Search This Blog

Friday, September 2, 2011

Polis Sedang Kesan Dua Beradik Berhubung Kes Cuba Curi Lembu Di Kuantan

KUANTAN: Polis sedang mengesan dua beradik yang dipercayai dapat membantu siasatan dalam kes cubaan mencuri lembu di Tanjung Putus, Bukit Rangin di sini Khamis.
Mereka dikenali sebagai Suhaimi Mat Yacob, 47, dan Mustaki Mat Yacob, 44, yang beralamat di Kampung Cherang Hangus, Bachok, Kelantan.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuantan, DSP Kamaruzaman Jaafar memberitahu pemberita pada Jumaat, kejadian tersebut berlaku pada 1.30 pagi.
Beliau berkata pemilik lembu berkenaan membuat laporan seekor lembunya turut ditembak.
Dia kemudiannya melihat beberapa orang melarikan diri dengan menaiki dua buah kereta tetapi salah sebuah daripadanya terbabas ke dalam longkang berhampiran.
"Bagaimanapun dua lelaki yang berada di dalam kereta terbabit berjaya melarikan diri," kata Kamaruzaman.
Polis kemudiannya mendapat pengenalan diri mengenai dua individu yang melarikan diri itu daripada maklumat yang terdapat dalam kereta tersebut. - BERNAMA, MSTAR

Bahan mudah terbakar ke IPD Melaka Tengah

MELAKA – Seorang lelaki yang tidak dikenali melemparkan satu botol berisi bahan mudah terbakar ke perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Salehhudin Abd Rahman berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira 10.05 malam, namun suspek masih belum dikenal pasti.
"Bahan mudah terbakar itu dilemparkan berhampiran sebuah kereta yang diletakkan di perkarangan IPD,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Salehhudin berkata, tiada kerosakan atau kecederaan dilaporkan akibat kejadian tersebut.
Beliau berkata, siasatan masih dijalankan termasuk untuk mengenal pasti motif perbuatan lelaki tersebut. – Bernama, KOSMO

Kanak-kanak perempuan maut digilis bas

IPOH – Seorang kanak-kanak perempuan terbunuh selepas digilis bas apabila dia terjatuh daripada motosikal yang ditunggang ibunya di Km 40 Jalan Teluk Intan-Sitiawan dekat Perak Tengah semalam.
Ketua Polis Trafik Negeri, Supt Wan Abdullah Ishak berkata, mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 3.20 petang semalam, Nor Ezwin Mohd Erwan, 6, berasal dari Kampung Bakar Arang, Kota Setia, Sungai Renggam, Perak Tengah.
"Mangsa yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, ketika kejadian mangsa membonceng motosikal yang ditunggang ibunya Rodiah Abdullah, 40-an dalam perjalanan dari Sitiawan ke Teluk Intan apabila dirempuh dari belakang oleh sebuah motosikal lain.
Katanya, akibat kejadian itu mangsa tercampak di atas jalan dan gilis oleh sebuah bas yang datang dari arah belakang, manakala ibu mangsa terselamat. – Bernama, KOSMO

Pelancong maut selepas teksi terbabas

KUANTAN – Seorang pelancong warganegara Arab Saudi maut selepas teksi yang dinaiki bersama dua rakannya terbabas ketika menuruni bukit dan selekoh tajam di Kilometer 4.7 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur, malam kelmarin.
Pegawai Penguat Kuasa Tadbir/Trafik Pahang, ASP Zainalabidin Othman berkata, dalam kejadian pada 10.30 malam itu, mangsa, Abu Bakar Abdullahi Mohamad, 17, bersama dua rakannya yang berusia lingkungan 20-an sedang dalam perjalanan dari Genting Highlands menuju ke ibu kota.
Beliau berkata, setiba di tempat kejadian, teksi yang dipandu lelaki berusia 30 tahun itu dipercayai hilang kawalan ketika menuruni bukit lalu terbabas sebelum merempuh penghadang jalan di sebelah kanan.
"Ekoran itu, mangsa yang duduk di bahagian hadapan tercampak keluar dari teksi dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, hari ini.
Katanya, pemandu teksi terbabit mengalami kecederaan di bahagian muka, manakala dua rakan mangsa yang turut cedera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya,” katanya. – Bernama

Ops Sikap: 18 maut dalam kemalangan jalan raya semalam


KUALA LUMPUR 2 Sept – Sebanyak 18 orang terbunuh dalam kemalangan jalan raya semalam iaitu hari ke-10 Ops Sikap-24, menjadikan jumlah kematian 184 orang.
Polis Bukit Aman dalam laman webnya hari ini melaporkan, penunggang motosikal mencatat jumlah kematian tertinggi sebanyak 14 orang.
Sebanyak 15 kes kemalangan maut direkodkan dan daripada jumlah itu, tiga kes dicatat di lebuh raya, jalan persekutuan (lapan), jalan negeri (dua), diikuti dengan satu kematian masing-masing di jalan bandaran dan jalan-jalan lain.
Sebanyak 6,334 saman dikeluarkan kepada pesalah trafik dalam operasi semalam. – Bernama, UTUSAN

Ibu Nur Ain terkilan



ULU TIRAM – Keluarga mangsa tikam 19 kali dan simbah asid, Nur Ain Ashikin Jemedi, 18, terkilan tidak dapat meluangkan lebih masa bersama sebelum mangsa disahkan meninggal dunia 7 Januari lalu.

Ibu mangsa, Tuminah Samsuri, 55, berkata, anak kedua bongsu dari enam beradik itu baru setahun tinggal bersamanya kerana sebelum itu dihantar ke Tunas Bakti selama dua tahun.

“Dia dihantar untuk ke sekolah itu pada tahun 2008, ketika arwah suami masih ada kerana Nur Ain mempunyai masalah untuk meneruskan persekolahan.

“Biarpun arwah bersekolah jauh, namun setiap kali perayaan, dia pasti balik ke rumah. Saya lihat sepanjang dia di sana, ada bibit-bibit perubahan ke atas dirinya dan saya bersyukur,” katanya yang ditemui Sinar Harian, di sini, baru-baru ini.


Pemergian Nur Ain amat dirasai

Bagi kakak sulung mangsa, Marlina Jemedi, 32, berkata, pemergian adiknya amat dirasai keluarga khususnya ibunya.

“Adik seorang yang ramah dan suka mengusik emak. Dia suka ajak emak berbual dan sejak kepulangannya dari Tunas Bakti, dia memang rapat dengan emak.

“Emak ada menyatakan perasaan ada kalanya teringat pada arwah adik dan kadangkala menitiskan air matanya secara tiba-tiba,” katanya.

Biarpun insiden itu berlaku Disember lalu, namun kisah itu masih berbekas dalam kehidupan keluarga memandangkan penjenayah merupakan anak angkat keluarga tersebut.

Marlina berkata, simpati dan sedih apa yang berlaku ke atasnya adiknya, dia hanya menemui Nur Ain tiga hari sebelum itu dan hanya mendengar suaranya pada malam sebelum kejadian.

“Saya kerja syif pagi dan jarang berjumpa sebab ketika saya tidur, adik baru pulang dari mengikuti pakcik berniaga udang di pasar malam. Tapi saya sempat mendengar suaranya pada malam sebelum kejadian dan dia kelihatan ceria.

“Tiada petanda pelik, cuma adik kelihatan rajin seminggu sebelum kejadian kerana sebelum ini Nur Ain jarang untuk membantu di dapur, namun ia berlaku sebaliknya,” katanya.

Marlina berkata, kesan tompokan darah di tilam dan bilik air masih kelihatan membuatkan mereka sekeluarga sering teringatkan Allahyarham setiap kali memandangnya.

“Tidak sangka tahun lepas merupakan tahun akhir kami beraya bersama. Biarpun selama ini adik tinggal berasingan, namun setiap kali raya, kami pasti bersama,” katanya.

Sementara itu, bagi abang mangsa, Khamis, 26, berkata, dia sememangnya pernah menegur lelaki terbabit (penjenayah) agar tidak mendekati adiknya, namun tidak diendahkan.

“Dia kerap datang dan saya banyak kali bersemuka memberitahu jangan paksa adik menyukainya, namun dia tetap berdegil.

“Perbuatannya (penjenayah) terhadap adik tidak boleh dimaafkan. Ia perbuatan yang kejam dan zalim,” katanya.

Jenazah Nur Ashikin dibawa pulang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Redan, Kota Tinggi selepas 23 hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI).

Dalam kejadian pukul 9.15 pagi 16 Disember lalu, mangsa yang berasal dari Kampung Baru Sungai Redan, Kota Tinggi ditikam bertubi-tubi dan disimbah asid, sehingga mengakibatkan dirinya melecur 75 peratus.

Habin Sulaiman, 42, dijatuhi hukuman penjara 19 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Tinggi, kerana cuba membunuh dan menyebabkan kecederaan parah dengan menikam 19 kalli dan menyimbah asid terhadap pada pertengahan Disember lalu.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
SH

Pantau kecurian penutup jalan



BALING - Penduduk setempat terutama di kawasan Pulai berharap pihak berwajib memantau kes kecurian penutup jalan yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Serong penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Zainal berkata, masalah kecurian penutup jalan sering dilakukan oleh penagih dadah yang tekad menjualnya untuk mendapatkan wang membeli dadah.

“Masalahnya sekarang adalah, ketiadaan penutup jalan ini amat membahayakan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal. Keadaan ini akan bertambah buruk ketika waktu malam. Kebanyakan penunggang motosikal mendakwa tidak dapat melihat lubang jalan sehingga membuatkan mereka gagal mengawal kenderaan lalu terjatuh.

“Setakat ini, memang banyak kejadian yang tidak dingini berlaku apabila penunggang motosikal melalui jalan tanpa penutup ini,” katanya.

Menurutnya, sekiranya tiada kemalangan sekalipun, kedalaman lubang jalan itu mampu merosakkan kenderaan pengguna.

“Saya faham, setiap kali penutup ini diganti, ada pula orang yang mencurinya. Sehubungan itu, saya menggesa pihak berwajib mencari alternatif untuk mengekang masalah ini dari terus berlaku. Masalah ini seharusnya dipantau dengan serius untuk keselesaan orang ramai,” katanya,

Menurutnya, baru-baru ini, seorang remaja terpaksa dikejarkan ke hospital apabila melalui jalan yang berlubang ini.

“Walaupun kecederaannya tidak parah, masalah penutup jalan ini perlu ditangani segera disebabkan masalah jalan berlubang ini telah terlalu lama. Penduduk setempat lebih berhati-hati ketika memandu di kawasan ini. Namun, golongan remaja sering menjadi mangsa kerana mereka sering memandu dengan keadaan laju sehingga gagal mengelak lubang berkenaan.

“Tambahan pula, keadaan lubang ini berada di kawasan persimpangan Kolej Komuniti ke Pasaraya Billon. Sekiranya penunggang dari arah Koleh Komuniti, mereka tidak akan dapat melihat lubang ini sehinggalah mereka membelok untuk ke pasaraya berkenaan,” katanya.

Zainal berkata, ketika waktu hujan, kawasan ini akan dinaiki air sehingga menutupi lubang berkenaan.

“Saya berharap pengguna terutama penunggang motosikal memperlahankan kenderaan mereka sekiranya melalui jalan di persimpangan Kolej Komuniti ini,” katanya.SH

Ombak luar biasa ragut nyawa



BALIK PULAU - Tanda tanya seorang bapa yang pelik dengan kelakuan anaknya sejak beberapa hari lepas akhirnya berjawab apabila anaknya itu pergi meninggalkannya buat selama-lamanya apabila lemas ketika sedang leka bermandi di Pantai Pasir Panjang dekat sini, semalam.

Jurutera, Ahmad Nasser Osman, 42, berkata, kelakuan anaknya yang sering mencium pipi dan memeluknya itu dirasakan satu kelainan berikutan anaknya tidak pernah berbuat demikian namun hanya mendiamkan diri kerana menganggap itu perkara biasa bagi seorang anak yang manja seperti anaknya itu.

“Saya tidak menyangka kejadian seperti ini akan berlaku berikutan kelakuan anak saya sejak kebelakangan ini agak pelik kerana dia kerap memeluk dan mencium pipi saya, mungkin dia dapat merasakan yang dia akan pergi meninggalkan saya buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui media di Hospital Balik Pulau (HBP), semalam.

Menurutnya, dia dan ahli keluarga yang tiba di pantai itu kira-kira jam 9 pagi pada mulanya sudah merasakan seperti ada yang ‘tidak kena’ apabila melihat keadaan ombak yang agak luar biasa namun tidak menyangka kejadian buruk akan menimpa ke atas keluarganya itu.

“Saya sudah tidak sedap hati apabila melihat keadaan ombak yang agak besar dan tinggi kira-kira satu meter namun membiarkannya sahaja berikutan memikirkan tiada apa yang akan berlaku kerana niat kami hanya mahu bergembira apabila dapat berkumpul bersama 10 ahli keluarga yang lain bagi menyambut hari raya bersama-sama dengan berkelah di sini namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

“Saya reda dengan kejadian yang menimpa ke atas keluarga saya yang mana anak kesayangan serta adik saya pergi buat selama-lamanya dalam kejadian yang tidak diingini ini,” katanya.

Ahli perniagaan, Abdul Razak Osman, 32, serta anak saudaranya, Abdullah Mukmin Ahmad Nasser, 12, meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital apabila lemas ketika bersama keluarga mereka berkelah di Pantai Pasir Panjang pagi semalam.

Ahmad Nasser berkata, ketika kejadian dia bersama dua mangsa serta abangnya, Abdul Lateh Osman, 43, mandi bersama yang mana air ketika itu hanya paras buku lali namun keadaan air bertukar menjadi luar biasa apabila ombak besar tiba-tiba melanda di kawasan pantai itu.

“Ombak besar tiba-tiba datang menyebabkan Abdullah hanyut dan adik saya cuba menyelamatkannya. Saya dan abang juga berusaha menyelamatkan mereka namun ombak ketika itu sangat besar menyebabkan kami tidak dapat berbuat demikian.

“Dalam beberapa minit, mereka hilang dari pandangan ditelan ombak. Kedua-duanya dihanyutkan ombak besar dan akhirnya mereka diselamatkan oleh anggota bomba dan nelayan namun Tuhan lebih menyayangi mereka apabila disahkan meninggal dunia di HBP,” katanya.

Abdul Razak dibawa naik ke darat kira-kira jam 11.10 pagi sementara Abdullah 20 minit kemudian dengan jarak kira-kira 100 meter dari pantai yang mana anggota bomba dan nelayan turut serta dalam operasi menyelamat.

Timbalan Ketua Polis Barat Daya, Deputi Superintendan Lai Fah Hin mengesahkan bedah siasat menunjukkan kedua-dua mangsa mati akibat lemas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Betong, Muhammad Farid Saad hadir di HBP dan menyumbang RM1,000 kepada keluarga mangsa.SH

Rezeki ditenggelami air



PENDANG - Keghairahan kira-kira 40 pesawah bawah program Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) di kawasan Pondok Chegar, Tanjung Radin, Lahar Buaya dan Paya Kerchut di sini menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga bertukar suram apabila hampir 87 hektar sawah padi milik penduduk musnah ditenggelami air.

Seorang pesawah, Bakar Abdul Mutalib, 35, berkata, hampir empat hektar sawah milik keluarganya yang sudah berbuah dan menunggu masa menuai musnah ditenggelami air akibat hujan tidak berhenti sejak beberapa hari lalu.

Pihaknya menganggarkan jumlah kerugian hampir RM6,000 terpaksa ditanggung disebabkan kejadian itu selain bimbang tidak cukup modal untuk membeli semula benih padi.

“Selalunya, apabila hasil padi dituai, kami boleh mendapat kira-kira 12 tan metrik berdasarkan keluasan sawah yang dimiliki.

“Bagaimanapun, keadaan kali ini berbeza apabila kami hanya mampu menuai hasil padi tidak sampai setengah daripada jumlah pengeluaran biasa yang diperoleh.

“Kejadian ini sudah berlaku empat tahun berturut-turut dan kami terpaksa menyambut hari raya dengan suasana sederhana disebabkan terpaksa mencari modal menanam semula benih padi,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Banggol Besi, di sini semalam.

Seorang lagi pesawah, Ramli Ahmad, 51, berkata, kejadian sawah padi ditenggelami air pada tahun ini adalah di luar jangkaan kerana kebiasaannya masalah itu berlaku penghujung September sejak empat tahun lalu.

Menurutnya, kebanyakan pesawah tidak menolak kemungkinan berlakunya kejadian itu lebih awal disebabkan sungai Tanah Merah yang tidak dibersihkan sehingga air hujan yang mengalir di sungai itu tersumbat dan menyebabkan paras air meningkat.

“Saya mohon jasa baik Mada untuk memberi bantuan sewajarnya kepada kami bagi memulihkan semula sawah yang tenggelam.

“Pada masa sama, saya berharap Mada dapat mencari inisiatif terbaik menyelesaikan masalah kenaikan air yang sering membelenggu kawasan padi di Pendang bagi mengelakkan perkara sama berulang,” katanya.

Sementara itu, Badariah Hashim, 54, ketika ditemui menyuarakan kekesalan kerana tidak dapat menyambut Aidilfitri dengan meriah disebabkan kejadian malang menimpa keluarganya.

“Saya berasa sedih. Sudahlah hasil tuai padi musnah ditenggelami air, malah tiga lembu milik saya turut dicuri sehingga menyebabkan persiapan hari raya kami terjejas teruk.

“Kami sekeluarga hanya menyambut raya secara ala kadar disebabkan terpaksa mengikat perut menyimpan modal menanam semula benih padi nanti. Jadi saya harap Mada tampil beri bantuan sewajarnya kepada kami,” katanya. SH

Malang di subuh Syawal



KULIM- Seorang remaja lelaki berusia 24, putus kedua belah kakinya apabila motosikal jenis Yamaha RXZ yang ditunggangi mangsa merempuh motosikal jenis sama di hadapannya sebelum terseret ke pembahagi jalan.

Mangsa ditemui di tengah jalan arah bertentangan dalam keadaan parah.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 2 pagi kelmarin apabila mangsa dan empat rakan lain datang dari arah Baling menuju ke Butterworth.

Katanya, mangsa yang cedera parah ditemui terbaring di tengah jalan arah bertentangan.

“Kejadian melibatkan lima motosikal dan dua kereta. Kesemua kenderaan terlibat dari arah sama.

“Seorang penunggang motosikal yang berada di hadapan telah merempuh bahagian belakang sebelah kanan sebuah kereta lalu terjatuh sebelum dilanggar oleh mangsa yang tidak sempat memberhentikan motosikalnya.

“Akibat rempuhan kuat itu, mangsa bersama motosikal tunggangannya terseret ke pembahagi jalan. Kedua-dua belah kaki mangsa putus dan mangsa tercampak di laluan bertentangan,” katanya.

Ghuzlan berkata, mangsa yang cedera dibawa ke unit kecemasan Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan. Kedua-dua kaki mangsa yang terputus ditemui di bawah pembahagi jalan. Kaki mangsa gagal disambung semula kerana kecederaan parah dialaminya.

Sehingga kini, mangsa yang parah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala tiga lagi dirawat di wad.

Seorang daripada penunggang motosikal terlibat cedera ringan dan menerima rawatan pesakit luar. Kes disiasat bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987. SH

Berat hati ibu jadi petanda



ALOR GAJAH - Rasa berat hati seorang ibu meninggalkan anak gadisnya untuk beraya di Ipoh, Perak, rupanya membawa petanda anaknya itu akan pergi buat selama-lamanya.

Nurkhairunnisa Abu Bakar, 23, meninggal dunia selepas motosikal ditungganginya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah motosikal lain di Jalan Masjid Tanah - Alor Gajah, berhampiran sebuah stesen minyak, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, mangsa menunggang motosikal Suzuki RG125 dengan membonceng seorang rakan serta kanak-kanak dari arah Masjid Tanah ke Alor Gajah dan dikatakan baru selesai mengisi minyak.

Bagaimanapun, pemboncengnya, Suziliana Draman, 20-an dan kanak-kanak terbabit, Nur Mohd Airil Aiman, 7 bulan, selain penunggang sebuah lagi motosikal hanya cedera ringan.

Ibu mangsa, Che Laili Mat Hussain, 43, berkata, dua hari sebelum Aidilfitri, anak sulungnya itu tidak turut sama pulang ke kampung halaman di Ipoh kerana terpaksa bekerja di sebuah resort di Ayer Keroh, pada hari raya pertama.

Menurutnya, dia memang merasa berat hati hendak meninggalkan Nurkhairunnisa atau nama panggilannya Along, bersama ibu saudaranya di Masjid Tanah.

“Berulang kali saya bertanya pada arwah sama ada dia berkecil hati ditinggalkan beraya di rumah ibu saudaranya tanpa tiga adiknya lain. Tapi arwah berkata, dia tidak terkilan.

“Pada pagi Ahad sebelum kami bertolak, arwah bersungguh-sungguh melambai tangan ke arah kami menyebabkan hati saya rasa sayu melihat wajahnya yang semakin jauh kami tinggalkan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Che Laili, arwah sempat memesan supaya membawa pulang kuih sepit dan kuih ros kerana teringin merasa kuih itu.

“Saya terus membeli ketika dalam perjalanan pulang ke Ipoh, meskipun tahu ia boleh dibeli semasa dalam perjalanan pulang semula ke Melaka nanti.

“Bahkan, saya sendiri rasa tidak sabar hendak memberikannya,” katanya.

Che Laili berkata, Allahyarham Nurkhairunnisa turut memberitahunya supaya mengajak saudara mara di Ipoh untuk pulang beraya di Melaka bersamanya, disebabkan dia tidak pulang ke kampung. Rupanya, ia benar-benar berlaku, tetapi masa ini saudara mara datang untuk menziarahi jenazah arwah.” katanya.

Sementara itu, bapa arwah, Abu Bakar Md Derus, 49, berkata, tidak menyangka perubahan sikap garang arwah anaknya kepada mudah mesra adalah petanda.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superitendan Abd Rahman Jid berkata, semasa kejadian, sebuah motosikal ditunggangi seorang warga India dari arah Lubok China hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar motosikal mangsa.

“Akibat pertembungan itu, kesemua mangsa tercampak ke atas jalan sebelum dibantu orang ramai.

“Mangsa yang cedera parah di kepala disahkan meninggal dunia oleh doktor perubatan sewaktu dalam ke Hospital Alor Gajah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini semalam.SH

Lelaki warga asing maut



GENTING HIGHLANDS -Seorang lelaki warganegara asing maut dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 4.7, Jalan Genting ke Kuala Lumpur kira-kira jam 10.30 malam kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, mangsa menaiki sebuah teksi dan duduk di bahagian penumpang hadapan.

Menurutnya, terdapat lagi dua penumpang yang juga warganegara asing berusia lingkungan 20-an duduk di bahagian duduk belakang.

“Setibanya di tempat kejadian, teksi yang dipandu lelaki berusia 30 dipercayai terbabas di selekoh dan kemudiannya melanggar pengadang jalan.

“Akibat kejadian itu, penumpang hadapan teksi tersepit dan disahkan meninggal dunia,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohamad Mansor berkata, pemandu teksi pula cedera di bahagian muka dan dua lagi penumpang mengalami kecederaan parah.

Menurutnya, kesemua yang cedera dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut, manakala mayat mangsa dibawa ke Hospital Bentong.

“Kemalangan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Susulan kejadian ini, saya ingin menasihatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati ketika memandu kenderaan masing-masing terutama apabila turun dari tempat tinggi,” katanya. SH

Kuntom sayu terkenang anak



MARANG – “Kehadiran Syawal ini menambahkan lagi kesa-yuan di hati makcik walaupun arwah meninggalkan kami lebih lima bulan lalu,” kata ibu mangsa kemalangan jalan raya, Kuntom Said, 66, yang kematian anaknya pada 27 Februari lalu.

Anaknya, Mohamad Shukri Awang, 41, maut akibat terbabit dalam kemalangan ngeri di Kilometer 13.5 jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Rusila, Marang ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Pengkalan Rajawali, Kuala Terengganu.

Dalam kejadian 4.30 pagi itu, Mohamad Shukri bersama sahabat baiknya, Ismail Ibrahim, 38, maut di tempat kejadian apabila kereta Toyota Corona dipandunya terbabas lalu terbalik selepas merempuh belakang lori.

Akibat rempuhan kuat itu, kedua-dua mangsa tersepit dalam kereta dan disahkan meninggal dunia selepas berjaya dikeluarkan dari kenderaan terbabit.

Rela berhabis untuk adik

Kuntom berkata, pemergian anak kelima daripada 14 adik beradik yang bekerja sebagai jurukimpal di sebuah syarikat swasta di Kemaman itu merupakan satu kehilangan besar bagi keluarga dan sehingga kini mereka masih bersedih dengan kehilangannya.

Menurutnya, kehidupan mereka sekeluarga sebelum ini banyak dibantu arwah dan arwah rela berhabis duit menanggung keluarga dan mengenepikan keinginannya sendiri.

“Selepas kematian suami beberapa tahun lalu, arwahlah yang banyak membantu meringankan bebanan keluarga ini termasuk menampung perbelanjaan persekolahan adiknya agar mereka dapat terus belajar.

“Hati ibu mana tidak sedih apabila mendapat tahu anaknya terlibat dalam kemalangan ngeri dan terpaksa menerima hakikat ia tidak dapat diselamatkan. Kemeriahan Syawal kali ini juga bertukar menjadi suram setelah pemergiannya,” katanya.

Sebelum kejadian, kata Kuntom, arwah bersungguh menyuarakan hasratnya yang ingin mengumpul wang bagi membaiki ruangan dapur rumah itu yang sering dinaiki air apabila hujan lebat namun hasrat arwah itu tidak kesampaian.

Ketika ditanya, apakah makanan kegemaran arwah apabila Ramadan dan Syawal, Kuntom berkata arwah anaknya kurang menggemari kuih-muih sebaliknya suka makan nasi berlaukkan kuah singgang sahaja.

Kuntom berkata, setiap hari itulah menu utamanya, sama ada puasa, hari raya atau hari biasa.

Arwah rapat dengan ibu

Terdahulu, abang arwah Mohamad Shukri, Mohammad Nazri Awang, 42, ketika ditemui Sinar Harian di Kuala Terengganu menyifatkan kehilangan adiknya itu begitu mengejutkan dan menyedihkan mereka sekeluarga.

Mohammad Nazri berkata, adiknya seorang pengimpal secara kontrak dengan syarikat cari gali minyak beroperasi di darat mahupun di pelantar minyak sekitar perairan Kemaman sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, dia juga tidak menyangka adiknya itu akan pergi meninggalkan mereka buat selama-lamanya memandangkan arwah begitu rapat dengan ibu, selepas kematian bapa mereka beberapa tahun lalu.

“Paling menyentuh hati kami sekeluarga apabila terkenangkan arwah ketika itu sedang menjalani pemeriksaan kesihatan dan dalam proses mendapat pas bekerja sebagai pengimpal di pelantar minyak,” katanya.

Syawal kali ini berbeza, namun mereka tidak lupa menziarahi pusara arwah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja, Chendering, Kuala Terengganu pada hari mulia ini.

Keluarga Kuntom turut menerima pampasan RM21,500 daripada Construction Industry Development Board (CIDB) Malaysia melalui skim Takaful Keluarga Berkelompok beriku-tan kematian anaknya itu.
SH

Harlizan kongsi kisah duka di Lombok



KUALA TERENGGANU – Pengalaman menjadi pelarian di perantauan pagi hari raya cukup memberi kesan kepada ibu tunggal, Harlizan Ibrahim, 36 walaupun kini selamat kembali ke tanah air.

Demi cinta pandang pertama bersama jejaka yang menjadi pilihannya dari Lombok, Indonesia, Harlizan sanggup menetap di sana berjanji sehidup semati membina kehidupan bahagia yang diidamkan.

Namun takdir Tuhan tiada siapa dapat menyangka, semua itu berlaku hanya untuk seketika, apabila semuanya musnah kerana insan yang selama ini disanjung, Abdullah Asbi terputus hubungan setelah kembali ke Malaysia kononnya pergi mencari rezeki.

“Saya sempat beraya di sana selama dua tahun, tetapi paling sedih, hanya raya tahun pertama sahaja dirai bersama Asbi.

“Semuanya menjadi duka apabila raya tahun kedua, dia (Asbi) tidak lagi dapat dihubungi walaupun pada waktu itu saya telah selamat melahirkan anak lelaki, Zulfaqar Abdullah Asbi yang ketika itu berusia lima bulan,” katanya yang masih tidak dapat melupakan peristiwa hitam itu ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Nibong Atas, di sini.

Larikan diri pada hari raya keenam

Menurutnya, akibat tidak dapat menahan penderitaan yang dialami, pada hari raya keenam, Harlizan nekad melarikan diri dengan membawa anak yang dibungkus dengan kain tuala.

“Sebenarnya saya takut untuk berada di negara itu kerana visa telah tamat tempoh, bimbang berlaku sebarang kejadian buruk terhadap kami anak beranak,” katanya.

Pada hari berkenaan, orang lain masih sibuk menyambut Aidilfitri, tetapi Harlizan, pada jam 6 pagi sudah berada di Pekan Narmada untuk bertemu dengan pihak berkuasa di sana.

“Pada mulanya saya mahu ke pejabat duta Malaysia di sana, tetapi semua orang cakap tempat itu terlalu jauh dan dengan keadaan yang tidak cukup duit, saya gagahkan diri membawa anak dengan menumpang sebuah motosikal ke balai polis Narmada.

“Satu hari suntuk saya berada di balai polis itu dan hanya makan bijirin yang dibelikan seorang anggota polis kerana kasihan melihat keadaan saya dan anak,” katanya.

Dibawa ke rumah sakit jiwa

Kemudiannya, dia ditempatkan di Forest Gerong dengan layanan yang begitu baik, seterusnya tinggal di Bude Rene iaitu tempat perlindungan ibu dan anak.

Setelah penat seharian terumbang-ambing dibawa ke sana sini, fikirannya mula melayang teringat akan kampung halaman dan terus menghubungi kakaknya, Hartini Ibrahim, 38, menceritakan keadaan sebenarnya yang sebelum ini dikhabarkan elok belaka.

Bagaimanapun akibat tertekan berikutan berita mengenai anaknya tidak dapat dibawa pulang ke Malaysia kerana disahkan menjadi kerakyatan Indonesia dan masalah rumah tangga, Harlizan pernah dua kali dibawa ke rumah sakit jiwa sepanjang berada di pusat perlindungan berkenaan.

Pelbagai usaha dilakukan untuk membawa mereka pulang, akhirnya nasib menyebelahinya. Akhirnya dia dan anaknya berjaya dibawa keluar dari Indonesia, malah Zulfaqar, berjaya memperoleh kerakyatan Malaysia.

Kini setelah hampir empat bulan berada di kampung, dia beransur pulih dan semakin berisi.

Harlizan perlahan-lahan berusaha membuang kenangan hitam dalam hidupnya untuk memulakan hidup baru bersama anaknya.

Teruja beraya di kampung halaman

“Saya sangat bersyukur kerana dapat berkumpul bersama tujuh lagi adik beradik lain pada pagi raya bersama ibu, Siti Hasmah Sheikh Puteh, 67, sehingga ingatan kepada bekas suami dapat dibuang jauh-jauh.

“Persiapan menyambut hari raya kali ini disediakan lebih awal kerana saya memang teruja beraya di kampung sendiri daripada negara orang, walaupun budaya mereka lebih kurang sama dengan Malaysia,” katanya.

Namun dalam kegembiraan menyambut Aidilfitri, ada timbul perasaan kesal kerana raya kali ini dia tidak lagi dapat mencium tangan arwah bapa, Ibrahim Abdullah yang pergi ke Rahmatullah hampir dua tahun lalu akibat strok.

Walau kesempatan itu tidak dapat dilakukan, Harlizan tidak lupa untuk menziarahi pusara ayahanda pada pagi raya bersama ahli keluarga lain.SH

Sikap buruk punca utama



KUALA TERENGGANU – Sikap dan tabiat memandu yang buruk faktor utama yang menyumbang kepada kemalangan jalan raya, berdasarkan Ops Sikap pada tahun 2009 dan 2010 sempena Aidilfitri di negeri ini.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Alias Hashim berkata, ia berdasarkan rekod pihaknya iaitu kebanyakan kesalahan jalan raya sehingga menyebabkan kemalangan dan kematian sepanjang Ops Sikap yang lalu adalah kesalahan membuat U-Turn, tayar meletup, memotong di kawasan selekoh, terbabas, salah masuk laluan dan cuai.

Menurutnya, semua punca kemalangan itu sebenarnya boleh dibendung sekiranya pemandu mengamalkan pemanduan berhemah dan mengikuti segala nasihat dikeluarkan pihak berkuasa.

“Sebenarnya, kebanyakan pemandu sudah sedia maklum tetapi ada segelintir yang masih mengamalkan sikap acuh tak acuh dan ‘tidak apa’ sehingga boleh mengundang risiko kemalangan.

“Ia terbukti apabila kawasan yang kita letakkan pondok polis statik dan rondaan MPV, pemandu akan lebih berhati-hati dan jarang berlaku kemalangan,” katanya kepada Sinar Harian, ketika ditemui di pejabatnya.

Apa yang menggerunkannya, berdasarkan perangkaan Ops Sikap sebelum ini, kemalangan biasanya berlaku pada minggu kedua ops itu, khususnya di jalan persekutuan.

Kata beliau, sepanjang Ops Sikap tahun lalu, sebanyak 612 kes kemalangan direkodkan, dan kebanyakan kemalangan berlaku di jalan persekutuan, iaitu sebanyak 330 kes manakala jalan bandaran pula 126 kes, diikuti jalan negeri sebanyak 93 kes, sembilan kes berlaku di lebuh raya dan selebihnya di jalan kampung.

“Sepanjang Ops Sikap ke-22 pada tahun lalu, sebanyak 12 kes kemalangan maut berlaku, menurun daripada Ops Sikap ke-20 pada 2009, iaitu sebanyak 24 kes. Jumlah kematian yang dicatatkan pula sebanyak 14 kes pada tahun 2010, berbanding 26 kes pada 2009,” katanya.

Ketika ditanya usaha yang dibuat oleh Polis Terengganu khususnya, dalam menangani masalah ini dan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutamanya pada musim perayaan, Alias berkata, banyak pendekatan yang diambil.

Antaranya, meningkatkan kehadiran polis di kawasan strategik dan rondaan berterusan oleh anggota polis MPV dan pemantauan dari masa ke masa.

“Kita juga membuat langkah pencegahan dengan mengeluarkan saman kepada pemandu yang didapati melakukan pelbagai kesalahan.

“Malah, sepanjang Ops Sikap tahun lalu, sebanyak 7,120 saman telah kita keluarkan, meningkat dari 2009 iaitu sebanyak 5,281 saman. Antara kesalahan yang banyak dicatatkan ialah tidak memakai tali pinggang keledar, pecut (saman ekor), memotong garisan berkembar dan barisan,” katanya.

Bagi operasi sempena Aidilfitri kali ini, Polis Terengganu telah mengerahkan 170 anggota trafik dan tugas awam untuk bertugas serta membuat pemantauan di kawasan panas seluruh negeri.

Lima jalan maut

Terdapat beberapa jalan hitam yang dikenal sebagai jalan maut di negeri ini yang dikenal pasti kawasan yang kerap berlaku kemalangan dan menjadi ‘igauan ngeri’ bagi ramai pemandu.

Jalan dimaksudkan ialah di Jalan Kilometer (KM) 58, Jalan Jerangau-Jabor; Jalan KM 61, Jalan Marang-Dungun dan Jalan KM 54, Jalan Sungai Tong-Permaisuri.

Menurut Alias, Jalan Jerangau-Jabor misalnya, agak sibuk pada waktu tertentu, terutamanya pada waktu petang kerana banyak lori menggunakan laluan itu manakala pada waktu malam, keadaan di situ gelap.

“Pemandu kena lebih berhati-hati kerana selain keadaan gelap, bahu jalannya kecil dan berbahaya kepada kenderaan, terutamanya yang berhenti kerana kecemasan,” katanya.

Selain itu, katanya, terdapat tujuh perbuatan yang boleh menyebabkan kemalangan maut, iaitu memandu melebihi had laju, tidak mematuhi lampu isyarat merah, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, mengekori kenderaan terlalu rapat dan memandu secara bahaya (menggunakan telefon bimbit).

“Sepanjang musim perayaan, saya harap orang ramai, khususnya pemandu mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan di jalan raya.

“Pastikan kenderaan, khususnya bahagian mekanikal telah diperiksa dan dihantar servis, mengamalkan pemanduan berhemah dengan mengikut ara-han dan peraturan jalan raya serta jaga kesihatan diri, berhenti sekiranya mengantuk,” katanya lagi.

Solat Safar sebelum mula perjalanan

Masyarakat khususnya orang Islam digalakkan untuk mengamalkan amalan sunah sebelum memulakan perjalanan.

Imam Besar Negeri Terengganu, Aizi Saidi Abdul Aziz berkata, bagi mereka yang bermusafir misalnya, sangat digalakkan untuk melaksanakan solat Safar dua rakaat agar perjalanan yang akan dilalui dipermudahkan oleh-Nya.

Menurutnya, amalan itu agak jarang dilakukan, sedangkan ia sebenarnya adalah salah satu ikhtiar sebagai orang Islam supaya perjalanan yang dilalui diberkati dan dilindungi Allah SWT.

“Seharusnya, setiap amalan kita bersandarkan agama dan ia tidak terhad apabila kita ditimpa kesusahan sahaja. Sebab itu dalam segala hal, ia harus berlandaskan agama,” katanya.

Selain itu katanya, langkah pencegahan perlu diambil bagi mengelakkan sebarang kemalangan atau perkara yang tidak diingini berlaku.

Katanya, pemandu khususnya perlu bertimbang rasa sewaktu berada di jalan raya dan melihat kesusahan orang lain sebelum melakukan sebarang tindakan yang boleh membawa musibah kepada orang lain.

Bagi mereka yang kehilangan keluarga akibat musibah pula, Aizi berpesan, sebagai umat Islam, perlu redha dengan ketentuan Ilahi dan tidak perlu meratapi pemergian orang yang tersayang, sebaliknya mendoakan agar mereka sentiasa dalam lindungan rahmat-Nya.SH

Tebuk dinding pecah masuk kedai emas



BESUT – Sebuah kedai emas di Jalan Bukit Mok Mek, bandar Jertih di sini mengalami kerugian lebih kurang RM200,000 apabila dipecah masuk awal pagi hari raya kedua, setelah suspek bertindak menebuk dinding kedai berkenaan.

Suspek dipercayai lebih daripada seorang terlebih dahulu masuk melalui sebuah ruang kedai kosong yang terletak di tingkat satu bangunan kedai tiga tingkat itu sebelum turun melalui tangga sebelah kemudian menebuk dinding untuk ke masuk kedai tersebut.

Pemilik kedai emas yang dikenal sebagai Hishamuddin, 31, memberitahu, dia menyedari kejadian itu apabila dihubungi jirannya pada jam 7.45 pagi kelmarin memberitahu terdengar bunyi seperti orang sedang menebuk dinding di dalam kedainya.

Menurutnya, dia yang tinggal di Kampung Kubang Depu bergegas ke tempat kejadian kemudian mendapati ada seorang lelaki berada berhampiran kedainya, turut kelihatan sebuah Perodua Myvi.

“Tiba di tempat keja-dian, saya tidak turun dari kenderaan sebaliknya saya ronda beberapa kali dan ternampak dua lagi lelaki keluar dari lorong belakang menghampiri kereta tersebut, bagaimanapun dua lelaki tersebut tidak menaiki kereta berkenaan.

“Melihat keadaan mencurigakan saya hubungi polis, tidak sampai dua minit polis tiba” katanya.

Katanya, mungkin menyedari kehadiran polis, seorang suspek menunggu di kereta itu melarikan diri dan dikejar dua kereta polis termasuk peronda.

Bagaimanapun suspek tidak sempat menebuk bilik kebal dan peti besi tempat menyimpan barang emas.

“Cubaan mereka untuk tebuk bilik kebal gagal. Kalau dalam masa empat hingga lima jam mereka berada di dalam kedai tersebut kemungkinan besar mereka dapat buka bilik kebal dan peti besi.

“Mereka juga merosakkan komputer selain melarikan perakam kamera litar tertutup (CCTV)," katanya yang turut memuji sikap cakna jirannya dan ketangkasan pasukan polis.

Katanya, dipercayai akibat tergesa-gesa menyebabkan suspek tertinggal pelbagai jenis peralatan untuk pecah dinding kedai tersebut termasuk gerudi.

Difahamkan pasu-kan polis yang diketuai Ketua Unit Tindak Cepat (UTC) Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, Inspektor Mohd Rusdi Roslin berjaya memitas kenderaan suspek berhampiran Jambatan Sungai Besut dekat Seberang Jertih setelah beberapa minit mengejar kenderaan suspek.

Terdahulu sebelum itu, dikatakan suspek telah melarikan diri ke arah Kampung Raja tetapi sebaik tiba di Kampung Nyior Tujuh mereka berpatah balik ke Jertih kemudian menuju ke Pasir Putih.

Suspek berusia sekitar 28 tahun beralamat di Bentong, Pahang ditahan untuk membantu siasa-tan termasuk kemungkinan terlibat dengan kes di tempat lain sebelum ini.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Sementara itu, polis mencari tiga daripada empat suspek termasuk seorang wanita dipercayai aktif terlibat dalam kes pecah rumah di negeri ini dan di sekitar Lembah Klang kini dicari pihak polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, salah seorang suspek yang berumur 28 tahun dan berasal dari Bentong, Pahang itu berjaya ditahan.

“Pemeriksaan polis mendapati perompak berkenaan hanya berjaya melarikan sebuah bekas berisi serbuk emas dan barangan perak dan suspek juga dikesan guna dua kenderaan berbeza," katanya.
-SH

Baju raya pengubat rindu



KEMAMAN – Saat keluarga Islam lain gembira menyambut 1 Syawal, keluarga besar Tuan Wook Badariah Tuan Mat, 47, di Kampung Gong Cengal, Kemasik, di sini, masih dirundung duka.

Tragedi berdarah di Kilometer 127 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, di persimpangan Awana Kijal yang meragut nyawa tiga ahli keluarga mereka pada tanggal 18 Ogos lalu seolah-olah baru semalam berlaku.

Tuan Wook Badariah berkata, lebih perit bila mengenangkan anaknya, Nik Herna Ariany Mokhtar, 28, menantunya, Aswari Ariffin, Mohd Aswari Ariffin, 36 dan cucunya, Muhammad Airell Zulfairy, 4, tahun meninggal dunia dalam perjalanan pulang selepas pergi membeli pakaian raya di Kuantan, Pahang.

“Pada mulanya saya dan suami merancang membeli pakaian raya anak selepas anak kedua saya dan suaminya membeli baju raya mereka sekeluarga dan anak bongsu kami, Nik Nor Syafiqah, 10.

“Tapi apabila musibah ini terjadi, kami sudah tidak terfikir untuk membeli kelengkapan raya. Raya tahun ini kami pakai apa yang ada sahaja,” katanya ketika ditemui di kediamannya.

Luah ibu 10 anak itu, kehila-ngan tiga ahli keluarga serentak manakala anak bongsu pula parah bagaikan satu mimpi ngeri yang sukar diterima.

Namun, jauh di lubuk hati Tuan Wook Sabariah reda dengan segala ujian ALLAH SWT dan yakin segala ujian yang ditanggung mereka sekeluarga mempunyai hikmah di sebaliknya.

“Kalau ikutkan hati raya tahun ini sudah tidak bermakna tapi kami perlu kuat,” katanya.

Tuan Wook Badariah yang turut memiliki anak kembar tiga berkata, Nik Herna merupakan salah seorang daripada tiga anaknya yang sudah berkahwin manakala yang lain masih lagi bujang termasuk masih ada bersekolah.

Sementara itu, dalam nahas ngeri 18 Ogos lalu, tiga beranak berkenaan maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di seluruh anggota badan selepas kereta sewa yang dinaiki terbabas sebelum bertembung dengan Suzuki Swift.

Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat, kemala-ngan itu dipercayai berlaku apabila Perodua Viva yang dinaiki tiga beranak itu bersama Nik Nor Syafiqah terbabas lalu melanggar tiang lampu di tengah jalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta dipandu Ahmad Tajuddin.

Jenazah tiga beranak itu kemudian dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Pekan Kemasik.

Rancang upah haji

Walaupun terpaksa melalui dugaan yang maha berat, namun Tuan Wook Badariah dan suami, Mokhtar Said, 52, bersyukur kerana ramai pihak yang bersimpati dengan nasib mereka sekeluarga sekali gus sedikit sebanyak memberi mereka kekuatan untuk meneruskan kehidupan.

Keluarga berkenaan turut menerima kunjungan Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang turun padang menziarah dan menyampaikan sumbangan.

Turut menziarah, Adun Kemasik, Ir Rosli Othman bersama isteri dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kemaman, Rohani Abdullah.

Sumbangan RM1,200 turut diberikan kepada empat anak Tuan Wook Badariah yang masih bersekolah berserta bantuan lain meringankan beban ditanggung.

“Kami sekeluarga bersyukur mendapat sumbangan ini daripada Datuk Seri (Ahmad Shabery). Insya-Allah, kami merancang lakukan upah haji untuk keluarga arwah Nik Herna tiga beranak.

“Hanya ini yang mampu kami lakukan dan diharap roh mereka bertiga tenang di sana,” katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga kini hanya menumpukan perhatian mengadakan tahlil arwah Nik Herna tiga beranak. Arwah anak keduanya itu juga merupakan Ketua Puteri UMNO Cawangan Bukit Kukuran.

Baju raya pengubat rindu

Beberapa seluar jeans dan baju T yang tidak sempat dipakai Muhammad Airell Zulfairy, menjadi pengubat rindu Tuan Wook Badariah sekeluarga jika rindukan keletah cucunya itu yang juga anak tunggal hasil perkongsian hidup Nik Herna dan Aswari.

Seluar jeans dan baju itu masih berkeadaan elok dan ditemui dalam bonet kereta sewa dipandu menantunya itu sementara barangan lain yang dibeli dan diletakkan dalam ruangan kereta rosak akibat keadaan kereta remuk teruk selepas kemalangan.

Kata Tuan Wook Badariah, memandangkan anak kedua dan cucunya itu tinggal bersama mereka sekeluarga jadi hubu-ngan antara mereka sangat rapat manakalanya menantunya pula bekerja di Gebeng, Pahang dan akan pulang setiap hari minggu.

Kini hanya seluar dan baju itu yang tinggal bersama kenangan.

Pada masa sama keluarga itu berharap Nik Nor Syafiqah yang mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu akan cepat sembuh.SH

Hilang tiga anak, cucu



PASIR AKAR – Aidilfitri kali ini disambut suram oleh Zabedah Teh, 50, apabila keluarga besarnya berkurangan selepas tiga anaknya lelaki dan seorang cucunya meninggal serentak selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 67.5 jalan Permaisuri-Penarik dekat Kampung Nyatuh, Setiu pada 31 Oktober tahun lalu.

Bagi Zabedah, ketika umat Islam lain bergembira menanti hari lebaran itu, tetapi dia berasa sangat hiba sekali untuk menempuhi hari gembira itu memandangkan seramai enam insan tersayang pergi meninggalkannya buat selama-lama pada tahun sama tahun lalu.

Ketabahan diuji lagi

Katanya, selain tiga anak dan seorang cucunya meninggal dunia sekali gus, terdahulu sebelum itu iaitu pada 27 Januari tahun lalu, dia sudah melalui hari sedih apabila suami tercinta, Sidek Omar terlebih dahulu dijemput Penciptanya.

Belum pun kering air mata dengan pemergian insan terbabit, lima hari kemudian, ketabahannya diuji lagi apabila ibu tersayang, Bunga Dollah pula menyusul pergi.

“Pada Hari Raya Aidilfitri tahun lalu saya sudah sambut hari lembaran itu tanpa suami dan ibu tercinta dan tahun ini dugaan lebih hebat kerana empat lagi tiada menjadikan enam semuanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Cina, di sini dekat Hulu Besut.

Tiga anaknya yang meninggal dunia dalam kemalangan itu termasuk Noorazydyelwy Sidek, 32, Noor Azry Elmy, 29 dan Noor Afzan Efizaman Sidek, 16 serta cucunya Nor Amysha Maisarah iaitu anak Nor Azry Elmy.

Dalam kemalangan membabitkan kereta Proton Wira yang dinaiki mereka dengan sebuah van kira-kira 1.30 petang itu menyebabkan ketiga-tiga anak Zabedah mati di tempat kejadian, manakala cucunya meninggal di hospital.

Tidak boleh dengar lagu raya

Zabedah berkata, dia kini langsung tidak boleh mendengar lagu hari raya yang didendangkan menerusi corong radio atau televisyen.

“Kalau dengar lagu hari raya, saya akan matikan radio kerana kalau tidak saya akan menangis semahunya kerana terkenangkan mereka. Saya berusaha gagahkan diri dan menerima ketentuan Tuhan, tetapi entah kenapa air mata ini mahu juga mengalir.

“Sebab itu sekarang saya suka duduk sunyi dan tidak membuka radio kerana tidak dapat menghadapi kesedihan itu,” katanya yang kini tinggal lima anak berusia sembilan hingga 32 tahun.

Menurutnya, mana mungkin mudah untuk dia melupakan anak tercinta terutama Noorazydyelwy kerana ketika hayatnya dia paling kuat berceloteh, malah sering membantunya dari pelbagai sudut termasuk kewangan.

Kini bagi mengubati rindu pada insan itu, saban minggu terutama pagi Jumaat dia akan menziarahi kubur mereka di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Bual.SH

Terperosok ke bahagian depan kereta



BESUT– Seorang kakitangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Chendering, Kuala Terengganu terbunuh apabila motosikal yang dinaikinya terbabas sebelum dilanggar sebuah kereta di selekoh Kampung Padang Bual, Hulu Besut, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.50 petang itu, mangsa Mohd Nor Hasrul Basiran, 24, menaiki motosikal bersendirian dari arah Keruak, Hulu Besut ke Jerti:h.

:Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas alami kecederaan parah.

Menurutnya, mangsa dari perjalanan dari rumah rakan di Keruak dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Besi namun apabila sampai di tempat kejadian dipercayai motosikal mangsa telah terbabas akibat jalan licin.

“Setelah terbabas motosikal dan mangsa telah menggelongsor ke laluan bertentangan, malangnya pada masa sama datang sebuah kereta lalu merempuh mangsa dan motosikal.

“Oleh sebab jarak dekat, pemandu kereta, Mohd Noor Che Seman, 35, dari Kampung Chalok, Setiu tidak sempat mengelak menyebabkan motosikal terperosok di bahagian depan kereta,” katanya.

Mayat mangsa yang masih bujang di hantar ke bilik mayat Hospital Besut untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.

Kemalangan maut ini yang kedua dicatatkan berlaku di daerah ini sepanjang Ops Sikap 24 dilaksanakan.

Sementara itu, rakan mangsa, Mohd Azmi Che Harun, 26, berkata, sebelum itu mangsa dan 19 rakan lain telah berkonvoi dengan motosikal ke rumah rakannya (Mohd Azmi) di Kampung Keruak.

“Kami tiba di Kampung Keruak kira-kira jam 6 petang tetapi 15 minit kemudian belum pun sempat naik ke atas rumah kawan saya, Mohd Nor Hasrul tergesa-gesa mahu pulang semula ke Dungun.

“Kami larang dia balik seorang diri dan minta dia pulang bersama selepas Isyak tetapi katanya ada kenduri di rumah keluarganya,” katanya.

Mohd Azmi berkata, dia mengetahui rakan sekampungnya itu meninggal dunia kira-kira jam 9 malam setelah dihubungi waris mangsa di Bukit Besi.SH

Selepas berjaya rompak kedai emas, geng 'Ops Tebuk' gagal rompak pajak gadai

KUALA LUMPUR - Enam lelaki yang ditahan ketika cubaan merompak sebuah kedai pajak gadai di Sungai Way, Petaling Jaya, semalam, didapati merompak sebuah kedai emas di Banting, Selangor, lima hari lepas.
Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata hasil siasatan mendapati mereka terlibat dalam rompakan kira-kira 10 malam pada 29 Ogos ketika hampir semua premis perniagaan di Banting ditutup menjelang Aidilfitri.

"Dalam rompakan itu, mereka memecahkan dinding kedai itu sebelum membawa lari sejumlah barang kemas bernilai RM450,000.

"Tidak cukup dengan itu, mereka cuba memecah masuk sebuah kedai pajak pada awal pagi 1 Sept, namun berjaya ditahan. Kita masih mengesan barang kemas yang dicuri itu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, kesemua enam suspek lelaki yang leka menebuk lubang di sebuah kedai gambar sebagai laluan masuk untuk menyamun kedai pajak bersebelahan, ditahan selepas sistem penggera kedai gambar itu berbunyi dalam satu kejadian di Sungai Way.

Mereka sebelum itu memecah masuk pintu belakang kedai kasut, kemudian menebuk lubang ke kedai gambar, sebelum cuba menebuk beberapa lubang lagi untuk masuk ke kedai pajak berkenaan.

Kesemua kedai itu terletak dalam satu deretan premis perniagaan dan turut berjiran dengan Balai Polis Sungai Way, kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.

Tun Hisan berkata hasil siasatan turut mendapati sindiket 'Ops Tebuk' itu didalangi lebih daripada enam suspek, dengan modus operandi mereka menebuk dinding premis perniagaan berdekatan dengan lokasi sasaran rompakan.

Katanya kumpulan itu menggunakan mesin gerudi khas bernilai RM10,000 yang dibeli di ibu kota bagi menebuk dinding untuk memasuki premis seperti kedai pajak gadai, kedai emas atau bank.

"Mereka yang ditahan berumur antara 32 dan 53 tahun, dengan ada yang bekerja sebagai penarik kereta, pembantu kedai urut, penjual VCD. Ada juga yang mempunyai pengalaman dalam bidang pembinaan.

"Empat daripada mereka mempunyai rekod lampau melibatkan kes jenayah dan dadah, dan dua lagi dalam 'wanted list' kerana kesalahan merompak. Kesemua mereka berasal dari Mentakab (Pahang), Segamat (Johor) dan Selangor.

"Kita percaya mereka terlibat dalam tujuh kes di Selangor seperti di Petaling Jaya, Gombak, Rawang, Shah Alam, Banting. Kita juga percaya kumpulan ini terlibat dalam kes seumpama itu di negeri lain seperti Pulau Pinang dan Perak," kata Tun Hisan.

Kesemua mereka ditahan reman sehingga 8 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Berdasarkan pemeriksaan fail polis melibatkan modus operandi seumpama itu mendapati kumpulan tersebut juga terlibat dalam rompakan di sebuah bank di Seri Kembangan lima tahun lepas.

Katanya ada tangkapan yang telah dibuat terhadap anggota kumpulan yang besar itu pada tempoh tersebut, dan saki-bakinya sedang diburu.

Beliau turut menasihatkan pengusaha premis perniagaan supaya tidak cuai atau mengendahkan bunyi penggera yang berbunyi.

"Ini kerana terdapat beberapa kes mendapati, penjenayah telah berada di dalam premis, tetapi kerana pengusaha perniagaan beranggapan penggera memang selalu bunyi atau rosak lalu tidak mengendahkannya, walhal mereka sudah berjaya merompak," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata dalam tempoh hampir seminggu musim perayaan ini, sebanyak 30 kes pecah rumah di siang hari dilaporkan berlaku berbanding 65 kes pada tahun lepas dalam tempoh yang sama.

Manakala 91 kes pecah rumah pada waktu malam dilaporkan berlaku berbanding 101 kes dalam tempoh yang sama, katanya. - Bernama, SH

Kegiatan Geng ”Ops Tebuk” dipatahkan

KUALA LUMPUR – Enam lelaki yang ditahan ketika cubaan merompak sebuah kedai pajak gadai di Sungai Way, Petaling Jaya, semalam, didapati merompak sebuah kedai emas di Banting, Selangor, lima hari lepas.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, hasil siasatan mendapati mereka terlibat dalam rompakan kira-kira 10 malam pada 29 Ogos ketika hampir semua premis perniagaan di Banting ditutup menjelang Aidilfitri.
"Dalam rompakan itu, mereka memecahkan dinding kedai itu sebelum membawa lari sejumlah barang kemas bernilai RM450,000.
"Tidak cukup dengan itu, mereka cuba memecah masuk sebuah kedai pajak pada awal pagi 1 September, namun berjaya ditahan. Kita masih mengesan barang kemas yang dicuri itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Semalam, kesemua enam suspek lelaki yang leka menebuk lubang di sebuah kedai gambar sebagai laluan masuk untuk menyamun kedai pajak bersebelahan, ditahan selepas sistem penggera kedai gambar itu berbunyi dalam satu kejadian di Sungai Way. – Bernama, kosmo

Enam ditahan kes pecah rumah

KUALA LUMPUR: Enam lelaki yang ditahan ketika cubaan merompak sebuah kedai pajak gadai di Sungai Way, Petaling Jaya, semalam, didapati merompak sebuah kedai emas di Banting, Selangor, lima hari lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata hasil siasatan mendapati mereka terlibat dalam rompakan kira-kira 10 malam pada 29 Ogos ketika hampir semua premis perniagaan di Banting ditutup menjelang Aidilfitri.
"Dalam rompakan itu, mereka memecahkan dinding kedai itu sebelum membawa lari sejumlah barang kemas bernilai RM450,000.
"Tidak cukup dengan itu, mereka cuba memecah masuk sebuah kedai pajak pada awal pagi 1 September, namun berjaya ditahan. Kita masih mengesan barang kemas yang dicuri itu," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Semalam, kesemua enam suspek lelaki yang leka menebuk lubang di sebuah kedai gambar sebagai laluan masuk untuk menyamun kedai pajak bersebelahan, ditahan selepas sistem penggera kedai gambar itu berbunyi dalam satu kejadian di Sungai Way.

Mereka sebelum itu memecah masuk pintu belakang kedai kasut, kemudian menebuk lubang ke kedai gambar, sebelum cuba menebuk beberapa lubang lagi untuk masuk ke kedai pajak berkenaan.

Kesemua kedai itu terletak dalam satu deretan premis perniagaan dan turut berjiran dengan Balai Polis Sungai Way, kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.
Tun Hisan berkata, hasil siasatan turut mendapati sindiket 'Ops Tebuk' itu didalangi lebih daripada enam suspek, dengan modus operandi mereka menebuk dinding premis perniagaan berdekatan dengan lokasi sasaran rompakan.

Katanya, kumpulan itu menggunakan mesin gerudi khas bernilai RM10,000 yang dibeli di ibu kota bagi menebuk dinding untuk memasuki premis seperti kedai pajak gadai, kedai emas atau bank.

"Mereka yang ditahan berumur antara 32 dan 53 tahun, dengan ada yang bekerja sebagai penarik kereta, pembantu kedai urut, penjual VCD. Ada juga yang mempunyai pengalaman dalam bidang pembinaan.

"Empat daripada mereka mempunyai rekod lampau melibatkan kes jenayah dan dadah serta dua lagi dalam 'wanted list' kerana kesalahan merompak. Kesemua mereka berasal dari Mentakab, Pahang; Segamat, Johor dan Selangor.

"Kita percaya mereka terlibat dalam tujuh kes di Selangor seperti di Petaling Jaya, Gombak, Rawang, Shah Alam, Banting. Kita juga percaya kumpulan ini terlibat dalam kes seumpama itu di negeri lain seperti Pulau Pinang dan Perak," kata Tun Hisan.

Kesemua mereka ditahan reman sehingga 8 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Berdasarkan pemeriksaan fail polis melibatkan modus operandi seumpama itu mendapati kumpulan tersebut juga terbabit dalam rompakan di sebuah bank di Seri Kembangan lima tahun lalu.

Katanya, ada tangkapan yang dibuat terhadap anggota kumpulan yang besar itu pada tempoh tersebut dan saki-bakinya sedang diburu.

Beliau turut menasihatkan pengusaha premis perniagaan supaya tidak cuai atau mengendahkan bunyi penggera yang berbunyi.

"Ini kerana terdapat beberapa kes mendapati, penjenayah berada di dalam premis, tetapi kerana pengusaha perniagaan beranggapan penggera memang selalu bunyi atau rosak lalu tidak mengendahkannya, walhal mereka sudah berjaya merompak," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, dalam tempoh hampir seminggu musim perayaan ini, sebanyak 30 kes pecah rumah di siang hari dilaporkan berlaku berbanding 65 kes pada tahun lalu dalam tempoh yang sama.

Manakala 91 kes pecah rumah pada waktu malam dilaporkan berlaku berbanding 101 kes dalam tempoh yang sama, katanya. - BERNAMA , bharian

32 kematian hari raya pertama, kedua

KENDERAAN sesak (kanan) dari arah Selatan ke Kuala Lumpur berikutan orang ramai pulang dari kampung halaman masing-masing ke ibu kota. Gambar dirakam pada jam 6.45 petang, semalam. - Foto Sairien Nafis
KENDERAAN sesak (kanan) dari arah Selatan ke Kuala Lumpur berikutan orang ramai pulang dari kampung halaman masing-masing ke ibu kota. Gambar dirakam pada jam 6.45 petang, semalam. - Foto Sairien Nafis

KUALA LUMPUR: Sebanyak 32 lagi kematian dicatatkan di seluruh negara pada hari raya pertama dan kedua, menjadikan keseluruhannya 166 orang maut di jalan raya dalam tempoh sembilan hari Ops Sikap ke-24 dilancarkan sempena Aidilfitri.

Paling menyedihkan, daripada 15 kematian dilaporkan pada hari raya pertama, semuanya membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal, menjadikan 23 penunggang dan pembonceng terbunuh dalam tempoh dua hari lalu.
Malah, daripada 166 kematian sejak sembilan hari lalu, 104 adalah penunggang dan pembonceng motosikal.
Keseluruhannya, 2,016 kemalangan dilaporkan pada hari raya pertama dan kedua, dengan yang tertinggi dicatatkan di Jalan Persekutuan membabitkan 720 kes, diikuti Jalan Bandaran (609), Jalan Negeri (388), lebuh raya (180) dan lain-lain jalan (119).

Dalam tempoh sama, 9,132 saman trafik dikeluarkan bagi pelbagai jenis kesalahan lalu lalu lintas.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan rasa sedih dengan peningkatan jumlah kematian dan kemalangan jalan raya setiap kali sambutan perayaan terutama di jalan negeri dan jalan bandaran walaupun pelbagai kempen keselamatan dijalankan.

“Kerajaan serius dalam usaha menjalankan kempen keselamatan jalan raya sejak dulu lagi, termasuk menubuhkan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR). Menjadi kebimbangan apabila kes kemalangan jalan raya semakin meningkat, paling banyak membabitkan motosikal,” katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbukanya di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh. , bharian

Tidak sempat sambut raya

PORT DICKSON – Dalam kesibukan umat Islam menuju ke bandar Port Dickson membeli keperluan sempena Aidilfitri, malang bagi seorang pemuda apabila maut selepas terlibat kemalangan di bandar itu, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, mangsa, Mohamad Hadzwan Kamarudin, 20, berasal dari Kampung Semariang Batu, Petra Jaya, Kuching Sarawak, menunggang motosikal bersendirian dari arah Telok Kemang ke Port Dickson.

Mangsa dipercayai merempuh sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan di simpang menghala ke sebuah pasar raya di bangunan PD Central.

Motosikal yang ditunggangi mangsa merempuh bahagian pintu penumpang belakang kereta terbabit sebelum mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Bagaimanapun, pemandu dan penumpang kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah, Superitenden Baljeet Singh ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Port Dickson, di sini untuk bedah siasat.SH

Angkara serangan kerbau



HULU BERNAM - Pengusaha tanaman pisang di Kampung Serigala, di sini mendakwa mengalami kerugian besar akibat serangan kerbau milik penternak di kawasan itu.

Hamidon Abdul Aziz, 35, berkata, tanaman yang diusahakan sejak dua tahun lalu musnah setelah kerbau memasuki kawasan tanamannya dan merosakkan hampir kesemua pokok pisang yang kebanyakan baru mengeluarkan hasil.

"Kejadian berlaku pada malam 21 Ogos lalu dan saya hanya menyedari keadaan ini keesokan harinya, siapa yang tidak sedih apabila melihat kebanyakan tanaman pokok pisang musnah," katanya kepada Sinar Harian.

Hamidon berkata, gangguan haiwan itu merupakan kejadian kedua dialaminya setelah tanaman ubi keledek yang diusahakan seluas 10 ekar turut rosak.

Menurutnya, gara-gara gangguan haiwan itu, tidak mustahil, tanaman yang diusahakan bersama belia tempatan di kampung berkenaan tidak dapat diteruskan lagi kerana hanya mendatangkan kerugian.

"Kita hanya meminta supaya pemilik kerbau berkenaan menjaga ternakannya agar tidak merosakkan tanaman di kawasan ini.

"Kawalan ternakan secara baik dan sistematik dapat menghalang kejadian seperti ini berulang," katanya.

Satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian itu, malah aduan sama telah dikemukakan kepada pemimpin peringkat daerah antaranya ketua kampung, penghulu mukim dan Pegawai Daerah Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Difahamkan, tanaman yang diusahakan belia tempatan itu dilaksanakan di atas tanah seluas 10 ekar pemberian Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor (PDHS) bagi projek pertanian tanaman kontan.

Terdapat 30 ekar tanah lagi di kawasan berhampiran diusahakan 10 belia tempatan bagi setiap kampung terlibat dengan projek itu.

Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Sungai Selisek, Kampung Gesir dan Kampung Lalang.

Sementara itu, Nor Hisham yang ditemui ketika melawat lokasi kejadian berkata, tindakan lanjut akan diambil.

Katanya, sebagai langkah awal, kedua-dua pihak harus mengambil inisiatif bagi memastikan keadaan terkawal.

"Penternak perlu lebih peka dengan menjaga dan mengawal ternakan daripada terlepas ke kawasan kebun penduduk kampung.

"Dalam masa yang sama, pengusaha tanaman juga harus meningkatkan penjagaan tanaman dan kawalan seperti memagar kawasan tanaman agar tidak mudah dimasuki haiwan liar," katanya.SH

Ular sawa 30 kilogram tumpas



MACHANG - Empat anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Unit Machang berjaya menumpaskan seekor ular sawa seberat lebih 30 kilogram (kg) setelah hampir 15 minit mencuba.

Pegawai JPAM, Mohd Razman Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada penduduk berdekatan Pejabat Jabatan Pengairan dan Saliran Machang pada jam 12 tengah malam.

Katanya, ketika kejadian, ular itu cuba memakan ayam peliharaan sebelum disedari penduduk yang kemudiannya bertindak menelefon pihaknya.

“Sebanyak 15 ekor ular sawa berjaya ditangkap pihaknya sepanjang tahun ini yang kemudiannya diserahkan kepada pihak zoo dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Manakala pada Ogos lalu, 21 kes melibatkan tangkapan ular pelbagai jenis,’’ katanya.

Mohd Razman berkata, anggotanya dilengkapi pelbagai peralatan dan kemahiran bagi membantu orang ramai yang mempunyai masalah sama dan sebarang aduan berkaitan boleh diajukan terus ke pejabat JPAM Machang 09-9750260.SH

Pemanggil bom palsu ditahan

KUALA TERENGGANU - Bahana terlalu mengikut perasaan dengan membuat panggi­lan­ palsu hingga menyusahkan orang lain, seorang lelaki bakal beraya di dalam lokap.

Ia susulan kejayaan polis menahan seorang lelaki di Batu 9, Cheras, Kuala Lumpur yang dipercayai suspek yang membuat panggilan bom palsu di bangunan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu pada 24 Ogos lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, suspek berusia 47 tahun itu ditangkap pada 25 Ogos lalu bagi menyelesaikan satu kes lain.

Bagaimanapun katanya, hasil siasatan mendapati, nombor telefon bimbit yang digunakan suspek adalah sama dengan panggilan palsu yang dibuat.

“Suspek yang bekerja dengan sebuah syarikat petroleum ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras berikutan kes mengugut isterinya dengan menggunakan telefon bimbit.
Siasatan lanjut mendapati, nombor yang digunakan adalah sama dengan individu yang kita cari.

“Dia akan dibawa ke Terengganu hari ini (semalam) untuk siasatan lanjut dan akan direman selama lima hari, sehingga 2 September ini,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini, semalam.

Katanya, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 28 Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 kerana menyebarkan maklumat palsu.

Sinar Harian pada 24 Ogos lalu menyiarkan mengenai panggilan ancaman bom di Bangunan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu.

Akibat daripada itu, polis terpaksa mengosongkan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu selepas menerima panggilan mengatakan terdapat bom diletakkan di tingkat sembilan yang menempatkan kamar Mahkamah Tinggi.SH

Wanita mengadu ditipu rakan laman sosial



KOTA BHARU – Seorang kakitangan awam tampil membuat aduan apabila berasa tidak berpuas hati selepas dia mendakwa ditipu seorang rakan yang baru dua minggu dikenali di sebuah laman sosial, Facebook.

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Aisyah Wong itu mendakwa dirinya diperdaya individu berkenaan berkaitan urusan jual beli iPad keluaran terbaru sebuah syarikat pengedar barangan teknologi terkemuka.

Aisyah berkata, dia mula berkenalan dengan individu berkenaan selepas tertarik dengan tawaran penjualan barang tersebut di akaun lawan sosial individu itu.

Katanya, dia kemudiannya membuat persetujuan jual beli sebelum memasukkan sejumlah wang pendahuluan ke akaun bank individu berkenaan pada 12 Ogos lalu.

“Saya tertarik dengan bayaran ansuran yang ditawarkan kerana hanya perlu membayar sedikit wang pendahuluan kemudiannya barangan itu akan terus dihantar ke rumah.

“Mula-mula saya masuk RM150 selepas itu saya berjanji akan membayar RM50 secara ansuran pada setiap bulan dan dia bersetuju, bagaimanapun barang tidak dihantar sehingga hari ini,” katanya.

Menurutnya, berikutan berasa ditipu, Aisyah bertindak membuat laporan di balai polis Kota Bharu pada 18 Ogos lalu.

“Sudah banyak kali saya hantar mesej di laman sesawangnya tetapi pertanyaan saya tidak dijawab dan selepas saya membuat laporan itu, ramai rakan siber dari negeri lain sedar mereka turut ditipu. Ada antara mereka yang sudah membayar RM300 tetapi iPad tidak sampai ke tangan,” katanya.SH

Ayam dalam mulut ular sawa



TUMPAT – Seorang penternak, Ahmad Ismail, 38, tidak menduga bunyi bising ayam dalam reban rupa–rupanya isyarat kehadiran tetamu tidak diundang mengancam ayam-ayamnya.

Lebih mencemaskan, sebaik menghampiri reban itu, seekor ayamnya sedang berada dalam mulut ular sawa itu yang agak agresif.

Bagaimana pun, khuatir boleh mengancam keselamatannya, dia menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Tumpat untuk menangkap ular itu.

Pegawai Unit Daerah Tumpat, Mohd Fuad Ismail berkata, anggota JPAM ke lokasi kejadian di Kampung Jambu, Chabang Empat di sini setelah menerima panggilan pada jam 11.30 malam.

Menurutnya, situasi tegang apabila ular sawa sempat menelan ayam peliharaan Ahmad itu, tetapi akhirnya tewas hasil tindakan pantas anggota JPAM menangkapnya yang agak kekenyangan bersembunyi dalam reban itu.

“Operasi diketuai Nurul Izzati Che Aziz bersama tiga anggota mengambil masa hampir setengah jam menangkap ular itu apabila menghadapi kesukaran untuk memasukkan ular tersebut ke dalam guni.

“Tiga kali cubaan memasukkan ular ke dalam guni gagal apabila guni tersebut koyak berikutan tidak mampu menampung berat ular itu hampir 100 kilogram (kg) dan panjangnya lapan meter,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, baru–baru ini.

Menurutnya, bagaimana pun operasi berjalan dengan selamat tanpa sebarang kecederaan dan ular yang berjaya ditangkap akan diserahkan ke Jabatan Perhilitan Kelantan untuk tindakan selanjutnya.

““Orang ramai yang ingin meminta bantuan JPAM boleh menghubungi 09-7254215,” katanya.SH

Kedai kopi musnah dihempap pokok



LUBOK SETOL – Ibu tunggal kehilangan mata pencarian apabila kedai kopi yang menjadi sumber rezeki musnah dihempap pokok ketika hujan lebat serta angin kencang melanda Kampung Lubok Setol kira-kira jam 5.30 petang kelmarin.

Mangsa, Bidah Besar,49, berkata, dia sedih kerana ketika umat Islam meraikan Aidilfitri, kedai kopinya musnah dihempap pokok besar yang terletak hanya beberapa meter sahaja dari kedai tersebut.

Menurutnya, ketika kejadian dia berada dalam rumah hanya beberapa meter dari kedai kopi dan hanya mengetahui insiden itu melalui kakaknya yang tinggal berjiran dengannya.

“Ketika kejadian saya hendak mandi, apabila kakak memberitahu kedai saya musnah dihempap pokok.

“Selama berniaga di kedai ini lebih 20 tahun lalu, bila berlaku kejadian sebegini, saya tidak tahu bagaimana untuk berniaga semula selepas ini,” kata ibu tunggal kepada tiga cahaya mata berusia 13, 12 dan enam tahun ini yang turut menerima bantuan berupa Bantuan kanak-kanak (BKK) sebanyak RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bidah berkata, walaupun penduduk melihat dia berniaga, tetapi pendapatan yang diperolehnya tidak seberapa tambahan pula dia sering sakit.

Menurutnya, dia menghidap darah tinggi, kencing manis dan juga penyakit jantung.

“Sepanjang Ramadan lalu, saya terpaksa mengupah orang lain untuk memasak kerana tidak mampu memasak sendiri.

“Walaupun pulangan tidak seberapa, tetapi sekurang-kurangnya saya memperoleh sedikit wang untuk menyara kami sekeluarga selain bergantung kepada bantuan daripada JKM,” katanya.

Bidah berkata, dia tidak mampu membaik pulih kedai kopi tersebut kerana kosnya agak tinggi.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Fatimah Besar,62, berkata, dia baru sahaja menukar bumbung rumahnya sehari sebelum Aidilfitri.

Menurutnya, hujan lebat serta angin kencang menyebabkan bumbung rumahnya diterbangkan angin.

“Kejadian ini menyebabkan saya kerugian kira-kira RM2,000 kerana banyak zink terpaksa digantikan dengan yang baru,” katanya.

Bagaimanapun dia bernasib baik kerana semua keluarganya selamat dalam kejadian itu.SH

Pengsan ditimpa buah kelapa



PASIR PUTEH - Gara-gara sebatang pokok kelapa, dua rumah rosak teruk dan tiga lelaki hampir maut apabila ia jatuh menimpa rumah ketika hujan lebat pada jam 5.30 petang kelmarin di Kampung Sungai Kelong, di sini.

Kejadian menyebabkan ketiga-tiga lelaki berkenaan cedera manakala salah seorang daripadanya pengsan akibat ditimpa buah kelapa.

Mangsa, Mohd Hasnan Mohamad,17, berkata, ketika kejadian dia dan rakannya, Mohd Azam Zuhairi,15 dan Mohd Firdaus Zanuar,15, berbual di bawah tempat letak kereta.

“Ia berlaku dengan pantas kerana kami tidak sedar bunyi, saya nampak, bumbung tempat letak kereta menimpa kami dan saya cuba menahan dengan tangan kanan saya sehingga menyebabkan luka parah.

“Manakala Mohd Azam pula pengsan akibat ditimpa buah kelapa dan tersungkur ke atas lantai, dan mujurlah Mohd Firdaus selamat,’’ katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, abang sulungnya, Mohd Faris, 24, turut cedera di kepala apabila batu-bata rumah jatuh menimpanya ketika dia dan sepupu sedang berbual di bilik tidur.

Mohd Hasnan berkata, semasa kejadian, ibunya serta mereka enam beradik berada di rumah kebetulan ayah keluar.

Dia berkata, akibat kejadian itu, separuh rumahnya roboh manakala rumah neneknya yang berada di sebelah turut menerima nasib sama kerana dahan pokok kelapa turut menimpa rumah Setawa Semah,70.

Kesemua mereka yang cedera parah dibawa ke Hospital Tengku Anis dan dirawat sebagai pesakit luar.SH

Rumah rosak akibat ribut



KUALA KRAI - Sebuah rumah didiami pasangan suami isteri warga emas di Kampung Telekong, rosak selepas ribut melanda kampung itu, kelmarin.

Pada kejadian kira-kira jam 4.30 petang, rumah Daud Salleh, 79, dan Minah Mat Sah, 76, rosak teruk di bahagian dapur apabila zink serta kayu bumbungnya diterbangkan angin kencang.

Ketika kejadian, Daud baru beredar dari dapur menuju ke ruang tamu untuk bersama Minah dan lima anak serta cucu mereka yang pulang berhari raya sempena Aidilfitri.

Minah berkata, dia dan ahli keluarganya tidak menyedari kejadian itu kerana pintu antara dapur dan ruang tamu ditutup selain bunyi deruan angin kencang.

“Kami hanya tahu bumbung dapur diterbangkan angin selepas dimaklumkan seorang jiran yang ternampak kejadian itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Telekong, semalam.

Minah berkata, angin kencang menyebabkan sebahagian bumbung dapur bersama struktur kayunya tercabut dan diterbangkan kira-kira 10 meter sebelum jatuh di tepi rumah.

Katanya, angin kencang diiringi hujan lebat itu turut menerbangkan sebahagian kecil zink genting rumahnya dan menyebabkan bahagian ruang tamu dibasahi air hujan.

“Saya harap ada pihak sudi membantu kami membaiki kerosakan ini kerana kalau nak baiki sendiri, memang kami tak mampu,” katanya yang bergantung kepada bantuan anak bagi sara hidup bersama suami.

Minah berkata, mereka berdua tidak bekerja kerana dia mengalami sakit tulang punggung manakala suaminya pula ada masalah pendengaran selain menghidap angin pasang dan pernah menjalani pembedahan.

“Nak harapkan duit belanja anak-anak, berapa sangat mereka mampu beri kerana masing-masing berkeluarga dan ada tanggungan sendiri,” katanya.SH

Ribut landa 3 keluarga



RANTAU PANJANG – Kegembiraan tiga buah keluarga menyambut Aidilfitri kedua hanya seketika apabila ribut yang melanda Kampung Lubok Setol kira-kira jam 5.30 petang kelmarin.

Dalam kejadian tersebut, sebuah rumah rosak apabila bumbung diterbangkan angin sementara dua lagi termasuk sebuah kedai makan dihempap pokok besar berusia lebih 15 tahun yang terletak di hadapan rumah mereka.

Pokok tumbang bukan sahaja merosakkan kediaman dan kedai terbabit, malah jalan turut tidak dapat dilalui menyebabkan satu lencongan sementara dibuat melalui jalan belakang Balai Polis Lubok Setol sebelum Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang mengalihkan pokok tumbang tersebut.

Kejadian tersebut menyebabkan mangsa kerugian kira-kira RM18,000 berikutan kerosakan bahagian hadapan rumah serta kerosakan sebuah kereta serta motosikal yang baru sahaja dibeli kira-kira sebulan lalu.

Salah seorang mangsa, Mohd Shukri Abdul Rahman, 54, berkata, ketika kejadian dia berada di dalam rumah dan baru hendak keluar mengalihkan kereta anaknya yang baru dibeli kira-kira sebulan lalu yang diletakkan di hadapan rumahnya.

Menurutnya, sebaik sahaja melangkah ke arah pintu rumahnya, pokok tumbang sehingga menyebabkan rumahnya bergegar.

“Ketika kejadian saya berada di rumah bersama anak lelaki, Mohd Rosdi,30, sementara anak-anak dan isteri tiada di rumah.

“Selepas pokok tumbang, saya terpaksa keluar ikut pintu belakang rumah untuk melihat keadaan kereta dan keadaan di luar rumah,” katanya.

Berikutan kejadian itu, bahagian bumbung kereta anaknya rosak teruk dan motosikal yang baru sahaja dibelinya juga perlu dibaiki.SH

Pemuda cedera ditembak

KUALA LUMPUR 1 Sept. - Seorang pemuda dikejarkan ke hospital setelah cedera terkena dua das tembakan yang dilepaskan oleh anggota polis dalam insiden pergaduhan di hadapan sebuah pusat hiburan di Jalan 45A/26, Taman Sri Rampai di sini semalam.
Difahamkan, mangsa terkena tembakan di punggung dan kaki setelah dia bersama empat rakannya bertindak menyerang tiga anggota polis yang didakwa memecah cermin kereta mereka.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 6 pagi semasa pemuda itu bersama rakan-rakannya mengunjungi pusat hiburan terbabit yang turut dikunjungi tiga anggota polis berkenaan.
Semasa mahu pulang, mereka mendapati cermin kereta pecah lalu membawa parang dan batang besi untuk menyerang tiga anggota polis terbabit yang didakwa bertanggungjawab melakukan perbuatan tersebut.
Semasa diserang, anggota polis terbabit cuba mempertahankan diri dengan melepaskan dua das tembakan yang kemudian terkena pada punggung dan kaki salah seorang daripada lima pemuda berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, lima pemuda berusia lingkungan 20-an itu mendakwa cermin kereta mereka dipecahkan oleh anggota polis.
"Mereka kemudian menyerang anggota polis terbabit dengan batang besi dan parang menyebabkan tembakan terpaksa dilepaskan bagi mempertahankan diri.
"Berikutan kejadian itu, kita menahan tiga anggota polis dan tiga orang awam untuk membantu siasatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, keenam- enam mereka yang ditahan semalam direman selama empat hari bermula hari ini hingga Ahad.
Sementara itu, keadaan pemuda yang terkena tembakan itu dilaporkan stabil dan masih dirawat di Hospital Ampang dekat sini.-utusan

3 warga Malaysia didakwa mengedar dadah di Thai

BANGKOK 2 Sept - Seramai tiga warga Malaysia dan dua wanita Thailand ditahan atas tuduhan mengedar dadah jenis methaphetamine yang dianggarkan bernilai AS$3 juta (RM8.97 juta), hari ini.
Polis merampas 45 kilogram dadah yang dijumpai dalam tiga buah beg pakaian dari perjalanan ke Malaysia dalam satu operasi di wilayah Songkhla berhampiran dengan sempadan Malaysia.
Menurut polis, kedua-dua wanita Thailand yang berusia 30 dan 31 serta salah satu suspek warga Malaysia membawa barangan tersebut dengan menaiki bas awam dari Bangkok untuk bertemu dengan dua lagi tertuduh dan memindahkan dadah itu ke dalam sebuah kereta.
Semua tertuduh ditangkap berikutan keterangan dari pemberi maklumat.
Ketiga-tiga warga Malaysia yang berusia 19, 25 dan 28 berasal dari Kedah. – AFP

6 rompak kedai pajak gadai dicekup

Inilah kedai pajak gadai yang cuba dimasuki oleh enam perompak
 di Sungai Way, Petaling Jaya, semalam.

PETALING JAYA 1 Sept. - Enam perompak yang sedang asyik menebuk dinding sebuah kedai gambar untuk memasuki kedai pajak gadai bersebelahan di Sungai Way di sini awal pagi ini dicekup polis setelah terperangkap apabila alat penggera keselamatan premis itu berbunyi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, suspek yang menaiki tiga buah kereta termasuk sebuah Mercedes Benz merancang memecah masuk kedai pajak gadai yang terletak di hujung bangunan kedai tiga tingkat itu dengan menebuk tiga lubang dari dua premis bersebelahan.
Suspek berjaya memasuki premis pertama iaitu kedai kasut dengan memecah pintu belakang dan membuat dua lubang pada dinding di dalam kedai terbabit untuk membolehkan mereka masuk ke kedai gambar di sebelah.
Setelah memasuki kedai gambar, mereka sekali lagi membuat satu lubang sebagai laluan ke kedai pajak gadai di sebelahnya dan ketika itulah alat penggera keselamatan berbunyi.
Bunyi bising tersebut mengejutkan seorang lelaki yang tidur di sebuah premis terletak di tingkat dua lalu menghubungi polis.
Lelaki terbabit yang enggan dikenali ketika ditemui memberitahu, dia sedang nyenyak tidur apabila tiba-tiba dikejutkan bunyi bising alat penggera keselamatan di kedai gambar yang terletak di bawah kediamannya.
"Mendengar alat penggera itu berbunyi saya berasa curiga lalu menghubungi polis dan sepasukan anggota dari Balai Polis Sungai Way yang terletak kira-kira 100 meter dari tempat kejadian terus datang menjalankan siasatan.
"Semasa polis tiba, semua suspek masih berada dalam kedai gambar dan mereka yang dikepung akhirnya dapat ditangkap," katanya.
Sementara itu, sumber memberitahu, suspek menebuk premis dan menggunakan alat vakum lantai untuk membuang batu-bata bagi mengelakkan ia dikesan.
Katanya, pemeriksaan polis menemui pelbagai peralatan digunakan untuk menebuk dan menggerudi bersama suspek di tempat kejadian.
Tambahnya, lantai kedai kasut dan gambar juga ada kesan basah kerana mesin gerudi terbabit menggunakan air untuk mengurangkan bunyi bising dan memudahkan proses penggerudian.
"Suspek juga bertindak merosak dan mencabut beberapa kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di premis berkenaan.
"Polis turut menemui beberapa kamera, wang tunai dan telefon bimbit dalam beg dibawa suspek dipercayai dicuri dari kedai gambar tersebut," katanya.-utusan

40 ditahan jual, miliki mercun


Jalaluddin Abdul Rahman (dua dari kanan) bersama Mazlan Lazim (kanan) melawat pesakit di HRPZ II, baru-baru ini.



KOTA BHARU 1 Sept. - Bermula awal Ramadan sehingga 27 Ogos lalu, Polis Kelantan berjaya menahan seramai 40 individu yang terlibat dalam aktiviti menjual serta memiliki mercun dan bunga api di seluruh negeri ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, jumlah tangkapan itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu.
"Kejayaan ini adalah hasil kewujudan skuad khas di kontinjen ini. Bila dapat maklumat kita terus memberikan respons. Ini merupakan satu perkembangan positif dan penyaluran maklumat tersebut berterusan.
"Saya puji masyarakat di sini yang banyak memberikan kerjasama dalam penyaluran maklumat kepada pihak polis, bukan sahaja mercun tetapi melibatkan semua aspek," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program penyerahan kuih raya dan sumbangan kepada anggota polis yang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Jalaluddin memberitahu, pihaknya akan menempatkan anggota dan pegawai di sempadan untuk membuat pemantauan aktiviti penyeludupan sepanjang musim perayaan ini.-utusan

15 rumah musnah terbakar raya kedua

SANDAKAN 1 Sept. - Kegembiraan 45 keluarga menyambut Hari Raya Aidilfitri punah selepas 15 rumah didiami mereka musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Muhibah, Batu 2, di sini semalam.
Timbalan Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Sandakan, Ordine Gilu berkata, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi itu.
Katanya, sebanyak tiga jentera dan 16 anggota dikejarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan pada pukul 12.05 tengah hari.
"Api dapat dikawal pada pukul 12.50 tengah hari dan operasi memadam kebakaran dihentikan pada pukul 1.30 petang setelah api berjaya dipadam sepenuhnya," katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran dan kerugian yang dialami mangsa.utusan

32,000 saman dikeluar di KLIA, LCCT

SEPANG 1 Sept. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan 21,000 saman membabitkan kesalahan meletakkan kenderaan di kawasan balai ketibaan dan balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi tempoh Januari hingga Julai lepas.
Ketua Polis Daerah Sepang, Supritendan Imran Abdul Rahman berkata, sejumlah 11,000 saman pula dikenakan ke atas pemilik kenderaan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) untuk tempoh sama membabitkan kesalahan serupa.
Menurutnya, secara purata 3,000 saman sebulan dikeluarkan di KLIA manakala 1,500 saman sebulan di LCCT melibatkan kenderaan persendirian atau komersial.
"Masalah kesesakan lalu lintas di depan terminal KLIA dan LCCT ini bukan isu baru. Punca utama kesesakan ialah orang awam meletakkan kenderaan mereka sesuka hati tanpa mengira tempat termasuk di depan balai ketibaan dan balai berlepas.
"Jika mereka hanya menurunkan atau mengambil penumpang, itu tidak mengapa tetapi sebaliknya mereka meletakkan kenderaan di kaki jalan sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.
"Kita hanya memberi masa 15 minit dan jika kenderaan tidak dialihkan, tindakan saman akan dikenakan," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini.
Menurut Imran, pihak polis akan meningkatkan penguatkuasaan dan rondaan dari semasa ke semasa di KLIA dan LCCT bagi memastikan setiap kenderaan diletakkan di kawasan yang dibenarkan.
"Saya juga berharap orang ramai peka dengan keadaan semasa bagi memastikan tiada kesesakan berlaku terutama di balai ketibaan dan berlepas di KLIA dan juga LCCT," katanya.
Mengulas mengenai keadaan jenayah di Sepang, beliau menjelaskan, sehingga kini kes jenayah di Sepang dalam keadaan terkawal tetapi mengingatkan masyarakat berwaspada dengan segala keadaan dan mengelakkan melakukan sebarang aktiviti yang akan menyumbang kepada aktiviti jenayah.-utusan