Search This Blog

Saturday, September 3, 2011

Jurukamera BernamaTV Maut, Wartawan TV3 Cedera Akibat Terkena Peluru Sesat Di Somalia



Jurukamera Bernama TV Noramfaizol Mohd Nor, 41, meninggal dunia selepas terkena tembakan curi ketika dalam perjalanan ke sebuah Pusat Komersil di Mogadishu, Somalia untuk menghantar berita kira-kira pukul 11.07 malam. Beliau mengikuti Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia dan BAKTI ke Somalia yang berlepas pada 28 Ogos lalu. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor, 39, maut akibat terkena tembakan peluru sesat semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Somalia, petang Jumaat waktu tempatan.
Manakala wartawan TV3 Aji Saregar Mazlan cedera ringan di bahu kanan terkena serpihan peluru, menurut wartawan Astro Awani Tan Su Lin yang membuat liputan langsung di Astro malam ini.
Beliau berkata kejadian itu berlaku pada pukul 5.40 petang waktu tempatan (Malaysia lima jam lebih awal dari Somalia) semasa mereka seramai enam orang sedang menaiki pacuan empat roda dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dengan diiringi tentera kerajaan Somalia.
"Tiba-tiba saya terdengar dua bunyi kuat dari sebelah kanan dan ada bau asap. Saya tidak menyangka kenderaan kami terkena tembakan apabila menoleh kebelakang, Aji dalam kesakitan dan Faizul dalam keadaan pucat," katanya.
Kereta pacuan empat roda yang ditembak sehingga mengorbankan Noramfaizol Mohd Nor dan mencederakan Aji Siregar Mazlan.
Sementara itu, wartawan BernamaTV Khairulanuar Yahaya yang turut serta dalam misi itu berkata tembakan peluru sesat itu mengenai bahu Noramfaizul dan menembusi parunya, dan Noramfaizul meninggal dunia semasa menerima rawatan pada pukul 6.10 petang waktu tempatan.
Noramfaizul meninggalkan seorang isteri Norazrina Jaafar, 37, dan dua orang anak lelaki Mohd Irfan, 8, dan Mohd Naufal, 3.
Sementara itu, Norazrina, yang sedang dalam perjalanan balik dari Johor ke rumah mertuanya di Serdang Raya dekat sini, melahirkan rasa terkejut dan sedih dengan pemergian Allahyarham.
Norazrina berkata sebelum suaminya berlepas ke Somalia, Allahyarham telah berpesan supaya menjaga diri dan anak mereka dengan baik.
"Dia turut berpesan dia pergi kerana berkhidmat untuk negara, dan jangan bimbang dengan keselamatan dirinya," kata eksekutif perhubungan awam sebuah agensi kerajaan di sini.
Dalam pada itu, Tan berkata mereka pulang ke tempat penginapan untuk berkemas kerana dijangka pulang ke Malaysia pada pukul 5.30 pagi waktu tempatan Sabtu.
Beliau berkata ketua misi Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, yang juga Presiden Kelab Putera 1Malaysia, sedang berbincang dengan pihak pengurusan untuk membawa balik jenazah Allahyarham bersama rombongan misi Sabtu.
Misi tersebut berlepas pada 28 Ogos dari Kuala Lumpur dalam misi membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di Somalia. - BERNAMA, MSTAR

Warga emas trauma disamun



TAMPIN – Seorang warga emas cedera parah di bahagian muka serta kepala dan kini ditempatkan di Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan lanjut susulan disamun dan dipukul dengan topi keledar pada kejadian Khamis lalu.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa, seorang ibu tunggal berusia, 73, yang tinggal seorang diri dipercayai didatangi seorang lelaki Melayu, berbadan kecil dan berkulit gelap di kediamannya di Kampung Sungai Dua, Gemencheh, di sini, petang kelmarin.

Menurut Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang, mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala, bengkak di dahi, dan patah tulang rahang kiri.

“Dalam kejadian tersebut, suspek yang masuk ke pekarangan kediaman mangsa dikatakan hanya memperkenalkan diri kepada mangsa dan sebaik sahaja mangsa membuka pintu, mangsa dipukul dengan topi keledar.

“Suspek berjaya meragut rantai di leher mangsa dan melarikan barang kemas yang terdapat di bilik mangsa serta beg tangan yang mana jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan kira-kira RM10,000,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin, semalam.

Mangsa di bawa ke Klinik Kesihatan Air Kuning Selatan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sungai Dua, Mohmod L.Udor.

Bagaimanapun, mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Jasin sebelum dibawa ke Hospital Melaka susulan kecederaan serius yang dialaminya.

Sementara itu, Kooi Cheang berkata, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga mendatangkan kecederaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda dan sebatan.

“Sehubungan itu saya menasihatkan orang ramai terutamanya yang tinggal bersendirian untuk tidak melayan atau sesekali membuka pintu kepada orang yang tidak dikenali walaupun mereka datang untuk meminta air atau bertanyakan lokasi kerana ianya telah dikenal pasti sebagai taktik menyamun,” katanya.-SH

Penunggang maut dirempuh bas


KEMALANGAN yang berlaku di persimpangan lampu isyarat Jalan Bukit Ubi di sini, pagi tadi. - Foto Halim Mat Ali
KEMALANGAN yang berlaku di persimpangan lampu isyarat
Jalan Bukit Ubi di sini, pagi tadi. - Foto Halim Mat Ali, bharian
KUANTAN - Seorang penunggang motosikal maut akibat dirempuh sebuah bas di persimpangan lampu isyarat Jalan Bukit Ubi di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian 11.15 pagi itu, mangsa, Hoi Chien Teck, 34, dari Kampung Sungai Soi, di sini mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan selepas terperosok di bawah bas itu.
Sebelum kejadian, lelaki itu dipercayai baru sahaja selesai membaiki motosikalnya di sebuah bengkel berhampiran tempat kejadian sebelum menghala ke Jalan Gambut di sini.
Ketua Polis Daerah, ACP Mohd Jasmani Yusof berkata, mangsa kemudian cuba melintas jalan dengan motosikalnya tanpa menyedari kehadiran bas yang sedang dalam perjalanan dari Maran ke Terminal Makmur itu.
Mohd Jasmani berkata pemandu dan penumpang bas seramai 20 orang berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan polis sudah merekodkan keterangan pemandu berusia 59 tahun itu untuk membantu siasatan.
Kes itu katanya disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama, kosmo

Geng Kad Kredit Bangalore-Malaysia Tumpas

NEW DELHI: Polis India berjaya menumpaskan sindiket hubungan Bangalore-Malaysia yang menggunakan kad kredit klon bagi membeli barangan bernilai RM1.3 juta di pusat-pusat beli-belah di sini.
Polis Bangalore sedang berusaha menjejaki seorang warga Malaysia, dikatakan perancang dalam kumpulan itu, juga disyaki ada hubungan dengan anggota kumpulan Liberation Tigers Tamil Eelam (LLTE).
"Perancang itu tinggal di Malaysia. Beliau menggodam akaun bank di serata dunia, termasuk India, menerusi internet dan mengumpul butiran identiti yang unik termasuk PIN (nombor identifikasi peribadi).
"(Perancang) kemudian mengirim butiran itu kepada orang hubungan di Chennai, yang kemudian menghantarnya kepada anggota-anggota gang berkenaan yang tinggal di beberapa bahagian negara ini," kata Pesuruhjaya Polis Bangalore B.G Jyothi Prakash Mirji, disebut oleh sebuah akhbar tempatan.
Penumpasan itu terhasil dua minggu selepas polis Australia mendakwa lima pakar tipu dari Malaysia dan Sri Lanka di Sydney kerana mengendali sebuah sindiket antarabangsa yang pakar dalam melakukan jenayah kolar putih.
Bila polis menangkap dua warga India di Bangalore Selasa lepas, mereka merampas produk elektronik, kelengkapan gym, botol arak dan kira-kira lima kg emas, semuanya dibeli dengan menggunakan kad kredit palsu, lapor akhbar itu.
Dua suspek yang ditahan ialah Jai Kumar @ Shyam Velu, 39, dan Wasim Anwar Pasha @ Wasim, 25.
Menurut siasatan, perancang di Malaysia itu telah membekalkan kad kredit kosong kira-kira RM400 setiap satu bersama mesin cetak kad kredit.
Polis masih berusaha menjejaki enam lagi anggota utama gang berkenaan di bandaraya ini. - BERNAMA
MSTAR

Rempuh tiang konkrit



SENAI - Seorang maut, manakala dua yang lain cedera parah apabila kereta dinaiki terbabas ke kiri jalan dan merempuh tiang konkrit penunjuk arah jalan dalam kejadian di Kilometer 38.6, Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara), Kulaijaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, mangsa, Mohamad Jamal Embok Hitam, 36, dari Bukit Seri Senawang, Sungai Gadut, Negeri Sembilan, yang menaiki kereta jenis Honda maut di tempat kejadian.

Menurutnya, dua ahli keluarga lain yang cedera parah dibawa ke Hospital Kulaijaya untuk mendapatkan rawatan.

“Siasatan awal mendapati kenderaan dinaiki tiga sekeluarga telah terbabas ke kiri jalan lalu merempuh tiang konkrit penunjuk arah jalan.

“Mangsa yang memandu kereta terbabit meninggal dunia di tempat kejadian manakala yang lain cedera parah dan masih dirawat di Hospital Kulaijaya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Selain itu, katanya, kemalangan yang berlaku menyaksikan keadaan aliran trafik di kedua-dua belah arah di lebuh raya berkenaan sesak sejauh satu kilometer.SH

12 kemalangan dalam tempoh 10 hari Ops Sikap

KUALA TERENGGANU – Terengganu mencatatkan 12 kematian membabitkan 12 kes kemalangan maut dalam tempoh 10 hari sejak Ops Sikap ke-24 dilancarkan pada 23 Ogos lalu.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Alias Hashim berkata, pengguna motosikal merupakan mangsa paling ramai yang terkorban iaitu enam orang.

“Ia diikuti dengan pemandu dan penumpang kereta iaitu empat orang manakala pejalan kaki pula seramai dua orang,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut Alias, kemalangan maut terbaru berlaku jam 7.55 pagi semalam di Kilometer 152 Jalan Jerangau-Jabor membabitkan seorang lelaki warga Indonesia berusia 31 tahun.

Beliau berkata, mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala akibat dirempuh sebuah kereta ketika ingin melintas jalan.

Pada masa sama, Alias mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan menekankan aspek keselamatan ketika memandu bagi mengelak berlakunya musibah.

“Sekarang kenderaan di jalan bertambah, oleh itu kita perlu sentiasa waspada, memandu dalam keadaan tenang, sabar dan patuh kepada peraturan, jangan melulu dan terburu-buru,” katanya.

Selain itu, beliau turut meminta ibu bapa mengawal pergerakan anak masing-masing dan tidak membenarkan mereka memandu kenderaan khususnya motosikal sekiranya tidak mempunyai lesen memandu.

Katanya, kawalan ibu bapa penting memandangkan pengguna jalan raya merupakan mangsa paling ramai yang terkorban dalam kemalangan.

“Terutama mereka yang tinggal di luar bandar dan pinggir bandar, pastikan juga pengguna motosikal memakai topi keledar kerana hampir keseluru-han mangsa terkorban tidak memakainya,” katanya.bharian

Warga emas hilang belum ditemui



KUALA KRAI - Kehilangan seorang warga emas dari Kampung Belanga, di sini, sejak empat hari lalu terus menjadi misteri apabila usaha mencarinya masih gagal menemui sebarang petunjuk.

Fatimah Mat Diah, 76, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas mengunjungi seorang cucunya di Kampung Temalir dekat sini, Isnin lalu.

Kehilangan Fatimah disedari anak bongsu mangsa, Mat Yassin Adam yang tinggal bersamanya di Kampung Belanga, kira-kira jam tujuh petang hari kejadian apabila dia tidak pulang ke rumah.

Seorang cucu mangsa, Mohd Zamri Abdullah, 42, berkata, sebaik menyedari kehilangan neneknya, usaha mencari dilakukan ahli keluarga dengan bantuan penduduk kampung, tetapi gagal sebelum laporan polis dibuat.

“Usaha mengesan kemudian dibantu anggota polis bersama unit anjing pengesan dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tetapi hingga hari ini (semalam), dia masih belum ditemui,” katanya di sini, semalam.

Mohd Zamri berkata, ketika keluar dari rumah cucunya kira-kira dua jam sebelum disedari hilang, Fatimah berpakaian baju warna oren, berkain sarung dan tudung warna merah jambu.

“Selalunya kalau dia nak pergi mana-mana termasuk ke rumah anak dan cucunya, ada orang hantar dan ambil sebab dia sudah nyanyuk, tetapi pada hari kejadian, dia balik sendiri.

“Dia pun tak biasa dengan jalan di Kampung Temalir kerana jarang pergi ke sana dan sepanjang Ramadan, itu kali pertama dia pergi ke rumah cucunya di kampung berkenaan,” katanya.

Sementara itu anak saudara Fatimah, juga Setiausaha Kerja Puteri Umno bahagian, Che Norazwani Mamat berkata, kehilangan kakak kepada ibunya, Maimunah Mat Diah, 73, pada malam raya menyebabkan sambutan Aidilfitri kali ini hambar.

“Lauk dibeli untuk dimasak sempena hari raya masih tersimpan dalam peti ais dan tidak diusik kerana dalam keadaan begini, ‘mood’ nak sambut raya pun hilang,” katanya.

Menurutnya, menerusi pelbagai usaha mencari termasuk mengadakan bacaan Yasin dan solat hajat serta bantuan pengamal perubatan tradisional, dia berharap emak saudaranya itu dapat ditemui secepat mungkin.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau terserempak dengan Fatimah diminta menghubungi Mohd Zamri di 013-5180241 atau Abdullah Sulaiman (019-9071903).SH

Mangsa mercun tetap gembira beraya



KOTA BHARU - Biarpun beraya dalam keadaan tangan dibalut dan masih mengadu kesakitan namun seorang mangsa mercun buatan sendiri ini tetap gembira di hari raya.

Wan Mohd Zakuan Wan Zadrim, 12, tetap merasai kegembiraan menyambut Aidilfitri bersama ahli keluarganya walaupun putus empat jari tangan dan cedera di paha angkara mercun diperbuat daripada antena televisyen direkanya sendiri meletup.

Empat hari sebelum Hari Raya Aidilfitri, Wan Mohd Zakuan dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II selepas besi antena yang dipadatkan dengan belerang itu tiba-tiba meletup ketika dia mengetuk pada hujung besi tersebut dalam kejadian di Kampung Dalam Rhu, Tumpat.

Kegembiraan itu diceritakan oleh bapa saudaranya, Wan Zulhisham Wan Ismail, 29, ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Wan Zulhisham berkata, anak saudaranya itu reda dengan kejadian tersebut dan tetap meraikan kedatangan Aidilfitri dengan keadaan yang sederhana.

“Sekarang dia masih demam dan mengadu sakit tetapi tidak malu dengan kejadian yang menimpanya malah dianggap sebagai satu pengajaran bermakna buatnya,” katanya.

Sementara itu seorang lagi mangsa, Mohd Amin Abdullah, 13, dari Kampung Geting, Tumpat yang nyaris buta selepas mercun botol yang dipasang rakannya meletup sebelum dia sempat menutupnya dengan tin juga berkongsi perasaan sama sempena raya ini.

Abang mangsa, Mohd Huzaifi, 15, ketika dihubungi Sinar Harian semalam juga memberitahu keadaan mata kiri adiknya yang cedera akibat terkena serpihan mercun itu semakin pulih.

Dia berkata, walaupun penglihatan mata adiknya sedikit kabur tetapi dia kelihatan gembira sepanjang Aidilfitri ini.

“Walaupun gembira tetapi kadang kala dia malu untuk berjumpa dengan kawan-kawannya ekoran kejadian tersebut,” katanya.

Mohd Huzaifi berkata, adiknya itu juga mengotakan janjinya selepas dibenarkan pulang ke rumah Isnin lalu, dia dengan segera membuang dan menanam kesemua mercun miliknya di belakang rumah serta berjanji tidak akan bermainnya lagi.SH

Tiga kedai hangus

KOTA BHARU-Tiga peniaga terkejut dari lena apabila pintu kediaman mereka diketuk oleh penduduk kampung selepas menyedari premis masing-masing hangus dalam kebakaran pagi semalam.

Dalam kejadian di Simpang Tiga Kedai Buloh, kira-kira jam 5.45 pagi itu, dua premis perniagaan musnah iaitu melibatkan sebuah kedai menjual akhbar, satu premis jualan makanan burung dan ternakan, manakala kedai jualan perkakasan yang berdekatan juga hangus sebahagiannya.

Dalam masa sama, seramai 21 penghuni dua rumah menarik nafas lega apabila terselamat kerana hanya sedikit bahagian rumah mereka yang berada berdekatan lokasi kebakaran disambar api.

Anggaran kerugian yang melibatkan ketiga-tiga peniaga berkenaan adalah kira-kira RM100,000 kerana kebanyakan barangan tidak dapat diselamatkan disebabkan api marak dengan cepat.

Bagaimanapun, tindakan pantas bomba juga dapat menyelamatkan beberapa premis kediaman dan kedai berdekatan dengan anggaran bernilai RM200,000.

Seorang mangsa, Azhar Awang yang juga peniaga makanan haiwan berkata, dia hampir pengsan setelah melihat api besar di kedainya selepas dikejutkan oleh penduduk.

”Setelah pintu rumah diketuk oleh penduduk saya menjenguk dari jendela dan mendapati keseluruhan kedai saya musnah.

”Saya juga sedih kerana lebih 100 burung termasuk arnab dan ayam yang diletakkan di kedai juga tidak dapat diselamatkan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.

Peniaga perkakasan binaan, Mahadi Mohd Yusof berkata, ketika kejadian dia tidur di rumahnya yang berada kira-kira 200 meter dari tempat kejadian dan terkejut setelah pintu kediamannya diketuk oleh penjual daging di kawasan tersebut.

”Pada mulanya saya ingatkan peniaga ingin meminjam van untuk mengambil daging lembu, tetapi saya terperanjat selepas diberitahu kedai saya terbakar.

”Setelah bergegas ke lokasi kejadian saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana api sangat besar dan hampir kesemua kedai berdekatan premis jualan hangus,” katanya.

Bersimpati dengan kejadian itu, Adun Kijang, Wan Ubaidah Omar menyampaikan sumbangan bernilai RM500 kepada setiap mangsa semalam.

Sementara itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Ali Abdul Rahman berkata, seramai 19 anggota bersama empat jentera dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan jam 6.06 pagi semalam dan punca kejadian masih disiasat.-SH

Atas kosong, bawah berisi

KANGAR: Lagak selamba dua lelaki memandu pikap Thailand tanpa sebarang muatan, tidak berhasil selepas dikesan cuba menyeludup lebih 2,000 liter petrol di sempadan Perlis-Thailand di Wang Kelian, semalam.
Unit Pencegah Penyeludup (UPP) yang membuat sekatan jalan raya di pekan sempadan terbabit menemui lebih 10 tangki tambahan dipenuhi minyak, termasuk di bahagian tempat duduk pemandu pada kenderaan itu.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi, dua suspek berusia 21 dan 43 tahun ditahan ketika masing-masing membawa 1,000 liter petrol bersubsidi yang diperoleh di beberapa stesen minyak di pekan sempadan.

Komander UPP Padang Besar, Asisten Superintendan Noor Janihan Nanyan berkata, kenderaan berkenaan cuba bergerak melintasi sempadan ketika orang ramai sibuk merayakan Aidilfitri.

“Mereka mungkin beranggapan kononnya kawalan sempadan longgar berikutan sambutan Aidilfitri dan menggunakan peluang ini untuk menyeludup bahan bakar itu ke negara jiran.

“Sebenarnya kami sudah mengarahkan semua anggota UPP supaya jangan leka walaupun dalam suasana Aidilfitri bagi membendung kegiatan penyeludupan,” katanya, semalam.


Mengulas lanjut, beliau berkata, seorang daripada suspek berusia 43 tahun yang ditahan adalah warga tempatan yang menetap di Kaki Bukit, manakala seorang lagi warga Thailand.

“Ketika membuat pemeriksaan rambang, anggota kami tidak menyangka pikap terbabit dipenuhi petrol memandangkan ia tidak membawa sebarang muatan. Sebuah pikap mempunyai enam tangki tambahan.
“Setiap pikap membawa kira-kira 1,000 liter petrol dan jika berjaya melepasi sempadan, penyeludup terbabit boleh mengaut keuntungan sekali ganda daripada nilai jualan,” katanya.

Beliau berkata, ketika melakukan pemeriksaan pada kenderaan pertama, sebuah lagi pikap muncul di bahagian belakang untuk melepasi sekatan terbabit menuju ke negara jiran.

“Pemandu di bahagian belakang cuba berpatah balik apabila anggota kami sedang meriksa kenderaan milik rakannya,” katanya.

Noor Janihan berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki berkenaan sanggup menyewa kenderaan pacuan empat roda dari Thailand semata-mata bagi menjalankan kegiatan penyeludupan bahan bakar.

Beliau berkata, selain menahan dua lelaki berkenaan, pihaknya turut merampas petrol bernilai RM3,800 yang cuba diseludup itu serta dua pacuan empat roda yang setiap satunya bernilai lebih RM60,000.

“Kenderaan jenis Toyota Hilux terbabit masih baru sebelum disewa penyeludup. Semua barang kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Penutup besi dua kali dicuri

PORT DICKSON: Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) mendakwa sudah dua kali mengganti penutup longkang di Pantai Batu 10, namun sering dicuri pihak tidak bertanggungjawab.
Lebih malang, akibat kecurian itu, orang awam ditimpa kecelakaan akibat perbuatan individu yang tidak bertanggungjawab mencuri penutup longkang berkenaan.

Yang Dipertuanya, Abdul Wahab Shamsudin berkata, sebelum ini penutup longkang daripada besi itu sudah dua kali dicuri dan pihaknya akan menggantikannya dengan konkrit.

“Bagi mengelakkan harta awam dicuri lagi, pihak kami akan menggantikannya dengan penutup konkrit dan akan menyelesaikannya dalam masa terdekat.

“Kami masih menunggu laporan lengkap bagi memastikan bilangan penutup longkang yang perlu diganti selain melihat peruntukan yang diperlukan kerana sekiranya ia melebihi RM20,000, pelbagai prosedur membabitkan kewangan perlu dilakukan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau turut bersimpati dengan tragedi menimpa kanak-kanak terbabit dan pada masa sama menasihatkan orang ramai, terutama pengunjung untuk menunaikan solat di masjid atau surau. Katanya, masalah itu tidak boleh sewenang-wenangnya dituding kepada pihaknya saja kerana masyarakat setempat perlu peka dengan permasalahan vandalisme yang giat berlaku.


Semalam, akhbar ini melaporkan niat sebuah keluarga menunaikan solat Maghrib di siar kaki di Pantai Batu 10 pada Aidilfitri lalu bertukar tragedi apabila anak sulung mereka ditemui lemas.

Mangsa, Nur Zahira Mohammad Arif Yap, 2, ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam longkang sedalam hampir dua meter dan dijumpai di pesisiran pantai berkenaan yang terletak kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.

40 lelaki mengamuk

KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah bukan saja trauma selepas rumahnya diceroboh dan dipecahkan lebih 40 lelaki yang menggelar diri mereka sebagai anggota ‘sukarelawan’ malah dia terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM10,000 akibat kejadian itu.
Difahamkan, ketika kejadian jam 12.15 pagi kelmarin, mangsa V Revathy, 25, tidur bersama anak lelakinya berumur lapan tahun manakala abang iparnya, P Munumasamy, 27, pula tidur di bilik berasingan di rumah mereka di Taman Sempadan, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Katanya, dia terkejut selepas mendengar bunyi pintu rumah mereka dipecahkan dan nampak lebih 40 lelaki memakai ves di ruang tamu rumah dengan memegang rod besi dan kayu.

“Mereka memecahkan dinding, siling dan perabot di rumah sebelum menyerang abang ipar yang tidur.

“Apabila saya cuba menghalang, mereka mendakwa ‘sukarelawan’ tanpa pakaian seragam yang mempunyai kuasa mutlak untuk menahan sesiapa saja mahupun dengan memecah masuk ke rumah,” katanya ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, semalam.

Beliau hadir bersama Presiden Pasukan Bertindak Alternatif, Kalai Vanar untuk menyerahkan memorandum agar polis mengambil tindakan segera untuk menahan suspek yang memecah masuk ke rumah mangsa.


Menurut Revathy, kumpulan itu juga membelasah abang iparnya sehingga cedera parah dan mendakwa dia memecah masuk kereta di kawasan berdekatan pusat judi haram yang ‘dijaga’ kumpulan berkenaan.

“Setahu saya, abang ipar hanya di rumah sejak pagi pada hari kejadian dan meskipun dia ada membuat sesuatu di luar, mereka tidak mempunyai kuasa untuk bertindak ganas sehingga memecahkan barangan di rumah.

Susulan itu, dia membuat laporan di Balai Polis Nibong Tebal kerana risau dengan tindakan ganas kumpulan sukarelawan itu. Sementara itu, Kalai berkata, selepas mendapat tahu polis belum mengambil sebarang rakaman gambar mengenai lokasi kejadian sehingga tempoh 36 jam, dia membuat rakaman video kerosakan di rumah mangsa sebelum melampirkan bersama-sama dengan memorandum, semalam.

Memorandum itu diserahkan kepada pegawai Bahagian Perhubungan Awam Bukit Aman, Asisten Superintendan Foo Chek Seng.

Rompakan besar-besaran

PETALING JAYA: Polis tidak menolak kemungkinan enam penjenayah yang ditangkap kelmarin berkait rapat dengan kumpulan perompak yang menyamun besar-besaran sejak 2006 di sekitar Pulau Pinang, Perak dan Kuala Lumpur.
Difahamkan, kumpulan ini aktif melakukan rompakan besar-besaran ke atas puluhan premis sejak lima tahun lalu dan enam daripada mereka kini ditahan selepas cuba menyamun kedai pajak gadai di Seri Setia, Sungai Way, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, pihaknya percaya enam suspek yang ditahan, kelmarin, terbabit dengan kumpulan yang melakukan rompakan besar-besaran di sekitar Pulau Pinang, Perak dan Kuala Lumpur berdasarkan modus operandi yang digunakan iaitu menebuk lubang menerusi premis bersebelahan.

“Empat daripada enam penjenayah yang ditahan mempunyai rekod jenayah serta dadah lampau manakala dua lagi dikehendaki dalam kes rompakan.

“Keenam-enam mereka berumur antara 32 hingga 53 tahun dan berasal dari Pahang, Johor dan Selangor. Siasatan awal mendapati ada yang mempunyai pekerjaan tetap sebagai tukang urut, penarik kereta serta penjual DVD.

“Suspek ditahan reman selama lapan hari dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK),” katanya.


Menurutnya lagi, satu daripada tiga kenderaan jenis Naza Citra yang digunakan penjenayah terbabit dilaporkan hilang pada 2006 di Sentul, Kuala Lumpur manakala dua lagi iaitu jenis Kia Karnival dan Mercedes-Benz didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu. Sehubungan itu, Tun Hisan menasihatkan peniaga dan orang awam agar memasang alat penggera di premis atau kediaman mereka supaya kejadian seumpama itu dapat dielakkan.

“Saya juga menyeru orang ramai agar lebih prihatin dan berhati-hati sekiranya alat penggera sesuatu premis itu berbunyi dan terus menghubungi polis dengan segera,” katanya.
Dalam kejadian jam 2 pagi kelmarin, enam penjenayahyang cuba merompak kedai pajak gadai pada cuti Aidilfitri bagaimanapun gagal apabila mereka ditangkap polis.

Perbuatan mereka disedari lelaki yang juga peniaga di premis berdekatan sebelum memaklumkan kepada polis.

Saksi itu berkata, dia menyedari selepas mendengar bunyi bising termasuk bunyi alat penggera dari arah kedai itu sebelum menghubungi polis.

Anggota dari Balai Polis Sungai Way, 50 meter dari premis berkenaan dan bergegas ke tempat kejadian dan menahan enam lelaki yang leka menebuk dinding kedai kasut bersebelahan kedai pajak gadai untuk memasuki premis berkenaan.

Patah tulang rahang dibelasah penyamun

TAMPIN: Taktik licik seorang penyamun kononnya datang untuk beraya membawa malang berganda kepada seorang wanita warga emas apabila dia bukan saja disamun, malah patah tulang rahang akibat dibelasah di Kampung Sungai Dua, Gemencheh, di sini, petang kelmarin.
Malah, kemeriahan menyambut Syawal bertukar mimpi ngeri buat mangsa apabila mengalami kerugian RM10,000 kerana disamun lelaki tidak dikenalinya itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, wanita warga emas berusia 73 tahun yang tinggal seorang diri di rumahnya, didatangi seorang lelaki tidak dikenali mengetuk pintu rumahnya sambil memberi salam dan memberitahu datang untuk beraya.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, mangsa yang juga ibu tunggal itu kemudian membuka pintu untuk melihat tetamu yang datang ke rumahnya.

“Bagaimanapun, sebaik membuka pintu, lelaki itu terus membelasah mangsa menggunakan topi keledar menyebabkan wanita warga emas itu cedera.

“Suspek kemudian meragut rantai leher dipakai warga emas itu sebelum menyelongkar bilik tidur bagi mencari barang kemas dan wang yang tersimpan di bawah katil,” katanya di sini, semalam.


Beliau berkata, sebaik mengambil semua barang kemas dan wang mangsa dianggarkan bernilai lebih RM10,000, suspek berbadan kecil itu terus keluar dipercayai menggunakan motosikal meninggalkan mangsa dalam keadaan kesakitan.

Katanya, mangsa yang cedera di kepala, bengkak di dahi dan patah tulang rahang itu meminta pertolongan jiran mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Air Kuning Selatan sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.
“Keadaan mangsa dilaporkan stabil dan siasatan berhubung kejadian ini masih dijalankan,” katanya.

Budak jatuh motor balik beraya digilis bas

IPOH: Menyayat hati apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun maut apabila kepala dan badannya digilis sebuah bas selepas tercampak motosikal ditunggang ibunya.
Difahamkan, kanak-kanak perempuan dikenali sebagai Nor Ezwin Mohd Erwan bersama ibunya, Rodiah Abdullah, 40-an, dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas beraya bersama sanak saudara di Sitiawan.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Bakar Arang, Sungai Renggam, Perak Tengah, motosikal dinaiki Rodiah bersama mangsa hilang kawalan selepas dirempuh sebuah motosikal lain dari arah belakang.

Rempuhan menyebabkan motosikal dinaiki dua beranak itu terbabas di tepi jalan manakala, Nor Ezwin pula tercampak di tengah jalan sebelum sebuah bas yang tiba dari arah sama gagal mengelak kanak-kanak itu dan menggilisnya.

Nor Ezwin maut serta-merta di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan manakala, ibunya hanya cedera ringan.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.20 petang kelmarin di Kilometer 40, Jalan Teluk Intan - Sitiawan berdekatan Perak Tengah itu, kanak-kanak itu cedera di kepala sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat.


Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Wan Abdullah Ishak ketika dihubungi semalam, berkata kejadian berlaku apabila motosikal dinaiki dua beranak itu dirempuh sebuah motosikal lain dari belakang.

“Bas henti-henti yang menggilis kanak-kanak itu pula tidak sempat mengelak dan gagal membrek kerana kejadian berlaku sangat pantas,” katanya.

Sementara itu, Wan Abdullah berkata, seorang wanita maut selepas kereta dipandu suaminya terbabas dan merempuh penghadang jalan di Kilometer 285.6, dekat Simpang Pulai, Lebuhraya Utara-Selatan, di sini, kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Menurutnya, mangsa yang maut dikenali sebagai Rohaya Darus, 41, dari Taman Mulia, Bandar Tun Razak, Cheras, manakala, suaminya hanya mengalami cedera ringan.

“Mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB). Kejadian berlaku apabila mangsa bersama suami yang menaiki Proton Satria dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Cheras sebelum tayar kereta mereka meletup.

“Suami mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas dan merempuh penghadang jalan. Rempuhan itu menyebabkan bahagian depan kenderaan itu rosak terutama di bahagian penumpang,” katanya.

‘Kenangan terindah ditinggalkan arwah’

SENTUL: “Surat penghargaan ini kenangan terindah ditinggalkan arwah untuk kami,” begitu kata Fauziah Ahmad Alwi, balu kepada Allahyarham Shariff Din yang mati ditikam ketika cuba memberkas penjenayah yang cuba mencuri kereta di perumahan mereka di PPR Taman Wahyu Dua, di sini, 28 Ogos lalu.
Fauziah menerima surat penghargaan itu daripada Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan dalam satu majlis ringkas di kediaman mereka, di sini, semalam.

Fauziah, 50, berkata dia dan empat anaknya, Shasha Zafira, 23, Natasha Nadiah, 21, Ahmad Fariz, 20, dan Amirudin Fasha Shariff, 19, kini lebih tenang selepas penangkapan individu bertanggungjawab membunuh suaminya.

“Kami sekeluarga bukan saja reda pemergiannya, malah berbangga dengan tindakannya pada hari kejadian.

“Bagaimanapun, saya akui, kami agak trauma dengan kejadian itu dan berhajat berpindah ke tempat lain kerana khuatir ia berulang,” katanya.

Menceritakan saat terakhir bersama arwah suaminya, Fauziah berkata, suaminya begitu beriya-iya mahu pulang ke kampungnya di Parit Buntar, Perak, sempena Aidilfitri dan mereka merancang untuk pulang keesokan harinya.


“Namun, Tuhan lebih sayangkannya dan kami tidak sempat menyambut hari lebaran bersama,” katanya lagi.

Menurut Fauziah, arwah sentiasa mengimpikan ada antara anak mereka menyertai mana-mana pasukan beruniform supaya dapat berkhidmat untuk negara.
Sementara itu, Zakaria yang turut diiringi Timbalannya, Superintendan Othman Abu Bakar serta beberapa pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menyampaikan surat penghargaan atas keberanian serta sedikit sumbangan sempena Aidilfitri kepada keluarga mangsa.

Zakaria berkata, tindakan pantas dan berani Allahyarham berjaya mematahkan cubaan suspek untuk melarikan kenderaan berkenaan. “Kegigihan serta keberanian Allahyarham patut dicontohi masyarakat dan diharap sikap seperti ini dapat dipupuk di kalangan orang awam agar keselamatan kita lebih terjamin,” katanya.

Zakaria turut menggalakkan anak mangsa menyertai pasukan polis atau mana-mana pasukan keselamatan dan berpesan jangan sesekali patah semangat bagi merealisasikan impian Allahyarham.

Ular mandi kolam

SEREMBAN: Pengunjung sebuah kelab renang di Sungai Ujong, di sini, gempar apabila objek yang disangka tali hanyut rupa-rupanya seekor ular sawa sepanjang kira-kira empat meter.
Kejadian kira-kira jam 2.30 petang Rabu lalu itu menyebabkan suasana kelam-kabut seketika apabila pengunjung yang ketakutan bertempiaran lari menyelamatkan diri.

Difahamkan, ular sawa batik seberat lebih 40 kilogram itu tiba-tiba menyusur masuk dari kawasan belukar yang terletak berhampiran kolam renang itu. Harian Metro difahamkan, kira-kira 10 pengunjung kelab berkenaan termasuk lapan kanak-kanak yang sedang mandi terkejut apabila melihat ular berkenaan turut berendam di dalam kolam itu.

Ahli kelab, Chong Kok Kiong, 50-an, berkata, ular itu ditemui seorang perenang wanita yang melihat satu objek hitam di bawah tangga besi dalam kolam berkenaan.

“Wanita itu kemudian menyelam untuk melihat objek berkenaan dengan lebih dekat sebelum naik ke permukaan dan menjerit memberi amaran kepada pengunjung lain apabila menyedari objek berkenaan ialah seekor ular sawa batik,” katanya.

Menurutnya, pihak pengurusan kelab menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Rahang sebelum reptilia berkenaan ditangkap.hmetro

Rakyat kita seludup dadah RM12j

KUALA LUMPUR: Tiga rakyat Malaysia antara lima individu yang ditahan dalam satu serbuan dadah membabitkan rampasan 45 kilogram syabu dianggarkan bernilai lebih AS$4 juta (RM12 juta) di Wilayah Songkhla, Selatan Thailand, Rabu lalu.
Difahamkan, serbuan polis Thailand itu adalah terbesar tahun ini dari segi jumlah dan nilai rampasan syabu atau dadah jenis Methaphetamine, dipercayai cuba diseludup masuk ke Malaysia.

Menurut sumber, semua dadah dirampas disembunyikan dalam beg bimbit ketiga-tiga suspek terbabit selain turut ditemani dua wanita warga Thailand.

“Suspek dipercayai cuba menyeludup dadah terbabit di sempadan Malaysia-Thailand melalui Songkhla.

“Bekalan dadah terbabit diperoleh dari sindiket dadah di Bangkok,” katanya.

Sumber itu turut mengesahkan ketiga-tiga lelaki rakyat Malaysia itu berusia antara 19 dan 28 tahun serta berasal dari Kedah.


Sumber berkata, suspek menggunakan pengangkutan awam bagi membawa dadah berkenaan dari Bangkok hingga pintu sempadan Songkhla sebelum dipindahkan ke dalam kenderaan persendirian untuk diseludup masuk ke negara ini.

“Taktik berkenaan digunakan suspek bagi mengelak pergerakan mereka dikesan pihak berkuasa ketika melepasi sempadan kedua-dua negara,” katanya.
Sumber itu turut mengesahkan ketiga-tiga lelaki rakyat Malaysia itu berusia antara 19 hingga 28 tahun dan berasal dari Kedah.

Penculik mahu tebusan tinggi

KUALA LUMPUR: “Mak cik gembira selepas mendengar suara anak yang diculik berada dalam keadaan sihat walaupun penculik mahukan wang tebusan yang tinggi,” kata Siti Hamdah Ahmad, 59, ibu kepada Mohd Nazaruddin Saidin, 38, yang diculik dan berada di Selatan Filipina sejak 8 Mei lalu.
Siti Hamdah berkata, dia dapat bercakap dengan anak sulungnya itu pada malam raya lalu yang menyatakan berada dalam keadaan sihat.

Katanya, walaupun sambutan Aidilfitri sepi tanpa Mohd Nazaruddin, namun itu sudah menggembirakan hatinya.

“Saya gembira dengan perkembangan terbaru walaupun penculik memberi amaran akan menyembelih anak sebulan lalu.

“Tetapi, hingga kini dia masih hidup dan menunggu kami menyelamatkannya dengan memberi wang tebusan kepada penculik,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, dia turut bercakap dengan penculik yang tetap mahukan ‘harga’ lama dan menyuruhnya mengumpul wang tebusan.


Pada 15 Mei lalu, akhbar melaporkan kumpulan penculik menuntut wang tebusan 80 juta Peso (RM5.6 juta) bagi membebaskan Mohd Nazarudin yang disampaikan kepada isterinya menerusi ‘orang tengah’ yang juga ejen cicak gecko di negara ini.

Mohd Nazarudin dilaporkan berlepas ke Pulau Jolo pada 27 April lalu bersama lelaki warga Filipina yang juga ejen cicak gecko atas urusan perniagaan reptilia itu sebelum ditahan kumpulan lanun terbabit pada 8 Mei lalu. Selepas rundingan dilakukan keluarga mangsa 1 Julai lalu, wakil kumpulan penculik memberi kata dua kepada ibu Nazarudin supaya menyerahkan wang tebusan RM60,000 dalam tempoh seminggu atau pintu rundingan akan ditutup.hmetro

Majikan kurung amah seminggu

KUALA LUMPUR: Penderitaan seorang pembantu rumah warga asing yang mendakwa dikurung sejak seminggu lalu dan hanya diberikan makan mi segera berakhir selepas diselamatkan sepasukan polis di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Pandan Indah, di sini, semalam.
Difahamkan, mangsa warga Kemboja berusia 18 tahun itu mula bekerja di rumah terbabit sejak tiga bulan lalu dan tidak dibenarkan keluar, malah dia tidak dibekalkan kunci rumah atau nombor telefon majikannya untuk tujuan kecemasan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, kira-kira jam 12 tengah hari, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kes dera pembantu rumah.

Katanya, selepas tiba di rumah itu, pihaknya mendapati rumah berkenaan dikunci dan hanya dapat berinteraksi dengan mangsa melalui tingkap belakang. “Anggota polis meminta nombor telefon majikan daripada mangsa, tetapi dia tidak mempunyainya dan kami terpaksa memecahkan pintu depan untuk menyelamatkan mangsa,” katanya.

Beliau berkata, selepas disoal siasat, mangsa mendakwa dikurung di rumah sejak seminggu lalu dan majikannya keluar untuk tempoh berkenaan.

“Dia hanya diberikan makan mi segera dan kadang-kala jiran akan memberikannya makanan.


“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal, namun dia dibawa ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Amiruddin berkata, pihaknya sedang menjejaki majikan mangsa untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana pengurungan salah.hmetro

Amuk di kubur ibu bapa

GEORGETOWN: Ketibaan 1 Syawal sepatutnya menjadi saat untuk bermaaf-maafan dan mengeratkan silaturahim, namun lain pula yang terjadi kepada seorang wanita apabila menjadi mangsa belasahan abang kandung.
Lebih memilukan, kejadian itu berlaku di tanah perkuburan di Bayan Lepas, dekat sini, ketika wanita itu menziarah pusara ibu bapa mereka pada pagi Aidilfitri lalu.
Insiden mengaibkan itu dikatakan berlaku apabila abang kandung wanita berkenaan naik angin selepas ditegur mengenai tunggakan pinjaman pengajian anak lelakinya dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dijamin suami wanita terbabit yang tertunggak sebanyak RM26,000.

Tidak puas hati dengan teguran wanita berkenaan dan suaminya itu menyebabkan lelaki terbabit yang juga bekas pegawai kanan pasukan keselamatan bertindak di luar batasan.


Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Maimunah, 47, berkata, kejadian berlaku jam 11.45 pagi ketika dia bersama keluarganya mahu meninggalkan tanah perkuburan berkenaan selepas menziarahi pusara ibu bapa mereka.

209 mangsa ribut dapat bantuan



MERBOK 2 Sept. - Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan RM59,000 bagi membantu 209 mangsa ribut di Taman Bandar Baru Sungai Lalang, dekat sini, yang kediaman mereka rosak dalam kejadian 21 Ogos lalu.
Bantuan di bawah Tabung Bencana Alam, Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu disampaikan oleh Penyelaras Parlimen Merbok, Datuk Tajul Urus Md. Zain dalam satu majlis ringkas di Taman Bandar Baru Sungai Lalang, baru-baru ini.
Beliau turut menyampaikan sumbangan kain pelikat dan baju pasang kepada semua mangsa terlibat.
Tajul Urus ketika ditemui berkata, bantuan berupa 'duit raya' itu diluluskan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) selepas beliau membuat permohonan baru-baru ini bagi membolehkan mangsa membaik pulih segera rumah mereka menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, bantuan itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu kerosakan sederhana yang menerima wang antara RM50 dan RM500.
"Bantuan ini bukanlah ganti rugi tetapi lebih kepada tujuan meringankan beban mangsa ribut. Selain itu, ia juga bagi membolehkan mereka meraikan bulan Syawal dengan lebih gembira," katanya

6 ditangkap tebuk dinding terlibat 7 rompakan lain



PETALING JAYA 2 Sept. - Enam lelaki yang ditangkap polis semasa sedang asyik menebuk dinding sebuah kedai gambar untuk memasuki kedai pajak gadai bersebelahan di Sungai Way di sini awal pagi semalam, disahkan terlibat dalam tujuh lagi kes rompakan kedai emas, bank dan pajak gadai lain di Selangor pada tahun ini.
Malah, sebelum dicekup semalam, kumpulan penjenayah terbabit sempat merompak sebuah kedai emas di Banting dekat sini pada malam hari raya pertama menggunakan modus operandi sama iaitu membuat lubang menggunakan gerudi dari bangunan bersebelahan untuk masuk ke premis tersebut.
Selain kes di Sungai Way dan Banting, mereka juga dikenal pasti terlibat dalam kejadian rompakan di Sungai Buloh, Rawang, Gombak, Shah Alam dan beberapa lagi premis lain di daerah ini serta luar Selangor termasuk Perak dan Pulau Pinang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, kumpulan penjenayah yang mempunyai ramai anggota itu dikesan mula aktif melakukan rompakan sejak 2006 dan salah satu kes membabitkan mereka pada tahun tersebut ialah pecah masuk sebuah bank di Seri Kembangan dekat sini yang mana ada antara anggotanya berjaya ditangkap polis.
"Berikutan laporan yang diterima itu, maka kita melancarkan operasi khas dianggotai 86 pegawai dan anggota dinamakan Ops Tebuk pada Aidilfitri ini untuk memburu kumpulan penjenayah yang memfokus kepada kegiatan menebuk lubang untuk merompak kedai emas, pajak gadai dan bank.
"Kumpulan ini memecah masuk ke premis terbabit dengan menebuk dinding bangunan bukan dari premis yang mahu dirompak tetapi bersebelahan atau bangunan bersambung," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 3.40 pagi di Sungai Way semalam, enam perompak yang sedang asyik menebuk dinding sebuah kedai gambar untuk memasuki kedai pajak gadai bersebelahan dicekup polis setelah terperangkap apabila alat penggera keselamatan premis itu berbunyi.
Menurut Tun Hisan, suspek menggunakan alat gerudi khas berharga RM10,000 yang dibeli dari sebuah kedai perkakasan di ibu negara untuk menebuk dinding tebal termasuk yang dipasang batang keluli dan jumlah lubang ditebuk bergantung kepada saiz badan mereka yang masuk melaluinya iaitu mungkin satu atau lebih.
Beliau berkata, suspek berusia 32 hingga 53 tahun mempunyai pekerjaan berbeza termasuk seorang yang arif dalam bidang pembinaan dan menggunakan alat menggerudi, manakala lain-lain bekerja sebagai tukang urut, penarik kereta serta penjual video cakera padat digital (VCD).
"Suspek berasal dari Mentakab, Pahang; Segamat, Johor dan Selangor kini direman mengikut Seksyen 117 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan sehingga Khamis depan," katanya sambil memberitahu empat orang didapati mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes jenayah dan dadah termasuk dua orang dikehendaki terlibat dalam rompakan.
Tun Hisan menasihatkan pemilik bangunan bersebelahan kedai emas, pajak gadai dan bank supaya memasang alat penggera yang sesuai di premis mereka dan membuat pemeriksaan jika ia berbunyi.
"Penjenayah tidak akan mematikan alat penggera yang berbunyi kerana tidak mahu menimbulkan curiga, malah ada membawa mangga kunci sendiri untuk menggantikan yang dipotong," katanya.

Budak 6 tahun maut digilis bas



IPOH 2 Sept. - Seorang kanak-kanak perempuan terbunuh selepas digilis bas apabila dia terjatuh dari motosikal yang ditunggang ibunya di Kilometer 40, Jalan Teluk Intan-Sitiawan dekat Perak Tengah semalam.
Ketua Polis Trafik Negeri, Supritendan Wan Abdullah Ishak berkata, mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 3.20 petang semalam, Nor Ezwin Mohd. Erwan, 6, berasal dari Kampung Bakar Arang, Kota Setia, Sungai Renggam, Perak Tengah.
"Mangsa yang cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, ketika kejadian mangsa membonceng motosikal yang ditunggang ibunya, Rodiah Abdullah, 40-an dalam perjalanan dari Sitiawan ke Teluk Intan apabila dirempuh dari belakang oleh sebuah motosikal lain.
Katanya, akibat kejadian itu mangsa tercampak di atas jalan dan gilis bas yang datang dari arah belakang, manakala ibu mangsa terselamat.
Sementara itu seorang wanita terbunuh selepas kereta yang dipandu suaminya terbabas dan merempuh penghadang jalan di Kilometer 285.6, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini pada pukul 3 petang semalam.
Mangsa Rohaya Darus, 41, berasal dari Taman Mulia, Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, manakala suami mangsa terselamat dalam kejadian itu.
Ketika kejadian mangsa bersama suaminya dalam perjalanan dari utara ke selatan apabila satu tayar kereta yang mereka naiki meletup lalu terbabas dan merempuh penghadang jalan. - BERNAMA

3 minit larikan barang kemas



KLANG 2 Sept. - Empat lelaki bersenjatakan kapak, parang dan tukul hanya mengambil masa kira-kira tiga minit untuk melarikan barang kemas dianggarkan bernilai RM200,000 dari sebuah kedai emas di Jalan Stesen, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.20 petang itu, empat suspek bertopi keledar meluru masuk ke dalam kedai emas itu manakala empat lagi menunggu dengan empat buah motosikal di luar kedai emas tersebut.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, empat lelaki terbabit merompak barang kemas selepas memecahkan cermin pameran dan melarikan diri bersama suspek lain dengan menunggang motosikal.
‘‘Ini merupakan kali pertama kedai emas dilengkapi CCTV dirompak dan polis membuat siasatan lanjut bagi mengesan kesemua suspek kes tersebut.
‘‘Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan dan semasa kejadian tiada pelanggan di kedai itu manakala tujuh pekerja sedang bertugas ketika kejadian,” katanya di sini hari ini.

Premis hiasan dalaman terbakar

KUANTAN 2 Sept. – Pemilik sebuah premis hiasan dalaman di Jalan Besar di sini mengalami kerugian kira-kira RM200,000 selepas barang jualannya musnah dalam kebakaran di sini hari ini.
Pegawai Bomba Dua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Ubi, Mat Yusoff Hamat berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 8.55 pagi dan berjaya memadam kebakaran kira-kira 30 minit kemudian.
“Seorang pegawai dan 13 anggota bersama tiga jentera serta dua motosikal bergegas ke tempat kejadian bagi memadam kebakaran,” katanya.
Katanya, kebakaran itu berpunca daripada kotak suis utama dalam premis tersebut.
Pemilik premis itu, Tan Yuan Hong berkata, antara yang musnah ialah langsir, komputer dan dokumen penting, kesemuanya bernilai RM200,000.

Bapa mangsa bunuh saman syarikat sekuriti



JOHOR BAHRU 2 Sept. – Bapa Nurrahayu Qomarodin, remaja berusia 16 tahun yang dibunuh sebelum mayatnya dikerat serta dibakar di dua lokasi berasingan, Julai lalu akan menyaman syarikat sekuriti yang menggaji pengawal keselamatan iaitu suspek dalam kes itu.
Qomarodin Abdullah, 47, berkata, saman itu akan difailkan jika suspek disabitkan kesalahan membunuh anaknya.
“Syarikat sekuriti itu menggaji pengawal keselamatan yang mempunyai banyak rekod jenayah sekali gus memperjudikan keselamatan orang ramai,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Utusan Malaysia pada Julai lalu melaporkan mayat Nurrahayu yang dilaporkan hilang pada 18 Jun lalu telah ditemui pihak polis dalam keadaan menyayat hati, dipercayai dibakar di dua lokasi berasingan iaitu Sungai Tiram dan Tanah Perkuburan Hindu, Masai dekat sini bagi menghilangkan bukti.
Susulan penemuan itu, polis menahan seorang pengawal keselamatan, D. Kalaiselvan yang bertugas di kuari tempat Qomarodin mengusahakan kantin dan siasatan lanjut polis mendapati dia mempunyai lapan rekod jenayah lampau termasuk melarikan orang, pecah rumah dan mendatangkan kecederaan.
Kalaiselvan didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada 15 Julai lalu atas tuduhan membunuh Nurrahayu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kes akan disebut semula pada 20 September ini.
Menurut Qomarodin, di menerima kematian anak gadisnya sebagai takdir Allah, namun mengakui terlalu rindu kepada Nurrahayu terutama bila teringatkan senyuman dan tingkah lakunya yang periang dan suka bergurau.
“Ayu seorang yang rajin dan pandai memasak. Kebiasaannya pada malam raya dia akan ajak semua rakan-rakan dan ahli keluarga yang lain pergi makan piza yang sangat disukainya,” katanya.

32.5 juta rakyat Indonesia miskin



KEADAAN sebuah rumah penduduk yang usang di Indonesia akibat masalah kemiskinan. - AGENSI


BANJARMASIN - Indonesia disifatkan sebuah negara kaya, tetapi entah di mana silapnya kira-kira 32.5 juta rakyatnya hidup dalam kemiskinan.
Penyelaras Pertubuhan Desa Sejahtera, Tejo Wahyu Jatmiko berkata, data tahun lalu menunjukkan 65.34 juta daripada 237.8 juta penduduk mengalami masalah tidak cukup bekalan makanan, sementara 32.5 juta daripada mereka hidup dalam kemiskinan.
Perkara itu tidak sepatutnya berlaku di republik ini kerana hasil tanaman lebih daripada mencukupi untuk setiap rakyatnya dan negara ini mempunyai banyak sumber asli.
Jelas beliau, Indonesia ada lebih 300 spesies tanaman yang boleh dibuat ubat, 800 tanaman makanan, 77 jenis tanaman yang menghasilkan karbohidrat, 75 jenis yang menghasilkan lemak atau minyak, 232 sayur-sayuran, 26 jenis kekacang, 116 jenis rempah dan 40 jenis tanaman menghasilkan minuman.
"Apabila dikira, sumber alam Indonesia menyediakan 3.907 kalori kepada setiap individu dalam masa sehari.
"Jumlah itu cukup untuk menjadikan setiap rakyat Indonesia gemuk," katanya. - AGENSI

184 kematian hari ke-10 Ops Sikap Ke-24



KUALA LUMPUR 2 Sept. - Jumlah kematian pengguna jalan raya dalam Ops Sikap Ke-24 meningkat kepada 184 orang setakat ini, apabila 18 orang lagi dilaporkan terbunuh pada hari ke-10 semalam.
Daripada 18 kematian terbaru yang direkodkan itu, 13 orang merupakan penunggang dan pembonceng motosikal diikuti lima pengguna kereta.
Laman web rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menyatakan, jumlah kemalangan kembali menunjukkan peningkatan apabila mencatatkan 1,178 kes berbanding 1,036 kes semalam.
Selain peningkatan jumlah kemalangan, bilangan saman yang dikeluarkan kepada pesalah lalu-lintas juga bertambah kepada 6,334 saman.
Menurut kenyataan itu, kes kemalangan paling banyak berlaku di jalan Persekutuan iaitu 458 kes, diikuti jalan bandaran (322), jalan negeri (213), lebuh raya (100) dan lain-lain jalan (85).
Tambah kenyataan itu lagi, daripada 1,178 kemalangan dilaporkan, hanya 15 kes melibatkan kemalangan maut.
Ops Sikap Ke-24 dilancarkan pada 22 Ogos lalu sempena Hari Raya Aidilfitri dan akan berakhir pada Selasa depan.

Warga Bangladesh maut



KUANTAN 2 Sept. - Seorang warganegara Bangladesh maut selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan sebelum terjatuh di Kilometer 8 Jalan Jerantut Kuantan, kelmarin.
Dalam kejadian 3.25 petang itu, mangsa Ponkoj Serker, 28, yang tinggal di kawasan perindustrian Jerantut meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh pagi semalam ketika menerima rawatan.
Pegawai Penguat Kuasa Tadbir/Trafik Negeri, Asisten Supritendan Zainalabidin Othman berkata, mangsa ketika itu menunggang motosikal sendirian menuju ke bandar Jerantut.
"Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan dan terjatuh di atas jalan. Mangsa meninggal dunia di hospital pukul 2 pagi semalam selepas menjalani rawatan di hospital itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mayat wanita tersepit di celah batu



KUANTAN 2 Sept. - Mayat seorang wanita ditemui tersepit di celah batu di kawasan perkelahan Sungai Mas dekat Sungai Lembing di sini, semalam.
Mangsa yang berusia lingkungan awal 20-an dan lengkap berpakaian itu ditemui sekumpulan remaja yang kebetulan berkelah dan mandi-manda di kawasan tersebut kira-kira pukul 2 petang.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kuantan, Deputi Supritendan Kamaruzzaman Jaafar berkata, pihaknya bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuantan bergegas ke tempat kejadian setelah dimaklumkan.
"Anggota bomba mengeluarkan mayat wanita yang berseluar jeans dan memakai t-shirt jenama Polo berwarna putih yang tersepit di celah batu itu.
"Tiada tanda pengenalan diri ditemui pada mangsa,'' katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis (IPD) daerah Kuantan di sini, hari ini.

Kebakaran: 11 penghuni terselamat


Rafeah Hassan sayu melihat kesan rumahnya yang musnah dalam kebakaran di Kampung Ayer Bawah, Alor Gajah, semalam.



ALOR GAJAH 2 Sept. - Kegembiraan sebuah keluarga meraikan Aidilfitri tidak berpanjangan apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Ayer Bawah di sini, awal pagi ini.
Dalam kejadian pukul 12.45 pagi itu, kesemua 11 penghuni rumah tersebut terselamat kerana kebakaran berjaya disedari oleh salah seorang mereka.
Menurut Rafeah Hassan, 47, sebelum kejadian, dia yang tinggal di situ bersama suami, Rahmat Mohd. Idris, 47, dan lima anak mereka sedang menonton televisyen.
Turut berada di dalam rumah ketika itu, ialah kakak, abang ipar dan dua anak saudaranya yang datang beraya ke rumahnya.
"Sedang kami leka menonton televisyen, tiba-tiba anak saya, Mohd. Farhan Aslam, 11, menjerit terlihat api dari bahagian atas bumbung rumah," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Dalam keadaan mencemaskan itu, Rafeah berkata, mereka sekeluarga cuba memadamkan api namun, gagal kerana tekanan air paip yang rendah.
Menyedari usaha mereka itu sia-sia dan api semakin marak, Rafeah mengarahkan seluruh ahli keluarganya itu segera keluar dari rumah bagi menyelamatkan diri.
"Mujurlah kami semua bertindak cepat kerana dalam beberapa minit sahaja sebahagian rumah termasuk anjung hangus dijilat api.
"Tidak sangka, kegembiraan kami pada Syawal ketiga berakhir dengan tragedi ini. Namun, saya bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat," katanya.
Sementara itu, nasib malang yang menimpa keluarga Rafeah mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Taboh Naning, Datuk Latipah Omar.
Beliau yang turun padang semalam turut menghulurkan bantuan segera dalam bentuk kewangan bagi meringankan beban keluarga tersebut.
"Saya difahamkan, kerugian yang dialami mangsa dianggarkan RM60,000 dan kita harap keluarga ini dapat bersabar sementara kita berusaha membaik pulih rumah ini," katanya.
-UTUSAN

Wartawan kita mati ditembak

Foto
Penembak curi Somalia serang konvoi misi kemanusiaan Malaysia



Foto
GAMBAR fail menunjukkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diiringi Abdul Azeez bersalaman dengan Noramfaizul diikuti Aji Saregar Mazlan ketika misi kemanusiaan bertolak ke Somalia pada 28 Ogos lalu.



KUALA LUMPUR: Jurukamera BERNAMA TV terbunuh manakala jurukamera TV3 cedera selepas terkena tembakan curi penyerang tidak dikenali ketika pulang daripada membuat liputan misi bantuan kemanusiaan ke Somalia anjuran Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, petang semalam.
Mangsa, Noramfaizul Mohd Nor, 41, meninggal dunia selepas cedera parah akibat ditembak di bahu, manakala jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan, cedera di tangan dan dilaporkan stabil.
Tembakan itu dipercayai disasarkan ke arah trak tentera Kesatuan Afrika (AU) tetapi tersasar dan terkena pacuan empat roda yang dinaiki mangsa.

Kejadian jam 5.15 petang waktu tempatan (10.30 malam waktu Malaysia) berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke hotel penginapan bersama jurukamera TV3 selepas selesai membuat liputan di sebuah kem pelarian di ibu negara bergolak itu.

Mangsa terkena tembakan ketika berada dalam kenderaan terbabit sebaik tiba di depan hotel penginapan mereka.

Difahamkan, mangsa menginap bersama jurukamera dan wartawan televisyen Malaysia di sebuah hotel lain, kira-kira satu kilometer dari hotel penginapan wartawan media cetak serta sukarelawan misi berkenaan.
Mangsa cuba diselamatkan oleh doktor yang menyertai misi berkenaan, namun disahkan meninggal dunia setengah jam kemudian.

Wartawan Berita Harian, Nor Azizah Mokhtar, yang turut menyertai misi berkenaan ketika dihubungi malam tadi berkata, mangsa dikatakan sempat menghubu­­ngi ahli keluarganya di ibu negara sebaik ter­­kena tembakan itu.

Beliau berkata, setakat malam tadi tiada mana-mana pihak mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu.

Berikutan kejadian itu, semua sukarelawan dan wartawan akan dibawa keluar dari Mogadishu secepat mungkin menggunakan pesawat Charlie milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), kini berada di Seychelles yang mengambil masa tiga jam perjalanan untuk tiba ke ibu negara terbabit.

“Mengikut perancangan, semua anggota misi akan cuba dibawa keluar malam ini (malam tadi) tetapi keadaan sangat berbahaya dan semuanya bergantung kepada situasi semasa,” katanya.

Nor Azizah berkata, semua anggota sukarelawan lain dan petugas media kini dalam keadaan selamat dan diberikan kawalan keselamatan yang ketat oleh pasukan keselamatan.

“Kami semua dikumpulkan di hotel penginapan, tetapi tidak dibenarkan masuk ke bilik masing-masing,” katanya.

Misi kemanusiaan diketuai Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim bersama 55 sukarelawan terdiri daripada 18 doktor dan 17 pengamal media berlepas dari ibu negara pada 28 Ogos lalu dan dijangka pulang ke tanah air pada 8 September ini., bharian

Maut sehari sebelum nikah

KULAIJAYA: Impian jurukimpal ke jenjang pelamin buat kali ketiga bersama bekas rakan sekolah yang dikenalinya sejak 15 tahun lalu tidak kesampaian, apabila lelaki berkenaan maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 38.6, Lebuhraya Utara-Selatan, berhampiran tol Sedenak dekat sini, semalam.
Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa, Mohamad Jamal Embok Hitam, 36, meninggal dunia di tempat kejadian apabila kereta Honda dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas di lokasi kejadian.

Ibu mangsa, Fatimah Ismail, 54, berkata, dia tidak menyangka kenduri pernikahan anak sulungnya itu bersama tunangnya, Norida Bandu, 30, seorang kerani di Benut, Pontian, yang sepatutnya berlangsung jam 8.30 pagi ini bertukar menjadi kenduri arwah.

“Saya sepatutnya menyambut menantu baru esok (hari ini), sebaliknya perkara yang tidak pernah terfikir berlaku apabila terpaksa membawa pulang jenazah Jamal. “Selama ini, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan dan hanya gembira kerana bakal mendirikan rumah tangga bersama rakan sekelas yang dikenalinya sejak 15 tahun lalu selepas menduda setahun selepas bercerai dengan isteri kedua, tahun lalu.

“Cuma, tadi (semalam) dia tidak meminta izin saya ketika keluar rumah kerana saya pernah berpesan supaya jangan terlalu kerap keluar memandangkan dia berdarah manis (bertunang),” katanya.

Menurutnya, Allahyarham bercuti 10 hari menyambut Hari Raya dan bernikah serta bersanding di rumahnya Ahad depan.


“Mohamad Jamal yang bangun pada tengah hari tadi (semalam) berbual seperti biasa dengan saya, namun mungkin ketika saya sibuk mengemas rumah dia mengambil kesempatan menjemput adik perempuan dan adik iparnya di Johor Bahru.

“Saya hanya menyedari ketiadaan Allahyarham selepas Nursinah, 33, anak bongsu daripada dua beradik, menghubungi dan menyatakan Mohamad Jamal dalam perjalanan ke rumahnya untuk menjemput dia dan suami,” katanya.
Menurutnya, dia terkejut apabila dimaklumkan anggota keluarga dua anak dan menantunya terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Parit Kerimun, Benut, Pontian.

Katanya, semua persiapan dilakukan untuk majlis pernikahan mahupun persandingan pada hari ini dan esok sia-sia.

“Allahyarham pernah berkahwin dua kali sebelum ini dan mempunyai tiga anak hasil perkahwinan pertama. Bagaimanapun, jodoh mereka tidak panjang.

“Bagaimanapun, arwah gembira apabila bertunang dengan rakan sekolah yang dikenali sejak 15 tahun lalu, namun malangnya, hasrat memperisterikan Norida tidak kesampaian.

“Kami sudah mengedarkan kad undangan perkahwinan kepada 200 jemputan sekitar Pontian dan berharap, mereka tetap datang untuk majlis kenduri hari ini,” katanya.

Sementara itu, sepupu Allahyarham, Azmi Ahmad, 42, berkata, kali terakhir dia berjumpa Allahyarham ketika Allahyarham mengunjungi kediamannya mengedarkan kad jemputan, petang kelmarin (raya ketiga).

“Semalam (kelmarin) adalah kali pertama Allahyarham menjamu selera di rumah saya. Pada pertemuan terakhir kami, Allahyarham meninggalkan beberapa kad kahwin dan memesan supaya saya mengedarkannya,” katanya.

Jenazah Jamal dijangka dikebumikan di tanah perkuburan Islam Benut, Pontian di sini, hari ini.

Barang kemas RM200,000 dilarikan dalam tempoh tiga minit





2011/09/02


KLANG: Empat lelaki bersenjatakan kapak, parang dan 
tukul hanya mengambil masa kira-kira tiga minit untuk melarikan barang kemas
bernilai kira-kira RM200,000 dari sebuah kedai emas di Jalan Stesen di sini hari ini. Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata dalam
kejadian kira-kira 2.20 petang itu, empat suspek yang memakai topi keledar 
meluru masuk ke dalam kedai emas itu manakala empat lagi yang turut memakai 
topi keledar menunggu dengan empat buah motosikal di luar kedai emas berkenaan. 
Empat perompak yang memasuki kedai emas itu terus bertindak memecahkan 
cermin pameran yang menempatkan barang kemas sebelum melarikannya, 
katanya kepada pemberita di sini hari ini. 
"Tiada kecederaan dilaporkan dan semasa kejadian tiada pelanggan berada di kedai berkenaan sementara terdapat tujuh pekerja yang sedang bertugas," katanya. 
Beliau berkata ini merupakan kali pertama kedai emas yang dilengkapi dengan 
kamera litar tertutup (CCTV) itu dirompak dan siasatan lanjut sedang 
dijalankan bagi mengesan kesemua suspek. 
Mohamad berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun 
Keseksaan. 
Sementara itu salah seorang peniaga di premis berdekatan yang enggan 
dikenali berkata beliau sedang berada di dalam kedainya apabila terdengar bunyi 
alat penggera dari kedai emas berkenaan. 
"Saya kemudian ternampak dua lelaki memakai topi keledar dan bersenjatakan 
kapak dan parang berlari keluar dari kedai emas itu sambil memegang barang kemas 
dengan tangan mereka. 
"Mereka kemudian menaiki motosikal kapcai dan terus bergerak menghala ke 
arah Jalan Kampung Jawa," katanya. 
Peniaga itu berkata beliau turut menjumpai tiga keping emas di atas jalan 
dipercayai tercicir daripada perompak terbabit dan meminta pekerja kedai emas 
berkenaan mengambil semula emas tersebut. 
Seorang lagi peniaga berkata beliau terus berlari ke dalam sebuah kedai 
bersebelahan kedai emas berkenaan apabila terdengar bunyi alat penggera dan 
kemudian ternampak dua lelaki memakai topi keledar berlari keluar dari kedai 
emas itu sambil memegang sejumlah barang kemas di dalam tangan mereka.-- BERNAMA 

Gempa 7.1 Richter gegar Kepulauan Aleutian





2011/09/02

KUALA LUMPUR: Gempa bumi 7.1 pada skala Richter 
menggegarkan Kepulauan Aleutian di Lautan Pasifik Utara pada 6.56 petang 
ini.
Menurut Jabatan Meteorologi gempa bumi itu tidak menimbulkan ancaman tsunami kepada Malaysia.
Bagaimanapun jabatan akan terus memantau perkembangan gempa bumi itu. -- BERNAMA 

Jurukamera BERNAMATV maut ditembak di Somalia

Foto


KUALA LUMPUR: Jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor, 41, meninggal dunia selepas terkena tembakan curi semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia dan BAKTI di Mogadishu, Somalia, malam ini.

Wartawan BernamaTV, Khairulanuar Yahaya, yang turut serta dalam misi itu berkata, dalam kejadian 10.30 malam waktu Malaysia itu, Noramfaizul bersama rakan media elektronik menaiki trak ke sebuah pusat komersial untuk menghantar berita apabila beliau terkena tembakan curi yang mengenai bahunya dan menembusi paru-parunya.
"Noramfaizul meninggal dunia semasa menerima rawatan pada 11.07 malam waktu Malaysia," katanya.
Waktu Malaysia lima jam lebih awal daripada Mogadishu.

Khairulanuar berkata, tembakan itu ditujukan kepada trak tentera kerajaan yang mengiringi pasukan media membuat liputan berita tetapi tersasar dan mengena Noramfaizul yang duduk berdekatan tingkap.

Misi tersebut yang berlepas pada 28 Ogos dari Kuala Lumpur, dijangka pulang 8 September ini. - BERNAMA 

Tipu guna nombor Bukit Aman



Ahli sindiket Macau Scam akan membuat panggilan secara rambang untuk mencari mangsa.


KUALA LUMPUR – Kes-kes penipuan tidak pernah surut. Saban hari pasti ada individu yang menjadi mangsa penipuan sama ada oleh sindiket yang berpangkalan dalam negara mahupun di seberang laut.
Pelbagai modus operandi digunakan oleh sindiket-sindiket terbabit untuk meraih wang daripada mangsa-mangsa. Tren paling mudah kebelakangan ini ialah ahli sindiket terbabit membuat panggilan telefon dengan menyamar sama ada sebagai pegawai polis atau pegawai bank.
Macau Scam merupakan salah satu sindiket yang berpangkalan di Taiwan dan Hong Kong, Sindiket itu dikesan paling aktif melakukan penipuan dengan membuat panggilan secara rambang kepada mangsa-mangsa termasuk rakyat negara ini.
Ketua Unit Keselamatan Siber, Bahagian Siasatan Jenayah Siber, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Supritendan Victor Sanjos berkata, berdasarkan laporan diterima, suspek-suspek yang menyamar sebagai pegawai polis kebiasaannya akan mendakwa mangsa mempunyai waran tangkap dan boleh ditahan.