Search This Blog

Sunday, September 4, 2011

Lelaki cedera ditembak

IPOH - Seorang pekerja kedai telefon bimbit cedera ditembak manakala seorang kelindan lori dilarikan empat lelaki yang sama dalam dua kejadian berasingan di sini awal hari ini.
Dalam kejadian pertama, Goldan Francis, 18, ditembak di depan rumah neneknya di Taman Rishah pada 2.15 pagi, menyebabkan lengan kirinya cedera.
Difahamkan, sebelum itu, keluarga Francis sedang meraikan sambutan ulang tahun neneknya, dan ketika kejadian, mangsa berbual di luar rumah apabila kenderaan yang dinaiki empat suspek berkenaan berhenti di depan rumah berkenaan.
Ibu saudara mangsa, G.Ushanantini, 30, berkata Francis menganggap kumpulan itu ingin bertanyakan arah, namun secara tiba-tiba seorang daripada mereka keluar dari kereta dan melepaskan tembakan ke arah mangsa.
Beliau berkata Francis yang duduk di atas motosikal kemudian bergegas ke rumah rakannya dan dibawa ke Hospital Pakar Ipoh.
Selepas itu, dua suspek bersenjatakan parang dan kayu golf, cuba memasuki rumah teres berkenaan, namun gagal kerana ia dikunci dari dalam.
Terdahulu, kumpulan itu dipercayai menculik seorang kelindan lelaki berusia 21 tahun yang sedang berbual dengan dua rakannya di sebuah restoran berhampiran hotel bajet di Menglembu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata dalam insiden 12.30 tengah malam itu, suspek turut melepaskan tembakan sebelum melarikan mangsa.
Beliau berkata mangsa dipercayai dipukul di Bercham sebelum ditinggalkan di Jalan Kuala Kangsar dalam keadaan mata dan kepala ditutup.
Suspek, yang terdiri daripada empat lelaki berusia lingkungan 20-an dan 30-an, dipercayai bersenjatakan parang, kayu golf serta pistol.
Katanya, setakat ini belum ada tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api. - Bernama

10 bas disaman di Kedah

ALOR SETAR - Sepuluh kes membabitkan syarikat bas dicatatkan sepanjang tempoh Ops Raya 2011 Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah yang dijalankan di terminal Bas Shahab Perdana di sini dan hentian bas di Sungai Petani.
Pengarahnya, Ahmad Musadad Sulaiman berkata, kes-kes berkenaan termasuk mengenakan kadar tambang yang lebih mahal berbanding kadar biasa, bas lewat sampai dan bas yang disediakan tidak berada dalam keadaan yang baik.
Katanya ia adalah hasil aduan daripada orang ramai yang menggunakan perkhidmatan bas ekspres di kedua-dua terminal bas itu.
Beliau berkata pihaknya juga telah membuat pemeriksaan tayar terhadap 23 bas dan mendapati semuanya berada dalam keadaan yang baik.
"Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) turut melakukan pemeriksaan terhadap pemandu-pemndu bas dan didapati dua pemandu bas positif dadah dan mereka (pemandu bas) tidak dibenarkan memandu dan syarikat perlu menukar pemandu lain bagi meneruskan perjalanan,” kata kepada pemberita di sini hari ini.
Ahmad Musadad berkata dalam operasi yang dijalankan di kedua-dua terminal bas itu malam tadi, sebanyak 48 buku log pemandu bas diperiksa berbanding hari biasa iaitu hanya sekitar 20 buku log sahaja diperiksa.
"Syarikat-syarikat bas turut diminta agar menyediakan dua pemandu bagi membolehkan mereka bergilir-gilir sewaktu dalam perjalanan,” katanya. - Bernama, kosmo

3 anak polis maut nahas

JOHOR BAHARU - Tiga adik-beradik lelaki maut apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kereta lain di kilometer 113.6 Jalan Labis-Yong Peng awal hari ini.
Mereka ialah Ahmad Zakhwan Patah Raji, 19, serta dua adiknya, Ahmad Zahinuddin, 18, dan Ahmad Zarif, 12.
Timbalan Ketua Polis Batu Pahat, Superintendan Adnan Azizon berkata, dalam kejadian 2.45 pagi itu, Ahmad Zakhwan yang memandu kereta Kancil hilang kawalan dan memasuki lorong bertentangan menyebabkan kenderaannya bertembung kereta Proton BLM milik Ho Hong Shou.
"Semua mangsa sedang dalam perjalanan dari Kelantan untuk menyambut Aidil Fitri bersama ayah mereka Koperal Patah Raji Muhamad yang bertugas di Balai Polis Simpang Renggam,” katanya.
Ahmad Zakhwan meninggal dunia di tempat kejadian manakala adik-adiknya meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Batu Pahat.
Sementara itu, Ho, 20, cedera ringan dan dibawa ke hospital berkenaan. - Bernama, bharian

Lelaki cedera di muka disimbah cecair dipercayai asid

SANDAKAN: Seorang lelaki cedera dimuka akibat disimbah dengan cecair dipercayai asid oleh seorang penunggang motosikal di Batu 9 Jalan Labuk dekat sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Fadzil Mohd Ali, berkata kejadian berlaku pada kira-kira jam 12 tengah hari ketika mangsa yang berusia 43 tahun itu dalam perjalanan menuju ke rumah rakannya.
Katanya, mangsa yang memandu sebuah kereta bersama isteri dan dua anak mereka tiba-tiba dihalang oleh sebuah motosikal yang ditunggangi oleh seorang lelaki.
Menurutnya, mangsa kemudian turun dari keretanya untuk bertemu lelaki itu dan berlaku pertengkaran di antara mereka.

Beliau berkata, lelaki berkenaan kemudian bertindak menyimbah cecair dipercayai asid ke muka mangsa dan terus melarikan diri.

"Mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Duchess Of Kent oleh isternya dan keadaannya kini dilaporkan stabil," katanya di sini hari ini.

Fadzil berkata, polis sedang menyiasat motif kejadian dan telah mengenal pasti identiti suspek dengan gerakan mengesannya sedang giat dilakukan. - BERNAMA , bharian

Bumbung terbang depan mata

TANJUNG SEPAT – Kemeriahan cuti sempena sambutan Aidilfitri kira-kira 65 keluarga di Taman Mutiara bertukar igauan ngeri apabila puting beliung melanda kawasan taman perumahan berkenaan kira–kira jam 10 pagi, kelmarin.

Ahli Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Wong Kim Loon yang menyaksikan kejadian itu berkata, beliau bersimpati nasib malang menimpa kira-kira 65 keluarga di taman berkenaan

Menurutnya, walaupun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku namun kejadian itu merosakkan beberapa kelengkapan rumah penduduk terbabit seperti peralatan elektrik dan perabot yang sedang meraikan sambutan Aidilfitri.

“Bagi saya kejadian umpama mimpi ngeri apabila menyaksikan bumbung terbang depan mata kerana sebelum ini tidak pernah berlaku.

“Ketika kejadian berlaku, saya turut terdengar bunyi kuat seolah-olah besi bergesel dari jarak 50 meter di hadapan pejabat,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui lewat malam kelmarin.

Kim Loon berkata, beliau terkejut apabila melihat sendiri bumbung rumah dan kayu berterbangan setinggi lebih kurang 30 meter, manakala penduduk berkeliaran melihat keadaan yang berlaku.

Sementara itu, Ketua Kampung Tumbok, Abdul Rahim yang turut bergegas meninjau kawasan itu berkata, pihaknya dan barisan pimpinan kampung akan mengenal pasti keperluan diperlukan oleh mangsa seterusnya memaklumkan perkara berkenaan kepada pihak bertanggungjawab.

Hadir sama, Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohamad Yasid Bidin; Penghulu Sharip Ahmad dan wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Pengurus kilang ladang cedera

HULU BERNAM – Seorang pengurus kilang sebuah ladang dekat sini cedera setelah kereta jenis pacuan empat roda dipandunya terbalik di persimpangan lampu isyarat Bernam Jaya di sini, petang semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.30 petang itu hanya melibatkan kenderaan terbabit yang dipandu bersendirian.

Ketika ditemui, mangsa, Hussain Muhammad Mubashar berusia awal 40-an yang cedera di tangan dan kaki kelihatan tenang sahaja.

Saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Siva, 27, berkata, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaannya ketika menuruni bukit berselekoh berdekatan persimpangan lampu isyarat berkenaan.

“Berkemungkinan keadaan itu yang menyebabkan tayar belakangnya tercabut dan disebabkan jalan yang menurun serta berselekoh, kereta mangsa terbalik.

“Mangsa hanya cedera ringan dan mampu berjalan sendiri,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, tayar kereta terbabit ditemui kira-kira 50 meter dari tempat kereta terbalik.

Difahamkan sebelum kejadian itu, mangsa baru sahaja keluar daripada bengkel untuk membaiki keretanya pada bahagian arm dan tayar belakang.

Menurut mangsa yang sempat bercerita kepada orang awam, dia ke bengkel berdekatan kerana kenderaannya berbunyi dipercayai ada masalah brek dan tayar.

Kemalangan itu bagaimanapun tidak mengakibatkan kesesakan dan lalu lintas dikawal sendiri oleh orang awam.

Difahamkan, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Hulu Bernam sebelum mendapatkan rawatan di klinik swasta berdekatan.

Misteri bau busuk terjawab



BATU CAVES – Misteri bau busuk dari takungan air berhampiran simpang masuk ke Jalan Batu Caves dari arah Rawang, Jalan Kuching di sini terjawab dengan penemuan mayat seorang lelaki.

Dalam kejadian lewat petang kelmarin, seorang saksi yang enggan dikenali berkata, ketika melalui kaki lima jalan berkenaan dia terlihat objek seakan kepala manusia yang tersembul keluar.

“Apabila didekati didapati ia mayat seorang lelaki. Tidak berapa lama kemudian pihak polis dihubungi datang, tetapi mayat tidak dapat dikeluarkan dengan mudah kerana petak takungan itu dilindungi penutup konkrit.

“Setelah penutup konkrit itu dibuka, pihak forensik berjaya mengeluarkan mayat berkenaan kira-kira 10 minit kemudian,” katanya.

Dalam pada itu, dia yang bekerja di sebuah bengkel kereta berhampiran berkata, sebelum ini ‘kolam’ tempat mayat berusia lingkungan 30-an itu ditemui tidak mengalami limpahan air.

Katanya, bagaimanapun beberapa hari sebelum mayat itu ditemui, dia yang sering melalui jalan berkenaan untuk ke tempat kerja berasa hairan petak itu dipenuhi air, manakala timbul bau terlalu busuk.

“Ketika mayat itu diangkat keluar sekitar jam 6.30 petang, dia tidak berpakaian, tetapi terdapat baju dan seluar pendek ditemui di tempat kejadian.

“Kulit mayat terutama di muka dan badan sudah tertanggal, agak mengerikan kerana sudah reput,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi berkata, polis sedang membuat siasatan lanjut dan mengesahkan pakaian mangsa ditemui di tempat kejadian.

Katanya, mangsa dipercayai berbangsa India atau Myanmar itu ditemui tanpa identiti dalam tangki air di tepi jalan susur masuk ke Medan Batu Caves.

“Hasil siasatan dipercayai mayat berada lebih kurang lima hari dalam air berdasarkan keadaannya yang telah kembung. Tiada kecederaan berunsur jenayah.

“Siasatan ini dibantu oleh forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. Kes buat masa ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Terdahulu kejadian turut menyebabkan kesesakan lalu lintas sepanjang lebih satu kilometer, apabila pengguna jalan raya dari arah Rawang ke Kuala Lumpur memperlahankan kenderaan untuk melihat ke tempat kejadian.

3 beradik maut kemalangan di lebuhraya PLUS

BATU PAHAT: Tiga beradik anak anggota polis maut selepas Perodua Kancil yang mereka naiki berlanggar dengan sebuah Proton Saga, dalam kejadian di Kilometer 113.6 Lebuhraya Utara-Selatan, dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 pagi itu pemandu kereta berkenaan, Ahmad Zakwan Patah Raji, 19, mati di tempat kejadian, manakala dua adiknya, Ahmad Zainuddin, 18, dan Ahmad Zarif, 12, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Batu Pahat.
Ketiga-tiga mangsa adalah anak kepada Koperal Patah Raji Muhamad, yang juga anggota polis di cawangan kereta peronda Balai Simpang Renggam, Kluang.

Wanita maut kemalangan



BERA – Seorang wanita maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 26, dekat Pejabat Pendaftaran Negara (JPN), petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Zahid Mohd Noor berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.50 petang itu membabitkan kereta jenis Perodua Viva dan Proton Iswara dari arah bertentangan.

Menurutnya, mangsa yang maut, Dolina Abd Manaf, 50, merupakan penumpang kereta Perodua Viva.

“Mangsa sempat dikejarkan ke klinik berdekatan sebelum meninggal dunia kira-kira jam 4.10 petang.

“Sementara dua lagi mangsa dalam kereta sama iaitu suami dan anak mangsa hanya mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar,” katanya.

Mohd Zahid berkata, kejadian itu berlaku apabila kereta Proton Iswara yang dinaiki enam orang dari arah Bahau menuju ke Felda Jengka 24 dipercayai memasuki jalan bertentangan sebelum bertembung dengan Perodua Viva terbabit.

Difahamkan, mereka yang menaiki Perodua Viva itu pula dalam perjalanan menghala ke Senawang, Negeri Sembilan selepas beraya di Felda Jengka.

“Pemandu Proton Iswara turut cedera ringan dan mendapat rawatan sebagai pesakit luar. Kejadian ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Pejalan kaki maut dilanggar



KUALA TERENGGANU- Seorang pejalan kaki warga Indonesia maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer (KM) 152 Jalan Jerangau-Jabor kelmarin, menjadikan jumlah keseluruhan kematian di negeri ini sebanyak 13 kematian dalam tempoh 11 hari sejak Ops Sikap ke-24 dilancarkan.

Pegawai Turus Trafik Negeri, Asisten Superintendan Ismail Man berkata, kemalangan maut itu berlaku kira-kira jam 7.20 pagi melibatkan mangsa dengan sebuah kereta jenis Iswara.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa sedang melintas jalan, sebelum dilanggar kereta tersebut.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta itu dan isterinya hanya me-ngalami cedera ringan.

“Berdasarkan maklumat yang kita peroleh, mangsa dikenali sebagai Nasirudin, berumur 31 tahun dan bekerja sebagai pekerja Ladang Rakyat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Sementara itu, Ismail berkata, sebanyak 48 kemalangan direkodkan pada hari ke-11 Ops Sikap ke-24 kali ini, dengan satu kes kemalangan maut. Sebanyak 161 saman POL.257 dikeluarkan dan 789 saman POL.170A.

Menurutnya, berlaku penurunan kes kemalangan pada hari ke-11 Ops Sikap kali ini berbanding hari yang sama pada Ops Sikap ke-22 tahun lalu.

“Berbanding dengan Ops Sikap ke-22 tahun lalu, kes kemalangan berjumlah 62 pada hari ke-11 berbanding 48 kes pada tahun ini, tetapi terdapat satu kes kemalangan maut pada tahun ini, berbanding tahun lepas, tiada kemalangan maut pada hari ke-11.

“Bagaimanapun, berlaku peningkatan pada jumlah saman yang dikeluarkan, iaitu sebanyak 950 saman pada hari ke-11 tahun ini, berbanding 295 saman pada tahun lalu,” katanya.

Kata beliau, jumlah terkumpul kes kemalangan setakat ini ialah 533 kes kemalangan, meningkat daripada tahun lalu iaitu sebanyak 476 kes.

Jumlah terkumpul kes kemalangan maut juga meningkat, iaitu sebanyak 13 kes berbanding tahun lalu sebanyak 11 kes manakala jumlah kematian pula adalah sama, iaitu sebanyak 13 kes.

Manakala jumlah saman yang dikeluarkan setakat ini pula berjumlah 4,826 saman, meningkat daripada tahun lalu iaitu sebanyak 3,948 saman.

Ribut landa Marang



RHU RENDANG - Sebanyak 16 buah rumah di kawasan sekitar Pulau Kerengga di sini, rosak teruk membabitkan kerosakan atap akibat dipukul ribut dalam kejadian yang diibaratkan seperti ‘tsunami kecil’ penduduk kawasan itu, petang kelmarin.

Dalam kejadian bermula lebih kurang jam 3.30 petang, harapan sebuah keluarga untuk menyambut Syawal bersama keluarga sambil menjamu selera turut musnah apabila kediaman mereka rosak akibat dipukul ribut kencang melanda kawasan itu.

Kejadian itu nyaris menyebabkan siling rumah keluarga Ramlee Abu Bakar, 53, runtuh dan kesemua zink di ruang tamunya diterbangkan angin serta lori miliknya rosak ditimpa sebatang pokok.

Menurut bapa enam anak itu, ribut itu berlaku kira-kira jam 3.30 petang ketika dia berada di luar rumah manakala isterinya, Aminah Sulong, 52, bersama enam anak, menantu dan enam cucu mereka sedang menjamu selera di ruang tamu.

“Kejadian berlaku terlalu pantas. Dalam tempoh beberapa saat sahaja, hampir semua atap di ruang tamu rumah di terbangkan angin. Mujurlah isteri saya dan ahli keluarga lain sempat menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Ramlee berkata demi-kian ketika menerima kunjungan Presiden Pas yang juga merupakan Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat lawatan ke rumah mangsa ribut di kawasan Pulau Kerengga di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Pusat Khidmat Masyarakat, Wahab Osman, Ketua Pas cawangan Pulau Kerengga, Ibrahim Long dan Pengerusi Lagnah Kebajikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Abdul Aziz Ngah.

Sementara itu, isteri Ramlee, Aminah Sulong, 52, berkata, ketika kejadian dia bersama ahli keluarganya termasuk enam cucunya sedang berehat di ruang tamu sambil menjamu kuih raya sebelum atap ruang tamu rumah diterbangkan angin kuat.

“Dalam keadaan panik, saya memeluk erat anak-anak dan cucu. Ada antara mereka yang menangis malah tidak henti-henti mengucapkan kalimah "ALLAH hu akbar" sebelum kami berlari ke arah dapur untuk menyelamatkan diri,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Aminah, ketika itu dia hanya memikirkan keselamatan diri dan ahli keluarganya untuk menyelamatkan diri kerana tidak menyangka ribut selama 15 minit tersebut boleh menyebabkan bahagian atap ruang tamu rumahnya rosak teruk.

Difahamkan keluarga Ramlee dan Aminah adalah antara 16 mangsa ribut yang terpaksa menanggung kerugian kesan bencana alam itu dan merupakan rumah yang mengalami kerosakan paling teruk dengan anggaran kerugian melebihi RM5000.

Dalam pada itu, seorang lagi mangsa, Nur Syahirah Salleh, 17, yang sedang tidur di dalam biliknya nyaris dihempap atap rumah ketika ribut itu melanda kawasan rumah keluarganya.

Kakak sulung mangsa, Fazliwati Salleh, 30, berkata, ketika kejadian ribut kuat itu melanda, seramai enam ahli keluarganya berada di rumah itu dan adik perempuannya itu sedang tidur di dalam sebuah bilik sebelum dikejutkan dengan bunyi kuat.

“Apabila dia terjaga, ruang biliknya dipenuhi atap rumah dan dia hanya mampu mengu-cap dua kalimah syahadah berulang kali kerana terkejut dan bersyukur kerana atap rumah tidak jatuh menimpanya,” katanya kepada ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Fazliwati berkata, adik perempuannya itu kemudian keluar dari bilik dengan dibantu ahli keluarga lain, mereka bersyukur kerana tiada sebarang kecederaan menimpa dalam kejadian ribut bermula pada pukul 3.30 petang itu.

Sementara itu, menurut jurucakap polis dari Balai Polis Merchang sebanyak enam lapo-ran diterima daripada mangsa kejadian ribut yang melanda sekitar kawasan Pulau Kerengga, Marang sejak petang kelmarin hingga jam 3 petang semalam.

Terlihat lembaga dalam bilik

KOTA BHARU - Bagaikan ada sesuatu yang tidak kena sebelum kejadian kebakaran rumah mereka pada malam raya beberapa hari lalu, pemiliknya, Rosmina Ismail, 40 mengakui seolah-olah terlihat lembaga berada di bilik kejadian.

Rosmina berkata, pada malam hari raya tersebut, dia belum tidur kerana sebelum itu dia sibuk menyediakan juadah pagi raya iaitu kuah roti jala kira-kira jam 2.15 pagi.

“Ada dua kemungkinan pada kejadian ini. Satu mungkin bilik yang terbakar ini diceroboh, namun satu lagi kemungkinan (atau ia hanya perasaan), tetapi saya tidak silap melihat sesuatu yang pelik, seolah-olah ternampak lembaga hitam sebelum melihat api pada bilik ini.

“Pada mulanya, kira-kira jam 1.30 pagi, saya bangun, saya ternampak mercun jatuh ke atas enjin pam air, tetapi lama saya tunggu, tidak ada pula api ketika itu, namun selepas hampir sejam, saya lihat ada mancis pada tengah katil bilik,” katanya kepada Sinar Harian semasa ditemui di Kampung Hutan Buloh, Melor, di sini.

Rosmina yang mempunyai kedai runcit dan ketering di hadapan rumahnya berkata, kewujudan mancis itu menimbulkan tanda tanya siapa yang membawanya ke bilik itu kerana ia berkunci dan terlintas di fikirannya mungkin ada orang meletakkan mancis terbabit.

“Sebelum memasuki bilik ini, saya ternampak seolah-olah satu lembaga (semua badan berwarna hitam dan rambut terpacak) berada dalam bilik, tetapi bila diamati, ia tiada dan tiba-tiba saya terlihat api kecil di dalam bilik.

“Pelik dengan suasana ini, saya segera memberitahu suami tentang kejadian ini dan suami pula tergesa-gesa menerjah pintu bilik lain bagi menyelamatkan lima anak yang lena tidur,” katanya.

Lebih menghairankannya, katanya, gril pintu yang sebelum tidur dikunci kemas menjadi tidak berkunci dan ia memudahkan suaminya, Othman Abdullah, 48 mengangkat anak-anak ke wakaf Skim Rondaan Sukarela (SRS) Hutan Buloh berdekatan rumahnya.

Menurutnya, setelah mengangkat anak, dia melihat api pada bilik itu semakin marak dan mereka bernasib baik kerana menerima bantuan SRS Hutan Buloh yang masih berjaga pada malam raya tersebut.

“Mereka beramai-ramai memanggil bomba, orang kampung dan mengangkat barang-barang seperti perabot walaupun 10 almari hangus, barang kemas dan wang ketering RM5,000 serta peralatan memasak (ketering) hangus,” katanya.

Kejadian kebakaran itu melibatkan sebuah bilik dan ruang tamu rumah terlibat menyebabkan kerugian RM50,000 termasuk harta benda, barang kemas dan perabot.

Dia mengakui, rumah itu baru siap diubahsuai dua tahun lalu dan pendawaian elektrik masih baru pada bilik serta rumah terbabit.

Hiba dengan kejadian malang tersebut, ketujuh-tujuh beranak itu tidak sempat meraikan hari raya 1 Syawal lalu setelah kesemua baju raya yang kemas disimpan dalam almari pada bilik tersebut turut hangus.

“Sebelum tidur, kami sudah susun dengan cantik baju raya di dalam almari. Kami teruja meraikan hari raya ini. Biskut raya semuanya berada di dalam bilik ini turut hangus.

“Padi 1 Syawal lalu, kami tujuh beranak hanya duduk memandang diri masing-masing. Sedih sangat pada pagi raya tahun ini, tetapi kami reda dengan apa yang berlaku,” katanya.

Katanya, semasa kejadian, beberapa jiran turut mengakui seolah-olah berasakan ada kelainan di tempat kejadian.

“Saudara mara, jiran dan penduduk sekitar datang melawat memberi semangat kepada kami dan kami menghargai sokongan mereka,” katanya.

Api berjaya dipadamkan Bomba dan Penyelamat Ketereh dan Kota Bharu dengan bantuan SRS Kedai Melor, malahan sejurus kejadian, Ahli Parlimen Ketereh, Ab Aziz Ab Kadir turut melawat sekali gus menyampaikan sumbangan kepada mangsa.

SMS terakhir jadi kenangan




RANTAU PANJANG – “ Saya akan simpan sms (khidmat pesanan ringkas) ni sampai bila-bila, itu kenangan terakhir dengan arwah,” kata Mohd Saufiallah Ismail,16, sahabat karib arwah Mohd Hisyamudin Abdullah,16, yang maut selepas terlibat dalam kemalangan kira-kira jam 10 malam semalam.

Mohd Saufiallah berkata, pada petang hari kejadian, Mohd Hisyamudin ada menghantar sms mengajaknya beraya di rumahnya di Chabang Tiga Bagus pada malam kejadian.

Menurutnya, kelmarin dia sempat menghantar mesej dengan arwah buat kali terakhir dan kandungan sms berkisar kepada undangan ke rumahnya untuk berhari raya.

“Saya tidak dapat memenuhi undangan arwah memandangkan hari telah malam dan merancang untuk beraya di rumah arwah pagi keesokan harinya serta tidak mengetahui arwah memasak untuk saya serta hendak datang ke rumah selepas dimaklumkan tidak dapat datang ke rumahnya.

“Bagaimanapun pagi tadi saya terima sms daripada rakan memberitahu arwah telah meninggal dunia, sukar untuk saya mempercayainya. Saya ingatkan kawan saya bergurau, tetapi setelah beberapa orang rakan lain turut menghantar sms memberitahu perkara serupa, baru saya percaya,” katanya kepada Sinar Harian di rumah arwah semalam.

Mohd Saufiallah berkata, dia akan menyimpan semua sms yang dihantar pada hari terakhir kelmarin sebagai kenangan.

Menurutnya, dia agak rapat dengan arwah sejak sekolah rendah dan mempunyai banyak kenangan bersama terutamanya ketika sama-sama belajar bagi menghadapi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Arwah seorang yang baik, dan sesuai dijadikan sebagai rakan, sebab itu walaupun berlainan sekolah, kami tetap berhubung.

“Setiap kali pulang cuti, kami selalu bertemu, tetapi sejak beraya, kami tidak pernah berjumpa cuma sempat bertemu bulan Ramadan lalu,” katanya.

Sementara itu, ibu arwah, Naimah Othman, 56, berkata, anak keenamnya itu menunjukkan perubahan pada hari kejadian apabila memasak mihun untuk rakan baiknya Mohd Saufiallah bersama kakak keduanya.

Menurutnya, sebelum kejadian juga, arwah yang mempunyai wajah mirip ayahnya, Abdullah Yaacub,57, yang juga Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau Panjang banyak bergurau dan begitu mesra dengan ayahnya.

“Dalam kalangan lima beradik lelaki daripada kesemua sembilan beradik, arwah memang sering menceriakan suasana, tetapi akhir-akhir ini arwah lebih ceria lagi.

“Sebelum menghembuskan nafas terakhirnya, arwah sempat berpesan kepada kakak keduanya supaya menggantikan puasa dua hari serta membayar fidyah,” katanya.

Naimah berkata, walaupun sedih kehilangan anak bongsunya itu, tetapi dia pasrah dan bersyukur kerana kesemua anak-anaknya dapat berkumpul pada hari raya tahun ini memandangkan Syawal sebelum ini kesemua anak-anaknya tidak dapat berkumpul.

“Kesemua anak-anak dapat berkumpul hari raya tahun ini dan dapat bertemu arwah, sebelum ini tidak semua dapat berkumpul,” katanya.

Mohd Hisyamudin dipercayai terlibat dalam kemalangan di Kampung Parit Air ketika dalam perjalanan ke rumah Mohd Saufiallah di Banggol Kulim selepas rakannya itu memaklumkan kepadanya dia tidak dapat datang beraya di rumahnya malam tersebut.

Mangsa yang menunggang sendirian dipercayai dilanggar dari arah belakang oleh mat rempit di Jalan Parit Air menghembuskan nafas terakhir di sisi ibunya, Naimah Othman di Hospital Daerah Pasir Mas.

Jenazah arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang kira-kira jam 11.15 pagi semalam.-sh

2 mati lemas di Laguna Semerak

PASIR PUTEH - Dua remaja mati lemas manakala tiga lagi
terselamat dalam kejadian pasir jerlus di Laguna Semerak di sini, petang semalam ketika mereka mencari siput laut semasa berkelah di kawasan teluk itu.
Kejadian pasir jerlus kira-kira 3.30 petang itu meragut nyawa Nik Norfatin Izati Nik Mohd Noor, 15, dan Nik Norhidayah Nik Man, 11, yang secara kebetulan berada di kawasan yang sama ketika mencari siput laut.
"Kedua-dua mangsa dipercayai terjerlus dan terperangkap di kawasan curam ketika kejadian itu," kata Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh Kaharuddin Yahya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Kedua-dua mangsa itu yang menetap di Pasir Puteh bagaimanapun tidak mempunyai pertalian persaudaraan. Nik Norfatin Izati adalah murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gaal dan Nik Norhidayah pula ialah pelajar Sekolah Kebangsaan Bukit Awang di Pasir Puteh.
Menurut Kaharuddin, tiga saudara sepupu Nik Norhidayah, yang menyertai acara berkelah bersamanya dan keluarga sempena cuti Hari Raya Aidilfitri, bagaimanapun sempat diselamatkan oleh orang ramai yang turut berada di kawasan tersebut.
Mangsa yang terselamat ialah Norhayati Shamsuddin, 14, dari Pasir Puteh, Mohd Halim Mohd Zahid, 12, dari Johor, dan Nabila Mohd Azmi, 15, dari Bangi, Selangor.
Norhayati dan Mohd Halim diberi rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tengku Anis di sini manakala Nabila pula dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Baharu untuk mendapat rawatan lanjut.
Kaharuddin berkata 14 anggota bomba dan penyelamat serta Unit Skuba dari
Kota Baharu menjumpai mangsa yang terperangkap dalam pasir jerlus itu kira-kira pukul 5 petang semalam tidak jauh dari tempat kejadian.
Dengan kematian tersebut menjadikan mereka mangsa ke-28 yang terkorban di kawasan teluk berkenaan sejak lebih 10 tahun lepas, katanya.
Sementara itu, bapa Nik Norfatin, Nik Mohd Noor Junoh, 39, ketika ditemui di Hospital Tengku Anis di sini hari ini berkata ketika kejadian beliau berada tidak jauh dari tempat anaknya mencari siput.
"Saya sedar (kejadian itu) apabila terdengar suara riuh rendah suara orang menjerit dan setelah mendekatinya rupa-rupanya anak saya hilang ditelan arus," katanya.
Beliau menerima kejadian itu sebagai takdir ketentuan Ilahi. - Bernama

Mercun disangka bom



PORT DICKSON – Seorang wanita bersama dua anaknya berhadapan situasi mencemaskan apabila ekzos kenderaan yang dipandunya dipasang dengan objek dipercayai bom oleh individu tidak bertanggungjawab sekitar 4.30 petang, kelmarin.

Sinar Harian difahamkan objek itu diikat di bahagian ekzos kereta milik mangsa dan disedari selepas keluar dari sebuah bank di Bandar Port Dickson.

Namun dia tetap memandu keretanya ke arah sebuah pusat membasuh kereta sebelum meminta pekerja pusat itu memeriksa objek berkenaan dan mereka mengesyakinya sebagai bom sebelum menghubungi polis di Ibu Pejabat Polis Daerah untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Baljeet Singh berkata, objek yang disangka bom itu diikat pada ekzos kereta milik mangsa dan berada di bawah tangki minyak.

Menurutnya, objek yang berbentuk empat segi itu dibungkus dengan kertas dan plastik.

“Objek berkenaan diletupkan oleh Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan sekitar jam 9.22 malam sejurus dibuka daripada ekzos itu,” katanya.

Baljeet berkata, selepas objek itu diletupkan, Unit Pemusnah Bom mengenal pasti ia adalah mercun yang dibalut dengan kertas.

Katanya, motif kejadian masih dalam siasatan polis dan kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah di talian 06-6472222 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan polis,” katanya.

Remaja maut



PARIT BUNTAR - Seorang remaja maut dalam satu kemalangan yang berlaku di Jalan Perusahaan dua, di sini, apabila tercampak ke dalam longkang selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, mangsa, Mohamad Ikramullah, 18, berasal dari Taman Kerian Jalan Anggerik, di sini, mengikut alamat akhir yang tertera pada MyKad mangsa.

Menurutnya, mangsa dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan lain di sebelah kanan jalan pada ketika kejadian sebelum melanggar kenderaan pacuan empat roda terbabit yang sedang membelok masuk ke kawasan kilang berhampiran.

“Dalam keadaan kelam kabut, motosikal jenis Yamaha RXZ yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan dan mangsa tidak sempat mengelak daripada melanggar bahagian tepi kenderaan pacuan empat roda terbabit.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa telah tercampak ke dalam longkang di hadapan sebuah kilang berhampiran dan seterusnya maut di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Mat Fauzi, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan, mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala akibat hentakan kuat dan pendarahan dalaman termasuk di bahagian telinga dan hidung.

“Mayat mangsa telah dituntut ahli keluarganya untuk disempurnakan dan kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1687,” katanya.

Maklumat diri diguna individu lain



IPOH – Seorang wanita bimbang dengan keselamatan diri apabila mengetahui ada pihak lain yang tidak dikenali telah menggunakan maklumat diri untuk melakukan aktiviti mencuci wang haram.

Ha Chooi Len, 39, berkata, Khamis lalu, kira-kira jam 12.40 tengah hari dia telah mendapat beberapa panggilan telefon.

Menurutnya, setelah beberapa kali menerima panggilan dari nombor yang sama, akhirnya dia mengambil keputusan untuk mengangkat panggilan tersebut.

“Saya menerima panggilan daripada salah seorang pegawai kanan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

“Pegawai berkenaan memaklumkan bahawa terdapat dua individu dari Ipoh telah menggunakan nama dan kad pengenalan saya untuk membuka akaun di Hong Kong pada 28 Disember 2010 bagi aktiviti mencuci wang haram,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.

Chooi Len berkata, individu itu dikenali Yap Choon Hoong dan Lam Hong Heng, malah pegawai berkenaan menyoalnya sama ada mengenali kedua-dua individu tersebut.

“Saya terus memaklumkan bahawa saya memang tidak mengenali mereka,” katanya.

Tambahnya lagi, polis berkenaan juga turut memaklumkan bahawa kedua-dua individu tersebut telah ditangkap polis Hong Kong sejak dua minggu lalu dan kini berada di lokap negara itu.

“Pegawai polis tersebut turut menyatakan bahawa kedua-dua individu berkenaan telah menggunakan akaun salah sebuah bank miliknya.

“Memang sebelum ini saya pernah menggunakan kad kredit dari bank tersebut, namun ia telah ditutup sejak 10 tahun lalu, jadi bagaimana kedua-dua individu berkenaan boleh berbuat demikian,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Pemuda DAP Perak, Cheong Chee Khing, berkata, beliau juga tidak menyangka kejadian seumpama ini boleh berlaku dan setelah disiasat terdapat tiga lagi kes yang sama berlaku.

“Didapati ketiga-tiga kes berkenaan juga hampir sama dan golongan wanita adalah sasaran utama pihak tersebut untuk melakukan penipuan,” katanya.

Beliau berkata, kes seumpama ini adalah sesuatu yang serius dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana ia boleh mengancam lebih ramai mangsa terutama golongan wanita.

“Oleh yang demikian, tindakan drastik harus diambil pihak polis bagi menyelesaikan kes-kes seumpama ini agar ia tidak terus berulang dan laporan polis akan dibuat berhubung kes tersebut,” katanya.

Pengantin lelaki hilangkan diri



LUNAS - Hasrat seorang gadis yang bekerja di sebuah hospital swasta di Bandar Perda untuk mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihannya yang berasal dari Gua Musang, Kelantan terkubur apabila majlis pernikahan mereka dibatalkan pada saat akhir oleh pasangan lelaki.

Gadis berusia 27 tahun yang menetap di Taman Sejahtera, di sini, mengakui mengenali bakal suaminya pada Disember tahun lalu sebelum mereka mengambil keputusan untuk bertunang pada 10 Jun lalu.

“Kami sepatutnya bernikah pada jam 5 petang Jumaat di Masjid Sungai Limau, malah tarikh itu turut ditetapkan oleh tunang saya, tetapi kira-kira jam 6 pagi hari sama saya menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada kakaknya memberitahu rombongan lelaki tidak akan hadir.

“Saya memang terkejut kerana sebelum ini hubungan kami baik dan tiada sebarang masalah, cuma sikapnya agak berubah sejak kebelakangan ini dan saya dapat tahu tunang saya menjalin semula hubungan dengan bekas kekasihnya. Mereka akan bernikah sebaik saja proses penceraian kekasihnya selesai.

“Dalam sms itu juga ada menyebut, tunang saya terpaksa menikahi bekas kekasihnya itu kerana dia (bekas kekasih) telah banyak berkorban dan sanggup bercerai dengan suaminya demi cinta mereka.

“Saya kecewa dengan tindakan tunang saya kerana memutuskan hubungan pada saat akhir kami hendak diijabkabulkan. Semua sanak saudara dan rakan sudah dijemput untuk menghadiri kenduri kahwin kami,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya, kelmarin.

Malu dengan tindakan tunangnya itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Lunas kira-kira jam 5 petang hari sama.

Menurutnya, dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap tunangnya itu kerana memungkiri janji selain mengalami kerugian kira-kira RM20,000 bagi persediaan majlis perkahwinan mereka.

Sementara itu, bapa mangsa, turut kecewa dengan keputusan dibuat oleh bakal menantunya itu.

Katanya, perkahwinan tidak seharusnya dipermainkan kerana ia melibatkan wang yang banyak selain maruah keluarga.

“Kami tunggu sehingga jam 5 petang walaupun dalam SMS kakaknya turut memberitahu adiknya telah melarikan diri dan mematikan talian telefon sejak 30 Ogos lalu.

“Bagaimanapun, segala persiapan telah dibuat dan majlis kenduri perkahwinan anak kami yang dijadualkan esok (semalam) tetap diteruskan cuma diubah menjadi majlis kenduri arwah dan doa selamat.

“Setelah berbincang, kami sekeluarga bersetuju memanjangkan permasalahan ini ke mahkamah,” katanya.

Bapa saudara mangsa berkata, dia telah memaklumkan perkara ini kepada peguam dan akan mengambil tindakan segera atas kerugian yang dialami keluarga perempuan kerana ditipu oleh pasangan lelaki.

“Bakal suami anak saudara saya baru menyerahkan separuh wang hantarannya kepada kami. Jumlah keseluruhan RM6,000 tetapi kami baru menerima RM3,000 sahaja. Saya dimaklumkan bakal suaminya bekerja sebagai seorang pemandu jentera berat di Kuala Lumpur.

“Memang keluarga kami kecewa dan malu dengan apa yang berlaku serta akan mengambil tindakan undang-undang ke atasnya supaya menjadi pengajaran agar jangan sesekali mempermainkan maruah orang lain,” katanya.

Cubaan bunuh diri gagal



IPOH – Cubaan seorang lelaki untuk terjun dari tingkat lima wad 5B Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, gagal apabila diselamatkan polis dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, lelaki tersebut yang memakai baju T berwarna cerah dan berseluar jeans dikatakan mundar mandir di koridor wad terbabit dalam keadaan gelisah.

Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, lelaki berusia 26 tahun itu bukan sahaja malah didapati menangis sebelum bertindak melangkah keluar pagar yang terdapat di koridor berkenaan.

“Ramai orang yang melihat kejadian itu dari bawah bangunan terkejut, malah ada juga yang mengambil kesempatan untuk merakam aksi lelaki terbabit.

“Bagaimanapun, selepas hampir 45 minit, lelaki terbabit berjaya diselamatkan,” katanya ketika ditemui.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Tarmizi Haq berkata, lelaki terbabit bukanlah pesakit HRPB tetapi orang luar yang menyelinap masuk ke dalam hospital dan cuba membunuh diri.

Menurutnya, anggota keselamatan menghadapi sedikit kesulitan ketika kerja-kerja menyelamat apabila lelaki terbabit bertindak menendang mereka beberapa kali.

“Bagaimanapun, selepas hampir setengah jam memujuknya, kami berjaya menghalang lelaki terbabit terjun dari bangunan itu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tarmizi berkata, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan mempunyai masalah dalaman yang serius sehingga memutuskan untuk membunuh diri bagi menyelesaikan masalahnya.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan lelaki terbabit kini ditempatkan di wad mental HRPB dengan kawalan keselamatan yang ketat,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Penguat kuasa Bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat Ipoh, P Samasuvam berkata, pihaknya menerima panggilan daripada anggota polis kira-kira jam 11.12 malam dan tiba di HRPB lima minit kemudian.

Samasuvam berkata, anggotanya bersama polis menasihatkan lelaki berkenaan supaya tidak membunuh diri namun lelaki berkenaan tetap berdegil untuk terjun memandangkan emosinya kurang stabil.

“Kecekapan dua anggota polis mengepung lelaki itu di bahagian kiri dan kanan serta bantuan anggota kami yang menarik lelaki berkenaan ke atas berjaya menyelamatkannya daripada maut,” katanya.

Bau gas jadi petunjuk

BUKIT MERTAJAM – 12 sekeluarga nyaris maut apabila rumah pusaka yang didiami sejak lebih 70 tahun lalu musnah, dalam satu kebakaran di Kampung Baru Alma, dekat sini, pagi kelmarin.

Salah seorang mangsa, Norsiah Ismail, 48, berkata, kejadian berlaku sekitar jam 11 pagi ketika mereka sekeluarga sedang menonton televisyen sementara menanti adiknya pulang membeli ayam untuk dimasak.

Dia berkata, ketika sedang berbual-bual, mereka tiba-tiba menghidu bau gas yang dipercayai datang dari arah peti sejuk berikutan abangnya pernah terbau bau yang sama tidak lama dahulu.

Menurutnya, mereka kemudiannya bertindak mengesan arah bau itu sebelum ternampak api di dalam sebuah bilik, lalu bergegas keluar menyelamatkan diri serta ibu mereka, Rabaayah Ahmad, 76, yang uzur akibat penyakit jantung.

“Kami segera keluar bimbang berlaku letupan. Api kemudiannya marak dengan cepat dan kami tidak sempat untuk menyelamatkan barang-barang lain. Jiran ada juga membantu, tetapi gagal.

“Dua kereta dan sebuah motosikal yang diletakkan di garaj juga tidak sempat diselamatkan,” katanya yang masih bersedih dengan kejadian.

Norsiah berkata, dia dan adik-beradik lain berada di rumah berkenaan sejak Aidilfitri lalu untuk berhari raya bersama ibu berikutan cuti sekolah yang agak panjang dan tidak menyangka tragedi buruk itu akan berlaku.

Meskipun mengalami kerugian kira-kira RM100,000, namun katanya, mereka sekeluarga bersyukur kerana masih dipanjangkan nyawa.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam, Rejab Ahmad berkata, dua jentera, masing-masing dari Balai Bukit Mertajam dan Bandar Perda dengan kekuatan 12 anggota bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan orang awam pada 12.17 tengah hari.

Menurutnya, mereka tiba di lokasi 10 minit kemudian dan mendapati hampir keseluruhan rumah separa papan dua tingkat itu sudah terbakar.

Beliau berkata, pihaknya tidak mengalami sebarang masalah untuk memadam kebakaran.

Punca sebenar dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, difahamkan Ketua Umno Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkesempatan bertemu mangsa kebakaran petang kejadian untuk menyampaikan sumbangan kilat berupa makanan dan peralatan.

Di samping itu, Pemuda Umno bahagian membawa enam kanak-kanak yang terlibat membeli peralatan sekolah dan Isnin ini, mereka akan berbincang dengan GiatMara untuk membina semula rumah yang musnah itu.-SH

Isteri bekas tentera kena samun



SUNGAI PETANI – Hasrat seorang isteri untuk menghantar kuih bagi menambah pendapatan keluarga tidak kesampaian apabila dia diserang dua lelaki ketika menunggang motosikal dalam perjalanan ke kafe Hospital Sultan Abdul Halim.

Mangsa, Asiah Jamaludin, 50, dari Taman Keladi berkata, ketika kejadian dia hanya berbaki kira-kira 500 meter untuk sampai ke tempat yang dituju bagi menghantar kuih yang dijadikan rutin setiap pagi sejak lima bulan lalu.

“Namun pada hari kejadian, pada mulanya saya diekori rapat oleh dua lelaki yang menggunakan motosikal dalam keadaan sunyi dan gelap berhampiran Pejabat Kastam,” katanya.

Menurut Asiah, disebabkan takut dan curiga diekori, dia sempat menoleh ke belakang sebelum memecut motosikalnya.

Katanya, tindakan itu bagaimanapun menyebabkan kedua-dua lelaki terbabit mengejar lalu menendang motosikalnya menyebabkan dia terjatuh.

“Selepas terjatuh, saya disamun dan seketika selepas itu tidak menyedari apa-apa kerana pengsan. Sedar-sedar sahaja sudah ada dalam wad hospital,” katanya.

Difahamkan, ketika kejadian tiada saksi, namun kehadiran pengawal keselamatan hospital pada jam 6.30 pagi menyelamatkan Asiah.

“Pengawal keselamatan jumpa saya di tengah jalan lalu menghubungi ambulans dan dibawa ke hospital,” katanya.

Asiah berkata, suspek melarikan dua telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM10 termasuk buku simpanan bank dan kad kredit.

“Bagaimanapun, kad pengenalan dan lesen memandu dihantar oleh pemotong rumput yang menjumpai dokumen itu ketika sedang melakukan tugas di Taman Peruda,” katanya.

Menurutnya, akibat kejadian yang menimpanya dua bulan lalu itu, dia dimasukkan ke hospital selama 11 hari akibat kaki kiri patah selain terpaksa menggunakan alat penyokong leher.

“Bagaimanapun, kini keadaan saya beransur pulih namun masih perlu mendapatkan rawatan ke hospital mengikut temu janji yang ditetapkan,” katanya.

Dia meminta orang ramai supaya berhati-hati menggunakan jalan tertentu yang berpotensi menjadi lokasi jenayah supaya kejadian sama tidak berulang.

Selain itu, isteri kepada bekas tentera, Lans Koperal Adnan Ismail, 48, itu menerima kunjungan jawatankuasa dan ahli Persatuan Bekas Tentera Malaysia Cawangan Sungai Petani baru-baru ini yang turut menyampaikan sedikit sumbangan sebagai tanda prihatin.

Arwah teruja main bunga api



SANGLANG - “Tak sangka permintaan arwah untuk beli bunga api malam Khamis lalu adalah yang terakhir sebelum menemui ajal selepas ditemui lemas petang kelmarin,” itu luahan Jasmi Ludin, 39, bapa kepada mangsa lemas, Syabil Syakirin, 5.

Mangsa dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam terusan di Kampung Masjid, Kuala Sanglang, di sini yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya di Taman Seri Sanglang.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang kelmarin, mangsa dikatakan keluar sendirian dari rumahnya di sini, untuk membeli bunga api secara senyap-senyap selepas permintaannya ditolak bapanya pada malam sebelumnya.

Jasmi berkata, anaknya begitu teruja bermain bunga api sepanjang Ramadan lalu dan arwah memintanya membeli bunga api selepas stok yang dibeli sebelum itu sudah habis pada malam berkenaan.

Bagaimanapun permintaan terakhir anaknya itu gagal ditunaikan dan menyebabkan anaknya bertindak pergi sendiri ke kedai berhampiran terusan ituuntuk membeli bunga api.

“Saya tidak sangka dia akan keluar senyap-senyap menunggang basikal kerana sebelum itu dia hanya bermain di luar rumah dan hanya disedari kakaknya, Nursyifaa, 8, selepas tidak nampak kelibat adiknya itu di luar rumah.

“Kami mencari-cari di sekitar rumah namun gagal ditemui sehinggalah menerima panggilan telefon dari seorang penduduk kampung yang menemui anak saya yang lemas di terusan berkenaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Bagaimanapun sebaik tiba di tempat kejadian, anaknya sudah dibawa ke klinik berhampiran. Namun, doktor mengarahkan arwah dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar untuk tindakan susulan namun, mangsa meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Jasmi berkata, walaupun sedih atas kehilangan anak bongsu daripada dua beradik itu namun, dia dan keluarga menerima ketentuan Ilahi di atas kejadian yang berlaku.

“Saya masih teringat bagaimana reaksi arwah menjelang Syawal tahun ini kerana dia sering bermain bunga api setiap malam sehingga membawa bunga api berkenaan tidur bersamanya.

“Malah kelincahan dan keaktifannya juga akan diingati kami sekeluarga,” katanya.

Saksi kejadian, Kamarudin Othman, 48, berkata, dia yang ketika itu dalam perjalanan ke kedai runcit berhampiran terkejut selepas menemui sebuah basikal di atas jambatan terbabit.

“Saya ternampak basikal dan sebelah kasut kanak-kanak di atas jambatan itu dan kemudian ternampak sebelah kasut lagi terapung dalam terusan itu sekali gus merasakan ada sesuatu yang buruk berlaku di situ.

“Saya segera menghubungi abang saya, Zakaria, 54, untuk membantu, kemudian abang datang menyelam ke dasar sungai dan menemui seorang kanak-kanak lemas yang sudah lembik dan tidak bernafas,” katanya.

Kamarudin berkata, walaupun sebelum itu mereka cuba beberapa kali melakukan pertolongan cemas namun, ia gagal membantu dan terus meminta bantuan penduduk kampung lain membawa mangsa ke hospital.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Sanglang selepas solat Isyak, kelmarin.-SH

Pertemuan pertama bawa padah



GEMAS – Sepasang suami isteri terkejut dan tidak mampu menyingkirkan rasa kecewa sebaik sahaja mengetahui anak mereka yang berusia 22 tahun dan dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) atau terencat akal disahkan mengandung kira-kira lapan bulan.

Sinar Harian difahamkan, susulan kejadian itu, pasangan suami isteri berkenaan sepakat untuk membuat laporan polis di Balai Polis Gemas, 1 September lalu.

Menurut sumber yang namanya enggan dikenali, pada 31 Disember 2010, mangsa ketika itu sedang menaiki sebuah motosikal di Gemas ditahan oleh seorang lelaki yang ingin berkenalan dengannya.

“Mangsa sempat memberikan nombor telefonnya dan pada sebelah malamnya mangsa menerima panggilan daripada suspek yang ingin mengajaknya keluar. Mangsa mendakwa dijemput suspek menaiki sebuah kereta Proton Satria.

“Mangsa dibawa ke pekan Gemencheh dan mendakwa berasa pening serta tidak sedarkan diri selepas diberi minuman,” katanya.

Sumber berkata, keesokan harinya, mangsa yang dihantar pulang ke rumahnya terperanjat apabila mendapati terdapat kesan darah di seluar dalamnya. Bagaimanapun, dia menyangka, itu hanya tanda ‘datang bulan’.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Suprintendan Wooi Kooi Cheang berkata, pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, pihak polis sudah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 376, Kanun Keseksaan di mana jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum selama 30 tahun dan sebatan.

Sehubungan itu, Kooi Cheang meminta mangsa rogol supaya membuat laporan polis di balai polis terdekat secepat mungkin bagi mengelakkan mereka daripada terus menjadi mangsa.-SH

Hasrat pulang ke Sabah berkecai



ALOR GAJAH - Hasrat seorang lelaki pulang ke kampung halamannya di Papar, Sabah, untuk melawat ibu yang sakit tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di Jalan Garing, Durian Tunggal, dekat sini, malam Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, mangsa, Mohd Ariff Salam (gambar), 36, dalam perjalanan pulang dari pekan Durian Tunggal selepas membeli barang, merempuh sebuah kereta Perodua Kancil yang membuat pusingan U.

Mangsa yang bertugas sebagai juruteknik bahagian perikanan di Institut Skilltech di sini, tidak menyedari kereta terbabit yang tiba-tiba membuat pusingan U dan gagal mengawal motosikalnya lalu merempuhnya.

Rakan arwah yang juga Pegawai Operasi Skilltech, Amir Muhamad berkata, malam sebelum kejadian Rabu lalu, Mohd Ariff ada menyatakan hasratnya pulang ke Sabah kerana sudah hampir 10 tahun tidak bertemu keluarga.

“Disebabkan hari raya ini dia tidak dapat pulang, dia nyatakan keinginannya untuk pulang juga selepas tamat waktu bekerja, malah arwah seperti berkeras untuk tetap pulang walau apa pun terjadi.

“Tiba-tiba sahaja arwah bersungguh-sungguh mahu pulang dan sudah mendapat keizinan pihak institut,” katanya.

Menurutnya, arwah memaklumkan ibunya sakit dan mahu berjumpa kerana bimbang tidak sempat bertemu sekiranya berlaku apa-apa kepada ibunya sebelum kepulangannya namun hajatnya tidak sempat tertunai kerana dia dijemput lebih awal.

Amir berkata, Mohd Ariff yang bertugas di institut itu sejak dua tahun lalu bersifat periang dan menjadikannya sebagai tempat mengadu jika ada masalah dan tidak pernah menyusahkan rakan sekerjanya sepanjang bertugas.

Sementara itu, Pegawai Pentadbiran Skilltech, Zalinawati Osman berkata, sejak arwah mula berkhidmat di institut itu, dia tidak pernah pulang ke kampung halaman dan ada rakan sekerja yang minta dia pulang bertemu keluarga namun arwah enggan.

“Kami pernah paksa dia pulang kerana jelas kelihatan kerinduannya kepada keluarga namun ada kekangan membuatkan hasratnya terbatal hinggalah hari raya tahun ini, dia bersungguh-sungguh mahu pulang namun hanya jasadnya ke sana,” katanya.-SH

Kurang kefahaman punca mudah tertipu jenayah siber


SUBANG JAYA 4 Sept. - Kurangnya kefahaman serta kesedaran mengenai keselamatan penggunaan komputer dan telefon bimbit telah menyebabkan ramai rakyat di negara ini ditipu oleh sindiket jenayah siber.
Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Daerah Subang Jaya, Inspektor Ahmad Faizal Aminuddin berkata jenayah siber yang kerap dilakukan antaranya adalah melibatkan penggunaan perbankan melalui internet, VoIP (Voice Over Internet Protocol) dan e-Perdagangan.
"Penggunaan komputer dan telefon bimbit yang semakin canggih telah memudahkan operasi sindiket untuk menipu orang ramai,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.
Ahmad Faizal berkata, ramai yang menjadi mangsa jenayah siber setelah mereka secara tidak sedar telah mendedahkan maklumat perbankan mereka kepada ahli sindiket, yang menyebabkan wang simpanan mereka telah dipindahkan kepada pihak ketiga.
"Di Subang Jaya sendiri, jenayah siber didapati meningkat lebih 20 peratus sejak tahun lepas berbanding tahun sebelumnya dan kawasan ini juga mencatat jumlah tangkapan suspek yang paling banyak," katanya.
“Oleh itu, kini kita boleh lihat jenayah yang berlaku kurang lagi melibatkan jenayah berbentuk kekerasan malahan mereka lebih cenderung untuk melakukan jenayah komersial dimana ia mudah bagi mereka untuk mengelakkan diri daripada dikesan oleh pihak polis oleh kerana mereka ini melakukan jenayah ini secara maya atau on-line," katanya.
Beliau berkata selain itu, ramai pengguna internet turut ditipu semasa membeli secara talian terus yang "sangat berisiko dan tidak dijamin kerana individu yang berminat perlu membayar terlebih dahulu sebelum mendapat produk mereka dan kebanyakan mereka tidak menerima produk yang ditempah."
“Justeru itu, undang-undang sedia ada perlu dikaji semula dan agensi-agensi berkaitan juga perlu bekerjasama bagi menangani jenayah komersial terutamanya melibatkan jenayah siber di negara ini,” katanya.
Menurut statistik polis, jumlah kes dibuka pada 2010 ialah 1,050 sementara pada 2011 sehingga Julai tahun ini sahaja sebanyak 500 kes dengan jumlah tangkapan pada 2010 ialah 300 sementara tahun ini sehingga Julai sebanyak 80 kes.
Jumlah kes yang telah berjaya diselesaikan pada 2010 ialah 800 sementara
pada tahun 2011 hingga Julai ialah 200 kes. - Bernama

Ops Sikap Ke-24: Sikap pemanduan masih tidak berubah



Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my
2011/09/04

 KENDERAAN mula bergerak perlahan arah selatan dari Seberang Jaya ke Juru ekoran orang ramai pulang dari kampung  masing-masing ke ibu kota.
KENDERAAN mula bergerak perlahan arah selatan dari Seberang Jaya ke Juru ekoran orang ramai pulang dari kampung masing-masing ke ibu kota.
184 maut tempoh 10 hari Ops Sikap Ke-24 bukti pengguna tak budayakan keselamatan 

KUALA LUMPUR: Statistik kematian dalam Ops Sikap ke-24 membuktikan realiti sebenar sikap pengguna jalan raya di negara ini yang masih tidak berubah kepada cara pemanduan berhemah walaupun pelbagai pendekatan dilaksanakan bagi menangani kemalangan.
Sehingga kelmarin, 18 lagi kematian dicatatkan di seluruh negara, menjadikan keseluruhan 184 nyawa melayang hanya dalam tempoh 10 hari Ops Sikap Ke-24 dilancarkan sempena Aidilfitri.
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata usaha mengurangkan kemalangan jalan raya dijalankan pihak berkuasa tidak dapat mengatasi masalah itu selagi pengguna belum bersedia membudayakan keselamatan dan menghargai nyawa mereka. 

“Ops Sikap tak gagal, namun perlu diteliti keseluruhannya terutama sikap pengguna yang enggan berubah ketika berada di jalan raya. Mungkin pada musim perayaan akan datang, pihak berkuasa boleh hentikan Ops Sikap dalam tempoh setahun, beri peluang kepada pengguna melihat sendiri kesan sekiranya ia tidak dilaksanakan. 

“Saya percaya sekiranya Ops Sikap dihentikan, mungkin jumlah kemalangan meningkat dua atau tiga kali ganda sekali gus memberi gambaran jelas kepada pengguna supaya menghargai nyawa mereka dan pengorbanan anggota keselamatan yang mengorbankan cuti raya untuk memastikan kebanyakan daripada kita selamat,” katanya. 

Katanya, pihak berkuasa juga perlu memberi perhatian terhadap masalah jalan raya kerana sebahagian kemalangan berlaku akibat keadaan jalan tidak diselenggara dengan baik hingga boleh mendatangkan risiko kemalangan kepada pengguna. 

Penunggang motosikal maut

KUANTAN 3 Sept. - Seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah bas di persimpangan lampu isyarat Jalan Bukit Ubi di sini, hari ini.
Mangsa, Hoi Chien Teck, 34, dari Kampung Sungai Soi di sini maut serta merta dalam kejadian pada pukul 11.15 pagi itu akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan.
Menurut Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Mohd. Yusoff, mangsa cedera parah akibat terperosok di bahagian bawah bas selepas dirempuh.
"Sebelum kejadian, mangsa dikatakan baru selesai membaiki motosikalnya di sebuah bengkel berhampiran sebelum menghala ke Jalan Gambut di sini," katanya ketika dihubungi di sini.

Lelaki diburu rogol gadis lembam



TAMPIN 3 Sept. - Polis memburu seorang lelaki kerana disyaki menjadikan seorang gadis lembam tempat melepaskan nafsu serakahnya sehingga mengakibatkan mangsa mengandung lapan bulan.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Wooi Kooi Cheang berkata, kejadian itu disedari keluarga mangsa yang melihat perubahan fizikal gadis berusia 22 tahun tersebut, baru-baru ini.
Katanya, setelah didesak keluarganya, mangsa memberitahu dia dirogol seorang lelaki berusia 20-an hingga 30-an Disember tahun lalu.
"Mangsa telah dibawa ke klinik sebelum doktor mengesahkannya mengandung. Oleh itu, keluarga mangsa membuat laporan di Balai Polis Gemas di sini, Khamis lalu," katanya di sini hari ini.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa yang juga cacat di kakinya dirogol setelah berkenalan dengan seorang lelaki tahun lalu.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Pesara mati ditikam dianggap hero



KUALA LUMPUR 3 Sept. – Keluarga pesara tentera, Shariff Din, 47, yang mati ditikam di Projek Perumahan Rakyat (PPR), Taman Wahyu sehari sebelum Aidilfitri lalu menganggapnya sebagai hero di atas usahanya cuba membanteras jenayah walaupun tindakan itu menyebabkan nyawanya melayang.
Isteri mangsa, Fauziah Ahmad Alwi, 50, berkata, dia serta empat anaknya reda dengan pemergian arwah walaupun kejadian itu menyebabkan hajat mereka untuk pulang ke kampung bagi menyambut hari raya tidak kesampaian.
Menurutnya, mereka sekeluarga merancang untuk pulang ke kampung di Tanjung Piandang, Perak pada hari raya pertama dan semua persiapan sudah disediakan oleh arwah suaminya.
Bagaimanapun menurutnya, hajat itu tidak kesampaian, malah lebih menyedihkan apabila dia dan keluarga hanya dapat membawa jenazah Shariff untuk dikebumikan di kampungnya.
“Hari raya kali ini tidak bermakna ekoran pemergian suami. Saya sedih apabila mengenang nasib suami yang ditikam tanpa belas kasihan oleh penjenayah sebanyak tiga kali di hadapan mata sendiri pada jarak kurang lima meter.
“Bagaimanapun, saya reda dengan pemergiannya dan menganggap arwah sebagai hero kerana bertindak membanteras aktiviti jenayah di kawasan perumahan ini,” katanya di kediamannya di Taman Wahyu hari ini.

14 buah rumah dilanda ribut ketika sambutan Aidilfitri


SEORANG penduduk, Fatimah Musa bersama anaknya, Mohd. Nazor Abd. Bakar mengemas rumahnya akibat ribut di Kampung Pulau Kerengga, Marang, Terengganu, semalam.



MARANG 3 Sept. - Kegembiraan menyambut Hari Raya Aidilfitri bagi 14 buah keluarga di Kampung Pulau Kerengga dekat sini, terjejas apabila rumah mereka rosak dipukul ribut, petang semalam.
Kejadian kira-kira pukul 5 petang itu menyebabkan tiga daripada rumah berkenaan rosak teruk dan terpaksa menanggung kerugian RM15,000.
Menurut penduduk, kejadian berlaku dengan pantas apabila hujan lebat yang turun hanya beberapa minit secara tiba-tiba membawa angin kencang sehingga menerbangkan atap rumah serta memusnahkan beberapa barangan dan perhiasan di dalam rumah penduduk.
Seorang penduduk yang ditemui, Ramli Bakar, 53, berkata, ketika kejadian, semua ahli keluarganya berada di dalam rumah dan menyaksikan angin menerbangkan atap rumah mereka.
Katanya, ketika itu dia hanya mampu melaungkan azan dan berdoa agar ahli keluarga selamat.
"Sebelum kejadian saya berada di luar rumah dan ketika itu hanya hujan renyai-renyai sahaja namun beberapa minit kemudian menjadi semakin lebat.
"Saya lihat angin berpusing-pusing sebelum menerbangkan atap di bahagian depan rumah," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Seorang lagi mangsa ribut, Usman Umar, 50, berkata, dia tidak menyangka hujan renyai-renyai pada petang itu membawa ribut dan menyebabkan bumbung rumahnya musnah.
"Pada mulanya saya ingat hanya angin biasa sahaja namun makin lama makin kuat sehingga menerbangkan atap rumah.
"Ketika itu saya minta anak- anak saya lari ke rumah ibu saudara mereka yang berada berhampiran rumah untuk menyelamatkan diri," jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri, Datuk Yahya Khatib telah mengarahkan pihak berwajib agar membuat penilaian serta mengemukakan laporan mengenai kejadian itu.
"Kita akan memberikan bantuan kepada mangsa terlibat bagi meringankan beban mereka untuk membaiki kerosakan," ujarnya.

28 lagi kematian dicatatkan



KUALA LUMPUR 3 Sept. - Ops Sikap Ke-24 yang dilancarkan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini mencatatkan jumlah kematian tertinggi pada hari ke-11 semalam, dengan 28 lagi kematian.
Angka itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian pengguna jalan raya dalam Ops Sikap Ke-24 meningkat kepada 212 orang.
Pengguna motosikal masih mencatat jumlah kematian tertinggi dengan 16 kes selain lima pengguna kereta, masing-masing tiga van dan pejalan kaki serta satu basikal.
Menurut statistik yang dikeluarkan laman web rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah kemalangan masih menunjukkan peningkatan apabila mencatatkan 1,211 kes dengan 25 daripadanya membabitkan kemalangan maut.
Selain peningkatan jumlah kemalangan, bilangan saman yang dikeluarkan kepada pesalah lalu lintas juga bertambah kepada 10,682 saman.
Menurut kenyataan itu lagi, kes kemalangan paling banyak berlaku di jalan bandaran iaitu 402 kes, diikuti jalan Persekutuan (351), jalan negeri (273), lebuh raya (94) dan lain-lain jalan (91).
Ops Sikap Ke-24 dilancarkan pada 22 Ogos lalu sempena Hari Raya Aidilfitri dan akan berakhir pada Selasa depan.

Budak ditemui mati lemas


JASMI Ludin bersama anaknya, Nur Syafaa sedih melihat gambar kenangan Syabil Syakirin Jasmi di Kampung Masjid, Jerlun, Kedah, kelmarin. - MINGGUAN/KAMAL BASIR



JERLUN 3 Sept. - Kemeriahan suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri sebuah keluarga dari Taman Sri Sanglang di sini bertukar menjadi duka apabila anak bongsu mereka maut selepas terjatuh ke dalam sungai di Kampung Masjid, Kuala Sanglang di sini, semalam.
Mangsa, Syabil Syakirin Jasmi, 5, dipercayai gagal mengawal basikal yang ditunggangnya sewaktu berada di atas jambatan kecil di kampung itu yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah mereka sebelum terjatuh ke dalam sungai pada pukul 2.30 petang.
Bapa mangsa, Jasmi Ludin, 39, berkata, anggota keluarganya tidak menyedari Syabil Syakirin keluar dari rumah sehingga dia dimaklumkan oleh anak sulungnya, Nur Syafaa, 8, tentang kehilangan anaknya itu.
Menurutnya, dia kemudian mencari Syabil Syakirin di sekitar kawasan berhampiran sebelum menerima panggilan telefon dari seorang rakan yang memberitahu ternampak selipar dan basikal dipercayai milik anaknya di atas jambatan tersebut.
"Sewaktu saya bergegas ke sana, Syabil Syakirin sudah pun dikejarkan ke klinik berhampiran oleh orang kampung sebelum dibawa ke Hospital Tunku Fauziah (HTF) Kangar untuk rawatan.
"Saya diberitahu dia meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke klinik," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Menurut Jasmi yang merupakan seorang peniaga ikan, arwah anaknya itu sering bermain di kawasan rumah selain kerap berbasikal ke setor simpanan ikannya berhampiran jambatan berkenaan yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya.
"Saya sedih kehilangan Syabil lebih-lebih lagi ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri masih meriah, namun reda kerana ia adalah ketentuan Ilahi," ujarnya sayu.
Sementara itu, saksi, Kamarudin Othman, 48, memberitahu, dia tergerak hati untuk mengetahui dengan lebih lanjut selepas menemui sebuah basikal tanpa pemilik di atas jambatan berkenaan.
Katanya, dia ternampak selipar kanak-kanak di dalam sungai lalu menghubungi abangnya, Zakaria, 54, untuk membantu menyelam ke dasar sungai itu sehingga menemui anak rakannya.

Rumah, kereta, motosikal musnah

BUKIT MERTAJAM 3 Sept. – Sebuah keluarga terpaksa melupakan kemeriahan hari raya apabila rumah mereka di Kampung Baru Alma dekat sini musnah dalam satu kebakaran pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, rumah pusaka separa papan dua tingkat yang didiami sejak lebih 70 tahun itu musnah sama sekali mengakibatkan penghuninya tinggal sehelai sepinggang.
Menurut anak mangsa, Norsiah Ismail, 48, ketika kejadian mereka sekeluarga sedang berehat di ruang tamu sambil menonton televisyen apabila terhidu bau gas yang kuat dipercayai daripada peti ais.
“Kami 12 orang yang berada di dalam rumah terus berlari keluar sambil membawa emak, Rabaayah Ahmad, 76, yang kurang sihat akibat mengalami masalah jantung kerana bimbang sesuatu yang buruk berlaku.
“Salah seorang adik saya kemudiannya menelefon bomba, tetapi belum sempat bomba sampai saya ternampak asap di bahagian dapur sebelum api mula marak membakar rumah pusaka ini,” katanya yang pulang beraya ke rumah itu.

Buruh asing maut nahas

KEMAMAN 3 Sept. - Seorang buruh ladang kelapa sawit warga Indonesia maut setelah dirempuh oleh sebuah kereta ketika melintas jalan, awal pagi semalam.
Kejadian itu berlaku di kilometer 152 Jalan Jerangau-Jabor dekat Bandar Ceneh Baru kira-kira pukul 7.00 pagi ketika mangsa dikatakan sedang bekerja di kawasan Ladang Rakyat Paloh Jenang.
Mangsa yang dikenali sebagai Nasir Riduan, 31, meninggal dunia di tempat kejadian ekoran kecederaan parah di kepala dan badan selepas diseret sejauh hampir 120 meter dari tempat mangsa dirempuh oleh kereta itu.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Supritendan Abdullah Sani Salat berkata, siasatan awal mendapati mangsa tidak menyedari kehadiran kereta Proton Iswara dari arah Kuala Terengganu ketika cuba melintas jalan.
Katanya, kejadian itu disedari oleh rakan mangsa yang kebetulan berada di situ.
"Polis percaya mangsa dirempuh dengan kuat oleh kereta itu menyebabkan mangsa terlambung dan terjatuh sebelum diseret sejauh 120 meter mengakibatkan kecederaan parah di kepala serta badan," katanya.
Menurut Abdullah Sani, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Kemaman (HK) untuk bedah siasat.
Katanya, mangsa yang dipercayai berasal dari Lombok, Indonesia dikatakan datang ke negara ini tahun lalu untuk bekerja dan tinggal di rumah kongsi ladang berkenaan.
Dalam pada itu, Abdullah Sani berkata, pemandu kereta berkenaan, Mohd. Rozili Abd. Rahman, 37, bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan manakala isteri dan seorang anak mereka tidak cedera.
"Ketika kejadian, keluarga berkenaan yang berasal dari Lot A, 42 Kampung Penanti, Beserah, Kuantan dikatakan dalam perjalanan dari Kuala Terengganu untuk pulang ke rumah mereka," katanya.

Penjaga kebun ditemui mati

HULU SELANGOR 3 Sept. - Mayat seorang pekerja kebun ditemui dalam keadaan terlentang di dalam sungai berhampiran jambatan gantung Ulu Yam Lama, di sini hari ini.
Mangsa, Lam Kong, 46, ditemui pukul 1 petang oleh orang awam dengan kesan kecederaan di bahagian mulut dan belakang kepala.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Norel Azmi Affandi Yahya berkata, muka dan kedua-dua belah tangan mangsa bertukar hitam akibat berada di dalam air terlalu lama.
"Pihak forensik mengesahkan mangsa telah mati sejak 36 jam yang lalu. Mangsa yang bekerja sebagai tukang kebun, menetap seorang diri di sebuah pondok di situ," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, unit anjing pengesan (K9) telah dihantar ke kawasan kebun berkenaan bagi membantu siasatan.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Maut selepas 20 jam koma

ALOR GAJAH: Selepas lebih 20 jam bertarung nyawa, seorang juruteknik yang parah dalam kemalangan akhirnya menemui ajal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka, di sini, malam kelmarin.
Mohd Ariff Salam, 36, yang tidak sedarkan diri kerana cedera parah di kepala, meninggal dunia jam 7.35 malam.

Mohd Ariff yang menunggang motosikal jenis Suzuki seorang diri terbabit dalam kemalangan dengan sebuah Perodua Kancil yang tiba-tiba membuat pusingan U di Jalan Garing, Durian Tunggal, jam 11.30 malam Khamis lalu.

Berikutan itu, juruteknik terbabit melambung sebelum terjatuh di atas jalan dan cedera parah di kepala.

Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Abd Rahman Jid berkata, mangsa dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan.

“Bagaimanapun, lelaki itu mati 20 jam selepas kejadian kerana parah. Pemandu Perodua Kancil iaitu wanita berusia lingkungan 30-an tidak cedera.


“Polis masih menjalankan siasatan lanjut dan meminta kerjasama orang ramai yang ada maklumat supaya tampil membantu,” katanya di sini, semalam.

Ajal selepas baiki motor

KUANTAN: Seorang penunggang motosikal yang baru selesai membaiki motosikalnya di sebuah kedai berdekatan, maut selepas dirempuh sebuah bas di persimpangan lampu isyarat Jalan Bukit Ubi, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 11.15 pagi, Hoi Chien Teck, 34, dari Kampung Sungai Soi, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan selepas terperosok di bawah bas.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa baru selesai membaiki motosikalnya di bengkel berhampiran tempat kejadian sebelum meneruskan perjalanan menuju ke Jalan Gambut, di sini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusof, berkata mangsa kemudian cuba melintas jalan di depannya tanpa menyedari kehadiran bas yang dalam perjalanan dari Maran ke Terminal Makmur.

Katanya, ketika itu lampu isyarat di laluan bas membawa 20 penumpang berkenaan hijau, menyebabkan pemandunya meneruskan perjalanan tanpa menyangka mangsa akan melintas dengan motosikalnya.

“Akibat rempuhan itu, mangsa yang menunggang sendirian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini untuk bedah siasat,” katanya.


Mohd Jasmani berkata, pemandu dan penumpang bas berkenaan tidak cedera dan polis sudah merekodkan keterangan pemandu berusia 59 tahun itu untuk membantu siasatan.

Pasangan nyaris maut ketika berasmara


KERETA dinaiki Qiao Hou dan kekasihnya merempuh penghadang tempat letak kereta di sebuah bangunan di Changsa baru-baru ini.

CHANGSA – Satu pasangan yang berasmara dalam sebuah kereta nyaris maut kerana mereka tidak mematikan enjin kereta, lapor sebuah akhbar semalam.
Pasangan itu pada mulanya berasmara dalam kereta yang diletakkan di tempat letak kereta di atas bumbung sebuah bangunan di sini, selatan China baru-baru ini.
Mereka tidak mematikan enjin kerana mahu menikmati hawa dingin ketika berasmara.
Namun, si lelaki, Qiao Hou tertolak gear menyebabkan kereta berkenaan mengundur dan merempuh penghadang tempat letak kereta.
Kereta itu tidak terjatuh sebaliknya bahagian belakang kenderaan tersebut tergantung pada ketinggian 18.28 meter.
Kekasih Hou menjerit menyebabkan beberapa orang bergegas membantu mereka keluar dari kenderaan itu.
– Agensi