kampung ini dan keadaannya agak sempit, dan melihat keadaan pokok kelapa itu sekarang ini, tidak mustahil talian telefon juga akan terganggu,” katanya.

Tambahnya, kebanyakan pengguna di sini memandang serius keadaan yang berlaku dan memohon satu tindakan segera diambil sebelum terlambat, demi kepentingan semua pihak.

“Sebagai langkah keselamatan untuk semua, eloklah pokok kelapa itu segera ditebang dan perkara ini perlu diberi keutamaan oleh pihak yang berkenaan bagi melegakan orang-ramai terutama pengguna tetap jalan ini,” katanya.

Pusat jagaan kucing diserbu

PETALING JAYA - Puluhan pemilik kucing menyerbu sebuah premis di Damansara Damai selepas pengurusan pusat penjagaan terbabit dikatakan gagal menyerahkan kucing masing-masing pada tarikh yang dijanjikan.

Sejurus tiba di premis berkenaan, pemilik kucing masih gagal hubungi individu terbabit menyebabkan mereka terpaksa memecahkan pintu premis untuk keluarkan 100 ekor kucing.

Paling mengejutkan, 12 bangkai kucing ditemui dan 88 lagi dalam keadaan lemah dipercayai tidak diberi makan apabila makanan haiwan berkenaan tidak terusik.

Salah seorang pemilik kucing, Sabirah Hassan, 34, berkata, dia mendapat tahu mengenai pusat jagaan berkenaan selepas melayari laman sosial.

“Saya hantar tiga ekor kucing sejak 26 Ogos lalu sehingga Sabtu lepas sebab hendak pulang berhari raya ke kampung. Pada hari hendak ambil kucing, saya telefon pemilik pusat itu tapi tidak berjawab langsung.

“Jam 6 petang dia (pusat penjagaan kucing) telefon semula saya dan janji hendak hantar kucing pada waktu malam tetapi dia hubungi saya semula suruh datang ke kedai pada pagi Ahad, tetapi ada dua ekor sahaja kucing yang ada, satu lagi disimpan di dalam van dan hanya diambil pada hari ini (semalam),” katanya.

Menurutnya, makanan kucing yang dibekalkan juga tidak terusik dan menguatkan lagi dakwaan bahawa kucingnya tidak diberi makan sepanjang tempoh itu.

Seorang lagi pemilik kucing, Shazana Mahazir 26, berkata, setakat ini semua pemilik akan membawa perkara tersebut ke mahkamah,” katanya

Sementara itu Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Zon 1, Syed Abdul Malik Syed A Hamid Al-Jafree yang turut ke lokasi bersama anggota penguat kuasa MBPJ memberitahu bahawa pemeriksaan awal mendapati lesen premis berkenaan telah tamat sejak 2009.

“Lesen yang dipohon sebernarnya adalah untuk jual makanan kucing, bukan jual atau dijadikan pusat penjagaan kucing walau bagaimanapun perkara ini kita akan siasat,” katanya

Difahamkan setakat ini sebanyak 10 laporan polis sudah dibuat berhubung perkara berkenaan.

Sinar Harian cuba menghubungi pemilik pusat jagaan kucing berkenaan untuk mendapatkan maklum balas namun gagal.

Maut dirempuh lori ikan



MERSING - Seorang lelaki terbunuh dalam satu kemalangan membabitkan lori ikan dan dua kereta di Kilometer 18, Jalan Endau-Mersing, semalam.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.25 petang semalam, sebuah lori ikan yang sarat muatan kotak kosong tiba-tiba terbabas merempuh dua kereta jenis Proton Gen2 dan Proton Persona.

Mangsa yang menaiki Proton Gen2, Saharudin Awang, 50, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Mersing kerana mengalami kecederaan serius akibat tersepit dalam kenderaan yang dipandunya.

Bagaimanapun isterinya, Noor Ismalia Ismawil, 38, hanya mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Mersing.

Serang keluarga guna pedang



CHANGKAT JERING – Seorang duda beranak enam dipercayai mengamalkan ilmu sesat, menyerang keluarganya secara tiba-tiba menggunakan pedang samurai, di Kampung Banggol Keranji, di sini, semalam.

Ketua Polis daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, pada kejadian jam 11.15 pagi, kelmarin, seorang lelaki berusia 34 tahun mengganas di rumah keluarganya dengan mengacukan pedang.

Menurutnya, apabila gagal memujuk lelaki berkenaan supaya meletakkan senjatanya, adik ipar lelaki itu bertindak menghubungi Balai Polis Changkat Jering bagi mendapatkan bantuan.

“Cubaan memujuk lelaki itu gagal kerana dia tidak berhenti-henti mengacukan pedangnya.

“Dua kereta peronda polis dikejarkan ke rumah berkenaan bagi memberikan bantuan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, setibanya di sana, lelaki tersebut mengejutkan anggotanya apabila memecahkan cermin kedua-dua kereta peronda.

Katanya, keadaan bertambah kecoh apabila lelaki itu cuba menyerang polis dengan pisau menyebabkan anggotanya terpaksa melepaskan tembakan amaran.

“Walaupun telah diberi amaran, namun lelaki berkenaan bertindak lebih berani menyebabkan kami terpaksa melepaskan tembakan di pehanya.

“Lelaki itu cuba masuk ke dalam rumah, bagaimanapun polis berjaya menangkapnya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Cubaan ragut gagal



SUNGAI SIPUT (U) – Cubaan peragut merampas beg milik seorang remaja di sebuah pasaraya di Pekan Sungai Siput, di sini, kelmarin, gagal apabila mangsa melawan.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Supritendan Azman Salim berkata, ketika kejadian kira-kira jam 2.30 petang, mangsa, Fazirah Fazli, 16, ditemani ibu saudaranya baru sahaja keluar dari Pasaraya TF Value Mart.

Menurutnya, ketika memindahkan barang ke dalam kereta milik ibu saudara mangsa, datang seorang lelaki cuba merentap beg tangan yang disandangnya.

“Ketika penjenayah merentap beg tangan, mangsa berusaha mempertahankan diri sehingga terjatuh.

“Penjenayah turut terjatuh dari motosikal miliknya lalu melarikan diri.

“Berikutan itu, mangsa mengalami kecederaan kecil di bahagian jari dan masih terkejut dengan kejadian itu,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila berada di kawasan pasar raya atau ketika membeli-belah bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Katanya, sehingga kini tiada tangkapan dilakukan dan mangsa tidak sempat untuk mengenal pasti lelaki berkenaan kerana kejadian berlaku dengan pantas.

“Bagaimanapun, polis melakukan pemantauan dan rondaan di lokasi kejadian dari semasa ke semasa kerana berisiko berlaku kes jenayah ragut di kawasan itu,” katanya.

Polis rampas 31 set permainan judi berkomputer



BERCHAM – Sebanyak 31 set komputer yang diubah suai menjadi mesin judi haram berjaya dirampas Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di Pekan Baru di sini, kelmarin.

Operasi yang diketuai Inspektor Mohd Ashraf Shukor serta sembilan anggota lain membuat serbuan di premis berkenaan kira-kira jam 5.05 petang.

Mohd Ashraf berkata, pihaknya bertindak di atas aduan orang awam yang mendapati premis berkenaan seolah-olah menjalankan perniagaan mencurigakan.

“Ketika serbuan dijalankan dua wanita warga Indonesia berusia dalam lingkungan 30-an berada di dalam premis berkenaan.

“Seorang daripada wanita terbabit dipercayai adalah penjaga premis manakala seorang lagi adalah pelanggan. Salah seorang daripada mereka didapati mengandung,” katanya di tempat kejadian.

Beliau berkata, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 4b (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“kami akan teruskan operasi ke atas kegiatan mesin perjudian haram dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan itu daripada terus bermaharajalela,” katanya.

Culik, tembak dua remaja



MENGLEMBU – Tidak tahu punca. Ungkapan yang sesuai digunakan untuk menggambarkan sekumpulan empat lelaki yang menculik dan menembak dua remaja dalam kejadian berasingan di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 pagi itu, kumpulan penjenayah tersebut dikatakan menculik seorang lelaki berusia 21 tahun di restoran berhampiran hotel bajet di Menglembu.

Bagaimanapun, suspek membebaskan mangsa di Jalan Kuala Kangsar berhampiran Petronas sebelum bertindak melepas tembakan ke arah seorang remaja di sebuah rumah di Taman Rishah mengakibatkan mangsa cedera sebelum membuat laporan polis jam 6.30 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim dalam kenyataannya berkata, dalam kejadian kedua kira-kira jam 2.15 pagi, kumpulan penjenayah terbabit melalui kawasan perumahan berkenaan sebelum bertindak melepaskan dua das tembakan ke arah seorang remaja berusia 18 tahun.

Menurutnya, suspek yang terdiri daripada empat lelaki berusia dalam lingkungan 20 ke 30-an bersenjatakan parang, kayu golf dan pistol.

“Mangsa yang mengalami kecederaan di lengan kiri kini dirawat di Hospital Pakar Ipoh (KPJ-HPI),” katanya.

Dzuraidi turut mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian culik dan tembak membabitkan mangsa, seorang lelaki berumur 21 tahun di sebuah retoran, di sini.

Beliau berkata, belum ada tangkapan dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api.

Sementara itu, saksi kejadian di Taman Rishah, G Ushanantini, 30, berkata, ketika kejadian berlaku mereka sedang meraikan ulang tahun kelahiran ibunya, M Marlayee, 58.

Katanya, ketika kejadian, dia sedang sibuk mengadakan permainan untuk tetamu dewasa dan kanak-kanak sebelum didatangi kumpulan penjenayah itu.

“Ketika itu, Goldan Francis, 18, bersama rakannya sedang berbual di luar sebelum sebuah kereta jenis Proton Iswara warna putih bernombor pendaftaran ACJ 352 berhenti di hadapan rumah.

“Mungkin Francis ingat mereka (penjenayah) ingin bertanyakan arah namun secara tiba-tiba seorang lelaki keluar daripada kereta dan mula melepaskan tembakan ke arah Francis,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya semalam.

Ushanantini berkata, selepas tembakan dilepaskan dua suspek lagi keluar daripada kereta bersenjatakan kayu golf dan parang memasuki perkarangan rumah serta bertindak ganas kepada mereka sekeluarga.

“Saya cepat-cepat lari masuk ke dalam namun salah seorang penjenayah memukul pintu cermin dengan kayu golf sehingga pecah. Ayah dan kakak saya yang membantu untuk menutup jeriji besi serta pintu cermin turut cedera di muka serta tangan kerana terkena serpihan cermin yang pecah.

“Bagaimanapun, selepas beberapa ketika ketiga-tiga lelaki terbabit terus melarikan diri dan kami segera menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian itu,” katanya.

Menurutnya, rumah berkenaan sudah didiami lebih 10 tahun dan ia adalah kejadian pertama yang berlaku ke atas keluarga mereka.

Angkara cemburu buta



KANGAR – Seorang lelaki cedera di bahagian muka dan tangan kanan akibat disimbah dengan cecair dipercayai asid oleh seorang lelaki di Taman Sri Bakau, di sini, kira-kira jam 4.25 awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Kangar, Superintendan Abdul Rahman Noordin berkata, mangsa, Mohd Hafizzudin Johari, 21, sebelum kejadian baru pulang ke rumah di Taman Sri Bakau di sini, bersama dua lagi rakannya.

Bagaimanapun, rakan mangsa terlebih dahulu masuk ke dalam rumah manakala mangsa masih berada di pekarangan rumah bagi mengunci kereta dan pintu pagar.

Menurutnya, ketika sedang mengunci pintu pagar di hadapan rumah, seorang lelaki yang tidak dikenali memakai topi keledar bertutup dan berpakaian hitam menyimbah sejenis cecair ke arah mangsa.

“Akibat simbahan itu, dia kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF),” katanya ketika dihubungi, semalam.

Abdul Rahman berkata, hasil siasatan kira-kira jam 9 malam hari kejadian, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 19 tahun dipercayai kenalan kepada mangsa.

Katanya, kejadian dipercayai bermotifkan cemburu kerana mangsa tinggal serumah dengan seorang lelaki yang berperwatakan wanita.

“Dari maklumat yang kita terima, suspek berminat untuk berkawan dengan lelaki berperwatakan wanita yang tinggal serumah dengan mangsa bagaimanapun, dihalang oleh mangsa,” katanya.

Suspek yang dipercayai seorang pelajar itu ditahan dan kes disiasat di bawah seksyen 326 Kanun Keseksaan.

:Rakan mangsa yang mahu dikenali sebagai Natasya, 28, berkata, dia terkejut mendengar jeritan mangsa yang kuat dari luar rumah.

“Saya kemudian membawa dia masuk ke dalam rumah dan menyiram air sejuk di bahagian muka dan tangan yang disimbah sejenis cecair dipercayai asid.

“Kemudian, saya menghubungi polis untuk datang membantu kami, kerana bimbang suspek masih berada di sekitar,” katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian dia bersama seorang rakan dan mangsa dari Simpang Empat Perlis itu baru pulang dari kedai makan di Sungai Berembang, Kuala Perlis.

Katanya, setiba di rumah sewa yang didiami mereka sejak sebulan lalu, mangsa yang juga seorang pembantu makanan sedang mengunci pintu pagar didatangi seorang lelaki yang tidak dikenali dengan secara tiba-tiba menyimbah sesuatu kearah mangsa.

“Saya mengesyaki kejadian ini berpunca dari rasa cemburu pihak-pihak tertentu selepas melihat keakraban hubungan saya dan mangsa,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Lori muatan diesel terbakar

PENDANG – “Tiba-tiba saya terdengar bunyi letupan,” kata Ahmad Sobirin Abdul, 30, saksi yang terkejut mendengar bunyi letupan kuat dan pada mulanya dia menyangka berlaku kemalangan di kawasan itu namun, melihat sebuah lori muatan minyak diesel kira-kira 5,000 liter terbakar di pekan Bukit Jenun di sini, malam kelmarin.

Menurutnya, kejadian itu berlaku kira-kira jam 9.30 malam dan ketika itu dia ke halaman rumah untuk memindahkan keretanya.

“Semasa saya membuka pintu untuk memindahkan kereta, tiba-tiba terdengar bunyi letupan kuat dan menyangka berlaku kemalangan.

“Namun, apabila memeriksa bunyi letupan itu saya lihat sebuah lori terbakar dan api sudah marak hingga 30 meter dan hampir dengan rumah saya,” katanya.

Ahmad Sobirin berkata, setelah melihat kejadian itu dia segera membawa keluarganya keluar dari rumah untuk mengelak perkara yang tidak diingin berlaku.

“Ini kerana saya bimbang api merebak sehingga ke rumah kami. Namun, bersyukur api tidak merebak dan hanya terputus bekalan elektrik,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak Md Shukri Bahari berkata, pihaknya menerima panggilan pada 9.30 malam dan tiba di tempat kejadian 15 minit kemudian.

Beliau berkata, ketika bomba sampai lori minyak itu sudah terbakar sepenuhnya sehingga menyambar wayar elektrik dan anggotanya mengambil masa 20 minit untuk mengawal kebakaran.

“Ketika tiba di tempat berkenaan api sudah merebak dan satu pam minyak dari kedai minyak yang sudah tidak beroperasi dekat dengan lori ini turut disambar api.

“Sebuah kereta dan lori lain turut rosak akibat disambar api dari lori berkenaan,” katanya.

Justeru, beliau berkata, seramai lima anggota dan satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak selain dibantu lima jentera sukarela dikejarkan ke tempat kejadian.

Katanya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan dan semasa kejadian itu berlaku tidak ada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Tragedi Kampung Belukar Juling



ENDAU- Hasrat seorang remaja yang ingin minum bersama rakan-rakannya tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan selepas motosikal yang dinaiki merempuh seekor lembu di jalan utama Kampung Belukar Juling, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 10.30 malam itu, Ahmad Zakwan Chik, 18, menunggang motosikal Honda EX5 dalam perjalanan ke warung berdekatan untuk minum bersama rakan-rakannya di sini.

Ahmad Zakwan dikatakan hilang kawalan disebabkan jalan gelap kerana tiada lampu jalan, lalu merempuh salah seekor daripada sekumpulan lembu yang sedang melintas pada waktu itu.

Mangsa dihantar ke Hospital Mersing kerana kecederaan teruk di bahagian tangan, bagaimanapun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Mohd Nor Rashid mengesahkan kemalangan tersebut.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, abang mangsa, Zaidi Chik, 37, tidak menyangka pertemuannya dengan Allahyarham kelmarin adalah kali terakhir sebelum dia pergi selamanya.

“Sebelum meninggal dunia, Ahmad Zakwan pernah minta saya beri baju-bajunya pada semua kawan termasuklah motosikal kesayangannya," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Zaidi, Allahyarham adalah anak bongsu dari sepuluh adik-beradik dan seorang yang periang semasa hayatnya.

Sinar Harian difahamkan Ahmad Zakwan adalah mangsa kelima terlibat dalam kes kemalangan maut disebabkan lembu melintas di kawasan ini.

Tinjauan Sinar Harian pula mendapati, tempat berkenaan gelap dan tidak diletakkan lampu jalan dan tiada tanda amaran lembu melintas atau lembu berkeliaran tanpa pengawasan.

Seorang pengadu, Solihin Mohd, 44, berkata, permasalahan tiada tiang lampu dan tanda amaran di kawasan ini telah dimaklumkan kepada pihak berkenaan namun masih tiada sebarang tindakan diambil sehingga hari ini.

“Saya khuatir kejadian sebegini akan terjadi lagi sekiranya pihak berwajib tidak mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Mati tergantung guna kain sari



TAMPIN – Seorang bapa tidak menyangka pertemuan hambar antara dia dan anak perempuan bongsunya berakhir dengan tragedi apabila anaknya ditemui mati tergantung di dalam bilik di Taman Sedia Raja, Rembau, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, S Dawana, 27, yang bekerja di salah sebuah kilang membuat sarung tangan di Senawang, ditemui tergantung di kipas dalam sebuah bilik dengan menggunakan kain sari milik kakaknya.

Bapanya, M Singayah, 48, berkata, anaknya seorang yang sangat peramah dan mempunyai ramai kenalan berikutan sikapnya yang sering menjaga perasaan rakan serta sanggup mengalah sekiranya berlaku salah faham.

“Saya dan isteri sangat sedih termasuklah kembarnya yang kini menunggu di rumah saya. Kami sekeluarga tidak menyangka niat Dawana untuk bersendirian di rumah kakaknya di belakang kediaman kami membawa kepada tragedi tidak diduga ini.

“Mayatnya ditemui cucu saya yang meninjau melalui tingkap rumah setelah berulang kali mengetuk pintu dan tiada jawapan dari dalam rumah,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Tampin (HT), semalam.

Katanya, sebelum ini, anaknya itu berhasrat untuk mengambil lesen memandu.

"Saya tidak mengetahui sekiranya anak saya menghadapi sebarang masalah berikutan sikapnya yang sentiasa ceria.

“Dawana juga tidak pernah lupa untuk menghulurkan wang kepada kami pada setiap bulan dan merupakan anak yang memang bertanggungjawab. Kematiannya ini benar-benar membuatkan kami sekeluarga berasa sedih,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, pihaknya ada menerima maklumat mengenai kes berkenaan dan mengklasifikasikannya sebagai mati mengejut.

Wanita maut dirempuh pacuan empat roda



KLANG SELATAN - Seorang wanita warga Indonesia terbunuh selepas basikal yang dinaikinya dirempuh kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian di Jalan Sungai Jati, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang itu, mangsa dikenali Ida, 46, cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Trafik merangkap Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintenden Rosly Abdul Rahman berkata, mangsa menaiki basikal seorang diri dari arah Klang menuju Bulatan Jalan Kebun.

“Berdasarkan siasatan, basikal ditunggang mangsa dirempuh kenderaan pacuan empat roda yang datang dari arah sama.

“Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke jalan raya dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, pemandu pacuan empat roda itu melarikan diri sejurus kejadian.

“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Bilik Mayat, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.

“Saya minta pemandu itu tampil ke Balai Trafik Klang Selatan dengan segera bagi memberikan kerjasama kepada polis dalam melengkapkan siasatan kes ini,” katanya.

Katanya lagi, saksi kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Cif Inspektor Reduan Rahman di talian 03-33722222 atau tampil ke Balai Trafik Klang Selatan bagi membantu siasatan.

Nyaris jadi korban bencana



KUANTAN - Lima sekeluarga yang sedang berehat di ruang tamu rumah mereka terselamat dalam kejadian ribut yang memusnahkan bahagian dapur dan bilik air kediaman mereka di Kampung Tiram di sini, petang kelmarin.

Kejadian yang diibaratkan seperti ‘tsunami kecil’ itu nyaris mengorbankan mereka sekeluarga apabila hampir kesemua zink bahagian dapur diterbangkan angin sejauh kira-kira 20 meter.

Menurut salah seorang mangsa, Norziah Bongsu, 42, kejadian ribut itu berlaku kira-kira jam 7.20 petang setelah terdengar bunyi angin kuat di luar rumah.

“Saya bersama suami dan anak-anak berkumpul di bahagian tengah rumah kerana takut dengan bunyi petir disusuli dengan angin kencang dan hujan lebat.

“Saya meluru ke dapur selepas terdengar bunyi seperti ada ‘benda’ runtuh di belakang rumah dan terkejut melihat bumbung dapur sudah tiada,” katanya ketika ditemui di rumahnya petang semalam.

Norziah berkata, kejadian berlaku terlalu pantas dan dalam tempoh tidak sampai lima minit , hampir semua zink bumbung diterbangkan angin kencang.

Dia yang bekerja sebagai tukang sapu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Setongkol bagaimanapun tetap bersyukur kerana runtuhan itu hanya membabitkan bumbung bahagian dapur dan bilik air sahaja.

“Saya tidak tahu apa yang akan terjadi jika bumbung rumah turut diterbangkan angin, mungkin nyawa kami sekeluarga turut terancam dan setidak-tidaknya air hujan membasahi bahagian dalam rumah.

“Saya bersyukur kerana anak-anak semua selamat dan tiada kerosakan harta benda kecuali barangan dapur yang perlu dibersihkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mohd Hazmi Yusof, ketika melawat rumah berkenaan mengumumkan bantuan segera kepada keluarga terbabit.

Menurutnya, bantuan bahan binaan kira-kira RM4,000 dihulurkan bagi membina semula bumbung dapur dan bilik air yang rosak.

“Kita salurkan menerusi peruntukan yang disediakan Majlis Pembangunan Kebajikan Masyarakat Parlimen Indera Mahkota dan berharap kerja ini dapat disiapkan dalam tempoh beberapa hari sahaja,” katanya.

Buruh Indon tangkap dalang curi kabel Telekom



DURIAN MENTANGAU - Misteri kehilangan komponen kabel Telekom terungkai apabila seorang lelaki yang dipercayai dalang utama aktiviti terbabit ditahan sekumpulan buruh warga asing ketika sedang meleraikan komponen dipercayai dicurinya berdekatan tapak projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 9A 3 dekat sini, petang kelmarin.

Suspek yang berada di kawasan terbabit dalam keadaan mencurigakan menyebabkan sekumpulan buruh yang bekerja di tapak projek bertindak mengepungnya sebelum berjaya menahan lelaki berusia 37 tahun itu.

Turut ditemui bersama lelaki terbabit sebahagian daripada komponen kabel dipercayai dicuri di lokasi berdekatan lalu dibawa ke situ untuk dileraikan sebelum dijual di pusat barang lusuh.

Suspek yang berasal dari Felda Kerteh Tiga itu kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan penahanan suspek terbabit dan polis sedang menjalankan siasatan untuk menyabitkan suspek atas kesala-han dilakukan.

Ambil dadah kerana putus cinta



KAMPUNG RAJA - Seorang penghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Besut mengaku terjebak menjadi penagih dadah kerana kecewa selepas putus cinta dengan isteri orang setahun lalu.

Penghuni yang dikenal sebagai Rahman, 23, pada mulanya hanya menjadi pengedar dadah jenis methamphetamine (pil kuda) secara kecil-kecilan tetapi selepas hubungan dengan wanita yang juga isteri orang terhalang, dia hilang pertimbangan.

Menurutnya, ketika tinggal di Rantau Panjang, Kelantan bersama keluarga dia menjalin hubungan sulit dengan wanita berkenaan tetapi akhirnya perbuatan sumbang mereka diketahui suami wanita terbabit.

“Saya tidak sempat menamatkan pengajian di sebuah institusi kemahiran di Kuala Terengganu kerana masalah dadah dan saya nyaris membunuh diri kerana saya amat sayangkan wanita itu walaupun saya tahu dia isteri orang,” katanya.

Rahman memasuki Puspen Besut bersama adiknya yang dikenal sebagai Rozi, 22, pada 3 Julai lalu selepas ditangkap pihak berkuasa akibat lari daripada perintah pengawasan.

Dia dan adiknya ditemui ketika menerima kunju-ngan ibu dan dua adik mereka di sini semalam sempena Program Jom Raya anjuran Puspen berkenaan.

Rahman berkata, Rozi adalah anak isteri kedua ayahnya manakala dia adalah anak isteri pertama.

“Saya mula mengambil pil kuda kira-kira dua tahun lalu bagi meningkatkan tenaga berikutan saya bekerja sebagai penyeludup petrol dan diesel serta barangan makanan lain di sempadan.

“Kami dua beradik selalu mengambil dadah bersama dan kini kami masuk Puspen pun bersama,” katanya.

Sementara itu, Rahman berkata, selepas keluar nanti dia dan adiknya bertekad meninggalkan najis dadah itu dan berusaha berubah untuk menjadi orang yang lebih berguna.

Ibu Rozi, Atikah, 43, (bukan nama sebenar) berkata, dia dan madunya, Rahmah, 44, memang bersedih kerana dua anak mereka berada di Puspen terutama pada hari raya ini tetapi merasakan tempat itu adalah yang terbaik dengan harapan dapat mengubah mereka menjadi insan sempurna.

Padah hutang ah long



BANDAR CHENEH BARU – “Akibat tak dapat bayar hutang ah long, suami lari tinggalkan kami tujuh beranak menyebabkan saya hilang arah dan hanya mampu menangis hampir setiap hari.

“Tetapi bila fikirkan anak saya kuatkan semangat besarkan mereka, walaupun hilang tempat bergantung saya tak sanggup serahkan anak pada orang lain apatah lagi mereka tak boleh berpisah dengan saya,” kata Norazimah Mat Daud, 32, yang tabah menyara keluarga selepas rumah tangga yang dibina bersama suami tercinta selama sembilan tahun musnah lima tahun lalu.

Lebih malang, Norazimah digantung tidak bertali selepas ditinggalkan suami sebelum dia mengemukakan permohonan cerai secara taklik dan sah bercerai kira-kira tiga tahun lalu.

“Selepas ditinggalkan, saya menyara keluarga dengan menjual kain dari rumah ke rumah hingga kini.

“Dengan pendapa-tan antara RM200 hingga RM300 sebulan saya besarkan anak dengan penuh kepayahan,” katanya.

Menurutnya, berikutan semua anaknya masih kecil dengan lima daripadanya masih bersekolah iaitu, Nur Atikah Fatihah Mat Nasir, 12; Mohd Alif Farhan, 10;

Mohd Arash Fakrullah, 9; Nur Alaitunisya Fairuz, 8; dan Nur Aliya Faizatul, 6, justeru, bebanan yang ditanggung juga agak berat.

Norazimah berkata, sebagai anak sulung daripada 11 beradik, masalah yang ditanggungnya sedikit ringan apabila dapat dikongsi bersama keluarganya.

“Begitu pun, saya tidak sanggup untuk meminta pertolongan daripada keluarga kerana ayah saya hanya peneroka dan masih mempunyai tanggungan yang ramai. Saya nekad besarkan anak sendirian.

“Alhamdulillah, dengan bantuan bulanan sebanyak RM450 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) saya gunakan sepenuhnya untuk perbelanjaan sekolah anak,” katanya ketika dikunjungi di kediamannya di Bandar Cheneh Baru.

Menurutnya, bantuan JKM itu diterima sejak lebih setahun lalu dan wang itu turut digunakan untuk membayar yuran persekolahan, membeli baju sekolah dan perbelanjaan harian ke sekolah.

“Ditinggalkan suami memberi tamparan hebat dalam hidup saya tamba-han pula saya tidak bekerja.

“Semuanya gara-gara berhutang dengan ah long, cukup perit ujian yang ditanggung jadi saya nasihatkan kepada semua terutama kepada suami yang menjadi ketua keluarga agar tidak berhutang dengan ah long kerana akibatnya rumah tangga jadi mangsa dan isteri serta anak terabai,” katanya.

Sementara itu, kisah duka Norazimah turut dikongsi bersama rombongan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kemaman yang diketuai, Mohd Hisham Zubir yang menyampaikan bantuan kepada keluarga ibu muda cekal berkenaan.

Kegembiraan berakhir tragedi



BENTING LINTANG – Kegembiraan sebuah keluarga yang baru sahaja selesai menghadiri kenduri kahwin (menghantar menantu) di Kampung Pasir Akar, Besut bertukar tragedi menyayat hati apabila dua daripada ahli rombo-ngan pengantin perempuan meninggal dunia dalam kemalangan maut berdekatan Kampung Benting Lintang di Kilometer 83 Jalan Pantai, Kuala Terengganu–Kampung Raja.

Menurut salah seorang ahli keluarga mangsa, Wan Mohd Zawawi Wan Ibrahim, 37, saya tidak tahu bagaimana kemalangan itu berlaku kerana sewaktu kejadian kereta yang dipandu oleh adik saya, Wan Mohd Fadzli Wan Ibrahim, 31, berada di depan.

“Sebelum kejadian sebanyak empat buah kereta dan sebuah bas pergi ke majlis kenduri di Besut dan selepas selesai majlis tersebut semuanya me-ngambil keputusan untuk melalui jalan alternatif di Kampung Benting Lintang bagi mengelakkan kesesakan.

“Ketika sampai di tempat kejadian saya dapati kereta Proton Wira yang dinaiki adik saya bersama isterinya, Norhayani Ibrahim, 31, dan dua anak saudara, Wan Mohamad Adam Fariz, satu tahun lima bulan dan Wan Mohamad Adam Faiz, lingkungan dua tahun terlibat dalam kemalangan,” katanya.

Zawawi berkata, akibat kemalangan itu adik saya bersama anak lelaki sulungnya hanya mengalami kecederaan ringan tetapi keadaan isteri dan seorang lagi anak lelakinya agak kritikal.

“Memang sebelum kejadian tiada sebarang pe-rubahan pelik yang ditunjukkan oleh arwah adik iparnya bersama anak saudara saya ketika pulang bercuti hari raya kali ini.

“Saya difahamkan mereka sekeluarga bercuti panjang untuk sama-sama meraikan perkahwinan adik perempuan kami yang berlangsung pada 2 September lepas dan sepatutnya pulang semula ke Kempas, Johor Bahru, semalam (kelmarin),” katanya.

Sementara itu, menurut Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Rohaizat Abd Ani, kemalangan berlaku pada jam 5.20 petang itu membabitkan Proton Wira dan Perodua Kancil.

“Berdasarkan siasatan pihak kita, pemandu Proton Wira yang datang dari arah Benting Lintang gagal mengawal kenderaannya selepas ingin memotong kereta di hadapannya.

“Akibatnya, pemandu Proton Wira masuk semula ke laluan asal tetapi gagal mengawal kenderaan sebelum melanggar belakang kereta Perodua Kancil yang berada di laluan sama.

“Perodua Kancil kemudiannya terbabas ke kanan jalan manakala Proton Wira terbabas ke kiri jalan,” katanya.

Menurut Rohaizat, pemandu dan penumpang Perodua Kancil tidak me-ngalami sebarang kecederaan tetapi dua ahli keluarga dalam kereta Proton Wira yang parah meninggal dunia,” katanya.

“Saya takkan ziarah dia di penjara”



SURA GATE - “Saya takkan pergi tengok dia di penjara, saya takut nak jumpa dia, masih trauma dengan kejadian tempoh hari, buat masa ini biarlah saya tak jumpa dia,”kata Hasmah Kadmin, 46, ibu kepada Puteri Intan Shahwani, kanak-kanak yang nyaris dikelar leher oleh bapanya sendiri dalam satu kejadian di lebuhraya berdekatan Plaza Tol Bukit Besi, 22 Ogos lalu.

Hasmah yang kini bekerja sebagai pembantu kedai makan untuk menyara lima anaknya berkata, tragedi yang nyaris meragut nyawa salah seorang anak kembarnya itu membuatkan sambutan Aidilfitri kali ini agak hambar berbanding sebelumnya, apatah lagi mengenangkan tingkah laku anaknya Puteri yang dikatakan lebih banyak berdiam diri berbanding sebelumnya.

Hasmah berkata, buat masa ini dia terpaksa bersabar menghadapi dugaan itu dan bercadang untuk menjalani kehidupan seperti biasa, walaupun tanpa suami di sisi.

Katanya, sejak kejadian itu, dia tidak lagi mempunyai perasaan cinta terhadap suaminya dan sudah merujuk kes terbabit di Mahkamah Syariah untuk proses percaraian.

Ketika ditanya apakah sebab yang dipercayai menjadi punca perbuatan suaminya yang naik berang sehingga sanggup menyembelih anaknya sendiri Hasmah berkata perbuatan itu mungkin disebabkan tindakan suaminya mengambil dadah.

“Memang dia hisap dadah, saya rasa itulah puncanya, kepada isteri yang senasib dengan saya, berhati-hatilah, ” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang di satu lebuhraya berdekatan Bukit Besi, 22 ogos lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun nyaris menjadi korban setelah cuba disembelih bapanya sendiri dengan menggunakan sebilah parang.

Bagaimanapun mangsa yang mengalami kecederaan pada baha-gian leher akibat dikelar oleh bapanya yang dikatakan naik minyak itu berjaya diselamatkan dengan ban-tuan pihak polis dan orang awam.

Hanya tinggal anjung rumah

AIR CHANAL - Kelengkapan bagi menyambut kelahiran anak keempat, menantu sulung Mek Kelthom Samad, 53, turut terbakar dalam kejadian yang memusnahkan keseluruhan rumahnya ketika kebakaran jam 10 pagi semalam, dekat sini.

Mek Kelthom berkata, menantu sulungnya Maizatul Hashilawati Salahudin, 30 yang berasal dari Perak kini sedang sarat mengandung lapan bulan dan hanya menunggu masa untuk bersalin terkilan apabila kelengkapan bayinya tidak dapat diselamatkan.

“Dia sudah sebulan berada di kampung dan hanya menunggu masa untuk bersalin November depan, sama sekali tidak menyangka kejadian tersebut akan menimpanya.

“Ketika kejadian dia sedang menyidai baju di hadapan rumah, mungkin disebabkan terkejut dan keadaan sarat, dia tidak dapat berbuat apa-apa manakala ayah saya yang lumpuh sempat diselamatkan anak lelaki saya yang bergegas pulang setelah menerima khabar rumah kami terbakar.

“Hanya mereka berdua sahaja yang berada ketika kejadian manakala saya dan suami Mohamad Awang, 60, keluar menoreh getah,” katanya.

Menurutnya, kebiasaannya ayahnya yang sudah setahun lumpuh sering berehat dalam bilik tidur tetapi pagi semalam, selepas makan dia terus ke bahagian depan rumah dan tidur di situ.

“Nasib baik anak lelaki cepat pulang, mengenangkan ayah yang lumpuh tidak mampu menyelamatkan diri, tapi mujur semuanya selamat.

“Keseluruhan rumah hampir hangus yang tinggal bahagian anjung rumah dan ia bakal dijadikan tempat berteduh sementara waktu, manakala pintu cermin dan bahagian dapur yang baru siap turut rosak,” katanya yang mempunyai lima anak.

Mek Kelthom berkata, tiada yang dapat diselamatkan kerana api merebak terlalu cepat bimbang akan keselamatan dia hanya mampu melihat.

Padah memintas laluan



PASIR MAS – Sikap tidak sabar seorang pemandu yang keluar selepas mengisi minyak, membawa padah apabila menyebabkan kemalangan di Kampung Pengkalan Batu jam 4.45 petang, semalam.

Dilaporkan, pemandu Perodua Myvi keluar secara melulu sehingga menyebabkan Perodua Kancil dari arah Pasir Mas ke Kota Bharu terpaksa mengelak daripada bertembung.

Pemandu Perodua Kancil, Nor Farah Hanim Saufi,19, mengalami kecederaan pada lutut, manakala kakaknya, Nor Nadiah Hanim Saufi, 20, bersama rakannya, Yusnaini Mohd Fauzi, 25 dan Nor Ilmiyah Mohd Fauzi, 22, cedera ringan.

Kesemua mangsa mendapat rawatan di Hospital Pasir Mas manakala pemandu dan penumpang Perodua Myvi hanya cedera ringan mendapat rawatan di Klinik 1 Malaysia, dekat sini.

Penumpang Perodua Myvi, Nik HAsiah Nik Hassan berkata, ketika kejadian dia sedang tidur dan tidak menyedari kejadian terbabit, sehinggalah mendengar dentuman kuat dari arah depan kereta.

“Saya dapati Perodua Kancil mengalami kerosakan di hadapan, manakala kesemua penumpang dan pemandu yang tercedera berjaya dikeluarkan,” katanya.

Sementara itu Ketua Operasi Bomba Dan Penyelamat Pasir Mas, Pegawai Bomba Kanan II (PBK) Azuhan Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.05 petang dan bergegas ke tempat kejadian dengan kekuatan lima anggota.

“Kita dapati kesemua mangsa sudahpun dikeluarkan dan kita menjalankan tinjauan agar tiada sebarang kejadian kebocoran arus elektrik yang boleh menyebabkan kebakaran kenderaan,” katanya, semalam.

Hangus sekelip mata

TANAH MERAH - Sekeluarga hilang tempat tinggal dalam sekelip mata apabila rumah yang didiami hampir 30 tahun hangus dalam masa 15 minit dalam kejadian dekat Kampung Air Chanal, semalam.

Mangsa, Mek Kelthom Samad, 53, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, dia sedang menoreh getah selang dua kilometer dari rumahnya manakala suaminya Mohamad Awang, 60, menoreh getah di Kampung Berdang, Jeli.

“Hanya menantu yang serat mengandung lapan bulan Maizatul, Hashilawati Salahudin, 30, yang berasal dari Perak sedang menyidai baju di hadapan rumah dan ayah saya yang lumpuh Samad Mat Min, 90, berada di rumah berkenaan, tiga anak yang lain pergi ke Pulau Chondong, Machang kerana ada kenduri.

“Apabila ada orang memberitahu rumah terbakar saya terus balik ke rumah, nasib baik anak lelaki saya Azri Mohamad, 22, sempat yang menyelamatkan ayah yang tidak dapat berjalan ketika api sedang marak. Alhamdulillah tiada siapa yang cedera,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui dekat rumahnya.

Mek Kelthom berkata, rumah tersebut sudah 30 tahun didiami dan kejadian tersebut adalah kali pertama.

“Sangat terkejut, namun reda dengan kejadian yang berlaku syukur tiada siapa yang cedera, kerugian harta benda dapat dicari semula yang penting semuanya selamat.

“Saya tidak dapat menyelamatkan apa-apa, ketika sampai ke rumah saya sempat masuk ke dalam mencapai pakaian namun ramai jiran menyuruh keluar bimbang dengan keselamatan kerana api marak dan merebak dengan cepat sejurus api bermula dari salah sebuah bilik di rumah tersebut.

Sementara itu, jiran mangsa, Sapinah Che Wan, 40, berkata, ketika kejadian dia sedang menoreh getah berdekatan rumah dan terdengar bunyi dentuman yang kuat.

“Mak cik ingatkan budak-budak yang bermain mercun rupa-rupanya bunyi kuat yang berdentum itu datangnya dari rumah Mek Kelthom yang terbakar,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Tanah Merah ketika dihubungi mengesahkan kejadian di mana pihaknya menerima panggilan pada jam 10.16 minit pagi dan sampai ke tempat kejadian pada jam 10.47 pagi.

“Ketika sampai ke tempat kejadian api sedang marak merebak keseluruhan rumah dan pihak kami mengambil masa selama satu jam untuk memastikan kebakaran betul-betul padam.

“Dengan kekuatan enam anggota dan satu jentera bersama 10 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat daerah Jeli operasi memadam kebakaran berjalan lancar,” katanya.

Tragedi pilu depan mata ibu, ayah



BATU PAHAT – Kegembiraan tiga beradik yang baru pulang berhari raya dari rumah datuk mereka di Kelantan, bertukar tragedi apabila terlibat dalam kemalangan di Kilometer 113.6 Jalan Johor Bahru-Seremban, awal pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 2.45 pagi itu, meragut nyawa Ahmad Zakwan Patah Raji, 19, yang memandu kenderaan jenis Perodua Kancil bersama dua lagi adiknya, Ahmad Zahinuddin Patah Raji, 18, dan Ahmad Zarif Patah Raji, 12.

Lebih menyayat hati, apabila kemalangan itu disaksikan sendiri oleh ayah mereka, seorang anggota polis, Koperal Patah Raji Muhamad, 40an, ibu, Sofiah Azmi, 44 dan dua lagi adik mereka yang ketika itu, memandu selang satu kenderaan di belakang Perodua Kancil yang dipandu anaknya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Adnan Azizon berkata, ketika kejadian, kenderaan dipandu mangsa dipercayai gagal dikawal sebelum memasuki laluan berasingan lalu, bertembung dengan kenderaan jenis Proton Saga BLM yang dipandu seorang lelaki berusia lingku-ngan 20an.

Menurutnya, Perodua Kancil itu, datang dari arah Machang, Kelantan ke Simpang Renggam apabila bertembung Proton BLM dari arah Yong Peng ke pekan Lam Lee.

“Berikutan kemalangan itu, pemandu Perodua Kancil disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kerana kecederaan serius, manakala pemandu Proton Saga BLM hanya cedera ringan.

“Dua lagi adik mangsa yang turut mengalami pendarahan serius menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke Hospital Batu Pahat,” katanya kepada Sinar Harian.

Pemandu Proton BLM terbabit dibawa ke hospital sama bagi rawatan lanjut dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Purnama, Simpang Renggam.

Pekerja kedai telefon bimbit ditembak



IPOH 4 Sept. — Seorang pekerja kedai telefon bimbit cedera ditembak manakala seorang kelindan lori dilarikan empat lelaki yang sama dalam dua kejadian berasingan di sini, awal hari ini.
Dalam kejadian pertama, Goldan Francis, 18, ditembak di depan rumah neneknya di Taman Rishah pada 2.15 pagi, menyebabkan lengan kirinya cedera.
Difahamkan, sebelum itu, keluarga Francis sedang meraikan sambutan ulang tahun neneknya dan ketika kejadian, mangsa berbual di luar rumah apabila kenderaan yang dinaiki empat suspek berkenaan berhenti di depan rumah berkenaan.
Ibu saudara mangsa, G.Ushanantini, 30, berkata, Francis menganggap kumpulan itu ingin bertanyakan arah, namun secara tiba-tiba seorang daripada mereka keluar dari kereta dan melepaskan tembakan ke arah mangsa.
Beliau berkata, Francis yang duduk di atas motosikal kemudian bergegas ke rumah rakannya dan dibawa ke Hospital Pakar Ipoh.
Selepas itu, dua suspek bersenjatakan parang dan kayu golf, cuba memasuki rumah teres berkenaan, namun gagal kerana ia dikunci dari dalam.
Terdahulu, kumpulan itu dipercayai menculik seorang kelindan lelaki berusia 21 tahun yang sedang berbual dengan dua rakannya di sebuah restoran berhampiran hotel bajet di Menglembu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, dalam insiden 12.30 tengah malam itu, suspek turut melepaskan tembakan sebelum melarikan mangsa.
Beliau berkata, mangsa dipercayai dipukul di Bercham sebelum ditinggalkan di Jalan Kuala Kangsar dalam keadaan mata dan kepala ditutup.

Ibu, anak maut selepas hantar menantu



SETIU 4 Sept. - Seorang wanita dan bayinya berusia 18 bulan yang dalam perjalanan pulang selepas menyertai rombongan menghantar menantu terbunuh dalam kemalangan di Kampung Beting Lintang, di sini semalam.
Mangsa yang terbunuh ialah Noor Hayani Ibrahim, 31, seorang suri rumah dan anaknya, Wan Mohamad Adam Fariz Wan Mohd. Fadzli.
Suami mangsa, Wan Mohd. Fadzli Wan Ibrahim, 31, dan seorang lagi anak mereka, Wan Mohamad Adam Faiz, 2, hanya cedera ringan.
Kedua-dua mangsa yang duduk di bahagian belakang kereta cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Setiu, pukul 8 malam.
Kejadian berlaku pukul 5.20 petang ketika Noor Hayani bersama anaknya itu menaiki kereta yang dipandu Wan Mohd. Fadzli selepas menghantar adik ipar wanita terbabit di Kampung Pasir Akar, Besut.
Mereka yang menyertai rombongan terdiri daripada empat buah kereta dan sebuah bas itu dalam perjalanan pulang ke Kampung Banggol dekat sini.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Rohaizat Abd. Ani memberitahu, siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa kereta mangsa cuba memotong sebuah kereta Perodua Kancil di hadapannya.
Katanya, kereta itu gagal berbuat demikian apabila sebuah kenderaan lain datang dari arah depan menyebabkannya cuba masuk semula ke laluannya.
"Tindakan itu menyebabkan kereta terbabit hilang kawalan dan melanggar Perodua Kancil tersebut. Kedua-dua kenderaan itu kemudian terbabas dan kereta yang dinaiki mangsa terbalik," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jelasnya, pemandu dan seorang penumpang Perodua Kancil tersebut bagaimanapun hanya mendapat cedera ringan.
Sementara itu, keluarga mangsa yang ditemui di Hospital Setiu, enggan ditemu ramah kerana masih bersedih.

Dua remaja lemas di Lagun Kuala Semerak




MAYAT Nik Nur Hidayah Nik Man ditemui pukul 5.05 petang selepas lemas di Lagun Kuala Semerak, Pasir Puteh, Kelantan, kelmarin. - UTUSAN/Torek Sulong


PASIR PUTEH 4 Sept. - Sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini ditempuhi dengan kesedihan oleh dua keluarga apabila dua remaja mati lemas ketika sedang berkelah dan mencari kepah di Lagun Kuala Semerak dekat sini, semalam.
Dua mangsa yang lemas itu ialah Nik Nur Hidayah Nik Man, 11, dan Nik Nor Fatin Izzati Nik Mohd. Noor, 15.
Kejadian pukul 3.45 petang itu berlaku selepas mereka terjatuh ke dalam sebuah lubang pasir jerlus ketika mereka dan tiga lagi remaja sedang leka mandi dan mengharungi air.
Tiga lagi remaja yang juga sepupu Nik Nor Fatin Izzati berusia 12 hingga 15 tahun yang turut lemas bagaimanapun berjaya diselamatkan pengunjung.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Kamal Zainal berkata, kedua-dua mangsa dipercayai pergi ke kawasan lagun itu bersama keluarga masing-masing untuk berkelah dan mencari kepah.
Katanya, Nik Nur Hidayah adalah murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Awang berasal dari Kampung Gong Penaga, manakala Nik Nor Fatin Izzati, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gaal dari Kampung Gong Datuk.
"Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala tiga lagi iaitu sepupu mangsa kedua (Nik Nor Fatin Izzati) berjaya diselamatkan.
"Gerakan mencari dan menyelamat dilakukan bersama sepasukan 10 anggota Bomba dan Penyelamat Daerah Pasir Puteh serta Unit Skuba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu.
"Pasukan itu menemui mayat Nik Nur Hidayah di dasar lagun berkenaan pada pukul 5.05 petang manakala mangsa kedua, Nik Nor Fatin Izzati, pukul 5.20 petang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jenazah Nik Nur Hidayah dikebumikan di kampung datuknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tembila manakala Nik Nor Fatin Izzati pula di Tanah Perkuburan Kampung Gong Datuk lewat malam tadi.
Bapa Nik Nor Fatin Izzati, Nik Mohd. Noor Junuh, 39, berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama ahli keluarga yang lain sedang asyik mencari kepah sebelum dikejutkan dengan jeritan orang ramai.
"Air sungai di kawasan anak saya mandi cetek pada paras pinggang sahaja, ia menyebabkan arwah dan tiga sepupunya, Mohd. Halim Zaid, 12; Norhayati Samsuddin, 14; dan Nabila Azmi, 15, leka mengharungi air sungai sehinggalah tergelincir ke dalam lopak yang dalam," katanya.
Ibu Nik Nur Hidayah, Zaini Mat Hasan, 45, pula berkata, kakak mangsa, Nik Nasuha, 16, telah cuba menyelamatkan adik bongsunya daripada lemas tetapi gagal.
"Malah Nik Nasuha sendiri nyaris lemas sama apabila mangsa berpaut erat pada badannya tetapi sempat diselamatkan oleh sepupunya, Mohd. Zamri Ibrahim, 37, yang menyaksikan kejadian itu," ujarnya.
Zaini yang juga ibu tunggal kepada empat anak berkata, pagi sebelum kejadian itu, dia melihat Nik Nur Hidayah begitu manja dengannya dan sempat duduk di atas pangkuannya.
"Ia memperlihatkan sikap arwah yang ingin dibelai. Tiga hari lalu, sikap dan kelakuan arwah berlainan dan asyik bermanja dengan abang dan kakaknya seolah-olah enggan berpisah dengan mereka," katanya.

3 anak polis maut kemalangan





BATU PAHAT 4 Sept. – Tiga beradik, anak seorang anggota polis terbunuh apabila kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta lain di Kilometer 113.6 Jalan Johor Bahru-Seremban, Yong Peng, di sini awal pagi ini.
Dalam kemalangan pukul 2.45 pagi itu, pemandu kereta Perodua Kancil itu, Ahmad Zakwan Patah Raji, 19, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua adiknya, Ahmad Zahinuddin, 18, dan Ahmad Zarif, 12, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Supritendan Adnan Azizon berkata, kejadian tersebut berlaku ketika mereka dalam perjalanan dari arah Yong Peng menuju ke Lam Lee.
“Sejurus tiba di lokasi berkenaan, kereta yang dinaiki mereka tiba-tiba hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah kereta Proton (Saga) BLM,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Adnan, pemandu Proton Saga BLM berusia 20-an yang dalam perjalanan dari Machang, Kelantan, menuju ke Simpang Renggam bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan dan dirawat di hospital sama.
Katanya, jenazah ketiga-tiga mangsa yang merupakan anak kepada Koperal Patah Raji Muhamad yang bertugas di Cawangan Kereta Peronda, Balai Polis Simpang Renggam dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Purnama, Simpang Renggam sebelum solat zohor.
Difahamkan, Ahmad Zakuan baru mendapat tawaran melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di luar negara manakala Ahmad Zahinuddin pula di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Kejadian nahas itu dipercayai turut disaksikan ibu bapa mangsa yang berada selang sebuah kereta di belakang kereta mangsa.

Remaja diberkas rogol gadis



TELUK KEMANG 4 Sept. - Polis memberkas seorang remaja lelaki dan masih memburu rakannya kerana disyaki merogol seorang gadis berusia 16 tahun di sebuah ladang kelapa sawit di Bukit Pelanduk, dekat sini pada 28 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supritendan Baljeet Singh berkata, remaja lelaki berusia 19 tahun itu ditahan semalam selepas mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Katanya, rakan suspek terbabit sudah dikenal pasti dan polis sedang memburu remaja berkenaan.
"Kejadian berlaku pukul 5.45 petang apabila mangsa yang berasal dari Bukit Pelanduk di sini ditahan kedua-dua suspek ketika menunggang motosikal untuk pulang ke rumah.
"Mangsa kemudian diajak oleh kedua-dua suspek ke sebuah ladang kelapa sawit berhampiran sebelum merogolnya," katanya di sini hari ini.
Katanya, berikutan kejadian itu mangsa memaklumkan kepada keluarganya sebelum mereka membuat laporan polis.
"Salah seorang suspek yang merupakan kenalan mangsa ditahan di sekitar Bukit Pelanduk dan direman sehingga esok untuk membantu siasatan," katanya dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Majlis hari jadi nenek diganggu lelaki bersenjata



RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek menyerang rumah Gordan Francis di Taman Desa Rishah, Ipoh, Perak, semalam.


IPOH 4 Sept. - Sambutan hari ulang tahun kelahiran seorang nenek yang dihadiri 32 ahli keluarganya di Taman Rishah di sini gempar apabila diserang sekumpulan empat lelaki bersenjatakan pistol, parang dan kayu golf, awal pagi ini.
Kejadian pukul 1.50 pagi itu turut mengakibatkan seorang daripadanya iaitu Gordan Francis, 18, yang juga cucu kepada M. Marianee, 58, cedera di bahagian bahu akibat terkena tembakan.
Menurut ibu saudara Gordan, G. Ushanantini, 30, salah seorang daripada suspek yang tidak dikenali itu dan bersenjatakan pistol melepaskan dua das tembakan rambang ke dalam rumah mereka.
"Ketika itu, anak saudara saya (Gordan) sedang duduk di atas motor menghisap rokok di luar pagar rumah sebelum keluar seorang lelaki daripada sebuah kereta Proton Iswara berwarna putih melepaskan tembakan pertama, tetapi tidak kena.
"Dia (Gordan) yang panik lalu menghidupkan enjin motosikal dan cuba melarikan diri, namun tembakan kedua terkena bahu kirinya. Salah seorang suspek juga tidak berpuas hati dan memecahkan pintu kaca hadapan rumah dengan kayu golf.
"Namun, jeritan kanak-kanak termasuk tangisan seorang bayi berusia sebulan yang sedang tidur dalam buaian di ruang tamu menyebabkan semua lelaki itu melarikan diri," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, sebelum kejadian itu, suspek-suspek berkenaan menyerang seorang lagi lelaki berusia 21 tahun di sebuah restoran berdekatan sebuah hotel di Menglembu di sini pada pukul 12.30 tengah malam.
Menurut beliau, ketika kejadian, mangsa yang bekerja sebagai kelindan lori sedang berbual bersama dua lagi rakannya.
Utusan Malaysia difahamkan, lelaki berkenaan digunakan oleh suspek untuk mencari lokasi rumah Gordan di Taman Rishah yang terletak kurang satu kilometer dari restoran berkenaan.
"Lelaki itu telah didatangi sekumpulan suspek menaiki kereta sama iaitu Proton Iswara putih bernombor plat ACJ 352.
"Mangsa kemudian dibawa ke Taman Rishah sebelum dilepaskan di Jalan Kuala Kangsar berdekatan stesen pam minyak Petronas.
"Suspek juga bertindak merampas dokumen peribadi mangsa serta telefon bimbitnya jenis Sony Ericson," katanya.
Dzuraidi berkata, polis masih menyiasat motif serangan dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api.

Ramai tertipu jenayah siber



SUBANG JAYA 4 Sept. – Kurangnya kefahaman serta kesedaran mengenai keselamatan penggunaan komputer dan telefon bimbit telah menyebabkan ramai rakyat di negara ini ditipu oleh sindiket jenayah siber.
Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Daerah Subang Jaya, Inspektor Ahmad Faizal Aminuddin berkata, jenayah siber yang kerap dilakukan antaranya adalah melibatkan penggunaan perbankan melalui Internet, VoIP (Voice Over Internet Protocol) dan e-Perdagangan.
“Penggunaan komputer dan telefon bimbit yang semakin canggih telah memudahkan operasi sindiket untuk menipu orang ramai,” katanya di sini baru-baru ini.
Ahmad Faizal berkata, ramai yang menjadi mangsa jenayah siber setelah mereka secara tidak sedar telah mendedahkan maklumat perbankan mereka kepada ahli sindiket, yang menyebabkan wang simpanan mereka telah dipindahkan kepada pihak ketiga.
“Di Subang Jaya sendiri, jenayah siber didapati meningkat lebih 20 peratus sejak tahun lepas berbanding tahun sebelumnya dan kawasan ini juga mencatat jumlah tangkapan suspek paling banyak,” katanya.
“Oleh itu, kini kita boleh lihat jenayah yang berlaku kurang lagi melibatkan jenayah berbentuk kekerasan malahan mereka lebih cenderung untuk melakukan jenayah komersial di mana ia mudah bagi mereka untuk mengelakkan diri daripada dikesan pihak polis oleh kerana mereka ini melakukan jenayah ini secara maya atau on-line,” katanya.
Beliau berkata, selain itu ramai pengguna Internet turut ditipu semasa membeli secara talian terus yang ‘sangat berisiko’ dan tidak dijamin kerana individu yang berminat perlu membayar terlebih dahulu sebelum mendapat produk mereka dan kebanyakan mereka tidak menerima produk yang ditempah.
“Justeru undang-undang sedia ada perlu dikaji semula dan agensi berkaitan juga perlu bekerjasama bagi menangani jenayah komersial terutamanya melibatkan jenayah siber di negara ini,” katanya.
Menurut statistik polis, jumlah kes dibuka pada 2010 ialah 1,050 sementara pada 2011 sehingga Julai tahun ini sahaja sebanyak 500 kes dengan jumlah tangkapan pada 2010 ialah 300 sementara tahun ini sehingga Julai sebanyak 80 kes.
Jumlah kes yang berjaya diselesaikan pada 2010 ialah 800 sementara pada tahun 2011 hingga Julai ialah 200. – BERNAMA

Gaduh: Enam ditahan, dua pedang dirampas



JOHOR BAHRU 4 Sept. - Polis menahan enam lelaki dan merampas dua bilah pedang dalam satu pergaduhan di Jalan Skudai, di sini malam semalam.
Kesemua lelaki berusia 25 hingga 41 tahun itu ditahan ketika bergaduh di luar sebuah rumah di jalan tersebut, pada pukul 8.15 malam.
Timbalan Ketua Polis Johor Bahru Utara, Supritendan Mohd. Akhir Ishak berkata, ketika serbuan, semua suspek cuba melarikan diri tetapi gagal setelah dikepung.
"Kita masih menyiasat punca pergaduhan dan siasatan awal mendapati lima daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau kes rompak dan dadah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai pergaduhan itu melalui orang awam yang melihat sekumpulan lelaki bergaduh di hadapan rumah.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata ketika merusuh dan turut disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Kes-kes syarikat pinjaman berlesen seperti ah long



SYARIKAT BERLESEN 1
SEBUAH syarikat pemberi pinjam wang berlesen yang beroperasi di Taman Medan, Petaling Jaya masih lagi menuntut RM20,000 daripada Rosnah (bukan nama sebenar) walaupun dia telah membayar sejumlah RM50,580 dalam tempoh empat tahun.
Wakil syarikat tersebut akan menelefon dan menghantar orang setiap hari bertemu Rosnah bagi tujuan menuntut hutang. Alasannya, ansuran lebih RM1,000 setiap bulan yang dibayar adalah faedah sahaja.
Hutang itu tidak akan selesai selagi dia tidak membayar RM20,000 secara tunai.
Apabila dikira kembali, syarikat terbabit telah mengenakan faedah lapan peratus sebulan terhadap Rosnah.
Dia yang bekerja di sebuah hotel di ibu negara merasa tertipu kerana syarikat berlesen yang dirasakan 'selamat' itu tidak lagi mengikut syarat-syarat pinjaman yang ditetapkan.
Akhirnya, Rosnah yang amat tertekan dengan keadaan itu membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bagi mencari jalan penyelesaian.
SYARIKAT BERLESEN 2
NASIB yang sama turut dialami oleh Hisyam (bukan nama sebenar) seorang peniaga kecil yang membuat pinjaman dengan syarikat pemberi pinjam berlesen.
Dia yang meminjam sejumlah RM16,000, dipaksa membayar 15 peratus atau RM2,400 sebulan.
Bagaimanapun, walaupun sudah dua tahun membayar jumlah tersebut yang kini hampir mencecah RM60,000, syarikat terbabit tetap menuntut RM16,000 dibayar secara tunai.
Akibat rasa tertipu dengan syarikat tersebut, dia turut mengadu kepada PPIM.
SYARIKAT BERLESEN 3
SETIAP kali empat ibu tunggal ini menerima wang bantuan RM700 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bank, setiap kali itu jugalah pekerja syarikat pinjaman wang berlesen sudah menunggu di luar untuk mengambil keseluruhan wang tersebut.
Semuanya gara-gara mereka pernah meminjam dengan syarikat terbabit sebanyak RM7,000 setiap seorang untuk dijadikan modal berniaga.
Walaupun sudah membayar habis jumlah pokok dan faedah pinjaman dalam tempoh dua tahun, syarikat tersebut masih menuntut RM7,000 secara tunai untuk melunaskan hutang mereka.
Syarat-syarat yang dijanjikan sebelum ini langsung tidak dipedulikan oleh syarikat itu.
Akhirnya, pihak PPIM dan ibu tunggal itu bersetuju mengatur strategi dengan petugas PPIM menyamar sebagai pegawai JKM untuk 'menahan' keempat-empat wanita terbabit di depan pekerja syarikat terbabit ketika urusan pembayaran hutang dilakukan di luar bank.
Disebabkan percaya penahanan wanita tersebut ada kaitan dengan kegiatan mereka, pekerja itu terus melarikan diri dan mereka tidak lagi mengganggu wanita-wanita terlibat hingga kini.
SYARIKAT BERLESEN 4
CARA pengiklanan yang dipaparkan oleh syarikat pemberi pinjam wang berlesen di SS/2 Petaling Jaya ini amat meyakinkan orang ramai.
Segalanya tertulis jelas di situ termasuk alamat, nombor telefon, lesen, permit, jenis pinjaman dan faedah yang ditawarkan.
Namun itu, sekadar 'gula-gula' kepada peminjam. Selepas meminjam, lagak mereka tidak ubah seperti ah long yang akan menuntut duit walaupun jumlah bayaran pokok dan faedah telah dilunaskan.
Lebih menakutkan, mangsa diugut jika tidak mahu membayar 'baki' hutang tersebut.
Dalam satu pengaduan yang dibuat kepada PPIM, syarikat tersebut menuntut bayaran RM6,060 daripada seorang peminjam sedangkan dia telah membayar RM15,330 setelah meminjam RM7,000.
Selain pengadu tersebut, terdapat lagi dua pengadu yang membuat aduan di PPIM kerana menjadi mangsa syarikat yang sama.

Ops Sikap: 16 lagi kematian dicatatkan di seluruh negara



KUALA LUMPUR 4 Sept. - Sebanyak 16 lagi kematian dicatatkan dalam Ops Sikap Ke-24 yang masuk hari 12 semalam, menjadikan jumlah keseluruhan yang maut meningkat kepada 228 orang.
Penunggang dan pembonceng motosikal terus mencatat jumlah kematian tertinggi apabila sembilan kematian dilaporkan membabitkan golongan itu.
Berdasarkan laman web rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini, sepanjang tempoh semalam, sejumlah 1,266 kemalangan berlaku dan 13 daripadanya adalah kemalangan maut.
Sembilan kematian membabitkan pengguna motosikal, lima kereta dan masing-masing satu penunggang basikal dan jip.
Daripada jumlah itu, sebanyak lima kematian berlaku di jalan Persekutuan, diikuti empat di jalan bandaran, dua di jalan negeri serta masing-masing satu di lebuh raya dan lain-lain jalan.
Menurut kenyataan itu lagi, jalan Persekutuan merekodkan jumlah kemalangan tertinggi iaitu 423 kes, diikuti jalan bandaran (405), jalan negeri (238), lebuh raya (121) dan lain lain jalan (79).
Sepanjang tempoh semalam, PDRM telah mengeluarkan sejumlah 8,606 saman atas pelbagai kesalahan.
Ops Sikap Ke-24 dilancarkan pada 23 Ogos lalu sempena Hari Raya Aidilfitri akan berakhir pada 6 September depan.

Sebanyak 254 jumlah kematian hari ke-13 Ops Sikap



05/09/2011 12:19pm

KUALA LUMPUR 5 Sept. - Berbaki dua hari lagi, Ops Sikap-24 terus merekodkan pertambahan jumlah kematian iaitu seramai 254 orang sehingga hari ke-13 operasinya semalam.
Laman web Polis Bukit Aman hari ini melaporkan seramai 26 orang terbunuh dalam kemalangan jalan raya yang membabitkan 22 kes kemalangan maut semalam.
Kenyataan itu berkata, penunggang motosikal mencatat jumlah kematian paling tinggi iaitu 15 orang, pengguna kereta (lapan), pejalan kaki (dua) dan kenderaan lain (satu).
Sementara itu jumlah keseluruhan kemalangan yang direkodkan semalam ialah 1,144 dengan statistik paling tinggi dicatat di jalan bandaran iaitu 379 diikuti jalan persekutuan (371), jalan negeri (229), lebuh raya (99) dan jalan-jalan lain (66).
Sebanyak 7,591 saman dikeluarkan kepada pesalah trafik semalam.
Ops Sikap-24 yang bermula 23 Ogos, akan berakhir 6 September ini. - Bernama

16 kucing mati


TERBIAR...kucing yang dibiarkan di luar premis.
TERBIAR...kucing yang dibiarkan di luar premis.

PETALING JAYA: Sebuah pusat penjagaan haiwan ‘diserbu’ pemilik haiwan selepas mendapati haiwan peliharaan mereka yang ditinggalkan di situ dibiarkan kelaparan sehingga ada yang mati di Damansara Damai, di sini, semalam.
Dalam serbuan jam 9.30 pagi itu, beberapa pemilik haiwan yang disertai 20 sukarelawan datang menuntut haiwan peliharaan mereka yang ditinggalkan di situ sejak 27 Ogos lalu sempena cuti Aidilfitri.
Menurut seorang sukarelawan yang hanya mahu dikenali sebagai Emi, 36, mereka mendapat maklumat mengenai pusat jagaan berkenaan di laman sosial facebook selepas beberapa pemilik menyelar perbuatan pemilik pusat terbabit yang menjaga haiwan peliharaan mereka sambil lewa dan dipulangkan dalam keadaan yang teruk.

“Mereka dijanjikan dengan penjagaan rapi sedangkan selepas dihantar pulang, haiwan peliharaan mereka kurus kering dan berbau busuk.


“Oleh itu, kami mengumpulkan beberapa sukarelawan dan pemilik haiwan untuk menyiasat apa sebenarnya berlaku di pusat jagaan terbabit,” katanya.

Kematian babit penunggang motosikal catat angka tertinggi

KUALA LUMPUR: Jumlah kematian membabitkan penunggang motosikal terus mencatatkan angka tertinggi pada hari ke-12 Ops Sikap ke-24, kelmarin, iaitu sebanyak sembilan orang daripada 16 kematian.
Bagaimanapun jumlah itu mencatatkan penurunan berbanding pada hari ke-11 apabila 28 kematian direkodkan pihak polis.

Jurucakap Polis Trafik Bukit Aman berkata, jumlah keseluruhan kematian yang dicatatkan sepanjang Ops Sikap sehingga kelmarin adalah 228 orang.

Katanya, jumlah keseluruhan kemalangan kelmarin adalah sebanyak 1,266 dan jumlah tertinggi berlaku di Jalan Persekutuan (423 kes), diikuti jalan bandaran (405), jalan negeri (238), lebuh raya (121) dan jalan lain (79).

“Manakala 13 kemalangan maut direkodkan termasuk di lebuh raya sebanyak satu kes, Jalan Persekutuan (lima), jalan negeri (dua), diikuti jalan bandaran (empat) dan satu di jalan lain,” katanya, semalam.

Sebanyak 8,606 saman dikeluarkan kepada pesalah trafik dalam operasi kelmarin.


Sehubungan itu, menurutnya, polis menasihatkan pemandu supaya mematuhi undang-undang lalu lintas dengan tidak memandu melebihi had dibenarkan dan memotong kenderaan lain di kawasan tidak dibenarkan seperti ketika menuruni bukit dan di selekoh.

“Mereka juga dinasihatkan mengamalkan sikap bertoleransi dengan pemandu lain dan mengelak daripada memandu ketika letih atau mengantuk,” katanya. Menurutnya, polis akan terus bertindak tegas terhadap pemandu tidak mematuhi undang-undang.

'Minta RM1 saya tidak lama hidup'

PASIR PUTEH: “Pertengahan Ramadan lalu, dia asyik meminta RM1 daripada datuknya sambil melafazkan kata-kata ‘tidak lama hidup’ manakala tiga hari lalu, dia asyik bermanja dengan abang dan kakaknya, seolah-olah enggan berpisah dengan mereka.
“Pada pagi kejadian, dia juga sempat duduk di riba saya sambil merengek seperti bayi, padahal sebelum ini tidak pernah berbuat demikian,” kata Zaini Mat Hasan, 45, ibu kepada Nik Nur Hidayah Nik Man, 11, yang lemas ketika berkelah bersama keluarga di Lagun Kuala Semerak, Tok Bali, dekat sini, petang kelmarin.

Zaini yang juga orang kelainan upaya (OKU) berkata, masih terngiang-ngiang celoteh anaknya itu yang asyik meminta RM1 daripada datuknya, Arifin Awang, 70, sambil melafazkan kata-kata ‘tidak lama hidup’.

Katanya, dia tidak mengesyaki sikap pelik anaknya itu sehinggalah Nik Nur Hidayah pergi menghadap Ilahi akibat mati lemas, kelmarin.

“Sepuluh tahun lalu, ayahnya Nik Man Arifin meninggal dunia, kini gilirannya pula dan saya reda. Sejak kebelakangan ini, anak saya banyak bersikap pelik,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tengku Anis (HTA), di sini. Mengimbas kejadian berkenaan, Zaini berkata, dia dan anaknya bersama 20 ahli keluarga lain tiba di lagun itu pada jam 2.30 petang dari Kampung Gong Penaga, Jerteh, Terengganu untuk berkelah sempena cuti Aidilfitri.

Katanya, ketika itu, dia berada di tepi lagun bersama sepupu, Mohd Zamri Ibrahim, 37, sambil menikmati hidangan, manakala Nik Nur Hidayah mandi bersama kakaknya, Nik Nasuha, 16, dan saudaranya yang lain. “Tidak lama kemudian, saya terdengar suara jeritan meminta tolong dan melihat Nik Nur Hidayah dan Nik Nasuha tenggelam timbul di dalam air.


“Saya terus memanggil Mohd Zamri supaya segera memberi pertolongan kepada mereka sebelum berjaya menyelamatkan Nik Nasuha, namun Nik Nur Hidayah gagal diselamatkan apabila dia terus tenggelam ke dasar lagun,” katanya.

25 peluru penabur terbenam di betis

PEKAN: “Kesihatan saya kini terjejas teruk selepas kejadian berkenaan. Bisa 25 butir kecil peluru penabur itu mungkin sudah meresap dalam badan hingga menyebabkan kaki dan tangan saya lemah selain mengalami masalah pernafasan.
“Saya kini tidak mampu berjalan jauh dan melakukan kerja berat, malah semua aktiviti harian saya turut terjejas,” kata Abdul Mutalib Mohamed Arif, 70, yang menjadi mangsa peluru sesat ketika menyertai operasi memburu babi hutan, Januari lalu.

Ketika itu, Abdul Mutalib bersama lebih 30 penduduk setempat termasuk anggota Rela menyertai operasi menembak babi hutan yang banyak berkeliaran di Kampung Langgar.

Sejurus sebelum kejadian, dia bersama beberapa rakan lain duduk di atas motosikal diletakkan di tepi jalan dalam kawasan sawah dan secara tiba-tiba seekor babi melintas di depannya menyebabkan seorang peserta melepaskan tembakan ke arah haiwan berkenaan.

Bagaimanapun, tembakan pertama lelaki terbabit tidak mengenai babi berkenaan sebaliknya tersasar ke atas jalan tar sekali gus menyebabkan peluru itu yang dilepaskan dalam jarak kira-kira enam meter dari mangsa terpelanting dan tertanam di dalam betis kiri dan kanannya.

“Saya hanya sedar betis saya terkena peluru sesat itu apabila seorang rakan melihat darah banyak keluar dari kaki saya. Mereka menghantar saya ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi mendapatkan rawatan.


“Doktor yang melakukan pemeriksaan hanya mengeluarkan lima butir peluru saja dan saya dibenarkan pulang. Rupa-rupanya masih ada baki 25 butir peluru penabur yang masih tertanam di dalam betis kanan saya. Isteri, Roshamizan Hamid yang mengeluarkan semua 25 butir peluru berkenaan di rumah beberapa hari kemudian iaitu selepas peluru berkenaan timbul di kulit betis saya,” katanya.

Adinda Sultan Kelantan dakwa disabotaj JPJ

KOTA BHARU: Adinda Sultan Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry mendakwa cuba disabotaj Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas gagal memperbaharui cukai jalan beberapa kenderaan milik ayahandanya, Tuanku Ismail Petra.
Beliau mendakwa, ada permohonan pembaharuan cukai jalan itu tidak diperbaharui sejak setahun lalu.

Katanya, beliau sendiri tidak tahu punca masalah itu, apatah lagi sudah menggunakan beberapa saluran termasuk berjumpa sendiri Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan.

“Saya jumpa Datuk Solah dan Pengarah JPJ Kelantan, Abd Ghani Che Kassim. “Ketua pengarah (Solah) minta saya uruskan di sini (JPJ Kelantan). Saya sudah berjumpa dengan Abd Gani dan surat sudah diserahkan secara formal namun gagal juga perbaharui cukai jalan.

“Bagi pandangan saya, berlaku salah guna kuasa di sini apabila usaha memperbaharui cukai jalan kenderaan Tuanku Ismail sampai sekarang seolah-olah disabotaj atau dihalang,” katanya.

Beliau berkata demikian sebelum mengemukakan aduan terhadap Pengarah JPJ Kelantan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan, di sini, semalam.

Gempar lori diesel terbakar depan stesen minyak

PENDANG: Orang ramai di pekan Bukit Jenun, dekat sini, gempar apabila sebuah lori yang baru diisi minyak di sebuah stesen minyak di situ tiba-tiba terbakar, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, enjin lori berkenaan tiba-tiba terbakar sebelum merebak sehingga memusnahkan lori enam tan sebaik ia bergerak meninggalkan stesen minyak itu menuju ke Pendang.

Kejadian itu turut menyebabkan papan tanda sebuah kedai runcit kira-kira 10 meter dari tempat kejadian terbakar dan sebahagian lori yang terletak berhampiran terbakar.

Namun, tiada kemalangan jiwa dan pemandu lori berusia 55 tahun berjaya menyelamatkan diri.

Saksi, Wong Ah Fook, 75, berkata, ketika kejadian dia berehat bersama rakan di depan kedai membaiki basikal miliknya kira-kira 15 meter dari stesen minyak itu.

“Lori itu mengisi minyak agak lama. Selepas enjinnya dihidupkan, ia tiba-tiba terbakar sebelum pemandunya cuba membawa lori berkenaan jauh dari stesen minyak itu. Namun, ia hanya bergerak lima meter sebelum api marak dan memusnahkan keseluruhan lori itu,” katanya.


Difahamkan, lori itu juga membawa lapan tong minyak diesel yang menjadi punca api semakin marak.

“Sebaik melihat lori itu terbakar menghampiri rumah kedai, baru saya perasan ada tong gas di luar kedai runcit itu. Mujur api tidak sempat menyambar tong gas itu, jika tidak mungkin keadaan lebih buruk,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Pendang, Asistan Superintendan L Pubadi berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada enjin lori yang tiba-tiba mengalami masalah.

Kebumi bayi senyap-senyap

BETONG: Disebabkan tidak sanggup menanggung malu, keluarga seorang gadis mangsa rogol mengebumikan mayat bayi yang baru dilahirkan remaja berkenaan di tanah perkuburan di sini tanpa memaklumkan polis, awal pagi kelmarin.
Bayi lelaki malang itu dikatakan meninggal dunia akibat lemas dalam kandungan, dilahirkan jam 4 pagi di sebuah hospital di sini, selepas gadis berusia 14 tahun itu dibawa ibu bapanya mendapatkan rawatan kerana mengadu sakit pinggang.

Difahamkan, doktor yang merawat gadis itu mendapati dia sebenarnya mahu bersalin sekali gus menyebabkan ibu bapanya terkejut.

Malangnya bayi berkenaan tidak dapat diselamatkan kerana lemas di dalam kandungan sebelum dilahirkan.

Menurut sumber, perkara itu hanya disedari polis selepas bapa mangsa berusia 55 tahun datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong untuk membuat laporan mengenai anaknya dirogol sehingga melahirkan bayi.

“Bayi itu dipercayai meninggal dunia akibat lemas dalam kandungan, namun keluarga mangsa memutuskan mengebumikannya tanpa memaklumkan pihak berkuasa. “Polis hanya mengetahui kejadian itu selepas bapa mangsa membuat laporan bahawa anaknya dirogol beberapa jam selepas bersalin,” katanya.


Difahamkan, keluarga mangsa tidak mengetahui pelajar tingkatan dua itu mengandung berikutan keadaan fizikalnya yang bertubuh agak besar. Katanya, berdasarkan pengakuan mangsa kepada bapanya, dia dirogol seorang lelaki berusia 34 tahun yang sudah beristeri awal tahun ini.

Harian Metro difahamkan polis sedang menjejaki lelaki terbabit dan sudah mendapatkan uri untuk menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi menentukan bapa bayi malang itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Mohd Bukhori Saffai ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu.

Kontraktor cedera disimbah cuka getah

SANDAKAN: Seorang kontraktor yang mahu bertemu lelaki tidak dikenali, berakhir dengan tragedi apabila muka dan dadanya melecur disimbah cecair dipercayai cuka getah di Kampung Beriawa Batu 9, Sandakan, tengah hari semalam.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, Mohd Rizal Abbas, 46, bagaimanapun bernasib baik kerana tidak buta walaupun cedera di muka serta dada.

Difahamkan sebelum kejadian, mangsa berada di rumah bersama keluarga apabila menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mahu bertemunya.

Mangsa bersama isteri berusia 40-an keluar untuk bertemu lelaki itu, tetapi lelaki berkenaan tiada.

Ketika dalam perjalanan pulang, seorang lelaki menunggang motosikal menahan kenderaan mangsa.

Suspek dikatakan bertanyakan sesuatu kepada mangsa sebelum bergerak pergi, tetapi berpatah balik lalu menyimbah cecair dipercayai cuka getah ke arah mangsa.


Mangsa menjerit kesakitan dan isterinya bergegas menghantar suaminya ke hospital.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Fadzil Mohd Ali berkata, polis kini sedang memburu suspek berusia 30-an itu, yang juga seorang penoreh getah.

Remaja maut rempuh lembu

ENDAU: “Saya reda dengan kejadian ini, namun kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab pemilik lembu yang melepaskan ternakan mereka hingga berkeliaran di jalan raya sedangkan jalan itu terlalu gelap dan tiada lampu jalan.
“Sekiranya mereka menambat haiwan ternakan masing-masing, saya percaya kemalangan ini dapat dielakkan,” kata bapa remaja yang terbunuh akibat merempuh seekor lembu, Chik Jusoh, 70, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam kelmarin, anak bongsunya, Ahmad Zakwan Chik, 18, maut di tempat kejadian apabila motosikal Honda EX5 ditunggangnya merempuh seekor lembu yang melintas jalan di Jalan Haji Ariffin.

Menurutnya, dia difahamkan anak bongsunya itu dalam perjalanan pulang ke rumah dari majlis rumah terbuka rakannya kira-kira 500 meter dari lokasi sebelum merempuh seekor lembu yang melintas jalan.

“Sebenarnya arwah tinggal bersama seorang kakaknya di Bentong, Pahang sejak kematian ibunya lapan tahun lalu, namun beriya-iya mahu pulang ke kampung di Endau untuk tinggal bersama adik-beradiknya yang lain.

“Rupa-rupanya keinginan itu petanda arwah akan meninggalkan kami dalam usia muda.


“Apa yang peliknya, sebelum arwah keluar rumah, dia tidak membenarkan rakannya membonceng kerana ingin menunggang sendirian selain berpesan supaya membawa pulang motosikalnya itu.

“Mungkin takdir menentukan dia pergi tanpa membabitkan rakannya. Saya juga terkilan kerana dia tidak sempat melanjutkan pengajian tahun depan,” katanya.
Menurutnya, ketika kejadian, dia berehat di rumah kerana baru pulang dari Bentong sebelum seorang anak memberitahu arwah terbabit dalam kemalangan membabitkan motosikal dan seekor lembu di jalan berkenaan. Sejurus menerima berita itu, katanya, dia bergegas ke hospital untuk melihat keadaan anaknya, namun sedih apabila dimaklumkan arwah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Mohd Nor Rasid ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, siasatan sedang dijalankan.

“Jenazah dibawa ke Hospital Mersing untuk dibedah siasat dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Belukar Juling di sini, pagi semalam,” katanya.

Berikutan itu katanya, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati ketika di jalan raya bagi mengelak kejadian sama berulang.

Padah berebut pondan

KANGAR: Gara-gara berebut pondan, seorang pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) cedera parah disimbah cecair dipercayai asid ketika baru pulang di rumah sewanya di Taman Seri Bakau, awal pagi kelmarin.
Pelajar berusia 21 tahun itu dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) selepas melecur di bahagian muka dan lengan kanannya akibat terkena cecair disimbah seorang lelaki yang menaiki motosikal.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, polis tidak menolak serangan itu bermotifkan cemburu berikutan kehadiran pondan bersama mangsa di rumah berkenaan.

Katanya, kejadian kira-kira jam 4.15 pagi kelmarin dan pihaknya sudah menahan seorang suspek iaitu remaja lelaki berusia 19 tahun bagi membantu siasatan berhubung serangan terbabit.


“Suspek dikatakan turut meminati pondan yang menetap bersama mangsa. Dia yang bekerja sebagai buruh ditahan kira-kira 12 jam selepas serangan di rumahnya di Simpang Empat.

Majlis hari jadi nenek diserang empat lelaki




Rakaman CCTV menunjukkan dua daripada empat suspek yang menyerang rumah Ushanantini di Ipoh semalam.


IPOH – Kemeriahan sebuah majlis sambutan ulang tahun kelahiran seorang nenek gempar apabila tiba-tiba diserang empat lelaki tidak dikenali yang bersenjatakan pistol, parang dan kayu golf di Taman Desa Rishah, Buntong di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 pagi itu, Gordan Francis, 18, yang merupakan cucu M. Marianee, 58, cedera parah terkena tembakan pada bahu kirinya.
Ibu saudara mangsa, G. Ushanantini, 30, berkata, semasa kejadian, dia sedang menganjurkan permainan sempena sambutan ulang tahun kelahiran ibunya yang melibatkan hampir 16 orang kanak-kanak.
Dia berkata, ketika itu, Gordan yang merupakan seorang pembantu jualan sebuah kedai telefon bimbit sedang duduk di atas sebuah motosikal bersama dua rakannya di luar pagar rumahnya.
“Tiba-tiba datang sebuah kereta Proton Iswara berwarna putih yang meluncur laju melintasi rumahnya sebelum mengundur dan seorang lelaki keluar lalu melepaskan tembakan ke arah Gordan.
“Anak saudara saya bertindak melarikan diri dengan motosikal tetapi tembakan kedua yang dilepaskan terkena bahu kirinya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa Rishah di sini semalam.